script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Tengku Ampuan Pahang Campaikan Sumbangan Zakat Kepada 33 Pelajar Asnaf UIAM Kampus Kuantan

KUANTAN: Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat mencemar duli ke Majlis Berbuka Puasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berlangsung di Dewan Utama UIAM Kampus Kuantan di sini.

Baginda yang juga Ketua Perlembagaan UIAM turut berkenan mengurniakan sumbangan duit raya kepada 33 pelajar asnaf di UIAM Kampus Kuantan

Sumbangan zakat yang disalurkan melalui Tabung Endowmen UIAM itu sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pelajar.

Keberangkatan Tengku Ampuan Pahang mencerminkan kepedulian Baginda dalam memperkasa pendidikan dan kebajikan mahasiswa, sejajar dengan nilai-nilai yang diterapkan dalam sistem pendidikan Islam.

Majlis tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan antara kepimpinan universiti dan pelajar, malah menjadi platform untuk menerapkan semangat kesyukuran, kebersamaan, dan ukhuwah dalam kalangan warga UIAM. 

Pada majlis itu, Baginda turut diiringi anakanda-anakanda baginda serta Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar. #RTM

Share:

Menteri Digital: Program Berteraskan Teknologi Bakal Perkasakan Sektor Pertanian Di Bentong

BENTONG: Sektor pertanian di Bentong, Pahang yang terkenal dengan hasil pertanian seperti durian dan halia bakal diperkasakan melalui beberapa program berteraskan teknologi bagi menambah baik kecekapan operasi dan meningkatkan lagi hasil tanaman.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata program itu diharap dapat diperkenalkan dalam masa terdekat dan akan dilaksanakan Kementerian Digital dengan kerjasama Digital Nasional Berhad (DNB) dan Pejabat Ahli Parlimen Bentong.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti produk yang kini di peringkat Pembuktian Konsep (PoC) bagi membantu pemain industri menggunakan teknologi dalam sektor pertanian.

"Contohnya, untuk program penanaman dan sebagainya, kita akan panggil kesemua yang terlibat dalam industri atau bidang berkenaan.

"Kita akan memberikan maklumat mengenai teknologi itu serta bagaimana mereka boleh mendapatkan akses kepada teknologi berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan "Majlis Jelajah Digital:5G Enabled Agritech' di Dewan Majlis Perbandaran Bentong semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif DNB Datuk Azman Ismail.

Terdahulu ketika berucap, Gobind memaklumkan bahawa liputan rangkaian 5G di Pahang telah mencecah 66.4 peratus liputan kawasan berpenduduk (CoPA) manakala Bentong mencapai 72.3 peratus setakat Januari 2025.

Gobind berkata Pahang juga berada dalam kedudukan yang tepat untuk mengambil kesempatan daripada perubahan dalam pasaran automotif sekali gus membawa kemakmuran ekonomi kepada rakyat Pahang.

"Saya percaya negeri ini mampu mencapai matlamatnya untuk menjadi hab pemasangan dan pembuatan kenderaan elektrik (EV) di Pantai Timur," katanya.

Selain itu, beliau berkata pihak berkuasa telah memilih Bentong sebagai daerah perintis untuk membina stesen pengecasan pertama di Pahang, daripada 50 stesen yang dirancang di seluruh negeri.#AWANI

Share:

Ibu Mangsa Lemas Di Sungai Kuantan Tidak Sangka Akan Terima Pencen Penakat Daripada PERKESO

KUANTAN: Seorang ibu tidak menyangka akan menerima pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selepas anak lelakinya meninggal dunia selepas ditemukan lemas di Sungai Kuantan, di sini pada 5 Mac lalu.

Sebagai ibu, Fatimah Abdullah, 46 terharu kerana Allahyarham Ahmad Afzan Syahmi Zabidi, 22 yang juga anak ketiga daripada lima beradik itu meninggalkan sesuatu buat keluarga.

"Sejujurnya arwah memang anak yang baik dan banyak membantu keluarga terutama memberikan duit belanja kepada saya dan dua adiknya yang masih bersekolah.

"Ketiadaannya amat dirasai kami sekeluarga dan pencen yang diterima ini akan digunakan dengan sebaiknya," katanya ketika ditemui di Indera Sempurna, di sini hari ini.

Fatimah berkata demikian selepas menerima sumbangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan sempena Ziarah Kasih.

Hadir sama, Pengarah PERKESO Pahang, Hisham Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Khairul Amri Ahmad.

Sementara itu, Sabariah berkata, kunjungan ke rumah keluarga Allahyarham bagi menghulurkan sumbangan.

"Sebenarnya kerajaan negeri melalui JKM turut memberi khidmat kaunseling kepada keluarga arwah.

"Pada masa sama, saya menasihati individu yang bekerja supaya memastikan majikan membuat caruman dengan PERKESO," katanya.

Hisham pula berkata, pencen penakat itu dibahagikan kepada empat individu iaitu ayah, Zabidi Abdullah, 52 ibu serta dua adik Allahyarham dan RM3,000 sebagai faedah pengebumian.

"Allahyarham bekerja dan pernah mencarum yang melayakkan mendapat pencen," katanya. #BHARIAN

Share:

Wan Rosdy: Makanan Tradisional 'Bubur Lambuk Boleh Jadi Ejen Perpaduan Pelbagai Kaum Di Negara Ini

LIPIS: Hidangan makanan tradisional seperti bubur lambuk yang menjadi juadah setiap kali menjelang Ramadan, berupaya menjadi ejen perpaduan pelbagai kaum di negara ini, kata Menteri Besar Pahang. Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, hidangan istimewa ketika berbuka puasa itu, bukan sahaja diminati dan menjadi pilihan kebanyakan umat Islam ketika berbuka puasa, tetapi juga turut digemari dan dekat di hati semua rakyat tanpa mengira warna kulit, pangkat dan status.

"Kita dapat lihat bagaimana program memasak bubur lambuk seperti yang diadakan hari ini berjaya mengumpulkan masyarakat tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama. Mungkin menu ini berasal dari tradisi Melayu tetapi ia tetap disukai semua kaum.

"Saya sendiri ada bertanya kepada peserta kaum India yang menyertai program masak bubur lambuk perpaduan ini dan mereka mengakui sangat menyukainya," katanya kepada media pada Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Pahang di Dataran Santuari Tanjung Gahai, di sini, pada Ahad.

Turut hadir progam anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama kerajaan Pahang ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man.

