script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Jabatan Perhutanan Pahang Kenakan Fi Masuk 'Mossy Forest' !


KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan mengenakan bayaran fi masuk ke Mossy Forest, Cameron Highlands bermula 1 Mac ini.

Sebelum ini tiada bayaran masuk yang dikenakan kepada pengunjung Mossy Forest yang terletak pada ketinggian kira-kira 2,031 meter dari aras laut itu. 

Pengarah JPNP, Datuk Dr. Mohd. Hizamri Mohd. Yasin berkata, bayaran tersebut dikenakan bagi pengunjung yang memasuki Mossy Forest hingga ke penghujung laluan boardwalk sahaja. 

"Bagi warganegara, bayaran masuk untuk pengunjung dewasa adalah RM10 manakala kanak-kanak bawah 12 tahun dan warga emas hanya RM5. 

"Bayaran masuk untuk bukan warganegara pula adalah RM30 bagi pengunjung dewasa dan warga emas manakala RM15 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurutnya, tiada sebarang bayaran dikenakan kepada semua pengunjung Orang Kurang Upaya (OKU) dan mereka perlu membawa kad sebagai pengesahan. 

"Bagi pengunjung yang ingin mendaki Gunung Irau melalui Mossy Forest, mereka perlu membuat permohonan permit memasuki Hutan Simpanan Kekal dan membayar fi masuk," ujarnya. 

Beliau memberitahu, bayaran fi masuk itu dikenakan bagi menampung kos penyelenggaraan yang dilakukan oleh pihaknya. 

"Kita ada lima lagi Taman Eko Rimba di bawah seliaan JPNP yang turut akan dikenakan caj masuk selepas ini," jelasnya. 

Mossy Forest atau dikenali bukit berlumut merupakan salah satu destinasi yang semakin popular bagi menggemar aktiviti mendaki kerana laluannya agak mencabar dan pemandangannya cantik #sumber

Share:

Bauksit: Dr Dzulkefly , KKM Jamin Pantau Kesihatan Penduduk !


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau tahap kesihatan penduduk di sekitar kawasan pelombongan bauksit di Kuantan, Pahang berdasarkan laporan kesihatan yang diperolehi dari fasiliti kesihatan kawasan itu, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Kita memantau melalui statistik kes seperti jangkitan respiratori di klinik. Sebagai contoh adakah terdapat peningkatan ketara untuk masalah tersebut, selain pihak berkuasa akan memantau kualiti air dan buah-buahan segar untuk (kewujudan) logam berat,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini, semalam.

“Kita mahu pastikan rakyat tidak menderita akibat dari aktiviti perlombongan bauksit,” katanya, sambil memaklumkan isu kesihatan melibatkan perlombongan bauksit turut disentuh dalam mesyuarat Kabinet, semalam.

Pada 18 Feb, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar mengumumkan tempoh moratorium untuk aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit tidak akan dilanjutkan dan dibenarkan beroperasi semula mulai 1 April ini.

Berikutan itu, satu prosedur operasi standard (SOP) baru dan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat akan dilaksanakan untuk mengelak pencemaran seperti sebelum ini dan mereka yang ingkar boleh didenda RM500,000 dan 3 bulan penjara mengikut Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly menafikan dakwaan pihak farmasi tidak dilibatkan dalam perancangan pelaksanaan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

“Kita telah berhubung, berbincang dan mengadakan town hall dengan pihak berkaitan dan kita masih ada masa untuk berhubung lebih lanjut mengenai pelaksanaan PeKa B40 termasuk membabitkan peranan farmasi, pengamal perubatan am. Kita mahu ia didukungi oleh semua penyedia perkhidmatan kesihatan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, PeKa B40 akan dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada April nanti.

Ditanya sama ada KKM akan mengenakan tindakan terhadap Hospital Pantai Sungai Petani yang menyiarkan iklan tawaran biasiswa yang didakwa bersifat perkauman walaupun sudah membuat permohonan maaf, Dzulkefly berkata, beliau berharap isu itu tidak berulang pada masa hadapan. #sumber
Share:

Sarawak Report Dedah 'Bukti Baru' UMNO Biayai Kempen PAS !


PETALING JAYA: Sarawak Report hari ini menyiarkan apa yang didakwa bukti baru yang menunjukkan PAS menerima dana daripada UMNO, 3 minggu sebelum Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi keterangan di mahkamah London bahawa partinya tidak bekerjasama dengan UMNO.

Laman web pemberi maklumat itu menunjukkan paparan skrin pemindahan wang sebanyak RM2.5 juta daripada bekas pembantu menteri ke akaun PAS menerusi Bank Islam pada 21 Mac tahun lalu.

Dakwaan ini bercanggah dengan kenyataan Hadi, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kehakiman di London pada 12 April bahawa partinya tidak bergabung dengan UMNO, dari segi politik atau lain-lain.

Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Sarawak Report berhubung laporan yang diterbitkan pada Ogos 2017 yang menyatakan pemimpin kanan PAS menerima RM90 juta daripada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Kedua pihak bersetuju menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah awal bulan ini.

Sarawak Report berkata Hadi mengesahkan PAS menerima RM2.5 juta itu sebelum kenyataan mahkamahnya tetapi menafikan wang itu daripada UMNO.

Laman web itu juga mendakwa RM1 juta lagi diberi oleh UMNO kepada PAS dalam masa yang sama.

Usaha mendapatkan respon daripada menteri berkaitan mengenai laporan ini. #sumber
Share:

Jemaah Terkejut Jumpa 'Patung Berhala' Di Pintu Masuk Surau !


KLANG - Jemaah Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah dekat sini terkejut apabila menemui sebuah patung berhala yang diletakkan bersebelahan pintu masuk utama surau berkenaan, petang semalam. 

Patung berhala itu ditemui pukul 4.15 petang oleh siak surau, Mohd. Yatim Omar, 64, ketika hadir di surau tersebut bagi persiapan solat Asar. 

Menurut Mohd. Yatim, patung itu ditemui olehnya ketika beliau mahu membuka pintu surau berkenaan yang berkunci. 

Katanya, sewaktu pulang selepas selesai menunaikan solat Zuhur didapati tiada patung tersebut di dalam pekarangan surau berkenaan. 

"Terkejut dengan kejadian itu, saya kemudiannya memanggil ahli jawatankuasa (AJK) serta kariah surau tersebut bagi melihat sendiri patung tersebut.

"Saya tidak tahu apa motif patung berhala itu diletakkan di surau ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini. 



Mohd. Yatim menambah, perkara ini sangat sensitif berikutan ia mencemarkan tempat ibadah bagi masyarakat yang beragama Islam.

Ujar beliau, pihaknya tidak mengetahui siapa yang melakukan perbuatan tersebut memandangkan surau ini tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup televisyen (CCTV). 

"Sudah tentu, kami kecewa dan terguris akan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan menggesa dalangnya tampil memohon maaf. 

"Sehubungan itu, satu laporan polis telah dilakukan awal pagi tadi di Balai Pandamaran, Klang Selatan serta menyerahkan patung itu bagi siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya .#sumber
Share:

Anak Mat Sabu Positif Dadah, Polis Tunggu Arahan Pejabat AG


KUALA LUMPUR - Polis menunggu arahan daripada pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung kes anak Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang ditahan positif dadah pada 5 Januari lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan selepas pihak polis menerima laporan perubatan dari Hospital Kuala Lumpur.

“Kertas siasatan sudah diserahkan dan kita menunggu arahan daripada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 280 pegawai dan anggota bagi Kontinjen Kuala Lumpur di Pulapol di sini hari ini.

Kosmo! pada 5 Januari lalu melaporkan Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, ditahan selepas positif ganja dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang di sini.#sumber
Share:

Ibubapa Rayu Cari Anak Perempuannya Yang Hilang Sejak 2017


JERANTUT - Sepasang suami isteri merayu anak perempuannya yang menghilangkan diri sejak Disember 2017 agar kembali ke pangkuan keluarganya dengan segera. 

Raihan Syafina Mohd Robie, 19, yang berasal dari Taman Cempaka, di sini dikatakan keluar dari rumahnya selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Bapanya, Mohd Robie Majid, 46, berkata, anak keduanya daripada lima beradik itu pulang ke rumah selepas tamat SPM dua tahun lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura, di sini sebelum menghilangkan diri.

"Dia keluar rumah tanpa memberitahu kami dan saya sekeluarga keluar mencarinya namun tidak jumpa.

"Kami telah menghubungi telefon bimbitnya tetapi tiada jawapan dan terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut," katanya hari ini.

Menurutnya, Raihan dipercayai keluar bersama seorang rakan perempuannya yang turut menghilangkan diri sehingga hari ini.

"Sebelum tamat peperiksaan SPM, dia ada beritahu kami untuk pergi bekerja di luar Jerantut dan kami tidak menghalangnya tanpa menyangka dia pergi begitu sahaja," ujarnya.

Mohd Robie memberitahu, dia bersama isterinya, Zelawati Zulkarnain Bachan, 38, telah melakukan pelbagai usaha untuk mengesan anaknya namun gagal.

"Saya sudah minta bantuan saudara-mara dan rakan-rakan untuk menjejakinya malah kami pernah mencarinya di Kuantan dan Kuala Lumpur tetapi tidak jumpa.

"Saya dan isteri merayu Raihan agar pulang ke pangkuan kami dan memohon bantuan orang ramai untuk mengesannya," jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat terkini mengenai Raihan boleh menghubungi Mohd Robie di talian 013-9050072 atau balai polis berhampiran. #sumber
Share:

Fuziah Salleh Kesal Perlombongan Bauksit Dibenarkan Semula


KUANTAN - Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menegaskan, standard prosedur operasi (SOP) yang digariskan kerajaan untuk membenarkan semula aktiviti perlombongan bauksit akan menyebabkan pencemaran air.

