script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Persoalan Sama Ada Perbicaraan Kes MB Kedah Terus Atau Di Gantung Terjawab Pagi Ini

KUALA LUMPUR: Persoalan sama ada perbicaraan kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, di Mahkamah Sesyen Selayang diteruskan atau digantung akan terjawab dalam prosiding pada pagi ini.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berdepan tuduhan menghasut menerusi ceramah politik berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Dalam perkembangan baharu, Sanusi mengemukakan permohonan untuk memindahkan perbicaraan kes dihadapinya di Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Menteri Besar Kedah itu juga meminta diberi kebenaran penggantungan perbicaraan di Mahkamah Sesyen hingga permohonan pemindahan kes diputuskan Mahkamah Tinggi.

Permohonan mengikut Seksyen 417 (1) (a), (b) dan (e) Kanun Acara Jenayah (KAJ) itu atas alasan satu perbicaraan berpatutan dan saksama tidak dapat dijalankan di mana-mana mahkamah rendah daripada Mahkamah Tinggi.

Perkara terbabit dinyatakan menerusi notis usul difailkan firma guaman, Tetuan Hasshahari & Partners di Mahkamah Tinggi, Isnin lalu.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen menetapkan selama 12 hari iaitu hari ini dan esok, selain 5, 8, 9, 12, 13, 15, 16, 19, 22, dan 23 Februari ini bagi perbicaraan kes Muhammad Sanusi.

Menteri Besar Kedah didakwa atas dua tuduhan kerana didapati menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, Gombak, jam 11 malam, 11 Julai 2023.

Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang membawa kepada denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. #sumber


Share:

SPRM Di Gesa Siasat Bagaimana Operasi Warga Asing Sering Bocor, Tangkap Dalang Yang Terlibat !

KUANTAN: Rancangan pelaksanaan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pahang yang sering kali bocor perlu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli berkata, mungkin terdapat dalang yang bersetongkol sehingga menyebabkan warga asing terbabit terlepas daripada tindakan undang-undang.

Beliau mendakwa, terdapat unsur salah guna kuasa membabitkan anggota penguatkuasaan yang menyaksikan golongan itu kini semakin bermaharajalela.

“Operasi bocor dari sumber orang dalaman, kalau sebelum ini operasi ada 10 kedai berniaga, tapi bila tiba hari operasi hanya lima kedai dibuka sementara lima lagi tiba-tiba ditutup.

“Sebagai bukti bila ada operasi yang adakan oleh pihak berkuasa, sudah ada kedai milik warga asing itu ‘bercuti’ dalam dua hari, kerana mereka sudah dimaklumkan awal-awal berhubung operasi itu,” katanya menerusi kenyataan, baru-baru ini.

Menurut Mohd Shukri, berikutan itu, operasi yang dilaksanakan tidak mencapai sasaran apabila ramai daripada mereka terlepas.

Tambah beliau, berdasarkan permerhatian yang dilakukan premis perniagaan membabitkan warga asing bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. #sumber

Share:

Masalah Tanah Mendap Kuaters SK Bandar 2 Paloh Hinai Selesai Tiga Hingga Enam Bulan Lagi

KUANTAN: Masalah tanah mendap di bangunan kuarters empat tingkat Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar 2 Paloh Hinai, Pekan, sehingga diarah dikosongkan pada 7 Januari lalu, dijangka selesai dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata Bahagian Cerun ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengadakan lawatan dan pemeriksaan di kawasan mendapan.

Katanya, laporan terperinci akan dikemukakan dalam masa terdekat bagi kaedah pembaikan dan anggaran kos.

"Anggaran kos akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.

"Dijangka tempoh pelaksanaan pembaikan dan selesai dalam tempoh tiga hingga enam bulan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 7 Januari lalu, bangunan kuarters empat tingkat SK Bandar 2 Paloh Hinai diarah dikosongkan susulan kejadian tanah mendap.

Berikutan itu, seramai lapan keluarga membabitkan 24 penghuni dipindahkan sementara ke asrama sekolah berkenaan.

Mohammad Fakhruddin berkata, bagi mengelak aliran air berterusan, JKR Pekan melebarkan longkang dan melencongkan laluan air sistem saliran sedia ada.

Katanya, lencongan aliran itu bertujuan mengelakkan air kawasan sekitar memasuki longkang kawasan kuarters.

"Lencongan itu langkah penyelesaian jangka pendek sementara kerja baik pulih kesan mendapan boleh dilakukan.

"Memang akan mengambil masa sebab kita hendak memastikan kerja baik pulih dan punca kejadian tanah mendap dapat diketahui lebih jelas serta tepat daripada melakukannya secara tergesa-gesa," katanya. #sumber

Share:

MetMalaysia: Amaran Hujan Berterusan Tahap Waspada Di Pahang, Johor, Sabah Dan Sarawak

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada terhadap empat negeri bermula hari ini.

Menurut MetMalaysia melalui satu kenyataan di Facebook, empat negeri yang terlibat ialah Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Pahang terutamanya di Kuantan, Pekan dan Rompin.

“Selain itu, amaran sama juga dikeluarkan di Johor, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

“Di kedua-dua negeri ini, hujan berterusan diramal berlaku selama tiga hari iaitu dari 18 Januari (Khamis) sehingga 20 Januari (Sabtu),” katanya.

Dalam pada itu, amaran sama turut dikeluarkan bagi negeri Sarawak, terutamanya di sekitar Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (Sibu) dan Mukah (Tanjung Manis, Daro, Matu dan Dalat).

“Hujan berterusan juga diramal di negeri Sabah meliputi kawasan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.

“Di Pahang dan Sabah, amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan sehingga 17 Januari (Rabu),” ulasnya.

Tambah MetMalaysia, amaran tersebut dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di satu-satu kawasan.

Sementara itu, bagi keadaan cuaca pada petang ini MetMalaysia meramalkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dilanda hujan dan ribut petir sehingga pukul 4 petang.

