script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Nooryana Dakwa Titah Adendum Najib Itu Benar Dan Berlandaskan Fakta, Nizar Tidak Akan Fitnah Sultan Sendiri

KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Mohamad Nizar membuat afidavit tambahan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya berkaitan hukuman tahanan rumah ke atas bapanya, iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah berlandaskan fakta dan kebenaran.

Menurut adiknya, Nooryana Najwa, Mohamad Nizar sebagai Exco Pahang tidak akan memfitnah sultan negeri sendiri dan bekas Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dengan membuat afidavit menipu serta menyerahkan salinan titah adendum melibatkan nama YDPA ketika itu.

Jelas Nooryana, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan bahawa salinan titah adendum tersebut digunakan di mahkamah, dan bukan untuk ditularkan di media sosial.

“Abang saya yang juga ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) telah membuat afidavit tambahan dan menyerahkan kepada mahkamah bersama satu salinan titah adendum yang mengarahkan Datuk Seri Najib diberi tahanan di rumah.

“Difahamkan juga bahawa dokumen-dokumen tersebut pada mulanya boleh diakses orang ramai melalui sistem fail mahkamah sebagaimana mana-mana kes jenayah tetapi pagi ini, dokumen-dokumen telah 'ditutup' daripada diakses orang umum,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Terdahulu, Najib memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya bagi menyokong dakwaannya mengenai kewujudan titah adendum diraja yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun kepada tahanan di rumah.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa permohonan tersebut difailkan pada 3 Disember lalu. #AstroAwani

Share:

Sumber Deposit Emas Di Pahang Dianggarkan 63.44 Tan Metrik Dengan Anggaran Nilai RM10.8 Billion

KUANTAN: Sumber deposit emas di Pahang dianggarkan 63.44 tan metrik dengan anggaran nilai RM10.8 billion.

Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu berdasarkan anggaran Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Menurutnya, berdasarkan statistik tahun lalu, terdapat tujuh tujuh pengeluaran emas aktif di Pahang dengan jumlah pengeluaran 720.8 kilogram bernilai RM155.6 juta.

"Jajaran emas di Pahang terbentuk dalam jaluran tengah semenanjung meliputi kawasan daerah Lipis, Raub, Maran, Pekan dan Rompin.

"Ianya wujud pada telerang-telerang hidrotermal dalam batuan metasedimen sebagai deposit emas primer dan juga bersama-sama mendapan alluvial dalam lembangan-lembangan sungai sebagai deposit emas sekunder," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Chan Chun Kuang (PKR-Semambu) mengenai jangkaan deposit sumber emas yang ada di negeri Pahang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.

Wan Rosdy berkata, pengiraan tempoh hayat lombong yang menentukan tempoh deposit emas tidak dapat diukur dengan tepat kerana ia bergantung kepada pelbagai faktor kebolehlaksanaan seperti jumlah rizab mineral emas terukur, skala operasi perlombongan dan kadar pengeluaran lombong.

"Faktor-faktor lain termasuklah aspek ekonomi mineral, dasar dan polisi semasa serta perubahan dalam teknologi perlombongan.

"Penambahan dalam pelaburan kerja- kerja carigali yang berterusan juga akan meningkatkan jumlah hayat lombong," ujarnya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, nilai royalti pengeluaran emas di negeri ini mencecah lebih RM10 juta sehingga November lalu. #SinarHarian


Share:

Kerajaan Pahang Bangunkan Galeri Dan Naiktaraf Muzium Lipis, Jadikan Hab Pelancongan Warisan Negeri

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang dalam proses membangunkan galeri dan menaiktaraf Muzium Lipis untuk mempromosi daerah Lipis sebagai hab pelancongan warisan.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, galeri itu akan dibina berdasarkan tema yang telah diselaraskan iaitu pengenalan galeri, kesultanan Melayu Pahang, istana dan kesenian, hubungan raja dan pembesar dan sosio-budaya masyarakat serta tokoh tempatan.

“Galeri ini juga bukan berfungsi sebagai galeri pameran sahaja tetapi akan ditambahbaik dengan mengikuti trend terkini seperti kemudahan kafe, kemudahan internet dan perpustakaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang berkata pada sesi penggulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15, di sini, hari ini.

Tambahnya, Muzium Pahang juga telah mengikut garis panduan yang ditetapkan Internation Councils Of Museum (ICOM) bagi mengorak langkah ke arah yang lebih moden dan intelektual, sekaligus menerapkan setiap garis panduan ini dalam menaiktaraf Muzium Warisan Lipis. #MalaysiaGazette

Share:

Pahang Menerima Peruntukan RM2 Juta Tahun Ini, Bagi Pembangunan Industri Durian Di Negeri Ini

KUANTAN: Pahang menerima peruntukan RM2 juta tahun ini bagi pembangunan industri durian di negeri ini termasuk pemberian input tanaman raja buat tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan pendidikan negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, Pusat Pemprosesan Durian di negeri ini juga sudah meningkat kepada 20 buah melibatkan daerah Bentong, Raub dan Jerantut.

Katanya, kerajaan negeri juga sudah meluluskan 30 projek durian melibatkan kawasan seluas 3016.54 hektar di tanah Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK).

“Di Bentong, kita ada tujuh projek melibatkan keluasan tanah 277.68  hektar, di Kuantan ada tiga projek (546.32 hektar), di Lipis kita ada enam projekb(681.07 hektar), di Maran ada satu projek (16.6 hektar), di Raub ada sembilan projek (1152.66 hektar) dan di Temerloh ada empat projek melibatkan 342.1 hektar,” katanya ketika menjawab pertanyaan Su Keong Siong (DAP-Ketari) pada sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Sri Pahang di sini.

Tambah Mohd. Soffi, kerajaan Pahang melalui Jabatan Pertanian Negeri sudah berperanan dalam memperkasa industri durian di negeri ini dengan melaksanakan beberapa program terpilih.

“Antaranya Program Pengembangan Teknologi, bantuan khidmat nasihat secara teknikal, perundingan seperti pembukaan kawasan, pemilihan varieti yang berkualiti, kesesuaian tanah, kaedah pembajaan, kawalan penyakit dan perosak, pensijilan MyGap (Amalan Pertanian Baik), program lepas tuai, laluan pasaran dan penghasilan produk industri hiliran.

“Jabatan Pertanian Negeri Pahang juga turut membantu pengusaha durian mengeluarkan hasil yang berkualiti melalui amalan pertanian yang baik sehingga memperoleh pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic) bagi memudahkan pengeksportan durian Musang King ke negara luar terutama negara China.

“Selain itu, sesi bengkel dan libat urus bersama pengusaha-pengusaha tanaman durian negeri Pahang dan pemain-pemain industri juga turut dilaksanakan bagi mengenalpasti masalah, penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dan latihan atau bantuan yang boleh diberikan kepada pengusaha durian di negeri Pahang,” ujarnya.

Menjawab soalan tambahan yang dikemukan Mohd. Fadzli Mohd. Ramly (ADUN Lantikan) berkenaan menjadikan Pahang sebagai hub pengeluaran durian negara, beliau berkata, kerajaan negeri memang berhasrat menjadikan Pahang sebagai hub pengeluaran produk premium termasuk durian Musang King.#UtusanMalaysia

Share:

Kerajaan Pahang Perlu Sedia Kembangkan Teknologi Kenderaan Elektrik, Jadi Hab Teknologi Tersebut

KUANTAN: Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Ibrahim (PN-Cheka) Kerajaan Pahang mengenal pasti tahap kesediaan dalam perkembangan teknologi kenderaan elektrik (EV) dan menjadi hab kepada teknologi tersebut.

