KUANTAN - Polis menahan empat lelaki dan merampas selaras senapang patah buatan sendiri, serta dadah dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM124,000 dalam serbuan di Kuantan dan Maran pada Rabu.
Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata dua suspek berusia 23 dan 34 tahun, ditahan bersama pelbagai jenis dadah yang disembunyikan dalam tayar ganti kereta Proton Perdana di sebuah tempat letak kereta pasar raya di sini.
Katanya, serbuan pada 8 pagi itu menemukan dadah jenis heroin seberat 4,575.11 gram, syabu (100.27 gram) dan ganja (10.09 gram) yang dianggarkan bernilai RM72,501, selain wang tunai RM4,000.
“Polis juga merampas dua buah kereta iaitu kereta Proton Perdana dan Perodua Axia milik suspek dengan nilai keseluruhan rampasan RM121,501.
“Siasatan awal mendapati dadah itu diperoleh dari Kota Tinggi, Johor untuk dijual sekitar daerah Kuantan dan beberapa Felda berdekatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.
Sementara itu Mohd Yusri berkata dalam serbuan di ladang kelapa sawit di Kampung Jernih di Chenor, Maran dekat sini, dua suspek berusia 30 dan 39 tahun ditahan pada 1.30 pagi Rabu.
Polis merampas heroin seberat 35.45 gram, syabu (9.22 gram) dan tiga biji pil Eramin 5 (0.86 gram) yang dianggarkan bernilai RM3,201 selain selaras senapang patah buatan sendiri dan 10 butir peluru pada serbuan itu, katanya.
Mohd Yusri berkata suspek dipercayai memperoleh dadah itu daripada pembekal di Bera, untuk pasaran di sekitar Chenor.
Beliau juga mengesahkan semua suspek yang kini direman selama seminggu bermula semalam, mempunyai rekod kesalahan lampau selain turut positif dadah.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 Akta Senjata Api 1969. #sumber
PORT DICKSON - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan ketidakhadiran Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat Keadilan sesi 2018/2021 malam ini, bukan urusannya.
Beliau turut menegaskan sama ada Mohamed Azmin hadir atau sebaliknya, itu adalah urusannya sendiri.
“His business, not my business (Itu urusan dia, bukan urusan saya),” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai ketidakhadiran Mohamed Azmin pada program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat Keadilan di Hotel Lexis Hibiscus Port Dickson, malam ini.
Bagaimanapun, Mohamed Azmin dijangka menyampaikan ucapan pada hari kedua sesi pemukiman itu, esok selain disertai ucapan oleh tujuh Naib Presiden yang lain.
Sementara itu ketika ditanya berhubung kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador bahawa wujud pakatan jahat yang didalangi oleh pemimpin sebuah parti politik dalam kes pengedaran video seks berkaitan seorang menteri, beliau enggan mengulas mengenainya.
Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki, tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.
Setakat ini lapan orang termasuk Haziq Abdullah telah ditahan bagi membantu siasatan kes video itu. #sumber
KUANTAN - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan membantu masyarakat Orang Asli untuk mendaftarkan perkahwinan yang dilangsungkan secara adat.
Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata ia akan dilaksanakan dengan cara JPN pergi ke kawasan penempatan orang asli dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
"Antara dokumen diperlukan bagi pendaftaran perkahwinan di bawah Ordinan Pendaftaran Perkahwinan 1952 ialah kad pengenalan dan surat pengesahan perkahwinan secara adat oleh JAKOA serta gambar berukuran pasport.
"Pendaftaran adalah secara sukarela, namun kita galakkan untuk memudahkan urusan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH), pinjaman bantuan kerajaan dan pendaftaran anak ke sekolah," katanya pada sidang media selepas melawat pejabat JPN Pahang di sini, hari ini.
Ruslin berkata urusan pendaftaran juga boleh dilakukan dengan cepat kerana dilakukan di kawasan penempatan mereka.
Beliau juga memaklumkan Pahang mencatatkan peningkatan pendaftaran perkahwinan Orang Asli tahun ini, iaitu 1,834 pasangan setakat Jun, berbanding 1,141 pasangan (2017) dan 1,475 (2018).
"Ini adalah hasil didikan kesedaran oleh JAKOA dengan bantuan Tok Batin di kawasan penempatan mereka," katanya.
Jumlah keseluruhan bagi 2017 hingga Jun 2019 bagi Pahang iaitu 4,449 juga adalah yang tertinggi di dalam negara berbanding Negeri Sembilan (646) dan Perak (314).
Beliau menambah daerah dengan pendaftaran tertinggi di Pahang sejak 2017 ialah Rompin dengan 1,081 diikuti Pekan (1,581) dan Temerloh (481). #sumber
TEMERLOH - Seorang pemilik butik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas 18 tuduhan menipu dan memalsukan dokuman pakej umrah bernilai RM19,800, tahun lalu.
Pengakuan Noraini Abu Bakar, 33, yang beralamat di Setia Alam, Selangor direkodkan di hadapan Majistret Ti Pei Si.
Tertuduh didakwa atas sembilan tuduhan menipu sembilan mangsa sehingga mendorong mereka melakukan pembayaran RM2,200 setiap seorang kepadanya yang dikatakan sebagai bayaran pakej umrah.
