script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Najib Arah Dana 'SRC International' Di Pindah Melalui Operasi 3 Individu Termasuk Jho Low !

 

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Razak mengarahkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC International) dipindahkan melalui operasi dijalankan tiga individu termasuk ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Jho Low bersama-sama bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, juga bertanggungjawab memastikan terdapat dana mencukupi dalam akaun Najib.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram, apabila pihak pendakwaan menyoal balas Najib sebelum ini, bekas perdana menteri itu mengakui ada komunikasi antara beliau dengan Jho Low serta Azlin mengenai perkara itu.

"Najib menyatakan bahawa Jho Low memanipulasi akaunnya dan 'menyebabkan' RM42 juta dipindahkan ke dalam akaun itu tanpa persetujuan dan pengetahuannya, serta mendakwa beliau 'diperangkap' oleh Jho Low.

"Adalah jelas bahawa hujah ini tidak mempunyai kredibiliti kerana perayu telah mengarahkan Jho Low, Azlin dan Nik Faisal untuk memastikan akaunnya mempunyai wang bagi membolehkannya mengeluarkan cek yang tidak terkira banyaknya mencecah berjuta-juta," katanya berhujah dalam prosiding rayuan akhir Najib berhubung sabitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Sithambaram berkata, tiada sedikit pun perbezaan sekiranya arahan pemindahan wang dari subsidiari SRC International, ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) datang daripada Jho Low dan bukannya Azlin.

Beliau berkata, kes dikemukakan pendakwaan ialah dana itu dipindahkan atas arahan Najib oleh ketiga-tiga individu itu dan beliau mendapat manfaat daripada RM42 juta yang dikreditkan ke dalam akaunnya.

Katanya, satu-satunya isu ialah sama ada Najib mempunyai pengetahuan mengenai RM42 juta dalam akaunnya ketika ia diterima.

"Dalam apa juga keadaan, tindakan sengaja menutup mata bukan satu pembelaan. Dalam undang-undang ia adalah sama seperti pengetahuan sebenar," katanya. #sumber

Share:

Mahkamah Tolak Rayuan Anak JJ Memasukkan Saham 'Rantaian Wawasan' Jadi Harta Pusaka !

 

KUALA LUMPUR - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan ibu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Mohd Jarjis untuk memasukkan tiga juta saham syarikat Rantai Wawasan Sdn Bhd dalam senarai harta pusaka peninggalan anaknya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk P. Ravinthran dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Aminah Abdullah untuk mengisytiharkan bahawa enam juta saham dalam syarikat Alpine Motion Sdn Bhd dan dua saham dalam syarikat Ivory Insight Sdn Bhd adalah sebahagian daripada harta pusaka peninggalan Allahyarham.

Hakim  Mohd Nazlan yang membacakan keputusan sebulat suara pada prosiding dalam talian hari ini, menolak rayuan yang dikemukakan oleh dua anak Jamaluddin, Ikhwan Hafiz Jamaludin dan Nur Anis Jamaludin serta rayuan balas oleh Aminah.

Panel itu yang diketuai Hakim Azizah memerintahkan kedua-dua pihak menanggung kos masing-masing.

Aminah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk memasukkan saham Alpine Motion dan Ivory Insights sebagai sebahagian daripada harta pusaka anaknya manakala cucunya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memasukkan saham Rantai Wawasan dalam senarai harta pusaka bapa mereka.

Hakim Mohd Nazlan yang membacakan alasan penghakiman berkata saham Rantai Wawasan harus dimasukkan ke dalam harta pusaka Jamaluddin sebagai surat ikatan amanah yang diwujudkan pada 2009 ketika Allahyarham masih hidup adalah sah manakala surat ikatan amanah yang diwujudkan pada 2015 oleh anak-anak Jamaluddin selepas kematian arwah, adalah terbatal dan tidak sah.

Mengenai saham Alpine motion dan Ivory Insights, beliau berkata bukti menunjukkan saham berkenaan tidak pernah menjadi milik Jamaluddin dan tidak ada bukti pembayaran yang dibuat oleh Allahyarham untuk saham itu.

Dalam saman yang difailkan pada 3 Jan 2019, Aminah, 87, mendakwa Nur Anis dan Ikwan Hafiz sebagai pentadbir bersama harta pusaka peninggalan Jamaludin, telah gagal memasukkan saham ketiga-tiga syarikat sebagai harta pusaka dalam senarai aset di dalam surat kuasa mentadbir selepas Allahyarham meninggal dunia pada 4 April 2015, dan juga gagal memasukkan saham itu sebagai liabiliti sejak 6 Julai 2017.

Aminah menuntut tiga juta saham Rantai Wawasan bernilai RM1.44 bilion, enam juta saham Alpine Motion bernilai RM233 juta dan dua saham Ivory Insights bernilai RM80 juta untuk dimasukkan ke dalam harta pusaka anaknya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Aminah mendakwa cucunya gagal memasukkan saham tiga syarikat - Rantai Wawasan, Alpine Motion dan Ivory Insight - sebagai sebahagian daripada harta pusaka si mati dengan niat untuk menafikan hak dan kepentingannya sebagai benefisiari.

Jamaluddin yang lebih dikenali sebagai JJ, merupakan bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, terbunuh dalam nahas helikopter pada 4 April 2015.

Peguam Wan Zafran Pawancheek dan Pawancheek Marican mewakili Aminah manakala sepasukan peguam diketuai Saheran Suhendran mewakili Nur Anis dan Ikhwan Hafiz. #sumber

Share:

Liga Super: Skuad Sri Pahang Teruskan Rentak Cemerlang, Benam Penang FC 3-2 Malam Tadi

KUANTAN - Sri Pahang FC meneruskan rentak cemerlang apabila menundukkan Penang FC 3-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Penang FC tampak berhati-hati mengatur langkah menggunakan formasi 4-2-3-1 dengan pertama kali menampilkan gandingan Ariff Ar Rasyid, Faiz Subri, Sheang Tsung di bahagian tengah.

Skuad Tok Gajah pula memilih formasi 3-5-2 menyaksikan Andres Steven Rodriguez bersama Manuel Hidalgo di jentera s3rangan manakala Azuan Ariffin dan Abdul Malik di bahagian sayap.

Penang FC terlepas peluang membuka jaringan pada minit ke-29 apabila percubaan Rafiuddin Roddin dinafikan penjaga gol, Mamadou Samassa yang pantas menampan bola.

Penyerang import kelahiran Colombia, Andres Rodriguez memecah kebuntuan untuk meletakkan Sri Pahang di hadapan pada minit ke-44 sekali gus gol peribadi kelimanya pada saingan Liga Super musim ini.

Penyerang import Penang FC, Lucas Silva dilayangkan kad kuning pada minit ke-51 selepas mengasari Azwan Aripin.

Rafael Vitor menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-64 menerusi sepakan penalti selepas Aziq Rahim dijatuhkan kapten Sri Pahang, Muslim Ahmad.

Andres Rodriguez mel3dak gol kedua Tok Gajah dengan rembatan kencang pada minit ke-74 selepas mendapat hantaran Nor Azim Azih.

Pemain tengah kelahiran Australia, David Rowley menambah derita pasukan tuan rumah dengan menghadiahkan gol ketiga Sri Pahang selepas menyempurnakan hantaran Manuel Hidalgo pada minit ke-81.

Lucas Silva cuba merapatkan kedudukan dengan mencetak gol kedua skuad Harimau Kumbang pada minit ke-84 namun kedudukan 3-2 kekal sehingga permainan tamat. #sumber

Share:

Tun Mahathir Failkan 'Saman Fitnah' Terhadap Zahid Hamidi Berhubung Isu 'Kutty' Pada 2017

 

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman fitnah terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana mempersoalkan asal usul bekas Perdana Menteri itu pada 2017.

Dr Mahathir, 97, yang juga bekas Pengerusi BERSATU selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Haidir & Co di Mahkamah Tinggi di sini, pada 20 Julai lalu dengan menamakan Ahmad Zahid, 69, yang juga Presiden UMNO sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan dalam sistem mahkamah yang dilihat BH, Dr Mahathir berkata defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepada plaintif ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan palsu dan fitnah diterbitkan semula menerusi Youtube Astro AWANI berdurasi dua minit 41 saat.

Rakaman video berkenaan mencatatkan tontonan sebanyak 148,199 kali setakat writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan.

Dr Mahathir percaya individu dirujuk Zahid adalah beliau

Plaintif percaya dengan sesungguhnya bahawa individu dirujuk defendan dalam kenyataan fitnah itu sebagai 'orang itu', 'dia' dan 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty' jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Kenyataan fitnah yang diterbitkan Youtube Astro AWANI boleh diakses dan ditonton oleh semua pengguna internet di setiap pelusuk dunia tanpa sebarang sekatan atau had.

