script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Najib Dakwa Beliau Tidak Pernah Kawal SRC Dan Sangka Wang RM42 Juta Dimasukkan Ke Akaunnya Adalah Derma

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau tidak pernah mengawal SRC International Sdn Bhd atau bertindak sebagai pengarah bayangan syarikat pelaburan strategik itu.

Najib yang kembali ke Mahkamah Tinggi hari ini selepas disabitkan dengan tuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bulan lalu, berkata sebaliknya Lembaga Pengarah (BOD) dan pengurusan SRC bertanggungjawab sepenuhnya terhadap operasi serta penggunaan dana.

Beliau yang memberikan keterangan sebagai defendan bagi kes saman sivil difailkan SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd terhadapnya, berkata syarikat itu juga bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian dialami olehnya.

SRC ditubuhkan sebagai anak syarikat 1MDB pada 7 Januari 2011, namun pada Februari 2012, ia dipindahkan daripada 1MDB kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF Inc).

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan, berkata beliau tidak pernah menghadiri mesyuarat BOD SRC dan tidak menguruskan operasi syarikat, manakala sebarang kelulusan atau persetujuan olehnya dibuat semata-mata pada peringkat pemegang saham melalui MOF Inc.

"Saya tidak memegang jawatan sebagai pengarah, sama ada secara sah atau de facto. Saya juga tidak bertindak sebagai pengarah bayangan dan tidak menyebabkan BOD terbiasa bertindak mengikut arahan saya.

"Pembabitan saya terhad kepada tanggungjawab kepentingan awam sebagai Perdana Menteri dan fungsi pemegang saham yang terhad sebagaimana diperuntukkan undang-undang, tidak lebih daripada itu.

"Dari sudut perundangan, plaintif perlu membuktikan satu corak tingkah laku bahawa BOD SRC terbiasa bertindak mengikut arahan saya, namun tiada bukti sedemikian," katanya.

Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

SRC sebelum ini menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu termasuk Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Suboh Md Yassin dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dengan mengekalkan Najib sebagai satu-satunya defendan.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan permohonan Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka dan dinamakan sebagai defendan pihak ketiga.

Dalam tuntutan saman difailkan pada 2021 itu, SRC dan Gandingan Mentari memohon mahkamah mengisytiharkan Najib bertanggungjawab ke atas penerimaan dana RM42 juta syarikat itu.

Plaintif juga menuntut ganti rugi atas penerimaan dengan pengetahuan dana terbabit, bantuan tidak jujur dan tindakan penyalahgunaan kuasa.

Sementara itu, Najib turut menafikan pembabitan beliau dalam penubuhan SRC, penggubalan Memorandum dan Artikel Persatuan, pelantikan awal Nik Faisal Ariff Kamil dan Vincent Koh sebagai pengarah serta pemegang saham syarikat.

Katanya, peruntukan dalam perlembagaan SRC yang memerlukan kelulusan Perdana Menteri bagi perkara tertentu hanya perlindungan standard pemegang saham seperti diamalkan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain, dan tidak memberikan kawalan mutlak atau kuasa sehala untuk melantik atau memecat pengarah.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa Nik Faisal bertindak sebagai perantara bagi arahannya, sambil menegaskan sebarang representasi bahawa keputusan dibuat atas arahannya adalah tidak sah dan bercanggah dengan tadbir urus korporat yang betul.

Berhubung dakwaan penyelewengan dana, Najib berkata, beliau tidak mengetahui dan tidak pernah mengarahkan wang SRC disalurkan kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd atau dipindahkan ke akaun peribadinya.

Beliau menegaskan wang dikreditkan ke dalam akaun peribadinya disangka sebagai derma, seperti pernah diterima sebelum ini dan beliau tidak mengurus akaun berkenaan secara peribadi serta tidak menerima penyata bank bulanan.

"Saya tidak menggunakan Nik Faisal atau mana-mana individu sebagai perantara untuk mengarah atau menentukan keputusan BOD SRC atau merancang kemasukan RM42 juta ke dalam akaun saya.

"Jika ada mana-mana pegawai yang menyatakan 'ini arahan Perdana Menteri', perkara itu tidak pernah diberi kebenaran oleh saya dan adalah bercanggah dengan tadbir urus korporat yang betul.

