script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Tengku Ampuan Pahang Tegur Netizen, 'Tolong Respek Suami Saya Raja Saya' !

KUANTAN: Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menitahkan seorang pengguna media sosial menghormati Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Komen itu dibuat untuk pengguna media sosial yang menggunakan akaun  ’samdoria’ yang dilihat memberi komen ”Respect lagi Tan Sri Muhyiddin” semalam.

”Tolong respek (respect) suami saya raja saya,” titah Tengku Ampuan Pahang ketika membalas komen berkenaan.

Manakala seorang pengguna sosial Huzaimi Ibrahim turut membalas hantaran itu kepada baginda.

”Menjunjung titah Tuanku, Daulat Tuanku,” kata Huzaimi di tangkapan skrin sosial media berkenaan.

Komen berkenaan dilihat di dalam hantaran Facebook Wan Rosdy bin Wan Ismail yang sebelum itu menzahirkan kecewa dan terkilan dengan ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Neggiri baru-baru ini.

Sebelum ini, tular ucapan Muhyiddin ketika berkempen di DUN Nenggiri yang mendakwa beliau sudah mendapat 115 sokongan ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sokongan yang peroleh itu membolehkan beliau diangkat sebagai perdana menteri namun tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.

Ceramah oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu didakwa secara sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R merujuk raja, agama dan kaum dalam kempen politik.

Susulan itu pada Menteri Besar Pahang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang didakwa biadab ke atas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi kenyataannya pada semalam.

Naib Presiden UMNO berkata, tindakan terhadap Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu penting sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua pihak. #malaysiagazette

Share:

Gara-Gara Kereta Elak Lubang Jalan, Warga Asing Bangladesh Dan Anak Tirinya Maut Di Jerantut

JERANTUT: Seorang pekerja kilang dan anak tirinya maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di KM 6 Jalan Kampung Pulau Mansok-Jerantut, berhampiran Sekolah Kebangsaan Pulau Mansok, Jerantut dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Zukri Muhammad berkata dalam kemalangan sekitar 6.30 pagi itu, warga Bangladesh Mohammad Adam, 39, dan Muhamad Faiq Aqwa Abdullah, 9, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Mohammad Adam yang menunggang motosikal jenis Honda dalam perjalanan menghantar anak tirinya ke Sekolah Kebangsaan Perian, manakala pemandu kereta Perodua Axia sedang menghala ke arah Batu Embun.

"Di lokasi kejadian, mangsa cuba mengelak lubang di kiri jalan sehingga masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat pelanggaran itu, kereta dipandu seorang wanita berusia 41 tahun bersama anak lelakinya berumur lima tahun telah terbabas ke sebelah kanan dan terjatuh ke dalam gaung, namun kedua-dua mereka hanya mengalami cedera ringan.

Zukri berkata mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat dan pihaknya akan menghubungi kedutaan Bangladesh untuk pengesahan pasport serta kewarganegaraan Mohammad Adam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #astroawani

Share:

Wan Rosdy: Tan Sri Muhyiddin Tak Patut Heret Al-Sultan Abdullah Untuk Raih Undi Pilihan Raya

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang didakwa biadab ke atas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau kecewa dengan ucapan Muhyiddin yang didakwa menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Tegasnya, Muhyiddin tidak sepatutnya mengheret institusi diraja dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri untuk meraih undi dan mengaburi rakyat tentang apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Saya yakin dan percaya, rakyat juga telah mengetahui dan bersetuju bagaimana kewibawaan Ke bawah Duli Paduka Baginda Tuanku berjaya menghentikan kemelut politik negara daripada terus berpanjangan dengan menubuhkan Kerajaan Perpaduan, di mana Pas dan Bersatu telah menolak titah Tuanku ini.

“Oleh itu, saya meminta pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Tan Sri Muhyiddin yang secara sengaja mencetuskan suasana yang tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R (kaum, agama, institusi diraja) dalam kempen politiknya, agar ia menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua pihak,” kata beliau dalam kenyataan.

Wan Rosdy berkata, rakyat perlu terus menghormati institusi diraja yang merupakan lambang kedaulatan dan kestabilan negara serta simbol penyatuan dan pelindung rakyat.

Sebelum ini tular ucapan Muhyiddin ketika berkempen di DUN Nenggiri yang mendakwa beliau sudah mendapat 115 sokongan ahli Dewan Rakyat selepas PRU 15.

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, sokongan yang peroleh itu membolehkan beliau diangkat sebagai perdana menteri namun tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.

“Saya dapat 115. Kalau ikut kiraan Perlembahaan saya sudah ada jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk jadi perdana menteri. Ini bukan untuk mengungkit tetapi ia sebagai rekod atau sejarah.

“Tapi entah macam-mana Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu tak ajak jemput saya pergi istana angkat sumpah. Siapa Agong dulu. Pahanglah ya,” kata Muhyiddin.#malaysiagazette

Share:

MOT Sedia Bantu Kerajaan Pahang Realisasi Bina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan (KIA)

 

KUANTAN: Kementerian Pengangkutan (MOT) bersedia membantu kerajaan Pahang merealisasikan rancangan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan (KIA), kata Menterinya, Anthony Loke.

Beliau, bagaimanapun berkata, setakat ini, pihaknya masih lagi belum menerima sebarang permohonan Lesen Pengendali Aerodrom daripada pemaju projek, iaitu aspek penting yang perlu ada sebelum meneruskan pembangunan lapangan terbang berkenaan.

Beliau berkata, sebaik permohonan lesen tersebut diterima, kementerian akan melakukan kajian dari segi trafik sama ada lokasi yang bakal dibangunkan itu bersesuaian atau sebaliknya, kerana ia merupakan sebahagian daripada Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP).

"Projek ini ialah projek pelaburan swasta. Ini bukannya projek di bawah Kementerian Pengangkutan. Kita boleh memudah cara. Apa yang diperlukan ialah mereka mendapat kelulusan daripada Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN).

"Selepas itu, mana-mana syarikat atau pemaju projek tersebut perlu memohon lesen aerodrom daripada MOT. Itu ialah proses biasa yang terpakai kepada semua pihak. Setakat ini, saya difahamkan mereka (pemaju) masih dalam proses memohon lesen tersebut, kalau ada permohonan, tentu kementerian akan proses," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan projek pembinaan KIA selepas hadir Persidangan Antarabangsa Pelabuhan Kuantan 2024 sempena Ulang Tahun ke-50 Pelabuhan Kuantan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, di sini, semalam.

