script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

187 Koperasi Sekolah Di Pahang Catat Nilai Aset RM24.8 Juta


KUANTAN - Sebanyak 187 koperasi sekolah di Pahang mempunyai nilai aset semasa berjumlah RM24.8 juta sehingga tahun lalu.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri, Ibrahim Kasah berkata, jumlah aset itu merangkumi bangunan dan perniagaan dimiliki koperasi berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya merekodkan sejumlah 104,079 guru, kakitangan sekolah dan pelajar menjadi ahli koperasi sekolah masing-masing sehingga Disember lalu.


"Berdasarkan rekod yang kami ada, jumlah koperasi terbanyak didaftarkan di Pahang ialah di Kuantan dengan 63 koperasi, Raub/Lipis (26), Temerloh (21), Muadzam Shah (19), Jerantut (17), Jengka/Maran (16), Bentong (15) dan Bera (10).

"Nilai modal atau syer semua koperasi itu mencecah RM1.6 juta, manakala jumlah untung rugi semasa pula sebanyak RM2.5 juta.

"SKM menyedari masih ada sekolah di Pahang belum mempunyai koperasi dan kita sedang melakukan program turun padang bagi memberi penerangan mengenai kepentingan (penubuhan) koperasi bagi memulakan amalan keusahawanan sejak di bangku sekolah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ibrahim berkata, kebanyakan koperasi sekolah di negeri ini juga mempunyai kemampuan dalam menghasilkan produk berkualiti tinggi dan SKM sedang mencari jalan untuk membantu mengkomersialkan produk berkenaan melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan pemain industri yang berminat.

"Ada antara produk hasil inovasi koperasi sekolah mempunyai nilai komersial dan boleh dipasarkan dengan lebih luas. Cuma kita (SKM) mempunyai kekangan dari segi dana untuk menghasilkan produk itu secara besar-besaran.

"Paling penting kena paten terlebih dahulu produk dihasilkan. SKM sedang menjalinkan kerjasama dengan JPNP bagi memastikan setiap produk inovasi pelajar yang dikomersialkan kelak dapat memberi pulangan kepada koperasi (sekolah) terbabit," katanya. #sumber

Share:

Pasukan Khas Di Tubuhkan Jaga Kebersihan Bandar Kuantan !


KUANTAN - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang menubuhkan 'Task Force' melibatkan beberapa agensi kerajaan dan swasta dalam memastikan bandar Kuantan sentiasa dalam keadaan bersih.

Pasukan tersebut turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuantan, Alam Flora Sdn Bhd, Roadcare Sdn Bhd dan YP Maintenance Sdn Bhd.

Pengarahnya, Sharudin Hamid berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan pada setiap Selasa bagi membincangkan isu berkaitan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di daerah ini melibatkan agensi-agensi tersebut.

"Kita akan mengadakan mesyuarat 'War Room' bagi menyelaraskan kerja-kerja yang melibatkan skop berbeza antara agensi dan penyelesaian isu pembersihan jalan-jalan JKR di bandar.

"Kita juga turut melakukan penyelarasan pertindihan jadual kerja dan kerjasama strategik dalam pelaksanaan program-program CSR kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan pelancaran Pasukan Khas 'Task Force' Kebersihan Kuantan di Taman Bandar, Indera Mahkota, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan negeri, Abdul Rahim Muda yang turut merasmikan program tersebut.

Sharudin berkata, dengan tertubuhnya pasukan berkenaan, pihaknya berharap aspek penjagaan kebersihan alam sekitar dapat dilaksanakan secara efektif dan holistik.

Dalam pada itu, menurutnya, jalan-jalan utama dan kawasan yang menjadi tumpuan utama masyarakat khususnya pelancong merupakan fokus utama bagi menampilkan imej positif terhadap kebersihan bandar Kuantan.

"Kita juga akan bertindak di atas laporan orang awam dan akan melakukan pembersihan yang mungkin akan melibatkan penduduk setempat bagi memastikan ia sentiasa bersih dan (pencemaran) tidak berulang kali.

"Kali ini, kita akan memastikan kawasan yang kita lakukan pembersihan tidak hanya bersih pada hari kita lakukan pembersihan, namun kita mahukan ia kekal bersih pada setiap masa," katanya. #sumber
Share:

Kes Pasang Bendera Terbalik, Pahang Kaji Semula Kompaun !


KUANTAN - Kerajaan Pahang akan mengkaji semula kadar kompaun bagi kesalahan memasang bendera dalam keadaan tidak sempurna berikutan kadar sedia ada terlalu rendah.

Exco Perumahan dan Kerajaan negeri, Abdul Rahim Muda berkata, penelitian terperinci harus dilakukan disebabkan denda tersebut sudah termaktub dalam peruntukan undang-undang.

Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri dalam masa terdekat bagi mencadangkan jumlah kompaun yang lebih bersesuaian dengan kesalahan berkenaan.

"Perkara untuk menaikkan kadar kompaun tersebut kita perlu lakukan perbincangan dalam mesyuarat dan jika ia diluluskan, kita perlu juga lakukan semakan kerana peruntukan undang-undang membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum melaksanakannya.

"Ia membabitkan peruntukan undang-undang di peringkat Persekutuan kerana semua PBT menggunakan atau mengenakan kadar kompaun yang sama.

"Memang kita menyedari jumlah kompaun RM500 yang dikenakan sekarang boleh dikatakan agak rendah jika dibandingkan dengan kesalahan dilakukan pemilik premis tapi ia perlu dibincangkan dengan teliti dan banyak aspek perlu diambil kira," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Pelancaran Pasukan Khas 'Task Force' Kebersihan Kuantan di Taman Tasik Bandar, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri, Sharuddin Hamid dan Setiausaha Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Hamiza Hamzah.