Program ini yang dianjurkan secara serentak di seluruh Pahang bermula semalam dan hari ini itu melibatkan 400 peserta daripada 27 Kawasan Rukun Tetangga (KRT), 28 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebanyak 42,300 bekas bubur lambuk yang dimasak menggunakan 15 periuk, telah diedarkan secara serentak di seluruh negeri bagi juadah berbuka puasa.

Wan Rosdy berkata, inisiatif program sebegini bukan sekadar sebagai simbolik keharmonian antara kaum di negara ini, tetapi juga sebagai medan untuk mengukuhkan lagi perpaduan yang terbina dalam masyarakat.

"Kita tidak mahu sejarah hitam seperti 13 Mei berulang. Pemimpin perlu menjadi suara pendamai dan bukan pencetus perpecahan. Negara ini milik semua dan kita perlu bersama-sama memastikan keamanan serta kemajuan dikekalkan," katanya.

Wan Rosdy ketika ditanya berkenaan pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, beliau berkata antara hal dibincangkan ialah pembinaan Hentian Rawat dan Rehat (RNR) di Lingkaran Tengah Utama (LTU) antara Bentong ke Gua Musang, Kelantan.

"Sebanyak dua atau tiga RNR sementara dengan kos RM2.5 juta akan dibina sepanjang laluan 300 kilometer itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan, Kerajaan Selangor telah bersetuju memenuhi permintaan kerajaan Pahang untuk menaikkan tarif bekalan air mentah ke negeri itu, tetapi kadarnya tidak boleh didedahkan sebelum dibawa ke mesyuarat exco untuk dimuktamadkan. #AWANI

Share:

Bubur Lambuk 'Air Tangan' Tunku Azizah Merupakan Detik Yang Paling Dinanti Penghuni Penjara Penor

KUANTAN: Menjelang Ramadan, 'air tangan' Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam menyediakan juadah istimewa resipi asli bubur lambuk Istana Pahang pastinya menjadi tumpuan, bukan sahaja rakyat jelata negeri ini tetapi juga penghuni penjara.

Meneruskan tradisi itu bagi tahun ini, baginda berkenan berangkat ke Penjara Penor di sini pagi tadi bagi memasak resipi istimewa itu di perkarangan Bengkel Tenun Diraja Pahang, yang tentunya menjadi detik bermakna bagi penghuni di sebalik tirai besi tersebut.

Dengan dibantu kira-kira 50 penghuni penjara yang bergotong-royong seawal 7.30 pagi bagi menyediakan resipi istimewa itu, menurut hantaran yang dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang, kira-kira 2,000 bekas bubur lambuk berjaya disiapkan untuk diagihkan sebagai juadah berbuka puasa.

"Selepas siap memasak pada 1 tengah hari, baginda sendiri mengagihkan bubur lambuk kepada sebahagian banduan dengan dibantu oleh Tengku Puteri Raja, Puteri IIisha Ameera Al-Sultan Abdullah R''ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Untuk rekod, Program Memasak Bubur Lambuk Tengku Ampuan Pahang Bersama Prospek Penjara ini bermula pada 2023 dan membabitkan Penjara Penor, Penjara Bentong dan Penjara Marang di Terengganu," menurut hantaran tersebut.

Biarpun penyediaan juadah istimewa itu baru tiga kali dilakukan untuk penghuni tirai besi, bagi rakyat Pahang, ia sudah menjadi tradisi buat Tunku Azizah setiap kali menjelang Ramadan, bahkan sebelum baginda ditabalkan sebagai Raja Permaisuri Agong ke-16.

Difahamkan, 'air tangan' Tengku Ampuan Pahang dalam menyediakan bubur lambuk Istana Pahang begitu istimewa dan menjadi kegemaran ramai setiap kali ia dimasak di luar istana kerana menggunakan pelbagai bahan segar di samping memiliki kandungan protein yang tinggi.

Keunikannya terletak pada penggunaan pelbagai sayuran seperti pucuk paku merah, selain turut menggunakan ikan tenggiri, udang, sotong dan ayam sebagai ramuan utama.

Maka, tidak hairanlah bahawa gabungan 'air tangan' Tunku Azizah dan resipi istimewa Istana Pahang ini sentiasa menjadi penantian setiap kali Ramadan.#AWANI

Share:

Kemarau Kemenangan Sri Pahang Lebih Empat Bulan Berakhir, Berjaya Tewaskan PDRM 3-1 Malam Tadi

KUALA LUMPUR: Sri Pahang menamatkan kemarau kemenangan lebih empat bulan dalam saingan Liga Super apabila menewaskan PDRM 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Kali terakhir skuad Tok Gajah merekodkan kemenangan dalam liga adalah ketika menewaskan Penang 1-0 pada Oktober lalu dan selepas itu mereka tidak menang dalam lapan perlawanan terakhir.

Pada aksi malam tadi, skuad kendalian Fandi Ahmad yang hadir dengan misi menamatkan kemarau kemenangan berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-38 menerusi penyudah Stefano Brundo.

Kelebihan itu bagaimanapun dipadam Bruno Suzuki selepas tujuh minit bersambung babak kedua apabila rembatan lencong dari luar kotak penalti yang dilakukan pemain kelahiran Jepun itu menghasilkan gol penyamaan buat PDRM.

Kem Sri Pahang kembali ceria pada minit ke-72 apabila penyerang berbisa mereka, Kpah Sherman berjaya meledak gol untuk meletakkan Tok Gajah sekali lagi di depan.

Enam minit kemudian, Sherman melengkapkan kemenangan Sri Pahang selepas menyumbang gol ketiga dan membolehkan Tok Gajah naik satu anak tangga ke kedudukan ke-10 dengan mengumpul 20 mata.

PDRM pula kekal di tangga kelapan dengan menghimpun 21 mata selepas mengharungi 20 perlawanan. #BHARIAN

Share:

Istana Pahang Nafi Kewujudan Akaun TikTok Gunakan Nama Tengku Afzan Tawar 'Bantuan Ramadan'

KUANTAN: Istana Pahang menafikan kewujudan akaun TikTok yang menggunakan nama anakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, yang menawarkan ‘Bantuan Ramadan’ kepada orang ramai.

Kesultanan Pahang menerusi hantaran di Facebook memaklumkan terdapat satu tawaran ‘Bantuan Ramadan’ yang tersebar di aplikasi TikTok, menggunakan nama @tpafzanaminahafidzatul menyatakan bantuan bernilai RM1,000 akan diberikan kepada orang ramai.

"Penyamar itu memberitahu bahawa bantuan Ramadan tersebut akan dikurniakan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kepada orang ramai.

"Orang ramai diminta untuk tidak mempercayai dan lebih berhati-hati dengan kewujudan akaun palsu khususnya yang membawa kepada kegiatan penipuan dalam talian,” menurut hantaran itu.

