script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Mufti Perak: Berdosa Jika Bukan Muhrim Duduk Bersebelahan Di Dalam Bas

PETALING JAYA: Mufti Perak memuji pengusaha bas ekspres TransMalaya mengasingkan jantina penumpang dalam bas sebagai usaha baik menepati kehendak Islam kerana haram untuk bukan muhrim duduk bersebelahan sepanjang perjalanan.
Tan Sri Harussani Zakaria berkata, umat Islam yang cuba menentang usaha syarikat bas ekspres itu dianggap jahil agama dan menentang hukum Tuhan.
“Usaha itu cukup baik dan patut dicontohi syarikat bas lain.
“Malah tindakan pengasingan itu bukannya untuk menyekat kebebasan kerana dari segi Islam, suami isteri atau muhrim boleh duduk sekali, tetapi kalau pasangan bukan muhrim duduk bersebelahan haram bagi mereka sepanjang jalan dan berdosa sepanjang jalan.
“Orang kafir ini dia tidak akan bersetuju dengan undang-undang Islam, apa pun mereka tidak bersetuju dengan Islam kerana mereka hanya mahukan kebebasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, pemilik dan pengasas KRZ Management Sdn Bhd, Noorlini Ramli yang menguruskan TransMalaya berkata, pengasingan itu dilaksanakan sejak Februari 2015 bagi mencegah pasangan bukan muhrim melakukan perkara tidak senonoh sepanjang perjalanan.
“Saya biasa naik bas berseorangan ketika belajar di UiTM Jengka dan pada masa itu juga saya nampak sendiri beberapa pasangan berkelakuan tidak senonoh dalam bas yang boleh dilihat penumpang lain.
“Saya juga terpaksa duduk di sebelah orang asing yang mengganggu saya. Ini adalah asas kepada inisiatif kami hari ini. Wanita yang menaiki bas berseorangan selalu terdedah kepada bahaya,” kata Noorlini.
Usaha itu bagaimanapun diselar peguam dan aktivis, Siti Kasim yang mahu penumpang diberikan kebebasan semasa menaiki bas.
“Saya tidak akan guna syarikat ini. Jika saya hendak duduk sebelah lelaki atau perempuan, itu pilihan saya. Siapa mereka hendak jadi polis moral?” kata Siti.
Ketua Biro Agama Pemuda PKR, Wan Ji Wan Hussin berkata, setiap syarikat mempunyai cara tersendiri menarik pelanggan dan kerajaan tidak perlu campur tangan dengan menjadikannya peraturan supaya syarikat lain turut mencontohi TransMalaya.
“Terpulang kepada syarikat bas terbabit atas inisiatif mereka dan pihak kita perlu meraikan inisiatif terbabit,” kata pendakwah bebas itu. #sumber
Share:

Zulhamizan Ambil Pendekatan Berbeza Bimbing Kuantan FA Musim Ini


KUANTAN: Skuad Kuantan FA mungkin mengambil pendekatan taktikal berbeza bagi menghadapi Liga Premier pada tahun ini sebagai langkah penambahbaikan menurut Ketua Jurulatihnya, Zulhamizan Zakaria lapor Mezzo Fauzi.

Beliau yang ditemui selepas perlawanan persahabatan Klasik-Ko antara pasukan bimbingannya Kuantan FA menentang pasukan senegeri Pahang FA di Stadium MP Temerloh malam semalam.
Menggunakan sepenuhnya pemain tempatan di bahagian pertahanan bakal menjadikan Kuantan FA berani dalam menongkah arus tatkala pasukan lain sekurang-kurang mempunyai seorang pemain import bagi posisi tersebut.
“Pendekatan saya senang, sistem bertahan yang baik ialah mempunyai serangan yang baik. Sebab itu, saya mengambil 3 pemain import di posisi tengah selain saya percaya kepada pemain pertahanan tempatan kerana mereka boleh berkomunikasi dengan bahasa yang sama dan Insya Allah mereka boleh mencapai sesuatu tahun ini.”
Selain itu, beliau juga merancang untuk menukarkan posisi asal pemain import dari Serbia Ljuba Baranin dari pertahanan ke serangan apabila melihat keupayaan pemain itu menyerlah ketika mencuba di posisi barunya itu pada musim lepas.
“Dari tahun lepas lagi saya sudah mencuba dan ingin mengekalkan beliau bermain sebagai penyerang, tetapi oleh kerana masih ada (Dao) Bakary saya kurang menggunakan taktikal ini. Semasa sesi latihan saya lihat dia effektif sebagai penyerang dan saya harap tahun ini dia akan membuka mata pasukan-pasukan perdana yang lain.”
Mengulas tentang persembahan anak-anak buahnya dalam perlawanan malam semalam, hilang fokus pada minit terakhir perlawanan nyata meresahkan beliau kerana perkara yang sama berlaku ketika saingan liga musim lepas.
“Saya kurang sikit berpuas hati tentang persembahan mereka lebih-lebih lagi ketika 10 minit terakhir disebabkan mereka hilang fokus dan meng’hadiah’kan dua gol kepada pihak lawan atas kelalaian sendiri bukan kerana peluang yang mereka hasilkan. 10 minit terakhir itu sedikit mencacatkan apa yang mereka persembahkan pada malam ini.”
Dalam perlawanan persahabatan semalam, Kuantan FA berjaya menewaskan Pahang FA dengan keputusan 4-3 di hadapan hampir 2,000 penyokong yang membanjiri Stadium MP Temerloh semalam.
Perlawanan Pahang FA-Kuantan FA ini adalah yang pertama sejak kali terakhir diadakan pada 2013. #sumber
Share:

Tutup Hotel, Jamal Yunos Saman Pejabat Daereah & Tanah Sabak Bernam

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Jamal Yunos memfailkan saman terhadap Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam serta dua pihak lain atas penutupan hotel miliknya di Sekinchan, minggu lalu.
Jamal bersama peguamnya, Mohd Nasser Yusof, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen dengan menamakan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) serta kerajaan negeri Selangor sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu mendakwa tindakan itu ialah satu bentuk “penyalahgunaan kuasa” dan dilakukan tanpa mengikut undang-undang.
Jamal berkata, penutupan itu adalah tindakan membalas dendam terhadap “protes tuala” di luar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, pada 21 Disember lalu, bagi membantah cara kerajaan negeri menangani gangguan bekalan air besar-besaran pada minggu lalu.
Jamal memohon perintah injunksi bagi menyekat MDSB menutup premisnya serta memotong bekalan air dan elektrik.
Beliau turut memohon ganti rugi bagi perobohan sebahagian premisnya dan kerosakan berjumlah RM140,000 kerana menghentikan operasi hotelnya serta kos perundangan.
“Tindakan yang diambil itu melulu, terutamanya bila tidak ada usaha untuk memulakan perbincangan sebelum penutupan itu dikuatkuasakan,” kata Jamal yang membaca daripada satu kenyataan.
Beliau mendakwa sudah banyak kali mengemukakan permohonan lesen perniagaan sepanjang 5 tahun hotelnya beroperasi.
“Bagaimanapun, permohonan itu ditolak setiap kali kerana tidak diluluskan majlis diketuai Pakatan Harapan.
“(Tindakan yang diambil itu) didorong dendam dan mala fide (niat jahat) untuk protes (tuala),” katanya.
Sebahagian premis Sekin Fishermen Village Hotel & Resort dirobohkan pada 22 Disember lalu dengan alasan pemilik menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen, selepas MDSB menghantar notis perintah menutup hotel di Jalan Pantai Redang, Sekinchan berkuat kuasa Khamis lalu dan pemeriksaan semula akan dibuat pada 4 Januari depan.
Jamal bagaimanapun “merasmikan” hotel miliknya itu pada Jumaat lalu dengan berkata: “Ini hak saya, tanah saya. Kesalahan saya hanyalah tidak memiliki lesen kerana mereka tidak berikan. MDSB dikawal ahli majlis dan mereka sengaja tidak beri lesen.”
Pagi tadi, Jamal “menyerang” Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam bagi mendapatkan penjelasan berhubung status tanah yang diragui di sekitar Sekinchan dan mengugut akan menyewa jentera untuk merobohkan pusat judi, kedai urut serta karaoke haram di kawasan terbabit, jika pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap mereka. #sumber
Share:

Iskandar: PAS Dakwa Amanah Tak "Amanah", Mahu Curi Kerusi PKR !

PETALING JAYA: Pendirian Amanah mahu bertanding di 40 kerusi Parlimen termasuk milik PKR dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) membuktikan parti itu tidak amanah, kata Datuk Iskandar Abdul Samad.
Naib presiden PAS itu berkata jika Amanah menghormati sekutunya dalam Pakatan Harapan, parti itu tidak akan sesekali “mencuri” kerusi PKR.
“Saya baca kenyataan semalam Amanah hendak bertanding 40 kerusi termasuk milik PAS dan PKR, dengan sendirinya menunjukkan sikap sebenar Amanah.
“Mereka bersama dalam PH, tapi nak curi kerusi PKR. Ini bermakna segala apa yang kami cakap sebelum ini tentang Amanah, benar semuanya.
“Sebab itu kita tak panggil Amanah, kita panggil PAN. Kalau duduk dalam Pakatan pun dia nak curi, saya tak nak komen apa lagi,” katanya pada sidang media pelancaran kempen “PAS Pilihanku” di Ibu Pejabat parti itu hari ini.
Semalam, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata parti itu mahu bertanding di 40 kerusi Parlimen, termasuk milik PKR dan PAS pada PRU depan.
Khalid berkata pemilikan kerusi tradisi yang dipertahankan sesama parti pembangkang tidak lagi relevan dengan senario politik hari ini.
“Ia akan dibincangkan dalam mesyuarat PH dan PPBM. Apa yang penting senario politik hari ini sudah berubah. Tidak seperti 2013 (PRU13).
“Kita tidak boleh jadikan 2013 sebagai asas untuk pembahagian kerusi. Kita alu-alukan kenyataan PKR yang menyatakan kesediaan mereka serahkan kerusi kepada PPBM,” katanya. #sumber
Share:

Jamal Yunos "Ugut", Sewa Jentera Untuk Robohkan Premis Haram Di Sekinchan

PETALING JAYA: Datuk Seri Jamal Yunos mengancam akan menyewa jentera berat untuk merobohkan sendiri sembilan pusat perjudian haram dan 40 kedai urut serta karaoke, jika pihak berkuasa tempatan tidak mengambil tindakan ke atas premis terbabit.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu yang dipetik Oriental Daily berkata, beliau bukannya tidak puas hati dengan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) serta Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, tetapi mahu pihak berkuasa bertindak secara adil.
Katanya, beliau tidak marah dan bersedia melindungi penguat kuasa merobohkan Sekin Fishermen Village Hotel & Resort miliknya kerana penjelasan pengarah Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam serta setiausaha MDSB jelas menunjukkan mereka sekadar menjalankan tugas mengikut arahan.
Bagaimanapun, beliau hairan kenapa perobohan itu kebetulan dilakukan keesokannya selepas beliau mengadakan “protes tuala” di luar bangunan kerajaan negeri Selangor pada 21 Disember lalu.
“Tetapi kenapa hanya saya dikenakan tindakan? Minggu lepas saya sendiri bawa polis ke pusat judi haram di Sekinchan kerana semua orang sama rata di sisi undang-undang, tidak patut ada layanan berbeza.
“Semua bangunan yang dibina di atas tanah rizab kerajaan perlu dirobohkan, peniaga yang tiada lesen perniagaan perlu dikenakan tindakan, politik tidak patut mengatasi undang-undang dan membiarkan orang daripada parti politik tertentu bebas.
“Saya sudah sewa jentera, jika majlis daerah tidak merobohkan premis haram, jangan salahkan saya ambil tindakan sendiri,” katanya.
Pagi tadi, Jamal yang ditemani peguamnya, membawa bersama sebekas kuih baulu untuk menemui Pengarah Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, bagi mendapatkan penjelasan berhubung status tanah yang diragui di sekitar Sekinchan.
Lebih 50 anggota polis dan penguat kuasa dikerahkan mengawal keadaan serta menutup pintu pagar di Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam.
Hanya pegawai dan orang tertentu dibenarkan memasuki premis itu dan tindakan Jamal membawa kira-kira 20 orang bersamanya bagaimanapun tidak mencetuskan sebarang huru-hara.
MDSB melakukan perobohan itu pada 22 Disember lalu dengan alasan pemilik menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen, selepas menghantar notis perintah menutup hotel di Jalan Pantai Redang, Sekinchan berkuat kuasa Khamis lalu dan pemeriksaan semula akan dibuat pada 4 Januari depan.
Jamal bagaimanapun “merasmikan” hotel miliknya itu pada Jumaat lalu dengan berkata: “Ini hak saya, tanah saya. Kesalahan saya hanyalah tidak memiliki lesen kerana mereka tidak berikan. MDSB dikawal ahli majlis dan mereka sengaja tidak beri lesen.”
Jamal berkata, ada 23 kedai yang dibina di atas tanah rizab kerajaan dan 43 rumah dijadikan premis perniagaan serta kilang di Sekinchan ketika ini, tetapi tiada tindakan diambil majlis daerah yang menerima banyak aduan mengenai perkara itu.
Sehubungan itu, beliau mengesyaki jika Adun Sekinchan daripada DAP, Ng Suee Lim pernah memberi tekanan kepada ahli majlis.
“Dengar kata majlis daerah boleh dapat ‘ganjaran’ RM3,000 hingga RM10,000 daripada pusat judi, urut dan disko setiap bulan, jadi saya harap majlis daerah dan Ng Suee Lim boleh beri penjelasan kepada rakyat.”
Beliau turut mengucapkan “tahniah” kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang membalas dendam terhadapnya selepas beliau mengadakan “protes tuala” bagi membantah gangguan bekalan air besar-besaran di Lembah Klang, minggu lalu.
Ketua Gerakan Baju Merah itu mengakui setiap kesalahan perlu dikenakan hukuman, tetapi beliau tidak akan mendiamkan diri dan akan terus melawan jika difitnah tanpa sebab. #sumber
Share:

Siti Kasim Selar Syarikat Bas Yang Asing Kerusi Lelaki & Perempuan

PETALING JAYA: Peguam dan aktivis Siti Kasim menyelar pengendali perkhidmatan bas ekspres TransMalaya kerana melaksanakan pengasingan jantina penumpang dalam bas mereka.
“Saya tidak akan guna syarikat ini. Jika saya hendak duduk sebelah lelaki atau perempuan, itu pilihan saya. Siapa mereka hendak jadi polis moral?,” katanya di Facebook.
Komennya yang dimuat naik tengah hari tadi ialah respons kepada laporan Malay Mail Online (MMO) awal hari ini, yang memetik pemilik dan pengasas KRZ Management Sdn Bhd, Noorlini Ramli yang menguruskan TransMalaya, sebagai berkata pengasingan itu dilaksanakan sejak Februari tahun lalu.
Noorlini berkata beliau dan suaminya yang juga CEO syarikat itu, Amir Khairul Amri Budiman Khairuddin mendapat idea untuk melaksanakan inisiatif itu berdasarkan kepada pengalamannya ketika menaiki bas dalam perjalanan jauh secara bersendirian.
Mereka juga pernah menyaksikan sendiri beberapa pasangan berkelakuan tidak senonoh ketika duduk bersama.
“Saya biasa naik bas berseorangan ketika belajar di UiTM Jengka, dan pada masa itu juga saya nampak sendiri beberapa pasangan berkelakuan tidak senonoh dalam bas yang boleh dilihat oleh penumpang lain.
“Saya juga terpaksa duduk di sebelah orang asing yang mengganggu saya. Ini adalah asas kepada inisiatif kami hari ini. Wanita yang menaiki bas berseorangan selalu terdedah kepada bahaya,” katanya kepada portal berita itu.
TransMalaya menyediakan perkhidmatan bas ekspres bagi perjalanan jauh dan isu penumpang wanita duduk di sebelah lelaki yang tidak dikenali dalam perjalanan jauh menjadi keutamaan Noorlini.
“Kami mendengar dan membaca laporan bagaimana penumpang wanita dicabul lelaki tidak dikenali, jadi kami ambil usaha ini untuk memberikan mereka rasa selesa dan selamat.
“Ia diguna pakai untuk kedua-duanya Islam dan bukan Islam. Kami hanya mahu mengelak kejadian tidak diingini,” katanya dipetik sebagai berkata tindakan itu mendapat sokongan ramai pelanggan, tanpa mengira bangsa dan agama.
Noorlini berkata pelanggan diberitahu terlebih dahulu yang syarikat mereka mengenakan pengasingan gender di dalam bas.
“Bila pelanggan beli tiket, kami akan beritahu kerusi yang masih ada. Ada yang kata ok jika lelaki duduk di sebelah mereka tetapi kebanyakannya memilih untuk duduk di sebelah perempuan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya pasangan Islam yang membeli tiket bersama akan diminta menunjukkan sijil nikah.
Siti membantah tindakan syarikat itu yang memerlukan pasangan menunjukkan sijil nikah ketika membeli tiket.
“Kita patut rasa terhina dan marah dengan orang seperti ini yang cuba membuat macam kita ini bodoh dan gila seks,” katanya ketika berkongsi artikel MMO di laman Facebook.
Ketika ditanya jika ada penumpang berbeza jantina yang bertegas mahu duduk bersama, Noorlini berkata mereka biasanya akan duduk di depan supaya pemandu bas boleh memantau mereka.
“Bila berlaku seperti itu, kami biasanya beri mereka duduk di kerusi depan. Kami akan cuba nasihat mereka jangan duduk bersama, tetapi jika tidak terima nasihat, maka kami beri kerusi depan supaya boleh perhatikan mereka,” kata Noorlini.
Polisi TransMalaya dalam mengasingkan gender itu hampir serupa seperti di Kelantan, di mana lelaki dan wanita duduk berasingan di pawagam, dan kaunter pembayaran berbeza untuk lelaki dan wanita di pasar raya. #sumber
Share:

Rafizi: "Caj Perunding" MRT1 RM7 Bilion, Punca Kos Jadi RM28 Bilion

KUALA LUMPUR: Kos pembinaan projek Transit Aliran Massa 1 (MRT1) dari Sungai Buloh ke Kajang bukannya RM21 bilion, sebaliknya ialah RM28 bilion, dakwa Rafizi Ramli.
Naib presiden PKR itu berkata, ia perlu mengambil kira kos perunding sebanyak RM7 bilion.
Katanya, kos itu dibayar MRT Corp kepada KVMRT Sdn Bhd, sebuah konsortium bersama yang dibentuk MMC Corporation Bhd dan Gamuda Bhd.
Beliau merujuk laporan New Straits Times pada Julai 2014 yang memetik bekas Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebagai mengesahkan kos keseluruhan pembinaan MRT1 ialah RM28 bilion, termasuk kos perunding yang dibayar kepada KVMRT.
Ahli Parlimen PKR Pandan itu mengadakan sidang akhbar harian bagi mempertikaikan angka rasmi bagi kos pembinaan projek MRT.
Terdahulu, pasukan komunikasi strategik Barisan Nasional menafikan hujah Rafizi semalam mengenai kos tinggi projek itu berbanding projek MRT sama di Sepanyol dan Korea Selatan.
Menurutnya, Rafizi merujuk blog dikenali sebagai Pedestrian Observations yang memberi amaran kepada pembaca untuk tidak bergantung kepada data yang mungkin salah itu.
Rafizi hari ini menolak kenyataan ini yang didakwanya dibuat “tentera siber”.
“Saya tidak respons kepada tentera siber. Saya mahu seseorang yang saya boleh saman.
“Ia adalah lawak yang anda mempunyai pengarah komunikasi strategik yang tidak berkomunikasi dan outsource segala-galanya kepada hantu yang saya tidak boleh saman.”. #sumber
Share:

Remaja Nigeria "Wanita Besen" Meninggal Dunia Pada Usia 19 Tahun


ABUJA: Seorang remaja perempuan di Nigeria yang digelar sebagai 'wanita besen' meninggal dunia pada usia 19 tahun selepas menghabiskan masa berbelas tahun hidup di dalam bekas plastik.
Rahma Haruna menjadi terkenal di seluruh dunia apabila gambar dirinya di dalam besen diangkat oleh adiknya berusia 10 tahun tersebar di laman sosial.
Rahma  terpaksa hidup di dalam bekas tersebut kerana pembesaran badannya terhenti sejak kecil.
Jurugambar yang mengambil foto Rahman, Sani Maikatanga, mengesahkan kematian remaja tersebut menerusi satu kenyataan dalam laman sosial Twitter.
Wanita itu menulis, "Rahma Haruna, remaja berusia 19 tahun, meninggal dunia pada 25 Disember 2016. Semoga dia ditempatkan di Syurga Firdaus. Amin."

Rahma yang berasal dari Kano, utara Nigeria, pada mulanya disangka bayi yang sihat ketika dia dilahirkan tetapi sebenarnya menghidap penyakit misteri yang mengganggu tumbesaran tubuhnya.
Dia juga menderita akibat penyakit misteri tersebut dan perlu diletakkan dalam bekas plastik untuk mudah diangkat oleh keluarganya.
Sebelum kematiannya, Rahma diberikan sebuah kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya.
Remaja itu juga pernah mendedahkan keinginannya untuk menjadi peniaga dan membuka kedai runcit. #sumber
Share:

BR1M Adalah Rasuah, Ezam Pertahankan Dakwaan Tun Dr Mahathir


SHAH ALAM: Dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) berunsur rasuah mempunyai asas dan perlu diteliti.

Pengerusi Hisbah Centre for Reform (Hisbah), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, konsep BR1M sememangnya diakui manfaatnya, namun ia dilihat terpesong kerana terdapat pihak yang menyalahgunakannya.

“Kita maklum cadangan asal BR1M datang dari Bank Negara dan pada pandangan Hisbah, ia mempunyai merit dari sudut ekonomi dan juga sosial. Dari sudut Islam pula, kita lihat pemberian cara ini amat dekat dengan prinsip pemberian zakat kerana ada tumpuan kumpulan sasar seperti konsep asnaf.

“Namun, persoalan rasuah timbul apabila pemimpin politik yang dilihat terdesak telah mengambil kesempatan daripada konsep dan rencana yang baik ini untuk tujuan serta kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohamad Ezam berkata, perbuatan itu dapat dibuktikan menerusi ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2016 lalu apabila Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian BR1M fasa tiga dan akhir diberikan melalui Umno bahagian.

