script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

TESCO Nafi Sumbang Keuntungan Syarikat Kepada Israel !


PETALING JAYA: Tesco Malaysia pada Ahad menolak dakwaan menyalurkan hasil jualan atau keuntungan untuk kempen bersifat politik, keganasan dan penindasan yang berlaku di dunia.

Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Hal Ehwal Korporatnya Azlam Shah Alias (kiri) berkata sebagai syarikat awam dan tidak bersifat politik, Tesco Malaysia mematuhi polisi untuk tidak membuat sebarang sumbangan dan tajaan berbentuk politik.

"Kami menolak sekeras-kerasnya sebarang dakwaan bahawa Tesco menyumbang keuntungannya kepada Israel.

"Sebarang dakwaan berkenaan perkara ini adalah tidak benar sama sekali," katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, Ahad.

Kenyataan tersebut dikeluarkan setelah aduan diterima daripada laman-laman sosial yang mengaitkan pusat beli-belah antarabangsa itu dengan krisis di Gaza.

Katanya, Tesco yang dimiliki oleh pemegang saham dari seluruh dunia dan berpengkalan di United Kingdom sentiasa berpegang teguh kepada prinsip perniagaan yang bertanggungjawab dan beretika.

"Sebarang dakwaan yang bertentangan akan dianggap sebagai satu fitnah," menurut kenyataan tersebut.

Tambahnya, Tesco juga menjadi sebahagian daripada komuniti setempat di Malaysia dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 11,000 rakyat Malaysia dan memberikan layan mesra kepada pelanggan.

"Kami juga mempunyai lebih 3,000 pembekal tempatan termasuk pembekal IKS yang berkerjasama dengan kami dalam membekalkan produk-produk berkualiti pada harga berpatutan.

"Kami juga menyokong program-program yang bermakna bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik, terutamanya dalam musim Ramadan dan Aidilfitri melalui program Kasih Ramadan kami baru-baru ini."
Share:

Fahmi Fadzil: Sekat Internet, Strategi UMNO Kekal Kuasa !


KUALA LUMPUR: Gesaan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk menapis internet adalah satu lagi langkah dan strategi Umno BN untuk mempastikan kedudukan mereka kekal sebagai pemerintah.
Pengarah Komunikasi KAEDILAN, Fahmi Fadzil berkata tindakan itu bagi menyekat segala maklumat disampaikan kepada rakyat, terutama menerusi internet.
“Kenyataan itu menunjukkan ia adalah tindakan anti demokratik, kuku besi dan diktator yang wajib diprotes oleh semua pihak,
“Kita sekarang berada dalam keadaan di mana negara subur segala maklumatnya melalui internet, jadi wajarkah untuk mengambil tindakan dengan menyekat internet di negara ini?” soalnya ketika dihubungi.
Semalam, Mahathir dilapor berkata sudah tiba masanya kerajaan menapis internet serta menggesa semua pihak berhenti bercakap mengenai kebebasan akhbar kerana jelasnya kebebasan itu sentiasa terdedah kepada salah guna.
“Sekatan itu tidak boleh dibuat kepada perkara-perkara yang berkisar kepada kepentingan rakyat dan hal ehwal umum. Rakyat berhak memperoleh fakta dan maklumat yang tepat,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, Mahathir sendiri melanggar apabila memperkenalkan Koridor Raya Multimedia (MSC) apabila memberi jaminan tidak akan ada sebarang sekatan internet.
“Kalau benar apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir itu akan dilaksanakan, ini bermakna Tun Mahathir sendiri telah melanggar janji yang dibuat, beliau sendiri kata tidak akan mengenakan sebarang sekatan internet sewaktu MSC diperkenalkan,
“Selain itu, tindakan ini akan membuatkan negara kita selangkah tapak kebelakang kerana sekarang ini segala maklumat kini boleh diakses melalui internet dengan sangat pantas.
“Negara akan jadi mundur, begitu juga dengan pemikiran rakyat, akan banyak perkara yang mereka tidak akan tahu selepas ini hanya kerana internet telah disekat,” tambahnya lagi. #sumber
Share:

Pasukan "Siasatan Khas" Di Jangka Masuk Ke Lokasi Esok !


KUALA LUMPUR: Petugas Pasukan Siasatan Khas Malaysia dijangka memasuki lokasi nahas tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Donetsk, timur Ukraine pagi Isnin untuk memulakan tugas siasatan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid dalam kenyataan pada Ahad berkata jika keadaan keselamatan memberangsangkan, pasukan itu akan masuk untuk membuat penggeledahan di kawasan nahas pesawat bersama-sama pasukan Belanda dan Australia.

