script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Mahkamah Tinggi Benar Permohonan Supaya Lima Isu Awal Diselesai Sebelum Pendengaran Perbicaraan Saman Sivil Yusoff Rawther

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini, membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya lima isu awal diselesaikan terlebih dahulu sebelum pendengaran perbicaraan saman sivil yang dikemukakan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.

Kes saman berkenaan membabitkan dakwaan insiden yang berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.

Hakim, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, memerintahkan lima isu berkenaan ditentukan melalui perbicaraan berdasarkan keterangan secara lisan (viva voce), dengan kedua-dua pihak bebas memanggil saksi yang dianggap perlu.

Ketika membacakan penghakiman, beliau berkata, isu yang dikemukakan Anwar sesuai ditentukan sebagai isu awal di bawah Aturan 33 Kaedah 2 Kaedah-Kaedah Mahkamah.

Beliau berkata, lima isu itu membabitkan kronologi peristiwa pada 2 Oktober 2018.

Antaranya, sama ada Setiausaha Sulit Anwar, Shukri Saad mengarahkan Muhammed Yusoff menyerahkan sendiri teks ucapan ke kediaman Anwar di Segambut.

Isu kedua ialah sama ada Muhammed Yusoff menaiki kenderaan bersama pengawal keselamatan Anwar, Norafee Ahmad, dari pejabat Anwar kira-kira jam 2.15 petang sebelum tiba di kediaman berkenaan sekitar jam 3 petang pada tarikh sama.

Mahkamah turut akan menentukan sama ada Muhammed Yusoff bertemu dengan Anwar di kediaman terbabit pada 2 Oktober 2018.

Raja Ahmad Mohzan berkata, sekiranya mahkamah mendapati Muhammed Yusoff tidak bertemu Anwar pada hari berkenaan, isu seterusnya ialah sama ada peristiwa yang didakwa termasuk serangan seksual dan atau pencerobohan terhadapnya boleh berlaku.

Isu kelima pula ialah sama ada writ dan pernyataan tuntutan yang difailkan Muhammed Yusoff boleh dipertahankan dari segi undang-undang dan fakta sekiranya mahkamah mendapati beliau tidak bertemu Anwar pada hari berkenaan.

Raja Ahmad Mohzanuddin berkata, Muhammed Yusoff selaku plaintif perlu terlebih dahulu hadir di kediaman Anwar selaku defendan di Segambut pada 2 Oktober 2018 sebelum dakwaan serangan seksual dan atau pencerobohan terhadapnya boleh berlaku di bilik bacaan.

"Sekiranya isu-isu awal dijawab memihak kepada defendan, tuntutan plaintif akan berakhir.

"Sebaliknya, jika ia dijawab memihak kepada plaintif, dapatan tersebut akan menjadi dapatan muktamad dan perbicaraan seterusnya akan dihadkan kepada dakwaan serangan seksual dan atau pencerobohan terhadap plaintif," katanya.

Beliau turut memerintahkan perbicaraan isu awal berkenaan dijalankan melalui platform Zoom dan kekal terbuka kepada awam, termasuk pengamal media.

"Dalam kata lain, perbicaraan isu-isu awal tidak boleh didengar secara tertutup," katanya.

Mahkamah turut menggantung semua prosiding lanjut dalam saman sivil berkenaan sementara menunggu penentuan isu awal terbabit.

Raja Ahmad Mohzanuddin turut memerintahkan Kos permohonan pula diperintahkan menjadi kos dalam kausa tindakan berkenaan.

Beliau yang akan berpindah ke Mahkamah Tinggi Ipoh turut menetapkan pengurusan kes pada 5 November ini di hadapan hakim baharu.

Peguam, Christopher Leong mewakili Anwar, manakala Muhammed Yusoff diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Sebelum ini, Anwar memohon supaya beberapa isu awal berkaitan pergerakan dan kehadiran Muhammed Yusoff di kediaman peribadinya pada 2 Oktober 2018 ditentukan terlebih dahulu sebelum perbicaraan saman sivil bermula.

Anwar turut memohon supaya isu berkenaan ditentukan sama ada melalui keterangan afidavit atau prosiding tertutup tanpa kehadiran media.

Menurutnya, penentuan isu berkenaan berpotensi menyelesaikan keseluruhan saman tanpa memerlukan perbicaraan penuh.

Dalam saman itu, Muhammed Yusoff menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, berserta faedah serta kos atas dakwaan beliau diserang oleh Anwar di kediamannya hampir lapan tahun lalu. #BeritaHarian

Share:

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dijangka Gantung Keahlian Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung Daripada Parti Selama Tiga Tahun

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka akan menggantung keahlian Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung daripada parti itu selama tiga tahun, menurut beberapa sumber kanan parti.

Sumber itu berkata keputusan untuk menggantung keahlian dan bukannya memecat Lee, adalah bagi mengelak parti Bersama pimpinan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mendapat seorang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Seorang sumber berkata parti itu sedar implikasi memecat Lee, khususnya selepas peletakan jawatan bekas Ahli Parlimen Subang Wong Chen yang beliau kemudiannya menyertai Bersama.

“Jika beliau (Lee) dipecat, tindakan itu seperti menyerahkan seorang Ahli Parlimen kepada Bersama,” kata sumber itu.

FMT menghubungi Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh untuk mendapatkan komen, tetapi masih belum menerima maklum balas.

Seorang lagi pemimpin kanan PKR berkata Lee dijangka berdepan penggantungan selama tiga tahun.

Sumber itu berkata keputusan tersebut dipengaruhi oleh rasa tidak puas hati yang semakin meningkat dalam kalangan akar umbi di cabang Petaling Jaya.

