script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Pakatan Harapan, PKR Umum Tak Bertanding PRK DUN Chini

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) memutuskan supaya PKR tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, di Pahang, yang akan diadakan pada 4 Julai depan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan itu dibuat berikutan kerisauan terhadap aspek keselamatan pengundi berikutan penularan wabak COVID-19.

Jelasnya, PKR juga berpandangan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diumumkan berkaitan perjalanan PRK itu, akan memberi kesan pada cara berkempen dan gerak kerja yang penting dalam pilihan raya.

"PKR berpandangan SOP yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan.

"Contohnya, larangan lebih daripada 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti, dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen rumah ke rumah, pondok panas serta perkara lain yang penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihan raya.

"Maka, mengambil kira perkara itu, PKR dan Majlis Presiden PH bersetuju PKR tidak akan meletakkan calon bagi PRK DUN Chini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, SPR mengumumkan PRK DUN Chini akan diadakan pada 4 Julai, manakala hari penamaan calon pada 20 Jun, dan pengundian awal pada 30 Jun depan, dengan kos keseluruhan PRK itu dianggarkan berjumlah RM4.3 juta.

SPR turut mencadangkan beberapa SOP kepada Kementerian Kesihatan (KKM), antaranya mengehadkan 400 orang bagi setiap saluran berbanding 600 orang sebelum ini dan menyarankan masa keluar mengundi dalam kad pengundi.

Manakala kempen pilihan raya tertakluk kepada perintah semasa kerajaan.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, Allahyarham selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi. #sumber

Share:

Isu Denda Parkir: MPK Perlu Tangguhkan Dulu Jika Tidak Mahu Lihat Protes Rakyat PRU-15 !


KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK)  digesa menangguhkan dulu tarif baru denda parkir jika alasan untuk mendidik orang ramai yang gagal melunaskan bayaran tunggakan parkir.

Demikian dijelaskan oleh Penyelaras Angkatan Pembela Rakyat (Angkara), Mohd Shukri Mohd Ramli ketika mengulas kenyataan yang dibuat oleh Yang DiPertua MPK, Dato' Hamdan Hussin semalam. 

MPK kata Hamdan bertanggungjawab untuk mendidik orang ramai supaya tahu peranan mereka untuk membuat bayaran parkir setiap kali meletakkan kenderaan di petak parkir yang disediakan pihaknya.

Hamdan juga berkata, mereka yang gagal berbuat demikian pasti akan dikenakan kompaun sebagaimana yang telah ditetapkan, namun MPK lebih tegas sejak melaksanakan kadar kompaun baharu bermula 1 Jun lalu. langkah itu terpaksa diambil memandangkan sebelum ini orang ramai hanya memandang mudah terhadap kompaun yang dikenakan terhadap mereka.

Namun, menurut Shukri kenaikan kadar denda itu terlalu tinggi melebihi 1,000 peratus. Bayangkan, Jika sebelum ini, jumlahnya lebih kecil seperti RM10 dan RM15 bagi tempoh 7 hari dan 14 hari, tetapi kini MPK menetapkan bayaran kompaun adalah RM30 dalam tempoh 30 hari sebelum digandakan kepada RM300 selepas 30 hari dari tarikh dikompaun.

Kenaikan mendadak ini menimbulkan kemarahan sebahagian besar warga Kuantan. Rata-rata mengganggap ini bukan mendidik tetapi lebih kepada mendera rakyat.

"Jika mendidik, MPK sepatutnya memberi tempoh tertentu sebelum perlaksaaannya. Buat hebahan di media, kain rentang, bunting, poster dan sebagainya. Didik rakyat supaya faham kenapa kenaikan itu dilaksanakan,"

"Tambahan pula rakyat masih tertekan dengan masalah ekonomi yang kian memcengkam akibat wabak pandemik Covid-19. Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan sekarang dimana kegiatan ekonomi hanya boleh dilakukan dari jam 7.00 pagi hingga jam 7.00 malam, maka kenaikan caj ini tidak relevan pada waktu sekarang," kata Shukri.

Katanya lagi,  memang benar bagi yang tidak mahu disaman mereka boleh beli kupon parkir atau gunakn Apps PahangGo. 

"Tetapi promosi besar-besaran kaedah ini adakah sudah dilakukan? Berapa ramai yang tahu kewujudan dan cara guna Apss itu sebenarnya. Berapa ramai rakyat terutamanya orang-orang tua yang buat IT untuk lakukan itu semua. Bagaimana pula dengan orang luar yang datang bertugas atau bercuti ke bandar Kuantan nanti?," tambah Shukri.

Beliau turut mengingatkan MPK, jangan nanti kemarahan rakyat menyebabkan kerajaan tewas lagi di Parlimen Kuantan. Tiga penggal kerusi parlimen ini dimenangi oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh. 

"Berbagai cubaan dilakukan untuk memenangi hati rakyat untuk merampas semula kerusi ini. Namun, tindakan pihak berkuasa tempatan itu membuat tindakan yang menimbulkan kemarahan rakyat dikhuatiri boleh memberi impak kekalahan lagi kepada kerajaan BN di kerusi parlimen Kuantan akhirnya," jelas Shukri lagi.

Inilah yang berlaku sebenarnya. Apabila rakyat membuat protes maka impaknya pada Pilihanraya Umum Ke-15 akan datang. Akhirnya Fuziah tidak perlu berkempen, dan tetap menang kerana protes rakyat.

MPK perlu berhati-hati dengan tindakan ini. Jangan hanya memikirkan keuntungan mudah semata-mata, maka suara rakyat dinafikan. Baru saja mahu menjadi bandaraya sudah menekan rakyat. 

"Jika MPK terus melaksanakan tindakan ini maka saya tidak teragak-agak akan membuat protes yang sama seperti sebelum ini. Bagi saya MPK baru sahaja mendapat anugerah Bandar Paling Bahagia daripada KPKT. Makanya biarlah kebahagiaan itu diagihkan sama rata, jangan MPK sahaja bahagia tetapi rakyat menderita. Jangan samakan Kuantan dengan Kuala Lumput yang sudah lama naik taraf bandaraya," tambah beliau.

Tinjauan PDO mendapati rakyat amat kecewa dengan tindakan ini. Sepatutnya untuk mendidik MPK tawarkan juga diskaun kepada saman parkir yang tertunggak dan memperbaiki prasrana kemudahan trafik di bandar ini terutamanya dari segi petak parkir, jalan rosak dan sebagainya.

Melakukan tindakan tanpa hebahan menyebabkan rakyat marah dan akhirnya mereka abaikan semua itu. Bahkan lebih drastik lagi, pasti ada yang akan koyakkan kertas saman MPK itu didepan mata penguatkuasa. Mendekati rakyat bukanlah begini caranya, ia kena lebih mesra dan berhemah. 

Apa pun MPK ada hak untuk bertindak kerana mereka adalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkuasa di bandar ini. Rakyat hanya mampu menangis dalam kebahagian yang dimiliki oleh MPK. #pahangdaily
Share:

NGO Minta Kerajaan Negeri Dedahkan SOP Angkut Bauksit


KUANTAN - Kerajaan Pahang diminta mendedahkan laluan khas yang akan digunakan pengusaha lori untuk mengangkut bauksit ke Pelabuhan kepada rakyat.

Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Ali Akbar Othman berkata, operasi itu sudah mula tempoh percubaannya hari ini, namun tiada sebarang pendedahan secara lengkap diumumkan kepada rakyat berhubung operasi perlombongan dan pengeksportan bahan mineral itu.

Menurutnya, pengumuman itu bagi memastikan laluan yang digunakan tidak mengganggu pengguna jalan raya dan pencemaran alam sekitar seperti sebelum ini.

"Kalau boleh Kerajaan Pahang atau agensi yang terlibat dengan aktiviti bauksit ini mendedahkan produser operasi standard (SOP), bagi kerja-kerja melombong dan mengangkut bahan mineral ini kepada rakyat. Kita hendak tahu laluan mana pemandu lori akan gunakan bagi tujuan angkut bauksit.

