script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Panas: Orang Asli Di Pahang "Serang" Pejabat MB, Hantar "Memorandum" Bela Nasib Kaum Mereka!

KUANTAN, 17 Okt - Seramai kira-kira 500 masyarakat orang asal (asli) dari seluruh negeri Pahang telah mengadakan himpunan aman di pejabat Menteri Besar hari ini. Himpunan terbabit diadakan bagi menyerahkan memorandum berhubung pewartaan tanah milik orang asal yang kini menjadi isu panas di negeri ini. Difahamkan Wakil Jaringan Kampung-Kampung Orang Asli Malaysia (JKOASM), Shafie Dris telah berjaya menyerahkan memorandum tersebut kepada Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob. Mereka juga khabarnya telah dilayan dengan baik oleh MB Pahang dan barisan exconya dalam satu pertemuan khas yang diadakan di Wisman Sri Pahang. Apa yang menarik, sama seperti pertemuan MB dengan masyarakat kaum India Cameron Highlands beberapa bulan lalu mereka (orang asal) turut dilayan dengan baik oleh MB Pahang itu. Sebelum itu, kesemua mereka terpaksa menunggu hampir satu jam sebelum dapat berjumpa dengan MB Pahang itu. Menurut Shafie, Adnan menerima memorandum dan mengatakan tuntutan yang dibuat oleh mereka munasabah cuma ada beberapa perkara yang tidak dipersetujui oleh beliau. "MB kata ada satu dua yang tak jelas, tapi dia tak jelaskan yang mana satu. Kami diberi makan dan berkumpul di Padang MPK2 untuk tahu keputusan hasil mesyuarat dengan MB itu", kata beliau. Laungan keramat bergema termasuk "Hidup Orang Asli" dan "Hidup Rakyat" semasa mereka berarak ke pejabat MB.  Mereka juga membawa sepanduk "Ikhtiraf Tanah Adat Orang Asli", "Batalkan Rizab Yang Bertindih Dengan Tanah Orang Asli" dan "Kami Bukan Pendatang".  Difahamkan, hari Rabu merupakan Mesyuarat Exco bagi Kerajaan Negeri Pahang, maka semua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan juga turut menyaksikannya.

[Memorandum lapan perkara itu antara lainnya menggariskan tuntutan supaya kerajaan negeri Pahang mengiktiraf tanah adat serta menarik balik lesen kepada kontraktor yang melakukan kerja di atas tanah tersebut. Masyarakat itu juga menuntut supaya kerajaan menghentikan segala kegiatan yang dijalankan ke atas tanah mereka serta menarik balik lesen kontraktor yang kini sedang menjalankan kerja pengukuran tanah tersebut. Mereka juga mahu kerajaan membuat agihan semua ke atas kawasan rizab yang didakwa bertindih di antara kawasan tanah dan wilayah adat Orang Asli bagi mengiktiraf kawasan milik golongan tersebut Memorandum itu juga menyebut, kerajaan perlu memansuhkan dua peruntukan dalam Akta Orang Asli 1954 berhubung kawasan dan rizab yang diperuntukkan untuk masyarakat tersebut. Seksyen 6(3) dan 7(3) Akta 134 ini memberi kuasa kepada menteri untuk membatalkan mana-mana pengisytiharan kawasan orang Asli atau rizab orang Asli pada bila-bila masa tanpa perbincangan dan perundingan. Memorandum itu seterusnya menuntut kerajaan negeri yang memansuhkan Dasar Pemberimilikan Tanah Orang Asli yang disifatkan "tidak bawa sebarang manafaat kepada masyarakat Orang Asli"].
Share:

Bersih 3.0: Mahkmah Dengar 'Permohonan' Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Dan Chegubard 23 Nov

KUALA LUMPUR, 17 Okt - Mahkamah Tinggi menetapkan 23 November ini untuk mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim (foto) berhubung isu sama ada Seksyen 4(1)(c) dan 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak. Hakim Kamardin Hashim menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut di depannya semalam. Anwar memfailkan permohonan itu bagi merujuk persoalan perundangan berhubung satu daripada tiga pertuduhan berkaitan perhimpunan Bersih 3.0 terhadapnya. Pada 22 Mei lepas, Anwar dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali serta Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin didakwadi Mahkamah Sesyen kerana menyertai protes jalanan yang menimbulkan kekecohan di ibu negara. Mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyertai protes jalanan bagi maksud membantah perintah Majistret Zaki Ashraf Zubir yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka serta amaran supaya orang awam tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan, antara 28 April hingga 1 Mei 2012. Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sepanjang Jalan Tun Perak di sini antara 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April lepas mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman maksimum denda RM10,000 jika sabit kesalahan. Anwar, Mohamed Azmin dan Badrul Hisham merupakan kumpulan individu pertama didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman, yang berkuat kuasa tahun ini. Mereka juga mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Tangam Raju, Rajesh Kumar Gejinder dan Farhan Ibrahim dengan menghasut ketiga-tiganya membuka sekatan besi halangan di Jalan Raja pada hari yang sama. Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa bersama penyokong 'Gabungan Bersih dan Adil' yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama, telah bersubahat dan menghasut Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan mengingkari perintah Mahkamah Majistret yang dikeluarkan pada 26 April lepas, dan keengkaran itu mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan itu. Anwar, 64, Mohamed Azmin, 48 dan Badrul Hisham, 34, didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Raja pada 3 petang, 28 April lepas mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Share:

Panas: Saksi Utama Tidak Relevan, UMNO Pahang Di Gesa Batalkan Hasrat Merayu Kes Gagal Tuntut Ganti Rugi Terhadap 'Seruan Gemilang Makmur' !