“Ramai anggota akar umbi dari cabangnya tidak berpuas hati dengan Lee dan telah menyuarakan kebimbangan mereka,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata ada ahli akar umbi tidak berpuas hati kerana Lee berucap dalam acara Bersama walaupun masih menjadi anggota PKR.

Hubungan Lee dengan kepimpinan parti makin merosot sejak pelancaran Bersama pada Mei, yang turut dihadiri bekas pengarah komunikasi PKR itu.

Lee diberi surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin PKR dan kemudian meletakkan jawatan daripada Majlis Pimpinan Pusat parti itu.

Beliau berkata akan kekal sebagai anggota PKR dan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya sehingga Parlimen dibubarkan.

Ahli Parlimen sepenggal itu turut mempertahankan kehadirannya dalam acara Bersama, dengan berkata beliau hanya menyertai aktiviti yang diadakan di kawasan pilihan rayanya. #FreeMalaysiaToday

Share:

Mayat Wanita Warga Emas Orang Asli Yang Dilaporkan Hilang Selepas Keluar Memancing Seorang Ditemui Dalam Kawasan Paya


ROMPIN:  Mayat wanita warga emas Orang Asli yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing seorang diri di Kampung Lesong, Kedaik, di sini, Rabu lalu, ditemukan dalam kawasan paya pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mayat Kuang Poh, 73 tahun, ditemukan kira-kira 11.50 pagi, pada jarak sekitar 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa ditemukan dalam kawasan paya sebelum dibawa keluar dari lokasi kira-kira 1.05 tengah hari.

“Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rompin untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keenam itu melibatkan 43 anggota daripada pelbagai agensi.

Katanya, antara aset dan pasukan yang terbabit termasuk Unit Dron Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin serta Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Operasi SAR ditamatkan kira-kira 2 petang selepas mayat mangsa berjaya ditemukan dan dibawa keluar dari kawasan pencarian.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar memancing seorang diri di kawasan berkenaan kira-kira 3 petang Rabu lalu.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan. #AsyikFM

Share:

Kerajaan Pahang Perhebat Pendidikan Berteras Al-Quran, Daripada Hanya Sebuah Pada Tahun 2018 Kepada 51 Tadika Tahfiz Pada Masa Ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pahang memperhebat pendidikan tahfiz di negeri itu apabila jumlah tadika tahfiz meningkat daripada hanya sebuah pada 2018 kepada 51 ketika ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha berkenaan bertujuan menyediakan pendidikan agama yang lebih tersusun dan bersistematik kepada anak-anak sejak peringkat awal.

“Sekarang ini ada 51 tadika tahfiz di Pahang yang sangat tersusun, silibusnya bagus dan modulnya pun telah diambil oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk dijadikan modul.

“Setakat hari ini bila sudah ada tadika tahfiz ini, sambutannya sangat baik. Ramai ibu bapa telah menghantar anak mereka ke tadika tahfiz ini,” katanya ketika Wawancara Eksklusif bersama Sinar Harian pada Khamis.

Menerusi Belanjawan Negeri sebelum ini, kerajaan Pahang memperuntukkan RM235.95 juta bagi hal ehwal Islam, meningkat RM33.53 juta berbanding tahun 2025.

Peruntukan berkenaan termasuk RM116.58 juta bagi dana operasi sekolah agama dan bantuan RM10,000 kepada setiap masjid di negeri itu.

Menurut Wan Rosdy, pendidikan berteraskan al-Quran perlu diberi perhatian bagi membentuk generasi yang bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik, malah mampu menguasai al-Quran dan mengaplikasikan ilmu agama dalam bidang profesional.

“Saya merasakan anak-anak ini perlu daripada awal mendapat pendidikan ataupun subjek ataupun silibus yang betul-betul boleh menjurus mereka untuk pergi lebih berjaya lagi.

“Kita nak lahirkan suatu hari nanti Perdana Menteri yang mungkin hafaz al-Quran, akauntan yang hafaz al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, hasrat sama boleh diterapkan dalam bidang profesional termasuk perubatan supaya golongan berkenaan turut mempunyai kemampuan menghafaz al-Quran.

“Kalau boleh doktor itu dia boleh hafal al-Quran. Itu seboleh-bolehnya yang kita nak,” katanya.

Ujarnya, usaha memperkukuh syiar Islam itu juga menjadi antara pendekatan kerajaan negeri dalam menjawab persepsi bahawa pentadbiran Pahang tidak mengutamakan Islam.

“Bila kerajaan Pahang dituduh sekular, tidak Islamik, jadi saya kena buktikan kepada rakyat bahawa kerajaan ini adalah kerajaan yang mementingkan syariah Islam.

“Kalau cakap kosong, orang tidak percaya. Jadi, kita bercakap dengan angka,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh beliau menerajui pentadbiran Pahang, sebanyak 44 masjid telah dibina dengan kos hampir RM150 juta.

“Setiap masjid kerajaan negeri bagi RM10,000, termasuk surau yang boleh menunaikan solat berjemaah, kita bagi.

“Anak-anak kita yang berkhatan, kita menyediakan peruntukan RM1 juta,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap pencapaian pelajar menerusi penyediaan buku rujukan secara percuma bagi membantu mereka dalam pembelajaran.

Katanya, buku rujukan berkenaan disediakan hasil perbincangan dengan pihak kementerian dan Jabatan Pendidikan Negeri serta membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan.

“Buku rujukan ini sangat membantu kerana kita bincang dengan pihak kementerian, bincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan ia sangat bermanfaat serta membantu.

“Itu salah satu menyebabkan anak-anak Pahang berjaya dengan cemerlang dan kita Pahang dapat pencapaian yang terbaik,” katanya.

Wan Rosdy berkata, Pahang berada di tempat kedua peringkat kebangsaan dalam pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 selepas Putrajaya.

