script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Ketua Pemuda UMNO Pahang Bidas Tuan Ibrahim, Jangan Tunggang Rakyat Kalau Terdesak Nak Ambil Negeri Ini !

KUANTAN: Rakyat Pahang bukannya bodoh mudah digula-gulakan!. Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Kamil Ibrahim membidas kenyataan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kononnya rakyat di negeri itu sudah bersedia memberi mandat kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak.

Menurut Mohd Kamil, skrip dan naratif berulang daripada PAS itu hanya berkesan bagi rakyat di negeri Kelantan kerana masyarakat di Pahang lebih matang dan berpijak di bumi nyata.

“Jangan tunggang rakyat kalau terdesak sangat nak ambil alih Pahang. Rakyat Pahang khususnya yang lahir dan membesar di sini faham benar siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya bermain persepsi.

“Malah ramai juga dari luar negeri ini pun tidak terpedaya dengan helah politik yang sama menabur janji kosong, menunggang agama dan menanam persepsi untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamil berkata, PN gagal membuktikan keupayaan mentadbir secara berkesan sejak PRU-15 di mana mereka menang hanya atas sentimen bukan kualiti pentadbiran.

Tambahnya, tindakan PAS cuba memperkecil pengumuman pencapaian pelaburan tertinggi di Pantai Timur juga seolah-olah mahu menutup hakikat ia adalah kejayaan besar untuk negeri Pahang.

“Pelaburan ini bukan sekadar angka ia membawa peluang pekerjaan, pembangunan dan peningkatan taraf hidup rakyat. Lebih ironik mereka bercakap soal kos sara hidup dan isu air, sedangkan di negeri-negeri yang ditadbir mereka sendiri masalah sama masih gagal diselesaikan,” tegasnya.

Mohd Kamil turut mengingatkan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang merupakan alumni yang dilahirkan daripada Maahad Tahfiz Negeri Pahang di bawah naungan kerajaan negeri. #MalaysiaGazette

Share:

PAS Yakin Rakyat Pahang Akan Beri Mandat Baharu Kepada Parti Itu Bersama PN Pada Pilihan Raya Umum Ke-16 Nanti

KUANTAN: PAS yakin rakyat Pahang bersedia memberikan mandat baharu kepada parti itu bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, gelombang sokongan rakyat terhadap PAS dan PN di negeri ini semakin jelas serta menunjukkan peningkatan yang ketara.

“Perkembangan ini bukan sahaja dapat dilihat melalui kehadiran yang memberangsangkan dalam pelbagai program akar umbi, tetapi turut disokong oleh kajian bebas dan dapatan pemerhatian di lapangan.

“Bukan sekadar itu sahaja, kita juga dapat melihat bahawa rakyat semakin menolak apa sahaja cakap-cakap atau penjelasan daripada kerajaan dalam sesuatu isu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu, pola penolakan terhadap kerajaan Pahang pimpinan UMNO–Pakatan Harapan (PH) semakin ketara dalam kalangan pengundi muda, penjawat awam dan masyarakat luar bandar yang dilihat semakin kecewa dengan prestasi kerajaan campuran tersebut.


Ujarnya, situasi itu menyebabkan kerajaan negeri kini sedaya upaya cuba mewajahkan bahawa mereka adalah sebuah kerajaan yang kompeten.

“Walaupun menteri besar mengumumkan bahawa Pahang mencatat jumlah pelaburan direalisasikan tertinggi di Pantai Timur, sepatutnya pelaburan tinggi mampu menjadikan rakyat Pahang menikmati taraf hidup yang lebih baik.

“Namun jika dilihat pada realiti, kerajaan negeri masih gagal menyelesaikan isu asas seperti kos sara hidup, tekanan ekonomi, peluang pekerjaan dan bekalan air di kawasan luar bandar yang menyebabkan rakyat berasa terpinggir.

“Apakah ini yang kerajaan negeri banggakan?” soalnya.

Tambahnya, rakyat kini sedar bahawa retorik reformasi yang dijanjikan kerajaan semakin hambar apabila dasar yang diperkenalkan lebih menjurus kepada keputusan populis tanpa penyelesaian jangka panjang.

“Malah, tidak keterlaluan jika saya nyatakan bahawa Kerajaan Madani yang dibentuk daripada gabungan Pakatan Harapan dan UMNO gagal untuk menyantuni suara rakyat secara menyeluruh,” ujarnya.

Menurutnya, PAS Teraju Pahang melalui PAS dan PN akan terus mendekati rakyat dengan pendekatan yang lebih jujur dan berprinsip, menawarkan solusi Islamik, dasar berpaksikan rakyat dan urus tadbir yang bersih.

“Keupayaan jentera PAS di kawasan dan cawangan menggerakkan dakwah, kebajikan dan advokasi membuktikan bahawa parti ini merupakan alternatif terbaik yang diyakini rakyat.

“Gelombang ini adalah isyarat jelas bahawa rakyat mahukan kepimpinan yang berintegriti, cakna dan berani mempertahankan hak serta kebajikan rakyat, selari dengan nilai-nilai Islam yang menjadi teras perjuangan PAS,” katanya. #SinarHarian

Share:

JPJ Pahang Berjaya Kesan Permit Perjalanan Sementara Palsu Guna Nama Dan Tandatangan Pengarahnya

KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang tidak pernah mengeluarkan permit perjalanan sementara bagi tujuan pemeriksaan kenderaan yang menggunakan nama dan tandatangan pengarahnya.

JPJ Pahang dalam kenyataan malam tadi memaklumkan permit yang dikesan atas nama pengarah itu adalah palsu dan permit yang berkaitan hanya boleh dibuat di kaunter JPJ negeri atau cawangan tanpa memerlukan tandatangan pengarah.

“JPJ Pahang telah mengesan dokumen palsu yang menyalahgunakan nama jabatan dan nama pengarah JPJ Pahang dalam urusan perkhidmatan. Jabatan ini amat serius dalam menangani isu pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan nama.

“Justeru, satu laporan polis telah dibuat (kelmarin). Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat demi menjaga kepentingan awam,” menurut kenyataan itu.

JPJ Pahang memaklumkan masyarakat dinasihati agar sentiasa berhati-hati dalam urusan pembelian kenderaan terutamanya pembelian melalui platform atau sumber yang disyaki tidak sahih.

"Orang ramai dialu-alukan untuk melaporkan kepada JPJ sebarang tawaran atau dakwaan pihak ketiga berkaitan perkhidmatan jabatan itu, bagi tindakan pengesahan dan pencegahan yang lebih berkesan,” menurut kenyataan itu. #Malaysiakini

Share:

UMNO Pahang Desak Prosiding Kes, Perlaksanaan Titah Adendum Terhadap Najib Dijalankan Segera Secara Tertib

KUANTAN: UMNO Pahang mendesak agar prosiding kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dihentikan serta-merta dan pelaksanaan Titah Adendum dilakukan dengan segera dan tertib.

