script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

MB: Dua Hentian Rehat Dan Rawat Akan Dibina Di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU)

KUANTAN: Dua hentian rehat dan rawat (R&R) akan dibina di sepanjang Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) untuk kemudahan pengguna laluan itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan R&R itu dicadang dibina di laluan antara Bentong dan Raub serta di Kechau Tui, Merapoh, Lipis.

Menurutnya, pembinaan kemudahan itu dijangka akan membantu mengatasi isu sampah di jalan berkenaan terutama ketika musim perayaan.

"Pembinaan R&R itu kini dalam proses tindakan melibatkan pelbagai pihak termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR), kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kerajaan negeri akan menyediakan tapak yang sesuai bagi pembinaan R&R tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Pahang di sini pada Khamis.

Turut berangkat, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Wan Rosdy berkata, kemudahan ini tidak boleh disediakan dalam masa terdekat dan akan mengambil masa untuk disiapkan kerana ia perlu melalui pelbagai proses termasuk kajian, kelulusan dan sebagainya.

"Bagaimanapun usaha-usaha ke arah penyediaan kemudahan itu telah dimulakan," ujarnya.

Sementara itu katanya, tindakan jangka pendek berhubung isu sampah di laluan tersebut telah diambil PBT dengan kerjasama syarikat pembersihan Alam Flora.

"Selain itu, kerajaan negeri juga akan menyediakan tong-tong sampah di lokasi yang dikenal pasti untuk dijadikan hentian sementara bagi memudahkan pengguna jalan berkenaan," ujarnya.

Beliau berkata, pengguna Lebuhraya LTU diingatkan supaya tidak membuang sampah merata-rata sebaliknya cari tempat yang telah disediakan.

Sebelum ini, media melaporkan ketiadaan kemudahan R&R menjadi antara alasan pengguna lebuh raya itu membuang sampah ketika singgah berehat di tepi laluan tersebut. #sumber

Share:

Sultan Pahang Menyeru Umat Islam Terus Memperbanyakkan Ibadah Walau Pun Selepas Bulan Ramadan

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru umat Islam khususnya di negeri ini agar meneruskan ibadah walaupun Ramadan telah melabuhkan tirainya.

Titah baginda, pelbagai ibadah yang dilaksana dan dipertingkatkan sepanjang Ramadan lalu diharap dapat diteruskan pada bulan-bulan lain.

"Teruskan ibadah termasuk berpuasa enam, solat subuh berjemaah di masjid, mengaji al-Quran dan didik anak-anak kita semua supaya teruskan amalan itu," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis.

Turut berangkat mengiringi baginda, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama, Wan Rosdy selaku tuan rumah.

Dalam majlis itu, Al-Sultan Abdullah mendendangkan tiga buah lagu iaitu Kisah Seorang Biduan, Gadis Melayu dan Butakah Cinta untuk menghiburkan tetamu sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Sementara itu, Wan Rosdy berbesar hati dan menjunjung kasih atas keberangkatan Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang serta paduka-paduka anakanda ke majlis rumah terbuka itu.

"Terima kasih juga kepada kira-kira 10,000 tetamu pelbagai kaum yang hadir untuk sama-sama memeriahkan majlis ini.

"Ini membuktikan rakyat di negeri ini hidup dalam suasana penuh harmoni dan masih menjaga perpaduan antara kaum," katanya. #sumber

Share:

Kebakaran Hutan Berskala Besar Libat Tiga Lokasi Di Pahang Sejak Akhir Mac Lalu Kini Semakin Pulih

KUANTAN: Kebakaran hutan berskala besar yang melibatkan tiga lokasi di negeri Pahang sejak akhir Mac semakin pulih, dengan operasi pemadaman kini ditumpukan di kawasan Rompin, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Beliau berkata operasi memadam kebakaran hutan kawasan Jabatan Pertanian Inderapura yang melibatkan keluasan kira-kira 320 hektar hutan tanah gambut, ditamatkan sepenuhnya pada Selasa setelah lebih 10 hari kerja pemadaman dilakukan.

Sementara kebakaran hutan tanah gambut di Gebeng seluas 110.5 hektar, Wan Mohammad Zaidi berkata juga semakin pulih apabila 99 peratus kebakaran berjaya dipadamkan, dan jangkaan operasi pemadaman di kawasan tersebut akan ditamatkan hari ini sekiranya tiada kebakaran baharu berlaku.

“Manakala di Rompin pula melalui tinjauan udara yang dibuat mendapati masih lagi ada kebakaran, tetapi tidaklah besar seperti sebelum ini dan kita akan menggunakan kaedah bom air dan direct attack di kawasan itu hari ini,” katanya kepada media hari ini.

Wan Mohammad Zaidi berkata hujan di daerah Kuantan dan Rompin sejak Selasa juga turut membantu anggota bomba dan penyelamat, yang telah bertungkus-lumus sejak beberapa minggu lalu memadamkan kebakaran hutan gambut, belukar dan ladang di tiga lokasi berkenaan.

Terdahulu Bernama dan TV3 berkesempatan melakukan tinjauan udara bersama Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang Ismail Abdul Ghani, menaiki helikopter MI17 di kawasan hutan terbakar Inderapura dan Gebeng.

Dua buah helikopter telah dibekalkan Bahagian Udara Ibu Pejabat JBPM susulan lawatan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menyarankan penggunaan helikopter bagi operasi bom air di kawasan yang tidak mempunyai akses mengawal kebakaran daripada merebak.

Baginda bersama Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat ke pos kawalan Bomba Inderapura Jaya pada Isnin, untuk meninjau dan mendengar sembah taklimat berhubung kebakaran hutan di negeri ini. 

Operasi pemantauan dan pemadaman menggunakan helikopter jenis MI17 yang diketuai Penolong Penguasa Bomba JBPM Amir Fitri Salim, digunakan sejak Rabu untuk memadam kebakaran di Gebeng sementara helikopter jenis Agusta digunakan di Rompin, yang diketuai oleh Khirulnizam Jamaludin.

Wan Mohammad Zaidi berkata walaupun dalam suasana Aidilfitri, JBPM terus komited memantau secara berkala situasi kebakaran yang berlaku, berikutan cuaca panas yang dijangka berpanjangan.

“Tiada istilah cuti ketika perayaan Aidilfitri ini buat JBPM, namun kita mengharapkan kerjasama masyarakat untuk tidak melakukan sesuatu yang berisiko, sehingga mengakibatkan berlakunya kebakaran khususnya ketika negara masih lagi dalam fenomena El Nino, yang mudah terdedah kepada kebakaran hutan. 

“Musim tidak menentu sebab sekarang masih lagi Monsun Barat Daya iaitu dalam keadaan El Nino...kita akan alami musim panas panjang lagi.

