script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Ibubapa Mangsa Buli 'Kecewa' MRSM Kuantan Lambat Ambil Tindakan Terhadap Aduan Anak!

 

KUANTAN - Ibu bapa kepada pelajar tingkatan dua yang menjadi mangsa buli pelajar senior di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan menuntut institusi itu mengesan segera pelaku dan mengenakan tindakan tegas.

Nazrah Mohamed mendedahkan kes buli membabitkan anak perempuan di laman sosial Facebook yang dikatakan bermula sejak Jun lalu dan berlarutan sehingga Jumaat.

Menurutnya, kes sebegini perlu ditangani segera kerana ia melibatkan sentuhan badan dan ia bukan lagi perbuatan khianat tetapi kes jenayah yang semakin menjadi-jadi di dalam MSRM Kuantan.

“Saya masih tidak nampak penyelesaian malah kes semakin menjadi-jadi dan bertambah serius apabila anak kami dan beberapa pelajar lain berterusan menjadi mangsa perbuatan khianat dan gangsterism. Sebagai ibu bapa kami tidak boleh berdiam diri.

“Pihak MRSM Kuantan begitu lembab dalam mengambil tindakan dan menyiasat perkara ini. Sikap acuh tak acuh pihak Pengurusan MRSM Kuantan tidak boleh diterima sama sekali!

“Kes-kes masih berulang dan sehingga hari ini telah melibatkan sentuhan badan body. Adakah pihak MRSM Kuantan nak tunggu sehingga ada kehilangan nyawa baru nak bertindak?,” soalnya menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya pada Jumaat.

Dia menjelaskan, pihak MARA juga lambat bertindak dalam memberikan maklum balas walaupun aduan telah dibuat.

“Pengetua, Timbalan Pengetua Pembangunan Pelajar (TPPP), Yang Dipertua (YDP) Muafakat, Naib Yang Dipertua Muafakat dan sebahagian Exco Muafakat MRSM Kuantan lambat bertindak dan mengambil sambil lewa kes-kes yang berlaku di dalam maktab ini. Mungkin kesemua mereka menunggu sehingga ada kematian baru nak bertindak!

“Jadi, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika pihak maktab dan MARA masih lambat bertindak,” katanya.

Surat maklum balas yang diterima oleh Nazrah susulan aduan buli terhadap anaknya dibuat kepada KPM dan MARA.

Surat maklum balas yang diterima oleh Nazrah susulan aduan buli terhadap anaknya dibuat kepada KPM dan MARA.

Dalam pada itu, Nazrah turut mendedahkan kronologi kes membabitkan anaknya dikatakan bermula pada 17 dan 19 Jun lalu, apabila pakaian seragam sekolah anaknya berwarna biru dijumpai di ampaian telah diconteng dan pakaian berwarna kuning diconteng di bahagian lengan.

“Pada 20 Jun, saya telah menelefon Ketua Warden untuk mendapatkan maklum balas kes tersebut malangnya Ketua Warden terkejut dan tidak mengetahui perkara tersebut.

"Setelah disemak, pelajar senior mengakui mereka cuba menyelesaikan sendiri kes tersebut. Jadi persoalan di sini, adakah ini prosedur MRSM untuk kes-kes serius seperti ini membiarkan pelajar senior handle sendiri tanpa memaklumkan kepada warden?

“Selang dua hari selepas itu, saya menghubungi sekali lagi Ketua Warden, namun dimaklumkan mereka masih tidak dapat mencari pelaku,” katanya.

Nazrah juga memaklumkan pada 26 Jun, pakaian seragam dan pakaian pendidikan jasmani anaknya telah diconteng. Dalam masa yang sama, anaknya turut mengesan dinding tandas juga diconteng dan semua perkara itu telah dimaklumkan kepada pelajar senior.

Menurutnya, susulan aduan itu anak perempuannya dipanggil oleh lima warden MSRM Kuantan dan dipaksa supaya mengaku bahawa semua perbuatan itu dilakukan olehnya.

Tambah Nazrah, anaknya adalah mangsa dan melaporkan semua kejadian kepada pelajar senior, namun ia berlaku sebaliknya apabila anaknya didakwa sebagai pelaku oleh pihak MRSM Kuantan.

“Pada 14 Julai, saya menghubungi TPPP untuk bertanyakan perkembangan kes-kes tersebut. Sebaliknya TPPP maklumkan anak saya telah dirujuk kepada kaunselor sekolah dan mengalami anxiety dan mempunyai stres level tinggi berdasarkan perbualan anak saya bersama-sama kaunselor. TPPP juga menyatakan anak saya perlu dirujuk kepada pakar psikiatri untuk rawatan lanjut.

“Saya kemudian mengambil anak pulang ke rumah pada 15 Julai dan pada 17 Julai, saya telah membawa anak berjumpa pakar psikiatri kanak-kanak untuk memastikan tahap kesihatan mentalnya.

“Berdasarkan klinikal temu bual, doktor menyatakan anak kami sihat dan tiada ciri-ciri anxiety, depresi dan stres seperti yang digambarkan oleh TPPP. Doktor juga mencadangkan agar anak kami menjalani ujian-ujian tertentu untuk mengesahkan tahap kesihatan mentalnya.

“Doktor juga mengambil kenyataan daripada anak saya dan perkara yang diceritakan oleh anak saya kepada doktor adalah konsisten sama seperti yang diceritakan kepada kami,” ujarnya.

Menurut Nazrah, berdasarkan keputusan tersebut, satu pertemuan telah dilakukan bersama pentadbir dan pengurusan MRSM Kuantan.

Jelasnya, hasil pertemuan itu, pengetua MRSM Kuantan mengakui terdapat kesilapan dari pihaknya dalam menjalankan siasatan berhubung kes-kes tersebut sehingga anaknya dipersalahkan.

Namun katanya, kenyataan daripada pentadbir sekolah seperti pengetua, TPPP, warden dan kaunselor MSRM juga tidak konsisten berhubung kes itu.

“Pada 22 Julai, kami telah membuat laporan polis terhadap pihak maktab ke atas kes-kes yang berlaku melibatkan anak kami setelah tidak mendapat jalan penyelesaian semasa pertemuan dengan pihak pengurusan maktab.

“Kami telah memfailkan aduan di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar memandangkan MARA adalah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Kami sangat kecewa dengan maklum balas itu kerana siasatan berat sebelah dan anak kami tidak dipanggil untuk memberi keterangan. Maklum balas MARA juga berbeza dengan kenyataan Pengetua yang mana MARA memaklumkan pihak maktab telah mengikut prosedur yang betul tetapi Pengetua mengakui kesilapan di pihak maktab ketika siasatan dijalankan,” katanya.

Nazrah memaklumkan sehingga Jumaat lalu anaknya masih dibuli apabila rambutnya bersama dua rakan biliknya digunting pendek ketika mereka tidur.

“Anak kami dan pelajar terlibat terus memaklumkan kepada senior dan senior seterusnya maklumkan kepada warden. Kami juga maklumkan perkara ini kepada pegawai penyiasat yang mengendalikan kes dan menasihatkan pihak maktab membuat laporan polis.

“Sehingga saat ini, kami masih menunggu perkembangan terkini dari pihak maktab dan pihak polis,” katanya. #sumber

Share:

Kes Pukul Pengajar Dan Pelajar Tahfiz Di Lipis, Polis Berjaya Tahan Tiga Lagi Suspek Hari Ini !

 

LIPIS - Polis menahan tiga lagi individu bagi membantu siasatan dalam kes serangan serta memukul tenaga pengajar dan pelajar di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, seorang lelaki ditahan dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kuala Nerus kira-kira jam 1 pagi dan kira-kira sejam kemudian, seorang suspek ditahan di tepi Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu manakala suspek ketiga ditahan di sebuah rumah di Felda Lepar Utara 1, Jerantut kira-kira jam 8 pagi.

“Tangkapan dibuat berdasarkan maklumat diterima daripada dua suspek yang ditahan sebelum ini mengenai tiga suspek yang masih bebas," katanya dalam sidang akhbar di IPD Lipis, pada Sabtu.

Tambah Azli, ketiga-tiga suspek ditahan untuk proses dokumentasi bagi mendapatkan perintah reman.

“Ujian saringan awal ke atas ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 30an itu mendapati positif dadah jenis heroin," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh kawasan.

Tambah beliau, ketiga-tiga suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1957 atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan selain dikenal pasti mempunyai rekod jenayah lampau.

Dalam pada itu, Azli berkata, setakat ini beliau difahamkan pusat tahfiz berkenaan ditutup buat sementara waktu dan guru yang cedera telah pulang ke kampungnya di Negeri Sembilan. #sumber

Share:

Najib Mahu UMNO BN Menang Kerusi Parlimen Pekan Dengan Majoriti Lebih Besar PRU-15 Ini!

 

PEKAN - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu UMNO dan BN memenangi Pekan dan keempat-empat kerusi DUN dalam parlimen itu dengan majoriti undi yang jauh lebih besar pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Kedudukan kita hari ini kuat di Pekan. UMNO BN kuat di Pekan dan matlamat kita tidak semata-mata nak menang. Matlamat kita nak Pekan (dimenangi dengan) majoriti tertinggi di kalangan semua calon kita.