Beliau berkata, pencapaian itu membanggakan mengambil kira jumlah sekolah yang lebih banyak berbanding Putrajaya selain faktor geografi termasuk kawasan pedalaman. #SinarHarian

Share:

Polis Minta Bantuan Orang Ramai Mengesan Seorang Anggota Tentera Berusia 21 Tahun Dilaporkan Hilang Sejak 26 September Lalu

BENTONG: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang anggota tentera berusia 21 tahun yang dilaporkan hilang sejak 26 September lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Asisten Komisioner Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Muhammad Danial Asraf Azizan,  kira-kira jam 2.51 petang semalam.

Menurutnya, laporan dibuat oleh ibu mangsa, 41, selepas anaknya gagal dihubungi sehingga laporan polis dibuat.

“Mangsa merupakan anggota Kompeni Charlie, Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), di sini.

“Lokasi terakhir mangsa juga adalah di Kompeni Charlie, Batalion 25 RAMD, Bentong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Muhammad Danial Asraf mempunyai ketinggian kira-kira 162 sentimeter, berambut pendek hitam, bermata hitam, berbentuk muka panjang dan berkulit sawo matang.

“Mangsa tidak memakai kaca mata, manakala pakaian terakhirnya tidak dapat dipastikan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2231999,” katanya.

Zaiham turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis di bawah pentadbiran IPD Bentong bagi membantu usaha mengesan mangsa.

Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan siasatan masih dijalankan. #MalaysiaGazette 

Share:

Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) Nafi Ada Kaitan Hospital Bera Dengan Hantaran Tular Isu Babitkan Pengurusan Jenazah

BERA: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menafikan sebarang kaitan Hospital Bera dengan hantaran media sosial yang mendakwa berlaku isu membabitkan pengurusan jenazah.

JKNP dalam kenyataan hari ini berkata, hantaran dan kenyataan berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Hospital Bera atau jabatan itu.

Menurutnya, Unit Forensik Hospital Bera tidak terlibat dalam menentukan, mengurus atau membuat sebarang keputusan berkaitan pengendalian jenazah selepas proses perubatan dan dokumentasi berkaitan selesai dilaksanakan.

“Pengurusan jenazah di hospital dilaksanakan berdasarkan Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil. 10/2025: Garis Panduan Tatacara Pengurusan Jenazah di Hospital dan Institusi Perubatan Khas Kementerian Kesihatan Malaysia, bertarikh 21 April 2025.

“Setelah segala urusan berkaitan perubatan dan dokumentasi diselesaikan, keputusan berhubung urusan selanjutnya terhadap jenazah adalah tertakluk kepada waris, termasuk urusan pengambilan serta pengurusan jenazah oleh pihak yang dipilih atau dilantik oleh waris,” katanya dalam kenyataan itu.

JKNP berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang andaian, spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

Katanya, tindakan menyebarkan maklumat tidak tepat dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan atau memberikan gambaran yang tidak tepat terhadap Hospital Bera dan perkhidmatan kesihatan yang disediakan.

“JKNP sentiasa komited untuk memastikan segala maklumat berkaitan fasiliti, perkhidmatan dan urusan kesihatan di Negeri Pahang disampaikan secara tepat, telus dan melalui saluran rasmi,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan JKNP hari ini susulan hantaran media sosial yang mengaitkan hospital berkenaan dengan isu pengurusan jenazah. #MalaysiaGazette

Share:

Sektor Pembuatan Merekodkan Sumbangan 22% Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Pahang, Kaneka Antara Pemacu Utama

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-30 Kaneka Malaysia Sendiri Berhad di sini.

Baginda turut menyaksikan penyampaian sumbangan cek cura daripada Pengerusi Kaneka Corporation, Kimikazu Sugawara kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Profesor Dr Yatimah Alias.

Turut hadir, Duta Besar Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.

Sementara itu ketika bercakap dalam sidang media, Datuk Mohamad Nizar berkata, syarikat Kaneka telah memberi sumbangan yang besar kepada Pahang, khususnya menerusi 600 peluang pekerjaan dengan 95 peratus daripadanya merupakan pekerja tempatan.

“Kita di Invest Pahang, khususnya portfolio pelaburan dan perindustrian berharap dapat menarik lebih banyak lagi syarikat seperti Karneka yang merupakan syarikat berteknologi tinggi. Lihat sahajalah produknya yang boleh digunakan dalam pelbagai industri, industri aeroangkasa, industri kenderaan elektrik (EV), industri pembangunan, industri rambut palsu dan sebagainya.,” katanya.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan penglibatan syarikat terbabit dalam rancangan projek Pahang Aerospace City (PAC) pada masa depan.

Mengulas lanjut beliau berkata, Pahang merekodkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM71 bilion pada tahun 2025, dengan 22 peratus daripadanya disumbangkan sektor pembuatan.

“Saya yakin, Kaneka menjadi antara penyumbang besar dalam pencapaian itu,” katanya. #BeritaRTM

Share:

Polis Serbu 83 Premis Jalankan Aktiviti Judi Haram Di Kuantan, Tahan 95 Individu Hasil Serbuan Bagi Tempoh Januari - Ogos 2026

KUANTAN: Sebanyak 83 serbuan telah dijalankan polis daerah Kuantan ke atas premis-premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram dan menahan 95 individu hasil serbuan terbabit.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayub berkata, daripada keseluruhan 83 kertas siasatan yang dihasilkan itu, 64 daripadanya telah berjaya dituduh di mahkamah.

Beliau menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang aktiviti perjudian haram yang boleh mencemarkan ketenteraman awam dan sentiasa mengambil tindakan penguatkuasaan menerusi Operasi (Op) Dadu.

“Kesemua serbuan dijalankan bagi tempoh bulan Januari hingga Ogos 2026.

