script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Bekas Ketua Balai Polis Cherating Di Denda RM20,000 Libat 98 Pertuduhan Rasuah RM31,400 Dua Tahun Lalu

KUANTAN: Bekas Ketua Balai Polis Cherating yang didakwa atas 98 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM31,400 dua tahun lalu dikenakan denda sebanyak RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini selepas didapati bersalah atas 40 pertuduhan.

Tertuduh Anuar Yaakob,56, yang berpangkat Sarjan Mejar sebelum ini tidak mengaku bersalah mengubah pengakuan kepada bersalah terhadap 40 pertuduhan yang melibatkan nilai rasuah sebanyak RM5,850 di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Baki 58 lagi pertuduhan diambil pertimbangan oleh mahkamah sebagai ‘take into consideration’ di bawah Seksyen 171 A Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menerima wang yang dipindah melalui perbankan dalam talian ke akaun miliknya berjumlah antara RM100 hingga RM2,000 dari beberapa individu di lima lokasi berbeza di sekitar daerah ini.

Bagi kesemua pertuduhan itu Anuar didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes pula tertuduh antara Januari 2021 sehingga September 2022, Tertuduh telah menerima benda berharga iaitu wang sebanyak RM150 sehingga RM1,000 daripada beberapa orang individu melalui pindahan wang ke dalam akaun bank atas namanya tanpa balasan dalam menjalankan tugas rasminya sebagai anggota polis berpangkat Sarjan dan Sarjan Mejar.

Tertuduh didakwa mempunyai pengetahuan bahawa kesemua mereka mempunyai urusan rasmi dengan tertuduh yang merupakan anggota polis dan Ketua Polis, Balai Polis Cherating.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ezuain Farhana Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim.

Mahkamah memutuskan denda RM20,000 dengan RM500 untuk setiap pertuduhan dan jika gagal membayar boleh dikenakan hukuman 40 bulan penjara dengan satu bulan penjara bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh telah membayar denda RM20,000.#KOSMO

Share:

Pemimpin, Aktivis Wanita Kecam Perumpamaan 'Lembu Betina' Oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin dan aktivis wanita tampil mengecam kenyataan Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran, Muhammad Salman Al Farisi, yang menggunakan perumpamaan “lembu betina” dalam mengulas isu kepimpinan wanita.

Kenyataan Muhammad Salman disifatkan sebagai seksis, menghina wanita dan tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenar.

Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chean berkata kenyataan pimpinan PAS itu jelas bersifat misoginis (membenci wanita).

Malah, Loh turut menyelar kenyataan tersebut sebagai lahir daripada “mulut longkang” Pemuda PAS.

“Saya amat kesal dengan kenyataan seksis, lagi bersifat pembenci perempuan begini yang terpacul daripada mulut longkang Pemuda PAS.

“Ia bukan sahaja akan menakutkan golongan wanita bukan Islam, tetapi ia juga cubaan terang-terangan untuk meminggirkan peranan wanita daripada tampuk kepimpinan arus perdana,” katanya.

Salman sebelum ini menyiarkan kenyataan di media sosial yang menekankan kepentingan kepimpinan lelaki dalam masyarakat, sambil memberikan analogi berdasarkan pengalaman lebih setahun dalam menternak lembu.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatiannya dalam menguruskan ternakan, lembu betina sering mengetuai kawanan lembu - termasuk menentukan lokasi ragut, masa rehat, dan masa pulang ke kandang - manakala lembu jantan berfungsi untuk melindungi keselamatan kawanan.

Dia berhujah bahawa masyarakat harus mengelak daripada mencontohi lembu yang mengangkat lembu betina sebagai ketua, menegaskan bahawa dalam masyarakat, lelaki harus mengambil peranan kepimpinan mengikut ajaran al-Quran.

Susulan kenyataan itu, pengasas Pertubuhan Kebajikan Bidadari Malaysia, Napsiah Khamis Maharan mengecam Muhammad Salman dan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai seksis, biadab serta mencerminkan pemikiran mundur yang membahayakan kemajuan masyarakat.

Cemar imej Islam

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman pula menyifatkan kenyataan Muhammad Salman sebagai tidak wajar, lebih-lebih lagi datang daripada seorang pemimpin politik muda dari parti yang membawa nama Islam.

“Islam itu mengangkat darjat wanita. Menyamakan pimpinan wanita dengan lembu betina ini bukan sahaja penghinaan terhadap wanita, akan tetapi mencemarkan imej Islam,” kata pemimpin DAP itu.

Young Syefura turut mendesak agar Ketua Penerangan Pemuda PAS itu memohon maaf dan membetulkan kenyataannya.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Johor, Haslinda Salleh turut mengkritik keras kenyataan pimpinan muda PAS itu menyifatkannya sebagai penghinaan keterlaluan dan mencerminkan kegagalan akhlak dalam politik semasa.

“Ini bukan sekadar soal sindiran politik, ini penghinaan terhadap wanita secara terbuka,” katanya.

Menurut ADUN Tenang itu, wakil rakyat wanita daripada mana-mana parti merupakan pemimpin yang dipilih rakyat dan wajar dihormati, bukannya dijadikan bahan perumpamaan yang menjatuhkan maruah.

Lebih mengecewakan, katanya, apabila kenyataan itu bukan sahaja tidak ditegur, malah dipertahankan oleh pemimpin kanan PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mendakwa perumpamaan tersebut bukan satu penghinaan.

“Adakah parti yang mengangkat nama Islam selesa dengan budaya memperlekeh wanita dalam ceramah politik?” soal Haslinda.

Haslinda turut mengingatkan bahawa Islam dan budaya Melayu menganjurkan adab dalam berkata-kata, serta memuliakan wanita bukan menjadikan mereka bahan jenaka murahan.

Justeru Haslinda menyeru kepimpinan tertinggi parti berkenaan agar tidak berdiam diri, kerana kegagalan bertindak hanya akan mengisyaratkan bahawa budaya menghina wanita dibenarkan atau lebih buruk, direstui.

“Wanita bukan haiwan. Wanita bukan lemah. Dan wanita bukan bahan hinaan politik,” katanya.

Pemikiran jumud

Sementara itu, Timbalan Menteri PKR, Fuziah Salleh mengingatkan agar surah An-Nisa ayat 34 tidak disalah gunakan untuk membenarkan penghinaan terhadap wanita.

Katanya, ayat tersebut menekankan peranan kaum lelaki sebagai pelindung wanita dan bukan lesen untuk merendahkan atau menjadikan wanita bahan jenaka.

“Islam tak ajar kita hina wanita. Kalau ayat itu difahami betul-betul, ia tuntut tanggungjawab, bukan dominasi,” katanya ringkas.

Sentimen sama dikongsi Presiden Persatuan Pergerakan Wanita (Awam), Maria Chin Abdullah yang menyifatkan kenyataan Muhammad Salman sebagai penghinaan kepada wanita termasuk kepada ibunya sendiri.

“Kenyataan sebegitu amat merendah-rendahkan martabat dan mencerminkan tahap intelektual yang cetek serta pemikiran yang jumud,” katanya.