Menurut beliau, pemprosesan bahan mineral itu menyebabkan air yang digunakan untuk membersihkan bijih bauksit akan dicemari logam berat sebelum mengalir ke sungai.

"Berkenaan dengan isu ini, saya ingin menyatakan kekhuatiran saya dari aspek SOP yang diperkatakan.

"Memproses bijih bauksit akan melibatkan sisa air yang mengandungi logam berat," kata Fuziah menerusi kenyataan kepada media di sini hari ini.

Fuziah berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar semalam yang mengumumkan kegiatan perlombongan bauksit di daerah ini diteruskan bermula April depan dengan syarat perlu mematuhi SOP termasuk membersihkan bijih mineral itu sebelum dieksport.

Sehubungan itu, Fuziah yang memilih untuk bercakap selaku Ahli Parlimen Kuantan menambah, SOP digariskan kerajaan berhubung perlombongan bauksit juga wajar dipamerkan kepada orang awam dengan cara yang telus.

"Kita juga ada masalah penguatkuasaan sebelum ini. Saya mohon semua SOP dipamerkan kepada orang awam dengan cara yang telus.

"Saya masih ingat, (kualiti air) sungai bertukar kepada kelas lima disebabkan kandungan logam berat yang mengalir dari lombong," tambah beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ujar Fuziah lagi, beliau kesal dengan keputusan tersebut dan menyatakan Xavier sewajarnya berbincang dengan orang awam terlebih dahulu mengenai SOP berkenaan.

"Sebab dulu kita tidak buat (syarat) mencuci bijih bauksit. Itu pun sudah menjadi satu bencana alam sekitar, inikan pula nak buat (syarat) mencuci," ujarnya. #sumber
Share:

Peguam UMNO Mengaku Tak Salah Ubah Wang Haram RM15j !


KUALA LUMPUR - Peguam terkemuka Datuk Mohd. Hafarizam Harun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas dua pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memasukkan cek berjumlah RM15 juta milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke akaun firma guamannya, lima tahun lalu.

Mohd. Hafarizam, 47, yang juga Penasihat Undang-undang UMNO membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapan Hakim Azman Ahmad. 

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Mohd. Hafarizam yang turut mewakili beberapa kes sivil Najib didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam tiga transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram dengan memasukkan tiga keping cek AmIslamic Bank berjumlah RM15 juta milik Mohd. Najib Abdul Razak ke dalam akaun pelanggan firma guaman miliknya Tetuan, Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM) .

Kesemua kesalahan  itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan PWTC Menara Dato' Onn, Jalan Tun Ismail di sini antara 16 April 2014 hingga 12 Februari 2015.

Berikutan itu kedua-dua pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama. 

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda minimum lima kali ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. 

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mustafa P. Kunyalam mencadangkan ikat jamin RM500,000 dan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah. 

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili tertuduh tidak membuat sebarang bantahan berikutan kedua-dua pihak telah bersetuju dengan jumlah jaminan dan syarat yang dicadangkan pihak pendakwaan. 

Terdahulu dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib turut memaklumkan,  terdapat kes seorang individu warganegara Britain iaitu Paul Geoffrey Stadlen yang telah didaftarkan berkaitan kes yang sama. 

"Sekiranya berjaya dijumpai Paul akan dibawa ke mahkamah untuk dituduh kerana ada kemungkinan kes tersebut akan dibicarakan bersama kes ini," katanya.

Tambahnya Langkah-langkah untuk mengesan Paul telah dibuat iaitu mendaftarkan kes ke mahkamah, mendapatkan waran tangkap dan menyerahkan waran tangkap itu kepada Polis Antarabangsa (Interpol) kerana dia berada di luar negara. 

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan 25 Mac ini bagi sebutan semula kes. #sumber
Share:

Kanak-Kanak Lima Tahun Maut Di Dera Dek Bapa Tiri Di Pekan


KUANTAN - Kanak-kanak berusia 5 tahun maut dipercayai akibat didera bapa tirinya di Kampung Padang Rumbia, Pekan dekat sini semalam.

Mangsa, Muhammad Hafiz Abdullah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Padang Rumbia kira-kira pukul 4 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan, berkata, bapa tiri mangsa yang berusia 54 tahun bersama ibu kandungnya berumur 25 tahun kini ditahan untuk disiasat.

Othman berkata, pasangan tersebut membawa mangsa ke klinik bagi mendapatkan rawatan apabila kanak-kanak itu tidak sedarkan diri.

"Mangsa disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan. Pemeriksaan awal di klinik mendapati ada kesan lebam di dada.

"Doktor juga mendapati ada kesan cucuh api (bara) rokok di tapak kaki, bibir pecah, lebam mata kanan serta luka kecil di kening kanan," ujar Othman menerusi kenyataan kepada pemberita di sini pagi tadi.

