script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Exchange 106 Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Bersama Yayasan Pahang Perkasa Bakat Muda, Bina Tenaga Kerja

PETALING JAYA: Exchange 106 memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yayasan Pahang bagi mewujudkan peluang latihan dan pekerjaan kepada graduan dari Pahang.

Melalui kerjasama itu, graduan terpilih akan mengikuti latihan berstruktur bersama Yayasan Pahang sebelum ditempatkan di Exchange 106 untuk pengalaman kerja secara langsung, dengan peluang diserap sebagai kakitangan tetap.

Ketua Pegawai Eksekutif Exchange 106, Faris Najhan berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen mereka dalam memupuk bakat tempatan serta menyokong pembangunan tenaga kerja negara.

“Dengan melengkapkan golongan muda dengan kemahiran dunia sebenar dan laluan kerjaya yang berstruktur, kami berharap dapat menyumbang secara positif kepada pembangunan modal insan Malaysia serta membentuk tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan,” katanya dalam kenyataan.

Dimiliki dan diuruskan oleh Mulia Property Development Sdn. Bhd., Exchange 106 terletak di Tun Razak Exchange (TRX), hab kewangan dan perniagaan antarabangsa Malaysia.

Menerusi inisiatif ini, anak syarikat latihan Yayasan Pahang, YP Advanced Skills Sdn. Bhd. (YPAS) akan melengkapkan graduan dengan kemahiran yang relevan untuk persekitaran kerja sebenar seperti di mercu tanda komersial ikonik itu.

YPAS bertanggungjawab mereka bentuk dan melaksanakan program latihan berstruktur kepada graduan terpilih, merangkumi kemahiran teknikal, kesediaan tempat kerja serta pembelajaran praktikal.

Selain itu, graduan akan dilatih mengikut keperluan industri sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang dan Pengarah Urusan YP Advanced Skills Sdn. Bhd., Datuk Indera Mahmud Mohd. Nawawi berkata, pihaknya berbangga dapat membawa graduan mereka ke Exchange 106 untuk membangunkan peluang industri yang bermakna di sebuah pembangunan berstatus mercu tanda.

“Melalui YPAS, kami komited melahirkan profesional terlatih dan bersedia industri yang mampu menyumbang sejak hari pertama, sejajar dengan usaha pembangunan tenaga kerja negara,” ujarnya

Kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen bersama Exchange 106 dan Yayasan Pahang dalam memperkasa tenaga kerja masa depan Malaysia serta memupuk bakat muda.

Melalui latihan dan pengambilan graduan tempatan, kedua-dua pihak berhasrat memperkukuh tenaga kerja negara sambil membuka peluang kepada generasi baharu membina kerjaya yang bermakna.#UtusanMalaysia

Share:

Polis Tidak Tolak Kemungkinan Wujud Pihak Tertentu Hasut Orang Asli Ceroboh Ladang Kelapa Sawit Milik Sultan Pahang

KUANTAN: Polis tidak menolak kemungkinan wujud pihak tertentu yang menghasut sekumpulan Orang Asli dalam kes pencerobohan tanah ladang kelapa sawit di Kampung Jemeri, Rompin, semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk kemungkinan terdapat unsur dorongan pihak lain yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu berkenaan.

“Seramai 21 individu Orang Asli terdiri daripada 17 wanita dan empat lelaki berusia antara 25 hingga 60 tahun ditahan selepas didapati memasuki kawasan ladang berkenaan yang mempunyai pemilik sah serta telah dibuat pengukuran dan di pagar.

“Polis menerima aduan bahawa pagar ladang telah dirosakkan sebelum kumpulan ini memasuki kawasan berkenaan. Tanah itu merupakan tanah milik yang mempunyai geran sah dan pemiliknya juga telah membuat laporan sebelum ini berkaitan kejadian sama,”katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Hari ini media melaporkan seramai 21 individu terdiri daripada empat lelaki dan 17 wanita ditahan kerana disyaki menceroboh tanah milik Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi dilaporkan berkata, penahanan dilakukan semalam selepas pihak polis menerima aduan mengenai pencerobohan itu daripada wakil syarikat yang dilantik mengusahakan tanah berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Kita masih dalam tempoh siasatan dan jika siasatan dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam, mereka mungkin dibebaskan dengan jaminan.

“Namun, jika siasatan belum lengkap, polis akan memohon perintah reman,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian atau tuduhan tanpa menyemak fakta sebenar berkaitan status pemilikan tanah.

“Tanah itu ada pemilik yang sah. Pencerobohan tetap merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Kita juga sedang menyiasat sama ada terdapat pihak lain yang cuba menghasut atau mempengaruhi kumpulan ini untuk masuk ke kawasan ladang dan mengambil hasil kelapa sawit,”ujarnya. #KOSMO!

Share:

Polis Menahan Seramai 21 Orang Asli Kerana Di Syaki Menceroboh Tanah Milik Sultan Pahang Di Rompin Semalam

KUANTAN: Polis menahan seramai 21 Orang Asli, semalam, kerana disyaki menceroboh tanah milik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Rompin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata semua tangkapan termasuk 17 wanita itu berusia antara 26 hingga 60 tahun.

Beliau berkata, ia susulan Balai Polis Kuala Rompin menerima satu laporan pada hari sama berhubung kes pencerobohan tanah milik Sultan Pahang.

"Pengadu adalah wakil syarikat yang dilantik mengusahakan tanah milik baginda.

"Berdasarkan laporan diterima, sekumpulan Orang Asli didakwa menceroboh, merosakkan palang besi serta memotong buah kelapa sawit dalam kawasan ladang milik baginda seluas 718.281 hektar, tanpa kebenaran.

"Justeru bagi membantu siasatan, empat lelaki dan 17 wanita Orang Asli ditahan dalam kawasan ladang milik baginda itu kerana disyaki menceroboh tanah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sharif Shai berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Polis tidak akan berkompromi dengan aktiviti pencerobohan tanah. Mana-mana pihak perlu mempunyai geran pemilikan yang sah untuk mengusahakan tanah.

"Pihak polis menasihati masyarakat supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini," katanya. #BeritaHarian

Share:

Seramai 155 Kontraktor Telah Di Pilih Laksana Kerja Penyelenggaraan, Ganti Lampu Jalan Dan Infrastruktur Bangunan Kerajaan Di Pahang


KUANTAN: Seramai 155 kontraktor di Pahang dipilih bagi menjalankan kerja penyelenggaraan serta penggantian sistem elektrik lampu jalan dan infrastruktur bangunan kerajaan di negeri itu.

Kerja-kerja ini melibatkan 67 skop yang telah diluluskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, dan dijangka siap pada suku pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, secara keseluruhannya ia melibatkan peruntukan sebanyak RM6.246 juta. Ia termasuk skop kerja pembaikan infrastruktur terjejas akibat banjir.