"Kita nak pulih semula walaupun dulu kita menang (pada 2018), majoriti 24,859. Kalau rakan-rakan saya lain dapat 24,000 majoriti, kira dah meloncat. Tapi kita di Pekan 24,000 majoriti itu dianggap menurun daripada PRU sebelum itu, bagi kita ia bukan merupakan pencapaian yang memerangsangkan.

"Tapi kali ini 24,000 itu kita nak tingkatkan jauh lebih tinggi bagi PRU15 ini, insya-Allah," kata ahli parlimen Pekan itu.

Najib, yang pertama kali bertanding dan menang dalam pilihan raya kecil Pekan pada 1978 berikutan kematian bapanya dan bekas Perdana Menteri Abdul Tun Razak Hussein, mengekalkan kerusi itu dalam lapan pilihan raya lalu.

Pada 2018 di tengah-tengah kemarahan orang ramai terhadap skandal 1MDB, undi majoriti Najib merosot kepada 24,859 berbanding dengan majoriti 35,613 undi pada 2014.

"Fokus mesti diberikan kepada pengundi berumur antara 18 dan 40 tahun, yang terdiri daripada 56.77 peratus daripada 118,835 pengundi.

"Kita juga harus memberi tumpuan kepada pengundi berumur antara 18 dan 20 tahun kerana mereka mempunyai kesedaran dan pengetahuan (politik) yang lebih rendah," kata Najib.

"Ada yang tidak kenal wakil rakyat mereka. Jadi, golongan pengundi ini mengundi personaliti dan kepimpinan. Kedua, mereka juga melihat isu yang timbul," katanya.

Najib berkata sayap Pemuda dan Wanita perlu menganjurkan acara untuk memenuhi keperluan mereka.

Khususnya, Najib mengarahkan sayap UMNO untuk menubuhkan pusat panggilan, yang akan berfungsi sepenuh masa sehingga PRU untuk mendekati pengundi muda berusia 18 hingga 29 tahun.

Najib juga menggesa sayap UMNO memainkan peranan aktif dalam pengambilan keahlian memandangkan ahli semasa hanya terdiri sehingga 26 peratus daripada jumlah pengundi.

Dalam ucapan selama 30 minit itu, Najib turut menggesa ahli parti mendoakannya atau menunjukkan solidariti dengannya dengan hadir di Mahkamah Persekutuan minggu depan.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap kes rasuah SRC International.

Anak sulung Najib, Mohd Nizar, 44, disebut-sebut sebagai calon yang bakal menggantikannya di kawasan Pekan jika Najib tidak lagi layak untuk diletakkan sebagai calon berikutan keputusan mahkamah.

Nizar telah berkhidmat dengan firma perakaunan antarabangsa Deloitte selama 18 tahun sebelum menyertai kerajaan negeri Pahang sebagai ketua biro ekonomi dan modal insan Majlis Tindakan Sosial Pahang. #sumber

Share:

Dua Di Tahan Polis, Tiga Lagi Termasuk Suspek Utama Kes Pukul Di Tahfiz Lipis Di Kenal Pasti!

 

LIPIS – Dua daripada lima lelaki yang disyaki ‘menyerang’ sebuah pusat tahfiz serta memukul pengajar dan pelajar pusat berkenaan berjaya ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kedua-dua suspek berusia 30-an berkenaan ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Damak di Jerantut hari ini.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan kawasan.

“Tiga lagi suspek masih dikesan termasuk seorang suspek utama yang telah dikenal pasti butiran peribadi dan usaha menangkap suspek sedang dipergiatkan.

Katanya kedua-dua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

BERITA BERKAITAN: Lelaki bergaduh di pusat tahfiz di Pahang tular
Dalam pada itu katanya, berdasarkan laporan kejadian dipercayai berpunca akibat suspek tidak berpuas hati terhadap penjaga pusat tahfiz berkenaan berkaitan pembayaran makanan di pusat tahfiz itu.

Katanya, berdasarkan maklumat awal pada pukul 5.10 petang semalam lima lelaki bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat tahfiz berkenaan menaiki sebuah pacuan empat roda sebelum tiga suspek bertindak menyerang mangsa.

“Dalam kejadian itu penjaga tahfiz mengalami kecederaan di bahagian mata sebelah kanan dan menerima empat jahitan, cedera di tangan dan lebam di badan, manakala pelajar tersebut sakit di bahagian badan,” katanya.

Tular dalam media sosial hari ini beberapa rakaman video yang menunjukkan beberapa orang lelaki bertindak menyerang sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras, di sini semalam.

Dalam satu video berdurasi 2.51 minit menunjukkan seorang lelaki yang memakai seluar pendek memarahi seorang mangsa sebelum bertindak memukulnya.

Berdasarkan rakaman lelaki yang memakai kasut berkenaan menyatakan tidak berpuas hati apabila anak saudaranya dan pelajar lain dipukul.

Lelaki tersebut berkenaan kemudiannya memukul mangsa sebelum mengajaknya bergaduh. #sumber

Share:

Kerajaan Pahang 'Komited' Serta Bersungguh-Sungguh Membantu Perkasakan Agama Islam

JERANTUT - Kerajaan Pahang sangat komited dan bersungguh-sungguh dalam membantu memperkasakan agama Islam di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini ditunjukan melalui pelbagai bantuan yang disalurkan Kerajaan Pahang kepada institusi terlibat.

“Pahang sangat komited dan bersungguh-sungguh untuk membantu agama kita, kita bukan setakat bercakap malahan kita buat.

“Kita ada Sekolah Menengah Agama di Negeri Pahang, kita ada Maahad Tahfiz, yang mana kita sentiasa bagi galakan, bagi sokongan, kita bagi bantuan kewangan, dan kita sentiasa mendokong.

“Malahan dari setahun ke setahun kita nampak peningkatan atau pengiktirafan kepada guru-guru Sekolah Menengah Agama di Pahang ini kita memberi perhatian,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Selawat Sempena Sambutan Maal Hijrah dan Penyampaian Insentif Kerajaan Pahang Kepada Pondok dan Tahfiz Daerah Jerantut dan Jengka di Madrasah An Nabawiyah Lid Dirasatil Islamiah, di sini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang,  Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Dato’ Haji Nazri Ngah; barisan Exco Kerajaan Pahang dan Pegawai Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris.

Beliau berkata Kerajaan Pahang berusaha sedaya upaya untuk memberikan pelajaran dan tenaga pengajar yang berkualiti kepada maahad tahfiz di negeri ini.

“Jadi kita minta supaya ianya terus berkembang dan yang lebih menariknya di Pahang ini tak kurang dari 10 tahun berturut-turut, Maahad Tahfiz di Pahang merupakan Maahad Tahfiz terbaik di negara kita.

“Ini tidak boleh dinafikan. Dan ini jelas menunjukkan bahawa kita bukan sahaja bercakap tetapi kita berusaha sedaya upaya. Kita ambil cikgu-cikgu yang bagus, ustaz-ustaz yang bagus daripada luar negeri, daripada luar negara supaya anak-anak kita mendapat pendidikan yang sewajarnya.

“Malahan ini dapat disukat dan diukur dan diberi pengiktirafan. Jadi itulah terbukti yang sangat jelas bahawa kita sangat mendokong perkembangan agama Islam di negeri kita dan juga di negara kita,” katanya.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri juga telah menyalurkan hampir RM150,000 sebagai sumbangan kepada maahad tahfiz dan pondok di negeri ini.

“Malahan kalau kita tengok pada hari ini sahaja Kerajaan Negeri membantu sebanyak hampir RM150,000 dan juga merupakan bantuan khas sebanyak RM3000 kepada setiap pondok Maahad tahfiz di Jerantut dan Jengka.

“Insentif berjumlah RM200 kepada 23 mudir madrasah, dan RM300 kepada guru yang hadir pada hari ini iaitu seramai 175 orang yang akan menerima sumbangan ini,” katanya. #sumber

Share:

Kadar Cukai Kategori Perindustrian, ADUN DAP Dakwa MB Buat Kenyataan Yang Mengelirukan

BENTONG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen mendakwa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengeluarkan kenyataan mengelirukan orang ramai terutamanya rakyat Pahang mengenai kadar cukai kategori perindustrian di negeri itu.

ADUN dari DAP yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang itu berkata, melalui kenyataan di Facebook Wan Rosdy menyatakan kadar cukai bagi kategori perindustrian adalah antara RM0.50 hingga RM0.70 semeter persegi.

“Namun beliau tidak menyatakan bahawa ini adalah kadar cukai yang telah dikurangkan setelah kadar cukai yang telah diwartakan dan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2022 mendapat bantahan akibat kenaikan mendadak.

“Kaedah-kaedah Tanah Pahang (Pindaan) (No 4) 2019 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2020, menyatakan bahawa kadar cukai tanah kategori perindustrian adalah sebanyak RM2.50 semeter persegi.