Bagi kesalahan itu, pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa atas sembilan lagi tuduhan memalsukan surat rasmi syarikat pelancongan dengan niat untuk menyakinkan peserta umrah tersebut.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 15 hingga 28 Nov 2018 di beberapa lokasi sekitar daerah ini termasuk di bank dan rumah mangsa.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How menawarkan jaminan RM90,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan terhadap Noraini.
Bagaimanapun, Ti membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM13,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan selepas mempertimbangkan rayuan tertuduh yang mendakwa tidak mempunyai jumlah yang ditawarkan pendakwaan.
Ti menetapkan sebutan semula kes pada 14 Ogos ini dan tertuduh menjelaskan bayaran tersebut. #sumber
KUALA LUMPUR - Tiga lagi individu ditahan di sekitar Johor Bharu bagi membantu siasatan berhubung rakaman video intim membabitkan seorang lelaki mirip Menteri Kabinet.
Ketiga-tiga individu terbabit terdiri daripada lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 29 hingga 37 tahun pada petang tadi dan beberapa unit telefon bimbit turut dirampas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, tangkapan keatas ketiga-tiga lelaki terbabit dibuat kira-kira pada pukul 2.30 petang.
"Ketiga-tiga lelaki ini akan direman esok untuk siasatan lanjut.
"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan polis memberkas enam individu dan merampas 13 buah telefon bimbit bagi membantu siasatan kes berkenaan kelmarin.
Salah seorang daripada mereka merupakan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah, 27, yang mengaku dia ialah individu di dalam video tersebut.
Baki lima lagi lelaki berusia antara 25 hingga 38 tahun itu dipercayai ahli Parti Keadilan Rakyat yang disyaki terlibat dalam konspirasi merakam video seks berkenaan. #sumber
KUALA LUMPUR - Pendaftaran automatik warganegara berusia 18 tahun susulan Pindaan Perlembagaan Persekutuan akan turut meliputi belia berumur 21 tahun yang belum mendaftar sebagai pemilih.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perkara itu akan diberi keutamaan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang memohon pengesahan daripada kerajaan bahawa 3.9 juta rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun dan layak mengundi, tetapi belum didaftarkan sebagai pengundi akan terdaftar secara automatik selepas pindaan itu diluluskan.
"Kita sedar bahawa antara mereka yang sudah cukup umur (21 tahun) tetapi tidak mendaftar dahulu, mereka juga akan didaftarkan secara automatik," kata Dr Mahathir ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain menurunkan umur warganegara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.
Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu kemudian diluluskan Dewan Rakyat setelah memperoleh lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata agensi-agensi pelaksana yang terlibat secara langsung dalam pendaftaran automatik sewajarnya diberi peluang dan ruang untuk membuat persediaan teratur, umpamanya dari segi integrasi data antara Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan lain-lain agensi yang berkaitan.
"Haruslah diingat dengan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik akan menyebabkan anggaran 7.8 juta pengundi baharu akan didaftarkan sebagai pemilih dalam daftar pemilih untuk tempoh lima tahun akan datang.
"Ini bukanlah tugas yang mudah kerana melibatkan kos, masa, penetapan lokaliti dan bahagian pilihan raya yang betul," jelas perdana menteri.
Dr Mahathir berkata kerajaan tidak boleh bertolak ansur dengan apa-apa kesilapan kepada daftar pemilih kerana ia melibatkan hak setiap warganegara yang layak mengundi seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Dr Mahathir turut menjawab beberapa lagi persoalan dibangkitkan ahli Parlimen, termasuk menyatakan kerajaan tidak bercadang mewajibkan pengundi keluar mengundi semasa pilihan raya sebaliknya akan meningkatkan usaha memberi kesedaran kepada mereka.
Katanya, kerajaan Persekutuan juga belum mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi maksud penurunan had umur calon tetapi yakin ia akan mendapat sokongan pihak itu kerana memberi ruang dan peluang kepada wakil belia untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya.
Dr Mahathir berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan itu adalah bukti kerajaan Pakatan Harapan serius dalam merealisasikan Janji 17 dalam Buku Harapan, iaitu menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik berdasarkan daftar Jabatan Pendaftaran Negara. #sumber
SHAH ALAM - Bapa anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini, memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung inkues kematian anggota bomba itu.
Permohonan ex-parte (sebelah pihak) itu difailkan Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates.
Perkara tersebut dimaklumkan peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Kamaruzaman A Wahab kepada Koroner Rofiah Mohamad ketika prosiding inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner di sini.
"Permohonan itu sudah difailkan pagi tadi," kata Kamaruzaman pada hari ke-40 prosiding inkues berkenaan.
Sementara itu, peguam, Mohd Zubir ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata, Tommy telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April lepas.
"Dalam afidavit tersebut, Tommy menyatakan bahawa kematian Muhammad Adib bukanlah dipukul oleh mana-mana orang (sedangkan punca kematian belum diketahui),” katanya.
Beliau berkata antara kandungan permohonan ex-parte itu menyatakan Tommy telah cuba untuk menindas peguam Syazlin Mansor daripada menjalankan tugasnya sebagai peguam bela dan peguam cara serta pegawai mahkamah yang sah mewakili kepentingan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) , bomba dan keluarga Muhammad Adib.
