script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Mangsa Banjir Bentong Mendakwa Sesetengah Pihak Pentadbiran Hanya Lalu, Lambai Tangan


BENTONG - Selain tindak balas perlahan, kunjungan sesetengah pihak pentadbiran secara sepintas lalu di kawasan yang terjejas banjir, tanpa memberi bantuan yang diperlukan, turut mengundang kritikan.

Ketika membuat tinjauan di Taman Chegar Medang di Bentong, Pahang semalam, sampah dilihat masih bertimbun di depan rumah mangsa, selain selut yang masih melitupi sebahagian besar kawasan sekitar.

Semalam masuk hari kelima selepas air banjir mula surut Ahad lalu.

Zalmiah Wahab, 61, berkata penduduk berdepan kesukaran untuk membersihkan rumah mereka ekoran masalah bekalan air dan elektrik.

“Kami tinggal sehelai sepinggang, apa pun takda dah. Cuma nasib baik nyawa kami lepas (masih ada),” katanya.

Ditanya jika dia ada menerima sebarang bantuan daripada agensi kerajaan, Zalmiah berkata rombongan kereta Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail hanya melalui kawasan perumahannya.

“Kerajaan datang tengok. Tapi tak turun (kereta), cuma bye bye (lambai tangan) macam tu saja. Tak turun (dari kereta) pun.

"Rasanya mereka datang dari Kuantan. Menteri besar pun ada tapi dia tak turun (dari kereta),” dakwanya.

Namun berdasarkan hantaran Facebook Wan Rosdy semalam, dia ada membuat kunjungan di beberapa kawasan terjejas di Bentong, termasuk Kampung Chegar Medang.

Wan Rosdy turut mengumumkan kerajaan akan memberikan bantuan tunai RM500 kepada setiap isi rumah terjejas.

Sementara itu, cucu Zalmiah, Fazri berkata penduduk di kawasannya ada menerima makanan dan barangan asas daripada pihak luar dan NGO.

“Kami bersyukur kepada orang yang beri bantuan dan datang menolong, kutip sampah.

“Barang asas semua ada (disumbangkan), Alhamdulillah,” kata pemuda berusia 23 tahun itu.

Namun saliran yang tersumbat menjadi masalah utama bagi penduduk yang ingin membersihkan rumah, kata Fazri.

“Longkang tersumbat. Sepatutnya pihak berkuasa tempatan datang (baiki) tapi bila mereka tak datang, air tak boleh mengalir keluar.

“Sudah empat hari cuci tapi tak guna sebab air tetap naik balik. Macam mana nak buat? Tengok sajalah,” keluhnya.

Dia berharap Jabatan Bomba dan Penyelamat dapat dikerahkan untuk mengorek lumpur keluar kerana penduduk tidak berupaya untuk melakukannya secara sendiri.

Taman Chegar Medang merupakan antara kawasan paling teruk terjejas di Bentong. Ia terletak berdekatan Karak dan dalam kawasan DUN Ketari.

Air naik setinggi paras bumbung pada malam Sabtu lalu.

Ditanya berkenaan keberkesanan usaha menyelamat oleh kerajaan, seorang lagi mangsa, Muhd Amzar Nazri, 24, berkata adun kawasan itu iaitu Yong Syefura Othman merupakan antara yang terawal untuk menghantar bantuan ke situ.

“Setakat ini yang saya tahu Rara (Syefura) yang bagi bantuan macam tilam dan makanan.

“Rabu lepas dia pun beri sumbangan lori dan pengorek (backhoe) untuk cuci kawasan. Dia yang cepat bagi bantuan,” kata pelajar kolej itu lagi.

Media juga bertemu seorang sukarelawan dari Muda Johor di situ, yang mendakwa tiadanya agensi kerajaan di kawasan yang ditimpa banjir.

“Secara peribadi, saya tak pasti ini negara anarki atau negara yang ada kerajaan.

“Jelas kita lihat rakyat lebih ramai di sini berbanding agensi kerajaan. Kerajaan tolonglah tengok di sini. Penduduk di sini sangat memerlukan bantuan.

“Tentunya sebagai rakyat kita boleh bantu, itu peranan kita. Tapi ia tanggungjawab kerajaan,” katanya.

Dia media sosial, ramai yang membangkitkan kekecewaan kerana merasakan kerajaan lambat bertindak balas terhadap banjir yang melanda, serta ahli politik yang dilihat menggunakan musibah ini untuk publisiti

Banyak video dikongsikan yang memaparkan reaksi negatif mangsa banjir terhadap menteri yang berkunjung di kawasan yang terjejas atau membangkitkan kritikan terhadap usaha menyelamat yang dilaksanakan. #sumber

Share:

Kerajaan Pahang Umum Bantuan Khas RM500 Kepada Setiap Ketua Keluarga Terjejas Banjir !


KUANTAN - Kerajaan Pahang mengumumkan Bantuan Khas Bencana Banjir sebanyak RM500 kepada setiap ketua keluarga yang terjejas dengan bencana banjir di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, bantuan itu adalah sebagai tanda prihatin kerajaan negeri terhadap mangsa yang terjejas.

Katanya, bantuan berkenaan meliputi kategori penerima iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), mangsa yang tidak berpindah ke PPS sebaliknya menumpang di rumah saudara mara, mangsa yang tinggal di rumah sewa dan mangsa yang tidak berpindah ke mana-mana.

"Selain tanda prihatin, kerajaan negeri membuat sumbangan ini berdasarkan kemampuan dan keupayaan kewangannya. Sumbangan RM500 ini demi meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung, Insya-Allah," katanya.