"Selain itu, kita juga ingin tahu berapa had muatan dibenarkan termasuk penggunaan jenis lori. Semua perkara itu perlu dimaklumkan kepada warga Kuantan. Ini bagi membolehkan aduan dibuat, jika pengusaha tidak mematuhi syarat ditetapkan kerajaan.

"Kita tidak mahu sejarah lama berulang kembali seperti berlakunya kemalangan membabitkan lori bauksit, pencemaran dan sebagainya, jadi rakyat perlu tahu SOP kerja-kerja melibatkan bauksit ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini

Semalam, Geram memuat naik status mengenai operasi bauksit secara percubaan telah pun bermula pada hari ini.

Ali Akhbar berkata, pihaknya tidak pernah membantah aktiviti ini, jika pengusaha bauksit mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Kita sebenarnya tidak pernah halang aktiviti ini kerana kita tahu ia salah satu punca pendapatan bagi Kerajaan Pahang tetapi kalau pengusaha tidak patuhi SOP sudah pasti kita akan marah dan gesa aktiviti ini dihentikan.

"Kita tidak mahu lagi ada kemalangan, pencemaran udara, banjir lumpur dan sebagainya akibat kerakusan melombong bauksit. Kalau boleh kejadian dahulu dijadikan sebagai pengajaran untuk terus menambah baik SOP bauksit pada ketika ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Gagasan Dua Generasi Felda Bukit Goh, Jefri Salim berkata, peneroka kini menarik nafas lega apabila aktiviti perlombongan dan pengekspotan bauksit telah dimulakan.

Menurutnya, walaupun ia baru di peringkat percubaan, namun diharapkan pihak yang terlibat dapat mematuhi SOP ditetapkan.

"Hampir dua tahun operasi bauksit tidak berjalan, semua peneroka terlibat sudah hilang punca pendapatan. Kami harap tempoh percubaan ini digunakan dengan sebaiknya.

"Sekurang-kurangnya peneroka boleh dapat pendapatan hasil daripada aktiviti itu," katanya. #sumber
Share:

Lebih 300,000 OKU, Ibu Tunggal Terima Bantuan One-Off RM300

PUTRAJAYA - Lebih 300,000 golongan orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal yang disenarai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima bantuan 'one-off' sebanyak RM300 bagi mengurangkan beban mereka dalam keadaan mencabar ketika negara berdepan wabak COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bayaran itu akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha.

"Kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan dan kesejahteraan kumpulan sasar seperti OKU dan ibu tunggal," katanya ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen, hari ini.

Kerajaan memperkenalkan PENJANA dengan tema ‘Bersama Menjana Ekonomi’ sebagai langkah segera untuk membangun dan merancakkan semula ekonomi negara untuk jangka masa pendek merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion.

Muhyiddin berkata kerajaan juga akan memperuntukkan geran kepada pertubuhan bukan kerajaan berkaitan golongan berkenaan.

Memahami beban kos yang ditanggung pengguna pengangkutan awam untuk keluar bekerja dan aktiviti lain, Muhyiddin turut mengumumkan program MY30, dengan pengguna hanya perlu membayar RM30 sahaja sebulan untuk menikmati perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang.

“Inisiatif ini terbuka kepada semua warganegara dan akan berkuat kuasa mulai 15 Jun sehingga hujung tahun 2020,” katanya.

Perdana menteri bagaimanapun mengingatkan pengguna supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengamalkan jarak sosial ketika menggunakan pengangkutan awam.

Dalam ucapan itu, Muhyiddin juga mengumumkan inisiatif ‘GLC Penjana Komuniti’ bertujuan menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan menjalankan usaha membangun keupayaan sosio-ekonomi sesebuah komuniti.

Selain itu, beliau berkata kemudahan Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PEKA B40) akan diperkasa dengan penambahan peruntukan berjumlah RM50 juta bagi membiayai saringan kesihatan dan kemudahan peralatan perubatan. #sumber

Share:

Pelan Jana Semula Ekonomi Negara Perkasa Rakyat, Rangsang Ekonomi

PUTRAJAYA - Dalam menghadapi cabaran ekonomi negara susulan pandemik COVID-19, kerajaan memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dalam memperkasakan rakyat dan merangsang ekonomi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan pelan jangka pendek bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’ itu berkata, ia juga untuk melonjakkan perniagaan.

Kerajaan mengariskan 40 inisiatif dengan peruntukan RM35 bilion bagi mencapai matlamat-matlamat tersebut dengan RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung daripada kerajaan.

Agenda utama dalam memperkasakan rakyat adalah untuk mengatasi kebimbangan rakyat mengenai risiko kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan berikutan banyak aktiviti ekonomi terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac.

Untuk menangani cabaran kadar pengangguran yang meningkat dan memastikan pengekalan pekerjaan, kerajaan memperuntukkan hampir RM9 bilion yang akan memanfaatkan tiga juta tenaga pekerja melalui beberapa inisiatif.

Inisiatif-inisiatif itu termasuk perluasan program subsidi upah bernilai RM5 bilion, program insentif pengambilan pekerja berjumlah RM1.5 bilion, program peningkatan kemahiran mereka yang menganggur berjumlah RM2 bilion dan program peningkatan kemahiran.

Kerajaan sememangnya memandang serius usaha membantu golongan pekerja dan memastikan pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut tercapai dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pekerjaan Nasional dipengerusikan Menteri Kewangan dan Menteri Sumber Manusia. 

Ketika PKP dilaksanakan pada Mac lepas, kadar pengangguran di negara ini adalah di paras 3.9 peratus atau sekitar 610,000 orang dan kadar itu dijangka meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 orang bagi keseluruhan tahun ini.

Sebelum PENJANA, kerajaan telah memperkenalkan pakej-pakej rangsangan ekonomi termasuk Pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS Tambahan berjumlah RM260 bilion.

“Alhamdulillah, pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan telah berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan, mengurangkan beban aliran tunai hampir 11 juta rakyat serta memberi sokongan kepada lebih 300,000 syarikat,” katanya dalam perutusan yang disiarkan secara langsung oleh televisyen.

Setakat 2 Jun ini, kira-kira 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja telah mula bekerja.

Bagi meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar semula anak-anak mereka ke taska, kerajaan akan memberi geran kepada pengendali taska untuk mematuhi dan melaksanakan SOP yang ditetapkan.

Kerajaan mengumumkan insentif cukai pendapatan individu untuk yuran yang dibayar kepada taman asuhan dan taman didikan kanak-kanak sehingga RM3,000.

Bagi meringankan lagi bebanan rakyat terutamanya menggunakan pengangkutan awam, kerajaan akan memperkenalkan Program My30 dengan pengguna hanya perlu membayar RM30 sahaja sebulan untuk menikmati pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang mulai 15 Jun hingga hujung tahun ini.

Nasib golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal turut mendapat perhatian apabila kerajaan bersetuju lebih 300,000 orang layak menerima bantuan one-off RM300 bagi mengurangkan beban mereka dengan bayaran sebelum Hari Raya Aidiladha.

Berita baik untuk mereka yang banyak bergantung kepada internet terutamanya untuk kelangsungan hidup dalam aspek pendidikan dan pekerjaan, kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi akan menyediakan perkhidmatan internet dengan kapasiti 1 gigabyte percuma untuk semua pengguna dari 8 pagi hingga 6 petang setiap hari sehingga akhir tahun ini.

Sektor pelancongan yang terjejas turut dibantu melalui Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA bernilai RM1 bilion bagi membiayai inisiatif transformasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) agar terus berdaya saing dalam era kebiasaan baharu.

“Kerajaan akan membantu setiap perniagaan, sama ada besar atau kecil, menerusi beberapa langkah,” kata Muhyiddin.

Bagi terus menjana ekonomi negara, kerajaan menggalakkan rakyat menyokong produk dan perkhidmatan tempatan melalui kempen ‘Buy Malaysia’ dan kerajaan juga akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna.

