script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Gopi Pelik Sri Pahang FC Ada Masalah Tunggakan Gaji Pemain Sehingga Mencecah Lima Bulan

KUANTAN: Kemelut tunggakan gaji yang berlaku dalam kem Sri Pahang FC bukan hanya membimbangkan penyokong, malah bekas pemain Tok Gajah turut merasa perkara sama dengan keadaan semasa kelab kesayangan itu.

Episod hitam Sri Pahang memasuki perkembangan baharu apabila difahamkan pasukan Pantai Timur berkenaan didakwa mengalami masalah tunggakan gaji sehingga mencecah lima bulan.

Situasi semasa menimpa Sri Pahang membuatkan bekas pemain Tok Gajah, Muhammad Gopi Rizqi turut tampil melahirkan kebimbangannya dan risau juga masalah berkenaan semakin melarat.

Selain berasa simpati, Gopi Rizqi yang pernah bermain bersama Tok Gajah pada musim 2010 hingga 2015 sebenarnya hairan bagaimana Sri Pahang boleh terpalit dengan masalah tunggakan gaji pada tahun ini.

Rasa hairan Gopi Rizqi terhadap itu timbul kerana semua sedia maklum bahawa Sri Pahang FC dimiliki oleh Tengku Muda Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

"Pada zaman saya tak pernah lagi masalah gaji sampai lima bulan. Pelik betul kenapa Pahang boleh ada masalah gaji sehingga lima bulan. Setahu saya Pahang jenis yang konsisten.

"Kalau orang yang tahu pasal Pahang ini, mesti akan tahu Pahang dimiliki oleh golongan kerabat Pahang. Jadi patutnya Pahang tiada masalah pasal gaji," kata Gopi Rizqi.

Dalam pada itu, Gopi Rizqi yang merupakan watak utama Sri Pahang merangkul trofi Piala Malaysia 2013 juga menggesa agar pihak pengurusan menjalankan tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Gopi Rizqi berkata, kerjaya sebagai pemain bola dipilih untuk menjadi mata pencarian namun isu tunggakan gaji berkenaan boleh menyebabkan mereka sukar untuk menunaikan keperluan buat keluarga.

"Bagi saya pengurusan pun perlu bayar. Mereka pun nak cari makan, ada keluarga lagi. Kalau tak bayar pun penuh pun tidak apa. Bayar sikit-sikit sahaja.

"Pelik juga kenapa Pahang jadi begitu, sebelum ini tak pernah. Tak pasti juga jika faktor liga dah diswastakan membuatkan Pahang boleh mengalami masalah berkenaan," tambahnya.

Untuk info, pemain berusia 34 tahun berkenaan merupakan antara pemain sayap terbaik kelahiran Pahang dalam sejarah sehingga diburu beberapa kelab besar termasuklah Johor Darul Ta'zim (JDT).

Gopi Rizqi merupakan aset penting di sebelah kiri Pahang dari 2010 sehingga musim 2015, dan berpindah ke Selangor setahun kemudian, disusuli Selangor (2016), JDT (2017), Melaka United (2018) serta PDRM FC pada 2019.

Bekas pemain Penang FC berkenaan kini sedang menyarung jersi pasukan Liga A1 Semi-Pro, Kuala Lumpur (KL) Rovers bagi saingan Kejuaraan MBSB Bank 2024/2025.

Namun, kecederaannya dialami membuatkan Gopi Rizqi masih belum tampil dalam sebarang perlawanan pada tahun ini. #sumber

Share:

Sri Pahang FC Memang Ada Isu Masalah Gaji, Pihak Pengurusan Sedang Usaha Sehabis Baik

KUANTAN: Belum memasuki pusingan kedua Liga Super musim ini, isu tunggakan gaji sudah menimpa beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M).

Sebelum ini, beberapa pemain dari kem Sri Pahang FC memberi petunjuk halus mengenai masalah kewangan skuad Tok Gajah yang berhubung kait dengan tunggakan gaji selepas memuat naik luahan berbentuk sindiran dan gesaan kepada pihak pengurusan.

Kemelut tunggakan gaji yang berlaku dalam kem Sri Pahang FC telah membimbangkan penyokong kerana ia mampu memberi kesan kepada perjalanan Tok Gajah musim ini.

Dalam menjawab status tunggakan gaji Sri Pahang FC, sumber terdekat mengesahkan bahawa perkara itu memang sedang membelenggu pasukan daripada Pantai Timur itu.

"Secara jujurnya saya tidak mahu bercakap lebih tentang isu ini.

"Ya, kami (Sri Pahang FC) memang ada masalah tunggakan gaji seperti semua orang tahu.

"Tapi saya harap mereka (pihak pengurusan) dapat menyelesaikan masalah itu dengan segara.

"Kami juga sedang melakukan persiapan untuk perlawanan seterusnya menentang Negeri Sembilan," katanya.

Sumber itu turut mendedahkan mengalami sedikit kesukaran untuk menjalani rutin harian akibat tunggakan gaji namun mengakui masih mencintai Sri Pahang FC.

"Ya, ia amat sukar (mengalami tunggakan gaji), tapi kami berharap pihak pengurusan segera selesaikan masalah ini, kerana kelab ini sangat menakjubkan.

"Saya sangat suka dengan kelab ini, penyokong sangat baik walaupun saya tidak tahu puncanya.

"Ya, secara jujurnya saya berharap dapat kekal bersama kelab ini," luahnya.

Sebelum ini, masalah tunggakan gaji Sri Pahang FC pernah dihebohkan pada April lalu namun ia dianggap hanya alat untuk memporak-perandakan kem Sri Pahang FC yang ketika itu sedang bersiap untuk saingan Liga Super.

Khabar angin pada April itu mula tersebar apabila laman X, Onefootball.my mengatakan Sri Pahang FC berdepan isu gaji untuk dua bulan namun ia dianggap sebagai dakwaan semata-mata kerana tiada laporan dibuat pemain mahupun staf pengurusan. #sumber

Share:

Festival Layang-Layang Antarabangsa Di Pantai Sepat Bermula Rabu Hingga Ahad Ini 'Lubuk' Rezeki Peniaga

KUANTAN: Seorang peniaga membawa kira-kira 4,000 aneka layang-layang pelbagai saiz untuk dijual kepada pengunjung pada Festival Layang-Layang Antarabangsa Kuantan di Pantai Sepat bermula Rabu sehingga Ahad ini.

Farah Aziana Anuar, 37, berkata, layang-layang itu dibawa dari Kuala Selangor ke sini kerana yakin ia mendapat sambutan luar biasa oleh pengunjung yang hadir ke pusat peranginan tersebut.