Projek itu yang sepatutnya bermula tahun lepas dan dijangka beroperasi pada 2026, masih belum lagi memulakan pembinaannya setakat ini.

Loke berkata, hasrat kerajaan Pahang untuk membina lapangan terbang tersebut difahami memandangkan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di sini, di kawasan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekali gus mewujudkan kekangan.

"Kerajaan Pahang sudah lama lama menyatakan hasrat ingin melihat satu (lagi) lapangan terbang penerbangan awam secara khusus. Ia banyak kekangan sebab berkongsi dengan landasan Tentera Udara.

"Jadi untuk jangka masa panjang, sekiranya dibangunkan satu lapangan terbang khusus untuk penerbangan awam, memanglah satu yang baik dan membawa kemajuan kepada Pahang kerana ia akan menjadi laluan kepada Pantai Timur," katanya.

Rancangan pembinaan lapangan terbang itu, diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Oktober 2021, yang semasa itu memaklumkan secara dasarnya ia telah dipersetujui MPFN dengan kerajaan negeri diminta membuat kajian mendalam berhubung projek itu.

Pada 6 Julai 2022, Wan Rosdy berkata, pembinaan lapangan terbang dengan kos RM2 bilion itu akan menjadi sebahagian daripada rancangan pembangunan bercampur bandar aeroangkasa di Gebeng di sini, membabitkan kawasan seluas 5,042 hektar yang disifatkan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Pahang. #astroawani

Share:

Suri Rumah Ditemui Mati Dengan Kesan Jerut Di Rumahnya Di Indera Mahkota Petang Semalam

KUANTAN: Seorang suri rumah ditemukan meninggal dunia di dalam bilik tidur di rumahnya di Indera Mahkota di sini oleh suaminya petang semalam.

Dalam kenyataannya, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat wanita berusia 28 tahun itu ditemukan pada pukul 7.30 malam.

“Bagaimanapun, petang itu pengadu telah dihubungi suami kepada simati memberitahu bahawa simati telah ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik tidur bahagian tengah rumah mereka, oleh bapanya yang berusia 62 tahun pada pukul 3.25 petang setelah mangsa gagal dihubungi.” katanya.

“Kali terakhir pengadu (bapa mangsa) menghubungi simati pada kira-kira pukul 8.30 pagi hari yang sama melalui pesanan di aplikasi WhatsApp.

“Bagaimanapun, petang itu pengadu telah dihubungi suami kepada simati memberitahu bahawa simati telah ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik tidur bahagian tengah rumah mereka,” katanya.

Wan Mohd Zahari juga memaklumkan siasatan mendapati terdapat kesan jerutan pada leher si mati.

Hasil siasatan awal pihak polis mendapati mangsa tinggal di rumah itu bersama suaminya yang merupakan warganegara China, seorang anak serta adik ipar perempuan berusia lapan tahun.

Mayat mangsa kemudian telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

“Susulan penemuan mayat wanita itu, polis telah menahan empat ahli keluarga termasuk suami, bapanya, bapa dan ibu mentuanya berusia 27 hingga 62 tahun untuk siasatan lanjut,” tambahnya.

Menurut Wan Mohd Zahari, kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.  #MalaysiaGazette

Share:

Lelaki OKU Di Khuatiri Lemas Di Sungai Pahang Dekat Kampung Kiambang, Ganchong, Pekan

KUANTAN: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dikhuatiri lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Kiambang, Ganchong, Pekan semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa, Mahadir Abd Hamid, 49, dikatakan hilang pada jam 9 pagi.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.02 malam tadi dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Terdahulu, polis bersama penduduk kampung mengadakan operasi mencari sebaik mangsa dilaporkan hilang.

"Polis meminta bantuan bomba untuk operasi mencari dan menyelamat selepas menemukan selipar milik mangsa di kawasan sungai itu.

"Pasukan bomba menjalankan operasi pencarian di kawasan tebing sungai sebelum ditangguhkan pada jam 12.13 tengah malam tadi," katanya.

Zulfadli berkata, operasi pencarian bersambung pagi ini. #harianmetro

Share:

Bekas Majistret Di Lipis Dan Raub Merayu Mahkamah Ketepikan Sabitan, Hukuman Kes Rasuah

KUANTAN: Seorang bekas majistret yang didapati bersalah dua tahun lepas atas tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang peniaga memfailkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukumannya.

Pada 2022, Mahkamah Sesyen Kuantan mendapati Amin Shahul Hamid, 43, bersalah atas enam tuduhan meminta dan menerima rasuah.

Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Zamzani Zain kemudian menjatuhkan hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta, yang jika gagal dibayar, akan dikenakan hukuman penjara tambahan selama 72 bulan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh menjalani semua hukuman penjara serentak, iaitu 12 tahun bermula tarikh sabitan.

Hari ini, RSN Rayer yang mewakili Amin selaku peguam mengemukakan rayuannya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan YA Datuk Mohd Radzi bin Harun, lapor Utusan Malaysia.

Rayer memohon hakim mempertimbangkan rayuan agar anak guamnya dilepas dan dibebaskan daripada semua tuduhan dihadapinya.

Hakim menetapkan 27 Nov untuk keputusan rayuan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Rifah Izzati Abdul Mutalif.

Pada Mac 2022, Amin yang juga bekas majistret di Lipis dan Raub, dibenarkan penangguhan pelaksanaan hukumannya sementara menunggu rayuan. Jaminannya dinaikkan dan dia diperintahkan menyerahkan pasport.

Amin didakwa meminta rasuah berjumlah RM100,000 dan menerima RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo di Lipis antara 5 Julai dan 22 Okt 2019.

Suapan itu dikatakan sebagai dorongan supaya tertuduh tidak mendenda dan memenjarakan Hassan Basri, yang ketika itu berdepan tuduhan memiliki rokok seludup.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. #freemalaysiatoday

Share:

Tengku Mahkota Pahang Minta Siasat Secara Telus Tanpa Kompromi Kegiatan ‘e-Waste’ Haram

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah meminta siasatan dibuat secara telus dan tanpa kompromi berhubung kegiatan memproses sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram.

Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan siasatan jenayah pengubahan wang haram atas kejayaan menumpaskan kes berkenaan, khususnya di Salong, Pekan, dan Bukit Ibam di Muadzam Shah.

Menerusi kenyataan media, Tengku Hassanal memberikan sokongan penuh kepada polis untuk mempergiatkan operasi membanteras aktiviti haram.