“Justeru, masyarakat sebaiknya memainkan peranan dan sekiranya melakukan kebakaran untuk berkebun, pastikan ia dalam kawalan dan dipadam dengan betul,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihati orang ramai yang melakukan aktivti memancing atau berburu, agar memadamkan putung rokok atau unggun api dengan betul, bagi memastikan tidak ada bara api kerana bahan kering seperti rumput dan daun mudah terbakar tanpa kawalan.

 Wan Mohammad Zaidi berkata sepanjang Jan hingga kini, sebanyak 712 kes kebakaran terbuka direkodkan di Pahang, membabitkan hutan sebanyak 42 kes, sampah (28), kebun/ladang (7) dan paling tinggi ialah belukar/lalang iaitu 635 kes. #sumber

Share:

Kebakaran Hutan Tanah Gambut, Asap Tebal Laluan Kuantan - Pekan Halang Penglihatan Pemandu

KUANTAN: Kebakaran hutan tanah gambut di sini sejak 29 Mac lalu semakin teruk apabila asap tebal berserta debu melitupi sebahagian besar jalan Kuantan-Pekan.

Menerusi perkongsian video di laman TikTok @iendaazlinda, asap tebal yang kelihatan seperti jerebu itu bukan sahaja membawa hawa panas malah menganggu penglihatan pengguna yang melalui jalan raya di sekitar Taman Indera Sempurna itu.


Dalam pada itu, pemilik video berkenaan juga mengakui cuaca panas melampau di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan debu atau abu hasil daripada kebakaran hutan itu berterbangan ke kawasan sekitar.

“Memang asap tebal sangat masa lalu tadi, memang tak jelas pandangan. Video ni saya lajukan, kami slow saja sebab berhati-hati.


“Dalam rumah kalau tak pakai selipar, hitam kaki sebab debu-debu asap masuk rumah.” ujarnya

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna mengakui turut terkesan dengan cuaca panas yang melanda Kuantan buat masa ini.

“Semoga Allah turunkan hujan rahmat, kesian juga dekat haiwan-haiwan yang masih hidup, habis habitat musnah. Buat petugas-petugas bomba, semoga Allah lindungi kalian,” ujar seorang pengguna.

“Lima tahun duduk sini tak pernah pasang aircond, pakai kipas je. Tahun ni betul-betul panas. Tidur pun berpeluh, saya pun pasang aircond dalam bilik. Fikir anak baru 11 tahun,” komen Lucifer.

“Ini kawasan rumah mentua saya, Indera Sempurna. Semalam saya sampai macam inilah, tak nampak jalan sebab asap. Ya Allah, semoga Allah permudahkan urusan buat kita semua,” kata Mamaizz. #sumber

Share:

Ops Selamat: Shahaniza Santuni Anak-Anak Perantauan Pulang Ke Kampung Halaman Di Plaza Tol Chenor

MARAN: Anak-anak perantauan yang pulang ke kampung halaman di daerah ini sempana perayaan Hari Raya Aidil Fitri telah disambut oleh Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin petang semalam.

Beliau ditemui ketika bersama dalam program 'Ops Selamat' Ketua Polis Daerah Maran, DSP Mohamad Zamri Mohamad Zaber di Plaza Tol Chenor dekat sini.

"Cuaca panas teramat tapi seronok menyambut mereka yang pulang ke kampung dari perantauan," kenyataan ringkas di facebooknya.

Shahaniza yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, dilihat terus melaksanakan tanggungjawabnya menyantuni rakyat biar pun tidak lagi bergelar wakil rakyat. 

Beliau kini juga merupakan Penyelaras DUN Chenor yang sering turun padang bagi membantu dan menjaga kebajikan rakyat di kawasan terbabit selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

Keberadaan Shahaniza kini amat disenangi rakyat kerana beliau lebih mudah didampingi dan mendengar luahan hati mereka berbanding dengan wakil rakyat pembangkang yang menguasai kerusi Parlimen dan DUN di kawasan Maran sebenarnya.#sumber

Share:

Wan Rosdy: Kerajaan Pahang Biaya Kos Rawatan Penjawat Awam, Pesara Negeri Di SASMEC@IIUM

KUANTAN: Kerajaan Pahang bersetuju membiayai kos rawatan penjawat awam dan pesara perkhidmatan awam negeri di Sultan Ahmad Shah Medical Centre, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC@IIUM), di sini berkuat kuasa mulai bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang pada 3 April lalu.

Katanya, ia merupakan inisiatif kerajaan negeri secara berterusan dalam memastikan kebajikan penjawat awan terus dijaga.

"Pembiayaan kos rawatan ini meliputi penanggungan 30 peratus bil rawatan perubatan dan penanggungan 100 peratus bil rawatan ubat khas, ubat non-formulary (NF) dan implant.

"Pembiayaan kos rawatan bagi kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkuasa berkanun (PBB) pula meliputi penanggungan 30 peratus bil rawatan perubatan dan penanggungan 100 peratus bil rawatan ubat khas, NF serta implant adalah ditanggung agensi masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ujar Wan Rosly, keputusan ini secara langsungnya dapat mengurangkan kesesakan yang berlaku di hospital dan juga klinik-klinik kerajaan.

"Saya mengharapkan menerusi pembiayaan ini, penjawat awam dan pesara perkhidmatan awam negeri dapat menggunakan perkhidmatan rawatan kesihatan di SASMEC@IIUM dengan sebaik-baiknya," katanya. #sumber

Share:

Elak Bahaya Pengguna Jalan Raya Buat 'U-Turn', Polis Akan Tutup Jalan Susur Keluar LTU Di Raub

KUALA LUMPUR: Polis akan menutup laluan berhampiran susur keluar di Lebuh Raya Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Raub bagi mengelak tindakan sesetengah pemandu kenderaan yang membuat pusingan U.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, anggota yang bertugas sentiasa memantau pergerakan kenderaan di semua kawasan panas di lebuhraya seluruh bagi mengelak kesesakan dan kemalangan.

“Disebabkan kadar aliran kenderaan yang tinggi memang akan menyebabkan kesesakan di situ dan anggota kita ada terlibat tuga menjaga trafik di Raub.

“Tindakan mereka (pemandu) buat u turn itu memang tak sepatutnya berlaku. Jadi buat masa ini, kita lebih memberi nasihat kepada pemandu keraa orang hendak balik kampung dan kita bukan nak cari kesalahan mereka atas jalan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Razarudin, bagi mempermudahkan kelancaran lalu lintas di lebuhraya khususnya berhampiran Raub, polis akan mengambil pendekatan menutup laluan sebagai langkah menghalang pemandu membuat pusingan U yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna lain.

