TAWAU - Teka-teki bunyi hentakan kuat di bahagian belakang sebuah hotel di sini awal pagi tadi terjawab selepas mayat seorang lelaki ditemui terbaring dan tidak sedarkan diri.
Dalam kejadian lebih kurang pukul 5 pagi tersebut, mangsa, Sim Siang Hau berusia 58 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi selepas dipercayai terjun dari aras sembilan hotel terbabit.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, semasa insiden sekuriti terdengar satu bunyi hentakan yang kuat dari arah belakang hotel.
"Selepas diperiksa pihak hotel menemui seorang lelaki yang juga merupakan tetamu di hotel itu terbaring di atas jalan raya dan tidak sedarkan diri.
"Mangsa disyaki terjun dari bilik hotel di tingkat sembilan selepas daftar masuk seorang diri pada pukul 5 pagi," katanya hari ini.
Tambah Fadil, hasil pemeriksaan di bilik lelaki tersebut mendapati keadaan di dalamnya kemas dan tersusun rapi.
"Bagaimanapun, kunci di bahagian tingkap di bilik itu rosak dipercayai dilakukan mangsa sebelum dia bertindak terjun melalui tingkap," jelasnya.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tawau dekat sini untuk proses bedah siasat.
Siasatan mendapati tiada unsur-unsur jenayah dan kes disiasat sebagai mati mengejut. #sumber
PUTRAJAYA - Menteri Luar Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir menyatakan derma RM2.6 bilion yang didakwa diterima bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah selepas menerima kunjungan Adel di Wisma Putra di sini hari ini.
Dalam pertemuan yang turut menyentuh mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta derma RM2.6 bilion, Saifuddin berkata : "Beliau (Adel) menyatakan bahawa (derma RM2.6 bilion) tidak ada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi."
Menurutnya, ketika mereka bertemu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-73 di New York pada bulan lepas, Adel memberitahunya bahawa kerajaan Arab Saudi akan bekerjasama dalam siasatan 1MDB dan tiada kaitan dengan derma RM2.6 bilion.
"Hari ini ulangi sekali lagi bahawa itu tiada kaitan dengan Arab Saudi," katanya kepada pemberita selepas turut hadir pada kunjungan hormat Adel terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Perdana Putra di sini.
Pada 2016 ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di Istanbul, Turki, Adel dilaporkan berkata sumbangan derma kepada Najib datang dari Arab Saudi.
"Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku.
"Justeru, setahu kami, isu itu ditutup," kata Adel seperti dilaporkan pada 2016.
Pada Januari 2016, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata dalam pertemuan mereka itu, beliau turut menyampaikan keputusan kabinet bahawa Malaysia tidak akan menganggotai gabungan tentera pimpinan Arab Saudi terhadap Yaman. #sumber
KOLKATA - INDIA. Gara-gara mabuk, seorang pemuda hilang pertimbangan apabila merogol nenek berusia 100 tahun dalam kejadian yang mencetuskan kemarahan ramai di Bengal Barat.
Kejadian itu terbongkar selepas cucu mangsa mendengar suara aneh muncul dari kediaman warga emas berkenaan di perkampungan Chakulia di daerah Nadia.
Sebaik sahaja perbuatannya disedari, pemuda yang dikenali sebagai Argha Biswas itu bertindak menyembunyikan diri di bawah katil.
Polis berkata, kejadian berlaku pada Selasa lalu semasa nenek tua itu berseorangan.
Pemuda berusia 20 tahun itu kini direman 14 hari dan sedang menunggu pendengaran kes kali kedua di mahkamah.
Sebelum ini, Biswas memberitahu wartawan di luar mahkamah bahawa beliau tidak menyedari perbuatannya kerana mabuk.
Difahamkan, nenek tua itu telah dibawa ke hospital dan keadaannya dilaporkan stabil. #sumber
KUANTAN - Seorang tukang masak di sebuah pusat peranginan terkenal kerugian RM43,500 selepas diperdaya untuk menyertai pelaburan emas yang tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 39 tahun mendakwa berurusan dengan seorang wanita warganegara China bagi tujuan itu.
Katanya, mangsa mendakwa menghubungi suspek selepas membaca iklan pelaburan tersebut di laman sosial Facebook pada 8 Ogos lalu.
"Suspek didakwa meminta mangsa memasukkan wang itu ke dalam sebuah akaun menerusi empat transaksi yang berbeza selepas dia mendengar penerangan berkaitan pelaburan itu.
