
PUTRAJAYA: Anak lelaki Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Ihsan berkata, beliau sekeluarga bersikap optimis selepas prosiding rayuan terakhir kes liwat ketua pembangkang kini masuk hari ketiga.
Berusia 27, Mohd Ihsan berkata, selagi mahkamah belum memutuskan sama ada bapanya dibebas atau dipenjarakan, perjuangan menuntut keadilan perlu diteruskan.
"Kita optimistik dan perjuangan harus diteruskan.
"Saya rasa kita harus positif," katanya selepas berakhirnya prosiding hari ketiga rayuan terakhir kes liwat Anwar, Rabu.
Mohd Ihsan yang pulang dari Amerika Syarikat (AS) bersama isterinya dan adik perempuannya, Nurul Hana, 21, berkata, mereka juga perlu positif apabila pihak pendakwaan kini dilihat cuba merendah-rendahkan hujah dan bukti yang dikemukakan.
Difahamkan mereka akan pulang semula ke AS pada malam Khamis.
"Sekarang ini bukti-bukti yang kita kemukakan mereka cuba nak merendahkannya.
"Semua fakta kita kena ulang dan rujuk balik," katanya.
Sementara itu, anak sulung Anwar, Nurul Izzah mengakui timbul rasa bimbang apabila memikirkan tentang nasib Anwar.
"Kami sekeluarga memang takut bila memikirkan tentang pemenjaraan.
"Yang penting kita berdoa dan bermunajat, mereka rancang rancangan jahat tapi kita percaya perancangan Allah adalah perancangan yang terbaik," katanya.
Ahli Parlimen itu berkata demikian ketika berucap di hadapan penyokong bapanya petang Khamis.
Katanya, kegelisahan keluarganya berkurangan dengan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong demi menuntut keadilan.
"Walaupun kami gundah gulana dan risau tapi kehadiran anda semua memberikan kami semangat untuk terus berjuang," katanya.
Prosiding rayuan terakhir kes liwat Anwar diteruskan Khamis dengan peguam keempat yang mengemukakan hujah, Ramkarpal Singh menyambung hujahnya pada sesi pagi.
Pendengaran yang masuk hari ketiga ini juga akan menyaksikan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pendakwaan akan menjawab di sebelah petang. #sumber
KUANTAN: Golongan belia di seluruh negara di harap mengambil peluang atas keprihatinan kerajaan UMNO Barisan Nasional dibawah kempimpinan Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak untuk mendirikan rumah tangga dan membeli rumah menerusi Skim Pinjaman Khas Perumahan Belia yang diperkenalkan oleh kerajaan. Demikian di tegaskan oleh Exco Pemikir Muda Malaysia, Md Jamil Pauzi (foto) hari ini.
Menurut beliau beliau sepatutnya cakna dengan berita baik yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada pembentangan Bajet 2015 yang lalu. "Saya melihat tawaran insentif RM200 sebulan bagi tempoh dua tahun (24 bulan) untuk meringankan bebanan bayaran ansuran bulanan rumah yang berharga tidak melebihi RM500,000 adalah satu bonus kepada golongan beliau terutamanya yang tinggal di bandar-bandar besar. Walau pun jumlahnya tidak sebesar mana, namun keikhlasan kerajaan itu harus diberi perhatian oleh golongan belia dari seluruh negara", katanya.
Tambahnya lagi, jika mereka lambat bertindak pasti peluang itu akan terlepas begitu sahaja. "Mereka juga perlu ingat, tawaran itu hanya diberikan untuk pendapatan isi rumah tidak lebih RM10,000 dan ianya berdasarkan siapa cepat dia dapat sehingga 20,000 unit rumah sahaja. Di samping itu, mereka dapat penjimatan 50% duti setem ke atas surat pindah milik dan perjanjian pinjaman. Mereka juga dapat jaminan pinjaman sebanyak 10% bagi membolehkan peminjam mendapat pembiayaan penuh", kata Jamil lagi.
Beliau turut menegaskan usaha kerajaan itu adalah yang terbaik untuk membantu golongan beliau. "Skim perumahan untuk belia yang berkahwin ini adalah sangat bagus bagi memudahkan mereka membeli rumah memandangkan harga rumah semakin meningkat dan of course bantuan bulanan sebanyak RM200 (jumlah keseluruhan selama 2 tahun adalah RM4,800) dapat meringankan beban mereka. So kalau kita kira jumlah 20,000 x RM4,800, bermakna kerajaan terpaksa membelanjakan sebanyak RM96 juta...", tambah Jamil lagi yang juga merupakan Exco Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang. #pahangdaily
PUTRAJAYA: Profil DNA "Lelaki Y" yang dijumpai dalam rektum Mohd Saiful Bukhari Azlan bukan milik pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Persekutuan diberitahu pada Rabu.
