script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Sebanyak 12 Daripada 14 Ketua AMK Cabang Pahang Sokong Nurul Izzah Tanding Timbalan Presiden PKR

KUANTAN: Seramai 12 daripada 14 Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pahang menyatakan sokongan penuh dan terbuka terhadap Nurul Izzah Anwar sebagai calon timbalan presiden PKR bagi sesi 2025–2028.

Ketua AMK Cabang Indera Mahkota, Ahmad Saifullah Razali berkata, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu merupakan tokoh reformasi yang berprinsip, progresif dan berwawasan.

“Pengalaman sebagai bekas naib presiden PKR, ahli parlimen dan aktivis reformasi membuktikan kemampuan serta keteguhan iltizam Nurul Izzah dalam membawa suara rakyat dan agenda perubahan.

“Beliau membawa nafas segar yang mampu menyatukan idealisme generasi pengasas dengan semangat dan tenaga generasi pelapis.

“Kami yakin kepimpinan Nurul Izzah akan memperkukuh struktur parti, memperkuat akar umbi serta memacu PKR ke arah masa depan yang lebih kukuh dan diyakini rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Saifullah berkata, pencalonan Nurul Izzah langkah strategik demi kelangsungan perjuangan reformasi dan kesinambungan kepimpinan yang berteraskan nilai, integriti dan visi Malaysia Madani.

“Kami berdiri teguh bersama Nurul Izzah. Inilah masa untuk PKR bangkit dengan kekuatan baharu,” katanya.

Berikut senarai Ketua AMK Pahang yang menyokong pencalonan Nurul Izzah:

*Ketua AMK Indera Mahkita, Ahmad Saifullah

*Ketua AMK Paya Besar, Muhammad Hurairah bin Roslan

*Ketua AMK Bera, Norafiza Ahmad Zaidi

*Ketua AMK Kuala Krau, Mohammad Izwan Azmi

*Ketua AMK Raub, M. Baskaran

*Ketua AMK Bentong, Mohd. Fadhil Hanafi Mohd. Nor Sidik

*Ketua AMK Cameron Highlands, Amirul Syafiq Badrul Shah

*Ketua AMK Jerantut, Muhammad Hafami Jaafar

*Ketua AMK Lipis, Badrul Hakimi Mohd. Supian

*Ketua AMK Maran, Muhammad Khairul Nizam Halias

*Ketua AMK Pekan, Muhammad Zubair Tugimon

*Ketua AMK Rompin, Mohd. Fahrol Rozi Abdullah 

#utusanmalaysia

Share:

Ibrahim Manusi Hampiri Pintu Keluar Sri Pahang FC, Kelab Berpusat Di Lembah Klang Disebut Jadi destinasi

KUALA LUMPUR: Nama Ibrahim Manusi menjadi tumpuan terutamanya selepas persembahan baiknya untuk Sri Pahang FC pada perlawanan akhir Piala Malaysia.

Walaupun tumpas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), namun persembahan Ibrahim mendapat perhatian hingga dia diberikan jolokan Patrick Vieira versi Liga Super.

Usai perlawanan tersebut, Ibrahim menjadi perhatian dengan dia dikaitkan dengan tiga kelab bagi musim depan.

Laporan terdahulu menyebut yang Ibrahim dikaitkan dengan Selangor FC, Terengganu FC dan juga Penang FC bagi musim hadapan.

Akan tetapi, laporan terkini mendapati yang sebuah kelab berpusat di Lembah Klang sudah berada satu langkah di hadapan dalam misi mendapatkan Ibrahim.

Pemerhati bola sepak tempatan, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan walaupun kelab Lembah Klang yang tidak dinamakan itu mempunyai kelebihan dalam mendapatkan Ibrahim, namun ia bergantung kepada situasi Sri Pahang sama ada mereka akan terus bertanding dalam Liga Super atau tidak.

Hal ini kerana, Sri Pahang masih mempunyai pemilikan terhadap pemain tersebut sehingga 2027.

"Ibrahim Manusi bakal sertai sebuah pasukan Lembah Klang, namun bergantung kepada status Sri Pahang. Difahamkan, kontrak Baim bersama Tok Gajah berakhir 2027," kata Zulhelmi.

Walaupun tanpa menyebut nama, berkemungkinan besar kelab yang bakal dituju itu adalah Selangor dengan usaha mereka mencari pemain baharu bagi mengisi bahagian pertahanan dan tengah selepas pemergian Safuwan Baharudin.

Akan tetapi, tidak terkejut jika tiba-tiba Kuala Lumpur City FC atau PDRM FC yang berjaya menyambarnya. #majoriti

Share:

Tuan Guru Baqi Othman Kembali Ke Rahmatullah Di Hospital Universiti Islam Antarabangsa Kuantan Pada Usia 84 Tahun

Negeri Pahang hari ini kehilangan sebutir permata berharga dalam dunia keilmuan dan perjuangan Islam dengan kembalinya ke rahmatullah Al-Allamah Tuan Guru Mohd Baqi Othman pada pagi tadi, 7 Mei.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuantan sekitar jam 5 pagi dalam usia 84 tahun, meninggalkan legasi dakwah dan pendidikan Islam yang tiada ternilai.

Tuan Guru Mohd Baqi merupakan figura murabbi ummah yang disegani bukan sahaja di bumi Pahang, malah di seluruh tanah air.

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat umat Islam di Malaysia.

Ketokohan, kewarakan, dan keistiqamahan beliau dalam mendidik, membimbing dan menyampaikan risalah  Islam kekal menjadi sumber inspirasi kepada generasi pewaris perjuangan.

Latar belakang dan pendidikan

Dilahirkan pada 12 Julai 1940 di Kampung Kening, Chenor, Pahang, Almarhum memulakan pendidikan awal di kampung sebelum menyambung pengajian agama di Pondok Lubuk Tapah, Kelantan selama sepuluh tahun sejak tahun 1958.

Di sana, beliau berguru dengan ulama tersohor seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Lubuk Tapah.

Pada tahun 1969, beliau berhijrah ke kota suci Makkah untuk menuntut ilmu di Madrasah Darul Ulum selama enam tahun.

Di sana, beliau menimba ilmu daripada tokoh-tokoh besar seperti Syeikh Daud Sulaiman al-Kalantani, Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, Syeikh Muhammad Alwi al-Makki dan Syeikh Hassan Masyath.

Ilmu yang diperoleh menjadikan beliau antara ulama tersohor yang teguh menyampaikan dakwah berdasarkan manhaj salafussoleh.

Pondok dan perjuangan

Sepulangnya ke tanah air, beliau tidak berlengah untuk mengembangkan ilmu.

Beliau mendirikan pondok pengajian di Kampung Sungai Gau, Temerloh, yang menjadi tempat lahirnya Air Gau satu sumber mata air yang kemudiannya menjadi lagenda kerana keistimewaannya menyerupai air zam-zam dari segi kandungan mineral dan ketulenannya.

Kisah bermulanya Air Gau adalah manifestasi tawakkal dan keyakinan beliau kepada Allah.

Pada tahun 1991, setelah melakukan solat hajat kerana ketiadaan bekalan air di pondok, beliau bermimpi seseorang menunjukkan tempat untuk menggali telaga.

Hasilnya, mata air yang ditemui bukan sahaja menyelesaikan masalah air untuk pondok tersebut, malah menjadi sumber air yang digunakan oleh masyarakat setempat dan seluruh negara.

