script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Musim Panas, Paras Empat Empangan Di Pahang Masih Baik !


KUANTAN - Empat empangan di Pahang yang membekalkan sumber air masih berada dalam paras yang baik, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman. 

Beliau menambah empangan itu ialah Empangan Chereh di sini, Empangan Klau yang terletak di Raub dan dua empangan di Rompin iaitu Empangan Anak Endau dan Empangan Pontian. 

Merujuk kepada situasi di Kuantan, Norol Azali berkata setakat ini, muka sauk Kobat dan dua loji rawatan air iaitu Bukit Kenau dan Panching masih lagi menggunakan aliran semula jadi Sungai Kuantan sebagai sumber bekalan air. 

"Kita masih tidak melepaskan air dari Empangan Chereh kerana sumber air sungai boleh digunakan namun pemantauan dari semasa ke semasa dilakukan oleh jabatan terlibat mengenai kedudukan paras sungai. 

"Jika terdapat keperluan, perbincangan akan diadakan dengan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) bagi melepaskan air empangan," katanya kepada pemberita selepas meninjau Empangan Chereh di sini, semalam. #sumber
Share:

Seorang Pelajar Malaysia Di Temui Mati Di Hyde Park, London


KUALA LUMPUR - Seorang pelajar Malaysia di Imperial College London ditemukan mati di tasik di Serpentine, Hyde Park pada Isnin.

Menurut laporan Malay Mail, mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Hafiz, berdasarkan kad pelajar yang djumpai pada badan mangsa.

Mangsa juga merupakan anak kepada Pengarang Bersekutu Malay Mail Zainal Epi.

Pihak berkuasa mengklasifikasikan kematian sebagai ‘tidak jelas’ dan siasatan masih dijalankan. #sumber
Share:

Ustaz Di Buru Di Syaki Dera & Cabul Pelajar Tahfiz Di Kuantan


KUANTAN - Polis memburu seorang ustaz berusia 46 tahun bagi membantu siasatan berhubung dakwaan lelaki itu mendera dan mencium mulut pelajar lelaki di pusat tahfiz di sini pada pertengahan Mac baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, lelaki itu melarikan diri selepas mengetahui ibu salah seorang pelajar tahfiz yang berusia sembilan tahun tampil membuat laporan polis pada 17 Mac lalu.

Tambah beliau, laporan polis dibuat selepas anak wanita berusia 40 tahun itu memaklumkan sering dirotan, dicubit, ditampar serta dimaki dan dicium di bahagian mulut oleh suspek.

"Semasa ibunya hadir melawat di pusat tahfiz, pelajar itu telah menceritakan kerap didera sejak hari pertama masuk ke madrasah tersebut pada Februari lalu.

"Kejadian terbaru adalah pada 15 Mac yang mana anak pengadu telah dirotan termasuk di belakang badan, kaki, tangan dan dicubit," kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pusat tahfiz di madrasah berkenaan mempunyai 19 pelajar berusia lapan hingga 15 tahun dan dikendalikan seorang guru iaitu suspek.

Othman menambah, pemeriksaan ke atas tubuh dua pelajar berusia sembilan dan 11 tahun menemui beberapa kesan dipukul dengan rotan serta bekas cubitan.

"Berdasarkan keterangan mangsa, semua pelajar akan dipukul menggunakan rotan jika mereka membuat kesalahan.

"Suspek telah melarikan diri. Dia juga didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau di bawah Akta Kanak-Kanak 2001," kata beliau sambil memberitahu kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) akta yang sama. #sumber
Share:

Bekalan Air Di Tutup, Jumpa Mayat Di Dalam Kolam Simpanan


SEREMBAN - Bekalan air bersih ke kawasan Palong 12 hingga 16 dekat Jempol terpaksa ditutup sementara sejak semalam disebabkan penemuan satu mayat lelaki di dalam Kolam Palong 12.

Ketua Bahagian Perhubungan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains), Norzita Ismail berkata, pihaknya perlu membersihkan kolam penyimpanan air bersih tersebut sebelum air dapat dibekalkan semula kepada pengguna.


"Kami bertindak menutup operasi kolam penyimpanan air itu pada pukul 8 malam semalam sejurus menerima maklumat ada mayat dalam kolam itu.

"Kami perlu melakukan proses mengeluarkan air dan mencucinya beberapa kali dan kerja-kerja pembersihan dijangka siap malam ini," katanya ketika dihubungi  di sini hari ini.

Norzita berkata, kejadian itu dalam siasatan pihak polis, namun Sains menegaskan kolam simpanan air kendalian Sains adalah kawasan larangan dan berkunci.

Sementara itu, sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan memberitahu, operasi mengeluarkan mayat tersebut telah dilakukan pada pukul 11.26 pagi tadi.

Menurut sumber, seramai 10 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sri Jempol terlibat dalam operasi mengeluarkan mayat lelaki dipercayai berusia lingkungan 20-an tersebut. #sumber
Share:

Individu Bergelar 'Datuk' Seleweng Dana AIAC Di Dakwa Esok !


PUTRAJAYA – Seorang individu bergelar Datuk dan pernah berkhidmat dengan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Menurut sumber, lelaki berusia 63 tahun itu akan berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah dipercayai penyelewengan berkaitan pembelian buku. 

Difahamkan, terdapat penyelewengan dalam kelulusan pembelian buku tersebut dianggarkan bernilai kira-kira RM1.01 juta dari 2016 hingga 2018. 

