PUTRAJAYA - Kontrak perkhidmatan Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin ditamatkan berkuat kuasa 18 Jun lalu.
Kementerian Industri Utama dalam satu kenyataan berkata, dengan penamatan itu, pihak kementerian tidak lagi mempunyai apa-apa kaitan dengan Haziq Abdullah.
"Pihak kementerian tidak akan bertolak ansur dalam sebarang soal perilaku yang menjejaskan reputasi serta imej kementerian.
"Sehubungan itu, kementerian telah mengambil langkah menamatkan kontrak perkhidmatan Haziq Abdullah berkuat kuasa pada 18 Jun lalu," katanya di sini hari ini.
Kementerian Industri Utama berkata, pihaknya memandang pengakuan Haziq Abdullah menerusi klip video di media sosial pada 12 Jun lalu sebagai satu pelanggaran nilai, etika dan Peraturan-peraturan Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa termasuk Perintah Am serta Perjanjian Kontrak.
"Surat tunjuk sebab telah diberikan dengan serta-merta dan Haziq Abdullah telah menjawabnya.
"Bagaimanapun pihak kementerian tidak berpuas hati dengan jawapan balas yang diberikan," katanya.
Shamsul Iskandar sebelum ini dilaporkan berkata, Haziq telah menghantar surat tunjuk sebab pada 14 Jun lalu dan pihak kementerian kini sedang meneliti surat tersebut.
Beliau berkata, antara jawapan yang dinyatakan Haziq dalam suratnya adalah dia mengalami kemurungan ekoran penularan video seks tersebut dan memerlukan masa untuk menghubungi kementerian.
Kosmo! sebelum ini, melaporkan Kementerian Industri Utama menggantung serta-merta Haziq daripada melaksanakan tugas-tugas rasmi secara serta-merta dan diarah menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari daripada tarikh 12 Jun.
Keputusan itu dibuat susulan pengakuannya dalam satu video di Facebook mendakwa dirinya merupakan individu dalam video intim yang dikaitkan dengan lelaki mirip Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas rakaman berkenaan tersebar di media sosial. #sumber
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak perlu bercuti sementara siasatan dijalankan berhubung video kontroversi yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.
Beliau berkata, mana-mana menteri hanya perlu bercuti sekiranya siasatan itu mempunyai kaitan dengan salah laku atau jenayah, bagaimanapun kes yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin adalah bermotifkan politik.
“Sebenarnya, ia bertujuan untuk memalukan beliau dan untuk mendesak beliau supaya bercuti. Saya tidak suka maklumat politik ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Mahathir berkata, siasatan berkaitan video itu akan diteruskan di mana Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR, tidak akan menimbulkan sebarang halangan.
Mohamed Azmin memberi kenyataan beliau kepada polis pada Isnin lepas berhubung video yang didakwa dikaitkan dengan dirinya.
Pada Rabu lepas, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan oleh seorang individu yang cuba mengaitkan beliau dengan video seks, dan menyifatkannya sebagai tuduhan jahat dan percubaan untuk memusnahkan reputasi dan dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan kerjaya politiknya. #sumber
PETALING JAYA- Ketua AMK Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz diberi tempoh selama 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab kepada Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) susulan pengakuannya terlibat dalam sebuah video lucah.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim berkata, perkara tersebut diputuskan selepas pihaknya bersidang pada Ahad lalu bagi membincangkan mengenai kes video lucah itu.
“Jadi, kami akan menyerahkan surat tersebut kepada Haziq esok susulan tindakannya yang mencemarkan nama parti menerusi kenyataan yang dibuat baru-baru ini.
“Lembaga Disiplin juga mengambil maklum penafian (terlibat dalam video lucah) Timbalan Presiden PKR (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan akan meneliti sebarang penyelarasan sekiranya ada,” katanya pada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik PKR sini hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Kassim menambah, pihaknya juga masih menunggu hasil siasatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan seterusnya.
“Kami juga mahu memberi amaran keras kepada semua ahli parti supaya tidak membuat sebarang kenyataan tanpa mempunyai asas dan fakta yang kukuh terhadap barisan kepimpinan parti,” ujarnya. #sumber
KUANTAN - Seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun bersama rakannya mengalami lebam di badan selepas dibelasah sekumpulan 12 lelaki semasa kejadian di hadapan restoran makanan segera dekat Sungai Isap, di sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Noor Yusuf Ali berkata, pergaduhan pada kira-kira pukul 1 pagi itu berpunca akibat salah faham melibatkan seorang perempuan yang merupakan bekas tunang mangsa.
“Beberapa jam sebelum kejadian itu, mangsa dihubungi oleh suspek yang memperkenalkan diri sebagai bapa saudara kepada bekas tunang mangsa dan dia ingin berjumpa dengan mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa yang ditemani rakannya menunggu di dalam sebuah kereta di parkir restoran tersebut sebelum mereka didatangi kira-kira 12 lelaki yang menaiki tiga buah kereta.
Ujar beliau lagi, mangsa terus ditumbuk di muka dan dibelasah sejurus memperkenalkan namanya kepada salah seorang suspek.