KUANTAN, 16 Okt - Badan Perhubungan UMNO Pahang yang diketuai oleh Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob (foto) wajar menarik balik permohonan untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang memberi kemenangan kepada syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd (SGM) pada 24 September lalu. Demikian ditegaskan oleh salah seorang saksi yang mengikuti perjalanan kes tersebut baru-baru ini. Dalam penghakiman yang dibuat oleh Timbalan Pendaftar, Sazlina Shafie memutuskan tiada sebarang kerugian dan manfaat yang perlu dibayar oleh SGM atas tuntutan saman gantirugi UMNO Pahang terhadap mereka. Ini kerana alasan tuntutan tersebut (gantirugi) tidak relevan kerana banyak percanggahan dalam setiap keterangan yang diberikan oleh saksi pakar yang ditampilkan oleh UMNO selaku defenden dalam kes ini. UMNO gagal membuktikan tuntutan gantirugi terhadap hasil pembalakan bernilai RM1 juta atas tanah seluas lebih 400 hektar di Nenasi, Mukim Bebas Pekan dan manfaat perjanjian berjumlah lebih RM3.5 juta. Bagaimana pun, keputusan mahkamah itu tidak membabitkan soal liabiliti yang kini masih berjalan. Menurut saksi tersebut yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, amat memalukan bila mana UMNO Pahang menampilkan saksi dan saksi pakar yang tidak berwibawa untuk kes itu. Difahamkan saksi utama UMNO Pahang dalam kes ini ialah Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Pahang bernama Abd Rahim Abas (dulunya Dato' Ahmad Tajuddin Sulaiman). Saksi tersebut (Abd Rahim) dipercayai beberapa kali gagal untuk menjawab soalan yang dikemukakan oleh peguam plaintif (SGM) iaitu Dzulkarnain dan Muhamad Aznel. Saksi tersebut dipercayai gagal menjawab secara profesional dan lebih banyak memberi alasan "tidak tahu" dan "tidak pasti", hingga terkadang menimbulkan kesangsian oleh pihak mahkamah sendiri apakah beliau benar-benar bersedia untuk menjadi saksi kes itu. Malah, ketika prosiding berjalan juga saksi tersebut beberapa kali mengaku beliau sebenarnya tidak tahu menahu kes itu dan segala jawapan yang terkeluar dari mulutnya adalah "diajar" serta mendapat "nasihat" daripada peguam UMNO Toh Seng Soon, Wong dan Ong Siew Wan.
Kenyataan beliau itu jelas sekali satu tindakan yang salah dari segi undang-undang dan Peguam UMNO sebenarnya boleh dikenakan tindakan jika perkara ini diajukan kepada Lembaga Displin, Majlis Peguam. Paling mengejutkan saksi berkenaan mendakwa, pernah pada satu ketika saksi UMNO itu ditegur oleh Timbalan Pendaftar (Sazlina Shafie) sendiri atas alasan jawapan yang diberikannya tidak konsisten, tidak fokus dan tidak serius menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh peguam plaintif (SGM). "Saksi itu langsung tidak berwibawa dan tidak boleh dipercayai. Beliau tidak mempunyai pengalaman dalam indsutri pembalakan dan tiada pengalaman dalam kerja-kerja tersebut. Segala jawapan yang dia berikan bukan dari pengetahuannya tetapi jelas telah diajar serta diasuh oleh peguam UMNO Pahang sendiri selaku defenden", tambah saksi itu.
Pada penghakiman tersebut (24 September) UMNO Pahang diberi tempoh 14 hari untuk menfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan dan difaham mereka telah berbuat demikian. Namun persoalannya, apakah alasan kukuh untuk UMNO merayu sedangkan saksi yang ditampilkan oleh mereka jelas sekali tiada kreadibiliti dan Timbalan Pendaftar sendiri pernah menegur beliau berkali-kali supaya tidak menganggap mahkamah sebagai sarkas semata-mata. Ini sesuatu yang amat memalukan tidak tidak wajar berlaku dalam sistem perundangan negara. Bukankah mana-mana pihak yang mahu menjadi saksi perlu bersumpah bahawa segala keterangan yang diberikannya di mahkamah adalah benar belaka dan boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah jika cuba menipu atau memutar belit sesuatu fakta. Maknanya, dalam kes ini jelas sekali segala perkara itu berlaku malah lebih teruk lagi apabila peguam UMNO sendiri dipercayai telah memberi tunjuk ajar kepada saksi untuk menjawab segala persoalan yang dikemukakan oleh peguam plaintif (SGM) dalam kes ini. Bermakna, Badan Perhubungan UMNO Pahang tidak wajar menafailkan rayuan untuk satu kes yang boleh menjejaskan imej mereka di mata dunia sebenarnya].
Share:

Panas: SPR, SKMM Kesan Pihak Berkempen Guna Media Alternatif Selepas Jam 12.00 Tengah Malam

KUANTAN, 15 Okt - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pihak berkempen menerusi media alternatif selepas pukul 12 tengah malam menjelang hari mengundi. Timbalan Setiausaha SPR Datuk Noordin Che Ngah berkata perbuatan itu melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya yang melarang calon dan ejen mereka berkempen di luar tempoh dibenarkan. Bagaimanapun, SPR tidak mempunyai penguat kuasa mahupun kepakaran untuk memantau media sosial dan alternatif seperti blog, Facebook dan Twitter, katanya. "Kita berharap pihak SKMM boleh melihat perkara ini dan bersama-sama membantu kita dalam mengenal pasti mana-mana pihak yang berbuat demikian" katanya pada taklimat SPR bersama wakil parti politik dan media di sini, hari ini. Noordin turut mengingatkan semua parti politik supaya tidak menggunakan bahan kempen yang boleh memfitnah orang lain dan berdepan tindakan jika mereka ingkar. Pada taklimat itu, SPR turut mengadakan demonstrasi proses pengundian di tempat mengundi yang disaksikan oleh kira-kira 100 wakil dari parti politik dan media. Bagaimanapun, proses itu terganggu beberapa kali apabila beberapa wakil dari parti pembangkang terus mempersoalkan beberapa prosedur termasuk gunakan pensil untuk menanda nama-nama pengundi.

[Satu tindakan yang tidak masuk dek akal dan tidak wajar sebenarnya di zaman sains dan teknologi ini. Peraturan baru SPR ini jelas sekali untuk menghalang dan takut berhadapan dengan kebenaran. Mereka mungkin akan kenakan tindakan kepada calon pembangkang tetapi tidak mungkin berani ambil tindakan kepada mana-calon BN yang berkempen dengan cara tersebut sebenarnya. SPR tidak perlu membuat peraturan yang direka khas untuk menghalang demokrasi subur tertegak di tanahair yang tercinta ini]. 
Share:

Berita Radio Cili FM Di Muka Depan Media Terkini!


Share:

Jenayah: Polis Pahang Berjaya Tembak Mati Salah Seorang Daripada Anggota Kumpulan KK Merah !!

