script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Daerah Bera Berjaya Raih Kutipan Hasil Tanah Lebih RM39.42 Juta Sehingga 7 Ogos Tahun Ini

BERA: Kesedaran pemilik tanah dan promosi berterusan yang dilakukan kerajaan negeri membantu meningkatkan kutipan hasil tanah di daerah ini.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, sebanyak RM39.42 juta berjaya dikutip pada tahun ini sehingga 7 Ogos lalu sekali gus melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu RM35.98 juta bagi tempoh tersebut.

"Alhamdulillah kutipan kita memang melebihi sasaran dan ini kerana kesedaran pemilik-pemilik tanah untuk membayar cukai tanah serta promosi yang dilakukan.

"Selain itu, tawaran yang diberikan kerajaan negeri memanjangkan tempoh insentif pengecualian denda lewat yang sepatutnya hingga Mei dipanjangkan ke November juga menyebabkan pemilik tanah membayar lebih cepat dan tepat pada masanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Karnival Tanah Peringkat Bera di Dewan Kompleks Rakan Mudah Bera di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pegawai Daerah Bera, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek dan ADUN Kemayan, Khaizulnizam Mohd Zuldin.

Dalam pada itu, Sabariah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai berkata, pada tahun lepas, Bera berjaya mencapai kutipan RM49.64 juta hasil tanah keseluruhan berbanding sasaran asal RM33.80 juta bersamaan 146.83 peratus daripada sasaran yang diletakkan kerajaan negeri.

"Pencapaian ini sangat membanggakan dan patut diberikan penghargaan sekali gus membuktikan komitmen seluruh warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Bera dalam memastikan sasaran kutipan hasil tercapai," ujarnya.

Selain reruai pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, pelbagai aktiviti seperti cabutan bertuah dijalankan termasuk belon panas yang julung kalinya dianjurkan sekali gus menjadi tarikan pengunjung karnival.

Turut diperkenalkan logo karnival bagi daerah itu yang diharapkan dapat mendekatkan lagi jenama program itu kepada masyarakat di Bera. #sinarharian

Share:

Sebanyak 134 Institusi Pendidikan Agama Yang Berdaftar Dengan MUIP Layak Terima Bantuan

KUANTAN - Semua institusi pendidikan agama yang sudah menerima surat kelulusan berdaftar Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP ) layak menerima sebarang bentuk bantuan daripada kerajaan termasuk agensi berkaitan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, sebanyak 134 institusi pendidikan agama yang direkodkan setakat ini.

Menurutnya, jumlah itu termasuk 34 sekolah yang sudah menerima kelulusan berdaftar bagi siri satu tahun ini.

"Kelulusan ini diberikan selepas lawatan yang dilakukan para panel yang dilantik oleh MUIP bagi menyemak, menilai kurikulum dan pengoperasian sekolah tersebut sebelum diluluskan oleh jawatankuasa.

"Sekolah-sekolah ini juga telah mendapat sokongan daripada pihak berkuasa tempatan terutamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang," katanya pada Khamis.

Terdahulu, majlis penyerahan surat kelulusan tersebut diadakan di Dewan Syarahan Ibu Pejabat MUIP, Pekan.

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 50 individu terdiri daripada pengetua, guru besar dan ahli jawatankuasa sekolah maahad tahfiz, madrasah, Sekolah Agama Rakyat (SAR) serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan juga tadika swasta.

Taklimat Pengurusan Pendaftaran yang disampaikan Ketua Unit Pendidikan MUIP, Mohd Azri Salehuddin.

Asmadi turut menyarankan agar pihak sekolah mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan sentiasa menjaga imej institusi agama terutama pendidikan, keselamatan dan seumpamanya.

Jelasnya, pihak sekolah juga diminta agar memberi penekanan kepada urus tadbir sekolah serta keutamaan kepada kemenjadian dan hala tuju pengajian para pelajar.

Beliau menambah, MUIP dalam skim bantuan turut menyediakan bantuan kepada sekolah yang berdaftar bagi memastikan kelancaran sesi persekolahan.

"Antaranya, skim bantuan dermasiswa pelajar, saguhati penghafaz al-Quran dan bantuan elaun kelas al-Quran kanak-kanak, skim bantuan am pendidikan serta sebagainya.

"Bantuan disalurkan kepada mereka berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan," ujarnya. #sinarharian

Share:

Kenapakah Pihak Berkuasa Tidak Halang Pembinaan 'Cameron Santorini' Sejak Dari Awal Lagi?

KUANTAN: Aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli hati ini mempersoalkan kewajaran pihak berkuasa merobohkan pusat pelancongan 'Cameron Santorini' di Cameron Highlands baru-baru ini.

Beliau mempersoalkan, kenapa lokasi terbabit dirobohkan selepas ia disiapkan dan menerima kunjungan sebagai tarikan baharu pelancongan ke kawasan tanah tinggi terbabit.

Operasi perobohan lokasi tersebut telah diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Azmil Hadid Maznan turut disertai Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Kerja Raya Cameron Highlands dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cameron Highlands pada Isnin.

Hantaran video Shukri di laman TikToknya cmk_shukrieramly1 yang mempersoalkan perkara ini telah mendapat 124 ribu tontonan, 4,271 tanda like, 1,392 komen dan 1,000 yang berkongsikan posting terbabit hari ini.

"Saya mahu bertanya tiga soalan kepada pihak berkuasa, kenapa dirobohkan binaan itu?. Bukankah ia boleh menarik kedatangan pelancong ke Cameron Highlands? dan soalan ketiga kenapa ia baru dirobohkan sedangkan pemiliknya habiskan belanja jutaan ringgit untuk bina struktur tersebut,

"Kenapa pihak berkuasa tidak halang mereka membinanya daripada awal. Kenapa masa dibuat tidak ada seorang pegawai pihak berkuasa yang memantau. Ia bukannya disiapkan dalam masa satu hari?." katanya.

Malah menurut Shukri lagi, Cameron Santorini bukannya disiapkan dalam tempoh sehari dua sebaliknya  memakan masa bertahun lamanya. Maka, tidak mungkin seorang pun pegawai pihak berkuasa tidak tahu dan mengambil tindakan.

"Daripada dirobohkan, lebih baik diberikan lesen pendudukan sementara (TOL). Selagi kerajaan tidak membuat sebarang pembangunan di situ, pemilik membayar lesen TOL dan kerajaan dapat hasil. 

"Lebih elok lagi, kerajaan ambil alih lokasi terbabit. Bukankah ia mendatangkan keuntungan apabila dikunjungi oleh para pelancong dari dalam dan luar negara. Meroboh selepas membiarkan ia dibina sejak sekian lama adalah tindakan tidak wajar. Lainlah stuktur bangunan yang dibina bertujuan untuk peribadi seperti membuat rumah banglo dan sebagainya." kata beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau menyokong tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan kerana ia satu kesalahan atas Seksyen 70 (1) iaitu pembinaan tanpa kelulusan di bawah Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Namun dakwanya, perlu ada budi bicara antara kedua-dua pihak.