Istana Pahang juga berharap orang ramai akan memastikan dahulu kesasihan sesuatu perkara melalui portal dan akaun rasmi iaitu Kesultanan Pahang dan Istana Pahang sahaja. #SINAR

Share:

Kerajaan Pertimbang Cadangan Operasi Pembenihan Awan Alternatif Padam Kebakaran Ladang Kelapa

KUANTAN: Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan Operasi Pembenihan Awan (OPA) sebagai antara alternatif dalam usaha memadamkan kebakaran ladang kelapa di Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular di sini yang berlarutan sejak 22 Feb lepas.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata bagaimanapun usaha itu bergantung kepada keperluan dan cuaca selain perlu berbincang terlebih dahulu dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Katanya pelaksanaan tidak boleh dilakukan secara tiba-tiba kerana ia memerlukan penelitian sama ada awan itu sesuai untuk proses pembenihan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mendengar taklimat dan melakukan tinjauan di lokasi kebakaran di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Nordin Pauzi dan Pengarah JBPM Pahang Mohd Razam Taja Rahim.

Nik Nazmi berkata sejak 22 Feb lepas, kebakaran tanah gambut itu telah memusnahkan sekitar 130 hektar ladang kelapa dan setakat ini seluas 98 hektar berjaya dipadamkan.

Beliau berkata kerajaan sememangnya memandang serius kebakaran di tanah gambut dan kerana itu, kementeriannya telah memohon untuk tingkatkan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi penyediaan kelengkapan serta infrastruktur pencegahan kebakaran di lokasi tanah gambut.

Ditanya Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu, beliau berkata perbincangan tertumpu kepada persediaan menghadapi musim panas merangkumi data terkini mengenai status kualiti udara, mengenal pasti kawasan panas serta penyelarasan dengan pelbagai agensi dan kementerian.

"Kita sudah pun dalam fasa akhir Monsun Timur Laut dan kita juga melihat taburan hujan berkurangan. Beberapa hari lepas saya dimaklumkan kita ada berdepan dengan beberapa insiden kebakaran tanah gambut tetapi ini (ladang kelapa) yang terbesar tahun ini," katanya.#AWANI

Share:

SPR Menetapkan Pilihan Raya Kecil DUN Ayer Kuning Pada 26 April, Hari Penamaan Calon Pada12 April


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak pada 26 April depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.

“Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April.

"Pelaksanaan PRK DUN N.48 Ayer Kuning memerlukan peruntukan sebanyak RM2.5 juta,” katanya pada sidang media, di sini, pada Jumaat.

Sehubungan itu, urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka mulai hari ini.

Mengulas lanjut, Ramlan berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan diguna untuk PRK itu membabitkan daftar pemilih tambahan Januari 2025, dikemas kini hingga 22 Februari lalu.

DPPR bagi PRK ini mengandungi seramai 31,897 orang pemilih.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian Ishsam Shahrudddin, 59, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Ishsam yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.

Ishsam dari UMNO memperoleh 9,088 undi mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Sosialis Malaysia (586) dan Parti Pejuang Tanahair (105). #ASTRO

Share:

Tewas 0-2 Kepada Kuching City FC, Sri Pahang FC Perlu Atasi Segera Masalah Ketumpulan Jentera Serangan

KUANTAN: Ketumpulan jentera serangan terus menjadi masalah besar kepada Sri Pahang FC seperti ketika tewas 2-0 di tangan Kuching City pada aksi Liga Super, kelmarin.

Ia diakui pengendalinya, Fandi Ahmad yang melihat masalah itu perlu diatasi segera menghadapi baki perlawanan liga selain final Piala Malaysia bulan depan.

"Ketiadaan Kpah Sherman ketika berdepan Kuching City kelmarin, di bahagian serangan menyebabkan tiada pemain lain yang boleh melakukan jaringan.

"David Rowley yang menggantikan Sherman dilihat kurang mendapat sokongan dan hantaran tepat daripada rakan sepasukan hingga menyebabkan jaringan tidak dapat dilakukan.

"Jentera serangan perlu lebih tajam untuk memastikan Sri Pahang mampu memberi tentangan kepada lawan," kata Fandi, dengan pasukannya gagal mencatat kemenangan dalam tiga aksi terakhir selain terperosok di tangga ke-11 liga. #BHARIAN

Share:

Penyanyi Dikir Barat Eda Ezrin, Suami Dan Empat Individu Bebas Daripada Pertuduhanan Miliki 6,059 Pil Kuda

THAILAND: Mahkamah Wilayah Narathiwat hari ini membebaskan penyanyi dikir barat Malaysia Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Eda Ezrin, dan suaminya serta empat lagi individu daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.

Panel dua hakim dalam keputusan itu mendapati, tiada bukti yang boleh mengaitkan kesemua tertuduh dengan pemilikan dadah itu.

Mereka yang dibebaskan iaitu Wan Norshaheeda Azlin, 30, suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, dan empat yang lain Eridieka Mohd Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26.

Mahkamah turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup di sebuah hotel di Sungai Golok yang tidak menunjukkan bahawa keenam-enam individu itu membawa masuk dadah ke dalam bilik mereka.

“Sebaliknya, terdapat tiga individu lain yang membawa masuk dadah berkenaan ke dalam bilik keenam-enam tertuduh,” menurut hakim itu yang membacakan keputusannya dalam bahasa Thailand yang diterjemah ke dalam bahasa Malaysia.

Panel dua hakim itu membuat keputusan tersebut setelah meneliti keterangan saksi pendakwaan selepas tiga hari perbicaraan kes itu, bulan lepas.

Sebelum ini, kesemua mereka dihukum penjara enam bulan dan denda RM526 (4,000 baht matawang Thailand) selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis pil kuda.

Bagaimanapun, mereka tidak perlu membayar denda itu kerana telah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan dan berkelakuan baik sepanjang tempoh reman di Penjara Wilayah Narathiwat.

Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira turut didenda dengan jumlah yang sama selepas mereka sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah. Namun, mereka juga tidak perlu membayar denda kerana telah menjalani tempoh pemenjaraan di penjara.

Sementara itu, peguam tertuduh, Sufian Abdul Aziz ketika ditemui pemberita berkata pihak pendakwaan boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam tempoh sebulan.

“Buat masa ini, keenam-enam anak guam saya masih belum boleh dibenarkan untuk keluar dan perlu berada di dalam penjara sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan rayuan.

