script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Selepas 30 Tahun, Kini Dewan Persatuan Badminton Pahang Berwajah Baharu

KUANTAN: Selepas lebih 30 tahun, Dewan Persatuan Badminton Pahang di Indera Mahkota di sini kini berwajah baharu setelah kerja menukar karpet dan lampu di situ siap sepenuhnya pada 31 Mei lalu.

Presiden Persatuan Badminton Pahang, Tengku Aidy Ahmad Shah Tengku Kamil Ismail berkata, di dewan badminton itu, terdapat enam gelanggang dan ini pertama kali penukaran karpet baharu yang lebih selesa dan berkualiti tinggi dibuat.

“Begitu juga lampu, sebelum ini gelanggang ini memakai lampu tiang sejak ia dibuka. Kini kita sudah naik taraf, tiada lagi lampu tiang dan gangguan pendawaian seperti mana sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dewan baharu sempena Kejohanan Badminton Affin-100Plus Junior Elite Tour (Sirkit Kedua)-Kumpulan A di Dewan Badminton Pahang di sini semalam.

Tengku Aidy Ahmad Shah berkata, wajah baharu Dewan Badminton Pahang merupakan antara usaha persatuan dan beliau selaku presiden bagi mencapai misi dan matlamat untuk mengangkat keunggulan skuad badminton negeri ini.

“Matlamat saya dan persatuan untuk melahirkan lebih ramai pemain yang bukan sahaja bertaraf kebangsaan malah antarabangsa,” katanya.

Mengulas Kejohanan Badminton Affin-100Plus Junior Elite Tour (Sirkit Kedua)-Kumpulan A, beliau berkata, seramai 250 peserta menyertainya dari lima negeri iaitu Pahang, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Melaka.

Katanya, kejohanan lima hari berakhir semalam ini merupakan sirkit kedua bagi mengumpul mata memasuki pertandingan akhir yang dijadualkan di Kuala Lumpur, bulan hadapan.

“Pada kejohanan sirkit kedua ini, setiap pemenang hanya menerima medal kerana kejohanan ini selepas sirkit pertama di Melaka bulan lalu bertujuan mengumpul mata bagi melayakkan diri ke grand final.

“Ketika grand final di Kuala Lumpur nanti baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menyediakan hadiah berupa wang tunai,” katanya.

Beliau berkata, pada kejohanan sirkit kedua itu, pemain dari Selangor mendominasi perlawanan apabila menang lima pingat emas, Melaka (tiga emas) dan masing-masing dua emas buat Pahang dan Perak.

“Pemain perseorangan Pahang 14 tahun, Marcus Hang Yug Hwei yang mendapat johan kali ini merupakan juara perseorangan lelaki 12 tahun di Grand Prix Final (Juara 12 Tahun Malaysia) di Kuala Lumpur tahun lalu.

“Tahun ini, dia naik ke usia 14 tahun dan muncul juara sirkit kedua Kejohanan Badminton Affin-100Plus Junior Elite Tour di negeri ini. Ini merupakan kebanggaan buat negeri ini dan persatuan menerusi pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaam (SMJK) Tanah Putih, Kuantan tersebut,” katanya. #sumber

Share:

Penduduk Gambang Damai Rayu Bantuan Kerajaan Pahang Bantu Masalah Mereka !

KUANTAN: Ibarat projek rumah terbengkalai. Itu dapat digambarkan sebaik melihat keadaan deretan rumah di Lorong Gambang Damai 29, di sini yang tidak berpenghuni sejak dua tahun lepas akibat beberapa kediaman terjejas dalam kejadian tanah runtuh.

Meskipun lebih dua tahun bencana alam itu berlaku, masih menjadi tanda tanya buat lebih 10 pemilik rumah di situ mengenai tindakan susulan daripada pihak berwajib berkenaan tahap keselamatan untuk mereka mendiami semula kediaman masing-masing.

Pengerusi Persatuan Penduduk Gambang Damai (Desa Hijauan) Norazen Md Dadi berkata kira-kira 20 kediaman terjejas selepas insiden berkenaan namun difahamkan hanya enam unit rumah yang rosak mendapat kediaman ganti baharu daripada pemaju.

Beliau berkata status rumah penduduk lain masih 'tergantung' dan rata-rata mereka inginkan kepastian mengenai keselamatan rumah jenis berkembar yang dibeli dengan harga lebih RM258,000 sejak 2016 itu.

"Penduduk di lorong ini telah diminta mengosongkan rumah pada hari kejadian atas faktor keselamatan dan sehingga kini terdapat penduduk menyewa di rumah lain kerana bimbang dengan keadaan rumah di sini yang terdapat kesan retak.

"Kami perlukan kata putus sama ada rumah itu boleh diduduki atau tidak dan kami terbuka untuk berbincang bersama pihak terlibat serta berharap campur tangan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan perumahan itu di sini, semalam.

Seorang lagi pemilik, Md Nasri Yusuff, 44, berkata penduduk terpaksa menanggung komitmen bulanan yang tinggi kerana perlu membayar sewa rumah dan pinjaman bulanan selain bayaran cukai taksiran masih dikenakan.

"Saya harap pihak berwajib ambil tindakan sewajarnya kerana hampir tiga tahun kami duduk menyewa di tempat lain...moratorium yang diberikan sebelum ini setahun, dan selepas itu kami terpakasa membayar komitmen dua rumah," katanya.

Roslina Ahmad Said, 39, berharap rumah ganti diberikan iaitu sebuah rumah dijangka siap pada September kelak setimpal dengan harga kediamannya di Gambang Damai yang dibeli hampir RM300,000.

"Difahamkan harga rumah ganti lebih rendah daripada rumah ini, saya hanya harapkan ganti rugi yang setimpal kerana masih perlu menanggung bayaran bulanan rumah sekarang iaitu RM1,400 manakala rumah sewa RM500," katanya.

Pada 5 Jan 2021, dua buah rumah dilaporkan runtuh dipercayai akibat pergerakan tanah kesan daripada hujan berterusan sekitar 3.40 pagi, bagaimanapun, insiden itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa kerana penghuninya telah keluar daripada rumah tersebut lebih awal.

Tinjauan di lokasi berkenaan pula mendapati rumah runtuh tersebut masih belum dibersihkan selain kediaman penduduk berhampiran yang telah mengosongkan rumah dipenuhi sampah sarap dan semak samun.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah ketika dihubungi berkata beliau telah mengangkat isu tersebut kepada pengetahuan kerajaan negeri dengan memaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun untuk tindakan sewajarnya. #sumber

Share:

Pemangku Raja Pahang Sasar 50 Peratus Institusi Pendidikan Berstatus Hijau

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus institusi pendidikan di negeri ini diiktiraf sebagai sekolah atau institusi hijau melalui program Eco-Schools dan Eco-Campus.

Baginda bertitah sasaran itu adalah satu daripada empat teras digariskan pada Pelan Hala Tuju Greening Education Partnership Pahang 2023-2030 bagi memperkasakan generasi muda dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai diperlukan bagi menangani cabaran alam sekitar yang semakin mendesak melalui pendidikan.

"Greening Education Partnership merupakan satu inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertujuan menyampaikan tindakan yang teguh dan komprehensif bagi menyediakan setiap murid memperoleh pengetahuan, kemahiran, nilai dan sikap untuk menghadapi perubahan iklim.

"Ia juga ditubuhkan untuk memberi inspirasi kepada negara agar terus memperkasakan murid dengan kemahiran diperlukan untuk tindakan iklim pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan dalam konteks peralihan ke arah ekonomi digital dan hijau," titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Eco-Schools Pahang di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Azizah, di sini, hari ini, anjuran Yayasan Green Growth Asia dengan kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Pahang.

Turut berangkat ialah adinda baginda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana yang juga Penaung Diraja Program Eco-Schools Pahang dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera selain turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Program Eco-Schools, menurut Tengku Hassanal adalah elemen terpenting dalam menjayakan pelan hala tuju itu dan platform terbaik bagi membentuk teladan serta meningkatkan kesedaran dan perakuan isu alam sekitar semasa melalui pembelajaran.

Buat permulaan, sebanyak 100 sekolah rendah dan menengah di Pahang akan terbabit dalam pelaksanaan Eco-Schools.

Selain sasaran 50 peratus itu, pelan berkenaan turut menyasarkan 100 peratus sekolah terbabit dalam pelaksanaannya menerapkan pengintegrasian pendidikan perubahan iklim dalam kurikulum, manakala 100 peratus institusi pendidikan tinggi akan menawarkan kursus pengurusan pembangunan mampan.