Di sektor industri pertanian dan makanan, Dana Agrofood sebanyak RM350 juta disediakan bagi memastikan kelangsungan pengusaha pertanian dan komoditi.

“Saya yakin segala usaha memulih dan merangsang ekonomi yang saya umumkan pada hari ini akan meningkatkan semula keyakinan pelabur, peniaga dan rakyat seluruhnya untuk bersama-sama menjana ekonomi negara,” kata Muhyiddin.

Tiada Makcik Kiah tetapi kali ini perdana menteri menggunakan contoh bagaimana Kak Radziah dan Datuk Lim mendapat manfaat daripada PENJANA. #sumber

Share:

Individu Memandu Bawah Pengaruh Alkohol Perlu Hukuman Penjara Mandatori

PUTRAJAYA - Individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol perlu dikenakan hukuman setimpal seperti penjara mandatori, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata hukuman sedemikian perlu dilaksanakan kerajaan kerana ia adalah lebih berkesan untuk mengekang pemanduan mabuk di negara ini.

“Sekarang ini masyarakat kita telah sedar bahawa isu pemandu mabuk ini sudah menjadi bermusim dan semakin serius.

“Oleh itu, saya akan menyokong apa sahaja tindakan undang-undang yang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya kepada pemberita selepas hadir majlis penyerahan kereta peronda baharu Polis Diraja Malaysia, di Kompleks KDN di sini, hari ini.

Abdul Hamid berharap kerajaan dapat meminda undang-undang sedia ada untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu yang disabit kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pada 30 Mei lepas, Bernama melaporkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk merangka pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) berikutan bilangan kes kemalangan jalan raya membabitkan pemandu mabuk yang dilihat semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias pada Rabu berkata sejumlah 22 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk dilapor dalam tempoh lima bulan tahun ini dan dalam tempoh itu juga seramai 822 orang ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol. #sumber

Share:

Kerajaan Negeri Pahang "Masuk Campur", Isu Pemberhentian Pekerja Alliance Steel Selesai


KUANTAN - Isu pemberhentian pekerja kilang Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB)  di Gebeng di sini selesai, selepas kedua-dua pihak mencapai kata putus, bersetuju dengan dua pilihan yang ditawarkan syarikat itu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata keputusan itu dicapai pada dua mesyuarat selama hampir empat jam bersama wakil pekerja terlibat dan pengurusan tertinggi ASSB. 

Katanya pihak ASSB bersetuju dengan permintaan pekerja supaya dibayar pampasan kepada mereka yang bersetuju diberhentikan manakala pilihan kedua ialah pekerja yang ingin kembali berkhidmat di kilang itu dibenarkan berbuat demikian. 

"Pengurusan ASSB juga memberi komitmen bahawa mereka akan menerima dan melayan pekerja yang ingin kembali dengan adil dan saksama, namun mengharapkan pekerja terlibat juga mengambil inisiatif berhenti menularkan perkara yang tidak benar tentang pengurusan kilang. 

"Berhubung soal pampasan kepada pekerja yang diberhentikan, ASSB bersetuju membuat pengiraan berdasarkan peruntukan Akta Kerja 1955 dan mungkin mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan yang terlibat bagi tujuan itu selain dipantau oleh kerajaan negeri," katanya. 

Mohd Johari berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Teknologi ASSB Steve Hu, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pahang Pezman Che Hussin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Andansura Rabu. 

Berdasarkan maklumat diberikan ASSB, Mohd Johari berkata seramai 380 orang pekerja warga tempatan diberhentikan kerja selepas didakwa enggan menerima tawaran untuk tinggal di asrama jika mahu terus bekerja atau mengambil cuti tanpa gaji, namun 182 orang daripada jumlah itu setuju untuk kembali bekerja. 

"Kita juga sudah meminta ASSB untuk mengkaji semula syarat yang mewajibkan pekerja tinggal di asrama jika mahu bekerja kerana kita faham mereka bimbang berlaku COVID-19 dalam kilang, namun perlu ada kaedah saringan keluar masuk yang lebih baik. Untuk itu, kita mencadangkan mereka meminta bantuan agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan. 

"Selain itu, kita juga mencadangkan supaya pengurusan ASSB membenarkan penubuhan kesatuan pekerja supaya apa juga isu yang timbul dapat dibincangkan dengan baik sebelum pihak pengurusan membuat keputusan agar ia tidak menimbulkan keresahan kepada pihak terlibat," katanya. 

Selain 2,938 pekerja warga tempatan, ASSB yang merupakan pelabur terbesar Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) itu juga mempunyai 1,849 pekerja warga China dengan 314 orang daripadanya telah ditamatkan kerja atau berhenti secara sukarela.  #sumber
Share:

Covid-19: Kes Baharu Kembali Dua Angka, Sembuh 80 Peratus

PUTRAJAYA - Jumlah jangkitan kes positif COVID-19 baharu yang dilapor hari ini kembali turun kepada dua digit iaitu 19 kes dengan sembilan kes melibatkan warganegara Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, terdapat satu kes kematian hari ini selepas 13 hari berturut-turut tiada kes kematian baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 116 kes atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, katanya.

Dr Noor Hisham berkata daripada 19 kes baharu, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Daripada 12 kes penularan di dalam negara, tiga kes adalah bukan warganegara manakala sembilan kes membabitkan warganegara Malaysia.

"Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,266 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,540 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19 di sini hari ini.

Kes yang telah pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini ialah 51 kes menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 6,610 kes iaitu 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. #sumber

Share:

RON97 Dan RON95 Naik 5 Sen, Diesel Pula Naik 2 Sen Seliter

KUALA LUMPUR - Harga bagi setiap liter RON97 dan RON95 naik lima sen manakala diesel pula naik dua sen bagi tempoh 6 hingga 12 Jun 2020.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, berdasarkan penetapan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga baharu seliter bagi RON97 ialah RM1.78, RON95  (RM1.48) dan diesel RM1.63.

Kenaikan harga ini disebabkan peningkatan harga produk yang diproses  seiring kenaikan harga minyak mentah dunia.

Kerajaan akan terus memantau impak perubahan harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terjaga, demikian menurut kenyataan itu. #sumber

Share:

Mahkamah Perlu Bebaskan Najib Daripada Tuduhan Kes SRC

KUALA LUMPUR - Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbicaraan kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa mereka telah menimbulkan lebih daripada melangkaui keraguan yang munasabah terhadap kesemua tujuh tuduhan yang dihadapi oleh bekas perdana menteri itu.

Peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata satu daripada pertuduhan, iaitu penyalahgunaan jawatan adalah ‘cacat’ dan menyalahi undang-undang kerana terdapat pertindihan.

“Tarikh pertuduhan untuk penyalahgunaan jawatan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 adalah antara Ogos 2011 dan Mac 2012.

"Tuduhan itu ‘cacat’ dan memudaratkan pihak pembelaan dan mahkamah berkewajipan untuk membebaskan kerana tidak ada cara untuk membuat pembelaan mengenai adakah tertuduh bersalah atas kesalahan pertama atau kedua ketika pertuduhan dibentuk menjadi satu," kata Muhammad Shafee sambil memetik dua keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes pecah amanah (CBT) dan kes SPRM.

Merujuk kepada dua kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, Muhammad Shafee berhujah tuduhan terhadap Najib bagi menyalahgunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk mendapatkan manfaat untuk dirinya perlu ditolak.

Pihak pembelaan juga berhujah bahawa bagi tuduhan pengubahan wang haram, intipati seksyen berkenaan adalah untuk membuktikan bahawa wang yang diterima adalah daripada hasil perbuatan jenayah.

“Tidak boleh melakukan kesalahan pengubahan wang haram tanpa membuktikan bahawa wang yang diterima memang merupakan perbuatan yang tidak sah. Pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan bahawa anak guam saya tahu atau mempunyai pengetahuan bahawa sumber wang itu adalah hasil jenayah, dan itu bukan masalahnya,” kata peguam itu.