“Sekiranya tiada sebarang rayuan, mereka akan dibenarkan pulang ke Malaysia,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi dikir barat wanita popular ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di pekan Golok pada 1 Nov tahun lepas kerana didakwa memiliki lebih 6,000 biji pil kuda. #MKINI

Share:

Liga Super 2024: Temerloh Ibarat Lubuk, Tok Gajah Tiada 'Luck', Sekali Lagi Tumpas Di Laman Sendiri

PERLAWANAN tertunda Liga Super 2024 antara Sri Pahang dan Kuching City FC menyaksikan pasukan pelawat berjaya mencuri tiga mata penuh dalam aksi yang berlangsung di Stadium Temerloh, Pahang.

Sri Pahang dilihat berdepan kesukaran untuk mematahkan benteng pertahanan The Cats yang tampil dengan disiplin bertahan yang mantap.

Kuching City FC yang datang dengan misi memperbaiki kedudukan dalam liga, melancarkan serangan bertali arus ke kubu tuan rumah sejak awal perlawanan.

Dua jaringan yang dihasilkan oleh Yuki Tanigawa dan Zahrul Nizwan sudah cukup untuk memastikan kemenangan mereka, sekali gus berpeluang untuk mengejar Terengganu FC yang kini menghuni tangga keempat  Liga Super.

Walaupun Sri Pahang cuba bangkit di separuh masa kedua, ketangkasan barisan pertahanan Kuching City FC serta kecekapan penjaga gol mereka berjaya menggagalkan sebarang percubaan berbahaya daripada tuan rumah.

Kemenangan itu memberi suntikan semangat kepada Kuching City FC untuk terus bersaing dalam kelompok teratas liga, manakala Sri Pahang perlu segera mencari formula terbaik untuk bangkit dalam perlawanan seterusnya.

Susulan kekalahan di laman sendiri itu, ramai penyokong Tok Gajah berpendapat bahawa Stadium Temerloh kini menjadi titik kelemahan bagi pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur tersebut.

“Lubuk terbaik dekat Temerloh,” kata Sahak Single.

“Sri Lubuk FC, siapa nak mata percuma, sila datang ke Temerloh,” kata Syed Reduan Syed Daud.

“Tahniah Sri Pahang, kekalkan lubuk tiga mata di tempat sendiri,” kata Man Cis. 

Dalam semua pertandingan musim ini, skuad Tok Gajah sudah mengalami lapan kekalahan di laman sendiri, termasuk ketika bertemu Kuching City FC pada Selasa. #MAJORITI

Share:

Agong Kurnia Bot Pemintas Berteknologi Tinggi Kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Pahang



KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sebuah bot pemintas berteknologi tinggi kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menerusi Royal Boat Hangar Johor di Pos Maritim Teluk Gading, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan bot berkenaan untuk meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan dalam operasi kawalan perairan negara.

"Kurniaan ini mencerminkan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong terhadap keselamatan perairan negara dan kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam mengekang ancaman jenayah maritim.

"Bot ini adalah pinjaman tanpa kos bagi tempoh lima tahun bermula 1 Mac 2025 dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempertingkatkan keupayaan rondaan serta operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Maritim Pahang Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab dan wakil Royal Boat Hangar Johor Mohamad Yuni Ismail.

Saiful Lizan berkata bot tersebut akan digunakan dalam pelbagai operasi yang dilaksanakan Maritim Pahang merangkumi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), penguatkuasaan undang-undang di laut dan rondaan maritim.

"Keupayaannya akan memperkasakan peranan Maritim Malaysia dalam menghalang pencerobohan, penyeludupan serta aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya di perairan Pahang. Kurniaan ini bukan sahaja satu penghormatan buat Maritim Malaysia Negeri Pahang tetapi juga satu amanah besar dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara," katanya.

Bot IC 1170CC itu mempunyai spesifikasi canggih dengan panjang 12.6 meter dan lebar 3.5 meter serta dilengkapi enjin berkuasa tinggi yang membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 56 knot manakala kelajuan pelayaran optimum ialah 40 knot.

Reka bentuk dalaman bot ini turut diubah suai secara khusus bagi memastikan keselesaan serta kelancaran pergerakan kru semasa operasi, selain turut dilengkap aluminium trailer membolehkannya dipindahkan dengan mudah mengikut keperluan operasi serta memudahkan proses up-slip dan down-slip dalam tempoh segera.

Dibina berasaskan kejuruteraan moden, bot ini direka sebagai aset pemintas berkelajuan tinggi yang berupaya beroperasi secara optimum, menjadikannya aset strategik dalam usaha memperkukuh keselamatan perairan negara. #AWANI

Share:

Lelaki Jatuh Sungai Kuantan Ditemukan Lemas, Lokasi Mayat Satu Kilometer Daripada Tempat Kejadian

KUANTAN: Seorang pekerja kilang yang dipercayai terjatuh ke Sungai Kuantan dari Jambatan Putra ditemukan lemas pada pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa berusia 22 tahun itu ditemukan oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 8.15 pagi.

"Lokasi mayat dijumpai lebih kurang satu kilometer daripada tempat dikatakan terjatuh.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa mangsa sempat membuat panggilan video dengan seorang wanita yang dipercayai bekas teman wanitanya sebelum terjatuh ke Sungai Kuantan dari Jambatan Putra, tengah malam Isnin.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan mendapati telefon bimbit mangsa masih dalam keadaan melakukan panggilan video ketika ditemukan di atas motosikal yang ditinggalkan di atas jambatan.

Kejadian itu disedari selepas seorang saksi melihat sebuah motosikal dengan enjin masih hidup tetapi tanpa pemilik di atas jambatan.

Berasa curiga, saksi segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk melaporkan kejadian tersebut. #SINAR

Share:

Finalis Piala Malaysia 2024, Sri Pahang FC Tewas 0-2 Kepada Kuching City FC Di Temerloh Malam Tadi

TEMERLOH: Kuching City FC tidak berdepan masalah untuk membawa pulang tiga mata selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-0 pada aksi tertunda Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak turun dengan kelebihan satu gol hasil jaringan Yuki Tanigawa pada minit ke-14 pada 2 November lalu, sebelum perlawanan itu ditangguhkan berikutan keadaan padang yang ditakungi air akibat hujan.

Pada perlawanan yang dimulakan pada minit ke-31 itu, percubaan berbahaya dilakukan Kuching City menerusi Hazwan Bakri pada minit ke-36 namun gagal menghasilkan gol.