“Namun setelah mendapat bantahan daripada para pengusaha kerana kenaikan cukai yang mendadak, kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerja telah membuat keputusan untuk memberikan pengurangan sebanyak 80 peratus.

“Justeru, nilai cukai tanah kategori perindustrian telah dikurangkan ke RM 0.50 semeter persegi. Namun pengurangan ini tidak diwartakan secara sah. Ia hanya berdasarkan budi bicara kerajaan negeri. Maka kadar ini boleh dikenakan semula oleh kerajaan negeri apabila dirasakan perlu,” katanya dalam kenyataan.

Oleh itu Chin Chen menyeru Wan Rosdy agar berterus-terang dengan rakyat Pahang mengenai hal yang sebenar dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

“Jangan hanya menceritakan perkara yang manis, yang sedap untuk didengar rakyat dan menyembunyikan fakta sebenar.

“Ini adalah kerana kadar cukai kategori industri yang sah menurut undang-undang di negeri Pahang adalah sebanyak RM2.50 semeter persegi dan perkara ini perlu diakui oleh Menteri Besar Pahang,” katanya. #sumber

Share:

PRU-15: Ab Mutalib 'Calon Terbaik' UMNO-BN Lawan 'Rosli Jabar' Di DUN Tanjung Lumpur ?


KUANTAN - Dua penggal Yang Dipertua PAS  Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

Pada PRU13, Rosli yang ditentang Datuk Seri Tengku Zulkifly Tengku Ahmad daripada Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 796 undi apabila memperoleh 9,090 undi berbanding 8,294 undi lawannya.

Mempertahankan kerusi itu pada PRU14, Rosli yang sekali lagi ditentang calon sama dari BN menang dengan majoriti bertambah, 1,339 undi apabila memperoleh 8,198 undi berbanding 6,859 undi diterima Tengku Zulkifly.

Menjelang PRU15 akan datang yang desas desusnya semakin bertiup kencang, Rosli dijangka sekali lagi bakal mempertahankan kerusi yang dua penggal dimenanginya itu.

Cumanya, ia berbeza kali ini apabila UMNO dan BN dikhabarkan akan meletakkan calon baharu bukan lagi Tengku Zulkifly yang tewas PRU13 dan PRU14 bagi menentang Pesuruhjaya PAS Pahang tersebut.

Biarpun kerjasama Muafakat Nasional (MN) dilihat masih baik di negeri ini, namun situasi peringkat Pusat membabitkan PAS dan UMNO menyaksikan ia tidak mungkin direalisasikan di Pahang.

Sewaktu berucap pada Himpunan Hijau 3.0 (H20K) anjuran PAS Pahang di Pantai Sepat, Kuantan pada 31 Julai lalu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama PAS dengan UMNO dan BN pada PRU15 akan datang perlu dibuat secara menyeluruh di seluruh negara.

Tuan Ibrahim berkata, kerjasama tersebut perlu dilihat dalam kerangka menyeluruh, bukan di negeri-negeri tertentu sahaja dan PAS kekal dengan teras parti itu bersama Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

Melihat situasi tersebut, maka boleh disimpulkan bahawa, pertembungan antara calon PAS dan BN akan berlaku di negeri ini pada pilihan raya umum (PRU) akan datang termasuk di kerusi DUN Tanjung Lumpur.

Di pihak UMNO sendiri, pastinya parti itu akan terus bertanding di Tanjung Lumpur yang merupakan kerusi tradisinya sejak dahulu lagi.

Difahamkan, UMNO telah pun mempunyai senarai nama yang akan mewakili parti itu menentang Rosli di Tanjung Lumpur. Antara disebut-sebut, Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Kuantan, Ab. Mutalib Shamsuddin.

Ab. Mutalib dilihat calon popular kerana dikenali dalam kalangan pengundi di DUN itu, beliau juga pernah bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuantan pada pemilihan parti 2013 namun tewas kepada penyandang waktu itu, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat.

Selain Ab Mutalib, dua lagi nama yang turut disenaraikan UMNO Bahagian Kuantan sebagai calon di DUN Tanjung Lumpur pada PRU15 adalah Naib Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Nara Nikman Nordin dan AJK Bahagian, Fadilah Tahir. #sumber

Share:

Daftar Pekerja Asing Sebagai 'Buruh', Jangan Benar Mereka Mengahwini Wanita Tempatan

KUANTAN - Angkatan Pembela Rakyat (ANGKARA) meminta kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) khusus untuk pekerja asing di Dewan Rakyat dan Dewan Negara secepat mungkin. 

Penyelaras badan bukan kerajaan (NGO) itu, Mohd Shukri Mohd Ramli @ Jamaluddin, berkata RUU berkenaan penting untuk memastikan semua pekerja asing dikategorikan sebagai buruh dan tidak boleh terbabit dalam perniagaan atau membuka premis perniagaan sesuka hati. 

“Mereka (pekerja asing) boleh masuk Malaysia, daftar sebagai buruh jadinya mereka ini boleh kerja di ladang kelapa sawit atau kebun getah atau sektor pertanian lain. 

“Jangan benarkan mereka berniaga, buka premis perniagaan sewenang-wenangnya dan jangan berikan lesen perniagaan atau guna lesen perniagaan milik orang tempatan untuk mengusahakan sebarang bentuk perniagaan. 

“Lagi satu perkara, kita jangan benarkan pekerja asing ini berkahwin dengan penduduk tempat dan kalau mereka berkahwin juga, isteri mereka perlu mengikut pekerja asing itu pulang ke negara asal selepas permit pekerja tamat,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini. 

Mohd Shukri turut mendesak polis, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Imigresen melakukan siasatan secara telus apabila menerima aduan berkaitan warga asing yang terbabit dalam aktiviti perniagaan. 

Katanya, sikap sambil lewa pihak berkuasa setiap kali mendapat aduan daripada rakyat mengakibatkan makin ramai pekerja asing membuka kedai dan premis perniagaan di bandar utama di seluruh negara. 

“Kalau dapat aduan itu, siasatlah, buat pemeriksaan dengan kadar segera. Kalau dibiarkan, masalah ini makin sukar untuk ditangani. 

“Mengenai pekerja asing yang berniaga guna nama atau lesen warga tempatan pula, benda ini bukan benda baru, dah lama dan tindakan tegas perlu diambil terhadap warga tempatan yang bersekongkol dengan warga asing menjalankan perniagaan ini,” katanya lagi. 

Beliau yang turut dikenali sebagai blogger Cucu Mat Kilau menggesa kerajaan memandang serius isu berkenaan supaya isu ekonomi setempat dikuasai warga asing tidak terus membarah dalam masyarakat hingga mengakibatkan ramai rakyat tempatan menjadi mangsa. 

Katanya, ramai pekerja asing didapati menyalahgunakan permit pekerja dikeluarkan untuk mereka dan ada antaranya memiliki rangkaian kedai runcit serta pelbagai jenis perniagaan lain di negara ini. 

“Selagi kerajaan tidak bertegas, susah untuk kita selesaikan masalah berbangkit sejak sekian lama ini. 

“Sebab itulah saya fikir perlu ada undang-undang khusus, perkenalkan RUU bagi mengawal perkara ini daripada berterusan,” katanya. #sumber

Share:

PRU-15: UMNO Pahang Tidak Ada Bincang Soal Anak Najib 'Jadi Calon' Kerusi Parlimen Pekan !

KUANTAN - Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang sudah sedia menghadapi sebarang kemungkinan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, termasuk jika Datuk Sri Najib Razak hilang kelayakan untuk bertanding.

Ketua Penerangan UMNO Pahang, Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, ketika dihubungi berkata, parti itu tidak berdepan dengan masalah dalam soal calon untuk diketengahkan apabila tiba masanya nanti.

Di kerusi parlimen Pekan yang kini diwakili Najib Syed Ibrahim berkata, ada ramai bakat yang boleh diangkat menjadi calon.

"Bukan Datuk Seri Najib seorang saja. UMNO Pahang tak ada masalah dalam soal calon.

"UMNO Pahang juga sudah bersiap sedia dengan segala kemungkinan," katanya hari ini.

Terdahulu Syed Ibrahim diminta  mengulas spekulasi mengenai salah seorang anak Najib akan menjadi calon UMNO-BN di Pahang dalam PRU ke-15 yang semakin hampir.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, Utusan Malaysia hari ini melaporkan UMNO-BN akan meletakkan Mohd Nizar Najib untuk menjadi calon mereka di Pekan jika keadaan memerlukan.

Spekulasi itu bertiup ketika Najib masih dibicarakan atas pelbagai pertuduhan dengan sesetengahnya sudah disabitkan kesalahannya oleh mahkamah. Dia sedang dalam proses merayu atas sabitan tersebut.

Mahkamah Persekutuan sudah menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos ini untuk mendengar rayuan terakhir Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Tak ada dengar lagi

Untuk rekod Mohd Nizar merupakan anak Najib Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar yang kini sudah menjadi bekas isterinya. Jika ia menjadi kenyataan ketua Pemuda UMNO Pekan itu akan meneruskan legasi bekas Perdana Menteri kedua, Abdul Razak Hussein, di Pahang.