Manakala pengetua atau guru besar dan sekurang-kurangnya dua guru dari setiap sekolah di Pahang menghadiri kursus pendidikan perubahan iklim serta semua sekolah di kawasan Felda yang mengikuti Eco-Schools menjadi pusat pendidikan bagi pembangunan masyarakat mampan.

Tengku Hassanal juga bertitah, program Eco-Schools adalah program pendidikan untuk pembangunan mampan atau Education For Sustainable Development terbesar di dunia dengan jaringan 95 negara membabitkan 20 juta murid dan sejuta guru.

Intervensi pendidikan untuk pembangunan mampan itu juga, menurut Tengku Hassanal, membawa peranan belia selaku ejen perubahan dalam membina masyarakat sifar bersih karbon. #sumber

Share:

Tiga Beradik Maut Selepas Lori Di Naiki Merempuh Kren Di Rompin Pada Khamis

 

ROMPIN: Tiga beradik maut selepas lori dinaiki bertembung dengan sebuah kren di Kilometer 136 Jalan Kuantan-Johor Bharu dekat Kampung Sepakat, di sini, pada Khamis.

Tiga beradik terbabit, Muhammad Firdaus Abu Bakar, 28, Muhammad Solihin, 21, dan Ahmad Jazuly, 17, dari Jalan Sungai Kolek, di sini.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan pada 7.35 petang itu

berpunca daripada kecuaian pemandu lori Toyota Hiace yang memandu secara berbahaya.

"Lori dipandu oleh Muhammad Solihin manakala Muhammad Firdaus dan Ahmad Jazuly sebagai kelindan dalam perjalanan dari Johor Bharu menghala arah Kuantan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, lori hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan jentera berat berkenaan," katanya dalam kenyataan.

Katanya, akibat kejadian itu, ketiga beradik berkenaan parah di kepala serta kaki dan disahkan meninggal dunia.

Sementara pemandu kren berusia 38 tahun turut cedera di bahagian badan.

"Kesemua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dihantar ke Hospital Rompin untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan awal juga mendapati, pemandu lori terbabit yang juga pelajar Politeknik Muadzam Shah, tidak mempunyai lesen memandu," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #sumber

Share:

'Cinta Berputik Kembali', Zaki Jinggo Akhirnya Bertemu Syura Di Kuantan !

 

KUANTAN: Syura Badron akhirnya dapat bertemu kembali dengan peminat setianya, Zaki Jinggo yang mendakwa pernah bercinta dengannya sebelum ini.

Syura meluahkan rasa gembira dan teruja dapat berkongsi semula kisah lama di antara mereka pada pertemuan itu.

"Selepas 23 tahun akhirnya kami berjumpa semula. Satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan. Mestilah saya gembira dan teruja dapat berjumpa dengan peminat seperti Zaki.

"Dia seorang insan istimewa, jadi saya layan dia sebaiknya. Kebetulan saya terlibat dengan sebuah acara di Kuantan, jadi saya cuba mencarinya untuk kami luangkan masa bersama," katanya.

Syura dan Zaki bertemu ketika penyanyi itu terlibat dalam sebuah festival di sini.

Berkongsi lanjut, Syura memberitahu meskipun Zaki merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) namun dia masih mengingati peristiwa dia pernah memegang bahu lelaki itu ketika membuat persembahan sekitar tahun 2000.

"Saya tak sangka dia boleh cerita semula apa yang berlaku sebelum ini. Ketika itu saya sentuh bahunya dan secara berseloroh meluahkan rasa suka kepadanya tapi dia tolak 'cinta' saya.

"Dia juga masih simpan gambar-gambar lama saya dan tunjukkannya semasa pertemuan kami Sabtu lalu.

"Saya cuba manfaatkan masa kami bersama sebaik mungkin kerana dia adalah seorang peminat setia saya," ujarnya.

Sebelum ini nama Zaki tular di media sosial apabila dia membuat pendedahan pernah menolak cinta Syura.

Memberi respon kepada video tersebut, Syura telah menjelaskan dia tidak mengenali Zaki secara dekat dan tidak menolak mereka sekadar bertemu dalam mana-mana acara persembahan.

Ketika berjumpa Zaki pada Sabtu lalu, penyanyi lagu Nazam Berkasih ini turut menghadiahkan sepasang baju sebagai kenangan buat Zaki.

"Dia tahu saya sudah berkahwin dan tidak akan ganggu hubungan saya. Suami juga sangat memberi sokongan untuk kami berjumpa.

"Sebagai kenangan buat Zaki, saya hadiakan dia sepasang baju dan topi," kongsinya. #sumber

Share:

Kerajaan Tidak Pernah Ubah Dasar Dan Syarat Terhadap Lynas Sejak 2020 !

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah mengubah dasar dan syarat lesen pengoperasian yang dikenakan kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas Malaysia) sejak 2020, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata kerajaan konsisten dengan perkara itu dan sehingga kini syarat yang dikenakan masih diguna pakai.

“Lynas Malaysia juga sedia maklum dan menerima syarat yang digariskan serta melaksanakan syarat itu termasuk membina loji bagi aktiviti pemecahan dan peresapan (C&L) di Australia.

“Sejak 2020 kita kenakan syarat itu dan hari ini syarat yang sama, tiada perubahan … tiada elemen kejutan. Kita sudah teliti semua syarat dan tiada keputusan untuk buat perubahan, konsisten itu penting kerana hal ini melibatkan pelaburan asing,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berhubung dasar serta syarat yang dibuat kerajaan dalam isu Lynas yang dilihat tidak jelas dan boleh menjejaskan pelaburan asing dan tenaga pakar tempatan.

Jelas Chang, syarat yang dikenakan itu dibuat berdasarkan faktor dasar kerajaan, impak terhadap alam sekitar serta respons masyarakat setempat terhadap pengoperasian Lynas Malaysia bagi projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan, Pahang.

Selain itu, beliau berkata keputusan kerajaan melanjutkan tempoh operasi selama enam bulan kepada Lynas Malaysia diambil supaya rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global tidak terganggu.

Beliau berkata keputusan pelanjutan itu adalah muktamad dan tidak boleh diubah lagi selaras dengan Seksyen 32(5) Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.

“Kita beri lanjutan kerana loji C&L di Australia yang sepatutnya siap pada Julai ini tidak dapat disiapkan, mengambil kira tidak mahu ganggu rantaian bekalan global maka kita buat keputusan untuk beri lanjutan,” katanya menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka).

Sebelum ini, kerajaan menetapkan empat syarat termasuk aktiviti C&L, penjanaan residu water leach purification (WLP) dan pengimportan pekatan lantanid dari Australia.

Selepas 1 Jan 2024, Lynas perlu memastikan loji C&L di luar negara mula beroperasi kerana syarikat itu tidak lagi dibenarkan mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia. #sumber

Share:

Mahkamah 'Menolak' Permohonan SPRM Untuk Tahan Reman Pegawai Kanan Polis

KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang gagal mendapatkan kebenaran daripada mahkamah untuk menahan reman seorang pegawai kanan polis, hari ini.

Sebelum itu pegawai kanan polis terbabit yang disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah membabitkan nilai lebih RM1 juta dibawa ke Mahkamah Majistret, dekat sini. 

Bagaimanapun majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menolak permohonan dikemukakan SPRM kerana masalah teknikal.

Agensi antirasuah itu sepatutnya mengemukakan permohonan reman menggunakan akta mereka sendiri, iaitu Seksyen 49 Akta SPRM.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rifah Izzati Abdul Mutalif, ketika mengemukakan permohonan reman pagi tadi menggunakan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Peguam mewakili suspek, Bob Arumugam, ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosedur selesai memberitahu, SPRM boleh mengkehendaki suspek menandatangani bon atau ikat jamin jika mereka tidak dapat menyelesaikan siasatan.

Katanya, selepas gagal mendapatkan kebenaran menahan reman suspek, SPRM hanya mempunyai masa 24 jam untuk melengkapkan siasatan mereka sebelum membebaskan pegawai kanan polis terbabit.

"Ini bermakna mereka (SPRM) boleh menahan anak guam saya sehingga jam 4 petang ini bagi tujuan siasatan," katanya.

Pegawai kanan polis yang juga ketua polis daerah itu ditahan petang semalam ketika dipanggil untuk dirakam keterangan di pejabat SPRM Pahang.

Suspek dikatakan menerima suapan lebih RM1 juta sejak 2017 hingga 2022.

Suapan itu didakwa bagi melindungi kegiatan pusat hiburan dan pusat urut yang beroperasi dalam daerah diketuainya.

Semalam, Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman, memberitahu pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terbukti melakukan kesalahan membabitkan integriti.