“Mungkin kita akan tutup u turn itu untuk elak mereka membuat pusingan di situ, itu salah satu pendekatan kita yang akan dilaksanakan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Razarudin menjelaskan Op Selamat 22 Aidilfitri 2024 bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ membuka tirai pada hari ini hingga 13 April ini dengan melibatkan hampir 6,000 pegawai dan anggota di seluruh negara.

Menurut beliau, konsep Op Selamat 22 bertumpu untuk mengurangkan kemalangan tahap paling minima, memastikan aliran trafik berjalan lancar di lebuh raya seluruh negara.

“Objektif sama pendekatan berteraskan total enforcement dan delivery service masih dikekalkan seperti tahun-tahun lepas bertujuan mendidik pengguna jalan raya agar lebih berhemah lagi pada kali ini semasa balik menuju ke kampung halaman masing masing.

“Kita mahu membendung peningkatan kemalangan kematian, menguruskan kelancaran kereta selain mencegah kejadian pecah rumah dan meningkatkan rondaan cegah jenayah di kawasan perumahan. enam kesalahan utama yang membabitkan tindakan mahkamah tanpa kompaun antaranya kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong garisan kembar, memandu di lorong kecemasan dan melanggar lampu merah terus dikuatkuasakan. #sumber

Share:

Tiada Tindakan Saman Terhadap Pemandu 'U-Turn' Di Lebuh Raya Jalan Lingkaran Tengah Utama

KUALA LUMPUR: Tiada tindakan saman terhadap pemandu kenderaan yang melakukan 'u-turn' melawan arus di laluan keluar Raub, Lebuh Raya Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) bypass Raub, seperti yang tular di media sosial semalam.

Sebaliknya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, jalan keluar itu akan ditutup bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Memang tindakan (u-turn lawan arus) itu tidak sepatutnya berlaku tetapi buat masa ini, kita faham mereka semua nak balik kampung dan kita juga bukan mahu mencari kesalahan, tetapi hanya mahu permudahkan urusan semua.

"Kita akan lancarkan lalu lintas dan mungkin akan tutup laluan itu bagi mengelakkan perbuatan 'u-turn'. Mungkin ini pendekatan kita," katanya ketika ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh PDRM berhubung isu itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mohd Azaman Ahmad Sapri kepada timbalannya, Datuk Nasri Omar yang akan memangku jawatan itu, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini hari ini.

Razarudin berkata, lebih 5,900 kekuatan anggota dan pegawai trafik terbabit dalam Op Selamat 22 yang bermula 8 hingga 13 April ini.

Beliau berkata, pihak polis juga akan melakukan pemantauan dan kawalan aliran trafik terutamanya titik hitam dan lokasi panas.

"Tumpuan kita kempen ini (Op Selamat) adalah mendidik rakyat, sikap satu elemen penting yang mana pengguna jalan raya hendaklah bertanggungjawab antara satu sama lain.

"Kita juga mengingatkan orang ramai memandu dengan cermat dan memeriksa kenderaan terlebih dahulu.

"Mereka yang balik kampung diminta memaklumkan kepada balai polis berdekatan bagi memudahkan rondaan cegah jenayah termasuk bukan Islam yang pergi bercuti," katanya.

Beliau berkata, enam kesalahan utama diberi penekanan iaitu memandu melebihi had laju; memandu di lorong kecemasan; memotong di garisan berkembar; memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit. #sumber


Share:

Ketua Polis Raub: Buat U-Turn Di Lingkaran Tengah Utama (LTU) Lepas Raya Sila Jumpa Di Balai

RAUB: Individu yang merakam insiden membuat pusingan U secara melawan arus di Lebuh Raya Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) bypass Raub akan dipanggil membantu siasatan selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, perakam suara wanita, pemandu dan kesemua pemandu kenderaan di dalam video itu kini sedang dikesan pihaknya.

Menurutnya, pihak polis sedang mengesan semua pihak berdasarkan nombor plat kenderaan berada lebuh raya seperti tertera rakaman tersebut.

“Semua kenderaan yang nampak dalam video termasuk individu perakam yang membuat rakaman dan menularkannya juga akan dipanggil.

“Selepas dari video tersebut terdapat beberapa buah kenderaan yang dapat dikesan selepas melakukan pemeriksaan melalui Mysikap JPJ bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Susulan itu kes berkenaan akan disiasat di bawah Peraturan 13(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 LN166/59 oleh pegawai penyiasat IPD Raub, Inspektor Mohd Adnan Abas Azmi.

Semalam, media melaporkan video yang tular di media sosial memaparkan satu kejadian dipercayai berlaku di daerah Raub iaitu Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) mendapat hampir satu juta tontonan.

Difahamkn kejadian yang berlaku pada sekitar 2 hingga 4 petang Jumaat telah dimuatnaik laman sosial Facebook Maafsebut dan laman media sosial Tiktok yang bernama @ctzu96.

Dalam kedua-dua video klip tersebut menunjukkan rakaman pengguna jalan raya telah membuat pusingan balik di jalan tersebut dan memandu lawan arah untuk mengelakkan kesesakan lalulintas.

Tindakan tersebut mengundang komen dan kecaman negatif dari masyarakat apabila membuat pusingan-u secara melawan arus selepas melihat kenderaan beratur panjang dalam trafik sesak.

Ekoran itu, insiden berkenaan juga memperlihatkan tindakan beberapa pemandu dalam video tersebut telah menyebabkan kegusaran dan bahaya kepada pengguna jalan raya lain. #sumber

Share:

Tindakan Pemandu Selamba ‘U-Turn’ Di LTU Raub ByPass Untuk Elak Kesesakan Di Kecam Orang Ramai

PETALING JAYA: Tindakan segelintir pengguna kenderaan yang selamba membuat pusingan U dipercayai di laluan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) Raub Bypass dikecam orang ramai.

Menerusi video dimuat naik pada TikTok, seorang pengguna merakam pengalaman menggunakan laluan lebuh raya baharu itu, namun tidak lama kemudian, berlaku kesesakan di hadapan ekoran pertambahan kenderaan.

Dalam video itu, terdapat kenderaan yang bertindak melakukan pusingan U termasuk perakam video tersebut, sedangkan laluan itu adalah sehala sekali gus tidak dibenarkan untuk berbuat demikian.

Orang ramai kemudian mengecam perbuatan bahaya tersebut, manakala perakam itu dipercayai telah memadamkan videonya daripada TikTok, namun ia sempat dikongsikan pengguna lain menerusi platform media sosial lain.

“Kenapa kena ‘U-turn’ kat lebuh raya. Kalau jadi apa-apa, dah menyusahkan orang lain. Nak raya dah, tolong lah bagi kerjasama,” kata Bang Jimm pada aplikasi X.

“Ini kalau lori sampai, hentam. Mahu kena kecam teruk ‘driver’ lori,” komen Safwan Suhaime.