“Hujan berterusan dijangka berlaku di Kelantan (Jeli dan Gua Musang), Terengganu (Kemaman), Pahang (Lipis, Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Mersing). #sumber

Share:

Tengku Zafrul: Pendedahan Isu Pandora Papers Pada 2021, Nak Siasat Saya Untuk Apa?

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz hari mempersoalkan motif pihak yang berterusan mendesak supaya dirinya disiasat susulan pendedahan Pandora Papers pada 2021.

Melalui video berdurasi 4 minit 22 saat yang dimuat naik melalui platform X, beliau membangkitkan soalan mengapa dirinya kembali diasak untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM), sedangkan ketika itu hanya bekerja dengan Kumpulan Kenanga sahaja.

Mengulangi kenyataannya pada 2021, beliau menegaskan tidak memiliki syarikat terbabit, sebaliknya dilantik sebagai pengarah syarikat serta anak syarikat Kumpulan Kenanga iaitu Capital Investment (Labuan) Ltd antara tempoh Januari 2009 hingga Jun 2010.

"Saya melepaskan semua jawatan selepas dilantik Ketua Pegawai Eksekutif di Maybank Investment Bank Bhd dan syarikat (Capital Investment) bukan saya yang punya.

"Capital Investment diperbadankan di Labuan yang menjadi pusat kewangan luar pesisir antarabangsa oleh kerajaan Malaysia pada 1990 sewaktu zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

"Sehingga kini Labuan masih berperanan sebagai pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa (LIBFC) di bawah seliaan agensi kerajaan Labuan Financial Services Authority (LFSA).

"Jadi adakah mereka yang mahu saya disiasat itu mengatakan semua syarikat yang dibuka di Labuan menjalankan perniagaan haram dan melanggar undang-undang," katanya.

Pandora Papers antara lain menyebut kira-kira 12 individu Malaysia, termasuk empat ahli politik antara puluhan ketua negara, kerajaan dan pemerintah dari serata dunia yang didapati menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar, sepanjang 25 tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Ketua Pembangkang pernah mengusulkan untuk membahaskan pendedahan Pandora Papers.

Beliau pada sesi Parlimen 2021 berang, malah menuduh Speaker Dewan Rakyat ketika itu sengaja menolak usul berkenaan, malah mendakwa , Datuk Azhar Azizan bertindak sebagai 'peguam bela' kepada pemimpin politik dan ahli perniagaan yang dikaitkan dalam laporan itu.

Tengku Zafrul melalui video sama juga melontarkan persoalan adakah SPRM harus menyiasat semua syarikat kewangan termasuk mereka yang bekerja di LIBFC susulan desakan itu.

"Adakah mereka mahu minta supaya semua pengarah syarikat kewangan di Labuan disiasat oleh SPRM dan adakah mereka mahu tuduh kerajaan Malaysia menggalakkan aktiviti haram susulan penubuhan LIBFC.

"Jika anda semua nak tahu, ada lebih 940 syarikat berdaftar dengan LFSA, antaranya 70 bank dan 237 syarikat insurans. Sehingga kini bank-bank di Labuan memiliki hampir AS$50 bilion aset dan syarikat insuran di situ juga mempunyai premium insurans sehingga AS$1.7 bilion. Adakah semua aset ini haram," katanya.

Beliau pada masa sama meminta pihak yang mendesak dirinya disiasat supaya menghuraikan kesalahan yang membabitkan dirinya kerana beliau sendiri masih tertanya-tanya. #sumber

Share:

Tindakan Kerajaan Benarkan Warga Asing Membeli Minyak Masak Subsidi Tidak Adil Kepada Rakyat

KUANTAN: Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berhubung tiada larangan untuk warga asing membeli minyak masak peket bersubsidi mengundang rasa kecewa dalam kalangan rakyat negara ini.

Aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli berkata, kenyataan itu menggambarkan menteri daripada Kerajaan Madani tidak peka memandangkan barangan bersubsidi hanya layak dinikmati rakyat Malaysia.

Dakwanya, tindakan itu seolah-olah cuba membela warga asing untuk turut sama mendapat manfaat daripada subsidi yang diberikan kerajaan.

"Saya tidak tahu kenapa seorang menteri sanggup keluarkan kenyataan yang begitu mengecewakan atau dalam erti kata lain meruntun jiwa kita sebagai rakyat.

"Kita tahu selama ini warga asing tidak boleh membeli minyak masak bersubsidi. Tapi, bagaimana menteri boleh keluarkan pandangan sebegini. Kita bermati-matian untuk pertahankan hak dan subsidi barang hanya untuk warganegara sahaja," katanya pada Jumaat.

Pada Selasa, kerajaan menjelaskan tiada sekatan atau larangan kepada warga asing untuk membeli minyak masak peket di kedai runcit, sebaliknya mereka turut tertakluk kepada had pembelian sama seperti rakyat Malaysia.

Armizan berkata, warga asing masih dibenarkan membeli minyak masak peket bersubsidi, namun menerima cadangan supaya larangan tersebut dikenakan.

"Setakat ini di peringkat runcit memang tidak ada larangan, cuma di pasar raya kita sudah sebut untuk setiap pembelian itu kita kawal had pembelian tiga peket.

"Tetapi untuk larangan kepada warga asing itu setakat ini tidak dibuat. Ada cadangan dan syor tertentu tetapi apa mekanisme untuk kita pantau, kita larang," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shukri memberitahu bekas Menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub secara jelas menegaskan bahawa warga asing tidak dibenarkan membeli barang bersubsidi negara ini.

Katanya, kenyataan Allahyarham Salahuddin pada 24 Jun tahun lalu menjelaskan perbuatan berkenaan (beli barang bersubsidi negara ini), merupakan satu kesalahan yang serius dan boleh didakwa mengikut undang-undang negara.

"Kalau kita lihat polisi jelas, warga asing tidak boleh membeli barangan bersubsidi dalam negara Malaysia. Perkara ini perlu diambil perhatian oleh menteri (Armizan)," katanya yang tidak bersetuju dengan tindakan Menteri KPDN itu.

Mohd Shukri berkata, tidak kira bagaimana sekalipun, kerajaan perlu mengutamakan rakyat Malaysia.