Menurut beliau, negeri ini turut mempunyai stok simpanan unsur nadir bumi (REE) dan Lynas yang boleh digunakan untuk membangunkan ekonomi negeri dan sektor EV.

“Cuma persoalan saya ialah cabaran besar yang kita terima sekarang ini ialah masalah pemprosesan kerana kos elektrik kita yang tinggi. Saya difahamkan hidrogen merupakan kos pengurusan elektrik yang lebih murah.

“Kerajaan Pusat pada satu masa untuk eksport tenaga (hidrogen) daripada Bakun ke Semenanjung. Tetapi oleh kerana kos perairan yang terpaksa merentas sempadan luar negara luar, negara Indonesia, menyebabkan kita berdepan dengan masalah yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Negeri Pahang, di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi, Dato’ Mohamad Nizar Najib dalam jawabannya berkata, kerajaan negeri ketika ini mempunyai persaingan sengit dengan negeri-negeri lain dalam sektor tersebut.

“Kerajaan negeri memang menggalakkan kilang pemasangan EV dalam negeri Pahang. Cabaran pada waktu sekarang ialah saingan sengit di antara kerajaan negeri dan juga negeri-negeri yang lain, mahupun dengan negara-negara yang lain.

“Para pelabur yang ingin melabur untuk stesen pemasangan EV, mereka selalu bertanyakan insentif dan juga mereka melihat kepada sumber-sumber bahan mentah.

“Sebagai contoh perlombongan lithium, iaitu satu komponen mineral yang besar dalam komponen EV,” katanya. #Harakahdaily

Share:

Titah Adendum: Nizar Dakwa Terima Dokumen Daripada Istana Pahang Sebagai Bukti Tambahan Baharu

PUTRAJAYA: Anak sulung kepada bekas Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohamad Nizar didakwa menerima dokumen daripada Istana Pahang sebagai bukti tambahan baharu dalam rayuan berhubung kewujudan titah adendum.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding di Mahkamah Rayuan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, dokumen tersebut diterima Nizar pada 2 Disember atas arahan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai butiran dokumen berkenaan selain menjelaskan kandungannya menyatakan Najib perlu menjalani baki hukuman penjara di rumah.

"Perintah ini ditandatangani pada 29 Januari, sama dengan perintah utama yang mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun dan mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta," katanya pada Khamis.

Ujar beliau, bukti baharu itu akan memuktamadkan bahawa perintah adendum itu wujud.

"Apabila ia didedahkan, anda akan terkejut melihat siapa yang diarahkan (ketika itu) Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan perintah tambahan ini.

"Saya tidak mahu mendedahkan kerana terdapat perintah perlindungan yang sedang berkuat kuasa.

"Kami serahkan kepada kerajaan untuk menentukan sama ada perintah tambahan ini benar atau tidak," jelas beliau.

Terdahulu, Muhammad Shafee memaklumkan kepada Mahkamah Rayuan bahawa pihak beliau telah memfailkan bukti baharu pada 3 Disember sehari selepas menerimanya.

Sementara itu, ditanya kenapa beliau tidak memasukkan bukti baharu itu lebih awal ketika anak guamnya memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, Muhammad Shafee berpendapat Sultan tidak mahu terlibat dalam kontroversi awam.

“Oleh sebab itu, baginda kekal berdiam diri namun keadaan menjadi terlalu serius dan hampir setahun sejak perintah tambahan itu diluluskan.

"Adalah tidak adil kepada Najib jika perintah seperti itu wujud,” katanya.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Pada 3 Julai lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.

Dalam permohonan yang difailkan April lepas, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari lepas.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.#SinarHarian

Share:

Titah Adendum: Najib Maklum Mahkamah Rayuan Untuk Failkan Permohonan Masukkan Bukti Baharu

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan Mahkamah Rayuan bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti baharu berhubung kewujudan titah adendum.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bukti baharu itu difailkan pada Selasa lalu selepas sehari menerima maklumat berkenaan dan salinannya telah diserahkan kepada wakil peguam kerajaan dari Jabatan Peguam Negara (AGC).

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, kemudiannya berkata, pihaknya memerlukan masa untuk menyemak afidavit tersebut dan mengesahkan dokumen yang dilampirkan.

“Kami mungkin atau mungkin tidak membalas afidavit itu. Buat masa ini, kami perlu mengesahkan dokumen yang dilampirkan,” katanya.

Sehubungan itu, panel tiga hakim bersidang yang dipengerusi oleh Hakim Datuk Azizah Nawawi menangguhkan pendengaran rayuan ke tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Pada 3 Julai lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.

Dalam permohonan yang difailkan April lepas, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari lepas.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. #AstroAwani

Share:

Kes 1MDB: Najib Dakwa Beliau Secara Palsu Dikaitkan Dengan Perbuatan Salah Laku Jho Low

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau secara palsu dilibatkan dalam perbuatan salah laku ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, berkaitan hal ehwal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib berhujah bahawa dakwaan terhadapnya hanya berdasarkan kehadiran Jho Low di kediamannya dan hubungan mereka dikatakan rapat yang disensasikan, terutamanya memandangkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas peguam 1MDB Jasmine Loo dan bekas pengurus perhubungan pelanggan AmBank Joanna Yu, mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan Jho Low.

"Jasmine Loo, Joanna Yu dan Shahrol Azral sendiri telah melawat Jho Low di kediamannya dan pengakuan Shahrol Azral di mahkamah bahawa dia membuat nasi goreng untuk Jho Low... dan jangan lupa Joanna Yu membuat sup untuk Jho Low ketika dia tidak sihat.

"Untuk rekod, saya tidak pernah menyediakan sebarang hidangan untuk Jho Low," katanya semasa membaca daripada jilid pertama kenyataan saksinya setebal 525 muka surat.

Hari ini merupakan hari keempat bekas ahli parlimen Pekan itu mengambil pendirian membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Najib berkata walaupun beliau tidak menafikan bahawa pada masa tertentu Jho Low hadir di kediamannya di Langgak Duta, adalah penting untuk memahami konteks interaksinya dengan Jho Low pada masa itu.

"Keyakinan saya terhadap Jho Low timbul daripada imej menarik yang ditonjolkannya sebagai individu yang berkebolehan tinggi dan mempunyai banyak hubungan.

"Imej profesionalisme dan kecekapan strategiknya yang dipupuk, digandingkan pula dengan kebolehan memujuk, menjadikan dia seorang yang layak mendapat kepercayaan dan keyakinan," katanya.

Najib berkata pada masa itu beliau tidak mempunyai sebab untuk mempersoalkan niat atau tindakan Jho Low, kerana urusannya dengan ahli perniagaan itu sentiasa berpandukan hanya kepada perkara yang dipercayainya untuk kepentingan Malaysia.

