script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Jenazah Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Selamat Dikebumikan, 500 Hadir Beri Penghormatan Terakhir

KUANTAN: Jenazah Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang maut dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, awal pagi semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Kuantan-Gambang, di sini, jam 5.50 petang tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba dari Johor Bahru di rumah bapanya di Taman Seri Mahkota Jaya, Batu 11 Jalan Gambang, di sini, kira-kira jam 4.40 petang sebelum disolatkan kira-kira 30 jemaah termasuk Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman.

Majlis pengebumian dihadiri kira-kira 500 orang meliputi ahli keluarga, rakan serta pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang serta Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kuantan untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Antara yang hadir ialah Yahaya dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu.

Yahaya turut menyerahkan Jalur Gemilang yang membaluti keranda Muhamad Syafiq, kepada bapa Allahyarham, Ahmad Said Md Piah.

Awal pagi semalam, negara digemparkan dengan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, oleh seorang lelaki bersenjatakan parang.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, tiga maut membabitkan dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, serta suspek berusia 21 tahun, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak. #sumber

Share:

Kerajaan Pahang Sumbang RM8,000 Kepada Keluarga Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq

KUANTAN: Kerajaan Pahang menyumbang RM8,000 kepada keluarga Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata daripada jumlah itu, sejumlah RM5,000 daripada kerajaan negeri, manakala RM3,000 sumbangan peribadi beliau.

Katanya, sumbangan itu diharap membantu meringankan beban kepada keluarga mangsa.

"Kes serangan ini menyayat hati dan satu berita sedih buat rakyat negeri Pahang.

"Suspek yang melakukan perbuatan itu tidak sepatutnya membuat kerja yang tidak memberi faedah, lebih-lebih lagi kepada anggota keselamatan yang bertugas," katanya.

Wan Rosdy diminta mengulas kes serangan yang menyebabkan dua anggota polis maut selepas diserang penjenayah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Pahang di sini, hari ini.

Dalam kejadian 2.45 pagi itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis, Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said dan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, masing-masing berusia 22 tahun dan suspek yang berusia 21 tahun. #sumbersumber

Share:

Indeks Jenayah Di Pahang Meningkat, Rekodkan 802 Kes Dalam Tempoh Empat Bulan Tahun Ini

KUANTAN:  Indeks keseluruhan jenayah di Pahang merekodkan 802 kes menunjukkan peningkatan sebanyak 159 kes dalam empat bulan tahun ini berbanding 643 kes tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, daripada jumlah tersebut, jenayah kekerasan mencatatkan peningkatan sebanyak 12 kes, iaitu daripada 121 kepada 133 kes pada tahun ini.

"Begitu juga dengan jenayah harta benda iaitu 522 kes pada tahun 2023 kepada 669 kes manakala peratus penyelesaian kes jenayah untuk seluruh Pahang adalah berjumlah 54.74 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Mei tahun 2024 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Khamis.

Yahaya turut memaklumkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang telah berjaya melaksanakan 4,843 tangkapan melibatkan sebanyak 4,392 kes atas pelbagai kesalahan narkotik.

Jelasnya, ia membabitkan nilai rampasan dadah bagi tempoh empat bulan tahun ini direkodkan sebanyak, RM2.7juta.

"Dari segi pertuduhan, sebanyak 247 pertuduhan telah berjaya dituduh di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dalam tempoh ini juga, tujuh sindiket pengedaran dadah telah berjaya ditumpaskan. Tahniah," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu polis juga memberi fokus kepada kes-kes komersial kerana ia merupakan salah satu elemen jenayah yang amat dibimbangi kerana impaknya melibatkan jumlah kerugian berskala besar.

Katanya, sebanyak 630 kertas siasatan komersial telah dibuka yang melibatkan kerugian sehingga RM28 juta sepanjang Januari hingga April tahun ini. #sumber

Share:

Utamakan Minoriti Bukan Ahli Politik, Tuan Ibrahim Perjelaskan Sebab Bantah ADUN Lantikan

PETALING JAYA: Seorang pemimpin kanan PAS mengkritik pelantikan ahli politik sebagai ADUN, selepas Dewan Undangan Negeri Pahang meluluskan usul Menteri Besar, Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail untuk melantik ADUN lantikan.

Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berpandangan ADUN lantikan seharusnya mewakili golongan minoriti seperti Orang Asli dan orang India, serta orang kurang upaya atau profesional.