“Di manakah keistimewaan rakyat Malaysia jika had pembelian sama seperti warga asing. Ini adalah tidak adil," luahnya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan mewujudkan satu mekanisme yang adil dan telus agar penggunaan subsidi menjadi lebih wajar dan adil.

"Kerajaan juga digesa untuk mengambil langkah memperkasakan pendidikan dan penyebaran maklumat mengenai asal-usul dan tujuan subsidi, agar masyarakat lebih memahami maksud dan penggunaan subsidi yang diperuntukkan," ujarnya. #sumber


Share:

MB Pahang Sampaikan 'Mock Key' Penyerahan Bangunan PAID Kuantan Barat Di Jaya Gading

KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail hari ini menyampaikan 'Mock Key' sempena Majlis Penyerahan Bangunan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuantan Barat di Jalan Jaya Gading 4 dekat sini.

Dalam ucapannya, Wan Rosdy berharap Semoga dengan penyerahan bangunan ini, segala urusan berkaitan PAID Kuantan Barat akan lebih cekap dan tersusun terutamanya dalam urusan-urusan berkaitan umat Islam dan rakyat di Negeri Pahang. #sumber
Share:

Kerajaan Pahang Dan UNITEN Mencapai Kata Sepakat Untuk Kekalkan Kampus Muadzam Shah

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang bersama Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah bersetuju agar UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) terus dikekalkan di Muadzam Shah, Rompin.

Keputusan itu dicapai hasil perbincangan bersama ketiga-tiga pihak yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurut Wan Rosdy, Dalam perbincangan tersebut pihak UNITEN juga turut bersetuju untuk mengekalkan 13 kursus di kampus berkenaan serta tidak menawarkan kursus yang sama di UNITEN kampus Bangi.

"Malah, pihak pengurusan universiti itu juga akan berusaha untuk menambah bilangan pelajar terutamanya pada sesi pendaftaran pelajar pada bulan Februari tahun ini.
"Bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang saya rasa bersyukur kerana isu ini telah mencapai kata sepakat dan dimuktamadkan secara bersama," katanya/
Tambah beliau Kerajaan Negeri Pahang juga bersedia untuk membantu UNITEN bagi memastikan kampus berkenaan terus kekal di Muadzam Shah yang menjadi pemangkin kepada pembangunan pesat di kawasan berkenaan.
"Saya berharap selepas ini tidak timbul lagi isu universiti ini hendak ditutup dan semua pihak akan berganding bahu bagi memastikan UNITEN di Muadzam Shah terus maju dan berkembang serta menjadi pilihan pelajar untuk melanjutkan pengajian," kata kenyataannya lagi. #sumber

Share:

Daim Masuk Hospital, Sesi Rakam Keterangan Kepada SPRM Di Tangguh Ke Tarikh Baharu

 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menetapkan tarikh baharu untuk merakam keterangan Tun Daim Zainuddin selepas bekas Menteri Kewangan itu dimasukkan ke hospital.

Susulan itu, proses yang sepatutnya berlangsung hari ini, ditangguhkan hingga tarikh baharu diperoleh kelak.

Sumber berkata, temu bual itu perlu dijadualkan semula memandangkan Daim dimasukkan ke hospital.

"Kami dimaklumkan beliau dimasukkan ke hospital minggu lalu, jadi kami kena tetapkan tarikh baharu," katanya seperti dilaporkan oleh FMT.

Bagaimanapun tiada maklumat lanjut mengapa Daim diambil keterangan setakat ini.

Sementara itu, usaha untuk mendapat pengesahan beberapa pegawai kanan SPRM tidak berhasil setakat jam 6 petang tadi.

Rabu lalu, isteri Daim, Toh Puan Nai'mah Abdul Khalid, lserta dua anaknya, Muhammad Amin Zainuddin Daim dan Muhammad Amir Zainuddin Daim di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan.

SPRM berkata, ketiga-tiga individu itu dirakam keterangan bagi memastikan beberapa perkara berhubung aset bernilai tinggi di dalam dan di luar negara yang berada di bawah nama syarikat kepunyaan mereka serta terkait dengan siasatan terhadap Tun Daim.

Ia membabitkan satu notis diserahkan kepada Tun Daim mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 pada 7 Jun 2023 manakala notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 juga diserahkan kepada ahli keluarga beliau.

"Sebagaimana yang dinyatakan pada Kenyataan Media SPRM bertarikh 30 Disember 2023 yang lalu, siasatan terhadap Tun Daim ini bermula pada Februari 2023 berdasarkan pendedahan serta maklumat daripada Kertas Pandora," katanya. #sumber

 

Share:

JKR Pahang Nafi Maklumat Tular Laluan Persekutuan FT12 Kuantan-Segamat Sudah Di Buka !

 

KUANTAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang menafikan maklumat tular di aplikasi WhatsApp yang menyatakan Laluan Persekutuan FT12 , Kuantan - Segamat, KM72 telah dibuka dan boleh dilalui mengikut jadual kerja dikeluarkan jabatan itu.

JKR Pahang menerusi hantaran di laman Facebook berkata laluan tersebut masih ditutup seperti notis pemberitahuan penutupan jalan yang dikeluarkan oleh JKR Daerah Pekan sebelum ini dan kerja pemasangan jambatan bailey di lokasi berlakunya runtuhan jalan masih giat dilaksanakan.

"Laluan tanah di sebelah jambatan bailey hanya dibina sementara di atas pembentung yang telah runtuh untuk melancarkan kerja-kerja di tapak dan dikhuatiri tidak selamat dilalui oleh pengguna jalan raya.

"Sehubungan itu, JKR tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang insiden yang terjadi terhadap pengguna jalan raya tersebut," menurut hantaran itu.

