script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Wan Rosdy: Hab Halal, Pahang Dan Perak Bakal Terima Pelaburan China Untuk Pacu Ekonomi Negeri

SHANGHAI: Pahang dan Perak yang mempunyai kawasan khas untuk hab halal bakal menerima pelaburan besar dari China dalam sektor itu.

Kawasan itu yang dalam pembangunan melibatkan penyediaan tapak pembinaan kilang atau ladang, kemudahan infrastruktur serta tenaga kerja mahir bertujuan menarik pelabur sekali gus memacu peningkatan pendapatan dan ekonomi negeri.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri menawarkan pelbagai insentif dan lokasi strategik untuk pembangunan industri halal termasuk taman perindustrian halal, hab logistik halal dan pelabuhan pematuhan halal.

Beliau berkata, antara lokasi strategik yang ditawarkan ialah Hab Halal Gebeng dengan keluasan 304 hektar, Hab Halal Gambang (68.4 hektar) dan Hab Halal Bentong (14.7 hektar).

"Hasil daripada sesi bersama pelabur industri halal China ini, mereka menunjukkan kesungguhan dan minat untuk melabur terutama di Pahang...mereka ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut seperti mengenai tanah dan prosedur lain.

"Saya telah mengarahkan agensi kerajaan seperti PBT (pihak berkuasa tempatan) serta pejabat daerah dan tanah supaya mengurangkan birokrasi, kita tidak mahu proses yang panjang dan mahu segala urusan dipercepat,” katanya ketika ditemui media Malaysia pada Forum Perniagaan Halal Malaysia-China di sini, pada Selasa.

Semalam,Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia bakal meraih manfaat pelaburan baharu dari China dalam sektor halal bernilai RM4 bilion menerusi forum itu yang menghimpunkan lebih 30 peserta industri halal dari Malaysia dan China.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia (MPIH) berkata pelaburan besar oleh peserta industri dari republik itu antaranya melibatkan perubatan herba, makanan dan minuman, vaksin, kosmetik dan farmaseutikal.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya sedang membangunkan Taman Industri Halal Perak (Perak HIP) berkeluasan kira-kira 57.8 hektar berhampiran jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dekat Lekir, dan fasa pertamanya dijangka beroperasi pada awal 2025.

Beliau berkata, pelabur tempatan dan asing boleh membangunkan kilang atau ladang yang berkaitan penghasilan produk halal di kawasan Perak HIP.

Dalam sesi pertemuan dengan hampir 16 kumpulan pelabur China, pihaknya juga dapat memberikan penjelasan mengenai jaminan dan tawaran kerajaan Perak, katanya.

"Kawasan untuk (Perak HIP) sudah ada...jika ada keperluan (pelabur mahu kawasan lebih luas), ada juga kawasan milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) untuk dijadikan kawasan industri itu,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga individu yang ingin menawarkan lokasi persendirian melalui kerjasama penyediaan kawasan untuk pelabur yang ingin membuka kilang.

Sebuah syarikat produk halal berminat untuk melabur di Perak dengan pelaburan awal bernilai RM20 juta, katanya.

Saarani berkata pelaburan asing itu akan memberi manfaat besar kepada rakyat Perak terutama peluang pekerjaan bagi belia.

"Selain meningkatkan ekonomi negeri, penyertaan Perak dalam forum ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk memacu perkembangan industri halal yang semakin penting di peringkat antarabangsa,” katanya. #sinarharian

Share:

Akmal Nasrullah: Kerajaan Persekutuan Lulus 40 Projek Di Pahang Bernilai Lebih RM5.9 Bilion

KUANTAN: Kerajaan Persekutuan meluluskan 40 projek di Pahang melibatkan kos lebih RM5.9 bilion menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Timbalan Menteri PETRA Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata daripada jumlah itu 25 projek dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang melibatkan 13 projek sambungan manakala 12 projek baharu yang keseluruhannya melibatkan peruntukan lebih RM4.1 bilion.

Beliau berkata projek baharu berkenaan telah dimulakan tahun ini merangkumi kerja-kerja antaranya tebatan banjir, menaik taraf sistem saliran dan pemuliharaan pantai yang dijangka siap secara berperingkat.

“Ia termasuk projek tebatan banjir di Sungai Lembing (Kuantan) melibatkan kos RM126 juta yang telah bermula tahun ini dan dijangka siap sama ada Disember 2026 atau awal 2027,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Tiga Projek Siap yang dilaksanakan PETRA menerusi JPS kepada kerajaan Pahang yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Ir Razali Kassim.

Projek siap tersebut yang membabitkan peruntukan lebih RM155 juta merangkumi kerja-kerja tebatan banjir dan menaik taraf sungai melibatkan daerah Cameron Highlands dan Kuantan.

Beliau berkata satu daripada projek tersebut ialah projek Rancangan Tebatan Banjir Lembah Bertam-Sungai Ringlet, Cameron Highlands membabitkan kerja-kerja meningkatkan kapasiti sungai dengan menaik taraf Sungai Ringlet sepanjang 1.1 kilometer (km) dan enam jambatan.

Selain itu, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kuantan, Pakej 1 iaitu projek menaik taraf Sungai Belat dan membina struktur pencegah banjir pula melibatkan pembinaan ban pencegah banjir sepanjang 14.4 km selain mendalamkan Sungai Belat sepanjang 14 kilometer.

Turut dilaksanakan langkah mencegah hakisan di Pantai Sepat, Kuantan dengan kerja-kerja menambak pantai (beach nourishment) bagi memulihara semula kawasan pantai yang terjejas akibat hakisan dan mengurangkan kesan hakisan di kawasan pantai sepanjang 1.2 kilometer.

“Kita memutuskan untuk buat proses penyerahan bagi memastikan projek yang telah disiapkan mencapai objektif dan sebagai pengetahuan kepada orang ramai mengenai infrastruktur yang siap dibina ini,“ kata Akmal Nasrullah. #thesun

Share:

Kelewatan Pihak Berkuasa Tangani Isu Jalan Licin Dan Berminyak Jadi Punca Utama Kemalangan !

