script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Tular Isu PAJSK: Menteri Besar Pahang, Exco Pendidikan Negeri Perlu Main Peranan Sewajarnya

KUANTAN: Menteri Besar Pahang dan Exco Pendidikan negeri itu dimohon memainkan peranan sewajarnya berhubung isu yang tular di media sosial mengenai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang gagal mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, kesukaran yang dihadapi oleh pelajar berkenaan dikatakan berpunca daripada sistem pelaporan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) bagi pelajar sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di mana mereka difahamkan menerima markah “0” dalam sistem kemasukan ke IPTA. 

Bagaimanapun, katanya, tiada tindakan susulan yang diambil oleh dua pemimpin yang sepatutnya bersuara setelah isu tersebut tular.

“Apabila dinobatkan MTNP sebagai sekolah terbaik SPM, kita angkat kita julang tetapi apabila berlaku isu berbangkit yang melibatkan pelajar kita seperti tidak ambil cakna kepada mereka.

“Ingatlah pendidikan bukanlah isu yang patut dipolitikkan tetapi isu yang patut kita tangani bersama demi kebaikan anak bangsa kita, khususnya untuk mengangkat suara Islam, suara Melayu, dan perpaduan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, polemik permasalahan itu bermula apabila pihak KPM telah menukar sistem pelaporan PAJSK ni daripada di muat naik di sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) ke sistem Sistem Pengurusan Identiti (iDME).

Susulan itu, katanya timbul persoalan kenapa Sekolah-sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM tidak diberikan ruang untuk mengakses sistem itu sebagaimana sekolah KPM walhal mereka juga berdaftar.

Beliau turut mengucapkan terima kasih Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor yang membawa suara dan rintihan pelajar, guru dan juga ibu bapa pelajar sekolah swasta dalam Malaysia ke Dewan Rakyat.

“Apabila diperhalusi jawapan daripada Menteri KPM, ia seolah-olah memberi jaminan tiada lagi isu berbangkit selepas ini.

“Terima kasih diucapkan atas jaminan YB Menteri. Diharapkan jawapan YB Menteri ini bukan hanya cakap-cakap politik tetapi ianya satu jawapan dan komitmen berterusan YB Menteri dan KPM untuk memastikan anak-anak pelajar sekolah swasta terus diberikan ruang yang sama dengan anak-anak pelajar sekolah KPM,” katanya. #sumber

Share:

Kes Bunuh: Perogol Bersiri Iaitu “Rambo Bentong” Membebel Hukuman Kekal Ke Tali Gantung

PUTRAJAYA: Perogol bersiri yang dikenali sebagai “Rambo Bentong” kekal ke tali gantung oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini atas dua kesalahan membunuh pada tahun 2009 dan 2012 yang lalu.

Semakan hukuman hukuman mati yang pertama ialah atas sabitan kerana membunuh seorang gadis berusia 17 tahun yang mayatnya ditemukan dengan kesan tetakan di leher pada 2009.

Sementara semakan hukuman mati kedua ialah membunuh seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Bentong pada 2012.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas menolak permohonan Rabidin Satir, 53, selaku pemohon bagi semakan mengetepikan dua hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Sejurus keputusan dibuat, Rabidin yang dibawa ke mahkamah dengan berkerusi roda dilihat “membebel” dalam bahasa Inggeris namun tutur katanya tidak jelas sebelum dibawa kakitangan penjara masuk ke lokap mahkamah.

Terdahulu, bagi kes membunuh kakitangan Jabatan Perhutanan Bentong, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim membantah permohonan semakan Rabidin atas alasan kes itu dikategorikan sebagai `yang paling jarang di antara yang jarang berlaku’ yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan.

Naratif pendakwaan menyatakan, pasangan suami isteri itu yang sedang tidur di ruang tamu dikejutkan dengan kehadiran lelaki bertopeng yang kemudian menghentak kepala kakitangan Jabatan Perhutanan Bentong itu berkali-kali dengan bahagian belakang pistol.

“Hentakan kepala itu menyebabkan tempurung kepala retak dan otaknya hancur manakala isteri mangsa yang sedang mengandung malah dirogol dua kali sebelum dirompak.

“Pendakwaan berpendirian trend kes seperti ini belum pernah berlaku yang mana suami dibunuh manakala isteri dirogol,” hujah Yusaini Amer.

Rabidin malah menggeledah rumah berkenaan sebelum bertanyakan sama ada pasangan itu menyimpan senjata api sebelum bertindak memukul lagi lelaki berkenaan beberapa kali.

Pada prosiding itu, peguam Muhammad Fairuz Ahmad Yusof memohon semakan dibenarkan atas alasan perlakuan anak guamnya tidak seganas mana berbanding perbuatan melibatkan seksaan dan kecederaan berganda.

Pada 16 Ogos 2018, Rabidin gagal dalam rayuannya untuk membatalkan hukuman mati kerana membunuh kakitangan Jabatan Perhutanan Bentong itu di Perumahan Jabatan Perhutanan di Jalan Tras, Bentong, Pahang, di antara pukul 3.50 pagi dan 4.30 pagi pada 3 November 2012.

Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan hukuman sama selepas menolak rayuannya.

Pada 2014, Rabidin dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh kerana membunuh seorang remaja perempuan di sebuah rumah di Kampung Ketari Bentong, Pahang pada 2009.

Rabidin juga dituduh merogol gadis itu tetapi Mahkamah Tinggi membebaskannya kerana tidak dapat dipastikan sama ada rogol dilakukan ketika mangsa masih hidup atau selepas kematiannya. #sumber

Share:

Sebanyak RM53.9 Juta Kerugian Kes Jenayah Komersial Di Pahang Dalam Tempoh Enam Bulan

KUANTAN: Jumlah kerugian kes jenayah komersial di Pahang menunjukkan peningkatan iaitu RM53.9 juta dengan 1,037 kertas siasatan dibuka dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, berbanding tempoh sama tahun lalu, jumlah kerugian itu merekodkan RM22.1 juta dengan 1,137 kertas siasatan dibuka.

Katanya, walaupun jumlah kertas siasatan dibuka menunjukkan penurunan tetapi jumlah kerugian pula menunjukkan peningkatan yang tinggi.

"Dari segi tangkapan, ia menunjukkan peningkatan iaitu 808 tangkapan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan tahun ini berbanding 760 tangkapan dalam tempoh sama tahun lalu," katanya pada Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar bagi Julai 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.

Mengenai jumlah kemalangan jalan raya dalam tempoh enam bulan tahun ini, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 571 kes iaitu 12,365 kes berbanding 11,794 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, statistik kemalangan maut pula mencatatkan penurunan sebanyak lima kes iaitu 223 kes berbanding 228 kes tempoh sama tahun lalu.

"Pada masa sama, sebanyak 119,076 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang atas pelbagai kesalahan lalu lintas dengan kompaun berjumlah RM2.5 juta," katanya. #sumber

Share:

UMNO Menolak Kerjasama Dengan PAS Selagi Hadi Awang Menjadi Tampuk Pimpinan Parti Itu

KUALA KANGSAR: UMNO menolak kerjasama dengan PAS selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi tampuk pimpinan parti berkenaan, tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ia berdasarkan pengalaman beliau berbincang bersama Abdul Hadi sebelum ini yang sentiasa mengubah pendirian selepas memperoleh persetujuan.