"Lagi pun, tidak mungkin Cameron Santorini boleh dibina sesuka hati tanpa ada sokongan daripada orang dalam. Jika tidak bagaimana lokasi terbabit boleh dapat kemudahan air daripada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan letrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Bukan mudah nak dapat kemudahan air dan letrik jika ia dibina di tanah kerajaan sesuka hati tanpa ada kebenaran yang sah. Sebab itu saya menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara ini. Siasat siapa orang dalam yang mainkan peranan hingga pemilik keluarkan modal besar buat binaan haram atas tanah milik kerajaan.

"Bahkan semua tali barut dan mereka yang bersekongkol dalam hal ini ditangkap dan diambil tindakan kerana ia jelas telah mengadaikan integriti dan menganiaya pihak yang membuat pelaburan atas projek terbabit." dakwanya lagi.

Menurutnya lagi, beliau tidak mahu tindakan dilakukan hanya selepas pihak berkuasa terjaga dari tidur selepas mendapat teguran sola integriti daripada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini. #pahangdaily

Share:

Sebanyak 29 Ekor Anak Ular Sawa ‘Lepak’ Dalam Saluran Longkang Di Seksyen 20, Shah Alam

SHAH ALAM: Sebanyak 29 ekor anak ular sawa ditemukan dalam saluran longkang di sebuah restoran di Seksyen 20 di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kehadiran anak ular itu dimaklumkan menerusi panggilan telefon pada 9.56 malam tadi.

“Seramai enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, anggota mendapati ular sawa berkenaan masih berada di dalam saluran longkang sebelum memulakan kerja mengeluarkan reptilia itu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, anggota menggunakan alat penjerut dan berjaya menangkap 29 ekor ular terbabit.

“Ular tersebut kemudian dilepaskan di tempat yang selamat, sebelum anggota berkenaan pulang semula ke balai Bomba,” katanya. #malaysiagazette

Share:

Najib Bantah Permohonan Majlis Peguam Untuk Mencabar Keputusan Lembaga Pengampunan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan bantahan awal terhadap tindakan Majlis Peguam mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda bekas Perdana Menteri itu atas alasan Mesyuarat Agung Tahunan badan profesional itu tidak sah.

Najib, menerusi afidavit yang diikrarkan oleh peguamnya Muhammad Farhan Muhammad Shafee, menyatakan bahawa Majlis Peguam tidak mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan undang-undang tersebut kerana usul yang diluluskan pada AGM ke-78 badan itu adalah terbatal, ultra vires dan melanggar kewajipan statutori seperti diperuntuk dalam Akta Profesion Undang-Undang (LPA) 1976 apabila ia diadakan tanpa kuorum kehadiran yang diperlukan.

Muhammad Farhan dalam afidavit yang difailkan pada 6 Ogos berkata, antara usul yang dikemukakan pada AGM itu ialah mendapatkan kelulusan ahlinya untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap Lembaga Pengampunan berhubung keputusan mengenai hukuman penjara dan denda Najib.

"Menurut Seksyen 64(4) Akta Profesion Undang-Undang 1976, kuorum bagi memulakan AGM memerlukan kehadiran 500 ahli Majlis Peguam. Bagaimanapun, saya percaya bahawa pada 10 pagi 16 Mac, kuorum yang diperlukan tidak dapat dicapai.

"AGM itu telah bermula pada 12.15 tengah hari 16 Mac dengan kehadiran hanya 401 ahli (kira-kira 1.6 peratus daripada jumlah ahli majlis peguam), di bawah kuorum yang diperlukan dan usul untuk memfailkan semakan kehakiman yang didakwa dibincang serta diluluskan sehingga menyaksikan permohonan ini.

"Saya percaya AGM ke-78 Majlis Peguam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang menyebabkan keputusan untuk memfailkan permohonan ini adalah ultra vires serta perlu dibatalkan," katanya.

Peguam itu juga berkata Majlis Peguam tidak mempunyai locus standi bagi memulakan tindakan undang-undang itu kerana mereka tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam perkara berkaitan pengampunan Najib.

Majlis Peguam telah memfailkan permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu pada 26 April lalu yang menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersama-sama Najib sebagai responden.

Ia memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari lalu berhubung permohonan Najib untuk mengurangkan separuh daripada hukuman penjara beliau yang menyaksikan pembebasan awal beliau pada 23 Ogos 2028 adalah terbatal, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Majlis Peguam juga memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan denda Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta dengan syarat jika ia gagal dibayar, hukuman penjaranya akan dilanjutkan selama setahun, menyebabkan pembebasan awal pada 23 Ogos 2029 adalah terbatal, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Najib, 70, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. #beritaharian

Share:

Pekebun Maut Selepas Pacuan Empat Roda Yang Di Pandunya Merempuh Belakang Lori Kontraktor

KUANTAN: Seorang pekebun maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya merempuh belakang lori kontraktor yang menjalankan kerja menyiram pokok bunga di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran jejambat Bukit Istana dekat sini pada Rabu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Gee Len Fatt, 63, beralamat dari Jalan Haji Ahmad dekat sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu lori berusia 62 tahun itu bersama pekerja warga Myanmar dan Bangladesh tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kenderaan jenis Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke Gebeng.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori kontraktor Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sedang bergerak lurus di lorong kanan membawa muatan air untuk kerja-kerja penyiraman pokok bunga di laluan itu," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

"Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. #sinarharian

Share:

Ibu Maut Kereta Di Pandu Anak Kemalangan Dengan Lori, Treler Dekat Kampung Megat Segama, Temerloh

 

TEMERLOH: Seorang wanita warga emas maut selepas kereta dipandu anak lelaki terlibat nahas dengan lori dan treler di Kilometer 5 Jalan Jerantut-Temerloh dekat Kampung Megat Segama, Temerloh pada Selasa.

Dalam nahas yang dilaporkan kira-kira jam 4.20 petang itu, mangsa berusia 64 tahun beralamat dari Kampung Raja Songsang di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, anak lelaki mangsa berusia 30 tahun cedera di dada dan patah paha manakala pemandu lori berusia 41 tahun serta pemandu treler berusia 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta jenis Proton Iswara dinaiki dua beranak itu dalam perjalanan pulang dari arah Temerloh menghala ke Kampung Raja Songsang.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai memperlahankan kenderaan untuk masuk ke simpang di sebelah kanan.

"Pada masa sama sebuah lori jenis Nissan dari arah yang sama dipercayai gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta dinaiki mangsa hingga termasuk ke laluan bertentangan dan dilanggar treler jenis Volvo membawa muatan tong gas," katanya.