MARAN: Kemalangan yang yang berlaku di kilometer 34 Jalan Maran-Bandar Jengka berhampiran Kilang Sawit Felda Jengka 3 dekat sini semalam boleh dielakkan sekiranya pihak berkuasa cepat bertindak terhadap aduan rakyat berkenaan jalan licin dan berminyak sejak dua bulan lalu.

Ini ditegaskan oleh aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli yang sedih akibat kealpaan pihak tertentu dalam menangani isu tersebut, akhirnya orang awam yang tidak berdosa cedera dan kehilangan nyawa.

Tiga mangsa termasuk dua beranak maut manakala empat lagi mengalami kecederaan dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan itu.

Menurut Shukri, sebelum ini telah berlaku beberapa kemalangan di lokasi terbabit dan termasuk juga di simpang Kilang Sawit Felcra Simpang Jengka di Pekan Tajau dekat sini.

"Sudah ada mangsa yang cedera akibat kenderaan mereka terbabas gara-gara jalan licin dan berminyak di laluan keluar masuk di kedua-dua lokasi terbabit. Malah, isu juga ditularkan dalam media sosial membuktikan kejadian memang sudah lama berlaku.

"Orang ramai sudah bising dan saya sendiri menerima aduan tersebut. Kebimbangan itu timbul apabila beberapa buah kenderaan termasuk kereta dan lori tiba-tiba gagal dikawal ketika memalui jalan tersebut akibat licin dan berminyak." kata aktivis terbabit.

Malah kata Shukri, Ahli Dewan Negeri Kuala Sentul iaitu Dato' Jasri Jamaluddin juga ada membawa isu tersebut ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Daerah (MJPD) Maran Bilangan 02/2024 pada 17 Julai lalu. 


Difahamkan mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh   Pegawai Daerah Maran iaitu Dato' Khairun Nisa Aris. Turut hadir mewakili Menteri Besar Pahang ialah  Dato' Mohamad Nizar Najib yang merupakan exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Pahang. 


Yang turut hadir ialah Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin (Ketua UMNO Bahagian Maran), Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau), Mohd Sofian Abd Jalil (ADU Luit), Ustaz Mujibur Rahman Ishak (ADUN Chenor) serta lain-lain ketua jabatan yang berkenaan.

"Persoalannya apa fungsi Jawatankuasa Pembangunan Daerah (MJPD) Maran, jika isu rakyat yang penting seperti jalan licin dan berminyak yang mengakibatkan kemalangan itu gagal diambil tindakan segera untuk mengatasinya.

"Sepatutnya semua yang terlibat turun padang buat pemantauan dan keluarkan arahan lisan serta bertulis kepada kilang sawit terbabit agar mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan. Lori keluar masuk ke kilang terbabit perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum berada di atas jalanraya, sama macam kes Baiksit di Kuantan.

"Gunakan pekerja sembur tayar lori atau sediakan takungan air untuk laluan lori agar kesan minyak dapat dibersihkan terlebih dahulu. Kegagalan inilah menyebabkan jalan licin dan berminyak hingga menggangu keselesaan orang awam menggunakan jalanraya melalui simpang masuk ke kilang terbabit sebenarnya," dakwa Shukri. 

Beliau turut menegaskan, paling mengejutkan ketika berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori berkahmpiran Kilang Sawit Felcra, Pekan Tajau pada 27 Ogos lalu, ADUN Kuala Sentul juga telah memuat naik hantaran di facebooknya menyatakan beliau sudah mengangkat isu itu dan menyuarakan kebimbangan jika tindakan tidak dilakukan. 



Bukti jelas memang jalan licin dan berminyak dapat dilihat pada tanda anak panah yang dipaparkan kata Shukri. 

"Cuba lihat jalan di sebelah kanan tidak licin dan berkeadaan elok. Inilah punca utama mengapa terjadinya kemelangan demi kemalangan di kedua-dua lokasi terbabit sebenarnya. Sudah sewajarnya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pihak kilang yang tidak mematuhi peraturan dengan membiarkan lori dengan tayar berminyak keluar masuk," tambah Shukri lagi.

Beliau turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dan menggeza mereka mmelantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap semua pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab memastikan keselamatan orang awam ini.

"Saya turut mendesak tindakan diambil oleh kerajaan terhadap kilang Felcra dan Felda yang cuai kepada tanggungjawab ini. Keuntungan yang lebih diutamakan, keselamatan pengguna jalanraya diabaikan," tambahnya. #cucumatkilau

Share:

PAS Siap Sedia Terajui Pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang Pada Pilihan Raya Umum Ke-16 Nanti

JERANTUT: PAS menyatakan bahawa parti itu telah bersiap sedia untuk menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti, 

Demikian menurut Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. ADUN Cheka tersebut memberitahu, kerana itulah PAS Pusat membuat keputusan untuk mengadakan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di negeri ini. #harakahdaily

Share:

Pemilihan Pahang Sebagai Tuan Rumah Muktamar Selepas PN Dapat Lonjakan Kepercayaan PRU-15

KUANTAN: Pemilihan Pahang sebagai tuan rumah Muktamar Tahunan PAS kali ke-70 mempunyai isyarat jelas selepas parti itu mencapai keputusan yang agak baik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pilihan raya itu menyaksikan bagaimana PAS Pahang bersama Perikatan Nasional (PN) mendapat kepercayaan rakyat.

“Kita menyaksikan bagaimana PAS Pahang bersama dengan Perikatan Nasional (PN) telah mendapat kepercayaan lonjakan sokongan pada 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang menyaingi Barisan Nasional (BN) hampir sama,” katanya menerusi kenyataan.

Menyentuh tentang penganjuran Muktamar Tahunan Pas kali ke-70, Tuan Ibrahim berkata, ia akan diadakan di Pusat Tarbiah PAS Negeri Pahang di Kerdau, dekat Temerloh pada 11 hingga 15 September ini dan merupakan kali kedua Pahang menjadi tuan rumah.