Abdul Rahim mencuba membawa jentera itala untuk membersihkan sampah ketika gimik perasmian Program Pelancaran Pasukan Khas di Taman Bandar, Indera Mahkota, di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai komen netizen yang menganggap kadar kompaun RM500 dikenakan MPK terhadap pemilik premis dekat Sungai Isap yang memasang bendera Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik baru-baru ini, terlalu rendah.

Terdahulu, pemilik premis yang telah memasang bendera Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik sudah dikenakan kompaun mengikut Akta Kerajaan Tempatan 171 (1976).

Sementara itu, Hamiza berkata, kadar kompaun RM500 itu adalah maksimum dan mungkin boleh disemak semula dalam memastikan pemilik premis lebih peka dengan cara pemasangan bendera Jalur Gemilang atau bendera negeri yang betul.

"Perkara ini perlu dibincangkan melalui kerajaan negeri dan sebarang cadangan atau keputusan perlu dibawa kepada perhatian (kerajaan) Persekutuan kerana ia membabitkan pindaan dalam akta PBT seluruh negara," katanya. #sumber
Share:

Bantu Pelajar Kurang Berkemampuan Dengan Hasil Pertanian


KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan tanah seluas kira-kira 330 hektar di Sungai Lembing di sini untuk diusahakan Pahang Skills Development Centre (Pahang Skills) dengan aktiviti pertanian.

Pengerusi Pahang Skills Datuk Mas’ut Awang Samah berkata hasil aktiviti pertanian itu akan digunakan untuk menaja kos pengajian pelajar mereka yang kurang berkemampuan.

"Kita memperoleh kelulusan pada tahun ini dan aktiviti pertanian dijangka boleh dimulakan tahun hadapan dengan tanaman dirancang ialah kelapa sawit.

“Pahang Skills mempunyai pangkalan data bagi mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan supaya mereka yang benar-benar memerlukannya tidak terlepas pandang,” katanya.

Mas’ut berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pengukuhan Integriti dan Ikrar Bebas Rasuah di Pahang Skills di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang Mohamad Fauzi Husin.

Pada program itu, Pengarah Eksekutif Pahang Skills Suris Mihat mengetuai seramai 87 kakitangan Pahang Skills dan 500 pelajar melafazkan Ikrar Bebas Rasuah.

Mas’ut berkata pihaknya merancang menganjurkan slot program dan ceramah melibatkan pegawai SPRM dalam usaha menerapkan integriti dan pencegahan rasuah kepada pelajar di situ.

Pada perkembangan lain, Mas’ut berkata mereka menyasarkan kebolehpasaran graduan sebanyak 95 peratus pada tahun hadapan, berbanding 92 peratus pada masa kini. #sumber
Share:

Kes SRC: Najib Dibebas, Dipanggil Bela Diri Diketahui 11 Nov !


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tujuh pertuduhan berhubung penyelewangan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, akan mengetahui nasibnya pada 11 Nov ini.

Pada hari berkenaan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar perbicaraan kes itu, akan memutuskan sama ada akan memanggil Najib membela diri atau membebaskannya daripada tuduhan itu.

Mohd Nazlan menetapkan 3 dan 4 Dis, 9 Dis hingga 12 Dis serta 16 Dis untuk mendengar pembelaan Najib sekiranya mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sebelum itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan agar kes pembelaan bermula pada Januari depan memandangkan pasukan pembelaan terlibat dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib di hadapan hakim lain yang dijadualkan bermula esok sehingga awal November.

“Kami juga perlu berehat. Kami juga merancang untuk bercuti pada Disember,” katanya dan memaklumkan mahkamah bahawa beliau mempunyai perbicaraan kes bunuh di Shah Alam.

Mohd Nazlan berkata agak lewat bagi pembelaan untuk memulakan kesnya pada Januari tahun depan memandangkan pendakwaan menutup kes pada Ogos (hari ini).

“Malah, saya bersedia untuk mendengar kes pembelaan jika dipanggil membela diri selepas 11 November. Januari agak lewat. Sekurang-kurangnya kita mula awal Disember,” kata hakim.

Muhammad Shafee juga memohon kepada pendakwaan supaya mengambil tindakan terhadap artikel yang beliau dakwa menghina perbicaraan.

“Ia antara artikel yang paling teruk, dengan analisis dan angka,” katanya tanpa mendedahkan tajuk atau penulis artikel berkenaan.

Sebelum prosiding berakhir, Peguam Negara Tommy Thomas mengucapkan terima kasih kepada Mohd Nazlan yang mendengar perbicaraan kes pendakwaan yang mengambil masa 58 hari.

Najib, 66, Ahli Parlimen Pekan, pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai, 2018 untuk berdepan tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos, beliau didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yang sama dan kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Beliau didakwa melakukan kesemua tujuh pertuduhan itu antara 17 Ogos, 2011 dan 10 Feb, 2015. #sumber
Share:

Kes SRC Najib: Pendakwaan Tutup Kes, Dengar Hujah 22 Okt


KUALA LUMPUR - Pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, menutup kesnya hari ini selepas mengemukakan 57 saksi sepanjang 58 hari perbicaraan bermula 3 April, lepas di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Negara Tommy Thomas memaklumkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pendakwaan menutup kesnya terhadap Najib selepas pemeriksaan balas saksi terakhir, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain.

“Dengan ini Yang Arif, perbicaraan yang bermula 3 April tahun ini selama 58 hari dan 57 saksi, sampai ke penghujung kes kami,” katanya.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan menawarkan 66 saksi kepada pihak pembelaan sekiranya dipanggil membela diri.