Mohd Zubir berkata pihaknya telah menghantar salinan notis permohonan itu kepada wakil Tommy, Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin pada pukul 12.11 tengah hari ini.
Bagaimanapun, Rofiah berkata pihaknya akan meneliti permohonan ex-parte tersebut, esok.
Terdahulu, dalam prosiding hari ini, saksi inkues ke-30, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ir Dr Amir Radzi Abd Ghani dipanggil ke mahkamah bagi memberi keterangan berhubung pengiraan daya hentaman ke atas bahagian dada Muhammad Adib yang mengakibatkan kecederaan di bahagian itu.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis di Institut Jantung Negara. #sumber
KAJANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meluaskan skop siasatan termasuk penglibatan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam penyebaran video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Difahamkan lima individu lain yang ditahan bersama Haziq Abdullah Abdul Aziz malam kelmarin dipercayai mempunyai hubungan dengan ADUN tersebut.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya menjalankan siasatan dengan teliti dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Kertas siasatan tersebut kita kemukakan kepada Pejabat Peguam Negara bagi menunggu arahan selanjutnya.
“Pihak PDRM kemudiannya akan melaksanakan arahan dan setelah sempurna, barulah ia akan dihantar semula. Oleh sebab itu, siasatan ini perlu dijalankan dengan teliti dan berhati-hati,” katanya pada sidang akhbar selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Batalion 4, Pasukan Gerakan Am, Semenyih di sini hari ini.
Abdul Hamid menambah, perkara tersebut tidak boleh diselesaikan secara sekaligus kerana proses tersebut bergantung kepada hasil siasatan.
“Kes sebegini amat rumit kerana ia melibatkan ahli politik.
“Proses siasatan turut dibuat ke arah mengenalpasti penglibatan dalang utama di sebalik konspirasi video tersebut,” ujarnya.
Kosmo! Online semalam melaporkan polis memberkas enam individu dan merampas 13 buah telefon bimbit bagi membantu siasatan kes berkenaan kelmarin.
Salah seorang daripada mereka merupakan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah, 27, yang mengaku dia ialah individu di dalam video tersebut.
Baki lima lagi lelaki berusia antara 25 hingga 38 tahun itu dipercayai ahli Parti Keadilan Rakyat yang disyaki terlibat dalam konspirasi merakam video seks berkenaan. #sumber
KUANTAN - Kementerian Pertahanan akan memohon peruntukan tambahan bagi penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) seluruh negara, kata Menteri Mohamad Sabu.
Beliau mengakui kerajaan ada menyediakan peruntukan tambahan bagi tujuan itu sebelum ini, namun jumlahnya masih tidak mencukupi kerana keadaan RKAT yang begitu uzur dan bilangannya yang banyak.
"Perkara ini sedang kita tinjau dan kita sendiri melihat keadaan itu. Kita tahu kem-kem tentera banyak yang sudah usang dan lama malah ada yang digunakan sejak zaman British.
"Kem lama itu memang ada kerosakan teruk dan perlu diperbaiki segera," katanya pada sidang media sempena Eksesais Kerismas dan Eksesais Tamingsari 2019 di Markas Wilayah Laut 1 Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong dan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany
Semalam, Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen, menyatakan penyelenggaraan RKAT tidak cekap dan tidak mencapai objektif menyediakan rumah yang kondusif dan selamat untuk anggota tentera.
Laporan itu menyatakan sehingga Disember tahun lalu, jumlah RKAT ialah 54,497 unit namun 22.5 peratus daripadanya tidak boleh diduduki kerana rosak, tidak diselenggara, tidak beralamat dan tidak kondusif.
Mengenai isu pencerobohan nelayan asing ke perairan negara, Mohamad berkata TLDM akan menempatkan aset dan meningkatkan rondaan bagi menanganinya, selain sering dibincangkan pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Isu maritim dan kehilangan khazanah Laut China Selatan yang berada dalam zon ekonomi Malaysia juga akan dibangkitkan pada lawatan ke Vietnam tidak lama lagi," katanya.
Mengulas mengenai eksesais itu yang bermula 2 Julai lalu, Mohamad berkata beliau berpuas hati dengan pelaksanaan eksesais itu bagi meningkatkan kesiapsiagaan aset TLDM dalam menjaga keselamatan perairan negara. #sumber
KUANTAN - Sebanyak 16 rumah dan dua bangunan kerajaan di beberapa kawasan di Temerloh dekat sini, rosak akibat ribut yang berlaku pada petang semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata kejadian berlaku sekitar 5.30 petang itu, bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.
Katanya, kawasan terlibat ialah Kampung Mempateh, Kampung Tan Seri Yahya, Taman Mentakab Indah, Taman Paya Tiram, Kampung Bukit Ketumbit, Kampung Seri Ketumbit, Kampung Rasau, Kampung Kerai, Kampung Gajah Mati dan Kampung Paya Keladan.
"Dua bangunan kerajaan yang terjejas dalam kejadian itu ialah sebuah blok kediaman markas tentera Kem Batu 5 di Mentakab dan stor di Sekolah Kebangsaan Kerdau di Kerdau.
