script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Muhammed Yusoff Rawther Di Panggil Semula Ke Bukit Aman


KUALA LUMPUR - Muhammed Yusoff Rawther hari ini hadir semula ke ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman untuk memberi keterangan susulan dakwaan dirinya dicabul Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhammed Yussof hadir pada kira-kira 12 tengah hari dan dilihat beredar menaiki sebuah kenderaan sekitar 3.30 petang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki itu dipanggil semula bagi membantu siasatan dan melengkapkan keterangan yang diambil semalam.

“Dia dipanggil semula kerana kami belum selesai merakam keterangannya. Setakat ini, kita hanya mengambil keterangan daripada Muhammed Yusoff,” katanya ketika dihubungi Bernama mengenai bekas kakitangan kepada pemimpin PKR itu.

Mior Faridalathrash berkata beberapa saksi termasuk ahli keluarga Mohammed Yusoff akan turut dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Muhammed Yusoff sebelum ini dilaporkan membuat perakuan bersumpah mengenai dakwaan cabul pada 2 Okt, 2018 itu. Anwar menafikan tuduhan itu.#sumber
Share:

Zuraida Dakwa Beliau Dan Azmin Bersedia Di Pecat Dari PKR


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin dalam ucapan penggulungan Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 menjelaskan beliau dan Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersedia dipecat jika tindakan mereka mengkritik parti pada malam ini dikira sebagai pengkhianat.

Sebaliknya jelas Zuraida, pentas malam itu adalah untuk membawa parti ke landasan yang betul.

"Kalau kami dipecat, saya dan Azmin dah bersedia. Kami rela dikorbankan demi parti keadilan ini, kerana kita nak bawa ke landasan betul kalau ini Presiden (Anwar Ibrahim) rasakan keadilan sangat gah dan hebat walaupun ada 50 Ahli Parlimen tetapi pengurusan carca marba siapa nak salahkan.

"Ucapan malam ini direkod, saya nak Presiden dengar saya amat berharap beliau berubah mendapatkan kebiijaksanaan beliau balik, (dengan) meletakkan parti di landasan betul.

"Kalau saya diberi peluang (Kongres Nasional Tahunan) untuk menggulung. Saya akan sebut apa yang disebut malam ini. Saya akan akhirkan ucapan kita, sebagai pemimpin, kita akan dipertanggungjawab di akhirat," katanya ketika berucap dihadapan ribuan ahli yang hadir.

Dalam ucapannya, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut menyelar tindakan beberapa pimpinan muda keadilan yang dilabelnya sebagai 'budak Pampers dan Gengster'.

"Pernahkah kita (PKR) guna gengster, baju hitam? Siapa jadi petugas-petugas itu?

"Sokong satu tahun tak datang mesyuarat, ada bising? Presiden tak datang mesyuarat, ada bising? Kenapa nak pertikaikan kami tidak datang mesyuarat?

"Saya berani cakap di sini, tanya kawan semua. Saya orang taat datang mesyuarat paling punctual. Sebelum Anwar Ibrahim jadi Presiden dahulu saya dah mesyuarat. Tidak payah hendak ajar saya mesyuarat. Saya nak dengar cakap engkau ke yang hingus ini?

"Ini semua 'budak Pampers', jangan nak berlagak nak tegur kita. Kami yang buat deklarasi jadi jangan nak ajar kami kalau tidak ada sebab nak melakukan perkara itu," tegas Zuraida dalam ucapannya.

Jelas Ahli Parlimen Ampang itu, majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 ini akan dijadikan platform untuk menerangkan kepada ahli parti seluruh negara berkenaan memperkuatkan parti. #sumber
Share:

Penganalisis: Kemelut Berakhir Jika Anwar Dan Azmin Beralah


KUALA LUMPUR: Kemelut antara pemimpin nombor satu dan dua dalam PKR akan dapat ditangani jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sama-sama beralah, ujar Penganalisis Politik, Prof Dr Hamidin Abdul Hamid.

Katanya, ketika ini tidak nampak tanda-tanda krisis berkenaan akan reda.

"Persoalannya bagaimana PKR gagal sebagai sebuah parti yang mempunyai disiplin organisasi yang jelas. Saya tidak lihat buat ketika ini akan berlaku satu penyelesaian. Namun ia bergantung kepada sejauh mana kedua-dua pemimpin mampu beralah dan memilih kepentingan parti sebagai landasan untama kerana mereka adalah parti tunjang dalam parti pemerintah," katanya pada Ahad.

Jelasnya lagi, ia penting kerana rakyat serta anggota komponen dalam Pakatan Harapan (PH) sedang melihat persengketaan berkenaan.

"Segala apa yang berlaku dalam PKR bukan sahaja diperhatikan rakyat Malaysia, tetapi yang lebih penting lagi yang diperhatikan dalam komponen-komponen PH, akan mengganggu kelicinan PH sebagai sebuah kerajaan," tambah beliau lagi. 

Pertemuan kem Azmin di Hotel Renaissance pada Ahad juga menambahkan lagi ketegangan antara kedua-dua kem. 

"Kalau lihat kepada pertemuan di Renaissance dan hari ini adalah kegagalan kepada PKR untuk bergerak sebagai sebuah institusi yang baru sahaja melaksanakan kongresnya dan berlaku pula cabaran-cabaran daripada dalam.

"Ini juga menunjukkan apa yang berlaku antara Azmin dan Anwar sehari sebelum kongres itu tidak memberi sebarang makna dan tidak meredakan konflik yang berlaku antara dua pemimpin ini," ujarnya.

Pada Ahad, Azmin tidak kelihatan pada hari terakhir Kongres Nasional parti di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC).

Sebaliknya, beliau dan kemnya mengadakan Majlis Makan Malam Apresiasi Perwakilan Kongres Keadilan 2019 dan taklimat Wawasan Kemakmuran Bersama di Hotel Renaissance Kuala Lumpur. #sumber
Share:

Anwar Cuba Yakinkan Saya Bahawa Azmin Pelaku Video Seks


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 turut mendedahkan mengenai perbualannya bersama Presiden parti itu dalam satu pertemuan beberapa bulan lalu.