"Bagaimanapun, sehingga kini mangsa tidak pernah menerima sebarang pulangan ke atas pelaburannya dan suspek juga telah menghilangkan diri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata mangsa membuat laporan di balai polis Genting Highlands dekat sini semalam, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. #sumber
KUANTAN - Seorang penghantar ikan patin mengaku bersalah atas kesalahan menghina dua anggota polis yang maut dalam kemalangan menerusi ruangan komen di laman sosial Facebook di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Mohd. Hannan Ibrahim, 27, dari Kampung Parit Tengah, Pekan membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang masih bujang, dengan niat meninggalkan komen menghina dua anggota polis yang maut dalam kemalangan jalan raya dalam kumpulan Komuniti Kuantan di laman sosial Facebook bertujuan bagi menyakitkan hati sesetengah pihak.
Tindakan tersebut dilakukan menggunakan sebuah telefon pintar jenis Samsung J2 Prime di persimpangan Jalan Wong Ah Jang di sini, Selasa lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a)(i) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Fatinah Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dari tarikh tangkap. #sumber
TAIPING - Seorang anggota polis berpangkat koperal cedera pada bahagian muka dan kepala selepas payung terjun yang dikendalinya sewaktu menyertai latihan tersasar sebelum terjatuh di atas bumbung sebuah rumah di Kampung Asam Kumbang di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 11.03 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Jelasnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang berusia 33 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sedang menjalani latihan bermula dari Tekah dekat sini dan sedang terbang pada ketinggian 914 meter dengan menaiki pesawat ringan.
"Sewaktu mengendalikan payung terjun pada ketinggian 304 meter, mangsa dipercayai telah pengsan sebelum payung terjun itu hilang kawalan.
"Insiden tersebut menyebabkan payung terjun itu terbabas dan tersasar ke atas bumbung rumah di Kampung Asam Kumbang," katanya ketika dihubungi sebentar tadi. #sumber
KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan seramai 38,124 pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak 1 Januari hingga semalam, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali.
Beliau berkata, sejumlah 1,101 majikan turut ditahan sepanjang tempoh itu kerana menggaji atau melindungi PATI.
“Ia adalah hasil daripada lebih 12,000 operasi yang dijalankan di seluruh negara dan lebih 150,000 warga asing telah diperiksa.
"Kita (Imigresen) beri peluang kepada mereka yang berstatus PATI supaya menyerah diri secara sukarela melalui program 3+1 yang tamat 30 Ogos lepas, selepas itu tindakan tegas akan diambil.
"Selain itu, kita telah melaksanakan program Penggajian dan Penempatan Semula PATI atau dikenali sebagai Program Rehiring yang tamat 30 Jun lepas, namun kita mendapati ramai lagi yang tidak mematuhinya," katanya selepas hadir ke perhimpunan Setia Berjasa bagi Bulan Oktober dan Sambutan Hari Inovasi di Ibu pejabat JIM, Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai operasi Ops Mega 3.0 yang dilaksanakan di seluruh Malaysia sejak tamat program rehiring 30 Jun lepas, beliau berkata, seramai 17,473 PATI berjaya ditahan dan 472 majikan telah diambil tindakan.
“JIM akan terus giat untuk memerdekakan negara dari PATI meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran yang memerlukan pengorbanan dan keikhlasan. Kita tidak akan bertolak ansur dalam perkara ini terutama kepada majikan yang ingkar dan masih berdegil menggaji dan melindungi PATI,” katanya. #sumber
TANJUNG MALIM - Seramai 34 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang melakukan aktiviti merentas hutan di belakang Resort River View di sini dikhuatiri sesat.
Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim, Zaini Salleh berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kumpulan pelajar terbabit pada pukul 6.25 petang tadi.
"Menurut maklumat awal 34 pelajar UTM itu dipercayai sesat dan terperangkap dalam hutan itu. Usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan.
"Kami sedang mendapatkan maklumat dalam pelbagai cara kerana talian komunikasi amat terbatas di kawasan operasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau seramai 11 orang membabitkan tujuh anggota bomba, dua polis dan dua orang awam berada lokasi kejadian bagi mengesan mereka yang hilang itu. #sumber
KUALA LUMPUR: Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Ketua Polis Negara Bukit Aman akan mengambil keterangan isteri bekas Perdana Nenteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Jumaat ini.
Beliau dijangka hadir jam 10 pagi, di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini.
Turut hadir bagi memberi keterangan adalah dua anak Rosmah iaitu Norashman dan Riza Aziz.