Baginda meminta agensi penguat kuasa yang lain seperti Unit Penguatkuasaan Negeri, Jabatan Perhutanan Negeri, Jabatan Alam Sekitar Negeri serta pihak berkuasa tempatan meningkatkan penguatkuasaan dengan lebih tegas bagi membendung jenayah alam sekitar.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal meminta semua pihak menjunjung titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar menjaga khazanah berharga seperti flora dan fauna serta sumber air.

Polis menahan 55 individu termasuk seorang bergelar ‘Datuk’ kerana disyaki menjalankan kegiatan memproses sisa buangan elektrik dan elektronik secara haram dalam serbuan di tujuh kilang di beberapa negeri minggu lepas.

Siasatan bermula selepas dimaklumkan secara peribadi oleh seorang kerabat diraja mengenai keresahan rakyat berhubung kesan buruk kegiatan kilang memproses sisa elektronik. #freemalaysiatoday

Share:

Sindiket e-Waste Di Percayai Sewa Tanah, Beroperasi Secara Haram Dalam Ladang Sawit Dan Hutan

KUALA LUMPUR: Seorang individu bergelar Datuk antara 55 individu yang ditahan dengan tindakan sitaan bernilai RM43.19 juta hasil serbuan ke atas sindiket memproses sisa elektronik (e-waste) haram pada 5 Ogos lalu.

Serbuan dilaksanakan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas tujuh kilang e-waste

Lokasi serbuan ialah Salong, Pekan dan Bukit Ibam di Pahang; Kuang, Rawang dan Bukit Tagar di Selangor; Rembau dan Gemencheh, Negeri Sembilan serta Simpang Renggam, Johor.

Ketua AMLA Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, tangkapan Op E-Waste ini membabitkan 10 warga tempatan dan 45 warga asing berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun.

Katanya, warga tempatan itu dipercayai berperanan sebagai pemilik tanah, penyelaras serta koordinator yang mengambil untung atas sewaan premis kilang dengan nilai puluhan ribu ringgit.

"Warga asing yang ditahan pula memainkan peranan membawa teknologi dan bahan kimia dari luar untuk pemprosesan e-waste selain juruteknik.

"Operasi fasa pertama ini mengesan kilang-kilang ini telah beroperasi sejak 2023 dengan mendapatkan bahan e-waste dari sebuah negara di Asia," katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Selasa.

Beliau berkata, e-waste ini diproses menjadi jongkong dan blok logam dengan nilai mencecah RM70,000 satu unit sebelum diseludup semula ke negara luar.

Tambah Muhammed Hasbullah, kilang tanpa lesen dan tidak berdaftar yang mengaut untung jutaan ringgit itu juga dikesan menggajikan warga asing sebagai pekerja.

"AMLA telah menyita dan merampas pelbagai aset seperti palet, blok logam e-waste, kenderaan, jentera dan kilang bernilai RM43.19 juta.

"Tanah yang diguna sebagai tapak kilang juga telah dibekukan dan nilainya masih dalam penilaian," ujarnya.

Kata beliau, AMLA akan melihat isu e-waste ini secara menyeluruh termasuklah siapa dalang di sebaliknya, bagaimana ia dibawa masuk dan modus operandinya.

"Apa yang dikesan kilang-kilang haram ini beroperasi di kawasan ladang kelapa sawit dan hutan jauh daripada laluan utama. Proses pembakaran atau peleburan dipercayai dilakukan waktu malam bagi melindungi aktiviti haram itu daripada dikesan.

"Berdasarkan kes sebelum ini, serbuan pernah dibuat pihak berkuasa namun kilang ini boleh kembali beroperasi dan kita lihat seperti ada yang tidak betul. AMLA akan pastikan kilang dan rangkaiannya ini diambil tindakan habisan," katanya.

egasnya, dalam usaha membanteras aktiviti pengubahan wang haram ini, polis mengingatkan orang ramai dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat.

"Kita tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat," ujarnya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984, Seksyen 24 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, Seksyen 135 Akta Kastam 1967 serta Akta Imigresen 1959/63.

Pada 26 Jun lalu, Sinar Harian menerusi satu laporan khas melaporkan Malaysia kini menghadapi masalah lambakan sampah e-waste seperti komputer, telefon bimbit, televisyen, peti ais dan mesin basuh yang semakin meningkat iaitu lebih 365,000 tan setahun.

Laporan itu juga mendedahkan ada premis yang sebelum ini pernah diserbu pihak berkuasa, kembali aktif dipercayai didorong oleh keuntungan besar hasil mengitar semula e-waste berkenaan.

Berikutan itu, pada 6 Ogos, Sinar Harian juga mendedahkan terdapat beberapa kilang e-waste haram di Segamat, Johor yang aktif beroperasi hingga mendatangkan pencemaran bau kepada penduduk sekitar. #sinarharian

Share:

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Buka Cawangan Di Cameron Highlands, Banteras ‘Penjajah’ Asing

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka cawangan baharu di Cameron Highlands, Pahang bagi memperluas perkhidmatan di kawasan tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pembukaan cawangan itu adalah bagi mengambil perhatian serius dan meminta masyarakat menyalurkan maklumat salah guna kuasa bagi membanteras kegiatan pendatang asing yang ‘menjajah’ kawasan berkenaan.

Katanya, pada 30 Julai lalu bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Yang ke-65, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah daerah itu sudah mula ‘dijajah’ oleh pendatang asing secara terang-terangan.

“Mengambil contoh tanah di Cameron Highlands, Al-Sultan Abdullah bertitah tanah di kawasan itu yang dipajak dan disewa kepada petani, kini disewakan kepada warga asing, kerana nafsu dan pentingkan wang ringgit sehingga mengadai integriti,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pembukaan cawangan baharu SPRM Cameron Highlands hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan mereka yang dipertanggungjawabkan mengalas amanah ini supaya melaksanakan dengan penuh integriti dan tidak sesekali ‘gelap mata’ apabila ditawarkan imbuhan wang.

“SPRM mengambil maklum dan menjunjung titah Sultan Pahang dan akan mengambil perhatian sewajarnya berhubung perkara ini serta berharap masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak kami berhubung salah laku dan salah guna kuasa bagi membanteras kegiatan ini,” katanya.

Tambah Ahmad Khusairi, pihaknya juga berharap penjawat awam terutama pihak berkuasa tempatan dapat membantu SPRM dalam memerangi kegiatan menjajah tanah oleh warga asing di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, berdasarkan statistik SPRM Pahang sejak 2020 sehingga kini sebanyak 1,741 maklumat diterima melibatkan 440 kertas penyiasatan awal dan 384 kertas siasatan.

Jelasnya, SPRM Pahang turut membuat seramai 282 tangkapan dengan 104 kes pertuduhan berserta 56 sabitan.