Perbualan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, menurut Ahli Parlimen Ampang itu, adalah untuk meyakinkannya bahawa pelaku dalam sebuah video seks yang tular ketika itu, ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Saya nak sebut, saya ada jumpa Anwar Ibrahim. Apa dia (Anwar ) sebut: 'Zuraida, betul video (intim) itu memang Azmin sebab polis explain, (pelaku) dalam video itu Azmin'.

"Jelas saya: 'Kalau itu Azmin, biarlah polis siasat kalau betul. Azmin kena terima. Biarlah bagi habis siasatan.

Menurut Zuraida, Anwar kemudiannya berkata: "He's (Azmin) like my brother. Saya kesian dengan dia."

Zuraida pula menjawab, jika benar Anwar kesian terhadap Timbalan Presiden itu, beliau perlu membantu Azmin.

Dalam pendedahan itu, Zuraida turut menyatakan bahawa Anwar turut memetik nama Perdana Menteri.

"Dia (Anwar) kata, Mahathir menyuruhnya memecat Azmin.

"Saya kata, kalau suruh pecat Azmin kenapa Tun Mahathir mengeluarkan empat kenyataan, iaitu Azmin tidak perlu cuti, Azmin teruskan bekerja?" kata Zuraida.

Tambah Zuraida, Anwar menjawab: "You tidak tahu Mahathir, dia 'gini-gini' (dengan membolak-balikkan tapak tangan)," katanya ketika berucap.

Malah selepas mendedahkan perbualan itu, Ahli Parlimen Ampang itu turut menegaskan dirinya bukan sahaja tidak mengenali Perdana Menteri, bahkan tidak mengenali Anwar itu sendiri.

"Jadi saya sebut, 'Datuk Seri, saya memang tidak kenal Tun. Saya pun tak kenal you'.

"Sebab apa? Sebab saya masuk berseorangan, and I don't came from any NGO. I came into this party alone. Jadi memang saya tidak kenal dia (Anwar). Bila saya masuk, dia dalam penjara. Dia keluar tahun 2004, (kemudian) dia masuk lagi (penjara), mana saya kenal?" jelas Zuraida.

Sepanjang bersama PKR, jelas Zuraida, pelbagai pengorbanan dan liku dilalui demi menegakkan keadilan parti itu, dan untuk terus membela rakyat sehingga memenangi pilihan raya umum lalu.

Ujar Naib Presiden itu, walaupun beliau telah menegur pemimpin demi memastikan parti itu terus relevan dan berada pada landasan betul, ia tidak mengaibkan pemimpin parti itu. 

Zuraida menjadi antara sosok yang menerima tepukan gemuruh ketika memberi ucapan di hadapan kira kira 2,000 ahli yang hadir dalam majlis itu. #sumber

Share:

Haiqal Muncul Sebagai Raja Pecut Asia Tenggara Yang Baharu


NEW CLARK CITY: Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi dinobatkan selaku Raja Pecut baharu Asia Tenggara selepas mengungguli acara 100 meter Sukan SEA ke-30 pada aksi di Stadium Olahraga New Clark City, di sini, hari ini.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail itu melakar catatan masa 10.35 saat untuk memenangi acara riben biru berkenaan, sekali gus mempertahankan emas dimenangi seorang lagi pelari pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan catatan masa 10.38s.


Pingat perak dan gangsa dalam acara itu, masing-masing diraih oleh dua pelari Thailand iaitu Sowan Ruttanapon dan Bandit Chuangchai yang mencatat masa 10.49 saat dan 10.52 saat.

Dalam pada itu, pelari pecut wanita kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli menduduki tangga keenam daripada lapan atlet dalam acara 100 meter wanita dengan catatan 11.84 saat.

Acara berkenaan diungguli pelari Vietnam, Le Tu Chinh dengan catatan 11.54 saat, disusuli wakil tuan rumah, Kristina Marie Knott (11.55 saat), manakala pelari Singapura, Shanti Veronica Pereira meraih gangsa selepas mencatat masa 11.66 saat. #sumber

Share:

Di Tuduh Sebagai Pengkhianat: 'Kamu Belum Kenal Azmin Ali!'


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat mengkritik pedas perjalanan Kongres Nasional PKR yang berlangsung di Melaka baru-baru ini.

Dalam ucapannya di majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Azmin dengan nada tegas menempelak tindakan sesetengah individu dan pemimpin yang melabelkan beliau sebagai pengkhianat.

"Yang mengelar pengkhianat tidak ada pun dalam dewan ini, yang menghalang saya Zuraida, Tian Chua, Sivarasa dan ramai lagi baru kenal keadilan dua hari lalu.

"Apa yang berlaku dalam PKR, saya tidak mahu claim sebarang kredit sebab parti ini dibina saudara saudari dan setelah 20 tahun kita berjuang dan dipenjarakan. Tiba-tiba inilah (yang digelar) pengkhianat parti. Cis bedebah kamu! Kamu belum kenal Azmin Ali!

"Ya, aku tenang tapi tenang-tenang aku parti ini tidak akan kuat, parti ini tidak akan utuh, parti ini tidak akan berjaya tanpa saudara saudari yang berada pada petang ini. Parti ini bukan dibina satu orang, bukan dibina satu keluarga, parti ini dibina rakyat Malaysia," kata Azmin dengan nada tegas dan disambut riuh oleh penyokongnya.

BACA: 'Aku pejuang dan kau pengkhianat?' - Azmin Ali

BACA: 'Zaid Ibrahim saya dah lawan, Khalid Ibrahim saya dah lawan..' - Azmin

Jelasnya, PKR melahirkan pejuang parti bukan pemimpin yang mengampu pemimpin sehingga membelakangkan perjuangan dan idealisme parti.

"Saya amat terkesan begitu ramai rakyat Malaysia, atas nama keadilan (telah) dipenjarakan, dihina, diaibkan. Kita bina parti ini bukan untuk mengampu. Kita bina parti ini untuk melahirkan sebuah negara Malaysia baharu. Kita melakukan reformasi, kita mahu lahirkan pemimpin dan bukan pengampu," kata Azmin membidas tindakan sesetengah pihak dalam parti itu.

Hadir sama dalam majlis itu Naib Presiden Zuraida Kamaruddin, Naib Presiden Ali Biju, Tian Chua, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR R Sivarasa, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Timbalan Ketua Pemuda (AMK) Hilman Idham dan Ketua Wanita Keadilan Malaysia Haniza Talha. #sumber
Share:

Lagu Negaraku Perlu Dinyanyikan Dalam Bahasa Kebangsaan


LANGKAWI - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan lagu Negaraku hanya boleh dinyanyikan dalam bahasa kebangsaan.