“Cumanya, kawasan mana yang bakal ditandingi ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan itu difahamkan belum lagi diputuskan setakat ini,” lapor portal itu.

Syed Ibrahim berkata setakat ini pihaknya tidak mendengar sebarang khabar angin mengenai pencalonan Mohd Nizar.

Malah katanya UMNO Pahang sendiri tidak membuat sebarang perbincangan mengenainya.

Bagaimanapun, pada masa sama Syed Ibrahim menjelaskan sesiapa saja boleh dicadangkan untuk diletakkan sebagai calon bagi mewakili UMNO-BN pada PRU ke-15 nanti.

"Bukan anak Datuk Sri Najib saja, anak saya pun boleh, anak orang Perlis pun boleh...

"Anak siapa pun yang teringin dicadangkan boleh cadangkan, apa salahnya," katanya.

Parlimen Pekan mempunyai empat Dewan Undangan Negeri iaitu Pulau Manis, Peramu Jaya, Bebar dan Chini yang semuanya dimenangi calon BN pada PRU14 lalu.

Nizar, 44, pernah berkhidmat selama 18 tahun di firma juruaudit dan perundingan Deloitte Malaysia, sebelum dilantik sebagai ketua Biro Ekonomi dan Modal Insan Majlis Tindakan Sosial Pahang iaitu sebuah agensi kerajaan negeri.

Dia merupakan anak sulung daripada lima anak Najib.

Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati dia bersalah menyalahgunakan RM42 juta daripada dana SRC. #sumber

Share:

Lelaki Bergelar 'Datuk Seri' Antara 25 Di Tahan Polis, Gara-Gara Sertai Parti Liar Di Janda Baik

BENTONG - Polis menahan 25 individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang sedang leka berhibur dalam satu parti liar di sebuah banglo di Janda Baik, Bukit Tinggi, Bentong dekat sini, awal pagi tadi.

Serbuan jam 1 pagi oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong susulan maklumat yang diterima daripada orang awam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata hasil pemeriksaan didapati peserta parti liar turut menggunakan dadah untuk berhibur.

"Kita menemui dan merampas dadah jenis ketamin seberat 2.18 gram serta 1.43 gram pil ekstasi dianggarkan bernilai RM800.

"Semua suspek yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dan 10 wanita dengan lapan daripadanya adalah warga asing, berusia antara 18 hingga 64 tahun.

"Salah seorang daripadanya adalah seorang lelaki bergelar Datuk Seri berusia 46 tahun dan buat masa ini, kita sedang mengenal pasti siapa penganjur parti berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, siasatan mendapati banglo berkenaan disewa khas untuk penganjuran parti liar berkenaan dengan harga RM15,000.

"Hasil ujian saringan awal air kencing, keputusan menunjukkan semua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Semua suspek kini direman empat hari bermula hari ini hingga 14 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama," katanya.

Tambah Zaiham, polis tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan tidak bermoral sebegini dan mengucapkan terima kasih khususnya kepada penduduk sekitar yang membantu menyalurkan maklumat. #sumber

Share:

Semakin 'Cetek' Akibat Aktiviti Perlombongan, Tiada Lagi Panorama Indah Dekat Tasik Chini !

 

PEKAN - Tasik makin cetek, pemandangan persekitaran tidak lagi indah.

Itu rumusan hasil tinjauan wartawan dan jurugambar Berita Harian (BH) selama dua hari di sekitar Tasik Chini, tasik air tawar kedua terbesar di Malaysia dan terkenal dengan mitos lagenda Naga Seri Gumum.

Ditemani penunjuk arah, Orang Asli dari Kampung Gumum, kami melakukan tinjauan dengan bot, namun perjalanan tersangkut beberapa kali dan dimaklumkan ia kerana Tasik Chini kini semakin cetek kesan aktiviti perlombongan bijih besi yang agresif.

Tasik itu tidak lagi indah, malah seperti tiada lagi tarikan yang boleh dibanggakan seperti suatu ketika dahulu sehingga menarik perhatian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Tasik Chini adalah yang pertama daripada tiga tapak rizab biosfera di Malaysia yang diiktiraf UNESCO. Tasik itu mendapat status berkenaan pada 2009, diikuti Banjaran Crocker, Sabah pada 2014 dan Bukit Bendera, Pulau Pinang pada 2021.

Air bertoksik

Tinjauan mendapati tebing-tebing bukit gondol ditarah dengan hanya sedikit pokok-pokok kayu hutan kelihatan di tepi tasik. Rimbunan raksasa pokok-pokok pandan rasau pula tidak lagi unik disebabkan air tasik terlalu keruh.

Beberapa pusingan menaiki bot tidak mengujakan kerana tidak kelihatan apa pun yang boleh diabadikan untuk menunjukkan Tasik Chini sebagai daya tarikan pelancongan, kecuali seekor burung pucung besar sedang bertenggek di atas tunggul kayu.

Pokok-pokok teratai yang sebelum ini menjadi 'signature' Tasik Chini juga ibarat 'hidup segan mati tak mahu', meninggalkan pemandangan yang ada tidak ubah seperti tasik biasa. Difahamkan panorama bunga teratai itu tidak kelihatan selepas ia dihanyutkan dalam banjir besar beberapa bulan lalu.

Bot dinaiki kami tersangkut beberapa kali, walaupun pada ketika itu hujan mencurah dan menurut pemandunya, mereka sendiri sukar menjangka di mana kawasan yang cetek walaupun ia adalah laluan biasa untuk menangkap ikan.

"Selalunya dahulu, selain bunga teratai, pelawat juga akan disambut spesis itik dipanggil 'itik raya', tetapi sejak beberapa tahun, unggas itu tidak lagi kelihatan," kata pemandu bot lagi.

Kami juga mendaki sebuah bukit berhampiran untuk melihat kesan perlombongan dan mendapati kawasan berkenaan gondol dan ada longgokan bijih besi yang dikatakan ditinggalkan sejurus aktiviti itu dilarang kerajaan negeri.

Menurut pemandu arah, ada beberapa lokasi di tasik berkenaan yang airnya terlalu dalam dan berwarna biru seperti kawasan digelar Laut Sepuluh, namun sekali pun kelihatan jernih, airnya dikatakan bertoksik kerana ia kawasan mencuci hasil lombong.

Lereng bukit ditarah

Sementara itu, tinjauan di Bukit Ketaya mendapati sebahagian besar lereng bukit habis ditarah, meninggalkan sebahagian sahaja ditanam dengan pokok hutan, manakala bahagian lain ditutup tumbuhan tutup bumi untuk memastikan kehijauan persekitaran Tasik Chini.

Penduduk Orang Asli, Robert Bia ketika ditemui, mengakui bimbang aktiviti perlombongan kembali semula sekiranya UNESCO mendapati Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria ditetapkan badan itu untuk menjadi sebahagian Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).

"Itu kebimbangan utama kami selepas beberapa tahun terkesan dengan aktiviti perlombongan. Kita sudah lihat kesannya hari ini dan kenapa ia perlu dihentikan. Jika UNESCO lucutkan status itu, kami bimbang Tasik Chini akan dilombong semula.

"Jika itu berlaku, pastinya kami masyarakat minoriti di sini akan menanggung akibat yang lebih teruk," kata nelayan itu sambil menambah, ketika ini ramai penduduk kampung terpaksa melakukan kerja di daratan seperti menoreh getah kerana sumber pendapatan dari tasik itu sudah berkurangan.

"Memang setiap hari kami keluar memukat ikan untuk dijual, tetapi hasilnya tidak cukup untuk menampung kehidupan. Keadaannya memang berbeza sebelum aktiviti perlombongan bermula," katanya. #sumber

Share:

Perlu Lebih Sensitif Perjelas Isu LCS, Jangan Sampai Dedah Rahsia Keselamatan Negara !

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bimbang penjelasan mengenai isu keselamatan yang berkait dengan kontroversi Kapal Tempur Pesisir (LCS), berisiko mendedahkan rahsia keselamatan negara.

Presiden UMNO yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri itu berpandangan, isu berkait LCS perlu diperjelaskan kepada awam, namun kerajaan perlu melaksanakannya secara berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan 'mahkamah netizen'.

Beliau berkata, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga perlu lebih sensitif dalam mengendalikan keseluruhan proses siasatan LCS, khususnya isu keselamatan negara kerana ia masih di peringkat siasatan.

"Pihak berkuasa dan kerajaan perlu memberikan perspektif yang menyeluruh. Asasnya apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan dan cuba hentikan projek itu.

"Isu platform Sigma atau Gowind adalah produk lama dan baharu yang pihak berkaitan lebih tahu dan perlu (beri) pencerahan kepada pihak awam.

"Namun, terdapat kebimbangan pencerahan kepada aspek keselamatan negara kita akan menjejaskan rahsia keselamatan negara.

"Justeru, kerajaan perlu menangani isu ini dengan lebih bijaksana dan telus supaya tidak tenggelam oleh mahkamah netizen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kontroversi perolehan LCS oleh kerajaan kembali menjadi polemik susulan pembentangan laporan siasatan PAC di Parlimen, yang menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

Laporan itu menjelaskan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek rundingan terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Projek LCS bermula pada 2011 yang mana ketika itu negara ditadbir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan diluluskan ketika Ahmad Zahid menjadi Menteri Pertahanan.