Tambah beliau lagi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan sebelum dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk dibedah siasat.

Mengulas berhubung siasatan awal ke atas suspek, Othman memberitahu, bapa tiri mangsa mengaku pernah memukul mangsa  di rumah mereka pada hari kejadian semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," kata Othman.#sumber
Share:

Golongan Tafsir Quran Ikut Keperluan Peribadi Perlu Di Tangani


KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, dewasa ini wujud segelintir individu yang memberikan tafsiran al-Quran mengikut akal logik, semata-mata demi kepentingan peribadi dan kumpulan tertentu.

Baginda bertitah, sehubungan itu ia perlu ditangani segera kerana jika dibiarkan berlarutan, ia boleh meruntuhkan akidah, meruntuhkan institusi keluarga dan menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini.

"Dengan demikian, kefahaman yang mendalam kepada tafsiran yang tepat disi kandungan al-Quran akan berupaya melahirkan masyarakat yang bertaqwa dan bahagia di dunia serta di akhirat.

"Justeru saya menyeru semua masjid di negeri ini untuk menjadi pemudahcara bagi menyuburkan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam di Pahang.



"Mudah-mudahan umat Islam di negeri ini akan mencapai kejayaan dalam menjadikan al-Quran sebagai panduan dan pedoman kehidupan," titah baginda ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup Tilawah Al Quran Peringkat negeri Pahang Kali-62 tahun 1440 Hijrah bertemakan 'Menyantuni Umat Membawa Rahmat' .



Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri Pahang, Datuk Seri  Sallehuddin Ishak, dan Mufti Negeri Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.



Menurut baginda, al-Quran juga merupakan sumber rujukan yang mampu menjadi penunjuk arah dalam kehidupan seharian sekali gus dapat membantu menangani pelbagai cabaran terhadap masalah akhlak serta moral masyarakat pada masa kini.



Sehubungan itu, umat Islam yang beriman kepada al-Quran wajib menjadikan kitab suci itu sebagai rujukan utama dalam kehidupan.

Baginda turut mengucapkan penghargaan kepada kerajaan negeri Pahang serta semua yang terlibat dalam menjayakan majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-62 selain turut mengucapkan tahniah kepada qari dan qariah yang akan mewakili Pahang dalam pertandingan peringkat kebangsaan nanti.

Pada majlis itu, baginda dan Tunku Azizah turut berkenan menyampaikan hadiah kepada hadiah kepada 30 qari dan qariah yang bertanding termasuk pemenang. #sumber
Share:

Kes Pengguna Facebook Hina Islam, NGO Buat Laporan Polis !


KUANTAN - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Kebajikan Ukhwah dan Silaturahim Pahang (Ukhwah) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini berhubung dua individu yang memuat naik status menghina Islam di laman Facebook sehingga tular.

Presiden Ukhwah, Zulkefly Senek berkata, beliau menyedari status dimuat naik pengguna akaun Facebook, Sakar Tanesan dan Foo Sing Wai yang bersifat penghinaan kepada Islam dan Nabi Muhammad pada kira-kita pukul 9 malam tadi.

"Perkara seperti ini tidak sepatutnya dibuat oleh sesiapa untuk tujuan menghina mana-mana agama sekali pun.

"Kami menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas kedua-dua individu berkenaan," ujar beliau.

Status berunsur penghinaan terhadap Islam ysng dimuat naik dua pengguna Facebook itu mula tular di laman sosial tersebut sejak malam tadi, sekali gus mengundang kemarahan netizen.

Bertindak balas terhadap penghinaan tersebut, seramai 50 ahli Ukhwah di sini mengiringi Zulkefly membuat laporan di IPD Kuantan pada tengah hari tadi.

Sementara itu, Penasihat Ukhwah, Tengku Najirulzamal Tengku Jamaluddin menyeru pelbagai pihak membuat laporan polis terhadap sesiapa sahaja yang membuat penghinaan terhadap mana-mana agama.

"Sebelum ini, Yang Di-Pertuan Agong dihina dan kali ini, Nabi Muhammad pula dihina. Perkara seperti ini juga semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

"Tetapi janganlah kita ambil tindakan sendiri. Sebaik-baiknya buatlah laporan kepada polis dan serahkan kepada undang-undang," kata beliau. #sumber
Share:

Warga emas hina Nabi Muhammad Dan Isteri Baginda, Di Tahan


TEMERLOH - Seorang warga emas ditahan selepas berlaku biadab dengan memuat naik status menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aisyah di laman sosial Facebook. 

Status yang tular sejak beberapa hari lalu itu menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh negara sehingga banyak laporan polis dibuat agar tindakan diambil terhadap lelaki terbabit. 

Lelaki berusia 68 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Sri Layang, Mentakab, dekat sini kira-kira pukul 11.30 pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, lelaki terbabit ditahan berikutan laporan polis yang dibuat di Batu Pahat, Johor di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. 