Ujian makmal oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kemudian mengesahkan bahawa air ini kaya dengan garam galian (TDS 284mg/l) dan pH beralkali (7.9), menjadikannya satu-satunya air bermineral tinggi di Malaysia.

Tuan Guru juga membuka sebuah lagi pondok pengajian yang dikenali sebagai Madrasah Saadah al-Daraini di Kampung Lanting, Chenor.

Kedua-dua institusi ini menjadi medan penyebaran ilmu dan pemurnian akidah umat.

Sumbangan dalam siasah

Dalam medan perjuangan politik Islam, Almarhum cukup aktif menyumbang tenaga dalam PAS.

Beliau pernah menyandang jawatan Pesuruhjaya PAS Pahang (1994–2001), Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat dan Yang Dipertua PAS Kawasan Maran (1991–2013).

Beliau juga pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor sebanyak tiga kali, menjadikan perjuangan siasah beliau bukan sekadar di atas kertas, tetapi dengan keberanian yang nyata.

Atas jasa dan keistiqamahan beliau dalam perjuangan, Tuan Guru telah dianugerahkan Tokoh Ulamak Istiqamah PAS pada Muktamar PAS ke-65 satu pengiktirafan yang cukup layak bagi seorang ulama mujahid sepertinya.

Warisan rohani dan duniawi

Keperibadian Almarhum dikenang sebagai sangat tawaduk, zuhud dan wara’.

Beliau tidak pernah mencari kemewahan dunia, sebaliknya mewakafkan seluruh hidupnya untuk umat.

Kata-kata beliau lembut, namun tegas dengan prinsip, kehadirannya dalam majlis-majlis ilmu memberi ketenangan, seolah-olah membawa bersama keberkatan dari langit.

Anaknya, Ustaz Abdul Mujib, kini meneruskan legasi menjaga kilang Air Gau yang setiap hari mengepam lebih 12,000 liter air untuk kegunaan masyarakat.

Air ini tidak pernah kering, malah terus melimpah seolah-olah menjadi saksi atas keberkatan doa dan usaha Tuan Guru dahulu.

Nama beliau akan terus disebut dalam majlis ilmu, air matanya terus mengalir dalam telaga Gau, dan amal jariahnya akan terus mengalir walau jasadnya telah kembali ke tanah.

Beliau telah dianugerahkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Negeri Pahang 1442H sempena sambutan Maal Hijrah 1442H peringkat negeri Pahang.

Moga Allah mengampuni dosa-dosa beliau, menerima segala amalnya, dan menempatkan rohnya di syurga Firdaus bersama para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin. #harakahdaily


Share:

Kerajaan Pahang Sedia Laksana Pelan Pembangunan Berimpak Tinggi Di Tujuh Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

KUANTAN: Kerajaan Pahang bersedia melaksanakan pelan pembangunan berimpak tinggi di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri itu, bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merangsang ekonomi setempat.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, perancangan itu, akan menumpukan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam dalam radius 15 kilometer daripada setiap stesen ECRL.

"Dengan pelaksanaan Projek Pemecut Ekonomi (EAP) serta Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) secara strategik dan mampan, kerajaan negeri meletakkan sasaran menjadikan kawasan sekitar stesen ECRL sebagai pusat pertumbuhan baharu yang inklusif dan berdaya saing," katanya.

Wan Rosdy berkata, perkara itu hasil Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Berorientasikan Transit di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, semalam.

Beliau berkata, empat pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diberi tanggungjawab untuk merangka pelan tindakan pembangunan EAP dan TOD di kawasan masing-masing, yang melibatkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan Majlis Daerah Maran (MDM).

"Komponen pembangunan yang dikenal pasti meliputi pelbagai aspek seperti pembinaan Pangsapuri Pahangku, pelabuhan darat, pusat pentadbiran dan pusat komersial, hotel dan kompleks perniagaan, pembangunan bercampur, institusi dan kemudahan masyarakat, utiliti dan infrastruktur perumahan dan sebagainya," katanya.

Wan Rosdy berkata, antara projek yang akan dilaksanakan oleh PBT ialah pembinaan terminal bersepadu dan gerai berangkai di Bentong, pembinaan Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Paya Besar, pembangunan bandar pintar di Daerah Temerloh serta pembangunan hab maritim di Tanjung Gelang.

Beliau berkata, pihaknya yakin bahawa pelaksanaan projek tersebut akan memacu pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkukuh jaringan mobiliti dan akses perkhidmatan di kawasan luar bandar dan bandar.

"Inisiatif menyeluruh ini merupakan satu langkah proaktif dan bersifat masa hadapan yang akan menyokong pembangunan negeri Pahang secara holistik, seimbang dan mampan demi kemakmuran dan kesejahteraan semua," katanya.#AstroAwani

Share:

Seorang Lelaki Warga Emas Maut Akibat Terkena Tembakan Senapang Patah Buatan Sendiri Di Hutan Tebu Hitam, Rompin

KUANTAN: Seorang lelaki warga emas maut akibat terkena tembakan senapang patah buatan sendiri dalam kejadian di kawasan hutan Tebu Hitam, Rompin, Pahang, pada Ahad lalu.

Mangsa berusia 62 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian dada selepas senapang dibawanya meletup dan terkena jari kelingking tangan kanannya sebelum tembakan mengenai sisi dada kanan.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, siasatan mendapati mangsa sedang menjalankan aktiviti memburu secara haram bersama enam rakannya sebelum kejadian berlaku.

“Laporan awal diterima pada Ahad lalu daripada seorang lelaki berusia 54 tahun yang memaklumkan mengenai kematian mengejut rakannya semasa memburu di hutan Tebu Hitam.

"Hasil bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada Isnin mengesahkan punca kematian sebagai 'gun shot injury to the chest' dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

Susulan itu, polis menahan lima lelaki berusia antara 35 hingga 67 tahun dan seorang lelaki Orang Asli berusia 46 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti pemburuan haram.

Turut dirampas lima laras senapang patah buatan sendiri, satu laras senapang patah jenis Benelli Armi-Uribino, serta 25 butir peluru penabur bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak polis turut menegaskan, tiada kompromi terhadap individu yang memiliki senjata api buatan sendiri atau tanpa lesen dan menyeru mereka yang masih menyimpan senjata sedemikian agar menyerahkannya kepada pihak berkuasa sebelum tindakan tegas diambil. #astroawani

Share:

Seramai 46 Orang Dikurniakan Darjah Kebesaran Dan Pingat Sempena Memuliakan Ulangtahun Keputeraan Sultan Pahang


TEMERLOH: Seramai 46 orang dikurniakan darjah kebesaran dan pingat pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 KDPB Sultan Pahang (sesi keempat) di Dewan Tun Razak, hari ini.

Pengurniaan pingat dan darjah kebesaran itu telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat sama ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada majlis berkenaan, KDPM Tengku Mahkota Pahang berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia - Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri kepada Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM), Yang Hormat Komisioner Polis Dato' Sri Muhammed Hasbullah bin Ali.

Sementara itu, Kebawah Duli Tuanku turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Pertama Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Dato’ Indera kepada Pengarah Pembinaan Sujaman Sdn Bhd, Dato' Indera Lee Wah Lian.

Kebawah Duli Tuanku turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia Peringkat Kedua Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Dato’ kepada Pengarah Maritime Survey And Service Sdn Bhd, Dato' Suhaila binti Semaru.

Pada istiadat berkenan, Kebawah Duli Tuanku turut berkenan mengurniakan  Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ kepada 23 orang penerima dengan didahului Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Yang Mulia Tengku Dato' Mohd Arifin bin Tengku Dato' A. Rahman diikuti Presiden Dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Dato' Burhanuddin Hilmi bin Mohamed @ Harun.