Mengulas mengenai nyanyian lagu tersebut dalam Mandarin, beliau menjelaskan bahawa penggunaan bahasa Mandarin bagi lagu tersebut bertujuan memberi kefahaman terhadap maksud lagu berkenaan dan bukannya untuk dinyanyikan dalam bahasa terbabit.

"Ia dimasukkan ke dalam buku dalam bahasa Mandarin sebab nak bagi orang bukan Melayu boleh faham maksud perkataan berkenaan dan bukannya untuk nyanyian," katanya ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Ketua Jabatan, Jawatankuasa PH, Ketua-ketua Cawangan PH dan Pengerusi-Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Langkawi di Hotel Adya, Kuah di sini hari ini.


Terdahulu, tular sebuah rakaman video berdurasi 1 minit 23 saat memaparkan sekumpulan murid menyanyikan lagu Negara dalam bahasa Mandarin baru-baru ini.

Bagaimanapun, video berkenaan didakwa video lama yang dirakam pada 26 September tahun lalu di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan. #sumber
Share:

Kes Rafizi: Haniff Khatri, Tommy Thomas Perlu Beri Penjelasan


SHAH ALAM - Peguam Negara, Tommy Thomas tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawainya yang telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Peguam terkemuka, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, kenyataan itu tidak wajar sebelum siasatan terperinci dilakukan berhubung bagaimana rayuan itu difailkan terlebih dahulu.

“Kenyataan awam ini memberi persepsi salah kepada masyarakat seolah-olah pegawai di Jabatan Peguam Negara dengan sengaja melakukan sabotaj terhadap keputusan Tommy.

“Sedangkan pada hakikatnya kenyataan gopoh dan emosi seperti yang dibuat Tommy itu dengan sendirinya boleh ditafsirkan sebagai percubaan seorang ketua untuk mensabotaj agensinya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Thommy juga perlu memberi penjelasan munasabah apabila mengaitkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun dalam kes berkenaan.

“Tommy tanpa sebab telah mengheret nama baik seorang pegawai awam dalam pertelingkahan isu rayuan kes Rafizi yang tiada kaitan langsung dengan SPR.

“Sebagai Peguam Negara, Tommy adalah pegawai utama yang wajib menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang (Rule of Law) dengan tidak mencemarkan nama baik dan tugasan betul mana-mana institusi awam lain seperti SPR, mahupun penjawat awam seperti Azhar.

“Justeru beliau perlu memberi penjelasan munasabah berhubung perkara ini,” katanya.

Hari ini, Azhar menegaskan bahawa beliau tidak pernah berbincang dengan Tommy berhubung isu rayuan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Katanya, SPR hanya berbincang dengan Peguam Negara berhubung kes Naib Presiden PKR, Tian Chua yang mana SPR merupakan pihak yang terlibat dan mempunyai kepentingan langsung dalam kes itu.

Terdahulu, media melaporkan, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap pembebasan Rafizi daripada tuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) kerana mendedahkan akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).

Memetik laporan Free Malaysia Today, peguam Rafizi, Nik Zarith Nik Moustpha berkata, rayuan tersebut dimaklumkan kepada pasukan pembelaan melalui emel daripada pendaftar Mahkamah Rayuan dan menetapkan 9 Mac sebagai tarikh sebutan rayuan.

Sebelum ini, pada 15 November lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Rafizi terhadap hukuman penjara 30 bulan membabitkan kes mengikut Bafia selepas didapati bersalah mendedahkan empat akaun bank berkaitan NFC dan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail. #sumber
Share:

Tukang Urut Terkejut Baki Bank Tinggal RM78 Sekelip Mata!


KUANTAN - Seorang tukang urut terkedu apabila mendapati wang RM7,000 dalam akaun sebuah bank yang baru dibuka hanya berbaki RM78.

'Kehilangan' wang dalam akaun milik mangsa berusia 51 tahun dari Temerloh itu dipercayai dikeluarkan dua wanita dipercayai geng sindiket penipuan yang menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian malang menimpa wanita itu susulan satu panggilan diterima daripada 'Suhaila' dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, 2 Disember lalu yang memaklumkan kad pengenalannya digunakan orang lain untuk urusan sewa kereta dan tujuan jenayah.

"Bagi tujuan siasatan lanjut, panggilan mangsa disambungkan kepada seorang 'pegawai polis' berpangkat inspektor bernama Aisyah dari ibu pejabat polis daerah itu dan mangsa diarah membuka akaun di sebuah bank dengan kemudahan kad pengeluaran wang automatik (ATM) kononnya bagi tujuan proses siasatan," katanya.

Mohd Wazir berkata, tanpa menyedari ditipu, mangsa akur apabila membuka akaun di sebuah bank seperti diarahkan dengan wang simpanan berjumlah RM7,000 dan menyerahkan maklumat termasuk tiga digit terakhir kad banknya

"Selepas urusan itu selesai, mangsa menyemak baki akaunnya dan mendapati wang yang tinggal hanya RM78, manakala hampir RM7,000 lagi lesap," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. #sumber
Share:

Negaraku 'Mandarin' Sentimen Anti Nasional Kepada Pelajar


ALOR SETAR - Pemuda Pas Kedah melahirkan kebimbangan apabila wujud sentimen anti nasional yang didoktrin kepada pelajar sekolah.

Naib Ketua Pemuda Pas Kedah, Mohd Aizat Zakaria berkata, pihaknya kesal kerana ada pihak cuba mencabar kesabaran rakyat Malaysia apabila menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin oleh sekumpulan murid sekolah rendah.

"Klip video yang tular itu disifatkan sebagai perbuatan anti nasional yang bertentangan dengan kepentingan negara. Lagu kebangsaan, Negaraku tidak boleh diubah kerana telah diwartakan dalam Akta Lagu Kebangsaan 1968.

“Negaraku yang menjadi lagu rasmi kebangsaan juga tidak boleh dipersendakan dalam apa jua bentuk dan ia sama sekali tidak boleh diubah lirik atau melodinya oleh mana-mana pihak,” katanya  semalam.