“Kenapa suka bahayakan nyawa orang lain. Kalau kereta belakang laju tak sempat nak elak memang akan berlaku kemalangan. Semoga tak ada apa-apa berlaku lah,” kata Fitri Nizam. #sumber

Share:

Isu Sampah Sudah Dibawa Ke Pihak Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)

LIPIS: Kerajaan negeri telah membawa isu pembuangan sampah-sarap di tepi bahu jalan laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) di sini kepada pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, masalah sampah-sarap yang sering memenuhi laluan LTU setiap kali musim perayaan itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Menurutnya, tindakan tertentu harus diambil sementara menunggu kawasan Rehat dan Rawat (R&R) siap dibina yang akan mengambil sedikit masa lagi.

"Mungkin ada usaha dalam jangka masa pendek untuk menyelesaikan masalah ini termasuk kita akan minta pihak berkaitan untuk pantau perkara tersebut supaya boleh membantu perkara yang perlu.

"Majlis Daerah atau Pejabat Daerah boleh fikir bagaimana untuk atasi isu ini, mungkin tidak menyelesaikan tapi sekurang-kurangnya meminimumkan masalah yang ada,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis pada Sabtu.

Dalam majlis terbabit, seramai 276 peserta Rancangan Penempatan Semula (RPSK) Merapoh, Jerkoh dan Peruang menerima RM700 setiap seorang.

Ujarnya, setakat ini kerajaan negeri belum berhasrat untuk mengenakan sebarang tindakan kepada pengguna jalan raya yang membuang sampah sesuka hati di laluan tersebut.

Jelas Wan Rosdy, langkah mengenakan tindakan disifatkan tidak adil kerana pihak kerajaan tidak menyediakan kemudahan yang sepatutnya termasuk R&R.

"Kalau kita sediakan kemudahan dan mereka tidak patuh maka boleh kita kenakan tindakan.

"Tapi ini kita tidak sediakan kemudahan, jadi kalau ada anak-anak yang hendak terkencing sebab menempuh perjalanan yang jauh macam mana nak buat dan mereka tidak ada pilihan," kata beliau. #sumber

Share:

Umat Islam Di Pahang Diminta Lebih Berwaspada Daripada Terjerat Mana-Mana Fahaman Ajaran Sesat

KUANTAN: Umat Islam di Pahang diminta lebih berwaspada daripada terjerat dengan mana-mana fahaman ajaran sesat yang boleh memesongkan akidah.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya mereka perlu istiqamah meningkatkan ketakwaan dan keimanan dengan berpegang teguh akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menurutnya, kerajaan negeri menjunjung titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan umat Islam di negeri itu agar menghindari apa juga bentuk ajaran salah atau sesat dengan berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

”Sebagai masyarakat yang mempunyai pendidikan agama, kita tidak boleh membiarkan diri terperangkap dalam jaringan ajaran sesat dengan perlu merujuk kepada ahli-ahli agama yang bertauliah dan berautoriti sekiranya terdapat sebarang kekeliruan serta ajaran yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

”Ini kerana kita bimbang, sekiranya ajaran sesat seperti fahaman Khawarij, Takfiri, Syiah dan apa jua ajaran sesat jika tidak dibendung ia boleh mempengaruhi pemikiran serta tingkah laku selain membawa perpecahan dalam kalangan masyarakat.

”Oleh yang demikian, rakyat di negeri ini diminta untuk berwaspada dan berpegang teguh pada kebenaran serta nilai-nilai benar dengan bersandarkan kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yang kita ikuti selama ini,” ujarnya.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri dari semasa ke semasa akan sentiasa memantau sebarang bentuk ajaran yang mencurigakan agar ia dapat ditangani dengan sebaik-baiknya agar kesucian akidah umat Islam di negeri ini terus terpelihara.

”Semoga kita bersama-sama melindungi diri kita, keluarga, dan masyarakat daripada sebarang bentuk ancaman ajaran sesat,” katanya.#sumber

Share:

Fadhli Shas: Persediaan Sri Pahang FC Lebih Mantap Harungi Liga Malaysia Musim 2024/2025

KUANTAN: Pemain pertahanan Sri Pahang FC, Fadhli Shas percaya skuad itu mampu mempamerkan prestasi lebih baik dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Katanya, kemasukan pemain baharu berpengalaman termasuk kehadiran pemain import diyakini memberi lebih kekuatan buat skuad kendalian Fandi Ahmad itu.

"Namun, fokus utama kami ialah untuk membentuk persefahaman dan keserasian dengan gandingan pemain lama dan baharu pada musim baharu ini.

"Saya gembira kerana persediaan Sri Pahang musim baharu ini dilihat lebih mantap dan mengharapkan pencapaian terbaik mampu dilakukan bagi saingan Liga M, khususnya Liga Super.

"Oleh itu, kami mengharapkan sokongan padu daripada peminat Tok Gajah," kata Fadhli yang juga bekas pemain kebangsaan.

Pada musim baharu ini, Sri Pahang dilihat lebih mengharapkan sentuhan pemain tempatan apabila hanya menyenaraikan enam import, termasuk tiga pemain baharu untuk memperkasakan jentera serangan, tengah dan pertahanan.

Tiga import baharu yang dibawa masuk ialah dari Ukraine, Mykola Ahapov, Manuel Hidalgo (Argentina) dan Aleksandar Cvetkovic (Serbia).

Tiga lagi pemain yang kekal bersama musim baharu ini ialah Kpah Sherman dari Liberia, Stefano Brundo (Argentina) dan Kuvondik Ruziev (Uzbekistan).

Difahamkan, Fadhli dijangka bergandingan bersama Cvetkovic untuk mengekang asakan pemain lawan di bahagian pertahanan. #sumber

Share:

Polis Kuantan Sudah Mengedarkan 350 Borang Balik Kampung Sempena Cuti Pada Syawal Ini

KUANTAN: Polis sudah mengedarkan 350 borang balik kampung sempena cuti pada Syawal ini. Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Wan Busu berkata, masyarakat diminta mengemukakan maklum balas segera bagi memudahkan pengurusan gerak kerja pihak berkuasa.

“Kita memerlukan  borang maklum balas kampung bagi memudahkan pihak polis menjalankan pemantauan dan rondaan secara kerap di kediaman atau premis yang ditinggalkan sepanjang tempoh cuti perayaan Aidilfitri.

“Kita mahu memastikan masyarakat mempunyai kesedaran dan memainkan peranan iaitu tanggungjawab bersama dalam usaha mencegah berlakunya jenayah.

“Kita harus menyayangi harta benda sendiri pada musim perayaan akan mewujudkan peluang dan ruang kepada penjenayah melakukan jenayah khususnya pecah rumah,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata demikian ketika ditemui media sejurus mengedarkan borang balik kampung di beberapa institusi kewangan dan premis di sekitar daerah ini.

