script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Kerusi MB Kini Semakin Jauh Daripada Capaian Wan Azizah


KUALA LUMPUR: Titah Sultan Selangor yang mahukan Pakatan Rakyat mengemukakan lebih banyak nama calon menteri besar dilihat oleh penganalisis politik seolah-olah kerusi nombor satu di Selangor itu semakin jauh dari capaian Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sehubungan itu, Pakatan Rakyat perlu membaca perkembangan itu sebagai suatu isyarat tersirat berhubung jawatan yang menghangatkan landskap politik tanah air khususnya di Selangor itu.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan berkata daripada titah itu, PKR perlu meneliti semula pelan asal yang mahu menobatkan Dr Wan Azizah sebagai ketua eksekutif di negeri yang terkaya di negara ini.

Sekiranya PKR enggan berganjak daripada pelan asal mereka, kemungkinan parti itu perlu berhadapan dengan cabaran yang lebih getir iaitu pembubaran Dewan Undangan Negeri untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri. 

Sultan Selangor hari ini menitahkan PAS, PKR dan DAP masing-masing mengemukakan lebih dua nama calon menteri besar bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebgai menteri besar (MB).

"Berdasarkan titah itu, kita mungkin melihat pelan B daripada PR. Jika mereka bertegas dengan calon asal (Wan Azizah), Sultan mungkin menitahkan pilihan raya negeri dan adakah berbaloi untuk mereka mengambil risiko itu dalam keadaan rakyat jemu dengan krisis berpanjangan ini?," katanya.

Azmi juga tidak menolak kemungkinan Menteri Besar Selangor yang baharu datang daripada PAS, memandangkan parti itu kini 'terpaksa' menamakan lebih dua calon, meskipun mempunyai 'perjanjian gentleman' dalam PR, supaya kerusi nombor satu negeri itu diberikan kepada PKR. 

Ditanya sama ada pelantikan menteri besar daripada PAS akan 'meretakkan' hubungan PAS-PKR yang semakin rapuh ekoran krisis kerusi MB, Azmi menjelaskan bahawa PKR seharusnya bertindak matang dan terbuka dalam menerima titah Sultan. 

"PAS tidak melanggar 'gentleman agreement' kerana ia adalah titah Sultan untuk setiap parti itu menamakan lebih dua calon dan tidak ada salahnya jika seorang MB dilantik daripada parti itu. 

"PKR juga kena terima kerana mereka perlu ingat bahawa rancangan menyingkirkan Abdul Khalid bermula daripada Langkah Kajang yang kini bukan sahaja gagal, namun nampaknya telah memakan diri," katanya. 

Azmi juga tidak menyifatkan tindakan Abdul Khalid ingin meletakkan jawatan sebagai mengalah, namun melihatnya sebagai tindakan terpuji yang 'mengenepikan ego demi kelangsungan pentadbiran Selangor dan kepentingan rakyat'.
 
Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata Abdul Khalid adalah 'mangsa politik' kerana tidak disabitkan kesalahan yang menyebabkan MB hilang kelayakan selain pemecatannya daripada mengangggotai parti juga masih belum 'sahih mengikut undang-undang'. 

Beliau juga berpendapat krisis ini mungkin akan menyebabkan Abdul Khalid 'hilang minat dan keyakinan' terhadap politik, memandangkan beliau menghadapi 'episod gelap' dalam karier politiknya. 

"Kita maklum Abdul Khalid jadi MB kerana mahu berkhidmat kepada masyarakat dan insiden ini mungkin akan menyebabkan beliau terkilan atau tidak berpuas hati kerana apa yang diimpikan beliau tidak boleh dilaksanakan akibat campur tangan pihak lain," katanya. 

Ditanya sama ada kemelut kerusi MB Selangor akan selesai dalam tempoh terdekat dengan titah Sultan meminta lebih dua nama masing-masing daripada PAS, PKR dan DAP, Ahmad Marthada secara peribadi berpendapat krisis itu tidak akan selesai sepenuhnya. 

"Sesetengah pihak nampak ia satu isyarat Sultan seolah-olah tidak mahu Wan Azizah, sedangkan PKR begitu mendesak. Jadi saya berasakan akan berlaku krisis antara PAS dan sekutunya PKR, apatah lagi PAS masih berdolak-dalik mengenai sokongan kepada Wan Azizah," katanya. 

Sementara itu, penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar berkata PR perlu sedar mereka tidak boleh terlalu bertegas mahu Wan Azizah menjawat jawatan menteri besar kerana Sultan berada di kedudukan yang lebih tinggi dalam tradisi pelantikan MB di negara ini. 

"Kita perlu ingat bahawa penolakan calon sebagai MB pernah berlaku di Malaysia pada 2008 di Terengganu apabila nama yang dicalonkan parti politik tidak dipersetujui Sultan, yang terus melantik individu lain sebagai MB," katanya.
 
Justeru itu, Chandra melihat Sultan Selangor masih lagi bertoleransi dalam kemelut ini dan usaha itu seharusnya dihargai agar kepercayaan itu terus ada agar urusan pentadbiran berjalan lancar. #sumber
Share:

Pemuda UMNO Calonkan Ketua Pemuda Tumpat Wakili BN !


KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO sepakat untuk mencadangkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tumpat, Rosidi Mahmud Kamaruddin sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sehubungan itu nama Rosidi telah dikemukakan dalam mesyuarat pengurusan parti Rabu lalu.
"Nama Rosidi telah disenarai pendek dan diserahkan kepada parti.

"Peluang untuk menang 50-50. Pecahan undi Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar menang dengan majoriti 1, 700 undi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Datuk Onn pada Rabu.
Ditanya mengenai khabar angin bahawa Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali dicalonkan pada PRK Pengkalan Kubor, Khairy memberitahu, perkara tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat kerana presiden Perkasa itu tidak terdiri daripada ahli UMNO.
Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong selepas penyandangnya,  Noor Zahidi meninggal dunia akibat penyakit kanser di China pada 20 Ogos lalu. #sumber
Share:

Isu MB: Sultan Selangor Titah Kemukakan Lebih Dua Nama


PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR) supaya mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baharu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, titah supaya lebih daripada dua nama dicadangkan itu bertujuan memudahkan baginda menentukan calon yang berkelayakan untuk dilantik ke jawatan eksekutif berkenaan.
"Sebagaimana yang diperentukan di bawah Perkara LI (1), Perkara LII (2)(a), (4) dan LV (2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Duli Yang Mulia Sultan Selangor telah diperuntukkan dengan kuasa budi bicara mutlak di dalam pelantikan seorang menteri besar yang pada pendapat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Selain itu, Mohamad Bani mengesahkan bahawa Sultan Sharafuddin menerima menghadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi menyembah maklum memohon perkenan untuk meletak jawatan.
Bagaimanapun, Sultan Selangor menangguhkan penerimaan perletakkan jawatan itu sehingga pelantikan menteri besar Selangor yang baharu ditentukan.
PR sebelum ini sebulat suara mengemukan nama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar. #sumber
Share:

Rafizi Akan Di Siasat Di Bawah Akta Hasutan Esok, 27 Ogos


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli akan disiasat di bawah Akta Hasutan esok, 27 Ogos berhubung isu Selangor.
Beliau diminta memberi keterangan pada jam 3 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Perkara itu disahkan Pengarah Guaman KEADILAN, Latheefa Koya.
Menurut Latheefa, siasatan terhadap Rafizi yang juga Naib Presiden KEADILAN itu adalah berkaitan kandungan kenyataannya yang disiar akhbar The Edge Malaysia.
Laporan tersebut bertajuk ‘Will Rafizi Quit if Selangor is not toppled?’.
“Beliau akan disiasat berhubung temubualnya mengenai isu Selangor, dan selepas ini berkemungkinan besar Rafizi akan didakwa di bawah Akta Hasutan.
“Bukan Rafizi sahaja, malah hari ini Khalid Samad juga didakwa di bawah akta yang sama.
“Sebelum ini N Surendran turut dikenakan pendakwaan serupa. Di sini kita nampak dengan jelas bahawa Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib Razak sangat aktif menggunakan akta ini terhadap pemimpin Pakatan Rakyat,” kata Latheefa ketika dihubungi.
Rafizi akan ditemani peguam Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen. #sumber
Share:

Gempar: Chef Maut Di Gigit Kepala Ular Yang Sudah Putus !


Seorang chef yang sedang memasak hidangan sup daging ular tedung maut selepas digigit oleh kepala ular berkenaan yang sudah dipotong.

Peng Fan, seorang chef di China digigit kepala reptilia berbisa berkenaan ketika hendak membuangnya ke dalam tong sampah.

Menurut laporan Mirror.uk, beliau dilaporkan maut sebelum dapat dirawat dengan penawar bisa ular di hospital.

"Ia adalah satu kes yang luar biasa.

"Beliau sedang menyediakan hidangan tersebut dan beliau cuma tidak bernasib baik," kata seorang jurucakap polis.

Menurut seorang pakar ular, semua reptilia masih mampu hidup sejam selepas kehilangan mana-mana anggota badan. #sumber
Share:

Mahkamah Di Beritahu Ada Perbualan Antara Anwar- Anifah


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin diberitahu bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ada berbual di telefon dengan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengenai isu pembentukan kerajaan baharu 16 September dan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Anifah semasa pemeriksaan balas, mencadangkan kepada Anwar bahawa beliau telah menawarkan jawatan TPM kepada Anifah ketika beliau berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 2008.

Anwar, 67, mengakui beliau berbual dengan  Anifah pada masa itu tetapi perbualan mereka adalah berkisar hal keluarga.

"Perbualan itu adalah mengenai hal keluarga kerana kami (beliau dan Anifah) adalah rakan baik sejak sekian lama. Saya tidak menawarkan jawatan TPM," kata Anwar.

Ketika Muhammad Shafee mencadangkan bahawa Anwar telah menawarkan jawatan TPM kepada Anifah kerana ia perkara penting, Anwar berkata: "Saya tidak boleh melakukan kesilapan yang cuai. Tidak mungkin saya membuat tawaran kepada  seseorang dalam perbualan 10 minit."