TEMERLOH, 15 Okt - Polis Temerloh menembak mati seorang daripada empat anggota kumpulan KK Merah, yang disyaki terlibat dalam tujuh kes samun dan satu kes bunuh, ketika berbalas tembakan di kawasan ladang sawit di Sanggang dekat sini, semalam. Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani (foto) berkata dalam kejadian pada 1.30 pagi itu, sepasukan polis Bahagian Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang cuba menahan sebuah kenderaan yang mencurigakan dipandu seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat selepas tol Temerloh menghala Jerantut. Bagaimanapun, beliau berkata kenderaan yang disyaki dicuri itu terus memecut ke jalan ladang kelapa sawit berkenaan dan terbabas dalam kawasan ladang tersebut. "Apabila anggota kita menghampiri kenderaan itu, tiba-tiba terdengar bunyi tembakan dari arah dalam kereta tersebut," katanya kepada pemberita. Sharifuddin berkata pasukan polis terpaksa membalas tembakan dan pemeriksaan yang dilakukan selepas itu mendapati seorang lelaki mati di bahagian pemandu akibat terkena tembakan. Beliau berkata polis menemui sepucuk revolver bersama tiga butir peluruhidup dan tiga kelongsong peluru, yang dipercayai digunakan suspek ketikaberbalas tembakan dengan polis selain sebuah komputer riba, sebilah parang sertasatu ketulan mampat dadah, dipercayai ganja, dalam kereta itu. "Suspek yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Muhamad Azirywan Mohd Azlan, 21, dari Perkampungan Cenderawasih, Kuantan dan merupakan seorang penganggur, dan hasil siasatan mendapati kumpulan itu terlibat dalam tujuh kes samun dan satu kes bunuh di daerah Temerloh, Kuantan, Bentong dan negeri Selangor," katanya. Sharifuddin berkata suspek dipercayai terlibat dalam kes bunuh di Kampung Baru Simpang Songsang pada 14 Sept lepas melibatkan seorang peniaga Abdul Talib Yadin, 56, yang ditikam selepas disamun ketika pulang dari berniaga pada 2.30pagi. Beliau berkata seorang lagi rakan suspek berumur 16 tahun, yang turut terbabit dalam lapan kes samun, ditangkap di Jalan Kampung Lantin, Chenor pada 1.30 pagi 7 Okt ketika sedang menaiki motosikal bersama dua lagi rakannya, yang berjaya melarikan diri. Katanya, polis kini memburu dua individu dikenali sebagai Mohd Hairie Abdul Malik, 28, beralamat di No. 21, Kampung Tebing Tinggi, Temerloh serta Mohd Ridzuan Khaidir, 22, dan orang ramai yang ada maklumat diminta tampil di balai polis berdekatan.
Share:

Panas: Kes Hina Islam Di Kuantan, Ramai Kecewa Dakwaan Isu Sengaja Di Reka Untuk Cari Publisiti!

KUANTAN, 14 Okt - Orang ramai terutamanya umat Islam di bandar ini kecewa dengan kenyataan beberapa orang pemimpin politik yang mendakwa isu kekecohan kes "hina Islam" yang berlaku di pasaraya Berjaya Mengamall  (foto) dekat sini semalam sengaja direka-reka oleh pihak tertentu bagi mencari publisiti murahan dan menjatuhkan imej Kerajaan Negeri Pahang. Ia berikutan terdapat kenyataan daripada pihak terbabit yang dengan jelas mengatakan isu tersebut hanyalah "fitnah semata" yang direka bagi mencari publisiti murahan oleh pihak pembangkang. Walhal segala yang berlaku adalah benar semata-mata dan tidak pernah direka oleh sesiapa pun. Tambah mengelirukan ada pula blogger-blogger UMNO yang dengan jelas mendakwa blog pembangkang termasuk Harakahdaily sengaja memutar belit cerita tersebut. Misalnya, blogger Cucu Tok Selampit dengan jelas mengatakan "Blogger PAS dan Harakahdaily (sekali lagi) Menfitnah Kerajaan Pahang Isu Gambar Kaabah Di Persenda..". Menurut posting terkini daripada blogger "Blogger Pakatan Haram, Wargamarhaen, yang memuatkan artikel "Biadab! Kaabah dihina di Megamall Kuantan" dan dipetik dan disiarkan oleh Haprakdaily didapati telah melakukan fitnah dengan menyiarkan berita palsu mengenai Kerajaan Negeri Pahang. Blogger berkenaan menulis, "Mohon pihak bertanggungjawab batalkan event kurang ajar dan menghina agama Islam serta merta! Kenapa permit untuk event ini diluluskan kerajaan Pahang?", dakwanya Tidak cukup dengan itu Cucu Tok Selampit (CTS) juga mendakwa beliau  telahpun mendapat kepastian daripada Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang (Setpol), Dato Shamsuddin Nawawi, bahawa tiada promosi dan kain rentang seperti yang dilaporkan oleh Blogger Pakatan dan Harakahdaily diletakkan di Megamall Kuantan. "Hasil maklumat daripada rakan-rakan di Facebook, gambar berkenaan adalah asli dan tidak diubahsuai. Cumanya, lokasi Megamall berkenaan adalah di Kuala Lumpur dan bukannya di Kuantan!", dakwa kenyataan di blog beliau untuk mempertahankan kerajaan dalam isu ini. Kenyatan ini jelas sekali bertujuan mengampu seperti kebiasaan yang dilakukan oleh blogger pencacai. Amat malang sekali bila kisah benar seperti ini pun mereka masih mahu "tegakkan benang yang basah". Minda rakyat masih mahu dipesongkan atas isu yang jelas sekali "sudah terang lagi bersuluh" itu.

Apa yang memusyilkan kita sekarang ialah kenapa mereka masih mahu mempertahankan isu yang sudah menjadi kekecohan dikalangan umat Islam di Kuantan ini?. Mana pergi pemimpin agama termasuk Mufti Pahang? Mana pergi pemimpin yang mendabik dada kononnya mereka mempertahankan kesucian agama Islam selama ini?. Tambah memalukan blogger terbabit juga mendakwa Setpol MB sudah memaklumkan kepada beliau bahawa tiada promosi dan kain rentang seperti yang dilaporkan. Kenapah beliau tergamak mengeluarkan kenyataan seperti ini agaknya?. Sedangkan satu Kuantan sudah kecoh dengan isu berkenaan, masih mahu mengelirukan rakyat dalam kes ini. Malah, blogger Cucu Tok Selampit tanpa segan silu mengatakan kejadian berlaku di Berjaya Megamall di Kuala Lumpur dan bukannya di Kuantan. Bukankah ini sesuatu yang jelas "menipu rakyat" atas kerakusan pertahankan "benang yang basah"


[Malah, pihak kami (PDO) sebelum ini sudah awal-awal lagi mendapat maklumat berkenaan daripada orang ramai yang berada di lokasi kejadian tersebut (Berjaya Megamall Kuantan). Maka kenapa blogger berkenaan mendakwa ia berlaku di Kuala Lumpur. Malah, PDO juga ada mendapat maklumat daripada beberapa orang petugas media arus perdana yang turut memantau isu ini. Menurut seorang petugas media, memang backdrop asal ada tertulis "Raya Haji & Halloween 2012" (sebelum) seperti gambar di atas. Mereka (penganjur) kemudian telah mengubah gambar lain (selepas) dan telah membuat permohonan maaf menerusi media (Sinar Harian). Apa yang menjadi persoalan backdrop yang diganti itu juga masih tidak sesuai dan tetap menghina Islam sebenarnya. Difahamkan penganjur program berkenaan ialah PREC dan sebuah akhbar berbahasa Cina dengan mendapat sokongan penuh daripada pihak pengurusan Berjaya Megamall (paper) itu sendiri. Jika wartawan media arus perdana pun melaporkan kebenaran kes ini, maka kenapa masih ada blogger pencacai dan pemimpin kerajaan yang masih mahu membela dan menuduh isu ini sengaja direka bagi mencari publisiti murahan untuk jatuhkan imej kerajaan UMNO BN?].
Share:

Rakyat Pekan Tuntut Najib Tepati Janji Di Tg.Agas!