Dalam hujahnya di hadapan lima panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, Sangeet Kaur Deo berkata tiada bukti sama sekali untuk mengaitkan "Lelaki Y" dengan Anwar.
Beliau menjelaskan tiada seorang pegawai polis yang bertugas di lokap melihat Anwar menggunakan tiga barangan berus gigi, tuala Good Morning dan botol air mineral - yang telah diberikan kepadanya oleh pihak polis ketika beliau ditahan semalaman dari 16 Julai 2008 hingga 17 Julai 2008.
Sangeet berkata seorang pegawai polis memberitahu mahkamah bahawa dia hanya mendengar bunyi seolah-olah Anwar memberus giginya.
"Dia melihat Anwar menggunakan tandas sel tetapi dia tidak melihat perayu (Anwar) memberus gigi," katanya.
Oleh itu, beliau berkata, adalah tidak mungkin untuk menghubungkan profil DNA 'Lelaki Y' untuk Anwar kerana ia boleh menjadi sesiapa sahaja.
Ketika ditanya Hakim Arifin sama ada terdapat orang lain dalam sel itu, Sangeet berkata Anwar adalah penghuni tunggal.
Beliau berhujah bahawa pihak pendakwaan hanya bergantung kepada keterangan mengikut keadaan bahawa Anwar telah menggunakan barangan itu, bagaimanapun, pegawai polis tidak pernah melihat Anwar menggunakannya.
"Keterangan mengikut keadaan biasanya bergantung kepada bila tidak ada keterangan langsung. Tetapi dalam kes ini, kita mempunyai saksi yang melihat perayu tidak menggunakan barang-barang itu," katanya.
Namun, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong menjelaskan bahawa dalam undang-undang, keterangan mengikut keadaan boleh digunakan, tidak semestinya hanya mengarahkan keterangan, ia boleh menjadi kedua-duanya.
Sangeet berhujah bahawa di Mahkamah Tinggi, perbicaraan dalam perbicaraan dijalankan oleh mahkamah bagi maksud menentukan sama ada terdapat keterangan yang mencukupi bagi mahkamah untuk tidak memasukkan profil DNA daripada ketiga-tiga barangan itu.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi, dalam keputusannya, telah tidak memasukkan ketiga-tiga barangan itu namun mengubah keputusan awal selepas membenarkan pihak pendakwaan mengkaji semula keputusan dan membenarkan barangan itu dikemukakan sebagai bukti.
Sangeet berhujah bahawa daripada keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi untuk mengecualikan barangan itu, adalah jelas bahawa ia adalah berdasarkan kepada cara dan kaedah yang tidak adil yang digunakan pihak polis, bermakna ia dilakukan dengan helah dan tipu daya bahawa pihak polis cuba mengemukakan bukti DNA.
Beliau seterusnya berhujah bahawa barangan itu diperoleh bagi profil DNA oleh polis dengan cara yang tidak wajar dan tidak adil, kerana Anwar enggan memberikan sampel darahnya untuk tujuan DNA apabila diminta oleh doktor Hospital Kuala Lumpur.
Beliau berkata berdasarkan kepada pihak berkuasa, Anwar berhak dari segi perlembagaan untuk tidak melakukannya dan ia tidak diwajibkan secara undang-undang untuk memberikan sampel darahnya untuk DNA.

Sangeet berkata sebagai ganti daripada dibebaskan selepas pemeriksaan perubatan, Anwar dibawa kembali ke sel lokap dan dibekalkan dengan tiga barangan.
"Adalah penting untuk diperhatikan bahawa apabila barangan dijumpai daripada lokap, Anwar tidak ada," kata beliau.
Beliau menegaskan bahawa mahkamah sepatutnya mempertimbangkan apa yang dinyatakan dalam diari lokap kerana ia adalah sangat terperinci.
Malah, beliau berkata, berdasarkan keterangan itu, diari lokap itu mencatatkan pergerakan Anwar setiap dua jam seperti ketika dia sedang tidur dan bersandar kepada jeriji besi.
Beliau berhujah tanpa barangan itu, ada jurang besar dalam pendakwaan kes dan oleh itu, pihak pendakwaan telah gagal untuk mengaitkan DNA Lelaki Y dengan Anwar.
Pada tahap awal, seorang lagi peguam, N.Surendran berhujah bahawa Mahkamah Rayuan telah gagal mengambil kira kenyataan Anwar dari kandang tertuduh dengan lain-lain keterangan bagi mensabitkan pemimpin pembangkang itu. #sumber
PUTRAJAYA: Prosiding pendengaran rayuan pada hari kedua menyaksikan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan hujah mengenai isu rancangan 'yang telah diatur' atas tuduhan liwat.
N Surendran mengemukakan hujah itu di hadapan barisan Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Empat lagi hakim yang diberi mandat untuk mendengar rayuan kes ini adalah Tan Sri Md Raus Sharif, Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.