Seramai 5,000 pewakilan dari seluruh negara dijangka menghadiri muktamar itu.

Sementara itu Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) ke-9 akan berlangsung pada petang ini di Jerantut. #malaysiagazette

Share:

Dua Maut Tiga Cedera Dalam Kemalangan Libat Tiga Kenderaan Di Felda Jengka Tiga Pagi Tadi

MARAN: Dua maut manakala lima cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di jalan utama Jengka Tiga, berhampiran kilang sawit di sini pada Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka ke lokasi selepas menerima panggilan kira-kira jam 7.16 pagi.

Menurutnya, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Alza, Myvi dan Toyota Avanza.

"Terdapat seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berada di dalam kereta Perodua Alza, manakala seorang lelaki dan tiga perempuan di dalam Toyota Avanza.

"Di dalam kereta Myvi pula melibatkan mangsa seorang wanita," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ismail berkata, pihak bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat selain membuat pemantauan bagi memastikan tiada lagi keberbahayaan di lokasi kejadian.

"Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan kes kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. #sinarharian

Share:

Sabariah: Sebanyak 30 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Di Pahang Telah Di Hentikan Operasi

  

KUANTAN: Kerajaan Pahang melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menubuhkan satu Pasukan Petugas Pemantauan dan Pemutihan Taska untuk mengelak berlakunya penderaan dan pengabaian di semua taman asuhan kanak-kanak (taska) di negeri ini.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Sabariah Saidan berkata, pasukan petugas terbabit sudah mula digerakkan sejak 1 September tahun lalu bagi tujuan berkenaan.

“Kita sangat prihatin dan peka terhadap isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak di taska.

“Jadi, kita sudah mengambil tindakan awal dengan membentuk satu pasukan petugas khas yang terdiri daripada pelbagai agensi seperti JKM, pihak berkuasa tempatan, pejabat kesihatan daerah, jabatan bomba dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi memastikan tiada insiden menyayat hati berlaku di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sabariah memberitahu, pada ketika ini hanya 114 taska yang disahkan berdaftar dengan JKM.

Jelasnya, berdasarkan data direkodkan Pasukan Petugas Pemantauan dan Pemutihan Taska hingga 1 September lalu, sebanyak 71 taska dilaporkan tidak berdaftar dan 19 daripadanya telah lulus perakuan.

“Sebanyak 30 taska pula dihentikan operasi, tujuh notis peringatan, satu notis Lak manakala 14 lagi dalam proses penguatkuasaan atau siasatan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Sabariah berkata, JKM berusaha memastikan semua Taska beroperasi di Pahang mematuhi peraturan dan berdaftar mengikut Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta 308].

Share:

Seramai 16 Orang Pengunjung Taman Rekreasi Che Minah Sayang Maran Di Jangkiti Rotavirus

MARAN: Rotavirus disyaki punca 16 individu termasuk kanak-kanak mengalami gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam, selepas mengunjungi Taman Rekreasi Che Minah Sayang di Maran, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Maran pada Khamis lalu, menerima satu notifikasi wabak Acute Gastroenteritis (AGE) dalam kalangan kanak-kanak dengan gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam selepas mengunjungi taman rekreasi itu.

"Siasatan lanjut oleh PKD Maran mendapati sebanyak 16 kes yang terdiri daripada kanak-kanak berumur dua hingga 11 tahun, dan seorang wanita dewasa berumur 27 tahun dilaporkan dalam wabak ini.

"Semua kanak-kanak terbabit adalah stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Jengka, Maran, manakala wanita yang juga ibu kepada salah seorang kanak-kanak itu dirawat sebagai pesakit luar.

"Wabak Rotavirus ini berkemungkinan berpunca daripada air sungai yang tercemar dengan sisa buangan lampin pakai buang bayi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Susulan kes itu, beliau berkata, JKN Pahang menasihati pihak pengurusan Taman Rekreasi Che Minah Sayang untuk menjalankan kerja pembersihan di sekitar taman rekreasi itu.

Katanya, kerja pembersihan itu termasuk memastikan semua premis makanan berada dalam keadaan bersih dan selamat.

"Orang awam juga disarankan untuk cakna dengan tidak membawa anak-anak yang kurang sihat atau warga emas untuk aktiviti rekreasi di taman rekreasi berkenaan .

"JKNP ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi etika kebersihan dengan melupuskan lampin pakai buang bayi dengan cara yang selamat, serta tidak membuang sampah-sarap merata-rata ketika mengunjungi mana-mana taman rekreasi," katanya. #harianmetro

Share:

Seorang Lelaki Maut Dan Tiga Yang Lain Cedera, CRV Terbabas Di Jalan Turun Genting Highlands

KUANTAN: Seorang maut manakala tiga yang lain cedera apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas di Kilometer 14 Jalan turun dari Genting Highlands petang tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 3.57 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan kereta jenis Honda CRV yang terbabas. Terdapat tiga lelaki dan seorang wanita berada dalam kenderaan dan telah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. #malaysiagazette

Share:

Muktamar: PAS Pahang Hargai Kunjungan Ketua Polis Daerah Temerloh Ke Kompleks Al Makmur

TEMERLOH: PAS Pahang mengucapkan terima kasih kepada pihak IPD Temerloh yang diketuai Ketua Polis Daerah, ACP Mazlan Hassan di atas kunjungan ke Kompleks Al Makmur, Kerdau dekat sini pada Rabu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Hassanuddin Salim berkata, kunjungan itu susulan daripada pertemuan pihaknya dengan polis daerah sehari sebelum itu di pejabat IPD Temerloh.

Tambahnya, pertemuan itu adalah untuk memaklumkan persiapan PAS Pahang bagi menjadi tuan rumah Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al Makmur bermula 14 hingga 15 September ini.

“Kunjungan pihak IPD Temerloh adalah untuk membuat tinjauan ke lokasi dan berbincang bagi memastikan perjalanan muktamar berjalan dengan lancar dan mematuhi semua aspek keselamatan,” ujarnya dalam catatan di laman Facebook beliau.