Janji tidak ditepati di Parlimen Pekan yang diwakili Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Siri video ini akan memaparkan empat isu utama yang dibangkitkan rakyat di kawasannya itu.


[Najib didesak selesaikan projek terbengkalai di Tanjung Agas dalam kawasan parlimennya itu dulu sebelum berkokok ke sana sini menabur "janji ditepati" di tempat orang. Kegagalan projek mega Taman Industri Minyak, Gas dan Logistik Tanjung Agas (TAOGLIP) yang dianggarkan bernilai RM8 bilion ini jelas satu bukti yang beliau telah gagal dan menipu rakyat sebenarnya. Pada asalnya projek gah yang pernah menarik perhatian bila diuar-uarkan ia bakal memberi nikmat besar kepada penduduk termasuk 3,000 peluang pekerjaan baru di samping menyediakan peluang perniagaan. Harapan penduduk juga turut berbunga kerana daerah mereka bakal setanding dengan bandar besar seperti Kelang apabila siapnya projek raksasa di Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) itu. Namun setelah dua tahun diumumkan oleh Najib. Namun, projek di atas tanah seluas 4,700 ekar itu yang siap hanyalah lebuh raya sepanjang 15 km menghubungkan Jalan Pekan-Rompin ke tapak projek tersebut. Itupun telah rosak teruk akibat dari hakisan yang berlaku].
Share:

Isu Lynas: Mahkamah Tinggi Kuantan Tetapkan 8 November Keputusan Permohonan Bekukan TOL !

KUANTAN, 11 Okt - Mahkamah Tinggi Kuantan menetapkan 8 November ini untuk keputusan permohonan pembekuan Lesen Operasi Sementara (TOL) kilang nadir bumi, Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, dekat sini. Hakim Datuk Mariana Yahya memutuskan demikian atas alasan untuk meneliti secara terperinci tiga permohonan berkenaan TOL tersebut. Permohonan tersebut membabitkan LAMP dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai defendan dan penduduk Kuantan sebagai plaintif. "Setelah mendengar hujah daripada ketiga-tiga pihak, saya menetapkan 8 November ini sebagai tarikh keputusan plaintif," katanya di Kuantan semalam. Penduduk Kuantan, yang diwakili Datuk Bastian Pius Vendargon, memohon supaya mahkamah membekukan TOL bagi menghentikan operasi LAMP. Sementara itu, pihak LAMP, yang diwakili oleh Tan Sri Cecil Abraham, memohon perubahan afidavit untuk menjadi defendan ketiga. AELB dan MOSTI yang diwakili oleh Peguam Persekutuan Kanan, Datin Azizah Nawawi memohon supaya TOL tidak dibekukan dengan alasan penduduk Kuantan bakal dikenakan tindakan saman oleh LAMP. Dalam pada itu, kira-kira 100 penyokong penduduk Kuantan berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuantan seawal pukul 7.30 pagi sambil memegang sepanduk masing-masing bagi menunggu keputusan permohonan tersebut.

[Nampaknya perjuangan rakyat untuk menuntut hak mereka dalam isu Lynas ini masih diteruskan dan mereka ternyata tidak mahu kilang berisiko itu beroperasi sebenarnya. Persoalannya, apakah masih ada keadilan untuk mereka terus berjuang dalam isu ini. Apakah jika Mahkamah Tinggi memutuskan lesen TOL Lynas itu dibatalkan, maka syarikat terbabit akan akur dengan arahan tersebut dan memberhentikan operasi mereka?. Apakah kerajaan akan berdiam diri dan tidak merayu keputusan itu begitu sahaja. Inilah yang memusykilkan kita sebenarnya. Justeru, apa yang pasti tentunya rakyat tidak dapat mempertahankan hak mereka kelak, kerana segala perjalanan kes ini seolah-olah menjurus ke arah itu. Apa yang penting, rakyat perlu lakukan perubahan pada Pilihanraya Umum Ke-13 nanti jika mahu melihat kilang Lynas itu dinyahkan dari bumi Pahang khasnya dan Malaysia amnya. Tiada apa lagi yang boleh diharapkan daripada kerajaan yang ada sekarang kerana mereka tetap akan mempertahankan projek Lynas itu tanpa mengambilkira risiko yang bakal ditanggung oleh rakyat terutamanya generasi akan datang ini sebenarnya].
Share:

Panas: UMP Batal Kuliah Agama Ustaz Azhar, Tapi Benarkan Persembahan Hiburan Artis Jumaat Ini

KUANTAN, 10 Okt - Ramai pihak terkejut dan kecewa dengan tindakan pihak Universiti Malaysia Pahang (UMP) membatalkan kuliah Ustaz Azhar Idrus yang dijadulkan berlangsung di IPTA tersebut jam 8.00 malam ini. Masing-masing hairan dengan sikap UMP yang sanggup membatalkan kuliah seorang tokoh ulamak terkenal seperti Ustaz Azhar yang mana auranya kini diterima oleh generasi muda tanpa mengira fahaman politik kepartian masing-masing. Difahamkan pembatalan tersebut ada kaitannya dengan campurtangan pihak atasan yang mendapat arahan "tangan-tangan ghaib" termasuk dari kalangan orang politik sendiri. Mereka mungkin gusar andainya kuliah beliau yang sepatutnya diadakan di Dataran Canseleri UMP itu mendapat sambutan luar biasa dikalangan para pelajar universiti terbabit termasuk orang luar. UMP khabarnya sedang menganjurkan Expo Konvo 2012 sempena Majlis Konvokesyen Ke-7 universtiti terbabit. Malah, buat julung-julung kalinya sambutan pada kali ini mendapat kerjasama daripada media UMNO iaitu Utusan Malaysia. Acara sambutan diadakan di kampus mereka di Gambang dan juga Kuala Pahang (Pekan) bermula pada 6 Oktober hingga 14 Oktober ini. Apa yang lebih mengecewakan orang ramai ialah program kuliah agama Ustaz Azhar Idrus itu dibatalkan saat-saat akhir sedangkan semua promosi sudah pun diadakan secara menyeluruh baik melalui hebahan, poster, kain rentang, facebook, twitter dan sebagainya. Akibat pembatalan itu juga Ustaz Azhar dipercayai tidak lagi berminat untuk mengadakan sebarang kuliahnya di mana-mana universiti selepas ini. Beliau sendiri telah memaklumkan pembatalan tersebut selepas berakhirnya kuliah beliau di Masjid Jaya Gading malam tadi. Apa yang lebih mendukacitakan ialah UMP batalkan program dakwah agama Ustaz Azhar tetapi dengan bangganya meneruskan pula program hiburan  pada 12 Oktober ini (Jumaat). Difahamkan pihak terbabit telah mengundang penyanyi kumpulan rock Lefthanded iaitu Nash, artis baru Ainan Tasneem, Kumpulan Khalifah, Rosma AF1 dan juga Shuib Sepah Raja Lawak Astro. Bagi menampakkan mereka juga masukkan unsur dakwah dalam program itu UMP turut mengundang kumpulan nasyid Hijjaz untuk bersama-sama menjayakan program berkenaan Jumaat ini.