Dia turut memberi jaminan polis Pahang akan memberi kerjasama kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan kes itu. #sumber

Share:

Polis Pahang Tidak Akan Berkompromi Terhadap Pegawai Terbabit Salah Laku

KUANTAN: Polis Pahang tidak akan berkompromi terhadap kegiatan salah laku atau jenayah yang dilakukan pegawainya dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.

Susulan itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman, berkata pihaknya sedia membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan seorang ketua polis daerah (OCPD) yang dipercayai terbabit dalam kegiatan rasuah.

"Kita mengesahkan penahanan seorang OCPD di Pahang dan memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan kegiatan salah laku, jenayah atau apa-apa perlanggaran undang-undang membabitkan pegawai polis di negeri ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

SPRM dalam kenyataan hari ini, mengesahkan seorang OCPD ditahan SPRM Pahang kerana disyaki menerima rasuah dianggarkan lebih RM1 juta sejak 2017 hingga 2022.

Pegawai kanan polis berusia 53 tahun itu disyaki menerima rasuah bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut di sekitar daerah kawalannya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Amin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan namun enggan mengulas lanjut.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009," katanya. #sumber


Share:

SPRM Tahan 'OCPD' Di Pahang Kerana Disyaki Terima Suapan Lebih RM1 Juta

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak menahan seorang Ketua Polis Daerah (OCPD) di Pahang kerana disyaki menerima suapan dianggarkan lebih RM1 juta sejak 2017 hingga 2022.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, penahanan itu dibuat ekoran suspek dipercayai terlibat melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut di sekitar daerah kawalannya.

"Pegawai kanan polis berusia 53 tahun itu telah ditahan petang tadi (Selasa) kerana disyaki menerima rasuah dengan anggaran lebih RM1 juta sejak tahun 2017 hingga 2022.

"Bayaran rasuah ini disyaki bagi melindungi pusat-pusat hiburan dan pusat-pusat urut yang tidak berlesen daripada sebarang tindakan dan gangguan pihak berkuasa," kata kenyataan itu pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Amin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan melibatkan OCPD di negeri itu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Begitupun, Hairuzam enggan mengulas lanjut berhubung tangkapan terbabit. #sumber

Share:

PAS Tiada Masalah, Sedia Berkerjasama Dengan Mantan Perdana Menteri, Tun M

KUALA LUMPUR - Parti Islam SeMalaysia (PAS) tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan, kesediaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkembangan itu mewakili PN secara keseluruhannya.

"Kita (PAS) sebahagian daripada PN... bila pengerusi PN kata (sedia kerjasama), kita (PAS) siap kerjasama dengan sesiapa sahaja yang mempunyai matlamat sama untuk kestabilan negara, kestabilan ekonomi... tak ada masalah.

"Termasuk Tun (Dr Mahathir)...dia adalah negarawan," katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Ahli Parlimen PN di sini pada Isnin.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris sebelum itu menyifatkan keterbukaan Dr Mahathir dan Muhyiddin untuk bekerjasama semula disifatkan sebagai langkah baik yang mampu memberi kekuatan kepada PN bagi menghadapi PRN.

Namun perkembangan mengenai hasrat terbuka itu belum dimaklumkan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.

Mengulas lanjut, Takiyuddin bagaimanapun berkata, kerjasama dengan Dr Mahathir tidak dilihat semata-mata untuk menghadapi PRN.

"Jika dilihat semula, PAS sentiasa mempunyai hubungan yang baik dengan Tun.

"Semasa beliau jadi Perdana Menteri bersama PH (Pakatan Harapan) dulu pun... malahan PAS pernah buat kenyataan untuk menyokong usul undi percaya terhadap Tun," katanya. #sumber

Share:

Nik Aziz, Kit Siang Antara 839 Penerima Darjah Kebesaran, Bintang Serta Pingat !

KUALA LUMPUR: Seramai 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul mendahului senarai penerima dengan dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Turut dikurniakan darjah kebesaran PSM ialah 25 individu lain termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Patmanathan, mantan Hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh, mantan Menteri Besar Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengarah Urusan Kumpulan Engtex Group Berhad Ng Hook.

Selain itu, Pengarah Urusan Kumpulan Maxim Global Berhad Gan Seong Liam, Pengerusi DPS Resources Berhad Sow Chin Chuan, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Sime Darby Plantation Berhad Dr Nik Norzul Thani N.Hassan Thani dan komposer Dr Ahmad Khan Nawab Khan.

Turut menerima PSM ialah Pengerusi Eksekutif Yuwang Group See Hong Cheen @ See Hong Chen, Pengerusi Battersea Power Station Holding Company Limited Jaganath Derek Steven Sabapathy, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad Syed Faisal Albar Syed A.R. Albar dan Pengerusi/ Pengarah Perusahaan Sadur Timah Malaysia (Peristima) Berhad Wee Hoe Soon @ Gooi Hoe Soon.

Penerima lain ialah Pengarah Urusan Winfast Group of Companies Chee Chan Yau @ Cheah Chan Yau, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Ming Heng Motor Sdn Bhd Koh Chui Ming, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Pengarah Urusan Cergas Murni Sdn Bhd Paul Latimer.

Selain itu Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad Datuk Seri Yeoh Choon San, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif KK Land Group of Companies Kong Hoi Chieng, Pengarah Urusan Twin Arrow Fertilizer Sdn Bhd Lau Kuan Kam, Panglima Tentera Laut Laksamana Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Darat Jeneral Mohammad Ab Rahman.

Turut dikurniakan PSM ialah mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ahli Dewan Negara Senator Anifah Aman dan veteran politik Lim Kit Siang.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali @ Mat Jali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican, bekas pemain badminton negara Tan Aik Huang dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair Irwan Shah Abdullah @ DJ Dave merupakan antara 28 penerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran 'Datuk’.

Empat penerima darjah kebesaran Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran 'Datuk' pula ialah Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Mohd Aseral Jusman, Ketua Protokol Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri Mohd Aini Atan, Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Abdul Halim Hamzah dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Lt Jen Arman Rumaizi Ahmad.

Seramai 33 individu menerima darjah kebesaran Johan Mangku Negara (JMN) termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Digital Mastura Ahmad Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Bagi penerima darjah kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM) pula, 33 individu disenaraikan sebagai penerima antaranya penggiat seni Fauziah Nawi, Ketua Polis Perlis Surina Saad dan Ketua Polis Negeri Sembilan Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

Tiga penerima darjah kebesaran Johan Setia Diraja (JSD) ialah Asisten Ketua Staf Tadbir Pangkalan Udara Subang Brig Jen Baharudin Abu Hassan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji dan Timbalan Pengarah (Perisikan Siasatan Khas) Bahagian Perisikan Siasatan Khas Bukit Aman SAC Mohammad Azlin Sadari.

Seramai 116 individu dikurniakan darjah kebesaran Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) termasuk pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Dr Abdul Halim Husain dan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia Dr Ong Shin Ruenn.

Tahun ini juga menyaksikan seramai enam orang menerima darjah kebesaran Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD) dan 218 individu menerima darjah kebesaran Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) termasuk Jurutera Sokongan Bernama Mohd Halim Esham.

Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Operasi) Bahagian Modal Insan Bernama Rusliza Sahran pula antara 316 penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) manakala 56 individu dikurniakan Pingat Bentara Setia Diraja (BSD). #sumber

Share:

Karim Benzema, Lionel Messi Akan Sertai Ronaldo Bermain Dalam 'Liga Pro Saudi' !

MADRID: Karim Benzema dan Lionel Messi dilaporkan akan menyertai Cristiano Ronaldo di Liga Pro Saudi selepas bekas penyerang Perancis itu mengesahkan akan meninggalkan Real Madrid.

Saluran televisyen Arab Saudi, El-Ekhbariya mendakwa, Benzema, 35, sudah menandatangani kontrak bersama Al-Ittihad.

Pegawai pasukan Al-Hilal pula berada di Perancis bagi memujuk Messi menyertai mereka selepas pemain 35 tahun itu beraksi buat kali terakhir untuk Paris Saint-Germain pada Sabtu.

Messi tiba di Paris dua musim lalu dari Barcelona tetapi gagal membantu PSG memenangi gelaran Liga Juara-Juara Eropah, dengan kelab tersingkir di peringkat 16 terakhir dalam kedua-dua musim itu.

Penyerang Portugal, Ronaldo menikmati musim pertamanya di Arab Saudi bersama Al-Nassr selepas berpindah dari Manchester United sebaik tamat Piala Dunia tahun lalu.

Menurut Al-Ekhbariya, presiden Al-Ittihad dan timbalannya berada di Madrid untuk menandatangani Benzema secara rasmi dalam rekod perpindahan tertinggi Real Madrid.