Mengenai tiga tuduhan CBT, peguam itu berkata  terdapat peruntukan bagi ketiga-tiga tuduhan tersebut menjadi satu, kerana transaksi dilakukan dalam tempoh dua bulan.

Katanya, kesalahan pertama dan kedua masing-masing melibatkan RM27 juta dan RM5 juta, didakwa berlaku pada 26 Dis 2014 sementara yang ketiga pada 10 Feb 2015 melibatkan RM10 juta.

"Ketiga-tiga tuduhan CBT berlaku dalam masa dua bulan, namun pihak pendakwaan mengenakannya dalam tiga tuduhan yang sepatutnya tidak perlu," katanya.

Semasa mengakhiri hujahnya hari ini, Muhammad Shafee mengucapkan terima kasih kepada hakim kerana bersabar mendengar perbicaraan yang panjang dan mengatakan bahawa pihak pembelaan telah mengemukakan pembelaan lebih daripada melangkaui keraguan yang munasabah untuk beliau pertimbangkan.

"Saya memohon mahkamah agar membebaskan Najib terhadap semua (tujuh) tuduhan," katanya.

Pendakwa raya ad hoc Datuk V.Sithambaram dalam hujah balasnya berkata tiada pertindihan atau prejudis terhadap tuduhan tersebut memandangkan Najib menghadiri mesyuarat Kabinet yang meluluskan dua jaminan kerajaan (GG) kepada SRC.

Beliau berhujah mesyuarat Kabinet dan GG adalah untuk syarikat yang sama (SRC) dan dengan kapasiti yang sama sebagai pegawai awam, perdana menteri serta menteri kewangan dan untuk manfaat yang sama, oleh itu tidak ada pertindihan.

"Sekiranya mendapat manfaat RM42 juta, dipecahkan kepada dua tuduhan berasingan, ia bermakna beliau mengambil RM84 juta," katanya.

Beliau berkata Najib mempunyai kawalan dan penguasaan terhadap syarikat itu dalam kapasitinya sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pegawai awam.

"Ini adalah kes pendakwaan bahawa tertuduh adalah pengarah bayangan SRC," katanya menangkis hujah pembelaan.

Katanya lagi, syarikat itu juga tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kehilangan RM42 juta itu.

“Ini jelas mengesahkan bahawa semua ini dilakukan dengan pengetahuan dan semua yang dilakukan untuk menyembunyikan kesalahan ini daripada ditunjukkan kepada dunia," katanya.

Najib berdepan tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, terdiri tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berkaitan dana SRC.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Ambank Group Building, No 55, Jalan Raja Chulan di sini, dan di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, antara 17 Ogos, 2011, dan 2 Mac 2015.

Selepas prosiding berkenaan, Sithambaram memberitahu media bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya terhadap tujuh pertuduhan dan hakim kini perlu menilainya.

"Saya yakin fakta berada di pihak pendakwa. Kami telah menjalankan tugas kami dan membuktikan kes kami melangkaui segala keraguan yang munasabah,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shafee pula menyatakan keyakinannya yang pihak pembelaan telah mengemukakan pembelaan dengan baik untuk menangkis tujuh tuduhan yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu. #sumber

Share:

JTK Siasat Isu Pemberhentian Pekerja ASSB Beramai-Ramai


KUANTAN - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pahang akan menyiasat aduan pemberhentian kerja beramai-ramai yang dibuat wakil pekerja sebuah perusahaan di sini baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Standard Perburuhan JTK Semenanjung Malaysia, Asri Wahab berkata, pihaknya menerima aduan lebih 200 pekerja dan mendapati mereka mempunyai asas aduan yang sama.

Menurutnya, berdasarkan aduan tersebut JTK Putrajaya bersama JTK Pahang dan pegawai Kementerian Dalam Negeri menemui pihak majikan bagi menyiasat dakwaan pemberhentian pekerja tempatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Apabila isu ini timbul di waktu PKPB, pihak JTK merasakan ia perlu ditangani dengan segera dan sebaik mungkin. Kami berjumpa pengurusan syarikat dan dalam pertemuan tersebut saya mencadangkan pihak majikan menangguhkan sekejap perkara berkaitan pemberhentian sehingga selesai PKPB.

"Sekiranya pekerja ini boleh dikekalkan, itu adalah yang terbaik. Namun kita memahami kedua-dua pihak berdepan sindrom ketakutan susulan pandemik Covid-19. Kita berharap pekerja dikekalkan dan kita percaya syarikat boleh pergi jauh," katanya pada sidang akhbar di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah JTK Pahang, Pezman Che Hussin.

Asri Wahab berkata, pegawai JTK Kuantan melaksanakan tugas berdasarkan Akta Kerja 1955 iaitu berkaitan tempat pekerjaan.

"Kita turut menyiasat dari segi pembayaran gaji. Adakah gaji dibayar dengan betul. Adakah kadar upah biasa dikira betul dan bagaimana kiraan kerja lebih masa serta potongan tertentu dalam slip gaji.

"Kami membuat pemeriksaan secara teliti dan kalau didapati ada pelanggaran yang berlaku kertas siasatan akan dibuka. Masih lagi di peringkat siasatan. Ramai pegawai kami masih berada di sana. Ada pekerja mendakwa mereka cuma menerima surat pemberhentian menerusi aplikasi WhatsApp," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati majikan supaya melaksanakan perundingan dengan pekerja yang terlibat supaya mendapat satu persetujuan berkonsepkan situasi menang-menang.

"Bagi JTK kami bersedia menjadi perantara sebab tugas JTK menjaga kepentingan majikan dan kebajikan pekerja," katanya. #sumber
Share:

"Mat Yo" Saman NSTP Berhubung Artikel Fitnah Terhadapnya !


KUALA LUMPUR - Penyerang veteran kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali sebagai 'Mat Yo' memfailkan saman terhadap The New Straits Times Press (M) Berhad dan dua pengarang akhbar tempatan itu atas dakwaan menerbitkan artikel fitnah terhadapnya.

Norshahrul, 34, selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu pada 27 April lepas menerusi Tetuan The Chambers of KK Tan dengan menamakan syarikat penerbitan itu, pengarang kumpulan New Straits Times Ahmad Lokman Mansor dan pengarang akhbar itu, Farah Azharie sebagai defendan pertama sehingga ketiga.

Mengikut senarai kes mahkamah, kes itu ditetapkan untuk sebutan secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Shuhada Ramli hari ini yang kemudiannya menetapkan 22 Julai depan untuk pengurusan kes berkenaan.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang dilihat melalui carian dalam e-filing oleh Bernama, Norshahrul berkata selepas tamat kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Pahang pada 30 Nov 2019, beliau telah mendapatkan khidmat ejen bola sepak profesional iaitu Pro24 Agency bertujuan menguruskan proses pencarian pasukan bola sepak baharu untuk beliau sertai termasuk tatacara dan persiapan perpindahan.

Bekas penyerang Pahang itu mendakwa Pro24 telah mendapatkan tawaran daripada pasukan bola sepak dari Thailand bernama Sukhotai FC namun plaintif tidak bersetuju dengan gaji yang ditawarkan kerana tidak memenuhi kehendaknya dan tawaran daripada Sukhotai FC itu ditolak.

Norshahrul mendakwa beliau kemudiannya dihubungi oleh Pengarah Urusan Offside Sports Management, Abdul Halim Abdul Shukor yang menawarkan diri untuk menjadi ejen kepada plaintif dan pada 10 Jan lepas, ejennya itu memaklumkan mengenai tawaran daripada pasukan bola sepak dari Thailand, Bangkok Glass (BG) Pathum United dan plaintif bersetuju dengan tawaran itu serta kontrak antara mereka telah ditandatangani pada 16 Jan lepas.