"Saya bawa kira-kira 4,000 layang-layang pelbagai jenis. Ada tiga saiz iaitu kecil, sederhana dan besar.

"Daripada jumlah itu, saya juga bawa 1,000 unit layang-layang pancing kerana ia disukai kanak-kanak dan lebih mudah dikendalikan berbanding layang-layang lain," katanya ketika ditemui di Pantai Sepat di sini, pada Rabu.

Dia berharap agar lebih ramai pengunjung hadir memeriahkan festival terbabit, selain melariskan aktiviti peniaga di sini.

"Tahun lalu saya datang juga berniaga di sini, tapi tahun ini saya harap dapat raih pendapatan lebih.

"Jadi, saya mahu ramai pengunjung boleh datang untuk melihat dan membeli layang-layang," katanya.

Sementara itu, pasangan suami isteri Norhaidah Gasuling, 49, dan Roslan Ali, 57, dari Pasir Gudang, Johor turut mengambil peluang untuk menjual layang-layang di Pantai Sepat.

Katanya, sebanyak 2,000 unit layang-layang dipamerkan untuk dibeli pelanggan.

"Kami bawa kira-kira 1,500 unit layang-layang biasa, kira-kira 500 unit layang-layang pancing.

"Harga pula paling murah kita jual RM10 seunit sehingga RM120 seunit bagi yang bersaiz lebih besar,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan ini lebih 10 tahun.

Penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa Kuantan kali ke-2, bermula 3 Julai sehingga 7 Julai di Pantai Sepat bakal menyaksikan penglibatan peserta daripada 15 buah negara.

Pelbagai program diadakan seperti penerbangan layang-layang gergasi oleh peserta antarabangsa bagi menarik ramai pengunjung pelbagai peringkat umur. #sumber

Share:

Pemandu Bas Persiaran Terbabit Nahas Di Jalan Genting Highlands Mengaku Tidak Bersalah

RAUB: Pemandu bas persiaran yang terbabit nahas di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands sehingga meragut nyawa dua pelancong warga China pada Sabtu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas dua pertuduhan iaitu memandu secara berbahaya dan tidak memiliki lesen memandu.

Tertuduh, S Anand Kumar, 32, beralamat di Klang, Selangor membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 29 Jun 2024, kira-kira jam 10.20 pagi di Kilometer (KM) 16.5 Jalan Genting Highlands (hala turun) di Bentong sebagai pemandu bas persiaran telah didapati memandu dengan cara berbahaya, sehingga menyebabkan kematian dua warga China, Zhang Ping, 58, dan Wang Suhong, 49.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh di lokasi, waktu sama didapati memandu suatu kenderaan bermotor di jalan raya tanpa ada lesen memandu yang membenarkan memandu kenderaan tersebut.

Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid yang menawarkan ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan lesen sekiranya ada serta tidak dibenarkan permohonan lesen sehingga kes selesai.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberikan alasan masih menanggung ibunya yang juga orang kurang upaya (OKU) dengan pendapatan RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

Siti Aisyah kemudiannya mengenakan ikat jamin keseluruhan RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 7 Ogos depan untuk sebutan semula bagi lantikan peguam dan serahan dokumen. #sumber

Share:

Kes Tuntutan Harta RM2 Bilion Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis Di Selesaikan Secara Baik

KUALA LUMPUR: Kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2 bilion yang difailkan oleh balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail, terhadap empat anak dan ibu mentuanya hari ini telah diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur.

Empat anak Kalsom iaitu Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla serta ibu mentuanya, Aminah Abdullah, adalah defendan pertama hingga kelima.

Peguam Syarie Nur Hidayah A Bakar, yang mewakili Aminah, bagaimanapun berkata terma penyelesaian tidak dapat didedahkan kepada umum.

"Alhamdulillah, hari ini pihak-pihak telah berjumpa untuk kami bermesyuarat lebih kurang tiga jam pada pagi ini dan semua telah mencapai kata sepakat bagi penyelesaian kes harta sepencarian dan pusaka Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis. Hari ini juga telah direkodkan dan diendorse sebagai perintah mahkamah.

"Semalam telah berjalan perbicaraan untuk keterangan pihak plaintif namun setelah pihak-pihak berbincang, mereka telah mencapai kata sepakat untuk mengadakan perbincangan semua pihak hari ini. Alhamdulilah… hari ini kes diselesaikan cara baik dengan persetujuan bersama," katanya kepada pemberita selepas prosiding tertutup di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz.

Kalsom, 68, diwakili peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia dan Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018 dengan menamakan empat anak serta ibu mentuanya sebagai defendan.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pengawal peribadi Jamaludin iaitu Razakan Seran serta seorang wanita dikenali sebagai Aidana Baizieva. #sumber


Share:

Najib Gagal Dapat Kebenaran Teruskan Semakan Kehakimannya Untuk Menjalani Baki Hukuman Penjara Dalam Tahanan Rumah

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak gagal mendapat kebenaran untuk meneruskan semakan kehakimannya untuk dibenarkan menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak tindakan undang-undang Najib berhubung kewujudan perintah adendum yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Hakim Amarjeet Singh memutuskan semua afidavit yang mendakwa kewujudan titah addendum berkenaan hanyalah khabar angin semata-mata.

Mahkamah memutuskan afidavit daripada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail tidak menunjukkan pengetahuan secara langsung mengenai kewujudan perintah tambahan Lembaga Pengampunan itu.

Amarjeet berkata kedua-dua afidavit itu sebaliknya hanya memetik kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz (gambar atas) yang dikatakan mendakwa kewujudan titah addendum itu.

Hakim itu berkata Najib selaku pemohon semakan kehakiman tidak pernah cuba mendapatkan Zafrul untuk mengesahkan kewujudan titah addendum itu sejak awal lagi.

Amarjeet juga memutuskan dua afidavit Najib sendiri yang menyokong tindakan kebenaran semakan kehakiman hanya mengandungi 'kenyataan kosong tanpa menyebut sumber dan kepercayaannya tentang kewujudan perintah tambahan itu'.

"Saya dapati kedua-dua afidavit adalah, pada tahap tertinggi, khabar angin tulen," hakim mahkamah membuat keputusan sebelum menolak permohonan itu tanpa perintah mengenai kos.

Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah kemudian memaklumkan Amarjeet bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Peguam itu juga berkata pihaknya sedang mempertimbangkan untuk memfailkan tindakan undang-undang berasingan berhubung dakwaan titah tambahan diraja itu, iaitu dalam bentuk writ saman di mahkamah sivil.