"Anggaran kerugian masih dalam taksiran dan kami menasihatkan mereka yang terlibat untuk membuat laporan polis bagi pengesahan kejadian," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Zainal berkata setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara dibuka memandangkan ada mangsa yang masih menetap di rumah sendiri atau menumpang di rumah saudara-mara.
Selain APM, agensi lain seperti polis, bomba dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memberi bantuan awal kepada semua mangsa terlibat. #sumber
KUANTAN - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memantau dakwaan ritual ‘zikir berdiri’ yang dikatakan berlaku di sebuah perkampungan di Jerantut dekat sini, minggu lepas.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata perkara itu juga dalam siasatan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang difahamkan telah memanggil individu yang terlibat.
"Bagaimanapun, saya diberitahu pihak JAIP belum dapat bertemu mereka.... apa pun kita akan memantau dan menyiasat kerana berdasarkan video yang tersebar, kita mendapati ada perkara yang menggugat akidah.
"Ia dilihat seperti ajaran yang tidak betul dan tidak menepati syariat agama Islam, bagaimanapun kita masih belum dapat memutuskan apa aliran yang dibawa oleh kumpulan itu," katanya.
Fuziah berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Program Lawatan Tapak dan Perasmian Projek Pembinaan Jambatan dan Baik Pulih Pam Air di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang di Inderapura di sini, hari ini.
Beliau berkata pihak terlibat juga sedang mengesan individu yang dikenali sebagai Tok Ki @ Tok Ayah dari Terengganu yang dikatakan membawa masuk ajaran itu ke kampung tersebut.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya mereka yang mempunyai maklumat berkaitan ajaran atau individu terlibat untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi mengekang penularan ajaran tersebut.
Pada Sabtu lepas, tiga rakaman video berdurasi antara 15 saat hingga seminit 12 saat tular di laman sosial menunjukkan sekumpulan jemaah lelaki dan wanita melakukan beberapa pergerakan badan sambil mengalunkan bacaan yang tidak jelas sebutannya. #sumber
KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan Haziq Abdullah Abdul Aziz serta lima individu lain ditahan reman enam hari bermulai hari ini, bagi membantu siasatan kes video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri.
Perintah reman sehingga 20 Julai ini dikeluarkan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki terhadap Haziq Abdullah, 27, dan lima lelaki lain.
Mahkamah membenarkan permohonan polis untuk menahan reman keenam-enam lelaki itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 377B ialah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan luar tabii yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan manakala Seksyen 233 ialah penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan Haziq Abdullah serta lima individu lain ditahan malam tadi di sekitar Lembah Klang.
Pada 15 Jun, Haziq Abdullah, individu yang mengaku sebagai lelaki dalam video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri, dibebaskan dengan jaminan polis setelah ditahan ketika berada di Balai Perlepasan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 14 Jun. #sumber
KUANTAN - Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang antara empat jabatan di negeri ini yang memperoleh tahap cemerlang bagi prestasi pengurusan kewangan bagi tahun lalu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 hari ini.
Pejabat SUK Pahang memperoleh tahap prestasi sebanyak 91.92 peratus dan jabatan lain yang turut cemerlang ialah Jabatan Kerja Raya (94.07 peratus), Pejabat Daerah dan Tanah Bentong (92.68 peratus) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (91.60 peratus).
Laporan itu menyebut semakan yang dibuat terhadap 11 jabatan dan agensi di Pahang juga mendapati lima lagi memperoleh tahap baik dengan peratusan antara 81.10 peratus ke 84.66 peratus.
Dua lagi jabatan iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut memperoleh tahap memuaskan iaitu 73.77 peratus serta Pejabat Daerah dan Tanah Maran yang mendapat 78.69 peratus.
"Secara keseluruhannya, prestasi pengurusan kewangan jabatan dan agensi Pahang bagi tahun 2018 berada pada tahap baik berdasarkan kepada markah keseluruhan pematuhan terhadap peraturan pengurusan kewangan," menurut laporan yang dibentangkan di Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, laporan itu menyebut masih ada beberapa jabatan atau agensi yang perlu meningkatkan dan memantapkan kawalan dalaman pengurusan kewangan bagi mengurangkan risiko ketidakpatuhan yang lebih serius.
Sehubungan itu, laporan berkenaan mengesyorkan supaya pengetahuan dan kemahiran pegawai dipertingkatkan secara berterusan selain penilaian dilakukan dari semasa ke semasa.
"Ketua Jabatan perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai yang telah dipastikan melakukan ketidakpatuhan serius sehingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan menjejaskan imej kerajaan.
"Jabatan juga disaran menjalankan penyeliaan lebih rapi terhadap kerja yang dilaksanakan pegawai bawahan yang terlibat dalam pengurusan kewangan untuk memastikan peraturan sentiasa dipatuhi serta penglibatan secara hands on dalam urusan tersebut," menurut laporan itu.
Laporan itu juga mencadangkan pelaksanaan pusingan tugas setiap lima tahun terhadap pegawai yang diberi tanggungjawab kewangan untuk memastikan tiada ruang dan peluang untuk pegawai melakukan ketidakpatuhan yang serius. #sumber
TEMERLOH - Kemanisan dan tekstur rangup nangka keluaran sebuah ladang di Lanchang di sini, berjaya menembusi pasaran Kota London sejak dua tahun lalu.
