script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Penyelidik Temui Makam Di Percayai Milik Sultan Mudzafar


Nama Maharaja Phra Ong Mahawangsa cukup sinonim dengan sejarah negeri Kedah sementelah ia juga raja Kedah yang pertama memeluk agama Islam dan menukar nama kepada Sultan Mudzafar Shah I.

Selepas lebih 900 tahun, pencarian sulur galur baginda yang namanya turut dicatat sebagai Seri Paduka Derbar Raja semakin terbongkar dengan penemuan beberapa makam purba yang terletak di Kota Bukit Meriam di daerah Kuala Muda di sini.

Menelusuri rentetan sejarah dengan merujuk 2 kitab utama sejarah Kedah iaitu Hikayat Merong Mahawangsa dan At-Tarikh Salasilah, secara asasnya, Kota Bukit Meriam mula dibina pada zaman pemerintahan Raja Phra Ong Maha Putisat iaitu Raja Kedah ke-6 yang ketika itu bersemayam di Kota Aur iaitu daerah Seberang Perai sekarang.

Baginda mempunyai 2 putera iaitu Raja Phra Ong Mahawangsa dan Raja Buluh Betong. Sebelum baginda mangkat, baginda menabalkan Raja Phra Ong Mahawangsa sebagai Raja Kedah ke-7 dan mengarahkan puteranya itu menetap di Kota Bukit Meriam.

Seperti yang tercatat dalam At-Tarikh Salasilah, Phra Ong Mahawangsa, Raja Kedah ke-9 (atau Raja Kedah ke-7 mengikut Hikayat Merong Mahawangsa) ini kemudian memeluk agama Islam dan bergelar Sultan Mudzafar Shah I dan mangkat di Kota Bukit Meriam pada 1179 masihi.

Menurut Syamsyul Anuar Ismail, Ketua Penyelidik bagi Projek Kajian Kesan Peninggalan Sejarah Kota Bukit Meriam dan Kota Sungai Emas, Universiti Utara Malaysia (UUM), tinjauan pada lewat Jun lalu menemukan penyelidik dengan kewujudan Langgar atau Makam Diraja Kota Bukit Meriam seperti yang disebutkan dalam At-Tarikh Salasilah.

Daripada maklumat awal, terdapat sebuah makam tua dengan sepasang nisan purba di atas lot tanah milik seorang imam tua, Mohamad Nor di Kampung Bukit Berangan, Kuala Muda.

Atas pelbagai sebab, pasangan batu nisan dipindahkan ke tanah perkuburan Masjid Sintok Bugis, Kuala Muda, terletak lebih kurang 2 kilometer dari tapak asal pada September 2017 dengan kerjasama Majlis Agama Islam Kedah.

“Di tanah lot persendirian ini, kita menemui sebuah makam yang mempunyai batu nisan purba dan apa yang menariknya, batu nisan ini diperbuat daripada batu kawi yang kini masih dalam kajian.

“Setakat ini, belum pernah ditemui batu nisan jenis batu kawi ini di mana-mana negeri Kedah, mahupun di seluruh Semenanjung ini,” katanya kepada Bernama.

Menjelaskan batu nisan purba itu, beliau berkata ia mempunyai ukuran besar dan luar biasa iaitu 93.98 sentimeter di bahagian kepala, 35.56 sentimeter (lebar bahu), 27.94 sentimeter (pinggang) 33.02 sentimeter (tapak) dan 8.89 sentimeter tebal menunjukkan ianya milik kalangan raja-raja. Lebih menarik, belum pernah ditemui pasangan batu besar bersaiz besar sebegitu di tempat lain di dalam Mukim Bukit Meriam.

“Kedua-duanya hampir sama besar dengan berbentuk pepeh namun memiliki ukiran yang berlainan. Secara amnya, kedua nisan ini mempunyai kepala, badan, pinggang dan kaki dan diperbuat daripada batu lembut iaitu batu kawi yang berwarna kemerah-merahan,” katanya.

Tambah beliau, tidak wujud tulisan jawi atau bahasa lain manakala corak sulur kacang dengan sentuhan halus dan berseni menunjukkan ukiran tersebut dibuat oleh orang Melayu yang mahir bertukang.
“Ianya langsung tak sama dengan batu nisan Acheh yang ditemui sebelum ini. 
Dalam masa yang sama, keadaan ini sangat sesuai dengan masanya iaitu sekitar tahun 1179 Masihi iaitu waktu kemangkatan Sultan Mudzafar Shah I,” katanya.

Langgar DiRaja Bukit Meriam

Bukan itu saja, berdekatan makam lama ini juga terdapat satu lagi makam purba yang disebut masyarakat setempat sebagai ‘Keramat Tok Wahid’.

“Terdapat juga sederet makam lama yang sudah dimusnahkan untuk memberi laluan kepada pembinaan jalan di sisi lot tersebut.
“Menguatkan penemuan ini juga adalah lot tanah ini hanya berjarak 200 meter dari kaki Bukit Meriam di mana wujudnya bekas dinding purba yang dipercayai sebahagian daripada runtuhan Kota Bukit Meriam atau barangkali terbinanya sebuah istana utama dalam kota tersebut,” tambah Syamsyul Anuar.