Berdasarkan statistik itu, di Cameron Highlands SPRM terima 68 maklumat dan membuka 13 kertas penyiasatan, kertas siasatan (tujuh) serta tangkapan (sembilan) manakala kes pertuduhan dengan satu sabitan (tiga).

“Statistik ini menunjukkan SPRM memerlukan satu cawangan di sini (Cameron Highlands) bagi menjalankan aktiviti penyiasatan, pencegahan dan pendidikan masyarakat selain Ibu Pejabat SPRM Pahang di Kuantan, cawangan di Raub serta cawangan di Temerloh,” ujar beliau.

SPRM dalam satu kenyataan menjelaskan, pejabat berkeluasan 57.8 meter persegi yang terletak di C-1-29, Cameron Fair Jalan Persiaran Camelia, Tanah Rata itu menempatkan empat pegawai.

Menurutnya, pejabat itu dilengkapi bilik ketua cawangan, bilik merakam kenyataan dan ruang kerja. "Orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang maklumat berkaitan rasuah atau salah guna kuasa boleh hadir ke pejabat berkenaan atau menghubungi talian 05-485 0007," ujarnya.

Beliau berkata, dengan pembukaan cawangan baharu ini diharapkan agar kes-kes rasuah di daerah berkenaan dapat menunjukkan penurunan. #sinarharian

Share:

Kerajaan Pahang Teruskan Inisiatif Pembiayaan I-PUSH Dengan Peruntukan Lebih RM10 Juta

KUANTAN: Kerajaan Pahang meneruskan Inisiatif Pembiayaan KewanganUsahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) Fasa 3 dengan melibatkan peruntukan lebih RM10 juta, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy berkata pelaksanaan inisiatif ini adalah sebagai usaha berterusan pihaknya untuk memberikan peluang kepada usahawan mikro mengembangkan perusahaan dan seterusnya mendapatkan peluang perniagaan yang lebih baik.

Beliau berkata melihat kepada keperluan untuk meningkatkan kapasiti usahawan, inisiatif I-PUSH berkenaan dilanjutkan pelaksanaannya dan sebanyak 1,988 permohonan telah diterima serta disaring dengan teliti.

"Bagi I-PUSH Fasa 3 ini, sebanyak 1,132 usahawan yang menepati kriteria telah ditetapkan akan menerima kelulusan dengan jumlah pembiayaan keseluruhan daripada kerajaan negeri sebanyakRM10,495,300," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Pembiayaan pinjaman ini akan disalurkan melalui Bank Muamalat Malaysia Berhad dan semua urusan penyaluran dana dijangka akan selesai selewat-lewatnya pertengahan Ogos 2024.

Sementara itu, beliau berkata tindakan pemantauan termasuk lawatan dan semakan dilapangan untuk menilai keberkesanan inisiatif serta mengenal pasti potensi usahawan juga akan mula dilaksanakan dalam memperkasakan perkembangan usahawan dan perniagaan di seluruh Pahang.

"Saya berharap golongan usahawan dapat menggunakan insentif pembiayaan tanpa faedah yang disediakan ini untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran produk dan perkhidmatan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan menerusi dua fasa pelaksanaan I-PUSH sejak 2022, inisiatif ini telah memanfaatkan 2,293 usahawan dengan jumlah pembiayaan lebih RM20 juta. #astroawani

Share:

Pengurus Acara Dedah Tarikh Live Perkahwinan DiRaja Pahang Pada 22-25 Ogos Di Tasek KotaSAS

KUANTAN: Puteri Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah iaitu Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dikatakan akan melangsungkan perkahwinan pada bulan ini.

Khabar gembira itu dikongsikan oleh pengurus acara yang mengendalikan majlis tersebut, Teja Market pada hantaran TikTok hari ini.

Pada poster yang dimuat naik, majlis tersebut diberi nama ‘Langit Cinta’ Lintas Langsung Istiadat Perkahwinan Diraja antara Tengku Puteri Afzan dengan pasangannya, Fd Idzham Fd Iskandar.

Istiadat itu bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam pada 22 hingga 25 Ogos bertempat di Tasek Kotasas, dekat sini.

Bahkan, posting tersebut turut diulang siar menerusi TikTok @cmspahang yang difahamkan merupakan akaun peribadi Tunku Azizah Aminah.

Berdasarkan pemerhatian, akaun peribadi baginda pernah membuat siaran langsung selain hantaran dimuat naik berkaitan masakan serta majlis dan acara dihadiri keluarga diraja.

Menjawab pertanyaan orang ramai, Teja Market memaklumkan ada menyediakan skrin besar untuk tontonan rakyat Pahang bagi majlis tersebut.

“Nanti ada ‘live big screen’ (skrin besar siaran langsung) untuk semua rakyat nak tengok lintas langsung perkahwinan diraja,” katanya.

Perkongsian poster itu mendapat maklum balas positif daripada pengguna media sosial yang meninggalkan komen tahniah selain tidak sabar menantikan perkahwinan diraja tersebut.

“Tolong buat ‘live’ TikTok bagi sesiapa. Kedah nak pergi, Pahang jauh,” kata seorang pengguna TikTok.

“Alhamdulillah kami rakyat Pahang, tapi tinggal jauh. Harap ada siaran lintas langsung, kami nak tengok Tengku Puteri,” kata individu lain.

Selain itu ada yang bertanya sama ada rakyat boleh menghadiri majlis tersebut dan Teja Market mengesahkan perkara tersebut.

“Boleh (hadir), kami ada pelbagai ‘vendors’ makanan tradisional Pahang. Turun ya, datang ya,” katanya. #kosmo!

Share:

Liga Super 2024: Sabah FC Tumbangkan Skuad Tok Gajah 3-2 Di Stadium Temerloh Malam Tadi

KUANTAN: Sabah FC meneruskan momentum pemburuan kelompok dua terbaik Liga Super apabila mengalahkan Sri Pahang FC, 3-2 dalam perlawanan di Stadium Temerloh pada Jumaat.

Kemenangan keempat liga anak buah Datuk Ong Kim Swee merupakan tonik mujarab selepas diabkan 0-3 Kuala Lumpur City, di Cheras 31 Julai lalu setelah mengharungi tujuh perlawanan.

Tiga mata diraih The Rhinos membolehkannya menghimpit pasukan tangga kedua Selangor FC dengan kedua-dua pasukan memiliki pungutan mata sama, namun dipisahkan jaringan memihak anak buah Nidzam Jamil tersebut.

Selangor akan berdepan Kelantan Darul Naim di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu.