"Saya tidak tahu pada masa itu bahawa wang berkenaan didakwa berpunca daripada SRC International. Jika saya dimaklumkan, saya pasti akan menolak atau memulangkan wang berkenaan," katanya.

Perbicaraan bersambung esok. #BeritaHarian

Share:

Sebanyak RM14.8 Juta Diperuntukkan Bagi Program Tunas Makmur 2026, Untuk Manfaatkan 68,000 Pelajar Di Pahang

KUANTAN: Sebanyak RM14.8 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Tunas Makmur yang dijangka memanfaatkan 68,000 pelajar di Pahang tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata program berkenaan melibatkan semua murid Tahun 1 dan pelajar miskin tegar daripada Tahun 2 hingga Tingkatan 5. 

“Program yang bermula sejak 2022 ini menyediakan set bantuan peralatan pembelajaran bernilai RM100 yang lengkap dan berjenama, termasuk beg sekolah dan alat tulis selain kalkulator saintifik serta set geometri bagi pelajar sekolah menengah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sebagai penambahbaikan tahun ini, kerajaan negeri turut memperkenalkan baucar pakaian sekolah bernilai RM100, yang boleh ditebus di beberapa pasar raya ditetapkan.

Selain itu, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri dengan kerjasama MBS Bookstore turut menyediakan Kad Diskaun 30 peratus kepada semua pelajar, termasuk pelajar tadika dan institusi pengajian tinggi (IPT), serta guru dan pensyarah di seluruh Pahang. 

“Bantuan ini akan disampaikan secara serentak pada hari pertama persekolahan di semua sekolah seluruh Pahang. Kerajaan Pahang kekal komited memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak Pahang terus menjadi keutamaan,” katanya. 

Wan Rosdy hari ini turut menyerahkan set bantuan peralatan pembelajaran kepada 130 pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bentong. #Bernama

Share:

Hati-Hati Warga Kuantan, Ada Orang Pelik Gegar Dan Rosakkan Pagar Jam 4.30 Pagi Di Taman Indera Sempurna Kelmarin

KUANTAN: Tindakan seorang lelaki yang dipercayai cuba memasuki sebuah rumah dikatakan di Taman Indera Sempurna di sini kelmarin dengan merosakkan pagar rumah menimbulkan keresahan kepada orang ramai.

Berdasarkan video yang tular menunjukkan seorang lelaki berbaju hitam nekad cuba merosakkan pagar besi dengan menggegarkan pagar berkenaan sehingga menimbulkan bunyi bising.

Berdasarkan kenyataan dalam video berkenaan menyatakan kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi dan menasihatkan orang Kuantan agar berhati-hati.

Susulan penularan video berkenaan rata-rata netizen menyatakan kebimbangan dengan kejadian itu dan meminta pihak terbabit segera melaporkan kejadian kepada polis.

Orang ramai yang resah dengan kejadian itu juga meminta semua penduduk berhati-hati.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, setakat ini polis masih belum menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba menyiasat kejadian yang tular itu. #KOSMO!

Share:

KEADILAN Kuantan Anjurkan Program 'Back To School', 100 Pelajar Gunting Rambut Percuma Di Balai Raya Kuala Penor, DUN Inderapura

KUANTAN: Sebagai usaha membantu pelajar membuat persiapan kembali ke sekolah bagi sesi akademik 2026, KEADILAN Kuantan baru baru ini telah menganjurkan program Back To School – Gunting Rambut Percuma di Balairaya Kampung Kuala Penor, dalam DUN Inderapura, Parlimen Kuantan.

Pengarah Program, Fakhrul Helmi Mohd Azhan berkata, penganjuran program ini bertujuan membantu Ranting KEADILAN Kampung Kuala Penor menggerakkan aktiviti kemasyarakatan, di samping meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah.

"Program ini bertujuan membantu Ranting KEADILAN Kg Kuala Penor menggerakkan program bersama masyarakat di kampung ini di samping membantu ibu bapa yang mempunyai anak-anak sekolah untuk menikmati perkhidmatan gunting rambut secara percuma," katanya.

Selain perkhidmatan gunting rambut, penduduk kampung turut menerima manfaat perkhidmatan cuci gigi (scaling) yang disediakan oleh Jabatan Pergigian Daerah Kuantan menerusi kerjasama Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi.



