Pengundian Pilihanraya Selesai Jam 5 Petang
GUA MUSANG [5.30 pm] - Proses pengundian dalam dua pilihan raya kecil hari ini, satu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas dan satu lagi bagi kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah, selesai pada 5 petang tadi. Empat pusat pengundian di Galas iaitu Pos Hau, Pos Belatim, Pos Balar dan Pos Bihai, ditutup pada 1 petang tadi disebabkan ia terletak jauh di pedalaman. Suruhanajaya Pilihan Raya menggunakan helikopter untuk membawa peti undi dari empat kawasan itu ke Dewan Sivik Gua Musang untuk tujuan penjumlahan undi. Sembilan lagi pusat pengundian ditutup pada 5 petang. Di Sandakan, 10 pusat pengundian ditutup pada 5 petang manakala sebuah ditutup pada 3 petang dan sebuah lagi pada 4 petang
Pengiraan Undi Di Parlimen Batu Sapi Bermula
SANDAKAN [4.39 pm] - Pengiraan undi di SK Tronglit di Pulau Timbang, satu daripada 12 pusat mengundi dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, Khamis sedang dijalankan sebaik pengundian melibatkan 984 pemilih di situ tamat pada 3 petang tadi. Pegawai pengurus pilihan raya itu, Mohamad Hamsan Awang Supain, memberitahu bahawa apabila pengiraan selesai, undi itu akan dibawa dengan bot ke pusat penjumlahan undi di Dewan Orang Ramai Sandakan. Pusat pengundian di SK Segaliud pula, yang mempunyai 785 pengundi, akan ditutup pada 4 petang manakala yang lainnya akan ditutup pada 5 petang. Pilihan raya kecil itu melibatkan calon Barisan Nasional Datin Linda Tsen Thau Lin, calon Parti Maju Sabah Datuk Yong Teck Lee dan calon Parti Keadilan Rakyat Ansari Abdullah. Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Edmund Chung Ket Wah dari B Nakibat satu nahas jalan raya pada 9 Oktober 2010 lepas.
SPR Tetap Gunakan Helikopter Angkut Peti Undi
GUA MUSANG [3.43 pm] - Empat pusat pengundian di kawasan pedalaman bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas ditutup pada 1 tengah hari tadi kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Empat pusat pengundian yang ditutup itu ialah Pos Belatim, Pos Hau, Pos Bihai dan Pos Balar atas faktor kesemua kertas undi di kawasan itu perlu dibawa keluar menggunakan helikopter. Menurut SPR seramai 924 penduduk Orang Asli menjadi pengundi berdaftar di empat kawasan itu. Kesemua peti undi itu dihantar ke pusat pengumpulan peti undi dan penjumlahan undi yang terletak di Dewan Sivik Gua Musang di sini. Helikopter dipercayai tiba pada 2 petang tadi.
Galas: SPR Kesal Penyokong Luar Buat Provokasi
GUA MUSANG [3.30 pm] - Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar meluahkan rasa kesal dengan kekecohan yang berlaku ketika proses pembuangan undi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bermula pagi ini. Beliau berkata, berdasarkan laporan awal, kekecohan berpunca daripada provokasi melampau oleh ‘orang luar’ yang menyokong kedua-dua parti bertanding. "Kekecohan berkenaan bukanlah dicetuskan oleh penduduk tempatan sebaliknya melibatkan penyokong dari luar yang saya rasa mereka ini tidak memahami budaya tempatan. "Mereka tidak ada perasaan malu kepada penduduk tempatan. Inilah akibatnya... semua nak tunjukkan kekuatan,” katanya
Peratusan Keluar Mengundi Kini Mula Bertambah
KUALA LUMPUR [3.30 pm] - Seramai 4,589 pengundi atau 39.72 peratus telah menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas setakat 12 tengah hari tadi. Sementara itu menurut Suruhanjaya Pilihan Raya di Batu Sapi, 9,261 pemilih atau 36.2 peratus telah keluar mengundi bagi Parlimen Batu Sapi setakat 12 tengah hari tadi.
Pengundian Di Batu Sapi, Galas Bermula Perlahan
SANDAKAN [2.30 pm] - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, proses pengundian dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi dan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas agak “perlahan” dalam tempoh satu jam pertama. Sehingga pukul 9 pagi tadi hanya 14.68 peratus atau 3,756 pemilih di Batu Sapi, manakala 9.93 peratus atau 1,147 pemilih di Galas telah keluar mengundi, katanya. Bagaimanapun katanya, beliau berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian setakat ini dan berharap jumlah mereka yang keluar mengundi meningkat pada tengah hari dan petang. Seramai 24,047 pemilih biasa layak mengundi di Batu Sapi, manakala pengundian secara pos diadakan pada Selasa dan semalam. Galas pula mempunyai 11,553 pengundi berdaftar. Keputusan kedua-dua pilihan raya kecil itu dijangka diumumkan seawal 8 malam ini