“Daripada jumlah tersebut juga, sebanyak 20 premis telah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik bersama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai hantaran di media sosial oleh Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor yang mendakwa isu judi di daerah ini masih berleluasa.

Wan Razali berkata, pihaknya sering menerima aduan mengenai isu terbabit disuarakan penduduk di Tanjung Lumpur, Sungai Isap, Kempadang, Berjaya Permai, Pak Mahat dan Batu 3, di mana mereka turut mencadangkan agar himpunan diadakan di setiap premis yang dikenal pasti menjalankan aktiviti itu.

“Saya mengharapkan pihak polis dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) terus aktif membuat siasatan dan mengambil tindakan berterusan bagi menyelamatkan ummah dari dibelenggu gejala judi yang merugikan negara,” katanya.

Justeru, Azry Akmar menasihati orang awam agar tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menyebabkan sebarang insiden tidak diingini daripada berlaku.

Beliau turut menyeru komuniti setempat agar terus menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan judi haram kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Polis Daerah Kuantan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram dan akan meneruskan operasi secara berterusan,” tegasnya. #MalaysiaGazette

Share:

Pahang Perkukuh Industri Hiliran Perikanan, Tumpu Teknologi Pemprosesan, Penyimpanan Dan Pembangunan Produk Berasas Hasil Laut

KUANTAN: Pahang memperkukuh rantaian industri perikanan negeri dengan memberi tumpuan kepada teknologi pemprosesan, penyimpanan dan pembangunan produk hiliran berasaskan hasil laut.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha itu antara yang diberi perhatian semasa lawatan kerja delegasi Pahang ke Vigo, Sepanyol termasuk kunjungan ke sebuah pusat teknologi dan penyelidikan industri perikanan terkemuka, Anfaco-Cytma.

Menurutnya, turut dilawati syarikat multinasional terkemuka dari Sepanyol yang pakar dalam industri perikanan, akuakultur, pemprosesan dan pengedaran makanan laut, Grupo Profand.

"Lawatan itu bagi meninjau perkembangan industri perikanan dan pemprosesan hasil laut di negara berkenaan.

"Vigo antara pusat industri perikanan yang penting di Eropah justeru lawatan ke Anfaco-Cytma memberi peluang kepada kami melihat bagaimana penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi pemprosesan hasil laut serta pemeliharaan ikan digabungkan bagi menghasilkan produk yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi," katanya melalui hantaran di Facebooknya.

Wan Rosdy kini sedang mengetuai delegasi kerajaan Pahang dalam misi lawatan kerja ke Eropah bagi meneroka peluang kerjasama strategik, teknologi baharu serta memajukan sektor ekonomi utama negeri.

Terdahulu, beliau bersama delegasi memulakan lawatan kerja itu ke Itali bagi sektor penternakan dalam usaha memperkukuh pembangunan industri kerbau tenusu menerusi penerokaan teknologi, baka berkualiti dan pengurusan moden dari negara itu.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, lawatan ke Grupo Profand memberi peluang kepada para delegasi melihat sendiri operasi pemprosesan ikan dan makanan laut, pengurusan rantaian bekalan, teknologi penyimpanan serta aspek keselamatan dan kawalan kualiti makanan.

"Apa yang menarik perhatian saya, industri perikanan mereka tidak berhenti pada aktiviti menangkap dan mendaratkan ikan semata-mata sebaliknya, hasil laut dikembangkan melalui satu rantaian industri yang lengkap daripada pendaratan, pemprosesan, penyimpanan, pembungkusan, pemasaran sehinggalah menghasilkan pelbagai produk hiliran.

"Perkara ini sangat relevan dengan Pahang yang mempunyai kedudukan penting dalam sektor perikanan di Pantai Timur," katanya.

Jelas beliau, berdasarkan data Jabatan Perikanan Malaysia, pengeluaran perikanan Pahang pada tahun 2025 mencapai 148,968 tan metrik, meningkat daripada 144,651.73 tan metrik pada 2024, serta tertinggi di Pantai Timur.

"Angka itu menunjukkan Pahang bukan sekadar mempunyai sumber perikanan yang besar, tetapi mempunyai asas yang kukuh untuk membangunkan industri perikanan secara lebih menyeluruh.

"Justeru, kerajaan negeri berhasrat untuk melihat Pahang bergerak ke satu tahap yang lebih tinggi. Kita tidak mahu hanya menjadi negeri yang membekalkan ikan mentah selamanya," ujar beliau.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan negeri ingin melihat hasil laut Pahang diproses di negeri ini, diberikan nilai tambah dan seterusnya dipasarkan dalam bentuk produk yang lebih bernilai.

"Daripada ikan segar, kita boleh membangunkan lebih banyak produk hiliran seperti makanan sejuk beku, makanan sedia dimakan, produk berasaskan ikan, produk surimi, makanan dalam tin serta pelbagai produk makanan laut yang mempunyai pasaran lebih luas.

"Inilah yang dimaksudkan dengan membangunkan rantaian industri perikanan supaya nilai ekonomi daripada hasil laut tidak terhenti di jeti atau pasar, tetapi terus berkembang sepanjang rantaian sehingga memberi manfaat kepada nelayan, pengusaha, usahawan, industri pemprosesan dan akhirnya kepada ekonomi negeri," katanya. #SinarHarian

Share:

Pahang Aerospace City Bakal Jadi Hab Industri Bersepadu Yang Berasaskan Teknologi Dan Penerbangan, Nilai GDV Sehingga RM40 Bilion

KUALA LUMPUR: Pahang Aerospace City (PAC) di Gebeng, Kuantan bakal menjadi pemangkin baharu ekonomi negeri apabila kawasan seluas 4,997.9 hektar dirancang dibangunkan sebagai hab industri bersepadu berasaskan teknologi dan penerbangan, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sehingga RM40 bilion.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Aerospace City Development Bhd (PACDB), Prof Adjung M Nurazmi Abas, berkata pembangunan bersepadu itu bukan sekadar membabitkan pembinaan lapangan terbang baharu, sebaliknya merangkumi pelbagai komponen industri baharu berasaskan teknologi dan penerbangan.