Anwar, yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, menganggap defendan  sebagai "sangat berani" dan berkata adalah tidak munasabah untuknya membuat tawaran dalam satu panggilan telefon. 

Beliau juga berkata tidak ada pertemuan antara beliau dan Anifah tetapi Anifah ada menghubunginya ketika beliau berada di luar negara. 

"Beliau (Anifah) menyatakan ada mendengar sekumpulan besar dari Sabah mahu menyertai pembangkang dan beliau mahu saya mengesahkan nama dan bilangannya. 

"Beliau berkata jika saya tahu bilangannya, beliau berminat menyertai saya. Saya tidak membuat sebarang tawaran kepadanya, dan sudah pasti tidak mempertimbangkan beliau untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri," kata Anwar. 

Pada 27 Mei, 2009, Anwar yang menyaman Anifah atas kapasitinya secara peribadi dan rasmi serta Kerajaan, mendakwa beliau telah difitnah dalam sidang media Anifah bersama-sama Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu Hillary Clinton.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar berkata dakwaan Anifah adalah tidak berasas dan amat cuai dan telah dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing.    

Anwar memohon RM100 juta sebagai ganti rugi teruk dan teladan, kos dan reliflain difikirkan sesuai oleh mahkamah. 

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S.Hassan Badjenid bersambung pada Rabu ini. #sumber
Share:

Kalah: PKR Di Ingatkan, "Tidak Salahkan" PAS Terengganu !


KUALA TERENGGANU: Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu  mengingatkan PKR supaya tidak menjadikan pihaknya sebagai kambing hitam ekoran kekalahan PKR di beberapa kerusi dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13). 

Pesuruhjaya PAS Terengganu Satiful Bahri Mamat sebaliknya menasihatkan PKR Terengganu supaya menyelesaikan masalah dalaman mereka dan memperkuatkan jentera parti mereka di peringkat akar umbi. 

"Jangan hanya sekadar nak bertanding, tapi gunakan jentera PAS, sepatutnya masing-masing perlu memperkemaskan jentera parti masing-masing untuk menghadapi pilihan raya. 

"Kadang-kadang cabang sahaja yang ada, ranting tak ada pun, jadi inilah yang perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh PKR Terengganu," katanya dalam sidang media di sini Ahad. 

Beliau mengulas dakwaan wakil PKR Terengganu, Azlan Che Mat dalam kongres PKR di Kuala Lumpur pada Sabtu, yang mendakwa PKR "dibuli" PAS Terengganu dalam PRU13 kerana PAS turut menghantar pencalonannya di kerusi yang ditandingi PKR. #sumber
Share:

Mustafa Ali: PAS Serah Sultan Selangor Tentukan Nasib MB


KUALA LUMPUR: PAS sekali lagi menegaskan bahawa parti itu  menyerahkan keputusan berhubung pelantikan menteri besar Selangor yang baharu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, keputusan itu dibuat selepas ahli Jawatankuasa PAS pusat mengadakan mesyuarat kali kedua membincangkan perkara ini, Isnin.
"Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bersetuju menyerahkan kepada perkenan dan kebijaksanaan Sultan Selangor dalam menentukan (memilih individu bagi ) jawatan menteri besar Selangor.
"Bila kita buat kenyataan terbuka seperti ini (bermaksud) kita serahkan kepada Tuanku dan Tuanku boleh memilih," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS Pusat, di sini. #sumber
Share:

Nurul Izzah: Persempadanan Semula Untuk Menangkan BN


SHAH ALAM: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, persempadanan semula pilihan raya yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya untuk memenangkan Barisan Nasional (BN).
Beliau menyatakan bahawa persempadanan semula yang dilakukan SPR memihak semata-mata kepada BN sejak Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1999.
“Persempanan semula (hanya dibuat) untuk BN, dan jatuhkan Pakatan Rakyat, tetapi BN perlu ingat bahawa sudah menjadi sejarah BN tidak pernah menang lebih daripada 2/3 undi dalam pilihan raya,” katanya dalam ucapan penggulungan Kongres KEADILAN, di Shah Alam.
Beliau mendakwa terdapat tujuh kerusi Parlimen bakal diwujudkan di Selangor terutama di kawasan majoriti Melayu akibat persempadanan semula.
“Sekarang ada desas desus menyatakan akan diwujudkan di Selangor tujuh kerusi Parlimen yang baru. Kebanyakkannya majoriti Melayu. Ini akan merugikan kita (Pakatan Rakyat).
“Saya minta kepada KEADILAN dan juga parti komponen pakatan yang lain, kita jangan terperangkap.
“Kalau kita kekalkan sempadan yang ada, kerusi yang ada, perbaiki sempadan kemungkinan perbezaannya hanyalah lima peratus,” jelas Izzah.
Sehubungan itu, tekanan ekonomi yang bakal dirasai rakyat ekoran perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) disebabkan kerajaan gagal tangani ekonomi rakyat negara ini.
“Justeru pulang ke rumah, perwakilan dan pemerhati, pastikan cabang-cabang dijaga dan kita perlu 100 pengundi di Parlimen masing-masing, protes dengan SPR supaya persempadanan mereka itu tidak terlaksana,” katanya lagi. #sumber
Share:

Azmin Tuntut Siaran Langsung, Perbicaraan Fitnah Liwat II


SHAH ALAM: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali menuntut siaran langsung ke atas perbicaraan kes Fitnah II, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan.
Dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional KEADILAN ke 10 di Shah Alam hari ini, Azmin menuntut siaran langsung itu diadakan agar rakyat dapat menilai sendiri tuduhan dan pembelaan kes tersebut.
“Kalau Perdana Menteri jujur, dia perlu buat perbicaraan secara langsung. Biar rakyat jadi hakim dan lihat perjalanan perbicaraan yang berlaku,” tegas beliau sambil disambut tepukan gemuruh oleh perwakilan kongres yang hadir.
Ini adalah satu dari tiga perkara yang dituntut Azmin daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekiranya beliau serius mempertahankan dasar transformasinya, lapor Malaysiakini.
Beliau juga mengesa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang juga ahli Umno digugurkan daripada menjadi ketua pendakwaraya dan juga pertuduhan ke atas peguambela Anwar, N Surendran ditarikbalik kerana bermotif politik.
“Apakah tiada pendakwa raya lain di pejabat peguam negara? Mengapa dilantik peguam Umno yang berjiwa Umno, dan berkiblatkan Umno? Maknanya ini kes politik (untuk) menghukum kita,” kata beliau seperti dilaporkan Malaysiakini.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 28 dan 29 Oktober depan untuk mendengar kes Anwar untuk membebaskannya daripada pertuduhan liwat oleh Mahkamah Rayuan. Namun, pihak pendakwaan berusaha menambah hukuman penjara dari lima tahun yang dikenakan terhadapnya.
Dalam pada itu, Azmin berkata KEADILAN mahu kerusi DUN Pengkalan Kubor dikekalkan kepada parti itu berdasarkan tradisi kerusi itu  ditandinginya sejak dua penggal lalu.
Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong selepas wakil rakyatnya dari BN, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, meninggal dunia akibat barah hati di sebuah hospital di Guangzhou, China Rabu lalu. #sumber
Share:

Nizar Jamaluddin Mengaku Tak Salah, Tuduhan Fitnah Najib


IPOH: Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada Isnin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dua tahun lepas.
Ketua Pembangkang Perak dan Anggota Dewan Undangan Negeri Changkat Jering itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Mohammad Nizar, 57, yang beralamat di Sungai Rokam di sini dituduh memfitnah Najib dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan di sini antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012.
Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Perak didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam Lampiran A yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan tersebut akan merosakkan nama baik Najib.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud memohon supaya mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun peguam Asmuni Awi yang mewakili Mohammad Nizar memohon supaya anak guamnya tidak dikenakan sebarang jaminan kerana sebagai ketua pembangkang negeri Perak beliau akan memberi kerjasama kepada pihak pendakwaan.
"Jika permohonan ini ditolak saya memohon supaya jaminan dikurangkan sebanyak 10 peratus daripada jumlah yang ditetapkan oleh mahkamah," katanya.
Masri kemudian bangun dan menyatakan jaminan dipohon pihak pendakwaan adalah satu jumlah yang wajar.
Hakim Madihah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 26 Sept.
Mohammad Nizar diwakili 11 peguam iaitu Asmuni, Aminuddin Zulkipli, Mohd Fitri Asmuni, M. Kulasegaran, Nga Hock Cheh, N. Selvam, A. Sivanesan, Mohammad Hanifa Maidin, Leong Cheok Keng, Mohammad Zamri Ibrahim dan Chan Sook Ching.
Pihak pendakwaan diwakili Masri yang juga Ketua Unit Pendakwaan Negeri Perak dan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab. #sumber
Share:

Isu MB: Khalid Menghadap Sultan Selangor, Pada Selasa Ini


SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kemelut jawatan menteri besar negeri itu pada petang Selasa.
Khalid berkata, pertemuan antara beliau dengan Sultan Selangor dijadual berlangsung pada pukul 2.30 petang.
"Jumpa esok (Selasa) petang... 2.30 petang," katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Negeri Selangor di sini, Isnin.
Beliau dikatakan memohon menghadap Baginda untuk meminta nasihat berkenaan jawatan yang masih disandang sebagai menteri besar.
Jelasnya, sidang media berhubung pertemuan tersebut akan diadakan pada pukul 4 petang Selasa. #sumber
Share:

SPR Akan Tentukan PRK Pengkalan Kubor Pada Jumaat Ini !


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam berhubung kekosongan kerusi bahagian pilihan raya DUN N.01 Pengkalan Kubor, Kelantan.
Kekosongan itu berikutan kematian penyandangnya Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos.
"Sehubungan itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan semua perkara berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.01 Pengkalan Kubor pada 29 Ogos, pukul 9 pagi bertempat di Ibu Pejabat SPR, Putrajaya," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.
Mesyuarat khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang akan membincangkan tarikh penting seperti tarikh Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian Awal, Hari Pengundian Biasa, Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam PRK itu nanti serta persiapan lain yang diperlukan.
Mesyuarat itu kemudian akan disusuli dengan sidang media oleh Abdul Aziz. #sumber
Share:

Kemelut AMK Selesai, Exco Ikrar Untuk Sokong Nik Nazmi !