Mazlan berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera parah dan disahkan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu kereta yang parah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH) Temerloh untuk rawatan lanjut.

"Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh dikerah ke lokasi kejadian berjarak kira-kira 15 kilometer dari balai untuk operasi menyelamat.

Menurutnya, anggota bomba yang tiba di lokasi segera mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat.

"Mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. #sinarharian

Share:

Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuantan Bakal Membina Sebuah Kilang Ais Bernilai RM7 Juta

KUANTAN: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuantan bakal membina sebuah kilang ais berteknologi baharu bagi menampung keperluan dan permintaan bekalan ais di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini.

Projek pembinaan kilang dalam kawasan Kompleks LKIM itu melibatkan kos RM7 juta.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kerja-kerja pembinaan kilang itu dijangka bermula Januari tahun hadapan dan mula beroperasi Julai atau Ogos pada tahun sama.

Menurutnya, kilang itu dijangka mampu mengeluarkan 800 blok atau 100 tan ais dalam satu-satu masa.

"Kilang itu menggunakan empat mesin ais dengan setiap satunya mampu mengeluarkan 187 blok atau 25 tan ais mengambil masa hanya 15 jam untuk menyiapkan satu pusingan pengeluaran.

"Dengan pembinaan kilang ais oleh PNK Kuantan ini, ia dilihat dapat memenuhi permintaan bekalan ais di Kompleks LKIM Kuantan yang mencecah 1600 hingga 1800 blok sehari,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Kilang Air Batu PNK Kuantan dan Penyerahan Bantuan Titik Sentuhan Kepada Nelayan Kawasan Kuantan dan Pekan Tahun 2024 di Kompleks LKIM, Kemunting di sini pada Rabu.

Turut hadir Pengarah LKIM Pahang, Faizal Puasa, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pahang (Pernepa), Zulkifli Jusoh dan Pengerusi PNK Kuantan, Talib Husin.

Muhammad Faiz berkata, ketika ini bekalan ais bergantung kepada pengeluaran dari kilang sedia ada milik Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) berkapasti 1,000 blok ais sehari.

"Dengan adanya kilang ais baharu ini dijangka dapat menyelesaikan masalah kekurangan ais terutamanya pada musim puncak ( September-Disember).

"Seterusnya projek ini juga dilihat mampu meningkatkan serta melancarkan aktiviti perikanan terutamanya aktiviti pembungkusan hasil tangkapan selain mendorong pertumbuhan pendapatan PNK Kuantan," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, LKIM Negeri Pahang telah menerima peruntukkan RM150,000 bagi Bantuan Titik Sentuhan tahun ini daripada RM3 juta yang diumumkan kerajaan bagi belanjawan 2024.

"Seramai 53 nelayan Zon A dalam kalangan B40 yang berkelayakan telah dipilih untuk menerima bantuan tersebut pada tahun ini.

"Pada majlis ini seramai 24 nelayan Zon A dari kawasan Kuantan dan Pekan dalam golongan B40 menerima bantuan peralatan menangkap ikan melibatkan peruntukkan RM75,000.

"Peralatan yang diserahkan kepada penerima hari ini melibatkan satu set enjin bot, generator (3), sonar pengesan ikan (3), pukat kaya (96 set), pukat udang (20 set) tong insulasi (16 unit), timah (110 kg), pelampung telur (5,510 set), kawat bubu (30 set) dan pukat kurau/pari (13 set)," jelasnya.

Beliau berkata, objektif bantuan itu bagi membantu meningkatkan pendapatan nelayan golongan B40 selain meningkatkan kecekapan serta kemahiran nelayan ke arah peningkatan produktiviti sektor perikanan.

Sempena majlis itu, turut diadakan penyerahan sumbangan tabung kebajikan dan bencana alam kepada lapan nelayan di bawah seliaan PNK Kuantan dengan jumlah keseluruhan RM 8,250. #sinarharian

Share:

Pusat Pelancongan 'Cameron Santorini' Di Roboh Pihak Berkuasa Gara-Gara Di Bina Secara Haram

CAMERON HIGHLANDS: Tindakan berani pemilik Cameron Santorini melakukan pembinaan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan membawa padah apabila tarikan baharu yang menarik di Cameron Hinghlands itu dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Dalam operasi yang dilaksanakan bermula pukul 9 hingga 11.30 pagi semalam itu menyaksikan sebahagian daripada binaan Cameron Santorini dirobohkan oleh pihak berkuasa.

Operasi diketuai Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Azmil Hadid Maznan turut disertai Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Kerja Raya Cameron Highlands dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cameron Highlands.

Menurut kenyataan Majlis Daerah Cameron Highlands, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan atas kesalahan Seksyen 70 (1) iaitu pembinaan tanpa kelulusan di bawah Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“Semoga tindakan penguatkuasaan ini dapat menjadi iktibar dan peringatan kepada mana-mana pihak yang berhasrat melaksanakan projek pembangunan agar mematuhi sepenuhnya prosedur dan peraturan berkaitan semasa yang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Difahamkan pihak berkuasa terbabit akan mengeluarkan kompaun terhadap pembinaan bangunan yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa termasuk tiada kebenaran merancang.

Difahamkan juga kawasan berkenaan yang berstatus pertanian disewa daripada pihak Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Azri Ramli berkata, operasi yang dilaksanakan berkenaan berjalan dengan baik dan lancar.

“Tiada kekecohan dan tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dan kawasan berkenaan kini ditutup,” ujarnya.

Baru-baru ini Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan apabila tanah di Pahang sudah mula ‘dijajah’ pendatang asing secara terang-terangan rentetan kurangnya nilai integriti.

Baginda bertitah, sebagai contoh tanah-tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani-petani serta pengusaha, kini disewakan pula kepada warga asing.

“Demi hanya mengikut nafsu dan mementingkan wang ringgit, kita sanggup menggadai integriti dan membiarkan tanah di negeri ini diratah oleh bukan pemiliknya.

“Lebih mendukacitakan lagi, warga asing tersebut telah mengambil alih peranan sebagai ‘tauke’ yang mengawal bekalan dan harga dalam industri pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel-kartel yang merosakkan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhannya,” titah baginda. #kosmo

Share:

Sultan Pahang Akan Kurnia Rumah Baru Untuk Keluarga Mangsa Nahas Treler Di Ketapang Hilir

PEKAN: Prihatin dengan nasib mangsa yang rumahnya musnah akibat dirempuh sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir pada Sabtu, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengurniakan sebuah rumah baru kepada keluarga mangsa.