Malah, menurut At-Tarikh Salasilah, terdapat 3 orang sultan yang pernah memerintah Kota Bukit Meriam iaitu Sultan Mudzafar Shah I, Sultan Muadzam Shah dan Sultan Muhammad Shah. Ketiga-tiga mereka dikatakan dimakamkan di Langgar Kota Meriam.

“Memang diakui agak sukar menentukan nama atau tarikh makam ini memandangkan tiada apa apa yang tertulis pada nisan yang ditemui, namun kewujudan Keramat Tok Wahid di kawasan perkuburan asal boleh dijadikan penanda aras kepada penyelidikan yang lebih mendalam.

“Dalam bahasa Arab, perkataan wahid itu bererti pertama dan ini boleh dikaitkan kepada Sultan Mudzafar Shah I sebagai Sultan Kedah yang pertama.

Ini juga, menurut Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusuf, penasihat projek dan juga Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), boleh menolak penemuan makam di Kampung Pengkalan Bujang sebagai makam Sultan Mudzafar Shah I kerana faktor masa dan lokasi pusat pemerintahan baginda.

“Kajian menunjukkan bahawa tamadun masyarakat Melayu di kawasan Merbuk dan Sungai Batu itu jauh lebih awal iaitu seawal abad ke-5 Sebelum Masihi berbanding dengan masyarakat Bukit Meriam dan Sungai Emas.

“Bagaimanapun, perubahan geografi termasuk munculnya tanah baru selepas surut paras air laut antara abad ke-4 hingga ke-14 menyatukan kawasan di sekitar Bukit Meriam termasuk Bukit Penjara dan Bukit Puteri sehingga mewujudkan Mukim Bukit Meriam dan Sungai Mas,”katanya.

Pelbagai teori

Beliau menambah, pertembungan masa atau terdapat 2 waktu berbeza pemerintahan sultan terawal Kedah di mana terdapatnya pengaruh Hindu pada ukiran nisan memungkinkan pelbagai teori lain wujud seiring penemuan artifak purba dari masa ke semasa.

“Kajian awal menunjukkan batu nisan ini berumur lebih ‘tua’ dari apa yang ditemui sebelum ini dan perlu rasanya penemuan dan bukti di Kampung Pangkalan Bujang dikaji semula.

“Saya percaya, mungkin bukti terbaharu ini boleh dirujuk kepada penemuan makam Phra Ong Mahawangsa atau lebih dikenali sebagai Seri Paduka Maharaja Derbar Raja dan jika ia keterlaluan, sekurang-kurangnya di sini adalah kawasan sebenar Langgar (makam) Diraja Kota Bukit Meriam

“Malahan, saya sendiri lebih suka merujuk kepada At-Tarikh Salasilah berbanding catatan Hikayat Merong Mahawangsa yang lebih condong kepada mitos,” katanya.

Perlu dilindungi

Dalam pada itu, Syamsyul Anuar berharap agar kawasan bersejarah tersebut dapat dilindungi daripada penjarah artifak.
Beliau turut percaya masih banyak artifak termasuk makam purba di kawasan Kota Bukit Meriam dan setiap cebisan penemuan tersebut mampu menjadi jawapan terhadap sejarah negeri Kedah.

“Macam nisan daripada batu kawi ini, ia sangat lembut. Jadi kita bimbang jika ia terhakis akibat cuaca dan dalam masa yang sama, dicuri.

“Kita berharap Jabatan Warisan dapat melindungi kawasan ini dengan sebarang kaedah terbaik untuk memastikan artifak yang belum ditemui, terpelihara
“Kita juga perlu kajian lebih mendalam untuk membuktikan batu nisan tersebut adalah makam Sultan Mudzafar Shah I, ” katanya. #sumber
Share:

Muhammed Abdul Khalid Di Lantik Penasihat Ekonomi Dr M


PETALING JAYA: Bekas pengarah penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah, Muhammed Abdul Khalid dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, Muhammed yang mengetuai sekretariat Majlis Penasihat Kerajaan, mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam sektor ekonomi dan kewangan.

Beliau ialah bekas ketua ekonomi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan penganalisa kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS).

Beliau pernah menjadi perunding Bank Dunia dan beberapa badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Beliau mempunyai Ijazah Sarjana dalam bidang ekonomi Universiti Malaya, Ijazah Sarjana Muda Sains Universiti Southern California, Los Angeles serta Ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD) daripada Institut d’études Politiques de Paris, di Perancis.

Pelantikannya berkuat kuasa 27 Ogos ini. #sumber
Share:

Inkuiri Parlimen Ke Atas Operasi Lynas ‘Dalam Masa Terdekat’ !


KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan dua inkuiri berhubung kebimbangan alam sekitar ke atas pemprosesan nadir bumi oleh Lynas Corporation menurut Special Broadcasting Service Australia (SBS).


Ia memetik Ahli Parlimen Bentong dan aktivis alam sekitar Wong Tack sebagai berkata bahawa satu daripadanya merupakan inkuiri Parlimen, sementara yang satu lagi akan dilakukan oleh “pihak eksekutif” dan kedua-duanya akan diadakan “dalam masa terdekat”.