"Bagaimanapun hanya kerana saya mempercayai Jho Low, itu tidak bermakna saya memberinya arahan untuk bertindak sebagai perantara untuk diri saya sendiri dan pengurusan atau pengarah 1MDB, dan tidak bermakna saya memberi kuasa kepadanya untuk membawa resolusi, seperti Special Rights Redeemable Preference Shareholder Resolution (SRR) 1MDB dan Minit Perwakilan (MR) untuk tandatangan saya di kediaman saya di Langgak Duta," kata Najib semasa menyangkal dakwaan yang dibuat oleh Loo semasa memberi keterangan dalam perbicaraan ini.

Kenyataan Najib adalah sebagai respons kepada kenyataan Loo bahawa Jho Low berada di kediaman Najib di Langgak Duta, dan Loo akan menyerahkan dokumen SSR dan MR kepada Jho Low untuk mendapatkan tandatangan Najib.

Bekas perdana menteri itu mendakwa keterangan Loo itu bertujuan mewujudkan tanggapan bahawa dia dan Jho Low berkonspirasi bersama.

"Saya sebaliknya menjalankan tugas rasmi rutin tanpa syak wasangka, akan menandatangani resolusi yang dibentangkan pegawai saya.

"Saya juga harus menekankan bahawa saya tidak akan menandatangani sebarang resolusi melainkan lembaga 1MDB telah pun meluluskan melalui Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR), dan DCR dilampirkan pada resolusi yang saya diminta untuk meluluskan," kata Najib.

Pada 30 Okt, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri atas kesemua 25 pertuduhan, memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya pada akhir kesnya.

Perbicaraan bersambung esok. #AstroAwani

Share:

Rapid Kuantan Bakal Tamatkan Operasi, Operator Swasta Baharu Ganti Bagi Tempoh 2025 Hingga 2030

KUANTAN: Rapid Kuantan bakal menamatkan operasi bas di Kuantan dan akan digantikan dengan operator swasta baharu bagi tempoh 2025 sehingga 2030.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Dato' Ir Razali Kassim berkata, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan bersama Rapid Kuantan (Prasarana) dan Agensi Pengangkutan Awam (APAD) pada 8 Oktober lalu untuk mendapatkan penjelasan mengenai operasi bas di Kuantan.

Menurutnya, APAD telah membentangkan berkenaan tender terbuka yang dikeluarkan berkenaan Tranformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti 2.0 (SBST 2.0) di Kuantan dari tahun 2025 sehingga 2030.

"APAD memaklumkan Rapid Kuantan telah hadır untuk taklimat namun tidak memasuki tender terbuka SBST 2.0 Kuantan kerana permakluman masa yang terlalu singkat.

"Selain itu pihak Rapid Kuantan juga memaklumkan mereka mempunyai tapak depot kekal sebagai tempat menyelenggara bas selain nilai kontrak SBST 2.0 Kuantan untuk lima tahun tidak dapat menampung kos operasi bagi 55 bas sehari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Chan Chun Kuang (PH-Semambu) mengenai jangkaan penamatan perkhidmatan bas Rapid Kuantan dan operator swasta baharu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Razali berkata, Rapid Kuantan bagaimanapun perlu meneruskan perkhidmatan bas ini sehingga Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan untuk tender SBST 2.0.

"SBST 2.0 Kuantan merangkumi 16 laluan dan kesemua laluan tersebut telah dibuat kajian sebelum tender dikeluarkan.

"Selepas tender dikeluarkan akan ada kajian semula terhadap keberkesanan laluan selepas sembilan bulan hingga 12 bulan perkhidmatan bas diberikan," katanya.

Jelas beliau, bagi kajian semula keberkesanan laluan ini, APAD akan melibatkan wakil kerajaan negeri dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Operator baharu yang dilantik akan menyediakan pas bulanan bernilai RM50 tanpa had dan kad konsesi bagi orang kurang upaya (OKU), pelajar dan warga emas dengan kos pendaftaran RM10 dikenakan secara 'one off'.

Sementara itu, beliau berkata, penamatan operasi bas Rapid Kuantan dijangka akan menjejaskan 103 pekerja.

"Pekerja diberi tiga pilihan termasuk meneruskan khidmat mereka ke negeri lain yang mempunyai perkhidmatan itu.

"Kerajaan negeri juga akan berbincang dengan operator baharu sekiranya boleh menyerapkan pekerja-pekerja ini ke dalam syarikat mereka dan pilihan terakhir adalah pembayaran pampasan sewajarnya," katanya. #SinarHarian

Share:

Perbincangan Parti Kerajaan Perpaduan Di Pahang Isu Lantikan JKKK Dan Ahli Majlis PBT Hampir 90% Selesai

KUANTAN: Perbincangan parti kerajaan perpaduan di Pahang mengenai lantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) hampir 90% selesai.

Pemimpin UMNO Pahang, Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata sebaik ketua parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memuktamadkan perbincangan perkara itu akan disampaikan kepada kerajaan negeri untuk membuat lantikan.

“Soal pembahagian jawatan JKKK dan PBT diselesai di peringkat kepimpinan parti bukan kerajaan negeri, apa yang kepimpinan parti (BN-PH) setuju itu akan dicadang kepada kerajaan negeri dan kerajaan negeri akan merealisasikan perkara itu.

“Perbincangan itu setakat ini 90% hampir selesai, wakil BN akan ada jawatan dan PH akan ada dapat jawatan JKKK, PBT dan sebagainya,” kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau itu turut memaklumkan terdapat lebih 600 jawatan JKKK di Pahang.

Syed Ibrahim yang juga Pengerusi Hal Ehwal Agama UMNO Pahang berkata, hubungan BN-PH semakin serasi dan tiada sebarang konflik besar berlaku termasuk dalam pentadbiran kerajaan negeri.


BN dan PH masing-masing menang 17 serta lapan daripada 42 kerusi DUN Pahang membentuk kerajaan perpaduan selepas PRU15. Selebihnya iaitu 17 kerusi dikuasai Perikatan Nasional.#FreeMalaysiaToday

Share:

Pahang Perlu Wujudkan Beras Keluaran Sendiri, Untuk Jamin Sumber Makanan Masa Depan Rakyat

KUANTAN: Pengurangan peruntukan bagi sektor pertanian dalam Belanjawan 2025 Pahang tidak seharusnya berlaku bagi menjamin kesinambungan sumber makanan di negeri ini.

Hassan Omar (PN-Lanchang) berkata, peruntukan sebanyak RM36.78 juta dalam pembentangan baru-baru ini adalah jauh lebih rendah berbanding RM58.93 juta yang diperuntukkan bagi tahun ini.

“Ini bermakna ia semakin berkurangan sebanyak RM22.15 juta, iaitu kira 37 peratus berkurangan. Sepatutnya peruntukan ini bertambah atau paling tidak sama dengan tahun ini 2024.

“Kerana kita tahu keperluan penambahan sektor pertanian untuk mengeluarkan makanan penting bagi masa depan rakyat kita di negeri Pahang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam Perbahasan Belanjawan 2025 Negeri Pahang di Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini pada Selasa.

Keperluan untuk mewujudkan beras keluaran sendiri antara perkara yang turut disentuh oleh Hassan dalam perbahasan tersebut. 