Beliau berkata, antara komponen utama PAC termasuk industri kapal terbang dan aeroangkasa, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pusat data berteraskan kecerdasan buatan (AI), dron, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) serta pesawat berlepas dan mendarat secara menegak elektrik (eVTOL).

"Sebaliknya, kita ada banyak komponen pembangunan yang menarik yang akan dibangunkan di kawasan ini. Sebagai contoh, kita ada satu kawasan pembangunan untuk industri kapal terbang dan aeroangkasa, aeronautik serta komponen pembangunan untuk MRO," katanya.

Beliau ditemui di luar pameran International Sustainability Week (ISW) 2026, baru-baru ini.

M Nurazmi berkata, PAC turut mempunyai komponen bandar angkasa atau Space City yang antara lain merancang pembangunan kemudahan pembuatan satelit serta aktiviti berkaitan pelancaran satelit ke ruang angkasa.

Beliau berkata, konsep pembangunan itu turut merangkumi kawasan rekreasi, padang golf, kompleks perniagaan, pusat konvensyen, pusat beli-belah, kompleks sukan permotoran dan kawasan perumahan, sekali gus menjadikan PAC sebuah pembangunan bersepadu.

"Jadi satu pembangunan yang bersepadu. Saya difahamkan ini bukan satu pembangunan yang dipanggil multimodal Omniport. Maksudnya, ada pelbagai jenis pengangkutan yang akan berlangsung di situ," katanya.

Konsep itu akan menggabungkan pelbagai bentuk pengangkutan dan aktiviti penerbangan dalam satu pembangunan, termasuk lapangan terbang, operasi dron, roket serta rangkaian kereta api yang disokong pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Nurazmi berkata, PAC akan dibahagikan kepada tujuh presint yang setiap satunya merujuk kepada bidang atau tonggak industri tertentu, dengan setiap presint mempunyai pemaju dan pelabur tersendiri berdasarkan keupayaan serta kepakaran masing-masing.

Katanya, empat daripada tujuh presint sudah dipersetujui untuk dibangunkan, manakala tiga lagi masih terbuka untuk rundingan, dengan antara komponen yang sudah dimulakan ialah pembangunan TOD, kompleks permotoran, pusat beli-belah dan pusat konvensyen.

Antara presint utama ialah kawasan lapangan terbang seluas 1,317.3 hektar, termasuk kira-kira 607.03 hektar untuk lapangan terbang antarabangsa dan 607.03 hektar lagi bagi aktiviti MRO, selain Space City serta Advanced Mobility Park seluas 404.7 hektar.

Pada masa sama, kawasan untuk pusat data, komersial dan zon perdagangan bebas masih dalam proses rundingan, termasuk keperluan mendapatkan dasar berkaitan gudang berikat bagi zon perdagangan bebas.

Lapangan terbang baharu yang menjadi komponen utama PAC pula disasarkan berstatus antarabangsa dengan kapasiti sekitar dua juta penumpang setahun, selain mampu mengendalikan operasi pesawat berbadan sempit dan berbadan lebar serta aktiviti kargo.

Nurazmi berkata, pemindahan operasi dari Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di Jaya Gading diperlukan antara lain kerana keterbatasan ruang udara sedia ada yang dikongsi dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sekali gus mengehadkan kekerapan penerbangan.

"Kalau berpindah ke Gebeng, kita ada lebih banyak ruang untuk lapangan penerbangan antarabangsa. Ia akan menjadi lapangan terbang berstatus antarabangsa. Kita sasarkan dua juta penumpang setiap tahun," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib, berkata pembangunan PAC turut selari dengan keperluan negeri untuk mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan kepada sektor tradisional.

Beliau berkata, ekonomi Pahang kini secara kasar disumbangkan sektor perkhidmatan sekitar 50 peratus, manakala pelancongan merangkumi kira-kira 20 peratus, pembuatan dan pertanian sekitar 20 peratus, dengan baki sumbangan daripada perlombongan serta pembinaan.

Katanya, pembangunan PAC dijangka membantu meningkatkan sumbangan sektor pembuatan selain membawa aktiviti bernilai tambah lebih tinggi dalam sektor perkhidmatan. #BeritaHarian

Share:

Sultan Pahang, Tengku Ampuan Pahang Hadir Ziarah Keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad Di The Mines, Seri Kembangan 2.15 Petang Tadi

KUALA LUMPUR: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, tiba di kediaman Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini, hari ini, bagi menziarahi keluarga susulan pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Pasangan diraja itu tiba di kediaman Dr Mahathir di The Mines, Seri Kembangan, kira-kira jam 2.15 petang.

Ketibaan baginda berdua menyusul selepas kehadiran ahli keluarga, pemimpin politik dan kenalan rapat yang terus berkumpul di kediaman bekas Perdana Menteri itu bagi menziarahi serta menyampaikan ucapan takziah kepada Dr Mahathir dan keluarga. #BeritaHarian

Share:

Jenazah Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali Akan Dikebumikan Di Pusara Negara, Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya Petang Ini


PUTRAJAYA: Jenazah Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali akan dikebumikan di Pusara Negara, Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya pada Isnin.

Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan pada Isnin memaklumkan, istiadat pengebumian jenazah akan disempurnakan selepas selesai urusan pengurusan, penghormatan terakhir dan solat jenazah di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan, Selangor.