“Dengan ini, saya secara rasmi menutup kes pendakwaan,” kata Peguam Negara.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan menyoal pendakwaan sama ada semua saksi ada secara fizikal dan Timbalan Pendawka Raya Datuk V.Sithambaran menjelaskan bahawa kebanyakan saksi boleh dihubungi.

“Kami tentunya akan memastikan saksi boleh dihubungi. Sekiranya dapat mencari mereka, kami akan memaklumkan pihak pembelaan,” katanya.

Mohd Nazlan menetapkan 22 dan 23 Oktober ini mendengar hujah lisan pendakwaan dan pembelaan serta memerintahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujah bertulis mereka pada 24 Sept.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan mengemukakan lebih 750 barang kes termasuk dokumen bank berkaitan akaun bank milik Najib, dokumen pemindahan wang, minit mesyuarat dan Blackberry Messanger berhubung transaksi wang Najib.

Antara saksi utama ialah pengurus Ambank Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 40; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) Datuk Azian Mohd Noh, 66; bekas pengerusi Lembaga SRC Tan Sri Ismee Ismail, 54 , bekas Pengarah Bukan Eksekutif SRC, Datuk Suboh Md Yassin, 68; bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 67; bekas pengurus perhubungan di AmBank Joanna Yu Ging Ping, 48; bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, 67; dan Rosli, 54, yang merupakan pegawai penyiasat kes itu.

Najib, Ahli Parlimen Pekan, pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai, 2018 untuk berdepan tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos, beliau didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yang sama dan kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Najib, 66, perdana menteri keenam Malaysia, mulai April 2009 hingga Mei 2018, merupakan perdana menteri pertama yang dihadapkan ke mahkamah. Beliau dituduh melakukan kesalahan itu antara 17 Ogos, 2011 dan 10 Feb, 2015.

Tiga pertuduhan CBT yang dihadapi Najib ialah :

Bagi pertuduhan pertama, Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini antara 24 Dis 2014 dan 29 Dis 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Feb 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama.

Bagi pertuduhan lain, Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

Najib dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa telah menerima, masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, yang merupakan hasil aktiviti haram, yang dipindahkan mengikut Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) ke dalam akaun miliknya di AmIslamic Bank Berhad menggunakan nombor akaun 2112022011880 dan 2112022011906.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan, di sini, antara 26 Dis, 2014, dan 10 Feb, 2015.
Pertuduhan-pertuduhan itu difailkan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntukkan penalti mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan antara 26 Dis 2014 dan 10 Feb 2015.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. #sumber

Share:

SPR Akur Keputusan Mahkamah Batalkan Kemenangan Anifah


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akur dan tidak akan membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan keputusan Pilihan Raya kerusi Parlimen P.176 Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun bagaimana pun berkata pihaknya hanya akan terlibat di dalam prosiding mahkamah jika penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Anifah Aman membuat rayuan terhadap keputusan yang telah diisytiharkan oleh mahkamah pada 23 Ogos lalu.

“Buat masa ini, SPR perlu menunggu perakuan keputusan Mahkamah Pilihan Raya atau sehingga tempoh untuk merayu tamat, iaitu pada 29 Ogos ini, bagi tindakan selanjutnya. SPR sentiasa bersedia untuk menjalankan Pilihan Raya Kecil sekiranya ia perlu diadakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 16 Ogos lepas Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan bahawa kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis pada PRU14 adalah tidak sah dan terbatal.

Hakim Lee Heng Cheong berkata keputusan tersebut dibuat selepas pemeriksaan semula ke atas peti-peti undi mendapati terdapat unsur-unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya. #sumber
Share:

Biacara Kes Dana SRC: Peguam Najib Mohon Butiran Lanjut


KUALA LUMPUR - Pihak pembelaan penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun akan memfailkan permohonan bagi mendapatkan butiran lanjut yang tidak terkandung dalam kertas pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram. 

Perkara itu dimaklumkan Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican pada sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Azman Ahmad di Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi.

Menurut Hasnal Rezua permohonan itu berikutan terdapat perkembangan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn. Bhd.

"Permohonan itu relevan dengan kes SRC yang sedang berlangsung di mana butiran lanjut yang tidak terkandung dalam pertuduhan mengenai dari mana sumber wang yang tertulis dalam cek atas nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Pihak kami dimaklumkan perkembangan terbaharu bahawa saksi pendakwaan, pegawai  penyiasat SPRM mengesahkan ada kemasukan RM600 juta ke akaun Najib, " katanya yang akan memfailkan permohonan itu pada 6 September ini.

Ujarnya, dalam keterangan saksi itu, berkata, kemasukan dana RM600 juta itu adalah daripada Putera Arab Saudi dan Kementerian Kewangan Riyadh.

Justeru beliau memaklumkan, perkara itu mempunyai kaitan dalam kes yang dituduh terhadap anak guamnya yang didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram menerusi cek milik Najib yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman Mohd. Hafarizam.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul memberitahu kepada mahkamah bahawa pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Berikutan itu Hakim Azman Ahmad kemudian, menetapkan pendengaran permohonan pada 23 September ini.

Sementara itu berhubung dengan tarikh perbicaraan mahkamah menetapkan selama empat hari bermula 22 Oktober serta 11 hingga 13 November ini dengan 15 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Pada 21 Februari Mohd. Hafarizam, 47, yang juga Penasihat Undang-undang UMNO mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Mohd. Hafarizam yang turut mewakili beberapa kes sivil Najib didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam tiga transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram dengan memasukkan tiga keping cek AmIslamic Bank berjumlah RM15 juta milik Mohd. Najib Abdul Razak ke dalam akaun pelanggan firma guaman miliknya Tetuan, Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM).