Ketua Peneranganya, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, titah berkenaan dilaksanakan dengan penuh tertib demi menjunjung kedaulatan Yang di-Pertuan Agong serta Institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tonggak kestabilan negara.

”Kami menyeru pihak kerajaan, khususnya Perdana Menteri dan Jabatan Penjara Malaysia, agar tidak berlengah dalam mematuhi dan melaksanakan titah ini dengan segera.

”Semoga pelaksanaan titah adendum ini membuka ruang kepada keadilan dan belas ihsan buat Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sekian lama menanti sinar keadilan dalam perjalanan hidup beliau sebagai negarawan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, UMNO Pahang menyambut baik dan bersyukur atas pengesahan Jabatan Peguam Negara tentang pengwujudan titah adendum.

Katanya, ia sekali gus menolak segala dakwaan yang menyatakan bahawa titah tersebut hanyalah sekadar “hear say” atau cakap-cakap kosong semata. #MalaysiaGazette


Share:

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang Rampas Simpanan Minyak Diesel Tanpa Permit Sah

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara HIdup (KPDN) Pahang merampas 17,000 liter simpanan minyak diesel tanpa permit yang sah dianggarkan bernilai RM53,195.00 dalam satu serbuan, di sini kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Pahang Mohd Hafiz Ramli, berkata serbuan dibuat hasil daripada risikan yang dijalankan sebelum ini terhadap lokasi berkenaan.

“Berdasarkan dokumen yang dikemukakan, premis ini tidak mempunyai permit menyimpan minyak diesel di lokasi tersebut, sekali gus menimbulkan syak wasangka wujudnya pelanggaran undang-undang di bawah Peraturan 21(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974-Menyimpan barang kawalan minyak diesel selain di tempat yang dilesenkan dan Seksyen 20(1), Akta Kawalan Bekalan 1961- Mengalih barang kawalan dari lokasi berlesen ke lokasi tidak berlesen,” katanya.

Lokasi penemuan simpanan minyak diesel tanpa permit sah di Kuantan.

Ujarnya lagi, sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM193,195.00, daripada jumlah tersebut, skid tank dan minyak diesel yang disita dianggarkan bernilai RM53,195.00, manakala dua buah motokar yang terlibat turut disita dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM140,000.00.

KPDN Pahang menegaskan bahawa pihak kementerian tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau syarikat yang melanggar peruntukan undang-undang berkaitan barang kawalan seperti minyak diesel.

Tindakan tegas akan diambil demi memastikan keselamatan pengguna dan kestabilan rantaian bekalan di pasaran. #MalaysiaAktif

Share:

Imam Masjid Ar Rahmat Di Felda Lembah Klau Raub Meninggal Dunia Ketika Sedang Pimpin Solat Jumaat

RAUB: Seorang imam rebah sebelum meninggal dunia dipercayai terkena serangan jantung ketika mengimamkan solat Jumaat di Masjid Ar Rahmat, Felda Lembah Klau di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari, Tengku Badri Tengku Jaafar, 60, yang juga peneroka Felda, rebah secara tiba-tiba ketika memimpin lebih 300 jemaah dalam rakaat kedua solat Jumaat.

Adik mangsa, Tengku Maznan Tengku Jaafar, 43, memberitahu, abangnya memang memiliki sejarah penyakit lemah jantung.

"Ketika kejadian saya pun menunaikan solat Jumaat di masjid sama.

"Kali terakhir saya jumpa abang pada petang semalam (Khamis) dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap," kata anak bongsu daripada 12 beradik itu.

Ujarnya, abangnya merupakan anak kelima dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Lembah Klau selepas solat Isyak.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam masjid turut merakam detik sedih itu apabila Allahyarham Tengku Badri kelihatan baru sahaja bangkit dari rukuk sebelum rebah ketika ingin sujud.

Penghulu Mukim Gali 2, Mohd Azmil Harun pula menyifatkan pemergian Allahyarham Tengku Badri sangat mengejutkan, namun disifatkan sebagai satu kematian yang dicemburui kerana berlaku dalam keadaan mulia.

“Arwah pergi ketika sedang memimpin solat Jumaat, dalam keadaan suci, penuh tawaduk di rumah ALLAH. 

"Ia satu pengakhiran yang sangat indah, ramai yang terkesan dan sebak,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman berkata, mangsa memiliki sejarah penyakit jantung dan paru-paru kronik.

Menurutnya, kali terakhir mangsa mendapatkan rawatan pada 10 Mac lalu.

"Mangsa rebah sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Klinik Kesihatan Lembah Klau yang turut solat di masjid tersebut," katanya. #SinarHarian

Share:

Penduduk Gempar Jumpa Kesan Tapak Kaki, Tangan Manusia 'Gergasi' Di Felda Bukit Sagu 2 Dan 3 Di Kuantan

KUANTAN: Kesan lekukan tapak kaki dan tangan bersaiz besar yang ditemukan pada batu laterit di Felda Bukit Sagu 2 dan 3, menimbulkan persoalan apabila bentuknya seakan tapak manusia dan dipercayai berusia ribuan tahun.

Penduduk, Rosdi Rashid, 56, berkata, kewujudan tapak tersebut disedari ketika melakukan kerja-kerja pembersihan kebun kira-kira dua tahun lalu.

Menurutnya, namun penemuan terbaru itu bukanlah yang pertama kerana pernah menjumpai kesan lekukan sama kira-kira 43 tahun lalu.

“Kesan pertama yang saya jumpa pada tahun 1982 adalah tapak kaki dan kali kedua saya jumpa kesan lekukan di kawasan tidak jauh dari lokasi awal penemuan, dua tahun lalu.

“Masa itu saya tengah bersihkan kebun, tiba-tiba ternampak lekukan seakan tapak tangan dan saya ambil gambar,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan itu di Bukit Sagu di sini pada Khamis.

Bercerita lanjut, Rosdi berkata, asal usul tapak tersebut tidak dapat dipastikan, namun ia dikaitkan dengan seorang tokoh zaman dahulu dikenali sebagai Tok Sagu.

“Tok Sagu ini orang kata penjaga bukit pada zaman dulu-dulu, macam Mat Kilau juga, kisah orang lama,” katanya ringkas.

Sementara itu, Pengurus Felda Bukit Sagu 2 dan 3, Wan Mohamad Hairi Wan Abdul Razak berkata, maklumat mengenai penemuan berkenaan telah disampaikan oleh penduduk termasuk Rosdi, sejak beliau mula bertugas di situ sekitar Ogos 2002.

“Saya lihat ia ada potensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan komuniti dan Industri Kecil Sederhana (IKS) dalam rancangan Felda.

“Kita sudah maklumkan kepada Tourism Negeri Pahang, Menara Kuantan 188 dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan mereka menunjukkan minat untuk jadikan kawasan ini sebagai tarikan pelancongan,” katanya.

Wan Mohamad Hairi menambah, setakat ini, pihaknya masih menunggu hasil perbincangan dengan beberapa jabatan berkaitan untuk menentukan langkah seterusnya.