Sabah akan berdepan Selangor di Stadium Likas pada 13 Ogos depan perlawanan yang akan menjanjikan saingan sengit perebutan kedudukan kedua terbaik liga musim ini.

Gol The Rhinos dihasilkan menerusi jaringan Jafri Firdaus Che minit ke-18’, Farhan Roslan (m-26) dan Daniel Ting (m-35).

Gol Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad pula dijelmakan menerusi Kpah Sherman pada minit keenam dan minit ke-48.

Ini merupakan kekalahan ketiga Tok Gajah musim ini selepas mengharungi tujuh perlawanan liga untuk berada dikedudukan ke-10 satu mata mengatasi PDRM FC (lima mata).

Sri Pahang selepas ini akan bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak menentang Terengganu FC pada 16 Ogos. #sinarharian

Share:

Tengku Ampuan Pahang, ‘Majlis Perkahwinan Paling Indah, Diingati Oleh Anak Perempuan Saya’

PETALING JAYA: “Dalam masa dua minggu lagi, mahu pastikan anak perempuan saya dengan majlis perkahwinan paling indah untuk diingati sepanjang hidupnya,” demikian perkongsian oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda berkenan berkongsi berita gembira itu sewaktu bertitah pada Majlis Penutup Islamic Fashion Festival (IFF) 2024 dan Perasmian Pameran Solo Syed Thajudeen di Kuantan, semalam.

Ia sekali gus menjawab persoalan orang ramai berhubung perkahwinan diraja Pahang yang bakal berlangsung bulan ini, antara Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan pasangan, Fd Idzham Fd Iskandar.

“Dalam masa dua minggu, dia (Tengku Puteri Afzan) akan jadi ‘bridezilla’ (pengantin perempuan), saya akan jadi ‘groom momster’ (ibu pengantin lelaki dengan nada berseloroh).

“Oleh kerana rumah saya kecil, saya tidak boleh menjemput seluruh negeri Pahang ke perkahwinan diraja yang akan berlangsung lagi dua minggu.

“Tetapi saya ingin mengumumkan di Padang MBK depan dan Padang Kotasas (majlis) selama empat hari. Ada skrin besar di mana rakyat negeri Pahang, bolehlah berkumpul, berpesta untuk meraikan perkahwinan diraja,” titah baginda.

Malah, Tunku Azizah Aminah turut memaklumkan terdapat konsert, persembahan dan pelbagai lagi aktiviti semasa majlis tersebut.

“Jemput datang ke Pahang. Sama-sama kita meraikan perkahwinan diraja yang lagi dua minggu ini. ‘Bridezilla, godzilla, monster’ (berseloroh),” titah baginda.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, pengurus acara Teja Market mendedahkan mengenai perkahwinan diraja Pahang yang dikatakan bakal berlangsung pada bulan ini.

Menerusi poster yang dimuat naik, majlis tersebut diberi nama ‘Langit Cinta’ Lintas Langsung Istiadat Perkahwinan Diraja iaitu bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam pada 22 hingga 25 Ogos bertempat di Tasek Kotasas.

Bahkan, posting tersebut turut diulang siar menerusi TikTok @cmspahang yang difahamkan merupakan akaun peribadi Tunku Azizah Aminah.

Berdasarkan pemerhatian, akaun peribadi baginda pernah membuat siaran langsung selain hantaran dimuat naik berkaitan masakan serta majlis dan acara dihadiri keluarga diraja. #kosmo

Share:

Daerah Bera Berjaya Raih Kutipan Hasil Tanah Lebih RM39.42 Juta Sehingga 7 Ogos Tahun Ini

BERA: Kesedaran pemilik tanah dan promosi berterusan yang dilakukan kerajaan negeri membantu meningkatkan kutipan hasil tanah di daerah ini.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, sebanyak RM39.42 juta berjaya dikutip pada tahun ini sehingga 7 Ogos lalu sekali gus melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu RM35.98 juta bagi tempoh tersebut.

"Alhamdulillah kutipan kita memang melebihi sasaran dan ini kerana kesedaran pemilik-pemilik tanah untuk membayar cukai tanah serta promosi yang dilakukan.

"Selain itu, tawaran yang diberikan kerajaan negeri memanjangkan tempoh insentif pengecualian denda lewat yang sepatutnya hingga Mei dipanjangkan ke November juga menyebabkan pemilik tanah membayar lebih cepat dan tepat pada masanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Karnival Tanah Peringkat Bera di Dewan Kompleks Rakan Mudah Bera di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pegawai Daerah Bera, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek dan ADUN Kemayan, Khaizulnizam Mohd Zuldin.

Dalam pada itu, Sabariah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai berkata, pada tahun lepas, Bera berjaya mencapai kutipan RM49.64 juta hasil tanah keseluruhan berbanding sasaran asal RM33.80 juta bersamaan 146.83 peratus daripada sasaran yang diletakkan kerajaan negeri.

"Pencapaian ini sangat membanggakan dan patut diberikan penghargaan sekali gus membuktikan komitmen seluruh warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Bera dalam memastikan sasaran kutipan hasil tercapai," ujarnya.

Selain reruai pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, pelbagai aktiviti seperti cabutan bertuah dijalankan termasuk belon panas yang julung kalinya dianjurkan sekali gus menjadi tarikan pengunjung karnival.

Turut diperkenalkan logo karnival bagi daerah itu yang diharapkan dapat mendekatkan lagi jenama program itu kepada masyarakat di Bera. #sinarharian

Share:

Sebanyak 134 Institusi Pendidikan Agama Yang Berdaftar Dengan MUIP Layak Terima Bantuan

KUANTAN - Semua institusi pendidikan agama yang sudah menerima surat kelulusan berdaftar Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP ) layak menerima sebarang bentuk bantuan daripada kerajaan termasuk agensi berkaitan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, sebanyak 134 institusi pendidikan agama yang direkodkan setakat ini.

Menurutnya, jumlah itu termasuk 34 sekolah yang sudah menerima kelulusan berdaftar bagi siri satu tahun ini.

"Kelulusan ini diberikan selepas lawatan yang dilakukan para panel yang dilantik oleh MUIP bagi menyemak, menilai kurikulum dan pengoperasian sekolah tersebut sebelum diluluskan oleh jawatankuasa.

"Sekolah-sekolah ini juga telah mendapat sokongan daripada pihak berkuasa tempatan terutamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang," katanya pada Khamis.

Terdahulu, majlis penyerahan surat kelulusan tersebut diadakan di Dewan Syarahan Ibu Pejabat MUIP, Pekan.