“Kumpulan suspek terbabit terus menyerang dan memukul mangsa serta rakannya sebelum dileraikan oleh orang awam,” tambah beliau.
Susulan kejadian itu, beliau berkata, polis menahan enam penganggur berusia 19 hingga 20 tahun yang disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Mohd. Noor menambah, ujian saringan air kencing semasa awal siasatan mendapati keenam-enam suspek tidak menagih dadah.
Beliau menambah, polis sedang mengesan beberapa lagi suspek lain yang terlibat dalam kejadian tersebut. #sumber
PETALING JAYA - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat ugutan yang diterima beliau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penulis sebuah manuskrip buku bertajuk ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mengesahkan beliau menerima ugutan dan diminta membayar RM400,000 jika enggan buku itu diterbitkan dan didedahkan kepada umum.
“Saya bagi polis habis siasat, sebab dia (penulis) ugut kalau tak bayar RM400,000, dia ‘publish’ (terbitkan buku itu),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Jamuan Malam Hari Raya anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-India (MIBC) di sini malam ini.
Anwar berkata, satu laporan polis telah dibuat Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah, Datuk Johari Abdul terhadap penulis berkenaan, yang dipercayai dibayar dan diupah untuk menghasilkan buku itu.
“Orang yang jadi penulis picisan ini dibayar, diupah dan (sudah tiba) masa untuk (penulis) diketahui oleh umum, disiasat dan diambil tindakan yang wajar,” katanya. #sumber
KUANTAN - Cik Puan Muda Pahang, Cik Puan Muda Julita Aishah Abdul Latiff mengalami kecederaan pinggang selepas kenderaan jenis Toyota Alphard dinaikinya terlibat kemalangan dengan sebuah lori jenis Isuzu di Kilometer 25 Jalan Kota Tinggi-Mersing dekat Mersing, Johor kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Sementara itu, pemandu lori tersebut, Masod Daud, 53, yang berasal dari Mersing mengalami kecederaan patah kaki kanan akibat kejadian tersebut.
Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan, Mohd. Shafiq Shahdan Mohd. Ali, 24, serta pembantu rumah yang merupakan warga Filipina pula tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing menerusi kenyataan berkata, kenderaan dinaiki Cik Puan Julita Aishah yang merupakan isteri Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah itu dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menuju Kuantan.
“Semasa tiba di tempat kejadian, dipercayai pemandu MPV telah memasuki laluan bertentangan lalu berlanggar dengan sebuah lori di bahagian sisi kanan.
“Pemandu lori telah dikejarkan ke Hospital Mersing.
“Cik Puan Muda Pahang serta pemandu dan pembantu rumahnya pula dikejarkan ke hospital di Kuantan (Hospital Tengku Ampuan Afzan),” kata beliau.
Ujar beliau lagi, kejadian tersebut disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #sumber
KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) mencatat sejarah apabila tersenarai antara universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings (WUR) 2020 yang diterbitkan oleh QS Quacquarelli Symonds (QS) baru-baru ini.
Sebagai salah satu universiti awam dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMP yang menerajui bidang kejuruteraan dan teknologi terus mencatat pencapaian terbaik sebagai universiti teknologi lima bintang apabila berada dalam kelompok 751-800 terbaik dunia.
Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, universiti itu sebelum ini berada pada kedudukan 188 terbaik di Asia dalam QS University Ranking Asia: 2019.
Menurutnya, penilaian itu dibuat berdasarkan enam kriteria penilaian iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi per fakulti, nisbah pelajar kepada fakulti, perkadaran pengantarabangsaan fakulti dan perkadaran pelajar antarabangsa.
“Bagi penarafan indikasi pengantarabangsaan fakulti menunjukkan UMP berada di kedudukan 360 terbaik dunia manakala prestasi baik dalam indikasi reputasi pula menunjukkan UMP berada di kedudukan 501 terbaik dunia.
“Pencapaian ini menyerlahkan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran di UMP yang sentiasa memberi fokus kepada pelbagai aspek teknikal dan teknologi.
“Pencapaian ini merupakan petunjuk yang baik bahawa pendekatan pengajaran dan penyelidikan di universiti ini diiktiraf dalam melahirkan graduan yang kompeten menepati kehendak industri serta mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya.
Profesor Ir Dr Wan Azhar berkata, instrumen penanda aras itu membolehkan UMP mengkaji dan memperbaiki pencapaian universiti dari pelbagai perspektif.
Menurutnya, UMP akan terus bergerak maju sebagai pemain global bagi mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan serta berada pada landasan terbaik sebagai universiti MTUN dalam memperkasa latihan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.
Kejayaan UMP itu turut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Melalui Facebook rasminya, Wan Rosdy mengucapkan tahniah kepada warga UMP kerana menjadi universiti teknikal pertama dalam kalangan universiti teknikal di negara yang tersenarai dalam QS World University Rankings (WUR) 2020. #sumber
SEREMBAN - Berdasarkan hukum Islam, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz sudah boleh dikenakan hukuman susulan pengakuannya terlibat dalam perlakuan seks sejenis.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, ia ekoran pengakuan itu dibuat diatas kerelaan bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama itu sendiri.