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mewakili kerajaan persekutuan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Jun lalu membenarkan permohonan Najib untuk memasukkan dua afidavit tambahan dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkannya bagi mencabar kewujudan perintah adendum yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 agar bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Dua afidavit itu ialah sokongan diikrarkan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail serta ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Konvensyen 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor April lepas.

Najib, 70, memfailkan permohonan itu pada 1 April lepas dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara lain, bekas perdana menteri itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Jan 2024.

Najib juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta-merta dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan di rumah.

Dia kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. #sumber

Share:

Halidan Akhirnya Bersara Wajib, Selepas 30 Tahun Perjuangannya Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang

KUANTAN: Perjuangan selama 30 tahun, Datuk Halidan Md Daud, 66, dalam menerajui Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang akhirnya menemui titik noktah apabila dia bersara wajib pada 30 Jun lalu.

Dalam tempoh tersebut, pelbagai bakti telah dicurahkan bekas Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang itu dalam memperkasa dan meletakkan institusi berkenaan pada tahap seperti yang ada hari ini.

Daripada RM5.4 juta kutipan zakat harta dengan hanya 5,000 pembayar pada awal penubuhannya, kini PKZ Pahang mampu berbangga apabila kutipan zakat harta pada 2023 mencecah RM215 juta dengan hampir 99,000 pembayar.

Halidan berkata, PKZ Pahang bermula sebagai sebuah syarikat swasta yang ditubuhkannya bersama beberapa individu lain untuk menguruskan kutipan zakat harta di daerah Kuantan pada 1994.

Menurutnya, syarikat yang ditubuhkan itu mendapat kepercayaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memandangkan sistem kutipan berkomputer yang diperkenalkan ketika itu lebih sistematik.

"Pada tahun 1996, pihak MUIP mengambil alih syarikat itu sebagai anak anak syarikat dan memperluaskan kutipan zakat harta ke seluruh daerah secara berperingkat.

"Saya diberi amanah menerajui PKZ Pahang dengan hanya lapan kakitangan ketika itu dan banyak cabaran terpaksa dilalui untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kewajipan berzakat dan meyakinkan umat Islam terhadap peranan agensi ini," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, anak kelahiran Jerantut itu berkata, 10 tahun pertama penubuhan PKZ Pahang mengalami satu tempoh yang amat mencabar.

"Awalnya kami mendapat penolakkan daripada sesetengah anggota masyarakat yang tidak boleh menerima kaedah kutipan zakat yang dilaksanakan.

"Bagi mereka ketika itu, ibadah urusan dan tanggungjawab peribadi jadi mereka tidak suka apabila ada kakitangan PKZ mengadakan kempen dengan mengedarkan risalah di tempat umum dan dari rumah ke rumah," katanya.

Halidan berkata, antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan kejadian kakitangannya dimaki hamun dan diugut serta dihalau dengan parang oleh seorang individu sekiranya mengedar risalah kempen kutipan zakat ke rumahnya.

"Kejadian itu berlaku pada peringkat awal penubuhan cawangan PKZ Pahang di sebuah daerah di negeri ini.

"Bukan hanya itu, kami juga turut berdepan tekanan masyarakat mempersoalkan tentang agihan wang zakat malah ada tohmahan menuduh kami menyalahgunakan wang tersebut," ujarnya.

Menurutnya, salah faham itu timbul disebabkan kebanyakan masyarakat tidak faham dan tahap kesedaran terhadap kewajipan berzakat masih rendah.

"Mungkin bagi mereka ibadah adalah tanggungjawap peribadi dan tidak boleh menerima kaedah kutipan zakat yang dilaksanakan.

"Pada masa sama, mereka juga tidak nampak manfaat zakat memandangkan ketika itu jumlah kutipan rendah dan jumlah penerima juga agak kecil," ujarnya.

Halidan berkata, pengalamannya selama 13 tahun dalam sektor perbankan dengan jawatan terakhir sebagai pengurus cawangan memberi satu kelebihan kepadanya terutama berkaitan kewangan dan pemasaran untuk membawa PKZ Pahang sebagai sebuah agensi kutipan zakat yang diyakini.

"Alhamdulillah, perkhidmatan PKZ Pahang mendapat kepercayaan masyarakat Islam di negeri ini apabila jumlah kutipan dan bilangan pembayar meningkat setiap tahun.

"Masyarakat juga mula membuka mata dengan data-data kutipan dan agihan yang dilakukan sekaligus membuktikan PKZ Pahang satu badan yang kompeten dalam menguruskan kutipan zakat harta di negeri," katanya.

Halidan berkata, selain menerajui PKZ Pahang, dia juga diberi amanah dalam Pengurusan Wakaf Pahang oleh MUIP pada 2021.

Selepas 30 tahun berkhidmat, Halidan berkata dia lega apabila meninggalkan agensi itu dalam keadaan seperti mana hari ini.

Bagaimanapun katanya, jika diambil kira bilangan pembayar zakat di negeri ini tahun lalu, jumlahnya belum mencapai 50 peratus berbanding jumlah penduduk yang produktif.

"Masih banyak ruang boleh ditambah baik kerana ramai belum membayar zakat harta dan mereka adalah golongan sasar berpotensi yang perlu sentiasa didekati," katanya.

Menyentuh mengenai perancang selepas persaraannya, Halidan berkata, dia sudah ada perancangan dan akan menumpukan lebih perhatian kepada kerja-kerja kemasyarakatan termasuk kepada tugasnya sebagai Pengerusi Masjid Saidina Ali bin Abi Talib, Bukit Sekilau dan Pengerusi Jawatankuasa Rumah Anak Yatim Permata Camar. #sumber

Share:

PDRM Beri 50% Diskaun Saman Trafik Pada 5-7 Julai Sempena Program Madani Rakyat 2024 Di Kuantan

KUANTAN: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bakal menawarkan diskaun saman trafik sebanyak 50% pada 5 hingga 7 Julai 2024. Ia adalah sempena penganjuran Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur yang berlangsung di Dataran Sayangi Kuantan, Pahang. Di mana kaunter saman trafik berkenaan dibuka di tapak acara dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar.

Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

Jadi, jika anda berada di Kuantan atau kawasan sekitarnya pada tarikh berkenaan, jangan lupa ambil peluang. #sumber

Share:

Lapan Negara Akan Sertai Kejohanan Powerboat Royal Pahang F3000 Sempena Pesta Kuantan 188 Pada 2 Hingga 4 Ogos Ini

KUANTAN: Lapan buah negara akan berentap dalam Kejohanan Powerboat Royal Pahang F3000 yang bakal berlangsung di Sungai Kuantan, bermula 2 hingga 4 Ogos ini sempena Pesta Kuantan 188.