Selain itu, JKR akan melaporkan kepada pihak berwajib untuk melakukan siasatan terhadap penyebaran berita palsu berkenaan dan menasihati orang awam agar tidak mempercayai maklumat tersebut serta tidak menyebarkannya kepada orang lain. #sumber

Share:

NADMA: Mangsa Banjir Di Johor Berkurangan Sedikit, Negeri Pahang Dan Sabah Kekal Petang Ini

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Johor menurun sedikit petang ini, manakala di Pahang dan Sabah kekal menjadikan jumlah terkini seramai 568 orang berbanding 635 orang, tengah hari tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa itu meliputi 274 mangsa berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah, 164 mangsa di empat PPS di Johor dan 130 mangsa di dua PPS di Pahang.

Di Sabah, seramai 113 mangsa berlindung di tiga PPS yang beroperasi di daerah Beluran dan 161 mangsa ditempatkan di sebuah PPS di Sandakan manakala di Pahang, kesemua 130 mangsa berlindung di dua PPS di Rompin.

Jumlah mangsa banjir di Johor pula merekodkan seramai 86 orang di sebuah PPS di Kota Tinggi, 63 orang di dua PPS di Segamat dan 15 orang kini berada di sebuah PPS di Batu Pahat.

Bagi insiden kebakaran di Sabah dan Sarawak, jumlah mangsa kekal 47 orang daripada 12 keluarga berlindung di sebuah PPS di Tawau, Sabah dan 38 mangsa daripada 12 keluarga di sebuah PPS di Kuching, Sarawak.

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa lokaliti sungai di Johor, Pahang dan Perlis berada pada paras bahaya petang ini.

Di Johor, sungai terlibat ialah Sungai Endau di Kluang, Sungai Johor di Kota Tinggi, dan Sungai Muar di Segamat, manakala di Pahang membabitkan Sungai Pahang di Pekan, Bera, Maran serta Sungai Rompin serta Sungai Arau di Perlis.

Nadma turut memaklumkan terdapat 43 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu, Jalan Kota Tinggi–Kluang di Kota Tinggi, Johor, di Pahang membabitkan Lebuhraya Kuantan-Segamat (Lebuhraya Tun Razak). #sumber

Share:

Kerajaan Pahang Tidak Pernah Bincang Kenakan Caj Tol Ke Genting Highlands !

 

BENTONG: Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah membincangkan mengenai rancangan memperkenalkan caj tol perjalanan sehala kepada pengunjung ke Genting Highlands.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, perkara tersebut tidak pernah dibangkitkan atau dibincangkan semasa mesyuarat Exco negeri.

"Belum ada apa-apa yang rasmi mengenai laporan berita itu. Kami (kerajaan negeri) tidak pernah membincangkan cadangan tol.

"Saya sedang mengumpul butiran lanjut mengenai perkara itu dan biar saya mendapatkan maklumat lanjut mengenainya dahulu," kata beliau ketika dihubungi pada Jumaat.

Baru-baru ini, tular gambar pemasangan sebuah struktur di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, sekali gus mendapat perhatian warganet yang membuat spekulasi berkemungkinan bakal dibangunkan plaza tol.

Bagaimanapun, jurucakap syarikat berkenaan tidak dapat mengesahkan tarikh pelaksanaan dan kadar tol yang akan dikenakan. #sumber

Share:

Lynas Australia Umum 'Tutup' Operasinya Di Malaysia Suku Disember Tahun 2023 !

 

SHAH ALAM: Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) Australia merancang untuk menutup semua operasi di Malaysia kecuali kilang pemprosesan karbonat campuran nadir bumi pada suku Disember tahun ini susulan kejatuhan saham syarikat tersebut.

Memetik laporan Reuters, saham syarikat itu jatuh sebanyak 2.7 peratus kepada A$6.24 (RM18.80) dan dicatatkan terendah sejak 3 Mei lalu.

Menurut laporan tersebut, penutupan berkenaan juga susulan daripada keprihatinan dan kebimbangan kerajaan Malaysia berkenaan tahap sinaran radiasi sejak beberapa tahun dahulu.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi amaran tentang dasar mengharamkan eksport nadir bumi.
"Pelaksanaan operasi hiliran Lynas di Malaysia dapat meningkatkan neodymium-praseodymium (NdPr) kira-kira 10,500 tan setahun.

"Peningkatan ini penting bagi operasi kerana syarat yang menghalang pelombong daripada mengimport dan memproses bahan mentah nadir bumi akan dikemas kini pada Januari 2024.

"Ia bagi membolehkan pengimport dapat memproses secara berterusan," katanya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, menurut Lynas, pada pertengahan November tahun ini kerja menaik taraf kakitangan terutama untuk membantu pemprosesan nadir bumi di Kalgoorlie, Australia akan bermula sebelum mereka menutup operasi.

Ujarnya, lesen operasi di Malaysia telah dilanjutkan sehingga Januari 2024 namun, permohonan penangguhan dan rayuan pentadbiran termasuk undang-undang akan didengar serta diputuskan pada November.

Sementara itu, Penganalisis Pasaran Kanan di Marcustoday, Henry Jennings berkata, laporan pengeluaran yang sedikit mengecewakan akan menyebabkan banyak isu penyelenggaraan tidak dapat membantu syarikat tersebut.

"Pengeluar nadir bumi terbesar dunia di luar China juga melaporkan penurunan 21.8 peratus dalam hasil jualan suku pertamanya kepada A$128.1 juta dan terlepas anggaran konsensus A$159 juta.

"Pengeluaran NdPr bagi suku tersebut mencapai 1,526 tan oksida nadir bumi (REOt), berbanding 1,045 REOt setahun sebelumnya," katanya. #sumber

Share:

Pengunjung Ke Pusat Peranginan Genting Highlands Bakal Di Kenakan Kutipan Tol !

 

SHAH ALAM: Kutipan tol bakal dikenakan terhadap pemandu yang berkunjung ke kawasan pelancongan tanah tinggi, Genting Highlands tidak lama lagi.

Memetik laporan Sin Chew Daily, jurucakap Lingkaran Cekap Sdn Bhd berkata, syarikat itu akan mengendalikan tol, namun pemandu hanya dikenakan bayaran semasa ke Genting Highlands dan bukan ketika menuruni kawasan tanah tinggi tersebut.

