script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

PAS Mengecam Tindakan Kerajaan DAP "Pecat" Ahli MPPP !


PETALING JAYA: PAS mengecam tindakan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP menggantung tugas Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim yang dipercayai berhubung kritikannya terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, tindakan itu jelas bertentangan dengan hak demokrasi dan prinsip kebebasan bersuara yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.

Malah katanya, keputusan kerajaan negeri pimpinan Lim itu disifatkan seperti meniru gaya kepimpinan parti PAP di Singapura dengan memberi tekanan terhadap pihak yang mengkritik kepimpinannya.

"Saya kira ia sebagai satu langkah untuk menakut dan menggerunkan pihak yang mahu menegur dan mengkritik.

"Apakah kerajaan DAP di Pulau Pinang mahu menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan umum? Saya yakin isu yang dibangkitkan oleh Iszuree berkait isu penempatan, kampung dan tanah umat Islam Pulau Pinang ada asas dan faktanya yang sangat jelas," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini dilaporkan Iszuree mengkritik kepimpinan kerajaan DAP Pulau Pinang kerana didakwa terlalu 'mesra' dengan syarikat pemaju hartanah sehingga mengabaikan kebajikan rakyat terutamanya masyarakat Melayu di negeri itu.

Beliau yang juga Bendahari Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat baru-baru ini.




Mengulas lanjut Nasrudin berkata, beliau kesal kerana niat baik Iszuree (foto) supaya kepimpinan kerajaan negeri dan PAS Pusat memberi perhatian kepada nasib rakyat dibalas dengan hukuman.

"Malangnya tindak balas kerajaan Pulau Pinang sangat drastik. Iszuree 'dipancung' gara-gara kritikan yang membina itu. Seperti tersimpan satu dendam yang hanya menanti detik untuk dilunaskan. Akhirnya Iszuree terpaksa membayar 'harga yang tidak sedikit'.

"Lebih tragis, tindakan ke atas Iszuree diambil tanpa sebarang surat tunjuk sebab apatah lagi dipanggil untuk memberi penjelasan," katanya.

Iszuree digugurkan daripada MPPP pada Khamis lalu.

Semua peruntukan terhadapnya juga dibekukan serta merta.

Beliau dimaklumkan mengenai penggugurannya sebagai ahli MPPP menerusi surat pada Jumaat yang ditandatangani oleh Setiausaha MPPP, Ang Aing Thye. #sumber
Share:

PAS Belum Putus "Calon Timbalan Speaker" DUN Selangor !


SHAH ALAM: PAS Selangor belum lagi memutuskan dalam kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu yang akan menjawat jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, keputusan itu hanya akan dibuat setelah perbincangan dengan semua pihak berkaitan dilakukan.
"Kami akan mengadakan perjumpaan untuk membincangkan perkara ini dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Undian dan Tawaran Rumah Selangorku di sini, Sabtu.
Kerusi timbalan speaker DUN kosong berikutan penyandangnya, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco).
Perkara berkenaan diumumkan oleh Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali dalam sidang media di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada Jumaat. #sumber
Share:

Peniaga Mengaku Salah Cederakan Pelajar UiTM Alor Gajah


ALOR GAJAH: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mencederakan pelajar Diploma Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Alor Gajah pada 10 September lepas. 

Rahim Othman, 20, dari Taman Mutiara di sini didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Siti Irina Ridzwan, 20, semasa merompaknya di C-1-1 Apartment Dimensi, Jalan Dimensi Utama di sini pada pukul 6.15 pagi. 

Tertuduh yang berniaga sendiri didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat. 

Hakim Nariman Badruddin kemudian membenarkan ikat jamin berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 27 Oktober depan bagi mendapatkan laporan sosial tertuduh dan menjatuhkan hukuman. 

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang penarik kereta Amir Fusyairi AhmadAnuar, 40, didakwa bersubahat dengan Rahim menyebabkan kecederaan ke atas Siti Irina semasa rompakan itu pada tarikh, tempat dan waktu yang sama mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. 

Bagaimanapun, tertuduh daripada Taman Seri Lekir, Sitiawan, Perak mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu. 

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin berjumlah RM15,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes. 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syaiful Akmal MohdRazi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Share:

Sebutan Semula Kes Nizar Di Dakwa Fitnah Najib 28 Okt Ini


IPOH: Mahkamah Sesyen pada Jumaat menetapkan 28 Oktober untuk sebutan semula kes bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang didakwa memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dua tahun lepas.

Hakim Madihah Harullah menetapkan tarikh itu bagi membolehkan pihak pendakwaan dan pembelaan mengadakan prarundingan perbicaraan di luar mahkamah.

Pada prosiding sebutan semula kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud mencadangkan rundingan itu diadakan bagi memberi peluang kepada pihak pembelaan untuk mengemukakan sebarang permohonan sekali gus mempercepatkan pendakwaan dijalankan.
 
"Pihak pendakwaan dan pembelaan telah mengadakan perbincangan untuk mengadakan prarundingan perbicaraan dan dicadangkan agar ia dijalankan dari tarikh hari ini," katanya.

Katanya hasil prarundingan itu akan diberitahu pada prosiding sebutan semula kes.