“Kesalahan tersebut melibatkan kelulusan pembayaran pembelian (buku) menggunakan dana AIAC. 

"Buku-buku itu adalah tulisan suspek sendiri berkaitan perundangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Suspek telah meletakkan jawatan sebagai pegawai kanan di AIAC pada hujung tahun lalu selepas kes tersebut disiasat SPRM. 

Sebelum ini, suspek juga pernah ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung perbuatan menggunakan dana kerajaan untuk mendapatkan bantuan menteri bagi memanjangkan kontraknya sebagai pengarah di badan antarabangsa itu. 

Mahkamah Majistret Putrajaya di sini bagaimanapun menolak permohonan reman SPRM ke atas suspek dan mengarahkan lelaki itu dibebaskan. #sumber
Share:

Lelaki 'Bangla' Di Penjara 10 Tahun Toreh Muka Bekas Kekasih


PETALING JAYA - Perbuatan kejam seorang lelaki Bangladesh yang menoreh muka bekas kekasihnya berbalas selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd. Suah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Saidol Islam, 22, mengekalkan pengakuan bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Inggeris.

Hukuman penjara dijalankan dari tarikh dia ditangkap. Dia dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman itu.

Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah pada bahagian muka Nur Zawatie Zainal Abidin, 24, dengan menggunakan pisau di hadapan lif bawah tanah Tropicana City Mall pukul 6.30 petang, 7 Februari lalu.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy'ari Kamaruzaman manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Suraj Singh.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh pernah menjadi teman lelaki mangsa namun wanita itu terpaksa memutuskan hubungan itu kerana tidak tahan dengan sikapnya yang panas baran malah sering memukulnya.

Ketika kejadian, lelaki itu mengekori mangsa dari belakang dan bertindak mengeluarkan pisau berukuran sembilan inci sebelum mengelar muka wanita itu dari belakang.

Tertuduh kemudian melarikan diri sebelum mangsa yang kesakitan menghubungi rakannya bagi mendapatkan bantuan.

Mangsa dibawa ke KPJ Damansara sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat pendarahan teruk di mukanya.

Akibat kejadian itu, mangsa yang masih lagi dirawat sehingga kini menerima 50 jahitan akibat koyakan pada pipi kanan sehingga kiri muka melalui atas bibir. #sumber
Share:

Dakwaan Lynas Boleh Akibatkan Insiden Di Johor Tidak Berasas


KUANTAN -  Tiada sebarang asas untuk membuat dakwaan bahawa Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, akan mengakibatkan insiden pencemaran seperti di Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, untuk berlaku di sini, kata Pengurus Besar Keselamatan Radiologi LAMP Prof Dr Ismail Bahari.

Selain itu, katanya, tidak adil juga untuk menyamakan Lynas dengan pelaku di sebalik insiden Sungai Kim Kim kerana Lynas beroperasi di bawah pemerhatian pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

"Lynas dipantau sejak hari pertama kami beroperasi dan sehingga hari ini, tiada satu insiden pun yang menimbulkan cemas seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim. Kami mematuhi peraturan seperti yang sepatutnya. #sumber
Share:

JKM: Bayi Di Temui Dalam Kotak Di Teluk Chempedak Stabil !



KUANTAN - Bayi lelaki yang ditinggalkan di tepi surau Teluk Chempedak di sini semalam, dilaporkan berada dalam keadaan stabil, kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang Zulkhairi Zainol Abidin.

Beliau berkata, bayi yang masih belum diberi nama itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini bagi tujuan pemantauan.

"Bayi seberat 1.47 kilogram itu dianggarkan dilahirkan pada usia 34 minggu dan akan ditempatkan di institusi JKM apabila dibenarkan keluar dari hospital," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan penemuan bayi berbalut tuala yang ditinggalkan di dalam kotak beralaskan kain batik oleh seorang penjaga tandas di pantai peranginan itu Zahida Abd Rashid, 45, pada pukul 10 pagi.

Bayi yang cukup sifat itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam dan ditemui dalam keadaan bersih dengan hanya sedikit tompokan darah di sekitar tali pusatnya. #sumber


Share:

Kilang Lynas Di Gebeng Simpan 1.2 Juta Tan Sisa Berjadual ?


KUANTAN - Memasuki usia tujuh tahun, operasi kilang Lynas Malaysia Sdn Bhd yang memproses nadir bumi di Pusat Perindustrian Gebeng, dekat sini, sekali lagi menimbulkan tanda tanya aktivis anti Lynas.


Penasihat Undang Undang Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Hon Kai Ping berkata, antaranya penyimpanan jumlah sisa berjadual yang meningkat sehingga melebihi satu juta tan di loji Lynas.

Menurutnya, sedangkan di bawah Peraturan Buangan Berjadual 2005 Akta Kualiti Alam Sekitar (Environmental Quality Act (EQA), tidak lebih daripada 20 tan sisa boleh disimpan di tapak selama lebih daripada 180 hari.


"Tetapi di Gebeng, jumlah ini sudah mencapai 1.2 juta tan iaitu melebihi 60,000 kali ganda berbanding jumlah yang dibenarkan? Bagaimana ia boleh berlaku? Peraturan sudah jelas tetapi mengapa tidak ada penguatkuasaan?

"Jika ada pindaan atau tambahan dibuat dalam peraturan tersebut, persoalannya kenapa begitu ketara perbezaan jumlah tan yang dibenarkan?