“Di sini wujud elemen rasuah kerana Umno berkepentingan sebagai parti yang mahu meraih undi dengan memberi wang secara langsung kepada pengundi oleh sebuah parti yang akan sertai pilihan raya boleh menjadikan perbuatan memberi itu kepada perbuatan merasuah,” katanya. #sumber
Share:

Dakwaan BR1M Itu Rasuah: Mufti Perak, Kelantan Persoal Mahathir

PETALING JAYA: Mufti Perak dan Mufti Kelantan tampil mempertahankan pemberian tunai di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), selepas skim itu disifatkan sebagai “rasuah” oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
“Dakwaan ini adalah satu penghinaan kepada penerima dan juga pihak yang memberi bantuan,” kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Menurutnya, ia banyak membantu golongan miskin yang tidak berpendapatan tetap.
“Oleh itu, berhenti daripada membuat dakwaan tidak berasas termasuk mengatakan BR1M sebagai rasuah,” katanya.
Utusan turut memetik Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad sebagai berkata bantuan BR1M merupakan tanggungjawab kerajaan.
“Sekiranya Dr Mahathir tidak berpuas hati dan berasakan wujud unsur rasuah boleh membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Dr Mahathir dalam ucapannya baru-baru ini menyamakan BR1M dengan rasuah, dan boleh dianggap sebagai jenayah.
“Ketika pemerintahan saya, saya tak beri duit tetapi banyak kebaikan yang kerajaan dahulu berikan melalui sistem jalan raya yang baik, peruntukan untuk sekolah mencukupi, anak-anak diberi biasiswa dan banyak lagi. Tetapi sekarang rakyat lebih menghargai duit BR1M?” kata Dr Mahathir dipetik Sinar Harian, Ahad lalu.
Ia mengundang reaksi keras daripada pemimpin kerajaan. Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata Dr Mahathir gagal membezakan bantuan dan rasuah.
“Tidak pernah kita mendengar sesuatu yang begitu tidak masuk akal,” katanya, dan mengingatkan Dr Mahathir mengenai wang ehsan yang disalurkan kepada kerajaan Terengganu di bawah PAS pada 1999-2004.
BR1M diperkenalkan pada 2012 dengan menyasarkan kumpulan tertentu yang menurut kerajaan memerlukan bantuan tunai bagi meringankan beban kenaikan kos bahan api.
Pada Bajet 2017 dibentangkan Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kadar BR1M dinaikkan pada 2017. Isi rumah berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 akan diberi tunai RM1,200, pendapatan RM3,000-RM4,000 diberi RM900, manakala individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000 diberikan RM450. #sumber
Share:

Nasruddin: Islam Tiada Paksaan, Tetapi Sekali Masuk Tidak Boleh Keluar

PETALING JAYA: PAS hari ini mempertahankan undang-undang yang menghalang umat Islam keluar agama, dengan berkata ia kerana Islam dianuti oleh mereka dengan rela hati.
Sambil menyarankan umat Islam berlaku adil kepada bukan Islam, Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan berkata Islam hanya boleh diterima dengan kesedaran, walaupun “kita semua yakin bahawa agama mereka salah menurut pandangan Islam”.
“Sebab itulah, apabila seseorang menganut ajaran Islam, tiada lagi jalan keluar untuk mereka melainkan mereka terpaksa berdepan dengan undang-undang murtad di dalam Islam kerana ia adalah satu penghinaan kepada ajaran Islam,” kata ahli Parlimen Temerloh itu dalam artikel diterbitkan lidah rasmi PAS, Harakahdaily hari ini.
Dalam penulisannya, Nasruddin turut menasihati umat Islam memastikan keadilan bukan Islam terbela.
Menurutnya, agama bukan Islam juga tidak boleh dipersenda, sejajar dengan tuntutan Al-Quran.
“Sungguhpun Islam tidak pernah mengiktiraf tuhan-tuhan yang disembah selain Allah SWT, namun Islam mempunyai sikap yang tegas dan jelas agar umatnya tidak menghina dan mencerca tuhan yang mereka sembah.”
Umat Islam di Malaysia tertakluk kepada enakmen syariah negeri yang boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang keluar Islam, walaupun kesalahan murtad tidak dinyatakan secara spesifik. Mahkamah syariah juga boleh memutuskan seseorang itu masih Islam atau sudah meninggalkan agamanya. #sumber
Share:

Keluarga Pemandu Bas Mungkin Ambil Tindakan Undang-Undang


GEORGE TOWN: Keluarga pemandu bas ekspres Zakeer Zubir, 32, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Pagoh, Johor Sabtu lepas sedia memberi kerjasama dalam siasatan kemalangan itu.

Bapa saudara kepada mangsa, Abdul Shukoor Rahim, 63, berkata keluarganya juga berharap laporan siasatan dapat dikeluarkan segera.

Beliau tidak menolak kemungkinan pihaknya mengambil tindakan undang-undang berhubung kemalangan itu.

Katanya, keluarga mereka telah melantik seorang peguam untuk membantu sekiranya terdapat sebarang ketidakadilan terhadap arwah.

Bercakap kepada pemberita di rumah keluarga Zakeer di sini hari ini, Abdul Shukoor berkata: "Kami ingin jawapan daripada pihak majikan mengapakah bas itu hanya dipandu arwah seorang pada ketika itu?.

"Sedangkan jarak perjalanan sangat jauh dari Pulau Pinang ke Johor dan pulang semula ke Kuala Lumpur."

Bas yang dipandu Zakeer terlibat dalam kemalangan di KM 137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara yang mengorbankan 14 nyawa.

Mereka termasuk anak bongsunya, Nur Natasha Zahara, berusia setahun.

Isteri Zakeer, Miyarseh Kemat (warga Indonesia) cedera parah dan dirawat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.




Dalam laporan semalam, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mengumumkan mereka akan mengeluarkan laporan awal mengenai kemalangan itu dalam tempoh dua minggu lagi.