Maria turut menekankan bahawa wanita kini cemerlang dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan dan inovasi serta penglibatan mereka dalam kepimpinan seharusnya digalakkan, bukan dipandang sebagai persaingan.

“Jika tiada wanita di Parlimen, undang-undang penting seperti Akta Gangguan Seksual, Akta Keganasan Rumah Tangga, dan undang-undang rogol mungkin tidak akan wujud sebagai undang-undang negara,” katanya.

Maria juga turut mempersoalkan sama ada PAS bergerak seiring dengan zaman atau kembali ke era konservatif yang menindas wanita.

SIS Forum dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini juga turut menyelar kenyataan berbaur seksis yang dikeluarkan terhadap pemimpin wanita.


Pengarah Eksekutif SIS Forum, Rozana Isa pula menyifatkan kenyataan tersebut bukan sahaja biadab dan menghina, malah bercanggah dengan ajaran sebenar Islam.

Rozana berkata kenyataan sedemikian mencerminkan pemikiran sempit dan mundur tentang kepimpinan, serta kegagalan memahami nilai-nilai kepimpinan yang digariskan dalam Islam.

“Wanita yang berada dalam kedudukan kepimpinan bukan untuk dihina atau diperlekeh. Mereka berada di situ kerana memiliki kelayakan, kebolehan dan komitmen tinggi untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Rozana juga kesal dan turut mengecam penggunaan perbandingan kasar terhadap wanita sebagai satu bentuk penghinaan yang tidak wajar.

Tegasnya, Islam sangat menjunjung maruah dan kehormatan setiap insan tanpa mengira jantina.

“Menghina wanita dengan perbandingan melampau bukan sahaja tidak menghormati mereka, malah bercanggah dengan nilai teras Islam yang menjunjung martabat, kehormatan dan agensi setiap individu,” katanya.

Menurutnya lagi, al-Qur’an tidak pernah melarang wanita daripada memimpin, sebaliknya memperakui tanggungjawab bersama lelaki dan wanita dalam memelihara kebaikan.

Rozana turut merujuk kepada Surah al-Baqarah ayat 30 sebagai bukti bahawa tanggungjawab kepimpinan diberikan kepada seluruh manusia, lelaki dan wanita.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi,” katanya memetika surah itu.

Katanya lagi, Surah al-Ahzab ayat 35 pula secara jelas menunjukkan kesamarataan spiritual dan moral antara lelaki dan wanita dalam Islam.

Rozana menegaskan ayat tersebut adalah penolakan terus terhadap sebarang hujah yang cuba meremehkan peranan wanita dalam kehidupan awam atau spiritual.

“Al-Qur’an tidak membuat perbezaan dari segi ganjaran atau nilai berdasarkan jantina. Ia menghormati kedua-dua lelaki dan wanita atas keimanan, akhlak, dan sumbangan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, SIS menyeru agar retorik yang memperlekeh wanita dihentikan serta-merta, kerana ia bukan sahaja tidak mencerminkan ajaran Islam, tetapi bersumber daripada sikap budaya yang enggan menerima kemajuan dan keadilan yang dituntut agama. #Malaysiakini

Share:

Wanita UMNO Pahang Bidas Kenyataan Analogi 'Lembu Betina' Oleh Ketua Pemuda PAS Maran, Salman Al Farisi

KUANTAN: Wanita UMNO Pahang menyelar kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi yang didakwa menghina kepimpinan wanita dengan menyamakan mereka dengan haiwan.

Ketuanya, Norhasmimi Abdul Ghani berkata, kenyataan seumpama itu bukan sahaja biadab, malah mencerminkan pemikiran sempit dan prejudis terhadap wanita yang memegang peranan sebagai pemimpin.

Menurutnya, pemimpin muda seharusnya menggunakan akal waras dan adab sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Kepimpinan seseorang seharusnya dinilai dengan neraca Islam sebenar melalui iman, akhlak, amanah dan kewibawaan, bukan dengan menghina jantina atau menyamakan wanita dengan haiwan.

“Jika beginilah tahap pemikiran yang dibawa, rakyat berhak mempersoalkan kelayakan beliau memimpin dan mewakili parti.

“Jika ALLAH memuji, siapakah kita untuk mengeji,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Norhasmimi menjelaskan, tindakan menghina wanita dengan perbandingan haiwan sama ada lembu, biri-biri atau monyet merupakan bentuk penghinaan yang amat mengguris hati serta menjatuhkan maruah wanita.

Ujarnya, perbuatan tersebut juga bercanggah dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya menjaga kehormatan sesama insan serta tidak merendahkan mana-mana makhluk ciptaan ALLAH, apatah lagi wanita yang memainkan peranan besar dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Norhasmimi menegaskan bahawa al-Quran sendiri mengiktiraf kepimpinan wanita menerusi kisah Ratu Balqis seperti yang direkodkan dalam Surah An-Naml, ayat 23 hingga 44.

“Ratu Balqis digambarkan sebagai pemimpin yang bijaksana, berani dan adil sehingga berjaya menyelamatkan rakyatnya daripada kesyirikan.

“Jika wanita tidak layak memimpin, mengapa ALLAH memuji kebijaksanaan seorang ratu dalam kitab-Nya sendiri?” katanya.

Beliau menambah, Rasulullah SAW pernah mendengar dan menerima pandangan Ummu Salamah r.a. dalam Perjanjian Hudaibiyah yang menjadi titik penting penyelesaian krisis umat Islam ketika itu.

“Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah melantik Syifa’ Abdullah memegang jawatan penting dalam urusan pentadbiran.

“Sejarah Islam sarat dengan bukti kepimpinan wanita yang menyumbang kepada pembangunan ummah,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan kenyataan Muhammad Salman selepas menyamakan wanita yang memegang jawatan kepimpinan dengan 'lembu betina'.

Menurut Tuan Ibrahim, kenyataan tersebut perlu difahami sebagai bentuk analogi biasa dalam penulisan dan tidak bertujuan menghina wanita.

Pada Isnin, Muhammad Salman dalam satu hantaran di media sosial menekankan kepentingan kepimpinan lelaki dalam masyarakat sambil memberikan analogi berdasarkan pengalamannya menternak lembu selama lebih setahun.

Menurutnya, dalam pengurusan ternakan, lembu betina sering memimpin kumpulan ternakan tersebut termasuk menentukan lokasi meragut, waktu berehat dan waktu pulang, manakala lembu jantan hanya berperanan menjaga keselamatan kawanan.

Susulan kenyataan tersebut, pengasas Pertubuhan Kebajikan Bidadari Malaysia, Napsiah Khamis Maharan, mengecam Muhammad Salman dan menyifatkan kenyataannya sebagai seksis, biadab serta mencerminkan pemikiran mundur yang membahayakan kemajuan masyarakat.#SinarHarian

Share:

Pahang Muncul Sebagai Penyumbang Kedua Terbesar Nilai Jualan Pertanian, Cecah RM25.12 Bilion Pada 2023

KUANTAN: Pahang muncul sebagai penyumbang kedua terbesar nilai jualan pertanian di negara ini dengan jumlah keseluruhan mencecah RM25.12 bilion pada 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah tersebut, subsektor tanaman menjadi penyumbang utama dengan nilai jualan RM22.11 bilion atau 88 peratus.