Selain itu, katanya, edaran borang tersebut dilakukan di Bazar Ramadan Mahkota Square, bazar Aidilfitri Bukit Sekilau dan di bandar.

Tambahnya, selain daripada  pengedaran borang balik kampung secara manual, masyarkat boleh memuat turun  aplikasi mudah alih Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk memaklumkan pulang berhari raya.

Dalam pada itu beliau  menasihati pengguna meningkatkan keselamatan harta peribadi dengan menyediakan kunci tambahan.

Langkah berkenaan perlu bagi memastikan keselamatan harta benda dan mengelakkan berlaku kes kecurian menjelang musim perayaan. #sumber

Share:

Gaduh Gara-Gara Hadiah RM1,200 Di Kuantan, Pemain Futsal Terpaksa Beraya Dengan Mata Lebam

KUANTAN: Pergaduhan dalam aksi bola sepak atau futsal sosial tidak sepatutnya berulang kerana ia hanya dimainkan untuk menggalakkan gaya hidup sihat.

Namun, isu tersebut masih berlaku sehingga hari ini apabila pemain gagal mengawal emosi, lebih-lebih lagi jika mengalami kekalahan.

Baru-baru ini, satu kekecohan di gelanggang futsal tercetus berpunca daripada salah faham sehingga mengakibatkan kecederaan terhadap seorang individu.

Dalam satu video dimuat naik di akaun TikTok Futsal Chuteiras pada Rabu, berlaku pergaduhan ketika perlawanan diadakan di Sergio Aguero Arena dekat sini baru-baru ini.

Klip berdurasi 39 saat itu memaparkan dua pemain bertikam lidah sebelum seorang daripadanya melepaskan tumbukan tepat di wajah lawannya.

Pelaku yang kelihatan memakai bib berwarna oren tersebut kemudiannya terpaksa ditarik pemain lain dan pengadil daripada terus melakukan tindakan di luar kawalan.

"Hadiah pertandingan RM1,200 sahaja, bukannya RM120,000. Tenang-tenang sudahlah, dah raya dengan mata lebam salah seorang pemain kami," tulisnya.

Video itu berakhir dengan sekeping foto memaparkan mangsa berbaju hitam mengalami kecederaan di mata kirinya dengan kelihatan darah masih mengalir.

Situasi demikian pastinya mencalarkan imej futsal sebagai salah satu sukan berkumpulan pilihan orang ramai untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan.

Majoriti sudah cuba menghubungi pihak Futsal Chuteiras untuk mendapatkan komen mengenai insiden terbabit dan akan mengemas kini maklumat diperolehi. #sumber

Share:

JBPM Pahang: Lebih 180 Hektar Hutan Terbakar Di Pahang Sepanjang Musim Kemarau Setakat Ini

KUANTAN: Lebih 180 hektar hutan di Pahang terbakar sepanjang cuaca panas.  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang (JBPM), cuaca panas dan berangin pada bulan puasa merupakan cabaran kepada anggota bomba yang bertungkus lumus mengawal kemerebakan api di tengah hutan.

“Jabatan sering dipersoal orang ramai tentang keberadaan dan kefungsiannya ketika kejadian-kejadian seumpama ini berlaku seperti tiada kawalan dan pengakhiran.

“Namun, ianya bukanlah satu bebanan yang diambil pusing oleh pasukan memandangkan mereka tahu perasaan segelintir masyarakat yang risau dan cakna tentang keadaan sekeliling dan situasi semasa,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya, balai-balai Bomba telah menghadiri hampir 800 panggilan kecemasan berkait kebakaran hutan di seluruh negeri.

Tambahnya, daerah Kuantan mencatatkan angka panggilan tertinggi menghampiri 150 panggilan kes sejak musim kemarau tahun ini, tidak termasuk kes-kes kebakaran struktur dan panggilan kejadian menyelamat yang lain. #sumber

Share:

Persediaan Hadapi Liga Malaysia (Liga M) Mei Depan, Sri Pahang FC Bakal Uji Dua Kelab Singapura

KUANTAN: Sri Pahang FC akan berkunjung ke Singapura bagi menghadapi aksi persahabatan dengan dua kelab dari negara berkenaan pada 16 dan 18 April ini.

Pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata, dua kelab itu ialah Albirex Niigata dan Geylang International FC yang diyakini dapat membantunya dari segi menilai tahap prestasi semasa anak buahnya.

"Aksi persahabatan itu lebih kepada menilai dan menguji tahap permainan dan persefahaman dalam kalangan pemain Sri Pahang selepas menjalani latihan selama dua bulan.

"Saya harap dua perlawanan itu akan membantu dan pada masa sama melihat kepada gandingan pemain lama dan baharu sebagai persediaan menghadapi Liga Malaysia (liga M) Mei depan.

"Oleh itu semua pemain diharap memberikan komitmen tinggi apabila berdepan dua kelab Singapura itu," kata Fandi yang juga bekas pemain kebangsaan Singapura.

Ditanya cuti sempena Aidilfitri, Fandi berkata, lima hari diberikan kepada barisan kejurulatihan dan pemain sebelum kembali menjalani latihan pada 12 April ini.

"Sebelum ke Singapura, Sri pahang akan menjalani latihan selama tiga hari dan akan berada di Singapura dari 15 hingga 19 April ini," katanya.

Pada musim baharu ini, Sri Pahang dilihat begitu teruja apabila menyenaraikan beberapa pemain berpengalaman serta tiga import baharu untuk memperkasakan skuad Tok Gajah.

Antara pemain berkenaan ialah Adam Nor Azlin, Sean Selvaraj, Asnan Ahmad, T Saravanan, Hasnul Zaim dan penjaga gol, Azfar Arif.

Tiga import baharu yang dibawa masuk ialah Mykola Ahapov dari Ukraine, Manuel Hidalgo (Argentina) dan Aleksandar Cvetkovic (Serbia). #sumber

Share:

Mustapa Long : Jangan Jadikan Negeri Orang Tempat Untuk Membuang Sampah Sesuka Hati !

LIPIS: Cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau sikap pengguna jalan raya yang membuang sampah sesuka hati di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) Merapoh-Gua Musang, di sini tidak praktikal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata ia mengambil kira kes kecurian yang banyak berlaku termasuk membabitkan kabel elektrik di kawasan itu, selain didorong faktor kos yang tinggi.

Dalam pada itu, beliau mengakui kecewa dengan masalah sampah sarap di bahu jalan di laluan berkenaan yang berterusan berlaku terutama ketika musim perayaan walaupun sudah banyak kali diperkatakan di media sosial.

"Saya merayu pengguna jalan raya tingkatkan kesedaran agama dan sikap supaya isu sama tidak berulang. Sampai bila pengguna LTU Merapoh-Gua Musang nak terus dengan minda kelas ketiga.