Kejohanan bakal disertai pemandu tempatan dan antarabangsa dari Brazil, New Zealand, Amerika Syarikat, Brunei, Singapura, Papua New Guinea, Australia selain Malaysia dengan dua kategori dipertandingkan iaitu 1.5 kilometer perlumbaan sirkit dan perlumbaan drag.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, acara berkenaan julung kali dianjurkan sempena pesta itu yang menjangkakan kehadiran lebih 100,000 pengunjung.

"Acara yang melibatkan peserta tempatan dan antarabangsa itu dijangka dapat menarik minat pelancong tempatan dan luar negara ke Pahang, secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negeri ini.

"Saya merasakan kejohanan ini juga akan menjadi tumpuan orang ramai yang ingin melihat acara ini dengan lebih dekat," katanya pada sidang media Pesta Kuantan 188 di sini hari ini.

Pesta Kuantan 188 diadakan sempena meraikan hari keputeraan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai dan isteri Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 5 Ogos.

Berlangsung di pekarangan Menara Kuantan, antara acara lain yang bakal menjadi tarikan termasuk persembahan konsert artis tempatan dan luar negara, perlumbaan K188 Fun Race dan pameran K188 Cars and Coffee yang menghimpunkan 110 buah kereta antik. #sumber

Share:

Jurutera Elektrik Maut, Kereta Langgar Besi Penghadang Jalan Berhampiran Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS)

KUANTAN: Seorang jurutera elektrik maut selepas kereta dipandunya terbabas melanggar besi penghadang jalan di Jalan Pintasan Gebeng berhampiran Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini pada Ahad.

Dalam nahas kira-kira jam 5.20 petang itu, mangsa, Mohamed Afendi Mohamed Fauzi, 40, beralamat dari Tok Sira di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva dipercayai dalam perjalanan dari arah Kemaman menghala ke bandar Kuantan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.

"Akibat kejadian, tersebut, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #sumber

Share:

Pemuda PAS Pahang Pemangkin PAS Teraju Pahang Tema Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pahang Kali Ke-42

TEMERLOH: ‘Pemuda PAS Pahang Pemangkin PAS Teraju Pahang’ merupakan tema yang dipilih untuk Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pahang kali ke-42, yang berlangsung di sini, hari ini.

Ketuanya, Ustaz Zarimi Abu Zih berkata, tema itu diangkat bagi memberi signal bersiap-siaga dan gesaan kepada pemuda untuk mempersiapkan segala kekuatan dengan kompetensi masing-masing.

Ia, ujarnya bagi merencana langkah kemenangan, menggerak muafakat dan perpaduan generasi muda dalam membentuk ketumbukan pemuda sebagai ‘catalyst’ (pemangkin) PAS Teraju Pahang.

“Muktamar ini juga adalah medan terbaik untuk kita bermuhasabah dan menambah baik gerak kerja khususnya gerak kerja kepemudaan baik di peringkat cawangan, kawasan dan negeri,” ujarnya semasa menyampaikan ucaptama.

Pemuda PAS Pahang, ujarnya berazam mempersiap dan menyediakan anak muda memenuhi enam kualiti dan kriteria.

Pertama, katanya memantap dan memperkasa usrah kerana usrah merupakan tulang belakang kepada perjuangan di samping mampu membentuk fikrah dan disiplin amilin.

“Kedua, sentiasa melazimi majlis ilmu dan menyibukkan diri dengan ibadah, solat berjemaah di masjid, membaca Al Mathurat, membaca Al Quran dan qiam di malam hari.

“Kita sebagai pejuang tidak lari daripada sebarang mehnah dan tribulasi, dengan ilmu dan pergantungan kepada-Nya, insya-Allah ia menjadi bekalan asas kepada kita dalam menguruskan ujian,” ujarnya.

Empat lagi kriteria lain digariskan beliau adalah aspek pengukuhan organisasi, kelangsungan momentum gerak kerja pilihan raya, memperhebat gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan serta melebar luas jajaran pendidikan di bawah seliaan Pemuda seperti PASTI, SRITI dan SMITI.

Muktamar yang berlangsung di Dewan Maahad Al Istiqamah itu dirasmikan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, PAS Pahang telah memenangani 15 kerusi di mana dua daripadanya terdiri daripada calon Pemuda iaitu ADN Pulau Manis, Rafiq Khan dan ADN Sungai Lembing, Ayub Ashri. #sumber

Share:

Anthony Loke: Nahas di Genting Highlands, Bas Persiaran Tamat Tempoh Permit Dan Lebihi Had Usia

PUTRAJAYA: Bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan maut di Bentong, Pahang pada Sabtu lalu didapati telah tamat tempoh permit pada 16 Februari lalu dan had usia bas berkenaan telah melebihi tempoh iaitu 15 tahun, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Sehubungan itu, beliau mengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengambil tindakan paling tegas terhadap syarikat pengendali terbabit kerana ketidakpatuhan undang-undang yang amat jelas sehingga menjejaskan imej negara kerana melibatkan kematian pelancong asing.

“Kita ambil tindakan bukan sahaja terhadap permit yang ada dalam syarikat tetapi di peringkat kementerian menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kita bercadang untuk mengambil tindakan di bawah Seksyen 42(2) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang jarang kita ‘invoke’ (memohon pendakwaan menggunakan) seksyen ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mengikut Seksyen 42(2) tersebut, seseorang pemegang lesen yang tidak mematuhi mana-mana syarat yang dikenakan pada lesen di bawah seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Dalam kejadian sekitar 10.35 pagi, bas persiaran yang membawa 21 penumpang, terbalik dan meragut dua nyawa pelancong lelaki warga China, selepas terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan di kawasan selekoh KM 16.6 Jalan Genting Highlands.

Bas berkenaan itu membawa 18 pelancong warga China, seorang pemandu pelancong dan dua pemandu sedang dalam perjalanan dari arah Genting Highlands turun ke bawah.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dikenali sebagai Zhang Ping, 58, dan Wang Suhong, 49.

Sementara itu, menurut Anthony, pihaknya akan menyiasat semua aspek termasuk dakwaan mengatakan bas tersebut menggunakan nombor kenderaan palsu.

Mengulas mengenai mesyuarat khas yang membabitkan kementeriannya bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam sehari dua ini, jelasnya, ia antara lain akan membincangkan beberapa perincian termasuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan.

“SOP kita ketat cuma isu ketidakpatuhan. Itu satu yang kita amat kesal sekali bahawa pengendali tidak patuh syarat, kita ada SOP bukan tidak SOP.

