GEORGETOWN - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berhadapan beberapa lagi pertuduhan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung kes 1MDB dan banyak lagi siasatan kes itu belum lengkap ketika ini serta ia mengambil sedikit masa.
"Ya memang akan ada lagi pertuduhan (di mahkamah) ke atas Datuk Seri Najib kerana banyak lagi siasatan masih dijalankan terhadap beliau termasuk siasatan menurut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.
Cuma ia mungkin mengambil sedikit masa kerana seperti saya katakan sebelum ini, kes itu memerlukan siasatan yang teliti dan rapi kerana sebahagian bukti-bukti ada di luar negara dan kami perlu melalui pejabat Peguam Negara (AG) untuk mendapatkannya.
"Negara yang terlibat ialah Switzerland, Singapura, Amerika dan ada dua tiga negara lain, kami telah pun mengambil tindakan dengan negara terlibat dengan menghubungi AG mereka dan satu perbincangan telah di buat namun siasatan itu akan mengambil masa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi PDRM 2018 di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Baru-baru ini, Najib berdepan dengan 21 pertuduhan iaitu melibatkan diri dalam pengubahan wang haram membabitkan lebih RM4.3 bilion dan empat tuduhan rasuah berjumlah RM2.3 bilion melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.
Sementara itu, Noor Rashid berkata polis juga akan memanggil isteri bekas perdana menteri itu, Datin Seri Rosmah Mansor bagi membantu siastaan berhubung rampasan barang-barang kemas yang sebahagian miliknya, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes 1MDB.
"Sekarang ini tengah proses mengenal pasti identiti barang-barang kemas yang dirampas itu dan pakar serta syarikat yang berkaitan sedang menjalankannya...selepas selesai semua itu polis akan memanggil Datin Seri Rosmah untuk membantu siasatan terutama bagi membuat pengesahan adakah ia (barang kemas) miliknya," katanya.
Beliau berkata polis juga tidak menolak kemungkinan untuk memanggil Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mulai semalam bagi membantu siasatan kes 1MDB, kerana dipercayai beliau juga mempunyai kaitan dengan kes itu.
"Sehingga sekarang, polis telah rakam percakapan 64 orang dan mungkin ramai lagi yang akan dipanggil. Kes 1MDB ini adalah kes yang besar dan banyak aspek perlu diteliti serta pelbagai pecahan di dalam (kes) itu polis kena siasat. Banyak kami kena siasat...bagi ruang kepada polis," katanya. #sumber
PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyifatkan penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai harga perlu dibayar untuk sebuah perjuangan.
Menurut Abdul Azeez, beliau tidak akan meninggalkan perjuangan Umno walaupun diuji pelbagai dugaan.
“Jika saya telah keluar dari UMNO minggu lepas, anda tidak akan lihat saya begini (berbaju lokap SPRM dan bergari) hari ini. Namun, apa pun dugaan, rintangan atau ugutan yang datang, hatta ke penjara sekalipun saya tetap tidak akan meninggalkan perjuangan parti keramat Umno ini,” katanya dalam status yang dimuat naik pentadbir akaun Facebook miliknya, hari ini.
Abdul Azeez, abang serta sepupunya direman empat hari sejak semalam (Rabu) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan kontrak projek Tabung Haji.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan SPRM.
Bekas Pengerusi Tabung Haji itu dan abangnya yang merupakan pengurus besar sebuah syarikat dipercayai menerima rasuah daripada syarikat kontraktor. #sumber
KUANTAN - Kejadian limpahan air di Jalan Cameron Highlands ke Simpang Pulai petang tadi bukan kes tanah runtuh.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, kejadian jam 4 petang itu sebenarnya hanya melibatkan laluan air pecah.
“Keadaan itu menyebabkan tembok tebing pecah dan air melimpah ke atas jalan raya utama.
“Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands sudah ke lokasi dan mengesahkan kejadian namun tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya.
Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan laluan itu dilakukan sebelum lalu lintas dibuka semula kepada pengguna. #sumber
KUANTAN - Penstrukturan semula Industri semula air Pahang kini berada di peringkat akhir dan dijangka dimuktamadkan pada penghujung bulan depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, menerusi penstrukturan itu, semua aset bekalan air daripada pinjaman bekalan air dan hutang kerajaan negeri akan dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
“Apabila direalisasikan kelak, kerajaan negeri bakal menerima perolehan pendapatan menerusi bayaran royalti air mentah daripada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
"Malah penstrukturan semula itu akan membolehkan pelarasan semula tarif air dilaksanakan yang sekali gus membolehkan kedudukan kewangan PAIP dapat diperbaiki,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Menurutnya ia juga sebagai langkah kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah hutang pinjaman bekalan air kepada kerajaan persekutuan yang mencecah RM2.1 billion.