Surendran juga mengemukakan hujah bahawa Mahkamah Rayuan dalam menyabitkan Anwar, telah gagal mengambil kira kenyataan Anwar dari kandang tertuduh.
Peguam bela ketua pembangkang itu juga menegaskan mahkamah juga tidak mempertimbangkan bukti lain yang dikemukakan.
Pasukan pendakwaan diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, manakala Anwar diwakili bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang akan bertindak sebagai ketua pasukan pembelaan melibatkan 14 peguam.
Pendengaran rayuan terakhir Anwar di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu kerana didapati bersalah meliwat Saiful Bukhari Azlan.
Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sekiranya Anggota Parlimen Permatang Pauh itu gagal dalam rayuan ini, kelayakannya sebagai anggota parlimen boleh dilucutkan berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa kelayakan seseorang anggota parlimen boleh dibatalkan sekiranya beliau dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau denda lebih daripada RM2,000.
Ini kes liwat kedua terhadap Anwar. Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos, 2000. #sumber
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan diberitahu tiada sebarang bukti daripada saksi polis yang menunjukkan perayu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan tuala 'good morning', berus gigi dan botol minuman sewaktu berada di dalam tahanan di lokap.
Peguam bela, Sangeet Kaur Deo dalam hujahannya berkata, barangan tersebut diberikan kepada Anwar, 67, bagi mendapatkan asid deoksiribonukleik (DNA) tanpa pengetahuan Ketua Pembangkang itu.
"DNA yang ditemui pada barangan adalah sepadan dengan DNA yang ditemui di dalam rektum Mohd Saiful Bukhari Azlan, 29, yang dilabel sebagai 'Lelaki Y," katanya.
Beliau berkata, pihak pendakwaan telah mengaitkan DNA "Lelaki Y" itu dengan Anwar berdasarkan bukti keadaan iaitu hanya beliau sahaja tahanan tunggal pada masa itu.
"Pendakwaan tidak boleh bergantung kepada bukti keadaan ketika terdapat bukti langsung," katanya.
Sangeet berkata, DNA "Lelaki Y" itu tidak semestinya milik Anwar dan berkemungkinan milik sesiapa sahaja. #sumber
PUTRAJAYA: Penyokong Mohd Saiful Bukhari Azlan di Istana Kehakiman pada hari kedua prosiding kes liwat Datuk Anwar Ibrahim yang meningkat mendadak hadir dengan perancangan lebih teratur.
Berbanding hari pertama, kehadiran penyokong Saiful dengan poster dan sepanduk menuntut keadilan dilihat bertambah kira-kira pukul 11 pagi, Rabu.
Sambil itu, mereka turut melaungkan slogan 'Tangkap Anwar', 'Dia Mangsa Kezaliman' dan sebagainya.
Namun, rata-rata mereka menafikan dibayar oleh pihak tertentu untuk datang memberikan sokongan terhadap Saiful.
Seorang surirumah, Rogayah,68, berkata, dia hadir di bangunan Mahkamah Persekutuan pada Rabu kerana mahukan keadilan ditegakkan.
Dia yang datang menaiki bas dari Ampang bersama penyokong lain bertolak pada pukul 8 pagi untuk ke Putrajaya.
"Saya tidak sokong siapa-siapa tetapi hanya menuntut keadilan, tetapi dalam kes ini saya yakin Saiful tidak bersalah dan perlu mendapat keadilan.
"Kami datang dengan kerelaan hati, tidak dibayar oleh sesiapa," katanya.
Seorang lagi penyokong Saiful, Abd Rahman, 59, menyatakan harapannya agar Anwar dihukum penjara, bagaimanapun sebaliknya yang berlaku, dia tetap menerima keputusan itu dengan hati terbuka.
Dia yang menaiki motosikal dari Sepang turut menafikan dibayar oleh pihak tertentu untuk menyokong Saiful.
"Saya datang secara sukarela, tak ada arahan mana-mana pihak atau mendapat bayaran," katanya.
Ramlah, 69, yang datang menaiki bas dari Pandan berkata, dia adalah seorang yang menyokong keamanan dan keadilan.
"Sebab itulah saya berada di sini dan menyokong Saiful.
"Kedatangan saya tak ada kaitan dengan mana-mana pihak kerana saya datang secara sukarela" katanya. #sumber
PUTRAJAYA: Ketua Pasukan Pendakwaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu bekas Pembantu Peribadi Ketua Pembangkang, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 29, adalah saksi yang mempunyai kredibiliti.
Menurutnya, kredibiliti Mohd Saiful yang juga pengadu dalam kes liwat ini telah diputuskan semasa prosiding di mahkamah tinggi dan Mahkamah Rayuan yang lepas.
"Saya lihat beberapa isu yang dibangkitkan oleh peguam bela hari ini adalah bukan isu baru dan ianya adalah seperti yang dijangkakan.