Sementara itu, Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar berkata kerjasama erat antara Cabang dan Ranting perlu diperkukuhkan bagi memastikan pelbagai inisiatif Kerajaan MADANI dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

"Kerjasama di antara Cabang dan Ranting perlu diperkukuhkan bagi memastikan pelbagai inisiatif dan bantuan Kerajaan Madani dapat dinikmati oleh rakyat," ujarnya.

Menurut beliau, Ranting KEADILAN Kampung Kuala Penor dipilih sebagai lokasi pertama program Back To School – Gunting Rambut Percuma sempena cuti sekolah akhir tahun, sebelum diperluaskan ke seluruh Parlimen Kuantan.

Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua 54 ranting dalam Cabang Kuantan akan digerakkan bagi memastikan penyertaan lebih meluas melibatkan anggota parti dan komuniti setempat.

Program tersebut turut dihadiri Ketua Wanita KEADILAN Kuantan, Sridayu Samsuri; Ketua Srikandi KEADILAN Kuantan, Siti Samihah; Ketua AMK Kuantan, Hilmy Yakap; Naib Ketua KEADILAN Kuantan, Jeff Lee serta Ketua Ranting KEADILAN Kg Kuala Penor, Farid Ishak.

Seramai lebih 100 orang pelajar berjaya menerima perkhidmatan gunting rambut percuma melalui program berkenaan. Selain itu, satu kaunter bergerak KEADILAN Kuantan turut dibuka oleh Pasukan Setiausaha Pengelola Cabang bagi menerima aduan penduduk serta permohonan keanggotaan baharu. #SuaraKeadilan

Share:

Ketua Bersatu Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah Dilantik Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Yang Baharu

KUANTAN: Ketua Bersatu Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang yang baru dalam barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa (AJK) PN Pahang bagi sesi 2025-2028.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat AJK yang di Pengerusikan oleh Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.

Jawatan itu sebelum ini disandang Timbalan Ketua Bersatu Pahang, Lt Kol (PA) Mohd Yazid Mohd Yunus.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Andansura Rabu pula dilantik sebagai Setiausaha PN Pahang yang baharu, dibantu Nurul Qamar Abdul Latib (Bersatu) yang merupakan Ketua Pemuda PN Pahang sebelum ini.

Ketua Penerangan Pas Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya, kekal sebagai Ketua Penerangan PN Pahang dibantu dua naib ketua iaitu Ketua Bersatu Bahagian Temerloh, Datuk Rofaie Hamdan dan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Chandra Balabedha.

Naib Ketua Muslimat Pas Malaysia, Salamiah Mohd Nor juga kekal menjawat jawatan sebagai Ketua Wanita PN Pahang, sementara Ketua Armada Bersatu Pahang, Muhammad Fareed Tarmizi dilantik sebagai Ketua Pemuda PN yang baharu.

Bagi penggal baru ini, seramai sembilan AJK PN Pahang yang dilantik iaitu Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor; Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari; Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib daripada Pas.

Selain itu, tiga wakil daripada Bersatu juga dipilih iaitu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (Dipilih), Datuk Seri Asmawi Harun; Timbalan Ketua Bersatu Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus dan Ketua Armada Bersatu Bahagian Raub, Datuk Mohd Fakhrunizam Ibrahim.

Tiga wakil daripada Gerakan yang dilantik sebagai AJK PN Pahang yang baharu pula ialah Setiausaha Gerakan negeri, Raymond Cham; Geoff Chan dan William Tan.

“Pelantikan ini melibatkan gabungan tokoh berpengalaman dan tenaga muda yang berwibawa bagi memastikan aspirasi rakyat Pahang terus diperjuangkan dengan lebih berkesan,” kata PN dalam kenyataannya hari ini. #MalaysiaGazette

Share:

Jawatankuasa Bersatu Bahagian Indera Mahkota Melahirkan Rasa Kesal Pemecatan Saifuddin Tanpa Perbicaraan Adil

KUANTAN: Jawatankuasa Bersatu Bahagian Indera Mahkota melahirkan rasa kesal terhadap keputusan Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memutuskan pemecatan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah tanpa melalui perbicaraan yang adil.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua merangkap Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Indera Mahkota, Mat Zahid Abu Hassan berharap Lembaga Rayuan Bersatu dapat mempertimbangkan rayuan yang bakal dikemukakan Saifuddin secara adil, telus dan berhemah demi keutuhan parti.

