script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Al-Sultan Abdullah Berkenan Meluangkan Masa Menziarahi Menteri Besar Pahang Di IJN Semalam

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan meluangkan masa menziarahi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Institut Jantung Negara (IJN), di ibu negara hari ini.

Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang yang memaklumkan baginda tiba di pusat perubatan itu pada jam 3 petang tadi dan meluangkan masa kira-kira setengah jam bertanyakan khabar serta menitipkan nasihat sebagai penguat semangat buat Wan Rosdy.

Sultan Pahang turut disembah maklum oleh Ketua Jabatan Pembedahan Kardiotoraks IJN, Prof Datuk Dr Alwi Mohamed Yunus mengenai keadaan terkini Wan Rosdy yang selamat menjalani prosedur pembedahan jantung pada 7 Jun lalu.

Terdahulu, dalam video yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang semalam, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan sebuah surau yang dikunjungi baginda ketika mengadakan lawatan di Cameron Highlands untuk mendoakan Wan Rosdy.

Dalam kejadian sekitar 1 pagi itu, bas yang membawa 39 penumpang temasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

"Saya minta surau ini doa untuk Menteri Besar (Wan Rosdy) kita selamat sembuh selepas jalani pembedahan baru ini, dia seorang Menteri Besar yang baik," titah baginda.

Sementara itu, Wan Rosdy, menerusi hantaran di laman Facebook berkata beliau menghargai dan menjunjung kasih atas keprihatinan Al-Sultan Abdullah terhadap kesihatan dirinya.

"Semoga Allah SWT mengurniakan rahmat ke sisi Ke bawah Duli Paduka Baginda Tuanku serta diberikan kesihatan dan kesejahteraan," katanya. #sumbersumber

Share:

Kanak-Kanak Lelaki Berusia Tiga Tahun Maut Di Hempap Pokok Kelapa Dekat Felda Jengka 6

MARAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dihempap pokok kelapa di belakang rumah keluarganya di Felda Jengka 6 di sini pada Sabtu.

Mangsa, Wan Muhammad Harith Syauqi Wan Hazizi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada jam 10.35 pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa dikatakan sedang mengutip dahan kering bersama bapanya, Wan Hazizi Wan Kemboja, 50, di belakang rumah mereka.

Ibu mangsa, Saliah Mohd Noor, 39, berkata, ketika kejadian dia dan ahli keluarganya yang lain turut berada di luar rumah.

"Sebenarnya saya dan suami tinggal menyewa di Felda Jengka 3 dan pulang ke rumah mentua petang semalam (Sabtu).

" Sebelum kejadian, terdengar bunyi 'prak' tiga kali sebelum pokok itu menghempap anak, memang depan dan mata tak sempat buat apa-apa," katanya.

Saliah berkata, ketika ditemui keadaan anak bongsu daripada tiga beradik itu dalam keadaan pengsan serta berlumuran darah di bahagian telinga dan hidung.

"Kami segera hantar anak ke HoSHAS untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pagi tadi.

"Saya anggap ini ujian, takdir yang tertulis buat kami dan reda walaupun telah kehilangan anak bongsu," katanya.

Jenazah Wan Muhammad Harith Syauqi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Jengka 6 kira-kira jam 3.30 petang Ahad. #sumber

Share:

Sultan Pahang Saran Kerajaan Persekutuan Bantu Kerajaan Negeri Pahang Tinjau Jalan Kuantan-Segamat

KUANTAN: Kerajaan Persekutuan disarankan untuk segera bantu kerajaan Pahang meninjau dan mengambil tindakan bagi menentukan tahap keselamatan Jalan Kuantan-Segamat.

Saranan itu dibuat oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, pada Isnin.

Baginda bertitah, kemalangan perlu dielakkan di jalan raya, terutama apabila aliran trafik bertambah pada musim perayaan, cuti persekolahan, dan cuti umum.

Justeru, tindakan pantas perlu diambil oleh semua pihak berwajib bagi mengelakkan kejadian berulang.

Oleh yang demikian, Baginda berpandangan bahawa jika semua perkara ini ditangani bersama antara pihak berkuasa dan pengguna jalan raya, ia bukan sahaja dapat memberi keselesaan, malah keselamatan penumpang dan pemandu akan lebih terjamin serta mengurangkan risiko kemalangan di jalan tersebut.

Baginda turut mengingatkan pengguna jalan raya untuk lebih berwaspada dengan memandu secara berhemah dan berhati-hati dan pemandu juga mesti berada dalam keadaan sihat serta cukup rehat bagi mengelakkan hilang kawalan.

"Statistik daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam tempoh lima tahun lalu dari 2020 hingga kini, mencatatkan sebanyak 65 kes kemalangan dengan 79 maut di jalan berkenaan.

"Antara punca kemalangan yang dikenal pasti ialah letih, mengantuk, dan kecuaian," titah Baginda dalam kenyataan tersebut.

Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada semua keluarga yang terkorban dalam kemalangan melibatkan bas persiaran dan treler di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau, Rompin, pada Ahad.

Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dan dukacita serta berharap agar seluruh ahli keluarga bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini.

Baginda berdua mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama golongan yang beriman.

Baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana seramai 36 ahli rombongan yang terdiri daripada guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram, Melaka selamat dan hanya mengalami kecederaan serta mendoakan semoga mereka dikurniakan kesembuhan segera.

Sebelum ini, empat disahkan meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku pada jam 12.30 pagi Ahad, apabila bas terbabit terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas tersebut dalam perjalanan membawa rombongan 22 guru dan lima kakitangan SK Jeram bersama keluarga mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras. #sumber

Share:

Kemalangan Bas Di Jalan Kuantan-Segamat, Ujian Air Kencing Dan Darah Pemandu Diambil

ROMPIN: Ujian air kencing dan darah telah diambil terhadap pemandu bas persiaran yang membawa rombongan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau, Muadzam Shah pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan ujian yang dilakukan terhadap pemandu berusia 50 tahun tersebut.

Menurutnya, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan menghargai kerjasama baik semua yang terlibat dalam kes terbabit.

"Siasatan secara menyeluruh masih dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Setakat ini, empat mangsa terkorban dalam nahas tersebut iaitu Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Hasnatul Adilah Hassan, 48; pemandu kedua bas, Hadi Asyraf Mad Idris, 29, pembantu operasi sekolah, Hamzah Ahmad, 60 dan guru, Dahlia Ahmad berusia 52 tahun.

Seramai 12 individu yang terlibat dalam kemalangan itu masih menerima rawatan di hospital daerah ini, Kuantan, Segamat dan Melaka.