Jumlah pihak yang mengetahui atau menonton rakaman video majlis yang mengandungi kenyataan fitnah itu tidak diketahui jumlah sebenarnya.

Lanjutan itu, terdapat media dan platform dalam talian lain melaporkan mengenai kenyataan fitnah berkenaan seperti Malay Mail, Free Malaysia Today dan Malaysiakini.

Pada 17 Mei lalu, Dr Mahathir dilaporkan mempertimbang akan mengambil tindakan saman terhadap Ahmad Zahid jika bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak memohon maaf dan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan.

Dr Mahathir dipetik berkata, beliau tidak gemar menggunakan mahkamah walaupun ramai yang memfitnahnya kerana sedar dalam kempen politik akan ada yang bertindak di luar batas dan had.

Namun, beliau berasa perlu ada tindakan kerana sikap pembohong Ahmad Zahid amat memualkan dan tidak boleh dibiar begitu sahaja.

Kenyataan fitnah jejaskan kredibiliti Dr Mahathir sebagai negarawan

Dr Mahathir menerusi pernyataan tuntutan berkenaan itu juga berkata, Ahmad Zahid yang berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah mendedahkannya kepada rasa tidak puas hati dan dibenci oleh masyarakat.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

Kenyataan itu merendahkan, mencederakan dan mencemarkan reputasi, nama baik, maruah, integriti serta imej baik plaintif, selain ia bertujun melemahkan pengaruh politiknya secara berterusan sehingga mengalami kerugian besar dan teruk.

Kenyataan fitnah itu dalam maksud semula jadi dan biasa adalah sepanjang masa merujuk kepada plaintif dan diertikan, dimaksudkan atau difahamkan untuk membawa maksud seperti berikut:

Plaintif bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal didakwa sebagai Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Plaintif menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadi.

Kenyataan Zahid seperti memperkecilkan golongan India Muslim

"Plaintif memperkecilkan rakyat Malaysia yang berketurunan atau berbangsa India Muslim dan plaintif berasa malu serta terhina dengan keturunan nenek moyang yang mempunyai darah India," kata Dr Mahathir dalam kenyataan tuntutan saman berkenaan.

Selain itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan dipersoalkan dan diragui.

Ia juga difahamkan beliau adalah pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika semasa memegang jawatan awam serta tidak layak untuk menjadi pemimpin atau tokoh masyarakat.

Implikasi kenyataan fitnah itu menjatuhkan reputasi plaintif sebagai ahli politik dan ahli Parlimen bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat, meningkatkan kemakmuran dan prestasi negara.

Ia juga merendahkan prestasi, martabat, integriti, kredibiliti, kebolehpercayaan dan kebolehan plaintif untuk memimpin negara. Selain itu, kenyataan Zahid turut menyebabkan plaintif mendapat serangan peribadi sehingga dibenci, dikecam dan direndahkan oleh masyarakat.

Menjadikan plaintif seorang yang stereotaip, mendiskriminasi, rasisme dan memandang rendah kaum India Muslim di Malaysia terutama memberi sentimen atau tanggapan plaintif tidak jujur, mementingkan diri, licik dan penuh dengan tipu helah demi kepentingan peribadi.

Pengurusan kes seterusnya 13 September ini

Sementara itu, peguam Dr Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi ketika dihubungi berkata, pengurusan kes saman itu diadakan di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nor Afidah Idris, pagi ini secara dalam talian.

"Pengurusan kes seterusnya pada 13 September ini manakala jawapan pembelaan (Ahmad Zahid) adalah pada atau sebelum 8 September ini. Permohonan interlokutori (permohonan sebelum perbicaraan) boleh difailkan pada bila-bila masa sebelum tarikh akan datang," katanya.

Ahmad Zahid diwakili peguam bela, Aina Dalila Daman Huri. #sumber

Share:

Toh Puan Zurina Kassim, Isteri 'Bekas' Yang di-Pertua Negeri Melaka Meninggal Dunia Hari Ini

 

MELAKA - Toh Puan Zurina Kassim, isteri bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, kira-kira jam 10.10 pagi tadi.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Daniel Syed Ahmad dalam satu kenyataan, memaklumkan majlis penghormatan terakhir dijangka diadakan di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, jam 3.30 petang ini.

Ia akan disusuli majlis pengebumian yang dijangka disempurnakan di Makam Pahlawan, Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, selepas solat Asar.

Zurina dilahirkan di Duyong, Melaka pada 13 Julai 1944, mendirikan rumah tangga dengan Mohd Khalil pada 28 Februari 1965 pada usia 21 tahun dan dikurniakan tiga anak.

Allahyarham mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru dan seterusnya Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur sebelum ke luar negara selama 13 tahun bersama suami yang dilantik sebagai diplomat.

Ketika Mohd Khalil dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka, Allahyarham turut memainkan peranan dalam aspek kebajikan, termasuk menubuhkan Yayasan Toh Puan Zurina di Pantai Peringgit, di sini.

Yayasan berkenaan yang ditubuhkan pada November 2009, bertujuan membantu pesakit buah pinggang menjalani rawatan susulan hemodialisis. #sumber

Share:

Padah 'Serbu, Serang' Guru Pusat Tahfiz: Lima Lelaki Di 'Penjara 10 Bulan', Denda RM2,000 !

 

LIPIS - Lima lelaki masing-masing dipenjara 10 bulan dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku salah atas pertuduhan menceroboh sebuah pusat tahfiz dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang pengajarnya pada 11 Ogos lalu.

Tertuduh, Wan Haris Wan Ismail, 38; Zulkifli Mohd Nasir, 27; Azraen Che Mat Noor, 43; Mohd Amirul Afif Che Mat Noor, 29, dan Rizuwan Hazmi, 47, masing-masing mengaku bersalah sebaik kertas pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Majistret, Siti Aisyah Ahmad.

Berdasar pertuduhan, kelima-lima lelaki itu didakwa menceroboh kawasan Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah, Jalan Cheneras di sini, jam 5.10 petang pada 11 Ogos lalu.

Mereka didakwa melakukan pencerobohan itu mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5, 000 atau kedua-duanya.

Susulan pengakuan bersalah mereka, Siti Aisyah memerintahkan setiap tertuduh dipenjara 10 bulan dan denda RM2,000 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda yang dikenakan.

Pada prosiding sama, tiga tertuduh, Wan Haris, Zulkifli dan Azraen mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap guru tahfiz terbabit, Muhammad Zulhafiz Mohd. Rasid, 26.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan itu, Siti Aisyah mengarahkan ketiga-tiganya dipenjara lapan bulan dan denda RM1,000 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif, manakala semua tertuduh diwakili peguam bela, Fariha Nuzuruhan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). #sumber

Share:

Kerja Baik Pulih Serta Naik Taraf Infrastruktur Pasca Banjir Di Negeri Pahang Berjalan Lancar

 

TEMERLOH - Kerja baik pulih dan naik taraf infrastruktur pascabanjir di Pahang, berjalan lancar meskipun dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan peruntukan yang diterima setakat ini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata sebanyak 11 projek yang sudah siap di beberapa kawasan di negeri itu pada tahun lalu dan ada yang sedang disiapkan.

Katanya, projek yang siap itu membabitkan pembinaan jambatan, jalan raya dan perparitan, selain kerja penyelenggaraan.

"Alhamdulillah, semua berjalan dengan lancar. Cuma ada yang berbentuk pembaikan sementara disebabkan kita tak dapat peruntukan sepenuhnya.

"Peruntukan penyelenggaraan di Pahang sejumlah RM184.46 juta. Setakat ini, mereka sudah belanjakan dalam 7.33 peratus daripada peruntukan itu. Untuk cerun di Pahang pula, ia membabitkan peruntukan RM59.42 juta dan 56.4 peratus sudah dibelanjakan.

"Peruntukan lain adalah bagi kerja baik pulih bencana membabitkan pembaikan jambatan. Sebuah jambatan dengan kos RM100,000 sudah siap.

"Pembaikan jalan yang ada lapan semuanya sudah siap dengan peruntukan sebanyak RM5.37 juta. Baik pulih bukan pavemen (bukan permukaan jalan) ada tujuh dan setakat ini, 66 peratus sudah disiapkan dengan peruntukan RM5.3 juta," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas meninjau Rumah Kekal Banjir (RKB) di Kampung Tanjung Belengu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman; Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid; Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Mohd Shuhaimi Hassan dan Pengarah Kerja Raya Pahang, Datuk Ir Hafizah Zakaria.

Lawatan bagi melihat rumah banjir yang direka bentuk oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah antara program yang diselitkan dalam Jelajah FTRoadpedia.

Program jelajah itu adalah misi tinjauan infrastruktur Keluarga Malaysia. Siri jelajah kali kedua dijalankan di Zon Selatan, selama tiga hari bermula hari ini.