"Rosmah sepatutnya memberi keterangan esok berhubung siasatan rampasan barangan kemas dan kes 1MDB, tapi terpaksa ditunda ke hari Jumaat atas sebab-sebab tertentu.
"Turut hadir beri keterangan adalah Norashman dan Riza," kata sumber.
Awalnya, Rosmah dijadualkan untuk hadir memberi keterangan esok, namun terpaksa ditunda pada hari Jumaat.
Jun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh memaklumkan bahawa nilai keseluruhan rampasan daripada 75 beg daripada enam lokasi serbuan yang dikaitkan dengan isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB) berjumlah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.
Enam premis yang diserbu adalah Pejabat Perdana Menteri, Sri Perdana, tiga buah kediaman mewah di Pavilion Residence, Bukit Bintang, kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta.
Kandungan di dalam 75 beg itu berisi wang tunai pelbagai mata wang, barang kemas, jam tangan, cermin mata dan beg tangan pelbagai jenama.
Pada 26 September lalu, Rosmah hadir kali kedua ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas selesai memberi keterangan hampir 13 jam.
Manakala pada 4 Oktober lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan memanggil isteri Rosmah bagi merakamkan percakapan berhubung siasatan pelbagai kes termasuk siasatan terhadap syarikat pelaburan kontroversi, 1MDB. #sumber
SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Nazaruddin Sabtu dikaitkan terkena ilmu hitam selepas jatuh sakit sejak Mei lalu.
Pegawai khas Aminuddin Mohamed Yunus memberitahu, Nazaruddin jatuh sakit selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 9 Mei lalu.
Keadaannya semakin teruk selepas Aidilfitri.
Pengerusi Jawatankuasa Seni, Kebudayaan dan Tradisi Melayu berusia 62 tahun itu tidak menghadiri acara rasmi, termasuk persidangan dewan selama empat hari baru-baru ini dan lain-lain majlis.
"Kami telah merujuknya ke hospital untuk rawatan dan doktor memberitahu bahawa dia mengalami tekanan.
"Bagaimanapun, kami juga membawanya untuk rawatan tradisional di lima tempat berbeza, dan mengejutkan apabila diberitahu bahawa dia mungkin menjadi mangsa ilmu hitam," kata Aminuddin.
Katanya, disebabkan masalah kesihatannya, Nazaruddin juga tidak dapat bertanding dalam pemilihan PKR negeri Sabtu lalu.
Nazaruddin pernah menjadi timbalan ketua bahagian Kuala Pilah.
Aminuddin berkata Nazaruddin telah melantik seorang pegawai untuk berada di pusat perkhidmatannya di Kuala Pilah yang akan beroperasi bulan depan.
"Memandangkan dia masih menjalani rawatan dan tidak dapat berkhidmat di tempatnya, kami telah melantik seorang pegawai yang bertanggungjawab," katanya, sambil menambah Nazaruddin juga dapat merasakan seperti ada orang menyihirnya.
Jelasnya, Nazaruddin jatuh sakit dan tidak dapat makan. Tetapi selera makannya bertambah baik selepas kembali dari rawatan tradisional.
Isterinya Sarimah Zaizakrani, 55, sentiasa menemani Nazaruddin ke pejabat untuk melihat keperluannya.
Pada pilihan raya umum 9 Mei, Nazaruddin mengalahkan penyandang Datuk Norhayati Omar dari Barisan Nasional dan calon PAS Ahmad Fadzil Othman dalam perebutan tiga penjuru.
Nazaruddin mencatatkan 5,643 undi berbanding 3,837 Norhayati dan 1,413 Ahmad Fadzil. #sumber
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hami tidak akan disabitkan dengan sebarang kesalahan berkaitan 1MDB, kata peguamnya.
Datuk Shaharudin Ali berkata, Hasanah hanya dituduh atas kesalahan pecah amanah jenayah berkaitan dana kerajaan berjumlah AS$12 juta (RM49.9 juta).
“Saya tidak nampak ada pertuduhan lain, Hasanah tidak terlibat langsung dengan skandal 1MDB. Kes ini tidak ada kena mengena dengan syarikat pelaburan strategik itu atau anak syarikat 1MDB.
“Wang AS$12 juta itu boleh dipersoalkan. Adakah wang itu milik kerajaan atau wang dari pihak luar negara, termasuk perisikan negara luar.
“Ia sebenarnya merupakan hal sulit, tidak sesuai dibahaskan dalam mahkamah secara terbuka,” katanya dalam sidang media di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, hari ini.