“Kita sedang berbincang dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk lihat potensi kawasan ini secara menyeluruh,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan sekiranya ada agensi penyelidikan yang mahu menjalankan kajian lanjut mengenai tapak berkenaan.

“Kita hendak tahu fakta sebenar, mungkin kawasan ini ada nilai sejarah atau ekologi tertentu yang boleh dimanfaatkan untuk penduduk setempat.

“Kalau dikaji dan dimajukan, penemuan ini boleh membuka peluang pembangunan baharu kepada komuniti di sini,” katanya. #SinarHarian

Share:

Pahang Catat Prestasi Cemerlang, Rekod Pelaburan Tertinggi Di Pantai Timur, Nilai Cecah RM4 Bilion Sehingga Jun Tahun Ini

KUANTAN: Pahang terus mencatat prestasi cemerlang apabila merekodkan pelaburan direalisasikan tertinggi di Pantai Timur dengan nilai mencecah RM4 bilion sehingga Jun tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah ini mengatasi negeri-negeri lain di Pantai Timur iaitu Terengganu yang merekodkan RM1.3 bilion dan Kelantan sebanyak RM1.1 bilion.

Menurutnya, pencapaian ini adalah hasil kerjasama erat semua pihak termasuk agensi kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) serta para pemain industri dan komuniti pelabur.

“Pelaburan ini memperkukuh kedudukan ekonomi negeri terutamanya dalam sektor strategik seperti pembuatan, minyak dan gas serta pelancongan, yang terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Pahang,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Wan Rosdy menambah, bagi kategori pelaburan komited pula, Pahang mencatatkan nilai RM3.5 bilion.

Jelasnya, ini menggambarkan keyakinan tinggi pelabur terhadap kestabilan ekonomi dan iklim pelaburan kondusif di negeri ini.

Beliau menambah, Pahang turut merekodkan jangkaan nilai pelaburan baharu berimpak tinggi sebanyak RM38.4 bilion dan ini membuktikan Pahang berada pada landasan kukuh sebagai negeri progresif, mesra pelabur dan semakin kompetitif.

“Dari sudut prestasi ekonomi, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang bagi tahun 2024 mencatat pertumbuhan 5.7 peratus, iaitu melebihi purata nasional 5.1 peratus dengan nilai RM68.7 bilion, terbaik di Pantai Timur.

“Malah sejak 2018, KDNK Pahang meningkat 23 peratus bersamaan kira-kira RM13 bilion. Ini adalah refleksi kepada pelaksanaan dasar pembangunan strategik, mampan dan menyeluruh,” katanya.

Wan Rosdy menegaskan, kejayaan ini membuktikan kestabilan politik, dasar konsisten, pembangunan infrastruktur moden serta ekosistem pelaburan mesra dan efisien menjadi pemangkin utama kemajuan negeri.

"Kerajaan negeri akan terus komited memperkasakan inisiatif pemudahcara pelaburan, mempercepat pelaksanaan projek strategik serta memperkukuh jaringan infrastruktur sokongan di seluruh negeri.

“Segala pencapaian ini adalah cerminan pelaksanaan Aspirasi Pahang 1st yang menekankan pertumbulan ekonomi seimbang, peluang pekerjaan untuk rakyat, serta agihan kemakmuran secara adil dan menyeluruh,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri beriltizam memperkukuh dasar mesra pelaburan, meningkatkan daya saing ekonomi serta memastikan setiap rakyat Pahang mendapat manfaat langsung daripada kemajuan yang dicapai bersama. #SinarHarian

Share:

Khaidir Ahmad, Dari Dunia Kewartawanan Kembali Kepada Alam Semulajadi Dengan Menceburi Bidang Pertanian

TEMERLOH: Daripada dunia kewartawanan ke dusun durian, itulah transformasi hidup bekas Ketua Pengarang Berita TV3, Khaidir Ahmad, 63 kini menanam hampir 300 pokok durian di Kampung Durian Tikus di sini.

Figura disegani dalam dunia kewartawanan dan penyiaran negara itu ligat ‘bermain’ dengan tanah, baja dan buah durian termasuk varieti premium seperti musang king; IOI; D24 serta duri hitam.

Beliau juga turut menanam benih durian klon baharu yang dijangka boleh menyaingi musang king pada masa depan seperti tupai king, jawi super dan damak king (Malaysia) serta radja (Indonesia) dan nok kracip (Thailand).

Menurutnya, keputusan untuk menceburi bidang pertanian sepenuhnya dibuat selepas bersara sejak 11 tahun lalu apabila merasakan sudah tiba masanya untuk kembali kepada alam semula jadi.

“Saya tidak mahu hanya duduk diam selepas bersara. Saya percaya tanah tidak pernah menipu. Kalau kita jaga betul-betul, hasilnya bukan saja lumayan, tapi memuaskan hati.

"Pelbagai varieti ditanam di dusun ini yang menggunakan baja organik rumusan dan formula sendiri," kata pemilik Hybrid Nursery itu.

Ujarnya, tidak mudah membina dusun yang produktif dan memerlukan ilmu, disiplin dan kesabaran sama seperti dunia kewartawanan yang menekankan ketepatan dan etika.

“Saya anggap ini sebagai ‘berita’ baru saya. Bezanya, dari berita di kaca TV ke berita dalam bentuk hasil tani,” katanya berseloroh.

Kini, dengan keluasan dusun seluas 2.4 hektar, Khaidir juga meneroka dunia pertanian dengan menawarkan khidmat sebagai perunding dengan menyediakan Pakej Pembangunan Dusun Durian Moden (DDM) berskala besar.

"Selain jual sendiri dari dusun, saya turut turun padang menyertai pelbagai lokasi terbuka seperti pekan sehari dan lain-lain," tambahnya.

Turut diusahakan dan dijual di dusun itu anak pokok hibrid durian pelbagai varieti dan tanaman lain antaranya ciku mega dan avokado.#SinarHarian

Share:

Ibu Pelajar UnIPSAS Kemalangan Dakwa Muhammad Firdaus Anak Baik, Doakan Anaknya Tenang Di Alam Sana

KUANTAN: "Arwah memang sangat baik dan tak melawan cakap. Sebagai ibu, saya doakan dia tenang di sana bersama para solihin," kata Norizan Mat, 48, ibu kepada Muhammad Firdaus Mohammad Zamri, 22, yang maut kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Gambang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi itu, rakan Muhammad Firdaus iaitu Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil, 21, turut meninggal dunia selepas motosikal ditunggang mereka kemalangan dengan ambulans.

Norizan yang juga guru berkata, kali terakhir dia bertemu anak kedua daripada enam beradik itu pada waktu Subuh, sebelum dia keluar ke tempat kerja dan arwah ke kelas.

"Malam tadi pun dia balik lewat kerana bertemu kawannya. Macam tidak ada apa-apa atau tanda dia nak pergi (meninggal dunia).

"Arwah memang menghafal 30 juzuk al-Quran dan berada pada tahun dua (pengajian), dia mengambil bidang syariah di UnIPSAS (Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

"Arwah memang menghafal 30 juzuk al-Quran dan berada pada tahun dua (pengajian), dia mengambil bidang syariah di UnIPSAS (Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Menurutnya, sikap Muhammad Firdaus yang menyenangkan semua orang turut diakui orang sekeliling dan rakan arwah.