Banjir di Pahang bermula Jumaat lalu dan situasi semasa banjir pagi ini, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyaksikan seramai 37,356 mangsa masih ditempatkan di 264 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah terjejas banjir.

Daerah yang terjejas adalah Kuantan, Temerloh, Bentong, Maran, Lipis, Raub, Jerantut, Bera dan Pekan. #sumber

Share:

Pekerja Ladang Di Felda Chini 2, Pekan Korban Ke-12 Musibah Banjir Besar Di Negeri Pahang !


PEKAN - Seorang pekerja ladang yang terjatuh ketika cuba meredah banjir di ladang kelapa sawit Felda Chini 2, dekat sini hari ini, ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat lemas, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa Che Rustam Che Su, 36, ditemukan tidak jauh dari lokasi dia dikatakan terjatuh semasa meredah air melimpah setinggi lima meter di laluan rendah di ladang itu pada jam 3.40 petang.

Beliau berkata, mangsa dikatakan ke ladang itu pada jam 9 pagi bersama bapa dan abangnya dengan menunggang motosikal berasingan bagi mengambil buah kelapa sawit.

"Abang mangsa mendakwa melihat mangsa tenggelam dan terkapai-kapai selepas terjatuh kerana difahamkan dia tidak pandai berenang.

"Kejadian dipercayai berlaku kerana mangsa tidak menyangka laluan itu dinaiki air agak dalam kesan daripada hujan sejak beberapa hari lalu," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.

Beliau berkata, selain polis, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut membabitkan bomba termasuk Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan.

Susulan penemuan itu, mangsa adalah mangsa ke-12 yang meninggal dunia sejak banjir melanda Pahang, beberapa hari lalu. #sumber

Share:

Tragedi Chalet Di Janda Baik: Jasad Wanita Di Temui, Namun Dua Lagi Mangsa Masih Di Cari !


BENTONG - Satu jasad wanita ditemui dalam tragedi tiga individu hilang dibawa arus sungai di kawasan chalet pusat penganginan di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands Yusri Abdullah Sani berkata jasad wanita berkenaan ditemui pada 10.15 pagi tadi dan pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus.

“Pasukan saya menjumpai mayat dibawah timbunan kayu dan pasir di stesen dua (kawasan yang ditanda ada mayat). Hari ini, bomba akan menggunakan dua unit jentera pengorek untuk meneruskan kerja-kerja penggalian mencari mangsa yang dikhuatiri hilang,” katanya di tempat kejadian.

Yusri berkata setakat ini pihaknya meletakkan tiga stesen iaitu stesen pertama tempat mangsa kanak-kanak lelaki hilang manakala stesen ketiga diletakkan di susur sungai.

Sabtu lepas, lebih 30 orang termasuk sembilan kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terkandas dengan kejadian banjir lumpur ketika mengunjungi sebuah kawasan chalet di sini.

Susulan itu, seorang kanak-kanak dikenali sebagai Emamnuel Chang serta pasangan suami isteri Bobby Lim Yoke Hoong dan Yap Koon Lau dilapor hilang dalam tragedi itu. #sumber

Share:

Banjir Telemong: Saksi Dakwa Mangsa Sempat WhatsApp Ahli Keluarga Untuk Minta Bantuan


BENTONG - Fenomena kepala air di Telemong di sini, pada Sabtu lepas berikutan hujan lebat menyebabkan enam penduduk di kawasan itu dihanyutkan arus deras, manakala 10 lagi yang terperangkap dalam kejadian banjir itu berjaya diselamatkan.

Seorang ditemukan mati pada Ahad, empat lagi mayat ditemui semalam dan seorang dilaporkan masih hilang.

Ketika kejadian, difahamkan mereka yang ingin pulang ke rumah masing-masing dikatakan sempat menaiki beberapa kenderaan yang berada di situ dan seorang daripada mereka menghantar mesej melalui WhatsApp kepada anggota keluarga meminta tolong.

Mesej itu kemudian disebarkan kepada kumpulan penduduk kampung Felda Chemomoi, Telemong, di sini Sabtu lepas yang segera menggerakkan usaha mencari dan menyelamat.

Menceritakan perkara itu, seorang sukarelawan dari Kampung Chemomoi, Mohd Aizuddin Othman memberitahu, di dalam mesej itu, mangsa meminta tolong dan memberitahu orang kampung mereka sempat naik ke atas kenderaan sebelum dihanyutkan arus deras.

"Saya dapat maklumat ada mangsa yang terlibat pada kira-kira jam 5 petang dan meminta tolong menyelamatkan mereka, tapi tidak lama kemudian mereka yang terlibat tidak memberikan sebarang respons," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Telemong, di sini pada Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Abdul Ghani Taib berkata, hujan lebat tanpa henti dipercayai menjadi punca berlakunya kepala air di kawasan itu.

"Dari rumah saya yang tidak jauh dari sungai, saya nampak kayu-kayu balak mulai menghempas jalan raya dan rumah-rumah sekitar Telemong.

Sementara itu, Razula Mohd Sidek berkata, dia bersama penduduk kampung Felda Chemomoi bergerak ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa hanyut akibat banjir dengan 10 kenderaan pacuan empat roda.

"Semasa saya dalam perjalanan menuju ke tempat kejadian saya mendapati pasukan bomba dan penyelamat sudah sampai namun laluan untuk ke lokasi tidak dapat dilalui kerana tanah runtuh.

''Walaupun tanah runtuh, kami bersama pasukan bomba cuba untuk membuat jalan bagi menuju ke lokasi kejadian kerana kami dah berjanji akan cuba sedaya upaya kami untuk menyelamatkan mereka," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati keadaan di kawasan itu dipenuhi lumpur tebal, debu, serpihan balak dan serpihan pondok yang hancur.