Dalam nahas terbabit, bas yang membawa 37 penumpang dan dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras. #sumber

Share:

Perdana Menteri Luangkan Masa Ziarah Wan Rosdy Di Institut Jantung Negara (IJN)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menziarahi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Perdana Menteri memaklumkan, keadaan Wan Rosdy semakin baik ketika beliau melawatnya tengah hari tadi.

"Alhamdulillah saya berkesempatan menziarahi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tengah hari tadi.

"Alhamdulillah keadaan beliau bertambah baik selepas menjalani prosedur pembedahan dan kini dalam pemantauan pakar perubatan di IJN," katanya menerusi Facebook, hari ini. #sumber

Share:

Kemalangan Bas Dengan Treler Di Simpang Keratong-Bahau, Seorang Lagi Guru Maut

KUANTAN: Seorang lagi guru yang terlibat dalam kemalangan bas persiaran dan sebuah treler di Jalanan Kuantan-Segamat di Rompin awal pagi semalam meninggal dunia, menjadikan jumlah mangsa maut seramai empat orang setakat ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Rompin DSP Nor Azman Yusof ketika dihubungi malam tadi dan memaklumkan mangsa keempat meninggal dunia dikenali sebagai Dahlia Ahmad berusia 52 tahun.

“Mangsa meninggal dunia pada 9.30 malam ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan,” katanya.

Menurutnya 10 mangsa kini masih menerima rawatan manakala 25 dibenarkan keluar selepas menerima rawatan pesakit luar.

Guru berkenaan merupakan mangsa keempat selepas Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah Melaka, Hasnatul Adilah Hassan, 48, pemandu kedua bas Hadi Asyraf Mad Idris,29, dan pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60.

Dalam nahas jalan raya itu, bas yang membawa 39 penumpang temasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras. #sumber

Share:

Mangsa Kemalangan Bas, Hasnatul Adilah Sempat Tanya Keadaan Anak Sebelum Nafas Terakhir

ROMPIN: Mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau awal pagi tadi, Hasnatul Adilah Hassan, 48, sempat bertanyakan keadaan anaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian.

Perkara itu dikongsikan rakan setugasnya Asmaniza Mohamad, 50, yang memaklumkan Hasnatul Adilah yang juga Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan Jeram, Melaka ditemukan dalam keadaan tertiarap di luar bas.

"Arwah sempat tanya keadaan anak bongsunya yang turut sama dalam bas berkenaan, saya cakap anaknya ada di dalam bas, seorang rakan kami sempat mengajarnya mengucap," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Muadzam Shah di Rompin hari ini.

Berkongsi detik cemas itu, Asmaniza yang dikenali sebagai Cikgu Za berkata ketika kejadian beliau yang berada di bahagian belakang bas sedang tidur, namun terkejut apabila dihempap penumpang lain selepas bas berkenaan terbalik.

"Ketika itu memang gelap dan hanya (kedengaran) bunyi berlanggar, saya cuba untuk buka pintu kecemasan tetapi tidak boleh, namun berjaya keluar melalui pintu kecil di bahagian atas bas," katanya.

Selepas berjaya keluar beliau sempat membantu beberapa rakan lain yang berada di dalam bas sebelum mereka dibawa ke hospital sama untuk pemeriksaan lanjut.

Difahamkan anak lelaki Hasnatul Adilah dikenali sebagai Farouq berusia 12 tahun sedang mendapatkan rawatan di zon kuning hospital tersebut.

Nahas itu mengorbankan tiga individu termasuk Hasnatul Adilah selain seorang lagi guru Hamzah Ahmad, 60, dan pemandu bas kedua Mohd Adi Hasan, 29.

Dalam kejadian sekitar 1 pagi itu, bas yang membawa 39 penumpang temasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras. Foto: Jabatan Bomba Dan Penyelamat #sumber

Share:

Hamdan Seru Pemilik Tanah Di Pahang Ambil Kesempatan Insentif Pengecualian Denda Lewat Tahun Semasa

KUANTAN:  Pengarah Tanah dan Galian Pahang, Datuk Hamdan Hussin  menyeru agar semua pemilik tanah di negeri ini untuk mengambil kesempatan insentif pengecualian denda lewat tahun semasa yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang dengan menjelaskan cukai tanah.

Hamdan berkata demikian ketika merasmikan Karnival Tanah Negeri Pahang Peringkat Daerah Kuantan Tahun 2024 di Berjaya Megamall dekat sini semalam.

Terdahulu, pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan negeri menawarkan insentif pengecualian denda lewat kepada semua pemilik tanah bermula hari ini sehingga 30 November depan agar lebih ramai pemilik tanah melunaskan bayaran cukai tanah tertunggak.

Pada majlis tersebut Hamdan turut menerima cek replika bayaran daripada Pahang Mining Corporation (RM183,275.25), Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (RM2,175,504.00), Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (RM551,662.00), MDD Beverage Sdn Bhd (RM2,373,750.90), Yayasan Pahang (RM3,456,606.00), Kuantan Port (RM3,538,410.00), Alliance Steel Sdn. Bhd (RM4,163,852.00), FELCRA (RM920,511.00), iTM Solar Park (RM2,864,473.00) dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (RM15,060,859.00).

Hamdan mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Haji Zulkifli Haji Yaacob. Turut hadir Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Hajah Aida Munira  Abdul Rafar dan Datuk Seri Ab Hamid Mohd Nazahar, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang  selaku Ketua UMNO Bahagian Kuantan.

Dalam ucapan perasmian beliau, belaiu turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua peserta reruai dan orang awam yang hadir bagi memeriahkan karnival kali ini.

Turut diadakan ialah malis penyampaian hadiah kepada pemenang Kejohanan Orienteering Peringkat Daerah Kuantan, cabutan bertuah utama yang berupa sebuah motorsikal dan sesi lawatan ke ruang pameran. #sumber


Share:

Tiga Maut, Seorang Parah Kemalangan Dekat Sungai Salan Di Jalan Jerantut - Maran Petang Semalam

JERANTUT: Tiga terbunuh dan seorang lagi parah selepas dua kereta bertembung di Jalan Jerantut Maran, dekat Kampung Sungai Salan, di sini, lewat petang semalam.

Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Jerantut.

Mangsa yang terbunuh di tempat kejadian dikenali Nur Harina Fatihah Syaifol, 21.

Manakala ibunya Norazlina Ismail, 44 dan bapa mangsa yang juga pemandu Perodua Bezza, Syaifol Bahari Idris, 50, meninggal dunia ketika dirawat.

Ketika kejadian keluarga terbabit dalam perjalanan dari arah Jengka ke Jerantut dan bertembung dengan Perodua Myvi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 6:29 petang.

“Enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut bergegas ke lokasi kejadian.

‘Akibat kemalangan itu, dua mangsa tersepit dalam kereta dan salah seorang sudah meninggal dunia.

“Tiga mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital tetapi dua meninggal dunia ketika sedang rawatan,” katanya. #sumber

Share:

Seorang Penunggang Motosikal Maut Dalam Kemalangan Di Jalan Felda Bukit Sagu Petang Semalam

KUANTAN: Seorang penunggang motosikal maut akibat perlanggaran dengan sebuah motosikal lain dan juga seekor kerbau di Jalan Felda Bukit Sagu dekat sini semalam. 

Kejadian berlaku sekitar jam 5.50 petang berhampiran Ladang Astral Asia Plantation. 

Berdasarkan kenyataan Polis Trafik Kuantan, Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian. #PDO

Share:

Kemalangan Bas Persiaran Dan Treler Di Simpang Keratong - Bahau, Seorang Lagi Mangsa Meninggal Dunia

ROMPIN: Seorang lagi mangsa yang terlibat dalam kemalangan bas persiaran di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau di sini meninggal dunia.

Mangsa ketiga yang meninggal dunia dikenali sebagai Hamzah Ahmad berusia 60 tahun.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof berkata, mangsa yang juga seorang guru disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Sebelum itu, seorang penumpang wanita dan pemandu kedua bas membawa rombongan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka maut selepas kenderaan terbabit merempuh treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat dekat simpang tiga ke Bahau di sini pada Ahad.

Mangsa, Hasnatul Adilah Hassan, 48 meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Mohd Adi Hasan, 29, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Muadzam Shah.

Bas terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Terengganu itu turut dilaporkan terbabas dan terjunam ke bawah cerun di Kilometer (KM)126 Jalan Kuantan-Segamat dekat simpang tiga ke Bahau. #sumber

Share:

Dua Terbunuh, 37 Lagi Cedera Dalam Nahas Bas Persiaran Dengan Treler Di Simpang Keratong Awal Pagi Tadi


ROMPIN: Dua maut manakala 37 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Nor Azman Yusof berkata kejadian yang berlaku sekitar 1.30 pagi tadi mengakibatkan bas yang membawa 39 penumpang itu temasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan.

Beliau berkata bas berkenaan dalam perjalanan membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Nor Azman berkata seorang guru maut di lokasi kejadian manakala pemandu kedua meninggal dunia dalam perjalanan mendapatkan rawatan di hospital.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila keadaan gelap di simpang tiga Bahau dan pemandu bas itu telah hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi sebelum terbalik di cerun jalan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata identiti mangsa yang meninggal dunia sedang dikenal pasti dan mereka yang cedera dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk menerima rawatan.

Nor Azman meminta saksi kejadian supaya tampil membantu pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #sumber

Share:

Beberapa Premis Perniagaan Dan Kereta Rosak Dalam Kejadian Ribut Di Pantai Kempadang Kuantan

KUANTAN: Beberapa premis perniagaan dan kereta rosak dalam kejadian ribut di tempat tumpuan orang ramai di Pantai Kempadang, di sini petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kempadang, Saaban Awang, berkata kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu menjejaskan kiosk dan gerai makanan, selain Perodua Kancil serta Naza Citra rosak akibat dihempap pokok tumbang.

"Saya difahamkan seorang wanita mengandung terperangkap di dalam Perodua Kancil itu, namun berjaya keluar melalui tingkap kenderaan berkenaan dan dia selamat," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, pemandu Naza Citra, Zulfatihah Zainuddin, 31, berkata kejadian itu amat menakutkan, namun bersyukur beliau dan empat anaknya terselamat.

Beliau yang menetap di Bukit Rangin, di sini berkata kejadian pokok tumbang itu mengakibatkan cermin belakang keretanya pecah, selain mengalami beberapa kerosakan lain.

"Semasa kejadian, banyak benda dah terbang, saya nak alihkan kenderaan tapi pokok tumbang atas kereta...memang panik ketika itu dan saya segera keluarkan anak-anak yang sedang menangis dan berselindung belakang batu," katanya.

Kerja pembersihan pokok tumbang di lokasi berkenaan dilaksanakan Unit Tindakan Khas Majlis Bandaraya Kuantan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. #sumbersumber

Share:

Tular Beberapa Rakam Video Penunggang Motosikal 'Melepak' Di Susur Keluar Tol Gambang

KUANTAN: Tular beberapa rakaman video yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal yang berada di bahu jalan sebelum susur keluar Tol Gambang di sini pada Jumaat.

Rakaman yang berdurasi 35 saat itu dimuat naik di laman sosial Facebook oleh pengguna Fariq Kadir yang mempersoal tindakannya sama ada betul atau salah memberi isyarat untuk susur keluar di laluan terbabit.

Menerusi rakaman itu, salah seorang penunggang motosikal daripada kumpulan itu telah memberikan isyarat tangan kepada perakam dan juga merupakan pemandu kenderaan berkenaan.

Namun, tidak dapat memastikan apakah maksud sebenar isyarat tersebut.

Hantaran itu mendapat 263 tanda termasuk 21 emoji marah dan 30 lagi perkongsian

Seorang pengguna Muhammad Saifullah Mohamad meninggal komen "geng-geng terpaling konvoi, kena langgar nanti, mula buat video simpati", sambil meletakkan tanda emoji muntah.

Komen itu telah disapa pengguna Che Mohd Redzuan yang mengatakan tidak berlagu Hijaz, (tapi) lagu Exist.

Nik Khairul Anwar pula mahu pemandu kenderaan itu membawa kenderaan lebih besar ketika melalui jalan berkenaan.

"Rasanya memang salah abang kot... patutnya abang bawak treler... kasi sapu licin saja budak-budak itu. Takut nanti membiak pula spesies ini," komennya lagi. #sumber

Share:

PAS Pahang Doakan Kesembuhan Dan Kesihatan Menteri Besar Pahang Jalani Rawatan Di IJN

KUANTAN:  PAS Pahang mendoakan kesembuhan dan kesihatan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada ketika ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Rosli Abdul Jabbar berharap segala urusan rawatan Wan Rosdy dipermudahkan.

"Saya mewakili Badan Perhubungan PAS dan seluruh warga PAS Pahang mendoakan agar ALLAH S.W.T kurniakan kesembuhan dan kesihatan.