"Jangan jadikan negeri orang sebagai tempat pembuangan sampah. Kita manusia yang bertamadun bukannya haiwan yang tak boleh berfikir, jadi gunakan akal sebagai manusia waras dan matang.

"Setiap kenderaan perlu bawa plastik sampah masing-masing. Masukkan sampah dalam plastik dan bila sampai destinasi buang sampah terbabit, bukan sukar pun," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai keadaan sampah sarap bertaburan di sepanjang laluan di LTU Merapoh-Gua Musang, dengan ketiadaan kemudahan hentian Rehat dan Rawat (R&R) dikatakan menjadi alasan utama.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengakui isu terbabit perlu ditangani, namun memaklumkan kerajaan negeri belum berhasrat mengenakan sebarang tindakan kepada pengguna jalan raya yang membuang sampah sesuka hati di LTU Merapoh-Gua Musang itu,

"Mengenakan tindakan disifatkan tidak adil kerana pihak kerajaan tidak menyediakan kemudahan sepatutnya termasuk R&R.

"Kalau kita sediakan kemudahan (R&R) dan mereka tidak patuh, maka boleh kita kenakan tindakan," katanya.

Dalam pada itu Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sudah pun membawa isu berkaitan pembuangan sampah di tepi bahu jalan laluan LTU kepada pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

"Tindakan tertentu harus diambil sementara menunggu kawasan hentian Rehat dan Rawat (R&R) siap dibina yang akan mengambil sedikit masa.

"Mungkin ada usaha dalam jangka masa pendek untuk menyelesaikan masalah ini termasuk kita akan minta pihak berkaitan untuk pantau perkara itu supaya boleh membantu perkara yang perlu," katanya. #sumber

Share:

MB: Tiada Hentian Rawat Dan Rehat (R&R), Punca Individu Buang Sampah Di Lingkaran Tengah Utama

LIPIS: Kerajaan Negeri Pahang belum berhasrat mengenakan sebarang tindakan kepada pengguna jalan raya yang membuang sampah sewenang-wenangnya di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya berpandangan adalah tidak adil mengenakan tindakan kepada mereka kerana pihak kerajaan tidak menyediakan kemudahan yang sepatutnya termasuk hentian rawat dan rehat (R&R).

“Kalau kita sediakan kemudahan dan mereka tidak patuh maka boleh kita kenakan tindakan.

” Tetapi ini kita tidak sediakan kemudahan, jadi kalau ada anak-anak yang hendak terkencing sebab menempuh perjalanan yang jauh macam mana hendak buat dan mereka tidak ada pilihan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis di sini pada Sabtu.

Wan Rosdy berkata, masalah sampah sarap yang sering memenuhi laluan LTU setiap kali musim perayaan itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan tindakan tertentu harus diambil sementara menunggu R&R siap yang akan mengambil sedikit masa.

Menurutnya, isu terbabit juga telah dibangkitkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihaknya yakin ianya dalam proses tindakan. #sumber

Share:

KPKT Arahkan PBT Kenakan Kompaun Serta Merta Individu Buang Sampah Keluar Dari Kenderaan

IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengeluarkan kompaun serta-merta terhadap individu yang membuang sampah keluar dari kenderaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata arahan itu dibuat susulan tularnya gambar menunjukkan longgokan sampah yang bertaburan di tepi jalan menyebabkan pekerja PBT perlu melakukan kerja pembersihan.

"PBT akan mengeluarkan kompaun dan pastikan ia dibayar. Tindakan tegas akan diambil dan kamu yang buang sampah kena bertanggungjawab.

"Kita semua ada pergi sekolah. Kita semua ada pendidikan sivik maka tanggungjawab semua pihak untuk menjaga kebersihan awam. Bukan sahaja kita serah kepada pekerja-pekerja PBT.

"Kita pun tahu cuaca sekarang panas terik, kasihanilah pekerja-pekerja kita ini yang bertungkus-lumus untuk menjaga kebersihan awam," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Meriah Beraya di sebuah pusat beli-belah di sini pada Sabtu.

Mengenai gambar longgokan sampah yang tular itu, Nga berkata perkara itu amat dikesali dan semua pihak diminta bertanggungjawab membuang sampah di tempat sepatutnya, selain menggunakan tong sampah disediakan bagi memastikan kebersihan kawasan sekitar.

"Oleh kerana itu, jika hendak makan dalam kereta, bungkusan itu letak dalam kereta dulu. Apabila sampai ke kampung halaman, barulah angkat keluar, buang dalam tong sampah.

"Bukan dengan suka hati buang di tepi jalan dan harap orang lain iaitu pekerja kita kutip untuk anda," katanya.

Dalam pada itu, Nga yang juga Adun Kepayang berkata KPKT telah menggerakkan hampir kesemua jenteranya untuk memastikan kebersihan awam menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Sebelum ini tular beberapa gambar di media sosial menunjukkan sampah termasuk bungkusan makanan dan minuman bertaburan di sepanjang jalan dipercayai di laluan Kuala Lipis, Pahang ke Gua Musang, Kelantan dengan pekerja pembersihan mengutip sisa berkenaan.

Dalam majlis semalam Nga turut menyampaikan baucer sumbangan hari raya berjumlah RM22,500 kepada 150 keluarga di dalam kawasan DUN Kepayang. #sumber

Share:

SWCorp Minta Pengguna Jalan Raya Tidak Buang Sampah Di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU)

KUANTAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang meminta pengguna jalan raya yang melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) supaya tidak membuang sampah ketika singgah berehat di tepi lebuh raya itu.

Pengarahnya, Sharudin Hamid berkata perbuatan itu boleh mengundang risiko kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal apabila sampah terutama tin minuman bertaburan di jalan raya.

Ketiadaan kemudahan hentian rehat dan rawat (R&R) di LTU bukannya alasan untuk melakukan perbuatan terbabit kerana ia memberikan gambaran tidak baik mengenai sikap segelintir pengguna jalan raya.

"Sepatutnya sampah yang ingin dibuang itu disimpan dalam kenderaan dengan menyediakan plastik atau tong sampah kecil dan apabila tiba di destinasi yang mempunyai kemudahan tong sampah, boleh membuangnya," katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata, SWCorp menerima aduan sampah yang dibuang di lebuh raya itu dan mengharapkan kejadian seperti itu tidak berlaku lagi.

Katanya, papan tanda peringatan akan dipasang untuk memastikan pengguna jalan raya tidak buang sampah sesuka hati.

"SWCorpd bersama beberapa pihak termasuk Jabatan kerja Raya, Roadare dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berusaha untuk mencari jalan penyelesaian memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya tidak membuang sampah," katanya. #sumber


Share:

PSAP: Parkir Yang Ditutup Adalah Atas Tanah Kerajaan Yang Wujud Sejak Tahun 70an Lagi Sebenarnya

BENTONG: Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) berharap kerajaan negeri membuka semula kawasan parkir yang ditutup berhampiran Kafe Tanah Aina Fareena di sini kerana ia sudah wujud di situ sejak tahun 1970an lagi.