 
Peguam yang mewakili Nizar, Datuk Yusof Mohd Zainal Abidin memberitahu bahawa pihaknya tiada bantahan mengenai perkara itu dan akan mengemukakan sebarang permohonan dalam tempoh tiga minggu.

Ketua Pembangkang Perak dan anggota Dewan Undangan Negeri Changkat Jering itu dilihat hadir bersama isterinya Datin Seri Fatimah Taat serta beberapa pimpinan pembangkang lain.

Mohammad Nizar, 57, yang beralamat di Sungai Rokam di sini dituduh memfitnah Najib dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan di sini antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012.

Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam Lampiran A, yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan itu, akan merosakkan nama baik Najib.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohammad Nizar diwakili 13 peguam yang diketuai Yusof manakala pihak pendakwaan diwakili Masri yang juga Ketua Unit Pendakwaan Negeri Perak dan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab. #sumber
Share:

Nik Nazmi Letak Jawatan Timbalan Speaker DUN Selangor !


SHAH ALAM: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatannya untuk memberi laluan kepada wakil PAS.
Perletakan jawatan Nik Nazmi juga dibuat selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu dilantik sebagai salah seorang daripada 10 Exco Kerajaan Selangor yang baharu.
Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berkata, jawatan timbalan speaker itu akan diambil alih oleh wakil PAS.
"Saya telah bersetuju supaya jawatan timbalan speaker disandang oleh PAS bagi mewakili Pakatan Rakyat," katanya pada sidang di bangunan Setiausaha kerajaan Negeri (SUK) di sini, Jumaat.
Jumlah jawatan Exco Selangor kini terbahagi kepada tiga  PAS, DAP (3) dan PKR (4).
Empat wakil rakyat PKR yang diberikan jawatan Exco ialah Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Dr Daroyah Alwi (Sementa), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia) dan Amiruddin Shari (Batu Caves), manakala DAP diwakili oleh Datuk Teng Chang Khim (Sungai Pinang), Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan) serta V. Ganabatirau (Kota Alam Shah).
PAS yang mendapat jumlah kerusi tertinggi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor pula hanya diwakili oleh Iskandar Samad (Cempaka), Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) dan Zaidy Abdul Talib (Taman Templer).
Sementara itu, Azmin memberitahu, pihaknya akan berbincang dengan PAS mengenai individu yang akan dilantik sebagai timbalan speaker.
"Sebab jawatan timbalan speaker ini akan diberikan kepada PAS... mereka akan putuskan.
"Dan kita akan lantik timbalan speaker yang baharu apabila Dewan (Undangan Negeri) bersidang pada November akan datang," katanya. #sumber
Share:

Dyana Sofya Dakwa, Tak Hairan Taktik Kotor Dalam Politik !


PETALING JAYA: Sebagai wanita yang baru berjinak-jinak dalam arena politik tanah air, bukanlah satu perkara yang mudah namun Dyana Sofya banyak belajar daripada pengalaman yang dilaluinya.
Bintang harapan DAP berusia 27 tahun ini sudah semakin bijak memberi ulasan kepada pihak media berkenaan isu semasa. 
Ternyata wanita muda ini mempunyai kumpulan penyokongnya tersendiri dan media juga turut menyukai beliau kerana sikapnya yang ramah dan merendah diri.

Setiausaha politik Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang ini ketika menjadi calon bagi kerusi Parlimen Teluk Intan, Mei lalu menjadi sasaran utama pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup menggunakan taktik kotor ketika kempen pilihan raya dengan mengaitkan gambar beliau dengan gambar bogel artis Filipina.

Bagaimanapun wanita muda ini terpaksa akur apabila dia tewas kepada tokoh veteran Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti tipis.

Malah, bagi Dyana dia sudah terlebih awal bersedia untuk menghadapinya apabila dia bertekad untuk menghantar dalam borang permohonan menyertai DAP tidak lama dahulu.

"Ketika saya menyertai DAP pada awal 2012 sebelum sambutan Tahun Baru Cina saya sudah pun mendapat kritikan. Mereka panggil saya 'penghkianat bangsa', tidak bersyukur...

"Apabila saya menjadi setiausaha politik kepada Lim Kit Siang, perkara yang sama berlaku dan saya tahu sekiranya saya menjadi calon perkara yang sama akan berlaku dan kritikan yang diterima sudah pasti lebih hebat daripada apa yang saya hadapi sebelum ini, jadi saya sudah bersiap sedia untuk menghadapinya."

Sebaik sahaja nama Dyana diumumkan sebagai calon, perang populariti mula berlaku. Nyata wanita muda ini hadir dengan pakej lengkap, dia cantik, muda, pintar dan orang ramai ingin tahu dengan lebih lanjut mengenai dirinya.

Ramai yang kagum, namun ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan untuk melumpuhkan populariti yang dikecapi oleh wanita muda ini.

Beberapa hari sebelum kempen pilihan raya bermula, sudah wujud kempen yang cuba menjatuhkan Dyana di internet.

Pertama, gambar seorang wanita memakai bikini muncul, gambar tersebut disebarkan kononnya wanita tersebut ialah Dyana. Bagaiamapun, selepas diteliti imej tersebut sebenarnya ialah seorang pelakon wanita Filipina.