"Sebuah 'Combined Task Force' (Gabungan Pasukan Petugas) di Karkiv telah memutuskan, pasukan Malaysia seramai 21 orang akan digerakkan ke FOB (Forward Operation Base) (Pangkalan Operasi Hadapan) di Solidar, kira-kira 4 jam perjalanan dari Karkiv, pada 2 petang hari ini," katanya dalam kenyataan.

Katanya, kawasan nahas pesawat adalah satu jam perjalanan dari FOB.

Tambahnya Malaysia akan memberi kerjasama penuh kepada pasukan keselamatan antarabangsa dalam misi siasatan nahas itu.

Terdahulu, hari ini Ahmad Zahid dalam rakaman video yang dihantar kepada Bernama meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan petugas pasukan negara dalam menjalankan siasatan di lokasi terhempasnya pesawat MH17.

Ini kerana kawasan pesawat terhempas itu dilaporkan masih tegang dengan insiden perang antara tentera Ukraine dan puak pemisah. 

Beliau dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar mengetuai 68 anggota polis daripada pelbagai unit berlepas ke Ukraine pada Rabu lepas untuk bersama pasukan keselamatan antarabangsa, termasuk Belanda dan Australia, bagi melakukan siasatan lanjut nahas berkenaan. 

Pasukan Siasatan Khas MH17 Malaysia terdiri daripada pegawai forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan pegawai perubatan.

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, dipercayai ditembak jatuh di Donetsk pada 17 Julai. #sumber
Share:

SPRM Perlu Dedahkan Status Siasatan Skandal Mata Wang


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengemukakan status siasatan berhubung skandal mata wang bernilai jutaan ‎dolar, kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.
Hingga kini, SPRM tidak mengumumkan siasatan yang dibuat pada 2010 terhadap seorang usahawan Malaysia yang didakwa menerima komisyen RM11.3 juta daripada dua firma Australia, sebagai usaha memenangi kontrak mencetak dan membekal mata wang.
Usahawan  tidak dinamakan itu didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Umno dan dipercayai akrab dengan pegawai kanan kerajaan yang menerima sogokan komisyen daripada anak syarikat firma Reserve Bank of Australia (RBA).
“Saya tak tahu kalau siasatan itu hanya diberitahu kepada pihak Peguam Negara (AG) sahaja dan kemudian mereka terus senyap daripada mengenakan sebarang pendakwaan kepada individu yang terlibat,
“Apa yang sepatutnya SPRM lakukan ialah status tersebut mesti diberitahu dan didedahkan kepada orang awam,” kata Surendran.
Terbaru, laman web Wikileaks mendedahkan pemimpin Malaysia termasuk Datuk Seri Najib Razak, serta mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi terlibat dalam skandal berkenaan.
Turut dinamakan adalah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dan bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar.
Kata Surendran, dakwaan terbaru dari WikiLeaks itu adalah serius namun hingga kini pemimpin negara gagal memberikan penjelasan.
“Sebarang tuduhan yang dibuat sehingga hari ini tidak pun dijawab oleh mereka yang terlibat, dan tidak ada satu pun media perdana yang membuat liputan terhadap isu ini. Mereka tahu rasuah besar ini melibatkan pimpinan Umno BN,
“Jadi kerajaan jangan cuba berdiam diri sebab selagi mereka diam, pelbagai spekulasi akan timbul dan ini akan merosakkan imej mereka sendiri serta nama baik negara kita,” ujarnya lagi. #sumber
Share:

MH17: Khalid, Hanya 62 Mayat Berada Dalam Keadaan Baik


PETALING JAYA: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu hanya 62 mayat ditemui dalam keadaan baik di lokasi kemalangan MH17.

Beliau percaya, mayat mangsa-mangsa yang masih belum ditemui kemungkinan besar bertaburan di tempat insiden itu.

Khalid berharap penduduk tempatan boleh membantu mengenal pasti kawasan yang kemungkinan boleh menemui mayat-mayat tersebut.

Tambahnya, beliau mempunyai keyakinan terhadap keupayaan pasukan penyiasat di semua kawasan dan masih belum pasti bila siasatan itu akan selesai.

"Setiap negara mempunyai undang-undang dan sistem sendiri. Kami tidak mempunyai pilihan. Kita perlu menghormati undang-undang dan sistem setiap negara yang terlibat dalam ini, " jelas Khalid di laman Facebook PDRM dalam temu bual dengan saluran berita. 

Khalid juga meluah perasaan kecewa kerana pasukan penyiasat tidak boleh memasukkan lokasi kemalangan sebaik sahaja mereka tiba di Ukraine. 

Beliau mengakui bahawa ada kemungkinan lokasi itu diganggu  kerana ia telah dibiarkan terlalu lama selepas tragedi itu. 