Kerajaan PH memenangi pilihan raya lepas atas mandat pembaharuan dan salah satu janji manifestonya ialah menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan kesejahteraan alam sekitar,” katanya kepada SBS News.

Wong Tak menolak kebimbangan bahawa peraturan atau tindakan lebih keras ke atas Lynas akan menggugat pelaburan asing, dan berkata semua tindakan akan mematuhi tuntutan undang-undang dan menghormati norma antarabangsa. #sumber
Share:

Kemalangan Di Lebuh Raya KL-Karak, Seorang Maut 5 Cedera !


KUANTAN: Seorang maut manakala 5 lagi cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas di kilometer 39.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Yusuf Unis berkata kejadian pukul 4.30 petang itu menyebabkan Ong Boon Seng, 54, yang memandu kenderaan jenis Toyota Vellfire itu maut di tempat kejadian.

Mereka yang cedera ialah anggota keluarganya Ng Chon Keow, 56, Tan Yoke Hwa, 65, Wong Eason, 15, dan Wong Pei Row, 41, yang semuanya dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan.

Seorang lagi mangsa Wong Siew Wah, 67, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana parah di kepala dan patah kaki kiri.


“Kenderaan itu difahamkan dalam perjalanan dari arah Genting Highlands ke Raub dan pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan semasa melalui lokasi kejadian.

“Ia menyebabkan kenderaan itu berpusing dan melanggar tembok batu di sebelah kanan jalan,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. #sumber
Share:

Batal ECRL: Kerajaan Pahang Rayu Putrajaya Timbang Semula !


KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang merayu kepada kerajaan pusat agar mempertimbangkan semula keputusan membatalkan projek pembinaan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) kerana ia akan menyebabkan ramai anak tempatan kehilangan peluang pekerjaan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembatalan itu juga akan merugikan ketiga-tiga negeri – Pahang, Terengganu dan Kelantan, yang mana kerja-kerja awal pelaksanaannya telah pun bermula.

“Di Pahang sahaja, kemajuan yang dicapai ialah antara 13 dan 14% setakat ini. Malah, di tapak seperti Genting dan Bentong, kerja mengorek terowong bagi laluan bawah tanah ECRL telah bermula.

“Selain itu, kerja pengambilalihan tanah sudah berada di peringkat Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri dan ini termasuk bagi tanah milik persendirian yang perlu diwartakan untuk ditetapkan jumlah pampasan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengikut rekod, seluas 1,394.4 hektar tanah melibatkan 1,545 lot tanah menerusi jajaran sepanjang 232.5 kilometer merentasi daerah Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan akan terlibat dengan projek ECRL.

Menurut Wan Rosdy daripada jumlah keluasan itu, kira-kira 385 hektar atau 27.6% ialah tanah kerajaan manakala yang lain ialah tanah milik persendirian, tanah rizab Melayu dan hutan simpan kekal.

“Sehubungan itu, saya merayu bagi pihak kerajaan negeri serta mereka yang terkesan teruk dengan pembatalan ini khususnya pekerja yang bakal diberhentikan, agar kerajaan persekutuan dapat mempertimbang semula keputusan itu,” katanya. #sumber
Share:

Semua Pihak Di Gesa Ambil Iktibar Penderitaan Etnik Rohingya


KUANTAN - Penderitaan etnik minoriti Rohingya yang menjadi mangsa kekejaman junta tentera dan ektrimis buddha di negara sendiri selepas hak mereka sebagai warganegara dinafikan menjadi iktibar kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelabuhan di sini dalam menghayati erti sebenar nikmat kemerdekaan.

Justeru, sempena majlis pelancaran bulan Kemerdekaan dan Cintailah Negara peringkat sekolah itu, satu sesi  khas ceramah dan tayangan khas penderitaan Rohingya diadakan bertemakan `Rohingya Ikhtibar buat kita`.

Pengertua SMK Pelabuhan, Asruddin Abas berkata, program khas itu dilihat amat bertepatan dalam usaha membangkitkan semangat pelajar untuk menghayati dan bersyukur atas nikmat kemerdekaan Negara yang dikecapi rakyat di Negara ini.

Menurutnya, melalui sesi ceramah dikendalikan Ketua Unit Rohingya , Biro Misi Kemanusiaan Haluan Malaysia, Abd Bashir Abd Ghani  dan tayangan video yang diadakan berjaya  membangkitkan kesedaran kepada pelajar terhadap  pentingnya kekuatan jati diri , perpaduan dan ilmu dalam berdepan cabaran hidup di negara yang berbilang kaum.


Sumbangan Ikhlas- Pelajar SMK Pelabuhan menghulurkan sumbangan derma untuk membantu etnik Rohingya yang dihimpit penderitaan berterusan.
“Justeru penderitaan etnik Rohingya  yang ditindas dan dizalimi sejak sekian lama perlu dijadikan iktibar dalam kita meraikan sambutan hari kemerdeoaan kali ini.