“Mengikut hukum Islam mensabitkan kesalahan melalui dua cara iaitu melalui keterangan saksi dan kedua melalui pengakuan. Apabila seseorang mengaku dia melakukan jenayah, maka sudah boleh dijatuhkan hukuman.
“Hukuman sama seperti zina. Jika masih bujang boleh dikenakan sebatan dan jika sudah berkahwin direjam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Restoran Nasi Kandar Liga Maju di sini hari ini.
Beliau ditanya pemberita mengenai satu rakaman video dipercayai Haziq Abdullah mengaku dia merupakan individu dalam video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Pada 13 Jun lalu, Haziq Abdullah digantung daripada melaksanakan tugas-tugas rasmi Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama dan diarahkan menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari disebabkan isu itu. #sumber
KUALA LANGAT - Orang ramai digesa supaya menghentikan segera penularan maklumat berkaitan kes pelajar menikam guru sekolah di Banting, Ahad lalu di semua aplikasi media sosial yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Pengerusi Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak Daerah Kuala Langat, Jefrizal Mohd Jaafar berkata, ini termasuk butiran laporan polis beserta gambar suspek di aplikasi WhatsApp dan Telegram, Facebook.
Katanya, suspek adalah seorang kanak-kanak di bawah umur 18 tahun seperti takrifan Akta Kanak-Kanak Pindaan 2018 dan sentiasa tertakluk kepada prosedur mahkamah terutama Mahkamah Juvana.
“Ini bermakna bahawa kanak-kanak ini adalah terlindung hak-haknya demi masa hadapan beliau yang masih panjang.
“Justeru, sekali lagi saya memohon agar warga netizen dapat menghentikan segera penularan butiran dan gambar kanak-kanak ini dan meletakkan tanggungjawab ini kepada pihak-pihak berwajib seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mahkamah Juvana dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menguruskannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Panel Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak Telok Datok menambah sebagai peringatan, menyebarkan butiran kanak-kanak ini juga boleh dianggap sebagai satu kesalahan seperti tertakluk dalam peruntukan akta yang berkaitan dengannya.
Kosmo! hari ini melaporkan seorang guru kaunseling parah selepas ditikam sebanyak tiga kali oleh seorang pelajar tingkatan lima yang berdendam dengannya dalam kejadian di sebuah sekolah berasrama di Banting di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 8.20 malam itu mengakibatkan Muhammad Hasnan Salim, 33, yang juga penolong warden asrama tersebut cedera pada bahunya akibat ditikam dengan sebilah pisau.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, suspek dikatakan berdendam dengan mangsa yang telah menetapkan peraturan terlalu ketat di sekolah dan asrama itu.
Katanya, selain itu, siasatan turut mendapati suspek juga gagal dalam beberapa subjek dalam peperiksaan yang diadakan sebelum cuti sekolah bulan lalu. #sumber
PUTRAJAYA - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin akan mencadangkan kepada kepimpinan tertinggi dalam Mesyuarat Biro Politik PKR petang ini untuk memecat keanggotaan Haziq Abdullah Abdul Aziz daripada parti.
Zuraida berkata, tindakan parti yang masih belum memecat Haziq sehingga kini disifatkan kurang bijak kerana Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu dianggap telah mencemar dan memalukan parti.
“Pada prinsipnya tindakan PKR itu sendiri kurang bijak apabila pelaku telah mengaku kesalahan yang dilakukannya secara terbuka.
“Sudah tentu kelakuan luar tabii adalah satu jenayah dalam negara jadi sepatutnya tindakan pecat harus diberikan kepada ahli parti (Haziq) kerana ia memalukan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Aplikasi Mobil i-Gadaian dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.
Sementara itu, Zuraida menyifatkan kenyataan beberapa pihak yang mendesak Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR untuk meletak jawatan berikutan penularan video seks itu juga sebagai konyol (kurang siuman).
“Saya memandang desakan Azmin letak jawatan sebagai cadangan yang konyol.
“Saya ingat orang yang buat kenyataan itu harus lebih waras, mereka yang berada di sebalik penyebaran video itu lebih baik fokus membantu membina negara,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan Mohamed Azmin memberi keterangan kepada polis pada Isnin lalu bagi membantu siasatan berhubung kes video seks yang dikaitkan dengan dirinya.
Beliau juga yakin penularan video seks itu adalah perbuatan ‘orang dalam’ untuk menjatuhkannya dan menyerahkan perkara itu kepada rakyat untuk menilai. #sumber
PETALING JAYA- Ketua AMK Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz diberi tempoh selama 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab kepada Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) susulan pengakuannya terlibat dalam sebuah video lucah.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim berkata, perkara tersebut diputuskan selepas pihaknya bersidang pada Ahad lalu bagi membincangkan mengenai kes video lucah itu.
“Jadi, kami akan menyerahkan surat tersebut kepada Haziq esok susulan tindakannya yang mencemarkan nama parti menerusi kenyataan yang dibuat baru-baru ini.