“Genting Malaysia Berhad (Genting Malaysia) menyelenggara jalan di tanah tinggi sejak membinanya pada pertengahan 60-an,” katanya.

Baru-baru ini, tular gambar pemasangan sebuah struktur di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, sekali gus mendapat perhatian warganet yang membuat spekulasi berkemungkinan bakal dibangunkan plaza tol.


Bagaimanapun, jurucakap syarikat berkenaan tidak dapat mengesahkan tarikh pelaksanaan dan kadar tol yang akan dikenakan.


Sementara itu, pihaknya turut menepis dakwaan bakal berlakunya kutipan tol pada kadar RM2.50 dan RM3 bermula Jun 2024.

Tambahnya, perkara tersebut memerlukan lebih banyak perbincangan sebelum membuat pengumuman rasmi.

“Kadar tol akan mengambil kira kos dan kerja penyelenggaraan untuk jalan ini,” ujar jurucakap itu.

“Lingkaran Cekap bertanggungjawab terhadap jalan di Genting, termasuk cerun, tanah runtuh, membersihkan pokok tumbang, memotong rumput, sistem kumbahan serta lampu jalan, dan paling penting menyelenggara jalan. #sumber

Share:

Pelanggan Dakwa Nak Muntah Gara-Gara Di Hidang Patin Berbau Seperti Bangkai !

TEMERLOH: Keterujaan beberapa pelanggan untuk menikmati ikan patin bertukar menjadi mimpi ngeri apabila hidangan itu didakwa berbau busuk seperti bangkai dalam kejadian di sebuah kedai di sini baru-baru ini.

Lebih mengecewakan apabila aduan yang dibuat kepada peniaga kedai makan terbabit tidak diendahkan, malah ganti rugi juga tidak diberikan.

Pelanggan dikenali sebagai Hisham, 45, berkata, dia yang sering berulang alik ke Temerloh atas urusan kerja telah dua kali termakan masakan ikan patin berbau busuk.

“Ketika singgah di sebuah kedai, saya telah meminta bahagian tengah ikan patin masak tempoyak dan sebaik menjamahnya, saya rasakan bau yang sangat busuk.

“Tauke kedai kemudiannya tanya saya hendak tukar atau tidak, tetapi saya kata sudah tidak berselera kerana bau busuk,” katanya di sini semalam.

Katanya, meskipun ikan ber­kenaan berbau busuk dan tidak habis dimakan, namun dia berasa sedikit kecewa kerana tetap dikenakan bayaran seperti harga biasa iaitu sebanyak RM25.

Sementara itu, seorang pe­langgan daripada Kuantan dikenali Ellies Ezailin berkata, dia yang mengidam makan pais ikan patin di Temerloh juga amat terkilan apabila juadah yang dimakannya berbau busuk.

Katanya, kejadian berlaku pada Ahad lalu dan lebih mengecewakan apabila peniaga berkenaan memberi alasan ikan berkenaan ‘bergas’ menyebabkan ia berbau busuk.

“Saya makan makanan sayur kampung dengan pais patin, suapan pertama (sayur) terus sentap sebab masin sangat dan bila buka pais patin, baunya sa­ngat busuk macam bangkai. Saya berfikir positif kerana mungkin bau kawasan sekeliling.

“Bila cubit isi ikan, isinya lembik, tulang lembik dan berbau.

“Ini antara pengalaman paling pahit dan memang sukar dilupakan,” katanya. #sumber

Share:

Pemandu, Pengusaha Lori Serahkan Tujuh Tuntutan Kepada JPJ Pahang Di Kuantan !

 

KUANTAN: Kira-kira 500 pemandu dan pengusaha lori berhimpun bagi menyuarakan pandangan berhubung operasi penguatkuasaan di hadapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang di Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Wakil pemandu dan pengusaha lori Mohd Irwan Shah Brahim, 38, berkata perhimpunan secara aman berkenaan bagi menyuarakan pendapat mereka berkaitan operasi penguatkuasaan yang dilakukan terhadap pemandu lori.

"Harapan kami supaya kerajaan memandang serius dan menyelesaikan masalah ini kerana ia bukan isu tempatan, tetapi menyeluruh di seluruh negara.

"Kehadiran pemandu dan pengusaha di sini bukan dipaksa, tetapi atas kerelaan sendiri kerana rasa tertekan dengan penguatkuasaan yang dijalankan," katanya ketika ditemui, di sini.

Sementara itu, Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin mengesahkan menerima memorandum daripada wakil pengusaha dan pemandu lori di Pahang.

"Saya dimaklumkan ada tujuh tuntutan dan akan panjangkan perkara ini untuk diteliti," katanya. #sumber

Share:

Polis Akan Ambil Tindakan Jikalau Pamer, Lekat Lambang Darjah Kebesaran Pahang

 

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang mempamer atau melekatkan lambang darjah kebesaran berkenaan, pada kenderaan mereka.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata PDRM mengambil maklum titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang memberi peringatan kepada penerima Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang, untuk tidak berbuat demikian.

Beliau berkata tindakan mempamer atau melekatkan lambang darjah kebesaran pada kenderaan penerima darjah itu, boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 3(1)(D) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.

"Mengikut seksyen ini, tiada seorang pun boleh kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, mempamer atau melekatkan apa-apa bahan yang mengandungi apa-apa lambang gelaran atau anugerah, atau apa-apa replika mengenainya kepada apa-apa kenderaan.

"Jika terdapat mana-mana kenderaan yang masih mempamerkan lambang darjah kebesaran negeri itu, maka tindakan akan diambil selaras dengan enakmen berkenaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Semalam, Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dilapor berkata peringatan itu dibuat bagi menjunjung titah Al-Sultan Abdullah, yang kini bersemayam di Istana Negara.

Peringatan itu diberikan mengikut Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017, melibatkan gelaran atau anugerah dikurniakan Sultan Pahang. #sumber

Share:

Fitnah Jahat Serta Keterlaluan, Shahaniza Buat Laporan Polis Terhadap 'Razak Bidin'


MARAN: Satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin terhadap pemilik akaun facebook 'Razak Bidin' di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, malam tadi.