Semalam, Bernama melaporkan empat mayat mangsa kejadian itu ditemukan, manakala operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang dipercayai hilang diteruskan pada Selasa. #sumber

Share:

Banjir Di Bentong: Saksi Dakwa Nampak Arus Deras Dari Atas Bukit 'Setinggi' Tiga Tingkat !

 


BENTONG - "Saya lihat air melimpah deras dari atas bukit setinggi tiga tingkat meluru ke bawah," kata saksi kejadian tragedi tiga individu hilang dihanyut arus sungai di sebuah chalet di Bentong, Pahang, Sabtu lepas.

Penyelenggara chalet itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Sholadi, 62, berkata ketika kejadian kira-kira 11 malam itu, beliau berada di rumahnya yang terletak di kawasan tinggi berhampiran chalet.

Dalam kejadian itu, lebih 30 orang termasuk sembilan kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terkandas dengan kejadian banjir lumpur.

Seorang kanak-kanak dikenali sebagai Emmanuel Chang, 6, serta pasangan suami isteri, Bobby Lim Yoke Hoong dan Yap Koon Lau dilapor hilang.

"Saya dengar bunyi air deras lalu keluar rumah dan melihat sejumlah kayu balak sebesar pemeluk dua orang dewasa memusnahkan sebahagian chalet disertai lumpur.

"Saya ternampak Bobby dan isterinya sedang mundar-mandir untuk menyelamatkan diri dengan pergi ke restoran," katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Sholadi berkata dia menjerit memanggil Bobby dan isterinya untuk naik ke tempat tinggi namun gagal dan melihat mereka dibawa arus.

Beliau berkata restoran tersebut turut ditenggelami air dan itulah kali terakhir dia melihat pasangan itu.

Katanya selain restoran, arus deras itu turut menenggelamkan tiga kolam ternakan ikan patin manakala pagar utama chalet turut roboh.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands Yusri Abdullah Sani berkata pasukan mencari dan menyelamat menemukan dua 'hot spot' yang dipercayai terdapat mangsa tragedi itu, iaitu di bawah rumah dipercayai tempat Chang dikhuatiri hilang dan di bawah timbunan kayu balak.

"Kami menggunakan dua anjing pengesan (K9) dan untuk mencari kesemua mangsa yang hilang, kedua-dua anjing itu telah menghidu 'hot spot' di dua tempat.

"Susulan itu, saya mengerahkan anggota untuk menggali secara manual di kawasan 'hot spot' yang dihidu anjing itu," katanya yang mengakui operasi itu agak mencabar kerana terdapat banyak kayu balak, batu bata dan pasir yang dibawa arus deras selain tiada bekalan elektrik.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 7 malam tadi dan akan disambung semula pada 8.30 pagi esok.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan untuk ke chalet dipenuhi lumpur susulan kesan arus deras selain terdapat banyak batu besar dipercayai bergolek dari kawasan tinggi, timbunan kayu balak serta berlaku beberapa runtuhan tanah sederhana di lereng bukit chalet berkenaan.

Keadan chalet juga terjejas dan separuh musnah manakala bahagian bawahnya diseliputi selut tebal. #sumber

Share:

Lima Kereta "Hanyut" Di Jambatan Telemong: Empat Mangsa Maut, Dua Hilang, 10 Selamat !

BENTONG - Empat mangsa meninggal dunia, dua hilang dan 10 lagi selamat selepas lima kereta dihanyutkan arus deras di Jambatan Telemong, di sini, Sabtu lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak menjalankan kerja mencari dan menyelamat mangsa yang dihanyutkan arus sungai ketika terperangkap di Jambatan Telemong.

Katanya, sebanyak lima kenderaan terperangkap di jambatan sebelum dihanyutkan arus sungai yang melimpah.

Beliau berkata, mengikut keterangan Pegawai Penyelia BBP Karak, Che Zainurin Mansor, sebelum kejadian, BBP Karak keluar untuk menjalankan kerja pemindahan mangsa banjir yang terperangkap di resort kawasan Telemong.

"Ketika hampir ke kawasan jambatan, jentera dan anggota terperangkap disebabkan air naik mendadak pada jam 6.40 petang.

"Pasukan terus berada di situ sehingga Ahad dan pada jam 2 petang, pasukan yang masih lagi berada di kawasan berkenaan mendapat berita bahawa lima kenderaan yang terperangkap dihanyutkan arus sungai yang melimpah di Jambatan Telemong," katanya.

Beliau berkata, pasukan terus melakukan kerja menyelamat dengan dibantu pekerja kilang berhampiran.

"Sepuluh mangsa berjaya diselamatkan dan seorang wanita warga emas meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, pada hari ini kerja mencari dan menyelamat diteruskan di tempat kejadian dengan kaedah menyusur mengikut arus sungai.

"Pada jam 1.17 tengah hari mangsa pertama iaitu wanita ditemukan pasukan penyelamat pada jarak satu kilometer dari lokasi kejadian.

"Mangsa kedua iaitu seorang wanita warga emas ditemukan pada jam 1.38 tengah hari dengan pada 1.1 kilometer dari lokasi kejadian dan mangsa ketiga iaitu seorang lelaki ditemukan pada jam 2.07 petang pada jarak 1.2 kilometer dari lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, gerakan mencari mangsa yang hilang masih lagi diteruskan membabitkan 32 anggota bomba. Beliau berkata, 10 mangsa yang terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita. #sumber

Share:

Kes Hanyut Di Telemong Vs Sindrom Penafian, Adakah 'Pembalakan Di Sg Gapoi' Jadi Punca?