Presidennya, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, parkir itu bukan dibina oleh pemilik kafe sebaliknya ia tempat letak kereta awam yang diwujudkan untuk orang ramai menyeberangi Sungai Benus ke kolam air panas yang terletak di situ.

Saya difahamkan, kafe berkenaan beroperasi pada 2018 dan memang ada kawasan parkir di situ tetapi kawasannya agak terhad. Jadi memang pelanggan yang datang ke kafe itu akan letak kenderaan di parkir awam yang dibina kerajaan tersebut. Ia diwujudkan demi kemudahan pelancong berkunjung ke situ, jadi kenapa kerajaan negeri ambil keputusan menutupnya? soalnya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Baru-baru ini, media melaporkan kerajaan negeri mengambil tindakan tegas menutup kawasan parkir yang digunakan Kafe Tanah Aina Fareena kerana ia termasuk dalam hak milik kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Ir. Razali Kassim dilaporkan sebagai berkata, tindakan itu diambil kerana tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan menyalahgunakan tanah kerajaan

Menurut Razali, meskipun sudah enam tahun pencerobohan tanah itu dilaporkan, kerajaan lewat mengambil tindakan kerana berdepan dengan beberapa kekangan seperti kekurangan kakitangan.

Mengulas lanjut, Haslihelmy berkata, sejak Kafe Tanah Aina Fareena diwujudkan, ia menarik kehadiran pelancong ke situ.

Saya difahamkan kafe ini dibina atas tanah pemiliknya sendiri dan mempunyai geran. Apa isu sehingga parkir awam tersebut ditutup. Saya percaya jika kerajaan negeri memberi sewa sekalipun pihak kafe berkenaan sedia berbuat demikian.

PSAP percaya tentunya ada situasi menang-menang boleh dicapai dalam isu tersebut bukan dengan cara menutup kawasan parkir yang sudah lama wujud demi kemudahan orang ramai, katanya. #sumber

Share:

Gelombang Haba Tahap Dua Terus Melanda Pahang, Suhu Boleh Mencecah 40 Darjah Celsius

PETALING JAYA:  Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas pada tahap dua iaitu amaran gelombang haba di beberapa daerah di  Pahang yang melibatkan Jerantut, Raub, Temerloh dan Maran serta Jeli dan Gua Musang di Kelantan.

MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, amaran gelombang haba ini dijangka berlarutan di daerah-daerah tersebut sehingga Jumaat dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius.

“Dalam pada itu, cuaca panas dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius juga masih berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan dijangka berlarutan selama tiga hari berturut-turut.

“Cuaca panas dengan suhu tidak melebihi 37 darjah Celsius itu dijangka berlaku di keseluruhan negeri Pahang kecuali Kuantan dan Tanah Tinggi Cameron serta daerah Pasir Mas, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan,” ujar MetMalaysia.

Sementara itu, cuaca panas yang sama juga berlaku di bahagian utara Semenanjung melibatkan keseluruhan negeri Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Kota Setar, Pendang dan Baling), dan Perak (Hulu Perak dan Kuala Kangsar).

“Turut sama terjejas dengan suhu maksimum harian tidak melebihi 37 darjah Celsius itu ialah Jelebu dan Tampin di Negeri Sembilan serta Muar dan Segamat di Johor,” ujarnya.

Tambah MetMalaysia, daerah Mukah dan Limbang di Sarawak serta Tenom, Tuaran, Kota Belud dan Kota Marudu di Sabah juga turut terkesan dengan amaran cuaca panas pada tahap satu itu. #sumber

Share:

Wan Rosdy: Usaha Menghindari Ajaran Sesat, Kerajaan Negeri Menjunjung Titah Sultan Pahang

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menjunjung titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan umat Islam di negeri ini agar menghindari ajaran sesat dengan berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri akan sentiasa memantau sebarang bentuk ajaran yang mencurigakan atau ajaran sesat di negeri ini.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan perkara tersebut dapat ditangani dengan sebaiknya sekiranya berlaku.

"Ia juga bagi memastikan kesucian akidah umat Islam di negeri ini terus terpelihara.

"Rakyat di negeri ini juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan berpegang teguh pada kebenaran serta nilai-nilai benar bersandarkan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diikuti selama ini," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Wan Rosdy bimbang ajaran sesat seperti fahaman khawarij, takfiri, syiah dan sebagainya akan mempengaruhi pemikiran serta tingkah laku selain membawa perpecahan dalam masyarakat sekiranya tidak dibendung.

"Sebagai masyarakat yang berpendidikan agama, kita tidak boleh membiarkan diri terperangkap dalam jaringan ajaran sesat.

"Sekiranya terdapat sebarang kekeliruan serta ajaran yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, ia perlu dirujuk kepada ahli-ahli agama yang bertauliah dan berautoriti," ujarnya. #sumber

Share:

WhatsApp Penasihat PKR Pahang Telah Digodam Sejak Ahad Lalu, Scammer Minta Sejumlah Wang Dari Kenalannya

KUANTAN: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri  Pahang, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman mendakwa berkata WhatsApp miliknya digodam sejak Ahad lalu. 

Dia yang juga Pengerusi MyHSR Sdn Bhd (MyHSR) mendakwa akaun WhatsApp itu diceroboh selepas dia menekan pautan dikirim individu tidak dikenali, juga melalui aplikasi WhatsApp. 

"Sebelum ini saya terima satu pautan dari WhatsApp yang dikirim individu tidak dikenali. 

"Pautan itu kononnya dari Majlis Agama Islam Persekutuan Malaysia yang mengajak menyertai ceramah dipimpin Datuk Seri Dr Zulkifli Muhamad Al- Bakri (bekas) menteri agama. 

"Saya tertarik untuk menyertai ceramah itu dan menekan pautan diberikan sebanyak dua kali dan selepas itu saya tidak boleh mengakses terus akaun WhatsApp saya," katanya ketika ditemui media di kediamannya dekat Indera Mahkota,  di sini hari ini. 

Selepas itu, Fauzi memberitahu beberapa kenalan menghubunginya dan memaklumkan mereka menerima satu pesanan dari nombor WhatsApp miliknya meminta sejumlah wang sejak Ahad. 

Bagaimanapun, dia menafikan memerlukan wang dan menyedari bahawa aplikasi WhatsApp disalah guna pihak lain.

"Masa itu rakan tanya Datuk Seri nak pakai duit berapa dan saya cakap WhatsApp digodam selepas tidak dapat membuka aplikasi itu.