Menurutnya, subsektor ternakan menyumbang RM1.21 bilion (4.8 peratus), subsektor perikanan RM0.91 bilion (3.6 peratus), subsektor perhutanan dan pembalakan RM0.56 bilion (2.2 peratus) dan subsektor akuakultur, RM0.33 bilion (1.3 peratus).

"Cameron Highlands kekal sebagai peneraju dalam pengeluaran sayur-sayuran di Malaysia dengan nilai jualan RM3.60 bilion.

"Pahang juga merupakan pengeluar utama kelapa sawit di Semenanjung Malaysia, dengan nilai jualan RM14.18 bilion didominasi daerah Rompin, Pekan dan Bera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Pahang yang disempurnakan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak di sini pada Selasa.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 berkata, Pahang turut mengungguli pengeluaran kenaf nasional dengan nilai jualan RM2.35 juta selain sebagai pengeluar nanas ketiga terbesar di negara ini (RM173.30 juta) dengan daerah Rompin sebagai penyumbang utama.

"Dalam subsektor buah-buahan, Pahang turut mencatat nilai jualan kedua tertinggi nasional iaitu RM2.65 bilion didorong tanaman utama seperti durian (RM2.42 bilion) khususnya dari Raub, tembikai (RM51.98 juta), pisang (RM80.73 juta), nangka (RM20.35 juta) dan betik (RM9.01 juta).

"Bagi subsektor ternakan, Pahang mencatat prestasi membanggakan sebagai pengeluar susu segar terbesar di Malaysia, berjumlah 9.05 juta liter dengan nilai jualan RM47.25 juta.

"Dapatan ini mengukuhkan lagi peranan strategik Pahang sebagai negeri tonggak dalam ekosistem pertanian negara," katanya.

Jelasnya, laporan Interim yang dikeluarkan memberi gambaran awal mengenai profil sektor pertanian di Negeri Pahang berdasarkan dapatan banci yang dijalankan dan dijangka menjadi asas penting kepada dasar pembangunan pertanian yang lebih mampan dan inklusif.

"Secara keseluruhan, sebanyak 90,025 pegangan pertanian telah direkodkan di Pahang, terdiri daripada 87,482 pegangan individu dan 2,543 pegangan pertubuhan," ujarnya. #SinarHarian

Share:

Pemilik Dan Pengasas Tanah Aina, Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil Mohon Maaf Kepada Kerajaan Pahang

KUANTAN: Pemilik dan pengasas Tanah Aina di Pahang, Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kerajaan negeri pada Selasa.

Permohonan maaf itu dibuat menerusi satu klip video berdurasi tujuh minit 28 saat yang dimuat naik di platform TikTok miliknya.

Dalam video tersebut, bekas Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) itu turut merayu kepada kerajaan negeri agar kesemua saman terhadapnya ditarik balik.

“Kita sebagai manusia tidak lari daripada melakukan kesalahan. Jika saya ada membuat salah atau tersilap kata, saya memohon maaf sebanyak-banyaknya.

“Saya juga merayu agar kerajaan mempertimbangkan pemutihan terhadap resort-resort yang dibina berhampiran sungai kerana ia turut membantu menaikkan sektor ekopelancongan,” katanya.

Sebelum ini, beliau dikenakan saman sebanyak RM1 juta atas pertuduhan memfitnah kerajaan negeri pada tahun 2022.

Selain itu, Shariffa Sabrina turut berdepan tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran, yang didakwa telah dijadikan resort dan tempat perniagaan – iaitu Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant di Bentong, serta Tanah Aina Fahad Glamping Resort dan Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort, masing-masing terletak di Raub. #SinarHarian

Share:

Empat Beradik Jadi Yatim Piatu Sekelip Mata, Suami Isteri Maut Ford Mustang Terbabas Di Jalan Segamat-Kuantan

Empat beradik sekelip mata jadi yatim piatu, suami isteri maut Ford Mustang terbabas di Jalan Segamat-Kuantan. Pasangan suami isteri, Allahyarham Mohd Izuddin Harmaini, 51, dan Allahyarham Nur Syamimi Rosli, 36, maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan Segamat-Kuantan, pada petang Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, insiden membabitkan sebuah kereta jenis Ford Mustang yang sedang menuju ke arah Segamat.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh tiang elektrik. Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Di sebalik kejadian menyayat hati ini, kakitangan pasangan berkenaan yang menjalankan perniagaan restoran dan barangan kemas berkongsi momen terakhir penuh emosi bersama majikan mereka.

Melalui akaun TikTok Leyparking Cafe, difahamkan arwah Nur Syamimi sempat menyelesaikan tanggungjawab sebagai majikan dengan membayar gaji kakitangan sebelum memulakan perjalanan terakhirnya.

“Pemergian yang amat dikejutkan kepada ahli keluarga, staff, kenalan dan sahabatnya. Sudah lama arwah tidak datang ke kedai dan semasa hendak memulakan perjalanan, arwah sempat untuk memasukkan duit gaji staf.

“Selepas itu dia (Nur Syamimi) diam begitu sahaja. Banyak yang menjadi tanda tanya kenapa akhir-akhir ini (apabila) beliau kerap memuat naik hantaran video sedih serta menyentuh hati.

“(Rupanya) hari ini kira-kira jam 2:00 petang, dia disahkan meninggal dunia bersama suami tercinta akibat hilang kawalan disebabkan oleh hujan lebat berterusan.

“Minta jasa semua, sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada arwah bos saya dan suami tercinta. Semoga roh keduanya dicucuri rahmat dan sentiasa ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” titip kakitangan menerusi video tersebut.

Menerusi perkongsian di laman sosial Unit Khas Van Jenazah, pasangan itu dikatakan telah selamat dibawa pulang ke kediaman keluarga di Pekan, Pahang.

Siasatan berhubung kemalangan ini masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat bagi membantu siasatan. #MingguanWanita



Share:

PAS Pahang Sokong Penuh Titah Sultan Pahang Agar Enakmen Syariah Di Negeri Ini Di Kaji Semula Secara Menyeluruh

KUANTAN: PAS Pahang menyokong sepenuhnya titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan agar enakmen syariah di negeri ini dikaji semula secara menyeluruh.

Pesuruhjayanya, Datuk Rosli Abdul Jabar berkata, pihaknya menyambut baik gesaan agar semakan terhadap enakmen syariah bukan sekadar semakan kosmetik, sebaliknya dilaksanakan sebagai satu reformasi berlandaskan maqasid syariah.

“PAS Pahang melahirkan rasa gembira dan bersyukur ke hadrat Ilahi atas kesungguhan Tuanku untuk mengangkat hukum ALLAH SWT sebagai hukum tertinggi yang akan memelihara rakyat, khususnya umat Islam di negeri Pahang.