Khalid bersama-sama dengan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan Keiv pada 30 Julai untuk menyerahkan dokumen bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Share:

Beregu Lelaki Dan Wanita Malaysia Sumbang Pingat Emas !


GLASGOW: Pasangan beregu badminton lelaki negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem dan beregu wanita negara, Vivian Khoo-Woon Khe Wei masing-masing menyumbangkan sebutir pingat emas untuk Malaysia dalam Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow, Ahad.


Pasangan Tan/Goh meraih pingat emas keenam negara selepas menewaskan beregu Singapura Danny Chrisnanta-Chayut Triyachart 21-12, 12-21, 21-15.
Kemenangan manis tersebut dikecapi lebih kurang satu jam selepas pasangan beregu wanita negara, Vivian Khoo-Woon Khe Wei menundukkan pasangan dari India sekali gus menyumbang pingat emas kelima mereka kepada Malaysia.
Pingat gangsa beregu wanita diraih pasangan England, Gabriel Adcock-Lauren Smith selepas menewaskan pasangan negara Lim Pei Jing-Lim Yin Loo 16-21, 21-15 dan 21-16 pada Sabtu.
Vivian berkata kerja keras serta rajin membuat analisis aksi perlawanan pihak lawan mendorong kejayaan mereka itu.
 "Kami sangat gembira dengan kemenangan ini. Kejayaan ini sangat bermakna. Pingat emas ini juga dihadiahkan untuk seluruh rakyat Malaysia terutamanya kita kini sedang bersedih dengan tragedi MH17.

 "Kami memang lebih yakin dan bersemangat daripada set pertama lagi dan hanya mahu fokus untuk menang sahaja yang penting jangan letak tekanan pada diri sendiri," katanya kepada pemberita di Glasgow, Ahad.

Pencapaian terbaik beregu wanita pada Sukan Komanwel dengan memenangi pingat emas hadir menerusi Ang Li Peng-Lim Pek Siah pada 2002 dan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty (2006).
Bagi Wee Kiong beliau berpuas hati gandingan bersama V Shem masih mampu untuk mempertahankan pingat emas dalam acara beregu lelaki sejak tahun 1990 iaitu menerusi Jalani Sidek-Razif Sidek.
Cheah Soon Kit-Soon Beng Kiang meraih pingat emas pada 1994, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah (1998), Chan Chong Ming-Chew Choon Eng (2002), Chan Chong Ming-Koo Kien Keat (2006) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (2010).
"Kami sangat berpuas hati dengan kemenangan ini. Lebih mengembirakan lagi apabila kami masih boleh mengekalkan tradisi negara dalam acara beregu di Sukan Komanwel.
 "Saya harap prestasi cemerlang saya ini berkekalan sehingga aksi Kejohanan Dunia BWF di Denmark pada hujung bulan ini," kata Wee Kiong kepada pemberita.
Pingat gangsa dimenangi Chris Langridge-Peter Mills dari England selepas menewaskan rakan sepasukan mereka Chris Adcock-Andrew Ellis dengan 21-17 dan 21-17 pada perlawanan penentuan pingat gangsa Sabtu. #sumber
Share:

Pemuda Pakatan: Jangan Sampai Buatkan UMNO Gembira !


IPOH: Semua pihak dalam Pakatan Rakyat diseru supaya kekal bersatu hati untuk terus memikul amanah rakyat dan tidak memberi peluang untuk Umno-BN bergembira.
Dalam kenyataan bersama ketua pemuda DAP, PAS, dan PKR Perak hari ini, Pakatan Rakyat digesa supaya bertahan menerima serangan tajaan pihak lawan dan mengekalkan semangat silaturahim yang telah dijalin selama ini.
“Pemuda Pakatan Rakyat Perak tetap kukuh dan bersatu untuk meneruskan landasan politik hasil daripada amanah yang diberi oleh Rakyat dalam PRU-12 dan PRU-13.”
Kenyataan tersebut ditandatangani Ketua Dewan Pemuda PAS Perak Raja Iskandar Al-Hiss, Ketua DAPSY Negeri Perak Wong Kah Woh dan Ketua AMK Perak Zafril Eusoff.
“Jangan kita membiarkan Barisan Nasional dan UMNO senyum akhir nanti. Sudah sampai masa untuk Pakatan Rakyat membuktikan bahawa kita mampu dan mempunyai hasrat politik untuk menangani krisis dan cabaran di hadapan kita,” ujar mereka.
Hubungan parti-parti komponen Pakatan Rakyat dilihat goyah akhir-akhir ini ekoran kemelut Menteri Besar Selangor yang membawa kepada perselisihan pendapat di kalangan pimpinan serta mendorong sesetengah pihak menyarankan kepada PAS supaya meninggalkan Pakatan dan bekerjasama dengan UMNO. #sumber
Share:

Misi Emas Badminton Lebur, Wei Feng, Liew Daren Kandas


GLASGOW: Misi untuk mempertahankan pingat emas perseorangan lelaki Sukan Komanwel buat kali ketujuh berturut-turut lebur setelah dua wakil negara terkandas di pusingan suku akhir pada Jumaat.