"Saya bimbang ramai rakan akan menjadi mangsa scammer dan terus tampil membuat laporan polis hari yang sama," katanya. 

Dia turut memaklumkan sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan meminta kenalannya mengabaikan jika menerima WhatsApp menggunakan nombor miliknya dan meminta wang. #sumber


Share:

Fahmi Fadzil: Salah Lapor Titah Sultan Pahang, Portal Berita Bakal Berdepan Tindakan Tegas

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi memandang serius kenyataan media Pejabat Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan dukacita berhubung laporan sebuah portal bertajuk ‘Sultan Pahang beri amaran terhadap amalan bawaan Pas.’

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, siasatan terperinci dan tindakan tegas yang sewajarnya akan diambil terhadap portal berkenaan.

"Ini juga adalah peringatan kepada semua pihak tidak kira media elektronik, cetak, portal, mahupun platform media sosial agar tidak sesekali memandang remeh isu 3R (agama, kaum dan raja),” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa berhubung laporan itu yang disiarkan Jumaat lepas.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, baginda bertitah laporan itu ternyata bersifat fitnah dan boleh memberikan implikasi negatif sehingga mampu mendorong kepada suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

Beliau berkata, baginda turut mengingatkan semua pengamal media sama ada media cetak atau media elektronik untuk meneliti serta memperhalusi setiap berita sebelum membuat interpretasi yang boleh menyimpang atau tersasar daripada maksud sebenar. #sumber

Share:

Tiada Lagi Kupon Parkir Bergores Di Bandaraya Kuantan Mulai Esok, Gunakan Sistem Parkir Digital

KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) tidak lagi menggunakan kupon letak kenderaan bergores, bermula esok.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal, berkata selepas hari ini, kupon letak kenderaan tidak boleh digunakan lagi dan beralih kepada sistem pembayaran parkir digital sepenuhnya.

"Pemilik kenderaan diminta membuat pembayaran di mana-mana terminal letak kereta berhampiran atau melalui aplikasi mudah alih Pahang Go dan membuat pembayaran secara dalam talian.

"Pengguna akan dimaklumkan sebelum tamat masa parkir dan boleh menambah masa dengan membuat bayaran yang diperlukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemilik kenderaan yang tidak mempunyai telefon pintar atau aplikasi parkir, boleh membuat pembayaran di terminal disediakan dengan memasukkan nombor pendaftaran kenderaan.

"Terminal parkir disediakan di kawasan parkir di daerah ini bagi memberikan kemudahan kepada pemilik kenderaan," katanya.

Difahamkan, sistem pembayaran parkir digital sepatutnya berkuat kuasa 1 Januari lalu tetapi ditangguhkan bagi membolehkan mereka yang membeli kupon menggunakannya sehingga 31 Mac. #sumber

Share:

Sultan Pahang Menzahirkan Rasa Dukacita Dan Kecewa Dengan Insiden Lempar Bola Api KK Mart

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan insiden melempar bola api di cawangan kedai serbaneka KK Mart Sungai Isap di sini hari ini.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Datuk Yahya berkata, baginda menerima sembah maklum polis Pahang mengenai kejadian itu dan menitahkan supaya polis memberi perhatian serius serta mengambil tindakan tegas dan segera berhubung perkara tersebut.

"Paduka Baginda mengecam sekeras-kerasnya dan menyifatkan kejadian tersebut sebagai tindakan yang menyalahi undang-undang serta kepercayaan agama yang sentiasa menitikberatkan keamanan serta kemakmuran.

"Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat, khususnya rakyat Pahang, supaya tidak mudah terpengaruh dengan naratif perkauman yang boleh mengganggu-gugat keharmonian yang dinikmati selama ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Sultan Pahang turut bertitah semua pihak perlu menghormati kedaulatan undang-undang serta tidak bertindak melampaui batas dan mengingatkan rakyat agar menghormati proses undang-undang yang telah diambil oleh kerajaan berhubung kes penjualan stoking tertera kalimah Allah.

"Sehubungan itu, bersempena bulan Ramadan yang penuh barakah ini, Paduka Baginda menyeru semua rakyat supaya berdoa agar negeri Pahang dan negara Malaysia sentiasa diberkati dan dirahmati,” katanya. #sumber

Share:

Wan Rosdy Umum Bantuan Khas Aidilfitri Sebanyak RM1,000 Kepada 8,000 Penjawat Awam Pahang

KUALA LUMPUR: Kira-kira 8,000 penjawat awam di Pahang menerima khabar gembira apabila kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan khas Aidilfitri RM1,000 kepada mereka.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyerahan Baucar Moh Balik Beraya Ke Pahang di Stadium Titiwangsa di sini, hari ini.

"Saya akan beritahu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri berkenaan perkara itu dan sudah pasti sebelum hari raya (bantuan diterima)," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Pahang membelanjakan RM100 juta menerusi Bantuan Prihatin Pahang sejak ia diperkenalkan pada 2022 sehingga hujung tahun lalu.

Katanya, jumlah berkenaan membabitkan bantuan RM300 dalam bentuk barangan dan wang simpanan kepada bayi yang lahir di Pahang dan bantuan RM100 kepada setiap murid Tahun Satu di negeri berkenaan.

"Selain itu bantuan RM100 juga diberikan kepada setiap pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), serta bantuan RM300 kepada setiap pasangan yang berkahwin kali pertama.

"Bantuan kad kesihatan yang mempunyai nilai RM500 turut diberikan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan rawatan kesihatan di klinik-klinik swasta," katanya.

Menurut Wan Rosdy, kerajaan Pahang juga bersetuju untuk menubuhkan Tabung Prihatin Pahang dengan peruntukan RM5 juta yang merupakan satu lagi inisiatif terbaharu kerajaan negeri dalam membantu rakyat dalam golongan B40 untuk mendapatkan bantuan kecemasan yang diperlukan, bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Bercakap mengenai majlis penyerahan baucar berkenaan, beliau berkata sebanyak 5,000 baucar diberikan kepada penerima terawal memohon membabitkan jumlah RM250 ribu.

"Jumlah keseluruhan data pemohon untuk bantuan berkenaan sehingga 24 Mac lalu adalah seramai 22,000 pemohon.

"Program berkenaan bersesuaian tujuan penubuhan Sekretariat Perantau Anak Pahang iaitu menjaga kebajikan dan pembangunan rakyat Pahang yang berada di luar negeri Pahang," katanya.

Katanya, pihak sekretariat bercadang meneruskan program berkenaan ke tahun hadapan memandangkan permohonan dan sambutan yang luar biasa daripada perantau anak Pahang.

"Majoriti permohonan tinggi adalah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Akan tetapi angka permohonan yang berada di luar Lembah Klang juga tinggi seperti di Johor dengan 1,240 permohonan dan Negeri Sembilan membabitkan 696 permohonan," katanya. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.