Dakwa plaintif, akibat penularan wabak Covid-19, liga bola sepak di Thailand ditangguhkan dan pihak BG Phatum United telah memanggil kesemua pemain untuk berbincang mengenai beberapa perkara termasuk isu pemotongan gaji dan ketika itu, plaintif cuba menghubungi Abdul Halim tetapi gagal serta tindakan ejennya menghilangkan diri menyebabkan plaintif membawa isu berkenaan kepada pihak akhbar supaya beliau mengetahui bahawa plaintif sedang cuba menghubunginya.

Norshahrul mendakwa pada 11 April lepas, kesemua defendan telah menerbitkan artikel bertajuk Norshahrul's agent disappears amid pandemic dan pada tarikh sama, Abdul Halim memberi maklum balas di Facebook miliknya antara lain membuat beberapa dakwaan bahawa beliau bukan menghilangkan diri tetapi berdiam diri kerana terdapat on going case (kes yang masih berjalan) antara beliau, plaintif, Pro24, BG Phatum United dan Persatuan Bola Sepak Thailand.

Dakwa plaintif dakwaan Abdul Halim adalah tidak benar dan menimbulkan tanggapan seolah-oleh kes sedang berjalan di antara plaintif dengan Pro24 dan dakwaan itu telah menarik perhatian pihak media khususnya defendan-defendan.

Norshahrul seterusnya mendakwa pada 13 April lepas, kesemua defendan telah menerbitkan artikel bertajuk Norshahrul sued by Thai agent yang mengandungi pernyataan-pernyataan fitnah merujuk kepada plaintif yang diterbitkan secara dalam talian dan turut disebarkan melalui Facebook dan Twitter yang dikawal oleh kesemua defendan.

Plaintif mendakwa artikel memfitnah itu antara lain menyatakan bahawa beliau telah disaman oleh Pro24, dihalang keluar dari Thailand sehingga kes selesai sedangkan plaintif mendakwa beliau tidak pernah menerima sebarang surat tuntutan dengan kes yang kononnya telah difailkan oleh Pro24 di Thailand.

Dakwanya, tajuk dan kandungan artikel memfitnah itu adalah tidak benar dan ia menyebabkan nama baik serta reputasinya selaku pemain bola sepak tercalar dan plaintif juga menyatakan adalah wajar jika kesemua defendan mendapatkan penjelasan daripadanya sebelum menerbitkan artikel berkenaan namun mereka gagal berbuat demikian.

Norshahrul mendakwa sehingga kini, artikel fitnah itu masih belum ditarik balik daripada laman sesawang yang dikawal oleh defendan-defendan.

Plaintif menuntut ganti rugi antaranya ganti rugi teladan, ganti rugi kerana memfitnah, faedah, satu injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada meneruskan penerbitan artikel yang sama dengan penerbitan artikel memfitnah, kos serta relief lain difikirkan sesuai oleh mahkamah. #sumber
Share:

Annuar Musa Tidak Mahu DBKL Kejar Dan Halau Penjaja Lagi


KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya memberi isyarat baharu kepada penjaja dan peniaga kecil di bandaraya ini bagi memudahkan urusan permohonan lesen mereka.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata beliau tidak mahu lagi melihat DBKL mengejar atau menghalau penjaja kecil sekali gus memperlihatkan imej kerajaan seolah-olah 'komunis' dalam berdepan situasi itu.

Sebaliknya, beliau mahu pendekatan secara perbincangan dijalankan supaya mereka boleh terus menjalankan perniagaan.

"Kita faham disebabkan COVID-19 ini, ramai orang hilang kerja jadi sesiapa yang nak menceburkan diri dalam perniagaan saya mahu mereka kena ikut peraturan dan harus bekerjasama dengan DBKL.

"Ia termasuk mencari tempat sesuai, tidak menghalang keperluan orang ramai, tidak kacau trafik, jaga kebersihan dan jangan tinggalkan sampah.

"Saya mahu DBKL menggalakkan mereka dan permudahkan, jangan sulitkan dan jangan macam halau ayam guna lesung.

"Seperti penjaja 'rambo', sekali mereka datang kena halau dan lari, saya kata (kepada DBKL) duduk dan bincang dengan mereka, beri mereka garis panduan.

"Kita tidak mahu dilihat seperti kerajaan gerila komunis, kita mula cara baharu, " katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Pada masa sama, dalam usaha DBKL ingin membantu penjaja dan peniaga kecil, golongan itu juga seharusnya memberikan kerjasama dan bertimbang rasa dengan mematuhi semua garis panduan ditetapkan khususnya ketika COVID-19 termasuk membabitkan aspek kebersihan dan penjarakan sosial.

Dalam perkembangan sama, pihaknya juga sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya 103 lot di pusat beli-belah Berjaya Times Square diberikan kepada peniaga kecil khususnya dalam kalangan anak muda.

"Saya juga sedang berunding dengan sebuah syarikat francais untuk membuka kiosk makanan dan sebagainya," katanya.


Terdahulu, beliau menyerahkan lesen perniagaan kepada penjaja trak makanan, Minah Awang, 71, yang berniaga nasi dagang dengan di Jalan Medan Setia, di sini.

Minah atau dikenali sebagai Che Nah sudah 35 tahun menjalankan perniagaan nasi dagang namun masih belum dapat lesen perniagaan.

Annuar berkata, pemberian lesen perniagaan kepada Che Nah ini adalah simbolik mengenai isyarat baharu yang ingin diberikan bagi memudahkan urusan permohonan membabitkan perkara itu.

Sementara itu, Che Nah berkata, sejak lebih 30 tahun berniaga tanpa lesen, pelbagai kesukaran dialaminya antara termasuk pengalaman traknya ditarik pihak berkuasa.

Che Nah yang memandu sendiri traknya berkata, memperoleh lesen perniagaan perkara yang amat diidamkan dan ia menjadi pemangkin semangat meneruskan perniagaan bagi menyara kehidupan.

"Ada sampai 10 kali kena tarik tapi makcik tawakal sahaja sebab niat memang nak cari makan...hari ini bersyukur dan berterima kasih, " katanya. #sumber
Share:

Tan Sri Ali Rustam Di Lantik Yang Di-Pertua Negeri Melaka


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Melaka ketujuh kepada Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam di Istana Negara.

Pelantikan bekas Ketua Menteri Melaka itu berkuat kuasa hari ini sehingga tempoh empat tahun bagi menggantikan Tun Dr Mohd Khalil Yaakob yang tamat tempoh perkhidmatan hari ini.

Selepas istiadat pengurniaan watikah itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun kepada Mohd Ali.

Istiadat pengurniaan yang berlangsung petang ini turut disaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Selepas istiadat itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan berangkat ke Majlis Santapan Petang Sempena Pelantikan TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka di dewan santapan.

Mohd Ali, 70, yang juga anak jati Bukit Katil, pernah berkhidmat sebagai ketua menteri Melaka dari 1999 hingga 2013. #sumber
Share:

Dr Shahruddin Letak Jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya !


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya.

"Ya, betul saya meletakkan jawatan," katanya ringkas kepada BH menerusi WhatsApp yang mengesahkan perkara itu.

Hari ini, tular dalam media sosial surat peletakan jawatan beliau sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya.

"Dengan rasminya, saya mengumumkan meletak jawatan perkara di atas berkuat kuasa mulai hari ini.

"Saya telah melakukan ijtihad politik yang kurang tepat, iaitu dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya seharusnya meletakkan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi di Parlimen Sri Gading telah memilih parti Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Sebagai langkah awal bagi saya membetulkan kesilapan ini, maka saya dengan ini meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh Perdana Menteri daripada kerajaan PN," katanya dalam surat berkenaan.#sumber
Share:

Covid-19: Sebanyak 277 Kes Direkod, , Tiada Kematian Hari Ini


PUTRAJAYA - Jumlah jangkitan kes positif COVID-19 baharu yang dilapor hari ini kembali melonjak ke tiga angka kepada 277 kes, dengan 271 kes melibatkan bukan warganegara Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara Malaysia hanya melibatkan empat kes selain terdapat dua kes import warganegara Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Dua ratus tujuh puluh kes dalam kalangan bukan warganegara adalah dari Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, dan ia merupakan sampel ulangan bagi Orang Kena Tahan (OKT) yang dikuarantin di depot tahanan ini.