Diketuai Fadillah, jelajah itu menelusuri tiga negeri iaitu Pahang, Negeri Sembilan dan Johor, bagi meninjau status terkini projek pembangunan infrastruktur di Zon Selatan, di samping membuat pemantauan kualiti penyenggaraan jalan di bawah kawal selia Kementerian Kerja Raya (KKR).

Menerusi misi jelajah itu, pemerhatian ditumpukan di lokasi laluan yang mempunyai aduan jalan raya yang tinggi, antaranya membabitkan kawasan tinggi kemalangan, laluan sempit dan masalah jalan raya lain. #sumber

Share:

Tema 'PAS Teraju Pahang' Menjelang PRU-15, 'Blueprint’ Dan ‘Roadmap’ Untuk Masa Depan

 


KUANTAN - PAS sekali lagi mengangkat tema ‘PAS Teraju Pahang’ menjelang PRU-15. Tema yang menyatakan hasrat dan cita-cita PAS Pahang. Himpunan Hijau 3.0 (H20K) PAS Pahang yang berlangsung pada 30 Julai 2022 baru-baru ini menunjukkan komitmen para ahli yang turut menjulang cita-cita tersebut.

Demikian kenyataan rasmi yang dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar seperti dilaporkan portal rasmi parti itu Harakahdaily.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur itu, Pada PRU-14 PAS Pahamg telah mencipta sejarah perjuangannya dengan memenangi 8 kerusi DUN, jumlah terbesar selepas PRU-10, ketika itu PAS hanya memenangi enam kerusi sahaja.

Katanya lagi, PRU-14 menyaksikan ketumbukan sokongan dan keyakinan rakyat Pahang kepada PAS dengan memenangi lapan kerusi dan kalah tipis di beberapa kerusi DUN.

Justeru, PAS sekali lagi mengangkat tema ‘PAS Teraju Pahang’ menjelang PRU-15.

"Tema yang menyatakan hasrat dan cita-cita PAS Pahang. Himpunan Hijau 3.0 (H20K) PAS Pahang yang berlansung pada 30 Julai 2022 baru-baru ini menunjukkan komitmen para ahli yang turut menjulang cita-cita tersebut.

"PAS Teraju Pahang, bukan sahaja tema yang mengangkat kesedaran dan semangat ahli untuk tingkatkan gerak kerja perjuangan parti malahan tersirat cita-cita PAS untuk mewujudkan sebuah negeri yang berkonsepkan Islam di semua sudut kehidupan masyarakat bersesuaian dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, serta meraikan kebebasan berbagai agama mengikut sempadan undang-undang mesti dihormati oleh semua pihak," tambah beliau.

Beliau turut menegaskan, teman ‘PAS Teraju Pahang’ juga adalah kerangka untuk melahirkan rakyat berpendidikan dari pelbagai aspek, ia adalah sebuah dasar pendidikan yang melahirkan insan yang akan mendapat kemenangan di dunia dan akhirat, kerangka yang mewujudkan keyakinan rakyat secara menyeluruh terhadap dosa pahala dan kesedaran untuk memelihara negeri dengan menolak semua anasir yang akan membawa Negeri Pahang ke arah kehancuran.

"Ia adalah sebuah tema untuk melahirkan rakyat yang menolak ahli-ahli politik pembawa budaya ‘anai-anai perosak’ seperti rasuah, diskriminasi juga pembawa budaya Kronisme dan Nepotisme yang pastinya mengikis kemajuan sebuah kerajaan, selagi anai-anai ini terus dipelihara maka tiada apa yang akan berlaku di masa akan datang melainkan keruntuhan, kita juga menolak pemimpin yang membawa budaya perkauman yang tidak bersesuaian dengan kerangka perlembagaan.

"Apa yang ada di dalam tidur ialah mimpi, apa yang ada di dalam malas adalah angan-angan, apa yang ada di dalam usaha adalah cita-cita, apa yang ada dalam kesungguhan ialah aspirasi, apa yang ada di dalam H20K ialah sebuah sokongan, dukungan dan usaha dari semua amilin, jentera dan penyokong untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi merealisasikan ‘PAS Teraju Pahang’," katanya. #sumber

Share:

Kerjasama "Tumbangkan BN" Di Pahang? PAS Boleh Jamin Tak Langgar Sembilan Kerusi PH?’

 

KUALA LUMPUR - Pelawaan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari untuk bekerjasama menumbangkan kerajaan Pahang tidak kena dengan masa, kata Pemuda Pakatan Harapan (PH) Pahang.

Ketuanya Young Syefura Othman menyifatkan pelawaan itu sebagai 'drama' dan menunjukkan parti itu sanggup bekerjasama dengan mana-mana parti untuk mendapatkan kuasa.

Young Syefura berkata, sepatutnya PAS melihat kepada realiti semasa dengan kedudukan kerusi dewan undangan negeri (DUN) ketika ini.

"PH mempunyai sembilan kerusi DUN, manakala PAS pula ada lapan kerusi maka boleh dirumuskan daripada perbezaan kerusi ini, kedudukan PH lebih kukuh berbanding PAS.

"Memang kita mempunyai visi yang sama dengan PAS untuk menumbangkan kerajaan BN di Pahang, namun PH tidak dapat melupakan kejadian PAS bersekongkol dengan Bersatu dan BN menjatuhkan kerajaan PH melalui Langkah Sheraton pada tahun 2020.

"Ini bermakna sebarang kerjasama dengan PAS tidak menjamin satu hubungan politik stabil," katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Young Syefura yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari turut mempersoalkan sama ada PAS boleh memberi jaminan untuk tidak bertanding di sembilan kerusi DUN disandang PH ketika ini.

"Oleh itu, saranan Ketua Pemuda PAS wajar dibalas dengan 'thank you but no thank you' dan tidak ada keperluan untuk penyokong PH memberi sokongan kepada PAS," katanya lagi.

Semalam, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan secara terbuka dilihat mulakan langkah menawan Pahang selepas berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu melalui pilihan raya umum (PRU) lalu, selain Kedah selepas Langkah Sheraton.

Dia menyeru supaya penyokong PH supaya berfikir sejenak untuk melihat betapa pentingnya mengubah kepimpinan negeri terbabit.

Hari ini PAS menang lapan kerusi dewan undangan negeri (DUN) daripada 42 kerusi Pahang dalam PRU ke-14. BN (menang) 25 kerusi manakala PH sembilan kerusi.

"Dalam PRU yang akan datang jika penyokong-penyokong PH dapat berfikir sejenak betapa pentingnya mengubah kepimpinan Pahang, insya-Allah PAS ada peluang untuk menang atau setidak-tidaknya menjadi pemegang ‘syer’ paling besar dalam pembentukan kerajaan Pahang," katanya.

Ahmad Fadhli bagaimanapun hari ini menegaskan bahawa ajakan itu hanya dituju kepada penyokong PH, dan bukan kepada parti gabungan pembangkang itu untuk bekerjasama. #sumber

Share:

Kereta Toyota Alphard 'Menggelongsor' Masuk Longkang, Mujur Bayi Lapan Bulan Terselamat

 

JERANTUT - Seorang bayi berusia lapan bulan terselamat walaupun kereta jenis Toyota Alphard yang dinaikinya menggelongsor dan terbalik masuk ke dalam longkang Sungai Betong dalam kejadian di tengah bandar Jerantut, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Difahamkan, ibu bayi tersebut meletakkan kenderaannya di situ sebelum keluar membeli barang dan meninggalkan anaknya di dalam kenderaan.

Sementara itu Pegawai Operasi Bomba PBKII, Osman Abd. Malik berkata, pihak bomba sampai ke lokasi mendapati sebuah kereta Toyota Alphard yang terbabas ke dalam longkang.

"Terdapat seorang bayi perempuan berusia lapan bulan dalam kereta tersebut yang cedera.

"Namun mangsa yang cedera dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba," katanya.

Katanya, mangsa sudah diserahkan kepada pihak Hospital Jerantut untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu tular di media sosial rakaman video berdurasi 23 saat memaparkan orang awam dilihat mengeluarkan sesuatu daripada sebuah kereta yang terbalik di dalam longkang sebelum menaiki tangga untuk naik ke atas. #sumber

Share:

Jabatan Perhutanan Pahang Bongkar Lombong Emas Haram Di Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis !

 

LIPIS - Penemuan jalan tanah merah mencurigakan sejauh kira-kira 15 kilometer membongkar aktiviti melombong emas secara haram dalam operasi di Kompartmen 484 dan 485 di Hutan Simpan Ulu Jelai, Kuala Lipis, di sini, semalam.

