script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Penduduk DUN Semambu, Teruntum Terima Bantuan Kerajaan


KUANTAN - Sebanyak 20 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum dan 15 keluarga di DUN Semambu menerima bantuan pek keperluan dapur dan makanan hari ini.
Mereka terdiri daripada ketua keluarga dan warga emas yang rata-ratanya tidak mempunyai akses atau kenderaan untuk ke bandar semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Som Chong Siang berkata, insentif itu disampaikan hari ini sejurus menerima wang dari kerajaan Pahang bagi membantu masyarakat terjejas menerusi 42 ADUN di negeri itu.
"Kita menerima wang secara tunai semalam dan terus membeli keperluan dalam bentuk pek keperluan dapur dan makanan. Wang tunai hanya RM3,000, jadi bantuan diberi dalam bentuk makanan kepada mereka yang sangat memerlukan sahaja.
"Di DUN Teruntum, terdapat lebih kurang 15,000 pengundi dengan anggaran penduduk melebihi 20,000 orang.
"Kita sudah mula agihkan kepada warga emas dan yang tidak ada kenderaan untuk pergi ke bandar bagi membeli makanan. Kita harap kerajaan Pahang boleh sedia bantuan seperti ini tidak kira latar belakang politik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, ADUN Semambu, Lee Chean Chung berkata, pihaknya telah mengagihkan bantuan dalam bentuk yang sama kepada 15 keluarga di DUN tersebut.
Menurutnya, kebanyakan mereka terdiri daripada warga emas, keluarga tidak berkemampuan serta mereka yang bekerja sendiri terutama peniaga gerai.
"Pada Ahad lalu, Pusat Komuniti Keadilan DUN Beserah di bawah Cabang Indera Mahkota menyerahkan sumbangan kepada mereka yang terjejas.

Semalam, kerajaan Pahang mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM252,000 kepada setiap 42 ADUN di Pahang bagi membantu rakyat yang terjejas dengan penularan wabak Covid-19. #sumber
Share:

Kerajaan Pahang Umum Bantuan RM3.5 Juta Untuk Rakyat


KUANTAN - Kerajaan Pahang hari ini mengumumkan peruntukan RM3.587 juta dengan memberikan bantuan khas tunai secara secara sekali bayar kepada kira-kira 17,935 rakyat negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan membabitkan wang tunai RM150 dan barangan makanan seperti beras, tepung dan gula bernilai RM50 seorang.
Menurutnya ia akan diberikan kepada mereka yang terkesan secara langsung dan terputus sumber pendapatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan ini bermula esok (24 Mac) dan akan diuruskan oleh Pegawai Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah.
"Perlu diingatkan mereka yang akan menerima bantuan khas ini perlu patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuatkuasa. Penerima tidak perlu hadir ke mana-mana pejabat kerajaan untuk urusan bantuan ini kerana agihan bantuan akan dibuat secara terus ke rumah mereka
"Kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan khas kepada setiap 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang bagi membantu secara terus rakyat yang terjejas. Jumlah keseluruhan peruntukan tersebut ialah RM252,000," katanya dalam.satu kenyataan media, petang tadi.
Wan Rosdy berkata, kerajaan turut memberikan potongan 50 peratus daripada kadar sewa bulanan Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan Rancangan Rumah Murah (RRM) di seluruh Negeri Pahang bagi bulan April 2020.
Inisiatif ini katanya akan memberi faedah kepada 2,453 penyewa dan melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan Negeri sebanyak RM150,000.
"Golongan penjaja dan peniaga kecil pula turut diberikan potongan 50 peratus sewa bagi April 2020 untuk gerai dan lain-lain kemudahan PBT, bayaran permit pasar tani, pasar pagi, pasar malam dan car boot sale.
"Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 6,238 peniaga kecil dan penjaja serta melibatkan implikasi kewangan kepada PBT sebanyak RM1.293juta," katanya.
Beliau berkata, minggu lalu, saya ada mengumumkan penerima Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKM) membabitkan seramai 2,895 penerima akan diawalkan iaitu pada 27 Mac ini tetapi JKM juga akan mempercepatkan pembayaran bagi lain-lain jenis bantuan.
"Pembayaran tersebut juga akan dibuat pada 27 Mac ini merangkumi Bantuan Kanak-Kanak, Elaun Pekerja Cacat, Bantuan Penjagaan OKU Terlantar / Pesakit Kronik Terlantar, Bantuan OKU Tidak Bekerja, Bantuan Orang Tua, Bantuan Anak Pelihara dan Bantuan Latihan Perintis.
"Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 26,806 penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM8.95 juta," katanya. #sumber
Share:

Peruntukan Kepada Usahawan Pahang Perlulah Di Perincikan


KUANTAN: Peruntukan RM2 juta oleh Kerajaan Negeri Pahang dan sebahagian RM130 juta oleh kerajaan pusat khususnya kepada usahawan dan peniaga dalam negeri ini perlulah diperincikan untuk manfaat semua yang terlibat.

Demikian kenyataan seorang  usahawan Wan Alhamdulillah Wan Abd Rahman (foto) dari Koperasi Usaha Melayu Pahang Berhad.  Katanya, penyaluran bantuan kepada usahawan dan peniaga kecil itu perlulah diperjelas, diselaras dan diagihkan dengan adil.

Perniagaan yang amat terjejas bukan sahaja penjaja dan peniaga kecil yang berniaga tunai harian tetapi “kontraktor kecil dan pembekal barangan elektrikal, binaan dan komunikasi” juga terkesan secara langsung.

"Mungkin ada di antara kontraktor kecil yang tidak memerlukan bantuan dalam bentuk kewangan secara terus kepada syarikat mereka tetapi cukuplah sekadar ada bantuan untuk menyara gaji kakitangan yang terpaksa diberi cuti bergaji seperti diarahkan. Tidak dinafikan Perkeso ada menyediakan bantuan tetapi hanya kepada majikan yang mencarum skim insurans sahaja", katanya.

"Penyampaian bantuan perlu diselaras oleh agensi yang terlibat secara langsung dengan usahawan seperti MARA, TEKUN, AIM, SME Corp, SIRIM, SME Bank dll kerana mereka lebih mengenali usahawan yang benar2 memerlukan bantuan", tambahnya lagi.

Sementara itu Wan Alhamdulillah juga memohon ketepikan idelogi politik, kaum dan agama demi memastikan ekonomi negeri Pahang dapat di kawal dari terus merudum akibat penularan Covid-19. #pahangdaily
Share:

Pencarum Di Benar Keluarkan RM500 Dari Akaun Dua KWSP !


PUTRAJAYA – Semua ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur bawah 55 tahun kini boleh mengeluarkan simpanan Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan pengeluaran i-Lestari itu dalam sidang media khas di sini bagi membantu meringankan beban rakyat yang kehilangan sumber pendapatan berikutan wabak COVID-19.
Beliau berkata,  insiatif yang bermula 1 April ini dijangka memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP dengan jumlah pengeluaran dianggarkan bernilai RM40 billion.
Ini adalah tambahan kepada pengurangan caruman pekerja kepada tujuh peratus seperti yang diumumkan sebelum ini.
“Nasihat saya kepada anda semua yang akan menerima manfaat ini, gunalah wang ini sebaik mungkin.“Beli barang- barang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini.“Yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga.
“Mungkin juga wang ini sebahagiannya boleh digunakan untuk menampung bayaran bil air atau bil elektrik atau sewa rumah mengikut keperluan masing-masing.

“Walaupun jumlahnya mungkin tak seberapa, tetapi inilah wang hasil titik peluh anda sendiri yang sepatutnya digunakan untuk hari tua, tetapi kerajaan benarkan wang ini digunakan pada masa ini memandangkan ada dalam kalangan saudara-saudari yang memerlukan.
“InsyaAllah, jika wang ini digunakan secara berhemah akan ada keberkatannya untuk saudara dan saudari seisi keluarga,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di sini hari ini. #sumber
Share:

Covid-19: Empat Lagi Kematian Baharu Di Rekodkan Hari Ini !


PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan pertambahan empat kes kematian baharu berkaitan COVID-19 setakat jam 12 tengah hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di negara ini adalah 14 kes.
“Kes kematian ke-11 adalah kes ke-1,070 iaitu lelaki berumur 70 tahun warga tempatan. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan dirawat di ICU Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan disahkan meninggal dunia 22 Mac lalu (semalam),” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-12 pula ialah kes ke-1,114 iaitu lelaki berumur 70 tahun yang juga warga tempatan.
“Beliau ialah jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Jamek Seri Petaling dan dirawat di Hospital Kluang. Beliau disahkan meninggal dunia pada hari ini.
“Kes kematian ke-13 adalah kes ke-1,006 ialah lelaki berumur 49 tahun warganegara Malaysia. Beliau yang dirawat di Hospital Umum Sarawak adalah anak kepada kes ke-1,031. Beliau disahkan meninggal dunia pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata, kes kematian ke-14 pula ialah kes ke-595 iaitu wanita berusia 51 tahun warga Malaysia.
“Mangsa adalah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 dari kluster tabligh dan dirawat di Hospital Miri sebelum disahkan meninggal dunia hari ini,” katanya. #sumber
Share:

Covid-19: Imej Islam Tercalar, Usah Salah Guna Alasan Agama


KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim, mengingatkan umat Islam di negara ini agar tidak menggunakan agama sebagai alasan untuk tidak takut kepada virus Covid-19.
Hal itu kerana, katanya, kenyataan sedemikian rupa secara tidak langsung memberikan imej negatif kepada Islam.
Justeru, menurut Anwar, adalah lebih baik sekiranya orang ramai mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa supaya mereka berada di dalam rumah saja.
“Negara China dapat mengawal (penularan wabak Covid-19) kerana hampir menutup seluruh pergerakan beberapa wilayah yang melibatkan beberapa juta manusia.
“Kita tidak sampai ke situ, tetapi harus patuh kerana apa yang diajar dalam Islam, apa yang diajar dalam solat, itu disiplin asas.
“Kita akur, jangan kita gunakan alasan-alasan agama yang cetek, yang mengatakan memadai doa sebagai seorang Muslim dan tidak perlu - umpamanya - takut kepada virus.
“Kita tak persoal takut kepada Allah, Allah minta kita ikhtiar dan antara ikhtiar ialah menyelamatkan diri, keluarga dan jangan bebankan orang lain,” katanya dalam tazkirah sempena Israk Mikraj melalui siaran langsung di Facebook beliau malam ini.
Beliau turut menceritakan sejarah mengenai taun yang pernah berlaku pada zaman silam dan Islam melarang berkunjung di kawasan yang dilanda wabak itu bagi membendung penularannya.
Dua kematian diumum hari ini
“Tapi tanpa maqasid syariah dan pengalaman, masing-masing (warganet) keluarkan fatwa mereka (sehingga) jadi porak-peranda masyarakat.
“Dan sekarang ni terpalit (menjejaskan) dengan banyak orang dan imej agama itu juga mungkin menjadi negatif.
“Padahal dakwah, tabligh, itu istilah-istilah yang positif tapi menjadi negatif kerana tindakan segolongan kecil,” katanya.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berdasarkan siasatan awal, daripada 123 kes baru yang dilaporkan hari ini, sebanyak 74 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh yang berlangsung di Masjid Jamek Seri Petaling, di Kulala Lumpur pada hujung bulan lalu.
Beliau juga berkata kementerian terbabit mengesan 11,000 daripada 14,500 peserta tempatan perhimpunan tabligh itu dan hampir 6,700 daripadanya sudah mengambil ujian saringan.
Pada masa sama, Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson turut menceritakan terdapat tazkirah yang pernah dihadirinya sebelum ini menyatakan supaya tidak perlu takut kepada koronavirus, sebaliknya hanya perlu membaca potongan ayat al-Quran dan sapu ke muka.
Anwar bagaimanapun berkata memang doa menjadi antara senjata umat Islam dan menggalakkan supaya orang ramai menggunakan ruang yang ada bersama keluarga di rumah ketika ini untuk memohon doa supaya terhindar daripada wabak tersebut tanpa mengabaikan langkah pencegahan.
KKM hari ini mengumumkan dua kematian terbaru akibat Covid-19, membawa jumlah kematian di Malaysia kepada 10 orang.
Sebanyak 123 kes disahkan positif direkodkan setakat 12 tengah hari tadi yang menjadikan jumlah keseluruhan 1,306 kes di negara ini. #sumber
Share:

Covid-19: Dua Lagi Kematian Hari Ini, 123 Kes Positif Baharu !


KUALA LUMPUR -  Dua lagi kematian akibat koronavirus (Covid-19) dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia sehingga kini akibat wabak itu di Malaysia ialah 10 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian itu masing-masing melibatkan kes ke-890 iaitu doktor perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan kes ke-259 iaitu daripada kluster tabligh di Sri Petaling.
“Kes kesembilan merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 48 tahun. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara ke Turki.
“Beliau merupakan kakitangan KKM yang sebelum ini dirawat di ICU Hospital Tuanku Fauziah, Kangar," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, mangsa disahkan meninggal dunia hari ini pada jam 10.30 pagi.
Beliau berkata, kes kematian ke-10 pula melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 74 tahun daripada kluster tabligh yang disahkan positif Covid-19 pada 14 Mac lepas dan diberikan bantuan alatan pernafasan setelah keadaannya semakin merosot.
“Beliau telah disahkan positif Covid-19 pada 14 Mac. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 4.05 petang, 22 Mac,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, setakat jam 12 tengah hari ini, 123 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,306 kes.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, sebanyak 74 daripada 123 kes baharu yang dilaporkan itu adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling manakala 49 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian.
Dalam pada itu, sebanyak 25 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 139 kes.
“Sehingga kini, seramai 46 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 22 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. - Bernama
Share:

Tong Gas LPG Meletup, Wanita Melecur Di Muka Dan Tangan


TEMERLOH - Seorang wanita melecur di muka dan tangan apabila tong gas petroleum cecair (LPG) meletup di rumahnya di Taman Paya Taram, Kerdau petang semalam.
Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu berlaku ketika mangsa, Hanita Mohd Mokhtar, 57, sedang menyalakan dapur memasak sebelum api menyambarnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, Penolong Penguasa Bomba, Syed Mohsen T Ismail berkata, dua pegawai dan empat anggota bersama sebuah jentera pemadam (FRT) yang dibantu tiga anggota BBP Bukit Angin serta Unit Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan insiden.

"Letupan terjadi ketika dapur sedang dinyalakan oleh mangsa dan kemudiannya api telah menyambar mangsa sebelum ia berjaya dipadamkan dengan menutup injap LPG tersebut.
"Mangsa cedera akibat melecur di bahagian muka dan tangan akibat letupan terbabit," katanya 
Katanya,anggota terlibat membuat pemeriksaan di tempat kejadian untuk mengelakkan situasi dipercayai akibat LPG bocor berulang.
"Selain itu, rawatan awal diberikan unit EMRS Bukit Angin kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk rawatan selanjutnya," katanya. #sumber
Share:

Minta Kerajaan Pahang Percepat Bayar Bantuan Am Bulanan


KUANTAN - Kerajaan Pahang diminta mempercepatkan Bayaran Bantuan Am Bulanan (Peruntukan Kerajaan Negeri) kepada 2,895 penerima sekiranya penularan koronavirus (Covid-19) berpanjangan.
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, penyaluran bantuan itu akan mengurangkan beban tanggungan khususnya golongan yang hilang punca pendapatan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 Mac hingga 31 Mac ini.
"Pihak kita akui ramai yang terkesan dengan perintah ini, namun jika kerajaan memberi bantuan, ia pasti dapat mengurangkan keresahan mereka yang terjejas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kelmarin, Menteri Besar,Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan, Kerajaan Pahang dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan peruntukan berjumlah RM2 juta sebagai bantuan khas kepada rakyat negeri itu yang terjejas sumber pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Mengulas lanjut kenyataan itu, Haslihelmy berkata, Kerajaan Pahang begitu menitikberatkan kebajikan dan kesusahan rakyat yang ketika ini berdepan dengan Covid-19.
Menurutnya, di samping kerajaan bertungkus lumus mengawal penyebaran pandemik itu, kebajikan rakyat juga diberikan penekanan utama.
"PSAP percaya bahawa peruntukan khas daripada Kerajaan Pahang dan GLC sebanyak RM2 juta sebagai bantuan khas kepada golongan yang terjejas sumber pendapatan ekoran perintah itu pastinya membantu golongan berkenaan. Sememangnya bantuan sedemikian yang ditunggu oleh rakyat untuk meneruskan kehidupan sepanjang 14 hairi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
"Apa diharapkan, kerajaan Pahang akan terus menumpukan usaha ke arah membela kebajikan rakyat di negeri ini secara berterusan. PSAP akan terus menjadi 'check and balance' kepada kerajaan negeri Pahang demi kesinambungan kebajikan rakyat di negeri ini," katanya. #sumber
Share:

COVID-19: MPK Buat Pembersihkan Terminal Sentral Kuantan


KUANTAN: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) melakukan proses pembersihan dan sanitasi Terminal Sentral Kuantan (TSK), Indera Mahkota di sini malam tadi sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal, berkata proses berkenaan mengambil masa dua jam bermula 9.30 malam.
Katanya, inisiatif itu diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sendiri untuk keselamatan dan kepentingan awam yang menggunakan perkhidmatan di terminal terbabit.
“Inisiatif ini juga bertujuan mencegah penularan wabak terbabit dan memastikan tiada sebarang jangkitan,” katanya sambil meminta orang ramai yang tiada keperluan untuk ke TSK supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. #sumber
Share:

Pahang Umum Bantuan Khas RM2 Juta Untuk Bantu Rakyat


KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan peruntukan berjumlah RM2 juta sebagai bantuan khas kepada rakyat negeri itu yang terjejas sumber pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan koronavirus (Covid-19).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, golongan sasar yang akan menerima bantuan khas itu akan ditentukan kemudian termasuk kaedah agihan.
"Kerajaan negeri juga akan mempercepatkan Bayaran Bantuan Am Bulanan (Peruntukan Kerajaan Negeri) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melibatkan seramai 2,895 penerima.
"Ini bermakna Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) untuk bulan April akan dipercepatkan pembayarannya pada 27 Mac ini," katanya pada sidang akhbar khas Menteri Besar di Wisma Pahang di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, selain itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) memberi kelonggaran tempoh bayaran sewaan premis PKNP, manakala Pekerja Sambilan Harian (PSH) di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang menerima elaun penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Selain itu katanya, bagi menzahirkan keprihatinan terhadap situasi yang dihadapi negara kini, kerajaan negeri menyarankan orang ramai dan syarikat-syarikat yang beroperasi di negeri ini supaya membuat sumbangan untuk membantu rakyat yang memerlukan.
Menurutnya, mekanisme sumbangan akan ditentukan oleh Pejabat Kewangan Negeri dengan harapan mendapat sambutan baik daripada masyarakat.
Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau memaklumkan pihak pengurusan Kuil Sri Marathandavar di Maran bersetuju dengan pandangan kerajaan negeri agar upacara tahunan penyembahan dan penyucian jiwa atau ‘Al Pangguni Alaayam’ yang dijadualkan berlangsung di kuil itu pada 6 dan 7 April ini ditangguhkan.
"Terima kasih kepada pihak pengurusan Kuil Sri Marathandavar atas keprihatinan dan persetujuan mereka dengan penangguhan itu.