Jenazah arwah akan dibawa ke masjid Kampung Sri Damai dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sri Damai selepas solat Isyak, manakala jenazah Muhammad Zuhair Rifqi dikebumikan di Tanah Perkuburan Lepar, di sini.

Dalam pada itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan takziah kepada keluarga dua penuntut itu.

Katanya, kerajaan negeri melalui Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang akan membantu kedua-dua keluarga Allahyarham bagi mempermudahkan segala urusan.

Terdahulu, media melaporkan kemalangan membabitkan dua hafaz al-Quran itu berlaku ketika ambulans dalam perjalanan membawa pesakit dari arah HTAA ke arah Bukit Rangin.

Muhammad Zuhair Rifqi yang juga penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng, Muhammad Firdaus disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah HTAA. #HarianMetro

Share:

Sultan Pahang Dan Tunku Azizah Hadiri Graduasi Tengku Jihan Di University For The Creative Arts (UCA) Di United Kingdom

KUANTAN: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke University for the Creative Arts (UCA) di United Kingdom untuk meraikan hari graduasi paduka anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Athiyatullah pada 11 Julai 2025 yang lalu,

YAM Tengku Puteri Jihan mencatat kejayaan cemerlang dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Seni (Kepujian Kelas Pertama) dalam bidang Tekstil, menyerlahkan kecemerlangan akademik dan bakatnya.

Turut berangkat mengiringi baginda berdua ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah. 

Kehadiran keluarga diraja ini menambah kemeriahan majlis dan menzahirkan sokongan padu terhadap kejayaan YAM Tengku Puteri Jihan.

Pada majlis yang sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut berangkat meraikan kejayaan anakanda mereka, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah, yang turut memperoleh ijazah sarjana dalam bidang tekstil.

Turut hadir ialah Duli Yang Teramat Mulia Yang di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail, Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua’az, serta Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.

Majlis graduasi ini bukan sahaja menjadi lambang kejayaan akademik, tetapi juga mempamerkan ikatan kekeluargaan dan sokongan di kalangan keluarga diraja, menjadikan ia satu peristiwa yang penuh makna dan kebanggaan. #PahangDaily

Share:

Kuantan City Juara Ping Pong Liga Sukan Komuniti (LSK) Negeri Pahang 2025, Bersedia Ke Peringkat Kebangsaan

KUANTAN: Kejohanan Liga Sukan Komuniti (LSK) Peringkat Negeri Pahang 2025 yang berlangsung meriah di Kompleks Rakan Muda Daerah Maran baru-baru ini menyaksikan pertandingan hebat merangkumi tiga acara utama iaitu Ping Pong Berpasukan Campuran, Sepak Takraw dan Bola Jaring Wanita.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal. Dalam ucapannya, beliau menyeru agar semangat kesukanan terus dipupuk sebagai asas perpaduan komuniti dan pembangunan modal insan di peringkat akar umbi.

Dalam acara ping pong, pasukan Kuantan City telah mengungguli kejohanan apabila muncul sebagai juara negeri selepas menewaskan beberapa pasukan hebat dari seluruh daerah Pahang. 

Mereka membawa pulang wang tunai RM700, pingat, serta sijil penyertaan. Dengan kejayaan ini, Kuantan City secara tidak langsung akan mewakili Negeri Pahang ke peringkat kebangsaan.

Pengurus pasukan, Saipudin Pauzi, menyatakan rasa bangga terhadap pasukan yang dibimbingnya.

“Kejayaan ini adalah hasil disiplin dan semangat berpasukan yang tinggi. Kami bukan sahaja berlatih keras, tetapi saling memahami kekuatan masing-masing. Saya yakin pasukan ini mampu bersaing di peringkat kebangsaan,” katanya.

Selain ping pong, acara bola jaring wanita dan sepak takraw lelaki turut mendapat sambutan hangat, memperlihatkan bakat-bakat muda yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. 

Kejohanan ini berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh jaringan komuniti melalui sukan serta membuka peluang kepada belia untuk menonjolkan potensi dalam suasana sihat dan kompetitif.

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang khususnya pasukan Kuantan City  dan semoga terus melakar kecemerlangan di pentas kebangsaan! #PahangDaily

Share:

Dua Pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) Maut Nahas Dengan Ambulans Di Kuantan

KUANTAN: Dua pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) maut selepas motosikal yang ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah ambulans di persimpangan lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, Jalan Gambang, di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil, 21 dan Muhammad Firdaus Mohammad Zamri, 22.

"Siasatan awal mendapati van ambulans dalam perjalanan membawa pesakit dari arah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini ke arah Bukit Rangin, di sini kira-kira jam 11 pagi.

"Ketika ambulans membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat dengan menggunakan siren, sebuah motosikal dari arah Gambang, di sinidipercayai melanggar ambulans.

"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan HTAA.

"Pemandu ambulans berusia 49 tahun bersama pembantu ambulans berusia 43 tahun mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, menerusi hantaran Facebook rasmi UnIPSAS, universiti itu berdukacita atas pemergian dua pelajar yang terbabit dalam kemalangan.

"Muhammad Zuhair Rifqi, pelajar Diploma Pengajian Quran dan Sunnah manakala Muhammad Firdaus Mohammad Zamri, pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Pentadbiran Kehakiman.

"Pihak universiti merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga kedua-dua pelajar dan mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

"UnIPSAS turut menyeru warga kampus untuk bersama-sama menyedekahkan al-Fatihah dan mendoakan kesejahteraan arwah," menurut kenyataan itu. #BeritaHarian

Share:

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Dedah Wujud Kejadian Pukul, Klien Cedera Di PUSPEN Pahang

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan berlaku kejadian pukul dan kecederaan yang dialami oleh seorang klien ketika menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Pahang pada tahun lepas.

Menurut kenyataan EAIC hari ini, pihaknya menerima aduan terhadap pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berhubung kejadian itu dan siasatan dijalankan berdasarkan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).

"Siasatan mendapati wujud keterangan dan bukti yang menjurus kepada kejadian pukul itu berlaku sehingga menyebabkan kecederaan ke atas klien yang sedang menjalani rawatan pemulihan di pusat berkenaan.

"Wujud kemungkinan unsur penyembunyian oleh pihak PUSPEN terhadap kejadian itu kerana pemakluman berkenaan dengan kecederaan oleh klien dibuat dalam tempoh masa yang tidak munasabah kepada pihak Ibu Pejabat AADK," menurut EAIC.

Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan melibatkan wujud keterangan dan bukti itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selaras dengan peruntukan perenggan 30(1)(c) Akta 700 dengan cadangan untuk siasatan jenayah menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (Akta 574) atau mana-mana seksyen berkaitan dibuat ke atas suspek yang terlibat.