Serbuan kira-kira 10 pagi dilakukan sepasukan 29 anggota Unit Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Unit Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub dibantu lapan anggota Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) serta polis selepas menerima maklumat.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) JPNP, Shahril Mohamad berkata, pihaknya berdepan cabaran apabila perlu menggunakan pacuan empat roda untuk sampai ke kawasan seluas dua hektar terbabit dari Jalan Pos Betau-Cameron Highlands.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di kawasan berbukit dan bertanah merah itu, pihaknya menemui lapan kolam air dan dua kolam dipercayai mengandungi bahan kimia yang digunakan sebagai penapis selain untuk mengasingkan emas yang melekat pada pasir.

"Ini kali pertama pihak kita menemui aktiviti melombong menggunakan kolam yang sistematik dipercayai bagi mendapatkan galian emas yang berada dalam tanah di kawasan terbabit.

"Terdapat juga ratusan batang paip bersama lubang kecil di satu-satu kawasan, tetapi saya tidak pasti kegunaan paip berkenaan yang dilengkapi dengan corong di dalamnya terdapat sekam padi," katanya ketika ditemui, di sini.

Shahril yang turut meninjau kawasan lombong berkenaan berkata, beliau difahamkan teknik melombong berkenaan lebih berkesan bagi mendapatkan emas dalam jumlah yang banyak pada satu-satu masa dan penggunaan kaedah itu amat terkenal di China.

Menurutnya, pihaknya turut difahamkan terdapat kira-kira 20 individu dipercayai kebanyakan warga China 'bekerja' di kawasan itu, namun dipercayai sudah melarikan diri ketika serbuan dilakukan.

"Pemeriksaan yang dilakukan turut menemui sebuah pondok berdinding kanvas dijadikan sebagai makmal selain dua unit enjin janakuasa elektrik berkuasa 2,500 kilowatt bersama sistem agihan kuasa menggunakan kabel elektrik bermutu tinggi.

"Sistem paip bagi mengalirkan air ke setiap kolam serta rumah penapis juga dianggap terbaik dengan menggunakan paip dan pam berkuasa elektrik.

"Siasatan awal percaya pihak yang terbabit dengan kegiatan haram ini sanggup mengeluarkan modal yang besar bagi menjayakan misi mereka, malah boleh dikatakan semua kelengkapan seperti tempat tinggal, dapur, tandas, bilik mandi, makanan dan tukang masak disediakan," katanya.

Katanya, selain merampas pelbagai peralatan, pihaknya turut menyita lori yang digunakan untuk mengangkut tanah bersama jengkaut.

"Kegiatan melombong emas secara haram dalam Hutan Simpan Ulu Jelai yang dikesan bukan sahaja menjejaskan alam sekitar berikutan penggunaan bahan kimia, tetapi juga mengundang kepada hakisan," katanya.

Katanya, siasatan akan dibuat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984. #sumber

Share:

Syarikat Subkontraktor LCS Baru Usia 45 Hari, Tuntut RM178 Juta Pada Hari Pertama Kontrak

 

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa sebuah syarikat subkontraktor yang berusia 45 hari, membuat tuntutan berjumlah RM178 juta dari projek kapal tempur pesisir (LCS) yang ditempah untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau mendakwa, kejadian itu berlaku ketika Menteri Kewangan ketika itu disandang Datuk Seri Najib Razak.

Justeru, beliau menuntut supaya Najib yang juga bekas Perdana Menteri, memberi penjelasan lantas menjawab dakwaan berhubung tuntutan yang dibuat subkontraktor berkenaan.

"Hari ini, saya ingin mendedahkan satu lagi pembayaran yang tidak mengikut prinsip-prinsip di dalam Pekeliling Perbendaharaan.

"Kertas siasatan dalaman projek LCS menunjukkan bahawa subkontraktor lapisan kedua (Contraves Electrodynamics Sdn Bhd atau CED) membuat tuntutan sebanyak RM178 juta sebagai yuran memulakan kerja (mobilisation fee) pada hari yang sama ia dilantik, sedangkan pada ketika itu subkontraktor ini ditubuhkan 45 hari sebelum itu.

"Sebagai Menteri Kewangan pada ketika itu, Najib mesti menjawab bagaimana sebuah subkontraktor yang hanya berusia 45 hari boleh membuat tuntutan berjumlah RM178 juta dari projek pertahanan utama negara?

"Penyelewengan-penyelewengan beginilah yang menyebabkan BNS akhirnya tidak mempunyai dana (walaupun telah dibayar kerajaan) dan projek tergendala sehingga tidak ada satu kapal pun siap hingga ke hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga menyenaraikan tiga peristiwa yang didakwa beliau mempunyai kaitan dengan bayaran yang melanggar prinsip urus tadbir Pekeliling Perbendaharaan.

Rafizi mendakwa, transaksi berkenaan adalah satu penyelewengan yang melanggar peraturan pembayaran Kementerian Kewangan.

"9 April 2012, BNS melantik Contraves Advanced Devices (CAD) sebagai subkontraktor bagi dua pakej utama bernilai RM1.2 bilion.

"9 April 2012, CAD melantik CED sebuah syarikat yang baru berusia 45 hari sebagai subkontraktor bagi dua pakej yang dianugerahkan oleh BNS.

"9 April 2012, CED membuat tuntutan sebanyak RM178 juta sebagai yuran memulakan kerja pada hari yang sama ia dilantik sebagai kontraktor lapisan kedua," dakwanya.

Menurut Rafizi, kontraktor perlu dilantik dalam kalangan pembekal yang paling layak berdasarkan keupayaan teknikal dan pada harga terbaik kepada kerajaan.

Tambah beliau, kontraktor juga perlu mempunyai kekuatan kewangan dan aliran tunai sendiri untuk menjalankan kontrak.

Dalam masa sama, beliau berkata bayaran hanya boleh dibuat mengikut kemajuan projek dan dibayar secara berpatutan mengikut peratusan projek dilaksanakan, seperti yang dipersetujui mengikut dokumen kontrak yang dimeterai dengan kerajaan.

"Umum mengetahui bahawa keseluruhan tadbir urus kewangan negara dipandu dan dikawal oleh satu set Pekeliling Perbendaharaan, yang pada prinsipnya menekankan perkara-perkara berikut," katanya. #sumber

Share:

Isu LCS: Bekas Panglima TLDM, Di Dakwa Tiga Peruduhanan 'Pecah Amanah' Lebih RM21 Juta

 

KUALA LUMPUR - Bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan dana syarikat lebih RM21 juta berkaitan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) pada 2010 dan 2011, di Mahkamah Sesyen hari ini.

Ahmad Ramli, 78, yang juga bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan itu selepas dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussain.

"Saya faham, saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu sebagai Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta iaitu dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dengan curang meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation Pte. Ltd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Pertuduhan ketiga, beliau didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, iaitudengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Semua kesalahan itu dilakukan di Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, Menara Boustead,Jalan Raja Chulan pada 26 Julai 2010, 28 Oktober 2010, 25 Mac 2011, 19 April 2011, 4 Mei 2011 dan 22 November 2011.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan dengan sebat serta denda.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Akram kemudian memohon tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan cagaran berbayar RM200,000.

"Syarat tambahan tertuduh dijamin warga tempatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah untuk simpanan. Kami juga menawarkan 24 November ini untuk tarikh sebutan kes kerana pihak pembelaan memaklumkan mahu menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC)," kata Wan Shaharuddin.

Susulan itu, Mohd Yusof berkata pihaknya tiada bantahan terhadap permohonan pasukan pendakwaan.

"Saya juga mengesahkan mengenai surat itu untuk menyemak semula kes berkenaan" katanya.

Hakim kemudian bersetuju dengan jumlah ikat jamin, syarat tambahan dan tarikh ditawarkan pihak pendakwaan.

Mahkamah tetapkan 24 November ini untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen berkaitan.

Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor (kanan) yang juga bekas Panglima Tentera Laut tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.
Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor (kanan) yang juga bekas Panglima Tentera Laut tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.
Terdahulu, Ahmad Ramli yang memakai kot hitam dan berkemeja putih tiba di mahkamah kira-kira jam 8 pagi, sebelum masuk mahkamah diiringi ahli keluarga.

Ahmad Ramli dilantik sebagai Panglima TLDM pada 1996 sebelum bersara wajib pada 1998 selepas berkhidmat selama 35 tahun dalam pasukan itu.

Terdahulu, pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 7.45 pagi untuk merakam video serta gambar bekas pegawai kanan itu.

Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS kepada Jabatan Peguam Negara.

Sehari sebelum itu, Jemaah Menteri meminta SPRM menyegerakan siasatan berhubung isu membabitkan projek LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dipetik berkata mesyuarat Jemaah Menteri yang membincangkan secara terperinci perkara itu, turut meminta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun membuat pendakwaan jika ada bukti kukuh serta membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan kos keseluruhan RM9 bilion dan kontrak bagi projek itu bermula 2013 serta dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS, yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

PAC melalui laporannya juga mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS itu, selain mengesyorkan tujuh langkah.