"Pada awal benarkan cuma 20,000 tan namun kini sehingga 1.2 juta tan pun masih dibenarkan di bawah peraturan? Mengapa? " Katanya dalam sidang media oleh aktivis Anti Lynas, SMSL di Pusat Komuniti Dun Semambu di sini.

Hadir sama, Penasihat Teknikal SMSL, Jade Lee dan ADUN Semambu, Lee Chean Chung.
Sementara itu, Chean Chung berkata orang ramai dijemput untuk meneliti Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang kini terdapat di Pusat Komuniti DUN Semambu bagi mengetahui dan memahami lebih jelas mengenai impak alam sekitar projek itu.
Menurutnya, tempoh sehingga 6 April diberikan untuk orang ramai mengemukakan maklum balas mengenainya.

"Jika RM10 juta diperlukan untuk membersihkan Sungai Kim Kim, berapa diperlukan Malaysia untuk membersihkan sisa Lynas berjumlah lebih 1 juta tan ini sekiranya ia benar benar merisikokan penduduk Kuantan? Siapa akan bayar?.

"Ini bukan semata-mata isu penduduk Kuantan. Ia tentang kesihatan dan persekitaran orang ramai yang perlu dipandang serius," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Keselamatan/Pengurusan Radiasi, Lynas Advance Materials Plant (LAMP) Profesor Dr Ismail Bahari berkata, adalah tidak adil untuk membandingkan residu Lynas dengan pencemaran di Sungai Kim Kim, Johor.

Menurutnya, kilang pengeluar bahan nadir bumi itu telah dipantau dari hari pertama ia beroperasi pada 2012 dan tidak pernah ada satu kejadian yang menyebabkan sebarang risiko berlaku kepada umum. #sumber


Share:

Kerabat Diraja Lemas Semasa Menyelam Di Pulau Perhentian !


BESUT – Seorang wanita difahamkan dari kalangan kerabat diraja lemas ketika melakukan aktiviti menyelam skuba di Pulau Perhentian petang semalam.


Wanita yang berumur 61 tahun itu dilapor meninggal dunia kira-kira 5.15 petang oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian setelah dibawa oleh beberapa rakannya selepas mendapati wanita itu tidak sedarkan diri.

Menurut sumber mangsa sebelum itu menyelam di Teluk Dalam Pasir Hantu di pulau berkenaan pada kedalaman 19 meter bersama lapan penyelam lain kira-kira pukul 4.15 petang.

Namun tangki udara yang digunakan mangsa mengalami masalah dan kemudiannya mangsa serta rakannya bertindak untuk naik ke permukaan air.

Pada paras kedalaman 15 meter, mangsa dilapor sempat menunjukkan isyarat tangan tanda 'ok’ dan terus menyelam tetapi beberapa saat kemudian mangsa dilihat lemah hingga diberi bantuan pernafasan (CPR).

Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya ada menerima laporan kejadian lemas tetapi enggan mengulas lanjut. #sumber
Share:

UMP - Beri Mahasiswa Peluang Bersuara, Nyatakan Pandangan


KUANTAN - Golongan mahasiswa seharusnya diberikan peluang untuk bersuara dan menyatakan pandangan mereka, kata Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim.

Beliau berkata peluang sama juga perlu diberikan kepada mahasiswa dalam melaksanakan hak mereka untuk kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.

"Ia adalah sebahagian daripada pengalaman kampus selain memastikan ekosistem yang holistik dapat diwujudkan di universiti supaya ia menjadi medan intelektual," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. #sumber
Share:

Fitnah: MP Kangar Buat Laporan Polis Terhadap Lokman Adam


KANGAR: Anggota Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad membuat laporan polis terhadap Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam yang didakwa memfitnahnya berhubung kes anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Noor Amin berkata Lokman melalui laman Facebooknya semalam memfitnahnya konon beliau mengugut seorang jururawat yang bertugas di Institut Jantung Negara (IJN) dikenali sebagai Cik Miera, yang mendedahkan keadaan sebenar Muhammad Adib.

Individu yang dikenali sebagai Miera itu mendakwa anggota bomba itu sebenarnya dipukul, sekali gus menafikan keterangan pakar forensik dalam inkues yang menyatakan kecederaan dialaminya tidak menunjukkan seperti arwah dipukul. #sumber
Share:

Ronald Kiandee Bidas Kenyataan Lompat Parti Tak Bermaruah !


KUALA LUMPUR - Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee hari ini membidas dakwaan Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyifatkan anggota parlimen melompat parti sebagai tidak bermaruah dan tiada pegangan.

Menganggap dakwaan yang dikeluarkan itu hanyalah bersifat politik, Kiandee berkata Bung Moktar sebenarnya telah maklum akan sejarah UMNO di Sabah yang terbentuk hasil daripada mereka yang turut beralih parti.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang dipimpin UMNO pada 1994, adalah mewarisi daripada mereka yang beralih parti daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) kepada UMNO dan menyokong BN sehingga terbentuk Kerajaan UMNO-BN pada 1994. #sumber
Share:

Panas Berpanjangan, Sungai Pahang Semakin Kering & Cetek



CHENOR - Merentasi hampir semua daerah di Pahang, sehingga ke Kuala Pahang, peranan Sungai Pahang cukup besar dalam kehidupan penduduk sekelilingnya.


Sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia dan ketiga di negara ini terbentuk hasil penyatuan dua sungai utama iaitu Sungai Jelai dan Sungai Tembeling dilihat semakin ‘sakit’ apabila kekeringan setiap kali negara dilanda fenomena cuaca panas melampau.

Timbul persoalan, adakah mampu sungai ini untuk terus berbakti kepada penduduk sekeliling? Berupayakah ia kekal menjadi sumber bekalan air, jalan pengangkutan penduduk sekitar, perikanan, rekreasi dan lokasi pelancongan?


Melihat kepada situasi semasa Sungai Pahang di Kampung Sungai Pesagi, Chenor, kemampuan sungai itu untuk terus berbakti kepada manusia diramal semakin terbatas.

Keadaan sungai yang kering, cetek dan muncul beting-beting pasir sepanjang lebih 3.1 kilometer di kampung itu yang tular di media sosial sehari dua ini telah menimbulkan pelbagai tanggapan dan perasaan.
Tinjauan  semalam mendapati, keadaan itu berlaku sejak awal tahun ini akibat fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara.

Dengan suhu mencatatkan 35 darjah celsius semalam, tiada lagi air sungai mengalir laju sebaliknya beting-beting pasir muncul menghiasi permukaan sungai.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pesagi, Abd Rahim Yaakob ketika ditemui Sinar Harian berkata, situasi itu adalah perkara biasa dan pernah berlaku sebelum ini namun kali ini kesannya amat ketara.

“Tetapi, ia (sungai kering) bukan berlaku di keseluruhan kawasan kampung ini dan ia tidak menjejaskan sebarang kegiatan atau aktiviti penduduk kerana segala urusan berjalan macam biasa, yang terjejas adalah penangkap ikan sungai dan pengusaha sangkar ikan. Ini selalu berlaku setiap kali musim panas,” katanya.

Abd Rahim berkata, bila situasi ini berlaku, kawasan sungai kerap menjadi tumpuan orang ramai yang mengambil peluang sungai cetek untuk mengutip etak.

“Kena hati-hati sebab setakat ini sudah ada dua kes mereka yang nyaris lemas kerana terjerlus pasir ketika mengutip etak,” katanya.

Penduduk kampung, Abdul Jabar Osman, 65, ketika ditemui mengakui situasi tahun ini diakui paling teruk berbanding sebelum ini.

“Kali ini musim panas memang terasa bahangnya, tapi aktiviti tetap berjalan macam biasa, tak terjejas,” katanya.

Sementara itu bagi Mohd Yusof Ismail, 55, kewujudan beting pasir itu menjadi lokasi beristirahat buatnya pada waktu malam.

“Malam-malam saya akan datang ke beting pasir, sebab angin kuat dan suhunya sejuk. Seronok dapat berehat kurangkan tekanan,” katanya. #sumber


Share:

Polis Bera Tahan Remaja Di Syaki Suspek Empat Kesalahan


KUANTAN - Polis menahan seorang remaja lelaki hari ini, yang disyaki menyamun, membawa lari dan melakukan jenayah seksual terhadap seorang remaja perempuan serta terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan seorang lelaki maut.

Ketua Polis Daerah Bera DSP Mansor Samsudin berkata suspek yang berusia 16 tahun itu ditahan di ladang kelapa sawit sekitar Taman Merbau dan Kampung Menteri di Bera dekat sini, pada 3 petang, iaitu beberapa jam selepas dia dipercayai melakukan jenayah tersebut.

Katanya, suspek yang beralamat di Bera dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Triang, Bera pada 9 pagi dengan bersenjatakan pisau yang digunakan untuk menakutkan remaja perempuan berusia 14 tahun yang tinggal di situ.#sumber
Share:

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Saman Telekom Malaysia (TM)


KUALA LUMPUR - Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil tindakan undang-undang terhadap Telekom Malaysia (TM) dengan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, berhubung pelanggaran kontrak penajaan oleh syarikat telekomunikasi itu kerana gagal membuat pembayaran hak penajaan dan penyiaran untuk Liga Malaysia 2019.

MFL dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan tindakan undang-undang berkenaan diambil terhadap TM demi melindungi kepentingan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

"Jumlah dituntut oleh kami terhadap TM di bawah kontrak penajaan bersama adalah melebihi RM400 juta dan saman tersebut juga disampaikan kepada peguam cara TM pada hari ini.

"Memandangkan perkara ini dirujuk kepada proses undang-undang, kami tidak akan memberi sebarang komen lanjut terhadap perkara ini dan menyerahkan pertikaian ini untuk diputuskan di mahkamah," jelas MFL. 

Kedua-dua pihak dilaporkan menandatangani perjanjian untuk tempoh lapan tahun bermula dari Januari 2018 sehingga 2025.

TM, bagaimanapun didakwa mencadangkan terma-terma baharu termasuk perubahan kepada terma asas yang dipersetujui bersama sehingga wujud perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak.

Untuk rekod, MFL pada Jumaat lepas, dilaporkan mengambil keputusan menamatkan kontrak penajaan bersama TM, selepas mencapai kata sepakat dalam satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah di Johor Bahru. #sumber
Share:

Kemalangan Di Lapangan Terbang Subang Masih Lagi Di Siasat


PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata apa-apa kesimpulan mengenai kemalangan di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS) sekarang ini adalah “terlalu awal”.

Menjawab kenyataan ahli perniagaan, Vincent Tan kepada media mengenai kemalangan yang berlaku pada Isnin, MAHB menegaskan siasatan sedang dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan polis.