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 50 individu terdiri daripada pengetua, guru besar dan ahli jawatankuasa sekolah maahad tahfiz, madrasah, Sekolah Agama Rakyat (SAR) serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan juga tadika swasta.

Taklimat Pengurusan Pendaftaran yang disampaikan Ketua Unit Pendidikan MUIP, Mohd Azri Salehuddin.

Asmadi turut menyarankan agar pihak sekolah mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan sentiasa menjaga imej institusi agama terutama pendidikan, keselamatan dan seumpamanya.

Jelasnya, pihak sekolah juga diminta agar memberi penekanan kepada urus tadbir sekolah serta keutamaan kepada kemenjadian dan hala tuju pengajian para pelajar.

Beliau menambah, MUIP dalam skim bantuan turut menyediakan bantuan kepada sekolah yang berdaftar bagi memastikan kelancaran sesi persekolahan.

"Antaranya, skim bantuan dermasiswa pelajar, saguhati penghafaz al-Quran dan bantuan elaun kelas al-Quran kanak-kanak, skim bantuan am pendidikan serta sebagainya.

"Bantuan disalurkan kepada mereka berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan," ujarnya. #sinarharian

Share:

Kenapakah Pihak Berkuasa Tidak Halang Pembinaan 'Cameron Santorini' Sejak Dari Awal Lagi?

KUANTAN: Aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli hati ini mempersoalkan kewajaran pihak berkuasa merobohkan pusat pelancongan 'Cameron Santorini' di Cameron Highlands baru-baru ini.

Beliau mempersoalkan, kenapa lokasi terbabit dirobohkan selepas ia disiapkan dan menerima kunjungan sebagai tarikan baharu pelancongan ke kawasan tanah tinggi terbabit.

Operasi perobohan lokasi tersebut telah diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Azmil Hadid Maznan turut disertai Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Kerja Raya Cameron Highlands dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cameron Highlands pada Isnin.

Hantaran video Shukri di laman TikToknya cmk_shukrieramly1 yang mempersoalkan perkara ini telah mendapat 124 ribu tontonan, 4,271 tanda like, 1,392 komen dan 1,000 yang berkongsikan posting terbabit hari ini.

"Saya mahu bertanya tiga soalan kepada pihak berkuasa, kenapa dirobohkan binaan itu?. Bukankah ia boleh menarik kedatangan pelancong ke Cameron Highlands? dan soalan ketiga kenapa ia baru dirobohkan sedangkan pemiliknya habiskan belanja jutaan ringgit untuk bina struktur tersebut,

"Kenapa pihak berkuasa tidak halang mereka membinanya daripada awal. Kenapa masa dibuat tidak ada seorang pegawai pihak berkuasa yang memantau. Ia bukannya disiapkan dalam masa satu hari?." katanya.

Malah menurut Shukri lagi, Cameron Santorini bukannya disiapkan dalam tempoh sehari dua sebaliknya  memakan masa bertahun lamanya. Maka, tidak mungkin seorang pun pegawai pihak berkuasa tidak tahu dan mengambil tindakan.

"Daripada dirobohkan, lebih baik diberikan lesen pendudukan sementara (TOL). Selagi kerajaan tidak membuat sebarang pembangunan di situ, pemilik membayar lesen TOL dan kerajaan dapat hasil. 

"Lebih elok lagi, kerajaan ambil alih lokasi terbabit. Bukankah ia mendatangkan keuntungan apabila dikunjungi oleh para pelancong dari dalam dan luar negara. Meroboh selepas membiarkan ia dibina sejak sekian lama adalah tindakan tidak wajar. Lainlah stuktur bangunan yang dibina bertujuan untuk peribadi seperti membuat rumah banglo dan sebagainya." kata beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau menyokong tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan kerana ia satu kesalahan atas Seksyen 70 (1) iaitu pembinaan tanpa kelulusan di bawah Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Namun dakwanya, perlu ada budi bicara antara kedua-dua pihak.

"Lagi pun, tidak mungkin Cameron Santorini boleh dibina sesuka hati tanpa ada sokongan daripada orang dalam. Jika tidak bagaimana lokasi terbabit boleh dapat kemudahan air daripada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan letrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Bukan mudah nak dapat kemudahan air dan letrik jika ia dibina di tanah kerajaan sesuka hati tanpa ada kebenaran yang sah. Sebab itu saya menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara ini. Siasat siapa orang dalam yang mainkan peranan hingga pemilik keluarkan modal besar buat binaan haram atas tanah milik kerajaan.

"Bahkan semua tali barut dan mereka yang bersekongkol dalam hal ini ditangkap dan diambil tindakan kerana ia jelas telah mengadaikan integriti dan menganiaya pihak yang membuat pelaburan atas projek terbabit." dakwanya lagi.

Menurutnya lagi, beliau tidak mahu tindakan dilakukan hanya selepas pihak berkuasa terjaga dari tidur selepas mendapat teguran sola integriti daripada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini. #pahangdaily

Share:

Sebanyak 29 Ekor Anak Ular Sawa ‘Lepak’ Dalam Saluran Longkang Di Seksyen 20, Shah Alam

SHAH ALAM: Sebanyak 29 ekor anak ular sawa ditemukan dalam saluran longkang di sebuah restoran di Seksyen 20 di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kehadiran anak ular itu dimaklumkan menerusi panggilan telefon pada 9.56 malam tadi.

“Seramai enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, anggota mendapati ular sawa berkenaan masih berada di dalam saluran longkang sebelum memulakan kerja mengeluarkan reptilia itu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, anggota menggunakan alat penjerut dan berjaya menangkap 29 ekor ular terbabit.

“Ular tersebut kemudian dilepaskan di tempat yang selamat, sebelum anggota berkenaan pulang semula ke balai Bomba,” katanya. #malaysiagazette

Share:

Najib Bantah Permohonan Majlis Peguam Untuk Mencabar Keputusan Lembaga Pengampunan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan bantahan awal terhadap tindakan Majlis Peguam mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda bekas Perdana Menteri itu atas alasan Mesyuarat Agung Tahunan badan profesional itu tidak sah.

Najib, menerusi afidavit yang diikrarkan oleh peguamnya Muhammad Farhan Muhammad Shafee, menyatakan bahawa Majlis Peguam tidak mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan undang-undang tersebut kerana usul yang diluluskan pada AGM ke-78 badan itu adalah terbatal, ultra vires dan melanggar kewajipan statutori seperti diperuntuk dalam Akta Profesion Undang-Undang (LPA) 1976 apabila ia diadakan tanpa kuorum kehadiran yang diperlukan.