EAIC juga akan merujuk hasil siasatan mengenai unsur penyembunyian oleh PUSPEN untuk syor hukuman tatatertib terhadap pegawai terbabit di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, susulan kesalahan ingkar perintah sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(i) peraturan yang sama.

"Selain itu EAIC mengesyorkan pemasangan kamera litar tertutup dibuat di dalam kawasan PUSPEN bagi memastikan keselamatan klien yang menjalani pemulihan," menurut EAIC. #AstroAwani

Share:

Rangka Manusia Ditemui Di Felda Bukit Mendi Dikenal Pasti Milik Seroang Lelaki Dilaporkan Hilang 14 Bulan Lalu

BERA: Rangka manusia ditemui di Felda Bukit Mendi, di sini, 2 Mei lalu, dikenal pasti milik seorang lelaki berusia 49 tahun yang dilaporkan hilang 14 bulan lalu.

Rangka itu ditemui di kawasan semak di kawasan paya di Felda itu dan disahkan milik Hanafi Mohamad yang dilaporkan hilang 3 Mei, tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, rangka itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan pada 9 Mei lalu untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Menurutnya, sampel darah adik mangsa diambil untuk tujuan analisis itu.

“Berdasarkan analisis diperolehi, rangka itu dikenal pasti sebagai milik Hanafi dan keputusan ujian DNA menunjukkan padanan 99.9 peratus dengan sampel darah waris mangsa,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Zulkiflee berkata, setakat ini siasatan mendapati kematian lelaki terbabit tiada unsur jenayah.

Menurutnya, keluarga mangsa sudah menuntut rangka itu untuk urusan pengebumian.

2 Mei lalu, seorang peneroka berusia 51 tahun menemui rangka manusia berselerak bersama sehelai baju, seluar, jaket dan telefon bimbit di kawasan paya, kira-kira 100 meter dari rumah peneroka Felda Bukit Mendi. #BuletinTV3

Share:

Jabatan Mufti Pahang Dedah Fahaman 'New Age Movement' Mula Menyusup Dalam Masyarakat Di Negara Ini

KUANTAN: Jabatan Mufti Negeri Pahang mengambil perhatian serius terhadap penularan fahaman 'New Age Movement' di negara ini.

Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata sedemikian ekoran fahaman itu sudah mula menyusup ke dalam masyarakat Islam khususnya melalui platform motivasi, pembangunan diri, rawatan alternatif dan pembangunan spiritual.

Menurutnya, gerakan itu membawa unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah Islam seperti pantheisme, reinkarnasi, pluralisme agama, penyelewengan wahyu dan syariat.

"Gerakan ini begitu mudah menyerap ke dalam kursus-kursus pembangunan kendiri, seminar healing dan latihan minda yang kelihatan seolah-olah neutral tetapi sebenarnya membawa ajaran yang terpesong dari akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Umat Islam diingatkan agar berhati-hati terhadap mana-mana bentuk program yang menggunakan unsur metafizik dalam silibusnya yang tidak berasaskan ajaran Islam yang sahih.

"Dalam hal ini, Sufisme Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berteraskan al-Quran, al-Sunnah dan turath ulama muktabar adalah jalan sebenar dalam memenuhi keperluan kerohanian umat Islam," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujarnya, pendekatan psikospiritual dalam tasawuf yang melibatkan amalan seperti tazkiyah al-nafs, zikir, muraqabah, serta pengenalan terhadap maqam-maqam kerohanian, adalah alternatif yang seimbang dan sah untuk menangani kekosongan jiwa manusia moden.

Jelas beliau, ia tidak hanya menjaga akidah tetapi juga mendidik jiwa agar kembali kepada ALLAH SWT dengan penuh adab dan rasa kehambaan.

"Umat Islam disarankan merujuk ke Jabatan Mufti untuk mendapatkan nasihat yang tepat berkenaan apa-apa kemusykilan termasuk aktiviti-aktiviti yang menggunakan nama motivasi, pembangunan diri, spiritual dan lain-lain yang berkaitan," katanya. #SinarHarian

Share:

PAS Tempelak Pihak Pertikaikan Tuan Ibrahim, Jasa Beliau Hapus Hutang Air Pahang Ketika 33 Bulan Jadi Menteri


KUANTAN: Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar menempelak pihak yang mempertikai sumbangan Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam menyelesaikan isu air di negeri Pahang.

Menurut beliau, khususnya sepanjang 33 bulan pemimpin tersebut memegang jawatan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) apabila menghapuskan hutang bekalan air Pahang berjumlah RM2.1 bilion ketika itu.

“Baru-baru ini saya kira kecoh terutamanya daripada ‘cybertroopers’ Umno Pahang dengan persoalan Pemuda PAS Pahang mengenai hutang bekalan air RM 2.1 bilion yang dihapus kira?

“Terima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam satu ‘podcast’ telah mengesahkan penghapusan hutang bekalan air Pahang berjumlah RM2.1 bilion ini dimuktamadkan ketika Tuan Ibrahim menjawat jawatan Menteri KASA.

“Ini salah satu jasa 33 bulan ADN (Ahli Dewan Negeri) Cheka ketika menjawat jawatan Menteri KASA. Jasa yang tidak boleh disangkal,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyifatkan bertapa dhaifnya jentera Umno Pahang yang cuba menyerang dan mengalih isu air di Pahang dengan membawa hujah permasalahan air di Kelantan.

“Mereka bawa hujah ADN Cheka tiada jasa kepada negeri Pahang dalam mendepani isu air ini dan beberapa hujah dangkal yang cuba mengaburi mata rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyenaraikan beberapa jasa ADN Cheka dalam menyelesaikan permasalahan isu air di Pahang antaranya peruntukan sebanyak RM632 juta menerusi Belanjawan Persekutuan 2021.

Ia jelas Azlan, bagi menyelesaikan isu bekalan air luar bandar yang melibatkan lebih 4,800 rumah, termasuk di Pahang dari sebanyak RM5.9 bilion diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk 38 projek infrastruktur air di negeri ini.

Selain itu, Azlan berkata, sebanyak lapan projek bekalan air luar bandar menerusi inisiatif Wakaf Air, bernilai RM403,175, dilaksanakan termasuk di Jerantut dan Lipis.

Beliau berkata, sudah tiba masanya rakyat menilai secara rasional dan tidak terpengaruh dengan permainan politik lama yang hanya tahu menuding jari.

“Jikalau dipersoal 33 bulan apa jasa dalam menyelesaikan isu bekalan air Pahang dipersoal dan dipertikaikan? Sementalah hutang RM2.1 bilion ini perlu diperjelaskan dan kenapa masalah air masih lagi belum selesai?