SHAH ALAM: Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Ahad sebulat suara berikrar menyatakan sokongan terhadap kepimpinan ketuanya yang baharu, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Sokongan itu dizahirkan dua hari selepas Nik Nazmi dimalukan oleh exconya sendiri yang bertindak keluar dewan selepas beliau diumumkan menang jawatan ketua sayap PKR itu.
Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin (foto) berkata, beliau memuji tindakan pantas Nik Nazmi yang berjaya menyelesaikan masalah dalaman AMK dengan pantas.
"Saya dan semua exco ingin menzahirkan kepercayaan kami kepada kepimpinan Nik Nazmi untuk memimpin AMK ke tahap yang lebih baik dan cemerlang," katanya pada sidang media selepas berakhirnya Kongres Nasional PKR ke-10 di sini, Ahad.
Jumaat lalu, 16 Exco AMK bertindak keluar dewan persidangan sejurus Nik Nazmi diumumkan menang jawatan Ketua AMK.
Kumpulan berkenaan mendakwa tindakan itu sebagai tanda protes terhadap keputusan pemilihan yang tidak memihak kepada seorang lagi calon Ketua AMK, Amirudin Shari.
Pada pemilihan AMK baru-baru ini Nik Nazmi mengalahkan Amirudin dengan majoriti 250 undi.
Nik Nazmi memperoleh 4,509 undi sementara Amirudin mendapat 4,259 undi.
Sementara itu Nik Nazmi pada sidang media yang sama berkata, beliau dan exconya bersetuju supaya isu yang dibangkitkan berkaitan pemilihan baru-baru ini akan dibincangkan mengikut saluran dalaman parti. #sumber
Share:

Kerajaan Terima Dengan Terbuka Teguran Tun Dr.Mahathir


PERMATANG PAUH: Kerajaan menerima dengan terbuka semua teguran dan isu yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, apa sahaja yang disebut oleh bekas perdana menteri itu dilihat sebagai satu teguran dan nasihat untuk memperbaiki kesilapan dan menjadi lebih baik.
"Kita terima ini adalah nasihat daripada bekas pemimpin kita yang amat kita hormati, dan oleh itu apa sahaja yang disebut oleh beliau itu kita berikan perhatian dan kita ucapkan terima kasih di atas teguran-teguran yang telah pun beliau buat terhadap pentadbiran (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) dan juga isu-isu yang telah dibangkitkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Permatang Pauh di sini, Ahad.
Dr Mahathir menerusi blognya www.chedet.cc berkata beliau terpaksa menarik balik sokongan dan mengkritik kerajaan di bawah pimpinan Najib kerana melihat dasar dan tindakan beliau tidak berkesan.
Dr Mahathir berkata berdasarkan situasi semasa dalam negara, kepimpinan Najib perlu diperbaiki, justeru itu beliau terpaksa mengambil pendekatan menarik balik sokongannya supaya Najib mempelajari sesuatu.
Muhyiddin berkata, sebahagian besar daripada apa yang berlaku dalam kerajaan adalah hasil daripada perbincangan bersama sebelum ia diputuskan oleh perdana menteri atau kerajaan.
"Sebagai timbalan perdana menteri, saya dapati Datuk Seri Najib mengamalkan sikap terbuka, bersedia terima komen dan pandangan-pandangan," katanya sambil menyatakan turut terkesan dengan kritikan Dr Mahathir kerana dasar-dasar kerajaan digubal secara bersama.
Sambil memberi contoh penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang memberi implikasi besar dalam soal keselamatan, Muhyiddin berkata, terdapat teguran Dr Mahathir yang memerlukan kerajaan menilai semula langkah-langkah yang diambil dan memperbaiki keadaan. 
"Proses penambahbaikan sedang berjalan, baik daripada soal pelan ekonomi, transformasi, hal berkaitan kaum dan sokongan masyarakat kepada kerajaan, semuanya kita nilai bukan sahaja oleh kerajaan tetapi juga oleh parti.
"Saya sebagai timbalan presiden Umno mengambil perhatian tentang perkara itu...jadi kita harap Tun akan terus bersama-sama dengan kita memberikan pandangan yang membina," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap perdana menteri diberi ruang dan peluang untuk terus menerajui negara kerana cabaran yang dihadapi kini adalah lebih besar dan perlu ditangani bersama.
"Keadaan pada masa ini telah banyak berubah dan kerajaan perlu lebih prihatin dengan pandangan masyarakat yang kini lebih terdedah kepada media sosial dan berasa bebas untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka...oleh itu sokongan setiap pemimpin terdahulu adalah amat dihargai," katanya.
Muhyiddin percaya Dr Mahathir terlalu sayangkan Umno dan Barisan Nasional dan mahu parti terus unggul dan mempertahankan kedudukan kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.
Ditanya sama ada terdapat pihak yang mengambil kesempatan daripada teguran Dr Mahathir untuk melaga-lagakan kepimpinan kerajaan, Timbalan Perdana Menteri berkata: "Pastinya bila dah ada teguran Tun semua orang pandang serius...jadi pastinya ada reaksi tapi harapan kita supaya ia tidak akan menjadi satu perkara yang boleh memecahbelahkan".
Beliau berkata, teguran yang dibuat oleh Dr Mahathir itu mungkin memberi hikmah yang boleh mengukuhkan parti supaya Umno terus kukuh dan dihormati. #sumber
Share:

Kongres PKR: Dr.Wan Azizah Berat Hati Jadi Menteri Besar !