Ini, ujarnya bagi keselesaan kepada semua perwakilan, pemerhati, para pengunjung juga warga sekitar Kompleks Al Makmur khususnya dan masyarakat Temerloh amnya.

Hassanuddin yang juga ADUN Kuala Semantan menjangkakan jumlah pengunjung ke muktamar sekitar 5,000 ke 7,000 orang dari seluruh negara.

Ini, kata beliau, pastinya akan menambah kemeriahan cuti sekolah di bandar Temerloh dan memberi sedikit sebanyak limpahan ekonomi kepada para peniaga.

Justeru, beliau menjemput semua warga Temerloh bersama-sama hadir ke Kompleks Al Makmur bagi merasai kemeriahan Muktamar Tahunan PAS ke-70 dengan berbagai acara sampingan yang akan diadakan di pekarangan Kompleks Al Makmur bermula 13 September ini. #harakahdaily

Share:

Mangsa Serangan Kerabat Pahang Di Kandang Kuda, Alias Bersyukur Nyawanya Masih Panjang

KUALA LUMPUR: Alias Awang, yang dibelasah teruk dan ditembak oleh sekumpulan lelaki termasuk seorang kerabat diraja Pahang, bersyukur nyawanya masih dipanjangkan oleh Allah.

MalaysiaGazette difahamkan, mangsa telah dibelasah hampir tiga jam oleh sekumpulan lelaki di dalam kawasan kandang kuda di Taman Gelora, dekat Kuantan, pada jam 12.20 pagi.

Kejadian itu berlaku bermula dengan panggilan telefon oleh seorang ‘pegawai polis’ yang mengajak Alias untuk bertemu kerana mahu menawarkan kerja sebagai pengiring keselamatan.

“‘Pegawai polis’ ini menghubungi saya dan mengaturkan pertemuan untuk bertemu kerabat itu. Saya ditawar menjadi bodyguard, sebab itu sanggup bertemu dengan kenalan dan kerabat itu,” dakwanya walaupun terdetik dihatinya mengapa pertemuan tersebut dibuat pada lewat malam.

Bagaimanapun, Alias mendakwa, dia bersangka baik kerana mengenali ‘polis’ berkenaan dan setuju untuk berjumpa di lokasi yang dijanjikan seorang diri.

“Ketika masuk ke dalam kabin, kesemua mereka bersalaman dan apabila sampai di hujung (kabin), saya telah diserang.

“Saya membalas tumbukan pertama serta bergelut dengan seorang lelaki. Saya kemudian dipukul oleh mereka yang berada di dalam kabin.

“Saya dibelasah oleh belasan orang, dan sebahagian lagi ada menunggu di luar, semuanya kira-kira 20 orang lelaki.

“Saya kemudian ditikam di paha kanan dan ditembak dua das di luar kabin tetapi tidak mengena. Saya pertahankan diri selama tiga jam, dan hampir tumbang lalu buat keputusan untuk berbincang dengan mereka supaya bunuh saya sahaja daripada menyeksa,” katanya bapa kepada lapan anak itu.

Alias mendakwa dia dipukul dan ditembak oleh kumpulan berkenaan kerana rasa tidak puas hati berhubung isu tanah di Rompin.

Tanah itu membabitkan ladang sawit seluas lebih 900 hektar yang dimiliki oleh penduduk Kampung Selendang, Rompin tetapi dikatakan telah ‘dirampas’ oleh pihak lain.

Sebaik sahaja perbincangan tersebut, secara tiba-tiba ‘pegawai polis’ dan seorang lelaki dalam kalangan kumpulan tu membawanya ke sebuah klinik.

Tetapi, saya diarah untuk mendapat rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Saya enggan dihantar ke hospital, lalu mereka hantar saya pulang ke rumah. Saya membuat laporan polis selepas dua hari kejadian selepas dinasihati ahli keluarga kerana sedar berdepan dengan musuh yang mengancam nyawa,” ujar beliau yang pernah menjadi pengiring Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Alias sehingga kini beliau masih belum dapat bekerja walaupun luka di paha dan muka sudah semakin pulih kerana khuatir keselamatan dirinya dan keluarga.

Serangan itu meninggalkan 13 bekas jahitan di paha Alias.

Mangsa, 44, yang juga bekas pegawai polis hanya mahu nasibya dibela dan mendapat keadilan sewajarnya oleh pihak berkuasa selepas laporan polis dibuat pada 8 Jun lalu.

Semalam, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah meyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan penuh berhubung insiden kes keganasan fizikal melibatkan kerabat Pahang yang tular di media sosial.

Menerusi kenyataan, baginda bertitah, siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak agar keadilan dapat ditegakkan.  #malaysiagazette

Share:

Fahmi Fadzil: Dakwaan Jenayah Libatkan Kerabat Pahang, Kerajaan Serah Pada Pihak Berkuasa

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan seorang pekerja pembinaan jalan yang menjadi mangsa serangan berkumpulan kerabat diraja Pahang di Kuantan, Jun lalu.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata pihaknya turut berharap siasatan terbabit dapat dilakukan dengan telus.

“Kita serah kepada pihak berkuasa untuk lakukan siasatan yang penuh dan telus,” tegasnya kepada pemberita ketika ditemui di Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Ancaman Dalam Talian 2024 di sini hari ini.

Pagi semalam, Malaysiakini melaporkan Alias Awang, 44, mendakwa menjadi mangsa serangan berkumpulan oleh seorang “anak Tengku” dan orang suruhannya di Kuantan Pada 6 Jun.

Ia dipercayai berpunca daripada pertikaian berkaitan isu tanah di Rompin.

Bapa kepada lapan orang anak itu mendakwa seorang orang suruhan kerabat itu menikam kakinya dengan pisau manakala kerabat itu pula menembak kakinya tetapi tersasar.

Kes disiasat bawah Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan merusuh.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu semalam memberitahu Malaysiakini bahawa tiga orang yang disyaki sebagai suspek utama direman tujuh hari bagi membantu siasatan, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. 

Dua lagi individu juga ditahan dan dibebaskan selepas keterangan mereka direkodkan, tambah Wan Mohd Zahari. 