Semalam, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, dilaporkan mendakwa Ahmad Zahid bertanggungjawab mengubah reka bentuk daripada Sigma kepada Dowind sebelum berunding dan mendapatkan nasihat TLDM.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberi gambaran bahawa isu perolehan LCS itu dimaklumkan tanpa perspektif menyeluruh, menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

"Memang netizen cenderung suka perkara sensasi, namun setiap fakta dan data perlu diketahui secara lebih jelas dan tepat.

"Zaman netizen menjadi peguam dan hakim di jabatan netizen adalah zaman baharu selepas kepesatan teknologi mewabak hingga berlaku kekeliruan.

"Kekeliruan disebabkan tidak dapat membezakan di antara yang palsu dan benar," katanya. #sumber


Share:

RUU Anti Lompat Parti Sudah Lulus, Tak Perlu Lagi Buat Gabungan Politik Baru Yang Rapuh !

KUANTAN -Gabungan parti politik baru yang 'rapuh' tidak lagi diperlukan selepas Rang Undang-Undang (RUU) mengenai anti lompat parti diluluskan di peringkat Dewan Rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata sebarang usaha mewujudkan pakatan atau gabungan membabitkan sekumpulan parti tertentu adalah tidak relevan memandangkan pilihan raya umum (PRU) semakin hampir.

"Kalau nak buat gabungan atau kerjasama, tunggu lepas PRU ke-15, selepas mandat diberikan kepada rakyat.

"Terserahlah kepada parti dominan dan yang menjadi pilihan rakyat untuk menentukan gabungan (yang mereka mahu)," katanya .

Tambah exco Pahang itu lagi, dalam PRU ke-15 ini semua gabungan politik boleh bertanding menggunakan parti masing-masing jika itu dirasakan perlu.

Mohd Sharkar yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh berkata, dengan lulusnya RUU antilompat parti itu juga, setiap parti tidak lagi perlu bimbang dengan kecurangan wakil rakyat mereka akan berulang seperti beberapa tahun lalu.

Katanya, selepas ini, tidak akan berlaku lagi tawar menawar hingga menyebabkan Ahli Parlimen (MP) atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berpaling tadah dengan meninggalkan parti asal untuk menyertai 'kapal' lain.

"Pengalaman pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali selepas PRU ke-14 menunjukkan betapa serius isu lompat parti ini.

"Kita harap RUU ini mengembalikan keyakinan pengundi dan inilah masanya untuk setiap parti menguji kekuatan dan pengaruh masing-masing.

"Selepas itu (pilihan raya umum), barulah kita fikir tentang gabungan dan kerjasama untuk membentuk kerajaan yang stabil," katanya lagi.

Mohd Sharkar juga menegaskan gabungan yang 'rapuh' tidak akan menjamin kestabilan politik dan episod seperti yang berlaku selepas PRU lalu boleh berulang.

"Adalah lebih baik gabungan politik dibentuk selepas pilihan raya umum setelah rakyat membuat keputusan," katanya. #sumber

Share:

Pemain Badminton Negara, Ng Tze Yong Layak Ke Separuh Akhir Berjaya Singkir Juara Dunia !

 

BIRMINGHAM - Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terus mencipta sensasi bagi acara badminton Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila mara ke separuh akhir acara individu dengan menumbangkan juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew 15-21, 21-14, 21-11 di Pusat Pameran Nasional (NEC), Birmingham malam tadi.

Biarpun tewas pada set pertama, pemain berusia 22 tahun itu mempamerkan kebangkitan dramatik pada dua set berikutnya bagi melakar kemenangan berkenaan.

Set pertama menyaksikan Tze Yong berjaya memberikan tentangan sengit kepada Kean Yew, namun akhirnya terpaksa akur dengan pengalaman yang dimiliki Kean Yew apabila tewas 15-21.

Bagaimanapun, set kedua menyaksikan Tze Yong mula bangkit dengan mempamerkan aksi meyakinkan untuk menang 21-14 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Di set penentuan, Tze Yong dilihat semakin bersemangat dengan berjaya memberikan saingan sengit kepada Kean Yew sebelum menang 21-11 bagi mengesahkan kemaraan ke separuh akhir. #sumber

Share:

Tidak Tunai Janji Lantik TPM Dari BERSATU, PN Timbang 'Tarik Balik' Sokong PM 'Ismail Sabri' !

 

PUTRAJAYA - Perikatan Nasional (PN) sedang menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menurut laporan The Star.

Laporan itu mendakwa ia kerana Ismail Sabri tidak menunaikan apa yang dikatakan sebagai perjanjian untuk melantik Ahli Parlimen BERSATU sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ismail Sabri dilaporkan dijadual bertemu delegasi PN semalam berhubung perjanjian itu. Namun ia dibatalkan di saat akhir.

Delegasi PN merangkumi Setiausaha Agung BERSATU (Datuk Seri Hamzah Zainudin), Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, (Datuk Seri Azmin Ali), Setiausaha Agung PAS (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) dan Naib Presiden PAS (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar).

Menurut laporan itu lagi, mesyuarat MPT Bersatu pada Selasa lalu "secara umumnya setuju" yang sokongan terhadap Ismail Sabri perlu ditarik jika dia tidak boleh dirunding agar menunaikan persetujuan yang telah dicapai.

Selain berkenaan perjanjian itu, laporan itu turut membayangkan para pemimpin BERSATU tidak gembira dengan aspek lain kepimpinan Ismail Sabri.

Laporan itu turut memetik Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai berkata, kerajaan persekutuan telah menyekat dana kepada ahli politik BERSATU.

"Ini tidak adil. Mereka cuba jejaskan pengaruh kami di lapangan. Tetapi ia menjejaskan rakyat," katanya yang juga menteri belia dan sukan.

Laporan itu juga mendakwa beberapa tokoh dalam BERSATU kecewa mereka disingkirkan daripada jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dipegang sebelum ini.

Namun menurut laporan itu lagi, Azmin tidak bersetuju dan keluar daripada kumpulan WhatsApp kepimpinan BERSATU selepas mesyuarat.

Azmin memberitahu The Star yang BERSATU perlu terus komited dalam kerajaan Ismail Sabri kerana ia di landasan yang betul. #sumber

Share:

Sri Pahang FC Menang Dua Perlawanan, Dollah Anggap Samassa Keeper Terbaik Liga Malaysia

KUANTAN - Prestasi cemerlang penjaga gol Sri Pahang FC, Mamadou Samassa ketika membantu skuad itu beroleh dua kemenangan berturut-turut mendapat pujian Datuk Dollah Salleh.

Pengendali skuad Tok Gajah itu berkata, pemain berusia 32 tahun itu sudah berada pada prestasi terbaik.

Bagi saya, Samassa adalah penjaga gol yang terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.

Tetapi disebabkan gol mudah dan bukan-bukan menyebabkan dia hilang keyakinan hingga menyaksikan prestasinya merosot.

Namun, Samassa sudah dapat semula keyakinan selepas menang 2-0 ke atas Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC (2-0).

“Dia juga gembira dengan prestasi dan diharapkan prestasi cemerlang itu diteruskan pada perlawanan akan datang,” katanya.

Dollah berkata, ketangkasan Samassa mengawal benteng terakhir itu turut membantu memperkasakan jentera pertahanan skuad itu.

Katanya, pemain pertahanan turut beraksi dengan baik selepas Samassa mempamerkan persembahan meyakinkan.

Dengan prestasi terbaik Sri Pahang selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut, saya mahu semua pemain dapat mengekalkan rentak cemerlang ini.

“Sri Pahang perlu kekal dengan prestasi cemerlang ini untuk terus mendaki kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super,” katanya. #sumber


Share:

Khaidir Ahmad Anggap Perlantikannya Sebagai 'AJK' Majlis Tertinggi Gerakan Tanah Air (GTA), Satu 'Penghormatan' Buat Aktivis Alam Sekitar

TEMERLOH - Aktivis alam sekitar, Khaidir Ahmad menganggap perlantikannya sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi Gerakan Tanah Air (GTA) yang diumumkan oleh Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam adalah satu penghormatan dan pengiktirafan kepada peranan golongan penulis dan wartawan dalam pembentukan sebuah negara. 

Menerusi satu kenyataan rasmi terbaharu di facebooknya hari ini, beliau berkata keadilan yang dituntut  adalah dari sudut agihan  kemakmuran kepada rakyat, khususnya bangsa Pribumi serta sebuah negara yang bebas daripada rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.

(https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02vQByibkE9HCHHALkFGitnHzAbBgZHWAhZe6VB7vwyUerQtouaqb6VkGYrfb9VLVgl&id=1778074021) 

"Ia juga merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan kepada peranan golongan aktivis alam sekitar dan  aktivis rakyat marhaen supaya Malaysia menjadi sebuah negara lestari, sejahtera dan harmoni untuk kehidupan rakyat pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.