"Setelah mendapat maklumat, Ketua Balai Polis Mentakab, Asisten Superintenden Mohd Bijuri Abdullah bersama anggotanya telah pergi ke rumah lelaki terbabit. 

"Sebaik tiba di hadapan rumahnya, pihak polis telah memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis kepada lelaki terbabit sebelum melakukan pemeriksaan," katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita. 

Menurutnya, lelaki terbabit tidak melakukan sebarang tindak balas dan siasatan lanjut akan dilakukan berdasarkan laporan yang diterima. 

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak memuat naik status yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum di negara ini.

Kemarahan umat Islam di negara ini memuncak apabila pemilik Facebook yang mengunakan nama Foo Sing Wai memuat naik status bersama sekeping gambar karikatur yang memaparkan gambar seorang lelaki dan kanak-kanak tanpa pakaian.

Gambar lelaki berkenaan dilabelkan sebagai Nabi Muhammad berusia 54 tahun manakala seorang kanak-kanak perempuan yang memegang patung dilabelkan sebagai Aisyah berusia enam tahun.

Berikutan itu, difahamkan banyak laporan polis telah dibuat di seluruh negara agar tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa. #sumber
Share:

Aktiviti Perlombongan, Pengeksportan Bauksit Kembali Operasi



KUANTAN - Aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri ini dibenarkan semula selepas moratorium selama tiga tahun berakhir 31 Mac ini tidak akan disambung.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, aktiviti tersebut dibenarkan semula namun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menurutnya, pada masa sama sebanyak 435,000 tan metrik bauksit di pusat penyimpanan sedia ada di Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman, Terengganu perlu dikosongkan sehingga hujung bulan depan.

“Permit import (AP) bagi empat syarikat yang diberi kebenaran mengeksport bauksit juga akan tamat 31 Mac ini.


“Bagaimanapun hanya bauksit yang sudah dicuci akan dibenarkan untuk dieksport selepas tarikh itu, bagi menjaga kebersihan dan alam sekitar,” katanya pada sidang media selepas meninjau kedudukan terkini moratorium perlombongan dan pengeksportan bauksit, hari ini.

Dr Xavier berkata, kerajaan negeri sudah maklum mengenai penamatan tempoh moratorium dan semua pihak bersetuju dengan SOP baharu.

“Ia meliputi aspek perlombongan sehingga pengeksportan dan SOP ini juga sudah dipersetujui Kabinet pada minggu lalu.

“Kita akan mengadakan sesi bersama pemegang taruh akhir bulan ini di sini, bagi memastikan semua pihak terbabit sedia mematuhinya,” katanya.

Beliau berkata, tindakan akan diambil kepada pihak yang ingkar mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1975 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda RM500,000.

“Semua pihak perlu patuh dengan syarat dan peraturan yang ditetapkan ini atau berdepan hukuman,” katanya.

Dr Xavier berkata, moratorium bauksit tidak disambung kerana galian itu mempunyai permintaan dan potensi besar serta memberi keuntungan kepada kerajaan Pahang.

Katanya, bagi tahun 2015, kutipan royalti yang diperoleh kerajaan Pahang ialah RM47 juta setahun.

“Malah, SOP industri bauksit di Pahang ini juga akan diperluaskan ke negeri Terengganu dan Johor yang turut memiliki aktiviti perlombongan mineral berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semua pemegang taruh dalam industri bauksit di Pahang diminta sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri dan jabatan serta agensi kerajaan Pusat sekali gus mematuhi SOP yang sudah ditetapkan. #sumber


Share:

Jenazah Siti Masitah Selamat Di Kebumikan 8.45 Malam Tadi



PEKAN - Jenazah kanak-kanak perempuan yang ditemui mati dalam keadaan tragis di ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir pada 9 Februari lalu selamat dikebumikan pada pukul 8.45 malam ini.


Anggota keluarga, saudara mara serta penduduk setempat mengiringi jenazah Siti Masitah Ibrahim,11, ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Medang Kemahang selepas siap disembahyangkan di surau kampung berkenaan.

Jenazah sebelum itu dimandi dan dikapankan di Masjid Tengku Ampuan Afzan di Indera Mahkota Kuantan selepas dituntut ibunya, Solihah Abdullah,35, dari Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada pukul 6 petang tadi.


Dia yang ditemani sepupunya Norasiah Abdul Manan,33, kelihatan tidak dapat mengawal perasaan dan terpaksa dipapah keluar oleh Norasiah selepas dipanggil oleh pihak polis untuk melihat jenazah anak ketiga daripada empat beradik itu.


Solihah yang ditemui di Unit Forensik sebelum itu berkata, pihak polis menghubunginya pada jam 4 petang tadi memaklumkan bahawa jenazah anaknya itu boleh dituntut untuk proses pengkebumian.
"Alhamdulilah sebab sudah boleh dibawa keluar untuk disembahyang dan dikebumikan, kesian... sudah lama dia di sini (Unit Forensik), Insya-ALLAH akan dikebumikan malam ini juga," katanya.