“Lima ADUN baru dilantik itu hampir semua tokoh politik,” kata ADUN Cheka itu, pada sidang media yang dimuat naik di Facebook PAS Pahang.

“Ini (ADUN lantikan) bukan nak perkukuhkan pasukan kerajaan tetapi mestilah segmen untuk kepentingan rakyat.”

Terdahulu, Menteri Besar mengusulkan pelantikan Haris Salleh Hamzah (Ketua UMNO Jerantut), Wong Tat Chee (Ketua MCA Temerloh), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pengerusi Amanah Pahang), dan Rizal Jamin (Timbalan Pengerusi PKR Pahang).

Turut dicadangkan pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Ahmad Irshadi Abdullah.

Selepas usul diluluskan dengan sokongan majoriti, Speaker Mohd Sharkar Shamsudin mengumumkan mereka akan mengangkat sumpah jawatan pada sidang DUN akan datang, yang dijangka pada Ogos.

DUN Pahang pada 20 Nov 2020 meluluskan pindaan enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi melantik ADUN secara lantikan.

Ketika persidangan, Tuan Ibrahim berkata sokongan pihaknya sebelum ini berasaskan syarat ADUN lantikan dalam kalangan NGO, kumpulan minoriti, dan bukan mereka yang terlibat atau bergiat aktif dalam politik.

“Kita mohon usul itu ditangguh supaya lebih jelas fungsi ADUN dilantik tetapi permohonan kami ditolak,” katanya, mengulas lanjut. #sumber

Share:

Polis Bentong Buka Kertas Siasatan Aktiviti Memasak Di Stesen Minyak Di Genting Highlands

BENTONG: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung sekumpulan pemilik kenderaan yang melakukan aktiviti memasak di kawasan stesen minyak di Genting Highlands, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung satu klip video berdurasi 50 saat yang tular di media sosial memaparkan aktiviti memasak di stesen minyak terbabit.

“Hasil siasatan mendapati klip vi̇deo tersebut telah tular melalui laman sosial X dan telah dimuat naik pada 13 Mei lepas dan dipercayai dilakukan oleh sekumpulan pemilik kenderaan sehingga menimbulkan kebimbangan dan kegusaran kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kegusaran kepada orang awam dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Zaiham turut memohon kerjasama saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan dan akan mengambil tindakan tegas serta membuat operasi bersepadu di sekitar lokasi stesen minyak berkenaan khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.

“Ia berikutan polis mendapat maklumat dan aduan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pemilik kenderaan berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam dan pengguna jalan raya lain yang melalui lokasi berkenaan,” katanya. #sumber

Share:

Ahli Perniagaan Dari Chenor Jadi Mangsa 'Scam' Wanita Mengaku Pegawai CIDB Pahang

MARAN: Seorang ahli perniagaan dari Chenor, dekat sini, menjadi mangsa penipuan suspek yang menyamar sebagai pegawai CIDB Pahang.

Muhammad Fazrol Md Nasir, 34 tahun mendakwa dia menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek pada 30 April lalu, menawarkan projek berkaitan kursus untuk kontraktor.

Jelasnya, suspek memperkenalkan diri sebagai Intan Liana Sarkawi dan bertugas di Unit Bahagian Lesen Kontraktor Bermasalah, CIDB Pahang.

"Sebelum itu saya tnya dia, daripada agensi mana..dia kemudiannya mengaku sebagai kakitangan CIDB Pahang, saya pun berasa yakin dengan cara berinteraksi melalui WhatsApp dan kemudian saya ada membuat lapan kali transaksi,"katanya.

Suspek menawarkan menjalankan kursus integriti dan bisnes kepada mangsa serta memintanya membayar sejumlah wang bagi mendapatkan projek berkenaan.

Muhammad Fazrol membuat pemindahan wang ke akaun e-dompet suspek bermula 30 April hingga 5 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan RM3,070.

Muhammad Fazrol berkata, dia mula menyedari sudah menjadi mangsa penipuan selepas usaha menghubungi suspek bagi berbincang berkaitan penganjuran kursus dijanjikan tidak berhasil.

Dia kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Awah, dekat Maran pada 7 Mei lalu.

Sementara itu, siasatan awal polis mendapati suspek adalah seorang wanita berasal dari Sarawak dan dipercayai menetap di sekitar Pahang.