“Saya ingat lagi dalam Majlis Tertinggi UMNO, Perdana Menteri ketika itu yang mewakili kita berkata, UMNO mesti bekerjasama dengan PAS kalau tidak kita menang sembilan kerusi sahaja dan tidak boleh bentuk kerajaan.

“Saya bentang pada Majlis Tertinggi ketika itu di mana saya seorang sahaja dan berkata tidak boleh beri pada PAS kerana PAS ini membohong dari dahulu sampai sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2024, di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, beliau merupakan saksi hidup pembohongan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Marang itu semasa mengadakan perbincangan sebelum ini.

“Ini saksi hidup bincang empat mata dengan Hadi Awang di mana depan kita setuju tetapi esok tukar tidak setuju, kemudian kita pujuk kata hendak tiga hari lepas tu jumpa lapan mata, Presiden dan Timbalan Presiden (PAS) bersama saya dengan timbalan.

“Setuju juga kemudian esok tukar lagi. Jangan percayalah selagi orang itu jadi Presiden jangan harap kita hendak bekerjasama dengan parti yang menunggang Islam,” katanya.

Ahmad Zahid pada tahun lalu menyifatkan Pas sebagai ‘gila talak’ apabila mengeluarkan kenyataan tidak menolak akan kembali bekerjasama dengan UMNO menerusi Perikatan Nasional (PN). #sumber

Share:

Zahid: Kekalahan Di Sungai Bakap Bukan Penamat Hadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seterusnya

MELAKA: Kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Pulau Pinang semalam bukanlah penamat kepada gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan khususnya UMNO untuk menghadapi PRK seterusnya.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti-parti komponen berkenaan akan terus berusaha dan berazam membawa kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK akan datang.

"Kita terima (kekalahan), itu keputusan rakyat ... ini bukan penghujung, jalan terakhir PRK bagi mana-mana calon dalam parti komponen Kerajaan Perpaduan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Melaka di Dewan Komuniti Telok Mas di sini semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Perikatan Nasional (PN) mengekalkan status quo di Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi setelah menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan ahli UMNO agar melakukan perubahan dalam memenangi hati pengundi.

"Kita harus ingat politik sekarang bukan politik pembangunan (semata-mata, malah) politik sekarang ialah politik isu dan sentimen (yang mesti kita juarai).

"Berapa orang dalam kalangan kita yang (berani) jawab dan pertahankan ketua kita bila dihentam? Kita hanya pandai tularkan (sesuatu isu) dengan kawan-kawan. Dalam situasi ini, kita harus bangkit dan sedar dari sekarang," katanya. #sumber

Share:

Mamat Exist Di Denda RM4,000 Atau Penjara Dua Tahun Selepas Mengaku Bersalah Masukkan Dadah

JOHOR BAHRU: Bekas vokalis Exist, Mamat didenda RM4,000 atau penjara dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan pada 2019.

Hakim Fatimah Zahari turut memerintahkan Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 47, menjalani tempoh pengawasan bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong, Pahang selama dua tahun.

Berdasarkan pertuduhan pindaan yang dibacakan pada Isnin, Mamat didakwa mengambil dadah jenis Methamphetamine pada jam 2 pagi, 9 September 2019 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

Mamat yang pernah popular dengan kumpulan rock 90-an itu menerusi lagu Untukmu Ibu juga mempunyai kesalahan berulang mengambil dadah pada tahun 2016 dan 2018.

Tuduhan sebelum ini dibuat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Prosiding dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil manakala Mamat diwakili peguam bela, Azlina Abdul Aziz.

Mamat kemudian membayar denda yang dikenakan itu. #sumber

Share:

Yayasan Pahang Eksport 18 Tan Nanas MD2 Keluarannya Ke Pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE)

KUANTAN: Yayasan Pahang (YP) mengeksport 18 tan nanas MD2 hasil keluaran anak syarikatnya, Yayasan Pahang Plantation Holdings Sdn Bhd (YPPH) ke pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pengarah Urusan YPPH, Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi berkata, ia adalah eksport pertama nanas hasil keluaran anak syarikat YP ke luar negara.

Menurutnya, pembangunan untuk projek tanaman nanas itu telah dimulakan pada November 2022 dan proses penanamannya bermula Februari tahun lalu.

"Projek ini merupakan percubaan pertama anak syarikat YP menanam pokok nanas MD2 secara komersil dalam kawasan pokok kelapa di Ladang Gambang di sini.

"Kami jangkakan seluas 314 hektar tanah akan digunakan untuk pelan pembangunan tanaman nanas ini sehingga 2026," katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pelepasan kontena hasil pengeluaran nanas Ladang Gambang itu diadakan Jumaat lalu.

Mahmud yang juga Ketua Pegawai Eksekutif YP berkata, pihaknya merancang akan membekalkan sulur sendiri untuk penanaman di ladang selain dibekalkan untuk jualan.

"Tanaman nanas antara usaha YP dalam mempelbagaikan sumber pendapatan melalui kepelbagaian tanaman dengan pendapatan per hektar yang tinggi," katanya.

Beliau berkata, projek tanaman nanas itu merupakan inisiatif di bawah program pembangunan ke arah Pensijilan Global GAP daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi membolehkan hasil dipasarkan ke luar negara.

"Proses pensijilan itu kini berada di fasa terakhir, menunggu pengauditan pihak luar.

"Kami juga merancang untuk mendapatkan Sijil Brand Reputation Compliance Global Standard (BRCGS) dan Rainforest Alliance Certification sekali gus membolehkan hasil nanas dieksport ke negara-negara Eropah pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, YPPH telah memperoleh Sijil Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) daripada Jabatan Pertanian bagi pengesahan ketulenan benih MD2. #sumber

Share:

Hanya Sebanyak 16 Peratus Sahaja Rakyat Pahang Berpandangan Kewangan Perlu Di Rancang

KUANTAN: Hanya 16 peratus rakyat Pahang berpendapat bahawa kewangan perlu dirancang dengan berhemah. Timbalan Gabenor, Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Ahmad Zahid berkata, dapatan itu diperoleh hasil kaji selidik keupayaan dan rangkuman kewangan 2021.

Menurutnya, perspektif sebegini menyumbang kepada kurangnya penampan kewangan dan orang ramai mendapati sukar untuk menyediakan wang RM1,000 dalam situasi kecemasan.

"Keupayaan membuat keputusan kewangan dengan bijak dan mempunyai wang kecemasan dapat meningkatkan pendapatan serta simpanan secara beransur-ansur.

"Langkah-langkah seperti mengamalkan bajet bulanan, mengelak pembelian tidak perlu, berikhtiar mengurangkan hutang, menabung untuk kecemasan, memulakan pelaburan selamat dan berniaga secara sambilan mampu menyumbang ke arah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Celik Kewangan di East Coast Mall, di sini pada Sabtu.