"Kami sudah bersedia dengan jawapan untuk menjawab isu tersebut," katanya kepada wartawan di luar kamar Mahkamah Persekutuan, hari ini.
Ditanya adalah ini kali pertama beliau 'beraksi' bersama Peguam Utama Pembelaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, Muhammad Shafee menafikannya.
"Saya pernah bersamanya dalam kes pecah amanah dan pada waktu itu saya memegang jawatan Timbalan Pendakwa Raya," katanya. #sumber
PUTRAJAYA: Hari kedua prosiding rayuan terakhir kes liwat keduanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat 'lebih berani' apabila bertemu penyokongnya di bahagian luar kompleks mahkamah.
Beliau yang hadir ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya tiba di Istana Kehakiman di sini kira-kira pukul 8.50 pagi.
Pada hari pertama pendengaran rayuan terakhirnya dalam kes liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, Anwar hanya melambai dari jauh kepada penyokongnya dari bahagian dalam kompleks mahkamah yang dipisahkan dengan penghadang besi.
Jarak bangunan mahkamah dengan penghadang besi yang dipasang adalah kira-kira 200 meter.
Ini berbeza pada hari kedua apabila beliau dan ahli keluarga memilih untuk muncul di bahagian luar kompleks Mahkamah Persekutuan yang sesak dengan penyokong.
Dalam keadaan sesak dan berasak-asak beliau mengambil masa kira-kira 15 minit untuk bertemu dan bersalaman dengan para penyokongnya yang berarak dari Masjid Tuanku Mizan, ke kompleks mahkamah, di sini dari pukul 7 pagi.
Bagaimanapun, umumnya keadaan terkawal walaupun terdapat penyokong yang terjatuh ketika berasak-asak dalam kesesakan itu.
Sementara itu, seorang anggota keselamatan memberitahu, kawalan keselamatan pada Rabu diperketatkan berbanding hari sebelumnya.
Selain menambah keanggotaan, penghadang besi yang memisahkan kompleks mahkamah dengan penyokong juga dipasang pada jarak lebih jauh berbanding Selasa.

Dalam pendengaran rayuan terakhir Anwar ini, Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria akan mengetuai barisan lima panel hakim.
Pasukan pendakwaan diketuai peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala pasukan pembelaan Anwar diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram bersama 13 peguam lain.
Walaupun pada asalnya prosiding ditetapkan berakhir pada Rabu, namun difahamkan ia mungkin akan dilanjutkan sehingga Khamis atau Jumaat. #sumber
PUTRAJAYA: Prosiding kes liwat 2 Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk hari kedua, Rabu, dengan lebih banyak hujah akan dikemukakan oleh barisan peguam kedua-dua belah pihak.
Hari kedua pendengaran rayuan menyaksikan lebih ramai penyokong Anwar memenuhi perkarangan Mahkamah Persekutuan.
Penyokong beliau berarak beramai-ramai dari Masjid Tuanku Mizan Putrajaya ke Istana Kehakiman di sini diketuai oleh Naib Presiden PKR, Tian Chua sambil melaungkan slogan 'Reformasi' dan 'Bebas Anwar'.
Mereka tiba di Mahkamah Persekutuan pada pukul 8.30 pagi.
Berlaku sedikit kekecohan apabila kumpulan penyokong ini tiba apabila mereka cuba merempuh penghadang besi yang dipasang dan dikawal polis.
Namun situasi itu dapat dikawal oleh pihak polis yang mana keanggotaannya ditambah pada hari kedua ini dan penghadang besi juga dipasang dengan lebih banyak sekali gus lebih jauh dari bangunan mahkamah.
Tian Chua yang sempat memberikan ucapan berkata kehadiran penyokong pada Rabu adalah untuk menyatakan sokongan kepada Anwar dan menuntut keadilan.
"Hak untuk berhimpun adalah hak rakyat dan saya telah minta dengan polis untuk berada lebih dekat dengan mahkamah iaitu di hadapan mahkamah tapi hari ini nampaknya kita berada lebih jauh dari semalam.
"Tetapi polis tak benarkan," katanya.Bagaimanapun katanya program melibatkan penyokong akan diteruskan.
Turut kelihatan Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kayat. #sumber
PETALING JAYA: Pengumuman mengenai pemilik kenderaan yang berpendapatan lebih RM10,000 sebulan tidak akan menikmati subsidi bahan api mulai tahun depan telah menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan masyarakat.
Ramai yang bertanyakan soalan berkaitan subsidi bahan api itu di laman Facebook dan ada juga yang memberi komen terhadap skim yang diumumkan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Skim yang belum ada mekanisme akhir ini menyatakan bahawa mereka yang berpendapat bawah RM5,000 sebulan akan mendapat subsidi penuh, manakala yang berpendapatan RM5,001 dan RM10,000 akan mendapat separuh subsidi.