Sri Pahang yang tidak menyenaraikan penyerang berbisa, Kpah Sherman ternyata gagal untuk memberi tekanan kepada pemain pertahanan lawan yang menyaksikan lawan mendahului 1-0 hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, kapten Kuching City, Petrus Shitembi hampir menjaringkan gol kedua buat pasukannya tetapi rembatannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol tuan rumah pada minit ke-46.

Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-53 menerusi rembatan pemain tengah, Baqiudin Shamsuddin namun diselamatkan penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

Pemain gantian, Zahrul Nizwan mengesahkan kemenangan Kuching City apabila meledak gol kedua pada masa kecederaan untuk membantu pasukannya membawa pulang tiga mata. #BHARIAN

Share:

Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang Nafi Keluar Surat Tawaran Sebut Harga, Setuju Terima Perabot

KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang mengesahkan surat tawaran sebut harga dan setuju terima perabot untuk mangsa banjir yang tersebar adalah palsu.

Menurutnya, dokumen menggunakan kepala surat JKM bukan dikeluarkan pihaknya, sebaliknya dipercayai satu cubaan penipuan.

JKM Pahang menegaskan, dokumen tersebut mengandungi maklumat tidak benar dan tiada pengesahan rasmi jabatan.

Katanya, semua pihak yang menerima dokumen itu dinasihatkan tidak mengambil sebarang tindakan lanjut atau berurusan mana-mana pihak berkaitan surat berkenaan.

"JKM Pahang mengingatkan semua pihak sentiasa berwaspada terhadap cubaan penipuan sebegitu kerana boleh membawa implikasi kewangan dan reputasi kepada organisasi serta individu terlibat.

"Jika terdapat sebarang keraguan mengenai kesahihan dokumen atau surat-menyurat rasmi jabatan boleh menghubungi atau membuat pengesahan melalui laman rasmi JKM Pahang," katanya melalui satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Jelasnya, JKM Pahang tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang urusan atau transaksi dibuat berdasarkan dokumen palsu itu.

"Tindakan undang-undang akan dipertimbangkan terhadap mana-mana pihak terlibat dalam penyebaran maklumat palsu ini," ujarnya.#SINAR

Share:

Ir. Razali Kassim: Sebanyak Sembilan Buah Kilang Ais Di Negeri Pahang Gagal Mematuhi Tahap Kebersihan

ROMPIN: Sebanyak 15 buah kilang ais diperiksa dan sembilan notis dikeluarkan kepada pemiliknya yang gagal mematuhi tahap kebersihan dalam Program Jaminan Keselamatan Makanan.

Notis dikeluarkan melibatkan Seksyen 32B Akta Makanan 1983 di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan dengan nilai RM11,550.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, beberapa kesalahan lain dikesan di bawah akta berkenaan sepanjang pemantauan yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP).

”Pemilik juga tidak mengadakan sistem kebolehkesanan makanan, pengendali makanan tidak mengenakan apron semasa mengendalikan ais dan ais yang dijual tidak mempunyai label seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

”Terdapat dua buah kilang ais telah diberi arahan penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana gagal memastikan premis berada di dalam keadaan bersih,” katanya.

Razali berkata demikian ketika ditemui media sejurus Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 Tapak Pasar Minggu Kuala Rompin di sini hari ini.

Tambahnya, sebanyak 412 gerai dan 940 pengendali makanan di Pahang telah diperiksa manakala 24 notis kehadiran ke mahkamah di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan dalam tempoh dua hari Ramadan.

Antara kesalahan yang dikesan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983 ialah 20 kesalahan di bawah Peraturan 32 iaitu pengendali makanan tidak memakai topi, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan.

Selain itu, empat kesalahan di bawah Peraturan 33 membabitkan pengendali makanan yang gagal memastikan kuku sentiasa pendek dan memakai perhiasan diri ketika mengendalikan makanan.

Dalam pada itu, sebanyak 18 sampel makanan telah diambil pada minggu pertama Ramadan dan telah dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pahang bagi analisis mikrobiologi.

Setakat ini, keputusan bagi 18 sampel tersebut belum diterima.

Bagaimanapun pensampelan dan pemeriksaan premis makanan akan diteruskan sepanjang bulan puasa ini, katanya.

Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya di bawah seksyen yang sama. #MGAZETTE

Share:

Pekerja Kilang Buat Panggilan Video Dengan Bekas Kekasih Sebelum Terjatuh Ke Dalam Sungai Kuantan

KUANTAN: Seorang pekerja kilang berusia 22 tahun dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Putra, sekitar pukul 10.43 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada seorang pengguna jalan raya yang menemukan motosikal dinaiki mangsa dalam keadaan enjin masih hidup tanpa penunggang.

“Turut ditemukan bersama motosikal itu sebuah telefon bimbit dalam keadaan sedang berhubung secara panggilan video bersama seorang wanita dipercayai bekas teman wanita mangsa,” katanya di sini hari ini.

Wan Mohd. Zahari berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pukul 11.30 malam tadi membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka di lokasi bagi menyelaras operasi. Pasukan penyelamat juga menggerakkan bot untuk melakukan pencarian di sepanjang Sungai Kuantan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, operasi SAR digerakkan sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 10.48 malam tadi.

“Pasukan bomba melaksanakan pencarian menggunakan kaedah surface searching di sekitar tebing dan lokasi yang disyaki menjadi tempat mangsa terjatuh, dengan radius pencarian sejauh 500 meter,” katanya. #UTUSAN

Share:

Sebanyak 1,634 Gerai Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri Majlis Bandaraya Kuantan Sedia Terima Pengunjung

KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menyediakan sebanyak 1,634 gerai jualan pasar Ramadan, bazar Aidilfitri dan bazar sahur di daerah ini, sepanjang Ramadan bermula petang ini.

Ia membabitkan tujuh tapak bazar Aidilfitri membabitkan 493 peniaga dan 29 bazar Ramadan (1,140 peniaga) serta satu bazar sahur yang dianjurkan oleh 36 pihak selepas mendapat kelulusan daripada MBK.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Nor Hayatul Huda Othman, berkata permintaan terhadap gerai jualan di bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini begitu menggalakkan berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, bazar Ramadan Taman Kerang (Mahkota Square), Taman Gelora Zon A, TMG Tanjung Lumpur, Taman Tas dan Jaya Gading antara yang setiap tahun mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau berkata, bazar Aidilfitri di perkarangan Stadium Darulmakmur, Dataran Sekilau, Mahkota Square, Ubi Street dan Menara Kuantan 188 sudah mula beroperasi minggu lalu yang menawarkan pelbagai kelengkapan raya hampir setiap tahun turut mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna daerah ini termasuk dari luar.