"Mereka terdedah kepada kes positif sebelum ini. Sementara satu kes bukan warganegara adalah saringan di tapak pembinaan di Pudu," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19 di sini hari ini. 

Kali terakhir kes positif COVID-19 di negara ini mencatat tiga angka adalah pada 26 Mei, melibatkan 187 kes.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kumulatif kes positif COVID-19 ialah 8,247 dan tiada kematian dicatat hari ini, sementara enam kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 1,573 dan mereka diasingkan serta diberi rawatan.

Beliau berkata terdapat 28 kes yang sudah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah sebanyak 6,559 atau 79.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu, beliau berkata KKM mengiktiraf peranan penting Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sebagai pasukan tindakan utama dalam usaha membendung dan mencegah penularan COVID-19 di negara ini.

Beliau berkata PKD menggunakan pendekatan tindakan Kesihatan Awam yang dijalankan secara agresif dan tertumpu di lapangan dalam kalangan kes warganegara dan bukan warganegara.

“Sebelum ini lagi, PKD memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pelbagai tindakan mencegah dan membendung jangkitan dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan. Salah satu tindakan penting dilaksanakan sejak permulaan gelombang COVID-19 adalah aktiviti siasatan dan pengesanan secara aktif bagi kes COVID-19,” katanya.

Antara siasatan dan pengesanan adalah siasatan kes COVID-19 di lapangan termasuk kontak rapat, pengesanan kes secara aktif dijalankan dari rumah ke rumah, aktiviti saringan secara bersasar, persampelan secara pandu lalu dan aktiviti nyah kuman di rumah pesakit, katanya.

Selain itu, beliau berkata PKD juga bertanggungjawab memastikan Klinik Kesihatan (KK) terus bersiap siaga menjalankan saringan COVID-19 di kaunter yang dikenal pasti di KK tertentu di daerah masing-masing sebagai pusat pengambilan sampel serta Klinik Sentinel.

Katanya, PKD juga menjalankan aktiviti promosi kesihatan dan sokongan psikososial bagi memastikan masyarakat setempat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima maklumat tepat dan mengamalkan langkah pencegahan.

“PKD turut melaksanakan pengurusan jenazah bagi kes kematian COVID-19 melalui penyeliaan dan pengebumian mengikut garis panduan yang ditetapkan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran,” katanya.

Mengenai PKPD yang merupakan satu tindakan kerajaan bagi membolehkan aktiviti Kesihatan Awam dijalankan, beliau berkata bancian penduduk dari rumah ke rumah dijalankan ketika PKPD oleh anggota pasukan kesihatan termasuk aktiviti persampelan oleh petugas Klinik Kesihatan bagi mengesan kes berisiko.

Justeru, Dr Noor Hisham melahirkan ucapan penghargaan di atas usaha berterusan dan cemerlang PKD terutama kejayaan mencegah penularan COVID-19 khususnya dalam kalangan warganegara yang kini mencatat  satu angka. #sumber
Share:

Isu Premis Warga Asing, Laporan Polis Di Buat Terhadap PBT !


KUANTAN  -  Penyelaras Angkatan Pembela Rakyat (Angkara), Mohd Shukri Mohd Ramli telah membuat satu laporan polis terhadap Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) berkaitan isu premis warga asing yang "tumbuh bagaikan cendawan lepas hujan" di bandar ini.

Laporan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan jam 2.30 petang semalam. Terdahulu pihak MPK dipercayai telah membuat laporan polis terhadap beliau dan dia dipanggil untuk siasatan kes yang sama pada Isnin.

Meurut Shukri, laporan terpaksa dibuat memandangkan beliau mengesyaki ada sesuatu yang mencurigakan berlaku di PBT terbabit hingga lambakan premis warga asing dibiarkan beroperasi tanpa sekatan terutamanya di Jalan Bukit Ubi dan Jalan Pasar dekat sini.

Beliau yang mencetus kontroversi baru selepas isu warga asing di Selayang baru-baru ini mendakwa, banyak perkara yang seharusnya diberi perhatian oleh pihak berkuasa bagi menangani isu ini. Jika tidak isu warga asing menjalankan perniagaan dalam negara ini tidak akan selesai.

"Laporan polis terhadap PBT ini adalah pemangkin kepada laporan berikutnya di PBT seluruh negara. Saya akan gerakkan kesederan rakyat tentang mengapa kita perlu bangkit sekarang. Saya yakin memang ada unsur khianat dalam isu ini hingga menyebabkan warga asing bermaharajalela menjalanan perniagaan," dakwa Shukri.

Beliau turut mendakwa, jawapan daripada pihak PBT ialah semua premis terbabit mematuhi SOP, kerana ada lesen dan pemiliknya pula adalah warga tempatan. Maka mereka tidak boleh ambil tindakan, malah warga asing hanyalah pekerja sahaja.

Walhal katanya, beberapa kali mendedahkan ada penyelewengan berlaku terhadap isu ini. Warga asing menggunakan nama wanita tempatan untuk tujuan lesen perniagaan mereka disini.  Wanita terbabit menerima bayaran tertentu setiap bulan dan hanya akan dipanggil bila ada operasi oleh pihak berkuasa. Hari lain, warga asing yang berada di premis terbabit sebab modal, serta segala urusan dibuat mereka bukanlah pemilik asal. Justeru lesen yang dialibaba wajar ditarik balik kerana ia jelas mencabar kedaulatan dan undang-undang negara ini.

"Warga asing berada disini atas pas lawatan dan kerja, bukannya dibenarkan membuka perniagaan. Mereka jelas menipu atau bersekongkol dengan pihak berkuasa untuk mengaburi mata masyarakat", kata Shukri.

Difahamkan beliau juga akan membuat laporan berikutnya kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas ini. 

"Mereka yang khianat ini perlu dibawa ke muka pengadilan. Isu ini memang sudah sekian lama terjadi dan tiada pihak yang membangkitkannya secara lebih detail seperti ini. Banyak isu yang saya huraikan bagi membuktikan kes warga asing ini serius sekarang. Jika terus dibiarkan, pasti negara ini akan dijajah secara terhormat oleh mereka sebenarnya.

"Justeru kesedaran adalah penting agar kita dapat mewarisi kedaulatan negara ini dengan sempurna kepada generasi akan datang. Kita tidak mahu mereka menyalahkan kita akibat kealpaan dan tidak berjuang menentag isu ini secara efektif," dakwa Shukri lagi.

Sementara itu difahamkan satu laporan polis juga telah dibuat terhadap beliau oleh isteri warga asing Bangladesh yang berbangsa Melayu. Ia berikutan Shukri membuat hantaran di facebook gambar premis beliau beberapa hari lalu. Siasatan lanjut menyusul. #pahangdaily
Share:

Kes Mabuk: Peraih Ikan Di Dakwa Bunuh Penyelia Alam Flora

KUANTAN: Seorang peraih ikan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan membunuh Irwan Herman Kamarudin yang maut selepas keretanya dirempuh kenderaan dipandu melawan arus dekat Jalan Pintasan Kuantan, minggu lepas.

Teoh Kian Peng, 42, yang berkemeja-T putih dan berseluar pendek hitam kelihatan tenang, mengaku faham terhadap pertuduhan ke atasnya yang dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang berasal dari Tanah Putih di sini, didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran stesen minyak Petronas di Jalan Pintasan Kuantan di sini pada 9.20 malam, 25 Mei lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abd Ghani, tidak menawarkan jaminan memandangkan pertuduhan itu merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin dan memohon supaya tertuduh direman di Penjara Penor di sini, sementara menunggu perbicaraan.

"Kami juga mohon diberikan tarikh sebutan bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan empat laporan iaitu bedah siasat, kimia, forensik dan laporan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom)," katanya.