“Memasang lampu di kawasan gelap, yang sering berlaku kemalangan dan sebagainya. Ini melibatkan RM2.85 juta, kemudian kerja selengara lampu rosak, ada kes kabel dicuri dan sebagainya melibatkan RM3.41 juta.

‘”Dan kerja pembaikan akibat monsun timur laut (MTL), banjir dan sebagainya berjumlah RM590,000,” katanya kepada media selepas Majlis Sesi Libat Urus dan Majlis Kerja Undi Bersama Kontraktor Elektrik Negeri Pahang di Auditorium Darul Makmur, RTM Pahang, di sini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Elektrik Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Datuk Ir Ismail Hashim berkata, pihaknya mengesyorkan kontraktor menggunakan teknologi solar dan lampu lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED) bagi penjimatan tenaga.

“Bagi kawasan gelap atau simpang yang tiada bekalan elektrik, lampu solar sesuai digunakan kerana tidak memerlukan infrastruktur tambahan. Jika menggunakan bekalan elektrik, kadang-kadang Tenaga Nasional Berhad (TNB) memerlukan sambungan daripada sub-stesen, yang menambah kos.

Bagi kawasan yang mempunyai bekalan elektrik sedia ada, kami mencadangkan penggunaan lampu jalan LED biasa kerana ia lebih menjimatkan tenaga,” katanya. #BeritaRTM

Share:

Pahang Negeri Pertama Di Negara Ini Laksanakan Program Adat Dan Identiti Murid: Aplikasi StudentQR Secara Menyeluruh

KUANTAN: Pahang menjadi negeri pertama di negara ini melaksanakan Program Adat dan Identiti Murid Pahang: Aplikasi StudentQR secara menyeluruh dalam usaha meningkatkan pembangunan sahsiah murid.

Kod QR yang dibangunkan itu bagi membantu sekolah merekod, memantau dan membentuk karakter murid secara sistematik, membabitkan kerjasama antara sekolah dan ibu bapa.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Datuk Ahmad Zamri, berkata program berkenaan mendapat kelulusan rasmi untuk dilaksanakan di negeri itu dan selari dengan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.

Katanya, program itu juga selari dengan dasar Kementerian Pendidikan yang menekankan pembinaan karakter murid, pengukuhan sahsiah, pembabitan ibu bapa dan penggunaan teknologi secara beretika serta berfokus kepada nilai.

"Ia bukan program sampingan, sebaliknya inisiatif strategik yang menyokong hala tuju pendidikan negara dan negeri.

"Program ini juga untuk meningkatkan pembangunan sahsiah murid dan memberi satu pendekatan baharu lebih tersusun serta menyeluruh menghubungkan sekolah, rumah, guru, pentadbir dan ibu bapa," katanya pada majlis pelancaran program itu yang disempurnakan Pengerusi Eksekutif Jaxer Digital Sdn Bhd, Tengku Puteri Seri Lela Wangsa, Tan Sri Tengku Meriam Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Sementara itu, menerusi kenyataan, program itu merangkumi perekodan elemen adat dan budaya Pahang, pembentukan karakter murid dari rumah dan pengurusan bayaran secara digital.

Pelaksanaan program dilakukan melalui kerjasama strategik bersama JPN Pahang sebagai satu pendekatan baharu menggabungkan teknologi digital dengan pemerkasaan nilai, identiti dan jati diri murid berasaskan warisan negeri.

Melalui program ini, setiap murid akan mempunyai Kod QR identiti dalam bentuk lencana atau Kad ID yang digunakan bagi merekod pembabitan mereka dalam aktiviti adat dan budaya Pahang di sekolah.

Selain itu, ia menyokong pembentukan karakter murid di rumah dengan pembabitan ibu bapa. Sistem sama turut menyelaras urusan bayaran yuran dan koperasi sekolah secara lebih teratur dan cekap.

Inisiatif ini dijangka memudahkan pengurusan sekolah, memperkukuh hubungan sekolah dan ibu bapa serta meletakkan Pahang sebagai perintis global dalam pendidikan berteraskan identiti negeri, adat dan budaya melalui penggunaan teknologi moden. #BeritaHarian

Share:

Sultan Pahang Rasmi Kilang Bio Eneco Sdn Berhad, Anak Syarikat Milik Penuh Eldridge Energy Holdings Berhad Di Gebeng

 

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli merasmikan kilang Bio Eneco Sdn Berhad anak syarikat milik penuh Eldridge Energy Holdings Berhad di Gebeng, di sini. 

Keberangkatan baginda disambut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak, Pengerusi Eldridge Energy Tan Sri Dr Azmil Khalili Khalid dan Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Elridge Energy Yeo Hock Cheong. 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Najib dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. 

Pada majlis itu, baginda berkenan menyaksikan tayangan video korporat Bio Eneco sebelum menandatangani plak perasmian dan meluangkan masa melawat kilang terbabit.  

Kilang Bio Eneco yang mula beroperasi di sini pada tahun lepas itu berkapasiti 240,000 tan metrik setahun berfungsi memproses sisa industri, khususnya tempurung isirung sawit untuk dijadikan bahan api biojisim berkualiti tinggi. 

Sementara itu, Yeo dalam ucapannya berkata usaha ini sekali gus mengurangkan pembaziran sumber, malah menukarkannya kepada bahan api boleh diperbaharui bernilai tinggi yang menyokong keperluan tenaga serantau dan antarabangsa.

Beliau berkata pada masa yang sama, projek ini membawa manfaat setempat iaitu memberi peluang pekerjaan, pembangunan rantaian bekalan tempatan dan sumbangan kepada ekonomi hijau negeri Pahang. #BERNAMA

Share:

Mohd Sharkar: Sultan Pahang Merupakan Individu Paling Layak Pulih Imej Dan Terajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan individu paling layak menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha memulihkan imej badan induk bola sepak negara itu.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menegaskan, minat dan pengalaman baginda dalam bidang sukan melayakkan Al-Sultan Abdullah untuk sekali lagi menjawat jawatan tersebut.

“Baginda pernah menerajui FAM dari tahun 2014 hingga 2017 dan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dari 2008 hingga 2015.

“Kepimpinan Sultan Pahang dalam sukan sebelum ini terbukti berjaya mengangkat martabat hoki negara ke peringkat antarabangsa. Justeru, dengan wibawa dan pengalaman yang ada, baginda tokoh paling sesuai untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap FAM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Sharkar menambah, sokongan padu daripada seluruh rakyat Pahang dan komuniti bola sepak negara akan menjadi dorongan kuat kepada Sultan Abdullah untuk mengangkat semula imej FAM yang sebelum ini berdepan pelbagai cabaran.