Katanya penghapusan hutang terhadap bekalan air ini hanya boleh dipakai sekiranya kerajaan negeri bersetuju untuk melakukan migrasi selewat-lewatnya pada 31 Dis kerana kerajaan persekutuan hanya memberi dana untuk sumber air kepada negeri yang telah migrasi sahaja.
Norol berkata sekiranya penstrukturan ini tidak dilakukan, kedudukan kewangan PAIP akan terganggu dan hal ini akan melumpuhkan operasi dan pembangunan infrastruktur syarikat.
Kali terakhir tarif air disemak adalah 35 tahun lalu dan ini menyebabkan hasil yang diperoleh oleh PAIP tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan operasi sedangkan kos operasi dilaporkan mencecah sehingga RM26 juta sebulan.
Malah PAIP mencatatkan kerugian terkumpul berjumlah RM547 juta sehingga 31 Mac yang lalu.
Selain itu, Norol berkata penstrukturan semula itu juga membolehkan pembiayaan projek-projek pembelanjaan modal dapat dilakukan oleh PAAB.
Pada masa yang sama, Norol berkata kerajaan negeri juga akan berusaha untuk mendapatkan subsidi daripada kerajaan persekutuan untuk projek-projek bekalan air bersih kepada penduduk luar bandar di negeri ini. #sumber
JERANTUT - UMNO perlu mencontohi kepimpinan Kerajaan PAS Kelantan yang kekal berjuang hingga berjaya kekal mentadbir negeri itu sehingga kini.
Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah berkata, kepimpinan parti tersebut juga turut berjaya menarik sokongan pelbagai kaum lain.
"Ini dapat dilihat ketika kita sama-sama berkempen pada tiga PRK sebelum ini sehingga mampu kurangkan majoriti pengundi biarpun kemenangan masih berpihak kepada PH," jelasnya.
Beliau berkata sedemikian selepas perasmian Cabaran Senaman Kecergasan Dua Jam Tanpa Henti, kelmarin.
Program anjuran Puteri UMNO Bahagian itu dan Aerostyle Fit Studio disertai 210 peserta dari seluruh Pahang.
Sementara itu mengulas tindakan beberapa pemimpin Umno meninggalkan parti tersebut, Nazri menyifatkan ahli-ahli di peringkat akar umbi lebih setia.
Ujarnya, tindakan keluar parti itu seolah-olah perjuangan mereka sebelum ini hanya untuk kepentingan peribadi sahaja.
"Semasa mereka dalam kerajaan BN, mereka bertungkus lumus buat kerja, tetapi mereka lari apabila kita tewas kepada PH," katanya.
Menurutnya lagi, beliau telah menasihati kepimpinan dan ahli Umno Bahagian agar terus setia bersama parti itu. #sumber
KUANTAN – Penjawat awam di negeri ini perlu mempermudahkan urusan orang ramai setiap kali mereka berurusan dengan jabatan kerajaan bagi mengelak berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail apabila perkara itu diamalkan, secara langsung peluang melakukan penyelewengan, salah guna kuasa akan berkurangan dan mampu meningkatkan tahap integritri
“Contohnya, Pihak Berkuasa Tempatan, apabila orang minta lesen nak buka kedai runcit, satu hari kelulusan sudah mencukupi. Tak payah nak tunggu lama dengan syarat yang macam-macam, itu boleh menimbulkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Seminar Pemerkasaan Integriti Negeri Pahang kepada penjawat awam negeri di sini.
Sementara itu, Ketua Penyelaras Program Kordinasi dan Pematuhan Institut Integriti Malaysia Hamily Sham Harun berkata, berdasarkan kajian perspektif Integriti nasional oleh Institut Integriti Malaysia menunjukkan penyediaan perkhidmatan awam di negara ini berada pada paras yang baik.
“Setiap tahun kita ada melakukan kajian dengan menemuramah orang ramai terhadap prestasi memerangi jenayah rasuah, melihat kualiti penyampaian perkhidmatan awam, menilai tadbir urus kepada sektor swasta, institusi keluarga dan komuniti dan kualiti hidup setiap masyarakat.
“Pada tahun 2017 berdasarkan indeks kajian ke atas 20,000 individu yang ditemuramah empat daripada lima persoalan yang diberikan itu telah memberi respon yang baik iaitu melebihi tahap minimum 100 peratus bagi setiap respon yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata indeks memerangi jenayah rasuah bagaimanapun masih belum mencapai tahap yang memuaskan iaitu mendapat respon di bawah paras minimum.
Bagi meningkatkan indeks berkenaan, pelbagai usaha dilakukan dengan memperkasakan integriti dalam kalangan penjawat awam antaranya seminar integriti, katanya. #sumber
KUALA TERENGGANU: Seorang janda yang juga dikenali sebagai ‘pelacur otai’ mengaku salah terhadap pertuduhan persediaan untuk melacurkan diri di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, di sini, hari ini.