Benzema dikatakan bersetuju dengan kontrak dua tahun bersama juara Arab Saudi itu.

Benzema menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan terakhirnya bersama Madrid, ketika seri 1-1 dengan Athletic Bilbao. #sumber

Share:

Kerajaan Pahang Teguh Dan Utuh Dengan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti !

 

KUANTAN: Kerajaan Pahang teguh dan utuh dengan undang-undang anti lompat parti, kata Timbalan Pengerusi AMANAH Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramli.

Katanya, pada 28 Julai 2022, di Malaysia, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat untuk berpindah parti politik mereka, diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan seterusnya diwartakan pada 6 September 2022 dan berkuat kuasa pada 5 Oktober 2022.

Manakala Seksyen 6 Akta Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 [Akta A1663] memberikan ruang kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti melalui pindaan Perlembagaan Negeri, tertakluk persetujuan Kebawah Duli Sultan Pahang.

"Untuk rekod, hanya Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan, Sarawak dan terbaru Sabah sudah menguatkuasakan Enakmen Negeri masing-masing, berkaitan larangan bertukar parti ini.

"Keputusan Pilihanraya Umum 15 peringkat DUN Pahang menunjukkan tiada parti dapat membentuk majoriti bersendirian menyaksikan Pakatan Harapan (PH) Pahang yang dipimpin Datuk Seri Amirudin Saari membuka sejarah menyokong pembentukan kerajaan negeri bersama Barisan Nasional (BN) Pahang tanpa syarat demi kestabilan negeri," katanya.

Situasi ini tambah Fadzli menyaksikan Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang. Kerjasama erat diteruskan melalui Pilihanraya Kecil DUN Tioman apabila Pakatan Harapan mengumumkan menarik diri dari pertandingan dan menyokong calon BN.

"Keputusan ini menjadikan Perikatan Nasional (PN) menang 17 kerusi, Barisan Nasional (17) dan lapan kerusi oleh Pakatan Harapan (PH).
Keadaan ini sebenarnya tidaklah kukuh bagi Kerajaan Perpaduan Pahang kerana hanya mempunyai 26 ADUN termasuk Yang Dipertua Dewan," tambah beliau lagi.

Namun dakwanya, Pahang akan mempunyai majoriti 2/3 sekiranya Kerajaan Negeri Pahang melantik 5 orang ADUN lantikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang sepertimana Usul perlantikan ADUN Lantikan yang diluluskan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dilantik tanpa melalui pilihan raya pada 20 November 2020 lalu.

"Meminda undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi enakmen anti lompat parti ini memerlukan mandat 2/3 anggota dewan. Dipercayai, ADUN Perikatan Nasional (PN) akan menyokong pindaan enakmen ini jika model Kelantan dicontohi. Namun, harus diingati bahawa sokongan ADUN PN hanyalah bersifat “artificial” dan tidak mempunyai apa-apa “substance” mengukuhkan Kerajaan Negeri.

"Enakmen Anti Lompat Parti di Pahang sewajarnya disegerakan untuk menangkis perbuatan khianat terhadap amanah rakyat. Perbuatan kononnya menukar kerajaan pada setiap peringkat masa, sebelum Ramadhan, selepas Aidil Fitri, selepas Hari Raya Haji adalah perbuatan tidak bertanggungjawab merosakkan kestabilan dan mensabotaj ekonomi negeri. Kerjasama erat BN dan PH dalam membentuk kerajaan negeri mesti diterjemahkan dalam kemajuan negeri Pahang," tambah Fadzli lagi. #PahangDaily

Share:

KL City Berjaya Tundukkan Sri Pahang FC 2-1 Di "Gelanggang Sendiri" Malam Tadi !

KUANTAN: Kuala Lumpur City FC (KL City) berjaya menundukkan Sri Pahang FC dengan jaringan 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini pada Ahad.

Kekalahan skuad Tok Gajah itu adalah yang kedua selepas tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 24 Mei lalu.

Gol pasukan pelawat muncul seawal minit kelima babak pertama melalui jaringan penyerangnya, Tchetche Kipre.

Pahang yang ketinggalan menggandakan serangan untuk mencari gol penyamaan dengan mencipta beberapa peluang, namun gagal menemui titik penyudah hingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak pertama, peluang Pahang muncul pada minit ke tujuh melalui percubaan penyerang, Kpah Sean Sherman menerusi tendangan dari sebelah kanan pintu gol KL City namun tersasar.

Berselang tiga minit kemudian, Stefano Brundo mendapat peluang keemasan apabila tandukannya berjaya menerjah gawang KL City, namun jaringannya dibatalkan pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali kerana 'offside'.

Pahang berjaya memperoleh gol penyamaan melalui sepakan penalti pada minit ke-57 melalui tendangan Stefano Brundo.

Peluang keemasan itu muncul selepas pemain Pahang berjersi 12, Muhamad Baqiuddin Shamsuddin dijatuhkan penjaga gol KL City, Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin dalam kawasan petak penalti.

KL City memperoleh gol kedua pada minit ke-75 melalui sepakan percuma disempurnakan pemain berjersi 28, Paulo Josue.

Pahang terpaksa akur apabila gagal mencari gol penyamaan untuk mengikat KL City hingga wisel penamat.

Kedua-dua pasukan menggandakan serangan dan berjaya mencipta beberapa peluang namun gagal mendapatkan gol tambahan sekaligus menyaksikan keputusan perlawanan kekal 2-1. #sumber

Share:

KPDN Pahang Berjaya Rampas Kira-Kira 16,000 Liter 'Minyak Diesel' Bersubsidi !

 

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang berjaya merampas kira-kira 16,000 liter minyak diesel bersubsidi di sebuah gudang penyimpanan di kawasan perindustrian Indera Mahkota 14, di sini.

Ketua Penguatkuasa KPDN Pahang, Muhamad Radzi Johari berkata, dalam serbuan berkenaan, pihaknya turut merampas tiga buah kepala lori ‘prime’, sebuah treler tangki minyak dan tiga set pam dengan keseluruhan nilai rampasan bernilai RM454,400.

Katanya lagi, pihaknya juga telah menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki berbangsa Rohingya yang berada di gudang berkenaan.

“Dua orang lelaki tempatan yang ditahan merupakan pemandu lori dan manakala lelaki berbangsa Rohingya pula merupakan penjaga gudang tersebut.

“Modus Operandi sindiket ini adalah menggunakan beberapa buah kepala lori jenis ‘prime mover’ untuk mengutip minyak diesel di beberapa buah stesen minyak di sekitar Kuantan,”katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurutnya, penemuan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi berkenaan merupakan hasil risikan pihaknya selama seminggu yang membawa kepada penemuan gudang tersebut yang dijadikan tempat pengumpulan minyak diesel bersubsidi.

Katanya, dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu menemukan tiga buah kepala lori ‘prime mover’ yang berada di dalam gudang tersebut dengan satu daripadanya sedang memindahkan minyak daripada tangki lori ke dalam sebuah ‘skid tank’.

“Turut ditemui di dalam gudang berkenaan adalah dua buah ‘skid tank’ berisi minyak diesel dengan anggaran 16,000 liter, sebuah treler tangki minyak dan tiga set pam yang digunakan untuk pemindahan minyak dari tangki lori ke ‘skid tank’ dengan kesemua nilai sitaan berjumlah RM454,400,” ujarnya. #sumber

Share:

Mahkamah Tolak Rayuan Aktivitis Batal Kelulusan Projek PDF Lynas Di Gebeng !

KUANTAN: Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan semakan kehakiman daripada aktivis anti-Lynas Tan Bun Teet untuk mencabar kebenaran yang diberikan kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk membina kemudahan pelupusan tetap (PDF) Lynas di Kawasan Perindustrian Gebeng dekat sini.

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz berkata Tan tidak terjejas teruk kerana dia bukannya tinggal berhampiran tapak pelupusan tetap di Gebeng.

Menurut Zainal, pada Januari lalu, kerajaan negeri telah memberi hak milik dan meluluskan tapak berkenaan untuk pembinaan PDF manakala tapak kediaman terdekat dengan projek itu adalah sejauh 2.5 kilometer.

“Tiada perlanggaran undang-undang kerana ia memenuhi kelulusan oleh kerajaan negeri dan tidak ada yang tidak sah,” katanya hari ini.

Kebenaran merancang telah diberikan oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) kepada Gading Senggara Sdn Bhd pada 28 Januari 2022 untuk membina PDF bagi melupuskan sisa radioaktif Water Leach Purification (WLP) yang dihasilkan oleh Lynas secara kekal.