“Ramai di kalangan Ahli-ahli Dewan telah pun menyebut betapa perlunya untuk kita menghasilkan beras sendiri untuk negeri Pahang

“Ia menjadi penting buat masa ini dan seluruh negara juga menyebut kekurangan bahan tersebut yang menyebabkan banyak beras di import daripada luar negara,” katanya.#Harakahdaily

Share:

Dua Negeri Iaitu Pahang Dan Johor Digesa Bersiap Sedia Bagi Menghadapi Gelombang Kedua Banjir

PUTRAJAYA:  Dua negeri iaitu Pahang dan Johor digesa bersedia bagi menghadapi banjir gelombang kedua pada minggu depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berdasarkan kepada maklumat terkini bahawa akan berlaku uluran hujan menuju ke selatan tanahair daripada negeri-negeri yang berlaku banjir seperti di Kelantan dan Terengganu.

“Untuk gelombang kedua yang diunjurkan mulai pada 8 Disember dan berakhir 14 Disember kesiapsiagaan melebihi daripada kesiapsiagaan sebelum ini kerana kita telah mengadakan simulasi jangkaan itu sebelum gelomnan pertama.

“Kita harap negeri Pahang dan Johor bersiap sedia kerana uluran hujan akan turun ke Pahang dan Johor dan air daripada sungai yang datang daripada Terengganu akan juga turun ke Pahang dan kemudiannya turun ke Johor,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan sambutan Hari Inovasi dan Kualiti KKDW di Dewan Seri Lestari, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah menggerakkan Skuad Ihsan Madani ke luar bandar bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

“Untuk Orang Asli kita telah menggerakkan di semua kawasan yang terjejas dan kita bantu malah di kawasan Felda dan FELCRA, RISDA dan wilayah-wilayah.

“Kita juga telah menggerakkan semua jentera dan aset dan yang paling penting ialah ada kumpulan sukarelawan yang akan bantu di kawasan berkenaan,” kata Ahmad Zahid.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, banjir besar yang berlaku di Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu ketika ini berpunca daripada hujan lebat luar biasa yang berterusan lebih enam jam.

Katanya, hujan juga adalah dua kali ganda daripada purata hujan biasa dan ditambah dengan keadaan air pasang besar.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Isnin meramalkan akan berlaku ribut petir berserta hujan lebat di Kelantan dan Terengganu bermula Selasa hingga esok.

Keadaan itu ditambah dengan luruan monsun dijangka bermula pada 8 hingga 14 Disember ini menjadi punca hujan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan. #MalaysiaGazette

Share:

Sebanyak 107 Daripada 217 Projek Pembangunan Bekalan Air Pahang Fasa 1 Telah Siap Dilaksanakan

KUANTAN: Sebanyak 107 daripada 217 projek pembangunan bekalan air negeri Pahang Fasa 1 telah siap dilaksanakan sehingga September tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, baki 33 projek masih dalam pembinaan manakala 77 projek lagi di peringkat pra-pembinaan.

Menurutnya, perkembangan pelaksanaan projek bekalan air oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) sentiasa dipantau kerajaan negeri.

"Satu sesi lawatan 'task force' ke semua daerah di negeri ini telah dilaksanakan pada 2022 bagi mengumpul maklumat permasalahan bekalan air dan merangka cadangan penyelesaian.

"Melalui lawatan 'task force' itu, satu rangka kerja dibuat bagi menyelesaikan masalah gangguan bekalan.

"Inisiatif projek bagi menyelesaikan masalah `blackspot' di seluruh Pahang ini dirangkum dan peruntukan dana pembiayaan rentas agensi termasuk daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), peruntukan dalaman PAIP, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Khairulnizam Mohamad Zuldin (BN- Kemayan) mengenai masalah gangguan bekalan air di negeri ini pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, sehingga kini, PAIP telah menukar paip usang sepanjang 154 kilometer di negeri ini.

"Kerja-kerja penukaran 186 kilometer paip usang lagi sedang dilaksanakan dan akan terus dilaksanakan sehingga 2026," katanya.#SinarHarian

Share:

Fuziah Sangkal Dakwaan Mangsa Banjir Perlu Daftar Sebagai Ahli Parti Untuk Terima Bantuan PKR

PETALING JAYA: Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh sangkal dakwaan bahawa mangsa banjir perlu mendaftar sebagai ahli bagi mendapatkan bantuan daripada partinya.

Fuziah berkata, dakwaan bahawa PKR mempolitikkan bantuan untuk mangsa banjir adalah tidak berasas dan bertujuan untuk mencemarkan nama baik parti itu.

“Saya akan periksa dengan ahli parti tetapi jawapan segera saya ialah ini adalah fitnah semata-mata,” katanya.

Fuziah menjelaskan, pihak yang cuba memfitnah PKR nampaknya tidak mengkaji dakwaan itu, memandangkan pendaftaran ahli kini dibuat secara dalam talian.

“Mana ada isi borang keahlian. Sekarang kena dalam talian saja,” katanya.

Bagaimanapun, Fuziah berkata PKR akan siasat dakwaan itu.

Terdahulu, tersebar satu catatan Facebook menuduh PKR mempolitikkan bantuan banjir, dengan seorang individu yang dikatakan mangsa mendakwa mereka diberitahu supaya mendaftar sebagai ahli parti untuk menerima bantuan. #FreeMalaysiaToday

Share:

Sultan Pahang Seru Semua Rakyat Tdak Abaikan Peranan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua rakyat supaya tidak mengabaikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kerana ia bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lebih daripada itu.

Baginda bertitah bahasa Melayu ialah lambang identiti budaya dan kedaulatan negara serta merupakan medium utama yang dapat memperkenalkan keunikan warisan, adat resam dan tradisi masyarakat ini kepada seluruh dunia.

"Pahang sebagai negeri yang kaya dengan sejarah, alam semula jadi dan budaya, telah mengambil langkah proaktif dengan menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu dan tulisan Jawi pada semua papan tanda premis perniagaan serta jalan raya bermula 2020 lagi.

"Tindakan daripada titah saya ketika itu, ialah manifestasi komitmen kita untuk memastikan identiti kita terus terpelihara dan dikenali. Tulisan Jawi, sebagai sebahagian daripada warisan bangsa, turut memainkan peranan penting dalam menonjolkan keaslian negeri ini," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Rengai, Lipis, dekat sini pada Selasa.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru kepada semua rakyat di negeri ini terutamanya pengusaha premis 

perniagaan, penggiat industri pelancongan dan masyarakat awam untuk terus mematuhi serta mendukung peraturan berkenaan.

Baginda bertitah bahasa Melayu dan tulisan Jawi perlulah dipastikan penggunaannya secara menyeluruh dan bukannya sekadar memenuhi syarat, tetapi sebagai tanda cinta dan hormat kepada warisan bangsa.

"Saya ingin mengingatkan, bahawa kita tidak perlu menjadi seperti 'kaduk naik junjung' terlalu teruja dengan bahasa dan budaya luar sehingga mengabaikan akar bangsa kita sendiri. Dalam usaha membangunkan negeri dan membuka pintu kepada pelancong dari serata dunia, kita tidak harus kehilangan jati diri.

"Sebaliknya, kita mesti memastikan setiap yang melawati ke negeri Pahang, merasai keunikan budaya dan bahasa kita," titah baginda.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan kepada penduduk di negeri ini agar sentiasa bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) berikutan hujan lebat ketika ini, mengundang cabaran dalam berhadapan sebarang kemungkinan berlakunya banjir, tanah runtuh dan angin kencang.