“Walaupun ia masih di peringkat kajian, kami yakin dengan kesungguhan Tuanku, hasrat itu akan dapat direalisasikan suatu masa nanti,” katanya pada Rabu.

Menurut Rosli, PAS Pahang akan terus menyokong sebarang usaha yang bertujuan meninggikan syiar Islam, termasuk pelaksanaan hukum ALLAH SWT sebagaimana yang dititahkan baginda.

“Kami berdoa agar negeri Pahang yang sama-sama kita cintai ini terus dilimpahi rahmat dan keberkatan.

“Semoga ALLAH memberikan kekuatan kepada Tuanku untuk terus memimpin usaha menjadikan Pahang sebagai negeri yang gemilang dengan cahaya Islam. Daulat Tuanku,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan titah Al-Sultan Abdullah yang meminta enakmen syariah di negeri ini dikaji semula secara menyeluruh. #SinarHarian

Share:

Sultan Pahang Bantu Membina Semula Rumah Mangsa Kebakaran Di Kampung Cherok Paloh Hari Ini

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat bercemar duli melawat mangsa kebakaran di Kampung Cherok Paloh, Pekan hari ini.

Keberangkatan baginda kira-kira pukul 5.20 petang di tapak rumah itu disambut mangsa, Muhammad Khairul Amri Abdul Halim, 33, dan isteri, Nur Zalina Mohd Jusoh, 30.

Al-Sultan Abdullah meluangkan masa hampir sejam bertanya khabar mangsa dan melihat tapak rumah serta kenderaan yang hangus terbakar dalam kejadian pada petang Ahad lalu.

Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa dan menzahirkan rasa simpati lebih-lebih lagi mangsa, Nur Zalina kini sarat mengandung dan hanya menanti hari untuk melahirkan anak.

Dalam titahnya, baginda turut berkenan menyumbangkan sebuah rumah di bawah Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) yang akan dibina di atas tapak sama. #MalaysiaGazette

Share:

Lebih 1,000 Pelajar Daripada 20 Sekolah Sertai Fiesta Rakan Muda Pahang 2025 Di Stadum Darul Makmur

KUANTAN: Seramai lebih 1,000 pelajar daripada 20 buah sekolah menyertai Fiesta Rakan Muda Negeri Pahang 2025, sebagai usaha memperkasa pembangunan belia menerusi pelbagai aktiviti berfaedah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri berkata program itu menjadi platform penting dalam membentuk jati diri golongan remaja di Pahang ke arah kehidupan yang lebih berdisiplin dan bermatlamat.

“Program seumpama ini akan terus diadakan bagi melahirkan remaja yang berdisiplin, mempunyai sahsiah tinggi dan matlamat hidup yang jelas, sekali gus mengelak daripada pembaziran masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada RTM selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Fiesta Rakan Muda Pahang 2025 di Stadium Darul Makmur, di sini.

Fiesta berkenaan dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang (JBSNP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri sebagai inisiatif menyokong pembentukan pemimpin pelapis masa depan melalui program bercorak kepimpinan, sukan, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti.

Sementara itu, Pengarah JBSNP, Nor Azli Mohamad Daud memaklumkan pihaknya sedang mengenal pasti lokasi-lokasi sesuai bagi pembinaan baharu serta kerja penyelenggaraan fasiliti sukan di seluruh negeri.

“Tumpuan utama ketika ini adalah menaik taraf kemudahan sedia ada. Di seluruh daerah, terdapat beberapa Kompleks Rakan Muda dan kompleks sukan yang sedang melalui proses naik taraf dan akan diumumkan untuk kegunaan komuniti dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Negeri Pahang, yang memiliki 12 fasiliti sukan utama, dijangka dibuka semula kepada orang ramai awal tahun hadapan selepas proses penyelenggaraan selesai.

Nor Azli berharap segala inisiatif itu akan memberi impak positif dalam meningkatkan budaya sukan dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat Pahang. #BeritaRTM

Share:

Suami Isteri Yang Juga Pemilik Kedai Emas Di Pekan Maut, Ford Mustang Rempuh Tiang Elektrik


SEGAMAT: Pasangan suami isteri yang juga pemilik kedai emas di Pekan, Pahang maut selepas kereta dinaiki terbabas dalam nahas di Kilometer 13, Jalan Segamat-Kuantan, berhampiran simpang Felda Pemanis, hari ini.

Nahas berlaku jam 2 petang ketika kereta jenis Ford Mustang dipandu Mohd Izuddin Harmaini, 51, dan ditemani isteri, Nur Syamimi Rosli, 36, dalam perjalanan dari Kuantan ke Segamat.

Difahamkan, ketika kejadian berlaku hujan lebat di sepanjang jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata nahas itu berlaku ketika kereta dipandu Mohd Izuddin dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh dua tiang elektrik.

Beliau berkata, rempuhan itu menyebabkan pemandu dan penumpang kereta parah dan disahkan meninggal dunia tempat kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung nahas itu boleh menghubungi balai polis berhampiran ataupun Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9325811," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Segamat, Muhd Hazim Abd Razak, berkata pihaknya terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kereta terbabit. #BeritaHarian

Share:

Tuan Ibrahim Pertahan Ketua Penerangan Pemuda PAS Martan, Analogi 'Lembu Betina' Bukan Hina Wanita

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan kenyataan Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran, Muhammad Salman Al Farisi, yang dikecam selepas menyamakan wanita yang memegang jawatan kepimpinan dengan “lembu betina”.

Menurut Tuan Ibrahim, kenyataan itu perlu difahami sebagai satu bentuk analogi biasa dalam penulisan, dan bukannya bertujuan menghina wanita.

“Saya tidak nampak apa yang seksisnya pada kenyataan tersebut. Ia (merupakan) satu analogi daripada perspektif dia (Muhammad Salman), bukan (satu bentuk) merendahkan martabat wanita pun.

“Cuma, mungkin ada pihak yang terasa,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan Pertubuhan Kebajikan Bidadari Malaysia terhadap kenyataan Muhammad Salman.

Kelmarin, Muhammad Salman dalam hantaran di media sosial menekankan kepentingan kepimpinan lelaki dalam masyarakat, sambil memberikan analogi berdasarkan pengalamannya menternak lembu selama lebih setahun.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian dalam menguruskan ternakan, lembu betina sering memimpin kumpulan ternakan tersebut – termasuk menentukan lokasi meragut, masa berehat dan waktu pulang – manakala lembu jantan hanya berperanan menjaga keselamatan kawanan.

Susulan kenyataan itu, pengasas Pertubuhan Kebajikan Bidadari Malaysia, Napsiah Khamis Maharan mengecam Muhammad Salman dan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai seksis, biadab serta mencerminkan pemikiran mundur yang membahayakan kemajuan masyarakat.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata penggunaan analogi sedemikian bukan perkara baru dalam masyarakat.

"Analogi ini bukan perkara baru dalam masyarakat kita dan ia bergantung kepada bagaimana kita menilai sesuatu.

“Dalam sejarah penulisan Islam, terdapat karya seperti Kalilah wa Dimnah yang sarat dengan perumpamaan dan kisah haiwan bagi menyampaikan pengajaran dan nilai moral,” katanya.