Justeru, wanita berusia 45 tahun berasal dari Johor itu bukan saja berdepan hukuman penjara malah dia juga boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam kali jika disabit kesalahan.
Tertuduh sebelum itu didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang mempromosikan khidmat seks menerusi aplikasi WeChat sebelum ini, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau enam sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang kini menetap di Klang, Selangor, ditahan dalam serbuan di Duyong Marina & Resort, di sini, bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya, kira-kira jam 11 malam pada 19 September lalu.
Hasil siasatan, tertuduh mengaku menerima upah khidmat seks diberikan dengan mengenakan bayaran RM1,000 untuk satu malam daripada pelanggan terbabit sebelum lapan barangannya dirampas dan disita termasuk beberapa botol minyak, jel pelincir dan kondom yang masih tidak digunakan.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd Kahzmizan Abdullah dihadapan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail manakala tertuduh diwakili peguambela, Fazru Anuar Yusof.
Sejurus pengakuan salah tertuduh direkodkan, Kamalruazmi menetapkan 10 Oktober depan sebagai tarikh jatuh hukuman sementara itu membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan dua penjamin yang mana salah seorang penjamin perlu terdiri daripada ahli keluarga terdekat.
Sebelum ini, NSTP ada melaporkan seorang pelacur ‘otai’ akhirnya dicekup selepas kegiatannya yang memberikan khidmat seks kepada lelaki hidung belang berjaya dihidu pihak penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). #sumber
NEW YORK: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri Malaysia seterusnya.
“Itu adalah janji saya," kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjawab satu soalan pada Forum Tahunan Kedua Perniagaan Global Bloomerg yang dikendalikan wartawan, Fareed Zakaria.
Dr Mahathir berkata, beliau setuju menjadi Perdana Menteri kerana Anwar berada dalam penjara apabila kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran.
“Saya berjanji bahawa saya tidak akan kekal lama sebagai Perdana Menteri. Mungkin dua tahun, mungkin lebih, mungkin kurang.
“Apa yang penting ialah kita mempunyai kerja sama empat parti. Beberapa sejarah lalu kami tidak menyumbang kepada kerja sama itu.
“Justeru, kami perlu melupakan perkara lalu dan menumpukan kepada isu penting yang pada masa itu ialah untuk menumbangkan perdana menteri sebelum ini. Untuk itu kami sedia melupakan perbalahan lalu," katanya.
Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia mahu perdana menteri baharu tetapi Anwar masih dalam penjara ketika itu.
“Rakyat mahu Perdana Menteri baharu, bukan Perdana Menteri lama ini, tetapi pada masa itu mereka tiada pilihan kerana pemimpin lain berada dalam penjara dan beliau pun tak boleh menerajui parti.
“Justeru, saya bersetuju bahawa saya akan berada di sana mungkin untuk dua tahun dan pemimpin baru akan mengambil alih kepimpinan," katanya.
Mengenai usaha memerangi rasuah, Dr Mahathir berkata keutamaan adalah memastikan pemimpin adalah bersih.
"Jika pemimpin rasuah, tak mungkin kita dapat menghentikan rasuah daripada menular.
“Dalam setiap negara akan ada rasuah pada tahap tertentu tetapi matlamat kita ialah untuk mengekang rasuah pada tahap minimum dan ini dilakukan dengan apa yang kita panggil kepimpinan melalui teladan," kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir berkata, kerajaan serius dalam mengenakan sekatan terhadap anggota Kabinet, termasuk Perdana Menteri.
“Mereka semua dikehendaki mengisytiharkan harta dan pendapatan. Mereka akan diperhatikan bukan oleh ahli politik tetapi pegawai.
“Kami melakukan apa saja yang termampu untuk mengurangkan atau menghapuskan rasuah.
“Pada masa ini, rakyat berasa yakin bahawa kami menghentikan rasuah buruk yang menjadi amalan kerajaan terdahulu," kata Dr Mahathir. #sumber
KUALA LUMPUR: UMNO menuntut ganti rugi RM43.3 juta daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan dakwaan kehilangan wang parti itu ketika serbuan dan rampasan oleh pihak berkuasa berkenaan di sebuah apartmen di Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan, Jun lalu.
Tuntutan itu dibuat menerusi permohonan yang terkandung dalam writ saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat lalu.
UMNO mendakwa wang yang disimpan di apartmen milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu adalah sebanyak RM160 juta, bukan RM116.7 juta seperti diumumkan polis.
Dalam writ berkenaan menerusi perenggan ke-12, UMNO menerusi Tetuan Scivetti & Associates menuntut PDRM membayar ganti rugi wang yang hilang itu.
Parti itu mendakwa wang itu adalah baki dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), milik UMNO dan disimpan oleh Najib.