Sultan Abdullah pernah berkhidmat sebagai Presiden FAM selama tiga tahun selepas menggantikan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Ahmad Shah. Baginda juga pernah memegang jawatan di peringkat tertinggi bola sepak sebagai Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) serta ahli kepimpinan eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Terdahulu, bekas Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar dalam satu temu bual dilaporkan sebagai berkata, berdasarkan pengalamannya bekerja di bawah baginda, beliau mencadangkan Sultan Pahang agar kembali menjadi presiden badan induk itu.

Saifuddin membuat cadangan berkenaan kerana beliau melihat Al-Sultan Abdullah bukan sahaja sedia mendengar pandangan pelbagai pihak, tetapi juga hanya akan membuat keputusan selepas mengadakan perbincangan dengan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM.

Jumaat lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia Kelantan, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menyifatkan Al-Sultan Abdullah paling layak untuk mengemudi FAM berdasarkan pengalaman luas dimiliki baginda dalam bidang sukan dan bola sepak. #UtusanMalaysia

Share:

Bersatu Raub Meluluskan Usul Termasuk Menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin Letak Jawatan, Pecat Azmin Ali Dan Juga Tun Faisal

RAUB: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Raub meluluskan beberapa usul penting termasuk menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu, selain mencadangkan pemecatan beberapa pimpinan tertinggi parti itu.

Ketua Bahagian Bersatu Raub, Datuk Hj Mohd Fakrunizam Ibrahim, berkata keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam dua Mesyuarat Khas Bahagian yang diadakan pada 1 Nov 2025 dan 31 Jan 2026.

Menurutnya, mesyuarat tersebut dihadiri 20 daripada 25 ahli jawatankuasa bahagian dan membincangkan isu dalaman parti serta hala tuju kepimpinan Bersatu.

“Antara ketetapan yang dipersetujui ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin wajib meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali dipecat serta-merta, Datuk Seri Faizal Azumu meletakkan jawatan dan Tun Faisal dipecat serta-merta,” katanya.

Mengulas gesaan terhadap Muhyiddin, Mohd Fakruniam berkata ia berpunca daripada dakwaan kegagalan presiden parti itu memulihkan keharmonian dalaman Bersatu serta hubungan dengan parti-parti komponen.

Dia turut mengaitkan perkara itu dengan penglibatan Muhyiddin dalam kes Jana Wibawa yang sedang dibicarakan di mahkamah, selain isu-isu lain yang disebut di Parlimen, yang menurutnya telah mencemarkan imej parti.

Isu moral babitkan Azmin

Sementara itu, usul pemecatan terhadap Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, pula dikaitkan dengan dakwaan isu moral.

“Asas kepada usul pemecatan Setiausaha Agung, Datuk Seri Azmin Ali adalah disebabkan isu moral beliau yang diselubungi video seks luar tabie yang berlaku di Sandakan, Sabah.

“Isu ini merencatkan dan memburukkan imej parti di kalangan ahli, komponen dan masyarat secara umum,” katanya.

Bagi Ahmad Faizal Azumu, Mohd Fakruniam berkata gesaan supaya Naib Presiden Bersatu itu meletakkan jawatan adalah berkaitan dakwaan konflik kepentingan membabitkan pelantikan ahli keluarga sebagai pengerusi Lembaga Disiplin parti, serta kenyataan media yang didakwa bersifat menekan pengkritik kepimpinan.

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz pula dicadangkan dipecat atas alasan didakwa mewujudkan ketidakharmonian antara pimpinan bahagian dan pusat, selain mengeluarkan kenyataan yang menurut mereka tidak berfakta dan memecahbelahkan ahli.

“Asas kepada pemecatan Tun Faisal sebagai Ketua Penerangan disebabkan ketidakharmonian dan permusuhan yang di wujudkan antara ketua-ketua bahagian dan kepimpinan serta kenyataan-kenyataan yang tidak berfakta serta memanipulasi telah menyebabkan keretakan dan perpecahan di kalangan ahli-ahli parti Bersatu.

“Kehadiran beliau lebih kepada menyokong individu tertentu daripada menguatkan parti dalam menjadi kerajaan pada PRU akan datang,” katanya.

Mohd Fakruniam berkata ketetapan itu dibuat selepas pihaknya mendakwa beberapa ketua bahagian dan ahli Parlimen yang mengkritik kepimpinan parti telah dikenakan tindakan disiplin.

“Sebagai satu contoh, apabila ketua bahagian menegur dan meletakkan hadis Nabi SAW berkaitan umat yang dilaknat Allah SWT dan tidak diterima mahupun di akui umat Nabi, Ketua bahagian itu telah dikeluarkan daripada Kumpulan Whatsapp rasmi Ketua bahagian.

“Kami menegur disebabkan kami sayangkan parti tetapi apabila di tegur ketua-ketua bahagian dan ahli parlimen di pecat.

“Natijah daripada peristiwa-peristiwa ini, kami hilang kepercayaan, hormat dan kesetiaan kepada presiden parti,” katanya.

Dia menegaskan ketetapan tersebut dibuat, menurutnya, demi menjaga akidah, akhlak dan keutuhan parti.

“Di sini saya ingin menegur YB Tan Sri Mahiaddin Yassin, lihatlah sekeliling carilah mudarat kecil daripada mudarat besar.

“Cubalah perhatikan yang menyokong dan mengidolakan kamu adalah mereka yang terlibat dengan isu seks luar tabie, penglibatan dalam kes rogol / mabuk, berbohong dan manipulasi,” tambahnya. #Malaysiakini

Share:

Seorang Lelaki Di Syaki Pengedar Dadah Nekad Rempuh Lima Kenderaan Ketika Mengelak Di Kejar Polis Di Kuantan Semalam

KUANTAN: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah nekad merempuh lima kenderaan selepas dikejar polis di bandar raya ini, semalam.

Berdasarkan rakaman video tular, suspek cuba melarikan diri selepas kereta dipandunya terhalang akibat kesesakan lalu lintas di Jalan Datuk Wong Ah Jang, kira-kira jam 3:15 petang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata ketika kejadian suspek, 27, dikesan memandu dari arah Jalan Gambut ke Jalan Semambu.

Sebaik menyedari dikejar polis, katanya lelaki terbabit merempuh lima kenderaan dan cuba melarikan diri dengan meninggalkan kereta di tengah jalan.

Bagaimanapun katanya, suspek dikejar sebelum ditahan polis berhampiran lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan lanjut polis menemukan sejumlah dadah jenis pil yaba dan syabu bernilai kira-kira RM2,300," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, hasil saringan air kencing lelaki berasal dari Pekan itu turut didapati positif dadah.

Menurutnya, suspek juga mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah.

Katanya, semua pemandu serta penumpang lima kenderaan dirempuh kereta dipandu suspek dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes kemalangan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. #BeritaHarian

Share:

Karnival Temerloh Sejahtera Pada 14 Februari 2026 Ini Himpunan Masyarakat Setempat Berteras Kesejahteraan Komuniti

TEMERLOH: Karnival Temerloh Sejahtera yang akan berlangsung pada 14 Februari ini merupakan usaha menghimpunkan masyarakat setempat khususnya golongan belia dan keluarga dalam suasana sihat, inklusif dan berteraskan kesejahteraan komuniti.

Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor berkata, karnival tersebut dirangka sebagai platform menyatukan komuniti melalui pendekatan santai, mesra keluarga dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, antara objektif utama penganjuran karnival berkenaan adalah untuk memperkukuh hubungan kemasyarakatan antara pemimpin dan masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti santai seperti sukan, permainan rakyat dan acara kekeluargaan.

“Program ini juga menjadi medium mendekatkan wakil rakyat dengan rakyat serta memahami keperluan sebenar komuniti yang ada,” ujarnya dalam hantaran di laman sosial.

Tambahnya, penganjuran karnival itu turut memberi ruang untuk menyampaikan bantuan dan sumbangan kebajikan kepada golongan asnaf serta masyarakat yang memerlukan sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat.

“Kita mahu elemen kebajikan dan kemasyarakatan bergerak seiring dengan aktiviti riadah dan hiburan,” jelasnya.

Selain itu, beliau memaklumkan antara pengisian utama karnival ialah penganjuran pertandingan futsal, bola jaring serta e-sport Mobile Legends yang disasarkan kepada penyertaan golongan belia sebagai usaha menggalakkan gaya hidup aktif dan pembinaan sahsiah positif.

Katanya, penglibatan belia dalam aktiviti sihat seperti itu penting bagi membentuk disiplin, semangat berpasukan serta menjauhkan mereka daripada gejala tidak sihat.

Salamiah turut memaklumkan bahawa penganjuran booth kebajikan, gerai jualan serta booth pakaian dan barangan preloved disediakan sebagai platform sokongan kepada aktiviti keusahawanan kecil dan khidmat komuniti.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar orang ramai dapat hadir memeriahkan Karnival Temerloh Sejahtera serta mengambil bahagian dalam aktiviti yang disediakan mengikut syarat dan ketetapan yang telah ditetapkan.

Program itu dianjurkan oleh Sekretariat Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Temerloh dengan kerjasama PAS kawasan, Dewan Muslimat dan Pemuda PAS kawasan akan berlangsung dari 7.30 pagi hingga 3.00 petang di Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS), di sini.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran pertandingan boleh menghubungi Akmal (019-7741990), Kimie (014-9494214) dan Ain (013-9878717). #Harakahdaily

Share:

Pengeluaran Durian Klon Di Pahang Di Jangka Meningkat Dua Tiga Kali Ganda Bermula Jun Depan Berikutan Faktor Cuaca, Pendebungaan

KUANTAN: Pengeluaran durian klon di negeri ini dijangka meningkat dua hingga tiga kali ganda bermula Jun depan berikutan faktor cuaca dan pendebungaan bunga yang sangat menggalakkan di negeri ini.

Pekebun durian, Lokman Isa, 65, berkata pengeluaran bunga durian bagi musim pertama tahun ini begitu banyak, faktor berkenaan menandakan buah yang bakal keluar akan banyak seterusnya mampu memberi keuntungan lebih pada pekebun.

Menurutnya, rata-rata pekebun durian klon berskala besar di Jerantut, Raub dan Bentong yakin pengeluaran kebun durian mereka bertambah terutama apabila melihat bunga durian yang keluar kini begitu banyak.

"Harga durian klon yang masih berada pada tahap memuaskan walaupun sedikit menurun berbanding sebelum ini, namun itu tidak terlalu menjejaskan keuntungan diraih oleh pekebun.

"Antara durian klon terkenal di negeri ini seperti Musang King, Duri Hitam, D24 dan IOI. Permintaan terhadap raja buah itu begitu menggalakkan walaupun harganya lebih tinggi berbanding durian kampung," katanya ketika dihubungi.

Lokman yang mengusahakan kebun durian klon duri hitam seluas lebih lima hektar di Jerantut berkata, permintaan terhadap durian klon dan kampung sentiasa bertambah walaupun harga yang ditawarkan ada ketikanya agak tinggi.

"Apabila buah banyak harga durian akan turun seterusnya memberi peluang kepada peminat raja buah menikmati durian dengan lebih banyak," katanya yang juga bekas pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Jerantut.

Sementara itu, Pengarah FAMA Pahang Rashiha Mamat berkata, pihaknya membeli lebih 30 tan durian klon dan kampung pada musim akhir tahun lalu dan menyasarkan 50 tan lagi akan dibeli sehingga hujung bulan ini apabila pengeluaran musim berkenaan berakhir.

"Setiap kali musim durian kami sedia membantu memasarkan raja buah itu bagi mengelak kerugian ditanggung pekebun apabila mereka tidak dapat memasarkan hasil, selain itu kita turut menghasilkan pes tempoyak.

"Sekiranya terbukti pengeluaran durian pada pertengahan tahun ini bertambah, usaha membantu pekebun akan terus dilakukan. #HarianMetro

Share:

Pilihan Raya Umum Ke-16: Perikatan Nasional (PN) Sasar Untuk Rampas Pahang, Unjurkan Menang Sekurang-Kurangnya 22 Kerusi DUN

KUANTAN: PAS dan Perikatan Nasional (PN) dijangka berpotensi memenangi sekurang-kurangnya 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau lebih pada pilihan raya akan datang, sekali gus membuka ruang kepada perubahan pentadbiran negeri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Penerangan Pemuda  PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan trend penurunan konsisten jumlah kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) di negeri itu sejak empat penggal lalu.

Menurutnya, data menunjukkan dominasi BN di Pahang semakin terhakis apabila jumlah kerusi yang dikuasai merosot daripada 38 kerusi pada PRU12 kepada hanya 17 kerusi pada PRU15 yang lalu.

"Trend penurunan ia menunjukkan satu indikator jelas perubahan sokongan rakyat di negeri ini.

"Ini juga membuktikan bahawa dominasi politik BN semakin terhakis dari satu PRU ke satu PRU, selain keyakinan rakyat terhadap parti tersebut tidak lagi seperti dahulu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau menjelaskan keyakinan itu turut didorong oleh perubahan landskap sokongan rakyat, khususnya dalam kalangan pengundi muda dan pengundi Melayu di kawasan luar bandar.

Jelasnya, unjuran ini selari dengan gelombang pengundi baharu yang dilihat semakin menerima pendekatan politik bersih, stabil dan berintegriti yang dibawa oleh PAS dan PN.