Shaharudin sewaktu mengulas dakwaan berkaitan surat yang ditulis anak guamnya kepada Agensi Risikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat sebelum ini berkata, ia tidak mempunyai perkembangan terkini.
Bagaimanapun Shaharudin berkata, keputusan saman anak guamnya terhadap SPRM berhubung tindakan suruhanjaya itu tidak membenarkannya berjumpa dan berunding dengan peguamnya semasa direman, akan diputuskan esok.
Hasanah menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan membabitkan pecah amanah oleh penjawat awam.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 2 tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun, dengan hukuman sebatan dan denda.
Hakim Azman Ahmad menetapkan Hasanah diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan 2 penjamin.
Beliau juga mengarahkan Hasanah menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sementara menunggu kes dibicarakan.
Sebutan kes seterusnya ditetapkan pada 29 Nov depan.
Pada 28 Ogos lalu, Hasanah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit dalam salah guna kuasa dan penyelewengan dana milik kerajaan bagi peruntukan pilihan raya umum ke-14 Mei lepas. #sumber
KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menepis dakwaan keputusan menjual Menara Felcra sebagai “minta sedekah”.
Beliau berkata penjualan Menara Felcra adalah bagi menyelamatkan aliran tunai syarikat itu yang kini sedang menghadapi masalah dan menjualnya jika mendapat tawaran yang menguntungkan.
“Tak minta sedekah, ini strategi selamatkan Felda, Felcra dan beberapa agensi lain. Kita tak jual semua aset Felcra tetapi hanya hartanah Felcra di Jalan Semarak yang mengalami kelewatan.
“Projek ini tetap diteruskan walaupun alami kelewatan 96 hari. Namun usaha sedang diteruskan oleh pihak pengurusan Felcra yang baru demi selamatkan aliran tunai,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) dan Awang Hashim (PAS-Pendang) yang bertanya apakah rasional dan kesan jangka panjang penjualan Menara Felcra yang sudah 50% siap pembinaannya.
19 Oktober lalu, media melaporkan Felcra Berhad (Felcra) mengumumkan penjualan Menara Felcra di Jalan Semarak yang sedang dalam pembinaan bagi mengelak implikasi terhadap kewangan syarikat itu.
Pengerusinya, Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab, berkata entiti milik penuh kerajaan itu ketika ini sedang mengadakan rundingan dengan beberapa pihak dari dalam dan luar negara untuk penjualan projek berkenaan yang sudah 50% siap.
Nageeb berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira Felcra perlu membelanjakan kira-kira RM400 juta lagi sekiranya mahu meneruskan projek yang bertukar pemaju daripada sebelum ini dan dijangka siap akhir tahun depan.
Dalam pada itu, Azmin berkata Menara Felcra akan dijual jika mempunyai tawaran terbaik dan pihak pengurusan akan mempertimbangkan untuk kekalkan Menara Felcra dan menjual hartanah lain seperti pangsapuri dan aset komersial lain.
Beliau berkata Felcra tidak akan menjual aset yang tidak akan membawa keuntungan pada Felcra.
“Kita juga perlu selamatkannya sebab tidak jejaskan 96,137 pesertanya yang terdiri daripada seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
“Kita ada 96,137 peserta Felcra agar dividen dan persaraan mereka terjamin. Nilai hartanah Felcra di Jalan Semarak bernilai RM115 juta tak nak dibiarkan begitu sahaja tanpa meningkatkan hartanah.
“Pulangan akan menigkat kepada lebih daripada nilai tanah kita nyatakan tadi (RM115 juta),” katanya.
Sebelum itu, Azmin berkata projek Menara Felda di Jalan Semarak itu sebuah projek hartanah bercampur milik Felcra Berhad seluas 4.02 ekar.
Katanya, projek itu terdiri daripada 35 tingkat menara pejabat, blok pangsapuri servis 43 tingkat dengan 480 unit dan 6 tingkat pusat perdagangan (termasuk 2 tingkat pusat konvensyen) dengan anggaran nilai kasar pembangunan sebanyak RM1.1 billion.
“Sehingga 30 September 2018, kerja pembinaan mencapai kemajuan kesiapan sebanyak 41.22% dan mengalami kelewatan 96 hari daripada jadual asal.” #sumber
PUTRAJAYA - Sebarang keputusan untuk membuka semula siasatan kematian Teoh Beng Hock perlu dibuat AG (Peguam Negara).
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini, Peguam Negara belum mengarahkan pihak polis untuk membuka semula siasatan kes kematian itu.
"Saya diberitahu ia (permohonan) masih di pejabat Peguam Negara.