Mohd Aizat berkata, selain bersikap anti nasional, ia bertentangan dengan kepentingan negara, susulan lagu kebangsaan itu diubah lirik dalam bahasa lain.

“Ini tidak sepatutnya berlaku, ia tindakan yang biadab. Kami gesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat, kami juga sarankan supaya Kementerian Pendidikan menyiasat perkara ini dan kenakan tindakan sewajarnya kepada pihak yang melakukannya,” katanya.

Menurutnya, peristiwa seumpama itu tidak seharusnya berulang dengan skrip yang sama iaitu hanya disusuli dengan permohonan maaf tanpa tindakan tegas terhadap pelaku setelah melakukan kesilapan.

“Kami harap parti pemerintah mengambil semangat Kongres PKR (Parti Keadilan Rakyat) yang mempunyai jiwa pendekar, mempersembahkan silat pada kongres itu supaya bangkit, bersemangat waja terhadap individu yang biadab menghina lagu Negaraku,” katanya.
Share:

Wanita Di Tipu RM1,500 Oleh 'Bakal Suami' Di Facebook


KUANTAN - Seorang wanita yang baru diceraikan teruja apabila dilamar kenalan Facebook untuk dijadikan isteri, selain dijanjikan pelbagai kemudahan termasuk wang belanja dan melunaskan hutangnya.

Sebagai tanda setuju, mangsa berusia 55 tahun dari Cheroh, Raub kemudian diminta oleh 'bakal suaminya' itu mendepositkan wang sebanyak RM1,500 kepada lelaki berkenaan yang kononnya seorang pengusaha restoran di Johor Bharu.

Bagaimanapun, keterujaan wanita itu tidak lama apabila 'bakal suaminya' itu gagal dihubungi selepas menerima wang terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis, semalam.

Menurutnya, nasib malang wanita itu bermula selepas dia melayari Facebook dan berkenalan dengan seorang lelaki melalui laman sosial itu, 2 Disember lalu.

"Suspek yang kononnya mempunyai sebuah restoran di Johor Bahru mempelawa mangsa bekerja dengannya.

"Mangsa yang baru bercerai berminat dengan tawaran itu dan lebih mengujakan lagi apabila lelaki itu berhasrat untuk mengambilnya sebagai isteri," katanya.

Mohd Wazir berkata, taktik suspek memperdaya mangsa menjadi apabila wanita itu menuruti kehendaknya dengan memasukkan wang seperti diminta sebagai 'tanda jadi' dan demi mendapatkan segala kemudahan dijanjikan lelaki itu.

"Pada masa sama, lelaki itu turut berjanji akan datang sendiri ke rumah wanita itu untuk menyerahkan wang bagi membantu mangsa melunaskan hutangnya.

"Bagaimanapun, selepas mendepositkan wang kepada lelaki itu melalui akaun bank diberikan, mangsa terus gagal menghubunginya sehingga laporan polis dibuat semalam," katanya.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. #sumber
Share:

Tunku Azizah Terima Anugerah Ikon Kraf 2019 Di India


NEW DELHI- Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerima Anugerah Ikon Kraf 2019 daripada Majlis Kraf Dunia (WCC) dalam satu majlis di sini, malam ini.

Anugerah itu mengiktiraf sumbangan Tunku Azizah dalam memajukan warisan kraf dan kesenian tradisi Malaysia.

"Penyertaan (kraf) baginda memenuhi kriteria juri dengan sangat baik. Kerja seni ini menunjukkan tahap komitmen peribadi yang sangat tinggi dan penglibatan insani,” kata Prof Aftab Gharda, anggota juri antarabangsa Anugerah Kraf Antarabangsa Ketiga, kepada Bernama.

Merujuk kepada peranan Tunku Azizah yang melibatkan penghuni penjara dalam kerja kraf, beliau berkata projek baginda membolehkan individu yang mungkin telah hilang arah dalam kehidupan mereka untuk menilai semula kedudukan dan membina semula penghidupan melalui kemahiran baharu.

"Anugerah yang disampaikan kepada baginda sangat bertepatan dan melakar sejarah dalam inisiatif itu, yang memulakan suatu legasi bagi generasi akan datang,” kata Gharda.

Anugerah itu disampaikan bersempena Minggu Kraf India, yang turut mempamerkan persalinan daripada kain tenun Pahang Diraja yang dipakai oleh Tunku Azizah pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Kain tenun itu merupakan sentuhan rekaan yang diilhamkan baginda sendiri menggunakan tanda kebesaran diraja Pahang dan ia ditenun khas oleh penghuni Penjara Penor.

Terdahulu, Tunku Azizah melawat pameran kraf dan berinteraksi dengan pempamer yang mengambil bahagian. #sumber
Share:

Uptown Danau Kota: 345 Penjaja Sedia Pindah Tapak Baharu


KUALA LUMPUR - Sebanyak 345 daripada 500 penjaja di Uptown Danau Kota telah menyatakan persetujuan untuk beroperasi di tapak baharu di Bazaria Wangsa Maju.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan hari ini berkata usaha pemindahan dari Uptown Danau Kota ke tapak baharu membabitkan masa agak panjang dengan pelbagai proses perundingan antara pihaknya dan pihak pengusaha serta peniaga.

Menurut kenyataan, DBKL telah menyediakan kemudahan lebih memuaskan di tapak baharu itu iaitu surau, tandas awam dan tempat letak kereta serta motosikal secara percuma yang lebih banyak dan tersusun.

Para peniaga dan penjaja yang bersetuju untuk berpindah adalah disebabkan kadar bayaran sewa dan lesen yang jauh lebih murah, iaitu RM108 setahun untuk lesen perniagaan dan sewa bulanan antara RM212.70 hingga RM225.20 mengikut jenis perniagaan.

"Tiada kekecohan berlaku seperti yang ditularkan di media sosial dan kejadian yang dikatakan kecoh sebenarnya berpunca daripada segelintir pengusaha dan peniaga yang tidak berpuas hati berhubung pemindahan ini.

Kawalan DBKL adalah bagi memastikan tapak yang telah dikosongkan oleh peniaga yang telah berpindah ke tapak baharu tidak dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, tiada pembukaan gerai baharu serta untuk mengawal trafik," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, tiada insiden membuka khemah perniagaan yang dilakukan oleh DBKL dan mereka tidak berhasrat untuk menindas peniaga di tapak itu sepertimana yang didakwa malah lebih bersedia mengadakan tapak lebih baik, murah dan selesa.