"Bagi memastikan peniaga terutama di pasar Ramadan sentiasa mematuhi aspek kebersihan dan peralatan yang digunakan, kita akan menjalankan pemantauan secara berterusan," katanya, dihubungi di sini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membuat pemeriksaan sekiranya terdapat pemilik yang bertindak menyewakan permit atau gerai jualan mereka kepada pihak ketiga.

Nor Hayatul Huda berkata, bagi memastikan aktiviti jualan berjalan dengan baik dan selesa kepada pengunjung, semua peniaga dinasihatkan mengenakan pakaian sopan dan bertudung kepala serta wajib meletakkan tanda harga pada setiap barangan dijual.

"Harga ditawarkan kepada pelanggan juga perlu berpatutan dan tidak terlalu mahal sehingga membebankan pengguna dan kita akan meminta kerjasama pegawai serta kakitangan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi tujuan pemantauan dan pemeriksaan.

"Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan juga akan melakukan pemeriksaan sekiranya terdapat aduan yang berkaitan berlakunya keracunan makanan berlaku pada pengguna," katanya pihak MBK sedia menerima sebarang aduan pengguna.#BHARIAN

Share:

MoU Program Residensi Rakyat (PRR), Satu Babak Baharu Selesaikan Isu Perumahan Rakyat Pahang

KUALA LUMPUR: Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangi untuk Program Residensi Rakyat (PRR) merupakan satu babak baharu untuk menyelesaikan isu perumahan rakyat, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Kerajaan Negeri Pahang untuk Penyerahan dan Pengurusan Rumah-Rumah di Bawah PRR pada Isnin.

“Terima kasih Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Taib di atas kunjungan.

“Sebaik tamat kunjungan hormat ini, saya menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara KPKT bersama Kerajaan Negeri Pahang untuk Penyerahan dan Pengurusan Rumah-Rumah di Bawah PRR di Negeri Pahang Darul Makmur.

“MoU ini menandakan satu babak baharu dalam usaha menyelesaikan isu perumahan rakyat, khususnya untuk memastikan pengurusan dan penyerahan rumah di bawah PRR dilaksanakan dengan lebih efisien serta berkesan,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap agar kerjasama kerajaan pusat dan Negeri Pahang dapat mempercepatkan proses penempatan rakyat.

“Kerjasama erat antara kerajaan pusat dan negeri ini diharap dapat memperce

Terdahulu, beliau juga telah mempengerusikan Mesyuarat Anggota Lembaga Perumahan dan Hartanah, sebuah badan yang menguruskan aspek perumahan di Negeri Pahang.

“Mempengerusikan Mesyuarat Anggota Lembaga Perumahan dan Hartanah (LPHP) sebentar tadi.

“Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab dalam merancang, membangun, dan menguruskan aspek perumahan serta hartanah di negeri Pahang, LPHP terus komited untuk memastikan setiap keputusan dibuat selari dengan keperluan, kepentingan rakyat serta pembangunan mampan negeri,” katanya lagi. #UMNONLINE

Share:

Sultan Pahang Bimbang Pencemaran Udara Di Balok Baru, Titahkan Supaya Kegiatan Luar Dihentikan

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan kebimbangan dengan pencemaran udara di Balok Baru, di sini.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, berkata justeru baginda berharap semua penduduk di kawasan itu dan lokasi sekitar, terutama mereka yang mempunyai masalah pernafasan, lebih berhati-hati supaya tidak menerima kesan langsung akibat pencemaran udara berkenaan.

"Baginda turut menitahkan kegiatan luar juga perlu dihentikan buat masa ini bagi mengelak daripada dijangkiti sebarang masalah kesihatan, termasuk aktiviti membabitkan pelajar sekolah di kawasan berkenaan.

"Selain itu, baginda mengingatkan rakyat agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka, terutama ketika musim cuaca panas dan berangin ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan status setakat jam 9 pagi ini, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di Balok Baru merekodkan kategori tidak sihat dengan mencecah 188.

Pencemaran itu kesan kebakaran di ladang kelapa seluas 75.67 hektar di Balok Baru sejak 22 Februari lalu.

Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim, dilapor memaklumkan daripada keseluruhan kawasan terbakar itu, api di 66.773 hektar telah dipadamkan dan operasi pemadaman sedang dipertingkatkan terhadap baki 8.903 hektar lagi.

Beliau dipetik memaklumkan secara keseluruhan, 103 pegawai dan anggota dari JBPM serta agensi sahabat, termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR), terbabit dalam operasi kali ini. #BHARIAN

Share:

Kebakaran Ladang Kelapa Seluas 75.67 Hektar Di Kawasan Balok Baru Sejak 22 Februari Lalu Punca Jerebu

KUANTAN: Ladang kelapa seluas 75.67 hektar di kawasan Balok Baru di sini terbakar sejak 22 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim, berkata daripada keseluruhan kawasan terbakar berkenaan, 66.773 hektar sudah dipadamkan manakala operasi pemadaman sedang dipertingkatkan bagi baki 8.903 hektar lagi.

Setakat ini, seramai 73 anggota terbabit dalam operasi membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng serta dibantu 10 BBP lain antaranya Kuantan, Taman Tas dan Indera Mahkota sepanjang tempoh sembilan hari operasi pemadaman.

"Kebakaran ladang kelapa memasuki hari kesembilan (semalam) dan kawasan itu mula merebak berikutan angin kencang.

"Sebuah pesawat jenis Mi-17 turut digunakan untuk memadam kebakaran," katanya dalam kenyataan semalam.

Operasi pemadaman dibahagikan kepada tujuh sektor bagi mengelak kebakaran terus merebak.

Bantuan pam daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan sebuah jengkaut daripada Jabatan kerja Raya (JKR) turut membantu.

"Secara keseluruhannya 103 pegawai dan anggota dari JBPM dan agensi sahabat terbabit dalam operasi kali ini," katanya. #BHARIAN

Share:

Ringankan Beban, PM Beri Sumbangan Wang Tunai Kepada Sebuah Keluarga Nelayan Di Kampung Cherating

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan wang tunai kepada sebuah keluarga nelayan di Pahang, bagi meringankan beban mereka yang diuji dengan pendapatan terhad.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi kepada Saluna Mat Jusoh ketika mengunjungi rumahnya di Kampung Cherating, Kuantan, dalam siri Ziarah Madani.

"Pendapatan suaminya, Encik Hasim sebagai nelayan hanya sekitar RM1,000 sebulan dan dia turut berdepan dengan keadaan cuaca tidak mengizinkan untuk turun ke laut.