“Lembaga Disiplin juga mengambil maklum penafian (terlibat dalam video lucah) Timbalan Presiden PKR (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan akan meneliti sebarang penyelarasan sekiranya ada,” katanya pada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik PKR sini hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Kassim menambah, pihaknya juga masih menunggu hasil siasatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan seterusnya.
“Kami juga mahu memberi amaran keras kepada semua ahli parti supaya tidak membuat sebarang kenyataan tanpa mempunyai asas dan fakta yang kukuh terhadap barisan kepimpinan parti,” ujarnya. #sumber
ALOR SETAR - “Memang itu yang kami tunggu-tunggu, kami mahukan keadilan”.
Demikian kata Habibah Ismail, 70, ibu kepada ketua pramugari, Azrina Yakob, mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ketika ditemui di sini hari ini.
Ia susulan pendedahan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) diketuai Belanda yang menamakan tiga warga Rusia dan seorang Ukraine sebagai perancang utama dalam tragedi itu.
JIT pada sidang akhbar di Belanda memaklumkan empat suspek itu bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) daripada puak pemisah wilayah Donetsk ketika kejadian.
Keempat-empat suspek akan didakwa di Mahkamah Jenayah Belanda.
Kata Habibah, dia berharap semua yang menjadi punca kepada tragedi itu ditahan dan dihadapkan ke mahkamah dengan segera.
“Apa yang saya dan keluarga harapkan adalah semua pelaku itu dihadapkan ke mahkamah dan dibicarakan seterusnya dikenakan hukuman setimpal,” ujarnya.
Malah, katanya, arwah suaminya, Allahyarham Yakob Silamsudin, 75, yang meninggal dunia tiga tahun lalu juga pernah menyatakan harapannya untuk melihat pembunuh Azrina.
“Susulan pendedahan terkini itu, saya bersyukur akhirnya pelaku kepada tragedi itu sudah dikenal pasti.
“Apa yang saya dan keluarga mahu tahu adalah kenapa mereka sanggup berbuat demikian sehingga menyebabkan semua penumpang pesawat terkorban,” jelasnya.
Tambahnya, nahas itu tidak sepatutnya berlaku dan sesuatu yang tidak masuk akal.
“Walaupun kejadian sudah lama berlaku, namun ingatan saya terhadap Allahyarham Azrina masih kuat,” katanya.
Pesawat MAS itu yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di ruang udara timur Ukraine.
Kesemua 298 penumpang dan anak kapal terkorban. #sumber
ALOR SETAR - Seorang pemuda cedera parah pada lengan kiri akibat ditembak anggota polis trafik dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Langgar berhampiran Jalan Datuk Kumbar di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu berlaku ketika pemuda terbabit, Muhammad Alif Aiman Anuar, 21, membonceng motosikal jenis Sym ditunggang rakan lelakinya berusia lingkungan 20-an.
Ibu kepada pemuda itu, Hashimah Mahmood, 49, mendakwa, anaknya ditembak kerana rakannya enggan memberhentikan motosikal walaupun telah diarahkan berbuat demikian oleh anggota polis terbabit.
“Anak saya beritahu mereka dikejar anggota polis bermotosikal atas kesalahan melanggar lampu isyarat.
“Rakan anak enggan memberhentikan motosikal walaupun telah diminta anak kerana terlalu panik disebabkan tidak mempunyai lesen memandu,” dakwanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dakwanya, tembakan itu mengakibatkan anaknya terjatuh daripada motosikal dan anggota polis trafik kemudian menahan kedua-dua mereka dan membuat pemeriksaan ke atas beg tetapi tidak menemui barang salah.
“Anggota polis itu kemudian berlalu pergi dan anak saya yang dalam keadaan berlumuran darah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini oleh majikannya,” dakwanya.
Hashimah berkata, tindakan anggota polis itu tidak wajar kerana melepaskan tembakan hanya kerana motosikal dinaiki anaknya enggan berhenti.
“Tahan dan saman sahaja, bukannya melepaskan tembakan seperti anak saya melakukan jenayah berat,” katanya.
Tambahnya, kejadian berlaku ketika anak ketiga daripada lima beradik yang bekerja sebagai tukang paip itu dalam perjalanan untuk memasang paip di sebuah rumah berdekatan.
“Saya sedih mengenangkan nasib anak yang mungkin cacat akibat tembakan pada tangannya itu,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian. #sumber
TEMERLOH - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan bahawa siasatan berhubung sembilan syarikat yang membekalkan benih padi dilakukan segera bagi mengatasi masalah benih tidak berkualiti.
Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata isu tersebut tidak boleh lagi ditangani secara bertolak ansur kerana sudah berlarutan untuk tempoh masa panjang, selain untuk menjaga kebajikan pesawah untuk mendapat hasil yang baik.
Katanya, siasatan perkara itu dijalankan oleh pasukan khas yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Salim Parjan dan tindakan sewajarnya akan diambil selepas selesai.
"Kita kena tegas tidak boleh lagi bertolak ansur kerana lama sangat...sudah berpuluh tahun kita mendengar pesawah-pesawah menghadapi isu benih padi ini.
"Laporan akan sampai kepada saya dalam masa terdekat dan kita akan pastikan isu ini akan dikawal dengan semaksimum yang boleh pada masa akan datang," katanya.
Salahuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) di sini hari ini, yang dihadiri Pengerusinya Hamid Bahari.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Tahir yang juga Anggota Parlimen Temerloh, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Faiz Fadzil dan Ketua Pengarah LKIM Jamaludin Othman.
Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas laporan media baru-baru ini, berhubung keluhan pesawah yang mendakwa antara punca petani tidak memperoleh pendapatan yang baik ialah kerana benih padi yang dibekalkan tidak berkualiti.
Sementara itu, Salahuddin semasa melawat ladang buah tin di Janda Baik, Bentong berkata usahawantani khususnya anak muda harus kreatif, inovatif dan berani untuk menerokai bidang pertanian baharu, yang sebetulnya boleh mendatangkan pendapatan lumayan jika dilakukan dengan betul.
"Pertanian dengan teknologi baharu yang semakin canggih boleh meningkatkan pendapatan petani dan yang paling penting mesti dilakukan dengan bersungguh, mempunyai pelan dan rangkaian perniagaan yang cemerlang," katanya.
Beliau merujuk kepada usahawantani Mohamad Hafidz Arifin, 32, yang berani mengusahakan ladang buah tin di Janda Baik, walaupun buah itu tidak dikomersialkan secara besar-besaran di Malaysia, sedangkan mempunyai nilai pasaran antara RM80 hingga RM160 sekilogram, bergantung kepada jenis.
Salahuddin juga memberi akujanji bahawa kementerian dan agensi yang terlibat dalam bidang pertanian akan memberi bantuan termasuk khidmat nasihat pihak pakar kepada anak muda dalam bidang itu, dengan syarat mereka sudah memulakan projek itu sebagai bukti.
"Kita mahu mereka sudah bermula supaya nampak jalan kerjanya... kita mahu bantu supaya mereka ini daripada ladang yang kecil boleh meningkat ke tahap sederhana manakala yang di peringkat tengah menjadi lebih besar.
"Ini cara untuk kita pastikan usahawantani ini serius kerana mereka tahu bantuan yang diberikan untuk mereka memajukan diri ini digunakan dengan sebaik dan dengan sebetul yang mungkin," katanya.
Sementara itu, Mohamad Hafidz yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Benefigs berkata tanaman buah tin di Malaysia mempunyai kelebihan kerana cuaca di sini membolehkan tanaman itu diusahakan sepanjang tahun, berbeza dari Turki yang mendominasi eksport pasaran buah itu, yang hanya boleh berbuah pada musim panas sahaja.
"Buah tin masih baharu di Malaysia dan selain harga buah yang tinggi, anak pokoknya juga bernilai tinggi iaitu sekitar RM50 hingga RM5,000 bergantung kepada jenis selain boleh digunakan untuk menghasilkan produk makanan, perubatan dan teh," katanya.
Mohamad Hafidz berkata Benefigs juga mempunyai teknologi canggih penyimpanan makanan Cell Alive System dari Jepun yang membolehkan makanan disimpan dalam tempoh masa panjang tanpa menjejaskan kualiti dan tekstur, sekali gus mengatasi masalah lambakan. #sumber
SHAH ALAM - Polis tidak menolak kemungkinan memanggil mana-mana individu terlibat termasuk dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam membantu siasatan berhubung video seks sejenis dikaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed. Azmin Ali.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, ini bagi memastikan siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti dalang penyebaran video itu.
Katanya, tiada jangka masa ditetapkan untuk siasatan kes tersebut.
“Kita juga tidak menetapkan jangkaan masa dalam mengesahkan ketulenan video seks itu.
“Biar kita halusi siasatan yang ada dan sebagainya dan kita akan menyiapkan kertas siasatan secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan terkini siasatan video seks dikaitkan Mohamed Azmin dan ahli PKR, Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Dalam pada itu, Mazlan mengesahkan pihaknya telah merakamkan keterangan daripada Mohamed Azmin semalam namun tidak boleh mendedahkannya.
“Mana boleh cakap apa-apa kenyataan diambil termasuk dari Mohamed Azmin.
“Sekiranya, maklumat tambahan diperlukan kita akan panggil balik beliau,” katanya.
Ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu, Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim bahawa polis telah memaklumkan dalang tersebut kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Mazlan menegaskan supaya bertanya Rais sendiri.
“Saya sudah beritahu tidak mahu dedahkan sesiapa dan masih dalam siasatan. Siapa yang disiasat tidak akan didedahkan,” katanya.
Terdahulu, Mohamed Azmin dalam satu majlis di Dewan Jubli Perak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini menegaskan yakin bahawa penularan video itu dilakukan adalah perbuatan orang dalam PKR.
Kosmo! hari ini melaporkan Polis menerima sebanyak 17 laporan dan merekodkan 21 kenyataan berhubung kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri baru-baru ini. #sumber
PUTRAJAYA - Kedudukan perkhidmatan kontrak Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Datuk Tan Yew Chong bagaimanapun tidak mengulas ketika ditanya sama ada keputusan penamatan kontrak Haziq akan ditentukan kementerian atau pejabat Timbalan Menteri.