"Apa-apa keputusan untuk membuka semula kes mestilah dibuat oleh Peguam Negara. Setakat ini belum ada lagi," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat kelulusan warganegara Malaysia di sini hari ini.
Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas kenyataan peguam Beng Hock, Ramkarpal Singh yang dilaporkan meminta Muhyiddin mengarahkan polis membuka semula siasatan kematian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang turut serta dalam sidang media itu mengesahkan pihak polis masih boleh mendapat arahan Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut.
Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14, bangunan sama. #sumber
ALOR SETAR - Seramai sembilan sekeluarga termasuk seorang bayi lelaki berusia 10 bulan nyaris terperangkap selepas bumbung dapur rumah mereka diterbangkan angin kencang dalam kejadian puting beliung di Kampung Alor Melintang dekat sini petang tadi.
Kejadian puting beliung itu berlaku kira-kira pukul 2 petang ketika lapan ahli keluarga tersebut berada di ruang tamu rumah manakala seorang lagi di dapur.
Keadaan dapur rumah Nor'adzian selepas bumbung diterbangkan angin kencang dalam kejadian puting beliung di Kampung Alor Melintang, Alor Setar petang tadi.
Mangsa, Nor'adzian Abd. Majid, 57, berkata, angin kencang bersama puting beliung itu datang dari arah belakang rumahnya lebih satu minit sahaja namun menerbangkan bumbung dapur rumahnya.
"Ketika kejadian, saya bersama empat orang anak berusia antara 20 hingga 35 tahun, tiga cucu berusia 10 bulan hingga empat tahun dan seorang menantu berusia 27 tahun terkejut apabila mendengar bunyi puting beliuang yang kuat dan menakutkan.
"Selepas itu disusuli bumbung dapur rumah saya diterbangkan angin kencang sebelum tersangkut pada sebatang pokok mempelam sejauh kira-kira tiga meter," katanya ketika dihubungi di sini petang ini.
Nor'adzian yang merupakan seorang ibu tunggal berkata, rumahnya terletak di kawasan sawah padi dan sebelum ini selalu berlaku angin kencang tetapi tidak menjejaskan rumahnya.
"Saya bersyukur ahli keluarga saya terselamat dalam kejadian puting beliung itu," katanya.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah memberitahu, setakat petang ini, pihaknya hanya menerima laporan sebuah rumah sahaja yang mengalami kerosakan dalam kejadian puting beliung tersebut.
"Seramai empat anggota APM dari daerah Kota Setar bergegas ke tempat kejadian untuk membantu kerja-kerja susulan selepas kejadian itu," katanya. #sumber
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah masing-masing dibenarkan ikat jamin RM1 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah wang milik Kerajaan berjumlah lebih RM6.6 bilion.
Hakim Azman Ahmad memerintahkan setiap tertuduh diikat jamin oleh dua penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan masing-masing dilarang mengganggu saksi pendakwaan kes ini.
Mahkamah juga memerintahkan Najib dan Mohd. Irwan membayar ikat jamin RM500,000 pada hari ini manakala baki selebihnya dilunaskan 10 hari bermula hari ini.
Terdahulu, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai barisan pendakwaan memohon mahkamah mengenakan jaminan RM3 juta bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon jumlah jaminan yang sebelum ini dikenakan terhadap anak guamnya digunakan bagi pertuduhan hari ini.
Dalam prosiding itu, peguam bela Datuk K. Kumaraendran memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan terhadap Irwan Serigar kepada RM500,000. #sumber
KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas pertuduhan pecah amanah wang bernilai RM50.4 juta April lalu.
Datuk Hasanah Ab. Hamid, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azman Ahmad.
Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri didalam kapasiti tersebut yang diamanahkan wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia telah melakukan pecah amanah terhadap wang itu.
Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018.
Berikutan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya memohon supaya tertuduh dikenakan ikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin.
Bagaimanapun, peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah memohon jaminan RM300,000 dengan sebab jumlah ikat jamin yang ditawarkan terlalu tinggi.
"Tertuduh berusia 61 tahun dan mengalami masalah lemah fizikal dan tidak dapat bergerak dengan baik. Selepas dilepaskan pada 3 September lalu oleh SPRM setelah keterangannya diambil, tertuduh tidak melarikan diri dan tetap berada di Kuala Lumpur dan Selangor.
"Sedikit latar belakang, tertuduh juga merupakan bekas ketua pengarah risikan yang peranannya sama seperti cawangan khas dan tentera. Pada masa sama akaun banknya juga telah dibekukan oleh SPRM," katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Azman kemudian menetapkan 29 November ini untuk sebutan semula kes.