Kesemua kesalahan  itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan PWTC, Menara Dato' Onn, Jalan Tun Ismail di sini antara 16 April 2014 hingga 12 Februari 2015.

Berikutan itu kedua-dua pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda minimum lima kali ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. #sumber
Share:

Tun Mahathir: Kerajaan Pakatan Harapan Tak Berpecah-Belah


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berpecah-belah mahupun hilang sokongan seperti didakwa oleh sesetengah pihak.

Beliau berkata, ahli Kabinet duduk bersama-sama dan mampu membuat keputusan mengenai isu kritikal sejak hampir setahun.

"Anda boleh lihat sama ada saya berjalan bersendirian atau tidak. Saya berjalan di mana-mana dan di mana sahaja saya pergi orang ramai akan berjabat tangan dan menyatakan sokongan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelancongan Sedunia 2019 di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Pakatan Harapan akan berpecah-belah berikutan pertelingkahan dalaman.

Zahid berkata demikian semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan MIC ke-73 di Pusat Perdagangan Dunia Putra di sini Ahad (25 Ogos). #sumber
Share:

Exco Perak Paul Yong Umum Bercuti, Fokus Bicara Kes Rogol


IPOH – Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong hari ini memaklumkan akan bercuri daripada menjalankan tugas-tugas rasminya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak.

Choo Kiong berkata, beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai keputusan tersebut.

“Sebagai seorang ahli politik, saya perlu meletakkan kepentingan kerajaan negeri melebihi kepentingan peribadi.

“Selepas meneliti situasi terkini, saya mengambil keputusan untuk bercuti sementara bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada perbicaraan mahkamah bagi membersihkan nama saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Choo Kiong, beliau akan mengarahkan peguamnya untuk memohon kepada mahkamah bagi mendapatkan tarikh perbicaraan agar dia dapat membersihkan nama sekali gus membuktikan dia tidak bersalah secepat mungkin.

Katanya, beliau masih akan berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh seperti biasa.

“Saya yakin fitnah ini merupakan suatu komplot jahat yang bermotifkan politik dan pertuduhan bersifat jahat ini telah menyebabkan kesusahan terhadap rakan sekerja, ahli keluarga dan juga diri saya," katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, Choo Kiong berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan selepas dia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol wanita Indonesia yang me­rupakan pembantu rumahnya Julai lalu.  

Choo Kiong bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan itu. #sumber
Share:

Tun Dr Mahathir: Jangan Layan Lynas Sebagai Orang Terbuang


KUALA LUMPUR - Lynas Malaysia Sdn. Bhd., syarikat perlombongan nadir bumi, tidak wajar dilayan sebagai orang terbuang memandangkan ia membawa pelaburan besar serta pekerjaan, kata Perdana Menteri,Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Ia merupakan pelaburan besar, RM1.7 bilion. Ia mewujudkan 700 pekerjaan berkualiti tinggi, pekerjaan yang membayar upah yang tinggi. Ia perlu untuk pelaburan kita.

"Jika anda layan Lynas seperti orang asing dan meminta mereka meninggalkan negara ini, kita tidak akan dapat menarik orang lain untuk melabur di negara ini," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Persidangan Pelancongan Dunia 2019 yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Mohamaddin Ketapi, di sini hari ini.

Mahathir ditanya mengenai dakwaan oleh pengkritik syarikat pelombong nadir bumi itu bahawa lesen syarikat berkenaan diperbaharui kerana hubungan eratnya dengan kerajaan Jepun. Dalam jawapan ringkasnya, beliau berkata "Ia tidak ada hubungan dengan Jepun".

Laporan sebelum ini menyebut bahawa kerajaan membaharu lesen operasi Lynas yang akan tamat tempoh bulan depan, kepada enam bulan, dengan syarat mencari tapak pelupusan kekal untuk residu penulenan air (WLP) yang dihasilkan.

Pelanjutan sehingga 2030 untuk membayar balik US$147 juta (RM620 juta) akan membantu Lynas mematuhi pelan pengembangan 2025nya.

Pada Ahad, satu perhimpunan diadakan untuk menentang pelanjutan lesen operasi loji pemprosesan nadir bumi milik Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas). #sumber
Share:

Bersatu Sokong Lynas Terus Di Benarkan Teruskan Beroperasi


KUANTAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini berpendirian bahawa kilang memperoses nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) seharusnya dibenarkan untuk meneruskan operasi di kilangnya di Kawaasan Perindustrian Gebeng di sini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, Lynas merupakan pelaburan besar kepada negara dan sentiasa mematuhi peraturan disyaratkan kerajaan, sekali gus menunjukkan ketelusan dan keseriusan mereka.

"Lynas mempunyai pengurusan risiko tersendiri. Operasi Lynas bukan tidak berisiko namun kami diterangkan risiko itu. Mereka sudah mengenal pasti serta menguruskan risiko dengan cara yang betul," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai rombongan Bersatu mengadakan lawatan yang berlarutan selama hampir lapan jam di kilang Lynas di sini yang meliputi sesi taklimat, soal jawab bersama pekerja Lynas dan lawatan ke setiap pelusuk kilang itu.

Turut hadir ialah Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Pahang, Wan Mohd Shahrir Wan Abdul Jalil, MT Bersatu, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi dan Ketua Biro Integriti Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Dr Muhammad Faiz Na'aman. 

Sehubungan itu, Wan Saiful berkata ahli politik yang tidak bersetuju dengan Lynas seharusnya mengambil inisiatif berkunjung ke kilang itu untuk mendapat penerangan yang tepat dan disokong bukti saintifik.