[Difahamkan bagi tidak mendapat malu yang lebih besar atas pembatalan program Ustaz Azhar Idrus dan meneruskan program hiburan artis pada 12 Oktober ini maka pihak UMP telah menggantikannya dengan Program Bual Bicara yang menampilkan Imam Muda Hizbur, Imam Muda Nuri dan Ustazah Pilihan Nurul Hidayah di lokasi yang sama pada malam ini. PDO juga dimaklumkan satu demontrasi aman telah diadakan bagi membantah tindakan UMP membatalkan kuliah Ustaz Azhar Idrus itu. Persoalannya, apakah para pelajar dan orang ramai akan memberi sokongan kepada program Bual Bicara yang diadakan malam ini. Kami akan mendapatkan maklumat lanjut daripada krew-krew kami yang sudah dihantar ke UMP untuk memantau program tersebut malam ini. Apapun, tindakan UMP membatalkan kuliah Ustaz Azhar Idrus dikala beliau sudah bersedia dan berada di Kuantan amatlah memalukan. Malah, gara-gara program tersebut menyebabkan Ustaz Azhar membatalkan programnya di tempat lain. Bukankah ini merugikan orang lain yang ingin mendengar kuliah penceramah tersohor itu. Inilah yang merugikan umat Islam sebenarnya].
Share:

Panas: Tiga Kali Degil Teroka Tanah Haram, MB Di Gesa Ambil Tindakan Tegas Terhadap Insiden Ini !

Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob (foto) digesa mengambil tindakan tegas terhadap isu penerokaan tanah dan hutan secara haram yang kini dilakukan secara berleluasa di negeri Pahang. Ramai pihak terkejut dengan pendedahan terbaru berkenaan isu penerokaan tanah haram secara berleluasa yang berlaku di Cameron Highlands hari ini. Apa tidaknya, isu yang pernah hangat diperkatakan dulu apabila wartawan panas TV3, Karam Singh Walia mendedahkannya kini berlaku semula di kawasan yang sama (Cameron Highlands). Sangkaan kita, dengan pendedahan oleh media arus perdana itu maka tidak ada lagi mana-mana pihak yang berani untuk melakukan perbuatan tersebut. Namun, sangkaan itu meleset sama sekali. Rupanya masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas kealpaan Kerajaan Negeri Pahang dan pihak berkuasa tempatan memantau perkara ini. Terbaru, penerokaan tanah secara besar-besaran berlaku lagi dan kini melibatkan kawasan hutan rizab seluas 12 hektar di kawasan Mensun Valley berhampiran Brinchang (Cameron Highlands) sejak empat bulan yang lalu. Apa yang menjadi kemusykilan kepada rakyat ialah, mana mungkin pihak berkuasa tidak tahu perkara ini?. Mana pergi Pegawai Daerah Cameron Highlands?. Apakah beliau langsung tidak mengadakan mesyuarat mingguan untuk mendapatkan maklumat tentang isu seperti ini sejak empat bulan yang lalu?. Mana pergi penguatkuasa Jabatan Hutan?. Apakah mereka semua tidur dan tidak laksanakan tanggungjawab masing-masing. Atau, mungkin juga mereka semua sudah diberikan "habuan" agar menutup mata dan mulut atas operasi haram berkenaan. Mujurlah ada rakyat yang prihatin yang membuat aduan terhadap kes ini. Jika tidak sudah pastilah pihak terbabit bermaharajalela tanpa sekatan. Difahamkan, selepas aduan dibuat oleh penduduk barulah Pejabat Daerah menjalankan serbuan dan merampas jentera berat yang digunakan termasuk jengkaut. Dipercayai juga penebangan pokok berkenaan telah menjejaskan bekalan air ke rumah penduduk setempat.
Tambah meragukan, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Dato' Ahmad Daud berkata tapak terbabit telah diserbu tiga minggu lalu dan jentera berat telah dirampas. Beliau menambah: "Mereka menjalankan kerja pada waktu malam, dan kita kekurangan tenaga kerja. Mereka membersihkan tanah yang jelas jauh di dalam hutan dan apabila pegawai-pegawai kita tiba di lokasi, mereka telah tiada. " Ahmad berkata beberapa kawasan hutan berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan, sambil menambah bahawa "kita akan bertindak jika aktiviti haram dikesan pada tanah kerajaan negeri". Jika benar dirampas, kenapa ada lagi jentera yang digunakan untuk kerja-kerja berkenaan. Apakah ada "udang disebalik mee" bagi mengaburi mata rakyat dalam hal ini.  Persoalannya sekarang, mana pergi pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam memantau perkara ini. Malah agak menghairankan bila mana pemimpin setempat seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Dato' Ho Yip Hap dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk S.K. Devamany selama ini?. Kenyataan mudah yang dibuat oleh mereka seperti semua pihak harus bertemu dan tampil dengan strategi untuk menangani situasi ini dan pembersihan tanah berlaku secara berleluasa, tetapi tidak tahu ia menyalahi undang-undang jelas menggambarkan betapa tidak prihatinnya pemimpin terbabit sebenarnya. Mereka sepatutnya peka dengan situasi ini tanpa perlu memberi ruang kepada pihak berkenaan bertindak. Bayangkan keluasan 12 hektar itu bukankah ia boleh menjejaskan alam sekitar dan keselamatan penduduk setempat. Tidakkah mereka terfikir selama isu berkenaan memang sudah jadi fenomena biasa di Cameron Highlands.
 Mereka yang meneroka secara haram juga mungkin ada "connection" dengan pihak-pihak tertentu yang punyai kuasa agaknya. Ini kerana, selain tanah hasil yang berjaya diambil ialah pokok-pokok balak yang terdapat di lokasi terbabit. Maknanya sudah pasti ada pihak yang berkerjasama dengan pihak berkenaan yang mempunyai hubungan dengan pihak berkuasa untuk merahsiakan semua ini. Apa yang pasti mereka tentunya tahu kesalahan tetapi dek kerana mahu mengaut untung maka ia dilakukan tanpa rasa bersalah. Anehnya, pihak berkuasa mungkin tidak dapat mencari siapa dalang kepada aktiviti ini kerana usaha untuk menutup mulut pasti akan dilakukan. Inilah senario yang berlaku di negeri Pahang sejak sekian lama termasuk di kawasan hutan Chini dekat Pekan yang akan didedahkan nanti.