Muhammad Farhan dalam afidavit yang difailkan pada 6 Ogos berkata, antara usul yang dikemukakan pada AGM itu ialah mendapatkan kelulusan ahlinya untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap Lembaga Pengampunan berhubung keputusan mengenai hukuman penjara dan denda Najib.

"Menurut Seksyen 64(4) Akta Profesion Undang-Undang 1976, kuorum bagi memulakan AGM memerlukan kehadiran 500 ahli Majlis Peguam. Bagaimanapun, saya percaya bahawa pada 10 pagi 16 Mac, kuorum yang diperlukan tidak dapat dicapai.

"AGM itu telah bermula pada 12.15 tengah hari 16 Mac dengan kehadiran hanya 401 ahli (kira-kira 1.6 peratus daripada jumlah ahli majlis peguam), di bawah kuorum yang diperlukan dan usul untuk memfailkan semakan kehakiman yang didakwa dibincang serta diluluskan sehingga menyaksikan permohonan ini.

"Saya percaya AGM ke-78 Majlis Peguam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang menyebabkan keputusan untuk memfailkan permohonan ini adalah ultra vires serta perlu dibatalkan," katanya.

Peguam itu juga berkata Majlis Peguam tidak mempunyai locus standi bagi memulakan tindakan undang-undang itu kerana mereka tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam perkara berkaitan pengampunan Najib.

Majlis Peguam telah memfailkan permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu pada 26 April lalu yang menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersama-sama Najib sebagai responden.

Ia memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari lalu berhubung permohonan Najib untuk mengurangkan separuh daripada hukuman penjara beliau yang menyaksikan pembebasan awal beliau pada 23 Ogos 2028 adalah terbatal, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Majlis Peguam juga memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan denda Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta dengan syarat jika ia gagal dibayar, hukuman penjaranya akan dilanjutkan selama setahun, menyebabkan pembebasan awal pada 23 Ogos 2029 adalah terbatal, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Najib, 70, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. #beritaharian

Share:

Pekebun Maut Selepas Pacuan Empat Roda Yang Di Pandunya Merempuh Belakang Lori Kontraktor

KUANTAN: Seorang pekebun maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya merempuh belakang lori kontraktor yang menjalankan kerja menyiram pokok bunga di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran jejambat Bukit Istana dekat sini pada Rabu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Gee Len Fatt, 63, beralamat dari Jalan Haji Ahmad dekat sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu lori berusia 62 tahun itu bersama pekerja warga Myanmar dan Bangladesh tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kenderaan jenis Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke Gebeng.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori kontraktor Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sedang bergerak lurus di lorong kanan membawa muatan air untuk kerja-kerja penyiraman pokok bunga di laluan itu," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

"Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. #sinarharian

Share:

Ibu Maut Kereta Di Pandu Anak Kemalangan Dengan Lori, Treler Dekat Kampung Megat Segama, Temerloh

 

TEMERLOH: Seorang wanita warga emas maut selepas kereta dipandu anak lelaki terlibat nahas dengan lori dan treler di Kilometer 5 Jalan Jerantut-Temerloh dekat Kampung Megat Segama, Temerloh pada Selasa.

Dalam nahas yang dilaporkan kira-kira jam 4.20 petang itu, mangsa berusia 64 tahun beralamat dari Kampung Raja Songsang di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, anak lelaki mangsa berusia 30 tahun cedera di dada dan patah paha manakala pemandu lori berusia 41 tahun serta pemandu treler berusia 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta jenis Proton Iswara dinaiki dua beranak itu dalam perjalanan pulang dari arah Temerloh menghala ke Kampung Raja Songsang.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai memperlahankan kenderaan untuk masuk ke simpang di sebelah kanan.

"Pada masa sama sebuah lori jenis Nissan dari arah yang sama dipercayai gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta dinaiki mangsa hingga termasuk ke laluan bertentangan dan dilanggar treler jenis Volvo membawa muatan tong gas," katanya.

Mazlan berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera parah dan disahkan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu kereta yang parah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH) Temerloh untuk rawatan lanjut.

"Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh dikerah ke lokasi kejadian berjarak kira-kira 15 kilometer dari balai untuk operasi menyelamat.

Menurutnya, anggota bomba yang tiba di lokasi segera mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat.

"Mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. #sinarharian

Share:

Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuantan Bakal Membina Sebuah Kilang Ais Bernilai RM7 Juta

KUANTAN: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuantan bakal membina sebuah kilang ais berteknologi baharu bagi menampung keperluan dan permintaan bekalan ais di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini.

Projek pembinaan kilang dalam kawasan Kompleks LKIM itu melibatkan kos RM7 juta.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kerja-kerja pembinaan kilang itu dijangka bermula Januari tahun hadapan dan mula beroperasi Julai atau Ogos pada tahun sama.

Menurutnya, kilang itu dijangka mampu mengeluarkan 800 blok atau 100 tan ais dalam satu-satu masa.

"Kilang itu menggunakan empat mesin ais dengan setiap satunya mampu mengeluarkan 187 blok atau 25 tan ais mengambil masa hanya 15 jam untuk menyiapkan satu pusingan pengeluaran.

"Dengan pembinaan kilang ais oleh PNK Kuantan ini, ia dilihat dapat memenuhi permintaan bekalan ais di Kompleks LKIM Kuantan yang mencecah 1600 hingga 1800 blok sehari,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Kilang Air Batu PNK Kuantan dan Penyerahan Bantuan Titik Sentuhan Kepada Nelayan Kawasan Kuantan dan Pekan Tahun 2024 di Kompleks LKIM, Kemunting di sini pada Rabu.

Turut hadir Pengarah LKIM Pahang, Faizal Puasa, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pahang (Pernepa), Zulkifli Jusoh dan Pengerusi PNK Kuantan, Talib Husin.

Muhammad Faiz berkata, ketika ini bekalan ais bergantung kepada pengeluaran dari kilang sedia ada milik Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) berkapasti 1,000 blok ais sehari.

"Dengan adanya kilang ais baharu ini dijangka dapat menyelesaikan masalah kekurangan ais terutamanya pada musim puncak ( September-Disember).

"Seterusnya projek ini juga dilihat mampu meningkatkan serta melancarkan aktiviti perikanan terutamanya aktiviti pembungkusan hasil tangkapan selain mendorong pertumbuhan pendapatan PNK Kuantan," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, LKIM Negeri Pahang telah menerima peruntukkan RM150,000 bagi Bantuan Titik Sentuhan tahun ini daripada RM3 juta yang diumumkan kerajaan bagi belanjawan 2024.