Hasil tani oleh usahawan Yussof Buyamin yang juga pemilik Syarikat Dimensi Sejahtera Sdn Bhd itu, dihantar ke beberapa pasar raya di London, dengan menggunakan kargo udara setiap minggu.
Katanya, projek penanaman nangka di kawasan seluas 40 hektar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di sini bermula kira-kira 11 tahun lalu, sebelum 'menerokai' pasaran London pada 2017.
"Kriteria nangka yang dieksport dijaga dengan begitu teliti. Hanya nangka terbaik daripada segi saiz, kerangupan, kemanisan dan ketahanannya yang layak untuk dieksport bagi menjaga kualiti.
"Setiap minggu, syarikat yang menguruskan hal eksport datang ke ladang membeli buah dengan jumlah kira-kira 20 tan metrik sebulan," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Pelancaran Dari Lanchang ke London di TKPM di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak dan turut hadir Pengarah Jabatan Pertanian negeri Datuk Zahimi Hassan.
Yussof berkata untuk pasaran eksport nangka itu dijual pada harga RM3.50 sekilogram dan beliau difahamkan, harganya akan melonjak kira-kira RM30 sekilogram di London.
Manakala bagi pasaran tempatan, buah itu dijual RM2.50 sekilogram dan beliau boleh memperoleh pendapatan bulanan antara RM70,000 hingga RM90,000, bergantung kepada jumlah pengeluaran dan permintaan.
"Permintaan agak berkurangan sedikit pada Mei hingga Julai, kerana nangka perlu bersaing dengan buah bermusim seperti durian, mangga harum manis dan rambutan.
"Untuk tanaman nangka, faktor terpenting ialah pengairan kerana jika kemarau atau kurang air, buah berisiko untuk bantut," katanya yang mempunyai 5,000 batang pokok nangka.
Sementara itu, Mohd Soffi berkata kerajaan negeri akan memberi sokongan dan bantuan kepada pengusaha nangka lain yang mahu menerokai pasaran luar, kerana potensi besar produk tani itu.
Beliau berkata setakat ini, terdapat 46 pengusaha individu dan 40 syarikat. #sumber
KUANTAN - Pelaksanaan Program Permanian Beradas (PPB) dan Program Pembangunan Pusat Sumber Genetik Ternakan (PSGT) yang dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang (JPVNP) disifatkan gagal mencapai objektif.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, program itu yang melibatkan peruntukan sebanyak RM0.55 juta bagi tahun 2016 hingga 2018, gagal meningkatkan populasi dan kualiti genetik ternakan lembu bagi mencapai tahap pengeluaran daging dalam negeri.
"Prestasi program PPB bagi tahun 2016 hingga 2018 tidak mencapai sasaran kerana JPVNP hanya mampu melahirkan sembilan orang jurusuntik berbanding sasaran 35 orang dan hanya 7,952 suntikan dilaksanakan berbanding sasaran 30,000 suntikan.
“Daripada jumlah (suntikan), pencapaian jumlah kelahiran ialah sebanyak 1,951 ekor manakala Prestasi Program Pembangunan PSGT pula tidak mencapai objektif penubuhannya kerana tiada pengagihan baka ternakan berbanding sasaran 129 ekor," menurut laporan itu yang dibentangkan di Parlimen hari ini.
Laporan itu juga menyebut pengurusan aktiviti PBB tidak cekap adalah disebabkan semua jurusuntik permanian beradas tidak ditauliahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.
Laporan itu juga menyebut pengurusan aktiviti ladang PSGT di Bukit Kajang, Sepayang dan Ulu Lepar disifatkan tidak cekap kerana berlaku keturunan sebaka (inbreeding) dengan penggunaan baka lembu jantan yang sama secara berterusan, selain ternakan juga kekurangan nutrien rumput meragut dan makanan tambahan.
"Pada pendapat audit, pengurusan nutrien harian ternakan lembu tidak dilaksanakan dengan cekap dan berkesan yang mana keadaan ini telah menjejaskan kesihatan dan kualiti ternakan," menurut laporan itu.
JPVNP dilaporkan berkata sasaran 10,000 suntikan setahun tidak dicapai kerana peruntukan daripada Kerajaan Negeri hanya RM50,000 setahun, berbanding jumlah permohonan RM500,000 setahun menyebabkan mereka tidak dapat menampung kos projek untuk memberi peralatan bagi meningkatkan kualiti baka ternakan di Pahang.
Sehubungan itu, Audit mengesyorkan JPVNP membuat penilaian ‘outcome’ bagi memastikan peruntukan yang dibelanjakan dapat diukur keberkesanannya bagi memastikan kelemahan yang berlaku tidak berulang dan kerajaan mendapat 'best value for money' yang dibelanjakan.
JPVNP juga disarankan untuk menambahbaik pengurusan aktiviti PBB dan perladangan PSGT, meningkatkan penyeliaan dan pemantauan secara berterusan dan lebih terperinci dalam pelaksanaan program selain memberi latihan berterusan dan bersesuaian kepada pegawai bagi meningkatkan kemahiran. #sumber
KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah mengarahkan pegawainya ke sebuah kampung di Ulu Tembeling, Jerantut dekat sini, bagi menyiasat dakwaan kejadian ritual 'zikir berdiri' yang tular di laman sosial.