KUANTAN - Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) hari ini menggesa Kerajaan Negeri Pahang menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk  menyiasat secara telus laporan yang tular di media sosial berkenaan insiden  16 orang hanyut dengan lima daripadanya masih hilang kononnya berlaku di Telemong, Bentong sejak semalam.

Polis Bentong pada satu kenyataan menafikan tular menerusi media sosial itu dan menasihatkan   orang ramai agar berhenti menyebarkan mesej berkenaan bagi mengelak kegusaran terutamanya dalam situasi genting yang sedang berlaku kini.

Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang juga mengesahkan tiada kejadian itu berlaku dan tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan gambar lama yang tidak berkaitan dengan banjir yang sedang berlaku.

Penyelaras Angkara, Mohd Shukri Mohd Ramli, hari ini berkata beliau merasa musykil dengan "sindrom penafian" oleh pihak berkuasa ini. Tambahan pula, selepas penafian itu salah seorang ahli keluarga mangsa pula mendedahkan kisah sebenar kejadian tersebut siap dengan gambar dan video yang berkenaan.

"Amat musykil keluarga mangsa sengaja mahu mereka cerita bab kematian. Sebagai orang Islam, tidak ada sesiapa mahu memaklumkan kepada dunia bahawa ahli keluarga mereka mati. Malah saya lihat ada majlis solat hajat yang diadakan oleh pihak keluarga mangsa agar mereka yang masih hilang ditemui," katanya ketika ditemui hari ini.

Shukri turut menegaskan, kenapa perlu berselindung jika ia adalah kebenaran. Apa motif menafikan sekiranya perkara itu ada bukti dan asasnya. Sepatutnya pihak berkuasa memanggil ahli keluarga mangsa dan saksi-saksi yang mengetahui kejadian ini.

"Ini zaman media sosial, bukan zaman TV hitam putih. Makanya, buatlah kenyataan dan tindakan yang telus tanpa didesak oleh mana-mana pihak. Banjir yang berlaku di kawasan Telemong ini mungkin ada kaitannya dengan aktiviti pencemaran alam yang ditentang oleh penduduk selama ini.

"Pada tahun lepas, penduduk berkali-kali membantah aktiviti pembalakan sama ada secara berlesen apatah lagi secara haram di kawasan hutan berhampiran kawasan terbabit. Malah, penduduk mengadakan demontrasi membantah aktiviti pembalakan di Sungai Gapoi hingga menyebabkan pencemaran kepada Sungai Telemong," dakwanya.

Namun, bantahan itu dinafikan oleh  Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP). JPNP dalam satu kenyataan berkata, kawasan pembalakan di atas tanah seluas 674.9 hektar itu diluluskan kerajaan negeri sejak 2015 kepada Syarikat Sri Jengka Sdn Bhd untuk projek pertanian kelapa sawit. Kelulusan itu dibuat berdasarkan Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) pada 25 Februari 2015.

JPNP turut mendakwa aktiviti pembalakan diluluskan oleh JPNP melalui kelulusan secara dasar pada 2013, dan MMK pada 2015 membabitkan empat lesen berkeluasan 257.5 hektar yang dilaksana secara berperingkat bermula 1 Disember 2019 sehingga kini. Keempat-empat kawasan lesen ini terletak berhampiran antara satu sama lain, dan berkongsi balai pemeriksaan hutan sementara, matau serta penempatan pekerja.


Tinjauan JPNP ke kawasan tersebut pada pada 1 September 2020 juga mendapati dakwaan aktiviti pembalakan itu menyebabkan pencemaran kepada Sungai Telemong adalah kurang tepat kerana air sungai terbabit masih jernih.

"Laporan aduan awam yang diterima JPNP ketika itu didakwa telah disemak dan mendapati tiada aduan mahupun bantahan terutama oleh masyarakat Orang Asli Kampung Gapoi iaitu penempatan paling hampir dengan kawasan pembalakan ini. Walaupun kawasan ini membabitkan aktiviti pembalakan secara tebang habis, tetapi JPNP menetapkan syarat supaya kawasan zon penampan alur air untuk sungai masih tidak dibenarkan aktiviti penebangan pokok. JPNP juga mendapati pelesen masih mematuhi syarat, cuma sebahagian kecil kawasan sungai terdapat sisa pembalakan di dalamnya," kata kenyataan Shukri lagi.

JPNP turut  mendakwa tinjauan juga dibuat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gapoi dan mendapati air sungai masih jernih dan dalam khususnya di bahagian muka sauknya. Malah mereka turut menemubual pekerja Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) di situ dan turut mengesahkan tiada kes penutupan operasi loji akibat pencemaran sungai.

Hutan yang telah digondolkan di kawasan Telemong

Itulah senarionya setahun yang lalu, namun hari ini Disember 2021 kisahnya lain pula dakwa Shukri. Beliau melihat, mungkin ada kaitan aktiviti pembalakan ini dengan kejadian banjir lumpur dasyat yang berlaku di kawasan tersebut.

Malah, beliau turut mendakwa berdasarkan video yang diviralkan oleh ahli keluarga mangsa terbabit mungkin ada kaitan isu pembalakan secara berleluasa dengan banjir yang berlaku di kawasan Bentong termasuk di Janda Baik dan Lebuhraya KL-Karak sebenarnya. 

"Malah lebih parah lagi, jika benar dakwaan ada kematian dan kehilangan nyawa ia sesuatu yang mendukacitakan. Rakyat berjuang habis-habisan menetang aktiviti salah guna tanah kerana takut berlaku banjir besar akibat tadahan hujan dan bukit bukau yang sudah digondolkan. Kini, apa yang ditakuti itu akhirnya berlaku. Maka itu, saya mengesyaki ada usaha pihak-pihak tertentu untuk menutup kes kehilangan mangsa dengan aktiviti pembalakan di kawasan terbabit sebenarnya," tambahnya.