"Terdapat beberapa lagi langkah dan inisiatif yang akan diperkenalkan bagi menangani wabak Covid-19 dan untuk meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat yang akan diumumkan dari semasa ke semasa," katanya. #sumber
Share:

Polis Pahang Nafi Keluar Arahan Tutup Premis Mulai 7 Malam


KUANTAN - Polis Pahang menafikan gambar tular meminta semua premis perniagaan di negeri itu menghentikan operasi bermula jam 7 malam hingga jam 7 pagi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, arahan tersebut tidak pernah dikeluarkan atau diluluskan oleh pihaknya.
"Untuk makluman Polis Kontinjen Pahang dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Raub sama sekali tidak pernah mengeluarkan arahan kedai makan termasuk kedai serbaneka dan stesen petrol henti operasi bermula 7 malam hingga 7 pagi.

"Pihak Polis Pahang dan juga Polis Daerah Raub hanya akan mengeluarkan risalah Perintah Kawalan Pergerakan berdasarkan kuasa yang ada baik kuasa Polis mahupun kuasa di bawah Majlis Kerajaan Tempatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya bertenang dan mengikut arahan semasa daripada sumber sahih. #sumber
Share:

Majlis Nikah Boleh Di Premis Persendirian Tak Lebih 20 Minit


KUANTAN - Majlis akad nikah masih boleh diadakan di premis persendirian, namun tempohnya tidak boleh melebihi 20 minit.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, arahan itu dikeluarkan selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam sehingga 31 Mac ini.
"Tetapi majlis tersebut hanya dihadiri individu yang berkeperluan dan kehadiranya tidak melebihi 10 orang serta perlu mendapat kebenaran daripada Ketua Polis Daerah iaitu permit Pengecualian Kawalan Pergerakan dan selepas memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan, Perintah Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempat) dilakukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua permohonan berkaitan kebenaran perkahwinan, perceraian dan rujuk hendaklah ditangguhkan sepanjang tempoh berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan.
Sebelum itu, Sallehuddin berkata, penganjuran Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam Pahang (MBKPI) juga ditangguhkan pada tarikh lain.
Beliau berharap semua pihak akur dan mematuhi arahan sepanjang tempoh berkuat kuasa perintah tersebut demi menjaga maslahah umat Islam khususnya berkaitan isu penularan koronavirus (Covid-19).
"Perintah ini berkuat kuasa serta-merta. Mana-mana penganjur yang didapati melanggar arahan pekeliling ini akan diambil tindakan oleh pihak jabatan," katanya. #sumber
Share:

Hanya Kedai Runcit, Pasar Borong, Pasar Awam Boleh Operasi


KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang menegaskan hanya kedai runcit, pasar borong dan pasar awam sahaja dibenarkan beroperasi di negeri ini bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara yang bermula hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi manakala pasar awam pula hanya dibenarkan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.
Bagaimanapun, semua premis menjual makanan boleh dibuka dengan syarat hanya perkhidmatan bawa pulang (take away) dan pandu lalu sahaja yang dibenarkan.
"Semua aktiviti berkaitan hiburan, sukan, perhimpunan di dewan dan premis kesihatan perlu ditutup," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya untuk mendaftar kelahiran baharu, pendaftaran kematian dan pendaftaran dan penggantian kad pengenalan.
Wan Rosdy berkata, menyedari kepentingan keperluan kecemasan, bengkel membaiki kenderaan, pusat servis dan kedai tayar akan dibenarkan beroperasi dari jam 10 pagi hingga 3 petang manakala bagi penghuni hotel, residensi dan asrama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) boleh kekal menginap di premis masing-masing.
"Semua ‘coffee house’ di hotel tidak dibenarkan beroperasi kecuali untuk kegunaan tetamu yang menginap di hotel sahaja. Semua kedai menjual makanan dan keperluan haiwan dibenarkan beroperasi sehingga jam12 tengah hari sahaja.
"Pusat asuhan kanak-kanak yang khusus untuk anggota perkhidmatan penting dibenarkan untuk terus beroperasi," katanya.
Perintah Kawalan Pergerakan kepada semua rakyat Malaysia bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020 yang dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sesuai dengan Warta Kerajaan Persekutuan P.U (A) 87 pada 17 Mac 2020 bertujuan mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka bagi mengelakkan penularan wabak Pandemik ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memandang serius situasi semasa ancaman Covid-19 terutama perkembangan gelombang kedua yang membimbangkan.
Susulan itu katanya, kerajaan negeri mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah dipengerusikan oleh Pegawai Daerah, bagi membolehkan atur gerak yang lebih tersusun dan menyeluruh.
"Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri, membuat beberapa keputusan tersebut selaras dengan Arahan MKN 20," katanya.
Dalam perkembangan lain katanya semua Pejabat Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri (kecuali agensi penguatkuasaan dan perkhidmatan penting) termasuk UTC Pahang dan RTC Pahang ditutup.
Katanya, Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Terminal Sentral Kuantan (TSK) dan Perkhidmatan Bas Domestik akan beroperasi tetapi premis selain tempat menjual makanan di lokasi itu ditutup.
"Semua urusan perbankan masih diteruskan tetapi penggunaan kemudahan perbankan internet lebih digalakkan. Operasi kilang bergantung kepada keputusan terkini kementerian berkenaan.
Wan Rosdy turut mengarahkan semua pemegang permit dan lesen batuan, mineral dan balak menghentikan aktiviti pemindahan dan pengeluaran bahan mineral, batuan dan balak termasuk memproses bahan tersebut. #sumber
Share:

Laungan Azan Di Teruskan Di Semua Masjid, Surau Di Pahang


KUANTAN - Laungan azan akan dilakukan seperti biasa pada setiap waktu di masjid dan surau di seluruh Pahang walaupun aktiviti keagamaan dibatalkan akibat virus koronavirus (Covid-19).
Mufti Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang yang bersidang semalam.
Bagaimanapun katanya, semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah ditangguhkan bermula hari ini sehingga 31 Mac.
"Semua umat Islam di negeri ini disarankan menunaikan solat jemaah di rumah dalam tempoh itu atas nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya melalui satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di Facebook Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Abdul Rahman berkata, pada mesyuarat berkenaan, garis panduan pengurusan jenazah mangsa virus Covid-19 di negeri ini turut dikeluarkan.
“Sekiranya berlaku kematian akibat Covid-19, pengurusan jenazah perlu dilaksanakan mengikut keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang yang bersidang pada 14 Mei 2015 mengenai hukum pengurusan jenazah orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti virus Ebola (Ebola Virus Disease: EVD) di Malaysia.
“Pengurusan boleh dilakukan melalui prosedur tayamum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalutnya bagi mengelakkan kemungkinan kemudaratan kepada mereka yang menguruskan jenazah,” katanya.
Menurutnya, semua keputusan yang diambil itu terpakai di seluruh negeri atas perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu, pihak pengurusan Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 dalam satu kenyataan memaklumkan, masjid itu akan ditutup dalam tempoh ditetapkan selaras dengan keputusan terbaru Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang semalam.
Semua aktiviti di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 akan ditangguhkan sementara mulai hari ini termasuk solat jemaah lima waktu, solat Jumaat dan kelas agama. #sumber
Share:

Takiyuddin: Ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Satu Jenayah


KUALA LUMPUR: Keingkaran kepada Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa hari ini hingga 31 Mac adalah satu kesalahan jenayah dan moral.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata mengikut Seksyen 11(4) dibaca bersama Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, hukuman bagi kesalahan itu ialah penjara hingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