 [Menteri Besar Pahang Dato' Sri Adnan Yaakob dalam reaksinya pula berkata beliau telah mengarahkan Pegawai Daerah Cameron Highlands untuk memeriksa dakwaan tersebut. Sepatutnya MB perlu mengarahkan mereka yang dipercayai terlibat serta bersubahat didakwa bukannya menyiasat dakwaan tersebut. Jika ini keadaannya, maka rakyat sudah tidak boleh menaruk kepercayaan dan yakin lagi dengan kerajaan yang ada sekarang. Ternyata, operasi dan tindakan yang dibuat sekadar melepaskan batuk ditangga sahaja. Sebaliknya kejadian penerokaan tanah dan hutan secara haram terus berlaku di seluruh negeri Pahang. Hasil mahsul kerajaan hilang begitu sahaja tanpa ada sebarang tindakan dan sudah pasti ia didalangi oleh pemimpin setempat yang mempunyai kuasa sebenarnya. Rakyat perlu bijak menilai dan melakukan perubahan pada Pilihanraya Umum Ke-13 akan datang jika tidak mahu mereka terus ditipu dengan "sandiwara" yang dilakukan oleh pihak terbabit dengan tokey-tokey besar yang sewenangnya melakukan kerja terkutuk ini. Kini, hanya rakyat yang berhak menilai dan mengambil keputusan untuk menolak sebuah kerajaan yang tidak telus, korupsi dan penuh dengan penyelewengan seperti yang ada hari ini. Ayuh, lakukanlah perubahan demi generasi yang akan datang].
Share:

Blogger Cucumatkilau (CMK) Akhirnya Tinggalkan Pahang Daily Online Mulai "1 Oktober" Yang Lalu !!

Pahang Daily Online (PDO) ingin memaklumkan bahawa Blogger Cucumatkilau (foto) tidak lagi berkhidmat dengan portal panas ini mulai 1 Oktober 2012 yang lalu. Ini kerana beliau terpaksa menumpukan sepenuh perhatiannya kepada "Radio Internet Paling Pedas Dalam Dunia" Cili.FM yang kini semakin mendapat perhatian rakyat Malaysia sekarang ini. Maka itu PDO merakamkan ucapan penghargaan di atas segala sumbangan beliau sejak penubuhan blog ini sejak empat tahun yang lalu. Semasa berkhidmat dengan PDO beliau telah banyak menyumbangkan artikel panas berkaitan politik tanahair termasuk isu-isu rakyat di Kuantan khasnya dan negeri Pahang amnya. Semasa bersama PDO, beliau juga telah bertanggungjawab dalam urusan pengiklanan dan berjaya menaikkan nama blog ini setanding dengan blog-blog yang lain di negara kita. Malah, hits pelawat ke blog ini hampir mencecah empat juta sejak ditubuhkan pada 31 Ogos 2008 yang lalu. Malah, rating PDO terus meningkat dari masa ke semasa sehingga berjaya menarik ribuan pembaca setiap hari ke blog ini. PDO merakamkan ucapan tahniah kepada beliau atas penubuhan radio internet Cili.FM yang dilihat berjaya memberi harapan baru buat rakyat untuk mendapatkan hiburan dalam konteks yang cukup berbesa daripada semua radio yang ada di negara kita selama ini. Semoga, masa depan dan karier beliau akan bertambah cemerlang dengan Cili.FM hendaknya selepas ini. Dalam pertemuan terakhir dengan beliau di Putrajaya baru-baru ini, dia beberapa kali melahirkan hasrat untuk meningalkan PDO kerana tidak dapat menumpukan dua kerja dalam satu-satu masa. Kami menghormati keputusan tersebut dan menganggap ia satu cabaran kepada PDO untuk mendapatkan blogger serta wartawan baru bagi meneruskan cabaran blog ini di masa-masa yang akan datang. Walau bagaimana pun PDO masih mempunyai beberapa orang lagi penulis dan wartawan yang dilihat mempunyai potensi untuk diketengahkan selepas ini. Akhirkata, semua krew PDO mengucapkan jutaan terima kasih kepada beliau atas segala jasa dan sumbangannya kepada PDO selama ini. Syabas buat djcmk@shukrie!.

[Difahamkan sejak bersama Cili.FM, radio internet tersebut telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkkan daripada rakyat Malaysia seantero dunia. Ini kerana, cara pendekatan yang diperkenalkan di mana siaranya lebih telus dan adil untuk rakyat telah berjaya menarik perhatian pendengar. Malah, pemilihan lagu dan isu-isu semasa serta isu rakyat yang dibawa juga merupakan satu kelainan yang tidak ada pada radio lain di negara kita. Tidak cukup dengan itu Cili.FM juga diselitkan dengan tazkirah dan kuliah oleh Ustaz Azhar Idrus setiap kali masuk waktu Zohor. Disamping itu juga penyiaran lagi perjuangan dan ketuhanan ketika beliau ke udara juga menambat hati pendengar. Blogger Cucumatkilau kini mengendalikan rancangan Pedas di Cili.FM setiap hari mulai jam 11.00 pagi hingga 5.00 petang. PDO juga turut mempromosikan radio ini di mana pembaca hanya perlu klik pada butang "play" yang disediakan untuk mendengar siaran tersebut secara langsung. Semoga radio internet Cili.FM akan terus gah di persada maya selepas ini  hendaknya. Salam Perjuangan].
Share:

Panas: Pelanggan Kecewa, Astro Tergamak Potong Perkhidmatan Dek Kerana Lewat Bayar RM22.15 !!

KUANTAN, 5 Okt - Seorang pelanggan Astro hari ini meluahkan perasaan kecewa terhadap syarikat pembekal TV berbayar itu apabila tergamak memotong perkhidmatan beliau hanya kerana gagal menjelaskan tunggakan sebanyak RM22.15 sahaja. Akibat pemotongan tersebut beliau terpaksa menjelaskan bayaran penyambungan sebanyak RM20.00 dalam bil Astro bulan ini (Oktober). Beliau yang tidak mahu namanya dikenali berkata pihak Astro tidak wajar bertindak melampau seperti itu kerana bil berkenaan bukanlah tunggakan kerana bil bulan September yang sepatutnya dibayar ialah pada 26 haribulan. Ini bermakna bil berkenaan bukanlan tunggakan cuma beliau terkurang semasa membuat bayaran. "Saya hairan Astro tergamak memotong perkhidmatan saya hanya kerana RM22.15, sedangkan ia bukanlah bil tertunggak seperti yang dimaklumkan. Tindakan ini jelas sekali satu penganiayaan dan saya mendesak agar Astro tidak mengenakan caj RM20.00 terhadap bil saya yang berikutnya. Jika hanya kerana jumlah itu (RM22.15) pun mereka sanggup potong perkhidmatan maka sudah pastu Astro mengaut untung lumayan setiap bulan. Bayangkan berapa ramai pengguna yang mempunyai tunggakan seperti itu. Jika saya gagal bayar atau tertunggak sebulan dua mungkin ia boleh dikira sebagai melanggar peraturan yang ditetapkan dan saya tidak kisah untuk menyambung semula siaran itu Astro kenakan caj berkenaan. Ini tidak, caj RM20 dikenakan untuk jumlah RM22.15 yang bukanlah tunggakan itu sebenarnya", kata mangsa yang berkenaan.