Baginda bertitah persediaan awal menghadapi MTL amat penting dalam mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda, justeru, penduduk di negeri ini dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan amaran cuaca dan nasihat daripada pihak berkuasa.

"Pastikan keluarga khususnya warga emas dan kanak-kanak sentiasa berada di tempat yang selamat. Dalam menghadapi ujian, seperti musim tengkujuh ini, saya mengajak kita semua untuk sentiasa bertawakal kepada Allah SWT di samping berusaha melindungi diri dan keluarga.

"Semoga dengan kesabaran dan doa, Allah mempermudah segala urusan kita dan melindungi negeri Pahang Darul Makmur daripada segala musibah," titah baginda. #AstroAwani

Share:

Temerloh Dan Bera Menjadi Daerah Terbaru Dilanda Banjir, Empat Pusat Pemindahan Sementara Dibuka

TEMERLOH: Temerloh dan Bera menjadi daerah terbaru dilanda banjir dengan empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka menempatkan 39 mangsa daripada tujuh keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatan Kuasa Pengurusan Bencana Negeri (JKBN) berkata, PPS dibuka membabitkan PPS Surau Kampung (Kg) Lompat, Temerloh dibuka pada 12 tengah hari dengan menempatkan satu keluarga dan empat mangsa.

"PPS Masjid Kg Kepayang, Temerloh turut dibuka pada jam 3 petang dengan menempatkan satu keluarga membabitkan lapan mangsa,

"Di Bera turut dibuka PPS di Masjid Kg Mengkarak dengan menempatkan 16 mangsa daripada tiga keluarga dan PPS SK Bukit Gemuruh menempatkan 11 mangsa daripada dua keluarga," katanya.

Semua PPS di Raub, Lipis dan Jerantut sudah ditutup. #BeritaHarian

Share:

Pahang Peroleh RM22.67 Bilion Pelaburan Langsung Asing (FDI) Menerusi MoA 15 Projek Bagi Tahun 2022 Hingga Jun 2024

KUANTAN: Pahang memperoleh sebanyak RM22.67 bilion pelaburan langsung asing (FDI) menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) 15 projek bagi tahun 2022 sehingga Jun 2024.

Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohamad Nizar Najib, tiga daripada projek dari negara China telah diluluskan lesen pengilang oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjumlah RM22,541,271.00.

“Nilai pelaburan langsung asing komited menunjukkan peningkatan ketara daripada RM11.01 bilion pada 2022 kepada RM11.666 bilion (2023).

“Bagi tahun tahun ini, pelaburan berpotensi masih dalam peringkat rundingan dan diselia oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC),” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Su Keong Siong (PH-Ketari) mengenai jumlah FDI yang dicatatkan kerajaan negeri dari tahun 2022 hingga Jun lalu dan jumlah pelaburan dari China pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Sementara itu, Mohamad Nizar berkata, jumlah FDI berdasarkan kelulusan lesen pengilang oleh pihak MIDA telah menunjukkan peningkatan drastik pada tahun 2023 iaitu sebanyak RM886,072,566.00 berbanding 27,299,284 pada tahun 2022. #MalaysiaGazette

Share:

Bekalan Ikan Dijamin Mencukupi Untuk Rakyat Di Pahang Sepanjang Monsun Timur Laut (MTL)

KUANTAN: Bekalan ikan dijamin mencukupi untuk rakyat di negeri ini sepanjang musim tengkujuh yang dijangka berakhir Mac tahun depan.

Exco Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abd Razak berkata, rekod pendaratan ikan bagi tahun 2023 menunjukkan terdapat hasil pengeluaran atau pendaratan ikan lebihan yang turut dipasarkan ke negeri lain.

“Jika merujuk rekod pendaratan ikan tahun 2023 iaitu 136,853 tan metrik yang bernilai RM1.32 bilion menunjukkan Negeri Pahang menghasilkan pengeluaran atau pendaratan ikan yang lebih.

“Kalau dikira dan dibahagikan pula dengan bulan, terdapat lebihan sebanyak 5,071 tan metrik yang boleh kita pasarkan ke luar dari Pahang, jadi maknanya bekalan untuk makluman, alhamdulillah bekalan ikan di Pahang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Tioman- BN) pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Mengenai strategi kerajaan negeri mencapai keterjaminan makanan berkaitan tiga subsektor perikanan, Mohd Soffi berkata, terdapat banyak inisiatif dan peruntukan telah disediakan.

“Antaranya, Projek Pembangunan Integrasi Akuakultur (PPIA Sistem Sangkar Bersepadu) bernilai kira-kira RM6.89 juta sedang dilaksanakan bagi tahun 2024 yang melibatkan lima daerah, 11 kluster dan 43 orang peserta.

“Melalui peruntukan yang disalurkan pada tahun 2024, sebanyak 272 petak sangkar tambahan telah siap dibina selain bantuan lain seperti bakul sangkar baharu, stor makanan, rumah operasi, pelbagai input ternakan, makanan ikan dan benih ikan untuk tempoh satu pusingan ternakan,” katanya.

Tambah Mohd Soffi, pengeluaran penternak ikan sangkar di 11 kluster tersebut dijangka akan dapat ditingkatkan dari 242 tan metrik setahun iaitu pengeluaran sedia ada yang bernilai RM4.84 juta kepada 378 tan metrik setahun yang bernilai RM7.56 juta apabila beroperasi kelak.

Beliau turut memberitahu, Jabatan Perikanan telah menerima sebanyak 10 permohonan kluster baru di sepanjang Sungai Pahang bagi tahun 2025 melibatkan 69 orang peserta dengan implikasi kewangan kerajaan sebanyak RM4,241,600.00.

“Insya-Allah jika pihak KPKM meluluskannya bermakna ia akan terus meningkatkan pengeluaran hasil ternakan khususnya ikan patin dari Sungai Pahang.

“Bagi menyokong ternakan ikan sangkar, kerajaan melalui Jabatan Perikanan akan terus memperkasakan kedua-dua Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) iaitu di Bukit Tinggi, Bentong dan Perlok, Jerantut bagi pengeluaran benih ikan ternakan dan juga pelepasan umum iaitu di sungai-sungai dalam Negeri Pahang.

“Pada tahun 2024, jumlah pengeluaran benih pelbagai spesies ikan telah mencapai lima juta ekor berbanding 4.9 juta ekor pada tahun 2023,” katanya.

Menurutnya, subsektor akuakultur juga akan diperkasakan melalui penggubalan undang-undang baharu iaitu Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Pahang.

Bagi subsektor ketiga iaitu Perikanan Darat atau Perikanan Sungai, rekod pendaratan pada tahun 2023 adalah 1,920 TM yang bernilai RM53.5 juta.