Mohd Fakhrul Hafiz Nasruddin, 35,  berkata perkara itu dititahkan sendiri oleh Al-Sultan Abdullah ketika baginda berkenan berangkat menziarahi keluarga mangsa di rumahnya kira-kira 1.30 tengah hari dan meluangkan masa hampir setengah jam bertanya khabar dan menzahirkan simpati atas kejadian tersebut.

kemalangan yang berlaku kira-kira 4.15 pagi itu sesuatu sangat dahsyat, sehingga mengakibatkan dua adiknya meninggal dunia.

“Ketika Tuanku melawat tapak rumah kami yang roboh dirempuh lori itu, Tuanku titah kepada saya, insya-Allah, akan ganti rumah itu dan buat rumah baharu, di kawasan sama, tanah pusaka. Tuanku tidak beritahu bila, kemungkinan akan ada orang Istana akan datang nanti.

“Tuanku juga menyarankan kami supaya mengambil tindakan undang-undang menyaman syarikat lori terbabit bagi menuntut keadilan buat keluarga kami,” katanya kepada media selepas Al-Sultan Abdullah berkenan menziarahi keluarga berkenaan yang turut diiringi Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi dan Alam Sekitar Pahang Datuk Mohd Nizar Najib.

Dalam kejadian itu, treler membawa muatan siling kapur dari arah Johor Bahru, Johor menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan di selekoh kiri dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan.

Tragedi itu menyebabkan Nurnazatul Fasiha, 32, meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya Mohd Waldon Faris, 21, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.

Ibu bapa mangsa Norrulaini Mohd Hassan, 54, dan Nasruddin Othman, 60, serta rakan Mohd Waldon Faris, Muhammad Gabriel Miqhael Muhammad Faidzal, 19, yang turut berada dalam rumah berkenaan mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Pekan.

Mohd Fakhrul Hafiz yang merupakan abang sulung kepada mangsa, mengharapkan pihak berkuasa dapat memasang pembahagi jalan yang lebih tinggi di kawasan itu bagi mengelakkan insiden sama berlaku lagi.

“Tidak pernah lagi berlaku dan ini merupakan pertama kali kerana lori terbabit terbabas daripada laluan bertentangan. Langkah segera perlu dilakukan,” katanya.

Ibu mangsa Norrulaini yang masih trauma dengan insiden itu pula berkata suaminya Nasruddin, patah tulang rusuk dan sehingga kini masih belum menerima hakikat dua anaknya terkorban dalam kejadian tersebut.

“Tuhan sahaja yang tahu, rasa kehilangan dua orang anak, tak boleh nak bayangkan. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana selamat dan tidak cedera,” katanya. #malaysiagazette

Share:

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang Rampas 1.26 Juta Rokok Di Tinggal Tepi Jalan

KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang mematahkan cubaan pengedaran 1.26 juta batang rokok bernilai RM942,480 menggunakan sebuah lori di kawasan Taman Sri Mahkota, di sini.

Pengarahnya Mohd Asri Seman berkata, rampasan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang hasil pemeriksaan ke atas lori yang ditinggalkan di tepi jalan kawasan itu pada 2 petang, 16 Julai lalu.

Katanya, tiada tangkapan dibuat dan pihaknya melakukan siasatan lanjut termasuk mengesan pemilik lori dan rangkaian sindiket terbabit.

"Jumlah keseluruhan rampasan RM1,002,480 yang termasuk lori, manakala duti dan cukai dianggarkan RM841,680.

"Modus operandi sindiket adalah menggunakan lori berkanvas dan bergerak aktif pada waktu puncak untuk mengaburi pihak berkuasa. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya pada sidang media di Wisma Kastam di sini, hari ini.

Sementara itu, pada 22 Julai lalu, pihaknya juga menahan lelaki lingkungan usia 30-an di Kilometer (KM) 129, Lebuhraya Segamat-Kuantan, dekat Muadzam Shah, selepas menemukan 53,100 batang rokok.

Katanya, keseluruhan rampasan termasuk cukai berjumlah RM45,607,72 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

Bagi kes cubaan menyeludup daging babi sejuk beku pada 17 Julai lalu, Mohd Asri berkata, pihaknya merampas 6,750 kilogram daging itu selepas menahan sebuah lori di KM 131 Laluan Gerik, Perak.

Menurutnya, pemandu dan kelindan lori berusia 30-an ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967. #harianmetro

Share:

Penternak Ikan Sangkar Alami Kerugian Lebih RM122,000, Air Sungai Pahang Cetek Melampau

MARAN: Fenomena air Sungai Pahang yang surut melampau mengundang kerugian lebih RM122,000 kepada 24 penternak ikan sangkar di Kampung Sanding dan Chenor, dekat sini.

Setiap penternak kerugian antara RM5,000 hingga RM48,600 apabila ikan pelbagai saiz yang diternak mati apabila sangkar masing-masing berada diatas pasir selain faktor air sungai menjadi panas.

Penternak, Mohd Azmi Jamal, 41, berkata, dia kerugian lebih RM38,400 apabila lebih 16,800 ikan patin pelbagai saiz yang diternak dalam 28 sangkar mati secara berperingkat sejak bulan lalu.

Menurutnya, episod air Sungai Pahang surut melampau hingga sangkar ikan berada di atas pasir berlaku setiap tahun sejak tiga tahun lalu apabila musim kemarau berlaku.

"Penternak terpaksa berhadapan musibah itu dengan sabar dan reda.

"Kemarau atau El Nino kali ini lebih serius berbanding sebelum ini apabila banyak sangkar ikan berada di atas pasir, beting pasir berlaku di beberapa kawasan sepanjang Sungai Pahang.

"Ikan sangkar saya yang diusahakan bersama adik, Nurmadihah mula mati pada hari pertama Aidilfitri apabila lebih 12,000 ikan patin dan tilapia dalam lapan sangkar mati," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, penternak ikan sangkar di daerah itu kini dalam dilema memikirkan musim kemarau yang berlaku setiap tahun, kejadian itu semakin serius dan membimbangkan hingga mengundang kerugian besar pada mereka.

Bagi Nurmadihah, 34, kini hanya empat sangkar sahaja yang boleh digunakan, selebihnya berada terdampar di atas pasir sejak dua bulan lalu.

"Sebelum ini, antara 20 hingga 30 kilogram (kg) ikan patin dan tilapia mati setiap hari.

"Beting pasir di kawasan sangkar ikan mula muncul bulan lalu secara berperingkat, sebelum ini paras air Sungai Pahang mula cetek hingga menyebabkan air menjadi panas seterusnya ikan mati.

"Laluan air yang berada di tepi sungai tempat sangkar ikan ditempatkan semakin hari menjadi cetek, faktor berkenaan menyebabkan ikan mati. Kualiti air juga merosot dan berbau busuk.

"Lebih parah ikan yang masih ada dalam sangkar berkenaan tidak boleh makan kerana berbau busuk, ikan berkenaan juga tidak sihat. Kulitnya luka, cedera dan bertukar warna menjadi putih," katanya yang turut mengusahakan warung di tepi Sungai Pahang di Kampung Sanding.