Laporan dibuat, susulan kenyataan melampau, berniat jahat  dan mengandungi unsur fitnah  yang keterlaluan terhadap beliau.

Antara lain, Razak Bidin mendakwa Shahaniza terlibat dengan pelacuran ketika usia mudanya.

Shahaniza yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini diminta menarik balik hantaran difacebooknya terhadap Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar berkaitan satu kenyataan yang didakwa fitnah.

Shahaniza telah menarik balik kenyataan beliau berhubung isu tersebut, cuma dia mahu pemimpin PAS itu membuktikan kenyataan difacebooknya itu fitnah barulah beliau akan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Susulan itu, 'Razak Bidin: bertindak menyerang beliau. Apa yang lebih mengecewakan foto keluarganya juga turut menjadi sasaran.

"Dua hari sebelum ini, terdapat juga posting dari individu tersebut yang memaparkan saya bersama anak-anak saya dengan kandungan, mak cik jangan wariskan sifat pelacur politik (sondol semua) kepada anak cucu.

"Saya menyifatkan posting tersebut juga sebagai sesuatu yang melampau dan berniat jahat terhadap saya dan keluarga.

"Saya membuat laporan ini dengan tujuan satu siasatan menyeluruh oleh pihak polis terhadap individu tersebut dibawah Seksyen 504, kanun keseksaan, akta hasutan atau mana-mana peruntukan undang-undang yang  berkaitan," merujuk kenyataan dalam laporan polis beliau.

Sementara itu difahamkan, beliau turut tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan sivil terhadap individu terbabit. #pahangdaily

Share:

Shahaniza Minta PAS Buktikan Posting FB Palsu Baharu Beliau Akan Memohon Maaf

KUANTAN: PAS Pahang perlu membuktikan perkongsian hantaran yang dilakukan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin adalah paslu.

Menurut Shahniza perkongsian hantaran dibuat oleh sekadar menimbulkan persoalan, bukan mengutuk Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul itu menegaskan hantaran itu dibuat ’in a good faith’ dalam istilah undang-undang menbaw maksud dengan niat baik.

”Hantaran itu dengan soalan’apa masalah dia (Rosli Abdul Jabar Jabar) ini? Tiada pun tulisan mengutuk dia.

”Saya baru dimaklumkan ada satu laporan polis telah dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Pahang terhadap saya kerana hantaran saya di Facebook ini dua hari lepas.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan polis yang didbuat oleh ADUN Tanjung Lumpur itu hari ini.

Tambah Shahaniza, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk memadam hantaran yang berkaitan, namun permohonan maaf hanya akan dilakukan jika Rosli dapat membuktikan hantaran asal itu palsu.

Bahkan kata Shahaniza, hantaran itu telah dipadamkan pada petang Isnin selepas dimaklumkan tindakan Pas Pahang.

“Saya tiada masalah untuk padam tetapi beliau mesti membuktikan terlebih dahulu ianya adalah fake sebelum saya membuat permohonan maaf seperti dipinta,” katanya.

Terdahulu PAS Pahang  membuat laporan polis serta menggesa dua pengguna Facebook supaya memadam perkongsian hantaran berunsur fitnah dan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam. #sumber

Share:

Pahang Merekodkan Sebanyak 5.11 Juta Pelancong, Enam Bulan Pertama 2023 !

ROMPIN: Pahang merekodkan kehadiran 5.11 juta pelancong dengan anggaran pendapatan sebanyak RM4.59 bilion setakat Jun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Leong Yu Man.

Beliau berkata pelancong domestik merupakan penyumbang terbesar iaitu 4.75 juta orang, manakala bakinya adalah pelancong antarabangsa dengan 282,373 orang daripada negara ASEAN.

"Jumlah pelancong paling ramai direkodkan di Genting Highlands, Kuantan, Cameron Highlands, Pulau Tioman dan Temerloh," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup dan Pengurniaan Hadiah Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) 2023 di sini semalam.

Leong yakin sasaran 13 juta pelancong ke Pahang bagi tahun ini dapat dicapai susulan musim cuti sekolah hujung tahun ini.

Berhubung RPBIC, beliau berkata pertandingan memancing ikan layaran dengan konsep 'tangkap dan lepas' yang mula diadakan pada 2004 itu berjaya mempromosikan daerah Rompin sebagai destinasi memancing spesies ikan tersebut di peringkat antarabangsa.

Katanya ikan tersebut banyak terdapat di perairan Kuala Rompin pada musim penghijrahan aktif antara Mac hingga Oktober setiap tahun, sehingga daerah itu mendapat julukan 'billfish capital of Asia'.

"Ia menjadikan tempahan bot di Kuala Rompin penuh hampir setiap minggu bagi tempoh tersebut dan setakat Jun lepas, kehadiran pelancong ke daerah Rompin ialah seramai 19,924 orang," katanya.

Pada tahun ini, RPBIC diadakan selama tiga hari bermula 6 Okt lepas disertai 13 pasukan termasuk dari Jepun dan Singapura.

Leong berkata pihaknya menyasarkan penyertaan 40 pasukan pada pertandingan tahun hadapan yang akan berlangsung pada 6 hingga 8 September. #sumber

Share:

PRK Pelangai: Polis Pahang Telah Rakam Keterangan MB Kedah, Muhamad Sanusi

KUANTAN: Polis Pahang telah merakamkan percakapan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, difahamkan berhubung kenyataan yang dibuat semasa sesi ceramah pada 22 September lepas, sehari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata keterangan Muhammad Sanusi direkodkan di Balai Polis Manchis, Bentong pada 7 Oktober lepas, susulan terdapat dua laporan dibuat terhadap beliau.