Turut menerima darjah kebesaran dan gelaran sama ialah Ahli Dewan Negeri Kawasan Chini, Yang Berhormat Dato' Mohd Sharim bin Haji Md Zain; Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Mining Corporation (PMC) Sdn Bhd,  Dato' Haji Ahmad Rizal bin Ali @ Jaafar; Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan Dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),  Dato' Ahmad Akram bin Gharib; Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Corporate Management Services (PCMS) Sdn Bhd,

Dato' Haji Abd. Rahim bin Ahmad; Panglima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Dato' Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM dan Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara, Mejar Jeneral Dato' Norli Hisham bin Alwi TUDM.

Turut dikurnia gelaran sama ialah Ketua Jabatan Oftalmologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Brigedier Jeneral Dato' Dr. Mohd Mansor bin Shariff; Brigedier Jeneral Dato' Norazman bin Samion TUDM (B); Brigedier Jeneral Dato' Hajah Fadzillah binti Abdullah TUDM (B); Brigedier Jeneral Dato' Haji Ayub Khan bin Mohammad Khan TUDM (B); Profesor Kanan Sunway University, Profesor Dato' Dr. Agamutu A/L Pariatamby; Ketua Bahagian Malaysian Chinese Association (MCA) Lipis, Dato' Ho Fong Mee dan Pengarah Urusan Gruppe Lighting Solution Sdn Bhd.

Turut tersenarai ialah Pengarah Eksekutif Pelita Jujur Sdn Bhd, Dato' Ir Tan Kok Hin @ Tan Kok Peng; Pengarah Operasi Blackstone Mining Sdn Bhd, Dato' Tuan Syed Faiza bin Syed Mohamed; Pengarah Eksekutif Berjaya Group Berhad, Dato' Mohd Ghazali bin Abbas; Ketua Pegawai Eksekutif IIUM Consultancy And Innovation Sdn Bhd, Dato' Wan Jusaini Rizal bin Che Wan Nasruddin; Pengarah Bahagian Perhubungan Kerajaan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd, Dato' Tan You Seng; Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Pembinaan Sujaman Sdn Bhd, Dato' Teh Swee Khiam; Mantan Setiausaha Persatuan Badminton Kedah, Dato' Goh Yen Yen serta Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dato' Azra bin Kamarudin.

Sementara itu empat orang penerima dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Ketiga Setia Mahkota Pahang (SMP) iaitu Kolonel Zulkefli bin Haji Samsu Hadi TUDM; Asisten Komisioner Polis Azli bin Mohd Noor; Superintenden Polis Mohamad Ra'ayim bin Haji Jemakir serta Encik Aminuddin bin Ab Rahman.

Kebawah Duli Tuanku turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia - Peringkat Keempat Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada Asisten Superintenden Polis Husni Azumi bin Hussain dan Encik Che Farhan bin Che Mansor.

Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia -Peringkat Keempat Ahli Mahkota Pahang (AMP), seramai tujuh orang penerima tersenarai iaitu Mejar Syaiful 'Ammar bin Suhaimi; Deputi Superintenden Polis Mohd Azlizan bin Jamaludin; Asisten Superintenden Polis Ameerul Asraf bin Ghazali; Inspektor Muhammad Suffian bin Ismail; Inspektor Mohamad Khairul Syafawie bin Abdul Yusof;  Puan Putri Farhan Najwa binti Megat Daud dan Encik Zhameir Shafiq bin Mohd Ilias.

Dalam pada itu Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) dikurniakan kepada empat penerima iaitu Sarjan Syed Ibrahim bin Syed Abdullah;  Encik Jimat bin Basiran; Puan Rosmiza binti Abdullah serta Encik Wan Kamal bin Wah Noh.

Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) pula dikurniakan kepada tiga penerima iaitu Staf Sarjan Mohd Nor bin Khalid; Koperal Mohd Shahrizan bin Ariffin dan Encik Badra Isa bin Abdul Hamid.  #KesultananPahang

Share:

Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Yang Dilaporkan Hilang Di Pekan Ditemukan Selamat Di Chukai

KUANTAN: Seorang pelajar lelaki dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdul Razak, Pekan, yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah tanpa pengetahuan keluarga di sini semalam, ditemukan selamat di Chukai, Terengganu, pagi ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata pelajar terbabit, Anas Baihaqi Miqdad Johari, 13, dikesan berada di rumah saudaranya pada jam 7 pagi ini.

"Berdasarkan laporan diterima pada jam 4 petang semalam, kita menemuramah ahli keluarga pelajar itu.

"Pada jam 7 pagi ini, Anas Baihaqi dikesan di rumah saudara di Chukai, Kemaman, Terengganu dan berada dalam keadaan selamat.

"Jadi, kes kehilangan ini selesai dan siasatan lanjut diteruskan untuk mendapatkan maklumat bagaimana pelajar ini sampai ke Chukai," katanya selepas Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan hasil siasatan awal mendapati remaja itu sebelum ini pernah menyuarakan keengganan pulang ke asrama kerana tidak sanggup berjauhan daripada keluarga.

Sebelum kejadian, ibu mangsa berusia 41 tahun memaklumkan anak lelakinya masih berada di rumah pada kira-kira jam 3.30 petang sebelum dilaporkan hilang setengah jam kemudian. #BeritaHarian

Share:

Suri Rumah Trauma Disamun Di Taman Tas, Ibu Mertua Rugi Lebih RM15,000 Termasuk Wang Tunai RM1,500

KUANTAN: Seorang suri rumah trauma disamun dua individu menaiki sebuah kereta berwarna hitam di Taman Tas di sini hari ini.

Menurut menantu mangsa, Nurelly ketika dihubungi semasa kejadian kira-kira 10.30 pagi, ibu mertuanya berusia 57 tahun itu menaiki motosikal bersendirian dalam perjalanan pulang setelah membuat pengeluaran wang tunai dari sebuah bank.

“Tiba-tiba pemandu kereta itu menahan motosikal mama saya. Mama ingat dia (pemandu) nak bertanya jalan dan dalam kereta ada dua orang, seorang lelaki yang memandu dan wanita pakai pelitup muka dan sarung tangan macam kerja kebun,” katanya.

Nurelly berkata, lelaki itu kemudian bertindak mengacukan pemutar skru kepada ibu mertuanya sambil mengarahkan supaya ibu mertuanya diam.

Panik dan ketakutan, dia berkata, ibu mertuanya terpaksa akur bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku kepada dirinya.

“Mulanya dia nak beg duit mama tapi dia (penyamun) nampak pada tangan mama ada gelang tangan emas dan dia suruh perempuan yang naik sama kereta dengan dia mencabut semua emas daripada mama,” tambah Nurelly lagi.

Dia memberitahu, akibat kejadian itu, ibu mertuanya kerugian kira-kira RM15,000 termasuk wang tunai berjumlah RM1,500.

Nurelly memberitahu, ibu mertuanya masih dalam keadaan terkejut dan trauma akibat kejadian berkenaan. #MalaysiaGazette

Share:

Polis Pahang Berjaya Rampas Pelbagai Jenis Dadah Bernilai RM84.7 Juta Sepanjang Tempoh Empat Bulan

KUANTAN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM84.7 juta sepanjang tempoh Januari hingga April lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sebanyak 4,261 kes dengan 4,839 tangkapan direkodkan dalam tempoh berkenaan, berbanding 4,362 kes dan 4,810 tangkapan pada tahun lalu.