“Usaha yang sama akan dilaksanakan pada tahun 2025 dengan penambahan usaha baru iaitu pembiakan spesies ikan Jelawat yang akan dilaksanakan dengan kepakaran penyelidik Jabatan Perikanan dari Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi Negeri Sembilan,” katanya lagi. #MalaysiaGazette

Share:

Pahang Berpotensi Bangunkan Sebuah Taman Safari Terbesar Dalam Kalangan Negara-Negara ASEAN

KUANTAN: Pahang berpotensi membangunkan sebuah taman safari yang terbesar antara dalam kalangan negara ASEAN bagi menarik kedatangan pelancong domestik dan luar negara, sekali gus memberi lonjakan positif dalam ekonomi dan pelancongan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan Datuk Wong Tat Chee berkata kawasan hutan seluas 202.3 hektar di Temerloh sesuai dibangunkan sebagai taman safari itu, yang akan memberi satu lagi nilai tambah di daerah itu.

"Saya ingin mencadangkan kerajaan negeri membuat langkah penerobosan untuk memacu dan melonjakkan pelancongan daerah Temerloh dengan membangunkan sebuah 'safari park'. Saya percaya langkah ini boleh membawa impak besar kepada kegiatan pelancongan tempatan.

"Apabila ada safari park, bukan sahaja dapat menarik pelancong tempatan seperti produk pelancongan Genting Highlands tetapi juga dapat menarik pelancong asing ke Temerloh. Apabila ramai pelancong ke Temerloh, akan ada keperluan membina hotel bertaraf empat, lima bintang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Belanjawan Pahang 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini pada Isnin. #AstroAwani

Share:

Paras Air 17 Sungai Tujuh Daerah Di Pahang Rekod Peningkatan, Sungai Pahang Di Bera Tahap Bahaya

KUANTAN: Sejumlah 17 sungai di tujuh daerah di Pahang direkod sekurang-kurangnya pada paras amaran termasuk satu iaitu Sungai Pahang di Bera yang disenarai dalam kategori bahaya.

Berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran, stesen Sungai Pahang di Waterfront (F1) di Bera merekodkan bacaan 28.12 meter (m) berbanding 24m paras normal.

Sementara enam lagi sungai di enam daerah iaitu Lipis, Jerantut, Raub, Temerloh, Maran dan Rompin merekodkan bacaan paras amaran, manakala 10 lagi pada paras berjaga-jaga.

Enam sungai dalam kategori amaran adalah Sungai Pahang di Kuala Tembeling dengan bacaan (51.03m), Sungai Pahang di Jerantut Feri (48.09m), Sungai Pahang di Kuala Krau (39.14m), Sungai Pahang di Lubuk Pasu (31.31m), Sungai Pahang di Kampung Chenor (22.23m) dan Sungai Pahang di Lubuk Paku (18.83m).

Dalam pada itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman mengarahkan semua 11 Ketua Polis Daerah (KPD) di negeri itu menyemak kembali tahap keupayaan aset menyelamat masing-masing bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Selain itu, katanya pemantauan di kawasan rendah dan rondaan dari semasa ke semasa juga perlu dipertingkatkan, dengan kerjasama agensi lain.

"Ia penting untuk memastikan mangsa segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebaik diarahkan berbuat demikian, sekali gus mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.

"Selain itu, ketua formasi kontinjen Pahang perlu mematuhi arahan pembekuan cuti dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang bagi mengoptimumkan tahap kesiapsiagaan dan operasi pengurusan bencana.

"Pada masa sama, menjunjung titah Sultan Pahang supaya dilaksanakan solat hajat bagi memohon keberkatan daripada Allah SWT serta dipohon negeri Pahang dijauhkan dari bencana banjir besar seperti yang sedang melanda Raub, Lipis dan Jerantut," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Menyelamat dan Pemindahan Mangsa Banjir Pahang memaklumkan 858 PPS disediakan di Pahang yang boleh menampung lebih 160,000 mangsa, namun setakat ini tiga daerah di Pahang mengalami banjir dan Raub merekodkan jumlah mangsa paling ramai.

Menurut info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 1,842 mangsa daripada 597 keluarga berada di 22 PPS di daerah Raub, Jerantut dan Lipis. #BeritaHarian

Share:

54 Individu Terima Darjah Kebesaran, Pingat Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang

TEMERLOH: Seramai 54 individu menerima darjah kebesaran dan pingat Pahang hari ini sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan istiadat yang berlangsung di Dewan Tun Razak pada Isnin. 

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Mendahului senarai ialah Pengarah Urusan YTL Power International Berhad Datuk Seri Yeoh Seok Hong menerima darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama-sama Perunding Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk S K Raja Segaran.  

Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada lima individu iaitu Ahli Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis Datuk Tan Kang Sai, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Azlikamil Napiah, Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Pahang Ruslan Othman. 

Penerima lain DSAP ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya Mohd Sakeri Abdul Kadir dan Pengerusi Al-Araby Group Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby. 

Seramai 30 individu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran Datuk antaranya Pengurus YM Pantai Lagenda Resources Tengku Ahmad Ashraf Tengku Asmawi, Ahli Dewan Undangan Negeri Luit Mohd Sofian Abd Jalil, Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Roslan Rani dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Nazli Rasyid Sulong. 

Turut menerima DIMP Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air Mohd Norhisham Musa, mantan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan Rus Shazila Osman, Pengarah Pendidikan Pahang Amzan Malek dan Pengarah Perancangan Bandar Dan Desa Pahang Nik Noraisu Nik Ibrahim. 

Pada istiadat itu darjah kebesaran Setia Mahkota Pahang (SMP) dikurniakan kepada seorang penerima, darjah kebesaran Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada tujuh penerima, darjah kebesaran Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada enam penerima dan Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) kepada tiga penerima. #BERNAMA

Share:

Mahkamah Majistret Kuantan Membenarkan Perintah Reman Tiga Hari Terhadap Suami Zahnita Wilson

KUANTAN: Mahkamah Majistret Kuantan di sini hari ini membenarkan perintah reman tiga hari bermula hari ini terhadap suami kepada bekas model dan pelakon, Zahnita Wilson, yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Perintah reman terhadap tertuduh dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Terdahulu, suspek yang memakai kemeja lengan panjang berwarna biru gelap dan seluar panjang gelap dilihat tiba di perkarangan mahkamah jam 8.30 pagi, dengan tangan bergari.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman ketika mengulas kes itu sebelum ini memaklumkan hasrat Zahnita untuk keluar daripada rumah dan tinggal berasingan dipercayai menjadi punca bekas model dan pelakon itu menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Siasatan awal mendapati keputusan itu menyebabkan suami mangsa marah dan bertindak ke atas Zahnita.

Berikutan itu, laporan polis dibuat mangsa 27 November lalu sebelum suspek ditahan semalam ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Media melaporkan hantaran terkini dimuat naik Zahnita mengejutkan ramai apabila berkongsi dua foto menampakkan matanya yang lebam.

Tidak memperincikan apa berlaku, Zahnita atau nama sebenar, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, berkata seboleh-bolehnya dia enggan membuka pekung di dada, namun keadaan memaksa untuknya berbuat demikian. #BeritaHarian

Share:

Sebanyak 10 Kampung Di Kawasan Rendah Daerah Jerantut Diramal Banjir Bermula Hari Ini Hingga Rabu

KUANTAN: Sebanyak 10 kampung di kawasan rendah dalam daerah Jerantut diramalkan banjir bermula hari ini hingga Rabu, demikian menurut kenyataan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dimuat naik di laman Facebook.