"Keseluruhannya, kita sudah mengambil keterangan lima individu dan siasatan lanjut masih dijalankan sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya," katanya kepada Bernama semasa ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan terhadap Muhammad Sanusi dibuat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. #sumber

Share:

10,882 Di Tangkap Terlibat Pengedaran, Penyalahgunaan Dadah Di Negeri Pahang

KUANTAN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menahan 10,882 orang yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah sehingga bulan September tahun ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 7,243 merupakan penagih dadah yang ditahan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Selain itu, 987 suspek yang merupakan pengedar /tokan dadah ditahan mengikut Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39A (2) AD 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 6B ADB 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, seramai 2,590 suspek memiliki pelbagai jenis dadah turut ditahan mengikut akta dadah dan racun, mankala sebanyak 62 tangkapan dilakukan JSJN Pahang terhadap individu yang didapati terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Sepanjang Januari hingga September 2023, JSJN Pahang berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah berjumlah RM2,216,669.35.

“Pil Yaba antara jenis dadah yang paling banyak dirampas membabitkan 36,517 biji, selain 36,006.40 liter air ketum,” kata Yahaya.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, polis Pahang menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) memandang serius kegiatan perjudian seperti Loteri Awam Haram (Empat Nombor Ekor), Judi Pertaruhan, Judi Dalam Bangunan dan Luar Bangunan.

Katanya, tindakan seperti memohon pemotongan bekalan elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilakukan ke atas premis yang dijadikan pusat aktiviti perjudian.

“Daripada 58 permohonan, sebanyak 51 buah premis telah dipotong bekalan elektrik sementara 16 permohonan pembatalan permit perniagaan juga dibuat kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Menurut Yahaya, seramai 861 suspek terbabit aktiviti perjudian telah ditangkap hasil 616 serbuan yang dijalankan di seluruh negara sehingga 5 Oktober lalu.

Turut dirampas, 136 unit tablet pelbagai jenama, 213 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 11 unit laptop, dua unit PC, 38 unit router, 32 unit modem dan wang tunai berjumlah RM226,348.00.

Yahaya berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan serbuan dan tangkapan ke atas semua jenis perjudian yang ada dan mengalu-alukan maklumat daripada orang awam. #sumber

Share:

Pesuruhjaya PAS Pahang Beri Tempoh 24 Jam, Atau Dikenakan Tindakan Mahkamah

 

KUANTAN:  Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar memberi tempoh 24 jam kepada pemilik akaun Facebook DS Shahaniza Shamsuddin dan Che Ibrahim Mohamed untuk memohon maaf selain memadamkan perkongsian hantaran palsu berbaur 3R (kaum, agama, raja) yang dikaitkan dengan dirinya sejak Sabtu lalu.

Rosli berkata, tangkap layar hantaran yang dimuat naik pemilik akaun Facebook berkenaan bukan tulisannya, sebaliknya dipercayai diedit pihak tertentu menggunakan nama akaun Facebooknya.

"Laporan polis telah dibuat terhadap dua akaun Facebook terbabit dan kita minta pemiliknya segera memadamkan hantaran tersebut seberapa segera serta membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

"Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, saya minta peguam meneliti untuk tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan di sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN).

Rosli yang juga ADUN Tanjung Lumpur berkata, hantaran yang dikongsi melalui Facebook dipercayai milik pemimpin parti lawan itu disedarinya antara jam 6 hingga 8 malam ketika berada di Pelangai, Bentong pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu Sabtu lalu.

"Saya dapati mereka telah membuat paparan umum dengan menulis 'Apa masalah dia ni? dan 'Khawari moden semakin menzohirkan diri' disertakan kenyataan 3R itu pada tangkap layar tertera nama Facebook saya.

"Saya difahamkan laporan polis juga telah dibuat seorang pemimpin UMNO terhadap saya berkaitan tulisan tersebut," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, tulisan tersebut dibuat atas dasar tidak boleh menerima kekalahan pada PRK Pelangai sedangkan hantaran palsu itu disebarkan pada hari pengundian.

"Pusat pengundian pun belum tutup jadi tidak tahu lagi siapa menang siapa kalah," katanya. #sumber

Share:

Dato' Amizar Abu Adam Menang PRK Pelangai Dengan Majoriti 2,949 Undi

BENTONG: Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini, dalam pertembungan tiga penjuru.

BN menerusi calonnya, Datuk Amizar Abu Adam memperoleh 7,324 undi, sekali gus menewaskan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 47 undi.

Begitu pun, Amizar menang dengan majoriti undi lebih rendah iaitu sebanyak 2,949 undi berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Pengisytiharan keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail di Pusat Pengiraan Undi SPR di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul malam tadi.

Dengan kemenangan itu, BN terus mengekalkan 17 kerusi DUN sama jumlah dengan PH manakala PN kekal dengan lapan kerusi.

SPR merekodkan sebanyak 72.12 peratus daripada 16,456 pengundi menunaikan tanggungjawab pada PRK kali ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), penyandang kerusi itu dari BN, Datuk Seri Johari Harun menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi).

PRK kerusi berkenaan diadakan selepas penyandang kawasan itu diisytihar kosong susulan kematian Johari yang terbabit nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor Ogos lalu. 

Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan daripada 16,456 pengundi itu, seramai 36 adalah anggota polis manakala tiga lagi Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Proses pengundian bermula jam 8 pagi dan ditutup pada jam 6 petang, menyaksikan sebanyak sembilan pusat mengundi biasa membabitkan 30 saluran dibuka.

Mengikut data SPR memaklumkan daripada 16,456 pengundi itu, seramai 36 adalah anggota polis manakala tiga lagi Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

PRK DUN Pelangai menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 3 Oktober lalu, selepas SPR mengeluarkan 73 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos.

Berdasarkan rekod, DUN Pelangai mulai dijadikan kawasan DUN pada 1986 dan sejak itu ia diwakili wakil rakyat daripada BN-UMNO, dengan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob mewakili kawasan itu untuk lapan penggal (1986-2022). #sumber

Share:

MB Pahang Turun Padang, Angkut Sendiri Pengundi Berdaftar Ke Pusat Pengundian

BENTONG: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail hari ini turun padang bagi memastikan pengundi berdaftar DUN Pelangai menunaikan tanggungjawab mereka padan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi berkenaan.

Menerusi hantaran Facebook, Menteri Besar Pahang itu dilihat memandu sendiri keretanya dan membawa pengundi ke pusat pengundian.