"Kita perlu masuk ke dalam politik era Malaysia Baharu dan pastikan komen yang diberikan adalah berdasarkan fakta dan maklumat tepat... untuk menghala ke arah itu, tidak cukup dengan hanya membaca di Kuala Lumpur, sebaliknya turun dan lihat sendiri.

"Datang, lihat dan dengar taklimat daripada Lynas. Mungkin mereka juga boleh membawa bersama pakar yang telah memberi penjelasan dalam isu Lynas dan mereka yang mengiktiraf operasi kilang ini selamat untuk mendapat pandangan pihak ketiga," katanya.

Wan Saiful berkata semua dapatan berkaitan operasi Lynas yang mempunyai hampir 1,000 pekerja dengan 97 peratus daripada rakyat tempatan, akan dibawa ke pengetahuan pimpinan atasan Bersatu termasuk Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, Malaysia sebagai sebuah negara yang mengalu-alukan kemasukan pelabur juga perlu menjaga keyakinan pelabur untuk berada di negara ini dan tidak boleh dilihat menolak pelabur hanya kerana disebabkan sifat prasangka. #sumber
Share:

Tiada Tindakan Terhadap Azmin, Gagal Hadir Mesyuarat PKR


PETALING JAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mengeluarkan sebarang surat peringatan kepada timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilaporkan gagal menghadiri beberapa mesyuarat biro politik parti itu.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim berkata pada masa ini, pihaknya tidak mempunyai sebab munasabah untuk mengambil tindakan terhadap Mohamed Azmin.

“Tidak ada surat peringatan yang kita keluarkan kepada timbalan presiden, sebab dia tidak buat apa-apa (perkara) yang perlu kita keluarkan surat minta penjelasan.

“Urusan (tidak hadir mesyuarat) itu bukan urusan atau bidang Lembaga Disiplin, itu urusan Setiausaha Agung PKR (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail),” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Biro Politik PKR, di sini, hari ini.

Ahmad ditanya mengenai ketidakhadiran Mohamed Azmin pada beberapa mesyuarat PKR, sebelum ini.

Dalam pada itu, Ahmad berkata Lembaga Disiplin PKR tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Ahmad berkata setakat ini, Biro Politik PKR berpuas hati dengan kandungan surat penjelasan kedua-dua mereka yang turut disertakan dengan permohonan maaf, berhubung kenyataan mengenai video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Pada 25 Julai lepas, Lembaga Disiplin menghubungi Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor, dan Farhash serta beberapa anggota parti yang lain berhubung kenyataan dikeluarkan mengenai isu video lucah itu yang tular di media sosial pada Jun lepas. #sumber
Share:

Adib: Waytha Saman Lokman Adam Berhubung Ucapan Fitnah


KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy memfailkan saman terhadap Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam berhubung ucapan berbaur fitnah membabitkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim pada perhimpunan yang diadakan di ibu negara pada 4 Jan lepas.

Saman fitnah itu difailkan Waytha Moorthy, 53, menteri yang bertanggungjawab dalam perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial, selaku plaintif menerusi Tetuan Azri, Lee Swee Seng & Co pada 26 April lepas dengan menamakan Lokman Noor, 46, sebagai defendan.

Pihak media memperoleh salinan dokumen itu selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Latifah Mohd Tahar hari ini, yang turut dihadiri peguam Annou Xavier yang mewakili menteri terbabit dan peguam N. Logendran bertindak bagi pihak Lokman Noor.

Annou memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 1 Nov untuk pengurusan kes selanjutnya.

Dalam penyataan tuntutan, Waytha Moorthy, yang juga senator, mendakwa defendan telah berucap pada perhimpunan bantahan yang dihadiri kira-kira 100 peserta dan menyebabkan ucapannya dimuat naik dalam laman Facebooknya yang telah mendapat paparan sebanyak 55,000 dan dikongsi sebanyak 1,658 setakat 18 April lepas.

Dakwa plaintif, ucapan fitnah itu diterbitkan menerusi dua video yang dimuat naik melalui saluran Youtube KiniTV dan Sinar TV antaranya bertajuk "Beberapa menteri cuba ubah laporan bedah siasat Adib, dakwa Lokman".

Plaintif juga mendakwa ucapan fitnah itu turut diterbitkan di dalam empat artikel antaranya bertajuk "Lokman dakwa beberapa menteri cuba ubah laporan bedah siasat Adib" dan "Waytha Moorthy antara menteri minta ubah keputusan bedah siasat Adib" di beberapa portal berita termasuk Malaysia Kini dan Minda Rakyat bertarikh 4 Jan dan 5 Jan lepas.

Dakwanya, kenyataan fitnah itu antara lain bermaksud beliau seorang menteri yang tidak jujur, cuba memanipulasi laporan perubatan berkaitan kematian Muhammad Adib, gagal melaksanakan tugas sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial selain menghasut rusuhan di Kuil Sri Mariamman di USJ Subang.

Menteri itu juga mendakwa kenyataan fitnah itu adalah tidak benar dan menyebabkan reputasinya sebagai menteri dan senator Dewan Negara terjejas.

Katanya, satu surat tuntutan telah dikeluarkan pada 11 Mac lepas bagi menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf, namun defendan gagal berbuat demikian, oleh itu plaintif antara lain menuntut ganti rugi am, teladan dan injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada menerbitkan semula ucapan fitnah berkenaan menerusi media cetak dan elektronik.

Lokman Noor dalam penyata pembelaan difailkan pada 3 Julai lepas, menafikan ucapannya pada perhimpunan itu memfitnah menteri itu dan mendakwa ucapan berkenaan adalah satu komen berpatutan dan dibuat berdasarkan fakta dengan niat untuk kepentingan orang ramai. #sumber
Share:

Tengku Hassanal: Rebut Peluang Timba Ilmu Di Kolej Komuniti


KUANTAN - Rakyat Pahang dinasihatkan merebut peluang menamba ilmu khususnya dalam bidang kemahiran yang ditawarkan Kolej Kemuniti di negeri ini.