“Perintah itu demi menjaga kemaslahatan rakyat serta kepentingan semua berdasarkan keadaan semasa, di mana bilangan suspek serta mangsa COVID-19 yang semakin meningkat serta terbaharu, membabitkan kes yang meragut dua nyawa,” katanya, dalam kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Justeru, beliau meminta rakyat tidak menganjur malah perlu menangguhkan sebarang perhimpunan sosial yang dirancang demi kesejahteraan negara sehingga keadaan diisytihar selamat.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

Sebanyak 120 kes positif baharu dilaporkan setakat semalam, menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia meningkat kepada 673 kes dengan dua kematian. #sumber
Share:

Ketua Pengarah Kesihatan Rayu Rakyat Tidak Keluar Rumah !


KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah merayu orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dan tidak keluar rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau berkata, rakyat perlu membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan memainkan peranan masing-masing bagi mengelak negara terjerumus ke dalam gelombang ketiga penularan COVID-19.

"Saya merayu kepada semua rakyat Malaysia, sila ambil perintah kawalan pergerakan ini secara serius. Duduk di rumah dan jangan keluar.

"Kita mempunyai peluang yang tipis untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19. Bantulah KKM dengan memainkan peranan anda, kerana setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah, berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga.

"Kegagalan bukan pilihan di sini. Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini, yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi, jika kita mempunyai sikap "tidak kisah," katanya menerusi status di akaun Facebook rasminya.

Hari ini, Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa sepenuhnya selepas pengumuman pelaksanaannya oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuat Isnin lalu.

Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara dengan semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Selain itu, perintah itu juga membabitkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara.

Bagaimanapun, sikap panik berhadapan dengan situasi tidak diduga ini masih jelas dilihat pada orang ramai, yang masih belum memahami mengenai perintah berkenaan sehingga berlakunya beberapa masalah seperti pembelian panik serta kesesakan yang serius di balai polis malam tadi berikutan orang ramai mahu mendapat permit pergerakan rentas negeri terutama untuk pulang ke kampung. #sumber
Share:

Di Penjara Jika Gagal Patuh Perintah Kawalan Pergerakan !


PUTRAJAYA: Orang ramai yang gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa tengah malam ini, boleh dikenakan hukuman penjara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata kesalahan berkenaan boleh disabitkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.
“Bagi kesalahan pertama, individu yang gagal mematuhi arahan boleh dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
“Kesalahan kedua atau berikutnya boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan yang berterusan, individu berkenaan akan didenda RM200 bagi tiap-tiap kesalahan berterusan,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.
Dr Adham berkata, orang ramai perlu bertanggungjawab dan menjalankan peranan masing-masing bagi membantu kerajaan membendung penularan wabak COVID-19. #sumber
Share:

Malaysia Catat Dua Kematian Yang Pertama Akibat COVID-19


PUTRAJAYA: Malaysia mencatat dua kematian akibat wabak COVID-19, iaitu pesakit dari kes ke-178 dan ke-358.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata bagi kes ke-178, ialah seorang lelaki warga Malaysia yang menghadiri satu perhimpunan tabligh di Seri Petaling baru-baru ini.
“Bagi kes ke-358 pula ialah seorang lelaki berumur 60 tahun di Kuching, Sarawak,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di kementeriannya di sini, hari ini.
Kes ke-178 yang berumur 34 tahun mula mengalami gejala mulai 5 Mac dan mendapat rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru pada 12 Mac setelah dikesan positif COVID-19.
"Keadaan beliau merosot dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya pada sidang media harian berkaitan wabak itu di Kementerian Kesihatan di Putrajaya.
Dr Adham berkata, kes ke-358 adalah lelaki yang mempunyai sejarah penyakit kronik. Beliau mula mengalami gejala demam, batuk dan kesukaran bernafas pada 7 Mac dan mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak pada 14 Mac setelah dikesan positif COVID-19.
"Keadaan beliau merosot dan telah dimasukkan ke ICU. Beliau disahkan meninggal dunia hari ini, " katanya. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.