Sejak itu, pelbagai persoalan timbul antaranya syarat itu berdasarkan gaji asas ataupun jika gaji itu termasuk kerja lebih masa atau elaun.
Sesetengah orang juga mahu penjelasan jika seseorang itu mengisi minyak menggunakan Mykad anak mereka, perlu ada skim yang boleh mengesahkan tahap gaji.
"Apa yang perlu saya buat untuk mengelak daripada mengisi minyak kereta kawan saya yang kaya?" tanya Hetish Sharma.
Beberapa orang bertanya terdapat apa-apa tanda jumlah subsidi petrol yang digunakan setiap bulan dan mereka turut bimbang kemungkinan skim ini boleh disalah gunakan oleh individu yang menjual kuota mereka.

Salah seorang ahli perniagaan berkata, subsidi untuk petrol dan diesel hanya bermula jika harga minyak mentah di atas AS$ 80 (RM262) setong di pasaran antarabangsa.
"Bagaimana jika harga turun daripada harga biasa? Adakah petrol akan lebih murah bagi kumpulan yang berpendapatan kurang daripada RM5,000," tanya pengusaha itu.
Sementara itu ada juga yang mempersoalkan mengenai keselamatan maklumat peribadi .
"Dengan segala maklumat yang ada dalam Mykad, adakah pemabantu stesen minyak akan tahu jumlah gaji saya dan di mana saya tinggal?
"Adakah saya akan menjadi sasaran?" tanya Lidia Roro.
Manakala Noel Dass berkata, jumlah gaji sepatutnya menjadi hak milik peribadi.
"Bolehkah sistem ini hanya mendedahkan maklumat gaji secara kasar daripada terlalu terperinci?
"Dan pekerja stesen minyak yang memerhati tahap gaji, alamat rumah serta plat kereta yang boleh membawa kepada sasaran perompak," jelasnya.
Selain itu, Napsiah Mat Salleh bertanya apa akan jadi jika seseorang itu tidak mengemaskini tangga gaji di dalam Mykad?
"Dan bagaimana pula dengan status pesara? Mereka tidak mempunyai gaji," tanya Napsiah.
Vincent Choon Chee Ming yakin pengguna akan beratur lebih panjang untuk mengisi minyak apabila setiap pelanggan perlu menunjukkan Mykad atau dokumen lain sebelum minyak diisi.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kini sedang mengkaji mekanisme penuh berkaitan skim ini. #sumber
PUTRAJAYA: KEADILAN sudah bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku berhubung keputusan rayuan terakhir kes Fitnah II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.
“KEADILAN sudah bersedia dengan apa-apa kemungkinan yang bakal berlaku ke atas keputusan kes Fitnah II yang melibatkan Anwar Ibrahim.
“Pada peringkat KEADILAN dan seterusnya Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat tergempar sejurus selepas keputusan diperolehi mungkin pada hari ini atau esok,” kata Rafizi ketika ditemui di perkarangan Mahkamah.
Menurut Rafizi, Anwar menghadapi hari-hari sebelum ini dengan begitu cekal sehingga difitnah dengan sedemikian rupa sepertimana kes pada 1998.
Katanya, Anwar sudah 40 tahun dalam kerjayanya, bermula sebagai seorang aktivis pelajar hingga ahli politik, dan sedikit pun tiada erti kekalahan dalam dirinya.
Tambahnya lagi, cabaran yang dihadapi pada 1998 sehingga mencetuskan gelombang reformasi adalah lebih hebat berbanding sekarang.
“Saya lihat Anwar Ibrahim dalam tempoh masa dua tiga bulan lepas secara mentalnya sudah bersedia menghadapi kes fitnah yang menimpa dirinya” ujar Rafizi. #sumber
KUALA LUMPUR: Universiti Malaysa (UM) membuat siasatan dalaman terhadap pelajar Universiti Malaya yang terlibat dalam perhimpunan haram di UM pada Isnin malam.
Dalam masa sama juga, UM turut membuat laporan polis di Balai Polis Pantai pada Selasa berhubung perhimpunan haram itu.
Keadaan di UM pada perhimpunan haram menjadi huru-hara apabila sekumpulan mahasiswa dan orang ramai yang terdiri daripada penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak merempuh pintu utama UM untuk menghadiri program pidato Ketua Pembangkang itu.
Dalam kejadian pada pukul 9.20 malam itu, kumpulan tersebut berjaya merempuh masuk pintu arah Bangsar selepas ia dikunci bagi tujuan keselamatan manakala pintu lain dibuka dengan kawalan. #sumber
PUTRAJAYA: Perbicaraan angsung rayuan kes Liwat 2 bersambung semula petang tadi.
4.00pm: Bebannya, kata Gopal, adalah di pihak pendakwaan untuk membuktikan kesnya.
Peguam kanan itu berkata sabitan dari segi keadaan rayuan itu dibuat, menjadikannya tidak selamat.