“Dana RM160 juta adalah milik UMNO dan dipegang oleh Najib selaku pemegang amanah.
“Bagi memastikan keselamatan dana itu, Najib menyimpannya di sebuah apartmen di Pavilion Residences dengan persetujuan pemilik premis iaitu OBYU Sdn Bhd dan hanya beliau (Najib) yang ada milikan eksklusif ke atas premis itu,” menurut writ itu.
Ganti rugi itu adalah antara tuntutan UMNO kepada PDRM yang turut menuntut pemulangan semula RM116.7 yang disita polis selain ganti rugi terhadap hak untuk menggunakan dana itu sejak 17 Mei lalu disamping ganti rugi am, teruk dan teladan.
Dalam writ saman itu, UMNO selaku plaintif mendakwa mereka adalah pemilik wang tunai RM160 juta berkenaan dan PDRM selaku defendan secara salah mengganggunya dengan menyita secara tidak sah dan merampas serta mengambil alih pemilikan dana terbabit.
Plaintif mendakwa sudah menuntut pengembalian dana itu bagaimanapun defendan gagal, cuai dan enggan berbuat demikian.
UMNO dalam saman itu menamakan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Sakri Arifin; Asisten Komisioner R Rajagopal daripada JSJK Bukit Aman; Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan kerajaan sebagai defendan.
Susulan penyerahan writ saman itu, semua defendan mempunyai tempoh 14 hari dari tarikh penyerahan terbabit untuk memasukkan kehadiran masing-masing.
Permohonan itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom, jam 9 pagi pada 15 Oktober ini.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, UMNO turut memohon deklarasi bahawa penggeledahan dan penyitaan yang dilakukan pada 17 Mei lalu di premis itu adalah salah di sisi undang-undang.
Sementara itu, usaha mendapatkan maklum balas daripada Mohamad Fuzi dan Amar Singh berhubung isu itu gagal berikutan kedua-duanya tidak membalas panggilan telefon. #sumber
IPOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan lokasi kejadian limpahan air dari tebing bukit di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands (FT185 Seksyen 42) semalam, selamat untuk dilalui semua kenderaan.
Kenyataan jabatan itu hari ini turut menafikan klip video kejadian limpahan air bukit itu yang dikaitkan sebagai kejadian tanah runtuh seperti ditular dalam media sosial semalam.
“JKR mengambil maklum berkenaan klip video yang tular mengenai kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands (FT185 Seksyen 42) yang dilaporkan berlaku pada 26 September 2018.
“JKR ingin memberi pencerahan bahawa kejadian berkenaan bukan membabitkan tanah runtuh tetapi disebabkan limpahan air (di atas jalan) dan jalan adalah selamat untuk dilalui.
“Untuk makluman, kejadian limpahan air berlaku adalah berpunca daripada limpahan air dari atas bukit yang menyebabkan tembok penahan mengalami kerosakan dan sebahagian dari struktur itu runtuh.
“Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 3 petang selepas hujan yang lebat sejak tengah hari (semalam) dan kerja-kerja awalan pembersihan jalan serta pemasangan peralatan kawalan trafik telah dilaksanakan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, satu laluan berkenaan dibuka semula kepada trafik pada jam 4.30 petang semalam sebelum ia dibuka sepenuhnya pada jam 7 malam tadi.
Katanya, JKR bersama syarikat konsesi penyenggaraan jalan sudah memasang papan tanda sementara di kawasan berkenaan dan pemantauan akan dibuat sehingga kerja-kerja pembersihan selesai dilaksanakan.
Dalam kejadian di Kilometer 42 laluan itu semalam, kuantiti air yang banyak dan deras seperti air terjun turun dari kawasan tebing bukit ke bahagian bawah hingga mengakibatkan laluan di situ terhalang dan berlakunya kesesakan di kedua-dua arah selama beberapa jam.
Kejadian itu dikatakan berpunca hujan lebat selama beberapa jam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan kerja pengalihan tembok batu penghadang air setinggi 10 meter yang pecah dan bertaburan di atas jalan bagi membolehkan kenderaan melalui semula laluan itu. #sumber
JERANTUT - Seorang pesara guru kerugian sebanyak RM10,550 selepas diperdaya supaya membayar wang prosesan untuk wang kemenangan tidak wujud semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.47 petang itu, mangsa seorang lelaki berumur 59 tahun dari Kampung Temin di sini telah menerima satu pesanan dari laman sosial Facebook dia menangi hadiah dari Syarikat Microsoft Award Compensation Cash Fund.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, teruja dengan kemenangan itu, mangsa telah menyemak pautan rangkaian yang diberikan yang menyambungkannya ke peti masuk mesej Facebook suspek.
Menurutnya mangsa dimaklumkan bahawa dia telah memenangi sejumlah wang tunai sebanyak AS$500,000 dari pihak Microsoft Award.