“Ada syarat jelas, kena buat pemeriksaan kenderaan, kena perbaharui permit, had usia kenderaan dan sebagainya tapi syarikat langgar semua, itu menjadi masalah kita ada pengendali yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, APAD hari ini mengeluarkan surat tunjuk sebab (STS) kepada syarikat bas persiaran tersebut bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian kemalangan itu.

Syarikat terbabit diberi tempoh tiga hari untuk menjawab surat berkenaan. #sumber

Share:

Orang Ramai Di Nasihatkan Tidak Terpedaya Dengan Akaun Media Sosial Palsu Tengku Hassanal

KUANTAN: Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan kewujudan akaun media sosial palsu yang menggunakan nama serta gambar Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan Tengku Mahkota Pahang hanya mempunyai satu akaun media sosial rasmi iaitu di platform Instagram dengan menggunakan nama @this.7.

“Sebarang akaun lain termasuk di Facebook, Instagram, TikTok atau Threads yang menggunakan nama dan gambar baginda adalah palsu,” menurut hantaran itu. #sumber

Share:

Dewan Ulamak PAS Pahang Pilih Ustaz Abdul Karim Nor Sebagai Tokoh Ulamak PAS Pahang

JERANTUT: Dewan Ulamak PAS Pahang telah memilih Ustaz Abdul Karim Nor sebagai Tokoh Ulamak PAS Pahang sempena Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang Kali Ke-34 di KIAS Temin, di sini kelmarin.

Penyampaian anugerah kepada bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Cameron Highlands itu telah disempurnakan oleh Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nushi Dato’ Mahfudz.

Ustaz Karim yang dilahirkan pada 6 Mei 1954 di Kampung Keledek, Kuala Lipis, mendapat pendidikan awal peringkat rendah dari tahun 1961 hingga 1966 sebelum menyambung di peringkat menengah rendah dari tahun 1967 hingga 1973

Beliau seterusnya menyambung pengajian di Kulliyatul Lughah Wad Din Sultan Abu Bakar, Pekan pada tahun 1974 dan Kolej Islam Klang pada 1975, sebelum pada tahun 1976 menyambung pengajian dalam bidang Usuluddin dan Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam kerjaya, Ustaz Abdul Karim pernah berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Khairiah Temerloh, SMA Simpang Pelangai Bentong, SMA Rompin, Kulliyatul Lughah Wad Din Sultan Abu Bakar Pekan dan bersara pada 2012 di SMA Al-Ma’idatud-Diniah Padang Tengku.

Atas jasa dan khidmat baktinya dalam bidang pendidikan, beliau pernah mendapat Anugerah Guru Cemerlang STAM 2005 dan Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Agama Islam Pahang pada 2007.

Pada 2008, beliau mendapat limpah perkenan Sultan Pahang yang menganugerahkan pingat Ahli Mahkota Pahang (A.M.P).

Kebersamaan tokoh ini dengan perjuangan PAS bermula menjadi ahli PAS di Cawangan Bandar Baru Pekan pada Februari 1997 di mana beliau diberi kepercayaan sebagai Naib Ketua Cawangan dari tahun 1997 hingga 2009.

Dari tahun 2001 hingga 2009, beliau diamanahkan sebagai Ketua Urusan Ulamak Kawasan Pekan dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak Negeri Pahang.

Setelah berpindah ke Kawasan Cameron Highland, Ustaz Karim diberi kepercayaan memegang jawatan Ketua Urusan Ulamak Kawasan Cameron Highlands (2009-2011) dan seterusnya sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Cameron Highlands dari tahun 2011 hingga 2023.

Beliau turut diberi kepercayaan mewakili PAS sebagai calon dalam dalam PRU tahun 2013 dan 2018 di kawasan Dewan Undangan Negeri N.02 Jelai.

Hasil perkongsian hidup bersama al-marhumah Ustazah Selamah Mat Asit dan Ustazah Salmiah Mohammed, mereka dianugerahkan 5 cahaya mata dan 7 cucu.

Isteri pertama dinikahinya pada 1979 dan meninggal dunia pada 2007, manakala isteri kedua dikahwini pada 2008 dan kekal hidup bersama hingga ke hari ini dan Ustazah Salmiah sekarang memegang jawatan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kawasan Cameron Highland.

Kini dalam usia yang sudah menjengah 70-an, Ustaz Karim masih aktif dalam kegiatan dakwah dan kerja-kerja jamaah. #sumber

Share:

Laluan Jalan Batang Kali Ke Genting Di Buka Semula Bermula Jam 3 Petang Esok


KUALA LUMPUR: Laluan B66 Jalan Batang Kali menuju ke Genting yang ditutup susulan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm hampir dua tahun lepas akan dibuka semula, esok.

JKR Hulu Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengguna jalan raya boleh melalui laluan berkenaan bermula 3 petang.

Kenyataan itu juga menyebut kerja turapan di laluan itu telah dijalankan pada 27 hingga 29 Mei lepas.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi pihak JKR Hulu Selangor di talian 03-60641046, 03-60641058, 03-60641058 dan 03-60641073.

Sebelum ini Jalan Batang Kali-Genting Highlands ditutup bagi membolehkan kerja-kerja membaiki cerun dan jalan di kawasan insiden tanah runtuh berkenaan.

Tragedi tanah runtuh pada 16 Dis 2022 itu mengorbankan 31 nyawa. #sumber

Share:

Insiden Bas Terbalik Di Genting Highlands, Lesen Syarikat Pelancongan Di Gantung Sementara

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggantung sementara lesen syarikat pelancongan yang terlibat dalam insiden bas membawa pelancong China terbalik di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands pada Sabtu.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, lesen operasi tersebut digantung sementara sehingga siasatan menyeluruh kejadian yang mengorbankan dua nyawa itu selesai.

Menurutnya, satu mesyuarat khas membabitkan kementeriannya bersama Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diadakan pada 2 Julai ini bagi tujuan tersebut.

"Saya telah meminta siasatan sepenuhnya dijalankan dari segi syarikat pelancongan yang difahamkan melantik pihak ketiga.

"Saya juga menerima aduan daripada pelancong mengenai bas disediakan tidak sesuai digunakan apabila bas ditukar sebanyak tiga kali sepanjang enam hari lima malam bercuti.

"Ini membuktikan bas tidak diselenggara dengan baik, menghadapi masalah tiada pendingin hawa dan berbunyi," katanya selepas melawat lapan mangsa yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada Ahad.

Kesemua mangsa yang menerima rawatan berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pemeriksaan lanjut sehingga dibenarkan keluar.