"Dengan izin Allah, saya akan memikul amanah dan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya demi agama, bangsa dan tanahair ke arah merealisasikan “Malaysia Baharu Tanpa Rasuah” dengan agihan kemakmuran negara yang lebih adil kepada segenap lapisan rakyat," kata kenyataan Wartawan Tua itu lagi. #PahangDaily

Share:

Tun M Umumkan 'Penubuhan' Gerakan Tanah Air Untuk Hadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 !

 

PUTRAJAYA - Gerakan Tanah Air yang diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bertujuan menjaga negara supaya aman dan stabil dengan mengurangkan jurang antara kaum ketika ini.

Pengerusi Parti Pejuang Negara itu berkata, gagasan itu yang akan hanya disertai parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik dan profesional Melayu.

Beliau berkata, ia bukan bermakna gerakan itu bersifat perkauman sebaliknya ia untuk memberi tumpuan melawan sebuah parti Melayu yang sudah menyeleweng ketika ini.

"Untuk lawan parti Melayu kalau bukan juga parti Melayu orang Melayu tidak akan menyokong.

"Harap akan dapat sokongan daripada rakyat bukan kerana mereka menjadi ahli parti sebaliknya mereka adalah orang Melayu yang curiga dengan masa depan mereka," katanya pada sidang media khas di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Dr Mahathir yang juga pengerusi penaja gagasan baharu itu, berkata, asas penubuhan Gerakan Tanah Air itu bukan bertujuan merampas harta masyarakat bukan Melayu atau menyekat mereka daripada berusaha untuk mendapatkan kekayaan, sebaliknya ia berusaha untuk memperbetulkan ekonomi masyarakat Melayu.

Berikutan itu, katanya, Gerakan Tanah Air itu menjemput semua orang Melayu yang bimbang dengan masa depan mereka, untuk menyertai atau menyokong gerakan itu.

Katanya, pihaknya akan mendaftarkan nama Gerakan Tanah Air dalam masa terdekat dengan nama yang dipersetujui itu.

Selain Dr Mahathir, jawatankuasa penaja Gerakan Tanah Air turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pengerusi iaitu Presiden Parti BERJASA, Zamani Ibrahim; Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali; Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

Bagaimanapun, nama Naib Presiden, Bendahari dan Ketua Penerangan akan diumumkan kemudian.

Timbalan Presiden PEJUANG, Datuk Marzuki Yahya, dilantik sebagai Ketua Setiausaha.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau yakin mendapat sokongan masyarakat Melayu terutama UMNO hanya mampu menang 35 peratus daripada kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, Gerakan Tanah Air akan bertanding di 120 kerusi Parlimen di Semenanjung yang mempunyai majoriti pengundi Melayu dan ditandingi oleh UMNO.

Katanya, sudah tiba masanya untuk pengundi Melayu mengetahui mengenai perjuangan UMNO yang disifatkannya sebagai berasaskan wang.

"Antara 65 peratus ini ada yang tidak mengundi kerana menganggap politik yang bosan dan tidak mendatangkan faedah.

"Dengan penerangan yang kita buat, dengan apa yang dilakukan gerakan ini, kita yakin ramai daripada mereka akan beri sokongan," katanya.

Ditanya sama Gerakan Tanah Air akan bekerjasama dengan parti politik lain di luar gabungan itu, Dr Mahathir berkata, gerakan itu tidak akan terbabit dengan 'kluster mahkamah'. #sumber

Share:

Isu Tasik Chini: Kerajaan Pahang Yakin Penuhi Kriteria 'Di Tetapkan' UNESCO September Ini !

 

KUANTAN - Semua usaha bagi memulihara Tasik Chini, dekat Pekan, Pahang sudah dilakukan kerajaan negeri sejak Ogos tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri yakin semua proses pemuliharaan kawasan di sekitar tasik itu dapat disiapkan sebelum 30 Sept ini untuk melalui proses penilaian semula oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Kita dah mula ni dari... kita dah wartakan hutan simpan Tasik Chini, kita buat tambahan (hutan simpan) dan kita hijaukan kawasan itu dah 80 peratus.

"Mana-mana kawasan hakisan yang mendap, kita dah perbaiki dan telah siap sebanyak 1.75 kilometer.

"Kerajaan negeri juga melibatkan masyarakat Orang Asli melalui program buy back guarantee, maknanya benih pokok-pokok tu kita beli dan kita tanam semula," katanya pada sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang, di Kuantan, hari ini.

Tambah Wan Rosdy kerajaan negeri tetap berusaha supaya pengiktirafan Unesco ke atas Tasik Chini dikekalkan.

Justeru katanya kerajaan sangat berharap kerja pemuliharaan berkenaan dapat diselesaikan sebelum tarikh ditetapkan Unesco.

Merujuk kepada laporan UNESCO yang dibentangkan di Majlis Penyelarasan Antarabangsa Program Manusia dan Biosphere (MAB) Unesco pada Sept tahun lalu, kerajaan Pahang dan Malaysia diminta menghantar pelan terperinci untuk rizab biosfera Tasik Chini sebelum 30 Sept tahun ini.

Laporan itu perlu menyertakan pengezonan kawasan yang dikemas kini dengan "mengekalkan tiga fungsi rizab biosfera".

Pengiktirafan Tasik Chini berkeluasan 6,922.97 hektar sebagai tapak rizab biosfera dunia berisiko ditarik balik jika gagal memenuhi kriteria ditetapkan Unesco.

Status rizab biosfera UNESCO Tasik Chini mendapat perhatian selepas Malaysiakini pada 23 Julai lalu melaporkan status itu kini dalam penelitian dan penemuan awal tidak menggalakkan.

Menurut tinjauan berkala pertama Unesco mengenai Tasik Chini, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.

Tasik Chini adalah tapak biosfera pertama di Malaysia mendapat pengiktirafan Unesco diikuti Banjaran Crocker, Sabah (2014) dan Bukit Bendera, Pulau Pinang September tahun lalu. #sumber

Share:

Kerajaan Tegaskan Tiada Lagi Kebenaran Lesen Melombong Di Luluskan Di Sekitar Tasik Chini !

 

KUALA LUMPUR - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) menegaskan semua aktiviti yang boleh menjejaskan alam sekitar termasuk kelulusan pengambilan pasir dan mineral serta pembangunan di Tasik Chini, Pahang sudah dihentikan.

Menterinya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan sedang mengambil tindakan untuk memulihkan keadaan di Tasik Chini agar status sebagai Tapak Rezab Biosfera dikekalkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Kita diberi masa oleh UNESCO supaya memulihkan keadaan di Tasik Chini supaya dapat dikekalkan status sebagai Tapak Rezab Biosfera, jadi kita dalam tindakan.

"Tindakan kita ambil dengan menghentikan segala kegiatan di Tasik Chini. Tidak ada kelulusan baru dalam apa-apa usaha. Misalnya untuk ambil pasir, membangunkan kawasan dan mengambil mineral, tidak ada lagi," katanya.

Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kejohanan olahraga Sekolah Kebangsaan Islah di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu keadaan Tasik Chini sebagai Tapak Rezab Biosfera UNESCO mendapat perhatian selepas Malaysiakini pada 24 Julai lalu melaporkan status itu kini dalam penelitian dan penemuan awal tidak menggalakkan.

Menurut tinjauan berkala pertama Unesco mengenai Tasik Chini, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.

Tasik Chini adalah tapak biosfera pertama di Malaysia mendapat pengiktirafan Unesco diikuti Banjaran Crocker, Sabah (2014) dan Bukit Bendera, Pulau Pinang September tahun lalu.

Sementara itu Takiyuddin berkata, dia akan mengemukakan jawapan terperinci mengenai perkembangan isu tersebut pada sidang parlimen, esok.

"Jadi arahan tegas daripada kerajaan supaya tidak ada lagi kelulusan baru untuk aktiviti galian mineral di sekitar Tasik Chini.

"Yang lebih terperinci saya akan jawab esok di parlimen," katanya. #sumber

Share:

Himpunan Hijau 3.0, PAS "Tidak Pernah'" Tutup Peluang Penyatuan Ummah Untuk Hadapi PRU

 

KUANTAN - Himpunan Hijau 3.0 dan pelancaran jentera PAS Pahang di Pantai Sepat, di sini semalam, memberi gambaran jentera parti itu bersemangat untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Tema yang diangkat, PAS teraju Pahang, serta semangat yang ditonjolkan penyokong diyakini mampu menjadi penggerak dalam persiapan PRU15 yang dijangka bakal berlangsung penghujung tahun ini.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebarang perbincangan berhubung pembahagian kerusi di peringkat di Perikatan Nasional (PN) masih belum diputuskan.

Katanya, perkara itu akan diputuskan pada perbincangan akan datang, dalam masa sama PAS juga masih mendokong Penyatuan Ummah walaupun UMNO setakat ini membuat keputusan untuk bergerak solo bersama Barisan Nasional (BN).

“Jika UMNO (membuat keputusan untuk) bergerak solo bersama BN, kita akan bersama Perikatan Nasional menghadapi pilihan raya.