"Menerusi mesej berkenaan suspek telah meminta mangsa supaya membayar RM10,550 bagi wang proses untuk mendapatkan hadiah tersebut.
"Terpedaya dengan wang kemenangan itu, mangsa telah membuat pemindahan wang di Bank Islam di sini kira-kira pukul 6.13 petang kelamarin," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, selepas membuat pembayaran berkenaan mangsa dimaklumkan sekali lagi supaya membuat pembayaran tambahan sebanyak RM20,000.
Menurutnya lagi, mangsa tidak membuat pemindahan wang tersebut dan mengesyaki bahawa dia telah ditipu sebelum ke balai polis untuk membuat laporan. #sumber
KUALA LUMPUR: Pemimpin tertinggi PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu Menteri Kerja Raya Baru Bian esok mengenai dakwaan rasuah terhadap setiausaha politiknya.
Anwar berkata akan bermesyuarat dengan Baru bagi mendapat penjelasan mengenai hal itu yang disifatkannya sebagai cukup menganggu.
Pagi ini, Penyelaras AMK Ahmad Syukri Che Ab Razak memfailkan laporan ke SPRM terhadap setiausaha Baru Bian yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat PKR.
Individu berkenaan dikatakan telah menawarkan kontrak bernilai RM20,000 dan peruntukan tidak kurang RM300,000 ketika pertemuan bersama pemimpin tempatan pada 1 September lalu.
"Terserah SPRM untuk menyiasat... Saya secara peribadi membaca laporan dan menonton video (pertemuan yang dikatakan itu) dan sudah pasti ia cukup mengganggu.
"Saya akan bercakap dengan Baru Bian esok bagi mendapatkan penjelasan. Sudah tentu saya merasakan menteri patut ambil maklum mengenai dakwaan tersebut," kata Anwar pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pemilihan PKR di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.
Selepas membuat laporan ke SPRM hari ini, Syukri berkata beliau percaya kontrak dan dana yang ditawarkan oleh pembantu Baru itu sebagai pertukaran untuk undi dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.
Katanya, kontrak berkenaan bagi penyelenggaraan pembangunan dan infrastruktur.
Baru Bian kata tak tolak ansur rasuah
Syukri juga mendakwa, setiausaha politik itu juga memiliki hubungan dengan dua kementerian lain, yang membolehkannya mendapatkan peruntukan lebih lanjut.
Baru dalam kenyataannya kemudian berkata beliau mengalu-alukan sebarang siasatan pihak berkuasa terhadap kementeriannya.
"Buat saya, jika tindakan itu betul ia tak boleh tolak ansur sama sekali, khususnya selepas kami telah berjuang dengan kuat menentang amalan rasuah. Proses undang-undang patut berjalan," katanya.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama pembantu berkenaan sehingga mendapat ulasannya. #sumber
KUALA LUMPUR - Menteri Kerja Raya Baru Bian mahu siasatan rapi dilakukan segera sekiranya laporan terhadap setiausaha politiknya berhubung dakwaan salah guna kuasa, berasas.
Beliau berkata tindakan itu perlu kerana ia membabitkan nama baik kementerian berkenaan.
"Bagi saya kalau benar seperti yang dilaporkan, saya sama sekali tidak akan bertolak ansur. Tindakan undang-undang mesti diambil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan Ahmad Syukri Che Ab Razab hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa seorang setiausaha politik di sebuah kementerian.
Ahmad Syukri mendakwa individu terbabit menawarkan kontrak bernilai RM20,000 dan peruntukan RM300,000 dalam satu mesyuarat dengan pemimpin tempatan pada 1 Sept lalu di mana individu berkenaan bertanding untuk jawatan ketua cabang serta merebut jawatan dalam kepimpinan pusat. #sumber
PUTRAJAYA: Setiausaha Pengelola Pemuda PKR Ahmad Syukri Razab hari ini membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung seorang calon pemilihan yang didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai setiausaha politik sebuah kementerian.
Syukri mendakwa individu itu bertanding bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ketua cabang dan telah menawarkan kontrak kepada pimpinan tempatan di Pahang.
Beliau yang bertanding bagi jawatan naib ketua pemuda mendakwa, individu itu membuat tawaran itu dalam satu mesyuarat yang dipercayai berlangsung pada 1 September lalu di Pahang.
Antara tawaran yang dibuat kepada mereka yang hadir adalah kontrak pembangunan dan baik pulih infrastruktur bernilai RM20,000.
"Beliau juga memaklumkan bakal mendapat peruntukan RM300,000 daripada sebuah kementerian lain yang perlu dihabiskan hujung tahun ini dan meminta pemimpin yang hadir untuk membuat permohonan bagi mendapat kontrak itu.
"Selain itu, beliau berkata bakal mendapat peruntukan daripada satu lagi kementerian yang juga akan diagihkan kepada pemimpin setempat.