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bertitah pendidikan merupakan proses sepanjang hayat dengan ilmu pengetahuan menjadi aset terpenting dalam kehidupan.

Titah baginda, di Pahang, kewujudan Kolej Komuniti diwujudkan di banyak daerah seperti Kuantan, Pekan, Rompin, Bentong, Bera dan Jerantut, yang semuanya dikendalikan pensyarah berkelayakan.

"Banyak program ditawarkan berdasarkan kepada kemahiran yang sangat menarik dan berpotensi jika dipelajari. Ilmu kemahiran merupakan salah satu faktor utama dalam penentu pertumbuhan sektor ekonomi.

"Saya bangga dengan semangat pensyarah Kolej Komuniti Pahang yang komited dalam menyampaikan ilmu kepada graduan untuk membina kemahiran, intelek dan jati diri graduan," titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah demikian semasa berkenan mencemar duli merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Pahang 2019 di sini hari ini, melibatkan 1,226 graduan peringkat diploma dan sijil institusi pendidikan tersebut.

Turut hadir ialah Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengarah Kanan Kompetensi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia Dr Mohd Rashahidi @ Rusdi Mohamood .



Tengku Hassanal seterusnya mengingatkan graduan Kolej Komuniti supaya menggunakan ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk berbakti kepada masyarakat dan terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa depan.

"Walau setinggi mana pun ilmu yang dicapai dan dikuasai, biarlah mengikut resmi padi semakin tunduk semakin berisi. Ingatlah jasa ibu bapa, penjaga dan pensyarah yang sentiasa berusaha memberi ilmu kepada anda.

"Jadilah seorang graduan yang berketerampilan dan profesional serta dalam masa sama memiliki keperibadian yang teguh, mulia dan bebas daripada sikap riak mahupun meninggi diri," titah baginda.

Tengku Hassanal juga berkenan menzahirkan rasa terima kasih kepada pensyarah dan pengurusan serta pentadbiran Kolej Komuniti yang melancarkan proses pendidikan di institusi berkenaan. #sumber
Share:

Polis: Zakir Naik Tidak Di Benarkan Beri Ceramah Di Malaysia


KUALA LUMPUR - Semua program berkaitan penceramah bebas Dr Zakir Naik di seluruh negara adalah tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad berkata arahan ini dikeluarkan berikutan ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

"Selain itu semua Ketua Polis Negeri telah diarahkan supaya memberi nasihat kepada pihak-pihak yang akan menganjurkan program melibatkan Zakir supaya menghentikan semua program-program berkenaan.

"Semua aktiviti melibatkan Zakir adalah tidak dibenarkan dan arahan ini berkuat kuasa mulai 15 Ogos lepas," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada Jumaat lepas, Zakir yang telah mendapat status pemastautin tetap di Malaysia telah diambil keterangan buat kali pertama di Bukit Aman selama lima jam.

Semalam, Zakir telah memberikan keterangan buat kali kedua kepada polis selama 10 jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini sehingga lewat malam.

Penceramah bebas dari India itu dikatakan membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia semasa ceramah di Kota Bharu pada 3 Ogos lalu dan ini mencetuskan desakan supaya dia dihantar pulang ke India.

Zakir dikehendaki oleh pihak berkuasa India sejak 2016 kerana didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dan menghasut ekstremisme melalui ucapan berbaur kebencian.

Khamis lepas polis menerima 115 laporan terhadap Zakir mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan. #sumber
Share:

Altantuya: Kerajaan Bangkit Empat Persoalan Undang-Undang


PUTRAJAYA - Kerajaan mahu Mahkamah Persekutuan menentukan persoalan undang-undang sama ada ia (kerajaan) akan bertanggungjawab dalam tort di bawah Akta Prosiding Kerajaan 1956 apabila pegawai awam melakukan kesalahan membunuh.

Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan, Jabatan Peguam Negara Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman hari ini memohon Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada kerajaan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memasukkan kembali (kerajaan) sebagai defendan dalam saman yang difailkan keluarga model warga Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu.

Beliau memohon mahkamah menentukan empat persoalan undang-undang yang adalah persoalan novel iaitu yang pertama dibangkitkan mengenai liabiliti kerajaan bagi pembunuhan yang dilakukan oleh ejen atau pekerjanya.

Soalan itu adalah: 

Sama ada kerajaan bertanggungjawab dalam tort di bawah Seksyen 5 Akta Prosiding Kerajaan 1956 apabila pegawai awam melakukan kesalahan membunuh
Sama ada pembunuhan adalah punca tindakan di bawah Seksyen 7 (1) Akta Undang-Undang Sivil 1956

Sama ada pendakwaan terhadap kesalahan membunuh oleh pegawai awam di mahkamah jenayah akan menyebabkan kerajaan bertanggungajwab di bawah Seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil

Sama ada pembunuhan adalah tort

Peguam Ramkarpal Singh, mewakili keluarga Altantuya dan dua anak lelakinya, membantah bagi permohonan kebenaran untuk merayu, dengan menyatakan ia bukan persoalan novel.

Beliau berkata kerajaan adalah bertanggungjawab kerana pada masa itu, dua anggota polis tersebut merupakan ejen kerajaan ketika mereka melakukan pembunuhan itu.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah yang mengetuai panel itu bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk P. Nallini menangguhkan permohonan itu pada 22 Ogos.

Shaariibuu Setev, isterinya, Altantsetseg Sanjaa dan dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman pada 4 Jun 2007 menuntut pampasan RM100 juta.