Dalam satu lagi percubaan untuk membunuh populariti tokoh politik muda ini, gambar Dyana bersama dengan tiga ekor anak kucing Calico telah 'disunting' dengan imej yang memaparkan dia memegang anak anjing.

"Kali pertama saya menjadi sasaran, beberapa hari sebelum nama saya diumumkan sebagai calon, ketika itu saya berada di Johor seorang diri.

"Ada individu, saya tidak tahu siapa telah mewujudkan akaun Twitter yang menawarkan khidmat seks dan menyertakan nombor telefon saya dalam iklan tersebut!," katanya.

"Selepas itu, saya menerima ratusan mesej di aplikasi Whatsapp dan gambar lucah yang saya tak ingin lihat. Bukan itu sahaja, pada pukul 3 pagi pun saya menerima panggilan telefon dan mesej. Namun saya tidak langsung menangis. Selama hampir dua minggu perkara itu berlaku, saya hanya ketawa sahaja," katanya.

Sokongan padu dan sentiasa berfikiran positif membantu dirinya untuk kekal tenang dalam menghadapi pelbagai tuduhan negatif yang dilemparkan pihak media kepadanya, kata Dyana.

"Setiap saya kali diserang atau isu timbul, (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng atau Lim Kit Siang akan menghubungi saya. Mereka akan tanya Dyana, adakah anda OK?

"Saya hanyalah ahli biasa ketika itu, bukan setiausaha politik, namun mereka masih lagi menghubungi dan turut menghantar emel kepada saya, bukan itu sahaja Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok juga 'ibarat kakak angkat' kepada saya.

"Mereka sering menelefon dan memberi sokongan moral serta galakan. Inilah salah satu sebab saya yakin saya telah membuat keputusan yang tepat untuk menyertai parti ini," katanya. #sumber
Share:

PAS Kini Hilang Keistimewaan Empat Exco, PKR Ambil Alih !


SHAH ALAM: Jumlah empat Exco kerajaan negeri Selangor yang menjadi keistimewaan PAS sebelum ini dikurangkan kepada tiga bagi diberikan kepada wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR). Berikutan jumlah jawatan Exco yang dibahagikan kepada tiga parti Pakatan Rakyat adalah tiga kepada PAS, DAP (3) dan PKR (4).
Empat wakil rakyat PKR yang diberikan jawatan Exco ialah Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Dr Daroyah Alwi (Sementa), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia) dan Amiruddin Shari (Batu Caves), manakala DAP diwakili oleh Datuk Teng Chang Khim (Sungai Pinang), Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan) serta V. Ganabatirau (Kota Alam Shah).
PAS yang mendapat jumlah kerusi tertinggi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor pula hanya diwakili oleh Iskandar Samad (Cempaka), Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) dan Zaidy Abdul Talib (Taman Templer).
Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berkata, beliau telah meneliti dan mengambil kira semua pandangan dari Pakatan Rakyat berhubung pelantikan Exco kerajaan Selangor.
Katanya, perbincangan tertumpu kepada usaha untuk membentuk barisan Exco yang kuat, padu dan cekap untuk terus maju ke hadapan membangunkan negeri tersebut.
"Sultan Selangor telah memperkenankan pelantikan 10 Exco berkuat kuasa hari ini, 26 September 2014.
"Exco bertanggungjawab menggalas amanah ini dalam semangat dan prinsip Pakatan Rakyat yang berteraskan nilai-nilai murni seperti amanah, jujur, berintegriti, tata kelola yang baik dan peduli rakyat untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Selangor," katanya pada sidang media bagi mengumumkan perlantikan 10 Exco kerajaan Selangor yang baharu di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, Jumaat.
Azmin pada petang Khamis menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan perkenan untuk perlantikan exco selaras dengan perkara LIII(2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Ditanya adakah PAS bersetuju dengan kedudukan tiga Exco itu, Azmin menjawab ringkas: "Setuju."
"Ketiga-tiga mereka (Exco PAS sedang menjalankan 'rehearsal' (raptai)  bagi istiadat majlis angkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang sekarang (pagi Jumaat)."
Azmin berkata, portfolio bagi 10 exco baharu akan dibincangkan kemudian pada hujung minggu ini. Majlis angkat sumpah bagi 10 Exco baharu akan diadakan pada pukul 3 petang Jumaat di Istana Alam Shah, Klang. #sumber
Share:

Adun PAS, Saari Sungib Akan Tolak Jawatan Exco Selangor !


PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Saari Sungib sedia menarik diri sekiranya beliau dicalonkan sebagai exco Selangor baharu yang akan mengangkat sumpah pada Jumaat.
Beliau berkata, jawatan sebagai panel penasihat  bagi memantau pengagihan dana dan pentadbiran syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) di Selangor yang telah diberikan kepadanya sebelum ini sudah memadai.
"Saya akan tarik diri sekiranya nama saya tersenarai sebagai exco. Semalam (Rabu) pun saya secara peribadi telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada menteri besar supaya tidak meletakkan nama saya dalam barisan exco," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, selain Exco, tugas sebagai Adun juga boleh menjadi 'check and balance' kepada polisi yang dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat di Selangor.
"Seperti yang sudah saya lakukan selama dua penggal menjadi Adun di Selangor, kita mahu memastikan tiada ketirisan berlaku, semua polisi yang dilaksanakan dapat mencapai tahap pelaksanaan hingga 90 peratus. Semua bantuan yang dijanjikan harus sampai kepada golongan sasar seperti yang ditetapkan.
"Prinsip ini akan saya teruskan dan kami sedia menjadi penasihat kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor baharu, Azmin Ali," katanya.
Justeru, beliau berharap supaya kepimpinan menteri besar baharu dapat meneruskan legasi pentadbiran yang ditinggalkan Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Kita berharap Azmin dapat membawa Selangor terus maju dan mengumpul lebih banyak rizab tunai yang dapat membantu rakyat kurang berkemampuan di negeri ini.
"Dalam masa yang sama, polisi sedia ada diteruskan dan ditambah baik serta kerjasama dengan kerajaan pusat dapat diteruskan terutamanya dalam melibatkan kepentingan rakyat Selangor," katanya.
Sejak Rabu, terdapat beberapa senarai nama yang didakwa barisan Exco Selangor yang baharu tersebar di laman sosial. Nama Saari dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin dikatakan tersenarai sebagai exco yang mengangkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang pada Jumaat.
Sebelum ini, Saari dan Hasnul telah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyatakan sokongan mereka kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya dilantik sebagai menteri besar Selangor untuk menggantikan Khalid.
Bagaimanapun tindakan tersebut mendapat kecaman beberapa pihak termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pimpinan PAS yang menyifatkannya sebagai pengkhianatan kepada parti dan bertentangan dengan keputusan yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama yang menyokong agar Khalid dikekalkan sebagai Menteri Besar.  #sumber

Share:

BN 'Menang Besar', Pertahan Kerusi DUN Pengkalan Kubor !


TUMPAT: Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor dengan majoriti lebih besar iaitu sebanyak 2,635 undi.

Calonnya, Mat Razi Mat Ail, mendapat 9,991 undi, berbanding calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim yang memperolehi 7,326 undi.

Calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary mendapat 38  undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, BN menang dengan majoriti 1,736.Pengumuman keputusan rasmi dilakukan oleh Pegawai Pengurus PRK Pengkalan Kubor Mohd Sobri Ramli di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Biji Wangsa di sini, kira-kira pukul 9 malam Khamis.

Selain Mat Razi, hadir sama ketika pengumuman keputusan adalah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pimpinan tertinggi Umno dan BN.

Mat Razi, 48, merupakan pengasas sekolah pondok di Simpangan dan bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat serta Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Tumpat.

Dengan kemenangan ini, beliau akan meneruskan perjuangan Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, yang membawa kecemerlangan BN dan kemajuan di DUN berkenaan.Z

Noor Zahidi menjadi wakil rakyat di DUN Pengkalan Kubor selama tiga penggal.

Pemilihan kali ini menyaksikan seramai 23,929 pengundi layak membuang undi di DUN tersebut.

SPR membuka 11 pusat mengundi dengan 45 saluran mengundi membabitkan 11 buah sekolah untuk proses pengundian bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Sehingga proses pengundian ditutup, seramai 73 peratus pengundi telah keluar mengundi.Seramai 104 daripada 109 pengundi awal telah mengundi awal pada 21 September lalu. #sumber
Share:

Sukan Asia: "Azizulhasni" Kesal Keputusan Berat Sebelah !


INCHEON: Keputusan kontroversi oleh komisar perlumbaan telah meragut peluang jaguh trek negara Azizulhasni Awang merangkul pingat dalam acara keirin individu pada temasya Sukan Asia ke-17 pada Khamis. 

Selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua berdasarkan 'photo-finish', kedudukan Azizulhasni dibatalkan oleh komisar perlumbaan selepas pelumba negara itu dikatakan menghalang pelumba Jepun Kazunari Watanabe ketika melakukan pecutan. 

Berikutan keputusan itu, Azizulhasni, yang menyandang pingat emas dalam acara itu, diturunkan ke tangga tercorot. 

Kesal dengan kontroversi itu, Azizulhasni berkata semasa melihat kembali rakaman video, komsiar berkata pelumba Jepun itu melakukan kesalahan pertama dan beliau melakukan kesalahan kedua semasa separuh jalan ke garisan penamat. 

"Apabila menghubungi ketua komisar, sama ada ambil kira keputusan di garisan penamat atau kedua-dua diturunkan. 

Tapi bila tunggu lama, tiba-tiba hanya saya sahaja dibatalkan...sepatutnya Watanabe juga kena. 

"Tapi saya terima juga keputusan ini sebab sekurang-kurangnya Josiah Ng dapat gangsa. Tapi saya sedih sebab keputusan berat sebelah," kata pelumba berusia 26 tahun itu. 

Acara itu dimenangi oleh pelumba Iran Mohammad Daneshvarkhourram manakala Watanabe, yang menduduki tempat ketiga sebelum ini, meraih pingat perak. #sumber
Share:

Bayi Cedera Kena Gigit Biawak Di Pulau Tioman Kian Pulih !