“Apa-apa kesimpulan pada tahap ini adalah terlalu awal dan kami menggesa media dan orang ramai supaya tidak membuat apa-apa spekulasi sehingga siasatan pihak berkuasa selesai sepenuhnya,” kata MAHB.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya hari ini menyalahkan pihak berkuasa lapangan terbang selepas seorang kakitangan MAHB, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, cedera parah kerana terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pesawat persendirian.

Vincent mengesahkan pesawat Berjaya Air terlibat dalam kemalangan itu, tetapi berkata juruterbangnya mendapat kebenaran daripada menara kawalan sebelum mendarat.

Katanya, pihak berkuasa lapangan terbang sepatutnya memberi amaran kepada pesawatnya bahawa kerja-kerja penyelenggaraan sedang dijalankan di landasan itu.

Ruzaimi menghembuskan nafas terakhir Selasa lepas semasa dirawat di sebuah hospital swasta.

Kementerian Pengangkutan berkata siasatan AAIB dijangka siap dalam masa sebulan. #sumber
Share:

Guan Eng: RM4 Bilion GST Di Pulangkan Sehingga 3 Mac 2019


KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah pulangkan RM4 bilion kepada 54,603 pembayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sehingga 3 Mac lalu.

Bayaran balik cukai pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri pula mencecah RM3.9 bilion setakat 28 Februari lalu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, jumlah pulangan cukai pendapatan tersebut melibatkan 75,776 tuntutan yang merangkumi 38,104 kes syarikat dan 37,672 kes bukan syarikat.

“Pembayaran balik cukai-cukai ini menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan tidak menyelewengkan pulangan dividen daripada Petronas serta ikhlas menunaikan janji pemulangan tunggakan pembayaran balik cukai kepada rakyat dan syarikat Malaysia.

“Sebaliknya, tindakan ini akan memberi impak positif kepada perniagaan Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” kata Lim di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab kepada Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) mengenai jumlah tuntutan balik GST yang masih belum dapat dijelaskan oleh kerajaan.

Di antara Januari dan 28 Februari lalu, dividen khas RM8 bilion diterima daripada Petronas dan RM7.9 bilion dibayar balik kepada pembayar GST dan cukai pendapatan.

Pada pembentangan Belanjawan 2019, Kementerian Kewangan mengumumkan Petronas akan beri dividen khas RM30 bilion kepada kerajaan untuk digunakan dalam pembayaran tunggakan bayaran balik GST dan cukai pendapatan yang dianggarkan berjumlah RM37 bilion tahun ini.

Tunggakan pembayaran balik cukai pendapatan selama 6 tahun dan GST selama 3 tahun berjumlah RM37 bilion merupakan kegagalan pengurusan kewangan negara oleh kerajaan sebelum ini.

Sementara itu, jumlah tuntutan bayaran balik GST yang masih belum selesai adalah RM22.145 bilion yang melibatkan 298,457 penyata dan 168,839 pendaftar setakat 4 Mac lalu.

Beliau berkata, amaun tuntutan bagi 100 syarikat tertinggi yang masih belum dibayar dan disahkan untuk pembayaran adalah RM9.36 bilion, melibatkan 1,028 penyata.

“Semua tunggakan bayaran balik GST akan dipulangkan sepenuhnya seperti diumumkan, tertakluk kepada tuntutan oleh syarikat, adalah teratur dan mengikut peraturan semasa yang ditetapkan,” tambahnya.

Tunggakan bayaran balik GST sehingga 31 Mei 2018 adalah RM19.4 bilion, melibatkan lebih 120,000 pendaftar.

“Pada Ogos 2018, JKDM telah menetapkan RM19.4 bilion sebagai amaun yang melalui pelbagai proses verifikasi, tapisan dan semakan dalaman untuk pembayaran balik.

“Hanya kerana wang yang tidak mencukupi dalam Tabung Amanah Bayaran Balik GST yang menyebabkan jumlah ini tidak diluluskan dan dipamerkan dalam laman web JKDM agar langkah terakhir pembayaran tidak dilaksanakan.

“Sekiranya terdapat wang yang mencukupi, tentu jumlah tersebut akan diluluskan dan dipamerkan. JKDM kemudiannya akan mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk membuat pembayaran balik,” kata Lim. #sumber
Share:

SPR: Daftar Pengundi Secara Automatik Tak Semudah Didakwa


KUALA LUMPUR: Pendaftaran pengundi automatik mengambil masa kerana ia tidak semudah seperti yang didakwa, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Harun.

Beliau berkata, pendaftaran pengundi secara automatik memang ada dalam perancangan badan itu.

Bagaimanapun katanya, ia tidak semudah seperti yang didakwa oleh Jabatan Pendaftaran Negara, iaitu apabila seseorang mencapai umur 21 tahun, dia boleh didaftarkan sebagai pengundi secara automatik.

Beliau menjawab pertanyaan seorang peserta forum mengenai pembiayaan politik anjura Transparency International Malaysia di sini, hari ini,

Azhar berkata, Perlembagaan Persekutuan membenarkan seseorang membuang undi di tempat di mana beliau mula-mula mendaftar sebagai pengundi walaupun beliau mungkin tinggal di tempat lain.

“Itu adalah hak perlembagaan kita. Jika kita melaksanakan pendaftaran automatik, maka keadaan itu perlu diubah kerana pada waktu itu anda akan mengundi di tempat tinggal yang tercatat dalam kad pengenalan,” katanya.