Ia termasuk SPRM mengambil tindakan terhadap dapatan laporan PAC itu, Laporan Audit Forensik serta Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).Selain itu, MINDEF perlu mengemukakan laporan kemajuan kepada PAC setiap tiga bulan sehingga projek itu disiapkan dan JKSTUPKK dinyahklasifikasikan.

Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah  membabitkan dana syarikat lebih RM21 juta berkaitan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan dana syarikat lebih RM21 juta berkaitan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS). #sumber

Share:

Mahkamah Persekutuan Menolak Permohonan Najib Masukkan 'Bukti' Kaitkan Hakim Nazlan !

KUALA LUMPUR - Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak memasukkan bukti tambahan membabitkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mohd Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta pada 28 Julai 2020.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati tiada kaitan antara jawatan Mohd Nazlan sebelum ini sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank yang boleh menyebabkan berat sebelah terhadap pemohon (Najib).

Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Tengku Maimun yang membacakan penghakiman, berkata mahkamah berpandangan bukti tambahan yang ingin dimasukkan tidak relevan dengan pertuduhan ke atas bekas Perdana Menteri itu.

Semalam, bekas Perdana Menteri itu memohon untuk memasukkan antaranya, keterangan viva voce (lisan) pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussein yang menjalankan siasatan ke atas skandal SRC.

Keterangan itu adalah sama ada beliau (Rosli) menyedari peranan lalu dan pembabitan Mohd Nazlan sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank, terutamanya dalam khidmat nasihat strategik yang diberikan Maybank Investment Berhad dan bahagian nasihat kewangan Maybank, Bina Fikir Sdn Bhd kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi penubuhan SRC pada tahun 2010/2011.

Bukti tambahan lain ialah keterangan lisan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berhubung perananannya ketika menjawat jawatan itu dalam urusan dan pelantikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd serta pegawainya berkaitan khidmat nasihat strategik dalam penubuhan SRC International.

Najib, 69, diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan M. Rueben, manakala pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V. Sithambaram dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudevan. #sumber

Share:

PAS Ada Potensi Untuk Menawan Pahang Pada 'Pilihan Raya Umum Ke-15' Ini ! - Fadhli Shaari

 


SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari melahirkan keyakinannya terhadap potensi dimiliki parti itu untuk menawan negeri Pahang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dengan mengambil senario perkembangan sokongan pada PRU14, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, perkara itu dapat dicapai sekiranya usaha dilakukan dengan menggunakan kaedah yang betul.

“Hari ini Pas menang lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 42 kerusi DUN Pahang dalam PRU 2018. Barisan Nasional (BN) 25 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) 9 kerusi.

“Dalam PRU yang akan datang jika penyokong-penyokong PH dapat berfikir sejenak betapa pentingnya merubah kepimpinan negeri Pahang, Insya-ALLAH Pas ada peluang untuk menang atau setidak-tidaknya menjadi pemegang syer paling besar dalam pembentukan kerajaan Pahang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Beliau turut berkongsikan beberapa kerusi DUN yang menunjukkan kemungkinan corak sokongan terhadap Pas dalam melawan UMNO antaranya DUN Pulau Tawar dan DUN Tioman.

Mengambil contoh DUN Pulau Tawar, Ahmad Fadhli berkata, keputusan menyaksikan calon Pas hanya kalah dengan majoriti 587 undi di tangan UMNO pada PRU lepas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berada di kedudukan tercorot mendapat 1,973 undi.

“Pengundi-pengundi PKR dan PH di kerusi ini perlu berfikir sejenak betapa ruginya undi dibazirkan begitu sahaja dengan memberikan kemenangan kepada UMNO/BN.

“Jika beramai-ramai pengundi mereka memberikan undi kepada Pas, Pas boleh memenangi DUN Pulau Tawar,” ujarnya. #sumber

Share:

Pemilik "Premis Perniagaan" Di Kuantan Yang Tidak Kibar Jalur Gemilang Akan Di Kompaun !

 

KUANTAN - Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memberi tempoh tiga hari kepada pemilik perniagaan tempatan untuk mematuhi syarat mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Pahang, sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang semakin hampir.

Pemilik niaga perlu kibarkan Jalur Gemilang, jika tidak dikompaun

"Adalah diingatkan bahawa pematuhan terhadap arahan pemasangan bendera bagi hari kebangsaan dan kebesaran merupakan sebahagian daripada syarat lesen premis yang dikeluarkan oleh Majlis (Bandaraya Kuantan).

"Pemilik premis juga perlu memastikan tiada Jalur Gemilang dan bendera negeri (Pahang) yang telah lusuh dan koyak berada di premis anda.

"Oleh itu semua pelesen diberi tempoh 3 hari berkuatkuasa hari ini untuk memasang bendera dan tindakan kompaun akan mula dijalankan secara besar-besaran selepas tempoh ini," katanya pada hantaran di media sosial hari ini.

Kenyataan itu tidak menyebut jumlah kompaun yang akan dikenakan, tetapi laporan New Straits Times pada 2018 berkata premis perniagaan Kuantan boleh dikenakan denda RM250 jika mereka tidak mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri antara tarikh 1 Ogos hingga 16 Sept.

Pekeliling mengenai syarat itu dilaporkan dikeluarkan pada Julai tahun itu, dikatakan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan memupuk semangat patriotisme. #sumber

Share:

Mahkamah Persekutuan Benarkan Najib Pinda Notis Usul Rayuan Akhir Kes SRC International

 

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak meminda notis usul berhubung keterangan beberapa individu untuk dimasukkan dalam rayuan akhir SRC International Sdn. Bhd.

Antara bukti tambahan itu ialah keterangan lisan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussein berhubung siasatan skandal SRC International.

Keterangan itu adalah sama ada beliau (pegawai penyiasat) tersebut menyedari peranan lalu dan pembabitan hakim dalam perbicaraan kes SRC, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Maybank Group.

Selain itu ia berhubung perkhidmatan nasihat strategik yang diberikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi penubuhan SRC pada tahun 2010/2011.

Ia juga berkaitan pemberian pinjaman RM4.7 bilion Maybank kepada 1MDB bagi perolehan Tanjong Energy Berhad pada 2012.

Bukti tambahan lain ialah keterangan lisan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berhubung peranannya ketika menjadi Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dalam urusan dan pelantikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd serta pegawainya berkaitan perkhidmatan nasihat strategik dalam penubuhan SRC International pada tahun 2010/2011.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berkata, pada peringkat ini mahkamah belum membuat keputusan berhubung merit permohonan itu.

Sehubungan itu, Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Najib  mengemukakan hujahan permohonan notis usul berkenaan sebelum Mahkamah Persekutuan memberi keputusan.

Selain Tengku Maimun, panel lain turut bersidang adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk P. Nallini, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Najib selaku pemohon diwakili peguam-peguam lain iaitu Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat, Rueben Mathiaravanam dan Hannah Kam Zhen Yi.

Sementara pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram, Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudeva. #sumber

Share:

Ketua Hakim Negara Pengerusi Panel Dengar Rayuan Akhir Najib Kes Penyelewengan SRC !

PUTRAJAYA - Rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi Datuk Seri Najib Razak akan didengar panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Turut bersidang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Nalini Patmanathnan, Datuk Mary Lim Thiam Suan serta Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Najib merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lalu, yang mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram dana SRC International.

Terdahulu, Najib tiba di Istana Kehakiman menaiki kereta Mercedes Benz diiringi polis dan pasukan pembelaan.

Suasana di perkarangan Istana Kehakiman lengang walaupun sekumpulan penyokong bekas Perdana Menteri itu dilihat hadir bagi memberi sokongan.

Kawalan keselamatan di sekitar kawasan mahkamah diperketat dengan kehadiran anggota polis, manakala pagar besi turut ditempatkan di semua pintu keluar dan masuk Istana Kehakiman.

Petugas media yang hadir seawal jam 7 pagi dan ingin mengikuti prosiding rayuan diminta mendaftar diri dan hanya dibenarkan masuk ke dalam mahkamah kira-kira jam 8.15 pagi.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang baru dilantik sebagai peguam utama Najib tiba bersama dua peguam lain pada jam 7.57 pagi dan ketika disapa oleh pihak media mengenai perasaannya pagi ini, Hisyam menjawab: "Excellent (baik)".

Beberapa penyokong Najib kemudian dilihat hadir bagi memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Pekan itu dengan memakai pengikat kepala.