Ini bukan kali pertama pemimpin PAS menggunakan perlambangan haiwan dalam isu-isu serius.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mencetuskan kontroversi pada 26 Julai lalu apabila memuat naik karikatur seekor kambing dan biri-biri berebut sebiji pisang, sambil disaksikan seekor monyet yang digambarkan sebagai hakim.

Hantaran itu disertakan tangkap layar laporan berita mengenai krisis antara Thailand dan Kemboja, bersama kapsyen: “Kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang.”

Tindakan itu mengundang kemarahan pelbagai pihak kerana dianggap mempersenda usaha diplomatik Malaysia dalam mendamaikan dua negara berjiran yang sedang berkonflik.

Krisis tersebut, yang turut melibatkan korban nyawa, akhirnya diselesaikan melalui rundingan damai yang diusahakan Malaysia di Putrajaya pada 28 Julai.

Susulan itu, pelbagai pihak mendesak agar Ahmad Fadhli memohon maaf kerana menggunakan perlambangan haiwan ketika mengulas krisis dan usaha damai antara Bangkok dan Phnom Penh.

Terbaru, Muhammad Salman pula dikritik kerana menggunakan wanita sebagai subjek perumpamaan yang dianggap dangkal dan tidak menghormati nilai kemanusiaan.#Malaysiakini

Share:

Bomba Pahang Sentiasa Siap Siaga Tahap Maksimum Hadapi Bencana, Pelbagai Perkhidmatan Kemanusiaan

KUALA LUMPUR: Tanggungjawab Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bukan sekadar menyelamatkan mangsa kebakaran atau kemalangan malah lebih daripada itu.

Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd. Razam Taja Rahim berkata, mereka juga bertanggungjawab melindungi nyawa serta harta benda dari musibah dan bencana serta pelbagai perkhidmatan kemanusiaan yang lain.

“Tanggungjawab ini sebenarnya menuntut tahap kesiapsiagaan yang maksimum dalam kalangan anggota bomba kerana setiap kes mempunyai cabaran dan halangan tersendiri.

“Saya percaya setelah diberi kepercayaan ini, rasa tanggungjawab yang memerlukan pengorbanan besar ini telah sebati dalam diri setiap anggota bomba khususnya di Pahang.

“Apa yang kami lakukan ini, tidak lain tidak bukan, mahu berikan yang terbaik buat rakyat,” ujarnya.

Sebelum itu Mohd. Razam menjunjung kasih atas kurniaan menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran Datuk.

Penganugerahan Darjah Kebesaran itu berlangsung pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd Razam berkata, anugerah tersebut adalah satu penghormatan dan pengiktirafan tinggi kepada beliau setelah 27 tahun berkhidmat dalam JBPM.

“Saya ingin menjunjung kasih Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang kerana menganugerahkan DIMP kepada JBPM Pahang menerusi saya.

“Bagi saya, ini adalah julung kalinya saya dianugerahkan penghormatan tinggi yang membawa gelaran Datuk dan anugerah ini adalah berkat doa semua orang yang sentiasa ada untuk saya.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin menzahirkan ucapan tahniah buat insan yang turut memberi inspirasi kepada saya, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Ts Nor Hisham Mohammad, yang menerima Darjah Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

“Segala sokongan beliau kepada saya amatlah dihargai dan hanya Allah yang mampu membalasnya,” katanya yang merupakan antara 58 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena majlis pengurniaan tersebut.

Pada majlis itu, Sultan Pahang berkenan berangkat menyempurnakan istiadat yang berlangsung yang di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan kerajaan negeri. #MalaysiaGazette

Share:

Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran Dakwa Jangan Jadi Seperti Lembu Yang Angkat ‘Betina’ Sebagai Ketua’

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Maran, Muhammad Salman Al Farisi mencetuskan kontroversi apabila dilihat menggunakan analogi kawanan lembu untuk menyentuh tentang isu wanita sebagai ketua atau pemimpin.

Menurutnya,  berdasarkan pengalaman beliau menternak lembu lebih setahun,  lembu betina lebih bersifat ketua apabila dia yang akan memimpin kumpulan ternakan, termasuk menentukan lokasi meragut, masa berehat dan waktu pulang.

Manakala, lembu jantan pula lebih kepada memainkan peranan menjaga keselamatan.

“Sebab itulah kalau boleh kita jangan jadi seperti lembu yang mengangkat ‘betina’ sebagai ketua. Lelaki sepatutnya menjadi ketua dan seiringan dengan ayat al-Quran dalam surah an Nisa ayat 34.

“Bila lembu betina diangkat ketua, dia menentukan segalanya, yang jantan-jantan sekitar lembu betina ini hanya tahu meragut hasil.

“Paling teruk pun lembu jantan ini diminta menanduk musuh. Kesianlah jika kehidupan kita itu disamakan seperti kehidupan lembu,” katanya menerusi hantaran di Facebook baru-baru ini.

Hantaran itu dilapor mendapat respon Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang menegaskan bahawa kenyataan Muhammad Salman tersebut, menyamakan wanita dalam kepimpinan dengan “lembu betina” dalam kawanan ternakan, merupakan pandangan peribadinya dan tidak mencerminkan pendirian rasmi parti PAS.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu turut menyifatkan kenyataan Muhammad Salman sebagai terpencil dan tidak melambangkan sikap keseluruhan kepimpinan PAS, terutama dalam soal penglibatan wanita dalam arena politik.

Bagaimanapun, Mas Ermieyati mengakui kenyataan Muhammad Salman boleh dianggap sebagai tidak wajar dan berunsur seksis.

“Saya tak nafikan kenyataan itu boleh dilihat sebagai seksis.

“Walaupun ia datang daripada seorang pimpinan peringkat kawasan, pada saya beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu,” katanya dipetik Malaysiakini semalam.

Sementara itu, Mas Ermieyati yang juga pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), menekankan PAS kini lebih inklusif terhadap penyertaan wanita dalam politik, termasuk pelantikan sebagai Ahli Parlimen dan Senator.

“Kalau kita lihat PAS hari ini lebih terbuka. Malah, bilangan Ahli Parlimen wanita PAS semakin bertambah, belum lagi termasuk Senator. Ini menunjukkan parti tidak meminggirkan penyertaan wanita,” katanya. #TheMerdekaTimes

Share:

Sultan Pahang Titah Enakmen Syariah Dikaji Secara Menyeluruh, Bukan Sekadar Semakan 'Kosmetik'

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan enakmen syariah di negeri ini dikaji semula secara menyeluruh yang bukan sekadar semakan ‘kosmetik’, sebaliknya dilaksanakan sebagai satu reformasi berlandaskan maqasid syariah.

Baginda bertitah dalam menghadapi cabaran zaman yang semakin mencabar dan menggugat prinsip syariah, sudah tiba masa peruntukan undang-undang Islam di Pahang digubal secara lebih mendalam serta selari dengan lima prinsip utama maqasid syariah, iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Al-Sultan Abdullah bertitah, setiap peruntukan baharu mesti mencerminkan realiti masyarakat Islam kontemporari serta menjawab keresahan umat dengan penuh hikmah dan ketegasan serta disokong oleh mekanisme penguatkuasaan yang tersusun dan menyeluruh.