Katanya, ia sekali gus mencatatkan peningkatan hampir 10 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sepanjang tempoh empat bulan itu juga, sebanyak 4,180 kertas siasatan telah dibuka dan 3,753 kes berjaya diselesaikan, iaitu bersamaan 90 peratus kadar penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Yahaya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang telah membuka 817 kertas siasatan membabitkan kerugian keseluruhan sebanyak RM26.3 juta dalam tempoh sama. #KOSMO! 

Share:

Lebih Separuh Daripada 25 Pemain Sri Pahang FC Musim 2024-25 Sudah Tamat Kontrak Bersama Skuad Itu

KUANTAN: Lebih separuh daripada 25 pemain Sri Pahang musim 2024-25 sudah tamat kontrak bersama skuad itu yang berakhir pada 30 April lalu.

Sumber Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) memaklumkan bahawa mereka kini bebas untuk menyarung jersi skuad lain bagi musim baharu.

"Boleh disahkan bahawa lebih separuh daripada 25 pemain termasuk import sudah tamat kontrak pada 30 April lalu, kecuali Kpah Sherman yang masih mempunyai kontrak satu musim lagi.

"Manakala baki pemain yang masih memiliki kontrak semusim lagi, kelab sedia membantu jika mereka berminat untuk menyertai pasukan lain.

"SPFC sedia membantu sebaik mungkin dalam soal kontrak iaitu situasi menang-menang atau yang terbaik buat mereka untuk meneruskan kerjaya.

"Ini kerana status Sri Pahang FC sama ada kekal beraksi atau tidak akan diketahui sebelum 10 Mei ini selepas Jawatankuasa First Instance Body (FIB) memberikan lanjutan masa," kata sumber berkenaan.

Pada 26 April lalu, pemilik SPFC, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mengumumkan beliau akan mengundur diri musim depan.

Namun, ia tetap menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak berhubung status Sri Pahang FC sama ada kekal atau tidak beraksi susulan pengumuman Tengku Abdul Rahman itu.

Rata-rata peminat bola sepak, khususnya penyokong Tok Gajah mahu Sri Pahang kekal beraksi.

Baru-baru ini, Jawatankuasa First Instance Body (FIB) memberikan lanjutan masa sehingga 10 Mei ini bagi kelab melengkapkan dokumentasi pelesenan kelab yang pada asalnya berakhir pada 30 April lalu.

Ia bermakna beberapa pasukan mendapat talian hayat untuk melengkapkan dokumen terutama Sri Pahang. #BeritaHarian

Share:

Ketua Polis Pahang Nasihat Orang Ramai Agar Hormati Undang-Undang, Jangan Ceroboh Tanah Kerajaan

KUANTAN: Polis menasihati orang ramai, khususnya pekebun durian di Raub, dekat sini, menghormati undang-undang dan tidak menceroboh masuk tanah kerajaan, khususnya di kawasan hutan simpan.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, tindakan akan dilakukan terhadap individu atau pihak tidak bertanggungjawab yang memasuki kawasan tanah yang bukan milik mereka.

Katanya, sehingga kini, operasi bersepadu bersama lain-lain agensi seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang masih diteruskan.

"Rondaan masih dilaksanakan di kawasan tanah kerajaan, termasuk hutan simpan untuk memastikan tiada pencerobohan.

"Oleh itu, saya menasihati semua pihak menghormati undang-undang dan tidak menceroboh kawasan tanah yang bukan milik mereka iaitu kawasan milik Pejabat Tanah dan Jabatan Perhutanan termasuk hutan simpan," katanya.

Yahaya berkata demikian ketika ditemui media selepas Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Pada 30 April lalu, lima lelaki termasuk empat warga Indonesia ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Batu Talam di Mukim Tras, Raub.

Bertindak atas maklumat orang awam, polis terserempak dengan seorang lelaki tempatan yang memandu sebuah pacuan empat roda dan seorang lelaki warga Indonesia menunggang motosikal.

Pemeriksaan di kawasan sekitar menemukan sebuah rumah kongsi didiami tiga warga Indonesia.

Polis menahan lima lelaki terbabit yang berusia 40 hingga 65 tahun serta menghubungi Pejabat Hutan Daerah Raub untuk siasatan lanjut.

Yahaya berkata, lima individu terbabit kemudiannya dibebaskan dengan jaminan dan kes disiasat mengikut Seksyen 88 (1) Akta Perhutanan Negara 1984. #HarianMetro

Share:

Siapa Sangka: Datang Bonceng Skuter Dari Bera, Pulang Bawa Balik Sebuah Mitsubishi Triton Athlete Baharu

KUANTAN: Siapa sangka seorang kerani yang datang ke acara permotoran hanya membonceng skuter akhirnya pulangnya membawa sebuah Mitsubishi Triton Athlete baharu.

Itulah tuah luar biasa Siti Zaharah Rahman,35, dari Bera yang diumumkan sebagai pemenang hadiah cabutan bertuah sempena acara permotoran RXZ Fighter 2.0 yang berlangsung meriah di Teluk Cempedak di sini semalam.

Menurut ibu kepada dua anak lelaki itu, dia dan suaminya yang juga peminat dunia permotoran hanya menaiki skuter Yamaha X-Max ke lokasi acara meskipun mereka turut memiliki jentera legenda, Yamaha RXZ.

“Saya hanya beli dua helai kemeja-T bernilai RM85 sehelai dan secara automatik layak menyertai cabutan bertuah.

“Tidak sangka nombor 37161 jadi pembuka rezeki,”katanya ketika ditemui sejurus menerima kenderaan idaman tersebut.

Hadiah istimewa itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal dalam majlis penuh meriah.

Tambah Siti Zaharah, dia memang pernah berangan untuk memenangi hadiah utama itu dan sudah merancang untuk menjadikannya sumber pendapatan sampingan dengan menawarkan perkhidmatan penghantaran barang.

Selain Triton, acara itu turut menawarkan empat buah Yamaha RXZ, barangan kemas serta wang tunai sebagai hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung bertuah.

RXZ Fighter 2.0 mencatat kejayaan luar biasa apabila berjaya menarik lebih 70,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran, jauh mengatasi 50,000 pengunjung pada edisi terdahulu.

Malah, kali ini penganjur turut menerima penyertaan antarabangsa termasuk dari Thailand, Indonesia dan Singapura, menjadikan acara itu antara yang paling berprestij dalam kalendar permotoran tempatan.#KOSMO! 

Share:

Timbalan Presiden PAS Seru Parti Politik Melayu Bersatu, Jangan Dukung Pemimpin Yang Bohongi Rakyatnya

KUANTAN: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru parti-parti politik Melayu segera bersatu atas nama Islam kerana menurutnya, masa semakin suntuk dan perpecahan hanya melemahkan kekuatan umat.

“Atas pentas ni malam ni kita menyeru parti-parti politik Melayu khususnya kita dah tak ada masa. Kita mesti bersatu di atas nama Islam. Kita perlu bersatu. Perpecahan kita, kita hilang kekuatan.

“Kita menyeru rakan-rakan kita daripada semua parti-parti Melayu Islam. Benda yang remeh-temeh ketepikan. Jangan dukung nilai-nilai yang bercanggah dengan syarak. Jangan tegakkan nilai-nilai liberal yang cuba dibawa oleh orang luar ke negara kita,” ujarnya.

Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang kawasan Cheka itu berkata demikian dalam Himpunan Penyatuan Ummah Pahang & Solidariti Palestin di Padang Cenderawasih, di sini malam tadi.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut menegaskan agar rakyat tidak menyokong pemimpin yang berbohong dan menipu serta mengingatkan kesan pengkhianatan terhadap bangsa sendiri.

“Jangan dukung pemimpin yang berbohong. Jangan dukung pemimpin yang menipu. Tak boleh. Mungkin kita tak cerdik tapi jangan pembohong. Mungkin kita tidak bijak tapi jangan jadi pembohong. Dan jangan jadi pengkhianat kepada bangsa sendiri. Anak cucu kita akan pijak kubur kita satu hari nanti,” katanya.

Beliau menekankan bangsa Melayu perlu mempunyai kekuatan dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, politik, perpaduan, ketenteraan serta jati diri sebagaimana pesan Nabi Muhammad SAW.

“Bangsa ini perlu ada kekuatan kita perlu ada kekuatan sebagaimana pesanan Nabi SAW orang mukmin yang kuat kata Rasulullah lebih dikasihi oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah. Ataupun pada sekaliannya ada kebaikan.

“Kita kena kuat ekonomi. Kita kena kuat politik. Kita kena kuat perpaduan. Kita kena kuat ketenteraan. Kita kena kuat semangat dan jati diri kita. Kita perlu kuat kekuatan kita kerana Nabi suka umatnya yang kuat. Orang Melayu jangan dilemah sangat. Ditipu setiap waktu. Ya. Kita perlu kembali kepada penyatuan ini,” katanya.

Bekas Menteri Air dan Alam Sekitar itu turut menyatakan komitmen PAS dan Perikatan Nasional untuk bersama rakan politik lain menjelang Pilihan Raya Umum akan datang demi membina masa depan negara.

“PAS bersama rakan kita dalam Perikatan Nasional. Kita menyeru menjelang Pilihan Raya Ke-16 kita duduk bersama dengan rakan-rakan parti-parti politik yang lain. Kita perlu bina masa depan. Jangan dukung pemimpin yang sanggup khianat. Kita perlu membina kekuatan kita yang kita ada hari ini,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa siri himpunan anjuran NGO bukan bertujuan menimbulkan perkauman tetapi sebagai usaha mempertahankan hak.

“Kita ada berapa siri lagi negeri-negeri yang akan adakan himpunan. Himpunan bukan untuk kita timbulkan rasis pada kaum lain. Bukan kita nak hina kaum lain. Kita nak bina kaum kita. Kita bukan nak herdik kaum lain. Kita bukan nak hina kaum lain.

“Kita bukan nak ambil hak kaum lain. Kita nak pertahan hak kita. Kita pertahan harta kita. Kita pertahan maruah kita. Kita pertahan tanah air kita ini,” katanya. #Harakahdaily

Share:

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia Gesa Jangan Berpecah, Pemimpin Melayu Perlulah Bersatu

KUANTAN: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali merayu agar pemimpin-pemimpin Melayu, khususnya daripada PAS dan BERSATU, tidak berpecah lagi dalam perjuangan mereka.

Beliau berkata, orang Melayu tidak sanggup melihat perpecahan lebih lanjut antara dua parti tersebut dan menegaskan bahawa pemimpin Melayu perlu bersatu demi kepentingan bangsa dan agama.

“Pemimpin-pemimpin Melayu kita, saya betul-betul merayu pada pimpinan PAS dan juga BERSATU janganlah nak berpecah-pecah lagi. Orang Melayu tak sanggup untuk berpecah lagi kalau PAS dengan BERSATU juga nak berpecah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Himpunan Penyatuan Ummah Pahang & Solidariti Palestin di Padang Cenderawasih, di sini malam tadi.

Syed Hasan turut menyatakan bahawa perpecahan antara PAS dan BERSATU tidak seharusnya berlaku kecuali jika ada niat untuk merebut kuasa.

Namun, beliau percaya PAS tidak berusaha untuk merebut kuasa seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Saya percaya dengan PAS, PAS ni tak akan nak rebut kuasa. Saya difahamkan Tok Guru Haji (Abdul) Hadi masa nak serahkan senarai kepada Tan Sri Muhyiddin (Yassin) senarai berapa orang tak termasuk dia dalam barisan kabinet, hairan betul. Tak gila kuasa,” katanya.

Beliau turut memuji kepimpinan PAS yang dianggap sangat sabar dalam perjuangan.

Menurutnya, PAS telah menunjukkan prestasi yang membanggakan, daripada satu negeri kini berjaya menguasai empat negeri, serta peningkatan kerusi parlimen daripada dua tiga kerusi kepada lebih 40 kerusi.

“Begitu juga BERSATU, pada peringkat awal tak berapa ada, 12 je. Sekarang dah ada berapa? Ada 20 lebih? Ini semua berkat kalau kita betul-betul nak perjuangkan isu Melayu dan Islam,” katanya.

Syed Hasan juga membandingkan sikap pemimpin PAS dengan pemimpin Umno yang beliau anggap kurang sabar dalam perjuangan mereka, terutama apabila tidak puas hati dengan kedudukan dalam kabinet atau agihan jawatan.

“Pemimpin Umno tak puas hati tak dapat jadi Menteri Kanan, tak puas hati jadi Pengerusi GLC pun tak dapat, macam-macam kacau. Inilah bezanya. #Harakahdaily

Share:

Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia Dakwa Jati Diri Bangsa Melayu Sedang Dilemahkan Dan Dimalukan

KUANTAN: Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, wujudnya satu gerakan kuat melibatkan pihak berpengaruh, berkedudukan dan berjawatan yang berusaha menarik keluar jati diri seorang Melayu dalam negara ini.

Beliau berkata, semua pihak kini boleh merasai keadaan itu yang disifatkan sebagai cukup ketara, termasuk melalui kenyataan-kenyataan terbuka yang memperlekeh identiti Melayu dalam pelbagai platform.

“Hari ini kita dapat rasakan. Saya sangat yakin, semua orang dapat rasakan. Seperti ada satu gerakan yang cukup kuat dalam kalangan mereka yang berpengaruh, berkedudukan dan berjawatan untuk menarik keluar jati diri sebagai seorang Melayu dalam negara kita.

“Apa kaitannya dengan Palestin? Kita kena sedar, hari ini semua orang sesuka hati boleh bercakap tentang malu menjadi Melayu. Di pentas-pentas ceramah, di hadapan masyarakat penjawat awam, secara nyata mereka menyatakan begini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Himpunan Penyatuan Ummah Pahang & Solidariti Palestin di Padang Cenderawasih, di sini malam tadi.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin tertentu dilihat mengulang kenyataan memperkecil Melayu dan Islam seperti menyebut ‘sikit-sikit Melayu’, ‘cakap pasal Islam’, ‘cakap pasal orang berserban, berkopiah’, yang menurutnya bertujuan menjadikan orang Melayu malu dengan identiti sendiri.

Katanya, persepsi bahawa Melayu malas, penerima subsidi paling banyak, lemah dan tidak layak dalam akademik juga sedang ditanam dalam fikiran masyarakat dan anak muda Melayu.

“Apa kesannya? Kesannya, anak muda kita hilang jati diri sebagai seorang yang berbangsa Melayu. Malah menjauhi adat resam orang Melayu. Yang lebih menakutkan, apabila negara kita ini sangat sinonim menjadi termaktub dalam Perlembagaan – bila sebut Melayu, orang itu mesti Islam.