JOHOR BAHRU: Bayi berusia lapan bulan, Nur Hidayah Abdul Rahman menunjukkan perkembangan positif dan semakin beransur pulih daripada kecederaan selepas diserang seekor biawak di rumah kakitangan sebuah resort di Pulau Tioman, Isnin lalu.
Doktor di Hospital Sultanah Aminah, Low Tzuemn Ling berkata, luka pada kecederaan kanak-kanak itu tidak menunjukkan tanda-tanda jangkitan.
Katanya, kecederaan yang menimpa bayi itu adalah satu insiden yang malang tetapi kakitangan hospital cuba melakukan yang terbaik agar mangsa segera pulih.
Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Ariff berkata, Jabatan Kebajikan akan menyediakan khidmat kaunseling kepada ibu mangsa, Nor Raudah Abdullah yang trauma selepas melihat anaknya diserang haiwan reptilia itu di rumah mereka pada Isnin lalu.
"Kami akan memberi kaunseling selama mana yang diperlukan kerana dia masih trauma dengan tragedi ngeri itu," katanya kepada pemberita selepas melawat bayi itu di sini, Khamis.
Biawak tersebut menggigit dan mencengkam kepala bayi tersebut serta cuba menarik keluar mangsa dari dapur rumah berkenaan ke kawasan semak berhampiran.
Ibu bayi malang itu bergegas mendapatkan anaknya selepas terdengar tangisan yang kuat. #sumber
Share:

Azmin Ali: Sultan Perkenan Exco Baharu, 4 Adun PAS Dipilih


SHAH ALAM: 10 nama barisan Exco Selangor yang baharu hanya akan diumumkan pada Jumaat, kata Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali pada Khamis.
Azmin ketika ditemui di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini berkata, beliau akan bertemu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mempersembahkan nama-nama tersebut.
"Kami ada semua calon. Biar saya berbincang dengan Tuanku pada hari ini," kata Azmin.
Jelas beliau, tiada sidang media untuk mengumumkan barisan exco yang baharu itu.
Sementara itu, sumber berkata jawatan Speaker akan diberikan kepada PAS sekiranya parti tersebut menggorbankan satu daripada empat kerusi exco milik mereka.

Timbul spekulasi bahawa PAS diminta untuk menyerahkan satu kerusi exco milik parti itu.

Menurut sumber Pakatan Rakyat, ini adalah formula yang dibincangkan dan dipersetujui pada 2008 apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS membentuk kerajaan di negeri Selangor. #sumber
Share:

Dua ADUN PAS "Lebih Baik Tidak Menerima" Jawatan Exco !


PENGKALAN KUBOR: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS yang menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah menjadi Menteri Besar Selangor perlu membuat pertimbangan sewajarnya jika ditawarkan menjadi Exco negeri berkenaan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata, pertimbangan itu perlu supaya tidak berlaku salah faham di kalangan ahli parti dan masyarakat serta menimbulkan keadaan tidak baik kerana mereka terlebih dahulu membuat pengakuan menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), bukan menteri besar sekarang.

"Kalau mereka dicadangkan sekali pun dan mereka terima, kita khuatir timbul salah faham dan salah tafsiran bahawa seolah-olah jawatan itu diberi bukan atas dasar kemampuan dan kebolehan tetapi atas dasar mereka menyokong (Dr Wan Azizah).

"Saya rasa mereka tak akan dilantik kerana itu tak akan timbulkan keadaan yang baik," katanya yang ditemui pemberita di Markas Besar PAS di sini, Rabu.

Bagaimanapun katanya, secara peribadi beliau berpandangan dua Adun tersebut, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) tidak patut menerima jawatan itu jika dilantik mengisi kekosongan kerusi Exco di negeri itu.

"Secara peribadi saya rasa lebih baik tak terima kerana ia akan menimbulkan macam-macam salah faham," katanya.

Katanya, beliau yakin Saari dan Hasnul dapat memahami situasi ini dan mahu membuktikan bahawa sokongan yang diberikan bukan dibuat atas dasar tertentu.

"Saya rasa kedua-dua mereka pun mamahami dan mereka pun nak buktikan mereka beri sokongan itu tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

"Saya yakin jika ditawarkan oleh Azmin sekali pun, mereka cukup pintar untuk mamahami bahawa implikasinya," beliau memberi pandangan.

Beliau menambah, sekiranya berlaku situasi di mana kedua-dua mereka ditawarkan ke jawatan Exco, mereka perlu merujuk kembali persoalan itu kepada pimpinan.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, bagaimanapun dua Adun tersebut tidak harus dilabel sebagai pemberontak dan mereka masih lagi ahli PAS.

Katanya, apa yang dilakukan mereka adalah satu tanda bahawa mereka tidak menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang ketika itu masih memegang jawatan Menteri Besar. #sumber
Share:

Pejabat "Ahli Dewan Undangan Negeri" Teruntum Di Serang


KUANTAN: “Saya boleh bunuh awak sekarang tapi polis tak boleh buat apa sebab saya mental." Demikian ugutan dilemparkan seorang lelaki tidak dikenali kepada pembantu peribadi Adun Teruntum, Myra Wong dan Pegawai Khas Khas Adun Teruntum, Nurbaini Abu Bakar, selepas permintaannya mendapatkan bantuan kewangan ditolak ketika datang ke Pejabat Adun Teruntum, kira-kira jam 12.45 tengah hari, dua hari lepas.