Pemain pilihan utama Chong Wei Feng dan Liew Daren masing-masing disingkirkan oleh atlet India, R V Gurusaidutt dan Kasyap Parupalli dalam perlawanan yang berlangsung di Emirates Arena di sini.

Wei Feng kalah kepada Gurusaidutt 15-21, 21-8 dan 17-21 manakala Liew tersungkur di tangan Kashyap 13-21 dan 14-21.

Nyata amat kecewa, Wei Feng yang ditemui pemberita Malaysia kemudian, berkata beliau memikul tanggungjawab penuh atas kegagalan mempertahankan legasi pingat emas yang diraih negara sejak 1990 itu.

"Saya minta maaf pada rakyat Malaysia. Saya dan Daren tahu cabaran ini begitu sukar memandangkan kita telah memenangi pingat emas dalam tempoh yang lama. Saya tidak mahu mencari alasan dan kami telah bermain dengan baik tetapi lawan kami mempamerkan prestasi cemerlang.

"Lebih mengecewakan saya sebelum ini tidak pernah tewas kepada Gurusaidutt tetapi beliau bermain dengan baik untuk memenangi aksi ini," katanya.

Untuk rekod, pemain perseorangan negara cemerlang dengan pencapaian pingat emas di Sukan Komanwel iaitu menerusi Rashid Sidek pada edisi 1990 dan 1994, Wong Choo Hann (1998), Hafiz Hashim (2002) dan Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2006 dan 2010. #sumber
Share:

Pelajar UNITEN Muadzam Shah Lemas Di Teluk Cempedak !

KUANTAN:  Seorang penuntut Universiti Tenaga Nasional, Muadzam Shah ditemui lemas ketika mandi di Pantai Teluk Cempedak, di sini, kira-kira 2 petang tadi.
V Saravanan, 18, lemas selepas ditelan arus deras selepas mandi bersama rakannya. 
Sebelum kejadian, mangsa diberi amaran oleh pengawal pantai supaya tidak mandi ke pantai berkenaan berikutan bendera merah yang menandakan keadaan laut bergelora dinaikkan. 

Bagaimanapun, mereka tidak menghiraukan amaran berkenaan dan terus mandi sebelum rakan terkapai-kapai sambil menjerit minta tolong manakala mangsa tidak kelihatan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.10 petang dan dua anggota bomba dikerahkan ke tempat kejadian.

"Rakan mangsa berjaya diselamatkan oleh pengawal pantai yang berada di tempat kejadian dan kita melakukan gerakan mencari mangsa yang hilang di kawasan berkenaan. 

"Mayat mangsa ditemui tersepit di celah batu di dalam laut, kira-kira 2.30 petang. Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian," katanya ketika dihubungi. #sumber
Share:

PAS Nafi Keluarkan Surat Kononnya Keluar Pakatan Rakyat


KUALA LUMPUR: PAS pada Sabtu menafikan telah mengeluarkan sepucuk surat rasmi kononnya parti itu menarik diri daripada Pakatan Rakyat, kata Naib Presidennya Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, surat layang itu, yang menggunakan kepala surat rasmi PAS, dan kononnya ditandatangani Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, adalah permainan jahat pihak tertentu untuk terus memecahbelahkan komponen dalam Pakatan Rakyat.

"Saya ingin menegaskan bahawa pendirian PAS sehingga hari ini masih lagi bersama dengan Pakatan Rakyat. Dan pendirian itu tidak pernah berubah setakat hari ini. 

"Jadi saya menyifatkan apa yang berlaku sekarang ini berhubung penyebaran surat dalam alam siber adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab untuk cuba memecahbelahkan Pakatan Rakyat," katanya.


Beliau berkata, taktik seperti itu merupakan lumrah dalam permainan politik sekarang dan beliau tidak menganggap tindakan penyebaran surat palsu itu akan memberi kesan kepada keutuhan parti mahupun Pakatan Rakyat sendiri.

Surat palsu itu, bertarikh 1 Ogos 2014, mendakwa kononnya mesyuarat tergempar Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Pakatan Rakyat, kononnya akibat perbuatan DAP yang tidak menghormati rakan komponennya.

Selain meminta kesemua anggota parti menghormati keputusan itu, surat itu turut menegaskan bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan Barisan Nasional dalam memperjuangkan agenda Negara Islam dan pelaksanaan hudud.