JPS memaklumkan kawasan terbabit ialah Kampung Kuala Retang, Kampung Sepial, Kampung Tanjung Bungor, Kampun Kuala Tembeling, Kampung Bantal Seberang, Kampung Batu Balak, Kampung Keluang, Kampung Sungai Yap, Kampung Pasir Durian dan Kampung Doja.

"Kawasan-Kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer sekitar Sungai Pahang di Jerantut (diramalkan mengalami banjir).

"Ia susulan ramalan aras sungai Water Level Trend Forecast hari ini, jam 4 pagi serta status aras air sungai yang diramalkan menaik dan akan melebihi aras bahaya," menurut kenyataan itu.

Justeru, JPS menasihati semua penduduk khususnya di kawasan terbabit untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga. #AstroAwani

Share:

Tuan Ibrahim Tempelak Kenyataan Muhyiddin, Biar Menang Dulu Baru Bincang Soal Calon MB Pahang

KUANTAN: Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man beranggapan kenyataan dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai parti Bersatu menyasarkan jawatan Menteri Besar Pahang pada pilihan raya umum akan datang adalah terlalu awal.

Walaupun PAS bersikap terbuka dalam hal berkenaan, namun, katanya, cadangan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu masih terbuka untuk dibincangkan.

"Kita terbuka... ini tidak ada isu dan sebagai pembangkang kita bergerak atas Perikatan Nasional (PN).

". .. apa-apa pun kita bincang melalui rundingan (dan) perancangan... apa-apa pun yang penting kita menang dulu... bincang gerak kerja untuk menang dulu baru kita fikir siapa (Menteri Besar).

"Ini duduk bahas untung siapa nak bagi, lembu kambing pun tak bela lagi... jadi saya fikir perkasakan parti... perkara itu kita boleh bincang (kemudian), dalam PN apa-apa keputusan kita bincang bersama," katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka sebelum ini menyertai perbahasan Belanjawan Pahang 2025 pada sidang DUN Pahang yang berlangsung sejak Jumaat lalu di Wisma Sri Pahang, dekat sini.

Muhyiddin ketika sidang media sempena Perhimpunan Agung BERSATU di Shah Alam, Selangor Sabtu lalu berkata, parti itu pada masa ini menyasarkan jawatan Menteri Besar Pahang, Perak dan Selangor jika PN berjaya merampas negeri-negeri itu pada PRU akan datang.

Dia yang juga pengerusi PN berkata demikian ketika menjawab soalan berkenan kedudukan Bersatu bersama-sama PAS yang pada masa ini mengetuai pentadbiran di empat negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

PAS menerajui keempat-empat negeri pembangkang, dengan tiada satu pun jawatan menteri besar daripada Bersatu.

PAS kini memiliki bilangan kerusi yang lebih besar berbanding rakan gabungannya di parlimen.#Malaysiakini

Share:

Sultan Pahang Titah METMalaysia, Agensi Terbabit Lebih Kerap Kemas Kini Data Ramalan Cuaca Dan Banjir

RAUB: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah agar Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) serta pihak berkuasa terbabit lebih kerap mengemas kini data ramalan cuaca dan kejadian banjir di negara ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, maklumat terkini itu amat penting kepada rakyat, terutama mereka yang tinggal di lokasi berisiko dilanda bencana berkenaan.

"Saya ingin mengingatkan, berdasarkan laporan kaji cuaca, kita dijangka menghadapi cuaca tidak menentu pada pertengahan dan hujung bulan ini.

"Ini bermakna air pasang laut akan meningkat dan kalau hujan turun lebih lebat, akan menyebabkan (berlakunya) limpahan air sungai (dan) kampung di tepi sungai akan terkena banjir.

"Kita minta data yang tepat daripada pihak Meteorologi Malaysia dan agensi terbabit perlu mengumumkannya secara rasmi lebih kerap sedikit, diharap juga semua rakyat dengar laporan yang sah," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Lechar, di sini, pada Ahad.

Turut berangkat ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Al-Sultan Abdullah bertitah, penduduk di kawasan rendah perlu lebih bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan dalam keadaan cuaca tidak menentu kini, bagi mengelak berlakunya tragedi tidak diingini termasuk kehilangan nyawa.

Baginda turut bertitah agar ibu bapa dan ahli keluarga mengawasi anak masing-masing dan tidak membiarkan mereka bermain berhampiran sungai, longkang mahupun parit.

"Apabila dapat arahan daripada pegawai atau pasukan keselamatan untuk berpindah, harap mereka dapat berpindah secepat mungkin untuk selamatkan diri dan keluarga dahulu. Saya ingin menasihatkan perkara ini, supaya tidak berlaku kehilangan nyawa pada musim tengkujuh ini," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah pada masa sama turut mendoakan kejayaan cemerlang kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), termasuk mangsa banjir yang akan menduduki peperiksaan itu, bermula esok.

Pahang menjadi negeri terbaru dilanda banjir apabila 26 PPS dibuka di daerah Raub, Jerantut dan Lipis bagi menempatkan seramai 1,217 mangsa daripada 416 keluarga. #BeritaHarian

Share:

Selangor FC Tumbang, Sri Pahang FC Menang Agregat 3-2 Dan Mara Ke Suku Akhir Piala Malaysia

PETALING JAYA: Juara 33 kali, Selangor FC gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia selepas tumbang 2-1 di tangan Sri Pahang FC pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Kekalahan 3-2 secara agregat itu menyaksikan pengendali baharu, Katsuhito Kinoshi kini tewas dua aksi berturut-turut selepas tumbang 2-1 di tangan Muangthong United pada aksi Liga Juara-Juara Asia 2, Khamis lalu.

Keputusan itu membolehkan skuad Tok Gajah menempah tiket bertemu Perak FC pada suku akhir.

Tuan rumah tampak sedikit mendominasi permainan dan mereka melontar amaran seawal minit ketiga menerusi percubaan Alvin Fortes yang diselamatkan Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.

Namun, Sri Pahang yang lebih banyak menyerap asakan berjaya mendahului menerusi percubaan pertama mereka selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-23 susulan tindakan Harith Haiqal menolak Mykola Ahapov.

Sepakan penalti diberikan selepas pengadil Mohamad Kamil Zakaria Ismail menyemak semula insiden itu menerusi monitor VAR dan ia disempurnakan Manuel Hidalgo untuk gol pertama pelawat.

Mohamad Azim Al Amin memastikan gawang Selangor tidak bolos kali kedua apabila tangkas menafikan percubaan Hidalgo yang berjaya memecah masuk ke dalam kotak penalti mereka pada minit ke-33.

Selepas rehat, Selangor sempat bergembira seketika pada minit ke-64 selepas Ali Olwan meledak gol penyamaan namun sayangnya jaringan itu dibatalkan susulan ofsaid selepas Mohamad Kamil menyemak semula VAR.

Gol penyamaan sebenar akhirnya muncul juga pada minit ke-76 selepas Safuwan Baharudin melonjak tinggi untuk menyudahkan hantaran lintang Fortes sekali gus menyamakan agregat 2-2.