Menurut Nurbaini, lelaki berkenaan mengakui dan menunjukkan kad kesihatan mentalnya ketika datang meminta bantuan kewangan.

“Kami tidak mempunyai peruntukan khas buatnya dan sebelum ke pejabat dia ada memberitahu telah datang ke Kuantan daripada Sungai Petani, Kedah untuk meminta bantuan kewangan daripada bapa saudaranya.

“Setelah bapanya tidak mempedulikan permintaan tersebut yang kononnya untuk membeli ubat-ubatan dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur, dia datang ke pejabat Adun Teruntum untuk mendapatkan sedikit wang.

“Kami memang membuka pusat khidmat ini untuk membantu namun bantuan diberikan bukanlah sewenang-wenangnya memandangkan tiada peruntukan khas dan bantuan yang ada kami hulurkan adalah daripada usaha kami sendiri serta kepada mereka yang sudah dikenal pasti,” katanya kepada pihak media, dalam satu sidang akhbar, dekat sini.

Nurbaini berkata, ketika kejadian mujur ramai yang berada di pejabat jadi pemuda yang berumur dalam lingkungan 30an itu tidak berani membuat tindakan melulu.

“Walaupun dia mengamuk dan menggemburkan kata-kata kesat, ugutan demi ugutan, pertikaian dan kemarahan yang penuh perkauman, namun kami masih dapat mengawal keadaannya.

“Apa dibimbangkan ugutannya yang begitu serius ditujukan buat pegawai peribadi Adun Teruntum, bimbang dia berani melakukannya di luar.

“Pemuda tersebut juga berulang kali memarahi kami dan menyalahkan wakil rakyat kerana tidak membantunya walaupun kami memberi penerangan bahawa kami tidak mempunyai peruntukan seperti mana adun Barisan Nasional,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, keadaan tegang itu berlaku tidak lama kerana dia cepat juga beredar daripada pejabat namun selang beberapa minit, dia kembali merosakkan pintu hadapan pejabat tersebut.

“Saya ingat selepas berjaya memintanya untuk beredar, kami sudah selamat sebab saya cepat-cepat kunci pintu tetapi rupanya dia telah kembali dengan sebatang kayu dan sebiji batu besar.

“Dia dengan sengaja merosakkan pintu pejabat adun dengan kayu dan pintu hinggakan serpihan kayu banyak bertaburan di hadapan pejabat kami," katanya.

Sementara itu Adun Teruntum, Chong Siong berkata, beliau begitu kesal dengan kejadian yang telah menimpa pegawainya itu dan perkara tersebut tidak seharusnya berlaku.

“Kejadian tersebut ada bersangkut paut dengan hasil didikan yang selama ini diberikan adun atau wakil rakyat BN.

“Sekiranya tidak ada duit dan memerlukan bantuan kewangan, mereka boleh sewenangnya meminta-minta kepada adun sedangkan perkara tersebut adalah inisiatif mereka sendiri untuk memperoleh bantuan kewangan pada jabatan kebajikan atau pusat zakat sekiranya benar-benar memerlukan.

“Kami memang buka pusat khidmat masyarakat tetapi tujuan kami adalah membantu rakyat yang betul-betul memerlukan, cara yang dilakukan lelaki tersebut seperti hendak merompak adun sahaja,” katanya.

Menurutnya, sekiranya benar pemuda tersebut memerlukan, tidak perlu dengan cara yang kasar dan memaki-hamun mungkin boleh berunding.

“Sekiranya pemuda tersebut bercakap dengan cara yang betul, pegawai khas saya mungkin boleh memberikan jalan terbaik untuknya mendapatkan bantuan memandangkan dia datang dari Kedah.

“Kalau nak diikutkan, kita memang nak membantu semua rakyat yang memerlukan, cuma kita tidak ada peruntukan bagi mereka datang secara melulu.

“Dengan gaji Adun sebanyak lebih kurang RM4,000 memang tidak mampu membantu ramai orang daripada segi kewangan tetapi kita tetap berusaha, biar kita miskin tapi janji kita tetap bantu hanya yang betul-betul perlu,” katanya.

Ekoran kejadian itu, Norbaini turut membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, semalam.
Share:

MB Bertukar, Empat Exco Kerajaan Selangor Letak Jawatan


SHAH ALAM: Empat Exco Pas yang bersama dan menyokong pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan serta-merta semalam.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Ir Iskandar Abdul Samad berkata, bagi pihak empat Exco, mereka akan menurut amalan perlu meletak jawatan bersama Abdul Khalid dan ia merupakan amalan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Empat Exco Pas meletak jawatan serta-merta sebab kita dilantik bersama dengan Abdul Khalid, jadi bila beliau  letak jawatan, kita semua pun perlu letak jawatan, ini memang amalan dalam kerajaan dan Exco baharu akan dilantik oleh menteri besar baharu.

"Kita juga mahu mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan dorongan yang diberi semua pihak selama ini, " katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau dalam pada itu berkata Pas Selangor sebenarnya menjadi penyelamat  utama dalam krisis menteri besar hingga berjaya mengelakkan berlakunya pilihan raya negeri.