Ditanya mengenai dakwaan mangsa berkenaan penggunaan sepucuk pistol dalam kejadian itu, dia berkata polis masih memeriksa dakwaan tersebut.

Kira-kira 10 jam selepas laporan Malaysiakini, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah supaya polis mengambil tindakan tegas terhadap kerabat diraja negeri itu yang didakwa menyerang orang awam.

Baginda mengarahkan tindakan tegas, siasatan adil tanpa sebarang kompromi serta mengingatkan "tiada sesiapa pun yang lebih tinggi dari undang-undang, #malaysiakini

Share:

Polis Pahang Tahan Lima Individu Yang Di Syaki Menyerang Seorang Lelaki Di Kandang Kuda

KUANTAN: Lima individu yang ditahan kerana disyaki menyerang seorang lelaki di sebuah kandang kuda, di sini, telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Penahanan tersebut susulan laporan polis oleh seorang lelaki yang mendakwa diserang seorang kerabat Pahang bersama sekumpulan lelaki, Jun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, selain itu beberapa saksi lain dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan

”Kita telah menghantar kertas siasatan sebelum ini namun dikembalikan, kini kami dalam proses melengkapkan siasatan untuk penambahan beberapa perkara sebelum diserahkan semula kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki, Awang Alias, 44, mendakwa diserang seorang kerabat Pahang bersama sekumpulan lelaki, Jun lalu.

Katanya, kejadian berlaku di sebuah kandang kuda di sekitar Kuantan apabila mangsa mendakwa telah dipukul, ditikam dan ditembak dengan dua das tembakan.

Difahamkan mangsa merupakan pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan dihubungi oleh seorang individu dipercayai orang suruhan anak kerabat berkenaan untuk bertemu dengannya.

Beliau kemudan diserang oleh kira-kira 20 orang termasuk anak kerabat berkenaan di mana seorang rakannya telah menyerang mangsa dengan menikam peha kanan menggunakan pisau.

Manakala ’anak Tengku’ pula melepaskan tembakan ke arah kaki Aliasn namun tidak mengenai sasaran.

Menurut Yahaya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan merusuh. #malaysiagazzete

Share:

Notis Perhimpunan Besar Pekebun 907 Esok, Pekebun Durian Musang King ‘Sekolahkan’ Polis Raub

RAUB: Kumpulan pekebun durian di Raub, Pahang menyanggah larangan polis terhadap demonstrasi mereka esok atas alasan tidak mematuhi syarat notis 10 hari.

Pengerusi Perikatan Selamatkan Musang King Alliance (SAMKA) Wilson Chang berkata Ketua Polis Negara, Tn Sri Razarudin Hussain Mei lalu menyatakan bahawa perhimpunan tidak memerlukan kelulusan dan hanya perlu memberikan notis lima hari lebih awal.

Chang berkata, mereka menyerahkan notis perhimpunan pada 30 Ogos, lapan hari sebelum perhimpunan.

Katanya, perhimpunan juga diadakan di kawasan awam, selari dengan prosedur yang ditetapkan bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dia mengingatkan bahawa parlimen pada 2019 meluluskan pindaan terhadap akta itu, yang mengurangkan tempoh notis daripada 10 hari kepada lima hari.

“Oleh itu, saya menyeru orang ramai untuk menghadiri Perhimpunan Besar Pekebun 907 esok supaya memberi tekanan kepada kerajaan bagi menamatkan segala penindasan terhadap pekebun supaya mempertahankan kebun durian yang diusahakan selama berpuluh-puluh tahun,” katanya.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman semalam menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan SAMKA di Dataran Pasar Sungai Klau esok.

Katanya, ia tidak mematuhi syarat notis 10 hari lebih awal serta tidak mendapat kebenaran pemilik lokasi.

"Kita juga menerima bantahan untuk mengadakan perhimpunan itu daripada penduduk setempat termasuk pemilik tempat Majlis Daerah Raub dan dengan mengambil kira semua perkara terbabit perhimpunan itu tidak diluluskan,” katanya.

SAMKA menganjurkan demonstrasi itu bagi menuntut sewaan tanah kebun secara sah kepada pekebun durian.

SAMKA mendakwa sejak kes semakan kehakiman pekebun durian Musang King Raub ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 24 April, pekebun durian berdepan tekanan kerajaan negeri, konsortium dan penguat kuasa. #malaysiukini

Share:

Kerabat Pahang Di Dakwa Belasah Bekas Polis, Tengku Hassanal Arah Siasatan Di Lakukan Segera

KUANTAN: Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan polis segera menyiasat dengan telus dan adil, berhubung dakwaan seorang kerabat Pahang bersama sekumpulan individu menyerang seorang lelaki di sini, Jun lalu.

Tengku Mahkota bertitah, baginda memandang serius mengenai kejadian yang tular di media sosial mengaitkan seorang kerabat Pahang didakwa menyerang Alias Awang, menggunakan senjata tajam serta pistol.

“Saya menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak agar keadilan dapat ditegakkan.

“Sekiranya terdapat bukti kesalahan dilakukan, ia hendaklah dibawa ke mahkamah untuk dituduh dan dibicarakan. Semua pihak adalah sama di sisi undang-undang dan saya sesekali tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk kerabat yang terlibat dengan sebarang jenayah dan kesalahan undang-undang,” titah Tengku Hassanal dalam kenyataan semalam.

Baginda turut berkongsi rakaman skrin laporan sebuah portal berkaitan perkara it.

Terdahulu, Alias, 44, mendakwa dia diserang di sebuah kandang kuda di Kuantan oleh kira-kira 20 orang termasuk seorang “anak Tengku” pada 6 Jun lalu, susulan pertikaian berkaitan isu tanah.

Bekas anggota polis itu dalam serangan tersebut lelaki bersama kumpulan kerabat itu menikam kakinya dengan pisau manakala kerabat itu pula melepaskan tembakan tetapi tersasar. #utusanmalaysia

Share:

Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Pahang Angkat Sumpah Jawatan Hari Ini

KUANTAN:  Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan selesai mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan itu berlangsung di hadapan Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan ADUN lain.