Timbalan Pengarahnya Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz berkata pihaknya akan bersemuka dengan imam dan makmum surau kampung itu untuk mendapatkan penjelasan aktiviti yang dikatakan berlaku pada 11 Julai lalu.
"Kami perlu melakukan siasatan terperinci sebelum mengambil tindakan seterusnya kerana masih terlalu awal untuk mengaitkan perbuatan itu dengan ajaran sesat. Video yang tular di laman sosial juga terlalu pendek untuk kita terus membuat penilaian dengan hanya melihat daripada rakaman itu semata-mata," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Ghazali juga mengesahkan pihak JAIP tidak menerima laporan berhubung kegiatan itu, namun siasatan akan tetap dilakukan.
Katanya, daripada maklumat awal difahamkan lelaki dikenali sebagai Tok Ki@ Tok Ayah yang mengetuai 'zikir berdiri' itu terlibat dalam rawatan Islam dan apa yang berlaku adalah sebahagian daripada proses perubatan.
Pada Sabtu lepas, tiga rakaman video berdurasi antara 15 saat dan seminit 12 saat tular di laman sosial menunjukkan sekumpulan jemaah lelaki dan wanita melakukan beberapa pergerakan badan sambil mengalunkan bacaan yang tidak jelas sebutannya. #sumber
ALOR SETAR - Pakatan Harapan (PH) bersikap terbuka jika PAS berhasrat untuk menyertai gabungan itu demi penyatuan umat Islam di negara ini, kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Beliau berkata sebarang tindakan untuk penyatuan ummah adalah satu langkah baik, namun pihak PAS diharap tidak meletakkan pelbagai syarat yang ketat sehingga boleh menyisihkan kaum lain.
“Pihak kami kena sentiasa terbuka, tetapi macam mana pun kena bertoleransi, tak boleh kata nak satukan umat Islam dalam negara ini tetapi pada masa sama nak menyingkirkan dan menyisihkan kaum lain,” kata Menteri Besar itu kepada pemberita selepas menutup Bicara Eksekutif Maqasid Syariah peringkat negeri di sini, hari ini.
Jumaat lepas, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa mempelawa PAS untuk mempertimbangkan tawaran menyertai PH jika tidak mahu perjuangan mereka selama lebih 60 tahun untuk menumbangkan kerajaan UMNO sia-sia.
Beliau dilaporkan berkata jika PAS menyertai PH sekarang, mereka boleh menjadi kerajaan dan pada pilihan raya akan datang, boleh menjadi kerajaan sekali lagi.
Sementara itu, Mukhriz berkata Bersatu juga kini lebih menumpukan kepada penglibatan ahli UMNO menyertai PH dalam usaha memperkukuhkan kerajaan sedia ada sekali gus dapat meningkatkan jumlah Ahli Parlimen Melayu Islam di Dewan Rakyat.
“Kita kena tonjolkan kebaikan dan ketepikan perbezaan pendapat, saya ingat itu untuk kebaikan semua,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata mesej dan pendekatan Maqasid Syariah yang diintegrasikan dengan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) atau SDGs oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sangat bersesuaian dengan nilai atau fitrah semua manusia, tanpa mengira agama dan bangsa atau negara.
“Ini kerana inti pati Maqasid Syariah yang inklusif dan dinamik amat bersesuaian dengan fitrah manusia, bukan hanya untuk orang Islam sahaja, tetapi untuk seluruh manusia termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan dan dunia sejagat.
"Pada hari ini, Kedah dapat bersama-sama melaksanakan agenda Maqasid Syariah ini sebagai maklumat dan pencerahan mengenai hala tuju pentadbiran kerajaan yang baharu untuk menuju kepada sebuah negara rahmah yang berpaksikan nilai Rahmatan Lil ‘Alamin dan Maqasid Syariah,” katanya.
Beliau berkata mewakili kerajaan negeri, pihaknya menyambut baik dasar baharu kerajaan itu dan komited untuk bekerjasama bagi menjayakan matlamat yang besar itu. #sumber
KUALA LANGAT - Dua beradik ditemui rentung dalam sebuah bilik tidur selepas rumah mereka di Jalan Utama Kampung Indah Banting, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Mayat kedua-dua mangsa, Nur Salsabila Mohd Fakrul Khair, 16, dan adiknya Nur Ain Sumayyah,13, ditemui kira-kira pukul 3 pagi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran berkenaan pada kira-kira pukul 2.48 pagi.
Beliau berkata, sepasukan 17 anggota bersama pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian, api telah marak dan memusnahkan hampir 100 peratus rumah kayu berkenaan. Kebakaran dapat dikawal dalam tempoh dua minit.
"Selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya 10 minit kemudian kita telah menemui mayat kedua-dua mangsa di dalam sebuah bilik tidur,"katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hafisham berkata, ketika kejadian hanya mereka berdua berada di rumah berkenaan manakala ibu bapa dan abang mereka tiada dirumah.