"Juga dipermudahkan segala urusan rawatan Wan Rosdy yang sedang menerima rawatan di IJN pada ketika ini. Semoga beliau dapat kembali bertugas seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan Wan Rosdy akan menjalani rawatan di IJN Kuala Lumpur bermula Jumaat ini.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Yaacob dan tempoh rawatan itu sehingga satu tarikh yang akan ditentukan pihak doktor. #sumber

Share:

Menteri Besar Pahang Terima Rawatan Di Institut Jantung Negara Mulai Esok

KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara bermula esok sehingga satu tarikh yang akan ditentukan doktor kelak.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Yaacob, berkata bahawa Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan menjalani rawatan sehingga tarikh yang akan ditentukan oleh pihak doktor.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Zulkifli Yaacob dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

"Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak bersama-sama mendoakan agar rawatan yang dirancang berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT," katanya. #sumber

Share:

Lelaki Curi Kereta Dari Stesen Minyak Kuantan, Sempat Ceroboh Rumah Di Karak, Tertidur Tiga Jm

BENTONG: Lelaki yang melarikan kereta jenis Honda City 1.5L V dari sebuah stesen minyak di Jalan Semambu, Kuantan, kelmarin, sempat menceroboh sebuah rumah di Kampung Chinta Manis, Karak dan tertidur hampir tiga jam di situ sebelum diberkas polis tengah malam tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata lelaki tempatan berusia 40 tahun itu yang sedang nyenyak tidur di ruang tamu rumah berkenaan, ditahan kira-kira jam 12.45 tengah malam selepas polis menerima maklumat daripada pemilik kediaman itu.

Beliau berkata, pemilik rumah yang tinggal bersama isteri dan tiga anaknya itu, memaklumkan terdapat lelaki tidak dikenali datang dan terus masuk ke dalam rumah mereka, kira-kira jam 10 malam lalu mengurung keluarga itu dalam sebuah bilik.

"Lelaki terbabit kemudian tertidur di ruang tamu sebelum pemilik rumah menghubungi polis. Dengan penahanan ini, kes tular yang berlaku pada 3 Jun lalu dapat diselesaikan.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan mempunyai enam rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, hari ini.

Yahaya berkata, dengan penahanan itu juga, polis berjaya mengesan semula kereta Honda City terbabit di pasar awam di Karak, iaitu lokasi kenderaan itu ditinggalkan sebelum lelaki berkenaan menumpang orang awam ke Kampung Chinta Manis.

"Polis sedang menyiasat lanjut mengapa suspek menukar nombor plat kereta dan kemudian meninggalkan kereta di pasar. Kereta itu tidak rosak, cuma terdapat kesan calar pada beberapa bahagian selepas tampalan poster dikikis suspek bagi mengelak dikesan.

"Selain itu, suspek turut mengaku terlibat dalam kes kecurian motosikal yang digunakan dalam kejadian sebelum melarikan kereta terbabit," katanya.

Beliau berkata, polis merampas sejumlah barangan daripada lelaki itu, antaranya satu jam tangan jenama Lashida, satu jam tangan jenama Bonia, dua gunting, dua pisau lipat serta sarung kepala.

Lelaki itu, katanya, direman hingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Isnin lalu, seorang pesara guru wanita melalui detik cemas apabila dilarikan seorang lelaki tidak dikenali menggunakan kereta milik anaknya dalam kejadian di stesen minyak di Jalan Semambu, kira-kira 3.10 petang.

Sebelum itu, mangsa, Napisah Muhammad, 68, bersama suami, Mohamed Halim Omar, 77, dan anak perempuan mereka seorang akauntan yang juga pemilik kenderaan terbabit berhenti di stesen minyak itu untuk mengisi minyak serta ke tandas. #sumber

Share:

Suspek Larikan Kereta Di Sebuah Stesen Minyak Dekat Semambu Berjaya Ditahan Polis Di Bentong

KUANTAN: Lelaki yang melarikan sebuah kereta Honda City di sebuah stesen minyak di Semambu, di sini, pada Isnin berjaya ditahan di Bentong.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu dalam satu pesanan secara ringkas pada Rabu.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai penahanan tersebut.

"Ya, suspek telah ditahan di Bentong, kereta itu sudah ditemui," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman dijadualkan mengadakan sidang media berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Bentong pada Rabu.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 3.10 petang, Isnin, warga emas berusia 68 tahun itu bersama anak dan suaminya menaiki kereta singgah di stesen minyak.

Sebaik anak perempuan keluar dari kereta, suspek masuk dan melarikan kenderaan itu ketika warga emas itu berada di tempat duduk penumpang hadapan.

Ketika itu, suami warga emas itu berada di tandas di stesen minyak itu.

Mangsa ditinggalkan kira-kira 400 meter dari stesen minyak itu tanpa kecederaan, manakala suspek terbabit terus melarikan kereta berkenaan.

Kejadian tersebut turut mendapat perhatian awam apabila tular satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 55 saat memaparkan kejadian tersebut di kongsi menerusi Aplikasi Whatsapp. #sumber

Share:

Polis Buru Suspek Kes Melarikan Kereta Di Parkir Sebuah Stesen Minyak Di Semambu Kuantan

KUANTAN: Polis memburu suspek kes melarikan sebuah kereta yang ditinggalkan bersama penumpang wanita warga emas di sebuah stesen minyak di Semambu dekat sini pada Isnin.

Tindakan nekad lelaki terbabit sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis stesen minyak sebelum videonya dimuat naik dan tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari berkata, suspek menurunkan penumpang di tepi jalan kira-kira 400 meter dari tempat kejadian dan terus melarikan kereta jenis Honda City milik seorang akauntan wanita berusia 38 tahun.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu berlaku ketika mangsa yang beralamat dari Sentul, Kuala Lumpur bersama ayah, 77 tahun dan emaknya, 66 tahun berhenti di stesen minyak berkenaan untuk mengisi minyak serta ke tandas.

"Ketika mangsa mengisi minyak, ayah dan ibunya turun ke tandas.

"Selepas selesai mengisi minyak, wanita itu meletakkan keretanya di parkir berhampiran tandas dan turun meninggalkan kereta dalam keadaan enjin masih hidup kerana ibunya telah masuk dan berada dalam kenderaannya itu," katanya.

Beliau berkata, ketika berjalan menuju ke tandas, mangsa terdengar emaknya menjerit meminta tolong dan melihat keretanya bergerak dalam keadaan laju.

"Ibunya yang tidak sempat turun turut dilarikan sebelum ditinggalkan tidak jauh dari lokasi kejadian," katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohd Zahari berkata, hasil siasatan mendapati suspek datang ke stesen minyak itu menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX-5.

"Setelah sampai, suspek terus masuk ke dalam kereta mangsa dan melarikannya.