“Biarpun  Myanmar merdeka sejak  tahun 1960 namun  tidak membawa erti kepada etnik golongan minoriti ini apabila hak  mereka  sebagai rakyat  dinafikan sehingga terpaksa bergelar pelarian dan ada yang dibunuh kejam,” katanya.

Beliau berkata, ceramah dan tayangan video memaparkan kezaliman diluar batasan kemanusiaan dan penderitaan bangsa Rohingya sebagai pelarian menjentik hati pelajar dan guru terhadap betapa pentingnya mereka mengambil ikhtibar atas peristiwa yang berlaku.

“Mereka tidak boleh leka dan hanyut dengan cabaran dunia tanpa sempadan dan pengaruh  media sosial yang kuat pengaruh negatifnya.

“Melalui perkongsian pengalaman ini dapat mendidik pelajar betapa bertuah dan beruntungnya mereka menjadi warganegara Malaysia yang hidup dengan aman dan sejahtera,”katanya.

Menurutnya, majlis itu sangat bermanfaat dan sewajarnya diketengahkan kepada pelajar sekolah agar mereka membuka mata dan minda, merasai betapa syukurnya berada dan belajar dalam negara yang aman.

Pada majlis itu, turut diadakan kutipan tabung bantuan Rohingya dan berjaya mengumpulkan RM800 hasil sumbangan murid dan guru sebelum diserahkan kepada Abd Bashir. #sumber

Share:

Najib Harap Kerajaan PH Lebih Baik Daripada Pasukan Beliau !


KUALA LUMPUR: Tiga bulan selepas kehilangan kuasa, Datuk Seri Najib Razak kelihatan mengambil pendekatan lebih lembut dan pragmatik apabila bercakap mengenai kerajaan Pakatan Harapan (PH), dengan harapan pakatan itu lebih baik berbanding pentadbirannya sebelum ini.

Dalam wawancara di kediamannya di Taman Duta, bekas Perdana Menteri itu kekal dalam mood persaingan, tetapi kelihatan bimbang untuk mengimbanginya dengan sikap rakyat yang bersekutu dengan negarawan tulen. “Saya harap saya salah” adalah ungkapan yang sering digunakan dalam ucapannya mengkritik PH.

“Saya mengambil berat terhadap negara ini,” katanya, ketika ditanya mengapa beliau berharap dibuktikan salah apabila ia adalah sifat semula jadi ahli politik yang berharap mereka tidak bersalah.

Kehidupan Najib kini berubah. Beliau menjadi ahli UMNO biasa selepas memimpin parti dan kerajaan selama 9 tahun.

Kini lebih 100 hari sejak beliau dan pasukannya di Putrajaya menyaksikan pertahanan Barisan Nasional (BN) runtuh satu demi satu dalam menghadapi serangan PH.

Tetapi Najib kini dilihat seolah-olah mendapat rahmat di sebalik kekalahan itu. Beliau berkata beliau dapat bertemu lebih ramai rakyat Malaysia biasa, selain pengundinya di Pekan dan beliau menambah, rakyat mengukuhkan pandangannya dengan cara yang tidak pernah terlintas di fikirannya ketika beliau bergelar Perdana Menteri.

“Saya membuat penyesuaian terhadap hidup saya,” katanya, sambil duduk di bangku melengkung di salah satu sudut lapang, di mana potret besar beliau dan isterinya ketika muda kelihatan tersusun dengan barangan kristal dan lantai yang dipenuhi karpet.

“Ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya sangat sibuk mentadbir. Setiap hari terdapat ramai orang yang perlu saya jumpa, mempengerusikan mesyuarat, menyemak fail. Saya tidak mempunyai cukup masa untuk bercakap dengan rakyat biasa.”

Walaupun ramai rakyat Malaysia masih tidak berpeluang melihat Najib sebagai warganegara biasa, individu yang pernah berkuasa di negara ini berkata beliau menghargai setiap saat hidupnya selepas tidak lagi berkuasa.

“Jika ada satu perkara yang boleh saya hargai sekarang, ia adalah sesuatu yang saya boleh habiskan masa bercakap dengan rakyat Malaysia, untuk mendapatkan maklum balas, pandangan, perspektif, malah kritikan mereka,” katanya.

Hari-harinya kini sebagai ahli politik biasa bukanlah idea yang mungkin diingininya selama 9 tahun sibuk dalam kekuasaan, ketika beliau ingin menubuhkan legasinya sendiri dengan memusing akronim dan singkatan yang sukar diingati. #sumber
Share:

Fadillah: "Hapuskan Tol", Pendirian CEP Sama Pendirian BN !


PETALING JAYA: Pendirian Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) meminta kerajaan menangguhkan pemansuhan tol sama dengan pendirian kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Dari dulu saya ketika menjadi Menteri Kerja Raya berulang kali menegaskan bahawa sukar untuk menghapuskan tol,” katanya.

Fadillah berkata mengambil alih semua lebuh raya pasti melibatkan pembiayaan beratus bilion ringgit. Beliau menganggarkan kos ketika itu “tidak kurang daripada RM200 bilion tetapi tidak adalah sampai RM400 bilion”.