"Saya melihat terdapat keperluan untuk memperkukuh struktur dan keupayaan pasukan penguat kuasa daripada pelbagai aspek termasuklah latihan berterusan, peningkatan sumber manusia, kemudahan logistik dan teknologi sokongan.

"Hal ini bagi memastikan peruntukan enakmen yang digubal tidak hanya tinggal tulisan semata-mata, tetapi benar-benar dikuatkuasakan secara adil dan profesional sesuai dengan tuntutan maqasid syariah,” titah baginda yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Ke-196 di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Isnin.

Sementara itu, Sultan Pahang bertitah, institusi fatwa di Pahang perlu terus berlandaskan ilmu, autoriti dan prinsip ijtihad yang sahih berdasarkan al-Quran, sunah, Ijma’ dan Qiyas serta mempertimbangkan kepentingan ummah secara menyeluruh.

Baginda bertitah, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak negeri perlu diperkasakan supaya fatwa yang dikeluarkan menjadi pedoman diyakini dan dihormati bukan sekadar warta yang dipandang sepi.

"Saya tidak mahu ada segelintir pihak memperlekehkan atau mempertikaikan fatwa yang sah, hanya kerana kurangnya kejelasan atau ketegasan daripada pihak berautoriti,” titah Al-Sultan Abdullah.

Dalam pada itu, baginda turut menyarankan sebuah Jawatankuasa Auditor Kewangan Masjid ditubuhkan di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bagi memastikan pengurusan kewangan masjid di seluruh negeri dilaksanakan secara telus, profesional dan berintegriti.

Baginda bertitah kewangan masjid yang sebahagian besarnya berpunca daripada sumbangan dan derma masyarakat perlu diuruskan dengan penuh amanah dan tanggungjawab, sejajar dengan kepercayaan yang diberikan oleh umat Islam.

Pada mesyuarat itu, Sultan Pahang turut menzahirkan harapan supaya institusi pendidikan Islam di negeri ini, khususnya Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang terus diperkasakan sebagai teras penting pembentukan insan rabbani yang berilmu, berakhlak serta berbakti kepada agama, bangsa dan negara. #SinarHarian

Share:

Durian Pahang Tidak Menjadi Musim Ini, Cuaca Nyata Tidak Menentu Jejaskan Pengeluaran Di Seluruh Negeri

KUANTAN: Musim durian yang dinanti-nantikan saban tahun oleh pekebun dan penggemar 'raja buah' di Pahang ternyata tidak menjadi apabila cuaca tidak menentu menjejaskan pengeluaran durian di seluruh negeri.

Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Muhd Rizal Baharom berkata, pengeluaran durian pada musim ini merosot ketara dengan anggaran hanya 30 peratus berbanding 130,808.79 tan hasil pada tahun lalu.

“Jangkaan awal kita adalah pengeluaran akan meningkat musim ini, namun disebabkan faktor cuaca, putik durian gugur lebih awal dan hasilnya tidak seperti yang diharapkan.

“Tapi data ini masih dalam peringkat pengumpulan dan masih ada pengeluaran ketika ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Muhd Rizal, berdasarkan rekod jabatan, seluas 16,972 hektar kawasan kebun durian yang berdaftar telah diusahakan secara individu termasuk oleh syarikat berskala besar.

Jelasnya, daerah Raub mencatat kawasan terluas dengan 12,519.72 hektar, diikuti Bentong seluas 2,066.23 hektar dan Jerantut (498.61 hektar).

“Beberapa daerah lain seperti Temerloh, Kuantan, Pekan, Maran dan Rompin juga terdapat tanaman durian, namun jumlahnya tidak terlalu luas.

“Kawasan tanaman durian di Pahang dijangka terus bertambah pada masa akan datang, terutama membabitkan durian klon seperti musang king, duri hitam, D24, IOI dan tekka,” katanya.

Muhd Rizal memberitahu, walaupun pengeluaran durian di Pahang berkurangan, namun penggemar raja buah itu masih berpeluang menikmati buah berkenaan yang banyak dijual di beberapa daerah dengan harga berpatutan.

Ujarnya, pejabat pertanian daerah bertanggungjawab mempromosikan tanaman durian di kawasan masing-masing dengan harapan pengeluaran durian di negeri ini terus bertambah dan seterusnya mampu memenuhi permintaan penggemar buah berduri itu setiap tahun.

“Kita kini berusaha mempromosi durian kampung premium yang berkualiti tinggi untuk menembusi pasaran antarabangsa, terutama ke Singapura dan China, iaitu seperti yang berlaku terhadap musang king,” katanya. #SinarHarian

Share:

Sultan Pahang Titah Pemilik Atau Pengurus Urus Kelab Golf Di Bawah Kelolaan Kerajaan Negeri Dengan Baik

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan pemilik atau pengurus kelab golf di negeri itu, khususnya di bawah kelolaan Kerajaan Pahang menguruskan kelab masing-masing dengan baik.

Baginda bertitah, kelab yang ada perlu diselenggara dengan baik supaya kemudahan yang ada sentiasa terjaga dan tidak rosak sehingga menyebabkan tiada orang yang mahu datang bermain.

"Saya berharap agar kelab-kelab golf yang ada ini dijaga dengan baik, kalau tak minat nak jaga lebih baik tutup sahaja. Tanah (kelab golf) itu boleh buat projek pembangunan lain yang mendatangkan manfaat lebih besar kepada kerajaan negeri dan rakyat.

"Saya nak pengurusan kelab-kelab yang ada buat lebih banyak program, pertandingan dan promosi untuk menarik lebih ramai pemain golf sama ada profesional atau amatur datang untuk bermain atau untuk tujuan Latihan," titah baginda menerusi hantaran Facebook rasmi Kesultanan Pahang hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Jamuan Diraja dan pengurniaan hadiah Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 di Kelab Golf Diraja Pahang, di sini semalam.

Dalam pada itu, baginda menzahirkan harapan pemain yang menyertai Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 terus menyokong kelab-kelab golf yang ada di negeri ini.

"Saya berharap kejohanan ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan mampu menarik lebih ramai pemain.

"Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga mahu kelab-kelab golf yang ada buat pertandingan atau kejohanan khusus untuk pemain wanita sekali gus dapat mencungkil bakat golongan itu dalam sukan golf ini," titah baginda. #BeritaHarian

Share:

Kerajaan Pahang Minta Peneroka Negeri Ini Guna Sebaik Mungkin Peruntukkan RM100,000 Untuk Kampung Felda

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang meminta para peneroka di negeri ini supaya menggunakan sebaik mungkin peruntukan RM100,000 bagi setiap kampung di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang bakal diterima untuk melaksanakan projek pembangunan yang ditentukan sendiri oleh penduduk setempat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri berterima kasih atas berita baik yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana terdapat 115 tanah rancangan Felda di Pahang.