Tan sebelum ini memfailkan permohonan itu terhadap tiga pihak iaitu Jawatankuasa Perancang Negeri Pahang yang menyemak cadangan pembangunan yang dikemukakan Gading Senggara untuk pembinaan PDF dan kebenaran merancang; Majlis Bandaraya Kuantan dan Gading Senggara.

Dalam permohonannya, Tan, meminta perintah mahkamah bahawa kebenaran merancang yang diberikan oleh majlis bandaraya kepada Gading Senggara perlu mematuhi peruntukan mandatori Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 yang menjadikan kebenaran yang diberikan itu terbatal dan tidak berkuat kuasa.

Tan yang juga adalah pengerusi kumpulan pencinta alam sekitar Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) turut memohon mahkamah supaya membatalkan kebenaran merancang pembinaan PDF itu.

Peguam pemohon Datuk Dr Gurdial Singh Nijar berkata kes itu membangkitkan isu yang biasa berkaitan kelulusan perancangan untuk projek sebegini yang mempunyai implikasi besar kepada undang-undang perancangan.

“Kami diarahkan untuk merayu,” jawabnya ringkas.

Sementara itu, Tan berpendapat bahawa keputusan penghakiman tersebut boleh dipertikaikan.

“Walaupun kami kecewa, kami tetap akan teruskan dan kami akan membuat rayuan,” katanya. #sumber

Share:

Kerajaan Pahang Zahirkan Keprihatinan, Akan Teliti Serta Sedia Bantu Maisarah !

 

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang menzahirkan keprihatinan dan sedia membantu kanak-kanak perempuan orang Asli yang menjadi mangsa perebutan hak jagaan setelah penceraian ibu bapanya yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan sama ada dari aspek pendidikan, agama mahupun kebajikan kanak-kanak itu.

Jelasnya kerajaan negeri sedia memainkan peranan tanpa mempengaruhi atau menguasai keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah sebaliknya menerima keputusan badan perundangan itu.

”Isu Maisarah telah dibicarakan, dan kerajaan negeri pun bersimpati dan mengetahui isu ini setelah diputuskan oleh mahkamah. Kami (kerajaan negeri) tidak akan mengabaikannya  seandai mempunyai maklumat awal.

”Dari segi agama kita jaga kepentingan agama dia perlu bantuan kita sesuai dengan proses undang-undang. Dari segi kebajikan begitu juga, dari segi pendidikan juga dan semua.

”Dan saya sendiri sudah mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)  untuk mengambil langkah proaktif dalam hal ini supaya anak ini jangan sampai terbiar.

Demikian reaksi beliau berhubung sebuah video tular seorang kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Maisarah yang menangis teresak-esak sambil dipujuk oleh ibu kandungnya di perkarangan mahkamah di sini.

Menerusi video berdurasi 1 minit 31 saat itu, Maisarah berbaju merah jambu berpelukan dengan ibunya yang berpurdah sambil diperhatikan oleh pegawai polis wanita selepas selesai prosiding mahkamah berkaitan hak jagaan.

Kanak-kanak berusia 9 tahun merupakan anak kepada pasangan orang asli yang telah becerai dan dijaga ibunya yang telah memeluk Islam.

Hantaran video tersebut  dilaporkan dan dimuatnaik oleh pempengaruh Yuseri Yusuf  di Instagram  miliknya itu meraih sehingga lebih 100,000 tontonan.

Difahamkan kanak-kanak tersebut terbabit dengan kes dera, buli, serta dipaksa minum arak ketika di bawah jagaan ayahnya yang belum memeluk Islam serta dikatakan bersekedudukan dengan wanita lain.

Menyedari situasi itu, si ibu yang dikenali sebagai Aisyah kemudiannya bertindak melarikan anaknya ke Kuala Terengganu.

Ekoran itu, bekas suaminya memfailkan permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyediakan khidmat peguam.

Mahkamah Tinggi Kuantan kemudiannya memerintahkan kanak-kanak terbabit diserahkan kepada bapanya menerusi perintah ’Habeas Corpus’ pada Khamis.

Jelas Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan membantu segala keperluan  tanpa mengabaikan kanak-kanak itu dari semua segi termasuk mental dan emosi.

Bahkan beliau turut meminta Penasihat Undang-undang negeri ini meneliti apakah proses yang boleh dilaksanakan bagi membantu kebajikan kanak-kanak itu tanpa melanggar sebarang undang-undang berkaitan.

Mengulas lanjut, pihaknya menjelaskan kerajaan negeri tidak akan mengabaikan kemelut yang menimpa keluarga itu sekiranya mendapat makluman awal.

Namun kes tersebut dikendalikan luar pengetahuan pihaknya yang mana Maisarah dan ibunya berada di luar Pahang ketika kejadian berlaku.

Malah,  Syed Ibrahim turut menyokong usaha ibu kanak-kanak tersebut memfailkan rayuan berhubung kes berkenaan di Mahkamah Rayuan.

“Banyak agensi terlibat dalam kes ini seperti JAKOA, MUIP, JAIP dan JKM. Perlu ikut prosedur kalau ada maklumat sampai pengetahuan kami. Dia (Maisarah) orang Pahang tapi dia duduk di Terengganu jadi sukar untuk ambil tindakan segera.

”Ayahnya ada hak menjaga anak, walau bagaimanapun kami sokong hasrat keluarga si ibu untuk merayu sekiranya proses rayuan kepada kes ini untuk hak ibunya menjaga,” katanya.  #sumber

Share:

Mahkamah Kuantan Dengar Permohonan Orang Asli 'Batalkan' Status Peluk Islam !

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di Kuantan akan mendengar permohonan oleh 137 Orang Asli daripada etnik Bateq Mayah yang mencabar untuk membatalkan status Islam mereka berikutan penukaran agama beramai-ramai yang didakwa menyalahi undang-undang 30 tahun lalu.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur awal hari ini membenarkan permohonan 137 plaintif itu untuk memindahkan writ saman ke mahkamah sivil di Pahang.

Peguam yang mewakili kumpulan Orang Asli itu, Fahri Azzat mengesahkan bahawa permohonan pemindahan itu dibenarkan, tanpa bantahan yang dibangkitkan oleh defendan lain.

Tindakan sivil itu menamakan enam defendan iaitu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), pengarah dan pegawainya, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang (MUIP), kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Dengan pemindahan itu, Mahkamah Tinggi di Kuantan juga akan mendengar pelbagai permohonan interlokutori oleh defendan.

Lima daripada defendan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan mahkamah atas beberapa alasan, antaranya tindakan sivil difailkan 29 tahun selepas dakwaan penukaran agama secara besar-besaran, dan dengan itu difailkan di luar masa mengikut Seksyen 2 Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 dan Seksyen 6 Akta Had 1953.

Defendan lain, MUIP memfailkan permohonan untuk mempertikaikan bidang kuasa mahkamah sivil untuk mendengar kes itu kerana isu yang dibangkitkan dalam tindakan sivil itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah Pahang.

Saman yang difailkan pada 28 Sept tahun lalu itu, mendakwa tertuduh melakukan pertukaran agama secara salah dan haram ke atas Orang Asli di Kampung Benchah Kelubi, Merapoh, Kuala Lipis, Pahang, pada April 1993.

Kertas kausa mendakwa bahawa 57 daripada plaintif telah bertukar agama semasa kejadian itu manakala baki plaintif adalah anak mereka, yang dilahirkan kemudian dan juga mempunyai perkataan Islam pada kad pengenalan mereka kerana keturunan.

Plaintif mendakwa bahawa pada awal 1993, wakil JAKOA bukan sahaja telah meminta dua ketua kampung untuk memeluk agama Islam tetapi juga meminta penduduk kampung lain berbuat perkara yang sama.

Mereka mendakwa apabila penduduk kampung enggan berbuat demikian, seorang pegawai JAKOA yang melawat kampung itu telah mengeluarkan beberapa ugutan untuk memastikan penukaran agama mereka.

Antara ugutan itu ialah penduduk kampung tidak akan dibenarkan tinggal di kampung tersebut lagi, rumah dan tanaman mereka akan dimusnahkan, orang kampung akan dihalau dan diseksa jika mereka lari ke gunung.

Plaintif mendakwa bahawa penduduk kampung tidak dimaklumkan tentang implikasi undang-undang apabila memeluk Islam, iaitu mereka akan tertakluk kepada rangka kerja perundangan Islam Pahang dan anak yang dilahirkan kepada mereka secara automatik juga beragama Islam.

Plaintif mendakwa walaupun mereka menganut atau mengamalkan Islam berikutan penukaran agama secara besar-besaran itu namun mereka terus mengamalkan kepercayaan budaya serta agama Bateq Mayah.