Semalam Pengerusi CEP Tun Daim Zainuddin  berkata sebarang langkah untuk menghapuskan tol tidak sesuai dilaksanakan dalam keadaan kewangan sekarang.

Pada 13 Ogos lalu, Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata berkata langkah memansuhkan tol akan melibatkan kos lebih RM400 bilion untuk dilaksanakan.

Fadillah berkata pentadbiran lepas melihat beberapa perkara sebelum membuat keputusan seperti kemampuan kerajaan dan kepentingan pengguna serta syarikat-syarikat konsesi.

“Pemegang saham perlukan pampasan untuk bayar pinjaman dan juga ‘return of investment’,” katanya.

Dalam lebuh raya PLUS Malaysia Bhd sahaja, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memiliki 49% pegangan, manakala UEM Group Bhd, iaitu unit Khazanah Nasional Bhd, memiliki ekuiti selebihnya, menurut laporan media sebelum ini.

Fadillah berkata kerajaan Selangor juga ada saham dalam syarikat konsesi.

Media melaporkan Selangor mempunyai 30% saham dalam Konsortium Expressway Shah Alam Selangor Sdn Bhd (Kesas) melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, dan 20% saham dalam Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint) dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak) melalui Kumpulan Perangsang.

Fadillah berkata selepas mengambil kira kesukaran-kesukaran terlibat, pentadbiran lepas mengambil keputusan untuk menamatkan beberapa tol lebih awal, selain mengumumkan tiada kenaikan tol untuk 2 tahun sehingga 2018.

“Kerajaan sebelum ini dari semasa ke semasa mengadakan perbincangan dengan syarikat konsesi, pemegang bon dan pembiaya projek lebuh raya,” katanya. #sumber
Share:

Wan Azizah Dakwa Tiada Komplot Untuk Halang Anwar Jadi PM


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekali lagi menegaskan tiada komplot dalam PKR untuk menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri ke-8.

Beliau turut menolak sebarang kemungkinan wujud perbalahan dalam parti itu.

“Wujud komplot? Tiada…itu semua karut,” katanya selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Surau Al-Falah, Taman Cempaka, Pandan, hari ini.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan mempersoalkan kesetiaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali terhadap Anwar.

Kesavan tidak yakin jika Azmin benar-benar mahu Anwar dilantik sebagai perdana menteri kerana Azmin didakwa tidak menyuarakan sokongan terhadap Anwar, yang diumumkan menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR dalam pemilihan parti itu, untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Peraturan baru untuk semua calon pemilihan

Sementara itu, Wan Azizah turut menafikan peraturan baru PKR menghalang calon pemilihan parti itu daripada mengadakan ceramah dan menganjurkan jamuan makan dengan kehadiran lebih 100 orang, hanya ditujukan kepada individu tertentu.

Beliau menegaskan peraturan itu terpakai untuk semua calon demi keadilan.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan PKR memperkenalkan beberapa peraturan ketat baru untuk calon pemilihan parti itu.

Pemilihan PKR 2018 akan bermula 14 September sehingga 13 Oktober ini.

Dalam pada itu, Wan Azizah yang juga ahli Parlimen Pandan meminta rakyat Malaysia bersatu membantu kerajaan terus membangunkan negara.

“Kita (Pakatan Harapan) dah menang. Kita nak mengisi kemenangan dengan kemerdekaan. Kita perlu menjadikan ia kerajaan yang berjaya selepas 61 tahun.

“Saya meminta semua rakyat Malaysia untuk bersatu dalam memastikan negara bergerak menuju hala yang betul,” katanya. #sumber
Share:

Abdullah Sani Mohon Maaf Kepada Dr M Dakwa Halang Anwar !


KLANG: Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas dakwaan wujud konspirasi menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-8.

Katanya, beliau menghantar surat permohonan maaf ke Jabatan Perdana Menteri untuk menjelaskan situasi itu, pagi tadi.

“Saya bangkit (isu itu) sehingga ia menjatuhkan nama baik Dr Mahathir.

“Kenyataan itu tidak benar,” katanya dalam sidang media di pusat khidmatnya di Kapar, hari ini.

Semalam, Anwar mengarahkan Sani memperbetulkan dakwaan mengaitkan Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin yang mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan, di belakang kempen menghalangnya menjadi Perdana Menteri.

“Saya beritahu beliau yang dakwaan itu tidak berasas dan menasihatkan beliau membuat pembetulan terhadap kenyataannya.”

Sani menerusi ucapannya dalam siri ceramah di Seremban pada 11 Ogos lalu mendakwa Daim dan Dr Mahathir bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali cuba menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri seperti dipersetujui pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum ke-14.

Adun Ijok, Dr Idris Ahmad pula mendakwa Dr Mahathir dan Daim “menaja” beberapa pemimpin PKR untuk memusnahkan parti itu dari dalam. Perdana menteri menyangkal semua dakwaan itu dengan meminta pihak terbabit menunjukkan bukti.

Sani berkata, Anwar menghubunginya sendiri untuk menjelaskan situasi sebenar dan beliau kini memahami peralihan kuasa antara dua pemimpin itu.