“Tapi apabila jati diri mereka dimalukan, ditarik sebagai seorang yang patut berbangga berbangsa Melayu, mereka mula menjauhi adat resam, dan yang menakutkan mereka menjauhi agama,” katanya.

Khairul Nadzir berkata, jika perkara itu tidak dicegah dan ditegah, anak muda Melayu akhirnya tidak akan lagi bercakap pasal Melayu atau mempertahankan hak mereka di tanah air sendiri.

“Kita akan melihat satu masa nanti, kalau ianya tidak dicegah dan ditegah, tidak dilawan, kita akan melihat anak muda Melayu tidak akan bercakap pasal Melayu, tidak akan mempertahankan tanah Melayu, tidak akan mempertahankan apa yang menjadi hak mereka di Tanah Melayu.

“Kerana apa? Kerana ia telah ditanam untuk malu menjadi Melayu. Kita melihat nanti perlahan-lahan anak muda menjauhkan diri daripada agama. Agama itu hanyalah berada di masjid, agama itu hanyalah berada pada bulan Ramadan, pada Hari Raya. Tapi hidup mereka tidak berteras kepada agama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar kesedaran mempertahankan jiwa Melayu disemarakkan dalam kalangan anak muda bagi memastikan mereka terus memimpin dan menjunjung Perlembagaan yang diperjuangkan nenek moyang.

“Maka di sinilah kesedaran yang perlu ada di padang yang cukup megah ini. Kesedaran mempertahankan jiwa Melayu di kalangan anak muda supaya kita tahu mereka akan memimpin dan akan memastikan Perlembagaan yang termaktub, yang diperjuangkan oleh nenek moyang kita sebelum ini untuk memastikan tanah air Melayu ini megah dengan bangsanya.

“Adakah kita menolak bangsa-bangsa lain? Tidak. Tapi kita kena sedar, bangsa Melayu ini sekarang ini sedang satu persatu dimalukan,” katanya. #Harakahdaiy

Share:

Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA), Tanah Warisan Ini Akan Senasib Palestin?

KUANTAN: Bibi Sunita Sakandar Khan menggesa seluruh rakyat, khususnya umat Islam dan wanita, untuk bersatu menentang Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) demi mempertahankan hak milik tanah warisan bangsa.

Beliau berkata, himpunan bantahan terhadap RUU URA bukan sekadar tindakan individu, tetapi satu bentuk solidariti umat Islam yang datang dari pelbagai latar belakang dengan satu matlamat – menyatukan ummah dan mempertahankan maruah bangsa, agama dan negara.

“Kita hadir pada hari ini bukan sebagai individu semata-mata. Kita hadir sebagai ummah yang bersatu. Kita mungkin datang daripada latar belakang yang berbeza, tetapi perbezaan ini merupakan kekuatan kepada kepelbagaian.

“Kita berkumpul dengan satu niat – menyatukan ummah – kerana hari ini kita berdepan dengan pelbagai isu yang berlarutan. Kita sebagai wanita Muslimat, ibu dan isteri, terpaksa menanggung akibat daripada apa yang berlaku, termasuk tekanan ekonomi dan sosial,” katanya.

Wakil Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis) itu ujarnya, sejarah telah membuktikan bahawa kaum yang sombong, angkuh dan ingkar terhadap perintah Allah akan ditimpa malapetaka sebagaimana kaum-kaum terdahulu seperti Firaun, Thamud dan Luth.

Menurutnya, umat Islam harus mengambil pengajaran daripada sejarah dan kembali kepada landasan sebenar, termasuk memahami ancaman yang menimpa rakyat Palestin yang telah lama tertindas kerana pengabaian pemimpin terhadap prinsip dan amanah agama.

“Di Palestin, mereka berjuang dengan nyawa, air mata dan darah. Kita di sini berjuang melawan rasuah, mereka yang lupa integriti dan jati diri. Kita berjuang dengan pemikiran menentang mereka yang ingin merobek maruah umat Islam.

“Hari ini juga kita menjunjung titah Sultan Pahang, yang bukan sahaja menjadi simbol kedaulatan tetapi juga pembela agama dan pemegang maruah bangsa,” katanya dalam Himpunan Penyatuan Ummah Pahang & Solidariti Palestin di Padang Cenderawasih, di sini malam tadi.

Bibi Sunita turut mengimbas sejarah Palestin yang kehilangan tanah secara berperingkat akibat kelemahan pemimpin selepas kejatuhan Sultan Abdul Hamid II dari Empayar Uthmaniyah, dan mengaitkan situasi itu dengan nasib Tanah Rizab Melayu di negara ini.

“Kita dikejutkan dengan berapa banyak Rizab Tanah Melayu yang telah digadai, dijual, ditukar hak milik. Apa yang berlaku di Palestin akan berulang di negara ini jika kita tidak berhati-hati.

“Sejarah Tanah Melayu juga membuktikan bagaimana tanah menjadi sebab utama umat Islam bangkit menentang penjajah, seperti yang berlaku pada zaman Datuk Bahaman di Pahang,” katanya.

Beliau berkata, perjuangan membantah RUU URA perlu diteruskan kerana ia membuka ruang lebih besar kepada pengambilan tanah secara tidak adil tanpa jaminan gantian yang setimpal kepada pemilik asal.

“Saya hadir ke Kuala Lumpur dari jauh semata-mata untuk menyatakan pendirian terhadap RUU URA. Dahulu sejengkal tanah pun kita pertahankan. Hari ini, beribu-ribu ekar Rizab Melayu telah diambil tanpa diganti.

“Kita mesti beritahu Ahli-ahli Parlimen dan pemimpin-pemimpin, rakyat akan membawa suara ini jika mereka gagal mempertahankannya,” tegasnya.

Katanya, perjuangan mempertahankan tanah dan maruah bangsa akan menjadi kuat sekiranya semua pihak bersatu, dan beliau berharap lebih ramai wanita akan tampil bersuara dalam perjuangan tersebut. #Harakahdily

Share:

Tolak RUU Pembaharuan Semula Bandar atau Urban Renewal Act (URA), Pemuda PAS Rancang Himpunan 14 Jun

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menolak cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar atau Urban Renewal Act (URA) yang dikatakan boleh mengancam demografi orang Melayu di bandar.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamuddin, berkata RUU itu berisiko mempercepatkan proses gentrifikasi yang boleh menyebabkan penduduk asal, terutama keluarga B40, terpaksa berpindah akibat peningkatan kos sara hidup dan harga rumah yang tinggi.

“RUU ini akan turut memperuntukkan kuasa yang luas kepada badan eksekutif di peringkat Persekutuan dan negeri untuk menentukan kawasan pembangunan semula tanpa jaminan mekanisme pampasan yang jelas dan adil kepada pemilik asal,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, pelaksanaan RUU itu juga berpotensi bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak rakyat terhadap harta.

“Jika tidak ditangani, secara telus dan saksama, kesan jangka panjangnya boleh menyumbang kepada polarisasi kaum di mana kawasan-kawasan elit hanya didiami oleh satu kelompok etnik manakala kaum lain tersisih akibat tekanan ekonomi dan gentrifikasi bandar,” katanya.

Menurutnya, akta berkenaan turut menurunkan nilai ambang persetujuan penghuni kepada 80 peratus bagi bangunan melebihi 30 tahun; 75 peratus bagi bangunan melebihi 30 tahun tetapi rosak; dan 51 peratus bagi bangunan rosak, strukturnya tidak selamat atau terbengkalai.