"Saya percaya individu ini telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai pegawai awam dalam menawarkan habuan berbentuk projek bagi meraih sokongan pemimpin setempat," katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.
Syukri bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu itu mahupun kementerian yang terbabit.
Beliau mendakwa diberitahu tentang perkara itu oleh seorang anggota parti melalui pendrive berisi gambar dan rakaman audio yang dikatakan daripada mesyuarat itu.
"Audio ini berdurasi 28 minit. Sepuluh minit pertama penting kerana ia mempunyai angka-angka yang disebut sebagai tawaran. Saya akan menyerahkan bukti ini kepada SPRM," katanya.
Beliau juga menyatakan kesediaannya untuk dipanggil SPRM bagi membantu siasatan. #sumber
KUANTAN: Pengetua Maahad Tahfiz Miftahul Qura, dekat sini bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali page dan portal popular Siakapkeli.my. Ia berikutan tindakan page itu memaparkan gambar beliau dan pelajarnya untuk laporan berita "Liwat Sembilan Pelar, Pengetua Sebuah Pusat Tahfiz Ditahan".
Pengetua tahfiz terbabit, Muhammad Abdul Salam Abdul Ghani, 38, berkata, tindakan undang-undang terpaksa diambil memandangkan pengguna gambar tersebut telah menjatuhkan maruah beliau dan tahfiznya.
Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan sekitar jam 6.00 petang tadi. Laporan polis terpaksa dibuat memandangkan ia mengelirukan ramai orang terutamanya pembaca Siakap Keli itu sendiri.
Tambahan pula gambar yang dipaparkan juga telah digunakan oleh akhbar Sinar Harian sebelum ini, atas tajuk "Maahad tahfiz tak akan tutup". Maka itulah beliau mengesyaki,
"Siakap Keli mahu memanaskan laporan artikel kes terbabit dengan mencedok gambar tahfiz lain. Ia tidak wajar dilakukan sekiranya mereka benar-benar profesional. Apa saja boleh berlaku di zaman ini sebenarnya", dakwa Muhammad Abdul Salam.
"Saya dan peguam akan mengadakan sidang media tentang kes ini nanti. Follower siakapkeli mencecah 5.5 juta. Makanya tindakan menyiarkan gambar tahfiz kami terhadap isu berkenaan ternyata boleh mencemarkan nama baik Maahad Tahfiz Miftahul Qura", katanya.
Menurut beliau lagi, beliau mengetahui gambar tahfiznya disiarkan oleh Siakap Keli sekitar jam 12.30 tengahari pada 23 September lalu, selepas menerima panggilan daripada seorang sahabatnya (Saiful Ashraf). Beliau telah mengarahkan admin Sikap Keli untuk memadamkan gambar berkenaan, namun sehingga laporan polis dibuat ia masih tiada apa-apa tindakan.
"Kes Pengetua liwat pelajat tahfiz itu berlaku di Kepong, Selangor. Gambar yang disiarkan ialah tahfiz kami (Maahad Tahfiz Miftahul Qura). Walau pun dikaburkan, tetapi ia jelas merujuk kepada pusat tahfiz saya. Ada dalam google memaparkan pusat tahfiz ini, maka itulah laporan polis dibuat untuk tuntutan sivil", kata kenyataannya lagi. #PDO
KOMPOSER dan penggubah muzik lagu-lagu berirama Malaysia, Pak Ngah atau nama Datuk Suhaimi Mohd. Zain, 60, dilaporkan meninggal dunia di Batam, Indonesia, sekitar pukul 3.02 petang tadi.
Menurut laporan sebuah akhbar, berita tersebut disahkan sendiri oleh penyanyi Noraniza Idris selepas dimaklumkan oleh anak Allahyarham, Megat.
Bagaimanapun, buat masa ini belum diketahui punca kematian dan maklumat terperinci berkenaan berita yang cukup mengejutkan ini.
Salam takziah dan Al-Fatihah buat keluarga Allahyarham. #sumber
KUANTAN - Pahang tidak bercadang untuk mengubah had umur perkahwinan sedia ada di negeri ini seperti yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata ini kerana kes perkahwinan bawah umur di Pahang terlalu kecil dan bukan isu.
“Buat masa kini, Pahang masih mengguna pakai had umur minimum perkahwinan di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2005 Negeri Pahang. Belum ada cadangan untuk mengubahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang Mohd Zafri Hamzah.
Shahaniza menyarankan kerajaan pusat supaya memperkemaskan kembali proses perkahwinan kanak-kanak di bawah umur seiring dengan cadangan untuk mengubah peraturan dan undang-undang berkenaan perkara itu.
“Kami bukan nak menggalakkan perkahwinan bawah umur tetapi proses ini perlu diperkemaskan sekiranya ada kes-kes tertentu yang membenarkan perkahwinan ini berlaku.