“Saya ingin memohon maaf atas keterlanjuran bicara, semoga kebimbangan saya dan cubaan menggagalkan usaha peralihan kuasa tersebut tidak benar.

“Setelah saya diberikan nasihat dan penjelasan…saya memahaminya. Saya yakin Dr Mahathir mampu laksanakan konsensus itu.”

Beliau berharap tiada konspirasi terhadap persetujuan antara pimpinan PH untuk melantik presiden PKR itu sebagai pengganti Dr Mahathir.

Beliau memberi amaran kepada pihak luar supaya tidak mengganggu atau campur tangan dalam peralihan kuasa itu.

“Jangan ada pihak yang tidak mempunyai locus standi menyekat atau konspirasi menidakkan konsensus dalam kapal PH. Saya ingin tegaskan mereka yang di luar sana yang tidak ada kaitan jangan campur tangan.”

Sani turut menawarkan kerusi Kapar kepada Anwar untuk memberi laluan kepadanya ke Parlimen.

“Bukan sahaja tapak tangan saya tadahkan, tetapi periuk kuali saya tadahkan. Anwar ini bukan ahli Parlimen biasa nanti, beliau adalah Perdana Menteri, maka saya yakin rakyat Kapar akan berbesar hati.” #sumber
Share:

Khaled Nordin Gesa Najib Kongsi Maklumat Tentang Jho Low !


KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO Datuk Mohamed Khaled Nordin menggesa Datuk seri Najib Razak berkongsi maklumat tentang ahli perniagaan Low Taek Jho yang melarikan diri daripada pihak berkuasa Malaysia.

Khaled berkata sebarang perkongsian maklumat akan membantu pihak berkuasa menyelesaikan kes berkaitan 1MDB serta membersihkan nama Najib dan keluarga.

“Sekiranya mereka mengetahui dan mempunyai maklumat tentang Jho Low, sudah pastilah menjadi tanggungjawab mereka untuk berkongsi dengan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Khaled berkata, isu berkaitan 1MDB harus ditamatkan segera supaya kerajaan boleh tumpu kepada isu lain yang lebih penting, bukan kepada isu skandal yang tidak berkesudahan.

“Kita mahukan Jho Low, dan semua yang terlibat dalam skandal ini, dibawa ke muka pengadilan dan melalui proses yang sewajarnya secara telus dan teratur.

“Hanya inilah cara terbaik berhadapan dengan semua yang terlibat,” katanya.

Low dikehendaki pihak berkuasa Malaysia dan beberapa negara lain atas peranannya dalam skandal 1MDB. Ahli perniagaan itu berikrar tidak akan menyerah diri kepada mana-mana kuasa di mana kesalahan “telah ditentukan lebih awal”.

Najib pada Julai didakwa di mahkamah atas pertuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd. #sumber
Share:

Zuraida Tegur Fuziah, 'Buat Kerja' Jangan Sibuk Nak Berdebat !


KUALA LUMPUR: Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menepis cabaran debat daripada Fuziah Salleh, memintanya supaya tumpu kepada tugas kerajaan daripada membuang masa berdebat.

Beliau berkata sekarang ini ada banyak isu yang perlu diselesaikan oleh pencabarnya selaku seorang Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri.

“Jangan buang masa dengan perkara macam ini. Ini mentaliti pembangkang yang masih tidak berubah,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pelancaran kempen Girl2Leader hari ini.

Semalam, Fuziah mencabar Haniza Talha untuk berdebat tentang dakwaan Wanita PKR bawah kepimpinan Zuraida tidak membawa banyak perubahan dan berdepan banyak kepincangan.

Fuziah membuat cabaran itu selepas Haniza mempertahankan pencapaian sayap itu bawah Zuraida, seperti menjadi ejen pembuat keputusan.

Cabaran itu timbul ketika Fuziah sedang berkempen untuk jawatan Ketua Wanita menentang Haniza pada pemilihan PKR 2018 yang akan berlangsung pada 14 September.

Zuraida akan melepaskan jawatan itu untuk bertanding jawatan Naib Presiden.
Fuziah termasuk dalam senarai 8 pemimpin dalam pasukan Rafizi Ramli, yang akan mencabar Datuk Seri Mohamad Azmin Ali untuk jawatan Timbalan Presiden. #sumber

Share:

Isu Tertunggak Berkaitan Warga Felda Perlu Di Tangani Segera


JERANTUT - Pihak pengurusan Felda dan kerajaan perlu mengambil tindakan  proaktif bagi menyelesaikan pelbagai isu tertunggak warga peneroka di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, beliau percaya Kerajaan Pusat akan terus memberi perhatian khusus kepada peneroka di Pahang berikutan negeri ini banyak tanah rancangan.

Menurutnya, perkara itu bukan lagi membabitkan perbezaan ideologi (politik) antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, tetapi lebih kepada usaha membela nasib peneroka.

"Saya percaya Kerajaan Pusat tidak akan mengabaikan kira-kira 300,000 warga peneroka yang mengusahakan 115 tanah rancangan Felda di negeri ini. Kita harap mereka akan meneruskan pelbagai usaha yang dirancang sebelum ini," katanya.