“Haziq sudah hantar surat kepada Timbalan Menteri tetapi saya tidak dapat ingat tarikhnya.
“(Keputusan) tunggu Timbalan Menteri. (Beliau) pergi ke Paris, Perancis selama beberapa hari atas urusan rasmi,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra dan sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Industri Utama di sini hari ini.
Shamsul Iskandar sebelum ini dilaporkan berkata, Haziq telah menghantar surat tunjuk sebab pada 14 Jun lalu dan pihak kementerian kini sedang meneliti surat tersebut.
Katanya, antara jawapan yang dinyatakan Haziq dalam suratnya adalah dia mengalami kemurungan ekoran penularan video seks tersebut dan memerlukan masa untuk menghubungi kementerian.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Kementerian Industri Utama menggantung serta-merta Haziq daripada melaksanakan tugas-tugas rasmi secara serta-merta dan diarah menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari daripada tarikh 12 Jun.
Keputusan itu dibuat susulan pengakuannya dalam satu video di Facebook mendakwa dirinya merupakan individu dalam video intim yang dikaitkan dengan lelaki mirip Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas rakaman berkenaan tersebar di media sosial sejak minggu lalu. #sumber
KUALA LANGAT - Dendam menjadi punca utama seorang pelajar lelaki tingkatan lima menikam bahu guru kaunselingnya sebanyak tiga kali menggunakan pisau di luar pejabat guru sekolah berasrama penuh di Banting di sini kelmarin.
Kejadian berlaku pukul 8.20 malam ketika mangsa yang juga penolong warden asrama berusia 30 tahun memasuki pejabat itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, suspek dikatakan berdendam mangsa yang telah menetapkan peraturan terlalu ketat di sekolah dan asrama itu.
Katanya, situasi itu telah membuat suspek mengalami tekanan perasaan melampau dan tidak berpuas hati dengan guru itu.
“Siasatan turut mendapati suspek telah gagal beberapa subjek dalam peperiksaan yang diadakan sebelum cuti sekolah bulan lalu.
“Suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini selepas mendapat perintah daripada Mahkamah Telok Datok, Banting,” katanya ketika dihubungihari ini.
Azizan menambah, polis tidak menolak kemungkinan pelajar tersebut terkejut dengan peraturan sedia ada sebagai sekolah berasrama penuh susulan baharu memasuki sekolah itu menerusi kemasukan ke tingkatan empat.
Jelas beliau, mangsa yang sebelum ini dirawat di Hospital Banting telah dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk pembedahan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Media semalam melaporkan seorang guru kaunseling sebuah sekolah menengah di sini cedera ditikam pisau oleh pelajarnya dipercayai berang selepas bakal dikenakan tindakan buang sekolah. #sumber
RAUB - Seorang wanita yang bekerja sendiri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan menjalankan perkhidmatan memasang pendakap gigi tanpa lesen, kira-kira lima bulan lepas.
Tertuduh Nurul Rohaizaz Farhana Syuhada Zazli, 25, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Mazelan Jamaludin.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 3.55 petang, 22 Februari lalu di sebuah rumah di Taman Bentong Makmur, Bentong dekat sini.
Dia yang berbaju kurung dan bertudung hitam didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dengan menawarkan perkhidmatan tersebut yang merupakan amalan pergigian.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mazelan menetapkan 19 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula untuk tertuduh melantik peguam.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Abu Bakar Ismail dan Norzaizeli Abu Samah.
Tertuduh difahamkan mengiklankan perkhidmatan itu dalam akaun media sosialnya setelah mempelajari cara untuk memasang pendakap gigi daripada rakan, dengan kebanyakan ‘pelanggan’ adalah golongan remaja. #sumber
SHAH ALAM - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin penularan video skandal seks yang mengaitkan beliau dan Ketua Angkatan Muda keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz baru-baru ini adalah perbuatan orang dalam.
Timbalan Presiden PKR itu berkata, beliau turut menyerahkan kepada rakyat membuat hukuman berhubung perkara tersebut.
“Pada awal lagi saya yakin ini agenda politik orang-orang tertentu yang bertujuan untuk menyekat kemaraan prestasi saya dalam kerajaan.
“Saya yakin umum akan dapat melihat siapakah dalang dalam hal ini. Biar polis jalankan siasatan dan saya kira tidak adil sekiranya mana-mana individu buat kenyataan yang boleh menganggu siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Hak Pembangunan antara Konsortium Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB)-MGB dan Must Ehsan Develpoment Sdn Bhd di Dewan Jubli Perak SUK di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Ketika ditanya sama ada beliau perlu membuat sumpah laknat berhubung video berkenaan, Mohamed Azmin berkata, ia mempunyai proses tertentu termasuk laporan qazaf dan perlu berjalan lancar.
Jelas beliau, Setiausaha Politiknya, Hilman Idham juga telah membuat laporan qazaf (tuduhan zina) di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dekat sini baru-baru ini.
“Sebab itu saya buat laporan qazaf dan ada prosesnya. Biarlah proses berjalan dan saya ambil tindakan berdasarkan nasihat peguam dan pihak yang memberi pandangan mereka.