Menurutnya, ia ditetap pada 12 dan 13 April di Mahkamah Rayuan, di mana ia telah ditetapkan di hadapan Hakim Aziah Ali semasa pengurusan kes.
Rayuan itu, katanya, didengar pada 6 dan 7 Mac dan Karpal meminta masa untuk penghujahan tetapi ia ditolak.
Menurutnya, ia adalah satu perbicaraan yang lama tetapi dalam keadaan ini, ia dijalankan, sabitan itu adalah tidak selamat.
Gopal selesai menyampaikan hujahnya.
3.45pm: Gopal berkata dalam membatalkan pembebasan atau penegasan pembebasan, mahkamah tertinggi itu harus campur tangan jika temuan itu adalah salah.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menyatakan Saiful adalah seorang saksi yang boleh dipercayai tetapi keterangannya terhadap orang lain, berbeza.
Menurut Gopal, ia tidak melalui pemeriksaan yang ketat dan telah berlaku salah laksana keadilan.

3.25pm: Menyentuh mengenai alibi Anwar, Gopal berkata anak guamnya telah memberikan notis alibi tetapi ditinggalkan pada perbicaraan itu, dan telah menjelaskan mengapa beliau berbuat demikian dalam satu kenyataan dari kandang tertuduh.
"Apabila pihak pendakwa membuat rayuan, petisyen mereka tidak mengandungi alibi saksi," tambahnya.
Peguambela itu berkata rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan Anwar terutamanya berkaitan dengan DNA.
Beliau berhujah bahawa mahkamah rayuan melampaui tanggapan (notion) alibi ini di mana DPP berhujah mengenai kegagalan Anwar untuk memanggil seorang saksi alibi.
"Notis alibi tidak diteruskan tetapi ia tidak boleh digunakan terhadap perayu. Mahkamah tertinggi ini harus campur tangan apabila terdapat penyalaharahan (misdirection) yang jelas," kata Gopal dalam hujahnya.

Gopal berkata pemilik kondominium, Hasanuddin, telah disoal siasat oleh polis selama 30 jam.
Hasanuddin mempunyai dua unit bersebelahan satu sama lain di kondominium Desa Damansara, dan alibi Anwar adalah beliau tidak berada dalam unit yang lain, di mana kejadian liwat dikatakan berlaku.
3.05pm: Gopal berkata tuduhan itu sepatutnya dirangka berdasarkan apa yang didakwa oleh pengadu.
Peguambela itu berkata hakim perbicaraan salah apabila memutuskan bahawa pihak pembelaan tidak boleh mempunyai satu salinan kenyataan beramaran Saiful.
Katanya, saiful mengatakan bahawa liwat itu bukan secara rela.
Dengan pendakwaan di bawah seksyen yang berbeza, tegas Gopal, Saiful berdepan risiko dicabar (impeached).
2.40pm: Gopal berkata intinya ialah keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa merupakan pentahkikan (corroboration) dalam undang-undang.
Mengenai inti ketiga, peguambela itu meneliti keterangan Saiful mengenai liwat secara rela atau bukan secara rela.
"Saiful memberi keterangan bahawa kes liwat yang dikatakan berlaku itu bukan secara rela tetapi perayu didakwa mengikut Seksyen 377B dan bukan Seksyen 377c (Kanun Keseksaan)," katanya.
Seksyen 377B Kanun Keseksaan menyatakan: “Sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela, akan dihukum penjara maksima 20 tahun, termasuk sebatan.“
Manakala Seksyen 377C Kanun Keseksaan menyatakan: “Persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan dan pesalah boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan."

2.30pm: Gopal meneruskan hujahnya yang meneliti keterangan Saiful.
Saiful, katanya, memberi keterangan bahawa bahan pelincir jatuh di atas karpet semasa kejadian liwat dikatakan berlaku.
Peguambela itu berkata karpet tersebut telah dirampas oleh DSP Jude pada 30 Jun.
Katanya, Jude pergi ke tempat kejadian dengan pasukan forensik bersama dengan pengadu. Di sana mereka menemui sehelai rambut dan merampas karpet itu.
"Ahli kimia itu tidak menemui kesan air mani di karpet," katanya.
2:23pm: Pendengaran disambung semula.
2.20pm: Anwar kembali dan berseloroh dengan anggota polis di dalam dewan mahkamah, "You tahu, I orang salah, you patut sediakan outrider lah".
2.15pm: Pendengaran mahkamah disambung semula tetapi Anwar belum hadir. Gopal meminta maaf, dan memberitahu hakim bahawa anak guamnya pergi makan tengah hari.
Hakim Arifin dan hakim-hakim yang lain bersetuju untuk menunggu dan kembali ke kamar masing-masing. #sumber
SEORANG remaja perempuan berusia 13 mengalami pengalaman perit apabila kakinya reput selepas dipatuk ular.