“Proses ini termasuklah melibatkan laporan terperinci pegawai kaunseling daripada pihak terlibat seperti JKM dan juga laporan perubatan sebelum perkahwinan dijalankan.
“Ini bagi memastikan anak-anak ini tidak dipergunakan oleh orang tertentu kerana dengan umur sedemikian mereka masih tidak boleh membuat keputusan sendiri,” katanya.
Selain itu, katanya satu kajian yang bersesuaian juga perlu dilakukan memandangkan perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak pada masa kini tidak lagi seperti dahulu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini mencadangkan agar had usia minimum perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun, bagi melindungi kesihatan, keselamatan dan hak kanak-kanak di negara ini.
Bagaimanapun Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berpendapat had umur minimum perkahwinan perlu diturunkan kepada 14 tahun bagi perempuan dan 16 tahun bagi lelaki dengan alasan anak-anak kini lebih matang dan terdedah dengan soal seks. #sumber
JAKARTA: Seorang remaja warga Indonesia berusia 18 tahun ditemui selamat selepas hanyut selama tujuh minggu, di kawasan perairan berhampiran pulau Guam di Lautan Pasifik.
Ia terletak kira-kira 2,500 kilometer dari lokasi beliau dipercayai hilang.
Menurut ahli keluarganya, Aldi Novel Adilang, dilaporkan hilang pada pertengahan Julai lalu, ketika berada di sebuah pondok menangkap ikan yang dibina kira-kira 125 kilometer di luar perairan pulau Sulawesi.
Beliau yang bekerja berseorangan bertanggungjawab memastikan lampu pada bot itu sentiasa menyala, bagi menarik perhatian ikan di kawasan itu.
Pemilik bot itu dikatakan melawatnya seminggu sekali bagi menghantar makanan, air bersih, minyak dan bekalan lain.
Media tempatan melaporkan, perangkap ikan terapung atau rompong itu, tidak dilengkapi atau dayung dan diikat menggunakan tali ke dasar laut.
Namun, angin kencang mengakibatkan menyebabkan tali itu putus, lalu menghanyutkan Adli.
Majikan Adli dipercayai mempunyai kira-kira 50 rompong di kawasan perairan berkenaan.
“Majikannya memaklumkan suami saya bahawa beliau (Adli ) hilang, tetapi kami berdoa supaya dia selamat,” kata ibu Adli, Net Kahiking kepada AFP ketika ditemui di rumahnya di Sulawesi.
Konsul Jeneral Indonesia di Osaka, Mirza Nurhidayat, berkata kepada Jakarta Post, selepas kehabisan makanan, Adli menangkap ikan bagi meneruskan hidup dan memasak menggunakan kayu dari rompong.
“Adli berkata beliau berasa sangat takut ketika hanyut dan sering menangis,” kata seorang diplomat di konsulat itu, Fajar Firdaus kepada Jakarta Post.
Fajar berkata, Adli cuba menarik perhatian 10 kapal yang berlayar berhampirannya, tetapi gagal.
Bagaimanapun, nasibnya berubah selepas Adli mengubah frekuensi radio mudah alihnya dan panggilan kecemasannya berjaya dikesan berhampiran Guam oleh kapal dari Panama yang dalam perjalanan ke Jepun.
Adli yang juga anak bongsu daripada empat beradik tiba di rumahnya pada 8 September lalu dan beliau dilaporkan sihat walaupun selepas menempuh peristiwa itu.
“Saya sangat gembira apabila dimaklumkan majikannya bahawa Adli masih hidup.
“Beliau kini sudah selamat tiba di rumah dan kami menyambut hari jadi ke-19 Adli pada 30 September ini,” kata Net Kahiking. #sumber
KUANTAN: Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang menyokong penuh keputusan kepemimpinan Barisan Nasional (BN) untuk memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pilihan raya kecil yang juga dikenali sebagai ‘Langkah PD’ itu sebenarnya tidak diperlukan kerana ia akan membazirkan wang rakyat.
“BN dan UMNO sedang mengambil langkah-langkah pemulihan yang perlu diberi perhatian serius terhadapnya.
“Kita menyambut baik keputusan ini seperti mana diumumkan oleh Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kebetulan pula, hari penamaan calon PRK ini ialah pada Sabtu ini (29 September), bertembung dengan Perhimpunan Agung UMNO hujung minggu ini (29 dan 30 September),” katanya menerusi mesej WhatsApp di sini, hari ini.
Wan Rosdy mengulas pengumuman Ahmad Zahid semalam, bahawa BN bukan saja tidak meletak calon, malah tidak akan mengerahkan sebarang jentera atau ahli sebagai menyokong mana-mana calon pembangkang atau Bebas.
Presiden UMNO itu berkata, keputusan itu bukan bermaksud BN enggan meraikan proses demokrasi tetapi cara pengosongan kerusi itu tidak demokratik. #sumber
KUALA LUMPUR - Penyanyi tersohor, Saleem dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih perlu mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Hospital Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini.