Menurutnya, kini terdapat kira-kira 500 ikan patin dalam empat sangkar, dia tidak bercadang untuk menjual ikan berkenaan dalam masa terdekat berikutan keadaannya tidak sihat dan berbau busuk.

Nurmadihah berkata, benih ikan yang diberikan Jabatan Perikanan Pahang sebanyak 2,000 bulan, dipercayai hanya tinggal beberapa ekor sahaja selepas mati kerana air panas dan bertukar warna menjadi hitam serta berbau busuk.

"Saya dan abang tidak lagi sanggup menanggung kerugian setiap tahun setiap kali musim kemarau berlaku, kami merancang untuk mengalih sebahagian sangkar di kawasan Sungai Pahang yang lebih dalam terletak kira-kira 100 meter daripada tempat sekarang," katanya yang menyambung projek ternakan ikan itu daripada ayahnya. #harianmetro

Share:

Tuan Ibrahim: Kebimbangan Yang Di Zahirkan Oleh Sultan Pahang, Perlu Perhatian Serius Kerajaan

KUANTAN: Kebimbangan yang dizahirkan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan tanah di Pahang yang diterokai tanpa rasa takut dan ditakluk oleh pendatang asing secara terang-terangan amat wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penerokaan tanah secara haram terutamanya oleh pendatang asing bukan sahaja merugikan sumber negeri tetapi ia turut menimbulkan masalah kelestarian alam dan juga keselamatan orang ramai. 

“Saya amat bersetuju dan berterima kasih atas keprihatinan Baginda Tuanku yang sememangnya tidak asing lagi dengan kecaknaan Tuanku terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Kita harus belajar dari kejadian yang merugikan negeri dan nyawa rakyat, seperti kejadian yang menimpa lima warga Myanmar, juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang maut dalam kejadian tanah runtuh di kebun sayur Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands pada awal tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penjajahan tanah secara haram seperti yang diluahkan Baginda, turut diakui oleh Menteri Besar Pahang, Dato Sri Diraja Wan Rosdy. 

Menurut Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS, harus diakui walaupun kerajaan cuba bertindak tegas, namun realiti penguatkuasaan bagi membanteras pecerobohan tanah serta curi hasil masih berada pada tahap yang lemah. 

“Masalah ini semakin membarah apabila integriti sesetengah pihak amat merisaukan. Mereka sanggup menggadaikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk Pahang demi merebut keuntungan untuk diri sendiri. 

“Kita tidak mahu angka 160,000 hektar tanah kerajaan yang dilaporkan diterokai di seluruh Pahang makin meningkat. Justeru, kerajaan  negeri harus menambah baik penguatkuasaan dengan menambah kakitangan. 

“Kerajaan juga boleh memaksimumkan sumber tenaga manusia yang sedia ada dengan mengadakan kerjasama strategik antara beberapa agensi untuk memantau kegiataan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata, rakyat juga perlu diberi kesedaran tentang perlunya ada jati diri dan integriti yang tinggi. 

“Semestinya Dato' Sri Menteri Besar Pahang serta kepimpinan negeri perlu menjadi contoh agar ia menjadi teladan kepada rakyat keseluruhannya. 

“Saya turut menyeru kepada rakyat Pahang agar bersama-sama dalam memastikan tanah dan sumber bumi negeri Pahang ini tidak diambil dan dikawal oleh ‘orang asing’. 

“Kita tidak mahu merosakkan ekonomi negeri serta negara melalui kawalan dan pemilikan oleh penceroboh asing dan penceroboh haram ini,” katanya. #harakahdaily

Share:

Seramai 48 Individu Ditahan, Ceroboh Kebun Durian Musang King Atas Tanah Kerajaan Di Raub

KUANTAN: Seramai 48 pekebun dan pekerja kebun durian Musang King di daerah Raub yang dikesan menceroboh tanah kerajaan dan melanggar arahan mahkamah ditahan sepanjang 'Ops Sekat' rmula 30 April lalu sehingga hari ini.

Ketua Polis Pahang Datuk seri Yahya Othman berkata kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 67 tahun itu melibatkan 24 warga tempatan dan Orang Asli serta 24 pekerja warga asing iaitu 12 warga Indonesia, Myanmar (7), Bangladesh (2) serta tiga warga Nepal.

Katanya tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh tanah kerajaan selain dirujuk dan disiasat oleh agensi lain seperti Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Pejabat Hutan daerah berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada media ketika mengulas tangkapan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing menceroboh tanah milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) untuk memungut hasil durian pada Jumaat lepas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

"Operasi akan diteruskan untuk mengelakkan mereka daripada terus menceroboh. Nampaknya musim buah mereka mula ambil tindakan sendiri untuk masuk. Kita menguatkuasakan perintah mahkamah untuk melarang sebab mahkamah telah mengesahkan tanah itu milik kerajaan negeri," katanya.

Kesemua tangkapan baharu itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub untuk siasatan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis setelah proses dokumentasi selesai.

Pada Julai lepas, seramai 131 pekebun durian Musang King dari Raub gagal dalam usaha untuk mendapatkan kebenaran mengakses kebun durian yang diusahakan mereka sementara menunggu keputusan rayuan terhadap perintah pengusiran.

Ini susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan pekebun itu untuk mengubah perintah hakim yang tidak membenarkan mereka memasuki kebun bagi menyelenggara dan mengusahakan pokok durian mereka. #astroawani

Share:

Polis Pahang Tahan Seorang Pemandu Kereta, Ganja Lebih 111 Kg Di Rampas Dekat Sungai Ular

 

KUANTAN: Polis mengesahkan rampasan lebih 111 kilogram (kg) dedaun kering kehijauan disyaki ganja bernilai RM359,600 di tepi jalan berhampiran kedai makan medan selera Sungai Ular di sini, Khamis lalu, adalah yang terbesar di Pahang tahun ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, semakan rekod lampau mendapati lelaki berusia 48 tahun yang ditahan bersama rampasan itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurutnya, ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan direman selama tujuh hari sehingga 8 Ogos ini bagi membantu siasatan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan sebatan tidak kurang 12 sebatan.

"Siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 ke atas harta milik suspek dan sekutu masih diteruskan.

"Siasatan awal mendapati suspek melakukan jenayah itu seorang diri dan mengambil bekalan dadah dari negeri jiran dengan menjadikan lebuh raya sebagai laluan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.

Yahaya berkata, berdasarkan laporan lelaki itu ditahan oleh anggota Unit Peronda Lebuhraya (EMPV) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman ketika memandu kereta di tepi jalan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 menghala ke Kuala Lumpur pada pada 9 pagi.