SHAH ALAM: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendedahkan bahawa beliau sebenarnya 'berat hati' untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.


Pendedahan itu dibuat ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang berusaha mendapatkan sokongan penuh sekutunya iaitu PAS mengenai keupayaan Presiden parti itu.

Bagaimanapun, menurut Dr Wan Azizah, beliau terpaksa meneruskan rancangan partinya untuk menggulingkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas dasar perjuangan.

"Bila saya ditanya nak sangat ke jawatan ini (Menteri Besar) apabila bertanding di (DUN) Kajang, terus terang saya katakan bahawa bukanlah niat dan keinginan di hati.

"Tapi nama saya dikemukakan, jadi sebagai seorang pejuang saya terima. Kalau inilah amanah yang diberikan, saya terima walaupun hati berat.

"Bukan ini (jawatan) yang saya inginkan, bukan ini yang saya cari tapi saya cari redha Allah," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR ke-10 di sini, Ahad.

Dr Wan Azizah menghadapi laluan sukar untuk diangkat sebagai menteri besar Selangor terutama keraguan yang ditimbulkan PAS berhubung keupayaannya untuk memimpin sebuah kerajaan negeri.

Menerusi mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos lalu, parti akhirnya menamakan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai calon kedua menteri besar Selangor yang baharu, selain Dr Wan Azizah. #sumber
Share:

Kongres PKR: Anwar Akui Sistem Pemilihan Selerak-Barak !


SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kaedah pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dirombak semula kerana sistem sedia ada didapati tidak praktikal hingga menimbulkan pelbagai masalah.


Menurut Ketua Umum PKR itu, beliau sendiri pada mulanya tidak bersetuju dengan sistem 'satu ahli, satu undi' yang digunapakai sejak dua pemilihan yang lalu.

"Saya antara orang yang kurang setuju dengan proses ini, pemilihan ini (sistem)...saya tidak setuju. Tetapi bila diputuskan, ya kita teruskan.

"Memanglah selerak-barak, sebab kita mengambil keputusan yang dari segi ideanya sistem demokrasi itu memang baik tetapi pelaksanaannya tidak upaya kita laksanakan dengan berkesan," katanya ketika menyampaikan Ucapan Amanat Ketua Umum pada Kongres Nasional PKR ke-10 di sini, Ahad.

Justeru katanya Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sedia bertanggungjawab terhadap semua masalah yang timbul berkaitan pemilihan parti.

"Jadi saya terima, bukan kelemahan JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat), kelemahan pimpinan keseluruhannya dalam menangani langkah pemilihan pimpinan parti baru-baru ini.

"Dan pastinya dalam peringkat segera kita harus cadang rombak semula supaya ia demokratik tetapi praktikal untuk dliaksanakan," katanya.

Pemilihan PKR yang berlangsung sejak April lalu dan hanya berakhir pada awal bulan ini merupakan yang proses pemilihan paling panjang pernah dikendalikan PKR.

Sepanjang proses itu berlangsung, pelbagai masalah dilaporkan berlaku, termasuk insiden keganasan serta dakwaan rasuah membabitkan calon peringkat tertinggi parti.

Sementara itu, Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul ketika ditemui tetap mempertahankan sistem 'satu ahli, satu undi' yang digunakan PKR.

Mengakui wujud kelemahan dari segi perlaksanaannya, Johari bagaimanapun mahu sistem itu diteruskan pada pemilihan akan datang.

"Saya akan pertahankan sistem ini kerana ia baik. Cumanya (perlu fikir) bagaimana kita boleh perbaiki proses, yang pasti sistem itu adalah yang terbaik kerana anggota terlibat secara langsung.

"Bagi kami sekurang-kurangnya tiga bulan untuk turun ke bawah tanya pendapat mereka, dan kita akan persembahkan kepada parti.

"Bergantung kepada keadaan, kalau sekiranya terpaksa ubah semula semuanya, memang akan kita ubah. Tetapi bagi kita lihat dulu macam mana keadaannya sekarang ini," katanya. #sumber
Share:

Anwar: Sikap Tak Peduli Kebajikan Punca Khalid Di Singkir !


SHAH ALAM: Sikap tidak peduli Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap kebajikan partinya sendiri dan rakyat Selangor merupakan punca mengapa Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu menggulingkan beliau sebagai Menteri Besar.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun beliau menyokong dasar penjimatan dan ketelusan yang diamalkan Khalid, Menteri Besar itu seharusnya lebih terbuka dalam soal kebajikan rakyat.