Mengulas lanjut, Salahudin berkata, surat itu dipercayai sengaja disebarkan pihak tertentu ekoran hubungan yang agak dingin antara kedua-dua parti itu, berpunca daripada krisis pertukaran Menteri Besar Selangor.

"Saya rasa memang yang penting bagi mereka yang ingin melihat perpecahan itu, mereka akan cuba untuk melihat PAS sebagai puncanya...permainan itu saya cukup faham," katanya.




Media sebelum ini melaporkan terdapat sebilangan pemimpin kanan PAS, termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menganggap keputusan PKR untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak wajar.

Hubungan dingin parti dalam Pakatan Rakyat turut diburukkan lagi dengan penyebaran sedutan perbualan kontroversi dalam kumpulan Whatsapps di kalangan anggota Jawatankuasa PAS Pusat apabila Dr Mohd Zuhdi Marzuki didakwa telah membentangkan senario sekiranya PAS keluar daripada Pakatan Rakyat. #sumber
Share:

Faekah Sindir Guang Eng Sokong Wanita Jadi MB Selangor


PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Politik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Faekah Husin dengan nada sinis menyindir kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyokong seorang wanita dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

Dalam Twitternya pada Sabtu, Faekah berkata, Pulau Pinang harus terlebih dahulu memulakan langkah tersebut.

“Ya mula dengan P.Pinang. Go for it Betty!”," tulisnya di Twitter dituju khas kepada isteri Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng.

Tweet tersebut kelihatan jelas menyindir Betty yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana yang tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan tidak memegang apa-apa jawatan politik.
Tweet itu juga mencerminkan sokongan Faekah terhadap Khalid kerana beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI).

Pada Jumaat, Guan Eng menggesa semua pemimpin dari pelbagai parti menyokong wanita dilantik sebagai menteri besar.

Hubungan Pakatan Rakyat kini tegang berhubung isu kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Terdahulu, kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat bersetuju dengan cadangan kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor digantikan oleh Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Namun,  Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara terbuka menolak cadangan untuk melantik Dr Wan Azizah bagi menggantikan Khalid. #sumber

Share:

Isu MB: Isu MB: Anwar Akui Punca Pakatan Jadi Berbalah !


PETALING JAYA: Keghairahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk melantik Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu diakui menjadi punca perbalahan antara tiga sekutu Pakatan Rakyat (PR).

Mengakui perkembangan tersebut, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, ketiga-tiga komponen PR iaitu PKR-PAS-DAP tetap berikrar untuk mengukuhkan kerjasama politik antara mereka.

"Pakatan Rakyat bertegas bahawa kami beriltizam meneruskan perjuangan ini dengan mengukuhkan persefahaman dan setiakawan koalisi politik dalam kerangka Dasar-Dasar Bersama kami.

"Kami juga komited untuk mendepani isu-isu berbangkit mutakhir ini secara kolektif, berani, berprinsip dengan berteraskan nilai-nilai sejagat yang dikongsi bersama, demi memenuhi amanah dan menggalas tanggungjawab yang telah diberikan Rakyat," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan bersama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Sejak akhir-akhir ini isu kepimpinan di Selangor membabitkan komplot menggulingkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar mencetuskan perbalahan terbuka antara sekutu PR.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila Abdul Hadi secara terbuka menolak cadangan untuk melantik Dr Wan Azizah bagi menggantikan Abdul Khalid.

Kenyataan Abdul Hadi itu disokong oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila turut mempersoalkan motif utama PKR melakukan perubahan kepimpinan di Selangor. #sumber
Share:

Ketua Pemuda UMNO Indera Mahkota Di Gantung Keahlian


KUANTAN: Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim (foto) semalam mengesahkan beliau telah digantung keahlian oleh parti itu. Kenyataan beliau sungguh mengejutkan ramai pihak sebenarnya. Tambahan pula Faiz dilihat berupaya menarik sokongan anak muda untuk mendekati UMNO terutamanya di Kuantan. Banyak program yang dilaksanakan oleh beliau mendapat pujian dan sokongan dari kawan dan lawan. Maka itu tindakan penggantungan Faiz adalah sesuati yang merugikan UMNO. Tambahan pula UMNO BN kehilangan semua kerusi parlimen di bandar Kuantan pada pilihanraya umum yang lalu.

Penggantungan Faiz itu diumumkan beliau menerusi sebaran posting terbarunya di laman sembang sosial facebook yang berbunyi "Assalamualaikum. Utk pengetahuan semua. Sy telah digantung tanpa dinyatakan sebab. Sy digantung bukan disebabkan politik wang. Bukan disebabkan jenayah. Tapi disebabkan kerana sy bersuara. Selepas ini tiada lagi lah yg berani menyuarakan nasib dan suara akar umbi. Kaki kipas dan kaki ampu yg berkepentingan sahaja lah yg boleh hidup dalam Umno. Terima kasih. Sy sentiasa berlapang dada dan terima setiap keputusan yg diputuskan. Namun perjuangan tetap sy akan teruskan. Terima kasih".