Menurutnya, ketika anggota polis ingin melakukan pemeriksaan di dalam kenderaan itu, suspek bertindak memecut kenderaan menghala ke Plaza Tol Jabor.

"Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan di tepi jalan berhampiran kedai makan medan selera Sungai Ular Jalan Kuantan-Kemaman.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta itu menemukan 107 paket plastik lut sinar yang mengandungi ketulan mampat disyaki ganja seberat 111.66351 kg.

"Dengan tangkapan ini, polis percaya dapat menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis ganja untuk diedarkan ke pasaran tempatan.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan seramai 111,663 penagih dadah," katanya. #harianmetro

Share:

Menteri Besar Pahang Mulakan Tugas Di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) KotaSAS

KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memulakan tugas secara rasmi di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), KotaSAS, di sini pada Isnin selepas Wisma Sri Pahang beroperasi lebih 50 tahun.

Dalam hantaran Facebook miliknya, beliau memberitahu PPSAS merupakan pusat pentadbiran baharu Kerajaan Negeri Pahang.

Menurutnya, ia bagi menggantikan Wisma Sri Pahang yang telah beroperasi sejak 28 Februari 1970.

"Semoga Allah SWT mengurniakan rahmat dan keberkatan agar negeri Pahang terus aman, makmur dan sejahtera," ujarnya lagi.

alam hantaran tersebut, Wan Rosdy juga memuat naik beberapa keping gambar beliau di pusat pentadbiran baharu itu.

Sementara itu, PPSAS dilaporkan bernilai RM415.52 juta telah mula dibina pada 2016 dan dibangunkan dengan reka bentuk yang diilhamkan daripada jata negeri Pahang serta mengaplikasikan teknologi hijau.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ketika itu Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menyempurnakan perasmian PPSAS pada 7 Disember tahun lepas. #sinarharian

Share:

Sultan Pahang Dan Tengku Ampuan Mencemar Duli Hadir Ke Pesta Kuantan 188 Malam Tadi

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli ke Pesta Kuantan 188 di Kuantan 188 di sini malam ini.

Ketibaan baginda berdua ke menara kedua tertinggi di Malaysia itu pada 9 malam, disambut paduka anakanda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan kerabat diraja yang lain.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hospitality 360 Sdn Bhd, Datuk Seri Omar Naresh Mohan dan Pengarah Urusan Kuantan 188 Datuk Zulkifli Mohamad.

Majlis yang diadakan bersempena memuliakan ulang tahun hari keputeraan Al-Sultan Abdullah pada 30 Julai dan Tunku Azizah pada 5 Ogos itu, dimeriahkan dengan acara memotong kek dan pulut kuning, di samping pertunjukan bunga api.

Selain itu, majlis yang memasuki kali ketiga penganjurannya turut diserikan dengan persembahan nyanyian artis terkenal Ratu Runut Bunyi, Melly Goeslow selain Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, Black Hanifah dan DeFam.

Al-Sultan Abdullah turut mencuri perhatian apabila berkenan naik ke pentas berduet bersama Jamal mendendangkan lagu Gadis Melayu.

Pesta Kuantan yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam turut menganjurkan Kejohanan Powerboat Royal Pahang F3000 selain perlumbaan K188 Fun Race dan pameran K188 Cars and Coffee yang menghimpunkan 110 kereta antik. #beritaharian

Share:

Pemandu Treler 'Lalok' Rempuh Rumah, Dua Beradik Maut Di Kampung Ketapang Hilir, Pekan

KUANTAN: Seorang pemandu treler dipercayai di bawah pengaruh dadah merempuh sebuah rumah menyebabkan dua beradik maut di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, Pekan hari ini.

Mereka yang meninggal dunia ialah Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 33, maut di tempat kejadian manakala adiknya, Mohd Waldon Faris Nasruddin, 25 meninggal dunia pada jam 1.30 tengah hari ini.

Tiga lagi mangsa iaitu ibu bapa mangsa, masing-masing berusia 64 dan 54 tahun serta seorang rakan, Mohd Waldon Faris berusia 19 tahun mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata berdasarkan laporan, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 4.15 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati treler yang dipandu lelaki berusia 40 tahun berseorangan dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan membawa muatan siling kapur.

"Apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu lelaki itu ketika melalui selekoh ke kiri hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan kemudian merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan.

"Akibat kemalangan itu, Nurnazatul Fasiha disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat orang yang berada di dalam rumah mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, pada jam 1.30 tengah hari ini, Mohd Waldon Faris disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, ujian saringan awal yang dijalankan di Hospital Pekan mendapati pemandu treler didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Pemandu treler akan ditahan untuk tujuan reman esok sebaik sahaja rawatan selesai," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang wanita ditemukan maut dibawa runtuhan rumah selepas dirempuh sebuah treler yang terbabas di Kampung Ketapang Hilir, Pekan, hari ini. #harianmetro

Share:

Polis Rampas Darjah Kebesaran Seri Sultan Ahmad Shah Pahang Palsu Daripada Pengarah Redtone

KUALA LUMPUR: Polis telah merampas beberapa peralatan Darjah Kebesaran Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang palsu daripada Pengarah Redtone Sdn. Bhd., Badrul Hisham Abdul Aziz.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, rampasan dibuat susulan laporan daripada Jumaah Pengakuan Diraja Negeri Pahang berhubung penggunaan darjah tersebut yang tidak wajar oleh individu itu sejak beberapa tahun lalu.

“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti suspek-suspek lain yang terlibat dalam sindiket pemalsuan darjah kebesaran Pahang.

“Penama ini akan dituduh di bawah Seksyen 3(1)(a) Enakmen 18, Enakmen Lambang, gelaran atau anugerah (mencegah penggunaan tidak wajar) Pahang 2017 kerana telah menggunakan gelaran tidak wajar bagi tujuan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak lebih RM500,000 atau dipenjarakan tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, beliau menasihati mana-mana orang supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan darjah kebesaran palsu kerana ia adalah satu kesalahan jenayah.

Terdahulu, polis telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan penggunaan gelaran ‘Datuk Seri’ palsu membabitkan seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, tindakan sedang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Pahang.

Difahamkan, satu laporan berhubung kes itu dibuat di Kuantan, Pahang pada 26 Julai lalu.

Semakan di laman rasmi syarikat telekomunikasi itu mendapati individu itu dilantik sebagai ahli lembaga pengarah sejak 1 September 2022. #malaysigazette

Share:

Azam Baki: Dua Peguam Dipanggil SPRM, Siasatan Berkait Rasuah Projek Perumahan Di Pahang

PUTRAJAYA: Dua peguam dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan berhubung kes rasuah projek perumahan bernilai hampir RM110 juta di Pahang.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan kedua-duanya dipanggil berhubung kes berkenaan.