Shukri mahu, Kerajaan Negeri Pahang menyiasat dengan telus insiden ini. Rakyat keliru antara dua fakta berbeza yang dipertontonkan kepada mereka sekarng ini. Justeru, berpijaklah di bumi yang nyata. 

Malah media hari ini turut melaporkan empat mangsa meninggal dunia, dua hilang dan 10 lagi selamat selepas lima kereta dihanyutkan arus deras di Jambatan Telemong, di Bentong, Sabtu lalu. Ini bermakna semua mangsa yang terlibat dalam insiden itu sah seramai 16 orang. 

Persoalannya kenapa Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, orang ramai diminta berhenti menyebarkan mesej berkenaan bagi mengelak kegusaran terutamanya dalam situasi genting yang sedang berlaku kini. Apakah yang berlaku sebenarnya?. Kenapa perlu menafikan sesuatu yang benar-benar berlaku?.  

Malah yang terkini Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) (Pahang), Ismail Abdul Ghani, mendakwa lima mangsa maut telah ditemui. Sebelum ini beliau luga mengesahkan tiada kejadian itu berlaku dan tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan gambar lama yang tidak berkaitan dengan banjir yang sedang berlaku.

Kenapa harus ada maklumat yang berbeza? Usahlah lari dari tanggungjawab dan masih lagi terus menggunakan sindrom penafian pada zaman teknologi maklumat yang semakin canggih hari ini. Takutkan Allah jangan takut kepada manusia. Maka itulah isu ini harus dibongkar dengan lebih mendalam lagi. Dua kenyataan berbeza membuktikan ada sesuatu yang tidak kena sebenarnya disebalik tabir kejadian ini. #PDO


Share:

Selepas Polis Nafi 16 Di Laporkan Hilang, Ahli Keluarga Mangsa Pula Dedah Perkara Sebenar

Selepas polis menafikan tular menerusi media sosial semalam mengatakan 16 orang hanyut dengan lima daripadanya masih hilang kononnya berlaku di Telemong. Hari ini  seorang ahli keluaraga mangsa  yang menggunakan facebook Amir Daniel pula mendedahkan sebaliknya. 

Tangkap layar perbualan ahli keluarga terbabit juga sudah tular. Berikut adalah perbualan ahli keluarga mangsa. 

"kenderaan yg dinaiki toK (wargamas), tokwan (wargamas and ada masalah paru”), maklong, pakndak, makndak(sarat pregnant 7 Bulan) Dan miqail terpaksa berhenti sbb air makin naik Dan banjir.jalan depan lumpuh..tiada kenderaan yang boleh lalu..nak ambil u turn,kereta mereka berada didepan sekali dan jalan belakang juga telah dinaiki air"

Air dah masuk ke dalam kereta

"Semua orang panik,call 999 untuk dapatkan bantuan,balai polistelemong tiada bot penvelamat utk menyelamatkan MANGSA” yang terkandas..terpaksa Mg dipermudahkan urusan semua menunggu bantuan bomba Dan polis dari Abangah smua cmne tu oky ke 21:06 karak..tapi untuk sampai ke telemong,banyak pokok tumbang dan tanahruntuh..penyelamat terhalang dan tidak dapat sampai segera ke lokasi untuk operasi menyelamat"
"mereka keluar dari kereta sbb air makin naik dan naik sebuah Hilux untuk selamatkan diri (about 20 org ada atas hilux tu)"

Selepas polis nafi 16 orang hilang, ahli keluarga terlibat dedah perkara sebenar

11.42 pm – 5 am (20/12) sepupu bergegas ke lokasi untuk usaha menyelamat tapi terhalang kerana pokok tumbang dan tanah runtuh..masa ni seorg manga telah lemas.

Selepas polis nafi 16 orang hilang, ahli keluarga terlibat dedah perkara sebenar
10.35 pm mesej terakhir mak long hantar sebelum lost contact. 


11.42 pm -5 am (20/12) sepupu bergegas ke lokasi untuk usaha terhalang kerana pokok Abang Amzar tumbang dan tanah runtuh.masa ni seorg manga telah lemas.

12.30 pm Mikail. dapatkhabar yg pakndak,makndak dan miqail selamat Dan telah dibawa ke tempat yg selamat.tapi tok,tokwan, mak long dan dua lagi mangsa masih belum di temui.

"misi mencari Dan menyelamat diteruskan oleh sepupu dengan bantuan penduduk kampung..banyak pokok tumbang dan tanah runtuh sebelum sampai ke lokasi (jambatan d valley,telemong)"

"6.05 pm kereta mak long dijumpai"
"segala usaha,doa,solat hajat Dan bacaan yaasin telah dilakukan..kini tawakal menjadi bekal"

Sumber:

Melihat kepada video yang dipaparkan di facebook Amier Daniel ternyata banjir besar yang melanda di kawasan ini ada kaitan dengan  aktiviti pembalakan secara berleluasa di kawasan terbabit. aktiviti yang berlaku di Sungai Gapoi itu didakwa penduduk sebagai pembalakan haram dan mencemarkan Sungai Telemong. 