Pada jam 9.10 pagi, kenderaan yang membawa Najib dilihat tiba di Istana Kehakiman dengan diiringi polis dan pasukan pembelaan. #sumber

Share:

GTA: Anak Saudara 'Pak Sako' Taruh Keyakinan Dan Kepercayaan Penuh Pada Tun Dr Mahathir

TEMERLOH - Berpengalaman lebih 40 tahun berkecimpung dalam dunia media massa, Khaidir Ahmad bukanlah nama asing dalam kalangan 'penjenayah' alam sekitar di Pahang.

Dia sebelum ini banyak terbabit dalam membongkar pencerobohan kawasan hutan simpan ketika bertugas di sebuah stesen televisyen sejak tahun 2000.

Langkahnya kemudian diteruskan melalui platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kira-kira tujuh tahun lalu, malah pernah diheret ke mahkamah sehingga diisytiharkan muflis pada 2019.

Namun, darah reformis dan nasionalis diwarisi daripada Allahyarham Pak Sako memberi kekuatan kepada Khaidir untuk terus memperjuangkan isu didepani rakyat marhaen.

Untuk rekod Pak Sako - atau nama sebenarnya Ishak Haji Muhammad - merupakan bapa saudara Khaidir.

Pak Sako dilahirkan di Bukit Saguntang, Temerloh, pada Sept 1909 dan menghembuskan nafas terakhirnya di Hulu Langat, Selangor pada 7 Nov 1991.

Sepanjang hayatnya, almarhum terbabit dalam penerbitan akhbar Warta Malaya yang menjadi lidah utama nasionalis Melayu ketika itu mengkritik pemerintah diterajui Inggeris.

Selain menulis untuk akhbar berkenaan, Pak Sako juga menghasilkan novel berjudul Putera Gunung Tahan yang diterbitkan pada 1938.

"Sedikit sebanyak ia membentuk diri saya untuk tidak cepat mengalah kerana nasib rakyat marhaen sentiasa dijadikan bahan taruhan ahli politik di negara ini," kata Khaidir ketika ditemui Malaysiakini di Temerloh, Pahang, kelmarin.

Selepas keluar dari dunia kewartawanan, Khaidir pernah bertanding sebagai calon bebas untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang dan Parlimen Temerloh pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Dia bagaimana pun tewas dan hilang wang deposit dalam PRU ke-14 berkenaan.

"Memang saya tahu akan kalah, rakyat (pengundi) luar bandar takkan terima calon bebas. Kalau di bandar, mungkin lain (keputusan).

"Tapi yang penting bagi saya ialah kita bersama-sama menggerakkan kebangkitan rakyat untuk menentang penyelewengan golongan kleptokrat pada PRU ke-14," katanya lagi.

Dia turut berkongsi mengenai kisah kerugian besar berjumlah kira-kira RM2 juta dialami selepas projek ternakan ikan patin dan kelah dalam sangkar diusahakannya musnah teruk akibat kejadian banjir pada penghujung 2014.

Ketika itu Khaidir baru 'pencen' dari TV3.

Dia cuba bangkit selepas kerugian itu dengan mengeluarkan wang simpanan keluarga, bergadai dan membuat pinjaman berjumlah RM250,000 daripada Agrobank untuk membina projek sangkar ikan baru.

Namun sekali lagi Khaidir diuji apabila projek itu terpaksa dihentikan selepas Pejabat Tanah Daerah Temerloh mengeluarkan notis untuk merobohkan projek berkenaan.

Hal itu kerana projek Khaidir berkonflik dengan cadangan projek pam pasir di kawasan berhampiran.

Dia kemudian disaman fitnah oleh Penolong Pentadbir Tanah Daerah Temerloh selepas apa yang berlaku itu dimuat naik ke akaun Facebook dan mendapat reaksi ribuan netizen.

Khaidir kalah dalam saman berkenaan dan diarah oleh mahkamah supaya membayar RM78,000 kepada plaintiff, selain menanggung bayaran yuran guaman berjumlah RM85,000.

"Episod itu memberi kesan besar dalam perjuangan saya selama ini dalam melawan penyelewengan, salah guna kuasa, dan akhirnya saya diisytiharkan muflis.

"Inilah harga yang perlu dibayar apabila kita lantang menyuarakan isu alam sekitar, rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya.

Ketika ditanya kenapa dia menyertai gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang diterajui Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diasaskan Dr Mahathir Mohamad, Khaidir berkata, gagasan itu bukan hanya memberi tumpuan kepada parti politik semata-mata, malah mengumpulkan aktivis daripada pelbagai NGO dan golongan profesional.

"Kita kena faham, GTA ini bukannya membabitkan gabungan empat parti politik saja iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

"Tapi ia mengumpulkan semua NGO bumiputera dan profesional. Objektif utamanya pula bukanlah untuk merampas hak kaum lain, cuma nak mempertahankan hak yang sedia ada dan kalau boleh, nak tambah apa lagi yang kurang," katanya.

Khaidir juga menegaskan perjuangannya melalui GTA juga bersesuaian dengan prinsip asal yang diyakininya selama ini.

"Matlamat perjuangan saya sangat jelas. Pertama ialah mempertahankan kelestarian alam sekitar untuk kesejahteraan hidup manusia dan makhluk Tuhan yang lain.

"Matlamat kedua saya pula ialah isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa kerana tiga benda ini, bagi saya, adalah 'ibu kepada segala bentuk kemusnahan'.

"Rasuah inilah yang mengakibatkan pelbagai kerosakan, dah sampai ke 'level' (rasuah membabitkan bekas) perdana menteri dan ini kita tidak boleh nafikan.

"Adakah ini tohmahan? Tidak, mahkamah dah putuskan bersalah, dah ada fakta, macam mana kita nak nafikan lagi?" katanya.

Khaidir turut memberitahu isu rasuah dan penyelewengan paling tidak boleh dimaafkan ialah apabila membabitkan isu keselamatan dan kedaulatan negara.

Sambil merujuk kepada skandal terbaru membabitkan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM6 billion, dia berkata salah guna kuasa pada skala besar seperti itu bukan saja sangat memalukan, bahkan tidak boleh dimaafkan.

Ditanya mengenai strategi digunakan GTA untuk PRU ke-15, Khaidir berkata, dia menaruh keyakinan penuh kepada kebijaksanaan Mahathir yang memang sudah dikenalinya sejak lama dulu.

Katanya, dia mengetahui kisah dan idealisme Mahathir bukanlah daripada orang lain, apa lagi musuh ahli parlimen Langkawi berkenaan.

Sebaliknya kata Khaidir, dia lama melihat secara dekat ahli politik itu semasa bertugas sebagai wartawan kanan suatu ketika dulu. Dia juga pernah membuat liputan lawatan rasmi Mahathir ke lebih 20 negara.

"Saya percaya dengan gerakan (GTA) ini, saya percaya kepada Tun (Mahathir).

"Gerakan ini boleh berjaya dan saya kenal, hargai Tun daripada apa yang saya tahu dan saya kenal.

"Lagi pun ini kali pertama dalam sejarah Malaysia, satu gabungan yang biasanya membabitkan gabungan parti politik, tapi kali ini kita gabungkan Melayu, NGO, aktivis dan profesional dengan sasaran utama untuk menghalang kebangkitan semula kerajaan kleptokrat yang mengamalkan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah," katanya. #sumber

Share:

Keluarga Pekebun "Terkejut", Di Usir Selepas Sedekad Bayar Cukai Kepada Majlis Tempatan

CAMERON HIGHLANDS - Sebuah keluarga pekebun di sini terkejut apabila diberitahu bahawa mereka tinggal setinggan di atas tanah kerajaan, walaupun telah membayar cukai kepada majlis tempatan selama lebih sedekad lalu.

Emiliene Esoothas, 26, berkata status “setinggan” itu terbongkar selepas bapanya, Esoothas Mariasoosai, 53, menyerahkan rumah dan tanah mereka kepada pemaju pada 2013 untuk dibangunkan galeri jualan, hartanah pameran serta laluan masuk ke tapak pembinaan pangsapuri baharu di situ.

Emiliene Esoothas

Katanya, bapanya diberitahu secara bertulis bahawa mereka akan diberikan rumah dua tingkat sebagai ganti atau boleh mendiami rumah contoh terbabit. Bagaimanapun, projek itu terbengkalai dan diisytiharkan sebagai “projek gagal” pada 2018.

Keluarga Esoothas terpaksa tinggal bersama saudara mereka sejak 2013 sementara menunggu rumah yang dijanjikan. Tahun lepas, keluarga itu berpindah ke tapak galeri terbiar yang telah dinaiki semak samun.

Namun, setahun kemudian, pegawai dari Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) menuntut supaya mereka meninggalkan premis itu kerana ia dibina secara haram di atas tanah Kerajaan Negeri Pahang. Dua bulan kemudian, polis dan jengkaut dihantar ke situ untuk mengusir mereka.

Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands memberitahu, secara teknikalnya, keluarga itu duduk secara setinggan dan menghalang projek kerajaan yang dirancang di kawasan berkenaan.