"Tetapi dermalah sikit. Bukan soal kontrak, bukan soal jawatan yang dituntut.

"Saya tak setuju kalau parti nak minta kontrak...saya tak setuju dan saya beritahu secara terbuka pada kongres yang lalu bahawa saya sokong Tan Sri Khalid yang ikut peraturan dan tidak mudah meluluskan (peruntukan) hanya kerana kepentingan parti," katanya ketika menyampaikan Ucapan Amanat Ketua Umum pada Kongres Nasional PKR ke-10 di sini, Ahad.

Menjelaskan lanjut Anwar berkata, sikap tidak peduli Khalid terhadap rungutan yang dibangkitkan rakyat menjadi isu utama mengapa beliau perlu digugurkan.

"Macam pembinaan projek Kidex (Lebuhraya Kinrara Damansara)...puluhan ribu bantah. Panggillah dan dengar (rungutan rakyat). Itu sahaja permintaan rakyat.

"Dalam menjawab soal Selangor, saya tekankan isu kepedulian. Kalau dah ada peruntukan dari Marris (Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri dan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya) daripada kerajaan Persekutuan, gunakanlah," katanya.

Khalid berhadapan tekanan daripada pelbagai pihak, termasuk Anwar yang mendesak supaya beliau turun dari kedudukannnya kerana kerap membelakangkan parti dalam membuat sebarang keputusan berhubung pentadbiran negeri Selangor.

Kemarahan PKR terhadap Khalid dilihat semakin memuncak apabila beliau akhirnya dipecat daripada PKR pada 9 Ogos lalu selepas ingkar perintah parti untuk meletak jawatan sebagai menteri besar dan memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai penggantinya. #sumber
Share:

Ketua AMK Kuantan "Di Pecat" Dari Parti Keadilan Rakyat !


KUANTAN: Ketua Angkatan Muda Keadilan Rakyat (AMK) Cabang Kuantan, Aidil Haryman Mohd Nor (foto) atau lebih dikenali sebagai Alang  telah dipecat serta merta oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR). Demikian ditegaskan oleh Dato' Dr Tan Kee Kwong, Pengerusi Lembaga Disiplin KEADILAN dalam satu kenyataan media rasminya semalam



Alang yang merupakan salah seorang pejuang tegar KEADILAN akhirnya menerima nasib yang sama seperti Blogger Cucumatkilau yang juga merupakan ahli PKR Cabang Kuantan. Untuk makluman, Ketua Cabang PKR Kuantan, Fuziah Salleh juga tertewas bagi merebut jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti baru-baru ini. Dengan kehilangan Alang, sudah pasti ia merupakan tamparan hebat buat Fuziah, kerana Alang adalah orang kanan beliau yang dekat dihati ahli akar umbi parti itu di sini sebenarnya.



Difahamkan, antara pertuduhan yang dibuat terhadap Alang ialah beliau secara terbuka melalui laman sosial Facebook memaparkan gambar membakar bendera parti, yang memberi implikasi buruk kepada imej dan kredibiliti parti kepada masyarakat umum. Malah ketika berbuat demikian Alang turut mengakui tindakan membakar bendera parti dan mencabar agar dia dipecat dari parti.



Lembaga Disiplin KEADILAN dipercayai  telah meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan beberapa kes berkaitan tatatertib dan disiplin anggota. Kes-kes ini telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat bertarikh 22 Ogos 2014 yang dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan dihadiri anggota-anggota MPP yang lain.

Apapun, PDO ucapkan syabas dah tahniah kepada Alang atas tindakan beliau yang akhirnya menerima nasib yang sama kerana mahukan keadilan dalan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Teruskan perjuangan anda. #pahangdaily
Share:

Roadshow Mencari Jutawan Emas Di Terengganu Hari Ini !


KUALA TERENGGANU: Orang ramai di sekitar bandar ini yang mempunyai kelapangan adalah dipelawa untuk hadir ke program jamuan makan bersama Jutawan Emas di Hotel Grand Puteri di Kuala Terengganu jam 8.00 malam ini (23 Ogos 2014). Program "Roadshow Misi Mencari Jutawan Emas" yang diadakan khas kepada orang ramai untuk mengetahui lebih dekat tentang rahsia Jutawan dengan hanya menyimpan emas atau wang yang sama dengan nilai emas di Precious Metal Bank (PMB). Tempat adalah terhad. Cabutan bertuah berupa wang tunai dan emas akan turut diadakan. Masuk percuma, oleh itu jangan lepaskan peluang keemasan ini. 

Ingat "simpan emas di pajak gadai dan arRahnu kena bayar upah setiap bulan, simpan emas di peti besi bank kena bayar sewa setiap bulan, simpan emas di rumah risiko setiap bulan... tapi simpan emas di PMB anda dibayar dividen setiap bulan antara 5%-10% daripada nilai emas anda", maka fikir-fikir dan timbang-timbangkanlah. 