Dalam pernyataan tuntutan, keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka dibayar pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.

Mereka menamakan dua bekas polis daripada Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan dalam saman itu.

Abdul Razak didakwa bersuhabat dengan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya, 28, pada 2006, tetapi beliau telah dibebaskan daripada tuduhan itu pada bulan Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri, manakala Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka daripada pertuduhan itu tetapi pembebasan mereka dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015 serta menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka, berikutan rayuan pihak pendakwaan.

Pada 23 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman itu tetapi Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu pada 14 Mac 2018, sekali gus memasukkan kembali kerajaan sebagai pihak dalam saman itu. #sumber
Share:

Anwar: Kerajaan Di Gesa Kaji Semula Syarat Kelulusan Lynas


KUALA LUMPUR - Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan melanjutkan lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng, Kuantan, yang sepatutnya tamat September ini, kepada enam bulan.

Menurut Anwar perbincangan juga perlu diteruskan bagi menambah baik keputusan yang telah diambil.

“Tetapi saya fikir ia sepatutnya dilakukan secara baik menerusi perbincangan yang efektif,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media selepas Siri Jelajah Presiden ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.


Beliau mengulas keputusan kerajaan pada Khamis lepas untuk melanjutkan lesen operasi kilang memproses nadir bumi itu berserta dengan beberapa syarat utama.

Kerajaan mengenakan syarat agar Lynas membina Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF), mengemukakan perancangan pembinaan kemudahan cracking and leaching di luar negara dan menamatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan penggunaan semula residu radioaktif Water Leach Purification sebagai CondiSoil dalam bidang pertanian.

Keputusan tersebut mengundang pelbagai reaksi masyarakat sekitar yang antaranya mahu Lynas menggunakan sebaik-baiknya tempoh enam bulan itu untuk memberi penerangan lebih jelas mengenai operasi mereka kepada orang awam. #sumber
Share:

Utusan Melayu Tidak Akan Di Tutup, Harga Dinaikkan 50 sen !


KUALA LUMPUR - Kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad boleh menarik nafas lega, apabila pihak pengurusan syarikat penerbitan itu mengesahkan operasi syarikat tidak akan ditutup.

Pengerusi Eksekutif syarikat itu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata dakwaan penutupan syarikat yang mengeluarkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo itu adalah tidak benar, walaupun mengakui keadaan kewangan syarikat berusia 80 tahun itu adalah ‘tenat’.

“Kita tidak ada pilihan, kerana pilihan mudah ialah tutup, tetapi Utusan Malaysia sudah 80 tahun, Utusan yang cetuskan pelbagai kejayaan dalam negara kita. Kita (Utusan) menentang Malayan Union, Utusanlah pencetus kemerdekaan, kerana Utusanlah Bahasa Malaysia jadi bahasa utama.

“Kalau ikut operasi sepatutnya 10 tahun dahulu Utusan sudah tiada. Kalau mahu persoal tentang rugi, Utusan mengalami kerugian sejak 2010 lagi, cuma ketika itu masih ada subsidi daripada kerajaan,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat khas bersama kakitangan, di Ibu Pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini hari ini.

Abdul Aziz turut memaklumkan pihaknya akan membayar gaji tertunggak pekerja dan bekas pekerja yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) sebanyak RM2,000 selewat-lewatnya malam ini.

Namun beliau berkata tiada tarikh tetap mengenai penyelesaian tunggakan gaji dan bayaran VSS tersebut.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata bagi membantu memulihkan keadaan kewangan syarikat itu pihaknya terpaksa menaikkan harga jualan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo sebanyak 50 sen senaskah, bermula Jumaat ini.

Harga akhbar Utusan Malaysia ketika ini adalah RM1.50 manakala Kosmo pula RM1.

Abdul Aziz turut menyeru kepada orang ramai yang mengambil berat mengenai nasib yang menimpa syarikat itu, agar membantu dengan membeli akhbar yang diterbitkan, dan mengalu-alukan lebih banyak pelabur ke syarikat tersebut.

“Saya merayu kepada semua rakyat Malaysia, kerana Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, jika mahu bantu Utusan belilah akhbar kami, iklan dan langgan e-Paper Utusan. Kita akan cuba sebaik mungkin untuk sediakan berita yang relevan kerana itu tugas kita,” katanya.

Beliau turut menjelaskan parti politik UMNO tidak terlibat secara terus dalam operasi syarikat itu, dan fokus utama Utusan adalah wadah rakyat dan bukan lidah UMNO.

Sementara itu, mengenai Utusan berdepan kemungkinan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia, Abd Aziz berkata perkara itu tidak memberi kesan kepada syarikat, tetapi yang lebih membimbangkan adalah hebahan berita mengenai operasi Utusan akan ditutup semalam, telah menganggu-gugat pengurusan dan operasi syarikat itu.

Sementara itu Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan Mohd Taufek Abdul Razak berkata, walaupun tiada tarikh tetap mengenai penyelesaian pembayaran gaji tertunggak dan VSS, namun beliau percaya jaminan yang diberikan pihak pengurusan akan selesai dalam tempoh dua bulan ini.

Jelasnya hasil perbincangan dengan Abd Aziz, pengurusan sedang dalam proses menjual aset iaitu kilang percetakan Utusan di Bangi berjumlah RM60 juta.

“Mereka janji kalau dapat jual aset di Bangi itu masalah gaji dan bayaran VSS akan selesai,” katanya. #sumber
Share:

Wan Rosdy: Ramai Pakar Telah Sahkan Operasi Lynas Selamat



KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini, berkata ramai pakar dalam bidang tenaga atom mengesahkan operasi kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) sebagai selamat.