Emiliene berkata, dakwaan ini mengejutkan kerana bapanya telah membayar cukai taksiran majlis dan yuran lain berkaitan kerajaan selama lebih sedekad.

Galeri pameran dan rumah Esoothas Mariasoosai di jalan utama di Ladang Kea, 
Cameron Highlands, sebelum ia dirobohkan.

Katanya, apabila ditanya kepada wakil pejabat itu mengapa bayaran diterima selama ini, ia tidak dijawab dan keluarganya hanya diminta untuk mencari “tanah lain”.

“Kami hanya mahukan tanah gantian dan tempat tinggal supaya dapat menjalankan perniagaan nurseri seperti biasa. Tetapi lot yang ada hanya tanah rizab Melayu,” katanya.

Keluarga itu kini mahu mengambil tindakan undang-undang.

“Kami tiada pilihan selain memperjuangkan hak kami,” katanya.

Dalam emel, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands berkata, keluarga itu diminta meninggalkan kawasan berkenaan untuk memberi laluan kepada projek Kompleks Penghulu Mukim Ulu Tenom.

Galeri pameran dan rumah Esoothas Mariasoosai di jalan utama di Ladang Kea, Cameron Highlands, sebelum ia dirobohkan.

Katanya, papan tanda telah didirikan untuk memaklumkan mengenai pengusiran yang akan berlaku seawal Mac tahun lepas, 15 bulan sebelum mereka dipaksa keluar.

Pejabat itu menjelaskan, pegawai telah bertemu keluarga berkenaan pada April dan Jun, menasihatkan mereka berpindah.

Menurut pejabat daerah itu, tiada Lesen Pendudukan Sementara (TOL) pernah dikeluarkan kepada keluarga itu dan mereka boleh diusir tanpa notis kerana tinggal setinggan di tanah kerajaan.

“Pada 2011, penduduk secara haram menyerahkan tanah itu kepada pemaju untuk membina pejabat jualan dan galeri pameran tanpa kebenaran kerajaan.

“Pertimbangan sewajarnya telah diberikan selepas mendapati penghuni mempunyai pangsapuri sendiri di tempat lain dan pengusiran itu tidak akan menjejaskan kelangsungan hidup mereka,” kata pejabat daerah.

“Kami juga tidak merobohkan sebarang struktur dan penguatkuasa tidak menggunakan kekerasan, memberi masa kepada penduduk memindahkan barangan mereka. Bagaimanapun, mereka sendiri yang mula mencabut pagar, bumbung dan struktur lain ketika tindakan penguatkuasaan diambil.

Berhubung kutipan cukai taksiran yang berterusan oleh Majlis Daerah Cameron Highlands, pejabat itu tidak menyatakan mengapa bayaran diterima, dan berkata, hakikatnya tanah itu diduduki secara haram. #sumber

Share:

Zahid Yakin "Pilihan Raya Umum Ke-15" Tahun Ini, Ambil Kira Isu ‘Direka Cipta’ Pembangkang

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjangka pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini, mengambil kira isu “direka cipta” pembangkang dengan terbaharu berkait kapal tempur pesisir (LCS).

Beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, isu akan terus timbul dan direka pembangkang, menjadikan peluang bagi gabungan itu mendominasi PRU15 terlepas.

Zahid berkata, beliau tahu pembangkang kini mereka cipta isu untuk memburukkan BN dan terbaharu, mereka menggunakan LCS milik tentera laut, sama seperti 1MDB pada PRU14.

“Jika dibiarkan lebih lama, peluang untuk BN mendominasi PRU15 terlepas kerana isu direka cipta pembangkang.

“Kita sudah bincang dengan ‘Top 5’ termasuk perdana menteri (PM) yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ini bacaan saya, pilihan raya pada tahun ini juga…bacaan PM, saya percaya beliau akan mendengar nasihat dan pandangan kita.

“Beliau (PM) orang parti dan sebagai pemimpin sudah pasti tahu masa sesuai kerana isu akan terus timbul dan direka yang mana pembangkang menjadikan budaya kebencian ditanamkan kepada parti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Zahid berkata, pembangkang cuba menggunakan isu LCS demi kepentingan politik mereka.

Namun, katanya, isu itu sudah dijawab dengan cepat pasukan media sosial BN dan momentum itu perlu diteruskan pasukan media sosial parti termasuk Wanita BN.

“TLDM juga sudah menjawab, malah menteri pertahanan sudah bawa media pergi dan melihat sendiri kapal LCS ini. Adakah logik mereka kata kapal halimunan, kata LCS yang dirasmikan adalah kapal contoh daripada kayu, saya pernah jadi menteri pertahanan, saya tahu isu ini.

“Dulu saya dicabar kerana kata kapal selam tidak boleh menyelam, ketika Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA) saya bawa dan ajak Lim Guan Eng lihat sendiri.

“Namun, selepas rasai pengalaman naik kapal selam, beliau tidak cakap apa dan peristiwa ini menunjukkan pembangkang kreatif membuat persepsi negatif kepada kerajaan,” katanya.

Justeru, beliau menggesa ahli BN yang mempunyai media sosial menggunakannya untuk menjawab segera persepsi negatif supaya dapat dihapuskan dan tidak mempengaruhi pengundi.

“Jangan mengambil sikap tunggu dan membiarkan ia menjadi tular, sebaliknya segera menjawab isu, saya lihat ramai yang apabila dapat maklumat kongsi dengan rakan sebarkan, tetapi tidak jawab dan mempertahankan parti,” katanya.

Beliau berkata, seperti isu pendanaan politik dibangkitkan di mahkamah, hanya seorang didakwa walaupun ada ramai disebut menerima dana berkenaan termasuk Perdana Menteri yang mentadbir 22 bulan dan PM yang berkhidmat 17 bulan.

“Orang parti perlu bantu menjawab dan tangkis tuduhan menjatuhkan parti,” katanya. #sumber

Share:

Mahkamah Persekutuan 'Di Jadual' Mendengar Rayuan Akhir Najib Kes SRC International Esok

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, esok.

Ia adalah rayuan terakhir Najib selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lepas, mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu serta denda RM210 juta yang dikenakan oleh hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 28 Julai 2020.

Difahamkan, Mahkamah Persekutuan akan terlebih dahulu mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC dalam usahanya untuk mendapatkan perbicaraan semula.

Jika Najib gagal dalam permohonannya bagi menuntut perbicaraan semula kes SRC, Mahkamah Persekutuan dijangka meneruskan pendengaran rayuan Najib berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 15 hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos untuk mendengar rayuan.

Ahli politik berusia 69 tahun itu telah menukar pasukan peguamnya hanya 21 hari sebelum rayuan dengan melantik peguam jenayah terkemuka Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utamanya, manakala Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners’ (ZIST) rakan kongsi Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam sebagai menjadi peguam cara baharunya untuk rayuan itu.

Sebelum ini, firma guaman Tetuan Shafee & Co yang diketuai Tan Sri Datuk Sri Muhammad Shafee Abdullah telah mewakili Najib dalam kes SRC sejak kali pertama bekas Perdana Menteri itu didakwa, bagaimana pun pada 26 Julai, Najib bertindak memberhentikan serta-merta firma dan peguam terbabit daripada mewakilinya dalam rayuan terakhirnya.

Pada 26 Julai, pasukan peguam baharu Najib memohon Mahkamah Persekutuan untuk menangguhkan pendengaran rayuan kerana “pasukan baharu sepenuhnya telah mengambil alih” kes SRC.

Bagaimanapun, pada 28 Julai, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan penangguhan pasukan pembelaan Najib dan mengarahkan perbicaraan rayuan dimulakan pada 15 Ogos seperti yang dijadualkan.

Najib telah mengemukakan 94 alasan dalam petisyen rayuannya mengenai alasan beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Antara alasan dibangkitkan dalam petisyen itu ialah kedua-dua mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi) telah tersilap fakta dan/atau undang-undang dengan gagal menilai bukti dengan betul dan gagal mengiktiraf perbezaan antara fakta terbukti dan tidak terbukti, dan antara inferens yang dibenarkan dibuat, dan tekaan semata-mata berdasarkan cadangan, dakwaan tidak berasas, sangkaan, syak wasangka, dan khabar angin.

Najib didakwa pada 4 Julai 2018, sekali gus kes pertama seumpamanya dalam sejarah kehakiman negara.

Pada 28 Julai 2020, hakim Nazlan, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana hakim mengarahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Najib kini dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan.

Pendakwa Raya ad hoc Datuk V Sithambaram akan hadir untuk responden (pendakwa raya) manakala peguam Hisyam, Liew dan Rueben mewakili Najib sebagai perayu.