Lantaran itu ada pihak yang mungkin kepanasan apabila insiden dibongkar, maka mahu sindrom penafian digunapakai bagi menutup kes yang sebenarnya.  Nantikan pendedahan panas seterusnya berkenaan isu ini.#PDO

Share:

Polis, Bomba Nafikan Isu Tular Di Media Sosial Kejadian 16 Hanyut Lima Hilang Di Telemong

KUANTAN - Polis menafikan tular menerusi media sosial hari ini mengatakan 16 orang hanyut dengan lima daripadanya masih hilang kononnya berlaku di Telemong, Bentong.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, orang ramai diminta berhenti menyebarkan mesej berkenaan bagi mengelak kegusaran terutamanya dalam situasi genting yang sedang berlaku kini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani juga mengesahkan tiada kejadian itu berlaku dan tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan gambar lama yang tidak berkaitan dengan banjir yang sedang berlaku.

Hari ini, tular menerusi WhatsApp dan Facebook gambar seorang anggota bomba dalam keadaan berbalut di bahu sedang duduk dengan keterangan 'dekat Telemong Pahang, 16 orang hanyut, 10 dapat diselamatkan, satu meninggal dan lima lagi masih dicari. Allahu'.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan setakat ini tiada laporan diterima mengatakan terdapat kejadian maut akibat terkena renjatan elektrik di Batu 3, di sini akibat banjir.

Dakwaan itu tersebar dalam kalangan mangsa banjir yang berada di beberapa pusat pemindahan sementara di sini. #sumber

Share:

PAIP: Sebanyak 13 Loji Rawatan Air (LRA) Lima Daerah Di Pahang Tiada Operasi Akibat Banjir !

KUANTAN - Sebanyak 13 Loji Rawatan Air (LRA) di lima daerah di Pahang tidak dapat beroperasi akibat terkesan banjir.

Ketua Pegawai Eksklusif Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, penutupan LRA di daerah Kuantan, Temerloh, Bentong, Lipis dan Raub bermula dua hari lalu.

Menurutnya penutupan bermula dengan empat LRA yang terkesan akibat peningkatan paras air sungai.

"Kini sebanyak 13 LRA terpaksa ditutup disebabkan alasan sama (peningkatan paras air sungai) dan terputus bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Susulan daripada itu sebanyak 53,916 akaun pengguna mengalami masalah gangguan bekalan air,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Menurutnya, bantuan penghantaran bekalan air bersih dan tangki statik ditempatkan ke kawasan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terjejas. #sumber

Share:

Banjir: Timbunan Kayu, Pokok Besar Tumbang Memenuhi Halaman Rumah Akibat Arus Deras

SEREMBAN - Keluarga Mohd Yusof Hanafi diuji dugaan berat apabila rumah mereka dipenuhi timbunan kayu dan pokok besar yang tumbang akibat dihanyutkan arus deras banjir di Batu 7 Kampung Pantai di sini pada Sabtu malam.

Menceritakan detik cemas ketika banjir melanda kawasan rumahnya, Mohd Yusof, 55, berkata, hujan berterusan sejak 7 malam, Sabtu menyebabkan air naik mendadak ke paras dada.

Tanpa berfikir panjang, beliau terus bertindak menyelamatkan ibu mertuanya yang berusia 94 tahun dengan memindahkan warga emas itu ke rumah jiran apabila air semakin naik selain menyelamatkan tiga anak serta isteri.

"Sepanjang 18 tahun berkahwin dan menetap di sini bersama isteri, ini kali pertama kali kami sekeluarga menghadapi banjir seteruk ini, selalunya air naik tetapi setakat di tempat letak kereta sahaja.



"Semua barangan rumah saya rosak, televisyen dan pakaian juga habis terkena air banjir, dinding rumah rosak... saya juga tidak sempat menyelamatkan dokumen penting, hanya memikirkan keselamatan anak-anak, isteri dan ibu mertua sahaja," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Tinjauan Bernama mendapati, selain rumah Mohd Yusof, terdapat sebuah lagi yang turut berdepan situasi sama dan kini kerja-kerja pembersihan laman di kediaman terbabit giat dilakukan oleh anggota Majlis Bandaraya Seremban #sumber

Share:

Mayat Lelaki Yang Di Hanyutkan Arus Bersama Keretanya Di Kampung Chempaka Di Temukan!

KUANTAN - Seorang operator kilang hanyut bersama kenderaan jenis Exora yang dibawa arus deras banjir di Jalan Pintasan Kampung Chempaka-Sungai Soi, dekat sini, ditemukan lemas, hari ini.

Mangsa, Mohd. Helmi Nazlan, 34, ditemukan pada pukul 7.15 pagi tadi oleh pasukan penyelamat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama-sama penduduk kampung.

Penolong Pengarah Operasi JBPM negeri, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa ditemukan di kawasan pantai Chempaka pada jarak kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.

Menurutnya, susulan penemuan itu, mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk tindakan lanjut.

“Kejadian bermula dua hari lalu apabila mangsa bersama rakannya telah terkandas dan dihanyut dibawa arus deras ketika cuba mengharungi banjir bersama kereta Proton Exora dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Pahang.

“Namun begitu, rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan memecahkan cermin belakang kereta tersebut. Dalam operasi semalam, kenderaan mangsa dijumpai 500 meter dari jalan raya,” katanya di sini hari ini.

Operasi yang diketuai oleh Ketua Balai Timbalan Penguasa Bomba Kamerul Bieza Mohd Kasim tamat pada pukul 7.31 pagi susulan penemuan mayat mangsa. #sumber

Share:

Seorang Lelaki Di Khuatiri Lemas Keretanya Di Hanyut 'Arus Deras' Di Kg Chempaka Kuantan !

 

KUANTAN - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas kereta dinaikinya hanyut dibawa arus deras dalam kejadian di Kampung Chempaka, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi ketika mangsa, Mohd. Halmi Nazlan, 34, bersama rakannya, Muhammad Amirul, 23, dalam perjalanan dari Kuantan mengala ke Pekan.