Beliau berkata, pendirian itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat jawatankuasa bahagian berkenaan yang diadakan semalam.

"(Jawatankuasa ini) menyatakan solidariti bersama Datuk Saifuddin Abdullah dan menyatakan sokongan berterusan kepada kepimpinan beliau," menurut kenyataan itu.

Pada Selasa lepas, Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid dilaporkan berkata Bersatu telah memecat Saifuddin, berkuat kuasa pada 6 Jan.

Harris Idaham dilaporkan berkata, Saifuddin telah melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti, namun tidak memperincikan kesalahan khusus yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota itu. #AstroAwani

Share:

MB Pahang Dakwa Lebih Mudah Untuk Bekerja Dengan Exco DAP Berbanding MCA Dalam Hal Ehwal Urusan Pentadbiran Negeri


KUANTAN: Menteri Besar Pahang , Dato' Sri DiRaja Hj Wan Rosdy Wan Ismail berkata kehadiran wakil DAP dalam pentadbiran beliau membantu memudahkan urusan kerajaan negeri.

Wan Rosdy berkata kadangkala lebih mudah berurusan dengan Exco DAP berbanding dengan MCA.

Sebagai contoh, kata beliau, DAP banyak menyokong inisiatif kerajaan negeri seperti pemberian bantuan kepada penjawat awam.

“Semasa tidak ada DAP pun dalam kerajaan Pahang, kita bayar (bantuan penjawat awam) sebulan setengah gaji saja.

“(bila) DAP ada dalam barisan exco, bila saya kata nak beri dua bulan gaji, satu ayat pun tak dengar mereka membangkang,” katanya yang dipetik Berita Harian sebagai berkata.

Wan Rosdy menjawab kritikan bahawa kerajaan perpaduan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Pahang bersifat sekular serta tidak menjaga kebajikan orang Melayu dan umat Islam.

Tambah beliau, DAP sering beri sokongan dan nasihat yang baik dalam pentadbiran.

“Kadang kala mereka berikan nasihat yang baik berkenaan ketirisan, jalan berlubang dan sebagainya,” katanya.

Wan Rosdy berkata, perbezaan ideologi politik antara UMNO dan DAP tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan untuk masyarakat Melayu berpecah.

Exco Pahang kini dianggotai seorang wakil DAP (ADUN Triang, Leong Yu Man) dan seorang wakil PKR (ADUN Teruntum Sim Chon Siang). #FreeMalaysiaToday

Share:

Kenyataan Wan Rosdy 'Kerja Dengan DAP Lebih Mudah' Perlulah Difahami Dalam Kontek Pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang

KUANTAN: Kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung kehadiran wakil DAP dalam pentadbiran Pahang yang dikatakan membantu memudahkan urusan kerajaan negeri perlu difahami dalam konteks pengalaman pentadbiran dan keperluan memastikan kelancaran urusan pentadbiran negeri.

Ketua Penerangan UMNO Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, kenyataan itu bukan satu penilaian terhadap nilai atau sumbangan mana-mana parti politik seperti yang ditanggapi segelintir pihak.

Menurutnya, sebagai Menteri Besar, Wan Rosdy yang juga Pengerusi UMNO Pahang memikul tanggungjawab besar memastikan setiap dasar dan keputusan kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan rakyat.

"Dalam proses tersebut, pengalaman bekerjasama dengan pelbagai pihak sudah tentu berbeza mengikut situasi, masa dan isu yang dihadapi," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Shahaniza berkata, UMNO Pahang berdiri teguh menyokong kepimpinan Menteri Besar dalam menerajui kerajaan negeri, khususnya dalam usaha mengekalkan kestabilan politik, keharmonian antara kaum dan keberkesanan pentadbiran.

Tambahnya, UMNO Pahang juga pada masa sama menghormati peranan semua rakan politik yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri.

"Perbezaan pandangan dan pengalaman tidak seharusnya ditafsir sebagai menafikan jasa atau kedudukan mana-mana pihak," ujarnya.

Wan Rosdy sebelum ini dilaporkan berkata, kehadiran Exco daripada DAP dalam barisan kepemimpinan tertinggi kerajaan negeri itu lebih memudahkan urusan pentadbiran berbanding ketika bersama rakan parti komponen MCA sebelum ini.