Justeru, Ahmad Azlan berkata, pihaknya akan terus memperkukuh gerak kerja penerangan dan mobilisasi rakyat bagi memastikan momentum perubahan ini diterjemahkan kepada kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

"Perubahan politik di Pahang bukan lagi satu kemungkinan yang jauh, tetapi satu realiti yang sedang terbina dengan iltizam yang utuh daripada semua jentera parti," katanya. #SinarHarian

Share:

Takuyuddin Hassan: Sultan Pahang Individu Paling Layak Untuk Menerajui, Menyelamatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia Kelantan menyifatkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah paling layak untuk mengemudi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha menyelamatkan badan induk bola sepak negara itu.

Presidennya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pengalaman luas dimiliki baginda dalam bola sepak sebelum ini mampu memulihkan semula imej sukan dan badan berkenaan.

"Bagaimanapun terserah kepada Tuanku untuk menerima cadangan berkenaan. Saya menyokong penuh jika Tuanku mahu pimpin FAM berdasarkan pengalaman dan kemampuan yang bagus sebelum ini

"Melihat keadaan bola sepak hari ini tidak sama seperti dahulu. Dulu FAM dikuatkan oleh persatuan bola sepak negeri-negeri, sebaliknya hari ini persatuan bola sepak negeri dilihat sudah tidak kuat dan lebih berbentuk kelab," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat khas secara tertutup kepada warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong, di sini malam tadi.

Al-Sultan Abdullah berkhidmat sebagai Presiden FAM dari 2014 hingga 2017 selepas menggantikan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Ahmad Shah. Baginda juga pernah memegang jawatan di peringkat tertinggi bola sepak sebagai Naib Presiden Konfederansi Bola Sepak Asia (AFC) serta ahli kepimpinan eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Media sebelum ini melaporkan, Bekas Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam satu temu bual, berkata berdasarkan pengalamannya bekerja di bawah baginda, beliau mencadangkan Sultan Pahang agar kembali menjadi presiden badan induk itu.

Saifuddin membuat cadangan berkenaan kerana beliau melihat Al-Sultan Abdullah bukan sahaja sedia mendengar pandangan pelbagai pihak, tetapi juga hanya akan membuat keputusan selepas mengadakan perbincangan dengan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM. #BeritaHarian

Share:

Sultan Pahang Perkenan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) Di Jenamakan Semula Sebagai Universiti Al-Quran

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dijenamakan semula dengan nama baharu, Universiti Al-Quran, sekali gus menjadikannya universiti al-Quran pertama di negara ini.

Baginda bertitah, usaha memartabatkan agama Islam di Pahang terus diperkukuhkan melalui pengukuhan institusi al-Quran, dengan penubuhan universiti berteraskan pengajian kitab suci itu sebagai teras utama.

Titah Al-Sultan Abdullah, penjenamaan semula universiti itu bukan sekadar perubahan nama, sebaliknya menjadi simbol hala tuju yang jelas dalam menjadikan al-Quran sebagai mercu tanda pembangunan ilmu dan rohani negeri.

“Penjenamaan ini ibarat mengangkat mercu tanda di puncak negeri, agar jelas kelihatan arah yang dituju dan tujuan yang dijunjung,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.

Justeru, baginda menzahirkan harapan Universiti Al-Quran yang bakal disempurnakan pengisytiharannya tidak lama lagi bakal menjadi mata air ilmu yang tidak pernah kering, mengalirkan kefahaman al-Quran ke segenap penjuru serta melahirkan ilmuwan, pendakwah dan pemimpin yang menjadikan wahyu sebagai pedoman.

“Penubuhan universiti berkenaan juga diyakini mampu mengangkat Pahang Darul Makmur sebagai negeri ilmu yang diberkati dan dirahmati,” titah baginda.

Dalam hantaran di FB juga, Sultan Pahang mengajak umat Islam di negeri ini menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh keinsafan, kesungguhan dan tunduk kepada Allah SWT.

Baginda bertitah, Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya madrasah jiwa, medan tarbiah rohani serta musim untuk memperkukuh hubungan hamba dengan Pencipta.

“Puasa adalah jalan menuju takwa dan takwa itulah akar kepada segala kebaikan. Beberapa usaha wajar diperkasakan sepanjang Ramadan, antaranya memperbanyakkan bacaan, penghayatan dan tadabbur al-Quran, menjaga adab serta akhlak termasuk mengawal lidah dan emosi.

“Selain mengamalkan sikap sederhana serta menjauhi pembaziran,” titah baginda sambil menegaskan bahawa keindahan Ramadan turut terserlah melalui sikap saling menghormati, bertolak ansur serta membantu golongan yang memerlukan agar keberkatan bulan mulia itu dapat dirasai seluruh lapisan masyarakat.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Pahang, hakim, urus setia serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan penganjuran Tilawah Al-Quran Peringkat Pahang Kali Ke-69 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini semalam.

“Dengan penganjuran majlis berkenaan, ia sekali gus membuktikan syiar Islam terus subur dan diperkasakan di Pahang. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh peserta tilawah dan hafazan al-Quran yang menunjukkan kesungguhan dan disiplin dalam menghayati kalam Allah,” titah baginda. #BuletinTV3

Share:

Kerajaan Negeri Pahang Tegas, Tidak Akan Berkompromi Dengan Pemaju Yang Gagal Menyiapkan Projek Perumahan Rakyat

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang tegas tidak akan berkompromi dengan pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan rakyat di negeri itu mengikut spesifikasi dan tempoh ditetapkan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata tindakan tegas telah dan akan terus diambil terhadap pemaju dikenal pasti berdepan isu kelewatan atau kegagalan pelaksanaan projek.

"Sekiranya berlaku, Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) akan memanggil pemaju terlibat bagi mendapatkan penjelasan serta pelan mitigasi sebelum dibawa ke mesyuarat jawatankuasa berkaitan," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pemilikan PR1MA Pahang Batu 6, Lepar (Fasa 1 dan 2) serta Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Kampung Hijrah, Penor (Fasa 3) di sini hari ini.

Beliau berkata antara alasan sering diberikan pemaju ialah bencana alam seperti banjir dan kerajaan negeri akan menilai perancangan susulan yang dikemukakan mereka bagi memastikan projek dapat disiapkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata sehingga 31 Dis tahun lepas, pihaknya melalui LPHP telah menyiapkan 29,283 unit rumah melibatkan kos pembangunan berjumlah RM2.2 bilion.

Beliau berkata nilai keseluruhan sebenar pembangunan mencecah RM4.9 bilion dengan return of value (ROV) berjumlah RM2.7 bilion merangkumi pelbagai skim perumahan negeri termasuk PR1MA Pahang sebanyak 9,057 unit bernilai RM1.4 bilion.

"Skim lain melibatkan Rumah Makmur sebanyak 212 unit (RM16.9 juta), Perumahan Awam Kos Rendah 13,873 unit (RM485 juta), Program Residensi Rakyat 4,168 unit (RM148.8 juta) dan Rumah Rakyat Pahang sebanyak 1,188 unit bernilai RM87.2 juta," katanya.