"Namun demikian, DBKL perlu mengambil maklum berhubung aduan-aduan orang awam jika sesuatu bentuk aktiviti perniagaan itu boleh menimbulkan gangguan.

Sehubungan itu, langkah-langkah penambahbaikan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memberi keselesaaan kepada semua pihak dan akan sentiasa dipantau dengan bantuan agensi terlibat," katanya lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, DBKL akan terus mengadakan perundingan dengan pihak-pihak yang masih enggan untuk berpindah ke tapak baharu ini dan yakin usaha ini akan membuahkan hasil positif. #sumber
Share:

Lelaki Maut Semasa Kimpal Tangki Diesel Lori Di Kuantan


KUANTAN - Seorang jurukimpal rentung dipercayai selepas tangki diesel lori yang sedang dilakukan kerja kimpalan meletup dan terbakar di sebuah bengkel di Kawasan Perindustrian Semambu di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata mayat Lai Hoy Shin, 45, ditemukan bersebelahan lori itu selepas kebakaran dipadamkan oleh bomba sekitar 6.18 petang ini.

Katanya, rakan sekerja mangsa Nur Kabir Abdul Hussein, 25, iaitu warga Myanmar, mendakwa mereka memulakan kerja kimpalan pada 5.30 petang, sebelum letupan berlaku secara tiba-tiba.

"Mangsa dikatakan tidak sedarkan diri selepas letupan itu dan rakan mangsa cuba membantu tetapi gagal ekoran api marak dengan pantas menyebabkan dia terus menghubungi bomba.

"Berdasarkan siasatan awal bomba, letupan tong minyak diesel lori itu menyebabkan mangsa pengsan sebelum dia disambar api," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata 18 pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dari Bukit Ubi dan Indera Mahkota bersama tiga jentera tangki air ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

Kebakaran dipadamkan dalam masa 15 minit dan Nur Kabir juga mengalami cedera ringan pada tangan kanan akibat kejadian itu. 

Mohamad Noor berkata mayat Lai yang beralamat di Kampung Padang di sini, dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah #sumber
Share:

MPMMK Minta Kerajaan Segera Kuatkuasa Undang-Undang Sita Harta Bekas Suami Yang Culas Membayar Nafkah !


KUALA LUMPUR - Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK) meminta kepada kerajaan supaya segera mewujudkan undang-undang baharu bagi mengambil tindakan tegas kepada bekas suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri.

Presiden MPMMK, Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, langkah itu perlu kerana Islam memberi pembelaan kepada wanita dengan menggariskan hak-hak tertentu yang boleh dituntut oleh wanita selepas perceraian.

"Oleh sebab itu, golongan wanita perlu tahu hak-hak mereka yang telah termaktub di dalam undang-undang keluarga Islam terutamanya selepas berlakunya perceraian.

"Ketika ini, begitu ramai golongan wanita di negara ini teraniaya disebabkan tindakan bekas suami yang sengaja tidak membayar nafkah, apa yang menyedihkan perbuatan itu turut memberi kesan kepada anak-anak yang menjadi mangsa penceraian ibu bapa mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah akan diwujudkan yang mana mempunyai kuasa menyita harta lelaki yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri.

Mujahid berkata, kuasa undang-undang yang diperuntukkan kepada mahkamah khas syariah itu adalah antara perkara terkandung dalam Kertas Kabinet yang dijadual dibentangkan kepada jemaah menteri bulan depan.

Kata Mujahid lagi, Kertas Kabinet itu kini di peringkat akhir penilaian termasuk mendapatkan input dan pandangan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Kewangan.

Mengulas lanjut, Syed Mohammad Faiz berkata, MPMMK berharap penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah itu segera dilaksanakan demi memberikan keadilan kepada golongan wanita teraniaya di negara ini.

"Walaupun bekas isteri mungkin dalam kalangan orang senang ataupun sudah bekerja, namun hak tetap hak dan tidak boleh dinafikan.

"Tiada alasan untuk bekas suami tidak membayar nafkah kecualilah jika bekas suami itu sakit kronik, lumpuh ataupun hilang upaya kekal. Bagi mereka yang degil, tindakan seperti menyita harta boleh dilakukan bagi memberikan pengajaran kepada mereka," katanya.

Jelasnya, ramai bekas suami yang tidak menghiraukan hukum akhirat apabila sengaja tidak membayar nafkah kepada bekas isteri, jadi mereka perlu diajar dengan hukum agama menerusi pelaksanaan undang-undang baharu.

"Ini perlu dilakukan bagi menjamin kebahagiaan hidup mereka pada masa akan datang," katanya. #PDO
Share:

Kanak-Kanak Di Khuatiri Mati Lemas, Tergelincir Di Sungai !


KUANTAN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dikhuatiri lemas selepas tergelincir di sungai Kampung Pagar, Penjom di Kuala Lipis, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang hanya dikenali sebagai Dhia Atila dipercayai terjatuh pada 10.25 pagi, semasa hendak mencuci tangan di tebing sungai itu.

"Difahankam mangsa bersama tujuh rakannya pergi ke kebun bapa salah seorang rakannya yang berhampiran sungai itu pada pagi ini, sebelum dia dan dua lagi rakan terjatuh semasa mencuci tangan.

"Seorang penoreh getah yang berada berhampiran mendengar mereka meminta tolong dan segera menurunkan sampan untuk menyelamatkan mangsa, namun hanya sempat menarik dua kanak-kanak itu," katanya semasa dihubungi Bernama di sini..

Azli berkata setakat ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan melibatkan pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung. #sumber
Share:

Zahid & Isteri Belanja RM1.3 Juta Kad Kredit Di Luar Negara !


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayar hampir RM1.3 juta bagi empat kad kreditnya antara Januari 2014 dan Januari 2016 yang digunakannya termasuk membeli-belah barang mewah di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Amerika Syarikat (AS) dan Itali.

Perkara berkenaan dimaklumkan Naib Presiden Kanan Ambank Berhad (Ambank) yang bertanggungjawab terhadap pengurusan kad kredit dan kawalan penipuan, Yeoh Eng Leong, 58, kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah pembayaran sebanyak RM1,296,715.98 dicatatkan untuk empat kad kredit, AmIslamic Bank VISA Infinite (VISA 0344 Zahid Hamidi), AmIslamic Bank World Mastercard (Mastercard 1095 Zahid Hamidi), AmIslamic Bank VISA Infinite (VISA 0419 Hamidah Khamis) dan AmIslamic Bank World MasterCard (Mastercard 1137 Hamidah Khamis).

Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata bekas timbalan perdana menteri itu memilik dua kad utama manakala isterinya Datin Seri Hamidah Khamis memegang dua kad tambahan.

"Semua empat kad mempunyai gabungan had kredit RM250,000," katanya semasa membaca penyataan saksi dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Lee Keng Fatt pada hari kelima perbicaraan kes Ahmad Zahid, yang berdepan dengan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Yeoh berkata selain tiga negara berkenaan, Ahmad Zahid dan Hamidah juga menggunakan kad tersebut di Kuala Lumpur, United Kingdom, Britain, Korea Selatan, Ukraine, Australia, Hong Kong, Vietnam, Indonesia dan China.

Menurut saksi itu, yang merujuk penyata kad kredit bertarikh 28 Apri, 2014, VISA 0419 milik Hamidah digunakan dalam beberapa transaksi di Hong Kong, Malaysia dan Australia berjumlah RM130,359.83.

Jumlah berkenaan termasuk RM26,893.33 yang dibelanjakan di Burberry Asia Ltd di Kowloon, Hongkong; RM9,500 di Louis Vuitton di Starhill, Kuala Lumpur; RM7,919.35 di Swarovski di Melbourne, Australia; dan RM18,568.66 di sebuah lagi gedung Louis Vuitton di Southbank, Australia.

Kad yang sama digunakan untuk pembayaran sebanyak RM215,542.69 bagi pembelian di New York, AS sebagaimana yang dinyatakan dalam penyata kad kredit bertarikh 28 Jun, 2014.

Ia termasuk RM130,313.20 dibelanjakan di Stefano Ricci America, RM17,252.34 di Burberry 400 dan RM45,095.60 di Brioni.

Pegawai bank berkenaan berkata berdasarkan kepada rekod pembayaran bagi Januari 2014 hingga Januari 2016, pemegang kad utama, Ahmad Zahid membuat 37 pembayaran secara keseluruhan.

"Daripada 37 pembayaran berkenaan, dua cek dikembalikan. Sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, pembayaran dibuat melalui cek tempatan.

"Jumlah pembayaran yang diterima dari Januari hingga Disember 2014 ialah RM534,412.52; Januari hingga Disember 2015 sebanyak RM708,134.47 manakala Januari 2016 ialah RM54,168.99," katanya.

Semasa ditanya TPR Datuk Raja Rozela Raja Toran siapa yang biasanya membuat pembayaran kad tambahan , Yeoh menjawab: “Pemegang kad utama, Ahmad Zahid”.

Ahmad Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. #sumber
Share:

PAKP Minta Kerajaan Negeri Pahang Laksana Program Rumah Sejahtera Untuk Bantu Pasangan Muda Lepas Berkahwin


KUANTAN - Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) meminta Kerajaan Negeri Pahang melaksanakan Program Rumah Sejahtera Mampu Milik bagi membantu pasangan muda berusia 20 hingga 35 tahun yang sudah berkahwin khususnya orang Melayu
dan berasal dari negeri ini untuk memiliki rumah sendiri berdasarkan konsep sewa beli.

Presiden PAKP, Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, Program itu perlu segera dipertimbangkan dan dilaksanakan oleh kerajaan Pahang seboleh-bolehnya pada tahun depan kerana masih ramai pasangan suami isteri yang belum memiliki rumah memandangkan berdepan pelbagai kesukaran pembiayaan.

Mengulas lanjut, Syed Mohammad Faiz berkata, projek rumah khas untuk meringankan beban pasangan muda lepas berkahwin itu perlu dibangunkan kerana harga rumah komersil mahal dan karenah yang dikenakan oleh pemaju dan institusi perbankan cukup ketat.

Katanya, khususnya pekerja sektor swasta, golongan peniaga dan penjaja yang tidak ada slip gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sampai kiamat pun mereka tidak dapat memohon rumah kerana tidak layak.

"Kebanyakan mereka ini bekerja dan mampu untuk membayar ansuran sekiranya diberi peluang tetapi kini terpaksa menyewa rumah RM500 hingga RM600 sebulan.

"Apabila menyewa, bila-bila masa sahaja mereka boleh ditendang keluar oleh tuan rumah dan terpaksa berpindah randah ibarat pelarian di negeri sendiri atau balik menumpang rumah ibu bapa.

Jelasnya, menerusi skim Program itu juga akan menjadi projek contoh sekiranya dilaksanakan kerajaan Pahang yang mana belum ada dibuat di mana-mana negeri di seluruh negara.

"Bagi memudahkan kerajaan Pahang memikirkan perkara ini, saya sendiri dalam penyediaan kertas kerja untuk dibentangkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung spesifikasi, bentuk dan konsep rumah yang sesuai dibina dengan mengikut bajet berpatutan untuk menjayakan Program di negeri ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

"PAKP berharap kerajaan mengambil inisiatif ini sebagai salah satu cara menjamin masa depan dan menangani masalah untuk membantu pasangan muda memiliki rumah sendiri melalui projek ini termasuk melonggarkan syarat pembayaran pinjaman dan kadar faedah yang rendah.

"Saya yakin ribuan golongan itu begitu mengharapkan bantuan kerajaan negeri menyediakan rumah seperti ini. PAKP akan mengesan pasangan suami isteri yang belum memiliki rumah sendiri untuk tandatangan petisyen menyokong pelaksanaan Program ini sekali gus terus menjadi calon Pra-permohonan untuk mendapatkan rumah itu.

"Saya boleh membuktikan melalui hitam putih permintaan tinggi mereka ini apabila petisyen itu ditandatangani ribuan daripada mereka nanti," katanya.

Beliau berkata, mana-mana pasangan suami isteri di negeri ini yang belum mempunyai sebarang hartanah dan ingin memiliki kediaman sendiri boleh menghubungi pihaknya di talian 0143371010. #PDO
Share:

Anwar: PKR Masih Utuh, 90% Masih Setia Kepada Pimpinan !