Jenazah akan dibawa menggunakan kenderaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) jam 4.30 petang bagi tujuan tersebut.

Allahyarham Tun Dr Hasmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia pada jam 9.20 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Klang, Selangor, Dr Hasmah merupakan antara doktor wanita Melayu terawal di Malaysia dan kemudiannya membina kerjaya panjang dalam bidang perubatan, kesihatan awam serta kerja kemasyarakatan.

Beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura dan menamatkan pengajian pada 1955.

Selepas menyertai Kementerian Kesihatan, beliau berkhidmat sebagai pegawai perubatan di beberapa kawasan di seluruh negara, termasuk Kedah, dengan sebahagian besar tugasnya tertumpu kepada kesihatan awam serta penjagaan kesihatan ibu dan kanak-kanak.

Dr Hasmah berkahwin dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1956.

Pasangan itu dikurniakan empat anak kandung, Marina, Tan Sri Mirzan, Tan Sri Mokhzani dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz, selain mempunyai tiga anak angkat iaitu Melinda, Mazhar dan Maizura.

Hasmah yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada 12 Julai lalu, merupakan antara tokoh perubatan wanita terawal negara dan banyak menyumbang dalam bidang kesihatan awam, khususnya kesihatan ibu dan kanak-kanak. #SinarHarian

Share:

Radius Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) Wanita Orang Asli Yang Dipercayai Hilang Di Rompin Diperluaskan Sehingga 14 Kilometer


ROMPIN: Radius operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita Orang Asli yang disyaki hilang di kawasan hutan Kampung Lesong, Kedaik, di sini sudah diperluaskan sehingga 14 kilometer (km), namun masih tiada sebarang petunjuk ditemukan.

Mangsa, Kuang Poh, 73, dari Kampung Api Larat, Mukim Nebar, Pekan, dilaporkan keluar seorang diri untuk memancing di kawasan hutan paya berkenaan kira-kira jam 3 petang pada 22 September lalu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pencarian pada hari kelima ditumpukan di kawasan paya dan sungai dalam radius lima kilometer.

"Operasi masih dijalankan dan mangsa tidak meninggalkan apa- apa barang dan jejak untuk dikesan.

“Pencarian turut dibantu unit dron daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, unit dron Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM,” katanya pada Isnin.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan warga emas itu dilaporkan hilang di kawasan hutan Kampung Lesong selepas keluar memancing di kawasan hutan paya di kampung terbabit sejak tiga hari lalu.

Mangsa disedari hilang selepas tidak pulang ke rumahnya pada hari berkenaan sebelum kehilangannya dilaporkan kepada polis oleh ahli keluarga.

Sharif Shai menambah, usaha pencarian berdepan cabaran kerana kawasan berkenaan terdedah kepada binatang buas seperti harimau bintang, harimau belang dan gajah.

“Bentuk muka bumi yang berpaya turut menyukarkan untuk masuk ke dalam kawasan pencarian," jelasnya. #SinarHarian

Share:

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Isteri Bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad Meninggal Dunia Di Institut Jantung Negara (IJN) Pagi Ini


KUALA LUMPUR: Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini.

Berita pemergian Allahyarham Dr Siti Hasmah disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926, Dr Siti Hasmah ialah tokoh wanita Malaysia yang dihormati bukan sahaja sebagai isteri kepada bekas perdana menteri, tetapi juga atas sumbangannya sendiri dalam bidang perubatan dan kebajikan masyarakat yang menjadi inspirasi rakyat negara ini.

Sepanjang hayatnya, Dr Siti Hasmah adalah wanita Melayu pertama ditawarkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII Collage of Medicine, Singapura.

Pada 1965, Allahyarham menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Bahagian Kesihatan Ibu Mengandung dan Kanak-Kanak, manakala pada 1974, Dr Siti Hasmah merupakan wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Negeri Ibu Mengandung dan Kanak-Kanak.

Sebagai bekas Presiden Badan Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI), Dr Siti Hasmah aktif menjalankan pelbagai usaha mendidik remaja Malaysia tentang bahaya penyalahgunaan dadah sehingga dijemput oleh bekas wanita pertama Amerika Syarikat, Nancy Reagan, untuk menghadiri First Ladies' Conference on Drug Abuse di Washington pada 1985.

Dr Siti Hasmah juga aktif dalam bidang sukan dan bermain badminton secara kompetitif sehingga berumur 75 tahun.

Kecintaan dan penglibatan mendalam Dr Siti Hasmah dalam sukan badminton menyebabkan Allahyarham dianggap sebagai "ibu" kepada barisan pemain badminton negara.

Allahyarham juga adalah bekas Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bekas penaung Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia.

Dr Siti Hasmah adalah isteri Perdana Menteri Malaysia pertama yang menerima Anugerah Persekutuan Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran Tun. #BeritaHarian

Share:

Pemandu Jengkaut Ditemukan Lemas Selepas Jentera Dikendalikan Terbalik Ketika Kerja-Kerja Pembersihan Di Tasek Bera Dikenal Pasti.