"Semakan ke atas motosikal yang ditinggalkan suspek mendapati ia motosikal curi menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Tambahnya, selain kereta, mangsa turut kehilangan telefon bimbit jenis IPhone 14, kad Touch n Go (TnG) dan Smart Tag yang berada dalam kenderaan dilarikan manakala anggaran nilai kerugian mencecah RM94,000.

"Usaha mengesan suspek dan kenderaan mangsa sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya. #sumber

Share:

Pergaduhan Tiga Lelaki 'Indon' Di Cameron Highlands, Polis Cari Suspek Dikenali Sebagai 'Deni'

KUANTAN: Polis sedang berusaha mengesan suspek yang dikenali sebagai 'Deni' bagi membantu siasatan dalam kes pergaduhan tiga lelaki warga Indonesia di tepi jalan Trangkap, Cameron Highlands pada 30 Mei lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek lelaki berusia 30-an itu yang dipercayai masih berada dalam negara, diminta menghubungi mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan.

"Suspek telah dikenal pasti dan gambar 'orang yang dikehendaki' itu akan diedarkan," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontingen Pahang di sini hari ini.

Pergaduhan pada hari Khamis lepas menyebabkan seorang pekebun kontrak lelaki maut manakala rakannya ditemui dalam keadaan cedera parah kira-kira 500 meter daripada mayatnya.

Terdahulu Yahaya dalam ucapan di perhimpunan bulanan Polis Pahang berkata statistik rekod Jenayah Siasatan Komersial (JSJK) negeri menunjukkan pengurangan kepada 869 kes bagi tempoh Januari hingga Mei lepas, berbanding 932 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Bagaimanapuun jumlah kerugian yang ditanggung bagi tempoh berkenaan meningkat mendadak hingga RM42 juta berbanding RM18 juga bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata dari segi tangkapan pula menunjukkan peningkatan, iaitu 693 tangkapan dibuat setakat ini pada 2024 berbanding 576 bagi tahun 2023, manakala dari segi pertuduhan JSJK Pahang telah melaksanakan 326 jumlah kertas pertuduhan," katanya.

Sementara itu Yahaya berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang pula berjaya membuat 6,114 tangkapan yang melibatkan 5,555 kes berkaitan pelbagai kesalahan narkotik bagi tempoh Januari hingga Mei lepas.

Beliau berkata JSJN Pahang juga telah berjaya mencapai 90 peratus kadar penyelesaian 4,815 kes daripada 5,527 kertas sisatan yang dibuka. #sumber

Share:

Pejalan Kaki Maut Depan SK Kampung Padang, Aktivis Gesa Bina Segera Jejantas Pejalan Kaki Dan Motosikal

KUANTAN: Aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli hari ini menggesa kerajaan membina sebuah jejantas untuk kemudahan pengguna jalan raya di Jalan Kuantan-Sungai Lembing berhadapan dengan Sekolah Kebangsaan Kampung Padang dekat sini. 

Terdahulu, sekitar jam 8.30 pagi tadi satu lagi kejadian kemalangan maut melibatkan seorang pejalan kaki dengan sebuah lori berlaku di lokasi terbabit.

Menurut Shukri, ini bukan kali pertama kemalangan berlaku di situ. Menurut aduan penduduk setempat, sebelum ini sudah banyak kali kemalangan terjadi namun tiada tindakan sewajarnya termasuk pembinaan sebuah jejantas untuk keselesaan dan keselamatan orang ramai.

"Kerajaan harus ingat, kawasan ini sudah semakin sesak kerana ia digunakan oleh sebahagian besar penduduk Kampung Padang untuk menghantar anak ke sekolah mahu pun ke masjid yang berdekatan.

"Jalan semakin sesak terutamanya pada waktu puncak gara-gara lampu isyarat yang masih lagi digunakan sehingga ke hari ini. Sepatutnya sebuah jejantas untuk laluian pejalan kaki dan motosikal didirikan. Ia lebih terjamin dan mdapat menggelakkan kesesakan di laluan ini," katanya,

Shukri turut menjelaskan, laluan ini bertambah sibuk kerana ia menjadi laluan utama kenderaan dari arah Plaza Tol Kuantan untuk ke pusat bandaraya.

"Jalan semakin sesak, makanya kemudahan jejantas perlu dibina segera untuk masa depan. Dua benda dapat diatas iaiatu kesesakan dan keselamatan. Bayangkan kanak-kanak sekolah terpaksa melintas jalan setiap hari dalam keadaan kapasiti pengguna jalan raya yang semakin meningkat.

"Bukan tidak bagus ada lampu isyarat, namun terkadang ada yang kejar lampu merah dan akibatnya pejalan kaki dan penunggang motosikal yang akan menjadi mangsa. Sebab itu lebih elok didirikan jejantas.Ia lebiih selesa untuk semua pihak sebenarnya." tambah Shukri lagi.

Menurut laporan page facebook Polis Trafik Kuantan pagi ini, satu kemalangan melibatkan pejalan kaki berlaku.  Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan di tempat kejadian. Mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk siasatan lanjut. #PDO

Share:

Robot Bumblebee Dan Optimus Prime Ceriakan Marvellous Food Festival Di Teluk Chempedak

KUANTAN: Kelibat dua robot transformer iaitu Bumblebee dan Optimus Prime telah berjaya menceriakan lagi Marvellous Food Festival di Teluk Chempedak pada 29 Mei hingga 2 Jun 2024 baru-baru ini. Robot yang dibawa oleh Bajet Ciput Enterprise itu ternyata memberi daya tarikan pelancongan baharu kepada pengunjung terutamanya golongan kanak-kanak.

Seorang pengunjung dari Port Dickson yang ditemui mengatakan beliau teruja melihat kelibat transformer itu kerana dia adalah peminat setia filem 'Transformer' sejak sekian lama.

"Saya terpukau kerana transformer di sini bukan bertukar menjadi lori, sebaliknya berjoget dan menari mengikut rentak irama lagu yang dimainkan. Selama ini kita melihat robot ini berlawan dengan musuh sahaja.

"Walau pun saya tahu ia hanyalah Cosplay, sekadar hiburan untuk pelancong yang datang ke sini namun dek kerana saiznya yang besar dan tinggi maka seolah-olah kita melihat transformer yang asli beraksi," kata Suraya Halim yang datang bersama rakan-rakan motornya dari Port Dickson.

Sebelum beredar, mereka sempat mengambil gambar dan video bersama transformer.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Haliza Karim yang datang dari Indera Mahkota pula tidak melepaskan peluang untuk membawa anaknya bergambar kenangan dengan transformer.

Katanya, sebelum ini dia sudah beberapa kali membawa anaknya melihat aksi tranformer tersebut di Bazar Raya Dataran Sekilau dekat sini.