'Ibu bapa mereka keluar untuk membantu memasak makanan bagi anggota bomba kami yang bertugas memadamkan kebakaran di kilang kimia di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang," katanya.
Jelas beliau, punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat kedua beradik berkenaan dihantar ke Hospital Banting untuk tindakan selanjutnya. #sumber
KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan telah mengenalpasti dalang penyebaran video seks mirip seorang menteri kanan yang tular pada 11 Jun lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, sehingga kini beberapa individu telah ditahan dan dibebaskan bagi membantu siasatan kes tersebut namun identiti mereka tidak didedahkan.
"Susulan siasatan yang dilakukan, kami telah mempunyai bayangan (petunjuk) individu yang bertanggungjawab.
"Terdapat satu bentuk pakatan atau konspirasi untuk merakamnya," katanya pada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Perumahan Polis Blok Melati di Setiawangsa di sini malam tadi.
Menurut Abdul Hamid, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan termasuk mengambil tindakan susulan terhadap dalang utama pembikinan dan penyebaran klip video berkenaan.
"Tidak kira sama ada yang terlibat merupakan ahli politik, orang biasa atau Badan Bukan Kerajaan, polis buta (tutup mata) tentang itu, siapa bertanggungjawab akan dikenakan tindakan.
"Malah mereka yang terbabit dalam menyebarkan video lucah hubungan sejenis itu juga akan diambil tindakan," tegas beliau.
Tambah Abdul Hamid, kertas siasatan berhubung kes itu telah dihantar sebanyak dua kali kepada Pejabat Peguam Negara namun dipulangkan semula berikutan beberapa tindakan yang perlu dilengkapkan.
"Menerusi perbincangan yang dilakukan, pihak polis akan mengambil beberapa tindakan berdasarkan arahan Pejabat Peguam Negara bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan semula.
"Kali terakhir kertas siasatan tersebut diserahkan kepada pihak Peguam Negara adalah pada Khamis lalu," katanya. #sumber
KUANTAN - Polis menahan seorang lelaki yang didakwa menjadikan tiga lelaki warga India sebagai buruh paksa di ladang kelapa sawit di Kuala Lipis, Lipis dekat sini.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata suspek yang berumur 36 tahun dari Kuala Lipis itu, ditahan pada petang semalam di sebuah kedai makan berhampiran ladang sawit itu.
Katanya, suspek dipercayai mendera mangsa yang berusia antara 33 hingga 48 tahun dengan memukul, tidak memberi makan, diarahkan bekerja tanpa cuti dan kerja lebih masa serta tidak dibenarkan ke kedai.
"Mangsa mendakwa ke negara ini dengan menggunakan khidmat ejen di India dan pas lawatan sosial sebelum dijemput suspek di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke ladang.
"Mereka mendakwa suspek merampas pasport dan telefon bimbit mereka sebaik sahaja tiba dan ditempatkan di rumah kongsi ladang dengan bayaran sekitar RM600 selain ada yang tidak dibayar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Azli berkata mangsa yang semuanya sudah berkahwin tiba ke negara ini antara September 2018 dan April lepas juga mendakwa suspek gagal mendapatkan permit kerja untuk mereka.
Katanya, seorang daripada mangsa juga mendakwa dirantai pada pergelangan tangan dan dipukul selama lebih sebulan sehingga menyebabkan kecederaan pada tangan kiri.
Katanya, perbuatan mangsa terbongkar apabila seorang daripada mangsa dapat melarikan diri dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis semalam.
"Mangsa yang diselamatkan akan ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Melaka manakala suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini," katanya.
Azli berkata siasatan dijalankan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. #sumber
PEKAN - "Tuanku permaisuri menasihatkan saya supaya menjaga rumahtangga, jaga isteri dan kelakuan...jangan ulang kesilapan lama kerana ini peluang kedua saya untuk membaiki diri".
Itu kata bekas penghuni Penjara Penor di sini, dikenali sebagai Mat Ngek, 40, yang menerima ucapan tahniah daripada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Tunku Azizah berkenan menzahirkan ucapan itu semasa bertemu Mat Ngek yang baru melangsungkan perkahwinan semalam, dan isteri, Leha, 54, semasa mencemar duli melawat Pusat Tenun Pahang Diraja, Kampung Budaya Pulau Keladi di sini hari ini, tempat Mat Ngek bekerja.
"Tuanku juga berkenan berjumpa dengan isteri yang datang menemani saya hari ini. Baginda juga berkenan menyampaikan kurniaan kepada kami dan memberikan nasihat kepada kami untuk sabar melayari ujian berumahtangga.
"Baginda berpesan supaya isteri jangan mudah cemburu kerana di sini pekerjanya ramai wanita. Jasa tuanku dengan saya begitu banyak... sejak dari dalam penjara lagi kerana kemahiran menenun dipelajari di Penjara Penor," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mat Ngek dan Leha melangsungkan perkahwinan di Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan dekat sini, setelah sebulan berkenalan di laman sosial Facebook sekitar hujung Mei lepas.
Anak jati Kuala Berang, Terengganu itu berkata dia mula bekerja di pusat tenun itu pada Februari lepas, selepas tamat menjalani hukuman penjara sejak 2012 kerana menyamun.