Tertuduh diwakili peguam Tay Yi Kuan. Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 Julai.

Irwan Herman, 41, penyelia di Alam Flora Sdn Bhd, maut selepas kereta Toyota Yaris yang dipandunya dirempuh kenderaan pacuan empat roda Toyota C-HR dipandu seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.

Siasatan awal polis mendapati kenderaan C-HR itu dipandu secara melawan arus sejauh tujuh kilometer dari susur masuk Jalan Pintasan Kuantan di Semambu sebelum bertembung dengan kereta mangsa yang dalam perjalanan ke Gebeng di sini untuk bekerja syif malam pada hari kejadian. #sumber
Share:

Covid-19: Sebanyak 93 Kes Baharu, Tiada Kematian Hari Ini


PUTRAJAYA: Sebanyak 93 jangkitan baharu COVID-19 dicatatkan setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kes positif kini mencecah 7,970 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua kes berkenaan adalah penularan tempatan membabitkan 91 kes bukan warganegara dan dua lagi dalam kalangan warganegara.

"Sebanyak 55 kes terbabit adalah dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil dan 36 lagi daripada Kluster Pedas.

"Tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan, 61 kes dilaporkan pulih, hari ini, menjadikan angka kumulatif kes pulih sepenuhnya serta discaj daripada wad ialah 6,531 atau 81.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 1,324 kes. Mereka sudah diasing dan diberikan rawatan.

"Enam kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, dua kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, tiada kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif korban akibat virus itu di Malaysia kekal 115 atau 1.44 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. #sumber
Share:

Sultan Johor Ancam Bubar DUN Jika Terjadi Isu Rebut Kuasa


KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negerinya dan mengingatkan Dewan Negeri akan dibubarkan “serta-merta” jika berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat.

“Dalam keadaan rakyat yang sedang susah sekarang, mereka langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat. Saya tidak boleh tengok rakyat saya menderita, dan tidak akan biarkan negeri saya dikucar-kacirkan.

“Saya telah bersumpah untuk menjaga dan membela nasib rakyat dan negeri saya pada setiap masa. Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta merta,” titahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda akan memberikan peluang kepada rakyat negeri Johor untuk memilih wakil mereka yang baharu dan berharap mereka memilih pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri bukan untuk parti atau diri sendiri.

Baginda juga turut memuatnaik hadis ketika Rasulullah SAW ditanya tentang mereka yang meminta untuk memegang kepimpinan lalu Rasulullah bersabda:
“Kami tidak memberikan kepimpinan kepada mereka yang memintanya, dan bukan pada mereka yang tergila-gilakan jawatan kepimpinan.” #sumber
Share:

Kerajaan Pahang Minta Alliance Steel Nilai Semula Keputusan Pemberhentian Pekerja !


KUANTAN - Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) diminta menilai semula keputusan pemberhentian pekerja dan bebarapa perkara lagi yang dibangkitkan.

Semalam, kira-kira 500 orang wakil pekerja kilang terbabit telah membuat aduan ke Pejabat Jabatan Sumber Manusia, di Wisma Persekutuan dekat sini.

Menurut kenyataan media Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, Datuk Sri Mohd Johari Hussain hari ini, susulan pelbagai aduan yang Kerajaan Negeri terima berkaitan kebajikan pekerja-pekerja ASSB di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Gebeng dekat sini, lawatan mengejut oleh Pasukan Petugas Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri telah ke kilang itu pada 12 Mei 2020. 

Lapor kenyataan media tersebut, selain bertujuan memeriksa tahap kepatuhan syarikat berkenaan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah Kerajaan tetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19; 

Lawatan mengejut ini juga bertujuan menyemak-balas terhadap beberapa lagi aduan termasuk tiga (3) pilihan yang ASSB beri kepada pekerja-pekerjanya iaitu – 

1. Bersetuju untuk bekerja dan dikuarantin di asrama yang ASSB sediakan.
2. Tidak bersetuju untuk dikuarantin maka bercuti tanpa gaji.    
3. Berhenti kerja. 

Pasukan Petugas ini dianggotai pelbagai pihak termasuk Bahagian Kerajaan Tempatan di Pejabat SUK; Jabatan Kesihatan; Polis DiRaja Malaysia (PDRM); Jabatan Tenaga Kerja (JTK); SIRIM Bhd; Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP); Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

"Hasil lawatan mengejut ini, beberapa saranan telah dibuat antaranya kemudahan di asrama mestilah ditambah-baik dan pekerja yang secara sukarela hendak menginap di asrama sahaja dibenarkan berbuat demikian", kata kenyataan itu lagi.

Susunan katil di asrama mesti mempunyai penjarakan 1 meter di antaranya; dan peralatan serta bahan pencuci ‘sodium hypochlorite’ perlu disediakan beserta arahan penggunaannya. Kerja-kerja pembersihan pula perlu dilakukan secara berkala. 

Mengenai tiga (3) pilihan yang diberi kepada pekerja-pekerja, pihak ASSB diminta menilainya semula. ASSB juga diminta memastikan, semua tindakannya berkaitan kebajikan pekerja mestilah dibuat setelah perbincangan dan persetujuan oleh kedua-dua pihak – ASSB dan pekerja.

Sungguhpun dengan lawatan mengejut itu serta saranan-saranan yang telah dibuat, Kerajaan Negeri mendapati isu berkaitan kebajikan pekerja-pekerja syarikat/kilang berkenaan, masih lagi timbul. 

"Sehubungan itu, saya telah diminta oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail untuk berbincang lanjut dengan kedua-dua pihak bagi mencari penyelesaian. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati segala usaha Kerajaan Negeri dalam membela nasib pekerja dan rakyat Pahang, InsyaAllah", lapor kenyataan itu. #sumber
Share:

Pekerja ASSB Diberhentikan 24 Jam, Kerja Digantikan Warga Asing

KUANTAN - Hampir 1,000 pekerja sebuah perusahaan antarabangsa di sini akan membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) susulan mendakwa diberhentikan kerja dengan notis 24 jam antara 21 dan 30 Mei lalu.

Wakilnya, Muhammad Shafiq Ashraf Marzelan, 28, berkata, mereka mengemukakan aduan tersebut bagi mendapatkan pembelaan kerana mendakwa pemberhentian 24 jam itu menjejaskan pendapatan sekali gus memberikan tekanan kepada mereka.

"Kami hadir ke JTK hari ini bagi membuat aduan dan mendapatkan nasihat daripada pihak JTK apakah yang perlu kami lakukan bagi membela nasib kami. Rata-rata kami bergaji kurang RM2,500 dan sudah berkeluarga serta mempunyai tanggungan.

"Kami faham semua industri mengalami kemerosotan ekonomi tapi tindakan berhenti kerja dengan notis pendek tidak menetapi kontrak yang mana sekurang-kurangnya dimaklumkan dalam tempoh sebulan. Malah ada yang diberhentikan tanpa pampasan," katanya ketika ditemui media di Wisma Pahang di sini, hari ini.

Azmi Putra Zakaria, 38, pula mendakwa, kebanyakan mereka dibuang kerja begitu sahaja tanpa alasan dan pampasan.

"Ada yang beritahu dapat pampasan tapi terlalu kecil sedangkan kami ada tanggungan, ada anak isteri. Dalam masa sama tempat kami kerja diambil oleh pekerja asing yang mungkin tiada tauliah dan lesen untuk mengendalikan peralatan dan mesin di kilang.

"Pihak pengurusan ada beri surat kata kami diberhentikan dan ada pampasan tapi berapa banyak dan bila, kami tak tahu. Kami tak ada tempat nak mengadu dan suarakan masalah dihadapi. Paling tidak berjumpa dan berundinglah dengan kami," katanya.

Fazli Abdul Rapar, 31, memohon penjelasan majikan kerana diberikan pampasan hanya sebulan gaji sedangkan beliau berstatus pekerja tetap.