Dalam pada itu di Muar, laporan terbaru menyatakan Miyarseh akan dipindahkan ke Hospital Besar Pulau Pinang malam ini atas permintaan keluarga suaminya.

Adik bongsu kepada Zakeer, Zahirah Zubir, berkata keluarganya telah mengambil keputusan untuk memindahkan kakak iparnya ke hospital Pulau Pinang kerana mereka tidak mempunyai ahli keluarga di Muar untuk melihat keadaan Miyarseh.

"Lagipun, kedua anak arwah iaitu Nur Zafeerah, 2, dan Nur Cahaya Zulaikha, 4, masih tidak dapat memahami situasi yang menimpa ibu bapa mereka dan sering mencari-cari ayah dan ibunya terutama pada awal pagi," katanya kepada Bernama.

Zahirah berkata ibunya, Rashidah Abdul Rahim, 60, turut melahirkan hasrat untuk bertemu dengan menantunya.

"Mak sudah beberapa hari hilang selera makan dan rindu untuk bertemu dengan Kak Miya," katanya.

Menurut Zahirah, 21, dia dan abang sulungnya, Zameer, 35, tiba di HPSF pada petang ini dan telah menguruskan sebuah ambulans untuk membawa kakak ipar mereka balik ke Pulau Pinang malam ini.

"Insya Allah, sekiranya cuaca mengizinkan, kami akan bertolak malam ini juga membawa 'Kak Miya' (Miyarseh) ke Hospital Besar Pulau Pinang," katanya.

Zahirah berkata keadaan kakak iparnya semakin stabil.

Miyarseh patah kaki kiri, cedera di bahagian kelopak mata dengan kesan 13 jahitan serta luka dan lebam di bahagian belakang badan.

Mengulas mengenai bayaran kos perubatan Miyarseh di HPSF, Zahirah berkata syarikat bas telah berjanji akan menanggung segala perbelanjaan namun meminta pihak keluarga mendahulukan wang sendiri terlebih dahulu.

Zahirah juga mengucapkan terima kasih kepada pihak HPSF kerana menyediakan pakar kaunseling bagi mengurangkan trauma kakak iparnya itu.

Bagaimanapun, mereka sekeluarga berharap agar orang ramai menghentikan komen negatif terhadap arwah abangnya di laman sosial, katanya.

Zahirah berkata keluarganya masih bersedih dengan kehilangan abangnya. #sumber
Share:

Kecoh: Presiden Romania Tolak Cadangan PM Wanita Islam Pertama

BUCHAREST: Presiden Romania mencetuskan kekecohan politik terbaru hari ini selepas menolak cadangan parti berhaluan kiri yang memenangi pilihan raya untuk menamakan perdana menteri wanita beragama Islam yang pertama di negara Kesatuan Eropah itu.
Klaus Iohannis tidak memberi sebarang alasan mengapa beliau menolak Sevil Shhaideh, yang dicadangkan parti Social Democrats (PSD), tetapi spekulasi menyatakan ia kemungkinan disebabkan latar belakang suaminya yang ada kaitan dengan Syria.
“Saya sudah menganalisis hujah berkaitan dengan teliti dan memutuskan untuk tidak menerima cadangan itu.
“Saya menggesa gabungan PSD untuk membuat cadangan lain,” katanya pada sidang media hari ini.
PSD terdahulu mencadangkan Shhaideh, 52, bagi jawatan itu selepas kemenangan besarnya dalam pilihan raya pada 11 Disember selepas memenangi 45% undi.
Ketua PSD, Liviu Dragnea tidak dapat dicadangkan sebagai perdana menteri kerana sedang menjalani hukuman penjara 2 tahun kerana penipuan dalam pilihan raya umum sebelum ini.
Shhaideh tidak mempunyai pengalaman luas dalam politik, dan pernah berkhidmat sebagai menteri pembangunan selama 5 bulan sebelum kerajaan pemerintahan PSD berakhir pada penghujung 2015.
Pengalaman terhad dan hubungan rapatnya dengan Dragnea menyebabkan parti pembangkang menuduhnya hanya sebagai boneka Dragnea.
Shhaideh daripada keturunan minoriti Turki di Romania, tetapi dikatakan agamanya tidak menjadi masalah kepada Iohannis.
Sebaliknya, fokus masalah kepada cadangan meletakkan beliau sebagai perdana menteri ialah suami yang dinikahinya pada 2011 berketurunan Syria. #sumber
Share:

Amanah Serahkan Memorandum, Gesa SPRM "Siasat Semula" 1MDB

PUTRAJAYA: Amanah hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendesak supaya skandal 1MDB disiasat semula.
Memorandum itu diserahkan oleh Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dan setiausaha agung parti itu, Anuar Tahir di ibu pejabat SPRM di sini, petang tadi.
Salahuddin berkata ada banyak bukti baharu berhubung kes itu, selepas Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali Januari lalu memutuskan Datuk Seri Najib Razak tidak membuat sebarang kesalahan berhubung wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.
Apandi ketika itu berkata wang itu sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi, sementara beberapa pihak lain mendakwa ia sebenarnya daripada 1MDB.
Salahuddin berkata ia disusuli pula dengan saman sivil difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, dan tindakan mahkamah di Singapura dan Abu Dhabi terhadap individu yang disyaki terlibat.
Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Singapura pada November yang menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun kepada bekas pegawai Bank BSI Yak Yew Chee, yang menguruskan akaun milik Jho Low berkaitan 1MDB, atas pertuduhan gagal melaporkan urus niaga mencurigakan.
Menurut laporan International Business Times pada 19 Ogos pula, pihak berkuasa Abu Dhabi menahan hartawan Khadem Al Qubaisi kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan berkaitan 1MDB.
“Dengan bukti baharu ini, wajar untuk siasatan diteruskan. SPRM perlu mendapatkan dokumen dan keterangan semua saksi penting termasuk perdana menteri,” kata Salahuddin pada sidang media selepas penyerahan memorandum.
Salahuddin berkata beliau sedar dengan kekangan SPRM yang tidak memiliki kuasa untuk mendakwa.
“Maka Amanah akan membawa isu kuasa pendakwaan ini ke mesyuarat Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) agar ia dimasukkan ke dalam manifesto.
“Ini bagi membolehkan SPRM kembali menjadi badan berintegriti dan memiliki kuasa diperlukan untuk menjalankan tugas.
“SPRM tanpa kuasa, peguam negara boleh bertindak mengikut kemahuan dan eksekutif juga boleh masuk campur,” katanya yang pernah menganggotai panel SPRM pada 2009 hingga 2013. #sumber
Share:

Polis: Hujan Luar Biasa Jadi Punca Tanah Runtuh Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS: Insiden tanah runtuh dan banjir kilat di beberapa kawasan di sini Ahad lalu bukan berpunca daripada kegiatan pencerobohan tanah.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Hasadid A Hamid (foto) sebaliknya berkata, kejadian itu disebabkan taburan hujan melebihi kadar normal sehingga membawa kepada pergerakan cerun pada hari tersebut.
Katanya, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi, pada hari kejadian, Tanah Rata menerima curahan hujan dari 2 petang sehingga 5 petang melebihi 100mm melepasi tahap normal 20mm.
“Hasil siasatan polis, Jabatan Kerja Raya, Majlis Daerah serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Cameron Highlands mendapati banjir kilat dan tanah runtuh berpunca daripada curahan dan limpahan air hujan luar biasa,” katanya kepada pemberita di lokasi tanah runtuh membabitkan rumah peranginan Tenaga Nasional Bhd (TNB) ‘The Sharples’ hari ini.
Dalam kejadian Ahad lalu, runtuhan menyebabkan bahagian hadapan rumah penginapan itu serta 4 kenderaan rosak, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Selain itu, tanah runtuh dan pokok tumbang juga berlaku di Kilometer 55, Jalan Tapah-Tanah Rata berhampiran ladang Bharat Tea; Kilometer 59, Jalan Tapah-Tanah Rata berhampiran Oly Apartment; dan Jalan Perdah, manakala perumahan polis di Tanah Rata dilanda banjir kilat. #sumber
Share:

Bunuh Pegawai JAIP, Dua Pengikut 'Tuhan Harun' Kena Hukum Mati !

KUANTAN: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas dua pengikut “Tuhan Harun”, atau Harun Mat Saat, selepas didapati bersalah membunuh ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd Malek, 3 tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu terhadap Sumustapha Suradi, 41, dan Shamsinar Abdul Halim, 39, selepas berpuas hati dengan keterangan anak dan isteri mangsa yang mengecam mereka sebagai individu yang menembak mangsa.
Sumustapha dan Shamsinar didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Raffli, 49, di rumah nombor 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota di sini, pada 1.50 petang, 10 November 2013.
Kedua-dua tertuduh yang memakai kemeja T dan berseluar putih kelihatan bersahaja dan tidak menunjukkan sebarang reaksi semasa mendengar hukuman.
Karim mengambil masa 30 minit membacakan penghakimannya.
Pada prosiding itu, Karim juga melepaskan isteri ketiga Harun, Azida Mohd Zol, 33; pemandu mereka Shaizral Eddie Nizam Shaari, 40; dan pengikut ajaran itu Jefferi Safar, 39, daripada tuduhan berkonspirasi melakukan pembunuhan itu pada masa, tarikh dan di tempat yang sama.
Harun yang mendakwa dirinya sebagai Tuhan Harun sebelum ini turut didakwa berkonspirasi.
Bagaimanapun tuduhan itu digugurkan pada 26 Ogos lalu, selepas dia meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, pada 16 Ogos lalu akibat masalah pernafasan.
Dalam penghakimannya, Karim berkata timbul keraguan sama ada wujud persepakatan membunuh Raffli antara semua tertuduh kerana semua komunikasi di antara Azida dan saksi pendakwaan ke-14, Syed Azlan Syed Abu Bakar atau “Arab” menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan perbualan telefon.
“Kegagalan untuk memeriksa kewujudan elemen SMS menimbulkan keraguan dalam persepakatan seperti didakwa Arab yang beliau menerima arahan daripada Harun iaitu Tuhan mengarahkannya melenyapkan seorang pegawai JAIP kerana tidak menjalankan tugasnya dengan adil,” katanya.
Karim berkata keterangan Arab juga banyak bergantung kepada kefahamannya berhubung arahan Harun di sebuah hotel di Kuala Lumpur, sedangkan keterangan Azida mendakwa suaminya mengalami masalah pertuturan selepas diserang angin ahmar.
Beliau berkata Azida juga dalam keterangannya mengakui sukar untuk memahami pertuturan Harun sehingga ada masanya terpaksa mengulang kembali atau berkomunikasi secara menulis di atas kertas bagi mendapatkan pengesahan.
Katanya, meskipun berada di dalam bilik hotel yang sama semasa Arab menerima arahan daripada Harun, keterangan Azida ialah beliau tidak mendengar Harun ada memberi arahan yang jelas untuk melakukan pembunuhan itu.
“Keterangan juga menunjukkan Arab beritahu tertuduh ke-4 (Shaizral Eddie Nizam) mereka perlu membuat siasatan pegawai JAIP dan selepas tertuduh ke-4 melayari Internet didapati ada 4 nama pegawai JAIP.
“Mangsa adalah salah satu yang dikenal pasti dan nama si mati dipilih sebagai sasaran hukuman bunuh kerana didakwa banyak membuat fitnah kepada mereka sebagai sesat tanpa usul periksa,” katanya.
Karim berkata cadangan asal untuk melaksanakan rancangan itu adalah melanggar mati Raffli, bagaimanapun selepas tinjauan di Kuantan, cara itu tidak sesuai menyebabkan Arab berkata penggunaan senjata api dibenarkan bagi memastikan arahan Tuhan dilaksanakan segera.
“Dalam kes ini, apa yang difahamkan mahkamah ialah apa yang dilafazkan Harun bergantung kepada pemahaman Arab. Daripada keterangan, mahkamah dapati Arab bukan saja rakan sejenayah, tapi orang yang merancang segala-galanya sehingga berlaku pembunuhan si mati,” katanya.
Untuk rekod, Arab yang merupakan penyanyi dan komposer yang terkenal dengan lagu Bila Bulan Berwarna Biru meninggal dunia pada 12 November lalu di sebuah hospital swasta di Seremban, Negeri Sembilan akibat serangan jantung.
Sebaik saja Karim selesai membacakan penghakimannya, keluarga tertuduh dilihat menangis kegembiraan dan berpelukan sesama mereka manakala Azida, Shaizral Eddie Nizam dan Jefferi yang duduk di kandang tertuduh tidak menunjukkan sebarang reaksi.
Sepanjang perbicaraan mahkamah mendengar keterangan 54 saksi pendakwaan manakala pihak pembelaan yang diwakili peguam Hermes Putra Media Ibrahim, Amer Hamzah Arshad dan Mohammad Naim Mahmud mengemukakan 10 saksi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khamizah Salleh dan Nurul Farahah Mohd Suah. #sumber
Share:

Azizah Sangkal Dakwaan Tun Dr Mahathir, BR1M Hak Rakyat Bukan Rasuah

PETALING JAYA: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan rasuah, sebaliknya ia adalah hak rakyat, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyangkal dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang melabelkan BR1M sebagai rasuah.
“(BR1M) memang patut diberikan kepada rakyat. Ia bukan rasuah. Ia adalah hak rakyat.
“Jika rakyat layak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan, ia patut diberikan kepada mereka,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.
Ahad lalu, bekas Perdana Menteri dilaporkan mendakwa BR1M adalah satu bentuk rasuah, dan dengan itu, pemberiannya adalah salah di sisi undang-undang atau satu jenayah.
Pemimpin Barisan Nasional (BN) tampil mengecam dakwaan itu dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak mempersendakan Dr Mahathir tidak dapat membezakan bantuan dan rasuah.
Sebaliknya, Salleh menyifatkan pemberian BR1M seperti “wang ehsan”, program bantuan istimewa Terengganu bagi menggantikan bayaran royalti minyak yang diperkenalkan Dr Mahathir sendiri, sejak 2000.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, penerima BR1M tidak wajib mengundi BN.
“Kita perlu mendidik rakyat ia adalah dasar ekonomi BN bagi menyelesaikan masalah kemiskinan. Rakyat perlu fikir berapa jauh dasar seperti itu boleh selesaikan krisis ekonomi ketika ini.”
Khalid bagaimanapun mempertahankan Dr Mahathir dengan berkata, mungkin kenyataannya disalah tafsir sesetengah pihak.
“Jangan rasa bertanggungjawab untuk mengundi BN, jika anda dapat BR1M. Itu yang saya rasa Dr M cuba katakan.
“Anda tidak mengundi kerajaan kerana BR1M. Jika rakyat dapat BR1M dan rasa bertanggungjawab mengundi BN, maka ia adalah rasuah.”
Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong turut mempertahankan Dr Mahathir dengan berkata, apa yang cuba disampaikan bekas perdana menteri ialah BR1M tidak boleh dijadikan dasar ekonomi.
“Malangnya, kerajaan fikir BR1M ialah satu dasar ekonomi untuk golongan biasa dan miskin. Namun, ia bukan orang miskin semata-mata, ia untuk 60% populasi negara.”
Beliau mengingatkan kerajaan mengenai kepentingan mempunyai dasar ekonomi holistik dan menyeluruh bagi rakyat.
“Logiknya anda memerlukan satu dasar ekonomi holistik. Anda tidak boleh hanya menggantikan BR1M sebagai satu-satunya dasar ekonomi anda.” #sumber
Share:

Polis Panggil Saksi Kes Kanak-Kanak Putus Kemaluan Ketika Bersunat

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan video viral di media sosial yang menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki terputus kemaluan ketika bersunat menggunakan teknik pembedahan laser di sebuah klinik di Kajang semalam adalah benar.
Ketua Polis Kajang, ACP Othman Nanyan mengesahkan perkara berkenaan dan memanggil beberapa saksi untuk merakam keterangan bagi siasatan lanjut.
“Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah sama ada secara gopoh atau cuai dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga 2 tahun atau denda sehingga dua ribu ringgit atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi #sumber
Share:

Gara-Gara "Tersalah Minta Order", Konstabel Di Tikam Hingga Perut Terburai


GOMBAK: Seorang anggota polis cedera ditikam seorang lelaki di sebuah restoran di Kondominium Selayang Point dekat Batu Caves, di sini, pagi tadi.

Difahamkan, mangsa merupakan seorang konstabel berusia 26 tahun mengalami kecederaan ditikam sehingga perutnya terburai.

Menurut kenyataan pihak polis, semuanya berpunca daripada salah faham yang mendorong kepada berlakunya pergaduhan.

Mangsa bersama tiga rakannya memesan makanan daripada seorang individu yang disangkakan pekerja di restoran berkenaan.

Apabila permintaan tidak diendahkan lantas mencetuskan pergaduhan sehingga lelaki tersebut mengeluarkan senjata tajam dan menikam mangsa.

Mangsa kini dilaporkan stabil di Hospital Selayang dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.