"Raja Permaisuri Agong menawarkan kerja kepada saya dan memang kebiasaan baginda berbuat demikian kepada banduan yang baru dibebaskan. Mungkin kerana kami sudah mempunyai kemahiran selain baginda tahu mutu hasil kerja kami.
"Saya sendiri pernah menenun persalinan untuk perkahwinan anakanda saudara Tunku Azizah, Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, persalinan bersiram bagi istiadat pertabalan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selain beberapa majlis negara.
"Bagaimanapun, orang sukar untuk percaya kerana status saya. Hendak mendapat kerja pun sukar, jadi lebih baik bekerja dengan Tunku Azizah. Secara tak langsung menjauhkan saya daripada perkara yang boleh menarik saya ke jalan lama," katanya.
Mat Ngek berkata dia mengambil masa enam bulan untuk menguasai kemahiran menenun kerana 'kosong' dalam kraftangan itu semasa mula-mula menjejak kaki ke penjara.
Dia mengakui senang bekerja dengan Tunku Azizah kerana keperibadian baginda yang sering memberi semangat kepada banduan untuk membaiki diri dan tidak pernah sesekali memandang rendah kepada mereka.
"Baginda juga pemurah dan sering membawa makanan kepada kami. Ada masanya baginda menjamu kami dengan juadah yang dimasak sendiri selain menjadi kelaziman untuk baginda bertanya kepada kami jika ada makanan yang kami mahu," katanya.
Terdahulu, Tunku Azizah berkenan mencemar duli ke Bengkel Tenun Pahang Diraja di Penjara Penor di sini, untuk menziarah hampir 60 banduan di situ yang kesemuanya kelihatan teruja menyambut ketibaan baginda.
Baginda yang ditemani puteri sulung Sultan Terengganu, Tengku Nadhirah Zahrah Tuanku Mizan, meluangkan masa selama hampir dua jam di situ untuk meninjau proses penghasilan kain tersebut.
Baginda juga dilihat meneliti hasil kerja dan menasihatkan seorang banduan yang baharu sebulan dibenarkan mengendalikan 'kek' (alat tenun) yang dilihat agak gementar kerana beberapa benang yang ditenunnya putus.
"Awak baharu ya Belajar elok-elok...banyakkan belajar supaya benang tak putus lagi," titah baginda. #sumber
TUMPAT - Pakatan Harapan (PH) perlu memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen di kawasan majoriti orang Melayu agar bagi mengimbangi kerusi antara kaum, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.
Mohamad berkata ia penting agar tuduhan yang dilemparkan beberapa pihak bahawa kerajaan Persekutuan kini hanya dikuasai oleh satu kaum sahaja dapat ditepis.
"Sekarang kerajaan dituduh (diperintah oleh) majoriti satu kaum (sahaja) jadi lebih harmoni kalau dapat ditambah 30 (kerusi majoriti orang Melayu) ke atas.
"Insya-Allah ada harapan ke arah itu tambahan pula perpindahan ahli kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) yang semakin ketara ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah kawasan Tumpat kali ke-4 di Dewan Kompleks Perpaduan, Terbak di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ketua Amanah kawasan Tumpat Wan Mohd Johari Wan Omar.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata justeru rakan komponen PH yang berteraskan orang Melayu perlu bekerja keras terutama di kawasan pantai timur dan utara tanah air dalam merealisasikan hasrat berkenaan.
"Yang kita yang belum banyak lagi menang terutama di Kelantan, Terengganu, Pahang dan beberapa (kawasan) di Kedah. Jadi di sini perlu Amanah, Bersatu dan Keadilan perlu tambah kerusi mereka. DAP dah menang hampir kesemua (kerusi Parlimen) yang diperuntukkan kepada mereka," katanya.
Ditanya mengenai pendapat Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa yang mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan Perdana Menteri selepas ini, Mohamad berkata ia merupakan pendapat peribadi beliau.
"Itu pandangan peribadi dia, kita tak ada masalah. Sesiapa saja boleh keluarkan pandangan... itu hak masing-masing untuk bercakap," katanya. #sumber
KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menyatakan sokongan agar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diberi tempoh secukupnya untuk memulihkan ekonomi negara.
Beliau berkata langkah itu wajar dilakukan Dr Mahathir sebelum menyerahkan jawatan perdana menteri kepada penggantinya.
Mohamed Azmin turut bersetuju dengan kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir agar Dr Mahathir diberikan tempoh untuk memulihkan ekonomi negara terlebih dahulu sebelum menyerahkan jawatan perdana menteri.
“Setuju,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai kenyataan Mukhriz, yang juga Menteri Besar Kedah, dalam wawancara bersama Nikkei Asian Review baru-baru ini.
Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi melancarkan Karnival Kerjaya Graduan Aspire, di sini.
Dalam wawancara itu, Mukhriz berkata tiada perjanjian yang peralihan kuasa perlu berlaku dalam tempoh dua tahun, malah cadangan sebegitu tidak dinyatakan sama ada atas kertas mahupun perjanjian secara lisan.
Mukhriz menegaskan Dr Mahathir perlu diberikan masa untuk menjalankan tugas sebagai perdana menteri walaupun usia Pengerusi Pakatan Harapan itu sudah lanjut. #sumber