“Fokus kepada negeri Pahang tidak perlu menunding jari kepada negeri lain. Hakikat yang jelas lebih 60 tahun Umno memerintah Pahang masalah air tidak selesai. Inilah kenyataan yang harus ditelan rakyat,” katanya. #Harakahdaily

Share:

Guru Sekolah Agama Maut, Kereta Yang Dipandu Bertembung Lori Mesin Gerudi Di Jalan Besar Felda Jengka 20


MARAN:  Perjalanan seorang guru Sekolah Menengah Agama (SM) Al-Basriah Kuala Tembeling, Jerantut pulang ke rumah bertukar tragedi apabila maut selepas kereta yang dipandunya bertembung lori mesin gerudi di Jalan Besar Jengka 20 di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Myvi dan lori jenis Isuzu.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, mangsa Nurfarah Izyan Ismail, 28, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kereta itu dalam perjalanan dari tempat kerja di sekolah terbabit ke rumahnya di Sungai Gau, Temerloh.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta tersebut telah hilang kawalan dan masuk arah bertentangan dan bertembung dengan lori.

"Kemalangan menyebabkan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat manakala pemandu lori iaitu lelaki berusia 51 tahun patah paha kiri," katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Ujarnya, dua penumpang iaitu lelaki berusia 25 dan 45 tahun mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi penumpang, lelaki berusia 53 tahun tidak cedera.

Jelasnya, kesemua mereka dihantar ke Hospital Jengka untuk rawatan lanjut dan bedah siasat dijalankan di hospital sama.

"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," tambahnya. #SinarHarian

Share:

Rakyat Tertipu Dengan Janji Pilihan Raya, BN Makin Terserlah Ketakutan Terhadap Slogan 'PAS Teraju Pahang'

KUANTAN: Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang, menyifatkan kenyataan Menteri Besar Pahang bahawa slogan ‘PAS Teraju Pahang’ sebagai retorik tidak berhala tuju adalah satu bentuk ketakutan yang cuba disembunyikan.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sebaliknya mengingatkan Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail terhadap penipuan slogan dan sumpah dibuat Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya, khususnya janji tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Apa yang jelas kepada kita ialah rakyat sekarang rasa tertipu dengan slogan dijanjikan oleh Barisan Nasional sebelum pilihan raya berjanji mati-matian sampai bersumpah, ‘wallahi wabillahi watallahi’ tidak akan bersama dengan Anwar, tidak akan bersama dengan DAP.

“Ternyata bahawa rakyat tertipu dengan janji tersebut, dengan sumpah tersebut yang akhirnya mereka bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dengan BN walaupun mereka bersumpah.

“Demikian juga DAP. Waktu kempen pilihan raya mati-matian mengatakan Umno perompak, penyamun, tiba-tiba bersama-sama dengan perompak dan penyamun yang mereka gelarkan,” ujarnya dalam satu video di media sosial miliknya, hari ini.

Menurut Timbalan Presiden PAS itu, perubahan besar sedang berlaku di seluruh negara apabila negeri seperti Kelantan dan Terengganu menyaksikan hampir tiada pembangkang.

Manakala di Pahang sendiri jelasnya, berlaku lonjakan sokongan kepada pembangkang kerana keyakinan rakyat terhadap gerak kerja yang sedang dilakukan.

Beliau berkata, Pahang merupakan sebuah negeri yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan lebih baik daripada ditawarkan oleh kerajaan sedia ada, khususnya dalam aspek pembangunan fizikal dan kebajikan rakyat.

“Kita lihat masih banyak jalan-jalan yang tidak diperbaiki, jalan-jalan yang berpuluh tahun tidak dinaik taraf, jalan-jalan yang masih berlubang sana sini.

“Isu bekalan air, berapa ramai penduduk yang masih lagi bergantung pada sumber air bukit yang tidak dirawat dengan baik iaitu masalah yang tak selesai.

“Demikian juga isu-isu yang melibatkan soal bantuan kebajikan golongan-golongan miskin yang di kampung-kampung yang masih tidak dibela. Mungkin kita sebut golongan FELDA dapat pelbagai peruntukan.

“Bagaimana nasib orang kampung dengan kos harga yang meningkat, harga getah yang tidak stabil di waktu yang sama mereka tidak ada sumber pendapatan dan jaminan,” tegasnya.

Kata Dato’ Sri Tuan Ibrahim, walaupun pelbagai projek diumumkan untuk peneroka FELDA dan masyarakat Orang Asli, nasib penduduk kampung dan kampung tersusun masih belum mendapat perhatian sewajarnya.

Justeru, beliau menyeru seluruh masyarakat termasuk Orang Asli dan penduduk kampung supaya melihat keperluan membangunkan negeri secara lebih mampan dan menyeluruh, memanfaatkan sumber yang belum diteroka secara maksima.

“Kenaikan yang bebankan rakyat ini perlu dihentikan dan di waktu yang sama kita lihat kegagalan Kerajaan Persekutuan diheret kepada kerajaan negeri yang juga mempamerkan beberapa kelemahan-kelemahan yang ada,” tempelaknya.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangkang di Pahang akan terus memainkan peranan secara konstruktif dalam Dewan Negeri dengan membangkitkan isu, menegur dan mengemukakan cadangan bernas demi kepentingan rakyat.

“Tapi di waktu yang sama kita dahulu gerakkan kerja kita. Membaiki masyarakat kita supaya negeri Pahang benar-benar menjadi sebuah negeri yang makmur. Insya-Allah.

“Bekerja bersama tingkatkan usaha dan insya-Allah kita mampu membuat perubahan. PAS teraju Pahang,” katanya. #Harakahdaily

Share:

Titah Adendum: Ketua Pemuda UMNO Pahang Dakwa Jika Najib Pun Dinafikan, Apalah Lagi Nasib Rakyat Biasa

KUANTAN: “Jika hak seorang pemimpin negara pun boleh dinafikan, tidak mustahil rakyat marhaen akan terus dipinggirkan dan dizalimi tanpa pembelaan.”

Demikian kata Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim yang mengecam tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana dikatakan lambat mengakui kewujudan Titah Adendum berkaitan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, tindakan AGC menafikan dan gagal mengakui lebih awal kewujudan titah itu bukan sahaja mengecewakan, malah mencerminkan kegagalan besar sebagai penjaga utama undang-undang negara.

"Perkara sepenting ini tidak seharusnya mengambil masa setahun untuk diakui, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan titah daripada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang institusinya wajib dihormati dan dipelihara dalam kerangka Raja Berperlembagaan.

“Sikap mendiamkan diri, berdolak-dalik dan berlindung di sebalik alasan teknikal hanyalah cubaan untuk mengelak daripada menjunjung kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Rabu.

Beliau menjelaskan ini bukan kesilapan biasa tetapi satu bentuk pengkhianatan terhadap kedaulatan undang-undang dan penghinaan terhadap institusi diraja.

Tegasnya, AGC sepatutnya menjadi lambang keadilan dan bukan menjadi alat untuk melengahkan atau menyembunyikan kebenaran.

“Kelewatan dan sikap tidak telus ini menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman dan membuka ruang kepada pelbagai persepsi negatif bahawa undang-undang hanya ditegakkan apabila ia menguntungkan pihak tertentu,” katanya.

Menurut Kamil, keadaan itu menimbulkan kebimbangan jika perkara sebegini boleh berlaku terhadap seorang bekas Perdana Menteri, maka apalah nasib rakyat biasa.