"Pampasan diterima cuma sebulan gaji. Kenapa? Dengan PKP lagi kami tak ada duit. Saya minta tolong jasa baik wakil rakyat, NGO (badan bukan kerajaan) atau mereka yang berkaitan untuk tampil bantu kami. Dulu katanya orang warganegara diberi keutamaan bekerja di sini tapi sekarang kami dibuang dalam skala yang besar," katanya.

Atikah Amimy Amran, 24, turut berharap diberi peluang untuk bekerja kerana mempunyai tanggungan keluarga dan komitmen bulanan yang mendesak.

"Saya terkejut dan sedih semasa terima notis 24 jam pada 30 Mei lalu. Sekarang ni susah nak dapat kerja. Saya harap dapat bekerja lagi," katanya.

Peguam, Mohd Faizal Hiqram Azmi berkata, secara umumnya, pekerja yang bergaji bawah RM2,000 berhak membuat aduan kepada JTK sekiranya diberhentikan kerja tanpa sebab munasabah kerana mereka dilindungi di bawah Akta Pekerja.

"Bagaimanapun, kita menunggu keputusan mereka sama ada untuk membuat tindakan susulan ke Mahkamah Industri atau pun tidak. Pada peringkat ini mereka mengambil pendekatan mendapatkan pandangan JTK terlebih dahulu," katanya. #sumber

Share:

Lumayan! RM750 Untuk Seorang PATI Di Seludup Masuk Ke Negara Ini

JOHOR BAHRU - Pendapatan lumayan RM750 untuk setiap seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibawa masuk ke negara ini menjadikan seorang tekong dari Lombok, Indonesia, tidak gentar melakukan jenayah antarabangsa rentas sempadan itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kegiatan penyeludupan migran yang dilakukan lelaki tersebut sejak 2018 itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila ditahan dalam satu operasi di Gugusan Felda Adela, Kota Tinggi pada 26 Mei lalu.

Menutnya, tekong berusia 47 itu ditahan bersama-sama dua lagi tekong iaitu seorang lelaki tempatan dan dua lelaki Indonesia.

"Dianggarkan tekong tersebut sudah menyeludup kira-kira 250 migran pada setiap bulan.

"Ketiga-tiga tekong lelaki berkenaan berusia antara 30 hingga 52 tahun. Turut ditangkap tujuh PATI Indonesia terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 38 tahun," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Antara tekong yang ditahan dalam beberapa siri serbuan PATI di kawasan Felda di Kota Tinggi dan Pontian, Johor menerusi operasi dari 19 Mei hingga semalam melibatkan polis dan ATM Johor.

Antara tekong yang ditahan dalam beberapa siri serbuan PATI di kawasan Felda di Kota Tinggi dan Pontian, Johor menerusi operasi dari 19 Mei hingga semalam melibatkan polis dan ATM Johor.

Katanya, operasi penahanan tekong itu adalah hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor dan 7 Briged Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Johor susulan operasi pertama sehari sebelum itu di kawasan ladang Sungai Tengah dan ladang tembikai Tanjung Balau, Kota Tinggi.

Menerusi operasi pertama itu katanya, mereka menahan 17 PATI iaitu lelaki warga Indonesia berusia antara 22 hingga 41 tahun dan kesemua mereka diserahkan kepada JSJ Johor untuk tindakan susulan dan hasil soal siasat.

Sementara operasi ketiga pada 27 Mei, beliau berkata, serbuan dilakukan di Felda Air Papan Timur, Kota Tinggi dan menahan lapan tekong warganegara Indonesia berusia antara 21 hingga 47 tahun.

Menurutnya, turut ditangkap tujuh PATI Indonesia terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia antara lima hingga 31 tahun.

Kemudian semalam pula katanya, JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian melakukan serbuan di Kampung Sungai Buntu Penerok, Pontian dan berjaya menangkap dua tekong tempatan berusia 56 hingga 64 tahun.

Ayob Khan berkata, hasil semua serbuan itu dari 19 Mei hingga semalam, pihak polis menahan 13 tekong dan 31 PATI serta merampas sebuah kereta Proton Saga, 30 telefon bimbit, wang tunai RM990 dan wang tunai 755,000 Rupiah.

"Kesemua tangkapan akan disiasat di bawah Seksyen 26A dan 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 serta Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63," katanya. #sumber

Share:

Covid-19: Tiada Kematian Sepuluh Hari Berturut-Turut, 51 Kes Pulih !


PUTRAJAYA -  Tiada kes kematian berkaitan COVID-19 direkodkan di Malaysia bagi tempoh 10 hari berturut-turut sejak 23 Mei lepas, dengan jumlah kumulatif kes kematian kekal pada 115 kes (1.46 peratus).

Memaklumkan perkembangan terkini kes jangkitan COVID-19 di Malaysia yang semakin menunjukkan penurunan, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hanya enam kes baharu melibatkan kes dalam kalangan warganegara Malaysia hari ini.

Katanya terdapat 38 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 7,857 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,338 kes, yang telah diasingkan serta diberi rawatan.

“Sejumlah 26 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala daripada 12 kes penularan tempatan, enam kes adalah kes bukan warganegara dan hanya enam kes dalam kalangan warganegara Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Sejumlah 51 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes telah pulih dan discaj sebanyak 6,404 kes (81.5 peratus). #sumber
Share:

Kes Baharu Positif Covid-19 Kini Melonjak Kepada 172 Kes !


PUTRAJAYA – Selepas secara konsisten merekodkan angka dua digit positif Covid-19 sejak beberapa minggu lalu, hari ini angka tersebut melonjak kepada 172 kes direkodkan setakat 12 tengahari ini berbanding 60 kes semalam.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,417 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini.

Beliau berkata, daripada 172 kes baru yang dilaporkan, lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 167 kes penularan tempatan, 159 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 112 kes telah dikesan di tiga Depot Tahanan Imigresen (DTI).

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana depot-depot Imigresen ini merupakan tempat yang terasing daripada masyarakat umum dan dikawal oleh pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di sini.

Menurut Dr Noor Hisham, terdapat 34 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad sebanyak 5,979 kes (80.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,323 kes.

“Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan dan sehingga kini, seramai lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, tiada kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

Sehubungan dengan itu, katanya, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes (1.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). #sumber
Share:

KKM Kesan Tiga Kluster Baru Babit 15 Warga Asing Di Pahang


PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan mengesan tiga lagi kluster baharu melibatkan warga asing di tiga kawasan di Pahang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kluster berkenaan membabitkan 15 warga asing iaitu kluster Ladang Bera, di Bera (tujuh); kluster Kilang Papan di Maran (enam) dan kluster Syarikat Pembinaan (dua) juga di Maran.

"Kluster itu dikesan susulan tindakan pejabat kesihatan di situ yang melaksanakan pensampelan secara rawak dan didapati ada yang positif. 

"Bila dikesan ada yang positif kami terus laksanakan pengesanan kes aktif, yang positif diasingkan dan yang negatif dikuarantin selama 14 hari," katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Punca jangkitan bagi ketiga-tiga kluster baharu itu sedang disiasat, katanya.

Ditanya mengenai status terkini siasatan punca jangkitan wabak bagi tiga Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih dan Sepang di Selangor serta di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Putrajaya, beliau berkata siasatan masih dijalankan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham mendedahkan hasil dapatan permodelan dan data terkini KKM mendapati rakyat Malaysia patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) berbanding warga asing.

Justeru itu, katanya, KKM kini memfokuskan kepada kaedah untuk memastikan kepatuhan SOP turut diamalkan dalam kalangan bukan warganegara.

"Sekarang ni yang kami tengah fokus ialah kepatuhan dalam kalangan bukan warganegara, jadi ini fokus yang utama.

"Memasuki lapan hari sejak Aidilfitri kami lihat tiada peningkatan kes melibatkan warga tempatan, ini menunjukan kepatuhan rakyat tempatan pada SOP...jika berterusan (kes warga tempatan menurun) kami akan beri kelonggaran pada sektor melibatkan warga tempatan," katanya. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.