Pada Ogos lalu, media melaporkan Hasanah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit dalam salah guna kuasa dan penyelewengan dana milik kerajaan bagi peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Penahanan itu dilakukan sehari selepas SPRM menahan timbalan ketua pengarah bahagian sama di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang juga bergelar Datuk bersama enam pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) bahagian berkenaan bagi membantu siasatan kes yang sama.
Sumber memberitahu siasatan awal mendapati wanita itu bersama tujuh lagi pegawai kanan terbabit menyalahgunakan wang peruntukan itu bagi tujuan peribadi. #sumber
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas enam pertuduhan pecah amanah milik wang Kerajaan berjumlah lebih RM6.6 bilion.
Bagaimanapun, Najib, 65, dan Mohd. Irwan, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca di hadapan Hakim Azman Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama, Najib sebagai seorang Menteri Kewangan dan Mohd. Irwan pula Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan masing-masing dalam kapasiti tersebut telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta tersebut iaitu sejumlah RM1.2 bilion milik Kerajaan.
Pertuduhan kedua, mereka yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta berjumlah RM655 juta milik Kerajaan, didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan.
Pertuduhan ketiga, Najib dan Mohd. Irwan dalam jawatan yang sama diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta sejumlah RM220 juta iaitu peruntukan di bawah “Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)” milik kerajaan.
Bagi pertuduhan keempat, Najib dan Mohd. Irwan dalam jawatan yang sama masing-masing diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta RM 1.3 bilion peruntukan di bawah “Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai”, milik kerajaan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kelima, Najib dan Mohd. Irwan masing-masing dalam kapasiti tersebut telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta sejumlah CNY1,950,000,000 (RM1,261,065,000) milik kerajaan.
Pertuduhan keenam, masing-masing telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta sejumlah RM2 bilion milik kerajaan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya antara 21 Disember 2016 hingga 18 Disember 2017.
Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik menjadi Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram mencadangkan jaminan sebanyak RM3 juta.
Namun, peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai barisan pembelaan memohon mahkamah mengguna pakai jaminan yang telah diberikan terhadap Najib sebanyak RM4.5 juta bagi pendakwaan kes-kes terdahulu.
"Anak guam saya sanggup untuk menandatngani apa-apa dokumen perjanjian untuk guna pakai ikat jamin berjumlah RM4.5 juta sebelum ini," katanya. #sumber
KUANTAN - Warga Kuantan diberi amaran supaya menjelaskan tunggakan bayaran kompaun letak kereta Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).
Yang Dipertuanya, Datuk Fadzilla Salleh berkata, pihaknya memandang serius perkara ini dan akan meneliti semula kompaun-kompaun lampau pesalah yang belum membuat pembayaran.
“Kerja penelitian semula kompaun telah dibuat pada bulan ini dan pihak kita akan menjalankan pendakwaan ke atas pesalah di mahkamah.
“Sebelum itu kita akan susuli dengan tindakan Pelaksanaan Perintah waran terhadap pesalah yang telah disenaraikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, sekiranya pesalah gagal menghadirkan diri ke mahkamah atau gagal menjelaskan kompaun tersebut, pesalah akan ditahan polis sehingga kes selesai.
Menurutnya, tindakan ini diambil di bawah peruntukkan Perintah Pengangkutan Jalan (tempat letak kereta) MPK 2005. #sumber
KUANTAN - Jalan Kuala Terla dekat Kampung Raja, Batu 51, Cameron Highlands ditutup satu arah bermula pukul 8 malam tadi sejurus berlaku tanah runtuh di laluan berkenaan lewat petang hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Sani Harul berkata, kejadian pukul 5 petang itu menyebabkan kedua-dua laluan dilitupi tanah akibat runtuhan.
"Jalan tersebut tidak dapat dilalui semua kenderaan kedua-dua arah sejurus tanah runtuh. Pihak JBPM menunggu anggota Roadcare sebelum kerja pembersihan jalan dapat dilakukan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Zainal Yusof pula berkata, kerja pembersihan di laluan tersebut masih giat dijalankan dengan kerjasama JBPM, polis, Roadcare serta Jabatan Kerja Raya.
"Kejadian itu menyebabkan laluan dihalang runtuhan tanah kira-kira 80 meter. Siasatan awal mendapati ia berpunca daripada struktur tanah yang lemah akibat hujan lebat.