Adnan Zaylani memaklumkan inisiatif pendidikan kewangan secara terancang dilaksanakan oleh pihaknya sejak tahun 2000.

Jelasnya, bagaimanapun, pada peringkat awal, ia menjurus kepada kesedaran tentang produk dan perkhidmatan kewangan dan seterusnya memperkasakan pengurusan kewangan, melalui penubuhan BNMLINK dan Agensi Kredit dan Perkhidmatan Kaunseling ( AKPK).

Beliau menambah, penubuhan Jaringan Pendidikan Kewangan ( FEN) pada 2016, telah melonjakkan inisiatif pendidikan kewangan di seluruh negara melalui platform bersepadu yang melibatkan lapan agensi.

"FEN telah menggubal strategi literasi kewangan kebangsaan yang melakar inisiatif pendidikan kewangan secara lebih sistematik dan holistik.

"Kini penerapan mesej pendidikan kewangan telah dijalankan di semua peringkat sekolah sebagai sebahagian daripada kurikulum persekolahan kebangsaan secara lengkap, daripada peringkat prasekolah hingga sekolah menengah, hasil kerjasama erat bersama KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia)," katanya.

Dalam pada itu, Adnan Zaylani memberitahu FEN kini menumpukan usaha untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan belia di seluruh negara.

Menurutnya, bagi tujuan ini, BNM telah melaksanakan kaji selidik keupayaan dan rangkuman kewangan setiap tiga tahun bagi menilai tahap keupayaan kewangan rakyat Malaysia, termasuk belia.

Jelasnya, kaji selidik tahun 2021 mendapati bahawa kegagalan membuat keputusan kewangan yang baik di usia muda, boleh mengakibatkan masalah kewangan jangka panjang, memandangkan komitmen kewangan yang semakin bertambah ketika meningkat dewasa.

Sehubungan dengan ini, suatu program pendidikan kewangan secara dalam talian, FEN PROAKTIF telah dibangunkan.

"Program ini menyasarkan pelajar tahun akhir institusi pendidikan tinggi, untuk menyediakan belia dengan ilmu pengurusan kewangan pada beberapa tahun pertama bekerja.

"Besarlah, harapan kami jika semua institusi pendidikan tinggi seluruh negara amnya, dan di Pahang khususnya, dapat menggalakkan pelajar-pelajar tahun akhir mereka menjalani program ini," jelasnya. #sumber

Share:

Kampung Chengal Lempong Dipilih Sebagai Kampung Angkat Madani Peringkat Kebangsaan 2024

KUANTAN: Kampung Chengal Lempong, di sini, dipilih sebagai Kampung Angkat Madani Peringkat Kebangsaan 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program Kampung Angkat Madani merupakan salah satu cara dilakukan kerajaan dalam menilai sejauh mana keberkesanan dasar yang diumumkan.

“Untuk mengukur kejayaan sesuatu dasar di ketengahkan kerajaan, perlu diukur dari akar umbi (peringkat kampung),” katanya ketika merasmikan Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Peringkat Kebangsaan 2024 bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Chengal Lempong, di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, kerajaan tidak seharusnya memfokuskan pembangunan di kawasan bandar sahaja, sebaliknya peruntukkan juga perlu sampai ke peringkat kampung.

“Kita tidak boleh bangunkan hanya di kota, kita kena angkat peruntukkan sampai ke kampung supaya jangan ketinggalan. Dari sekecil masalah longkang sehinggalah kepada program pembangunan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Anwar dalam pada itu mengingatkan kepada semua jemaah menteri dan pegawai kanan kerajaan untuk sentiasa turun padang dan mendengar sendiri masalah rakyat terutamanya yang berada di kampung.

“Jentera kerajaan memang ada tetapi kadang-kadang maklumat dari bawah tidak sampai. Kita kena dengar semua dari bawah dan turun sendiri, mudahan dapat selesaikan masalah dengan baik.

“Mudahan rakan pegawai kanan dapat ambil perkara ini dengan serius. Kita bukan minta turun setiap hari. Mungkin sebulan atau dua bulan sekali,” kata Anwar dalam ucapannya. #sumber

Share:

Pemandu Lori Maut Selepas Rempuh Van, Kereta Dan Kedai Kosong Di Bandar Lama Jerantut

JERANTUT: Seorang pemandu lori meninggal dunia setelah kenderaan dipandu hilang kawalan dan merempuh sebuah van dan kereta yang diparkir serta sebuah kedai kosong di bandar lama di sini hari ini.

Ketua Polis Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, pemandu lori muatan tar itu disahkan meninggal dunia di lokasi nahas akibat kecederaan parah manakala pemandu van mengalami kecederaan ringan.

”Semasa kejadian kira-kira pukul 3 petang itu mangsa dari arah perjalanan dari persimpangan lampu isyarat Dato Bahaman menuju ke Jalan Bandar Lama.

”Apabila sampai di tempat kejadian mangsa telah gagal mengawal kenderaan dan telah melanggar sebuah van yang sedang bergerak dipandu seorang lelaki dan sebuah kereta yang di parkir dan juga sebuah buah kedai kosong,” katanya dalam kenyataan.

Zukri berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital bagi proses bedah siasat dan pemandu van pula menerima rawatan lanjut di Hospital Jerantut.

Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen  41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pahang memaklumkan dalam insiden itu, pemandu lori tersepit akibat melanggar kedai manakala mangsa di dalam van cedera di bahagian kaki dan telah dikeluarkan orang awam.

Pihak bomba membuat kerja-kerja menyelamatkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat. #sumber

Share:

Permarkahan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) Ikut Ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia

KUANTAN: Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) menafikan dakwaan tidak mematuhi pelaksanaan dan pengumpulan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) di pusat berkenaan.

Sebaliknya, ia menegaskan telah mematuhi semua garis panduan pelaksanaan dan pengumpulan markah seperti yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ini termasuk menghantar markah kepada pihak KPM mengikut ketetapan masa dan kaedah sebagaimana arahan dalam surat-surat KPM yang dikeluarkan kepada MTNP, tegas Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Mohd Lafzul Muda.

“Kami ingin merujuk kepada hantaran tular bertajuk ‘Rezeki Tertangguh Berjemaah’ yang dipaparkan melalui akaun Facebook salah seorang penjaga pelajar yang telah tular berkaitan PAJSK.

“MTNP telah segera berhubung dengan pihak KPM, Kementerian Pendidikan Tinggi, asasi universiti- universiti serta badan-badan penaja dan telah mendapat kerjasama yang baik daripada pihak-pihak yang berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Lafzul mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan dan kerjasama yang diberikan semua pihak terhadap perkara ini.

Dalam satu hantaran yang tular itu, seorang penjaga pelajar sekolah swasta ini mendakwa anaknya gagal mendapat pilihan pertama selepas keluar keputusan permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan baru-baru ini.