MIRI: PKR masih utuh, tiada perpecahan dalaman seperti mana dicanang pelbagai pihak, kata Presidennya Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada lebih 1,000 perwakilan Sarawak pada Konvensyen PKR negeri hari ini, Anwar berkata, beliau yakin sekurang-kurangnya 90 peratus pimpinan cabang seluruh negara dan akar umbi setia dengan pimpinan pusat parti yang dipilih pada sesi pemilihan yang lepas.

Katanya, mustahil bagi sesuatu parti atau pemimpin itu boleh mendapat sokongan 100 peratus daripada pengikut.

“Jadi jangan bimbang. Saya nak bagi tahu, semua negeri kita pergi, (di) Kedah semua cabang (hadir), satu sahaja tidak hadir, Pahang pun ada satu.

“Ketua-ketua cabang tak hadir, orang bawah, timbalan ketua cabangnya hadir. Di Sarawak ini pun sama, seluruh cabang hadir.

“Di Terengganu semua hadir, Kelantan satu tak hadir, Negeri Sembilan dan Melaka semua hadir. Jadi problem apa? Pasal apa kita nak kata ada problem, nak kata dapat 100 peratus?

“Siapa yang boleh dapat 100 peratus ini, Putin, Trump? Tak ada di dunia ini yang boleh dapat 100 peratus, di peringkat cabang pun tak boleh dapat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar terus mengingatkan anggota PKR supaya tidak lupa asal usul perjuangan parti yang berjuang demi rakyat dan bukan kepentingan peribadi.

“Jangan ada pangkat sikit kita dah tunjuk ‘action’ (lagak). Perjalanan masih jauh. Jangan ingat saya takut sangat ‘Owh ini ada perubahan-perubahan’. Saya ini bukan muda lagi, saya dalam politik bukan nak pikul harta.

“Kalau saya mahu harta, saya sebelum ini menteri kewangan lapan tahun. Semua org kutip balak Sarawak, saya tak ambil satu sen pun. Semua orang ambil tanah-tanah negeri, saya satu inci pun tak ambil.

“Sebab itu saya berani mengatakan insya Allah kalau saya jadi pemimpin, jadi perdana menteri, saya nak buktikan bukan semua ahli politik itu rasuah dan sombong ,” katanya. #sumber
Share:

Tun Dr Mahathir: Belum Putus Sama Ada Anwar Sertai Kabinet


PUTRAJAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau belum memutuskan sama ada akan memasukkan Presiden PKR Anwar Ibrahim ke dalam Kabinet, jika rombakan Kabinet benar-benar berlaku.

“Saya belum putuskan lagi. Semuanya boleh dilakukan (possible),” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita sama ada nama ahli Parlimen Port Dicskon itu turut dipertimbangkan untuk menyertai Kabinet jika rombakan berlaku.

Ia kemudian disambut oleh Anwar, “Saya tidak mohon (apply).”

Mahathir juga berkata, tidak ada menteri yang menolak rombakan Kabinet dan kerajaan akan mengkaji perkara yang tidak disenangi oleh rakyat tentang kementerian. #sumber
Share:

Nelayan Pekan Dakwa Hasil Mereka Terjejas Akibat Aktiviti Pengorekan Pasir Yang Berleluasa Di Kawasan Berkenaan !


PEKAN - Nelayan di sekitar daerah Pekan mengeluh apabila hasil tangkapan ikan mereka semakin merosot dipercayai akibat aktiviti pengorekan pasir yang berleluasa di kawasan berkenaan.

Dakwaan itu dinyatakan nelayan terbabit kepada Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli.

Menurut Haslihelmy, terdapat lebih ribuan nelayan di Pekan dan rata-rata mereka mempunyai masalah yang sama.

"Kesukaran yang dihadapi nelayan ini adalah susah untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan disebabkan tongkang yang keluar masuk di kawasan itu.

"Selain menjejaskan pendapatan ribuan nelayan tempatan yang selama ini menjadikan pesisir pantai sebagai sumber rezeki mereka, penurunan hasil laut itu turut memberi kesan kepada bekalan, sekaligus menyebabkan kenaikan harganya di pasaran.

"Dakwa mereka, sehari kira-kira 16 buah tongkang keluar masuk di situ dan itu pastinya mengganggu aktiviti mereka untuk menangkap ikan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Haslihelmy berkata, nelayan di situ mendakwa, kehadiran tongkang berkenaan merosakkan tempat pembiakan ikan menyebabkan hasil mereka semakin berkurangan.

Sehubungan itu katanya, PSAP menggesa pihak berkuasa memantau aktiviti pengorekan pasir di daerah Pekan dan terdapat syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi aktiviti berkenaan.

"Kita berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap operator yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) untuk aktiviti mengorek pasir di situ.

"Apa kita bimbang, tongkang-tongkang itu masuk tanpa mengikut SOP ditetapkan dan kesannya menjejaskan hasil tangkapan ikan nelayan di Pekan," katanya.

Nelayan Pekan dakwa hasil terjejas akibat aktiviti korek pasir

PEKAN - Nelayan di sekitar daerah Pekan mengeluh apabila hasil tangkapan ikan mereka semakin merosot dipercayai akibat aktiviti pengorekan pasir yang berleluasa di kawasan berkenaan.

Dakwaan itu dinyatakan nelayan terbabit kepada Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli.

Menurut Haslihelmy, terdapat lebih ribuan nelayan di Pekan dan rata-rata mereka mempunyai masalah yang sama.

"Kesukaran yang dihadapi nelayan ini adalah susah untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan disebabkan tongkang yang keluar masuk di kawasan itu.

"Selain menjejaskan pendapatan ribuan nelayan tempatan yang selama ini menjadikan pesisir pantai sebagai sumber rezeki mereka, penurunan hasil laut itu turut memberi kesan kepada bekalan, sekaligus menyebabkan kenaikan harganya di pasaran.

"Dakwa mereka, sehari kira-kira 16 buah tongkang keluar masuk di situ dan itu pastinya mengganggu aktiviti mereka untuk menangkap ikan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Haslihelmy berkata, nelayan di situ mendakwa, kehadiran tongkang berkenaan merosakkan tempat pembiakan ikan menyebabkan hasil mereka semakin berkurangan.

Sehubungan itu katanya, PSAP menggesa pihak berkuasa memantau aktiviti pengorekan pasir di daerah Pekan dan terdapat syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi aktiviti berkenaan.