Turut hadir, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Katanya, pihaknya memohon maaf susulan insiden tersebut dan tidak teragak-agak untuk menarik lesen syarikat pelancongan itu jika didapati bersalah.

Ujarnya, setakat ini pemandu bas berkenaan telah ditahan reman bagi membantu siasatan.

"Keselamatan pelancong adalah keutamaan kami disebabkan itu kementerian sering mengingatkan syarikat pelancongan memberikan kerjasama melakukan langkah perlu bagi tujuan itu.

"Jangan ambil mudah nyawa pelancong semata-mata untuk mendapat untung dalam bisnes," katanya.

Pada masa sama katanya, JPJ digesa kuat kuasa pemantauan ketat terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perkhidmatan bas pelancongan bagi mengelak insiden sama berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memaklumkan, pemandu bas berusia 32 tahun ditahan reman selama empat hari bermula Ahad bagi membantu siasatan.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan bas membawa 21 penumpang terdiri 18 pelancong China serta tiga warga tempatan termasuk pemandu bas, pembantu dan pemandu pelancong terbalik.

Bas terbabit terbabas melanggar tembok tengah pembahagi jalan sebelum terbalik.

Akibat kejadian, dua penumpang warga China, Wang Shuhong, 49, dan Zhang Ping, 58 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala 13 yang lain mengalami cedera.

Lapan mangsa menerima rawatan di HKL dan baki menerima rawatan di Hospital Bentong. #sumber

Share:

Kemalangan: Pemandu Lamborghini Maut Terbakar Di KM 57.1 Lebuhraya Karak Arah Timur

BENTONG: Seorang lelaki maut selepas kereta mewah Lamborghini yang dipandunya terbakar di KM 57.1 Lebuhraya Karak Arah Timur di sini pada Ahad.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 9.06 pagi.

Menurutnya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Terdapat kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Lamborghini yang telah terbabas dengan peraturan kebakaran kira-kira 100 peratus.

"Seorang lelaki dewasa iaitu pemandu tersepit di dalam kereta manakala satu perempuan dewasa iaitu penumpang kereta telah dikeluarkan dan dibawa ke hospital oleh orang awam," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera selain mengeluarkan mangsa.

Katanya, pemandu yang tersepit disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. #sumber

Share:

Fuziah Salleh: Kerajaan Memberi Jaminan Tiada Kenaikan Harga Gula Di Pasaran Setakat Ini

NIBONG TEBAL: Kerajaan memberi jaminan bahawa tiada kenaikan harga gula di pasaran setakat ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Beliau menegaskan setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat di peringkat Kabinet untuk menaikkan harga gula, malah perkara itu juga sudah banyak kali diperjelas di Parlimen sebelum ini.

Fuziah menjelaskan bahawa spekulasi mengenai kenaikan harga gula itu timbul pada April lepas, susulan aduan daripada pihak industri yang memohon kerajaan untuk menaikkan harga gula selepas mendakwa mengalami kerugian sebanyak 88 sen bagi setiap kilogram gula yang dikeluarkan.

"Tetapi, apa yang kita buat adalah kerajaan beri insentif RM42 juta sebulan kepada syarikat-syarikat ini untuk menstabilkan harga bekalan.

"Ini kerana kita tidak mahu nanti mereka rugi dan selepas itu tidak lagi keluarkan gula.

"Jadi kita bagi insentif supaya mereka keluarkan juga gula biarpun dalam keadaan mereka mengalami kerugian," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Hari Terbuka MySubsidi Diesel SKDS 2.0 (Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi) Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata spekulasi tersebut ditimbulkan berikutan kerajaan pada masa itu tidak menetapkan berapa lama tempoh pemberian insentif berkenaan, namun ia masih diteruskan hingga ke hari ini.

April lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan kerajaan akan membuat keputusan berhubung mekanisme menstabilkan bekalan gula termasuk harga bahan pemanis itu pada suku kedua tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata kerajaan sedang menilai mekanisme, antaranya melibatkan cadangan simpanan stok gula, pemberian subsidi atau menaikkan harga kawalan daripada RM2.85 sekilogram pada masa ini. #sumber

Share:

Akaun Media Sosial Rasmi Pejabat Sultan Pahang Hanya Di Bawah Nama ‘Kesultanan Pahang’

KUANTAN: Istana Pahang baru-baru ini memaklumkan akaun media sosial rasmi pejabat Sultan Pahang hanyalah di bawah nama Kesultanan Pahang.

Istana Pahang menerusi hantaran di Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube Kesultanan Pahang menyatakan bahawa pihaknya mengambil maklum atas beberapa aduan dan rungutan netizen mengenai kewujudan akaun media sosial menggunakan nama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sejak akhir-akhir ini.

“Dimaklumkan bahawa semua akaun berkenaan adalah palsu. Untuk makluman, pentadbiran ini hanya mempunyai akaun rasmi yang sah menggunakan nama Kesultanan Pahang di Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, termasuk portal rasmi yang boleh dilayari di istanapahang.my,” menurut hantaran tersebut.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan kewujudan akaun-akaun berkenaan di platform Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube. #sumber


Share:

Pemandu Bas Persiaran Terbabit Kemalangan Maut Di Jalan Genting Highlands Di Tahan Polis

BENTONG: Polis hari ini menahan pemandu bas persiaran yang terbalik dalam kejadian kemalangan maut di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands di sini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, penahanan terhadap lelaki berusia 32 tahun itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut.

“Tahanan reman telah diperolehi selama empat hari bermula hari ini terhadap pemandu dalam kejadian ini,”katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian kemalangan semalam dua pelancong warganegara China iaitu Zhang Ping, 58, dan Wan Shuhong, 49, maut selepas bas dinaiki mereka terbabas dan melanggar tembok tengah pembahagi jalan di Kilometer 16.5 Jalan turun Genting Highlands.

Seramai 21 mangsa terlibat dalam kemalangan itu melibatkan 18 penumpang warganegara asing dan tiga warganegara tempatan yang terdiri daripada pemandu bas, pembantu dan seorang pemandu pelancong,.

Dalam pada itu Zaiham berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati pemandu bas pesiaran yang terbalik dalam kejadian kemalangan maut itu tidak mempunyai lesen memandu.

Selain itu katanya, pemandu itu juga didapati mempunyai 27 saman lampau yang melibatkan pelbagai jenis kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu. #sumber

Share:

Persiden UMNO Umum BN Akan Berkerjasama Dengan PH Hadapi Pilihan Raya Umum Ke-16

MARAN: Barisan Nasional (BN) akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, beliau berkata, BN dan PH akan masing-masing bertanding menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya itu nanti.