Penjaga itu mendakwa, siasatan yang dilakukanya mendapati terdapat kesilapan markah PAJSK yang menyumbang 10 peratus daripada merit, sehingga menyebabkannya anaknya dan pelajar sekolah berkenaan yang dinobat sebagai sekolah paling cemerlang ketika peperiksaan SPM lalu tidak mendapat tempat pada pilihan pertama UPU. #sumber

Share:

Dr S Malar: Kes Zhi Jie Maut Dalam Gelanggang, Kenapa Tengok Saja...Tak Perlu Takut Buat CPR

KUALA LUMPUR: Walaupun tidak tahu cara atau tiada pengalaman melakukan prosedur resusitasi kardio-pulmonari (CPR), sesiapa saja perlu bertindak segera memberikan bantuan kecemasan itu jika berdepan dalam situasi yang boleh mengancam nyawa.

Pegawai perubatan dan pempengaruh media sosial, Dr S Malar Santhi, berkata sesiapa saja yang berdepan situasi cemas perlu menjalankan tanggungjawab untuk menyelamatkan nyawa terlebih dahulu dan tidak perlu takut untuk melakukan prosedur berkenaan.

Mengambil contoh kes pemain badminton remaja China, Zhang Zhi Jie yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika perlawanan di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Ahad lalu, Dr Malar berkata, apa yang penting dalam situasi seperti itu adalah respon yang betul, tepat dan cepat.

Beliau berkata, perkara pertama yang perlu dilakukan sesiapa yang berdepan situasi berkenaan adalah memeriksa respon mangsa dan jika tiada sebarang respon, jerit segera meminta bantuan dan meminta peranti defibrillator luaran automatik (AED) dibawa ke lokasi kecemasan.

"Kemudian, anda sendiri perlu mulakan CPR. Jangan toleh kiri kanan depan belakang cari orang lain. Tidak kisah sama ada anda pernah belajar CPR, tidak pernah buat CPR, pernah belajar tapi sudah lupa atau takut, tolak tepi semua perasaan itu.

"Ambil kedua-dua tapak tangan dan letakkan dekat tengah-tengah dada mangsa, terus mulakan CPR dengan menghenjakkan bahu anda ke bawah dan berikan tekanan sekuat mungkin. Jangan takut dia (mangsa) sakit kerana orang itu tiada nadi pun, jangan takut patah tulang rusuknya.

"Anda hanya berikan tekanan CPR kepada mangsa dengan harapan jantung dia boleh mengepam kembali. Biasanya dalam dua ke tiga minit CPR dilakukan, anda akan penat dan pastikan ada orang di sekeliling anda yang boleh ganti membuat CPR ini sehingga bantuan profesional, seperti ambulans atau paramedik sampai," kata beliau melalui Facebooknya.

Dr Malar juga memaklumkan, sesiapa yang memberikan bantuan kecemasan, termasuk CPR dalam situasi yang mengancam nyawa, tidak boleh didakwa atau disaman walaupun mangsa mungkin mengalami kecederaan.

"Anda tidak boleh didakwa dan disaman, kononnya salah bagi CPR atau sampai patah tulang rusuk mangsa. Ada perlindungan undang-undang (untuk pemberi bantuan), jadi tidak perlu takut.

"Hanya takut kepada Pencipta yang soal anda satu hari nanti, kenapa tengok saja, tidak buat apa-apa dan tidak jalankan tanggungjawab.

"Ingat, mangsa itu, bila tiba ajalnya, dia akan pergi juga, tidak awal atau tidak lewat sesaat pun. Cuma kita yang dihadirkan di sebelah mangsa pada ketika itu yang diberi ujian, nak lihat sama ada kita tengok buat tidak tahu saja, berada dalam ketakutan atau kita jalankan tanggungjawab kita.

"Ya, kita semua memang diingatkan untuk berdamai dengan takdir dan menerima takdir tapi janganlah berserah kepada takdir sebelum berusaha dan buat apa-apa pun. Terus melopong berserah pada takdir. Bagi saya, itu salah," katanya.

Dalam insiden di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, kelmarin, Zhi Jie, 17, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika pertemuan antara China menentang Jepun dalam aksi Kumpulan D di GOR Among Raga.

Zhi Jie yang sedang berdepan Kazuma Kawano, rebah dalam keadaan tertiarap ketika perlawanan itu. Pasukan perubatan kejohanan kemudiannya memberikan bantuan kecemasan sebelum pemain itu dikejarkan ke hospital.

Bagaimanapun, Zhi Jie disahkan meninggal dunia pada jam 11.20 malam waktu tempatan.

Selepas rakaman video insiden itu tular di media sosial, orang ramai marah kerana mendakwa pasukan perubatan lambat bertindak dan kelihatan teragak-agak untuk memberikan bantuan kecemasan sejurus pemain itu rebah di dalam gelanggang.

Bagaimanapun, jurucakap Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Broto Happy mempertahankan tindakan pasukan perubatan dan penganjur, dan memaklumkan pasukan perubatan perlu menunggu kebenaran daripada pengadil sebelum boleh memasuki gelanggang. #sumber

Share:

Gopi Pelik Sri Pahang FC Ada Masalah Tunggakan Gaji Pemain Sehingga Mencecah Lima Bulan

KUANTAN: Kemelut tunggakan gaji yang berlaku dalam kem Sri Pahang FC bukan hanya membimbangkan penyokong, malah bekas pemain Tok Gajah turut merasa perkara sama dengan keadaan semasa kelab kesayangan itu.

Episod hitam Sri Pahang memasuki perkembangan baharu apabila difahamkan pasukan Pantai Timur berkenaan didakwa mengalami masalah tunggakan gaji sehingga mencecah lima bulan.

Situasi semasa menimpa Sri Pahang membuatkan bekas pemain Tok Gajah, Muhammad Gopi Rizqi turut tampil melahirkan kebimbangannya dan risau juga masalah berkenaan semakin melarat.

Selain berasa simpati, Gopi Rizqi yang pernah bermain bersama Tok Gajah pada musim 2010 hingga 2015 sebenarnya hairan bagaimana Sri Pahang boleh terpalit dengan masalah tunggakan gaji pada tahun ini.

Rasa hairan Gopi Rizqi terhadap itu timbul kerana semua sedia maklum bahawa Sri Pahang FC dimiliki oleh Tengku Muda Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

"Pada zaman saya tak pernah lagi masalah gaji sampai lima bulan. Pelik betul kenapa Pahang boleh ada masalah gaji sehingga lima bulan. Setahu saya Pahang jenis yang konsisten.

"Kalau orang yang tahu pasal Pahang ini, mesti akan tahu Pahang dimiliki oleh golongan kerabat Pahang. Jadi patutnya Pahang tiada masalah pasal gaji," kata Gopi Rizqi.

Dalam pada itu, Gopi Rizqi yang merupakan watak utama Sri Pahang merangkul trofi Piala Malaysia 2013 juga menggesa agar pihak pengurusan menjalankan tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Gopi Rizqi berkata, kerjaya sebagai pemain bola dipilih untuk menjadi mata pencarian namun isu tunggakan gaji berkenaan boleh menyebabkan mereka sukar untuk menunaikan keperluan buat keluarga.

"Bagi saya pengurusan pun perlu bayar. Mereka pun nak cari makan, ada keluarga lagi. Kalau tak bayar pun penuh pun tidak apa. Bayar sikit-sikit sahaja.