Menurutnya, sebagai negeri dengan jumlah tanah rancangan Felda paling banyak di negara ini, peruntukan itu sudah tentu akan memberi manfaat kepada penduduk yang terlibat.

“Kita bersyukur dan pada masa sama berharap agar peruntukan itu dapat ditambah pada masa akan datang.

“Banyak lagi perkara yang perlu kita lihat dan tambah baik di tanah-tanah rancangan Felda ini termasuk di Pahang,” katanya ketika diminta mengulas peruntukan berkenaan.

Wan Rosdy ditemui selepas Majlis Perasmian Padang Stadium Darul Makmur di sini pada Ahad.

Anwar, pada Majlis Perasmian Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), mengumumkan bahawa kerajaan telah menyediakan peruntukan RM100,000 bagi setiap penempatan Felda.

Menurutnya, pendekatan memberikan kebebasan kepada penduduk kampung untuk menentukan sendiri projek pilihan mereka itu adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani yang menekankan prinsip musyawarah dan pemerkasaan rakyat.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan mempunyai tanggungjawab besar untuk mengangkat martabat negara dan menunaikan amanah kepada rakyat termasuk warga Felda yang mula ditubuhkan pada 1 Julai 1956.

Beliau juga berkata, pelbagai usaha dan janji telah dilaksanakan sepanjang tiga tahun kerajaan memerintah, termasuk menjaga kebajikan peneroka menerusi penubuhan pusat dialisis di setiap kawasan tanah rancangan berkenaan.#SinarHarian

Share:

Sultan Pahang Akan Terus Bersuara Mengenai Isu Pencerobohan Tanah Di Seluruh Negeri, Hingga Ia Dihentikan

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda akan terus bersuara mengenai isu pencerobohan tanah di negeri ini sehingga kegiatan itu dihentikan sepenuhnya.

Bagaimanapun, baginda bertitah, usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk penyaluran maklumat daripada rakyat dan gerak kerja daripada Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Perhutanan Negeri.

"Saya akan bersuara apabila ada pencerobohan bukan sahaja di Raub dan Cameron Highlands, malah seluruh daerah di Pahang, tetapi saya tak mampu buat sendiri, harap rakyat beri maklumat kepada pejabat saya dan kerajaan ... kalau mereka tidak beri maklumat mungkin susah nak awasi," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam temu bual khas dengan Bernama di Istana Abdulaziz, di sini, baru-baru ini, bersempena dengan Hari Keputeraan baginda ke-66.

Baginda bertitah, isu itu yang mendapat liputan meluas serta menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat, telah menimbulkan kesedaran atau wake-up call dalam kalangan pihak berkepentingan serta penduduk di negeri ini.

"Apabila isu ini berlaku, setakat ini apa yang saya dapat lihat ada kesedaran daripada semua pihak antaranya rakyat dan pentadbir khusus pada peringkat daerah.

"Banyak juga maklumat datang ke pejabat saya yang kemudian telah disalurkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah bahawa negara ini, khususnya negeri Pahang bukan tempat untuk mana-mana pihak melakukan pencerobohan tanah sewenang-wenangnya.

"Hentikan segera amalan menceroboh tanah, lombong dan balak ini ... lebih penting saya harap mereka yang ada niat nak menceroboh, eloklah tinggalkan Pahang, pergi luar dari Malaysia. Ini kerana undang-undang akan 'menyusahkan' mereka dan keluarga kelak," tegas baginda.

Baginda sebelum ini turut menzahirkan rasa dukacita selepas disembah maklum terdapat kira-kira 10,521 hektar tanah di Raub telah diceroboh sejak sekian lama.

Sebanyak 14,494.9 hektar tanah kerajaan juga dilaporkan telah diteroka secara tidak sah dan diusahakan dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi, selain seluas 5,997.09 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) turut diceroboh.

Kesungguhan Al-Sultan Abdullah untuk membanteras kegiatan berkenaan turut terzahir dengan mencemar duli turun pandang dan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda untuk melihat kesan pencerobohan di Raub pada 8 Mei lepas.

Dalam pada itu, baginda menzahirkan hasrat untuk memajukan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini melalui pelaksanaan pelbagai program terutamanya yang melibatkan belia.

Baginda bertitah golongan muda perlu berusaha meningkatkan kualiti hidup dengan menyertai IKS bagi mengetengahkan pelbagai produk di negeri ini.

"Saya pun cadang nak jumpa Exco berkaitan untuk bincang supaya kita adakan program yang boleh majukan IKS secara total. Saya harap kita dapat utamakan IKS ini ... buatlah sekecil mana pun (perniagaan), tetapi biarlah mampan," titah baginda. #AstroAwani

Share:

Dakwaan Fitnah, Shahaniza Fail Tindakan Saman Terhadap Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran


KUANTAN: Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin memfailkan tindakan saman fitnah ke atas Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran, Muhammad Salman Al Farisi.

Shahaniza berkata, tindakan undang-undang itu diambil susulan siri kenyataan tidak benar dan berniat jahat yang telah diterbitkan di media sosial termasuk TikTok dan Facebook bertarikh pada 3 dan 29 Julai lalu.

Menurutnya, saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh.

"Tuduhan beliau bahawa saya 'melakonkan projek air', melanggar peraturan Kementerian Pendidikan (KPM), berkempen politik dalam sekolah dan menyogok pelajar dengan makanan segera tidak berasas, fitnah dan berniat menjatuhkan maruah serta kredibiliti saya secara terbuka.

"Saya ingin tegaskan bahawa lawatan ke tapak projek bekalan air adalah sebahagian daripada peranan menyampaikan maklumat projek rakyat oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan bukan sandiwara.

"Kehadiran saya ke sekolah adalah atas kapasiti sah sebagai Pengerusi Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (KPIBKS) Maran dan bukan untuk tujuan politik," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Ketua Penerangan UMNO Pahang menegaskan, tiada sebarang unsur sogokan atau kempen politik dilakukan dalam program tersebut.

"Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan bukan sahaja mengandungi tuduhan palsu terhadap saya sebagai pemimpin masyarakat, malah turut mencemar imej saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Maran, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia dan Ketua Penerangan UMNO Pahang," katanya.

Justeru itu, Shahaniza telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang penuh terhadap pihak tersebut termasuk memohon injunksi, permohonan maaf secara rasmi dan pampasan sewajarnya.

Beliau berkata, kes itu telah ditetapkan untuk pengurusan di Mahkamah Tinggi Temerloh 28 Ogos depan.

"Tindakan ini bukan semata-mata untuk mempertahankan nama saya, tetapi sebagai peringatan penting agar politik kebencian dan fitnah tidak menjadi budaya dalam wacana awam.

"Apatah lagi melibatkan tokoh muda yang sepatutnya menjadi agen perubahan matang dan bertanggungjawab," katanya.

Beliau percaya kepada proses perundangan dan menyerahkan kepada Mahkamah untuk menilai secara adil. #SinarHarian

Share:

PAS Pahang Junjung Titah Tuanku Sultan Agar Wakil Rakyat Di Negeri Ini Tidak Berpolitik Sepanjang Masa

KUANTAN: PAS Pahang menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar tidak berpolitik sepanjang masa.