“Ini semua boleh membuka ruang kepada eksploitasi oleh para pemaju. Di mana suara minoriti dan penduduk yang tak bersetuju dengan pembangunan secara end blok boleh diketepikan.

“Sedangkan sebelum ini memerlukan persetujuan seratus-peratus untuk pembangunan semula di sesebuah tempat,” jelasnya.

Afnan berkata, Pemuda PAS tidak menolak prinsip pembangunan semula bandar yang berdaya maju dan inklusif, namun menegaskan pelaksanaan RUU itu mesti adil, telus dan tidak mengorbankan hak penduduk asal demi keuntungan sesetengah pihak.

“Pembangunan yang sebenar tidak boleh menjadi alat untuk meminggirkan atau menindas terhadap rakyat yang marhaen, khususnya golongan yang lebih lemah dan terdedah kepada risiko kehilangan tempat tinggal dan komuniti asal mereka,” terangnya.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan Pemuda PAS Malaysia merancang akan menganjurkan satu himpunan aman besar-besaran pada 14 Jun 2025 (Sabtu petang) di Lembah Klang bagi membantah cadangan RUU berkenaan.

“Kenapa kita umumkan awal tarikh ini? Supaya seluruh rakyat Malaysia dan jentera-jentera pemuda, anak-anak muda Malaysia ini dapat membuat persediaan dan himpunan himpunan yang kecil ataupun program-program penerangan dapat dijalankan sebelum tibanya tarikh himpunan besar yang kita cadangkan pada 14 Jun 2025 itu,” katanya.

Katanya, Pemuda PAS akan berada di barisan hadapan membela nasib rakyat yang semakin ditekan dasar-dasar yang dilihat meminggirkan.

“Kami menyeru semua pihak NGO mahasiswa anak muda, orang-orang perseorangan, mana-mana badan untuk terus bersama-sama menyatakan pendirian tegas menolak rang undang-undang ini demi menjamin keadilan perbandaran dan melindungi masa depan komuniti asal di kota-kota besar negara,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengarahkan semua Dewan Pemuda PAS kawasan di seluruh negara menyerahkan memorandum bantahan terhadap RUU itu kepada semua Ahli Parlimen di kawasan masing-masing.

“Kami berharap Ahli Parlimen, baik dari pihak pembangkang mahupun kerajaan, menerima memorandum ini dan membawa suara bantahan ke Parlimen untuk dipertimbangkan sebelum RUU ini dibentangkan,” katanya. #Harakahdaily

Share:

Lebih 70,000 Pengunjung Membanjiri Acara Permotoran RXZ Fighter 2.0 Selama Dua Hari Di Teluk Cempedak

KUANTAN: Lebih 70,000 pengunjung membanjiri acara permotoran RXZ Fighter 2.0 yang berlangsung selama dua hari di Teluk Cempedak sekali gus mencatatkan peningkatan luar biasa berbanding tahun lalu.

Program anjuran Kelab Permotoran RXZ Pahang itu bukan sahaja menarik minat peminat jentera dua roda dari seluruh negara, malah menonjolkan Kuantan sebagai lokasi strategik bagi acara berskala besar.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, penganjuran kali kedua tahun ini dilihat lebih meriah dan mendapat sambutan yang luar biasa.

“Saya ucapkan syabas kepada Kelab Permotoran RXZ Pahang atas kejayaan penganjuran RXZ Fighter 2.0 di Teluk Cempedak semalam (Jumaat) dan hari ini (Sabtu). Ini adalah kali kedua penganjurannya yang mana tahun lalu kita buat di Serambi Teruntum.

“Kerajaan Negeri Pahang memberi sokongan padu terhadap penganjuran program permotoran yang mendapat sambutan cukup luar biasa daripada peminat RXZ dan motosikal lain dari seluruh negara.

“Jika tahun lalu (penyertaan) cecah lebih 50,000, tahun ini saya difahamkan hampir 70,000 orang. Jumlah gerai yang mengambil bahagian dan syarikat yang menaja juga bertambah,” katanya yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada acara penutup di Teluk Cempedak Uptown di sini semalam. #KOSMO! 

Share:

KPKT Salurkan Peruntukan Lebih RM203 Juta Bagi Pelbagai Projek Pembangunan Dan Naik Taraf Di Negeri Pahang

KUANTAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan lebih RM203 juta bagi pelbagai projek pembangunan dan naik taraf di Pahang pada tahun ini, kata Menterinya Nga Kor Ming.

Beliau berkata peruntukan itu antaranya disalurkan di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi pembinaan kediaman di bawah Program Rumah Mesra Rakyat (RMR), dengan 782 unit rumah telah diperuntukkan untuk dibina tahun ini.

"Program RMR ini diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang, tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa," katanya.

"Program RMR ini diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang, tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Rumah RMR dan Program Bina Baharu Rumah di Bandar serta penyerahan replika cek peruntukan pembangunan serta perancangan Pahang di Kampung Cempaka di sini hari ini.

Selain itu, Nga berkata peruntukan berkenaan turut disalurkan bagi pembinaan lapan projek kediaman di bawah Program Residensi Rakyat (PRR) yang bernilai RM61.73 juta, yang akan dilaksanakan melalui Bahagian Perancangan Perumahan KPKT.

Beliau berkata bagi PRR kediaman bersifat bersepadu, kondusif, berdaya huni dengan kualiti komersial akan dibina di Kuantan, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Inderapura dan Bera.

Nga berkata pelaksanaan projek antaranya pembinaan pusat perniagaan di Cameron Highlands, pembangunan Pekan Sentral di Pekan dan kerja-kerja selenggara cerun kementerian itu memperuntukkan RM21.13 juta, manakala RM23.61 juta pula untuk projek pengurusan sisa pepejal di daerah Kuantan, Lipis, Maran, Bentong, Cameron Highlands, Temerloh dan Pulau Tioman.

"Projek-projek ini dilaksanakan bagi memastikan penyediaan sistem pengurusan pepejal yang lestari dan mampan, bagi memastikan jaminan terhadap kesihatan awam serta pengurusan alam sekitar dan sumber alam yang terpelihara," katanya.

Terdahulu, menerusi program Sentuhan Kasih KPKT di sini Nga meninjau projek menaik taraf Pasar Besar Awam Kuantan sebelum melawat Projek Menaik Taraf Kemudahan Taman Awam Tasik Lestasi Teluk Cempedak. #AstroAwani

Share:

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Pahang Sita Bot Nelayan Tempatan Gaji Kru Warga Asing Tanpa Permit

KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menyita sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C selepas didapati menggajikan kru warga asing tanpa permit kerja yang sah.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, bot tersebut dikesan sekitar jam 11 pagi, kira-kira enam batu nautika dari timur muara Kuala Kuantan pada Sabtu.

Menurutnya, operasi ini dijalankan ketika rondaan rutin menerusi Op Makmur dan Op Tiris.

“Hasil pemeriksaan mendapati lima individu berada di atas vesel berkenaan termasuk seorang tekong.

“Kesemua mereka merupakan warga Myanmar berumur antara 30 hingga 44 tahun dan gagal mengemukakan permit kerja serta Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Jelasnya, vesel bersama hasil laut seberat kira-kira dua tan metrik serta peralatan menangkap ikan telah diiring masuk ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan pemilik bot yang melanggar syarat lesen dan peraturan, terutamanya dalam aspek menggajikan pekerja asing tanpa kelulusan yang sah.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan lesen perikanan atau kegiatan mencurigakan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera," tambahnya. #SinarHarian

Share:

Sultan Pahang Berkenan Merasmikan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2025 Di Padang MBK1 Kuantan

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat menyempurnakan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2025 di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, Jalan Mahkota, Kuantan.