"Seramai 53 nelayan Zon A dalam kalangan B40 yang berkelayakan telah dipilih untuk menerima bantuan tersebut pada tahun ini.

"Pada majlis ini seramai 24 nelayan Zon A dari kawasan Kuantan dan Pekan dalam golongan B40 menerima bantuan peralatan menangkap ikan melibatkan peruntukkan RM75,000.

"Peralatan yang diserahkan kepada penerima hari ini melibatkan satu set enjin bot, generator (3), sonar pengesan ikan (3), pukat kaya (96 set), pukat udang (20 set) tong insulasi (16 unit), timah (110 kg), pelampung telur (5,510 set), kawat bubu (30 set) dan pukat kurau/pari (13 set)," jelasnya.

Beliau berkata, objektif bantuan itu bagi membantu meningkatkan pendapatan nelayan golongan B40 selain meningkatkan kecekapan serta kemahiran nelayan ke arah peningkatan produktiviti sektor perikanan.

Sempena majlis itu, turut diadakan penyerahan sumbangan tabung kebajikan dan bencana alam kepada lapan nelayan di bawah seliaan PNK Kuantan dengan jumlah keseluruhan RM 8,250. #sinarharian

Share:

Pusat Pelancongan 'Cameron Santorini' Di Roboh Pihak Berkuasa Gara-Gara Di Bina Secara Haram

CAMERON HIGHLANDS: Tindakan berani pemilik Cameron Santorini melakukan pembinaan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan membawa padah apabila tarikan baharu yang menarik di Cameron Hinghlands itu dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Dalam operasi yang dilaksanakan bermula pukul 9 hingga 11.30 pagi semalam itu menyaksikan sebahagian daripada binaan Cameron Santorini dirobohkan oleh pihak berkuasa.

Operasi diketuai Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Azmil Hadid Maznan turut disertai Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Kerja Raya Cameron Highlands dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cameron Highlands.

Menurut kenyataan Majlis Daerah Cameron Highlands, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan atas kesalahan Seksyen 70 (1) iaitu pembinaan tanpa kelulusan di bawah Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“Semoga tindakan penguatkuasaan ini dapat menjadi iktibar dan peringatan kepada mana-mana pihak yang berhasrat melaksanakan projek pembangunan agar mematuhi sepenuhnya prosedur dan peraturan berkaitan semasa yang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Difahamkan pihak berkuasa terbabit akan mengeluarkan kompaun terhadap pembinaan bangunan yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa termasuk tiada kebenaran merancang.

Difahamkan juga kawasan berkenaan yang berstatus pertanian disewa daripada pihak Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Azri Ramli berkata, operasi yang dilaksanakan berkenaan berjalan dengan baik dan lancar.

“Tiada kekecohan dan tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dan kawasan berkenaan kini ditutup,” ujarnya.

Baru-baru ini Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan apabila tanah di Pahang sudah mula ‘dijajah’ pendatang asing secara terang-terangan rentetan kurangnya nilai integriti.

Baginda bertitah, sebagai contoh tanah-tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani-petani serta pengusaha, kini disewakan pula kepada warga asing.

“Demi hanya mengikut nafsu dan mementingkan wang ringgit, kita sanggup menggadai integriti dan membiarkan tanah di negeri ini diratah oleh bukan pemiliknya.

“Lebih mendukacitakan lagi, warga asing tersebut telah mengambil alih peranan sebagai ‘tauke’ yang mengawal bekalan dan harga dalam industri pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel-kartel yang merosakkan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhannya,” titah baginda. #kosmo

Share:

Sultan Pahang Akan Kurnia Rumah Baru Untuk Keluarga Mangsa Nahas Treler Di Ketapang Hilir

PEKAN: Prihatin dengan nasib mangsa yang rumahnya musnah akibat dirempuh sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir pada Sabtu, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengurniakan sebuah rumah baru kepada keluarga mangsa.

Mohd Fakhrul Hafiz Nasruddin, 35,  berkata perkara itu dititahkan sendiri oleh Al-Sultan Abdullah ketika baginda berkenan berangkat menziarahi keluarga mangsa di rumahnya kira-kira 1.30 tengah hari dan meluangkan masa hampir setengah jam bertanya khabar dan menzahirkan simpati atas kejadian tersebut.

kemalangan yang berlaku kira-kira 4.15 pagi itu sesuatu sangat dahsyat, sehingga mengakibatkan dua adiknya meninggal dunia.

“Ketika Tuanku melawat tapak rumah kami yang roboh dirempuh lori itu, Tuanku titah kepada saya, insya-Allah, akan ganti rumah itu dan buat rumah baharu, di kawasan sama, tanah pusaka. Tuanku tidak beritahu bila, kemungkinan akan ada orang Istana akan datang nanti.

“Tuanku juga menyarankan kami supaya mengambil tindakan undang-undang menyaman syarikat lori terbabit bagi menuntut keadilan buat keluarga kami,” katanya kepada media selepas Al-Sultan Abdullah berkenan menziarahi keluarga berkenaan yang turut diiringi Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi dan Alam Sekitar Pahang Datuk Mohd Nizar Najib.

Dalam kejadian itu, treler membawa muatan siling kapur dari arah Johor Bahru, Johor menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan di selekoh kiri dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan.

Tragedi itu menyebabkan Nurnazatul Fasiha, 32, meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya Mohd Waldon Faris, 21, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.

Ibu bapa mangsa Norrulaini Mohd Hassan, 54, dan Nasruddin Othman, 60, serta rakan Mohd Waldon Faris, Muhammad Gabriel Miqhael Muhammad Faidzal, 19, yang turut berada dalam rumah berkenaan mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Pekan.

Mohd Fakhrul Hafiz yang merupakan abang sulung kepada mangsa, mengharapkan pihak berkuasa dapat memasang pembahagi jalan yang lebih tinggi di kawasan itu bagi mengelakkan insiden sama berlaku lagi.

“Tidak pernah lagi berlaku dan ini merupakan pertama kali kerana lori terbabit terbabas daripada laluan bertentangan. Langkah segera perlu dilakukan,” katanya.

Ibu mangsa Norrulaini yang masih trauma dengan insiden itu pula berkata suaminya Nasruddin, patah tulang rusuk dan sehingga kini masih belum menerima hakikat dua anaknya terkorban dalam kejadian tersebut.

“Tuhan sahaja yang tahu, rasa kehilangan dua orang anak, tak boleh nak bayangkan. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana selamat dan tidak cedera,” katanya. #malaysiagazette

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.