"Pelik juga kenapa Pahang jadi begitu, sebelum ini tak pernah. Tak pasti juga jika faktor liga dah diswastakan membuatkan Pahang boleh mengalami masalah berkenaan," tambahnya.

Untuk info, pemain berusia 34 tahun berkenaan merupakan antara pemain sayap terbaik kelahiran Pahang dalam sejarah sehingga diburu beberapa kelab besar termasuklah Johor Darul Ta'zim (JDT).

Gopi Rizqi merupakan aset penting di sebelah kiri Pahang dari 2010 sehingga musim 2015, dan berpindah ke Selangor setahun kemudian, disusuli Selangor (2016), JDT (2017), Melaka United (2018) serta PDRM FC pada 2019.

Bekas pemain Penang FC berkenaan kini sedang menyarung jersi pasukan Liga A1 Semi-Pro, Kuala Lumpur (KL) Rovers bagi saingan Kejuaraan MBSB Bank 2024/2025.

Namun, kecederaannya dialami membuatkan Gopi Rizqi masih belum tampil dalam sebarang perlawanan pada tahun ini. #sumber

Share:

Sri Pahang FC Memang Ada Isu Masalah Gaji, Pihak Pengurusan Sedang Usaha Sehabis Baik

KUANTAN: Belum memasuki pusingan kedua Liga Super musim ini, isu tunggakan gaji sudah menimpa beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M).

Sebelum ini, beberapa pemain dari kem Sri Pahang FC memberi petunjuk halus mengenai masalah kewangan skuad Tok Gajah yang berhubung kait dengan tunggakan gaji selepas memuat naik luahan berbentuk sindiran dan gesaan kepada pihak pengurusan.

Kemelut tunggakan gaji yang berlaku dalam kem Sri Pahang FC telah membimbangkan penyokong kerana ia mampu memberi kesan kepada perjalanan Tok Gajah musim ini.

Dalam menjawab status tunggakan gaji Sri Pahang FC, sumber terdekat mengesahkan bahawa perkara itu memang sedang membelenggu pasukan daripada Pantai Timur itu.

"Secara jujurnya saya tidak mahu bercakap lebih tentang isu ini.

"Ya, kami (Sri Pahang FC) memang ada masalah tunggakan gaji seperti semua orang tahu.

"Tapi saya harap mereka (pihak pengurusan) dapat menyelesaikan masalah itu dengan segara.

"Kami juga sedang melakukan persiapan untuk perlawanan seterusnya menentang Negeri Sembilan," katanya.

Sumber itu turut mendedahkan mengalami sedikit kesukaran untuk menjalani rutin harian akibat tunggakan gaji namun mengakui masih mencintai Sri Pahang FC.

"Ya, ia amat sukar (mengalami tunggakan gaji), tapi kami berharap pihak pengurusan segera selesaikan masalah ini, kerana kelab ini sangat menakjubkan.

"Saya sangat suka dengan kelab ini, penyokong sangat baik walaupun saya tidak tahu puncanya.

"Ya, secara jujurnya saya berharap dapat kekal bersama kelab ini," luahnya.

Sebelum ini, masalah tunggakan gaji Sri Pahang FC pernah dihebohkan pada April lalu namun ia dianggap hanya alat untuk memporak-perandakan kem Sri Pahang FC yang ketika itu sedang bersiap untuk saingan Liga Super.

Khabar angin pada April itu mula tersebar apabila laman X, Onefootball.my mengatakan Sri Pahang FC berdepan isu gaji untuk dua bulan namun ia dianggap sebagai dakwaan semata-mata kerana tiada laporan dibuat pemain mahupun staf pengurusan. #sumber

Share:

Festival Layang-Layang Antarabangsa Di Pantai Sepat Bermula Rabu Hingga Ahad Ini 'Lubuk' Rezeki Peniaga

KUANTAN: Seorang peniaga membawa kira-kira 4,000 aneka layang-layang pelbagai saiz untuk dijual kepada pengunjung pada Festival Layang-Layang Antarabangsa Kuantan di Pantai Sepat bermula Rabu sehingga Ahad ini.

Farah Aziana Anuar, 37, berkata, layang-layang itu dibawa dari Kuala Selangor ke sini kerana yakin ia mendapat sambutan luar biasa oleh pengunjung yang hadir ke pusat peranginan tersebut.

"Saya bawa kira-kira 4,000 layang-layang pelbagai jenis. Ada tiga saiz iaitu kecil, sederhana dan besar.

"Daripada jumlah itu, saya juga bawa 1,000 unit layang-layang pancing kerana ia disukai kanak-kanak dan lebih mudah dikendalikan berbanding layang-layang lain," katanya ketika ditemui di Pantai Sepat di sini, pada Rabu.

Dia berharap agar lebih ramai pengunjung hadir memeriahkan festival terbabit, selain melariskan aktiviti peniaga di sini.

"Tahun lalu saya datang juga berniaga di sini, tapi tahun ini saya harap dapat raih pendapatan lebih.

"Jadi, saya mahu ramai pengunjung boleh datang untuk melihat dan membeli layang-layang," katanya.

Sementara itu, pasangan suami isteri Norhaidah Gasuling, 49, dan Roslan Ali, 57, dari Pasir Gudang, Johor turut mengambil peluang untuk menjual layang-layang di Pantai Sepat.

Katanya, sebanyak 2,000 unit layang-layang dipamerkan untuk dibeli pelanggan.

"Kami bawa kira-kira 1,500 unit layang-layang biasa, kira-kira 500 unit layang-layang pancing.

"Harga pula paling murah kita jual RM10 seunit sehingga RM120 seunit bagi yang bersaiz lebih besar,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan ini lebih 10 tahun.

Penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa Kuantan kali ke-2, bermula 3 Julai sehingga 7 Julai di Pantai Sepat bakal menyaksikan penglibatan peserta daripada 15 buah negara.

Pelbagai program diadakan seperti penerbangan layang-layang gergasi oleh peserta antarabangsa bagi menarik ramai pengunjung pelbagai peringkat umur. #sumber

Share:

Pemandu Bas Persiaran Terbabit Nahas Di Jalan Genting Highlands Mengaku Tidak Bersalah

RAUB: Pemandu bas persiaran yang terbabit nahas di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands sehingga meragut nyawa dua pelancong warga China pada Sabtu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas dua pertuduhan iaitu memandu secara berbahaya dan tidak memiliki lesen memandu.

Tertuduh, S Anand Kumar, 32, beralamat di Klang, Selangor membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 29 Jun 2024, kira-kira jam 10.20 pagi di Kilometer (KM) 16.5 Jalan Genting Highlands (hala turun) di Bentong sebagai pemandu bas persiaran telah didapati memandu dengan cara berbahaya, sehingga menyebabkan kematian dua warga China, Zhang Ping, 58, dan Wang Suhong, 49.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh di lokasi, waktu sama didapati memandu suatu kenderaan bermotor di jalan raya tanpa ada lesen memandu yang membenarkan memandu kenderaan tersebut.

Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid yang menawarkan ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan lesen sekiranya ada serta tidak dibenarkan permohonan lesen sehingga kes selesai.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberikan alasan masih menanggung ibunya yang juga orang kurang upaya (OKU) dengan pendapatan RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

Siti Aisyah kemudiannya mengenakan ikat jamin keseluruhan RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 7 Ogos depan untuk sebutan semula bagi lantikan peguam dan serahan dokumen. #sumber

Share:

Kes Tuntutan Harta RM2 Bilion Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis Di Selesaikan Secara Baik

KUALA LUMPUR: Kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2 bilion yang difailkan oleh balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail, terhadap empat anak dan ibu mentuanya hari ini telah diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur.

Empat anak Kalsom iaitu Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla serta ibu mentuanya, Aminah Abdullah, adalah defendan pertama hingga kelima.

Peguam Syarie Nur Hidayah A Bakar, yang mewakili Aminah, bagaimanapun berkata terma penyelesaian tidak dapat didedahkan kepada umum.

"Alhamdulillah, hari ini pihak-pihak telah berjumpa untuk kami bermesyuarat lebih kurang tiga jam pada pagi ini dan semua telah mencapai kata sepakat bagi penyelesaian kes harta sepencarian dan pusaka Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis. Hari ini juga telah direkodkan dan diendorse sebagai perintah mahkamah.

"Semalam telah berjalan perbicaraan untuk keterangan pihak plaintif namun setelah pihak-pihak berbincang, mereka telah mencapai kata sepakat untuk mengadakan perbincangan semua pihak hari ini. Alhamdulilah… hari ini kes diselesaikan cara baik dengan persetujuan bersama," katanya kepada pemberita selepas prosiding tertutup di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz.

Kalsom, 68, diwakili peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia dan Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018 dengan menamakan empat anak serta ibu mentuanya sebagai defendan.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pengawal peribadi Jamaludin iaitu Razakan Seran serta seorang wanita dikenali sebagai Aidana Baizieva. #sumber


Share:

Najib Gagal Dapat Kebenaran Teruskan Semakan Kehakimannya Untuk Menjalani Baki Hukuman Penjara Dalam Tahanan Rumah

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak gagal mendapat kebenaran untuk meneruskan semakan kehakimannya untuk dibenarkan menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak tindakan undang-undang Najib berhubung kewujudan perintah adendum yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Hakim Amarjeet Singh memutuskan semua afidavit yang mendakwa kewujudan titah addendum berkenaan hanyalah khabar angin semata-mata.

Mahkamah memutuskan afidavit daripada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail tidak menunjukkan pengetahuan secara langsung mengenai kewujudan perintah tambahan Lembaga Pengampunan itu.

Amarjeet berkata kedua-dua afidavit itu sebaliknya hanya memetik kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz (gambar atas) yang dikatakan mendakwa kewujudan titah addendum itu.

Hakim itu berkata Najib selaku pemohon semakan kehakiman tidak pernah cuba mendapatkan Zafrul untuk mengesahkan kewujudan titah addendum itu sejak awal lagi.

Amarjeet juga memutuskan dua afidavit Najib sendiri yang menyokong tindakan kebenaran semakan kehakiman hanya mengandungi 'kenyataan kosong tanpa menyebut sumber dan kepercayaannya tentang kewujudan perintah tambahan itu'.

"Saya dapati kedua-dua afidavit adalah, pada tahap tertinggi, khabar angin tulen," hakim mahkamah membuat keputusan sebelum menolak permohonan itu tanpa perintah mengenai kos.

Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah kemudian memaklumkan Amarjeet bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Peguam itu juga berkata pihaknya sedang mempertimbangkan untuk memfailkan tindakan undang-undang berasingan berhubung dakwaan titah tambahan diraja itu, iaitu dalam bentuk writ saman di mahkamah sivil.

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mewakili kerajaan persekutuan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Jun lalu membenarkan permohonan Najib untuk memasukkan dua afidavit tambahan dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkannya bagi mencabar kewujudan perintah adendum yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 agar bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Dua afidavit itu ialah sokongan diikrarkan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail serta ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Konvensyen 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor April lepas.

Najib, 70, memfailkan permohonan itu pada 1 April lepas dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara lain, bekas perdana menteri itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Jan 2024.

Najib juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta-merta dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan di rumah.

Dia kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. #sumber

Share:

Halidan Akhirnya Bersara Wajib, Selepas 30 Tahun Perjuangannya Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang

KUANTAN: Perjuangan selama 30 tahun, Datuk Halidan Md Daud, 66, dalam menerajui Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang akhirnya menemui titik noktah apabila dia bersara wajib pada 30 Jun lalu.

Dalam tempoh tersebut, pelbagai bakti telah dicurahkan bekas Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang itu dalam memperkasa dan meletakkan institusi berkenaan pada tahap seperti yang ada hari ini.

Daripada RM5.4 juta kutipan zakat harta dengan hanya 5,000 pembayar pada awal penubuhannya, kini PKZ Pahang mampu berbangga apabila kutipan zakat harta pada 2023 mencecah RM215 juta dengan hampir 99,000 pembayar.

Halidan berkata, PKZ Pahang bermula sebagai sebuah syarikat swasta yang ditubuhkannya bersama beberapa individu lain untuk menguruskan kutipan zakat harta di daerah Kuantan pada 1994.

Menurutnya, syarikat yang ditubuhkan itu mendapat kepercayaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memandangkan sistem kutipan berkomputer yang diperkenalkan ketika itu lebih sistematik.

"Pada tahun 1996, pihak MUIP mengambil alih syarikat itu sebagai anak anak syarikat dan memperluaskan kutipan zakat harta ke seluruh daerah secara berperingkat.

"Saya diberi amanah menerajui PKZ Pahang dengan hanya lapan kakitangan ketika itu dan banyak cabaran terpaksa dilalui untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kewajipan berzakat dan meyakinkan umat Islam terhadap peranan agensi ini," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, anak kelahiran Jerantut itu berkata, 10 tahun pertama penubuhan PKZ Pahang mengalami satu tempoh yang amat mencabar.

"Awalnya kami mendapat penolakkan daripada sesetengah anggota masyarakat yang tidak boleh menerima kaedah kutipan zakat yang dilaksanakan.

"Bagi mereka ketika itu, ibadah urusan dan tanggungjawab peribadi jadi mereka tidak suka apabila ada kakitangan PKZ mengadakan kempen dengan mengedarkan risalah di tempat umum dan dari rumah ke rumah," katanya.

Halidan berkata, antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan kejadian kakitangannya dimaki hamun dan diugut serta dihalau dengan parang oleh seorang individu sekiranya mengedar risalah kempen kutipan zakat ke rumahnya.

"Kejadian itu berlaku pada peringkat awal penubuhan cawangan PKZ Pahang di sebuah daerah di negeri ini.

"Bukan hanya itu, kami juga turut berdepan tekanan masyarakat mempersoalkan tentang agihan wang zakat malah ada tohmahan menuduh kami menyalahgunakan wang tersebut," ujarnya.

Menurutnya, salah faham itu timbul disebabkan kebanyakan masyarakat tidak faham dan tahap kesedaran terhadap kewajipan berzakat masih rendah.