Mayat Siti Masitah sebelum ini ditemui dalam keadaan tragis dengan kepala terpisah serta beberapa organ dalaman hilang di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, di sini 9 Februari lalu.

Polis mengesahkan mangsa dibunuh dengan kejam pada hari yang sama dilaporkan hilang pada 30 Januari lalu oleh seorang lelaki yang merupakan kenalan rapat keluarganya kerana motif dendam dan marah.

Bedah siasat yang dilakukan mendapati kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat 'probable head injury' dan terdapat kesan kecederaan pada rahang kiri, bahagian atas tengkorak sebelah dipercayai akibat dipukul dengan kayu.

Berikutan itu suspek yang berusia,23, tahun telah ditahan reman sehingga 24 Februari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. #sumber
Share:

Papagomo Di Reman Tiga Hari Bantu Siasatan Kes Syed Saddiq


KAJANG - Pengendali laman web Papagomo ataupun nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes serangan ke atas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Sabri Abdullah berkata, permohonan reman terhadap Papagomo telah dibuat di Mahkamah Majistret Kajang di sini pagi tadi.

“Permohonan reman terhadap Papagomo dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Seorang lagi individu berusia 39 tahun dibebaskan dengan jaminan polis setelah kenyataannya diambil,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Radzee Jamudi di talian 019-6655 811 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Media semalam melaporkan Papagomo, 36, ditahan di Wangsa Maju pada pukul 3 petang bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

Dalam kejadian pada pukul 10.45 pagi itu, Ahli Parlimen Muar tersebut didakwa diserang oleh sekumpulan penyokong pembangkang semasa hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Semenyih pada sabtu lalu. #sumber
Share:

Jenazah Siti Masitah Di Tuntut Keluarganya Di HTAA Kuantan !


KUANTAN - Jenazah kanak-kanak dibunuh kejam dalam kejadian 30 Januari lalu, Siti Masitah Ibrahim, 11, dituntut ibunya di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pukul 5 petang tadi.

Ibunya, Solihah Abdullah, 35, ketika ditemui meluahkan syukur kerana telah lama menunggu untuk membawa pulang jenazah Siti Masitah bagi tujuan pengebumian.

Menurutnya, jenazah Siti Masitah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan selewat-lewatnya malam ini.

"Alhamdulillah. Sudah lama kami tunggu untuk bawa pulang," ujar suri rumah tersebut sebelum menangis.

Pada 9 Februari lalu, mayat Siti Masitah ditemui di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan dalam keadaan menyayat hati apabila beberapa anggota badan termasuk kepalanya terpisah daripada tubuh.

Siti Masitah dilaporkan hilang kira-kira pukul 6.30 petang, 30 Januari lalu selepas keluar menunggang basikal dan ibunya membuat laporan polis pada pukul 11 malam hari yang sama.

Mayat tersebut dikenal pasti sebagai Siti Masitah selepas ibunya membuat pengecaman baju yang dipakai kanak-kanak itu pada hari dia dilaporkan hilang.

Bagaimanapun, polis melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada 11 Februari baru-baru ini sebelum mayat disahkan sebagai Siti Masitah pada Sabtu lalu dan jenazah dituntut ibunya semalam.

Susulan penemuan mayat itu, seorang lelaki rakyat Kemboja berusia 23 tahun ditahan polis pada pukul 2 pagi, 31 Januari lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, suspek disambung reman sehingga 24 Februari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. #sumber
Share:

Satu Kebakaran Di Laporkan Berlaku Di Sebuah Hotel Di Mekah


RIYADH - Satu kebakaran dilaporkan berlaku di sebuah hotel di Mekah, Arab Saudi semalam, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan, demikian menurut portal berita Alweeam, memetik pertahanan awam Mekah.

Jurucakap pertahanan awam Nayef al-Sharif, berkata kejadian berlaku kira-kira 11.40 pagi (waktu tempatan) di hotel yang merupakan sebahagian projek Jabal Omar.

Beliau berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada pembakaran sampah di tempat tertutup dan berjaya dikawal sepenuhnya oleh pihak pertahanan awam.

Punca kejadian masih dalam siasatan, katanya. #sumber

Klik video di sini
Share:

Mat Sabu - PAS Parti Berbohong, Jejas Imej Perjuangan Islam !


PASIR MAS: Amanah percaya pendekatan “bohong” yang diamalkan pemimpin PAS akan menyebabkan parti pembangkang itu kehilangan kepercayaan anggotanya, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Katanya, beliau menyifatkan PAS sebagai parti yang tidak boleh dipercayai, yang boleh menjejaskan imej perjuangan Islam.

“Terbukti PAS sebuah parti berbohong kerana mereka sendiri mengaku (berbohong) berhubung isu rakaman audio yang sebelum ini dinafikan.

“Malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan menerusi pertemuan (dengan PAS), PAS tidak menyokong calon Barisan Nasional (dalam pilihan raya kecil Semenyih), namun pemimpin mereka hadir pada hari penamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan pejabat Amanah kawasan Pasir Mas di Kampung Jias, di sini, hari ini.

Mohamad yang juga menteri pertahanan berkata, beliau tidak mengetahui sejauh mana perbincangan Dr Mahathir dengan PAS dalam pertemuan antara perdana menteri dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, namun menurutnya apa yang dikatakan PAS hari ini, semuanya bersifat berbohong. #sumber
Share:

Mahkamah Persekutuan Arah PRK Semula Bagi DUN Rantau !


PUTRAJAYA: Pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Negeri Sembilan, susulan keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan penghakiman Mahkamah Khas Pilihan Raya pada November lalu.

Panel 5 hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum berkata, calon PKR, Dr Streram Sinnasamy mempunyai locus standi untuk memfailkan petisyen, walaupun beliau tidak boleh menyerahkan kertas pencalonan.

“Rayuan ditolak dengan kos dan kami berpendapat pilihan raya kecil perlu diadakan.

“Alasan bertulis akan dikemukakan kemudian,” katanya dalam kamar mahkamah dipenuhi orang ramai hari ini.

Panel diketuai Malanjum dan dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah, Datuk Rohana Yusuf, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin serta Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membayar kos RM20,000 kepada Streram.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN itu tidak sah dan terbatal, selepas Hakim, Datuk Azimah Omar membenarkan petisyen difailkan Streram.

Azimah dilaporkan berkata, pertandingan akan berlaku, jika Streram dibenarkan mengemukakan kertas pencalonannya pada 28 April 2018.

Katanya, ada bukti mencukupi menunjukkan Streram, pencadang dan penyokongnya dilarang memasuki pusat penamaan calon.

Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei 2018 bagi membatalkan keputusan SPR mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang DUN Rantau.

Katanya, beliau tidak pernah dimaklumkan SPR atau ejennya yang mereka memerlukan pas untuk memasuki pusat penamaan calon di Dewan Sri Rembau.


Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Mohamad sebelum ini berkata, petisyen Streram perlu ditolak kerana beliau bukan calon yang kalah dalam pilihan raya umum ke-14 lalu.

“Mahkamah perlu menentukan ketulenan pilihan raya dan memastikan pematuhan ketat terhadap peraturan.”

Bagaimanapun, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Streram membayar deposit pilihan raya dan tiba di pusat penamaan calon dengan pencadang serta penyokongnya.

“Pilihan raya bermula dari hari SPR mengeluarkan writ, bukannya selepas calon memfailkan kertas pencalonan mereka,” katanya sambil menambah keengganan pihak berkuasa membenarkan Streram memasuki pusat tanpa pas, melanggar hak perlembagaannya.

Mohamad kemudian memberitahu wartawan, beliau menerima keputusan mahkamah.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, beliau sudah membuat persiapan untuk PRK itu.

“Sekarang, kita perlu menunggu SPR mengumumkan tarikh pilihan raya kecil itu.”

Sementara itu, Streram gembira dengan keputusan hari ini dan menyuarakan kesediaan bertanding dalam PRK Rantau. #sumber
Share:

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Tertusuk Pisau Di Rumahnya !


PARIT BUNTAR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas tertusuk pisau di rumahnya tengah hari tadi.
Mangsa yang dikenali Nur Qaisarah Medina Sufian, dilaporkan tertusuk pisau pada bahagian perut di rumahnya di Kampung Teluk Pial Baroh, Kuala Kurau dekat sini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan katanya kes masih dalam siasatan. #sumber
Share:

Tidak Puas Hati Ops Sepadu, Pintu Pagar Sempadan Di Tutup !


ALOR SETAR - Keadaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam kecoh seketika akibat tindakan orang tengah atau runner yang menutup pintu pagar sempadan.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, runner berkenaan mahu menutup pintu pagar sempadan kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan pelaksanaan Ops Bersepadu yang dijalankan pihak berkuasa tempatan tetapi secara tidak sengaja tersilap menutup pintu pagar sempadan Malaysia.

"Kejadian berlaku pada pukul 10 pagi dan kekecohan lebih kurang 15 minit bagaimanapun terkawal kerana pihak kami bertindak segera selepas menerima laporan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Zuhair berkata, pihaknya percaya tindakan itu dilakukan oleh kira-kira dua suspek (runner), namun ketika pihak berkuasa menerima laporan berhubung kejadian tersebut, mereka dipercayai sudah melarikan diri.
Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan suspek-suspek itu untuk tindakan susulan. #sumber
Share:

Jaminan Bina Sejuta Unit Rumah Mampu Milik Dalam 10 Tahun


PUCHONG - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi jaminan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan membina sejuta unit rumah mampu milik dan rumah murah dalam masa 10 tahun.
Menurut beliau, walaupun kerajaan menghadapi pelbagai kekangan dalam melunaskan janji tersebut,  namun ia tetap akan dilaksanakan demi membantu golongan kurang berkemampuan terutama kumpulan B40, dengan kerjasama pihak swasta.
"Kerajaan tak mampu dirikan sejuta rumah dalam masa 10 tahun, perlu kerjasama dengan swasta. Hari ini kita lihat banyak pihak swasta sambut baik rancangan kita ini termasuk dalam susunan komuniti bagi memastikan ada perusahaan ditempatkan di kawasan komuniti yang akan dibina.
"Kita harap dengan adanya komuniti tersusun dan dilengkapi kelab yang boleh menjadi perantara untuk menyampaikan masalah penduduk setempat kepada wakil rakyat serta dilengkapi bengkel bagi membolehkan mereka terlibat dengan perniagaan, akan memajukan ekonomi komuniti setempat, " katanya pada pemberita selepas melancarkan Dasar Komuniti Negara (DKN) yang digubal Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menangani isu sosial perumahan di peringkat komuniti setempat, khususnya di kawasan berstrata kos rendah di seluruh negara.
Turut hadir isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin, beberapa menteri kabinet dan Menteri Besar Selangor Amiruddin Shaari.
Mahathir berkata, dasar itu juga menggalakkan penduduk di komuniti berkenaan terlibat dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan aspek pemasaran yang lebih tersusun.
"Kita mahu komuniti yang lebih tersusun dan lebih baik, itu hasrat kerajaan dan ramai pihak swasta yang sambut baik hasrat ini.
"Hasrat kita bina sejuta unit dalam 10 tahun mungkin ada lebih atau kurang (sasaran 100,000 rumah dibina dalam setahun) namun kita harap dalam 10 tahun, kita boleh bina ikut sasaran," jelasnya.
Harga bagi seunit rumah mampu milik ialah di bawah RM300,000 dan ditetapkan mengikut lokaliti. #sumber
Share:

Kebanyakan Al-Quran Dijual Dalam Talian Tiada Kelulusan KDN


KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memantau modus operandi tiga pihak yang menjual al-Quran secara dalam talian di negara ini, tanpa mendapat kelulusan kementerian.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Mohd. Nawardi Saad berkata, sebahagian besar naskah al-Quran yang dijual secara dalam talian datang dari negara-negara jiran yang didapati tidak memenuhi syarat dari segi standard percetakan di Malaysia.
"Siasatan kami mendapati penjual atau ejen terbabit membeli al-Quran ini dari negara jiran yang sebahagian besarnya tidak memohon lesen import dari KDN, menyebabkan ianya tidak dapat disemak oleh kami.
"Di Malaysia, percetakan naskah al-Quran kita adalah berdasarkan kepada sistem percetakan Arab Saudi, yang dipanggil Rasm Uthmani, tetapi negara tetangga kita mempunyai standard percetakan yang berbeza dan dari segi tanda 'waqaf' (tanda-tanda untuk menghentikan bacaan sebentar) dan 'ibtida' (tanda-tanda untuk menyambung semula bacaan) juga berbeza, daripada apa yang kita gunakan di sini," kata Mohd. Nawardi kepada Bernama.
Beliau menegaskan bahawa mereka yang menjual naskah al-Quran tanpa kelulusan KDN, boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 8(1)(d) Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.
Mohd. Nawardi berkata, pada masa ini, pihaknya masih belum membuat sebarang tangkapan, tetapi aktiviti pihak terbabit kini dalam pemerhatian bahagian itu, disamping mengumpulkan maklumat dan bukti sebelum mengambil sebarang tindakan. #sumber
Share:

Suspek Kes Bunuh Masitah Di Sambung Reman Seminggu Lagi


KUANTAN - Suspek kes bunuh Siti Masitah Ibrahim, 11, disambung reman sehingga 24 Februari depan, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan di sini hari ini.
"Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek telah di bacakan di Mahkamah Majistret Pekan (hari ini).
"Tempoh sambung reman yang di benarkan adalah selama tujuh hari mulai 18 Februari hingga 24 Februari," ujar Othman menerusi kenyataan.
Othman berkata demikian mengulas perkembangan siasatan kes pembunuhan Siti Masitah yang mayatnya dijumpai dalam keadaan menyayat hati pada minggu lalu.
Sabtu minggu lalu, mayat Siti Masitah ditemui di ladang kelapa sawit Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan dalam keadaan beberapa anggota badan termasuk kepalanya terpisah daripada tubuh.
Siti Masitah dilaporkan hilang kira-kira pukul 6.30 petang, 30 Januari lalu selepas dilihat keluar rumah menunggang basikal dan ibunya membuat laporan polis pada pukul 11 malam hari yang sama.
Susulan penemuan mayat itu, seorang lelaki Kemboja berusia 23 tahun ditahan polis pada pukul 2 pagi, 31 Januari lalu dan direman sehingga hari ini untuk disiasat .
Tempoh reman dilanjutkan selama tujuh hari lagi bermula esok bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.