"Anak saya seronok betuk melihat aksi Transformer berjoget. Malah, beliau juga trurut menari bersama, sedangkan selama ini saza sendiri tak tahu anak saya yang berumur enam tahun iti boleh menari dan berjoget.

"Hari-hari asyik tanya nak tengok robot, nak tengok robot. Sebab itu saya kena bawak selalu bila ada robot beraksi di Kuantan. Dia sangat minat kepada Bumblebee," katanya.

Sementara itu difahamkan, Bumblebee dan Optimus Prime akan terus beraksi di Dataran Teluk Chempedak bagi memberi kelainan dalam menghiburkan pengunjung dan pelancong yang datang ke pantai peranginan ini.

Menurut Pengurus Operasi Bajet Ciput Enterprise, Farra Nur Diana Mohd Shukri, mereka sudah memohon permit tapak untuk menjalankan aktiviti tersebut sejak awal bulan April lalu.

"Hingga kini kami masih belum mendapat maklum balas daripada pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK). Tambah parah lagi, ada pihak-pihak tertentu pula yang cuba menghalang. Mereka mendakwa robot ini bahaya dan mengancam keselamatan. Walhal ia terkawal.

"Malah, di pantai-pantai lain sepeeti Pantai Chenang di Langkawi, Batu Buruk di Kuala Terengganui, Pantai Irama di Bachok Kelantan aktiviti cosplay transformer ini berjalan seperti biasa tanpa ada kejadian yang tidak diingini," katanya.

Beliau berharap, akan mendapat kebenaran rasmi untuk manjalankan operasi tersebut.

"Jika segalanya dipermudahkan, pengunjung ke Teluk Chempedak akan dapat melihat aksi transformer setiap hari tidak lama lagi. Orang ramai boleh dapatkan info RobotKuantan di lama facebook https://www.facebook.com/profile.php?id=61560304439023 atau TikTok https://www.tiktok.com/@robotkuantan?_t=8mqCC8vSvdB&_r=1" katanya lagi. #PDO

Share:

Peniaga Bazar Serambi Teruntum Rayu Majlis Bandaraya Kuantan Lanjut Tempoh Diskaun Sewa

KUANTAN: Persatuan Peniaga Serambi Teruntum (PPST) memohon Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) melanjutkan tempoh diskauan sewaan kedai di Bazar Serambi Teruntum dekat sini.

Permohonan tersebut telah diajukan kepada Datuk Bandar MBK, Datuk Razihan Adzharuddin pada 15 Mei 2024 yang lalu. 

Menerusi salinan surat yang ditandatangani oleh pengerusinya, Mohd Fakrulnizam Mohd Tamidzi memohon supaya pihak MBK melanjutkan diskuan sewa tersebut untuk tempoh enam bulan akan datang.

"Memandangkan tempoh pengurangan tersebut akan tamat pada Jun 2024 nanti, dan kerana keadaan ekonomi semasa yang masih belum memberansangkan, kami masih menghadapi hari-hari sukar serta masih memerlukan bantuan terutama dalam membangunkan perniagaan kami. Oleh itu, sukacita kiranya jika pihak YH Dato’ dapat mempertimbangkan agar tempoh pengurangan sewa kedai di Bazar Serambi Teruntum dapat dilanjutkan untuk enam (6) bulan lagi,' katanya.

Fakhrulnizam turut menjelaskan meski pun Bazar Serambi Teruntum semakin terkenal namanya, namun keadaan pengunjung ke sini masih belum mencapai tahap yang diharapkan dan rata-rata peniaga masih terpaksa bekerja keras untuk meneruskan perniagaan di sini sehingga ada yang terpaksa keluar ke tapak-tapak ekspo dan menyertai pelbagai acara-acara di luar daerah sebagai platform promosi serta tambahan pendapatan selain daripada perniagaan atas talian yang sedikit sebanyak turut memberi kesan pada keadaan kewangan dan pusingan modal.

Tinjauan mendapati lokasi itu agak suram melainkan sekiranya ada apa-apa program besar di kawasan terbabit. Pihak MBK perlu meningkatkan lagi promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung ke sini.

Papan tanda ke Bazar Serambi Teruntum tidak kelihatan langsung dari arah jalan masuk ke bandaraya Kuantan, terutamanya dari arah plaza tol Kuantan dan Gambang. Sewajarnya papan tanda yang lebih jelas terutamanya di persimpangan Jalan Teluk Sisek, Jalan Beserah ke Jalan Tanjung Lumpur perlu dinaikkan agar memudahkan orang ramai ke lokasi terbabit pada masa akan datang.

Justeru, rayuan dan permohonan  para peniaga ada asasnya kerana lokasi itu dilihat masih tidak berupaya menarik lebih ramai pengunjung terutamanya pada hari biasa. Sedangkan ia adalah destinasi membeli belah terbaik yang sama hebatnya dengan Bazar Siti Khadijah di Kota Bharu dan Pasar Payang di Kuala Terengganu. #PDO

Share:

Jabatan Pendidikan Pahang Sedang Menyiasat Komen Kontroversi Guru Isu Undi Bukan Islam

KUAlA LUMPUR: Menjawab komen kontroversi seorang guru di Pahang, Menteri Pendidikan Fadhilina Sidek mengumumkan bahawa kes itu kini dalam siasatan.

Dia mengesahkan bahawa Jabatan Pendidikan Pahang dan unit integriti kementerian sedang menyiasat perkara itu.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas sesiapa sahaja yang telah dibuktikan melanggar peraturan tatatertib berdasar kepada peruntukan yang ditetapkan," katanya.

Setiausaha politik Fadhlina, Atiqah Syairah Shaharuddin sebelum ini membuat kenyataan berhubung isu sama pada 2 Jun lalu.

Atiqah berkata, dia menerima aduan mengenai komen menyinggung perasaan itu, dibuat dalam akaun Facebook yang didakwa dikaitkan dengan seorang guru, dan meminta unit integriti kementerian mengambil tindakan termasuk menggantung individu itu daripada tugas.

“Kegusaran daripada pihak ibu bapa dan masyarakat adalah bagaimana guru yang juga berstatus penjawat awam ini tergamak mengeluarkan komentar sedemikian rupa.

"Tohmahan yang dangkal namun berat ini dibimbangi menjadi racun yang akan terus membarah dan berlapikkan alasan yang berselindung di sebalik pegangan kebebasan bersuara,” kata kenyataan itu.