Ini, katanya, akan menyaksikan lebih banyak kerusi di Kuala Lumpur dan Selangor dan merupakan antara isu yang perlu dikaji dengan lebih teliti.

Menurutnya lagi, proses pendaftaran automatik akan mengambil masa, dan SPR akan berusaha mengemukakan penyelesaian yang adil dan saksama.

Dilaporkan sebelum ini, banyak parti politik, sama ada yang mewakili kerajaan atau pembangkang, bersetuju dilaksanakan kaedah pendaftaran pengundi automatik berikutan pertemuan tertutup antara SPR dengan wakil 30 parti politik berhubung isu pendaftaran pengundi. #sumber
Share:

Annuar: 30 Bekas MP, Wakil Rakyat UMNO Akan Terima Saman


KUALA LUMPUR: Semua bekas ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang meninggalkan parti itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), akan menerima notis saman dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata pihaknya akan menghantar senarai penuh nama mereka kepada firma guaman dilantik parti itu, esok.

Katanya, ia sekali gus menafikan laporan portal berita baru-baru ini yang memetik sumber mendakwa UMNO tidak akan meneruskan tindakan saman terhadap bekas wakil rakyatnya yang meninggalkan parti itu selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada PRU-14.

“Laporan itu tidak benar. Saya boleh sahkan hari ini, semua ADUN dan ahli Parlimen yang meninggalkan parti bakal mendapat notis saman.

“Semuanya ada kira-kira 30 orang, 20 di Sabah dan 10 lagi dari Semenanjung. Ada beberapa di Johor, Kedah dan Perak, tidak ada yang terkecuali.

“Satu firma peguam sudah dilantik dan saya akan menulis surat kepada mereka esok dengan memberikan senarai nama penuh semua ahli Parlimen dan ADUN yang melompat keluar untuk didakwa oleh UMNO,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan sebuah portal bahawa UMNO memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan saman terhadap bekas ahli Parlimen dan ADUN yang meninggalkan parti itu selepas PRU-14.

Laporan itu mendakwa, keputusan berkenaan diputuskan kerana UMNO enggan menanggung kos perundangan yang tinggi, selain mahu fokus kepada pengukuhan parti.

Sebelum ini, media melaporkan dua bekas Ahli Parlimen UMNO yang meninggalkan parti itu iaitu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, sudah diberikan writ saman. #sumber
Share:

Hadi: PAS, UMNO Umpama 'Adik-Beradik', Tak Akan 'Berkahwin'


KUALA LUMPUR: PAS dan UMNO tidak akan ‘berkahwin’ kerana kerjasama kedua-dua parti itu umpama ikatan adik-beradik yang diharamkan melangsungkan perkahwinan.

Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang, berkata penggabungan PAS dan UMNO adalah ‘haram’ umpama perbuatan sumbang mahram antara adik-beradik yang bertentangan dengan hukum syarak mengikut ajaran Islam.

“Macam-macam khabar angin dan ungkapan dilabelkan kepada kerjasama PAS dan UMNO seperti ‘PAS nak kahwin dengan UMNO’.

“Sebenarnya kerjasama PAS dan UMNO umpama adik-beradik macam mana nak berkahwin? Kalau perkahwinan berlaku maka ia ibarat perbuatan sumbang mahram antara adik-beradik,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan orang ramai mengenai dakwaan kononnya PAS akan membentuk gabungan pakatan pembangkang baharu bersama UMNO dan parti komponen BN lain termasuk MIC dan MCA untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sempena program Wacana Islam dan Isu Semasa bertajuk Kesatuan Umat Islam di Malaysia: Prospek dan Cabaran anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Yang Dipertua (YDP) PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir dan timbalannya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Ditanya mengenai pendedahan dibuat PAS berhubung kemungkinan ada pihak tertentu dalam Pakatan Harapan (PH) akan mengemukakan undi tidak percaya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat, tidak lama lagi, Abdul Hadi menjelaskan ia bukan idea PAS sebaliknya oleh individu tertentu yang mahu merebut jawatan Perdana Menteri.

“Yang nak buat undi tidak percaya bukannya wakil rakyat PAS tetapi orang lain kerana berlaku pertembungan dalam PH yang mahu merebut jawatan Perdana Menteri.

“Kita tidak pernah sebut (bercita-cita) mahu menjadi Perdana Menteri, sebaliknya PAS akan menyokong mana-mana pemimpin dalam kalangan orang Islam yang memegang jawatan Perdana Menteri.

“Kita akan menyokong sesiapa saja mahu menjadi Perdana Menteri dengan syarat mereka mahu melaksanakan ajaran Islam sebaik mungkin tanpa mengira daripada parti mana.

“Kita juga mengambil kira perkembangan mutakhir dan siapa yang lebih aslaf (berpihak) kepada umat Islam dan membawa kemakmuran kepada negara. Soal siapa yang bakal kita pilih tunggu masa dan ketikanya akan tiba,” katanya.

Mengulas lanjut, Hadi berkata, biarpun kerajaan sekarang dikuasai PH, orang Melayu/Islam masih memegang kuasa politik jika mereka bersatu kerana secara keseluruhannya terdapat 130 kerusi Parlimen dimenangi mereka dalam PRU-14.