"Empat Exco Pas yang terus kekal bersama pentadbiran Abdul Khalid sebenarnya membawa semangat dan prinsip PR sepanjang tempoh krisis berlaku.

"Empat orang Exco ini pada hakikatnya menjadi penyelamat dan menghalang dari berlakunya pilihan raya negeri kerana kita tetap kekal mendengar arahan Pas Pusat dan terus bersama kerajaan menteri besar (kini bekas), sekali gus menyelamatkan kerajaan negeri.

"Mereka juga dengan tegas menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan menyatakan kesediaan untuk meletak jawatan jika ada Adun Umno dibawa masuk ke dalam kerajaan.

"Akhirnya, kemelut menteri besar ini sudah berakhir dan saya  bersyukur ia berakhir dengan baik," katanya.

Beliau merujuk empat Exco Pas yang meletak jawatan itu melibatkan Dr Ahmad Yunus Hairi, Dr Halimah Ali, Sallehen Mukhyi dan beliau sendiri yang kekal bersama pentadbiran Abdul Khalid.

Semalam, Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor baharu menggantikan Abdul Khalid di Istana Alam Shah.

Iskandar turut menzahirkan kesediaan Pas dalam bekerjasama dengan Mohamed Azmin dan yakin mampu bekerja dengan baik demi kebajikan dan kemajuan rakyat.

Sementara itu, Sallehen berkata, beliau tiada masalah jika bukan lagi Exco dan menyifatkan semua Adun Pas yang lain juga mempunyai kredibiliti masing-masing terpilih untuk menggantikannya.

“Saya seronok kalau nama saya digugurkan. Kuasa memilih barisan Exco adalah terletak pada menteri besar dan ia terpulang sama ada Azmin ingin mengekalkan empat Exco Pas yang lama atau melantik yang baharu.

“Cuma dalam parti saya rasa masih akan tetap mengekalkan Exco yang sedia ada sebab masing-masing sudah ada perancangan dan elok untuk meneruskannya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar, di Istana Alam Shah, semalam.

Sementara itu beliau menyifatkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai jahil dan tidak memahami Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor ketika membuat kenyataan mendakwa empat Exco Pas sebagai ‘pengkhianat’ kerana tidak meletak jawatan ketika pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. #sumber
Share:

Mesej 'Ummi Aida Kepada Azmin Ali' Selepas Di Lantik MB !


SHAH ALAM: “Jalankan tugas dengan amanah dan bertanggungjawab kerana ALLAH dan rakyat."

Itu mesej ringkas ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali kepada abangnya, Mohamed Azmin Ali yang baru dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

“Alhamdulillah, itu rezeki dia (Mohamed Azmin). Saya percaya pada qada dan qadar.

“Sebagai adik, saya bangga apabila abang dilantik menjadi menteri besar. Dia berhak mendapat hadiah itu selepas berjuang hampir 20 tahun dalam dunia politik,” katanya  semalam.

Menurut Ummi, apa yang dicapai Mohamed Azmin juga adalah berkat amalan ibu dan arwah bapa mereka serta seluruh keluarga yang tidak pernah putus-putus mendoakan yang terbaik untuk Timbalan Presiden PKR itu.

Menurut Ummi, tugas Mohamed Azmin kini bukan sahaja kepada rakyat, tetapi cabaran buatnya adalah untuk membersihkan segala kontroversi yang melanda PKR.

“Dia ada kredibiliti sebagai pemimpin dalam membuat sebarang keputusan. Cuma saya berharap dia tidak menjadi ‘remote control’ kepada (Ketua Umum PKR, Datuk Seri) Anwar Ibrahim,” katanya.

Katanya, menjadi tanggungjawab Mohamed Azmin untuk membuktikan kepada rakyat bahawa segala keputusan yang dibuatnya selepas ini bukan arahan dari pihak tertentu.

Menurut Ummi, kerusi Menteri Besar Selangor secara tradisinya dikenali sebagai kerusi 'panas' dan beliau tidak mahu melihat Mohamed Azmin jatuh seperti bekas-bekas menteri besar sebelum ini. #sumber
Share:

PAS Nafi Kempen "Berseorangan" Di PRK Pengkalan Kubor !


PENGKALAN KUBOR: PAS menafikan parti itu 'berseorangan' tanpa dibantu Parti Keadilan rakyat (PKR) dan DAP dalam usaha merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor daripada Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, istilah 'berseorangan' hanyalah persepsi dan ia timbul kerana beberapa faktor, termasuk faktor pelantikan menteri besar yang baharu di Selangor.

"Dalam masa dua hari mereka terpaksa uruskan perkara yang melibatkan pimpinan induk yang dipanggil bermesyuarat.

"Kita faham situasi ini dan kita boleh tanganinya. PAS kempen seorang diri 'hanya persepsi'," katanya pada sidang media PRK Pengkalan Kubor di sini, Rabu.

Katanya, PAS tidak melihat situasi ini sebagai masalah kerana pimpinan tertinggi PKR dan DAP telah pun turun ke sini pada hari penamaan calon, 13 September lalu sebagai tanda sokongan.