Berdasarkan kepada surat yang telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu Faiz digantung sehingga kes beliau dikemukakan kepada Lembaga Displin UMNO. 


Klik pada imej di atas untuk membaca artikel yang berkenaan

Ramai pihak terutamanya penyokong UMNO yang terkejut dengan tindakan yang dikenakan terhadap Faiz dikala persidangan UMNO bakal berlangsung tidak lama lagi. 


Ramai pemerhati mengatakan penggantungan Faiz itu ada kaitan dengan tindakan beliau menjadi jurucakap "Kumpulan 11" dalam isu memepertikaikan tindakan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin melantik Ketua Pemuda UMNO Pekan, Shahruddin Ahmad sebagai Ketua Pemuda UMNO Pahang yang baru, Januari lalu.



Mungkin juga tindakan Faiz dan rakan-rakannya mengadakan sidang media dan kemudiannya mengutuk tindakan Khairy menjadi punca semua ini, kata salah seorang penyokong Faiz. Apapun mereka katanya akan tetap berdiri teguh dibelakang Faiz.


Klik pada imej di atas untuk membaca artikel yang berkenaan

Umum melihat Faiz adalah salah seorang anak muda UMNO yang begitu berwawasan dan banyak melaksanakan agenda memperkasakan ekonomi anak muda, terutamanya di kawasan beliau Indera Mahkota. 


Klik pada imej di atas untuk membaca artikel yang berkenaan

Saban bulan ada saja program yang dianjurkan olehnya. Ramai melihat tindakan menggantung Faiz adalah satu usaha untuk menjatuhkan kepimpinan beliau. Apapun, kami akan cuba menghubungi Faiz untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang perkara ini. #PDO
Share:

Krisis MB: Pakatan Seolah-Olah Tekan Butang Musnah Diri


PETALING JAYA: Jika dilihat kepada apa yang berlaku, Pakatan Rakyat kini 'seolah-olah' menekan butang pemusnahan diri (self-destruction), kata Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad. 

"Berita mengenainya ditulis di mana-mana, semuanya kini seolah-olah menemplak diri sendiri," katanya pada Jumaat. 

Dr Dzulkefly berkata kritikan dan analisis mengenai parti komponen Pakatan secara tersiratnya melihat PAS sebagai sebuah parti perkauman, telah mendedahkan wajah sebenar, tidak ganas dan tidak sopan. 

Krisis dalam Pakatan semakin meruncing berhubung kedudukan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

"Ia mungkin membawa tujuan yang baik, tetapi ia juga boleh menyebabkan timbulnya rasa keras hati dan tidak dapat dipulihkan. 

"Apabila anda mempunyai rakan-rakan seperti ini, kita tidak akan mempunyai musuh," kata bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor. 

Minggu lalu, pimpinan Pakatan Rakyat secara prinsipnya telah bersetuju untuk menggantikan Khalid dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar. 

Bagaimanapun, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat turut menyatakan sokongan agar Khalid kekal sebagai Menteri Besar Selangor. 

Namun keadaan menjadi semakin meruncing apabila, perbualan Ahli Jawatankuasa PAS pusat, Dr Zuhdi Marzuki melalui aplikasi WhatsApp telah tersebar. 

Perbualan yang tersebar itu pada dasarnya membincangkan mengenai kemungkinan parti itu akan bekerjasama dengan Umno untuk mengekalkan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor. 

Dr Dzulkefly berkata pada hakikatnya perbezaan pendapat adalah perkara yang normal, dan apa yang berlaku pada ketika ini adalah satu perkara yang tidak sihat. 

"Sebagai pemimpin Pakatan Rakyat saya panggil ini satu butang pemusnahan diri. Saya telah bercakap dengan beberapa pemimpin tertinggi dan mereka melihat perkara ini secara serius," katanya. 

Beliau berkata ini adalah satu episod yang baru dan ia boleh menjadi satu halangan, sebagai contoh hudud PAS. 

"Dalam hal ini, kita tidak dapat menangani isu-isu sebenar. Adakah semua perkara yang berlaku melibatkan Tan Sri Khalid Ibrahim atau Zuhdi secara keseluruhannya?," kata beliau sambil menambah Barisan Nasional dan media boleh memainkan semula isu tersebut pada masa depan, terutamanya ketika kempen pilihan raya dan pilihan raya kecil. 