Mohammad Fakhruddin berkata skim lain termasuk Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah sebanyak 384 unit (RM31.8 juta), Rumah Mangsa Banjir 121 unit (RM12.2 juta) dan Skim Tanah Warisan (STW) melibatkan 280 unit dengan kos RM15 juta. #AstroAwani

Share:

Misi Dadah Terkawal 2025: Pahang Rekod Pengurangan 100 Peratus Penagihan Dadah Babitkan 12 Kawasan Berisiko Tinggi

KUANTAN: Pahang merekodkan pengurangan 100 peratus penagihan dadah membabitkan 12 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) menerusi pelaksanaan Program Pengurangan Kawasan Berisiko Tinggi, sekali gus menjayakan misi Dadah Terkawal 2025.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata mukim yang telah berjaya diturunkan status kepada Kawasan Berisiko Rendah (KBR) ialah Gali, Batu Talam, Dong dan Sega di Raub; Pekan, Kuala Pahang dan Pahang Tua (Pekan); Perak dan Mentakab (Temerloh), Chenor dan Jengka (Maran) Kuala Kuantan di Kuantan.

"Sepanjang tempoh lima tahun, Kerajaan Negeri Pahang telah memberikan sokongan berterusan melalui pelaksanaan Pelan Strategik Pahang Teguh Dadah Terkawal 2021-2025, yang diperkukuh melalui Majlis Tindakan Membanteras Dadah peringkat daerah dan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Bintang Antidadah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pahang Tahun 2025, di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata pihaknya turut menyasarkan kadar penagihan dadah tidak melebihi 700 orang bagi setiap 100,000 penduduk dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan terus menyalurkan sokongan kewangan, logistik serta kerjasama strategik bagi memperkasakan inisiatif AADK ke arah merealisasikan misi Dadah Terkawal 2030.

"Menerusi Belanjawan Negeri Pahang tahun ini, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan RM75,000 kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia, RM75,000 lagi kepada Persatuan Pengasih Malaysia dan RM150,000 kepada 'Drug Intervention Community' sebagai usaha pencegahan penyalahgunaan dadah di negeri ini," katanya.#AstroAwani

Share:

Lantikan Orang-Orang Besar Negeri Pahang Tidak Bersifat Kekal, Tertakluk Tempoh Masa Dan Penilaian Prestasi Dan Budi Bicara Raja



KUANTAN: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah bahawa lantikan Orang-Orang Besar Negeri Pahang tidak bersifat kekal atau seumur hidup, sebaliknya tertakluk kepada tempoh masa, penilaian prestasi dan budi bicara Raja Pemerintah.

Paduka Baginda menegaskan bahawa kuasa melantik Orang-Orang Besar adalah kuasa mutlak Raja sebagaimana termaktub dalam peruntukan yang telah dilafazkan, dan setiap lantikan adalah tertakluk kepada peraturan, tatasusila jawatan serta amanah yang besar.

“Jawatan yang disandang bukan sekadar satu gelaran, sebaliknya terikat dengan tanggungjawab untuk memelihara negeri, menjaga warisan, adat istiadat, kesejahteraan rakyat serta kedaulatan negeri Pahang.

Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa setiap individu yang dilantik, sama ada dalam jawatan politik atau istana, hendaklah bekerjasama dengan Raja Pemerintah, mendokong titah perintah serta menzahirkan kesetiaan kepada Raja dan bakal pengganti.

“Pelantikan Orang Besar tidak dibuat semata-mata berdasarkan keturunan, sebaliknya mengambil kira pelbagai faktor termasuk salasilah keluarga, perwatakan, kelayakan, kebolehan dan elemen positif yang boleh disumbangkan kepada negeri.

“Sebarang perlakuan tidak sopan atau mencemarkan imej jawatan tidak seharusnya berlaku, dan setiap lantikan hendaklah berteraskan amanah, kejujuran serta kebijaksanaan,” titah Paduka Baginda.

Dalam pada itu, Paduka Baginda bertitah bahawa corak pelantikan pada zaman pemerintahan Paduka Baginda kini berbeza berbanding amalan terdahulu, selaras dengan konsep pelantikan bertempoh sebagaimana amalan pelantikan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Paduka Baginda, tempoh lantikan ditetapkan iaitu Orang Besar Berempat selama lima tahun, Orang Besar Berlapan empat tahun, manakala Orang Besar Raja, Orang Besar Enam Belas dan Orang Besar Istana selama tiga tahun, dan tempoh tersebut boleh disambung atau ditamatkan berdasarkan penilaian prestasi, kesihatan dan sumbangan sebenar.

Paduka Baginda turut menegaskan bahawa sudah tiba masanya pemikiran lama diubah, termasuk memberi ruang kepada generasi muda untuk menyumbang kepada negeri, dan pengunduran secara terhormat wajar dilakukan apabila tiba masanya.

Mengakhiri titah, Paduka Baginda menegaskan peranan utama Orang-Orang Besar Negeri adalah untuk sentiasa menjunjung kedaulatan Raja Pemerintah, menasihati Raja dalam hal adat dan kepentingan negeri, menjadi penghubung antara Raja dan rakyat, memelihara keharmonian negeri serta menampilkan kepimpinan berakhlak, berintegriti dan berwibawa. #KesultananPahang

Share:

Adik Mohd Adam Dari Felda Kota Gelanggi 4 Tidak Perlu Lagi Membalut Usus Guna Beg Plastik, MUIP Bekalkan Beg Stoma

KUANTAN: Selepas setahun menanggung derita apabila terpaksa menggunakan beg plastik sebagai ganti beg stoma akibat kekangan kewangan, nasib Mohd Adam Mat Noh, 7, akhirnya mendapat perhatian apabila bantuan peralatan perubatan itu disalurkan untuk kegunaannya.

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memaklumkan, bantuan beg stoma bagi kanak-kanak yang mengalami komplikasi usus terkeluar sejak lahir itu telah diselaraskan bagi meringankan beban keluarganya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, peralatan perubatan berkenaan akan disalurkan melalui Klinik Desa Kota Gelanggi 2 bagi memudahkan urusan keluarga terbabit.

“Kita akan menghantar bekalan ke klinik berkenaan supaya bapa Adam boleh mengambil peralatan tersebut untuk kegunaan anaknya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau meminta bapa kanak-kanak berkenaan, Mat Noh Mohamed, memastikan Adam dibawa menjalani rawatan susulan dengan pakar mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Menurutnya, rawatan pakar amat penting bagi memantau tahap kesihatan Adam, lebih-lebih lagi apabila sebelum ini terdapat laporan kegagalan menghadiri beberapa janji temu hospital yang telah diaturkan.

“Selain bekalan beg stoma, rawatan susulan oleh pakar amat penting untuk proses pemulihan. Kita berharap selepas ini tiada lagi isu gagal hadir supaya keadaan kesihatan Adam dapat dipantau secara rapi,” katanya.