"Saya juga dimaklumkan oleh Pegawai Pusat Komuniti Madani Indera Mahkota mengenai keadaan rumahnya yang uzur melibatkan atap bocor, dinding mereput dan keadaan dapur yang daif menjadikan rumah ini bukan lagi tempat berteduh selesa buat mereka sekeluarga.

"Lantaran itu, saya hadir untuk menghulurkan harapan agar rumah Puan Saluna sekeluarga dapat dibaik pulih agar ia lebih selesa dan selamat untuk mereka sekeluarga,” kata Ahmad Farhan menerusi hantaran di Facebook yang turut dikongsi Perdana Menteri.

Ahmad Farhan berharap bantuan itu dapat memberikan sedikit kelegaan buat mereka sekeluarga kerana dalam negara Madani, setiap rakyat berhak hidup dengan lebih selesa dan bermaruah. #SINAR

Share:

Sebanyak 265 Kes Demam Denggi Direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang Antara Januari-Mac 2025

KUANTAN: Sebanyak 265 kes demam denggi direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) antara Januari hingga 1 Mac ini.

Menurut kenyataan JKNP, daerah Kuantan mencatatkan kes tertinggi dengan 113 kes diikuti Temerloh (45), Rompin (44), Raub (23), Pekan (12), Jerantut (9), Maran (7), Bentong (5), Lipis (4) dan Bera (3).

Katanya sebanyak 28 kes demam denggi dilaporkan antara 23 Februari hingga 1 Mac lalu dengan daerah Kuantan mencatat kes tertinggi iaitu sebanyak 12 kes.

Menurutnya, dua kawasan di daerah Kuantan iaitu Taman PAKR Kampung Padang 3 (Fasa 1) dan Taman Cenderawasih dikategorikan sebagai kawasan wabak denggi dengan kes terkumpul masing-masing sebanyak 24 dan 4 kes.

Selain itu, terdapat satu kawasan di daerah Pekan diisytihar kawasan wabak iaitu di Cenderawasih Sungai Miang (Rumah Panjang) dengan 3 kes terkumpul dicatatkan. #MGAZETTE

Share:

Peniaga Cari Pelanggan Beli Martabak 50 Keping Tapi ‘Bayaran’ Hilang Di Bazar Ramadan Bandar Jerantut

JERANTUT: Seorang peniaga Bazar Ramadan Bandar Jerantut, di sini sedang mengesan seorang pelanggannya yang membeli 50 keping martabak di gerainya semalam, namun tiada transaksi pembayaran direkodkan di dalam sistem.

Menerusi hebahan yang dimuat naik di kumpulan Facebook, Jerantut Viral hari ini oleh pemilik akaun Dik Yana, pemilik gerai Murtabak Manja meminta pelanggan terbabit tampil menghubunginya atau terus ke gerai.

“Assalamualaikum. Maaf sebelum itu, saya nak cari kakak perempuan yang beli dengan Murtabak Manja 50 keping semalam 1 Ramadan.

“Berkenaan bayaran secara ‘transfer’, tak ada dalam sistem. Tapi kami cam muka kakak. Tolong ya kakak muncul kan diri. Hubungi saya atau ke Murtabak Manja,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai peniaga berkongsi pengalaman sama apabila ditipu oleh pelanggan.

“Bila berniaga bazar Ramadan atau pasar malam, waktu pelanggan ramai memang tak sempat nak semak transaksi pembayaran setiap pelanggan. Kadang bila selesai berniaga, semak semula ada yang tak bayar. Soal makan jadi darah daging pun ada yang menipu,” kata Aisyah.

“Ini yang bahaya bayar guna QR (bayaran secara dalam talian). Naya 50 keping ‘percuma’ macam itu sahaja,” ujar Firdaus. #KOSMO! 

Share:

Fandi Akui Tugas Sukar Melayan Kunjungan Kuching City FC Esok, Baki 60 Minit Untuk Sri Pahang FC Bangkit

KUANTAN: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui tugas sukar menanti skuad itu apabila melayan kunjungan Kuching City FC pada aksi tertunda Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam esok.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, ia kerana perlawanan berkenaan bermula dengan kelebihan 1-0 dimiliki lawan pada aksi 2 November lalu yang mana kedua-dua pasukan beraksi selama 30 minit sebelum perlawanan dihentikan akibat faktor keadaan padang.

"Ya, perlawanan akan bermula dengan kelebihan 1-0 dimiliki Kuching City dan Sri Pahang perlu mendapatkan jaringan awal untuk gol penyamaan sebagai motivasi selain mengelakkan daripada tertekan.

"Perlawanan esok hanya akan berlangsung selama 60 minit. Harapan saya semua pemain dapat mempamerkan persembahan yang terbaik dan perlu mencuba mencipta gol awal," kata pengendali berusia 62 tahun itu.

Pada 2 November lalu, MFL mengumumkan perlawanan Liga Super antara Sri Pahang dan Kuching City yang dihentikan pada minit ke-30 akibat hujan ditunda kepada satu tarikh lain atas faktor keadaan padang tidak sesuai untuk beraksi.

Ketika itu, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mendahului pasukan tuan rumah 1-0 hasil jaringan pemain import, Yuki Tanigawa pada minit ke-14.

Selain itu, Fandi berkata anak buahnya tidak berada pada situasi terbaik ketika ini dan kemungkinan berlaku perubahan dalam senarai kesebelasan utama.

Katanya, perubahan dalam kesebelasan utama itu terpaksa dilakukan kerana ada beberapa pemain mengalami kecederaan yang memerlukan penggantian pemain.

"Setakat ini, saya boleh katakan bahawa pemain tengah, Sean Selvaraj tidak boleh beraksi kerana masih belum pulih daripada kecederaan," katanya. #BHARIAN

Share:

Kira-kira 76 hektar Hutan Di Sekitar Jalan Pintasan Kuantan-Sg Ular Berhampiran Gebeng Musnah Terbakar

KUANTAN: Kira-kira 76 hektar kawasan ladang sawit di sekitar Jalan Pintasan Kuantan-Sg Ular berhampiran Gebeng di sini musnah dalam kejadian kebakaran hutan sejak sembilan hari lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Ibrahim berkata sehingga kini kira-kira 67 hektar kawasan yang terbakar telah berjaya dipadamkan.

“Baki kira-kira 8.9 hektar masih terbakar dan api mula merebak semula semalam akibat tiupan angin kuat dengan pemadaman masih dalam operasi dengan bantuan pelbagai agensi.

“Kekuatan anggota bomba yang terlibat dalam pemadaman ialah seramai 73 orang iaitu 16 daripada Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng dan selebihnya bantuan daripada balai luar,”katanya

Menurutnya operasi pemadaman dipecahkan kepada tujuh sektor bagi mengelakkan api merebak ke kawasan lain dengan setiap sektor mempunyai 10 anggota bomba.