“Kita harus membenarkan siasatan ini berjalan dan tidak terganggu dengan kenyataan dan tekanan kepada pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan,” katanya.
Pada masa sama, Mohamed Azmin menjelaskan, pihak polis telah mengambil keterangannya berhubung laporan polis yang dibuat Hilman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia.
“Saya menyatakan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam menjalankan siasatan siasatan atas dakwaan kejam dan jahat.
“Ketika polis mengambil keterangan Hilman saya berada di Pulau Pinang. Sekembalinya, saya memberi keutamaan untuk merakam keterangan semalam berhubung laporan polis tersebut,” katanya. #sumber
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah memberi keterangan kepada polis semalam berkaitan video seks kontroversi yang dikaitkan dengannya.
Peguam Mohamed Azmin, N. Surendran berkata, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan mereka.
“Pejabat menteri itu dihubungi polis pada Ahad, 16 Jun, untuk merakam keterangannya sebagai sebahagian daripada siasatan mereka.
“Terdapat petunjuk jelas mengenai wujudnya cubaan terancang dan sistematik untuk mencemarkan nama baik dan menjatuhkan menteri itu dengan serangan tuduhan palsu dan berniat jahat.
“Para pelakunya juga mempunyai akses kepada data peribadi anggota parti yang dibocorkan, satu kaedah canggih dan mempunyai agenda politik yang jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Surendran berkata, pihaknya yakin polis akan dapat menyelesaikan perkara itu dalam masa terdekat bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap para pelakunya mengikut lunas undang-undang.
Mohamed Azmin pada Rabu minggu lepas menafikan sekeras-kerasnya dakwaan seorang individu yang cuba mengaitkannya dengan video seks dengan menyifatkannya sebagai satu rancangan berniat jahat untuk merosakkan nama baik dan karakter beliau untuk merosakkan karier politiknya. #sumber
KAHERAH - Bekas Presiden Mesir, Mohammed Morsi meninggal dunia ketika perbicaraan di mahkamah pada Isnin.
Menurut laporan media tempatan, Morsi, 67, rebah selepas penutup sesi perbicaraan di mahkamah dan segera dikejarkan ke hospital yang kemudiannya meninggal dunia sejurus selepas itu.
Morsi adalah presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokratik dan hanya sempat memegang kuasa lebih setahun pada 2011 sebelum pihak tentera menumbang pemerintahannya pada Julai 2013.
Sementara itu, organisasi yang dimiliki beliau, Ikhwanul Muslimin telah diharamkan.
Pada 2018, tiga ahli parlimen British memberitahu, bahawa Morsi dikurung bersendirian selama 23 jam sehari, dan hanya dibenarkan bersenam selama satu jam.
Menurut mereka, cara Morsi dikurung boleh diklasifikasikan sebagai penyeksaan dan juga boleh menyebabkan kematian.
Morsi yang mempunyai masalah kesihatan termasuk kencing manis serta penyakit hati dan buah pinggang juga dilaporkan tidak menerima rawatan perubatan yang diperlukan.
Pemimpin Islam itu hidup dalam penjara selepas digulingkan dan berdepan beberapa pendakwaan termasuk sebagai pengintip untuk Iran, Qatar dan kumpulan militan seperti Hamas di Semenanjung Gaza. Beliau juga didakwa di bawah akta pengganas.
Dalam pada itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang menyokong kuat pemimpin Islam semasa Allahyarham mengetuai Mesir, menyampaikan ucapan takziah kepada Morsi dan menggelarnya sebagai seorang syahid. #sumber
KUANTAN - Premis pengasingan sisa sampah di Karak, Bentong disahkan tidak terlibat dalam aktiviti mengimport sisa sampah plastik dari negara luar.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Rosli Zul berkata hasil siasatan mendapati plastik di situ merupakan sisa dari sebuah kilang pemprosesan kertas di Bentong, yang diserahkan kepada kontraktor untuk tujuan pelupusan.
"Kilang kertas itu mengimport kertas terpakai dari luar untuk dijadikan kertas kitar semula dan melantik kontraktor untuk menguruskan sisa plastik yang digunakan untuk membungkus kertas tersebut.
"Kontraktor tersebut, dipercayai atas inisiatif sendiri telah membawa sisa kertas dan plastik itu ke premis berkenaan untuk diasingkan sebelum dibawa ke kilang kitar semula di Bentong.
"Sehubungan itu, kita percaya kejadian di Bentong bukan kejadian pengimportan plastik dalam kuantiti besar seperti yang berlaku di Selangor," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Rosli berkata dapatan siasatan juga mendapati premis itu digunakan sebagai kawasan pengasingan oleh kontraktor terlibat untuk memisahkan plastik yang boleh dikitar semula atau perlu dilupuskan.
Katanya, tindakan lanjut terhadap pemilik premis itu akan diambil oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) atau Majlis Perbandaran Bentong, jika ada, kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa mereka.