Istiadat mengangkat sumpah dimulakan dengan Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan Pekan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri dan diikuti, Ketua MCA Temerloh, Datuk Wong Tat Chee; Ketua UMNO Jerantut, Haris Salleh Hamzah; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Rizal Jamin.

Mohd Sharkar dalam ucapanya berkata, pemilihan ini dibuat berdasarkan beberapa pertimbangkan antaranya bagi meluaskan lagi perkhidmatan kerajaan kepada rakyat terutamanya dalam situasi politik dan sosial dan ekonomi yang mencabar.

"Tahniah, lantikan ini juga akan membantu Kerajaan Pahang dalam pentadbiran negeri," katanya.

Terdahulu, pelantikan kelima-limanya tanpa melalui proses pilihan raya itu diluluskan dan ia mendapat sokongan majoriti mudah selepas usul berkenaan dicadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tujuh ADUN yang menyokong ialah Datuk Seri Mohd Johari Hussain dari Tioman, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif (Inderapura), Datuk Abd Aziz Mat Kiram (Batu Talam), Mohd Shahrim Md Zain (Chini), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Tras), Su Keong Siong (Ketari) dan Ho Chi Yang (Tanah Rata).

Pada November 2020, DUN Pahang telah meluluskan usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik lima ADUN, tanpa melalui proses pilihan raya. #sinarharian

Share:

Lelaki Cedera Kena Serang Dengan Senjata Tajam, Pistol Oleh Kerabat Pahang Di Kandang Kuda

KUANTAN: Seorang kerabat diraja Pahang bersama sekumpulan orang didakwa menyerang seorang lelaki menggunakan senjata tajam dan pistol sehingga mendatangkan kecederaan.

Alias Awang, 44, mendakwa dia menjadi mangsa serangan berkumpulan itu di sebuah kandang kuda di sini, Jun lalu.

Pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan itu memberitahu Malaysiakini, dia dihubungi oleh seorang individu dipercayai orang suruhan anak kerabat berkenaan untuk bertemu dengannya.

"Saya diserang oleh kira-kira 20 orang termasuk anak 'Tengku' berkenaan. Dalam kejadian itu seorang rakannya telah menyerang saya dengan menikam peha kanan saya dengan pisau.

"Anak Tengku berkenaan pula melepaskan tembakan ke arah kaki saya, namun tidak mengenai sasaran,” dakwanya yang membuat laporan polis pada 8 Jun, dua hari selepas kejadian.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan respons kerabat terbabit serta istana Pahang.

Alias (kiri) ketika membuat laporan polis

Alias, Bapa kepada lapan orang anak itu berkata, dia difahamkan serangan terhadapnya dibuat susulan pertikaian berkaitan isu tanah di Rompin, yang dia terlibat dalam pembinaan jalan di situ.

Berdasarkan laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Alias membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Alias mengalami kecederaan di bahagian paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki. 

Dia bagaimanapun menolak untuk ditahan di hospital, sebaliknya mahu melakukan penjagaan sendiri di rumah.

Berdasarkan laporan polis berkenaan, Alias mendakwa diserang sebaik tiba di lokasi kejadian dengan ditarik masuk ke dalam kabin kandang kuda.

Alias berkata, setakat ini dia telah dua kali dipanggil memberikan keterangan, termasuk terbaru beberapa hari lalu.

"Terbaru, beberapa hari lalu pihak polis memanggil saya ke balai untuk mendapat pengesahan saya nama pelaku yang telah menikam paha saya," katanya lagi.


Polis tahan tiga suspek utama

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi Malaysiakini berkata polis membuka siasatan bawah Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan kerana merusuh. 

Katanya, seramai tiga orang lelaki yang disyaki sebagai suspek utama dalam kes berkenaan telah ditangkap dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. 

Dua lagi individu juga ditahan dan dibebaskan selepas keterangan mereka direkodkan, tambah Wan Mohd Zahari. 

Pegawai polis itu bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen atau mengesahkan mengenai penglibatan seorang kerabat diraja dalam kejadian tersebut. 

"Kita sudah membuat tangkapan terhadap suspek utama dalam kes ini," kata Wan Mohd Zahari.

Ditanya mengenai dakwaan mangsa berkenaan penggunaan sepucuk pistol dalam kejadian itu, dia berkata polis masih memeriksa dakwaan tersebut.

"Kita lihat sekiranya ada keperluan untuk siasat, kita akan siasat lebih lanjut (mengenai dakwaan tembakan),” katanya.

“Setiap sudut kita siasat," tambahnya. #malaysiakini

Share:

Siri Jelajah PAS Teraju Pahang Goncang Kedudukan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN)

KUANTAN: Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, kedudukan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO semakin bergoncang di negeri ini.

Ini, ujarnya susulan kehadiran wakil-wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN) dalam siri Jelajah PAS Teraju Pahang (PTP) di DUN Semambu, baru-baru ini.

Menurutnya, impak gelombang jelajah PTP semakin dirasai oleh pihak lawan yang terbukti melalui penularan sebuah video TikTok oleh akaun PahangKu Media yang dipercayai proksi kepada Umno Pahang.

Menurutnya, video tersebut yang dimuat naik oleh Tun Faisal Ismail Aziz di laman Facebook beliau, tanpa sengaja mendedahkan ketidakcekapan ADUN BN-PH dalam menjalankan tanggungjawab.

“Menerusi video tersebut, saya lihat seolah-olah Umno Pahang mula merasai bahang Jelajah PAS Teraju Pahang ini sehingga mereka terlupa yang video yang mereka tularkan itu telah membuka pekung ketidakcekapan dalam berkhidmat YB daripada Kerajaan BN PH Pahang itu.

“Jikalau boleh saya simpulkan penduduk yang meluahkan perasaan itu, secara tidak langsung menzahirkan yang YB Semambu seolah-olah tidak cakna langsung dengan keadaan terutama prasarana penduduk di tempat yang ditularkan itu.