Jelasnya, ketiadaan jentera DAP sepanjang tempoh kempen disebabkan faktor peratusan pengundi Cina yang kecil di kawasan Pengkalan Kubor, namun itu tidak bermaksud DAP tidak menyokong PAS.

"Di Kuala Besut (PRK) dulu pun DAP tak turun. Ini kerana faktor pengundi Cina di sini yang tidak ramai, cuma 100 lebih sahaja.

"Tetapi gerak kerja daripada PKR khususnya PKR negeri sangat baik, bilik gerakan dan jentera mereka beroperasi setiap hari, malah lapan orang ahli jawatankuasa operasi PRK Pengkalan Kubor adalah dari PKR dan mereka duduk bersama dalam mesyuarat kita," katanya.

Ceramah umum malam Selasa yang kononnya akan dihadiri pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat menimbulkan tanda-tanya dan mengundang persepsi tidak baik terhadap PAS apabila ia tidak dihadiri pimpinan tertinggi PKR dan DAP. #sumber
Share:

Pengkalan Kubor: Luar Biasa, Kalau Peratus Mengundi Naik


PENGKALAN KUBOR: PAS menjangkakan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor jatuh berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) disebabkan kesukaran pengundi luar pulang mengundi.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kesukaran tersebut akan memberi kesan dan mempengaruhi keputusan pilihan raya yang akan diumumkan malam Khamis ini.

"Secara logiknya akan jatuh, kerana ia melibatkan pengundi luar yang susah nak balik. Kalau naik tu kita rasa peliklah dan kita anggap luar biasa.

"Kita yakin Umno pun akan berusaha untuk panggil  pengundi luar balik mengundi," katanya pada sidang media di Markas Besar PAS di sini, Rabu.

Dalam hal ini, beliau sekali lagi membidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak mempertimbangkan beberapa faktor sebelum menetapkan tarikh pengundian yang dibuat pada hari berkerja iaitu 25 September (esok).

Katanya, keputusan SPR yang disifatkan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengambil langkah alternatif dengan mengisytiharkan cuti peristiwa di Kelantan.

Beliau berkata, SPR seharusnya menetapkan tarikh yang mampu membuatkan seramai mungkin pengundi, khususnya di Pengkalan Kubor untuk keluar mengundi kerana mengundi adalah hak setiap rakyat dan termaktub dalam Perlembagaan.

"Pengundi di Pengkalan Kubor di luar Kelantan terpaksa balik dua kali kerana minggu depan raya Haji. Di Kelantan raya Haji lebih besar daripada raya puasa.

"Di Kelantan kita beri cuti, tapi pengundi di luar Kelantan tak cuti, jadi mungkin tak dapat pulang. Kita juga bimbang jika majikan tak beri pelepasan kepada pengundi untuk balik mengundi," katanya.

Satu lagi kebimbangan yang disuarakan beliau adalah mengenai 'banner' dan poster bersifat provokasi yang semakin banyak dilihat di kawasan pilihan raya.

"SPR perlu proaktif ambil tindakan terhadap 'banner' bersifat provokasi yang diletakkan seolah-olah tak ada peraturan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jawatankuasa Operasi PRK Pengkalan Kubor, Mohd Zaki Ibrahim berharap SPR tegas dalam memastikan keselamatan peti undi pada Khamis.

Katanya, peristiwa pada PRU-13 tidak sepatutnya berulang di mana petugas membawa peti undi dari pusat mengundi ke pusat pengiraan undi tidak menggunakan laluan yang digazetkan oleh SPR.

"Kereta yang membawa satu peti undi di satu saluran di Parlimen Tumpat ditahan apabila menggunakan laluan hutan," katanya. #sumber
Share:

Barisan Exco: Azmin Akan Menghadap Sultan Selangor Esok


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata, beliau akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Khamis, bagi mendapat perkenan berhubung senarai barisan Exco baharu kerajaan negeri yang dipilih.

Azmin berkata, barisan exco itu hanya akan diketahui selewat-lewatnya Khamis selepas beliau mengadakan perbincangan kedua dengan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, Rabu.

"Sekarang ini kita sedang teliti barisan Exco baharu dan disusuli pertemuan (perbincangan) kedua petang ini.

"Insya-Allah kita akan selesaikan proses itu Khamis dan akan menghadap Tuanku bagi mendapat perkenan untuk majlis angkat sumpah Jumaat ini," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, Rabu.

Semalam, Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghadiri perbincangan di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, bersama wakil-wakil daripada tiga parti iaitu PKR, PAS dan DAP bagi membincangkan barisan Exco baharu kerajaan negeri.

Terdahulu, Azmin memasuki Bangunan SUK pada 7.45 pagi bagi memulakan tugas rasminya sebagai Menteri Besar.

Kedatangan beliau disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan beberapa pegawai kerajaan.

Azmin kemudian menuju ke pejabat Menteri Besar yang terletak di tingkat 21, Bangunan SUK dan secara simbolik mengetip kad perakam waktu kira-kira 7.50 pagi.

Menteri Besar baharu itu kemudiannya menghadiri mesyuarat bersama pegawai kanan kerajaan.

Azmin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa mengangkat sumpah jawatan tertinggi pentadbiran Selangor itu di hadapan Sultan Sharafuddin di Istana Alam Shah, Klang Selasa. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.