"Buat masa ini laluan dibuka satu hala dan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati," katanya yang memaklumkan tiada kecederaan atau kemalangan akibat kejadian tersebut. #sumber
KUALA LUMPUR: Hilang arah. Itulah nasib malang yang sering dihadapi oleh pekerja warga asing yang ditimpa musibah atau menjadi mangsa penipuan majikan setelah dijanjikan dengan pelbagai peluang pekerjaan di negara ini.
Menyedari akan masalah itu, Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (PEKA) menyediakan satu program ‘talian hayat’ dengan mengambil beberapa pendekatan untuk membantu menangani masalah dan isu melibatkan warga asing di negara ini.
Presiden PEKA, Datuk Paduka Zuhairi Ab Kadir berkata sebagai langkah awal untuk menjaga kepentingan pekerja warga asing, PEKA mewujudkan sebuah Program Kebajikan Dan Khidmat Imigran.
“Ia memudahkan pihak kerajaan untuk merangka satu kaedah khusus penyelesaian isu yang melibatkan proses bantuan kebajikan atau perundangan membabitkan pekerja warga asing.
“PEKA memainkan peranan kemanusiaan dalam memberikan perkhidmatan biro guaman serta pengurusan dokumen dan penghantaran pulang jenazah ke negara asal mereka yang terpinggir ekoran menjadi mangsa penipuan ejen dan sindiket pemerdagangan manusia,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata konsep pelaksanaan gerak kerja bantuan kemanusiaan PEKA terbahagi kepada tiga fasa iaitu bancian, pendaftaran peserta serta pemantauan. Secara tidak langsung maklumat yang ada mudah untuk menjejaki mereka.
"Hidup sesama insan, kita perlu bantu. PEKA bantu atas dasar kemanusiaan bukan kerana agama dan bangsa.
Zuhairi berkata secara keseluruhannya, program ini mendapat sambutan sangat baik yang menekankan pendekatan psikologi sebagai alternatif kepada kawalan penguatkuasaan dalam menangani krisis migrasi haram atau pendatang asing tanpa izin.
"Setakat ini, lebih 12,000 warga asing kebanyakannya dari Indonesia dan Bangladesh mendaftar di bawah Program Kebajikan Dan Khidmat Imigran yang dianjurkan oleh PEKA,” katanya.
Sejak dilancarkan pada 12 Januari 2017, antara pekerja asing lain yang turut mendaftar adalah dari Filipina, beberapa negara dari Afrika, Timur Tengah dan Amerika Selatan.
Zuhairi berkata usaha itu tidak akan melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan, sebaliknya lebih bersifat kerjasama antara agensi berkaitan dalam bentuk perkongsian kepakaran dan tanggungjawab antara kedua-dua belah pihak. #PDO
IPOH - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditemui mati dengan satu kesan tembakan di bahagian kepalanya di tepi kuaters di dalam Balai Polis Pekan Baru di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Hussain berkata, mayat mangsa yang berusia 29 tahun dan masih bujang itu dijumpai di belakang kuarters tersebut kira-kira pukul 6.15 pagi tadi.
Jelasnya, siasatan awal terhadap mayat mendapati, kepalanya tembus dipercayai terkena satu tembakan daripada senjata miliknya.
“Mangsa dipercayai baru dua hari melapor diri di Balai Polis Pekan Baru dan sebelum ini bertugas sebagai pasukan petugas khas Jabatan Siasatan Jenayah serta Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7).
“Setakat ini, kita sedang menyiasat beberapa perkara terutamanya kelongsong peluru yang ditemui di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Pekan Baru di sini sebentar tadi.
Menurut Razarudin, polis sedang menyiasat punca kejadian dan masih terlalu awal untuk mengatakan mangsa telah bunuh diri atau mati dibunuh.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk dibedah siasat. #sumber
SHAH ALAM - Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini, atas dua pertuduhan menipu dan memalsukan watikah pengurniaan Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP).
Tertuduh, Wan Yon Ann, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu Tan Wai Khan, 40, supaya mempercayai watikah pengurniaan DIMP itu adalah tulen sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM5,000.
Perbuatan itu dilakukan di sekitar Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, jam 9.30 malam, 18 Ogos lalu.
Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pilihan, Yon Ann didakwa memalsukan dokumen watikah itu menggunakan nama mangsa di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamudin Abdul Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam bela Shalehuddin Salam.
Rini Triany kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan RM6,000 dengan seorang penjamin.