Beliau berkata tempoh masa yang lama telah diambil untuk mewujudkan kepercayaan di kalangan DAP, PAS dan PKR sebelum Pakatan Rakyat akhirnya terbentuk.

"Saya ingin mengingatkan orang ramai, bahawa kami mengambil masa yang lama untuk membina kepercayaan. Mereka ini, tidak belajar daripada sejarah dan tidak memahami nilai-nilai strategik. Kami telah bekerja keras untuk membentuk Pakatan Rakyat," katanya sambil menambah bahawa sistem dua parti adalah penting untuk mengimbangi sistem demokrasi di negara ini.
Share:

Kontroversi WhatsApp: AJK PAS Pusat Perjelas Kekeliruan


SHAH ALAM: Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki (foto) menjelaskan tentang cetakan skrin mesej kontroversi dalam WhatsApp beliau yang membincangkan senario yang mungkin dihadapi parti jika meninggalkan pakatan pembangkang.

Beliau berkata mesej itu sekadar membayangkan senario itu berdasarkan perkataan diungkapkan oleh beberapa anggota PAS yang tidak berpuas hati dengan DAP berhubung isu penggunaan kalimah Allah, dan serbuan ke atas pertubuhan gereja.

Oleh itu, katanya mesej beliau itu hanya mewakili pandangan beberapa anggota PAS yang mahu keluar daripada Pakatan Rakyat, dan bukannya keputusan atau pendapatnya sendiri.
 
"Jika saya dapat dedahkan keseluruhan mesej itu, saya pasti ramai yang akan faham apa yang saya maksudkan. 
 

"Bagaimanapun, saya tidak boleh bercakap tentang apa-apa yang dibincangkan dalam kumpulan WhatsApp itu walaupun ada orang yang telah mendedahkan cetakan skrin itu kepada umum," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zuhdi, dalam perbualan yang dibocorkan itu dikatakan telah membincangkan dalam rangkaian WhatsApp pemimpin Jawatankuasa PAS Pusat tentang kemungkinan parti bekerjasama dengan Umno di Selangor dan pada masa sama mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR sebagai menteri besar.

Beliau menegaskan mesej beliau itu mungkin telah disalah tafsir oleh pihak tertentu untuk agensi peribadi mereka.
 
"Alasan bagi pembocor maklumat (yang mendedahkan cetakan skrin itu) adalah untuk memaksa (presiden) PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil tindakan terhadap saya kerana saya menentang "Langkah Kajang'," katanya.

Pelbagai pendapat diutarakan oleh pemimpin PKR, PAS dan DAP yang membentuk Pakatan Rakyat, berikutan keputusan PKR untuk menggantikan Abdul Khalid dengan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.

Dalam respons segera, Naib Presiden Gerakan Dr Dominic Lau Hoe Chai dalam satu kenyataan berkata, Gerakan dan Barisan Nasional menentang sebarang kemungkinan kerjasama antara PAS dan Umno kerana kerjasama itu tidak lebih daripada sekadar untuk kepentingan politik dan monopoli kuasa.
 
"Tiada peluang bagi kerjasama di bawah keadaan seumpama itu, dan kami menentang langkah itu kerana ia membelakangkan kepentingan awam,' kata Lau dan menurutnya kepimpinan Pakatan Rakyat wajar menyelesaikan krisis jawatan Menteri Besar Selangor secara baik. #sumber
Share:

Kerajaan Negeri Selangor Tidak Akan Laksana Catuan Air !


PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Selangor buat masa ini tidak akan melaksanakan program catuan air secara berjadual bagi mengimbangi bekalan air di beberapa buah kawasan ekoran musim kering melampau ketika ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau juga menafikan dakwaan kononnya paras air di beberapa empangan di negeri ini masih di bawah paras minimum dan membimbangkan.

Katanya, kerajaan negeri  mempunyai beberapa opsyen bagi memastikan bekalan air mencukupi sehingga bulan November yang dijangka musim tengkujuh.

"Antaranya menggunakan air daripada kolam-kolam sedia ada.  Begitu juga hari ini dan dua hari yang lepas, kita telah mengadakan pembenihan awan dan
hasilnya kita telah mendapat hujan yang telah menambah lagi paras air di empangan dan kawasan lembah.

"Jadi kita tidak ingin buat catuan sebab kalau program penjagaan air mentah ini dapat dilakukan dan Insya-Allah dapat diteruskan sehingga bulan November,
perkara ini (bekalan air) tidak jadi masalah,” katanya.

Terdahulu beliau dan barisan Exco menghadiri majlis menandatangani Perjanjian Dasar Induk berhubung pelaksanaan memorandum persefahaman antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor berhubung penstrukturan semula industri bekalan air Selangor.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata Exco kerajaan negeri Dr Ahmad Yunus Hairi dipertanggungjawabkan untuk memaklumkan isu air termasuk paras air dan
bagaimana mengatasi isu bekalan air.