Kenyataan beliau semasa berucap merasmikan Penutupan Bengkel Anjakan Paradigma Pendidikan Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang (SMAN) di Putrajaya pada Khamis dipercayai bagi menjawab tohmahan pembangkang yang mendakwa kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Pahang bersifat sekular serta tidak menjaga kebajikan orang Melayu dan umat Islam.

Bagaimanapun, kenyataan itu telah dipersoalkan oleh MCA Pahang, di mana pengerusinya, Datuk Chong Sin Woon menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu perbandingan yang sengaja memberi tanggapan negatif terhadap kredibiliti parti itu, sambil menuntut Wan Rosdy memperincikan aspek yang dimaksudkan.#SinarHarian

Share:

Sultan Pahang Berkenan Bercemar Duli Berangkat Melihat Serpihan Dipercayai Objek Dari Angkasa Di Nenasi Pekan

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, berkenan bercemar duli berangkat melihat serpihan dipercayai objek dari angkasa di Nenasi, Pekan.

Menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang hari ini, memaklumkan bahawa objek berkenaan kini diletakkan di Balai Polis Nenasi bagi tujuan pengawasan dan kajian Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

"Baginda meluangkan masa kira-kira 20 minit melihat objek berkenaan dari dekat serta mendengar persembahan taklimat Penguasa Angkasa dari Bahagian Penguasa Angkasa MOSTI, Mhd Fairos Asillam.

"Baginda turut menerima sembah maklum berkenaan kajian yang masih dilakukan pihak MOSTI terhadap objek berkenaan berdasarkan rupa bentuk, keadaan semasa serta andaian lokasi asal serpihan itu," menerusi hantaran itu.

Difahamkan, berat serpihan itu dianggarkan mencecah 500 kilogram ditemukan di kawasan pantai Kampung Tanjung, Nenasi.

Panjang serpihan itu 4.26 meter dan lebar 3.64 meter serta terdapat teritip iaitu sejenis hidupan marin melekat di sekeliling objek itu. #HarianMetro

Share:

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Memecat Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya Datuk Seri Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memecat ahli Majlis Pimpinan Tertingginya Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Penerangan Armada BERSATU Malaysia Harris Idaham Rashid ketika dihubungi Bernama sebentar tadi.

"Ya betul (pemecatan itu). (Ini kerana) Beliau sebelum ini pernah dalam platform terbuka mengkritik Presiden BERSATU  (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

"Beliau telah diberi peluang bagi membela diri dan mesyuarat Lembaga Disiplin yang bermesyuarat semalam telah memutuskan pemecatan beliau,” katanya.

Harris Idaham berkata Saifuddin telah melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti, namun tidak memperincikan kesalahan khusus yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota itu.

Sementara itu, Saifuddin ketika dihubungi mengesahkan bahawa beliau telah dipecat sebagai ahli BERSATU.

Saifuddin yang juga bekas Pengerusi Perikatan Nasional Pahang memaklumkan beliau menerima maklumat mengenai perkara itu hari ini.

"Saya akan membuat rayuan dalam beberapa hari lagi,” katanya. #SinarHarian

Share:

Pahang Berjaya Merekodkan Jumlah Pelaburan Komited RM18.04 Bilion Sepanjang 2025, Melepasi Sasaran Awal RM14 Bilion

KUANTAN: Pahang berjaya merekodkan jumlah pelaburan komited sebanyak RM18.04 bilion sepanjang 2025, melepasi sasaran awal RM14 bilion yang ditetapkan kerajaan negeri.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pencapaian itu mendorong kerajaan negeri untuk terus mempertingkatkan usaha menarik pelaburan pada masa hadapan.

"Kita sasarkan RM14 bilion namun berjaya capai RM18 bilion, insya-Allah prestasi ini akan ditingkatkan lagi bagi 2026," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Cari Gali Sumber Air Bawah Tanah oleh Bubbles O2 Sdn Bhd di Ladang Gambang Yayasan Pahang, di sini hari ini.

Mengulas mengenai majlis berkenaan, beliau berkata ia merupakan satu lagi inisiatif pelaburan strategik dalam usaha meneroka sumber air bawah tanah di negeri itu.

"Saya merakamkan penghargaan kepada Bubbles O2 Sdn Bhd kerana memilih Pahang sebagai destinasi pelaburan. Insya-Allah telaga ini dijangka mampu menghasilkan kira-kira 14 juta botol air setahun," katanya.