Mereka mendakwa bahawa selepas tahun 2000 apabila lebih ramai penduduk kampung belajar bercakap asas Bahasa Melayu, mereka kemudian menyedari bahawa perkataan "Islam" tertera pada kad pengenalan mereka. #sumber

Share:

Kerajaan Negeri Pahang Martabatkan Kegemilangan Angkat Berat Di Rompin

KUANTAN: Kerajaan negeri komited mengembalikan semula kegemilangan sukan angkat berat di Rompin dekat sini yang suatu ketika dahulu berjaya melahirkan ramai jaguh angkat berat negara.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, antaranya, Amirul Hamizan Ibrahim dan Mohd. Faizal Baharom yang memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel 2002 dan 2006.

“Serentak itu, saya meminta Datuk Ayub Rahmat, Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bersama Amirul Hamizan serta mana-mana pihak yang berminat untuk menyumbangkan buah fikiran serta cadangan bagi merealisasikan hasrat tersebut,” katanya dalam kenyataan selepas merasmikan Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior Kebangsaan 2023 di Rompin di sini semalam.

Kejohanan Angkat Berat terbabit berlangsung bermula 27 Mei hingga 1 Jun yang mana ia dianjurkan bertujuan mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan angkat berat.

Tambah Fadzli, kerajaan negeri juga akan sentiasa bersedia menyalurkan peruntukan yang sewajarnya dalam program pembangunan atlet, jurulatih serta pengurusan sukan angkat berat di Rompin.

“Ia demi memastikan kita kembali berada di landasan tepat dalam mengangkat kembali martabat sukan angkat berat di negeri ini,” katanya. #sumber

Share:

Daerah Bentong Catat Suhu Maksimum 35 Hingga 37 Darjah Selsius Tahap Satu

KUALA LUMPUR: Daerah Bentong di Pahang satu-satunya kawasan  yang mencatat suhu maksimum harian 35 sehingga 37 darjah selsius tahap satu (berjaga-jaga).

Status cuaca panas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat pukul 4.30 petang hari ini merekodkan kawasan lain di negara ini masih berada pada suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah selsius. 

Jabatan itu merekodkan tiada kawasan berada pada tahap dua (gelombang haba) dan tahap tiga (gelombang ekstrem haba).

Sementara itu, berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 5 petang ini, tiada kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Sebanyak 22 stesen pula mencatatkan bacaan IPU baik manakala 46 kawasan sederhana.

Sebagai rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Di samping itu, MetMalaysia juga membuat hantaran di laman Facebook dengan merekodkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di tiga negeri sehingga pukul 7 petang ini. 

“Negeri tersebut ialah di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai), Terengganu (Besut, Marang, Dungun dan Kemaman) dan Sarawak (Kuching dan Samarahan (Samarahan dan Asajaya). 

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ataudijangka berlaku melebihi sejam,” katanya dalam hantaran itu.

Katanya, amaran  ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. 

Share:

Kerajaan Lulus Peruntukan RM1.7 Bilion Untuk 'Menaiktaraf' Leburaya KL- Karak !

 

KUALA TERENGGANU: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion untuk menaiktaraf Lebuhraya Karak dengan melebarkan lorong dan membina terowong tambahan bagi mengatasi masalah kesesakan yang dialami pengguna terutama pada musim perayaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kerja-kerja pembinaan akan dilakukan oleh pemegang konsesi lebuh raya berkenaan bermula Julai ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

"Terdapat kira-kira dua juta kenderaan yang menggunakan laluan tersebut untuk pulang sama ada ke Kelantan dan Terengganu pada musim cuti perayaan.

"Dengan pelebaran lorong dan pembinaan terowong baharu kita jangka masalah kesesakan yang sering dialami di lebuh raya itu akan diatasi.

"Setakat ini Lembaga Lebuhraya Malaysia telah mengeluarkan tender untuk kerja-kerja pembinaan yang akan dilaksanakan di sepanjang lebuh raya itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu (PKMMT) pada Ahad.

Hadir sama, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan dan Yang Dipertua PKMMT Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerja-kerja penyelenggaraan laluan itu tidak digalakkan untuk dilaksanakan pada musim cuti perayaaan sebagai langkah mengurangkan masalah kesesakan jalan.

"Buat sementara waktu ini saya tidak galakkan LLM melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sepanjang musim cuti perayaan kerana ia akan mengganggu aliran trafik yang bergerak ke Pantai Timur," ujarnya. #sumber

Share:

Pegawai SPRM, 'Datuk Roy' Di Heret Ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Esok !

KUALA LUMPUR: Seorang individu dikenali sebagai “Datuk Roy” dan seorang pegawai SPRM akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Peguam lelaki itu Fahmi Abd Moin ketika hubungi mengesahkan perkara itu dan memberitahu pertuduhan dibuat bawah Seksyen Sections 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Pada 13 Mac, lelaki itu menyerah diri kepada SPRM bagi membantu siasatan kes skim Jana Wibawa.  #sumber

Share:

Ahli UMNO Di Ingatkan Agar Tidak Mudah Terperangkap Cubaan Goyah Kestabilan !

 

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mengingatkan ahli parti agar tidak mudah terperangkap dengan mainan politik pihak tertentu yang cuba mengkucar-kacirkan kestabilan kerajaan yang ada hari ini.

Beliau berpandangan momokan seperti undi Dap dan sebagainya adalah sebahagian daripada tindakan terdesak mereka setelah melihat kesepaduan di dalam Kerajaan Perpaduan hari ini mula menampakkan hasil.

“Ingin saya tegaskan… bukankah yang akan bertanding kelak sama ada calon-calon yang mewakili Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) serta rakan gabungan yang lain.

“Sama ada calon daripada parti mana sekalipun sudah tentu mereka akan bertanding atas kapasiti PH dan sebagainya lagi. Jadi tidak timbul soal undi Dap atau mana-mana parti politik tertentu di dalam pilihan raya akan datang.

“Sebenarnya mereka cuba memainkan persepsi dan mengelirukan rakyat semata-mata. Hari ini kita bersama di dalam Kerajaan Perpaduan seperti mana yang umum tahu pasca Pilihan Raya Umum (PRU) lalu… jadi soal kestabilan ini amat penting dan sudah pastilah kita mahu kerajaan negeri dan pusat selari,” katanya. 

Atas dasar itulah tambah beliau lagi mana-mana calon PH atau BN sudah pasti ini yang akan dipilih dalam usaha memastikan kesinambungan serta kestabilan dapat dijayakan.

“Ini adalah ‘political arrangement’… kalau kita mahu lihat kemenangan dan Kerajaan Perpaduan dapat diselarikan di peringkat negeri maka perlulah undi parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Masing-masing baik di peringkat BN dan PH saling memberikan kepercayaan mereka kepada calon yang diketengahkan, sudah pasti akan membawa kejayaan kelak.

“Tidak ada logo UMNO mahu pun logo Dap. Yang ada sama ada BN atau PH. Jadi janganlah kita mudah terperangkap dengan dakyah yang sekadar untuk mengelirukan ahli serta pendokong dan penyokong yang lain,” ujarnya. #sumber

Share:

Wan Rosdy Seru Setiap Ahli UMNO Perlu Tanamkan Dalam Diri 'Kita Orang Parti' !

BENTONG: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru kepada anggota parti tanamkan dalam diri sebagai ‘kita orang parti’ iaitu sentiasa meletakkan kepentingan UMNO sebagai asas dalam perjuangan.

Kata Menteri Besar Pahang itu, berdasarkan pengalaman pilihan raya umum sebelum-sebelum ini jika tidak dapat menjadi calon akan ada yang merajuk, melompat parti dan akhirnya mendatangkan kerugian besar kepada parti.

“Saya menyeru kita letak dalam diri kita sendiri, tanamkan dalam pemikiran kita orang UMNO dan apa tawaran sekalipun, UMNO diugut seperti yang berlaku kepada Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). Presiden kita ‘orang parti’. Sebab jika tidak ‘orang parti’ ketika Tun Mahathir Mohamad minta beliau bubarkan UMNO pastinya akan bubar, tetapi ia tidak berlaku dan akhirnya semua tahu apa telah terjadi kepada beliau.

“(Berbeza pula) ada ‘kawan’ kita yang lain itu… mereka bukan ‘orang parti’. Kalau mereka ‘orang parti’ pastinya mereka bersama dengan kita sama ada dalam keadaan susah atau senang,” katanya dalam program Pemukiman Penerangan UMNO di ILMU, Janda Baik di sini baru-baru ini.

Begitu juga ulas Wan Rosdy, masalah dalaman yang berlaku di dalam parti hendaklah diminimakan sebaik mungkin.