“Saya percaya orang Melayu Islam masih mempunyai kuasa penentu hala tuju politik jika mereka bersatu hati kerana kita masih dominan dan menjadi majoriti di ahli parlimen sekarang,” katanya. #sumber
Share:

Fenomena Cuaca Panas, Agong Nasihat Rakyat Jaga Kesihatan


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa kebimbangan dengan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Justeru, baginda menasihatkan rakyat terutama kanak-kanak dan warga tua supaya sentiasa dipantau kerana mudah terkesan dengan peningkatan suhu cuaca.

“Peningkatan suhu akibat kombinasi faktor termasuk kekurangan awan dan kadar hujan yang rendah di penghujung monsun timur laut menyebabkan keadaan kering di negara ini.

“Seri Paduka menasihatkan rakyat Malaysia supaya berwaspada dan berhati-hati dengan cuaca panas yang melanda negara,” kata kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, di sini, hari ini.

Baginda turut melarang sebarang kegiatan pembakaran terbuka selain berharap rakyat akan menjaga diri masing-masing serta insan tersayang sepanjang fenomena ini.

BH sebelum ini melaporkan fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat Semenanjung dan Sabah dijangka berterusan hingga hujung Mac ini.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata cuaca panas ketika ini adalah fenomena biasa yang melanda negara berikutan penghujung monsun timur laut. #sumber
Share:

Fuziah: Tabung Haji "Yakin" Kembalikan Keyakinan Pendeposit


KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) yakin dapat mengembalikan keyakinan pendeposit untuk terus mempercayai badan itu selaku pemegang amanah bagi mengurus dan menjamin simpanan serta pelaburan mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata menerusi pelan pemulihan komprehensif dan barisan pengurusan terbaru, TH optimis dapat kembali kepada landasan sebenar.

Beliau berkata TH kini sentiasa mengaplikasikan dua perkara mengikut akta iaitu tidak melanggar undang-undang dan memastikan tidak berlaku kelemahan dalam pengurusan kewangan demi mendapatkan keuntungan.

“Apabila kami letak di bawah seliaan Bank Negara jadi adalah pengawalan risiko di situ. Ini memastikan dapat mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap Tabung Haji supaya berada di landasan cukup terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (saluran Astro 502) di Wisma Bernama malam tadi.

Selain itu, Fuziah berkata penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) juga diyakini dapat memulih dan memaksimumkan pemulihan aset yang tidak menunjukkan prestasi serta dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sejak 1 Jan lepas.

“Dalam pelaburan akan datang, kawal selia dari BNM dan BNM akan lihat pada risiko, dan risiko akan dilihat oleh Tabung Haji sendiri iaitu pengurusan yang baharu akan melihat kepada perkara ini...jadi insya-Allah tak akan berlaku keadaan yang Tabung Haji akan melabur dalam syarikat yang tidak menguntungkan,” katanya.

Justeru, beliau berharap rakyat khususnya pendeposit terus menyandarkan keyakinan tinggi kepada barisan pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarah TH untuk menggerakkan agenda pemulihan seperti dirangka.

Isnin lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa memberitahu Dewan Rakyat bahawa TH berjaya meningkatkan jumlah aset sebanyak RM76.5 bilion berbanding nilai tanggungan dan deposit RM75.5 bilion pada tahun 2018 menerusi pelan pemulihan dan penstrukturan semula. #sumber
Share:

Isu Air: Penduduk Felda Chini Buat Solat Istisqa' Mohon Hujan !


PEKAN: Lebih 700 penduduk daripada lapan gugusan Felda di sekitar kawasan Chini hari ini mengambil insiatif menunaikan solat istisqa’ di Padang Awam Felda Chini 4, di sini bagi memohon kepada Allah SWT supaya menurunkan hujan bagi mengatasi masalah kemarau yang sedang melanda negara.

Solat sunat itu diimamkan oleh Imam Besar Masjid Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Abdul Haris Abdul Karim.

Abdul Haris , 47, berkata solat sunat ini adalah sebagai ikhtiar kita bagi memohon supaya hujan turun dan memulihkan bekalan air di kawasan ini yang di catu dan tidak menentu. #sumber
Share:

Ahmad Faizal Azumu Tidak Lepas Jawatan Menteri Besar Perak


IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak akan melepaskan jawatan beliau walaupun berdepan dengan pelbagai kritikan dan tekanan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang itu yang juga dikenali dengan panggilan Peja berkata beliau akan terus menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai sebagai menteri besar sebaik mungkin.

"Ini tanggungjawab saya, semasa angkat sumpah (jawatan) apa yang saya cakap adalah dari hati saya. I am not throwing in the towel. (Saya belum mahu berhenti lagi)

"Kalau esok saya dijatuhkan, saya masih OK. Saya masih Peja (panggilan mesra) yang sama, serve rakyat (berkhidmat kepada rakyat) dengan cara tersendiri, masih ADUN Chenderiang dan Anggota Parlimen Tambun," katanya. #sumber
Share:

Saman UMNO Berhubung Sitaan Wang RM116.7 Juta Dibatalkan


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan hari ini berjaya membatalkan saman difailkan UMNO berhubung tuntutan RM116.7 juta milik parti berkenaan yang disita oleh polis di sebuah premis di Pavilion Residences, Mei tahun lepas.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad membenarkan permohonan kesemua defendan untuk membatalkan saman UMNO selaku plaintif di dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy dan peguam Datuk Hariharan Tara Singh bertindak bagi pihak UMNO.