Untuk rekod, Mat Noh merupakan penerima zakat aktif MUIP sejak 2015 hingga tahun lalu, dengan pelbagai bantuan telah disalurkan termasuk bantuan permohonan am, bantuan bencana atau rawatan serta bantuan kemudahan asas secara berkala.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan kisah menyayat hati penduduk Felda Kota Gelanggi Empat itu yang terpaksa menggunakan karung plastik sebagai ganti beg stoma sejak setahun lalu kerana tidak mampu membeli peralatan berkenaan, sekali gus menyebabkan Adam tidak dapat bersekolah.

Penyaluran bantuan itu diharap dapat mengakhiri penderitaan kanak-kanak berkenaan serta memberi ruang untuknya menjalani kehidupan yang lebih selesa seperti rakan seusia. #SinarHarian

Share:

Kuasa Pengampunan Di Bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan Tidak Boleh Di Anggap Sebagai Hadiah Politik Atau Simpati Peribadi

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dianggap sebagai hadiah politik atau simpati peribadi.

Sebaliknya, Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa kuasa pengampunan itu ialah mekanisme perlembagaan yang sah dan berfungsi sebagai imbangan terakhir dalam sistem keadilan yang bersifat menghukum.

"Kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan wajar dinilai dengan emosi dan jiwa yang tenang, bukannya dengan sentimen berlebihan atau kepala yang dingin," titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang hari ini.

Baginda bertitah sebarang pengurangan hukuman tidak sesekali memadamkan sabitan mahkamah, menghapuskan rekod kesalahan atau membatalkan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas pentadbiran negara.

"Pengampunan dan pengurangan hukuman ini juga bukan eksklusif kepada satu nama, satu parti atau satu kedudukan. Setiap tahun, ratusan banduan penjara daripada pelbagai latar belakang, termasuk kes jenayah berat dan ringan, menerima pengurangan hukuman atau pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu," titah baginda.

Menurut hantaran itu, Sultan Pahang bertitah demikian ketika berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-120 di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah keputusan berkenaan tidak dibuat secara unilateral, sebaliknya diputuskan melalui musyawarah Lembaga Pengampunan yang dianggotai wakil institusi utama negara atau negeri, sekali gus mencerminkan proses semak dan imbang yang berlapis.

Baginda bertitah bahawa dalam tradisi Raja Berperlembagaan, raja bukan alat sentimen awam dan tidak tunduk pada tekanan politik, sebaliknya berperanan sebagai payung keadilan yang menenangkan ketika emosi memuncak serta mengimbangi keadaan apabila suara lantang cuba memonopoli kebenaran.

"Kuasa pengampunan tidak harus ditafsir sebagai kelemahan sistem, sebaliknya sebagai peringatan jelas bahawa negara ini tidak ditadbir berdasarkan emosi media sosial, tidak menghakimi melalui pentas politik dan tidak menggantikan perlembagaan dengan kemarahan awam," titah baginda.

Sultan Pahang turut menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan terus kekal sebagai negara yang berprinsip dan tegas serta mendoakan agar negara ini dan negeri Pahang khususnya sentiasa berada dalam rahmat Allah. #AstroAwani

Share:

Ikan Temoleh Kekal Di Lindungi, Selepas Tiada Sebarang Kes Tangkapan Atau Pendakwaan Di Rekod Dalam Tempoh 10 Tahun

KUANTAN: Ikan temelian atau temoleh kekal dilindungi selepas tiada sebarang tangkapan atau pendakwaan direkodkan membabitkan spesies itu di Pahang dalam tempoh 10 tahun.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Roslan Abu Hasan berkata, rekod itu menunjukkan tahap pematuhan yang baik dalam kalangan nelayan darat terhadap larangan menangkap spesies berkenaan yang dikuatkuasakan setiap tahun.

“Tahun ini, kita turut mengeluarkan larangan kepada orang ramai termasuk nelayan darat dan pemancing supaya tidak menangkap ikan temoleh mulai bulan ini sehingga April depan.

“Larangan ini bertujuan mengelakkan kepupusan dengan cara melindungi dan memuliharanya semasa musim bertelur di lubuk ikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Glami Lemi, tempoh berkenaan merupakan musim kemarau yang menyaksikan kemunculan kawasan berpasir.

“Ikan temoleh mempunyai sifat unik, iaitu memilih kawasan cetek untuk bertelur secara berpasangan dengan cara berlaga dan menghempaskan telur.

“Selepas proses itu, induk ikan menjadi lemah dan mudah ditangkap nelayan darat,” jelasnya.

Sehubungan itu, menurut Roslan, menangkap atau memiliki ikan temoleh sepanjang musim larangan merupakan satu kesalahan.

Katanya, tindakan tegas boleh diambil di bawah Kaedah 15(1) dan (2), Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Negeri Pahang.

“Mana-mana individu yang didapati menangkap, mengambil, membunuh atau memiliki spesies terbabit boleh ditangkap, dikompaun atau didakwa di mahkamah.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM5,000, selain peralatan menangkap ikan dirampas dan dilupuskan mengikut peruntukan sedia ada,” katanya. #SinarHarian

Share:

Pembantu Pegawai Kesihatan Maut Selepas Kereta Di Pandu Terbabit Kemalangan Empat Kenderaan Jalan Jerantut-Temerloh

TEMERLOH: Seorang pembantu pegawai kesihatan maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 26 Jalan Jerantut–Temerloh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.41 pagi itu, mangsa R. Sathiyan, 43, yang memandu Proton Saga disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Nasyim Bahron berkata, kemalangan tersebut melibatkan kereta dipandu mangsa, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, trak pikap Toyota Hilux serta sebuah lori.

“Kemudian lori yang datang dari belakang telah hilang kawalan dan langgar belakang Perodua Alza menyebabkan MPV berkenaan masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta Proton Saga yang sedang menuju ke arah Temerloh.

“Susulan itu sebuah trak pikap yang sedang datang dari belakang kereta Proton Saga tidak dapat mengelak lalu terlanggar kereta berkenaan,” katanya, di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. #BeritaHarian

Share:

Seorang Bapa Terpaksa Balut Usus Anak Bongsunya Dengan Plastik Karung, Kerana Tidak Mampu Beli Beg Stoma Kanak-Kanak

JERANTUT: Seorang bapa mengakui terpaksa membalut usus anak bongsunya dengan karung plastik biasa kerana tidak mampu menyediakan beg stoma bagi kanak-kanak itu.

Keadaan itu juga menyebabkan Mohd Adam Mat Noh, 7, yang mengalami komplikasi usus terkeluar sejak lahir, terpaksa melupakan hasrat memulakan persekolahan tahun ini.

Bapanya, Mat Noh Mohamed, 57, berkata, masalah kesihatan anaknya dikesan sejak lahir apabila organ dalaman didapati pendek dan tersumbat, menyebabkan Mohd Adam gagal membuang air besar secara normal.