Akibat tidak mahu memanjangkan isu berkenaan beliau akhirnya membuat bayaran berkenaan pada jam 4.26 petang 24 September lalu (rujuk resit yang dilampirkan). Malah tertera pada bil berkenaan bayaran caj baru untuk bulan berikutnya ialah sebanyak RM122.15 pada 26 September 2012. Ini bermakna bayaran yang dibuat RM22.15 bukanlah tunggakan kerana bil belum masuk ke tarikh yang berikutnya. Soalnya kenapa Astro tergamak memotong perkhidmatan berkenaan?. Adalah lebih baik baki RM22.15 itu dibawa ke bulan berikutnya dan perkhidmatan tidak dipotong. Di sini jelas menggambarkan Astro begitu kemaruk untuk "membaham" duit penggunannya. Mungkin dek kerana tiada persaingan dengan mana-mana stesyen TV berbayar yang lain maka Astro boleh berbuat apa sahaja demi mencari keuntungan mudah. Bayangkan berapa ramai lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa seperti ini?. Maknanya Astro mendapat untung mudah dengan memotong perkhidmatan walaupun dalam jumlah yang tidak relevan seperti yang berlaku ini. Kerajaan digesa memantau perkara ini agar Astro tidak sewenangnya menjadikan pelanggan mereka sebagai mangsa bagi mengutip dana mudah seperti ini di masa-masa akan datang.


[Kerajaan wajar memantau beberapa tindakan Astro yang jelas sekali menganiaya pelanggan mereka. Aamatlah tidak wajar caj RM20.00 dikenakan untuk pemotongan siaran sedangkan pelanggan secara automatik telah didera akibat pemotongan itu. Maka, apakah hak Astro untuk kenakan caj lagi sedangkan pelanggan berkenaan terpaksa membayar bayaran tunggakan berkenaan untuk menyambungnya kembali. Maknanya pelanggan tidak dapat menonton siaran kemudian terpaksa pula membayar RM20.00 untuk penyambungan semula. Bukankah ini satu tindakan yang jelas melanggar etika sebenarnya. Malah, kerajaan perlu mengarahkan Astro hanya memotong siaran berbayar mereka jika pun berlaku tunggakan. Siaran seperti TV1, TV2, TV3, TV9, NT7, TV8 dan TV Al-Hijrah tidak wajar dipotong kerana ia adalah saluran kerajaan yang ada pada TV biasa. Kenapa perlu potong kesemuannya hingga menyebabkan pelanggan tidak dapat menonton TV gara-gara pemotongan tersebut. Makanya, kita tidak hairan Astro masuk Bursa Malaysia jika inilah cara mereka mencari untung mudah daripada pelanggannya. Apakah kerajaan sedar semua ini?].
Share:

Satu Lagi 'Perhimpunan Besar-Besaran' 3 Nov Ini !

KUALA LUMPUR, 3 Okt - Pakatan Rakyat (PR) bercadang untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 3 November ini di Stadium Bukit Jalil untuk menuntut pilihan raya yang bersih. Perkara ini disahkan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (foto) hari ini. Menurut beliau, Pakatan Rakyat mahu mengadakan perhimpunan itu kerana lapan tuntutan mengenai pilihan raya bersih tidak diendahkan oleh pihak berwajib. Jawatankuasa Bersih dalam tuntutan mereka mahukan daftar pemilih yang bersih, pembaharuan ke atas sistem undi pos, penggunaan dakwat kekal, tempoh berkempen minimum 21 hari, liputan media yang lebih adil, pengukuhan institusi awam dan penghapusan politik yang korup serta kotor. 

Share:

Ketua Pembangkang Bahas Bajet 2013 Di Parlimen

Perbahasan Bajet 2013: Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Siri II & III
Share:

Panas: Bajet 2013, Utamakan Orang Muda Sahkan Najib Cuba Memancing Undi Mereka Sebenarnya !

Ramai pihak yang mempersoalkan keikhlasan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2013 semalam. Bagi mereka, biar pun bajet itu dilihat lebih mengutamakan rakyat kononnya kerajaan senantiasa menjaga kebajikan mereka, namun ramai yang beranggapan bajet 2013 adalah satu lagi "gula-gula" pilihanraya yang digunakan oleh Najib untuk memancing undi sebenarnya. Bukti jelas apabila suara anak muda yang kini majoritinya menolak UMNO BN kini ditagih dan Najib secara jelas menggambarkan bajet yang diwar-warkannya semalam adalah "Bajet Orang Muda" seperti laporan muka depan Sinar Harian hari ini. Persoalannya, kenapa Najib begitu drastik membuat bajet khas untuk anak-anak muda?. Tambahan pula had usia yang diutamakan ialah 21 tahun ke atas iaitu had kelayakan untuk mengundi. Apakah Najib merujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam merangka bajet yang dibentangnya itu?. Sebagai Menteri Kewangan, Najib harus sedar akan keperluan beliau untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat dan bukannya kepada golongan tertentu semata-mata. Bukti jelas dapat dilihat Najib mahu undi orang muda beralih arah kembali menyokong BN pada PRU-13 ini apabila memberi tawaran istimewa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada orang bujang yang berumur 21 tahun ke atas yang bergaji dibawah RM2,000. Kemudian beliau turut menawarkan kemudahan rebat kepada golongan muda yang berusia 21-30 tahun untuk membeli Smartphone 3G. Kenapa Najib menfokuskan usia 21 tahun?. Bukankah ini namanya untuk memancing undi. Najib sedar, sokongan orang muda kini jelas tidak memihak kepada UMNO BN. Selepas mereka membolot segala khazanah rakyat dengan sewenangnya, kini mereka cuba untuk membeli semula hati orang muda dengan tawaran istimewa pada Bajet 2013 itu.

[Soalnya sekarang, apakah orang muda akan terima tawaran Najib itu dan memberi undi kepada BN pada Pilihanraya Umum akan datang?. Semua ini akan menjadi tanda tanya kerana apa yang pasti, majoriti mereka akan terima tawaran Najib tetapi tetap akan menolak BN pada kertas undi nanti. Inilah igauan ngeri yang bakal memerangkap Najib sebenarnya. Rakyat kini sudah semakin bijak dan tidak selamanya boleh diperbodohkan dengan segala tawaran menjelang pilihanraya itu lagi. Kini semangat mereka berkobar-kobar mahu melakukan perubahan dan tidak sama sekali akan berganjak daripada keputusan asal yang telah dibuat. Mereka sudah terlalu bosan dan kecewa dengan kerajaan yang ada sekarang kerana lebih banyak bermain dengan retorik "janji ditepati", walhal begitu banyak janji-janji tidak dikotakan oleh wakil rakyat BN itu sendiri sebenarnya. Rakyat terutamanya orang muda memang mahukan perubahan pada PRU-13 ini].
Share:

Gagal Kes Tuntutan Taksiran Ganti Rugi Terhadap SGM, UMNO Pahang Tidak Wajar Kemuka Rayuan!