“Ketika melalui jambatan di kampung terbabit, kereta Proton Exora yang dinaiki mangsa gagal dikawal dan dihanyutkan arus deras ke sungai berkenaan.

“Bagaimanapun rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri sebaliknya mangsa terus dihanyutkan arus sebelum hilang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Zahari berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa telah dilakukan serta merta membabitkan dua pegawai dan lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Kereta mangsa ditemui tenggelam kira-kira 100 meter dari jambatan berkenaan  dan operasi SAR dilakukan pada jarak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian,” katanya. #sumber

Share:

Seorang Lelaki Di Khuatiri Lemas Di Hanyutkan Arus Deras, Selepas Dia Terjun Ke Sungai Belat

KUANTAN – Tindakan seorang lelaki terjun ke dalam sungai dalam keadaan sungai yang berarus deras membawa padah apabila dia dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras Sungai Belat dekat Sri Damai di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan siasatan awal mangsa Mohd. Firdaus Supiardi, 26, datang ke lokasi kejadian menaiki motosikal.

“Setiba di jambatan mangsa telah memberhentikan motosikal dan terus bertindak terjun ke Sungai Belat.


Menurut saksi mangsa dilihat cuba berenang ke tepi sungai namun gagal disebabkan arus sungai yang deras dan mangsa dikhuatiri lemas,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya pada masa ini operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan melibatkan polis dan bomba yang melakukan rondaan di sepanjang tebing Sungai Belat yang masih berarus deras.

Katanya, mangsa masih belum ditemukan dan polis masih menyiasat punca mangsa terjun ke dalam sungai. #sumber

Share:

MetMalaysia Ramal Hujan Lebat Tahap Bahaya Berlaku Di KL, Perak, Pahang, Selangor Hari Ini

KUALA LUMPUR - Hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya diramal berlaku hari ini di beberapa kawasan di ibu negara, Perak, Pahang dan Selangor.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan amaran cuaca yang dikeluarkan pada 1.40 pagi tadi memaklumkan bahawa kawasan yang terlibat di Perak ialah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

Di Pahang, kawasan yang dijangka terlibat ialah Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Kuantan manakala di Selangor ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat serta Hulu Langat.

Sementara itu, hujan lebat berterusan tahap buruk diramal berlaku di Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; Pahang (Temerloh, Maran dan Pekan); Sepang (Selangor); Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Jelebu (Negeri Sembilan).

MetMalaysia juga mengeluarkan amaran waspada hujan berterusan di seluruh Perlis; Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak) dan Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai).

Keadaan cuaca sama turut diramal berlaku di seluruh Terengganu, Melaka, Pahang (Bera dan Rompin); Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin) serta Johor (Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat). #sumber

Share:

Seramai 1,119 'Mangsa Banjir' Daripada 300 Keluarga Dari Empat Daerah Telah Berpindah

KUANTAN – Seramai 1,119 mangsa banjir daripada 300 buah keluarga dari empat daerah di negeri ini ditempatkan di 44 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini setakat ini.

Menurut kenyataan Info banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Raub merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu sebanyak 617 orang yang ditempatkan di 21 PPS.

“Selain itu tiga daerah lagi ialah Maran sebanyak 178 mangsa, Lipis (166 mangsa) dan Jerantut yang merekodkan 158 mangsa.

“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kundang Patah, Raub menempatkan paling ramai mangsa banjir di negeri ini iaitu seramai 107 orang diikuti dengan PPS Dewan Semai Bakti Felda Kota Gelanggi Satu, Jerantut dengan 103 mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengeluarkan kenyataan mengenai amaran banjir di lembangan sungai Pahang iaitu Sungai Tembeling, Jerantut.

Menurut kenyataan itu, susulan amaran cuaca bahaya yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia semalam, banjir dijangka akan berlaku di beberapa kawasan di daerah terbabit sekiranya hujan lebat berpanjangan.

Antara kawasan yang dijangka akan berlaku banjir adalah Kampung Kuala Tahan, Kampung Padang, Kampung Merting, Kampung Gold dan kawasan sekitarnya. #sumber

Share:

Lebuh Raya Kuala Lumpur Ke Karak 'Terputus', Selepas Berlaku Tanah Runtuh Kilometer 62.9

BENTONG – Laluan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) terputus selepas berlaku tanah runtuh di Kilometer 62.9 lebuh raya berkenaan di sini hari ini.

Difahamkan kejadian kira-kira pukul 11 malam itu turut menyebabkan terdapat kenderaan yang turut ditimpa runtuhan tanah.

Bagaimanapun belum didapat dipastikan sama ada terdapat mangsa yang terperangkap dalam kejadian berkenaan.

Selain itu juga pengguna jalan raya ramai terkandas kerana tidak dapat berpatah balik ekoran terdapat jalan yang dinaiki air di Karak.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd. Kahar mengesahkan berlaku kejadian tanah runtuh di lebuh raya berkenaan.

“Saya sahkan dan kita dalam keadaan kelam kabut saya akan makluman perkembangan selepas ini,”katanya.

Dalam pada itu difahamkan bandar Bentong turut ditenggelami air yang naik secara mendadak malam ini selepas air Sungai Bentong dan Sungai Benus melimpah.

Malah keadaan yang berlaku secara mengejut itu menyebabkan ada penduduk yang terperangkap di dalam rumah dan masih menunggu bantuan pihak bomba yang bergegas ke kawasan tanah runtuh dan juga Janda Baik yang turut berlaku banjir dan pokok tumbang.

Seorang penduduk Kampung Chegar Medang, Azril berkata, air naik begitu cepat sehingga dia tidak sempat menyelamatkan barang-barang dan hanya berlindung di kawasan tinggi.