"Paras kritikal air (di empangan) adalah 30 peratus. Untuk maklumat rakyat Dr Yunus sendiri, setiap dua hari akan memberi tahu keadaan air dan bagaimana kita mengatasi perkara ini," katanya.

Baru-baru ini dilaporkan paras air di dua daripada lapan empangan di Selangor masih di bawah paras minimum 55 peratus walaupun pelan catuan bekalan air ditamatkan pada April lepas.

Menurut statistik laman web Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) www.iwrims.luas.gov.my pada 31 Julai, paras air di dua empangan yang masih di bawah paras minimum ialah Sungai Selangor (33.46 peratus) dan Sungai Tinggi (47.39 peratus).

Pada Februari lepas kerajaan negeri Selangor melaksanakan program catuan air secara berjadual di seluruh negeri bagi mengimbangi bekalan air di beberapa
kawasan. #sumber
Share:

Malaysia Tak Ada Kerjasama Ketenteraan Dengan Hamas !


PETALING JAYA: Malaysia tidak pernah menjalin sebarang kerjasama dengan dari segi ketenteraan dengan Hamas atau mana-mana pihak dari Palestin, tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau berkata setakat ini hubungan dan kerjasama dengan Palestin sekadar diplomatik, perdangangan dan kebudayaan sahaja. 

"Malaysia juga merupakan penyokong kuat pejuang Palestin dari segi moral dan bantuan kemanusiaan. 

"Sokongan padu rakyat adalah kerana hubungan baik antara pemimpin Malaysia dan Palestin yang telah terjalin sekian lama dan ada kemungkinan ini menyebabkan pihak Israel tidak berpuas hati," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu. 

Tegas Zahid, agensi perisikan Israel, Shin Bet cuba merangka propaganda untuk mencemarkan nama baik Malaysia dengan tuduhan yang tidak berasas. 

"Ini adalah percubaan untuk menutup malu mereka kerana gagal berdepan dengan pejuang-pejuang Hamas di Gaza. 

"Israel perlu membuktikan dakwaan ini secara serius, kerana secara jelasnya tentera Israel telah melakukan serangan keganasan ke atas bumi Gaza yang sehingga kini telah mengorbankan 1,300 nyawa rakyat Palestin yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa," katanya. #sumber
Share:

Zaid Ibrahim: Anwar Sebenarnya Punca Krisis MB Selangor


PETALING JAYA: Krisis yang sedang menyelubungi Pakatan Rakyat berpunca daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak didakwa merancang dengan baik, kata Datuk Zaid Ibrahim.

Zaid yang juga bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, jika keputusan mengenai kedudukan Menteri Besar Selangor dibuat sebulan yang lalu, Anwar harus mengambil kira pandangan semua pihak.
"Beliau berpendapat apa sahaja yang diinginkan, orang lain akan turuti. Sebagai seorang ketua pembangkang beliau menunjukkan contoh tidak baik bagaimana cara untuk menunjukkan pasukan yang bersatu-padu," katanya.
Krisis semakin meruncing dalam Pakatan Rakyat berhubung kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Pada Rabu lalu, kepimpinan Pakatan Rakyat bersetuju dengan cadangan Khalid untuk digantikan sebagai Menteri Besar Selangor dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bagaimanapun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyuarakan sokongan terbuka kepada Khalid.
Kemelut itu semakin meruncing apabila satu paparan skrin aplikasi WhatsApp perbincangan AJK PAS Pusat untuk bergabung dengan Umno dibocorkan dan menjadi viral di laman sosial.
Paparan skrin itu mendedahkan pendapat Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang mempertimbangkan supaya PAS keluar Pakatan Rakyat.
Beberapa pemimpin Pakatan memberi amaran bahawa isu ini boleh memecahkan Pakatan Rakyat.
Zaid bagaimanapun, tidak percaya Pakatan Rakyat akan berpecah sebaliknya menjadi lemah.
"Jika mereka tidak berpecah, Barisan Nasional akan memusnahkan mereka. Mereka akan hilang sokongan dan perlu bermula semula. Namun, ia tidak akan sama seperti sebelum ini," kata bekas Ahli Parlimen Kota Baru itu.
Ketika ditanya jika PKR mempunyai alasan kukuh untuk menggantikan Khalid, Zahid berkata, tiada tetapi sebagai anggota parti, Khalid perlu mematuhi pendirian PKR.
"Beliau perlu mematuhi keputusan parti melainkan beliau sendiri berhasrat meninggalkan parti," kata Zaid. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.