Dalam tangkapan skrin yang dilihat Malaysiakini, seorang pengguna Facebook mengulas siaran Berita Harian tentang Selangor mula menumpukan pengajaran kepada kitab Turath - atau istilah lainnya ‘kitab kuning’, yang merupakan kitab-kitab tradisional yang berisi pelajaran-pelajaran agama Islam oleh ulama silam - dalam mengembangkan khazanah ilmu Islam.

Komen yang ditulis dalam bahasa Melayu itu secara sinis menyatakan tidak guna seseorang itu mempelajari pelbagai kitab agama jika akhirnya mengundi bukan Islam.

Tanpa menyebut sesiapa secara khusus, ulasan itu mendakwa bahawa sesetengah individu berpura-pura mengikuti petunjuk Nabi Muhammad tetapi berpegang kepada ajaran agama lain, itulah sebabnya surah (surah) Al-Kafirun wujud.

Al-Kafirun adalah surah ke-109 dalam al-Quran. Ia mengandungi enam ayat dan menyentuh mengenai orang kafir (Kafirun).

Fadhlina mengingatkan guru-guru bahawa penjawat awam wajib mematuhi peruntukan ditetapkan termasuk ketika menggunakan media sosial.

“Media sosial perlu digunakan dengan penuh bertanggungjawab dan berdasar kepada garis panduan nilai dan etika yang sedang berkuat kuasa,” tambahnya. #sumber

Share:

Wan Rosdy: Pahang Menjadi Perintis Dengan Menubuhkan Sekretariat Perantau Anak Felda Pahang

MARAN: Pahang menjadi perintis dengan mewujudkan Sekretariat Perantau Anak Felda Pahang untuk kebajikan dan mendekati anak-anak Felda di luar negeri tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sekretariat itu akan diletakkan di bawah Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.

Menurutnya, kewujudan sekretariat itu memberikan peluang kepada kerajaan negeri menjelaskan sebarang dasar dan program yang dijalankan.

"Tahun ini juga sekretariat itu ditubuhkan mungkin dalam tempoh dua bulan lagi.

"Sebelum ini, kita nak letakkan sekali (anak Felda) di dalam Perantau Anak Pahang yang berada di luar Pahang.

"Jadi saya fikir anak Felda yang berada di luar Pahang pun ramai, jadi untuk lebih fokus, lebih menjurus, senang sekiranya ada program, maklumat dan sebagainya. Saya telah mengasingkan (sekretariat) dan meletakkan di bawah tanggungjawab Datuk Amizar," katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas Majlis Perasmian Karnival Segalanya Felda Peringkat Negeri Pahang di pekarangan Stadium Tun Razak di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Amizar sendiri.

Ujar beliau, menerusi sekretariat itu juga, anak-anak Felda di luar Pahang boleh mendapat penerangan yang jelas selain terbabit dengan aktiviti-aktiviti seperti ramah mesra, jamuan raya yang dijalankan.

Jelas Wan Rosdy, penubuhan sekretariat itu juga dapat membantu untuk memperbetulkan sentimen dan persepsi salah yang disebarkan kepada anak-anak perantau Felda.

“Saya ada jumpa anak-anak Felda ini dan bertanya kenapa mereka tidak suka kepada kerajaan hari ini? Mereka kata pemberian hak milik perlahan sangat tapi bila saya kata dah beri 96 peratus, mereka terkejut.

"Jadi mereka mainkan sentimen dengan mengatakan seolah-olah Kerajaan Negeri Pahang tidak bersetuju beri suratan hakmilik walhal kita telah laksanakan," katanya.

Tambah beliau, ketiadaan platform khusus seperti sekretariat itu menyebabkan golongan tersebut terpengaruh dengan sentimen dan persepsi seolah-olah kerajaan tidak membantu mereka.

Sementara itu, Amizar memberitahu, setakat ini kira-kira 40,000 anak perantau Felda telah mendaftar dengan sekretariat berkenaan dan akan dilancarkan di Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar kerana memberikan kepercayaan kepada kami semua antaranya KAF (Kami Anak Felda) dan MBFM(Majlis Belia Felda Malaysia).

"Satu kertas kerja dan perbincangan akan dilakukan dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) lain untuk gabungkan semua anak peneroka Felda," jelasnya menyasarkan seramai mungkin untuk menyertai sekretariat terbabit. #sumber

Share:

Kerja-Kerja Mengganti Rumput Sedia Ada Stadium Darul Makmur Bermula Pertengahan Ogos Ini

KUANTAN: Kerja-kerja penggantian rumput sedia ada di Stadium Darul Makmur di sini akan dilaksanakan bermula pertengahan Ogos ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal berkata, rumput sedia ada jenis 'cow grass' akan diganti dengan rumput jenis Bermuda.

Menurutnya, rumput jenis Bermuda lebih baik berbanding rumput 'cow grass', lebih bersih, dan diikitiraf di peringkat antarabangsa.

“Tempoh masa penukaran dan proses naik taraf rumput ini dijangka akan mengambil masa selama enam bulan dengan anggaran kos RM1.6 juta.

"Saya berharap usaha menaik taraf rumput atau padang ini akan memberi tambah nilai kepada Stadium Darul Makmur itu sendiri dalam pakej pemodenan yang dilakukan," katanya.

Fadzli berkata, usaha menaik taraf rumput di Stadium Darul Makmur antara langkah permodenan imej stadium itu yang sedang giat dilakukan.

"Insya-ALLAH lebih banyak lagi pembaharuan lain yang akan dilaksanakan pihak Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM)," katanya.

Sementara itu katanya, PSDM membuka peluang kepada rakyat Pahang menggunakan padang sedia ada di stadium itu dengan menawarkan harga sewaan lebih rendah sehingga pertengahan Ogos ini.

“Kadar sewaan pada sebelah siang hanya RM500 selama dua jam dan kadar pada sebelah malam untuk tempoh yang sama hanya RM1,000.

“Anak-anak Pahang yang berminat boleh daftar di laman web Perbadanan Stadium Darul Makmur untuk bermain atau menggunakan padang di stadium ini,” katanya. #sumber

Share:

Sultan Pahang Seru Semua Pihak Bersatu Padu, Bekerjasama Jaga Keamanan Dan Kestabilan Negara

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyeru semua pihak untuk terus bersatu padu dan bekerjasama dalam menjaga keamanan dan kestabilan negara.

Al-Sultan Abdullah bertitah hanya dengan perpaduan yang utuh dan kerjasama jitu, kedaulatan negara dapat dipertahankan selain mengingatkan semua pihak agar jangan mudah bertindak melulu dan sentiasa rasional dalam membuat tindakan.