Wan Rosdy berkata projek itu dijangka memberi manfaat kepada kedua-dua pihak termasuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan serta membina kerjasama strategik jangka panjang antara kerajaan negeri dan pelabur.

Beliau berkata pengeluaran sulung produk air mineral Bubbles O2 di negeri itu dijangka bermula seawal enam bulan selepas projek itu siap sepenuhnya.

"Projek ini juga dijangka mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan, dengan keutamaan diberikan kepada anak Pahang khususnya penduduk sekitar kawasan ini," katanya.

Wan Rosdy turut memaklumkan kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan untuk memperluaskan projek berkenaan ke kawasan Pahang Barat susulan permintaan yang tinggi terhadap produk air Bubbles O2. #AstroAwani

Share:

Penyalahgunaan Dadah: Polis Pahang Menahan Dua Pegawai, Lima Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Temerloh


KUANTAN: Dua pegawai dan lima anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah, semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, turut ditahan bersama mereka ialah seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand, hasil serbuan polis di sebuah premis perniagaan di Mentakab, kira-kira jam 2.15 pagi.

Menurutnya, dua pegawai polis yang ditahan berpangkat inspektor, manakala lima anggota lain berusia antara 29 hingga 42 tahun.

Katanya, lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand yang turut ditahan masing-masing berusia antara 22 hingga 37 tahun.

“Saringan ujian air kencing terhadap seorang pegawai dan lima anggota terbabit, mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan benzo.

“Turut disahkan positif dadah ialah seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand yang ditahan dalam serbuan itu.

“Bagaimanapun, hasil saringan air kencing seorang lagi pegawai polis dan seorang wanita warga Thailand didapati negatif dadah,” katanya ketika dihubungi.

Yahaya berkata, hasil serbuan itu polis turut merampas satu paket dadah jenis ketamin seberat 0.98 gram serta bekas berisi cecair yang disyaki mengandungi dadah.

Menurutnya, dua pegawai dan lima anggota polis terbabit direman selama dua hari bermula semalam.

Katanya, lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand pula direman selama empat hari, juga bermula semalam.

“Polis tidak akan berkompromi dalam kes melibatkan kesalahan oleh pegawai atau anggota. Siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka didapati bersalah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM100,000, atau kedua-duanya.

Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000, atau kedua-duanya. #BuletinTV3

Share:

Pempengaruh TikTok Athira Auni Maut Akibat Kemalangan Motosikal Berhampiran TMG Mall Jalan Tanjung Lumpur Kuantan Awal Pagi Tadi


KUANTAN: Seorang pempengaruh Tiktok maut dalam kemalangan melibatkan dua motosikal di Jalan Tanjung Lumpur berhampiran TMG Mall Bandar Putra di sini pada awal pagi Sabtu.

Dalam nahas kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, Nurul Athira Auni Mohamad Hafizzan, 21, beralamat di Tanah Putih Baru disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, seorang lagi penunggang, Muhammad A’kid Rahman Salahudin, 20, dilaporkan cedera di bahagian tangan, siku dan paha.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua penunggang terbabit dalam perjalanan dari arah Tanjung Lumpur menuju ke Bandar Kuantan.

"Ketika tiba di lolasi kejadian, semasa mangsa sedang bergerak lurus di lorong kanan, secara tiba-tiba sebuah motosikal ditunggang pelajar sebuah politeknik di sini dari arah belakang telah merempuhnya.

"Pelanggaran itu dipercayai berlaku ketika penunggang terbabit cuba mengelak motosikal mangsa ke kiri.

"Pada masa sama, mangsa juga mengelak arah sama hingga berlaku perlanggaran," katanya.

Ashari berkata, akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tambah beliau, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan.Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

"Mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. 

Athira Auni dikenali sering berkongsi 'live' di Tiktok menjadi penebar roti canai di warung ayahnya. #SinarHarian

Share:

Perikatan Nasional (PN) Di Negeri Pahang Kekal Stabil Dengan PAS, BERSATU Dan GERAKAN Sentiasa Bekerjasama

KUANTAN: Disebalik peletakan jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) beberapa negeri, gabungan itu di Pahang kekal stabil dengan PAS, BERSATU dan GERAKAN sentiasa bekerjasama.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata PN Pahang juga konsisten menganjurkan program “PN Teraju Pahang” (PTP) bagi menghadapi PRU16, dengan program terbaru “Hogoh Jelai” mendapat sambutan hangat.