Narkunavathy ketika ditemui pemberita berkata permohonan kesemua anak guamnya dibenarkan atas alasan saman berkenaan bersifat remeh, menyalahgunakan proses mahkamah dan bersifat melampau. #sumber
Share:

Mahkamah: Perbicaraan Kes SRC International Najib Ditangguh


PUTRAJAYA: Perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan pertuduhan jenayah membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, belum dapat diteruskan.

Ini ekoran keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan itu bagi menunggu rayuannya mengenai perkara-perkara interlokutori diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Perkara-perkara itu termasuk permohonan Najib untuk mendapatkan perintah sekatan terhadap media dan orang ramai daripada membincangkan merit kes jenayahnya, akses kepada dokumen siasatan termasuk keterangan saksi di peringkat praperbicaran dan mengenai penarikan balik sijil pemindahan kes oleh Peguam Negara yang ditolak panel hakim awal hari ini. #sumber
Share:

Peneroka: 'Jangan Tangguh Lagi Aktiviti Perlombongan Bauksit'


KUANTAN - “Jangan tangguh lagi aktiviti perlombongan bauksit,” desak seorang peneroka Felda Bukit Goh, Nik Abdul Majid Nik Sin,72, yang mewakili 219 peneroka yang memajukan tanah mereka bagi tujuan perlombongan bauksit.


Katanya, dia bersama peneroka lain sudah cukup terseksa dengan kehidupan tiga tahun kebelakangan ini kerana sumber pendapatan mereka tersekat akibat tempoh moratarium yang dilaksanakan sejak Januari 2016.

Menurut Nik Abdul Majid, dia mengharapkan kerajaan dapat membenarkan perlombongan bauksit dijalankan dengan segera bagi membolehkan tanah mereka dibangunkan menerusi penanaman semula sawit pada 2020.


“Kami dah cukup menderita. Kalau masih tangguh dari setahun ke setahun, sebulan ke sebulan, bagaimana Felda hendak buat penanaman semula kalau tanah kami yang mempunyai bauksit masih belum dilombong.

“Kami sudah tidak mempunyai pendapatan tetap untuk tanaman sawit dan bauksit. Malah wang belanja pun terpaksa diminta daripada anak-anak. Jadi kehidupannya itu ALLAH sahaja yang tahu macam mana,” katanya ketika ditemui di Felda Bukit Goh, semalam.

Awal bulan Mac lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dalam satu kenyataan media menegaskan aktiviti perlombongan di daerah ini tidak boleh terus bermula pada 1 April depan walaupun moratorium perlombongan dan pengeksportan bauksit berakhir 31 Mac ini.

Sebaliknya ia hanya boleh dijalankan semula selepas arahan moratorium pada Januari 2016 ditarik balik seperti termaktub dalam Akta Pembangunan Mineral 1994 selain semua pihak berkepentingan bersedia dan menguatkuasakan SOP bagi menjamin aktiviti perlombongan dilaksanakan secara mampan.

Menyentuh perkara itu, Nik Abdul Majid berkata, peneroka yang terlibat amat kecewa dengan kenyataan terbabit dan hanya menambahkan kesengsaraan mereka semua.
Jelasnya, terdapat tiga golongan yang terkesan akibat tempoh moratorium ini antaranya ladang yang belum ditimbus oleh pengusaha, tanah diusahakan tetapi peneroka masih belum mendapatkan bayaran dan individu yang memajukan tanahnya, tetapi tidak diusahakan lagi.
“Lebih 50 peneroka yang berdepan dengan bayaran tergantung, manakala 30 orang lagi pula tidak dapat membuat penanaman sawit disebabkan tanah masih belum ditimbus.

“Jadi sebab itu, kita mahu Kerajaan Pusat dan Persekutuan membenarkan aktiviti ini dijalakan selepas 31 Mac ini,” katanya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Bukit Goh, Jeffri Salim berkata, majoriti penduduk kecewa dengan pengumuman terbabit, sekali gus menambah kerisauan mereka semua.

Beliau berkata, penduduk di Bukit Goh, Bukit Kuantan dan sekitarnya berharap Kerajaan Pusat dan Pahang beri satu tempoh tetap bila perlombongan bauksit boleh bermula, bukannya berubah-ubah seperti sekarang ini.

“Saya akui peneroka yang terlibat amat tertekan dengan keadaan ini kerana ia melibatkan punca pendapatan mereka dan perkara itu sudah berlarutan hampir tiga tahun.

“Jadi saya berharap perlombongan ini dapat dimulakan sebelum Aidilfitri bagi membantu penduduk membuat persiapan dan memperbaiki kehidupan dengan pendapatan perlombongan bauksit di tanah masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Kami Anak Felda (KAF) Bukit Goh, Datuk Mohd Bakri Abdul Majid mahu kerajaan harus membuat keputusan segera dengan membenarkan semula kegiatan perlombongan bauksit.

Katanya, ini dengan mengambil kira kepentingan pemilik tanah yang sudah beberapa tahun hilang punca pendapatan akibat tempoh moratorium tersebut.

“Pemilik tanah kehilangan pendapatan selepas moratorium dikenakan.Kalau kita lihat kawasan itu boleh diibaratkan sebagai padang jarak padang terkukur yang tidak boleh diusahakan termasuk penanaman sawit.

“Kita juga berharap Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tampil untuk membela nasib pemilik tanah yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya tiada penyelesaian, pihaknya akan menemui Wan Rosdy untuk mengadakan sesi dialog bagi mendengar sendiri rintihan peneroka. #sumber


Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.