"Marilah kita bersama-sama memelihara dan mempertahankan nikmat keamanan yang kita kecapi hari ini. Ingatlah, kita kongsi udara yang sama, langit biru yang sama dan bumi yang sama," titah baginda semasa menyempurnakan Istiadat Perbarisan Sempena Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ke-66 di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Sultan Pahang di Pangkalan Udara Kuantan pada 9 pagi diiringi Tengku Panglima Raja Brig Jen Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan disambut Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Menerusi titah diraja itu, baginda turut mengingatkan warga TUDM agar terus komited membangunkan tahap kesiapsiagaan peralatan dan modal insan seiring dengan keperluan kuasa udara masa kini dan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055.

Al-Sultan Abdullah yang juga Kolonel Yang DiPertua TUDM bertitah, pada era teknologi yang pesat berkembang, penting bagi pasukan itu meningkatkan kesiapsiagaan dalam mempertahankan kedaulatan negara yang mana ancaman baharu dunia hari ini turut menuntut TUDM sentiasa berinovasi dan memperkukuhkan keupayaan pertahanan.

"Beta yakin dan percaya dengan semangat juang yang tinggi dan sokongan padu semua pihak, TUDM akan terus maju berjaya dalam mengharungi 1001 cabaran yang mendatang," titah baginda.

Baginda bertitah parameter tanggungjawab TUDM kini bukan sahaja tertumpu kepada pertahanan ruang udara, malah merupakan tulang belakang dalam usaha sama mengukuhkan benteng di Zon Maritim serta daratan Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

"Pada hemat beta, pasukan yang sentiasa terbang tinggi di angkasa raya ini bukan sahaja sebuah angkatan udara tetapi adalah simbol keberanian, integriti dan dedikasi. Oleh itu, teruslah terbang membawa panji-panji keamanan demi kedaulatan tanah air supaya terus terpasak teguh di bumi bertuah ini," titah baginda.

Sultan Pahang turut menzahirkan penghargaan kepada pejuang yang telah gugur semasa mempertahankan negara dan bertitah bahawa jasa serta pengorbanan mereka akan dikenang sepanjang zaman.

Seramai 23 pegawai dan 418 anggota diketuai Lt Kol Ahmad Zikri Azhar terlibat dalam istiadat perbarisan sempena Hari Ulang Tahun TUDM yang bertemakan 'Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara' itu.

Istiadat perbarisan berkenaan turut disertakan dengan terbang lintas pesawat TUDM melibatkan pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM, F/A-18D Hornet dan BAE Hawk, pesawat angkut A400M dan C-130H, helikopter EC 725 AP dan AW 139 serta pesawat latihan PC-7 MK II. #sumber

Share:

Wan Rosdy: Kerajaan Pahang Tawarkan Insentif Pengecualian Denda Lewat Bayaran Cukai Tanah

LIPIS: Kerajaan negeri Pahang menawarkan insentif pengecualian denda lewat kepada semua pemilik tanah bermula hari ini sehingga 30 November depan agar lebih ramai pemilik tanah melunaskan bayaran cukai tanah tertunggak.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagaimanapun inisiatif berkenaan dikecualikan kepada pemilik tanah yang telah dikeluarkan Notis 6A sebelum 1 Julai 2024.

“Saya menyeru agar lebih ramai lagi pemilik tanah menggunakan peluang ini untuk merebut insentif yang telah diberikan oleh kerajaan negeri.

“Ini supaya orang ramai segera melunaskan bayaran cukai tanah atau tunggakan cukai tanah tanpa dikenakan denda lewat bagi mengelakkan sebarang implikasi kepada pemilikan tanah nanti,”katanya pada Majlis Perasmian Karnival Tanah Peringkat Negeri Pahang 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Lipis, di sini hari ini.

Beliau berkata, karnival berkenaan merupakan tahun kedua penganjuran dan mendapat impak positif daripada perolehan hasil kerajaan negeri.

“Ini juga salah sebab kita berjaya mendapat kutipan hasil tanah semaksimum mungkin dan melonjakkan hasil pendapatan kerajaan negeri melebihi RM1 bilion,”ujarnya.

Dalam pada itu Wan Rosdy berkata, jumlah terkini hak milik tanah di Pahang adalah sebanyak 757,334 hakmilik. #sumbersumber

Share:

Mohd Na’im: Kejayaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang Membanggakan, Lonjak Nama Institusi Tahfiz

KUANTAN: Kejayaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.07 dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Melalui hantaran Facebooknya, Mohd Na’im berkata, kejayaan cemerlang MTNP amat membanggakan beliau sekali gus melonjakkan institusi tahfiz di negara ini.

Berdasarkan video yang dikongsikan, beliau berkata, MTNP akan menjadi titik tolak dan dorongan kepada institusi tahfiz lain mengikut jejak institusi terbaik tersebut.

"Bila sudah ada 'benchmark' macam ini barulah yang lain boleh ikut.

"Ini kali pertama institusi tahfiz muncul sebagai institusi yang cemerlang mengatasi sekolah-sekolah elit," katanya.

Beliau menambah, mengangkat martabat al-Quran bukan sekadar menyebut sebaliknya sudah ada contoh terbaik yang boleh diketengahkan.

Tambahnya, sesiapa yang menjadikan al-Quran sebagai pedoman dalam kehidupan, bersungguh-sungguh dalam mengangkat martabat kitab suci ini, tiada satu cabaran sekali pun untuk keluar sebagai institusi ataupun individu yang cemerlang.

"Ini melambangkan bagaimana saya sebutkan (bahawa) al-Quran sebagai nur yang dibina dilahirkan dalam jiwa anak-anak ini.

"Beri (apa sahaja) peluang kepada mereka untuk menimba ilmu pengetahuan maknanya dengan adanya cahaya ini (al-Quran) dalam jiwa dan sanubari mereka ini mudah untuk menerima apa sahaja," katanya.

Terdahulu, beliau melakukan kunjungan hormat kepada pengurusan tertinggi MTNP bersempena Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada Selasa lalu.

Mohd Na’im turut memaklumkan beliau bersama Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berbesar hati meraikan pelajar-pelajar cemerlang SPM tersebut pada lawatan ke MTNP baru-baru ini.

"Saya mendoakan seluruh pelajar menjadi huffaz yang profesional, berbakti kepada agama, negara dan ummah.

“Tahniah atas kejayaan ini dan ia merupakan satu kejayaan yang pertama yang diperoleh institusi tahfiz negara.

“Saya rasa kejayaan yang diperoleh MTNP ini membuktikan bahawa pelajar-pelajar dan anak-anak yang membawa roh al-Quran dalam jiwa mereka ini, mereka boleh berjaya. Bukan sahaja dalam aspek keagamaan al-Quran dan sunnah nabi tetapi juga dalam akademik," katanya. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.