"Insya-Allah, PRU akan datang kita menggunakan lambang BN. Ini bukan bererti kita lari daripada kesepakatan Kerajaan Perpaduan.

"Maksudnya, PH boleh bertanding menggunakan lambang PH, dan kita bertanding dengan lambang kita tetapi dari segi kerjasama, kita jalinkan.

"Asalkan kawasan yang kita bertanding itu tidak ditandingi mereka, dan kita tidak bertanding di kawasan yang mereka bertanding itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Maran, Pekan Tajau, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya pula berkata, sejak parti berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama PH, belum ada agenda Islam yang diketepikan.

"Saya yang bertanggungjawab menakhodai UMNO (dan) saya akan memastikan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan ini mengikut semua perkara yang termaktub dalam Perlembagaan, menjaga soal Islam, soal Melayu, tidak ada lebih dan tidak ada kurang, noktah. Itulah keyakinan diri kita," katanya.

Mengulas status Parti Progresif Penduduk (MyPPP) yang berasa diketepikan sehingga membuat keputusan tidak turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pula, Ahmad Zahid berkata, ia masih antara parti gabungan dalam 'Friends of BN.'

"Kita mengalu-alukan semua... setiap pemimpin parti dialu-alukan untuk mengambil bahagian dan menyumbang usaha. Sekarang ada 11 'Friends of BN' sebagai parti gabungan dalam BN, kita samakan semua. Mereka masih sebahagian daripada 'Friends of BN.'

"Parti komponen empat saja, iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) sebab perlembagaan BN memaktubkan keputusan untuk menerima mana-mana parti, mesti konsensus 100 peratus... jika ada parti tidak bersetuju, maka kita tidak akan menerima," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan MyPPP membuat keputusan tidak turun berkempen pada PRK DUN Sungai Bakap meskipun sudah turun membantu BN pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor.

Pemangku Presiden MyPPP, Datuk Loga Bala Mohan, dipetik berkata keputusan itu dibuat demi maruah parti berikutan pihaknya berasa diketepikan selepas bertungkus lumus membantu BN pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada Mei lalu. #sumber

Share:

Seorang Pelajar Perempuan Maut, Kereta Di Pandu Kakak Terbabas Melanggar Pokok Di Kuantan

KUANTAN: Seorang pelajar perempuan maut selepas kereta dinaiki terbabas melanggar pokok di Batu 11, Jalan Kuantan-Maran berhampiran Perumahan Seri Mahkota di sini pada awal pagi Sabtu.

Dalam nahas jam 3.30 pagi itu, mangsa, Siti Noorbaiti Mohd Yusoff, 20, beralamat dari Taman Alamanda, Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu kereta, Noor Faseha Mohd Yusoff, 25, pula dilaporkan cedera.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta jenis Proton Saga BLM dinaiki dua beradik itu dipercayai dalam.perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kemaman.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar pokok di bahu jalan.

"Akibat kejadian, mangsa yang berada di kerusi penumpang hadapan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, pemandu kereta yang cedera di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk menerima rawatan dan dirawat di zon kuning.

"Kemalangan meragut nyawa pelajar perempuan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya. #sumber

Share:

Kumpulan Baju Hitam Berhimpun Di Putrajaya Desak PM Anwar Tunaikan Lapan Tuntutan Mereka

PUTRAJAYA: Kira-kira 200 peserta berhimpun di kawasan letak kenderaan pekarangan Kompleks Seri Perdana di sini, menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan lapan tuntutan mereka.

Kumpulan berbaju hitam menerusi perhimpunan Demo Rakyat Lawan Anwar itu mendesak Perdana Menteri menurunkan kembali harga diesel dan tidak menaikkan harga petrol.

Mereka juga menuntut supaya kerajaan pimpinan Anwar mengembalikan bekalan beras putih tempatan dan membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selain itu, tuntutan lain yang disuarakan mereka ialah menurunkan kos sara hidup, membela nasib kakitangan kesihatan awam, peruntukan sama rata untuk wakil rakyat, menjamin hak kebebasan bersuara dan menghentikan dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta menjarah aset negara.

Peserta perhimpunan itu juga membawa sepanduk tertera tuntutan yang diminta mereka selain menyanyi mengucapkan terima kasih kepada polis.

Perhimpunan itu bermula pada jam 4 petang dijangka selesai pada jam 7 petang.

Terdahulu, pekarangan Kompleks Seri Perdana di sini, dikawal ketat anggota dan pegawai polis susulan perhimpunan berkenaan.

Malah, laluan masuk ke kediaman rasmi Perdana Menteri serta kawasan sekitarnya dipasang penghadang selepas Ketua Polis Kuala Lumpur menyatakan perhimpunan berkenaan tidak mendapat kebenaran Perbadanan Putrajaya selaku pemilik tanah.

Media sebelum ini melaporkan perhimpunan dinamakan 'Demo Rakyat Lawan Anwar', tidak mendapat kebenaran Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku pemilik lokasi berhimpun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata polis sudah menasihatkan penganjur tidak meneruskan perhimpunan dijadualkan di tempat letak kereta awam berhadapan Kompleks Seri Perdana, pada jam 4 petang itu kerana tidak mendapat kebenaran pemilik tanah.

Bagaimanapun, penganjur perhimpunan itu akan tetap meneruskannya, meskipun pihak Perbadanan Putrajaya, tidak memberi keizinan untuk berhimpun.

Penganjur yang juga Ketua Penggerak Demi Negara, Aidil Yunus berkata, pihaknya merasakan mereka berhak untuk berhimpun dan tidak menyalahi peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012. #sumber

Share:

Polis Bentong Sahkan Pemandu Bas Persiaran Yang Terbalik Di Genting Highland Tiada Lesen

KUANTAN: Polis mengesahkan pemandu bas persiaran terlibat kemalangan di Genting Highland tengahari tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, semakan lanjut terhadap pemandu berusia 32 tahun itu juga mendapati dia mempunyai 27 saman lampau atas pelbagai kesalahan trafik.

Dalam kenyataannya, beliau memberitahu, nahas berlaku ketika bas tersebut dalam perjalanan turun daripada pusat peranginan itu terbabas dan melanggar tembok tengah pembahagi jalan di lokasi terbabit.

“Maklumat awal polis mendapati seramai 21 mangsa terlibat termasuk pemandu bas itu. Seramai 18 penumpang warga asing terlibat bersama tiga warga tempatan dan kesemua mereka berjaya dibawa keluar dari bas,” katanya.