"Walaupun Tok Wan tak mengundi hari ni, tapi Tok Wan sama semangat dengan pengundi di DUN Pelangai.

"Ini nak gi 'ngantor' pengundi ke pusat pengundian.

"Semoga perjalanan pergi dan balik semua pengundi selamat dan dipermudahkan," katanya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut memuat naik gambar Wan Rosdy menghantar pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Pada pilihan raya umum lalu Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi). #sumber


Share:

PRK Pelangai, Wan Rosdy Nafi Ada ADU Lompat Parti Jika PN Menang Sabtu Ini !

 

BENTONG: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan terdapat segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) akan lompat parti untuk bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) jika parti itu memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Menurutnya, ia adalah satu fitnah yang direka oleh pihak lawan untuk menggoyahkan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

"Saya baru dapat mesej hari ini daripada semua ADUN BN dan PH (Pakatan Harapan) serta barisan exco telah menyatakan sokongan padu terhadap saya... macam mana perkara ini timbul.

Wan Rosdy ditemui ketika sesi jelajah mesra Jualan Makmur Pahang di Dewan Serbaguna Kampung Chemomoi di sini pada Selasa.

Sebelum ini, tular sebuah poster memaparkan wajah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan dilantik sebagai Menteri Besar Pahang dan jika berjaya di PRK DUN Pelangai, Perikatan Nasional (PN) akan merampas Pahang dengan cara tebuk atap ikut pintu belakang dengan timbul desas-desus terdapat empat ADUN daripada BN akan lompat parti untuk menyertai PN.

Tambah Wan Rosdy, situasi itu menunjukkan mereka (lawan) sanggup berbuat apa sahaja untuk bercakap perkara yang boleh menimbulkan persepsi.

"Alhamdulillah saya berterima kasih kepada semua ADUN yang secara spontan tanpa pengetahuan menyokong penuh saya.

"Ini kerana mereka tahu PN mainkan isu sebegini untuk pengundi di Pelangai goyang dan beralih sokongan," tambah beliau lagi.

Sementara itu, Wan Rosdy menyifatkan momentum dan kehadiran pengundi bertambah baik namun beliau menegaskan terus meningkatkan usaha iaitu selain ceramah turut pergi rumah ke rumah. #sumber

Share:

Pakatan Harapan Pahang Akan Membantu Tarik Para Pengundi Luar 'Balik' Mengundi

 

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) Pahang akan berusaha menarik pengundi luar khususnya yang berada di ibu negara, untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Oktober ini.

Pengerusi PH Pahang Datuk Seri Amirudin Shari berkata setakat ini, pihaknya telah mengenal pasti lebih 2,000 pengundi DUN berkenaan, yang berada di ibu kota.

"Kita sedang cuba untuk pujuk dan beritahu keperluan untuk mereka turun mengundi. Ini antara usaha untuk memenangkan calon Barisan Nasional (BN) di DUN itu.

"Ini bagi memastikan (DUN) Pelangai mempunyai representasi yang baik, terutama untuk meneruskan kelangsungan pembangunan dan pembelaan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Hartanah Selangor 2023 anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di sini, semalam.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina di sini pada 17 Ogos lepas.
Ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

Ditanya status terkini petisyen untuk membatalkan keputusan empat kerusi dimenangi PN pada Pilihan Raya Negeri Selangor Ogos lalu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata pihaknya sedang menunggu maklumat lanjut daripada peguam.

Sebelum ini, PH dan BN mempertimbangkan untuk memfailkan petisyen pilihan raya di kerusi DUN Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia dan Dengkil, yang majoriti kemenangan rendah.

Keputusan bagi empat kerusi berkenaan menyaksikan PH-BN kalah dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58) dan Taman Medan (30).

Sementara itu, mengulas khabar angin beliau ditawarkan menjadi menteri di peringkat Pusat, Amirudin berkata perkara tersebut sudah diperkatakan sejak tahun lepas.

"Khabar angin saya ke Pusat itu ada sejak 2022 dan saya tidak dengar apa-apa (dan terima tawaran ke Pusat). Itu cuma khabar angin. (Beralih ke Pusat) itu bawah bidang kuasa Perdana Menteri. Biar Perdana Menteri fikir dan buat keputusan," katanya. #sumber

Share:

Mat Sabu: Kalau BN 'Kalah' PRK Pelangai, Pakatan Harapan Kena Bertanggungjawab

 

BENTONG: Pakatan Harapan (PH) perlu bertanggungjawab sekiranya Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabtu.

Beliau menegaskan, menjadi tanggungjawab jentera PH memastikan kemenangan calon BN di PRK Pelangai setelah BN membantu dalam kemenangan calon PH di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai pada PRK Johor.

"Soal perpaduan dan kemenangan ini penting.

Saya sebut dalam kempen di Simpang Jeram dan Pulai kalau PH kalah, BN bertanggungjawab.

Jadi, kalau PRK di sini BN kalah, PH bertanggungjawab.

"Oleh itu ketua pemuda (PH) kena kerja kuat, pastikan yang mengundi PH tu semuanya akan mengundi BN. Ketuk rumah.

"Yang dulu mengundi PH, orang Cina jangan cari roket, jangan cari simbol PH.

"Kali ini dacing. kamu suka tak suka, kena undi dacing," katanya ketika berucap pada Progam 'Sembang Santai Perpaduan' di Bilik Gerakan Simpang Pelangai, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohamad yakin sokongan orang Melayu kepada PH dan BN telah kembali.

Beliau berkata, orang Melayu sebelum ini meninggalkan UMNO dan PH kerana sentimen yang ditanam bahawa Islam terancam kerana bekerjasama dengan DAP.

"Kalau menang di Pelangai, insya-Allah menang di Kemaman," katanya.

PRK DUN Pelangai N36 perlu diadakan setelah kerusi itu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

BN meletakkan anak tempatan, Datuk Amizar Abu Adam manakala PN sekali lagi menampilkan semula bekas guru yang juga calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Kasim Samat, 62.

Seorang lagi calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli juga disahkan bertanding. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.