Katanya, banyak kajian dan penilaian berhubung operasi kilang itu dilakukan, malah termasuk sebelum kilang itu dibenarkan beroperasi di Gebeng di sini, sehinggalah ke penubuhan Jawatankuasa Penilaian di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan pada tahun lepas.

"Pada 2011, kajian telah dijalankan oleh Panel Pakar Bebas Antarabangsa oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dengan sembilan ahli profesional diketuai Dr Tero Varjoranta mengenai operasi Lynas di sini. Mereka pakar dalam pelbagai bidang dari Kanada, Finland, India, Belanda, United Kingdom dan Itali.

"Pada tahun sama, seorang lagi pakar iaitu Yukiya Amano sebagai Pengarah IAEA juga telah berkunjung ke negara kita dan mengesahkan operasi Lynas selamat dan tidak memberi kesan pencemaran terhadap alam sekitar.

"Kedua-dua mereka juga mendapati projek Lynas adalah bebas daripada sisa bahan radioaktif yang boleh mengancam penduduk," katanya pada ucapan penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Wan Rosdy seterusnya menarik perhatian kepada dapatan Jawatankuasa Penilaian Operasi Lynas pada Disember tahun lepas bahawa tiada sebarang petunjuk bahawa peningkatan konsentrasi logam berat dalam air bawah tanah adalah disebabkan operasi kilang Lynas.

Pada 31 Mac lepas, Pengurus Besar Pematuhan Keselamatan dan Pengawalan Radiasi Lynas, Prof Ismail Bahari menurut Wan Rosdy, juga telah mengesahkan sisa radioaktif yang dihasilkan Lynas adalah sangat rendah.

"Malah, Lynas bukanlah satu-satunya yang menghasilkan sisa itu kerana industri gas dan minyak serta perlombongan timah juga mengeluarkan sisa radioaktif.

"Ini semua adalah kenyataan yang dikeluarkan pakar, mereka yang berkelayakan. Bukan seperti kita yang merupakan layman atau kerana hendak menunjukkan kita ini menentang atau sekadar mencari populariti atau sebagainya," katanya.

Isu berhubung Lynas juga disentuh oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob yang mengatakan beliau juga telah ditaklimatkan oleh mereka yang pakar dalam bidang itu semasa mengetuai pentadbiran Pahang.

"Mereka sudah menerangkan bahawa radiasi ini berada di mana-mana, seperti juga kita menggunakan telefon bimbit atau televisyen. Tapi isu ini dijadikan politik.

"Ini yang saya risaukan. Jangan sampai semalam ada yang buat demonstrasi anti-Lynas, kemudian ada yang balas buat himpunan pro-Lynas. Jika begini keadaannya, sampai bila-bila pun kita akan berdemo," katanya.

Pada ucapan penggulungannya, Wan Rosdy juga mengajak semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang untuk menghadiahkan Al-Fatihah kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah yang mangkat pada 22 Mei lepas di Institut Jantung Negara (IJN).

Persidangan bersambung ke tarikh yang akan ditentukan kelak. #sumber
Share:

Lynas Amal Amalan Terbaik, Tidak Jejas Kesejahteraan Rakyat


KUALA LUMPUR - Malaysia sebagai sebuah negara membangun telah dan akan sentiasa mengamalkan amalan terbaik apabila mengendalikan aktiviti pelaburan di negara ini dan tidak akan melakukan sesuatu yang akan menjejaskan kesejahteraan rakyat, kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof.

Ketika menjawab soalan media berkenaan isu keselamatan loji memproses nadir bumi di Gebeng, Kuantan oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, beliau menyeru agar rakyat untuk membawa cerita positif yang boleh memberi keyakinan kepada pelabur dan bukan melakukan sesuatu secara emosi.

Mohd Redzuan mengulangi kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa tiada bahaya besar terhadap bahan radioaktif dalam operasi Lynas.

Pakar-pakar telah melakukan pemeriksaan di loji Lynas dan menegaskan ia tidak menimbulkan bahaya.

Untuk rekod, syarikat nadir bumi Australia, yang permit operasinya diperbaharui selama enam bulan lagi, telah terlibat dalam kontroversi selama beberapa tahun dengan ahli-ahli alam sekitar dan ahli-ahli politik Pakatan Harapan yang menentang loji dan memaksa penutupan operasi.

“Selalu ada pembangkang tetapi kita akan mendidik mereka… kita perlu beritahu mereka cerita yang tepat. Dan laporan itu telah diterbitkan secara umum supaya mereka dapat mengaksesnya untuk melihat sama ada kita menyatakan kebenaran atau tidak,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd Redzuan hari ini memberi taklimat media mengenai Minggu Usahawan Nasional 2019 (Mun2019) yang bakal diadakan pada 29 Ogos hingga 1 September di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Program tersebut merupakan program susulan pelancaran dasar keusahawan nasional 2030 dan ia dijangka menarik lebih 50,000 pengunjung dan melibatkan seramai 3,000 usahawan pelbagai sektor.

Beliau berkata pelaburan langsung asing (FDI) pada suku pertama 2019 mencecah RM21.7 bilion berbanding RM11.2 bilion dicatatkan pada suku pertama tahun 2018.

“Angka-angka ramalan memperlihatkan keupayaan kita untuk terus merancakkan ekonomi negara tetapi kita harus berhati-hati dan bersedia menghadapi kemungkinan berlaku keadaan yang memudaratkan pertumbuhan.

“Kerana itu, tumpuan harus diberikan kepada pelaburan langsung domestik (DDI) sejajar dengan tumpuan dan harapan kita terhadap FDI dan di sini perlunya keusahawanan negara dipertingkatkan," katanya.#sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.