“Saya mengesahkan, SPRM memanggil dua peguam berhubung kes Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) untuk disoal siasat.

Tiada reman ke atas dua individu itu, katanya hari ini.

Media kelmarin melaporkan penahanan tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk kerana disyaki menerima rasuah berkait satu projek perumahan berjumlah hampir RM110 juta di Kuantan, Pahang.

Sumber berkata, suspek bergelar Datuk itu adalah bekas pegawai sebuah anak syarikat milik penuh pemaju SPNB.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek bersama seorang lagi individu dipercayai menerima rasuah daripada sebuah syarikat pembinaan sebagai balasan bersekongkol menandatangani perjanjian pembangunan tambahan (SDA) membabitkan Projek Pembangunan Perumahan Rumah Aspirasi Rakyat Daerah Kuantan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah SPNB.

“Perjanjian yang ditandatangani itu dipercayai mengandungi klausa yang berat sebelah sehingga menyebabkan SPNB menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

Semua suspek ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM antara jam 6.30 petang hingga 7 malam pada Isnin lalu, namun seorang dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka dirakamkan, katanya.

Mereka kini direman lima hari sehingga 3 Ogos ini. #freemalaysiatoday

Share:

Pahang Akan Tindakan Undang-Undang Terhadap Pemilik Yang Sewakan Tanah Kepada Warga Asing

KUANTAN: Pekebun yang didapati menyewakan tanah kepada warga asing berdepan tindakan undang-undang oleh kerajaan negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah yang ditimbulkan para pekebun tidak bertanggung jawab itu.

Antaranya, melaksanakan pemutihan tanah pertanian membabitkan 78 blok seluas 5,526.291 hektar tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan di Cameron Highlands.

Pemutihan dilakukan melalui program skim sewaan tanah pertanian Pahang Corporation Sdn Bhd (Pahang Corp), bagi menggantikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bermula 2020.

“Menerusi program pemutihan tanah pertanian di Cameron Highlands itu, pematuhan syarat larangan memasuki kawasan rizab hutan simpan, sungai dan jalan dapat dikuatkuasakan.

“Sehingga 30 Jun lalu, status pelaksanaan pemutihan membabitkan seramai 1,661 penama (1,849 hektar) dikemas kini di dalam data maklumat pekebun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Rosdy, program pemutihan itu membabitkan seramai 1,661 penama (4,570 ekar) dan telah dikemaskini di dalam data maklumat pekebun.

Manakala sebahagian tanah dengan keluasan 995 ekar telah diusahakan melebihi LPS asal dan 3,566 ekar lagi sedang diproses untuk kelulusan permohonan baharu.

Daripada keseluruhan tanah tersebut, 6,915 ekar telah diukur untuk dikemaskini dalam data maklumat pekebun.

Tambah Wan Rosdy bagi status kutipan sewaan tahunan pula, dari tahun 2020 sehingga 30 Jun 2024 sebanyak RM51.2 juta(58%) berjaya dikutip bagi tahun 2020 sehingga 30 Jun 2024.

Manakala baki jumlah tunggakan dari penyewa yang culas membuat bayaran sewaan adalah berjumlah RM37.8 Juta (42%) bagi tempoh yang sama.

“Jika dilihat daripada jumlah keseluruhan tunggakan sewaan tersebut, senarai pekebun yang masih culas membuat bayaran adalah masih tinggi dan ianya secara tidak langsung memberi kesan kepada jumlah kutipan hasil dan menyumbang kepada kerugian kepada kerajaan negeri.

“Oleh itu, kerajaan negeri berharap supaya pekebun yang masih culas untuk membayar tunggakan sewaan agar tampil membuat bayaran dengan kadar segera pada tahun 2024,” katanya. #malaysiagazette

Share:

Polis Giat Mengesan Suspek Terbabit Komplot Sindiket Pemalsuan Darjah Kebesaran Pahang

KUALA LUMPUR: Polis giat mengesan suspek yang terbabit dengan sindiket pemalsuan darjah kebesaran Pahang selepas seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi didakwa menggunakan gelaran Datuk Seri palsu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang mengenai penggunaan darjah kebesaran Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P).

“Susulan itu, beberapa peralatan darjah kebesaran (S.S.A.P) palsu dirampas daripada penama. Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti suspek lain yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, PDRM menasihatkan mana-mana individu agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan darjah kebesaran palsu kerana ia merupakan kesalahan jenayah.

“Dalam kes ini, penama boleh dituduh di bawah Seksyen 3(1)(a) Enakmen 18, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 kerana menggunakan gelaran tidak wajar bagi tujuan perniagaan.

“Pelaku boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

“Pelaku boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Terdahulu, Istana Pahang membuat laporan polis ke atas ahli lembaga pengarah syarikat telekomunikasi yang didakwa menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ yang masih dalam senarai menunggu.

Laporan dibuat di Kuantan pada 26 Julai lalu oleh wakil Istana Pahang berikutan penggunaan gelaran Datuk Seri yang belum sah dikurniakan adalah satu kesalahan mengikut undang-undang negeri. #kosmo

Share:

Istana Pahang Buat Laporan Polis Terhadap Pengarah Telco Guna Gelaran 'Datuk Seri' Belum Dikurnia

KUALA LUMPUR: Istana Pahang membuat laporan polis terhadap seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi didakwa menggunakan gelaran Datuk Seri yang belum dikurniakan dan masih dalam senarai menunggu.

Laporan itu dibuat di Kuantan pada Jumaat lalu oleh wakil Istana Pahang berikutan penggunaan gelaran Datuk Seri yang belum sah dikurniakan adalah satu kesalahan mengikut undang-undang negeri.

Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah, ketika dihubungi BH hari ini, mengesahkan laporan polis sudah dibuat selepas semakan mendapati individu terbabit belum menerima gelaran berkenaan daripada Sultan Pahang.

"Bila kita jalankan siasatan dalaman, individu itu didapati menggunakan gelaran Dato' Sri tanpa dikalungkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang terlebih dahulu. Itu menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Negeri Pahang.

"Laporan polis sudah dibuat pada 26 Julai lalu supaya pihak polis dapat menjalankan siasatan bagaimana individu berkenaan boleh mengguna pakai gelaran itu," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati lelaki berkenaan pernah dikurniakan gelaran Datuk pada 2015, namun untuk gelaran Datuk Seri, ia masih dalam senarai menunggu.

Difahamkan, semakan mengenai status gelaran digunakan individu terbabit dibuat dengan Unit Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang dan mendapati penama masih belum dikalungkan secara sah Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP).

Mengenai perkembangan siasatan, Amir Syaffiq berkata, mereka dimaklumkan individu terbabit sudah dipanggil oleh polis untuk proses rakam keterangan di ibu negara.