Disebabkan itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar berkata, PAS negeri ini sentiasa memantau gerak kerja semua wakil rakyat agar sentiasa turun padang menjenguk rakyat untuk mengetahui keadaan rakyat serta cuba menangani isu-isu rakyat dengan sebaik mungkin.

“PAS Pahang juga menyahut saranan dari Tuanku untuk bersedia duduk semeja dengan pihak kerajaan.

“Bagi PAS Pahang, ini adalah saranan yang sangat baik dan PAS Pahang sentiasa bersedia untuk duduk semeja dengan pihak kerajaan dan sama-sama berbincang menyelesaikan isu-isu rakyat dan memajukan negeri Pahang tercinta ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur itu, sebagai wakil rakyat pembangkang, PAS Pahang juga berperanan sebagai ejen semak dan imbang terutamanya semasa persidangan Dewan Undangan Negeri.

Justeru, katanya, tindakan mereka mengutarakan isu-isu rakyat yang menimbulkan ketegangan kadangkala disalah erti pihak kerajaan sebagai sentiasa berpolitik.

“PAS Pahang juga mengucapkan terima kasih kerana Tuanku telah membangkitkan buat kesekian kalinya berkaitan dengan peruntukan.

“Sememangnya ini adalah diantara perkara yang sangat penting untuk kami supaya dapat melaksanakan tugasan dengan lebih selesa,” tambahnya lagi.

Beliau mengulangi harapannya agar kerajaan dapat mempertimbang mengenai isu peruntukan tersebut dengan sewajarnya kerana katanya kedudukan sebagai wakil rakyat pembangkang juga adalah pilihan rakyat. #MalaysiaGazette

Share:

Pahang Sasar 50,000 Pengunjung Mini MAHA Pahang 2025 Berlangsung Pada 14 Hingga 17 Ogos Ini

KUANTAN: Pahang mensasarkan lebih 50,000 pengunjung hadir ke Mini MAHA Pahang 2025 yang dijadual berlangsung pada 14 hingga 17 Ogos ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebanyak 60 acara akan dijalankan sepanjang empat hari penganjuran tahun ini dengan penglibatan lebih 30 jabatan dan agensi.

Wan Rosdy turut mengajak orang ramai hadir memeriahkan Mini MAHA Pahang 2025

“Antara tarikan utama program ini termasuklah Kenduri Buah iaitu agihan buah-buahan secara percuma termasuk durian pada 16 Ogos kepada 500 pengunjung terawal, pelancaran dan promosi produk Pahang Best, pameran lembu sado dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui media, di sini semalam.

Ujar beliau lagi, program tersebut dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung dari seluruh negara dengan penglibatan 100 usahawan serta sasaran nilai jualan sebanyak RM1.2 juta.

“Kerajaan Negeri Pahang berharap agar Program Mini MAHA Pahang 2025 ini menjadi pemangkin kepada lonjakan baharu dalam sektor agromakanan dan keterjaminan makanan negeri,” katanya lagi. #MalaysiaAktif

Share:

Sri Pahang Tidak Sertai Liga Malaysia Musim 2025/26, Titik Permulaan Fokus Pembangunan Akar Umbi

KUANTAN: Keputusan Sri Pahang FC untuk tidak menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/26 wajar dijadikan titik permulaan kepada usaha memperkukuh pembangunan akar umbi bola sepak negeri itu bagi mengasah bakat pemain tempatan.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah persaingan bola sepak moden yang menggunakan pemain import sebagai tonggak utama pasukan memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi.

“Saya mengalu-alukan tindakan Sri Pahang (menarik diri)… memang untuk bertanding di peringkat Piala Malaysia atau Liga M memerlukan peruntukan yang besar. Dahulu pun besar juga, tetapi sekarang lebih besar kerana memerlukan tenaga asing (pemain import),” titah baginda.

Sultan Pahang bertitah demikian semasa sesi temu bual khas bersama Bernama di Istana Abdulaziz di sini baru-baru ini sempena hari keputeraan ke-66 baginda.

Justeru, baginda menzahirkan pandangan bahawa lebih banyak akademi dan penganjuran liga di peringkat sekolah serta daerah perlu diwujudkan sebagai platform mencungkil bakat muda sekali gus memperkasakan ekosistem bola sepak tempatan.

“Bukan sahaja pasukan Sri Pahang, pasukan di negeri-negeri lain juga mesti mempunyai liga sendiri. Saya rasa sudah sampai masanya untuk adakan lebih banyak akademi di setiap negeri atau daerah. Tapi saya percaya, keputusan ini memerlukan sumber kewangan yang besar,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut berharap tempoh rehat pasukan ‘Tok Gajah’ dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk memperkemas struktur kelab termasuk aspek pemain dan kewangan supaya tidak berdepan masalah berulang.

Mengulas dominasi pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan ketika ini, baginda yang pernah menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku Presiden dari 2014 hingga 2017 berpandangan Harimau Malaya wajar memberikan ruang dan keutamaan kepada pemain tempatan.

“Kalau terlalu ramai pemain naturalisasi, bakat tempatan mungkin akan tenggelam. Jadi, kita tidak ada prospek untuk masa depan dan program pembangunan belia pun mungkin tidak akan menarik minat anak muda.

“Kita memang mahu kejayaan segera, tetapi biarlah ada program akar umbi yang konkrit. Apabila kita berjaya lahirkan pemain berkualiti dari bawah, kita tidak perlu lagi bergantung kepada tenaga asing ,” titah baginda.

Sementara itu, sempena ulang tahun seabad Kelab Polo Diraja Pahang, Pekan yang akan disambut pada tahun hadapan, Al-Sultan Abdullah menzahirkan hasrat untuk bersara daripada sukan berkenaan.

“Sukan kuda ini saya (aktif) sampai tahun 2026 kerana Kelab Polo Diraja Pahang akan menyambut (ulang tahun) 100 tahun di Pekan, kita akan adakan pelbagai tournament (pertandingan), insya-Allah. Itulah tahun saya akan berhenti dan bersara secara total,” titah baginda.

Baginda juga menzahirkan kesyukuran dan bangga terhadap kejayaan melahirkan empat generasi atlet polo serta anak muda dari Pahang serta beraksi di peringkat antarabangsa seperti di Argentina.

“Saya harap program ini dapat diteruskan,” titah Sultan Pahang yang kini aktif bermain sukan golf, pickleball (bola pikel) dan paddle ball bersama anakanda baginda.

Selain itu, baginda turut berkongsi tip untuk kekal sihat seperti bersenam dua hingga tiga kali seminggu di gimnasium serta melaksanakan aktiviti seperti berbasikal dan berkuda.

“Yang penting sekali jaga pemakanan, khususnya nasi. Makan nasi banyak, itu yang punca kita gemuk, jadi masalah nak jaga badan. Kalau kita dapat kawal pemakanan kita, insya-Allah badan kita akan kekal sihat,” titah baginda. #MalaysiaGazette

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.