“Saya percaya dengan usaha yang kita buat… kita bergerak sebagai satu pasukan, insya-Allah dengan kepimpinan baharu yang ada pada hari ini, UMNO akan bergerak sebagai satu pasukan dan satu keluarga.

“Kita ambil iktibar apa yang berlaku kepada beberapa syarikat korporat yang besar akhirnya bankrap disebabkan masalah dalaman,” pesannya lagi.

Oleh kerana itu katanya ketika menjadi Menteri Besar Pahang, perkara pertama yang ditekankan dalam mengurus negeri adalah meminimakan masalah dalaman dan bekerja sebagi satu pasukan.

“Sebab itu masa mula-mula saya menjadi Menteri Besar, ucapan sulung ialah kita kena minimakan masalah dalaman. Yang kedua bekerja sebagai satu pasukan dan satu keluarga.

“Jika tidak… mana mungkin hutang kerajaan negeri Pahang RM3.2 bilion diminimakan sehingga RM952 juta. Kita ada fokus. Hasil kerajaan negeri tidak pernah berlaku melebihi RM700 juta, tahun lepas Alhamdulillah berjaya mendapat RM1.2 bilion hasil,” katanya. #sumber 

Share:

KPDN Pahang Rampas Lebih 110,000 Liter Diesel Bersubsidi Sejak Januari !

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang telah merampas 110,744.85 liter minyak diesel bersubsidi menerusi operasi yang dijalankan sejak Januari lepas sehingga kini, kata Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin.

Beliau berkata, jumlah rampasan keseluruhan mencatatkan sebanyak RM538,763.90, melibatkan nilai minyak diesel dan peralatan disita masing-masing RM239,420.50 dan RM299,343.40.

Katanya, kebanyakan sitaan diesel pada tahun ini berlaku di daerah Kuantan manakala hanya satu kes direkodkan di Raub dan sepanjang operasi tersebut dilaksanakan lapan individu telah ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan menyeleweng minyak diesel.

"Sehingga kini, sebanyak 10 kes dihasilkan berkait aktiviti penyelewengan minyak diesel dengan lima kes dilakukan menerusi Op Tiris, yang operasi tersebut telah dilaksanakan di 550 premis di seluruh Pahang," katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Jezlily berkata, pihaknya mendapati mereka yang terlibat dengan kegiatan ini sering menggunakan taktik mengubah suai lori untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Mereka didapati menggunakan lori-lori yang diubah suai untuk mengutip minyak dari satu stesen ke stesen yang lain untuk dipindahkan ke lokasi tertentu sebelum dijual kepada industri," katanya.

Menurut beliau, antara kesukaran yang dihadapi oleh KPDN dalam melaksanakan operasi itu apabila sindiket menggunakan 'tonto' untuk mengesan kehadiran pihaknya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tetap komited dan proaktif dalam membanteras kegiatan penyelewengan minyak diesel selain berharap masyarakat dapat menjadi mata dan telinga agensi itu dengan menyalurkan maklumat berkaitan. #sumber

Share:

Lelaki Maut Tergelincir, Jatuh 20 Meter Ke Dalam Gaung Di Genting Highlands !

KUANTAN: Seorang lelaki maut dipercayai akibat tergelincir sebelum, terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 20 meter di KM, jalan naik ke Genting Highlands, Bentong hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Mohd Saufi Zakaria, berkata lelaki berusia lingkungan 60-an itu dikatakan sedang melakukan pemantauan di lereng bukit bagi kerja pemasangan paip, sebelum tergelincir.

Beliau berkata, lapan anggota dan pegawai bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan pada jam 2.53 petang.

"Bomba menjumpai lelaki itu kira-kira 3.30 petang, sebelum menjalankan operasi menaikan mayat itu menggunakan tali dan alat pengusung yang mengambil masa lebih sejam," katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi selesai jam 5.00 petang. #sumber

Share:

'Ramli Sarip' Ajak Peminat Pahang Saksi Konsert Blues Di SUKPA Pada 5 Ogos Ini

KUANTAN: Orang ramai yang merindukan persembahan penyanyi lagenda Datuk Ramli Sarip boleh menyaksikan Konsert Blues Untuk Rakyat depan di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota pada 5 Ogos hadapan.

Sebanyak 3,000 tempat duduk disediakan kepada penonton.

Beliau bakal mendendangkan 22 lagu sepanjang konsert dua setengah jam itu dengan iringan lapan pemuzik professional.

“Saya berharap peminat setia Ramli Sarip di Pahang tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan Konsert Blues Untuk Rakyat yang pasti menghiburkan mereka. Jangan lepaskan peluang bernostagia bersama saya,

“Jadikan Konsert Blues Untuk Rakyat sebagai kenangan tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila,” katanya,” katanya ketika sidang media Konsert Blues Untuk Rakyat pada semalam.

Tiket konsert dijual antara RM98 dan RM198.

Peminat boleh mendapatkan  tiket menerusi www.ticket2u.com.my yang telah mula dijual.

Kali terakhir penyanyi lagu Teratai itu mengadakan konsert di sini pada tahun 1980an di Stadium Darulmakmur bersama kumpulan Sweet Charity.

“Rindu peminat di Pahang, ketika itu ramai peminat yang datang. Selepas itu saya tidak lagi berpeluang mengadakan konsert di Pahang, sehingga kini.

“Diharap Konsert Blues Untuk Rakyat 5 Ogos ini dapat mengubat rindu peminat di Pahang,” ujarnya.

Ramli akan menyanyikan koleksi lagu-lagu hits yang ada berusia lebih 40 tahun.

Selain itu, beliau akan menyanyikan enam lagu baharu seperti ronggeng rakyat, cinta disebalik musim dan surat cinta Kuala Lumpur. #sumber

Share:

Cegah Kegiatan Mungkar, Mufti Pahang Gesa "Konsert Coldplay" Di Haramkan !

KUALA LUMPUR: Konsert  Coldplay wajar diharamkan berikutan sokongan kumpulan rock alternatif British itu kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman bertegas, umat Islam perlu menegah kegiatan mungkar dan perbuatan yang dilarang oleh Allah.

“Kita sebagai seorang Islam sebagaimana dalam firman Allah (bermaksud) ‘Kamu adalah umat yang paling baik, mengajak orang kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran.

“Apa yang kita lihat jika benda itu mungkar jelas mengajak orang kepada LGBT, mengajak orang lupa Allah sebenarnya hukumnya kita kena tegah.

“Kita kena cegah supaya ia tidak bersama dengan umat Islam di sini (Malaysia). Bermakna kalau kita biarkan bercanggah dengan ayat tadi,” kata Abdul Rahman ketika dihubungi.

Abdul Rahman berkata, jika ia hanya sebuah konsert biasa tanpa elemen LGBT, ia boleh diterima dalam sebuah negara yang berbilang kaum.

Bagaimanapun sekiranya ia mempunyai unsur perbuatan tak bermoral itu – konsert tersebut bukan sahaja boleh mempengaruhi bukan Islam tetapi juga kepada penganut Islam.

“Pada umat Islam memang tidak ada keperluan untuk itu kecuali kita duduk di negara berbilang kaum. Sebab LGBT ini semua orang tidak suka sebenarnya.

“Kalau setakat hiburan biasa mungkin kita boleh (terima) menentukan orang-orang bukan Islam dan sebagainya menghadirinya.

“Tapi kalau LGBT ini dia mempengaruhi Islam dan bukan Islam. Agama-agama lain pun melarang (amalan LGBT),” kata beliau.

Tambah Abdul Rahman, orang munafik akan mengajak kepada kemungkaran dan mencegah daripada melakukan perkara yang baik.

Katanya, tidak ada mana-mana ulama yang akan menyokong konsert seperti itu diadakan di sebuah negara Islam seperti Malaysia.

“Saya rasa adalah lebih baik ada usaha-usaha untuk membatalkan. (Jika) pihak tertentu ada kuasa untuk membatalkan itu adalah lebih baik. Kita sebuah negara Islam.

“Bukan saya sahaja, seluruh ulama dan orang soleh memang tidak setuju perkara seperti ini dibawa ke dalam sebuah negara Islam.

“Sepatutnya kita sebagai negara Islam mengajak orang kepada Islam, berbuat baik. Kalau tidak orang akan mempermainkan agama kita,” katanya lagi.

Mufti Pahang itu berkata, pihak pengajur sepatutnya mendapatkan nasihat sebelum mengadakan sesuatu konsert.

Malaysia, menurut Abdul Rahman perlu mencontohi negara Qatar yang menganjurkan Olimpik baru-baru ini yang menghalang sebarang acara yang mencemarkan agama Islam.