Katanya operasi pemadaman turut menggunakan ‘water bombing’ melibatkan satu unit pesawat dengan kekuatan 11 orang kru.

“Selain itu bantuan pam dari Jabatan Pengairan dan Saliran bagi tujuan ‘total flooding’ di kawasan yang terbakar dan bantuan satu unit jengkaut dari Jabatan Kerja Raya bagi tujuan ‘fire break’ dan akses laluan pemadaman,”ujarnya. #KOSMO!

Share:

Denda Hingga RM3,000 Dan Penjara Maksimum Dua Tahun, Individu Islam Tak Hormati Ramadan Di Pahang

KUANTAN: Individu beragama Islam di Pahang yang tidak menghormati bulan Ramadan boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda sehingga RM3,000 dan penjara maksimum dua tahun.

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam satu hantaran di facebook menjelaskan perkara tersebut termaktub di bawah Seksyen 22 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Negeri Pahang.

Kesalahan ini merangkumi perbuatan tidak berpuasa secara terbuka serta menjual makanan, minuman, rokok atau seumpamanya kepada individu Islam pada waktu siang di bulan Ramadan."Bagi kesalahan berulang, hukuman lebih berat menanti dengan denda maksimum RM5,000 dan penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali," menurut hebahan itu.

JAIP menasihatkan umat Islam di negeri ini agar menghormati bulan penuh keberkatan dengan menjauhi perkara yang boleh mencemarkan kesuciannya.

"Jangan jadikan Ramadan sekadar menahan lapar dan dahaga, tapi manfaatkan peluang ini untuk memperbaiki diri, memperbanyakkan ibadah, serta menjauhi perkara yang dilarang.

"Jangan ponteng puasa! elakkan perbuatan yang boleh mencemarkan kesucian Ramadan. Ingat, di negeri Pahang, tidak menghormati Ramadan adalah satu kesalahan," katanya.  #SINAR

Share:

Penonton Perlawanan Liga Super Antara Sri Pahang FC Dan Kuching City FC Hanya Perlu Keratan Tiket

KUANTAN: Penonton perlawanan Liga Super antara Sri Pahang FC dan Kuching City FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada November lalu, hanya perlu membawa keratan tiket untuk menyaksikan aksi tertunda kedua-dua pasukan, Selasa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata perlawanan itu akan bermula jam 10 malam, manakala peminat yang mahu membeli tiket boleh berbuat demikian pada hari perlawanan jam 8 malam.

"Bagi pemegang tiket perlawanan yang sebelum ini tertunda akibat hujan lebat pada 2 November lalu, tiket berkenaan masih sah digunakan untuk perlawanan Selasa ini.

"Sementara itu, peminat bola sepak khususnya penyokong skuad Tok Gajah yang ingin menyaksikan perlawanan itu boleh membelinya di kaunter yang akan dibuka pada jam 8 malam hingga 10 malam, Selasa ini.

"Bagi perlawanan ini, SPFC ingin memaklumkan tiada jualan tiket secara dalam talian dan pemegang tiket pada 2 November lalu, pula hanya perlu menunjukkan keratan tiket di pintu masuk," katanya.

Sebelum ini, penonton perlawanan Liga Super antara Sri Pahang FC dan Kuching City di Stadium MPT diminta menyimpan keratan tiket bagi membolehkan mereka hadir ke perlawanan akan diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Pada 2 November lalu , MFL mengumumkan perlawanan Liga Super antara Sri Pahang dan Kuching City yang dihentikan pada minit ke-30 akibat hujan lebat ditunda kepada satu tarikh lain atas faktor keadaan padang tidak sesuai untuk beraksi.

Ketika itu, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mendahului pasukan tuan rumah 1-0 hasil jaringan pemain import, Yuki Tanigawa selepas menanduk bola sepakan penjuru pada minit ke-14. #HMETRO

Share:

Fahmi Fadzil: Jemaah Menteri Menjunjung Kasih Titah Sultan Pahang Semua Pihak Henti Bahas Adendum

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri menjunjung kasih titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung gesaan supaya semua pihak tidak berterusan membahaskan titah adendum.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan akan meneruskan tindakan sewajarnya untuk memastikan tiada pihak yang menderhakai titah Al-Sultan Abdullah.

Beliau yang merupakan Menteri Komunikasi juga menggesa semua pihak menghormati titah Sultan Pahang.

“Perdana Menteri telah merakamkan junjung kasih kerajaan kepada titah Sultan Pahang. Dari segi pelaksanaan dan juga perkara-perkara yang berkaitan.. kerajaan akan teruskan.

“Dalam hal titah kita serahkan kepada proses mahkamah (prosiding kehakiman bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum),” katanya pada sidang media.

Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya semua pihak tidak berterusan membahaskan isu Titah Adendum kerana perkara itu sudah berada di bawah proses undang-undang.

Susulan itu, Baginda mahu semua pihak terbabit menghormati proses yang sedang berlangsung dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Al-Sultan Abdullah yang juga Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Kini, perbicaraan kes tersebut sedang berjalan di Mahkamah Tinggi. #WILAYAHKU

Share:

Perdana Menteri Puji Kebijaksanaan Sultan Pahang, Semua Pihak Hormati Proses Serta Undang-Undang

SHAH ALAM: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata PAS sudah gagal ‘tunggang’ kes titah adendum selepas Sultan Pahang titah supaya semua pihak tidak berterusan membahaskannya.

Anwar memuji kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahu semua pihak menghormati proses serta undang-undang.

“Kebijaksanaan Sultan Pahang supaya titah adendum itu biar proses undang-undang,” kata Anwar dalam ucapan sempena mesyuarat agung PKR Selangor peringkat bahagian dan sayap.

“Maka mereka nak tunggang kes adendum gagal. Lingkup strategi PAS. Dia tak ada modal.”

Semalam, Al-Sultan Abdullah, yang juga Yang di-Pertuan Agong ke-16, bertitah perkara itu berada dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti, oleh itu, semua pihak perlu menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 24 Mac bagi mendengar permohonan kebenaran rayuan peguam negara, terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung semakan kehakiman diberikan kepada Najib Razak, dalam usaha bagi dirinya menghabiskan baki pemenjaraan bawah tahanan rumah.

Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi memaksa kerajaan melaksanakan perintah tambahan dikeluarkan Al-Sultan Abdullah, ketika baginda menjadi Agong. #FMT

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.