 

‎KUANTAN:  Pemandu jengkaut yang ditemukan lemas selepas jentera dikendalikan terbalik ketika kerja-kerja pembersihan di Tasik Bera, Bera dikenal pasti.
‎
‎Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, mangsa yang maut, Alief Daniel Haqim Abdullah, 26, beralamat dari Parit Yaani, Yong Peng, Johor.
‎
‎Menurutnya, seorang lagi pekerja yang terselamat dikenal pasti sebagai Muhammad Aiman Fikri Mohd Azhar, 28, dari Felda Purun, Bera.
‎
‎"Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 2.10 petang.
‎
‎"Berdasarkan maklumat diterima, terdapat dua pekerja ketika kejadian. Seorang berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi terperangkap di dalam jentera terbabit," katanya.
‎
‎Terdahulu, media melaporkan seorang pemandu jengkaut ditemukan lemas manakala seorang lagi selamat selepas jentera berat dikendalikan mereka terbalik ketika menjalankan kerja pembersihan di Tasik Bera, Bera pada Sabtu.
‎
‎Mangsa berusia 26 tahun itu ditemukan terperangkap di dalam kabin pemandu sebelum berjaya dikeluarkan pada jam 4.10 petang.
‎
‎Mangsa tidak sedarkan diri ketika dibawa naik ke darat sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang tiba di lokasi.
‎
‎Zulkiflee berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat. #SinarHarian

Share:

Sultan Pahang Zahir Hasrat Bersara Sertai Pertandingan Polo Namun Terus Memberikan Sokongan Kepada Kelab Polo Diraja Pahang

PEKAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan hasrat untuk bersara daripada menyertai pertandingan polo namun akan terus memberikan sokongan kepada Kelab Polo Diraja Pahang. 

Al-Sultan Abdullah bertitah keputusan dibuat selepas sekian lama aktif dalam sukan berkenaan namun masih perlu mengambil kira pujukan anakanda-anakanda baginda.

“Saya memang bercadang mahu bersara tetapi tak tahulah, anak saya tengah memujuk saya (supaya terus bertanding). Saya kira sudah bersara dan tidak akan menyertai pertandingan lagi, cuma bagi sokongan dan menunggang kuda sedikit, sesekali bermain polo sekejap-sekejap tetapi tidak menyertai pertandingan,” titah baginda. 

Baginda bertitah demikian kepada Bernama dan media Kesultanan Pahang selepas menyempurnakan Majlis Pengurniaan Hadiah Kejohanan Royal Pahang Classic Centenary Cup 2026 bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Ke-100 Kelab Polo Diraja Pahang di Royal Pahang Polo Club di sini hari ini. 

Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa syukur kerana kejohanan berkenaan dapat disempurnakan selepas persiapan yang dibuat sejak beberapa tahun lepas. 

“Alhamdulillah, kita dapat lunaskan perancangan kita. Bertahun-tahun kita merancang, sejak tahun 70-an, kemudian 80-an dan sekarang 100 tahun. Saya sangat bersyukur kerana sempat sampai ke tahun ini dan dapat bermain polo dengan anak-anak saya,” titah baginda.

Sultan Pahang bertitah perjalanan kejohanan itu bagaimanapun sedikit terjejas akibat keadaan cuaca termasuk jerebu dan hujan berterusan pada waktu malam hingga menyebabkan beberapa perlawanan terpaksa ditangguhkan.

“Semua tahu kita mengalami jerebu, kemudian hujan tidak berhenti malam. Banyak pertandingan kena ditangguhkan tetapi Itu memang lumrah dalam  polo. Bagaimanapun semua selamat, tidak ada kecederaan yang serius dan kuda-kuda pun nampak baik dan tidak ada kecederaan yang teruk,” titah baginda.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada semua peminat sukan polo dan rakyat Pahang atas sokongan berterusan terhadap Kelab Polo Diraja Pahang serta berharap sokongan itu dapat diteruskan pada masa hadapan.

Sementara itu, pasukan Royal Pahang yang disertai Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan pasukan Jogo Polo dinobatkan sebagai juara bersama-sama selepas terikat 7-7 pada perlawanan akhir Kejohanan Royal Pahang Classic Centenary Cup 2026 yang berlangsung petang tadi.

Kejohanan berprestij itu merupakan antara acara kemuncak Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Kelab Polo Diraja Pahang yang menghimpunkan pasukan-pasukan polo dalam persaingan merebut gelaran juara. #Bernama

Share:

Lelaki Maut Tercampak Digilis Kenderaan Lain, Motosikal Langgar Lembu Melintas Di Jalan Kuantan-Kemaman Dekat Kampung Chendor

KUANTAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu yang melintas secara tiba-tiba di jalan Kuantan-Kemaman, berhampiran Masjid Kampung Chendor, Cherating di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 6.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Cherating menghala ke Kampung Geliga.

“Mangsa berusia 23 tahun menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, seekor lembu secara tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan mengakibatkan mangsa tidak sempat memberhentikan motosikal dan melanggar haiwan berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak ke atas jalan raya sebelum disyaki digilis oleh kenderaan lain yang belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ashari, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat kemalangan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis menyeru kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau dalam masa sama menasihati para pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati terutama ketik memandu di laluan yang berisiko dilintasi haiwan ternakan. #MalaysiaGazette

Share:

Polis Giat Mengesan Dua Mangsa Cedera Yang Hilang Selepas Kemalangan Berhampiran Terminal Sentral Kuantan Awal Pagi Tadi

KUANTAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan dua buah motosikal lain dipercayai ketika sedang berlumba di Jalan Bypass Kuantan berhampiran Terminal Sentral Kuantan di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.35 pagi itu juga menyaksikan mangsa yang cedera dan motosikal dua mangsa berkenaan telah dilarikan dan disembunyikan oleh rakan-rakan mangsa.

Pemangku Ketua Polis Kuantan, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian kemalangan kira-kira pukul 2.35 pagi itu melibatkan tiga buah motosikal.

“Kejadian menyebabkan seorang penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang berusia 24 tahun meninggal dunia, manakala dua lagi penunggang motosikal mengalami kecederaan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Hari ini tular dalam media sosial rakaman berdurasi 20 saat menyaksikan sekumpulan mat rempit berlumba sebelum beberapa buah motosikal terlibat dalam kejadian kemalangan selepas berlanggar sesama sendiri.

Kejadian itu mencetuskan reaksi daripada netizen yang menyifatkan aktiviti mat rempit berkenaan membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Menurut Azry Akmar, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk bedah siasat.