"Mungkin bagi mereka ibadah adalah tanggungjawap peribadi dan tidak boleh menerima kaedah kutipan zakat yang dilaksanakan.

"Pada masa sama, mereka juga tidak nampak manfaat zakat memandangkan ketika itu jumlah kutipan rendah dan jumlah penerima juga agak kecil," ujarnya.

Halidan berkata, pengalamannya selama 13 tahun dalam sektor perbankan dengan jawatan terakhir sebagai pengurus cawangan memberi satu kelebihan kepadanya terutama berkaitan kewangan dan pemasaran untuk membawa PKZ Pahang sebagai sebuah agensi kutipan zakat yang diyakini.

"Alhamdulillah, perkhidmatan PKZ Pahang mendapat kepercayaan masyarakat Islam di negeri ini apabila jumlah kutipan dan bilangan pembayar meningkat setiap tahun.

"Masyarakat juga mula membuka mata dengan data-data kutipan dan agihan yang dilakukan sekaligus membuktikan PKZ Pahang satu badan yang kompeten dalam menguruskan kutipan zakat harta di negeri," katanya.

Halidan berkata, selain menerajui PKZ Pahang, dia juga diberi amanah dalam Pengurusan Wakaf Pahang oleh MUIP pada 2021.

Selepas 30 tahun berkhidmat, Halidan berkata dia lega apabila meninggalkan agensi itu dalam keadaan seperti mana hari ini.

Bagaimanapun katanya, jika diambil kira bilangan pembayar zakat di negeri ini tahun lalu, jumlahnya belum mencapai 50 peratus berbanding jumlah penduduk yang produktif.

"Masih banyak ruang boleh ditambah baik kerana ramai belum membayar zakat harta dan mereka adalah golongan sasar berpotensi yang perlu sentiasa didekati," katanya.

Menyentuh mengenai perancang selepas persaraannya, Halidan berkata, dia sudah ada perancangan dan akan menumpukan lebih perhatian kepada kerja-kerja kemasyarakatan termasuk kepada tugasnya sebagai Pengerusi Masjid Saidina Ali bin Abi Talib, Bukit Sekilau dan Pengerusi Jawatankuasa Rumah Anak Yatim Permata Camar. #sumber

Share:

PDRM Beri 50% Diskaun Saman Trafik Pada 5-7 Julai Sempena Program Madani Rakyat 2024 Di Kuantan

KUANTAN: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bakal menawarkan diskaun saman trafik sebanyak 50% pada 5 hingga 7 Julai 2024. Ia adalah sempena penganjuran Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur yang berlangsung di Dataran Sayangi Kuantan, Pahang. Di mana kaunter saman trafik berkenaan dibuka di tapak acara dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar.

Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

Jadi, jika anda berada di Kuantan atau kawasan sekitarnya pada tarikh berkenaan, jangan lupa ambil peluang. #sumber

Share:

Lapan Negara Akan Sertai Kejohanan Powerboat Royal Pahang F3000 Sempena Pesta Kuantan 188 Pada 2 Hingga 4 Ogos Ini

KUANTAN: Lapan buah negara akan berentap dalam Kejohanan Powerboat Royal Pahang F3000 yang bakal berlangsung di Sungai Kuantan, bermula 2 hingga 4 Ogos ini sempena Pesta Kuantan 188.

Kejohanan bakal disertai pemandu tempatan dan antarabangsa dari Brazil, New Zealand, Amerika Syarikat, Brunei, Singapura, Papua New Guinea, Australia selain Malaysia dengan dua kategori dipertandingkan iaitu 1.5 kilometer perlumbaan sirkit dan perlumbaan drag.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, acara berkenaan julung kali dianjurkan sempena pesta itu yang menjangkakan kehadiran lebih 100,000 pengunjung.

"Acara yang melibatkan peserta tempatan dan antarabangsa itu dijangka dapat menarik minat pelancong tempatan dan luar negara ke Pahang, secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negeri ini.

"Saya merasakan kejohanan ini juga akan menjadi tumpuan orang ramai yang ingin melihat acara ini dengan lebih dekat," katanya pada sidang media Pesta Kuantan 188 di sini hari ini.

Pesta Kuantan 188 diadakan sempena meraikan hari keputeraan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai dan isteri Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 5 Ogos.

Berlangsung di pekarangan Menara Kuantan, antara acara lain yang bakal menjadi tarikan termasuk persembahan konsert artis tempatan dan luar negara, perlumbaan K188 Fun Race dan pameran K188 Cars and Coffee yang menghimpunkan 110 buah kereta antik. #sumber

Share:

Jurutera Elektrik Maut, Kereta Langgar Besi Penghadang Jalan Berhampiran Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS)

KUANTAN: Seorang jurutera elektrik maut selepas kereta dipandunya terbabas melanggar besi penghadang jalan di Jalan Pintasan Gebeng berhampiran Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini pada Ahad.

Dalam nahas kira-kira jam 5.20 petang itu, mangsa, Mohamed Afendi Mohamed Fauzi, 40, beralamat dari Tok Sira di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva dipercayai dalam perjalanan dari arah Kemaman menghala ke bandar Kuantan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.

"Akibat kejadian, tersebut, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #sumber

Share:

Pemuda PAS Pahang Pemangkin PAS Teraju Pahang Tema Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pahang Kali Ke-42

TEMERLOH: ‘Pemuda PAS Pahang Pemangkin PAS Teraju Pahang’ merupakan tema yang dipilih untuk Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pahang kali ke-42, yang berlangsung di sini, hari ini.

Ketuanya, Ustaz Zarimi Abu Zih berkata, tema itu diangkat bagi memberi signal bersiap-siaga dan gesaan kepada pemuda untuk mempersiapkan segala kekuatan dengan kompetensi masing-masing.

Ia, ujarnya bagi merencana langkah kemenangan, menggerak muafakat dan perpaduan generasi muda dalam membentuk ketumbukan pemuda sebagai ‘catalyst’ (pemangkin) PAS Teraju Pahang.

“Muktamar ini juga adalah medan terbaik untuk kita bermuhasabah dan menambah baik gerak kerja khususnya gerak kerja kepemudaan baik di peringkat cawangan, kawasan dan negeri,” ujarnya semasa menyampaikan ucaptama.

Pemuda PAS Pahang, ujarnya berazam mempersiap dan menyediakan anak muda memenuhi enam kualiti dan kriteria.

Pertama, katanya memantap dan memperkasa usrah kerana usrah merupakan tulang belakang kepada perjuangan di samping mampu membentuk fikrah dan disiplin amilin.

“Kedua, sentiasa melazimi majlis ilmu dan menyibukkan diri dengan ibadah, solat berjemaah di masjid, membaca Al Mathurat, membaca Al Quran dan qiam di malam hari.

“Kita sebagai pejuang tidak lari daripada sebarang mehnah dan tribulasi, dengan ilmu dan pergantungan kepada-Nya, insya-Allah ia menjadi bekalan asas kepada kita dalam menguruskan ujian,” ujarnya.