"Kita sedang tunggu maklum balas lanjut daripada pengawai penyiasat JSJK (Jabatan Siasatan Jenayah Komersial) berkait perkara itu," katanya.

Untuk rekod, penggunaan gelaran Datuk Seri yang belum sah dikurniakan adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 6 Undang-undang Negeri Pahang Pengisytiharan Gelaran, Pangkat Kemuliaan, Pangkat Kebesaran Dan Kurniaan Negeri Pahang 2019.

Sementara itu, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, ketika dihubungi BH mengesahkan mengenai laporan polis itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap perkara berkenaan.

"Saya sahkan mengenai laporan polis berkenaan yang diterima pihak JSJK Pahang dan siasatan sedang berjalan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017," katanya. #beritaharian

Share:

Pahang Laksanakan Pemutihan Tanah Pertanian Seluas 5,524.291 Ekar Di Cameron Highlands

KUANTAN: Kerajaan Pahang telah melaksanakan program pemutihan tanah pertanian membabitkan 5,526.291 hektar tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) di Cameron Highlands.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemutihan itu dibuat melalui program skim sewaan tanah pertanian Pahang Corporation Sdn Bhd atau Pahang Corp bagi menggantikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang bermula pada 2020.

Menurutnya, seramai 1,661 penama telah dikemas kini di dalam data maklumat pekebun sehingga 30 Jun lalu.

"Sebahagian tanah dengan keluasan 398 hektar telah diusahakan melebihi LPS asal dan 1,426.4 hektar lagi sedang diproses untuk kelulusan permohonan baharu.

"Dari keseluruhan tanah tersebut, 2,766 hektar telah diukur untuk dikemas kini dalam data maklumat pekebun," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Selain itu, Wan Rosdy berkata, Pahang Corp sebagai 'One Stop Agency' (OSA) dilantik bagi kutipan sewaan dan caj-caj agensi berkaitan bagi memudahkan urusan pekebun.

Jelasnya, bagi status kutipan sewaan tahunan pula, dari tahun 2020 sehingga 30 Jun lalu, sebanyak RM51.2 juta atau 58 peratus.

Tambahnya, baki jumlah tunggakan dari penyewa yang culas membuat bayaran sewaan adalah berjumlah RM37.8 juta atau 42 peratus.

"Jika dilihat daripada jumlah keseluruhan tunggakan sewaan tersebut, senarai pekebun yang masih culas membuat bayaran adalah masih tinggi dan ia secara tidak langsung memberi kesan kepada jumlah kutipan hasil serta menyumbang kepada kerugian kerajaan negeri.

"Oleh itu, kerajaan Pahang berharap supaya pekebun yang masih culas untuk membayar tunggakan sewaan agar tampil membuat bayaran dengan kadar segera pada tahun ini," katanya. #sinarharian

Share:

Pemilik Sewakan Tanah Kepada Warga Asing Di Cameron Highlands Bakal Dikenakan Tindakan Tegas

KUANTAN: Perbuatan individu tertentu yang menyewakan tanah mereka kepada warga asing menjadi faktor utama bertambahnya aktiviti pertanian dijalankan golongan terbabit.

Bukan itu saja malah ada individu tempatan yang menyewa gerai daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum menyewakannya semula kepada warga asing.

Pegawai Daerah Cameron Highlands Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya memandang serius apa yang berlaku dan usaha membanteras kegiatan terbabit akan dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa lain.

Menurutnya, kes terbabit sudah disiasat oleh polis dan laporan berkaitannya diterima pada 10 Mei lalu, bermula daripada aduan beberapa pengusaha tempatan.

"Perkara ini sudah kita dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Cameron Highlands pada 15 Mei, beberapa perkara sudah diputuskan, terutama membabitkan tindakan yang perlu diambil.

"Kita sudah memutuskan untuk melakukan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu membabitkan sekurang-kurangnya 10 jabatan selain penguatkuasaan berkala oleh pihak berkuasa," katanya dihubungi, di sini.

Beliau menambah, perkara itu akan akan disusuli dengan laporan dan penyelesaian efektif yang akan diputuskan pada mesyuarat hari ini.

"Perbincangan yang menjurus kepada tindakan tegas akan diputuskan bagi memastikan perbuatan menyewakan tanah kepada warga asing untuk aktiviti pertanian tidak berlarutan," katanya.

Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya berkata, tindakan individu yang menyewakan gerai jualan kepada warga asing turut akan diputuskan hari ini.

"Sudah tiba masanya tindakan tegas dibuat dalam usaha menyekat aktiviti melanggar syarat lesen itu," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas luahan kebimbangan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang melihat banyak tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha tetapi kini disewakan kepada warga asing.#harianmetro

Share:

Kemalangan Bas Persiaran Ragut Empat Nyawa Di Rompin, Pemandu Mengaku Tidak Bersalah

ROMPIN: Pemandu bas persiaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan empat orang maut dalam nahas di Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah di sini pada 9 Jun lalu.

Tertuduh, Zamry Pon, 50, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Melody Woon Sze Mun.

Dia yang berasal dari Bemban, Melaka, didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Hasnatul Adilah Hassan, 49; Hadi Ashraf Mad Idris, 29; Hamzah Ahmad, 60, dan Dahlia Ahmad, 52.

Bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan kesalahan terbabit di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat di sini kira-kira jam 12.30 pagi pada 9 Jun lalu.

Tertuduh yang hadir di mahkamah dalam keadaan bertongkat susulan kecederaan dalam nahas itu, memaklumkan memahami pertuduhan yang dikenakan dan mengaku tidak bersalah.

Dia didakwa melakukan kesalahn itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim yang mengetuai prosiding pendakwaan, memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000.

Sementara itu, tertuduh menerusi peguam, Muhammad Denial Khairul Hizam, merayu jaminan lebih rendah dengan alasan tidak lagi bekerja kerana masih perlu menjalani rawatan akibat kemalangan itu.

"Anak guam saya menerima jahitan di bahagian belakang dan mengalami sakit belakang serta luka. Dia terpaksa menyara isteri dan empat anak berusia antara lapan hingga 16 tahun yang masih bersekolah. Dia juga menyara adik beradik yang mempunyai Sindrom Down, " katanya sambil memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan dalam lingkungan RM5,000.

Melody Woon menerima rayuan itu dengan membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Ogos untuk sebutan semula kes.

Dalam kemalangan itu, bas yang membawa 39 orang itu dalam perjalanan dari SK Jeram di Masjid Tanah, Melaka menuju ke Terengganu apabila bertembung dengan sebuah treler di simpang Bahau.

Mereka yang terbunuh dalam nahas itu terdiri daripada dua guru SK Jeram iaitu Hasnatul dan Dahlia, Hamzah adalah pembantu operasi sekolah, manakala Hasi Asyraf pula pemandu kedua bas persiaran terbabit. #harianmetro

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.