Mahu tahu rahsianya datang beramai-ramai malam ini. Esok program akan diadakan di Kuala Terengganu pula. Berminat untuk hadir sila SMS, WhatsApp, WeChat, Viber, Line, KakaoTalk, Telegram dan Instagram 012-385 4400 sekarang. Roadshow ke seluruh negara menyusul. Infi lanjut, klik www.mygoldbiz.blogspot.com
Share:

Program "Misi Mencari Jutawan Emas" Meletup Di Kuantan


KUANTAN: Program Misi Mencari Jutawan Emas di Swiss Garden & SPA Resort dekat sini malam tadi telah mendapat sambutan hebat yang sungguh luar biasa daripada orang ramai. Masing-masing teruja untuk mengetahui lebih lanjut rahsia menjadi jutawan dengan hanya menyimpan emas. Malah, lebih menakjubkan hampir 300 orang hadir walau pun program dihadkan untuk 200 orang peserta sahaja. Mereka yang hadir sebahagian besarnya adalah dari Kuantan dan selebihnya dari luar.



Salah seorang usahawan emas yang kian menempa nama Mohd Shukri Mohd Ramli (foto) berkata, kehadiran yang yang luar biasa itu menyebabkan makan tidak cukup dan terpaksa ditambah. "Pihak majlis juga memohon maaf kepada orang ramai atas segala kesulitan yang berlaku...kerana kehadiran malam tadi adalah yang paling ramai dari sebelumnya.. Apapun masing-masing berpuas hati dengan penerangan demi penerangan dan perkongsian pengalaman oleh mereka yang sudah terlibat dengan program ini sejak setahun yang lalu.. Paling menarik mereka yang hadir boleh menggenggam dan bergambar emas seberat 1 kilogram yang diedarkan pada majlis itu.... ia bertujuan masing-masing dapat mengambil aura emas sebenarnya", kata Shukri.



Beliau yang baru seminggu lebih berada dalam bisnes itu berkata, kehadiran yang ramai itu membuktikan emas kini menjadi aura dan tarikan kepada semua. Malah, masing-masing mula berkira-kira untuk menyimpan emas di Preciuos Metal Bank (PMB) kerana mahukan dividen lumayan yang ditawarkan. "Bayangkan jika anda menyimpan 1 kilogram (1,000 gram) emas dengan modal sekitar RM144,000 anda akan menikmati dividen sekitar RM14,000 sebulan selama 24 bulan... Malah anda juga berpeluang menjadi jutawan dalam masa dua tahun sahaja ... Sesuatu yang menakjubkan.... Orang ramai tidak perlu risau kerana emas atau nilai wang yang disimpan itu boleh diambil bila-bila masa kerana ia tiada rime-period walau pun kontrak selama dua tahun... Maknanya anda simpan 1 kilogram emas... dapat dividen RM14,000 atau lebih bergantung harga pasaran emas semasa.... jika anda mahu keluarkan semua modal dan dividen pun tak ada masalah... Ia terpulang kepada anda... Ini bermakna program ini telus dan yang terbaik setakat ini... Malah anda boleh pilih mahu mengambil emas atau wang tunai pada bila-bila masa tanpa syarat", kata Shukri.




"Sebagai tawaran, kumpulan saya CMK Golden Team Club menawarkan dua tiket kapalterbang pergi balik termasuk penginapa di Shenzen, China kepada mereka yang membeli emas sebanyak 1 kilogram ke atas.... Banyak lagi hadiah akan kami tawarkan kepada mereka yang bertuah... Saya juga menawarkan sebuah blog usahawan percuma kepada orang ramai yang menyimpan emas. Syarat minima untuk simpan hanyalah 100 gram atau nilai wang lebih kurang RM14,000... "


 

"Itu pun anda akan dibayar dividen sekitar RM1,000 sebulan... Hanya mereka yang hadir dan merasai aura emas akan membuat tindakan segera untuk menyimpan emas disini. Bayangkan jika anda simpan emas di tempat lain anda perlu membayar upah dan sewa bulanan.... selagi tidak ditebus selagi itu anda perlu keluarkan wang setiap bulan.. tapi disini cukup berbeza, anda dibayar dividen setiap bulan... sebab itu ramai yang tidak lepaskan peluang untuk bersama kami..", tambah Shukri lagi.



Menurut beliau, roadshow Mencari Jutawan Emas ini akan diteruskan ke lokasi laion di seluruh negara. Oleh itu, kepada mereka yang berminat dan sudah tidak sabar untuk bersama kami sila SMS/WhatsApp 012385400 untuk info lanjut.




 "Saya juga sungguh teruja kerana sudah banyak bisnes yang dibuat selama ini, belum pernah termimpin mahu berada dalam kereta mewah Bentley yang berharga RM1.7 juta... Namun dengan program ini saya dan isteri berjaya membuktikannya... Memang amat luar biasa...Saya menyasarkan lebih 100 penyimpan emas 1 kilogram akan bersama kami sebelum penghujung tahun ini. Kepada yang ingin mengetahui lebih lanjut boleh buat temujanji atau sebagainya supaya anda lebih faham dan yakin ketelusanya..Maka itu siapa yang tidak sempat boleh hadir ke Hotel Grand Puteri di Kuala Terengganu jam 8.00 malam ini.. Temui saya di sana pula...", tambah Shukri lagi. #pahangdaily
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.