Kegembiraan tuan rumah bagaimanapun hanya bertahan lima minit apabila Sri Pahang sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti dan Sergio Aguero tidak mensia-siakan peluang itu untuk meledak gol kemenangan. #BeritaHarian

Share:

Jerantut Daerah Terbaru Banjir Di Pahang, Tiga Pusat Perpindahan Sementara (PPS) Dibuka Pagi Tadi

JERANTUT: Tiga Pusat Perpindahan Sementara (PPS) dibuka di Jerantut membabitkan 18 keluarga dengan 66 isi rumah pada jam 11 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut berkata tiga PPS itu di buka di Mukim Hulu Cheka membabitkan Kampung Sempadan, Kampung Baharu dan Kampung Batu Balai.

Menurutnya hujan yang berterusan pada malam tadi sehingga hari ini menyebabkan berlakunya kejadian banjir di Mukim Hulu Cheka.

"Di PPS Balai Raya Kampung Sempadan menempatkan 6 keluarga dengan jumlah isi rumah seramai 24, di PPS Sekolah Kebangsan Batu Balai menempatkan 7 keluarga dengan 16 isi rumah, manakala di PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu menempatkan 5 ketua keluarga dengan 26 isi rumah.

"Di PPS Balai Raya Kampung Sempadan menempatkan 6 keluarga dengan jumlah isi rumah seramai 24, di PPS Sekolah Kebangsan Batu Balai menempatkan 7 keluarga dengan 16 isi rumah, manakala di PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu menempatkan 5 ketua keluarga dengan 26 isi rumah.

"Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Jerantut juga telah dibuka di APM Jerantut," katanya. #BeritaHarian

Share:

Dua Laluan Utama Di Raub Telah Ditutup Kepada Kenderaan Ringan Susulan Kejadian Banjir Di Daerah Itu

KUANTAN: Dua laluan utama di Raub ditutup kepada kenderaan ringan susulan kejadian banjir di daerah itu pada Ahad.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Raub memaklumkan, laluan terlibat iaitu Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di Kilometer 344 hingga KM 342 (Gali Lurus-Gali Hilir) dan Jalan Cheroh-Gesing (Jambatan Gesing).

Kawalan lalulintas dilakukan Trafik IPD Raub di lokasi dan laluan hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja.

Raub kembali dilanda banjir apabila 473 mangsa di daerah itu dipindahkan ke 15 pusat pemindahan sementara (PPS) pada Sabtu. #SinarHarian

Share:

Jumlah Mangsa Banjir Di Pahang Terus Meningkat 1,152 Orang Babitkan 389 Keluarga Berlindung Di 25 PPS

KUANTAN:  Jerantut menjadi daerah ketiga terjejas banjir di Pahang selepas Raub dan Lipis. Ini menyebabkan seramai 1,152 penduduk daripada 389 keluarga dipindahkan ke 25 PPS, setakat pukul 4.00 petang tadi.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di daerah Raub, Balai raya Kampung Durian Sebatang merekodkan penempatan sementara seramai 41 orang; Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang (98 orang); Masjid Kampung Pintu Padang (166 orang) dan Pusat Kegiatan KEMAS Gali (113 orang); Masjid Kuala Temau (20 orang); Balairaya Kampung Ulu Jelu (82 orang) dan di Dewan Serbaguna Kampung Pia (123 orang); SK  Muhammad Jabar (45 orang); Balai raya Kampung Kuala Keloi (16 orang).

Manakala di Dewan Lechar seramai 111 orang dipindahkan dan 26 orang ditempatkan di Balai raya Kampung Bukit Pampong; 44 orang di Dewan Dato Seriwa Dong; 67 orang di Balai raya Kampung Pamah Kulat; 62 orang di Balai raya Kampung Peruas dan 32 orang ditempatkan di Balai raya Kampung Pamah Rawas.

Sementara itu bagi daerah Lipis, 12 orang penduduk di SK Jerangsang dan 16 orang ditempatkan di Balai Belia Kampung Rengai.

Dalam pada itu, Jerantut daerah terbaharu terjejas merekodkan dua PPS dibuka iaitu di Balai raya Kampung Sempadan dengan menempatkan 33 orang penduduk dan SK Batu Balai 29 orang penduduk.

Enam lagi PPS di daerah Raub dibuka sebagai persediaan pemindahan penduduk terjejas banjir. #BeritaRTM

Share:

Sultan Pahang Titah Semua Masjid Dan Surau Di Negeri Ini Buat Solat Hajat Mohon Hindari Musibah Banjir

KUANTAN: Sultan Pahang bertitah agar semua masjid dan surau di negeri itu melakukan solat hajat berikutan bencana banjir yang melanda di beberapa buah negeri akibat fenomena Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah secara khususnya bertitah agar solat hajat dapat dilakukan di setiap masjid dan surau selepas solat Jumaat dan selepas solat Maghrib pada setiap hari.

Paduka Baginda bertitah, solat hajat diadakan bagi sama-sama mendoakan agar dihindarkan banjir, bala bencana dan supaya Allah mengangkat semua musibah dan sesiapa yang diuji dengan banjir selain diberikan keselamatan dan kesabaran.

Pada masa sama Paduka Baginda turut berdoa agar semua yang terlibat dengan banjir besar seperti di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah diberikan kemudahan, kekuatan dan kesabaran untuk mengharungi musibah yang melanda.

Doa sama turut dipanjatkan agar negeri Pahang turut dilindungi dari sebarang bencana dan berada dalam keadaan selamat sejahtera, titahnya seperti laporan Kesultanan Pahang.

Justeru, Paduka Baginda meminta agar orang ramai mengambil langkah berhati-hati pada musim banjir dan menjaga keselamatan diri serta ahli keluarga masing-masing selain menghindari kawasan berisiko seperti sungai dan laut bagi mengelak sebarang tragedi.

Titah Sultan Pahang, ibu bapa dan penjaga diingatkan agar sentiasa memantau dan menasihatkan anak-anak supaya tidak bermain di tepi sungai atau longkang berhampiran kerana berisiko berlakunya perkara yang tidak diingini. #MalaysiaGazette

Share:

Raub Kembali Dilanda Banjir, 473 Mangsa Telah Dipindahkan Ke 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS)

RAUB: Raub kembali dilanda banjir apabila 473 mangsa di daerah itu dipindahkan ke 15 pusat pemindahan sementara (PPS) pada Sabtu.

Menerusi portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 8.15 pagi pada Ahad, jumlah tersebut membabitkan 149 keluarga daripada tiga mukim di daerah itu.

"Antara PPS yang dibuka Masjid Kampung Pintu Padang; Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang; Balai Raya Kampung Ulu Jelu; Dewan Lechar; Balai Raya Kampung Bukit Pampong dan Balai Raya Kampung Peruas.

"Turut dibuka di Balai Raya Kampung Pamah Rawas, Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali, Balai Raya Kampung Pamah Kulat dan Balai Raya Kampung Kuala Keloi," ujar portal tersebut.

Jelas portal itu lagi, mangsa membabitkan 187 lelaki dan 186 wanita dewasa; 47 kanak-kanak lelaki dan 35 kanak-kanak perempuan; 12 bayi lelaki dan 6 bayi perempuan.

Sebelum itu, Raub menjadi daerah pertama dilanda banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh pada 10 November lalu.

Sementara itu, setakat jam 6 pagi tadi (Ahad), beberapa sungai di daerah tersebut mencatatkan paras bahaya.

Antaranya Sungai Dong di Pasir Bayam mencatatkan 120.09 meter(m) dan Sungai Gali di Ulu Gali (123.60m). #SinarHarian

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.