Gadis yang tidak dikenali itu dibawa ke Hospital Carcaras, Venezuela selepas dia gagal dalam rawatan tradisional selama sebulan untuk memulih kakinya yang mereput sehingga meninggalkan tulang.
Doktor yang merawatnya turut terkejut dengan penyakit remaja berkenaan sebelum dimaklumkan bahawa dia pernah dipatuk ular berbisa.
Seorang Doktor dari Liverpool, Arun Ghosh yang melihat gambar tersebut berkata, kaki remaja terbabit mereput kerana bisa tersebut telah mematikan sel dan tisu.
"Gambar itu jelas menunjukkan bahawa tisu pada kaki remaja terbabit telah mati sepenuhnya dan yang tinggal hanya tulang," katanya.
Berdasarkan gambar itu juga, doktor berkenaan tidak menolak kemungkinan bahawa remaja terbabit berisiko untuk maut selepas ini. #sumber
PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan terakhir kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan besar akan dilanjutkan sehingga Khamis. Ini berbeza dengan ketetapan asal untuk pendengaran rayuan tersebut selama dua hari iaitu pada Selasa dan Rabu. #sumber
PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria akan mengetuai barisan lima panel hakim yang akan mendengar rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes liwat keduanya, bermula Selasa.
Empat lagi hakim yang diberi mandat untuk mendengar rayuan kes ini adalah Tan Sri Md Raus Sharif, Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.
Selain itu, pasukan pendakwa pula diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.
Ketua pembangkang itu pula akan diwakili bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang akan bertindak sebagai ketuai pasukan peguambela melibatkan 14 peguam.
Ketua Umum Pakatan Rakyat itu tiba di hadapan Istana Kehakiman di sini pada pukul 8.50 pagi.
Ketika itu, penyokong pemimpin pembangkang itu sudah menunggu di pekarangan Istana Kehakiman, selain kumpulan media dalam dan luar negara yang membuat liputan kes berkenaan.
Selama dua hari berakhir Rabu, pendengaran rayuan terakhir Anwar di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu kerana didapati bersalah meliwat Saiful Bukhari Azlan.
Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sekiranya Anggota Parlimen Permatang Pauh itu gagal dalam rayuan ini, kelayakannya sebagai anggota parlimen boleh dilucutkan berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa kelayakan seseorang
anggota parlimen boleh dibatalkan sekiranya beliau dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau denda lebih daripada RM2,000.
Ini kes liwat kedua terhadap Anwar. Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa di sini pada 1994
dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos, 2000. #sumber
PETALING JAYA: Disebalik tindakan ganas sekumpulan mahasiswa dan penyokong pembangkang merempuh pagar utama Universiti Malaya (UM), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tabik hormat kepada kumpulan berkenaan.
Malah Ketua Pembangkang itu berkali-kali memuji Presiden Mahasiswa UM (PMUM), Fahmi Zainol di atas tindakan beraninya mengetuai perhimpunan yang tidak mendapat kelulusan pihak pengurusan universiti itu.
"Saya salute anak muda kurus ini (Fahmi). Tak mungkin ada perubahan jika tak ada keberanian.
"Anak muda ini berani bertindak dan jadi suara hati nurani rakyat. Ini keputusan yang bijak dan saya salute kepada mahasiswa," katanya yang dilihat merujuk kepada kejayaan perhimpunan yang dihadiri ribuan penyokongnya itu.
Terdahulu kumpulan berkenaan merempuh pintu pagar utama UM yang dikunci atas faktor keselamatan bagi menghalang penganjuran program 'Pidato Anwar: 40 Tahun Dari UM ke Penjara' yang tidak mendapat kelulusan.
Bagaimanapun Anwar bersama barisan pemimpin politik pembangkang lain akhirnya berjaya memasuki dan berceramah berhampiran Dataran DTC UM beberapa minit selepas rempuhan dibuat.
Selain itu Anwar yang bakal berhadapan prosiding pendengaran rayuan terakhir kes liwat keduanya pada Selasa dan Rabu menggunakan peluang berkenaan untuk mencetuskan gelombang kebangkitan mahasiswa.
Menegaskan bahawa beliau sedia berhadapan sebarang kemungkian termasuk dipenjarakan, Anwar menyeru supaya kumpulan mahasiswa itu mencontohinya kerana berani berhadapan tekanan politik lawan.
"Saya lakukan pengorbanan, saya tak nak anak-anak rasa kecewa. biar saya tumbang.
"Andai kata saya tumbang...anak-anak akan tahu bahawa uncle Anwar pilih untuk kembali dan menghadapi ini," katanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh sebelum ini disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu selepas mendapatinya bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. #sumber
PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu kerana didapati bersalah meliwat Saiful Bukhari Azlan, bermula Selasa.