“Kita tengok contoh yang baik di Qatar tidak dibenarkan. Patut kita begitu sebagai orang Islam mengajak kepada kebaikan, kepada Islam. Bukan membiarkan.

“Sampai masanya kita dakwah orang bukan Islam masuk Islam. Benda-benda yang bercanggah. Kita buat macam Qatar. Sebab itu orang hormat dengan Qatar.

“Orang tidak akan hormat kepada kita jika kita membiarkan benda-benda begitu. Mungkin kita akan ditimpa bala oleh Allah. Kita bimbang,” katanya.

Sementara itu Abdul Rahman menasihatkan umat Islam supaya tidak pergi ke konsert tersebut jika ia mempromosi agenda LGBT.

“Kalau kita sudah tahu ia mengajak kepada LGBT dan sebagainya, kita merasakan pergi itu adalah satu benda yang sia-sia dan boleh merosakkan akidah kita lebih baik tak pergi.

“Kalau ia melibatkan, mengajak kepada kemungkaran adalah berdosa dan haram,” jelas beliau.

Tiket konsert Coldplay: Music of the Spheres World Tour menjadi rebutan jutaan rakyat Malaysia habis dijual dalam tempoh tiga jam selepas kaunter tiket dalam talian dibuka dua hari lalu.

Beberapa pihak membantah konsert yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November depan dengan mendakwa kumpulan Coldplay mempromosi agenda LGBT.

Beberapa konsert sebelum ini penyanyi utamanya, Chris Martin yang pernah berkahwin dan mempunyai dua orang anak membuat persembahan dengan memegang bendera pelangi iaitu simbol kepada kumpulan LGBT. #sumber

Share:

Ir Ts Dr. Ahmad Ziad Di Lantik Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang

 

PEKAN: Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, 46, dilantik Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang baharu berkuatkuasa 15 Mei lalu.

Pelantikan Ahmad Ziad bagi tempoh tiga tahun bermula 15 Mei 2023  hingga 14 Mei 2026.

Ahmad Ziad yang berasal dari Parit , Perak memiliki kelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam jurusan kejuruteraan Kimia dari Massey University, New Zealand (2011), Sarjana Kejuruteraan Kimia (2003) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia  (2000) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.

Beliau sebelum ini merupakan Profesor di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses dan merupakan Felo Penyelidik Utama Pusat Kelestarian Ekosistem & Sumber Alam (Pusat Alam) UMP.

Selain itu, beliau pernah dilantik sebagai Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMC) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), (2019-2022), Dekan Pengajian Siswazah UMP (2015), Timbalan Dekan Pengajian Siswazah UMP (2013-2015) dan berpengalaman luas dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Ahmad Ziad juga pernah dilantik sebagai Profesor Pelawat Ghanami College of Technology India. #sumber

Share:

Mufti Pahang: Sebaik-Baiknya Biarlah TH Urus 'Badal Haji' Untuk Elakkan Penipuan

 

KUALA LUMPUR – Seelok-eloknya Lembaga Tabung Haji (TH) yang menguruskan badal haji supaya ibadah yang dilakukan untuk individu yang sudah meninggal dunia itu dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Meskipun mengakui TH akan berdepan dengan kekangan untuk menguruskan badal haji tetapi Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berpendapat, langkah itu sekurang-kurangnya dapat menangani penipuan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sejak sekian lama.

Apatah lagi, permintaan untuk melaksanakan badal haji semakin tinggi sekarang ini.

“Kalau Tabung Haji sendiri boleh menguruskan dan melaksanak badal haji lebih baik walaupun saya akui TH juga tidak mungkin mampu menguruskannya disebabkan permintaan yang tinggi,” katanya.

Lantaran itu, buat masa ini, Abdul Rahman meminta orang ramai kekal berhati-hari supaya tidak terpedaya dengan pakej badal haji murah dan tidak munasabah yang ditawarkan oleh pelbagai agensi.

Artikel berkaitan: Hati-hati dengan lambakan badal haji murah – MATA

Nasihatnya, orang ramai perlu membuat penelitian dan semakan terlebih dahulu sebelum mengambil pakej upah badal haji memandangkan berlaku peningkatan kos haji yang ditetapkan oleh Arab Saudi.

Selain itu, katanya, orang ramai yang mahu mengupah badal haji perlu benar-benar pastikan pihak yang diupah melaksanakan ibadah itu adalah individu yang betul iaitu penduduk tempatan di sana sahaja dan bukanya warga asing yang lain.

“Ini kerana Arab Saudi sudah menetapkan kadar kepada orang tempatan di sana, kena fikir logik bagaimana kos yang ditawarkan kepada kita boleh murah.

“Ada tawaran badal haji jika sekitar RM1,500 sehingga RM3,500, itu terlampau murah sedangkan harga asal permit haji yang lebih tinggi yang ditetapkan mencecah SR4,000 (RM4,800).

“Perlu diingat bahawa badal haji ini kita wakilkan atau mengupah individu lain untuk buat haji. Jadi seorang itu hanya boleh mengambil upah pergi haji untuk satu kepala sahaja.

“Kalau bagi upah kepada pelajar, juga berpandukan kepada syarat, juga mengikut kos permit mereka di sana,” jelas Abdul Rahman lagi. #sumber

Share:

Pendaki (OKU) Malaysia Everest 2023, Muhammad Hawari Di Khuatiri Hilang

 

KUALA LUMPUR: Pendaki orang kurang upaya (OKU) Malaysia Everest 2023 Muhammad Hawari Hashim, dikhuatiri hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

Perkara itu disahkan Ketua Misi Ekspedisi Azim Afif Ishak ketika dihubungi Bernama TV dan operasi pencarian masih dijalankan.

Muhammad Hawari, 33, merupakan OKU pendengaran, dipercayai hilang ketika menuju ke Kem 3 selepas berjaya menawan puncak Gunung Everest yang berketinggian 8,848 dari paras laut, pada Khamis.

Azim Afif berkata, setakat ini Hawari masih belum dijumpai dan pendaki OKU itu sudah hilang hampir 24 jam.

Beliau berkata kali terakhir Hawari berjaya dihubungi ketika pendaki itu berada di Kem 4.

Dalam pada itu, menurut laporan media Nepal The Himalayan Times yang memetik kenyataan pengendali ekspedisi Pengarah Pioneer Adventure Nivest Karki, Hawari telah hilang sejak Jumaat dan usaha pencarian masih dijalankan.

Hawari merupakan pendaki kumpulan pertama ke puncak Everest bersama pendaki yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub.

Bagaimanapun, Awang Askandar, 56, disahkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak gunung Everest. #sumber

Share:

Kerajaan Pahang Cakna, Bantu Kebajikan Adik Athif Pengidap Sakit Jarang Jumpa 'Spinal Muscular Atrhopy' (SMA) Type 1 !

 

BERA: Kerajaan Negeri Pahang, cakna dan tidak lepas tangan membantu kebajikan kanak-kanak berusia 15 bulan, Muhammad Athif Fahri Mohd. Farhan atau Athif yang menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Atrhopy (SMA) Type 1.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Sabariah Saidan memberitahu, setakat ini, keluarga kanak-kanak itu menerima bantuan kewangan RM500 sebulan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.

“Setakat ini, kerajaan negeri melalui JKM sudah memberi bantuan sebanyak RM500 sebulan. Kita juga menguar-uarkan kepada semua rakyat negeri ini, termasuk seluruh negara selain memohon kepada pihak korporat bagi menampung perbelanjaan adik Athif.

“Sebelum ini juga, kerajaan negeri juga menyumbang sebuah mesin pernafasan bagi memenuhi keperluan adik Athif yang bernilai RM23,000,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru dan Hari Keluarga Antarabangsa sempena Program Jelajah Peduli Keluarga Parlimen Bera di sini hari ini.

Pada 15 Mei lalu, akhbar ini melaporkan bahawa selepas Wan Muhammad Naail atau Naail yang berjaya memperoleh RM9 juta hasil sumbangan orang ramai bagi merawat penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Atrhopy (SMA) Type 1 dihidapinya, kini Athif juga mengharapkan keajaiban yang sama.

Dana terbabit adalah bagi membeli ubat Genetik Zolgensma yang berharga AS$2.1 juta (RM9.42 juta) yang dipercayai mampu menyembuhkan penyakit terbabit.

Sabariah berkata, pemantauan berkala turut dilakukan JKM negeri dan Kementerian Kesihatan menerusi klinik kesihatan berdekatan bagi memastikan kanak-kanak itu dalam keadaan yang sihat dan stabil.

“Apa yang diusahakan kerajaan negeri ini adalah sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan keluarga di negeri ini,” katanya. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.