Beliau juga menetapkan kes disebut semula pada 9 November depan. #sumber
PUTRAJAYA - Pejabat Peguam Negara hari ini membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan pendakwaan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah di mahkamah esok.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, Najib dan Mohd. Irwan akan dituduh bersama berhubung siasatan beberapa kes pecah amanah yang telah dilakukan oleh mereka melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia.
"Najib dan Mohd. Irwan akan hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok pada pukul 7.30 pagi untuk pertuduhan tersebut," ujar kenyataan tersebut.
Terdahulu, kedua-dua mereka hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini secara berasingan pada pukul 1.53 (Najib) dan 3.25 petang (Mohd. Irwan) untuk melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan tersebut.
Najib kemudian beredar meninggalkan SPRM pada pukul 5 petang tadi menaiki Proton Perdana warna hitam nombor plat TN50. Manakala, Mohd. Irwan ditahan selepas memberi keterangan pada pukul 3.35 petang tadi.
Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM memaklumkan pihaknya turut mendapat izin mendakwa bekas Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasanah Ab Hamid berhubung isu pecah amanah melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia.
"Hasanah akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari yang sama dan mengikut seksyen yang sama," katanya. #sumber
KUANTAN - Seorang buruh ditahan kerana menghina anggota polis yang maut dalam kemalangan di Kilometer 183 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Gambang, semalam, dalam Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di rumah di Kampung Parit Tengah, Pekan, 10.30 malam tadi.
Katanya, suspek meninggalkan komen ke atas status berkenaan dengan kemalangan maut membabitkan dua anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, dalam kumpulan ‘Komuniti Kuantan’.
“Suspek membuat komen: ‘padan muka polis segelintir jahat hahahahahahaha hahahah’.
“Laporan dibuat oleh anggota polis yang tidak berpuas hati atas komen berkenaan dan mahu tindakan sewajarnya diambil ke atas pengguna Facebook berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, di Kuantan, hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pergi ke rumah berkenaan dan berjaya menahan suspek yang terbabit.
“Hasil pemeriksaan, kita merampas telefon bimbit jenis Samsung Galaxy J2 Prime dan dua kad sim Celcom. Siasatan mendapati, telefon bimbit yang dirampas itu digunakan untuk melayari Facebook.
“Ujian air kencing juga sudah dijalankan ke atas saspek dan hasilnya negatif. Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini di Lokap Berpusat Indera Mahkota di sini ,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 233 (1)Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali. #sumber
KUANTAN - Bendera merah kini dikibarkan di semua pantai popular di Pahang sebagai amaran kepada pengunjung dan mereka yang ingin mandi di pantai ekoran ketibaan musim tengkujuh.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kol (PA) Zainal Yusoff berkata, bendera merah dikibarkan di Pantai Teluk Chempedak, Pantai Sepat, Pantai Batu Hitam dan Pantai Balok, di Kuantan, bagi memberi peringatan bahawa semua aktiviti air dilarang semasa musim hujan kerana kemungkinan berlaku fenomena air pasang besar.
Beliau berkata, pihaknya turut menempatkan anggota penyelamat pantai pada cuti hujung minggu dan cuti sekolah di pantai utama daripada 9 pagi hingga 7 malam bagi memberi peringatan kepada pengunjung untuk tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan pantai.
Katanya, anggota penyelamat yang ditempatkan di kawasan pantai itu turut dibekalkan dengan jet ski, bot dan peralatan menyelamat bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Enam anggota akan ditempatkan di setiap pantai pada cuti hujung minggu dan cuti sekolah yang kita jangka akan menerima kunjungan orang ramai. Anggota penyelamat yang bertugas akan melakukan pemantauan daripada menara kawalan serta rondaan secara berjalan kaki dan bermotosikal.
“Semua anggota kita berpengalaman dan terlatih dalam memberikan bantuan kecemasan serta bantuan pernafasan (CPR). Orang awam perlu memberi kerjasama kepada anggota kita terutama ketika cuaca buruk,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.
Zainal berkata, pantai Teluk Chempedak, di sini adalah destinasi popular di negeri ini dan dijangka menerima kehadiran orang ramai termasuk pelancong asing untuk beriadah sekali gus memerlukan pengawasan rapi anggota penyelamat daripada APM Pahang.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sudah bermesyuarat minggu lalu bagi menyelaraskan usaha mereka sekiranya berlaku banjir.
“Semua 11 daerah di Pahang sudah selesai bermesyuarat dan agensi berkaitan seperti polis, Jabatan Kesihatan negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri sudah diberi taklimat mengenai persediaan menghadapi banjir,” katanya. #sumber