Ini susulan laporan media Sabtu lalu berhubung dakwaan Anggota Parlimen Bentong Wong Tack mengenai kewujudan gudang simpanan sisa plastik yang dikatakan sudah beroperasi selama setahun dan menerima sampah dari negara luar.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin pada 10 Jun lalu, memberi jaminan kerajaan negeri akan mengesan pemilik premis tersebut bagi tindakan sewajarnya. #sumber
PUTRAJAYA - Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pelantikan Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) beliau dibuat setelah mengambil kira keperluan kementerian itu untuk wakil Sarawak dan Sabah.
Menurut Shamsul Iskandar, Haziq Abdullah memohon untuk bekerja di kementerian tersebut setelah SUSK pertama beliau meletakkan jawatan.
"Saya juga ada menerima beberapa permohonan lain untuk jawatan berkenaan.
"Setelah ditemuduga dan mengambil kira kelayakan akademik, pengalaman pentadbiran dan keperluan Kementerian Industri Utama untuk wakil daripada Sarawak dan Sabah, Haziq secara strategiknya merupakan calon yang sesuai untuk jawatan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini bagi menjelaskan isu pelantikan Haziq.
Haziq yang berasal dari Sarawak juga merupakan Ketua AMK Santubong.
Shamsul Iskandar pada Khamis lepas (13 Jun) memaklumkan Haziq, individu yang mengaku terlibat dalam video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri, digantung tugas sebagai SUSK beliau.
Menurut Shamsul Iskandar, sebelum berkhidmat di Kementerian Industri Utama, Haziq juga pernah berkhidmat dengan beberapa pimpinan PKR antaranya menjadi pelatih di firma guaman Baru Bian, yang kini Menteri Kerja Raya, pelatih bersama Lawyers for Liberty (Sivarasa Rasiah dan N.Surendran), pelatih INVOKE (Rafizi Ramli), pelatih di Pejabat Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di bawah seliaan Setiausaha Akhbar Khalid Jaafar dan pelatih di firma Yusmadi & Co.
Haziq juga pernah membantunya dalam hal-hal yang berkaitan penyelidikan Parlimen, katanya. #sumber
KUALA LUMPUR - Seorang wanita dikenali sebagai Yusmiliati Mohamed Yusof 33, menuntut seorang usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi laman sosial dalam tempoh 48 jam kerana dikatakan telah dianiaya oleh usahawan tersebut.
“Saya dengan ini menyatakan dengan tegas bahawa saya telah dianiayai dan dituduh sebagai penipu oleh beliau (Sajjad) sedangkan saya telah melaksanakan permohonan tersebut sepertimana diarahkan oleh beliau dan telah menurut prosedur permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya di majlis sidang akhbar yang berlangsung petang tadi.
Konflik kes ini timbul apabila pembantu peribadi usahawan itu dikenali Ashaari telah menyatakan hasratnya untuk membuat satu permohonan di JPN bagi menukar jantina pada kad pengenalan yang tertera jantina ‘lelaki’ kepada ‘perempuan’.
Bagaimanapun, permohonan tersebut telah ditolak atas alasan pemohon gagal untuk melampirkan satu salinan surat daripada doktor mengesahkan beliau (Sajjad) adalah seorang khunsa.
“Sejurus itu, mereka telah berhubung dengan saya dan mereka tidak berpuas hati kerana saya tidak dapat memenuhi permintaan mereka bagi permohonan pertukaran jantina tersebut.”
“Mereka telah melemparkan bermacam tuduhan palsu kepada saya dan pembantunya telah membuat laporan polis pada 29.08.2018 yang menuduh saya telah menipunya.”
“Oleh kerana tindakan beliau tersebut, saya telah ditahan reman oleh pihak polis pada selama 4 hari di Balai Polis Ampang bagi kesalahan jenayah di bawah Seksyen 420 kanun keseksaan.
“Kemudiannya saya telah dituduh di Mahkamah Majistret Ampang,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu, permohonan usahawan itu untuk menukar Mykad itu untuk berkahwin. #sumber
KUALA LUMPUR - Polis menerima 17 laporan dan sudah merekodkan sebanyak 21 kenyataan berkaitan kes video seks yang melibatkan ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan seorang lelaki yang dikatakan menyerupai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, kesemua laporan tersebut telah diterima sejak seminggu yang lalu.
“Siasatan bagi kes tersebut diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.
“Siasatan itu juga melibatkan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan serta Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Jawatan Pengarah JSJK Bukit Aman baharu disandang oleh Datuk Seri Mohd. Zakaria Ahmad yang sebelum ini merupakan Ketua Polis Pahang.
Mazlan menambah, kenyataan dari pihak Azmin akan dirakamkan dalam masa terdekat.
“Tindakan untuk mengambil kenyataan itu dalam tindakan pihak polis.
“Siasatan masih diteruskan dan saya tidak boleh hurai dengan lanjut tentang proses siasatan yang sedang dijalankan,” ujarnya.
Beliau berkata, pihak Haziq Abdullah sudah menyatakan kesediaannya untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes tersebut.
“Tiada sebarang sekatan ke luar negara dikenakan terhadapnya kerana sudah ada persetujuan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan.
“Kita minta semua pihak bersabar kerana kita masih menjalankan siasatan dengan mendalam bagi kes ini,” katanya. #sumber