Empat lagi kriteria lain digariskan beliau adalah aspek pengukuhan organisasi, kelangsungan momentum gerak kerja pilihan raya, memperhebat gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan serta melebar luas jajaran pendidikan di bawah seliaan Pemuda seperti PASTI, SRITI dan SMITI.

Muktamar yang berlangsung di Dewan Maahad Al Istiqamah itu dirasmikan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, PAS Pahang telah memenangani 15 kerusi di mana dua daripadanya terdiri daripada calon Pemuda iaitu ADN Pulau Manis, Rafiq Khan dan ADN Sungai Lembing, Ayub Ashri. #sumber

Share:

Anthony Loke: Nahas di Genting Highlands, Bas Persiaran Tamat Tempoh Permit Dan Lebihi Had Usia

PUTRAJAYA: Bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan maut di Bentong, Pahang pada Sabtu lalu didapati telah tamat tempoh permit pada 16 Februari lalu dan had usia bas berkenaan telah melebihi tempoh iaitu 15 tahun, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Sehubungan itu, beliau mengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengambil tindakan paling tegas terhadap syarikat pengendali terbabit kerana ketidakpatuhan undang-undang yang amat jelas sehingga menjejaskan imej negara kerana melibatkan kematian pelancong asing.

“Kita ambil tindakan bukan sahaja terhadap permit yang ada dalam syarikat tetapi di peringkat kementerian menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kita bercadang untuk mengambil tindakan di bawah Seksyen 42(2) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang jarang kita ‘invoke’ (memohon pendakwaan menggunakan) seksyen ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mengikut Seksyen 42(2) tersebut, seseorang pemegang lesen yang tidak mematuhi mana-mana syarat yang dikenakan pada lesen di bawah seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Dalam kejadian sekitar 10.35 pagi, bas persiaran yang membawa 21 penumpang, terbalik dan meragut dua nyawa pelancong lelaki warga China, selepas terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan di kawasan selekoh KM 16.6 Jalan Genting Highlands.

Bas berkenaan itu membawa 18 pelancong warga China, seorang pemandu pelancong dan dua pemandu sedang dalam perjalanan dari arah Genting Highlands turun ke bawah.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dikenali sebagai Zhang Ping, 58, dan Wang Suhong, 49.

Sementara itu, menurut Anthony, pihaknya akan menyiasat semua aspek termasuk dakwaan mengatakan bas tersebut menggunakan nombor kenderaan palsu.

Mengulas mengenai mesyuarat khas yang membabitkan kementeriannya bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam sehari dua ini, jelasnya, ia antara lain akan membincangkan beberapa perincian termasuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan.

“SOP kita ketat cuma isu ketidakpatuhan. Itu satu yang kita amat kesal sekali bahawa pengendali tidak patuh syarat, kita ada SOP bukan tidak SOP.

“Ada syarat jelas, kena buat pemeriksaan kenderaan, kena perbaharui permit, had usia kenderaan dan sebagainya tapi syarikat langgar semua, itu menjadi masalah kita ada pengendali yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, APAD hari ini mengeluarkan surat tunjuk sebab (STS) kepada syarikat bas persiaran tersebut bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian kemalangan itu.

Syarikat terbabit diberi tempoh tiga hari untuk menjawab surat berkenaan. #sumber

Share:

Orang Ramai Di Nasihatkan Tidak Terpedaya Dengan Akaun Media Sosial Palsu Tengku Hassanal

KUANTAN: Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan kewujudan akaun media sosial palsu yang menggunakan nama serta gambar Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan Tengku Mahkota Pahang hanya mempunyai satu akaun media sosial rasmi iaitu di platform Instagram dengan menggunakan nama @this.7.

“Sebarang akaun lain termasuk di Facebook, Instagram, TikTok atau Threads yang menggunakan nama dan gambar baginda adalah palsu,” menurut hantaran itu. #sumber

Share:

Dewan Ulamak PAS Pahang Pilih Ustaz Abdul Karim Nor Sebagai Tokoh Ulamak PAS Pahang

JERANTUT: Dewan Ulamak PAS Pahang telah memilih Ustaz Abdul Karim Nor sebagai Tokoh Ulamak PAS Pahang sempena Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang Kali Ke-34 di KIAS Temin, di sini kelmarin.

Penyampaian anugerah kepada bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Cameron Highlands itu telah disempurnakan oleh Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nushi Dato’ Mahfudz.

Ustaz Karim yang dilahirkan pada 6 Mei 1954 di Kampung Keledek, Kuala Lipis, mendapat pendidikan awal peringkat rendah dari tahun 1961 hingga 1966 sebelum menyambung di peringkat menengah rendah dari tahun 1967 hingga 1973

Beliau seterusnya menyambung pengajian di Kulliyatul Lughah Wad Din Sultan Abu Bakar, Pekan pada tahun 1974 dan Kolej Islam Klang pada 1975, sebelum pada tahun 1976 menyambung pengajian dalam bidang Usuluddin dan Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam kerjaya, Ustaz Abdul Karim pernah berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Khairiah Temerloh, SMA Simpang Pelangai Bentong, SMA Rompin, Kulliyatul Lughah Wad Din Sultan Abu Bakar Pekan dan bersara pada 2012 di SMA Al-Ma’idatud-Diniah Padang Tengku.

Atas jasa dan khidmat baktinya dalam bidang pendidikan, beliau pernah mendapat Anugerah Guru Cemerlang STAM 2005 dan Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Agama Islam Pahang pada 2007.

Pada 2008, beliau mendapat limpah perkenan Sultan Pahang yang menganugerahkan pingat Ahli Mahkota Pahang (A.M.P).

Kebersamaan tokoh ini dengan perjuangan PAS bermula menjadi ahli PAS di Cawangan Bandar Baru Pekan pada Februari 1997 di mana beliau diberi kepercayaan sebagai Naib Ketua Cawangan dari tahun 1997 hingga 2009.

Dari tahun 2001 hingga 2009, beliau diamanahkan sebagai Ketua Urusan Ulamak Kawasan Pekan dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak Negeri Pahang.

Setelah berpindah ke Kawasan Cameron Highland, Ustaz Karim diberi kepercayaan memegang jawatan Ketua Urusan Ulamak Kawasan Cameron Highlands (2009-2011) dan seterusnya sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Cameron Highlands dari tahun 2011 hingga 2023.

Beliau turut diberi kepercayaan mewakili PAS sebagai calon dalam dalam PRU tahun 2013 dan 2018 di kawasan Dewan Undangan Negeri N.02 Jelai.

Hasil perkongsian hidup bersama al-marhumah Ustazah Selamah Mat Asit dan Ustazah Salmiah Mohammed, mereka dianugerahkan 5 cahaya mata dan 7 cucu.

Isteri pertama dinikahinya pada 1979 dan meninggal dunia pada 2007, manakala isteri kedua dikahwini pada 2008 dan kekal hidup bersama hingga ke hari ini dan Ustazah Salmiah sekarang memegang jawatan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kawasan Cameron Highland.

Kini dalam usia yang sudah menjengah 70-an, Ustaz Karim masih aktif dalam kegiatan dakwah dan kerja-kerja jamaah. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.