Hari pertama pendengaran, mahkamah tertinggi negara di Putrajaya mula dipenuhi wartawan dan jurugambar dari dalam dan luar negara yang mula berkumpul seawal pukul 6 pagi.
Difahamkan, wartawan hanya dibenarkan masuk untuk mengikuti pendengaran pada pukul 8.30 pagi.
Pasukan keselamatan ditempatkan di sekitar bangunan Istana Kehakiman untuk mengawal keadaan sekiranya berlaku insiden yang tak diingini selain penghadang besi turut diletakkan di bahagian hadapan bangunan.
Pendengaran terakhir ini sudah tentunya tidak dapat lari daripada kehadiran anggota parti dan penyokong-penyokong Anwar.
Skuad Timbalan Setia Angkatan Muda Keadilan (AMK) merupakan kumpulan penyokong yang tiba paling awal iaitu kira-kira pukul 7.30 pagi.
Timbalan Ketua AMK Dr Afif Bahardin yang memimpin kumpulan ini berkata kumpulan yang terdiri daripada 200 anggota ini hadir dengan tujuan membantu pihak berkuasa memantau dan membuat kawalan khususnya terhadap pimpinan parti dan penyokong.

Sebaik tiba, kumpulan ini membacakan doa sebelum diberikan taklimat oleh ketua mereka.Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sekiranya Anggota Parlimen Permatang Pauh itu gagal dalam rayuan ini, kelayakannya sebagai anggota parlimen boleh dilucutkan berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa kelayakan seseorang anggota parlimen boleh dibatalkan sekiranya beliau dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau denda lebih daripada RM2,000.
Ini merupakan kes liwat kedua terhadap Anwar.
Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos, 2000.

PUTRAJAYA: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Kehakiman, di sini kira-kira pukul 8.50 pagi Selasa.
Jangkaan bahawa Anwar akan tiba melalui jalan utama menaiki kereta meleset apabila beliau muncul dari bahagian dalam perkarangan bangunan Mahkamah Persekutuan yang dikawal ketat oleh polis dan penghadang besi.
Sebaik sahaja kelibat Anwar dapat dilihat, para penyokongnya yang telah menunggu sejak awal pagi bersorak memberi sokongan kepada ahli politik tersebut.
Turut dilihat bersama mengiringi Anwar adalah isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta lima anak mereka, Nurul Nuha, Muhammad Ihsan, Nurul Ilham, Nurul Iman dan Nurul Hana, kecuali Nurul Izzah.
Kelihatan tenang dan bersahaja, ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang memakai kot hitam tidak putus-putus melambaikan tangan kepada para penyokongnya.
Sesekali mereka bersorak 'Reformasi' dan melaungkan slogan keadilan untuk Anwar, 'Rakyat Hakim Negara'.
Terdahulu, pada pukul 8.40 pagi, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali hadir sebelum bersama-sama Anwar memasuki bangunan mahkamah. #sumber
JOHOR BAHRU: Anggota polis antara tiga lelaki yang ditahan kerana didakwa menculik dan merogol seorang pelancong warga Vietnam berusia 22 tahun.
Anggota berpangkat lans koperal yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan beberapa jam selepas wanita itu membuat laporan polis.
Dua lagi rakannya yang berusia 30-an dan 50-an ditahan dalam serbuan di sini, pada Ahad.
Sumber berkata, sisatan mendapati wanita itu yang juga penuntut kolej di Vietnam tiba di pangsapuri Jalan Pasir Pelangi menaiki teksi bersama seorang lagi rakan wanita pada pukul 3 pagi, Sabtu.
Difahamkan, kedua-duanya kemudiannya didekati tiga lelaki yang mendakwa sebagai polis berpakaian preman yang meminta mereka mengemukakan pasport.
Sumber berkata, rakan mangsa bertindak melarikan diri dan meninggalkannya keseorangan kerana mereka yang bercuti ke sini sejak sebulan lalu tidak membawa dokumen peribadi atau dokumen perjalanan ketika itu.
Difahamkan, mangsa cuba menjelaskan bahawa pasportnya ditinggalkan di rumah tetapi tidak dihiraukan tiga lelaki itu.
Sebaliknya, mereka memaksa mangsa masuk ke dalam kereta dan membawanya ke rumah salah seorang daripada mereka sebelum bergilir-gilir merogol wanita berkenaan.
Sumber berkata, lelaki terbabit juga mengurung mangsa selama 12 jam sebelum membawanya pulang ke pangsapurinya pada keesokkannya.
Mangsa bertindak membuat laporan polis dan dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Pasukan khas polis dibentuk dan dalam masa beberapa jam dapat mengesan suspek berdasarkan visual rakaman kamera litar tertutup dari pengawal keselamatan pangsapuri berkenaan.
Semua tiga lelaki terbabit kini ditahan reman.
Ketua Polis Daerah Johor Baru, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan penahanan lelaki terbabit tetapi enggan mengulas lanjut. #sumber