Setiap wakil media yang mempunyai kebenaran untuk menghadiri perbicaraan akan diberikan pas media dengan pas biru untuk wartawan dan pas kuning untuk jurugambar dan juruvideo. #sumber

Share:

KPLB Pandang Serius, Serah Pihak Polis Siasat Isu 'Kes Buli' Yang Berlaku Di MRSM Kuantan !

 

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyerahkan sepenuhnya kepada polis menyiasat kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Pahang.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan salah laku termasuk kes buli.

Katanya, beliau akan meneliti laporan lengkap berkenaan siasatan kes itu dan apabila siap kelak akan diserahkan kepada pihak polis dan setakat ini enggan memberi sebarang komen.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terbabit jika hasil siasatan mendapati berlaku salah laku itu," katanya dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.

Terdahulu tular di Facebook berhubung kes seorang wanita mendakwa anaknya dibuli di sebuah MRSM di Kuantan, Pahang sejak Jun lalu dan pihak asrama dikatakan lambat bertindak menangani isu itu.

Wanita terbabit mendakwa beliau sudah membuat laporan polis berhubung kes itu.

Berdasarkan kes yang tular, wanita itu mendakwa baju sekolah anaknya digunting dan diconteng, selain rambut digunting ketika tidur serta mendakwa wujud perbuatan khianat serta budaya gengsterisme di MRSM itu.

Mahdzir berkata, amalan buli di mana-mana institusi pendidikan adalah satu perkara serius dan pelajar yang terbabit boleh dibuang sekolah.

"Sebagai contoh, insiden yang berlaku di MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang apabila pelajar yang disahkan terbabit buli oleh lembaga disiplin dibuang sekolah," katanya. #sumber

Share:

Ibubapa Mangsa Buli 'Kecewa' MRSM Kuantan Lambat Ambil Tindakan Terhadap Aduan Anak!

 

KUANTAN - Ibu bapa kepada pelajar tingkatan dua yang menjadi mangsa buli pelajar senior di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan menuntut institusi itu mengesan segera pelaku dan mengenakan tindakan tegas.

Nazrah Mohamed mendedahkan kes buli membabitkan anak perempuan di laman sosial Facebook yang dikatakan bermula sejak Jun lalu dan berlarutan sehingga Jumaat.

Menurutnya, kes sebegini perlu ditangani segera kerana ia melibatkan sentuhan badan dan ia bukan lagi perbuatan khianat tetapi kes jenayah yang semakin menjadi-jadi di dalam MSRM Kuantan.

“Saya masih tidak nampak penyelesaian malah kes semakin menjadi-jadi dan bertambah serius apabila anak kami dan beberapa pelajar lain berterusan menjadi mangsa perbuatan khianat dan gangsterism. Sebagai ibu bapa kami tidak boleh berdiam diri.

“Pihak MRSM Kuantan begitu lembab dalam mengambil tindakan dan menyiasat perkara ini. Sikap acuh tak acuh pihak Pengurusan MRSM Kuantan tidak boleh diterima sama sekali!

“Kes-kes masih berulang dan sehingga hari ini telah melibatkan sentuhan badan body. Adakah pihak MRSM Kuantan nak tunggu sehingga ada kehilangan nyawa baru nak bertindak?,” soalnya menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya pada Jumaat.

Dia menjelaskan, pihak MARA juga lambat bertindak dalam memberikan maklum balas walaupun aduan telah dibuat.

“Pengetua, Timbalan Pengetua Pembangunan Pelajar (TPPP), Yang Dipertua (YDP) Muafakat, Naib Yang Dipertua Muafakat dan sebahagian Exco Muafakat MRSM Kuantan lambat bertindak dan mengambil sambil lewa kes-kes yang berlaku di dalam maktab ini. Mungkin kesemua mereka menunggu sehingga ada kematian baru nak bertindak!

“Jadi, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika pihak maktab dan MARA masih lambat bertindak,” katanya.

Surat maklum balas yang diterima oleh Nazrah susulan aduan buli terhadap anaknya dibuat kepada KPM dan MARA.

Surat maklum balas yang diterima oleh Nazrah susulan aduan buli terhadap anaknya dibuat kepada KPM dan MARA.

Dalam pada itu, Nazrah turut mendedahkan kronologi kes membabitkan anaknya dikatakan bermula pada 17 dan 19 Jun lalu, apabila pakaian seragam sekolah anaknya berwarna biru dijumpai di ampaian telah diconteng dan pakaian berwarna kuning diconteng di bahagian lengan.

“Pada 20 Jun, saya telah menelefon Ketua Warden untuk mendapatkan maklum balas kes tersebut malangnya Ketua Warden terkejut dan tidak mengetahui perkara tersebut.

"Setelah disemak, pelajar senior mengakui mereka cuba menyelesaikan sendiri kes tersebut. Jadi persoalan di sini, adakah ini prosedur MRSM untuk kes-kes serius seperti ini membiarkan pelajar senior handle sendiri tanpa memaklumkan kepada warden?

“Selang dua hari selepas itu, saya menghubungi sekali lagi Ketua Warden, namun dimaklumkan mereka masih tidak dapat mencari pelaku,” katanya.

Nazrah juga memaklumkan pada 26 Jun, pakaian seragam dan pakaian pendidikan jasmani anaknya telah diconteng. Dalam masa yang sama, anaknya turut mengesan dinding tandas juga diconteng dan semua perkara itu telah dimaklumkan kepada pelajar senior.

Menurutnya, susulan aduan itu anak perempuannya dipanggil oleh lima warden MSRM Kuantan dan dipaksa supaya mengaku bahawa semua perbuatan itu dilakukan olehnya.

Tambah Nazrah, anaknya adalah mangsa dan melaporkan semua kejadian kepada pelajar senior, namun ia berlaku sebaliknya apabila anaknya didakwa sebagai pelaku oleh pihak MRSM Kuantan.

“Pada 14 Julai, saya menghubungi TPPP untuk bertanyakan perkembangan kes-kes tersebut. Sebaliknya TPPP maklumkan anak saya telah dirujuk kepada kaunselor sekolah dan mengalami anxiety dan mempunyai stres level tinggi berdasarkan perbualan anak saya bersama-sama kaunselor. TPPP juga menyatakan anak saya perlu dirujuk kepada pakar psikiatri untuk rawatan lanjut.

“Saya kemudian mengambil anak pulang ke rumah pada 15 Julai dan pada 17 Julai, saya telah membawa anak berjumpa pakar psikiatri kanak-kanak untuk memastikan tahap kesihatan mentalnya.

“Berdasarkan klinikal temu bual, doktor menyatakan anak kami sihat dan tiada ciri-ciri anxiety, depresi dan stres seperti yang digambarkan oleh TPPP. Doktor juga mencadangkan agar anak kami menjalani ujian-ujian tertentu untuk mengesahkan tahap kesihatan mentalnya.

“Doktor juga mengambil kenyataan daripada anak saya dan perkara yang diceritakan oleh anak saya kepada doktor adalah konsisten sama seperti yang diceritakan kepada kami,” ujarnya.

Menurut Nazrah, berdasarkan keputusan tersebut, satu pertemuan telah dilakukan bersama pentadbir dan pengurusan MRSM Kuantan.

Jelasnya, hasil pertemuan itu, pengetua MRSM Kuantan mengakui terdapat kesilapan dari pihaknya dalam menjalankan siasatan berhubung kes-kes tersebut sehingga anaknya dipersalahkan.

Namun katanya, kenyataan daripada pentadbir sekolah seperti pengetua, TPPP, warden dan kaunselor MSRM juga tidak konsisten berhubung kes itu.

“Pada 22 Julai, kami telah membuat laporan polis terhadap pihak maktab ke atas kes-kes yang berlaku melibatkan anak kami setelah tidak mendapat jalan penyelesaian semasa pertemuan dengan pihak pengurusan maktab.

“Kami telah memfailkan aduan di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar memandangkan MARA adalah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Kami sangat kecewa dengan maklum balas itu kerana siasatan berat sebelah dan anak kami tidak dipanggil untuk memberi keterangan. Maklum balas MARA juga berbeza dengan kenyataan Pengetua yang mana MARA memaklumkan pihak maktab telah mengikut prosedur yang betul tetapi Pengetua mengakui kesilapan di pihak maktab ketika siasatan dijalankan,” katanya.

Nazrah memaklumkan sehingga Jumaat lalu anaknya masih dibuli apabila rambutnya bersama dua rakan biliknya digunting pendek ketika mereka tidur.

“Anak kami dan pelajar terlibat terus memaklumkan kepada senior dan senior seterusnya maklumkan kepada warden. Kami juga maklumkan perkara ini kepada pegawai penyiasat yang mengendalikan kes dan menasihatkan pihak maktab membuat laporan polis.

“Sehingga saat ini, kami masih menunggu perkembangan terkini dari pihak maktab dan pihak polis,” katanya. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.