“Selepas bergegar bumi DUN Semambu dengan kehadiran YB-YB Perikatan Nasional Pahang barulah muncul YB BN-PH di tempat luahan penduduk yang saya kira telah lama menghadapi kesulitan akibat ketidakcanaan dan ketidakcekapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Azlan juga mengingatkan laman PahangKu Media agar tidak menyerang PAS dan PN Pahang secara sembarangan.

“Jikalau terasa bahangnya jelajah PTP ini janganlah terlalu semberono nak menyerang PAS dan PN Pahang sehingga terlondeh yang YB-YB daripada BN PH rupanya gagal dalam berkhidmat kepada rakyat seperti yang kamu tularkan dalam video TikTok tersebut,” katanya.

Justeru, beliau menyeru rakyat Pahang untuk tidak gentar dan bersama-sama dengan PAS dan PN dalam merealisasikan misi PAS dan PN Teraju Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.

“Insya-Allah PAS dan PN Pahang akan terus berkhidmat kepada anda sebaik mungkin,” katanya. #harakahdaily

Share:

Kenyataan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang Tidak Tepat, Berbaur Hasutan

KUANTAN: Video kenyataan dipercayai dikeluarkan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang berhubung Projek Tanaman Semula Komersial Orang Asli (TSKOA) yang tular menerusi aplikasi TikTok semalam, tidak tepat dan berbaur hasutan.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob, berkata sebagai penjawat awam, kenyataan yang dikeluarkan itu boleh memberi kesan buruk kepada kerajaan negeri.

Katanya, tindakan itu juga dilihat menyalahi Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

"Kerajaan negeri telah menerima pemakluman daripada pihak RISDA berkenaan pemberhentian operasi pengurusan TSKOA Pahang melalui surat bertarikh 8 Februari 2024.

"Selanjutnya, Kerajaan Pahang melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 21 Februari 2024 telah memutuskan bahawa projek TSKOA diuruskan oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd (ORACO) melalui kaedah memungut hasil tanaman (tapping right).

"Kelulusan 'tapping right' itu adalah penyelesaian bagi mengelakkan ketirisan hasil kerajaan negeri dan menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli yang terbabit di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zulkifli berkata, susulan itu, kerajaan negeri melantik ORACO sebagai agensi pengurus bagi melaksana 59 projek TSKOA di seluruh Pahang yang membabitkan tanah milik kerajaan negeri.

Katanya, Ketua Pengarah JAKOA Malaysia dan Pengarah JAKOA Pahang sudah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah ORACO pada 16 November 2021 dan terbabit dalam membuat keputusan yang diputuskan oleh Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.

"Oleh yang demikian, pihak JAKOA secara jelas mempunyai pengetahuan berkaitan dengan pelantikan ORACO sebagai agensi pengurus bagi projek TSKOA ini.

"Selain itu, beberapa sesi libat urus, penerangan dan lawatan di 59 tapak projek TSKOA turut dihadiri pegawai-pegawai daripada JAKOA Pahang.

"Pengambilalihan projek ini dilaksanakan bagi menjamin kebajikan masyarakat Orang Asli dan merangsang pendapatan stabil serta berterusan.

"ORACO telah mengambil beberapa langkah susulan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek ini agar masyarakat Orang Asli dapat menikmati pulangan ekonomi dengan cepat," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Pahang sentiasa komited untuk menjadi sebuah negeri yang sentiasa cakna dalam menjaga kebajikan dan ekonomi masyarakat Orang Asli supaya golongan berkenaan dapat dibantu bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

"Pada tahun ini, sejumlah RM13 juta diperuntukan untuk pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP), projek baik pulih rumah, pemberian komputer riba kepada pelajar Orang Asli yang melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi, insentif perkahwinan pertama Orang Asli dan sebagainya," katanya.#beritaharian

Share:

Kerajaan Pahang Terima Lapan Ambulans Jenis A Bernilai RM3.7 Juta Daripada Kementerian Kesihatan

KUANTAN: Kerajaan Pahang menerima lapan buah ambulans jenis A daripada Kementerian Kesihatan yang keseluruhannya berjumlah RM3.7 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ambulans itu diserahkan kepada enam buah hospital iaitu dua di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan dua di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.

Beliau berkata, masing-masing sebuah ambulans diserahkan kepada Hospital Pekan, Hospital Bentong, Hospital Kuala Lipis dan Hospital Sultanah Hajah Kalsom Cameron Highlands.

Katanya, ambulans jenis A itu dianggarkan bernilai RM455,000 seunit dan dilengkapi kemudahan canggih tiga dalam satu termasuk boleh terus menyalurkan data berkaitan pesakit kepada hospital.

“Terima kasih kepada pihak Kementerian Kesihatan dan juga Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) kerana menyerahkan lapan unit ambulans jenis A ini.

“Saya harap ia dapat digunakan dengan sebaik mungkin dan dapat memberi manfaat dan juga kebaikan kepada rakyat negeri ini yang memerlukan bantuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai majlis penyerahan ambulans berkenaan di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Tambah Wan Rosdy lagi, Kementerian Kesihatan turut akan menyerahkan 37 unit ambulans kepada hospital dan klinik kesihatan di setiap daerah di negeri ini.

Katanya, daripada 37 unit ambulans jenis B berkenaan, 20 daripadanya akan diterima pada November nanti dan 17 lagi akan diserahkan pada Julai 2025.

“(Penyerahan) Ini bukan satu permulaan dan pengakhiran. Insya-Allah ke depan ini akan ada lagi. Kemudahan-kemudahan sebegini kita akan teruskan tetapi kita buat berperingkat.

“Kalau di daerah ataupun di klinik kesihatan kita akan hantar ambulans jenis B. Pihak kementerian dan JKNP ada kaedah tertentu untuk memberikan sama ada jenis A atau jenis B,” ujarnya. #utusanmalaysia

Share:

Pengarah JAKOA Pahang Letak Jawatan Dalam ORACO Kerana Di Bantah Masyarakat Orang Asli

KUALA LUMPUR: Aktivis Orang Asli, Zurdi Baharu mendakwa pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), selepas ketegangan memuncak antara syarikat milik kerajaan Pahang itu dan masyarakat Orang Asli bulan lepas 

“Sejak awal lagi, agenda ORACO telah merugikan masyarakat Orang Asli.