Zaiham memberitahu, seramai 13 mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala enam yang lain dibawa ke Hospital Bentong untuk diberi rawatan lanjut.

Dalam nahas itu, katanya dua lelaki warganegara China yang dilaporkan terkorban iaitu Zhang Ping, 58 dan  Wang Shuhong, 49, telah dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, Zaiham menyeru mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan. #sumber

Share:

Dua Maut, 19 Cedera, Bas Persiaran Terbabas Lalu Terbalik Dekat Genting Higlands Pagi Tadi


BENTONG: Dua penumpang maut manakala 19 lagi cedera selepas bas persiaran dinaiki terbabas lalu terbalik di Kilometer 16.5, jalan turun dari Genting Highlands,  pagi tadi.

Dua daripada mangsa dilapor tersepit di dalam bas namun disahkan meninggal dunia.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.43 pagi.

Sepasukan bomba dan penyelamat dari BBP Bentong, BBP Genting Highlands dan Unit Kebakaran Genting dikejarkan ke lokasi.

Sejurus tiba, didapati dua penumpang tersepit di dalam bas manakala 19 orang mangsa dibawa keluar dari bas.

Pemeriksaan mendapati bas persiaran tersebut membawa 11 penumpang lelaki dan tujuh wanita warga China.

Manakala tiga lagi mangsa adalah pemandu dan dua pemandu pelancong warga tempatan.

Mayat dua penumpang tersebut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Identiti mangsa belum dikenal pasti.P unca sebenar kejadian masih dalam siasatan. #sumber


Share:

Hari Terbuka MySubsidi Diesel 2.0 KPDN Pahang Dapat Sambutan Daripada Pengusaha Syarikat Pengangkutan

KUANTAN: Ratusan pengusaha syarikat pengangkutan tidak melepaskan peluang bersemuka dengan kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pahang sempena Hari Terbuka MySubsidi Diesel 2.0, di sini semalam.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, masih ramai yang mahu mendapatkan bantuan semakan permohonan dan khidmat nasihat berkaitan tatacara permohonan subsidi diesel sejak pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi dan pelarasan harga baharu diesel bermula pada 10 Jun lalu.

“Ada pelbagai soalan yang diajukan pengunjung hari ini yang kita cuba bantu. Contohnya, kenapa ada sesetengah permohonan bertindih, nombor pendaftaran kenderaan yang didaftar tersilap, dan sebagainya.

“Jadi, kita akan bantu dan memberi khidmat nasihat. Hari ini juga didapati hampir 100 orang yang baru mendaftar,” katanya kepada media ketika ditemui.

Salah seorang pengusaha, Ramesh A/L Doraraju, 39, memberitahu, dia hadir ke program tersebut setelah dimaklumkan tidak layak untuk membuat permohonan subsidi diesel secara atas talian.

Dia mempunyai empat buah lori bersaiz lima tan dan telah terlibat dalam sektor pengangkutan hasil pertanian sejak tujuh tahun lalu.

“Sebagai pengusaha kecil kenderaan lori, kategori lori saya ni tidak layak dapat subsidi. Jadi, saya nak tahu kenapa tak layak untuk dapat subsidi tu sebab kalau boleh kita nak buat rayuan.

“Tapi program ni memang baguslah untuk rakyat. Kita nak tahu akan datang bagaimana (pelaksanaan), sebab ni baru nak mula kan,” katanya.

Selain KPDN, turut terlibat dalam program hari ini adalah syarikat-syarikat minyak yang membantu menguruskan dan memberi penjelasan berkaitan permohonan kad fleet minyak.

Menurut Mageswaran a/l Mannarkrishnan, 44 yang mempunyai sebuah lori perdagangan, kehadiran wakil syarikat minyak pada program ini juga amat membantunya.

“Saya datang untuk buat ‘fleet card’ untuk lori saya. Sebelum ni buat atas talian, tapi tak lepas dan tak dapat penjelasan. Jadi saya datang sini buat permohonan dan lulus segera untuk buat ‘fleet card’. Saya cuma kena tunggu dalam 14 hari sebelum dapat kad tu,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, permohonan SKDS menunjukkan peningkatan kadar harian yang tinggi setelah pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi dan pelarasan harga baharu diesel.

Tambahnya, KPDN menjangkakan permohonan akan terus meningkat khususnya sehingga 30 Jun ini selaras dengan tarikh akhir pembayaran semula secara tunai kepada penerima SKDS yang masih belum menerima fleet card. #sumber

Share:

RISDA Kenal Pasti 2,000 Hektar Kebun Getah Terbiar Di Pahang Untuk Di Pulihkan Julai Tahun Ini

MARAN: Pihak Berkuasa Kemajuan Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Pahang mengenal pasti 2,000 hektar kebun getah terbiar milik pekebun kecil terbiar di negeri Pahang, untuk dipulihkan pada Julai tahun ini.

Pengarah RISDA Pahang, Muhamad Rizal Ahmad berkata, jumlah yang disasarkan itu adalah daripada keseluruhan 170,000 hektar kebun getah yang masih beroperasi di seluruh negeri itu.

"Setakat ini kita kenal pasti 2000 hektar yang kita cuba pulihkan. Dari segi kaedahnya, program getah terbiar kita bagi bantuan baja, kita juga bagi set alat torehan dan akhirnya memberi manfaat pembersihan kawasan kebun", katanya kepada pemberita selepas Program Pekebun Risda Pekebun kecil Makmur di Kampung Sungai Ling, Maran, Pahang.

Katanya, pelbagai faktor kebun getah terbiar dan tidak ditoreh, antaranya pekebun yang sudah berusia, meninggal dunia dan pemilik telah  berpindah ke kawasan lain.

RISDA Pahang sudah mengenal pasti kebun getah terbiar itu dan projek mengaktifkan semua pengeluarannya akan bermula Julai ini dengan kerjasama pemilik dan waris.

Menurutnya, pekebun menerima bantuan input pertanian seperti peralatan menoreh, baja dan sebagainya menerusi program getah matang itu.

Tambah beliau, pekebun getah yang tidak termasuk dalam senarai pemulihan kebun digalakkan menyertai program itu berikutan harga komoditi itu kini mencecah RM4.30 sekilogram.

RISDA Pahang bertekad usaha pemulihan kebun getah terbiar ini dapat dilaksanakan dengan cekap dan berterusan tanpa ada halangan untuk mengembalikan getah sebagai produk utama negara.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan RISDA bagi memulihkan kebun getah terbiar itu sekali gus meningkat sosioekonomi rakyat di luar bandar. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.