Beliau yang juga Adun Pulau Tawar berkata, antara perkara yang wajar diteruskan Kerajaan Pusat ialah inisiatif Felda 2.0 dilancarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari lalu.

Ujarnya, melalui inisiatif itu, kerajaan dengan kerjasama Felda akan menaiktaraf dan meningkatkan infrastruktur bagi merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan tanah rancangan.

"Kita mahu cipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada peneroka, terutama generasi kedua dan ketiga bagi mengelakkan mereka berhijrah ke bandar besar.

"Inisiatif ini sudah dilaksanakan di Felda Lurah Bilut dan diharapkan ia diteruskan atau diperluaskan ke kawasan lain secara berperingkat," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai masalah projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai, beliau berkata, penstrukturan semula sedang dilakukan pihak pengurusan terbabit.

Katanya, kebanyakan projek itu berdepan masalah apabila kontraktor dilantik gagal memenuhi kriteria ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) hingga menyukarkan pembiayaan projek yang dilaksanakan.

"Kita ada tiga wilayah Felda di Pahang mewakili Wilayah Kuantan, Wilayah Jengka dan Wilayah Mempaga. Boleh dikatakan semua wilayah ini ada projek PGBF dan ada antaranya sudah siap diduduki peneroka.

"Buat masa ini, masih terdapat 1,184 unit terbengkalai dan 800 projek PGBF disenaraikan sebagai projek 'sakit'... perkara ini sedang dalam pertimbangan pihak pengurusan Felda dan proses lantikan kontraktor baharu akan dibuat apabila keadaan (kewangan) mengizinkan.

"Saya harap pihak pengurusan Felda dapat mempercepatkan lantikan dan mesyuarat Jawatankuasa Ketua Pengarah Felda bagi meluluskan proses mencairkan aset untuk tujuan pembiayaan projek yang sudah dan sedang dirancang oleh Felda," katanya. #sumber
Share:

Kaki Pancing Parah Di Sambar Buaya Di Sungai Belat Kuantan !


KUANTAN - Keseronokan seorang lelaki memancing bertukar tragedi apabila  cedera parah diserang seekor buaya di Sungai Belat, Kampung Kurnia, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Hamid Bin Mohd Ismail, 42, yang berasal dari Pulau Pinang dipercayai bergelut hampir setengah jam untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, Hamid mengalami cedera parah di kepala dan badan
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Ahmad Azhar Mohammed berkata, mangsa yang tinggal di Rumah Kedai,  Kuala Pahang, Pekan itu dipercayai diserang hendap oleh buaya itu sebelum ditarik ke dalam sungai.

"Mangsa yang berlumuran darah akibat digigit di kepala dan badan terus bertarung dengan haiwan itu sebelum berjaya melepaskan diri.

"Mangsa kemudian meminta bantuan orang awam untuk dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. #sumber
Share:

Najib Jawab Tuduhan Tun M, BN Minta 'Rasuah' Pelabur China !


SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun  Razak menafikan tuduhan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad berhubung dakwaan BN memaksa syarikat China untuk memberi 30 peratus saham syarikat mereka kepada orang tertentu.

Menjawab tuduhan itu, Najib menjelaskan bahawa dua projek infrastruktur yang dilaksanakan di bawah kerajaan BN lalu ialah projeck kereta api Pantai Timur ECRL yang  dianugerahkan kepada syarikat CCCC Ltd dan projek saluran paip petroleum kepada syarikat kepada syarikat China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB).
Katanya, syarikat CCCC Ltd ialah sebuah syarikat disenarai awam yang dikuasai oleh kerajaan China dan adalah syarikat yang amat besar di peringkat global dengan nilai penjualan AS$70 billion (RM280 bilion) setahun di seluruh dunia.

"Syarikat CPPB adalah sebuah syarikat pembina saluran paip petroleum terbesar di dunia dan dimiliki sepenuhnya oleh syarikat gergasi China National Petroleum Corporation (CNPC) yang dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan negara China. CNPC ialah syarikat yang keempat terbesar di dunia dengan nilai penjualan setahun di sekitar AS$300 bilion (RM1.2 trilion).

"Adakah masuk akal kononnya kerajaan BN meminta 30 peratus saham syarikat-syarikat kerajaan China sebagai sogokan? Adakah Tun Mahathir menuduh bahawa syarikat-syarikat gergasi milik kerajaan China bersubahat dengan kerajaan BN untuk melakukan jenayah rasuah?," katanya menjawab kenyataan Dr Mahathir hari ini dalam satu forum.

Terdahulu, hari ini di China, nada Dr Mahathir bagai berucap di ceramah politik di hadapan ahli perniagaan China dengan menuduh bahawa BN memaksa syarikat China untuk memberi 30 peratus saham syarikat mereka kepada orang tertentu.

Justeru kata, Najib Dr  Mahathir perlu berhenti bercereka dan tunjukkan bukti bahawa tuduhannya adalah benar dan sebagai seorang Perdana Menteri, seharusnya beliau berhenti bermain politik di hadapan pelabur-pelabur luar negara. #sumber
Share:

Najib: Nilai RM1 Trilion Bukanlah Takrif Hutang Antarabangsa !


PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mempertikaikan dakwaan hutang negara mencecah RM1 trilion, mengatakan angka itu rekaan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Takrif hutang RM1 trillion tak ikut piawaian antarabangsa. Cuma PH sahaja satu-satu kerajaan di dunia yang membuat takrif tersebut.

“Bukan sahaja itu satu penipuan tetapi kenyataan palsu yang tidak akan membantu ekonomi negara ini dan meraih keyakinan pelabur,” kata bekas Perdana Menteri, menjawab ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang menandakan 100 hari pemerintahan PH.

Perdana Menteri dalam ucapan yang disiarkan RTM semalam antara lain berkata, negara akan menuju kemuflisan hanya dengan membayar faedah bagi hutang negara berjumlah RM1 trilion.

Walaupun Najib berkata memang ada peningkatan hutang dalam 9 tahun pentadbirannya, dia berjaya menguruskan defisit negara.

“Hasilnya, pendapatan dan aset kerajaan, keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan aset dimiliki syarikat milik kerajaan telah meningkat lebih pantas berbanding hutang.”

Najib di Facebook berkongsi senarai negara dengan jumlah hutang terbitan Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat, yang meletakkan Malaysia di tempat ke-90 daripada 210 negara.

Beliau berkata jika pun seseorang itu menerima dakwaan bahawa hutang negara mencecah RM1 trilion atau 80.3% berbanding KDNK, Malaysia masih lagi berada di kedudukan yang berbanding negara lain.

“Sebab itu Malaysia menerima penarafan kredit A daripada agensi penarafan antarabangsa pada 2017,” katanya, merujuk kepada Fitch Ratings, yang memberikan taraf “A-” pada Malaysia dengan prospek stabil.

Beliau berkata hutang negara berbanding KDNK semasa penggal pertama Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada 1990-an antara 80% dan 103.4%.

“Namun kita tidak pula muflis biarpun pada 103.4%. Tetapi sebagaimana didakwa Tun Mahathir, Malaysia akan muflis kerana nisbah kita berada pada 50.8% atau 80.3%,” katanya.

Najib juga berkata Malaysia kini di belakang Thailand dan Indonesia dari segi pertumbuhan KDNK.

“Saya telah menganalisis angka-angka tersebut dan melihat beberapa kebimbangan,” katanya, dan menambah beliau akan kongsi analisis itu nanti.

“Sementara itu, kerajaan PH sepatutnya meletakkan perhatian yang lebih untuk memastikan ekonomi kita berada dalam keadaan baik, peluang pekerjaan terus diwujudkan.

“Berhenti menggunakan angka atau membuat kenyataan palsu hanya untuk memburukkan kerajaan BN lalu yang akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara ini,” kata Najib. #sumber
Share:

Peralihan Jawatan Perdana Menteri Muafakat Pakatan Harapan


TAWAU: Peralihan kuasa perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden Parti KeadIlan Rakyat (PKR) adalah soal muafakat yang akan diputuskan dalam Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata perkara itu akan dilaksanakan seperti mana sewaktu pemilihan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh.

“Perkara itu (soal peralihan kuasa) perlu dikembalikan kepada Majlis Permuafakatan Pakatan Harapan, dan cuma sebelum ini telah dipersetujui ramai dan rakyat iaitu perdana menteri ketujuh ialah Tun M, manakala Perdana Menteri kelapan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tempoh masa dan ketika sesuai peralihan itu akan dibincangkan pada majlis peringkat presiden,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai program Bicara Reformasi di sini, tengah malam tadi.

Menurut Rafizi, peralihan kuasa tersebut akan diselesaikan secara bijak dengan mengambil contoh kebijaksanaan majlis permuafakatan PH menggabungkan parti pimpinan Tun M (Bersatu), Anwar (PKR), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Parti Warisan Sabah) yang membawa kemenangan pada pilihan raya umum ke-14.

Bercakap tentang Sabah, Rafizi berkata negeri itu memerlukan tumpuan khusus soal hak dan pembangunan serta selaras dengan kedudukannya sebagai negeri nombor dua terbesar di Malaysia.

“Saya akan berkampung di Sabah dan membantu kerajaan Warisan-Pakatan Harapan untuk memperkukuhkan kemenangan pada PRU ke-15,” katanya yang tidak dapat berbuat demikian pada PRU-14 ekoran di ‘gam’ daripada menjejakkan kaki ke Sabah pada ketika itu.

Rafizi berkata perbincangan agenda pembangunan serta hak Sabah perlu dimulakan dari sekarang supaya penyelarasan bantuan kepada negeri itu dapat disalurkan sewajarnya.

“Saya lebih tahu selok belok politik serta ekonomi di Sabah berbanding negeri di Semenanjung Malaysia,” katanya yang pernah bertanggungjawab dalam beberapa projek Petronas antaranya di Kimanis dan Petronas Methanol Labuan.

Dalam pemilihan parti akhir bulan ini, Rafizi berdepan penyandang jawatan timbalan presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.