KUANTAN, 29 Sept - Susulan kegagalan Badan Perhubungan UMNO Pahang memenangi kes tuntutan taksiran gantirugi terhadap syarikat pembalakan Seruan Gemilang Makmur (SGM) di Mahkamah Tinggi Kuantan baru-baru ini, maka ramai pihak yang berharap UMNO tidak membuat rayuan kes tersebut. Difahamkan, masa untuk merayu selepas keputusan tersebut diumumkan oleh Timbalan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Kuantan Shazlina Shafie ialah selama 14 hari. Ini bermakna UMNO Pahang hanya mempunyai baki sembilan hari untuk membuat rayuan. Walau bagaimana pun ramai pihak yang mengikuti kes ini sejak dari awal lagi, percaya UMNO Pahang tidak mempunyai hujjah yang kuat untuk merayu. Malah, difahamkan mahkamah juga telah memutuskan bahawa saksi (UMNO Pahang) gagal memberi bukti  dan bercanggah dari segi keterangan. Terdahulu, dalam prosiding perbicaraan yang dijalankan saksi pihak UMNO dikatakan telah beberapa kali gagal menjawab dengan baik soalan yang dikemukakan oleh peguam SGM. Dalam kes ini SGM diwakili oleh Peguam Tetuan Hafidz & Dzulkarnain. Manakala UMNO Pahang diwakili oleh Tetuan Toh & Co. Sementara itu saksi utama bagi pihak UMNO Pahang pula ialah Abdul Rahim Abas, selaku Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Pahang yang baru menggantikan Dato' Ahmad Tajuddin Sulaiman sejak 2008 yang lalu. Menurut seroang pemerhati kes itu, UMNO Pahang tidak wajar membuat rayuan kes berkenaan kerana segala dokumen, keterangan dan bukti-bukti kukuh kini berpihak kepada SGM. Malah terdapat banyak keraguan tentang saksi pihak UMNO yang dikatakan pakar ketika dibawa ke mahkamah iaitu Quek Jern Leng, yang dikatakan seorang Pengurus Konsultan Pembalakan di Kelantan. Apa yang menarik saksi ini muncul disaat akhir, sedangkan sebelum itu UMNO Pahang dikatakan hanya mengemukakan seorang saksi sahaja (Abdul Rahim Abas). Apa yang menarik, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Dato' Mariana Yahya beberapa kali menegur saksi UMNO kerana gagal menjawab soalan yang dikemukakan secara profesional. Rahim Abas, seolah-olah tidak faham dan tahu apa yang ditanya dan banyak menjawab "tidak pasti" dan "tidak tahu" hingga ditegur hakim yang mahu beliau tahu mahkamah bukanlah "sarkas". Mujurlah sepanjang prosiding, tidak ada wartawan media yang mengikutinya jika tidak pasti UMNO Pahang mendapat malu besar kerana mengemukakan saksi yang tidak relevan seperti beliau (Abd Rahim Abas).
[Atas alasan dan dakwaan inilah, maka UMNO Pahang tidak wajar merayu keputusan mahkamah menolak permohonan mereka baru-baru ini. UMNO sepatutnya menyediakan saksi yang relevan dan boleh menjawab hujjah-hujjah yang dikemukan dengan baik, bukannya saksi yang sekadar mengangguk dan mengelengkan kepada sahaja. Apapaun, tempoh untuk UMNO Pahang merayu semakin singkat dan apakah mereka akan berbuat demikian dalam keadaan mereka gagal memberi keterangan yang memuaskan hati hakim dalam kes ini. Apa yang jelas, Seruan Gemilang Makmur (SGM) mempunyai alasan yang kukuh untuk menuntut hak mereka dalam kes ini. Tambahan pula, banyak perjanjian dan dokumen kukuh yang menyokong permohonan mereka selama ini. Cuma agak menghairankan apabila UMNO Pahang terutamanya Menteri Besar yang masih gagal menyelesaikan kes ini biar pun ia telah diputuskan oleh mahkamah tertinggi di negara ini. Sikap ini jelas bertentang dengan hasrat untuk melihat keadilan itu tertegak di negara ini. Sikap acuh tidak acuh Kerajaan Negeri Pahang terhadap keputusan mahkamah ini jelas sekali akan merugikan rakyat kerana semakin ditunggu maka semakin tinggi faedah yang dikenakan kepada pihak terbabit. Oleh itu, jalan terbaik ialah UMNO serta SGM berunding ke arah mencari penyelesaian terbaik dalam kes ini].
Share:

Panas: "Rampas Kuasa", Skandal Babitkan Ketua Wanita UMNO Negeri Pahang Bakal Di Dedahkan !

Menjelang pilihanraya umum ke-13 akan datang, berbagai info panas yang mula diterima mutakhir ini. Terbaru, berkaitan skandal Ketua Wanita UMNO Pahang, Dato' Rosni Zahari (foto). Beliau dikatakan telah menggunakan kuasanya untuk merampas sebuah syarikat yang ada urusan perniagaan dengan sebuah syarikat minyak terkenal. Menurut sumber, dulunya syarikat terbabit dimiliki oleh pihak lain dan Rosni hanya memasarkan produk yang dihasilkan. Namun selepas melihat perniagaan tersebut maju dan beliau dengan kuasa yanga da cuba untuk memiliki syarikat berkenaan. Namun, pihak yang berkenaan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut hatta memberikan Rosni 50% dari saham pemilikan syarikat terbabit. Namun, entah kenapa secara tiba-tiba kini syarikat berkenaan menjadi milik Rosni melalui penama anak perempuannya. Tindakan tersebut tidak diketahui oleh pemilik asal syarikat berkenaan, malah setiausaha syarikat itu sendiri. Akibatnya kes berkenaan akan dibawa ke mahkamah pada 3 Oktober ini. Difahamkan, syarikat berkenaan memperolehi keuntungan bernilai jutaan ringgit hasil kerjasamanya dengan syarikat minyak terbabit. Apapun, siasatan dan laporan seterusnya menyusul dan PDO masih menantikan segala dokumen daripada pihak berkenaan. Andainya, benar apa yang dilakukan oleh Rosni ini, maka ia satu tindakan tidak wajar yang boleh dikatakan "rampas kuasa" atau "merompak" hak orang untuk kepentingan peribadi beliau.

[Jika itu keadaannya, apakah beliau layak untuk menjadi calon pada pilihanraya umum ke-13 akan datang. Rosni sebelum ini adalah merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul Parlimen Maran, sebelum UMNO meletakkan Shahaniza Shamsuddin menggantikan beliau selepas itu. Beliau yang juga seorang pengamal undang-undang beribupejabat di Temerloh Pahang kini dikatakan calon popular di salah satu DUN dalam negeri ini. Tindakan drastik Rosni ini dijangka boleh menjatuhkan dan menjejaskan kreadibiliti beliau sebagai pemimpin sebenarnya. Apapun, nantikan "laporan panas" seterusnya kes beliau ini].
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.