“Selepas konflik antara penduduk kampung Orang Asli dan ORACO, (Pengarah JAKOA Pahang) Johari Alwi menjadi malu dan akibatnya meletak jawatan daripada ORACO,” kata Zurdi kepada Malaysiakini.

Pada 2022, Menteri Besar Pahang, Dato' Sri  Hj Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan bahawa ORACO ditubuhkan untuk memperkasakan Orang Asli dengan menjaga kebajikan dan kepentingan ekonomi mereka.

"Isu Orang Asli telah dipolitikkan, dengan penglibatan individu Orang Asli yang bagaimanapun, tidak benar-benar mewakili kehendak dan aspirasi sebenar masyarakat akar umbi," dakwa Zurdi.

Ketika dihubungi Johari memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak lagi boleh mengulas mengenai ORACO kerana baru sahaja melepaskan jawatannya dalam syarikat itu.

Kecewa dengan JAKOA

Pada 1 Ogos lalu, seorang lagi aktivis Orang Asli, Eliana Tan, menyuarakan kemarahan dan kekecewaannya terhadap JAKOA dan Kerajaan Negeri Pahang kerana kurang berunding dengan masyarakat Orang Asli sebelum mengambil alih projek penanaman semula yang sebelum ini diuruskan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA

Tan mendakwa ORACO mengambil alih projek Tanaman Semula Komersial (TSK) Orang Asli walaupun mendapat tentangan daripada penduduk kampung.

Susulan kenyataan Tan, Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) mengeluarkan kenyataan pada 28 Ogos yang menyatakan ia kecewa dengan isu itu.

JOAS menyatakan bahawa sebagai sebuah entiti milik kerajaan, ORACO harus memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan Orang Asli, dan menggesa ORACO menghentikan semua aktiviti dan melibatkan diri dalam rundingan secara ikhlas dengan penduduk kampung.

“Adalah penting semua pihak berkepentingan, khususnya masyarakat Orang Asli, terlibat secara bermakna dalam perbincangan penggunaan tanah dan pengurusan sumber.

“Proses ini mesti memastikan hak, kepentingan, dan kesejahteraan Orang Asli dihormati dan dipertahankan,” kata kenyataan itu. #malaysiakini

Share:

Polis Pahang Lupuskan Pelbagai Jenis Dadah Rampasan Sejak 2011 Bernilai Lebih RM500,000

KUANTAN: Polis Pahang melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM500,000 yang dirampas dari seluruh negeri ini sejak 2011 hingga tahun ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata dadah terbabit sudah melalui proses prosiding mahkamah dan mendapat arahan untuk dilupuskan.

Beliau berkata proses pelupusan akan dilaksanakan esok oleh kontraktor bertauliah di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

"Dadah yang dilupuskan ialah heroin seberat 8.46 kilogram, methamphetamine (22.04 kilogram), kanabis (237.92 gram), ketamin (237.92 gram), nimetazepam (60.16 gram) dan yaba (149.19 gram). Turut dilupuskan ekstasi (56.06 gram), air ketum (4,840.85 liter) dan kodein (310.69 liter).

"Selain itu, pil psikotropik (0.10 gram) dan lain-lain seperti manitol, methylenedioxymethamphetamine (MDMA) serta etizolam (190.17 liter dan 127.57 gram) dengan keseluruhannya bernilai RM535,009.15 di pasaran," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas perkembangan siasatan seorang ahli bersekutu sebuah pertubuhan yang didakwa menyalahgunakan gelaran Datuk palsu dari Pahang sejak setahun lepas, Yahaya berkata polis sudah mengenal pasti individu terbabit dan sedang mengambil tindakan selanjutnya.

"Individu terbabit berusia lewat 40-an... dia tidak terlibat dengan aktiviti penipuan (bukan guna Datuk untuk tawarkan penipuan pelaburan) tetapi dipercayai menggunakan gelaran Datuk palsu untuk mendapatkan jawatan tertentu," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mengesan beberapa individu lain yang terlibat bagi membantu siasatan kes itu.

Sebelum ini, polis menerima laporan daripada sebuah pertubuhan mendakwa seorang individu yang juga ahli bersekutu menggunakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk. #astroawani

Share:

Timbalan Speaker DUN Pahang, Lee Chin Chen Di Pilih Sebagai Pengerusi DAP Pahang Baharu

KUANTAN: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Lee Chin Chen dipilih sebagai Pengerusi DAP Pahang berkuat kuasa semalam.

Lantikan itu diputuskan pada Persidangan Konvensyen Biasa DAP negeri semalam bagi menggantikan pemimpin veteran parti itu, Datuk Leong Ngah Ngah yang menjadi Pengerusi DAP Pahang sejak 2015.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut menerusi kenyataan hari ini menzahirkan penghargaan kepada Leong atas sumbangan selama beberapa dekad kepada DAP Pahang.

Menurut Lee, beliau bersama jawatankuasa kepimpinan baharu akan terus komited terhadap pembangunan negeri dan berusaha untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai parti itu.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan berhadapan cabaran yang tidak boleh dipandang remeh terutamanya dalam konteks parti-parti dengan ideologi dan gaya kepimpinan yang berbeza bekerjasama dalam pentadbiran.

"Pengalaman dua tahun kebelakangan ini membuktikan model Kerajaan Perpaduan membawa hasil positif.

"Ia bukan sahaja memberikan kestabilan kepada negara, malah memacu transformasi ekonomi serta berjaya menangkis serangan perkauman dan ekstremisme agama," katanya.

Jawatankuasa baharu itu turut dianggotai bekas calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14, M. Manogaran sebagai Timbalan Pengerusi, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman bersama ADUN Mentakab Woo Chee Wan selaku Naib Pengerusi. #astroawani

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.