"Kita berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap operator yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) untuk aktiviti mengorek pasir di situ.

"Apa kita bimbang, tongkang-tongkang itu masuk tanpa mengikut SOP ditetapkan dan kesannya menjejaskan hasil tangkapan ikan nelayan di Pekan," katanya. #PDO

Share:

Isu Monopoli Pasir Di Pahang: PPPB Mahu Berdialog Secara Terbuka Dengan Leftenan Kolonel (B) Nor Hashim


KUANTAN:  Permuafakatan Pengusaha Pasir Pahang (PPPP) mempelawa Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Pasir Pahang Berhad (PPPB), Leftenan Kolonel (B) Nor Hashim Abdul Aziz untuk berdialog secara terbuka bagi menjernihkan keadaan berhubung isu monopoli pasir di Pahang selepas ia tular di laman media sosial dan menjadi perbincangan ramai.
Dialog terbuka itu boleh dijadikan sebagai medium untuk Nor Hashim menjelaskan peranan sebenar PPPB sebagai syarikat penyelaras pengeluaran pasir syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri Pahang.
Pengerusi PPPP, Tengku Rosfaizal Bahakeri Shah berkata, antara yang perlu dijelaskan oleh Nor Hashim adalah apakah tujuan penubuhan PPPB, siapa kakitangan di sebalik syarikat itu? dan adakah mereka berpengalaman menguruskan aktiviti perlombongan pasir?

"Bagaimana mereka berupaya mengawal operator sepanjang kerja perlombongan dilaksanakan? Ini soalan dasar supaya tidak diperkotak katikkan oleh rakyat.
"Turut perlu dijelaskan oleh Nor Hashim adalah apa yang melayakkannya dilantik sebagai CEO PPPB?. Ini kerana ada dakwaan yang mendakwanya mewakili Sultan Pahang di dalam syarikat ini, adakah ianya benar? Bolehkah Nor Hashim mengesahkan dakwaan ini atau membuktikan menerusi hitam putih?

"Selain itu, PPPP juga ingin tahu bagaimana cara pengagihan kosensi dilakukan? adakah melalui tender terbuka? apakah kelayakan pemohon? sudah adakah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kepada operator yang telah berjaya sebelum ini? jika belum bagaimana boleh ada kelulusan tanpa ada SOP?," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Rosfaizal berkata, Nor Hashim juga perlu menjelaskan berhubung kadar bayaran deposit dan tribute yang dikenakan terhadap pasir sungai dan pasir laut yang mana perkara itu perlu diketahui umum kerana pasir juga merupakan hak rakyat yang diuruskan syarikat berkenaan.

"Kemanakah hasil disalurkan oleh PPPB, apakah kepentingan dan impak kepada ekonomi? adakah ia menyumbang pada pembangunan negeri Pahang dan menjaga kebajikan rakyat?
"Turut perlu dijelaskan oleh Nor Hashim siapakah yang membuat keputusan dalam mesyuarat PPPB dan apakah jaminan tiada unsur penyelewengan dan kroni berlaku sepanjang pemilihan operator? bagaimanakah operator mahu berurusan sedangkan tiada laman web untuk rujukan?," soalnya.

Katanya, pelbagai pihak mengetahui industri pasir pada hari ini mendapat sambutan baik dari pelabur yang ingin datang ke Pahang memandangkan pasarannya luas hingga ke luar negara, jadi bagaimana PPPB membantu memudahkan operator untuk mengeksport pasir luar negara?.
"PPPP akan mengemukakan surat rasmi kepada Nor Hashim dalam masa terdekat dan akan menyediakan tempat untuk dialog diadakan.
"Apa yang diharapkan, CEO PPPB itu dapat hadir dan tidak mengelak atau mencipta alasan untuk tidak hadir pada sesi dialog berkenaan," katanya.
Beliau berkata, Nor Hashim perlu membuktikan kepada rakyat dan dengan maklumat yang diberikan olehnya nanti begitu berguna kepada operator dan rakyat khususnya di Pahang.  #sumber
Share:

Monopoli Pasir Di Negeri Pahang: PPPP Buat Laporan SPRM !


Permuafakatan Pengusaha Pasir Pahang (PPPP) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung dakwaan berlaku monopoli dalam industri perlombongan pasir di Pahang.

Laporan itu dibuat oleh Pengerusi Permuafakatan Pengusaha Pasir Pahang (PPPP), Tengku Rosfaizal Tengku Bahakeri Shah di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Laporan itu bagi menggesa SPRM supaya segera melakukan siasatan berhubung dakwaan tersebut dan menyiasat pihak yang terlibat dalam memonopoli projek berkenaan.

PPPP berharap agar Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mengambil serius berhubung dakwaan itu sekali gus membantu menghentikan amalan kroni dalam industri perlombongan pasir di Pahang.

PPPP juga telah menghantar surat kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, YB Dr. Xavier Jayakumar bagi memohon supaya mengantung sementara permit eksport (AP) pasir atas syarikat Syarikat Pengurusan Pasir Pahang Berhad sementara siasatan dijalankan.

Selain itu, kita juga menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan peranan sebenar Syarikat Pengurusan Pasir Pahang Berhad dalam menyelaras aktiviti pengeluaran pasir di Pahang.

PPPP juga ingin tahu, menerusi penubuhan syarikat berkenaan, apa jaminan kebaikan kepada ekonomi dan rakyat negeri ini. Hasilnya disalur ke mana? dan adakah ia akan menyumbang kepada pembangunan negeri dan kebajikan rakyat di Pahang?

Ini perlu dijelaskan oleh kerajaan negeri dan Wan Rosdy kerana pasir ini juga merupakan hak rakyat yang diuruskan syarikat berkenaan.

Selain itu, Wan Rosdy juga perlu menjelaskan bagaimana proses pengagihan konsesi dilaksanakan kepada operator. Siapakah yang membuat keputusan dan apakah jaminan tiada unsur penyelewengan berlaku?

Menteri Besar juga perlu menjelaskan siapa pekerja di sebalik syarikat berkenaan untuk memudahkan rakyat berurusan kerana tiada laman web untuk rujukan.

Pengerusi Permuafakatan Pengusaha Pasir Pahang (PPPP), Tengku Rosfaizal Tengku Bahakeri Shah. #PDO
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.