“Kita juga sudah ada pelancaran Perikatan Nasional di Kelantan, Terengganu. Selepas ini di Kedah, Pahang, Perlis dan seluruh negara.

“Cuma malam ini kita mahu lihat situasi kekuatan PAS di Pahang sahaja, dan kita lihat Alhamdulillah, sangat bersemangat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Himpunan Hijau 3.0 atau Himpunan 20K (H20K) di Pantai Sepat di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Presiden PAS, Dato Mohd Amar Nik Abdullah dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar.

Tambah Tuan Ibrahim, PAS tidak pernah menutup peluang untuk penyatuan Ummah dan sentiasa terbuka memandangkan PAS beranggapan adalah satu keperluan untuk tiga parti yang besar, iaitu PAS, UMNO dan BERSATU untuk duduk bersama.

Katanya, walaupun penyatuan dalam konteks parti politik untuk berdepan pilihan raya mungkin tidak berjalan lancar, namun dari aspek lain perlu berlaku penyatuan ummah ini.

“Kalau pun bukan dalam konteks penyatuan politik dalam parti Pilihan Raya, tetapi mesti ada satu platform untuk penyatuan ummah. Kita ada banyak isu bersama untuk penyatuan Ummah ini yang perlu kita pertahankan.

“Cuma dalam konteks politik, PAS berdaftar sebagai komponen Perikatan Nasional, dan PAS adalah Ahli dalam Perikatan Nasional.

“Kita buat sekadar konteks pilihan raya, kecuali BN buat keputusan berbeza, itu kita bincang semula,” katanya.

Bagaimanapun, kata Tuan Ibrahim, jika penyatuan ummah dapat dizahirkan, ia mestilah berlaku di seluruh negara, bukan hanya negeri-negeri tertentu.

“Kerangka penyatuan ummah mesti menyeluruh, tidak boleh hanya berlaku di Pahang bersepakat, kemudian di Kelantan dan Terengganu hendak lawan, tidak boleh. Jika kita berpakat, kita berpakat di seluruh negara, katanya lagi.

Dalam majlis sama, Tuan Ibrahim menarik perhatian hadirin apabila membida sebentuk cincin batu marjan yang pernah menjadi miliknya sebelum ini.

Cincin berkenaan sebelum ini dibida pada Pilihan Raya Umum ke-14 untuk tujuan dana pilihan raya dan dimiliki pembida tertinggi ketika itu.

Semalam, cincin berkenaan mula dibida pada harga RM100, dan berakhir pada harga RM6,000 dan akhirnya dinaikkan kepada RM10,000 dan kembali kepada tuan asalnya.

Dalam masa sama, PAS Pahang merekodkan kutipan derma dan dana PRU15 pada semalam sahaja sebanyak RM24,337 sepanjang program tidak termasuk harga bidaan cincin batu marjan milik Tuan Ibrahim. #sumber

Share:

MB Pahang Beri 'Penjelasan' Isu Risiko Tasik Chini Dilucut Status Rizab Biosfera UNESCO

KUANTAN - Semalam, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam menitahkan supaya pajakan lombong di Tasik Chini yang tamat tempoh, tidak disambung dan kawasan itu dihijaukan semula dengan segera.

Baginda bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-63 Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan itu, juga mahu mahu kerajaan negeri lebih agresif memastikan Tasik Chini dapat dipulih dan dihijaukan semula.

Titah itu menyusul sehari selepas media melaporkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mendapati Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria ditetapkan badan itu untuk menjadi sebahagian Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).

Hasil tinjauan berkala pertama oleh UNESCO baru-baru ini meletakkan Tasik Chini dalam risiko dilucutkan status itu namun badan dunia itu memberi tempoh sehingga 30 September ini untuk Malaysia memaklumkan perancangan merawat dan memulihkan tasik terbabit serta tanah lembap di sekelilingnya supaya kembali sihat.

Kepada isu berkenaan, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini memberi jaminan semua langkah pemulihan dan penambahbaikan untuk mengekalkan status Tasik Chini sebagai sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) akan disiapkan sebelum 30 September ini.

Beliau juga menegaskan, Kerajaan Pahang komited memastikan status seperti ditetapkan UNESCO untuk pengiktirafan WNBR kekal.

Merujuk laporan tinjauan UNESCO yang mendapati Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria menjadi sebahagian daripada WNBR dan berisiko dilucutkan status itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri melalui agensinya melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif untuk mengekalkan status terbabit.

Katanya, semua langkah pemulihan dan penambahbaikan akan disiapkan sebelum 30 September ini seperti ditetapkan UNESCO yang memberi tempoh berkenaan untuk Malaysia memaklumkan badan dunia itu mengenai perancangan merawat dan memulihkan Tasik Chini serta tanah lembap sekitarnya.

"Kerajaan negeri komited mempertingkatkan usaha pemulihan Tasik Chini dalam usaha memenuhi kriteria ditetapkan UNESCO," katanya pada sidang media selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini, hari ini.

Terdahulu ketika menjawab soalan tambahan Lee Chean Chung (PKR-Semambu) yang ingin tahu apa dilakukan Kerajaan Pahang dalam mengekalkan status rizab biosfera Tasik Chini, Wan Rosdy menjelaskan, usaha bagi tujuan itu dilaksanakan secara berterusan melalui agensi kerajaan.

"Antaranya ialah dengan pewartaan Hutan Simpan Chini. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 14 Julai 2021 bersetuju mewartakan tanah kerajaan di kawasan itu sebagai Hutan Simpan Chini mengikut Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984.

"Tasik Chini telah diwartakan dalam Hutan Simpan Chini seluas 6.502.80 hektar dengan siar warta kerajaan bertarikh 5 Ogos. Selain itu, penghijauan kawasan iaitu projek pemulihan Tasik Chini dengan penanaman tutup bumi.

"Penanaman membabitikan kawasan seluas kira-kira 200 hektar dengan kos RM3.95 juta menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Hutan. Projek dimulakan pada 23 Ogos 2021 dan tamat pada 31 Julai 2021 dengan status penghijauan mencapai 90 peratus," katanya.

Bagi kawalan hakisan dan mendapan di Zon Penampan Tasik Chini sepanjang 1.75 kilometer, beliau berkata, projek berkenaan yang dibiayai kos RM2.5 juta selesai sepenuhnya pada 22 Jun lalu.

"Projek ini dibiayai Wang Pemulihan Bersama dan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang," katanya memaklumkan kerajaan negeri juga memperkenalkan jaminan beli balik atau 'buy back guarantee' tapak semaian Tasik Chini bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli berhampiran.

Katanya, 14 Orang Asli dari Kampung Gumum, Kampung Cendahan, Kampung Puput dan Kampung Melai menyertai program itu, dibekalkan kelengkapan asas tapak semaian dan dibenar menjalankan kerja pengumpulan serta penyemaian biji benih dan anak pokok dari hutan berdekatan.

"Setiap anak pokok akan dibeli Jabatan Perhutanan Negeri Pahang pada harga RM3 sepokok dan setakat ini, 3,344 pokok telah dibeli. Kempen kesedaran bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk Tasik Chini turut diadakan, iaitu penanaman pokok pada 5 dan 6 Februari lalu.

"Seramai 400 orang yang terdiri daripada ahli 25 NGO bersama penduduk kampung menjayakan penanaman 3,000 anak pokok, manakala 1,000 lagi anak pokok diserahkan kepada penduduk setempat untuk tujuan sama," katanya.  #sumber

Share:

Empat 'Bekas Pemain Bolasepak Pahang', Dua Artis Veteran Antara Penerima Anugerah Dato'

PEKAN - Dua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian mendahulu senarai 99 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan istiadat pengurniaan itu yang berlangsung di Istana Abu Bakar, di sini semalam. 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis santapan yang berlangsung selepas istiadat pengurniaan berkenaan selesai.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan pentadbiran negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

KSU Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lokman Hakim Ali dan KSU Kementerian Luar Datuk Amran Mohamed Zin menerima darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Tujuh penerima lain adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf; Pengerusi Touch Group Holdings Sdn Bhd, Raja Datuk Mufik Affandi Raja Khalid.

Pengasas Bersama dan Rakan Kongsi Pengurusan Navis Capital Partners Limited, Nicholas Rupert Heylett Bloy, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd, Datuk Zainal Abidin Ahmad; Pengarah Urusan Oil Hub Explorer Sdn Bhd, Chia Siea Chok dan Pengarah Urusan Muda Awam Sdn Bhd, Yew Ah Chai.

Pada istiadat itu, empat individu menerima darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk, termasuk Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Laut, Puan Sri Maslina Ismail.

Tiga yang lain, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Junipah Wandi; Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman dan Presiden/CEO Tenaga Nasional Berhad, Datuk Ir Baharin Din.

Sultan Pahang juga berkenan mengurniakan darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk kepada 13 penerima, antaranya Pengarah Hartapac Sdn Bhd, Datin Seri Sian Rahimah Abdullah dan Pengarah WQ Medic Sdn Bhd, Datin Seri Dr Noraini Abd Jalil.