Menurut isterinya, Julia Bachok, Saleem atau nama sebenarnya A. M Salim Abdul Majeed, 57, diberikan ubat bius bagi membolehkan penyanyi lagu Suci Dalam Debu itu tidur selain mengurangkan kesakitan.
Katanya, Saleem masih perlu berada di bawah pantauan doktor dalam tempoh sekitar tiga hari bagi memastikan kecederaan pada bahagian paru-paru akibat salah satu daripada 12 tulang rusuk yang patah telah mengenai organ tersebut.
“Syukur keadaannya (Saleem) dilaporkan stabil. Bagaimanapun doktor masih memberikan dia ubat untuk ‘ditidurkan’ sehingga keadaan benar-benar baik.
“Saya berterima kasih kepada mereka yang banyak mendoakan kesejahteraan Saleem dan diharapkan agar dia akan kembali pulih seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, Julia memberitahu, pemeriksaan lanjut sedang dilakukan ke atas Saleem terutama pada bahagian paru-paru kerana bimbang sekiranya berlaku pendarahan.
“Doktor masih membuat pemantauan bagi mengenalpasti tahap kecederaan pada bahagian tersebut untuk mengetahui sama ada perlu dilakukan pembedahan atau tidak.
“Sejujurnya, saya tidak mahu lakukan pembedahan kerana bimbang akan risiko tinggi terhadap segala kemungkinan. Sekiranya ada kaedah lain selain pembedahan, insya-Allah kami sedang usahakan,” jelasnya.
Petang Khamis 20 September lalu, Saleem telah terlibat dalam kemalangan selepas motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Cherry Easter di Bandar Mahkota Cheras, Kajang. #sumber
KOTA KINABALU - Seorang timbalan menteri persekutuan membuat laporan polis untuk menggesa pihak berkuasa menyiasat penulis sebuah blog yang mendakwa berlaku hubungan sulit antara Ahli Parlimen Kota Belud itu dengan pegawai khas beliau.
Isnaraissah Munirah Majilis, Timbalan Menteri Tenaga,Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, membuat laporan polis itu semalam di Subang Jaya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan terhadapnya seperti yang terkandung dalam catatan penulis blog itu pada Sabtu lepas.
"Saya membuat laporan ini untuk membersihkan nama saya dan keluarga. Saya juga mahu penulis portal ini disiasat," jelas beliau.
Munirah, yang juga Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan), mendapat tahu tentang artikel itu menerusi pautan yang dihantar kepadanya oleh seorang kawan melalui aplikasi WhatsApp.
Mengenai akaun Facebook beliau, Ahli Parlimen itu menegaskan beliau tidak terlibat dalam sebarang hubungan sulit seperti yang didakwa oleh penulis blog itu.
"Artikel oleh penulis blog itu berniat jahat dengan tujuan merosakkan nama baik saya sebagai seorang wakil rakyat," katanya. #sumber
BALIK PULAU – Seorang wanita warga emas ditemui mati dalam keadaan tragis apabila mayatnya dijumpai di dalam tangki najis yang terletak di belakang rumahnya di Kampung Sungai Burung di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA. Anbalagan berkata, Faridah Mat Hashim, 63, ditemui dalam keadaan sudah berulat kira-kira pukul 2.40 petang oleh menantu lelakinya selepas enam hari dia dilaporkan hilang.
“Menantu mangsa telah membuat laporan polis pada Jumaat lalu berhubung kehilangan wanita itu. Namun, mayatnya ditemui di dalam tangki najis itu hari ini (semalam),” katanya semalam. #sumber
KANGAR - Mayat seorang penunggang motosikal dan pembonceng yang maut dalam kemalangan dipercayai pada Isnin minggu lalu ditemui di dalam parit di Kampung Sungai Bugis, Kilometer 11, Jalan Kangar-Alor Setar di sini hari ini.
Mayat kedua-dua mangsa serta motosikal yang ditunggangi mereka ditemui orang awam kira-kira pukul 5.30 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa, Muhammad Hayat Romzi, 19, gagal mengawal motosikal jenis Yahama 135 LC yang ditungganginya sebelum merempuh sebatang pokok jati.
"Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa dan seorang wanita yang masih belum dikenal pasti identitinya serta motosikal Yahama 135 LC berwarna merah ditunggangi mereka terjatuh ke dalam parit itu.
"Keadaan kedua-dua mayat mangsa telah kembung dan dipercayai sudah berada di dalam parit berkenaan selama seminggu. Mangsa dipercayai dari arah Kangar menuju Alor Setar, Kedah," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Isnin minggu lalu berlaku hujan lebat disertai ribut di seluruh Perlis yang bermula kira-kira pukul 10 malam.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #sumber