Menurutnya, PN turut menjadi pembangkang konstruktif di Pahang sejak tiga tahun lalu, dengan setiap Adunnya diamanahkan portfolio tertentu bagi memantau portfolio dipegang Menteri Besar dan exconya.

Bekas Pengerusi PN Pahang itu berkata, banyak perkara diperjuangkan gabungan di negeri itu, antaranya pembangunan seimbang di seluruh Pahang, bukannya hanya tertumpu di Pahang Timur dan Tengah.

Ia turut memperjuangkan pembinaan infrastruktur mampan, dengan keutamaan untuk jalan perhubungan antara daerah, penyelenggaraan jalan dan bekalan air lebih sistematik serta peratusan tertentu kutipan hasil daerah dikembalikan kepada daerah.

Katanya, ada beberapa isu penting yang belum selesai, antaranya pemilikan tanah, bekalan air sering terputus, cukai tanah membebankan, sistem perparitan dan saliran gagal mengatasi masalah banjir dan perumahan rakyat terbengkalai.

“PN Pahang akan menyertai PRU16 dengan tawaran-tawaran segar untuk rakyat,” katanya dalam tulisan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan di Sinar Harian.

“Sebahagiannya untuk menyelesaikan isu-isu semasa, manakala sebahagian lagi untuk pembangunan masa depan. Ini melibatkan gagasan, dasar dan program untuk memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat dalam makna sebenar.”

Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan pengerusi PN mulai semalam, disusuli Datuk Seri Azmin Ali (Pengerusi PN Selangor), Sahruddin Jamal (Pengerusi PN Johor), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN Perak) dan Mohamad Hanifah Abu Baker (Pengerusi PN Negeri Sembilan). #FreeMalaysiaToday

Share:

Banjir Di Pahang Pulih, Sementara Jumlah Mangsa Di Sarawak Dan Johor Terus Menunjukkan Penurunan Petang Tadi

KUALA LUMPUR: Banjir di Pahang pulih sementara jumlah mangsa di Sarawak dan Johor terus menunjukkan penurunan pada petang ini.

Di PAHANG, 83 mangsa banjir di Raub melibatkan 17 keluarga di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Ulu Atok dibenarkan pulang ke rumah masing-masing tengah hari tadi.

Di SARAWAK, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa menurun kepada 1,225 orang daripada 307 keluarga setakat 4 petang berbanding 1,343 orang daripada 342 keluarga pagi tadi.

JPBN memaklumkan PPS Dewan Suarah Kota Samarahan ditutup pada 2 petang menjadikan 10 PPS masih beroperasi di negeri itu.

Data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan beberapa sungai utama di Sarawak melepasi paras bahaya iaitu di Stesen Long Teru, Miri dengan 8.28 meter (m), Stesen Marudi (3.67 m) dan Stesen Nanga Lemai B, Sibu (4.34 m).

Di JOHOR, mangsa banjir di Segamat berkurang kepada 92 orang daripada 27 keluarga pada 4 petang berbanding 112 orang daripada 31 keluarga, pagi tadi.

Pengerusi JPBN Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata kesemua mereka ditempatkan di lima PPS di daerah itu.

Sementara itu, di SABAH, mangsa banjir meningkat kepada 282 orang daripada 102 keluarga petang ini, berbanding 190 orang daripada 75 keluarga pagi tadi.

JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mereka dari enam kampung berlindung di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon, Beaufort yang beroperasi sejak 5 petang semalam. #AstroAwani

Share:

Pahang Kembali Di Landa Banjir, Satu Pusat Perpindahan Sementara (PPS) Di Buka Di SK Ulu Atok Raub Awal Pagi Ini


KUANTAN: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Raub awal pagi tadi bagi menempatkan mangsa terjejas akibat banjir susulan limpahan Sungai Ulu Atok.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub, setakat 10.22 pagi, sebanyak 68 mangsa daripada 15 keluarga telah dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Atok yang dibuka sejak 6 pagi tadi.

"Kesemua mangsa yang terjejas telah dipindahkan ke PPS berhampiran," menurut kenyataan itu hari ini.