Menurutnya, Mohd Adam pernah menjalani pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan pada 2022 sehingga sebahagian ususnya terpaksa dikeluarkan.

“Sejak itu, anak saya sepatutnya menggunakan beg stoma, tetapi sejak setahun lalu saya tidak mampu membelinya dan terpaksa membalut ususnya dengan plastik.

"Keadaan ini sangat berbahaya dan menyukarkan pergerakannya, jadi sebab saya tangguh dahulu anak ke sekolah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mat Noh yang menetap di Felda Gelanggi Empat berkata, anaknya masih memerlukan rawatan susulan untuk memasukkan semula usus yang terkeluar.

Bagaimanapun, ujarnya, kos rawatan yang tinggi menyebabkan dia tidak mampu menampung perbelanjaan tersebut sekali gus menambah beban keluarga.

Mat Noh juga kini tidak berupaya bekerja selepas kemalangan motosikal tahun lalu yang mengakibatkan kecederaan saraf tulang belakang dan tulang paha kanan yang memendek.

“Saya kini berstatus orang kurang upaya (OKU) dan tidak mampu lagi menyara keluarga atau membiayai kos rawatan anak.

"Kekangan kewangan ini bukan sahaja menjejaskan Adam, malah anak sulung saya, Mohd Razak, 11, turut kerap tidak ke sekolah,” katanya yang sudah menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun, nasib Mohd Adam kemudian mendapat perhatian kerajaan negeri apabila Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) Jerantut menziarahi keluarganya bagi meringankan beban mereka.

Pengerusinya, Norsarfinaz Mohd Azman berkata, Mohd Adam sepatutnya sudah memulakan persekolahan, tetapi keadaan fizikalnya yang lemah mendatangkan risiko pendarahan.

“Saya dimaklumkan Mohd Adam beberapa kali dipanggil untuk rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh termasuk pada 29 Januari lalu, tetapi gagal hadir kerana kekangan kewangan dan keadaan bapanya yang uzur.

"Jadi, kami akan membantu Mohd Adam mendapatkan rawatan supaya dia boleh hadir ke sekolah, selain memastikan dua beradik itu menerima bantuan JKM,” katanya.

Ziarah tersebut turut dihadiri Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut, Dr Muhammad Syafiq Kunyahamu bagi menilai keadaan kesihatan Mohd Adam sebelum dirujuk untuk rawatan lanjut.

Beliau memaklumkan, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menghulurkan bantuan segera bagi membolehkan Mohd Adam mendapatkan rawatan pada tarikh baharu yang akan ditetapkan hospital.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu Mohd Adam boleh menghubungi Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar di talian 013-9074157 (Zila Ismail). #SinarHarian

Share:

Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur Bhd (KPKP) Kekal Relevan Selepas Satu Abad Penubuhan

KUANTAN: Inisiatif sekumpulan penjawat awam negeri menubuhkan koperasi 100 tahun lepas bukan sahaja memberi manfaat kepada anggotanya pada ketika itu, sebaliknya Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur Bhd (KPKP) kekal kukuh dan relevan sehingga kini.

Ditubuhkan di Lipis pada 1 Jan 1926 dengan nama The Pahang Government Servants Co-operative Thrift and Loan Society Limited, koperasi itu bermula sederhana sebelum berkembang menjadi institusi yang menjadi simbol kerjasama, amanah dan bertahan daripada generasi kepada generasi.

Pengerusinya Mohd Azman Ibrahim berkata selepas satu abad penubuhan, KPKP bukan sahaja menjadi koperasi pertama di Pahang malah terus kekal sebagai institusi yang memberi manfaat kepada ribuan penjawat awam negeri Tok Gajah.

Menelusuri pelbagai fasa sebelum dan selepas kemerdekaan sehingga ke dunia digital, beliau berkata tatakelola pengurusan yang baik, barisan kepimpinan cekap dan sentiasa menjaga serta memberi keutamaan kepada kebajikan ahli ialah “rahsia” koperasi itu kekal utuh untuk jangka masa panjang. 

“Selepas melalui peredaran zaman koperasi ini masih mampu menempuh pelbagai cabaran termasuk ketika negara berdepan pandemik COVID-19 demi kelangsungan ahli. Kita juga sentiasa menjalankan perniagaan yang berdaya saing dan seterusnya memberi pulangan yang baik kepada ahli,” katanya kepada Bernama. 

Mohd Azman berkata KPKP yang pernah dianggotai oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein, kini merekodkan lebih 7,000 ahli penjawat awam negeri dan menawarkan pelbagai faedah kepada anggota seperti pemberian pinjaman serta bantuan kebajikan. 

Antara faedah lain koperasi tertua di negeri itu ialah bantuan persekolahan dan melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi kepada anak ahli, bencana alam, perkahwinan ahli serta khairat kematian.

“Selain itu, KPKP juga menjalankan aktiviti perniagaan hotel, stesen minyak, ladang kelapa sawit dan ladang kelapa matag serta Perkhidmatan Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu),” katanya. 

Dalam pada itu, melangkah ke abad kedua, beliau berkata peranan dan perpaduan dalam kalangan ahli memainkan peranan penting bagi memastikan koperasi terus relevan sepanjang zaman serta kekal unggul menjadi antara terbaik di Malaysia, khususnya Pahang. 

“Koperasi ini milik kita bersama-sama. Sokongan, penglibatan aktif dan idea baharu daripada ahli ialah kekuatan sebenar koperasi,” katanya. 

Sempena ulang tahun ke-100 penubuhan, beliau berkata pelbagai pengisian dirancang sepanjang 2026 seperti Fun Run dan Sukan Rakyat di Kuala Lipis semalam sebagai simbolik lokasi penubuhan KPKP yang menarik penyertaan lebih 500 peserta manakala sambutan utama dijadualkan pada Jun.   

Menyingkap sejarah penubuhannya, Pengurus Besar KPKP Abdul Rashid Abdul Rahman berkata koperasi itu mula beroperasi di Pejabat Penerangan Kuala Lipis sebelum berpindah ke Transit Quarters di Jalan Kuantan apabila daerah itu menjadi ibu negeri Pahang.

Beliau berkata pada 1960, KPKP membeli sebuah bangunan kedai dua lot tiga tingkat di Jalan Mahkota, di sini dengan nilai RM108,000 menjadikan mereka sebagai koperasi pertama di Pahang mempunyai pejabat sendiri.

“Koperasi ini terus berkembang sehingga membolehkan KPKP memiliki sebuah bangunan kedai empat lot tiga tingkat di Jalan Gambut 2 di sini pada 1994 dengan nilai RM1.4 juta yang digunakan sebagai pejabat urusan KPKP sehingga dikenali sebagai Wisma KPKP kini,” katanya. #Bernama

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.