Turut mengiringi Baginda, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Dalam titahnya, Al-Sultan Abdullah merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga bomba atas khidmat bakti yang dicurahkan demi keselamatan rakyat.

"Beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga bomba di Pahang atas segala perkhidmatan dan bantuan yang diberikan sepanjang tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya.

"Tanpa pasukan bomba, sudah pasti agak sukar untuk kita menyelesaikan masalah seperti musim tengkujuh, musim kering dan lain-lain," titah Baginda.

Titah Baginda lagi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang ditubuhkan sejak 1883 dan dinaik taraf menjadi pasukan perkhidmatan pada 1976 kini diiktiraf sebagai antara pasukan penyelamat terbaik di peringkat antarabangsa.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Sambutan itu dimeriahkan dengan pelbagai persembahan dan aksi demonstrasi, selain perarakan 34 kontinjen serta 50 jentera melibatkan seramai 1,500 anggota bomba. #BeritaRTM

Share:

Bekas Pemimpin MCA, Ti Lian Ker Salahkan UMNO Jadi Punca Pengundi Cina Menjauh Diri Sejak 20 Tahun

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pemimpin MCA menyalahkan UMNO sebagai punca partinya mengalami kemerosotan sokongan berterusan daripada pengundi Cina sejak kira-kira 20 tahun lalu.

Bekas Naib Presiden, Dato' Sri Ti Lian Ker, rentetan insiden sebahagian besarnya membabitkan pemimpin UMNO bermula pada awal 2000 sebelum diburukkan lagi oleh aksi menghunus keris semasa perhimpunan agung parti tersebut pada 2005 dan 2007.

Kata Ti, aksi sebegitu tidak sesuai untuk masyarakat Cina di negara ini.

“Masyarakat Cina tersinggung dengan kejadian-kejadian ini, terutamanya selepas MCA memujuk masyarakat Cina menyokong Mahathir dalam perselisihannya dengan Tengku Razaleigh Hamzah, dan kemudian supaya menyokong Abdullah Ahmad Badawi.

“Kami (MCA) yang bersama UMNO turut dipersalahkan lalu binasa,” katanya.

Ti berkata, ketegangan semakin memuncak pada 2006 apabila menteri kabinet bukan Islam terpaksa menarik balik memorandum yang menggesa perdana menteri ketika itu, Abdullah, untuk menjaga hak agama minoriti.

Episod itu, katanya, mengukuhkan persepsi terhadap pengaruh MCA yang lemah dalam gabungan BN.#Malaysiakini

Share:

Seramai 1,500 Pesilat Bertarung Dalam Kejohanan Silat Cekak Harimau Kebangsaan Dan Antarabangsa, Piala Datuk Seri Shahaniza

MARAN: Seramai 1,500 pesilat tempatan dan luar negara daripada 87 pasukan berentap dalam Kejohanan Silat Cekak Harimau Kebangsaan dan Antarabangsa, Piala Datuk Seri Shahaniza 2025.

Kejohanan anjuran Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia dan Persatuan Silat Negeri Pahang (Pesaka Pahang) itu berlangsung selama 4 hari bermula semalam di Balora Mastika Bandar Jengka, di sini.

Menurut Pengerusi Pengelola, Datuk Osman Nok, kejohanan dwitahunan itu diperluaskan penyertaan kepada pesilat luar negara, bersempena dengan ulang tahun ke-44 Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia.

Katanya, antara negara yang mengambil bahagian adalah Indonesia, Singapura, Thailand, Laos dan Vietnam, sekali gus bakal memberi cabaran kepada pesilat tempatan.

"Pelbagai kategori dipertandingkan meliputi Tanding Institusi Pengajian Tinggi dan Jemputan Antarabangsa bagi pesilat berumur 17 tahun hingga 35 tahun.

"Selain itu, Tanding Sukma bagi ketegori pesilat berumur 16 tahun hingga 20 tahun dan Tanding Remaja bagi kategori pesilat berumur 13 tahun hingga 15 tahun," katanya.

Kejohanan itu mempertaruhkan 362 pingat bagi keseluruhan kategori yang dipertandingkan. #BeritaRTM

Share:

Operasi Pencerobohan Tanah Di Pahang, Sebanyak 60 Individu Termasuk Warga Asing Telah Ditahan Pihak Polis

KUANTAN: Sebanyak 60 individu termasuk warga asing ditahan sepanjang operasi pencerobohan tanah di Pahang bermula Ogos lepas hingga kini, kata Ketua Polis negeri Datuk Seri Yahaya Othman.

Beliau berkata 59 kertas siasatan telah dibuka menerusi operasi yang dijalankan bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Pejabat Hutan Daerah.

“Dalam tempoh berkenaan 105 kenderaan pelbagai jenis serta 622 unit peralatan turut dirampas dan disita pihak penguat kuasa.

“Kami akan menggiatkan operasi pencerobohan tanah dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang bukan sahaja di Raub tetapi di daerah lain. Kita juga menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak melakukan provokasi dalam hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri  perjumpaan bersama wakil syarikat telco dan peniaga barang lusuh Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Azry Akmar Ayob.

Sementara itu, Yahaya memaklumkan kes kecurian kabel di negeri ini meningkat kepada 414 kes dengan 100 tangkapan pada 2024, berbading 211 kes melibatkan 31 tangkapan pada tahun sebelumnya.

Justeru, beliau berkata perjumpaan itu merupakan inisiatif bagi memberi penerangan kepada peniaga barang lusuh kerana kerjasama semua pihak diperlukan bagi menangani kegiatan tersebut.

“Ini bagi memastikan kedai barang lusuh atau besi buruk tidak membeli barangan yang dicuri kerana ia menyalahi undang-undang,” katanya.

Mengulas kes seorang bayi lelaki berusia 13 bulan yang cedera akibat terjerut kain buaian, Yahaya berkata pihaknya telah merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan dan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

Media sebelum ini melaporkan, ibu kepada bayi berkenaan mahu siastaan lanjut dilakukan pihak berkuasa susulan anaknya didakwa cedera akibat terjerut kain buaian di rumah pengasuh pada 15 April lepas. #MalaysiaGazette

Share:

Tiga Lelaki Termasuk Dua Warga Bangladesh Ditahan Disyaki Melombong Bijih Timah Secara Haram Di Rompin

KUANTAN: Tiga lelaki termasuk dua warga Bangladesh ditahan kerana disyaki melombong bijih besi secara haram di Sungai Ganoh, Hutan Simpan Bukit Ibam Muadzam Shah, Rompin, Selasa lepas.

Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam hantaran di Facebook memaklumkan mereka ditahan oleh petugas Batalion 7 PGA dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dalam Op Bersepadu Khazanah pada jam 3 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati kegiatan melombong dilakukan dua lelaki warga Bangladesh, dan pemilik lombong yang merupakan lelaki tempatan gagal menunjukkan lesen pelombongan bijih besi yang sah. Warga Bangladesh itu juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” menurut hantaran itu.

Beliau berkata. suspek yang ditahan berumur 40 hingga 50 tahun, dan kes disiasat mengikut Seksyen 159 dan 137(a) Akta Enakmen Mineral Negeri 2001 dan Seksyen 55B serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Peralatan serta jentera digunakan untuk melombong yang dianggarkan bernilai RM1.25 juta turut dirampas. #SinarHarian

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.