“Pada masa ini kami hanya berkumpul di atas kawasan berbukit, saya tidak sempat selamatkan barang-barang saya kerana tidak sangka air dalam,” jelasnya. #sumber

Share:

Kecoh Isu DNB, Apa Status Projek High Speed Broadband "JALENAS" Di Bandaraya Kuantan ?

KUANTAN -  Isu pelantikan Digital Nasional Berhad (DNB) oleh Kementerian Kewangan melibatkan penyediaan 5G dilihat bakal menjadi skandal seperti isu 1MDB. Ini kerana Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multi Media, Datuk Zahidi Zainul Abidin sendiri bahawa  dilakukan tanpa dasar yang jelas, tiada ketelusan dan tanpa tender.

Dilaporkan, sejak Mac 2020 keputusan dibuat dan diberi secara rahsia kepada beberapa syarikat yang dipercayai melibatkan tokoh utama politik.  Malah tiada tender, proses tak teratur dan kosnya tidak menentu, kadangkala RM15 bilion dan naik RMRM18 bilion.


Ramai pihak mengesyaki syarikat-syarikat telekomunikasi juga dipengaruhi dalam keputusan itu dan hairan kerana Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) tidak dirunding mengenainya oleh Kementerian Kewangan.

Demikian ditegaskan oleh aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli kepada PDO hari ini. Beliau melihat, kes yang sama juga pernah berlaku di negeri Pahang. 

Katanya, ibu negeri Pahang, Kuantan sudah dimahsyurkan sebagai sebuah bandaraya pada 21 Februari 2021 yang lalu, namun hingga ke hari ini internet berkelajuan tinggi 'High'-Speed Broadband (HSBB)' yang dijanjikan oleh kerajaan sejak 11 tahun (2010) lalu masih tidak menjadi kenyataan. Akhirnya rakyat masih berharap kepada internet kabel Unifi yang dibekalkan oleh Telekom Malaysia (TM).

"Apa sudah jadi dengan projek Jalur Lebar Nasional Sdn Bhd (JALENAS) yang menelan belanja jutaan ringgit seperti diwar-warkan satu ketika dulu. Inilah yang menjadi persoalan warga Kuantan sekarang. Kononnya projek itu akan beri kemudahan awal kepada 30,000 penduduk di bandaraya ini.

"Saya masih ingat pelancaran projek ini dibuat oleh Datuk Sri Najib Tun Razak yang ketika itu adalah Perdana Menteri. Sambutan besar-besaran dibuat dan saya juga hadir dan berbangga Kuantan akan mempunyai internet berkelajuan tinggi seperti dijanjikan.

"Namun selepas lebih 10 tahun menunggu, hingga ke hari ini hanya indah khabar dari rupa. Malah, bangunan JALENAS jiga sudah bertukar menjadi Tourism Pahang dengan sekelip mata. Sedangkan rakyat ternanti-nanti projek itu sehinggalah ke hari ini. Status projek pun rakyat tidak tahu menahu, apakah ia sudah dibatalkan atau sebaliknya.

"Benarkah ada dakwaan Kerajaan Negeri Pahang ditipu oleh pihak yang berkenaan?  Difahamkan sebuah syarikat yang telah ditubuhkan dan bertanggungjawab terhadap urusan ini ialah High Speed Broadband Technology Sdn Bhd (HSBT) di mana Pengerusinya ialah salah seorang exco kerajaan negeri Pahang sendiri," dakwa beliau.

Tambahnya lagi, ketika itu warga Kuantan dijanjikan internet berkelajuan tinggi antara 5Mbps ke 30Mbps. Projek juga dengan kerja anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang iaitu Pahang Technologies Resources Sdn Bhd.


"Persoalannya di sini, apakah dengan pelaburan jutaan ringgit sehingga ke hari ini ia masih belum menjadi kenyataan?. Jika benar dakwaan kerajaan ditipu oleh pihak berkenaan, kenapa tidak diambil tindakan mahkamah agar mereka yang terlibat diambil tindakan berlandaskan undang-undang.

"Rakyat ternanti-nanti internet berkelajuan tinggi, hingga Kuantan dah jadi bandaraya segalanya masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini. Pihak yang berkenaan perlu bertanggungjawab memberi penjelasan kepada warga Kuantan status projek ini. Ramai pihak ingin tahu apa yang berlaku sebenarnya. Jika kes di bawa ke mahkamah, mungkin isu ini   panas sebenarnya. Namun dek kerana masing-masing bersikap diam dan senyap, ramai pihak terutamanya rakyat tidak tahu apakah status projek ini," tambah beliau lagi.

Kerajaan Negeri Pahang diminta memberi penjelasan  berkaitan isu ini, kerana sudah terlalu lama sejak 2010 warga Kuantan menunggu internet berkelajuan tinggi (High Speed Broadband) yang dijanjikan. Malah, carian di internet mendapati laman facebook syarikat terbabit hanya aktif hingga 2013 sahaja, klik https://www.facebook.com/FibreToTheHome/  

Manakala laman web rasmi syarikat terbabit juga didapati sudah sudah tiada lagi pautan, sila  klik http://www.jalenas.com.my/ Kerajaan negeri wajar mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat unsur penipuan dalam kes ini.  Malah bagaimana seoseorang yang berjawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri boleh terlibat secara langsung dengan syarikat terbabit?.

Berapa banyak kerugian yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri Pahang dan kenapa tiada pihak yang mendakwa JALENAS mengikut undang-undang sekiranya benar mereka gagal melaksanakan tanggungjawab berdasarkan perjanjian yang telah ditandatangani?. #PDO

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.