Katanya, mangsa yang cedera dikatakan telah dibawa ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan sebelum menghilangkan diri.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.

Katanya, pada masa ini pihak polis giat mengesan dua lagi mangsa yang cedera dan motosikal terlibat.

Beliau memberitahu, pada waktu kejadian pasukan polis telah melakukan operasi di sekitar Kuantan menyebabkan ‘mat rempit’ telah mengubah lokasi ke laluan berkenaan.

“Pihak polis meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat lanjut berhubung dua lagi penunggang terlibat agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” ujarnya. #KOSMO!

Share:

Seorang Maut, Dua Cedera Dalam Nahas Babit Beberapa Buah Motosikal Di Jalan Pintasan Kuantan Berhampiran TSK Awal Pagi Tadi

KUANTAN: Seorang maut manakala dua lagi cedera dalam nahas membabitkan beberapa buah motosikal di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Terminal Sentral Kuantan di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2.35 pagi.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Jalan Sultan Abdullah menghala ke Semambu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar dua buah motosikal lain.

“Akibat kemalangan itu, lelaki berusia 24 tahun terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua lagi penunggang motosikal yang terlibat turut mengalami kecederaan dan difahamkan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini oleh orang awam untuk menerima rawatan.

Ashari memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menyeru orang awam yang melihat kejadian itu mahupun mempunyai maklumat lanjut agar tampil bagi membantu siasatan.

“Pihak polis sedang mengesan mangsa yang cedera serta kederaan lain yang turut terlibat dalam insiden itu,” katanya. #MalaysiaGazette


Share:

Kemalangan Maut Babit Guru Kolej Vokasional Kuantan Di Jalan Semambu, Pemandu SUV Di Tahan Polis Untuk Membantu Siasatan

KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes kemalangan maut di Jalan Semambu di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kemalangan kira-kira jam 8 pagi itu mengakibatkan seorang penunggang motosikal lelaki berusia 56 tahun cedera parah dan maut di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu oleh lelaki berusia 29 berkenaan dipercayai hilang kawalan, sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa.

"Susulan itu, polis menahan pemandu SUV terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat.

Beliau memaklumkan pihaknya turut mendapatkan rakaman kamera papan pemuka, dan akan menjalankan ujian berkaitan bagi melengkapkan siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran," katanya. #SinarHarian

Share:

Seorang Guru Kolej Vokasional Kuantan Maut, Motosikal Dirempuh Sebuah Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Di Jalan Semambu Pada Jumaat

KUANTAN: Seorang guru Kolej Vokasional Kuantan maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Semambu berhampiran Petronas Semambu di sini pada pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Roshaizat Abdul Kadir, 56, mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati SUV terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran, mangsa yang mengalami cedera parah telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat.

“Pemandu SUV yang merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Ashari menambah, polis turut mendapatkan rakaman kamera papan pemuka dan akan menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu secara berhemah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuantan," katanya. #SinarHarian


Share:

PAS Pahang Sedia Letakkan Calon Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul Dan Lepar Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16

KUANTAN: PAS Pahang bersedia meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul dan Lepar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 (PRN16).

Pesuruhjaya negeri, Datuk Rosli Abdul Jabar berkata, kedua-dua kerusi berkenaan dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun perkembangan politik semasa menyebabkan kedudukan kerusi terbabit kembali menjadi perhatian.

Menurutnya, selepas berlaku perpecahan antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan tersebut menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri.

"Tiada gabungan lagi antara PAS dan Bersatu bererti parti apa pun berhak untuk bertanding di dua kerusi tersebut.

"Oleh kerana kemenangan di dua kerusi tersebut adalah atas jenama PN, maka PAS juga berhak untuk meletakkan calon di kerusi tersebut pada PRN16.

"Apatah lagi sebahagian besar jentera yang bertugas untuk kemenangan PN di kerusi tersebut pada PRU yang lalu adalah jentera Pas," katanya.

Pada PRU15, calon PN, Datuk Jasri Jamaludin memenangi DUN Kuala Sentul dengan memperoleh 6,016 undi, menewaskan calon BN, Khairuddin Ali yang mendapat 5,775 undi dengan majoriti 241 undi.

Bagi DUN Lepar pula, Mohd Yazid Mohd Yunus memperoleh 8,436 undi untuk menewaskan calon BN, Datuk Abd Rahim Muda yang meraih 8,017 undi dengan majoriti 419 undi.

Bagaimanapun, pada Ogos lalu, Jasri dan Mohd Yazid yang merupakan ADUN Bersatu menyatakan pendirian menyokong kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sehingga PRN16.

Kedua-duanya berkata, keputusan itu dibuat bagi menjamin kestabilan politik serta memelihara kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.

Mengulas persiapan parti Rosli berkata, PAS Pahang sudah menyusun strategi termasuk melaksanakan beberapa program gerak gempur di kedua-dua kawasan berkenaan.

Tambahnya, parti itu juga telah membuat persiapan rapi untuk bertanding di kerusi tersebut.

"Jentera, dana, jadual gerak kerja termasuklah calon terbaik untuk bertanding di DUN tersebut dalam keadaan yang bersedia.

"Kita yakin, sokongan pengundi Kuala Sentul dan Lepar akan berpihak kepada Pas kerana melihat prestasi semua ADUN dan Ahli Parlimen PAS Pahang sangat komited dengan amanah yang diberikan meskipun mempunyai dana yang terhad," jelasnya. #SinarHarian

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

Pengarah JPJKK Bukit Aman Menerima Pingat 'Datuk Seri', Abu Bakar Atan Dan Ameng Spring Terima Pingat DIMP Bawa Gelaran 'Datuk'

KUANTAN: Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin mendahului senarai 58 pen...

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.