Tambah beliau, kesan daripada kegagalan ini amat serius kerana institusi undang-undang dan kehakiman dilihat berat sebelah dan tidak lagi bebas.

"Kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan semakin terhakis.

“Malah kedaulatan Raja-Raja Melayu tercabar akibat kegagalan penjawat awam menjunjung titah dan negara berisiko berdepan krisis perlembagaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan AGC ini adalah satu amaran bahawa sistem sedang pincang dan mereka tidak boleh terus bersembunyi di sebalik alasan teknikal apabila maruah institusi dan kepercayaan rakyat menjadi taruhan.

"Kami menuntut AGC tampil memberi penjelasan secara terbuka kepada rakyat dan mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan ini.

“Sekiranya mereka tidak mampu menjunjung Perlembagaan dan menghormati titah Raja, maka mereka yang ada dalam AGC ini tidak layak memegang jawatan setinggi itu.

“Jangan biarkan negara ini rosak hanya kerana segelintir yang memilih untuk tunduk kepada tekanan, bukan kepada kebenaran,” katanya.

Pada Rabu, AGC memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa mereka tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.

Sebaliknya Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, AGC mempersoalkan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

"Kami berpendirian, titah itu wujud namun prosedur untuk mengemukakannya melalui bukti tambahan perlu dipatuhi. Maka kami bersandarkan kepada hujahan bertulis yang telah difailkan sebelum ini dan menyerahkan kepada mahkamah untuk tindakan lanjut," katanya. #SinarHarian

Share:

Aspirasi Pahang 1st Angkat Kelestarian Sebagai Teras pembangunan Jamin Masa Depan Seimbang, Berdaya Tahan

KUANTAN: Pahang diibarat ‘Paru-Paru Semenanjung’ dengan lebih 57 peratus kawasan diliputi hutan bernilai RM17 bilion yang menjadi sumber air utama dan khazanah biodiversiti negara.

Demikian kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menyifatkan manfaat kawasan tadahan air meliputi bukan sahaja di Pahang malah meyumbang kepada negeri lain.

Maka dalam mengejar pembangunan, kelestarian alam bukan pilihan sebaliknya ia merupakan kewajipan moral, amanah generasi dan tanggungjawab terhadap tuhan, katanya.

Menurutnya, ia selari dengan dasar Aspirasi Pahang 1st mengangkat kelestarian sebagai teras pembangunan demi menjamin masa depan yang seimbang dan berdaya tahan.

”Antara inisiatif utama penambahan hutan simpan kekal dan perlindungan tanah lembapan dijalankan dengan kewartaan kawasan hutan baharu serta pemeliharaan tanah lembapan, tadahan air dan habitat kritikal, sebagai langkah mitigasi perubahan iklim.

”Selain itu penguatkuasaan pencerobohan tanah haram melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) sejak 2019, kerajaan negeri memperkukuh operasi pengesanan, pendakwaan dan pemulihan kawasan yang diceroboh secara haram. Tiada yang kebal di sisi undang-undang.

”Tenaga boleh baharu dan kitar semula dengan memberi galakan kepada penggunaan solar, mini-hidro dan biogas melalui dasar hijau, insentif pelaburan serta pendidikan kitar semula dan sistem kutipan pintar,” katanya ketika sidang media sempena pelancaran Aspirasi Pahang 1st di Stadium SUKPA di sini hari ini.

Jelas Wan Rosdy Aspirasi Pahang 1st bukan hanya sebuah slogan, tetapi menjadi dasar negeri dalam semua bidang termasuk ekonomi, pendidikan, transformasi, kelestarian alam, pentadbiran, memperkukuh syiar Islam selain memartabat institusi diraja.

Ia juga adalah wawasan dan cita-cita, semangat serta satu gagasan menuntut semua pihak meletakkan daya saing dan inovasi sebagai nadi pembangunan negeri.

Tambahnya pelaksanaan ekopelancongan lestari serta bertanggungjawab kepada pembangunan ekopelancongan seperti di Taman Negara dan Tasik Chini juga dipacu secara terkawal dengan penekanan kepada pemuliharaan, penglibatan komuniti, dan penyelidikan saintifik.

Kesemua usaha tersebut ujarnya mencerminkan komitmen untuk menjadikan Pahang sebuah negeri hijau selari dengan prinsip Maqasid Syariah dalam memelihara alam.

”Bumi ini bukan milik kita mutlak, ia merupakan amanah daripada generasi terdahulu untuk kita wariskan kepada generasi akan datang.

”Maka menjadi amanah kita untuk menyerahkannya kembali dalam keadaan yang lebih baik,” katanya. #MalaysiaGazette

Share:

Wan Rosdy Sifatkan Kempen PAS Teraju Pahang Tidak Lebih Daripada Slogan Kosong, Tiada Hala Tuju Jelas

KUANTAN: Kerajaan Pahang yang ketika ini diterajui UMNO tidak terkesan dengan kempen 'Teraju Pahang 2.0' yang sedang dilakukan PAS.

Sambil menyifatkan kempen itu tidak lebih daripada slogan 'kosong', Pengerusi UMNO Pahang, Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail juga tidak nampak hala tuju jelas yang ingin dibawa PAS menerusi kempen berkenaan.

"Saya lihat perkara ini adalah satu permainan sentimen... persepsi, kerana mereka (PAS) kekurangan modal dan kerajaan negeri terus bergerak ke hadapan.

"Dari segi prestasi itu, kita terus bergerak dan buat sehabis baik untuk rakyat dengan pelbagai bantuan dan inisiatif seperti inisiatif Makmur Pahang.

"Sehubungan dengan itu, kalau kita dengar (apa) yang 'dinyanyikan' oleh mereka, PAS Teraju Pahang hanya slogan, tapi apa yang dimaksudkan dengan PAS Teraju Pahang? Apa yang mereka nak buat?" katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Aspirasi Pahang First di sini hari ini.

Menteri Besar Pahang itu mengulas demikian selepas ditanya mengenai kempen dilancarkan PAS Pahang dalam usaha mereka merampas kerajaan negeri dalam PRU-16.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Andansura Rabu dalam satu majlis pada 6 Julai lalu memberitahu, parti terbabit dengan komponen dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) sudah memulakan jelajah Teraju Pahang 2.0 secara berterusan di seluruh negeri itu.

Dia berkata, program itu adalah kesinambungan kepada pusingan pertama yang selesai menjelajah 24 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dan berpotensi menang.

"Jelajah Teraju Pahang ini adalah untuk memberikan semangat kepada jentera kita. Selain itu, ia juga bertujuan menimbulkan keyakinan rakyat khususnya di kawasan yang kita jangka boleh menang, bahawa kita benar-benar serius untuk menerajui negeri Pahang," katanya yang juga ADUN Beserah.

Mengulas lanjut mengenai kempen berkenaan, Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO meminta rakyat di Pahang menilai agenda di sebalik kempen agresif PAS dan PN itu.

"Rakyat harus persoalkan bila mereka (PAS) kata nak teraju Pahang, apa yang nak buat (untuk Pahang)?