Beliau berkata kejadian banjir berkenaan berlaku akibat limpahan Sungai Ulu Atok berikutan hujan lebat berterusan di kawasan berkenaan sejak semalam.

"Mangsa terlibat merupakan penduduk yang kali pertama dilanda banjir bagi musim 2025/2026," katanya. #AstroAwani

Share:

Bersalah Terima Rasuah Sebanyak RM2,000 Seorang Penolong Jurutera Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) Di Denda RM16,000


KUANTAN: Seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) didenda RM16,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas disabitkan bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan RM2,000 daripada seorang individu kira-kira empat tahun lalu.

Hakim Sazlina Safie menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Yusrizal Md Ledza, 43, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.

Dalam keputusan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM8,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut.

Terdahulu, peguam Datuk Zaharman Zainal Abidin yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya itu dikenakan hukuman denda paling minimum dengan alasan jumlah suapan yang kecil.

Menurutnya, mahkamah juga wajar mempertimbangkan faktor kesalahan pertama selain kerjasama diberikan tertuduh kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mahkamah sepanjang kes itu berjalan.

"Tertuduh bergantung kepada pendapatan bulanan RM4,200 untuk menyara keluarga termasuk isteri dan tiga anak masih kecil berusia tiga hingga 12 tahun.

"Tertuduh juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu," ujarnya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir membantah rayuan itu sebaliknya memohon mahkamah mempertimbangan hukuman lebih berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat selain mengambil kira kepentingan awam.

Mohd Yusrizal didakwa di mahkamah itu pada 19 Januari 2023 atas tuduhan menerima suapan RM1,000 daripada wanita berusia 33 tahun yang mempunyai hubungan dengan tugasan rasminya.

Tertuduh didakwa menerima suapan itu melalui pindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun miliknya di sebuah cawangan bank di Temerloh.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Yusrizal didakwa menerima suapan RM1,000 daripada wanita itu di lokasi sama pada tarikh berbeza.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. #SinarHarian

Share:

Hassanuddin: Tolak Jawatan Exco Perlis Bukti Kematangan Politik PAS, Letak Kepentingan Rakyat Atas Jawatan Peribadi


KUANTAN: Keputusan PAS Perlis tidak mengganggotai barisan Exco Kerajaan Negeri yang dibentuk Menteri Besar Perlis baharu, Abu Bakar Hamzah membuktikan kematangan politik yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi jawatan peribadi.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Hassanuddin Salim berkata, keputusan itu juga sebagai bukti sikap tegas PAS dalam menjaga integriti dan prinsip perjuangan.

Menurutnya, PAS sanggup berkorban kedudukan pentadbiran demi mempertahankan kesatuan dan keutuhan Perikatan Nasional (PN).

"Sikap tidak tamak kuasa ini amat jarang dalam politik negara ini dan perlu dipuji sebagai contoh kepimpinan berintegriti," katanya melalui kenyataan di Facebook PAS Pahang pada Rabu.

Sementara itu, Hassanuddin berkata, keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan Pengerusi PN demi kepentingan lebih besar sebagai satu tindakan dan tanda kepimpinan berjiwa besar yang mengutamakan kesejahteraan gabungan berbanding ego peribadi.

Tambah beliau, PAS Pahang tekad memperjuangkan kesatuan ummah di Pahang dengan pelantikan Naib Presiden Pas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Pengerusi PN Pahang.

"Di bawah kepimpinan beliau, PN Pahang akan terus kukuh dan berkesan memperjuang rakyat.

"Pelantikan ini cerminan persefahaman dan kepercayaan antara komponen PN dan kesatuan ummah bukan sekadar slogan tetapi tindakan nyata," katanya.

Menurut ADUN Kuala Semantan itu lagi, politik yang diperjuangkan bukan untuk kuasa sempit, tetapi memberi khidmat kepada rakyat dan memacu kemajuan negara.

"Kami berpegang pada prinsip 'buang yang keruh, ambil yang jernih' dengan Kesatuan Melayu Islam sebagai keutamaan.

"Kami tidak berkompromi dengan pihak yang cuba memecah perpaduan ummah justeru PAS Pahang akan memastikan PN negeri ini kekal sebagai benteng perpaduan ummah yang teguh," ujarnya. #SinarHarian

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.