Selain itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom of Great Britain dan Ireland Utara, Datuk Zakri Jaafar; Timbalan KSU (Tenaga) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Mohamad Razif Abd Mubin dan Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan, Aminudin Yahaya.

Turut menerima DSAP, CEO Affin Hwang Investment Bank, Mona Suraya Kamaruddin; Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam Kementerian Kewangan, Ahmad Suhaimi Endut; Setiausaha Sulit Kanan Menteri Kewangan, Wan Murtadza Wan Mahmud.

Penerima lain, Pengarah Platinum Victory Development Sdn Bhd, Shaik Ahmad Sufian Shaik Kamal Farid serta Pengarah Eksekutif dan KP Eksekutif HSBC Malaysia Berhad, Omar Siddiq Amin Noer Rashid.

Seramai 24 individu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang juga membawa gelaran Datuk, didahului Ketua Komunikasi Korporat Istana Negara, Muzli Mohamad Zin; Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuantan, Quek Tai Seong.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Zazali Haron, CEO Kumpulan FGV Holdings Bhd, Mohd Nazrul Izam Mansor; KP Kesihatan Markas Pemerintah Medan Barat Tentera Darat, Brig Jen Dr Amran Amir Hamzah dan penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ghazali Daud; Ketua Penolong Pengarah D7 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mohamad Noor Yusof Ali dan Pengarah Kastam Pahang, Abdul Ghafar Mohamad.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin; Ahli Dewan Negara, Juhanis Abdul Aziz; Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Fariza Md Sham; Ketua MIC Rompin, L Parianan.

Turut menerima DIMP, dua penyanyi iaitu Luciana Francissca Lucian G Peter atau Francissca Peter dan Siti Fairus Sheikh Mohamed.

Empat bekas pemain bola sepak dan jurulatih juga menerima DIMP, iaitu Dollah Salleh yang kini Ketua Jurulatih Interim Pahang; Zainal Abidin Hassan (Ketua Jurulatih Penang FC), Ahmad Yusoff (Jurulatih Sri Pahang Football Club) dan Ahmad Yunus Mohd Alif.

Sultan Pahang juga berkenan mengurniakan darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) kepada dua penerima, darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada enam penerima, darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada empat penerima.

Darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP) dikurniakan kepada 10 penerima, Pingat Khidmat Cemerlang (lapan penerima), Pingat Kelakuan Terpuji (10 penerima) dan Pingat Jasa Kebaktian (sembilan penerima). #sumber 

Share:

Pesawat Ringan Terhempas Dekat Ipoh Babit Dua 'Jurulatih Penerbangan', Seorang Maut !

IPOH - Seorang maut, manakala seorang lagi cedera dalam insiden pesawat ringan terhempas membabitkan dua jurulatih penerbangan, di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, dekat Medan Gopeng, di sini, malam tadi.

Mangsa, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur, mengalami kecederaan.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.10 malam tadi, pesawat itu dilaporkan terhempas dalam kawasan rumah pam Sungai Rokam milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang terletak bersebelahan sebuah kediaman penduduk.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata kedua-duanya adalah jurulatih penerbangan di sebuah sekolah penerbangan berdekatan lokasi kejadian.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan pesawat jenis Piper PA 28 bernombor pendaftaran 9M-BAA itu telah berlepas dari sekolah penerbangan terbabit lebih awal lagi.

"Kita percaya mereka melakukan penerbangan lebih awal lagi sebelum kejadian, namun belum dapat dipastikan sama ada mereka sedang menjalani latihan dan sebagainya.

"Keadaan cuaca ketika polis sampai di tempat kejadian, adalah baik. Justeru, punca insiden masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita di lokasi.

Beliau berkata, dua mangsa berkenaan yang tersepit berjaya dikeluarkan dari bangkai pesawat dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kira-kira jam 9.20 malam.

Beliau berkata, pihaknya sudah meminta pihak syarikat yang mengendalikan penerbangan dua mangsa itu supaya menghubungi waris mereka.

Katanya, siasatan mengenai punca sebenar kejadian diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang difaham akan memulakan siasatan pada malam ini juga. #sumber

Share:

Sri Pahang FC 'Kekalkan' Rentak Kemenangan, Tewaskan Kedah Darul Aman 2-0 Malam Tadi !

KUANTAN - Sri Pahang FC mengekalkan rentak kemenangan selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-0 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Dua gol daripada Steven Rodriguez, masing-masing satu pada separuh masa memastikan skuad Tok Gajah mengutip tiga mata di halaman sendiri.

Namun, pada perlawanan itu pelawat lebih bersedia apabila melancarkan serangan awal menerusi Ronald Ngah, tetapi tandukan pemain import KDA itu sedikit melepasi palang tuan rumah ketika penjaga gol tuan rumah, Mamadou Samassa sudah tertewas seawal minit kedua perlawanan.

Dua minit berselang, Abdul Malik Mat Ariff hampir menjaringkan gol pendahuluan tetapi sepakan leretnya berjaya diselamatkan penjaga gol KDA, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Pada minit ke-20, Mohd Ifwat Akmal sekali lagi menafikan peluang tuan rumah menjaringkan gol menerusi sepakan percuma pemain import, Manuel Hidalgo.

Selepas itu, Hidalgo sekali lagi memiliki peluang sama tetapi bola hanya melalui depan gawang lawan pada minit ke-25.

Pada minit ke-31 gol pendahuluan akhirnya menjelma buat Sri Pahang hasil sentuhan penyerang import, Rodriguez.

Keputusan 1-0 kekal pada separuh masa ketika KDA berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan.

Bersambung babak kedua, ketinggalan satu gol menyaksikan KDA menggandakan serangan dalam usaha mencari gol penyamaan ketika tuan rumah kekal bertahan.

Sebaliknya, Rodriguez menjaringkan gol kedua buat skuad Tok Gajah yang juga kedua peribadi untuk terus memberi tekanan kepada lawan pada minit ke-67.

Pada minit ke-79, tuan rumah hampir menambah gol ketiga tetapi bola sepakan Kevin Ingreso terkena tiang gol sebelah kanan KDA.

Bagi KDA, ia kekalahan kedua berturut-turut dialami selepas tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur City FC pada 27 Julai lalu. #sumber

Share:

Pesilat Dunia Kelahiran Kuantan Pahang, Mohd Al-Juffreri Jamari Umum 'Bersara' Malam Tadi !


KUALA LUMPUR -  Juara dunia empat kali Mohd Al-Jufferi Jamari akhirnya secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada dunia persilatan profesional yang menjadi sebahagian kehidupannya sejak 15 tahun lepas.

Jaguh silat negara kelahiran Pahang itu berkata, kemenangan yang dilakar pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 malam tadi melengkapkan kemanisannya yang selama ini berjuang di pentas silat demi mengharumkan nama negara dan warisan bangsa Melayu itu.

"Malam ini, secara rasmi saya bersara dan bagi saya, dapat ataupun tidak dapat emas saya tetap dengan keputusan saya iaitu menamatkan karier saya selaku atlet silat negara selepas hampir 15 tahun berkecimpung dalam dunia ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan akhir malam Ahad.

Mohd Al-Jufferi, 30, menambah koleksi gelaran juara dunianya yang keempat apabila merangkul pingat emas di Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 yang berlangsung di Dewan Melaka International Trade Center (MITC) malam Ahad.

Beraksi dalam Kelas F Putera, pemenang empat pingat emas Sukan SEA itu menewaskan pesilat dari Indonesia Iqbal Chandra Pratama dengan keputusan 35-21.

Mohd Al-Jufferi berkata, faktor kesihatan merupakan antara sebab beliau berundur dari arena persilatan terutama kecederaan pada bahu kanan yang dihadapinya selama ini memerlukan tumpuan untuk dipulihkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan untuk bersara itu sudah banyak kali disuarakan termasuklah ketika Sukan SEA di Hanoi pada Mei lepas namun terpaksa ditangguhkan selepas dipujuk oleh pelbagai pihak terutama tarikh aksi kejuaraan dunia sudah hampir.

"Jadi kejuaraan ini sudahpun berlangsung dan paling utama, saya dapat raih gelaran dunia keempat. Jadi di sinilah noktah saya," katanya.

Ditanya mengenai hala tuju selepas ini, anak didik Mazlan Shaari itu menjelaskan beliau akan memberi tumpuan terhadap Akademi Semboyan Warrior yang diusahakan di Saujana Putra, Selangor bagi melatih lebih ramai pelapis dalam sukan itu pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata beliau secara peribadi merelakan persaraan tersebut.

"Saya relakan kerana saya ingin merehatkan beliau dan kita sendiri tahu satu episod menyayat hati berlaku di Hanoi apabila dia tidak dapat meneruskan pertandingan. Saya katakan padanya yang saya akan sediakan pentas bertaraf lima bintang dan tugas dia hanyalah dapatkan pingat. Jadi hari ini, janji tu sudah kami berdua kotakan," katanya.

Beliau berkata, Pesaka mungkin ada perancangan lain yang akan disusun untuk jagoan itu namun bukan sebagai seorang atlet. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.