"Selama saya jadi Menteri Besar Pahang, kita mencatatkan banyak kejayaan dalam ekonomi dan kebajikan kepada rakyat.

"Prestasi kerajaan negeri meningkat, boleh diukur, KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita adalah antara negeri terbaik mengatasi KDNK peringkat nasional.

"Jadi, rakyat jangan terpengaruhlah dengan slogan mereka, ia hanya slogan saja, tak nampak pun apa yang mereka nak buat," jelasnya. #Malaysiakiniersoalkan bila mereka (PAS) kata nak teraju Pahang, apa yang nak buat (untuk Pahang)?

"Selama saya jadi Menteri Besar Pahang, kita mencatatkan banyak kejayaan dalam ekonomi dan kebajikan kepada rakyat.

"Prestasi kerajaan negeri meningkat, boleh diukur, KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita adalah antara negeri terbaik mengatasi KDNK peringkat nasional.

"Jadi, rakyat jangan terpengaruhlah dengan slogan mereka, ia hanya slogan saja, tak nampak pun apa yang mereka nak buat," jelasnya. #Malaysiakini

Share:

Kerja Baik Pulih Dan Penyelenggaraan Rumah Pam Kobat Siap Lebih Awal, Bekalan Air Pulih Berperingkat

KUANTAN: Kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan semua instrumen penting di Rumah Pam Kobat, di sini, telah siap sepenuhnya pada pukul 9.30 pagi tadi, lebih awal daripada jangkaan asal.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata pam air mentah di rumah pam berkenaan telah kembali beroperasi pada pukul 10.15 pagi, dan sumber air mentah kini dihantar ke Loji Rawatan Air (LRA) Semambu untuk diproses menjadi air terawat.

Beliau berkata beberapa tangki imbangan dan tangki simpanan telah dipenuhkan bagi membina tekanan serta aliran yang stabil, dan pengguna dijangka akan mula menerima bekalan air secara berperingkat.

"Pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan dan bergantung kepada jarak premis pengguna serta tekanan dalam sistem agihan bekalan.

"Bekalan alternatif seperti lori tangki dan tangki statik akan diteruskan di kawasan yang masih terjejas sehingga bekalan air pulih sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Saiful Zaini turut merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama semua pengguna sepanjang tempoh gangguan bekalan air itu.

"Komitmen anda menjadi dorongan buat kami untuk melaksanakan tugas ini dengan lebih cekap dan pantas. Penghargaan turut diberikan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) atas bantuan dan pemantauan sepanjang operasi ini dijalankan," katanya.

Semalam, PAIP memaklumkan beberapa kawasan di daerah Kuantan akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selama 12 jam bermula 11 malam tadi. #AstroAwani

Share:

Matawang Digital Bitcoin Melonjak Ke Paras Tertinggi Dalam Sejarah Sepanjang Masa, Hampir AS$112,000

NEW YORK: Bitcoin melonjak ke paras tertinggi sepanjang masa hampir AS$112,000, didorong oleh peningkatan selera risiko dan permintaan institusi yang berterusan apabila pemain pasaran kewangan tradisional semakin menerima mata wang kripto terbesar dunia itu.

Ia mencatatkan paras tertinggi baharu sebanyak AS$111,988.90 dan kali terakhir diniagakan naik 0.4 oeratus pada AS$111,259.

Sejak awal tahun ini, bitcoin telah meningkat lebih daripada 18 peratus.

"Bitcoin adalah satu-satunya aset yang saya tahu di mana risikonya semakin berkurangan apabila nilainya semakin besar," tulis Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Professional Capital Management, Anthony Pompliano dalam surat kepada pelabu."Dahulu hanya sebilangan kecil pengurus modal berpengalaman yang boleh mendapatkan pendedahan kepada bitcoin ketika nilai pasaran hanya AS$100 ke AS$200 bilion. Kini, apabila aset ini dinilai dalam trilion, hampir setiap pengurus modal di dunia boleh mendapat pendedahan kepadanya."

Dasar mesra kripto oleh pentadbiran Donald Trump turut mengukuhkan aset digital secara keseluruhan, sekali gus membuka lebih banyak sumber modal kepada sektor tersebut.

Sebagai contoh, Trump Media & Technology Group, yang dikendalikan oleh keluarga Presiden AS itu merancang untuk melancarkan dana dagangan bursa (ETF) yang akan melabur dalam pelbagai token kripto termasuk bitcoin, ether, solana, dan ripple, menurut satu makluman kepada pengawal selia pasaran AS pada Selasa lalu.

Kenaikan bitcoin turut mengalir ke mata wang kripto lain.

Ether, mata wang digital kedua terbesar dari segi permodalan pasaran, juga meningkat, mencapai paras tertinggi satu bulan pada AS$2,794.95.

Ia kali terakhir diniagakan naik 5.4 peratus pada AS$2,740.99.

Saham berkaitan kripto yang lain juga mencatatkan keuntungan.

Strategy, yang diasaskan bersama oleh tokoh utama dalam pergerakan perbendaharaan bitcoin, Michael Saylor, meningkat 4.7 peratus kepada AS$415.41, manakala Coinbase Global naik 5.4 peratus kepada AS$373.85. #BeritaHarian

Share:

MB: Tiada Kesan Gigitan Buaya Ditemui Pada Jasad Remaja Lelaki Lemas Di kawasan Empangan Sungai Kobat

KUANTAN: Tiada sebarang kesan gigitan buaya ditemui pada jasad remaja lelaki berusia 15 tahun yang ditemukan lemas di kawasan Empangan Sungai Kobat di sini pada Rabu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu disahkan pegawai penyiasat bahawa tubuh mangsa, Muhammad Isyraf Danish Razmi ditemui dalam keadaan baik.

Menurutnya, perkembangan itu sekali gus menangkis dakwaan yang tersebar di media sosial bahawa mangsa lemas akibat disambar buaya.

"Berita mangsa digigit buaya tidak benar sebaliknya hanya khabar angin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi keluarga mangsa di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Rabu.

Sebelum itu, kejadian menimpa mangsa tular di media sosial selepas dikatakan mempunyai kaitan dengan kehadiran buaya sehingga mencetuskan kebimbangan dalam penduduk setempat.

Wan Rosdy mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan turut merasai kesedihan atas musibah menimpa.

"Kerajaan negeri menghulurkan sumbangan termasuk sumbangan awal untuk uruskan jenazah mangsa.

"Sekiranya perlu, kita juga sedia menyediakan khidmat kaunseling kepada keluarga," katanya.

Muhammad Isyraf Danish dipercayai terjatuh ketika memancing bersama tiga rakannya di sungai berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam, Indera Mahkota di sini pada Selasa.

Kejadian lemas menimpa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Mahkota 2 itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika mangsa dipercayai turun ke gigi air untuk menarik tali pancing yang tersekat.

Mayat mangsa ditemui jam 12.40 tengah hari pada Rabu di kawasan Empangan Sungai Kobat kira-kira satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dipercayai tergelincir. #SinarHarian

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.