Suspek juga menggunakan satu nama syarikat dipercayai bagi menjalankan aktiviti penipuan seperti itu. #sumber

Share:

Polis Sahkan Dua Anggota Tentera Sebuah Kem Di Temerloh Bergaduh Akibat Salah Faham

KUANTAN: Polis mengesahkan insiden pergaduhan melibatkan dua anggota tentera di sebuah kem di Temerloh, minggu lepas.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian pada 9 Mei itu, mengakibatkan mangsa berusia 38 tahun cedera dan menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.

"Pergaduhan dipercayai berpunca akibat salah faham antara mereka berdua, dan suspek berusia 36 tahun telah direman selama tiga hari dan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan senjata.

Terdahulu tular gambar kecederaan seorang lelaki yang disyaki anggota tentera akibat dipukul dengan parang dalam pergaduhan di sebuah kem.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas mangsa menegur suspek kerana telah membuat bising. #sumber

Share:

Pahang Sasar 40 Pingat Emas, Jadi Lima Terbaik Pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024

KUANTAN:  Pahang menyasar menjadi pasukan lima terbaik pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 yang akan berlansung di Sarawak dengan meraih sekurang-kurangnya 40 pingat emas.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, sasaran tersebut berdasarkan komitmen diberikan kerajaan negeri.

“Atas dasar itu, kita melaksanakan beberapa inisiatif penting terutama dalam soal kebajikan kepada atlet bagi membela jurulatih dan pegawai.

“Antara inisiatif itu ialah elaun atlet yang bermula pada Januari tahun ini dan Kerajaan Pahang bersetuju kadar elaun latihan atlet SUKMA Pahang dinaikkan sehingga 150 peratus,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada Sukma 2022, Pahang menduduki tempat kesembilan dengan meraih 22 pingat emas, 21 perak dan 27 gangsa.

Menurutnya, kadar terbaharu elaun atlet dinaikkan antara RM250 hingga RM500 sebulan berbanding RM100 sebulan sebelum ini.

Tambah beliau, inisiatif terutama gaji jurulatih sepenuh masa dinaikkan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan berdasarkan kelayakan ditetapkan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) Institut Sukan Negara.

Selain itu, katanya, penyelaras turut menerima elaun sekurang-kurangnya RM200 sebulan bermula Januari lalu. #sumber

Share:

Wakil Pimpinan AMANAH Dan KEADILAN Antara Lima ADUN Lantikan Di Pahang

KUANTAN: Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini, mengumumkan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.

Mereka adalah pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan Pekan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri; Ketua MCA Bahagian Temerloh, Datuk Wong Tat Chee; Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah; Pengerusi AMANAH Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Timbalan Pengerusi PKR Pahang, Rizal Jamin.

Pelantikan itu mendapat sokongan majoriti mudah selepas usul berkenaan dicadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan disokong tujuh ADUN Pahang.

Tujuh ADUN yang menyokong ialah Datuk Seri Mohd Johari Hussain dari Tioman, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif (Inderapura), Datuk Abd Aziz Mat Kiram (Batu Talam), Mohd Shahrim Md Zain (Chini), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Tras), Su Keong Siong (Ketari) dan Ho Chi Yang (Tanah Rata).

Terdahulu, Wan Rosdy, berkata pelantikan ADUN lantikan itu mengambil kira latar belakang keluarga, pendidikan dan pencapaian serta komitmen dalam khidmat bakti kepada masyarakat.

Katanya, mereka yang dilantik adalah dalam kalangan berkaliber dan berkemahiran tertentu serta berganding bahu bersama ADUN lain untuk menyumbangkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Saya percaya dengan pelantikan ini, ahli-ahli yang dilantik dapat membantu dalam mencapai misi dan visi kerajaan negeri dalam memberikan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata lima ADUN lantikan itu akan mengangkat sumpah pada Sidang DUN Pahang, Ogos depan.

Katanya, tiada kawasan yang diberikan kepada lima ADUN lantikan itu dan mereka berkhidmat dalam usaha membantu kerajaan negeri.

"Pelantikan lima ADUN lantikan ini memerlukan tujuh penyokong dan pencadang serta majoriti mudah.

"Mereka sudah menjadi ADUN lantikan, tetapi mereka belum mengangkat sumpah dan akan berbuat demikian pada Sidang DUN Pahang pada Ogos depan," katanya pada sidang media selepas penangguhan DUN Pahang. #sumber

Share:

Jaringan Tunggal Hidalgo Bantu Sri Pahang FC Kutip Tiga Mata Tewaskan Kelantan Darul Naim FC

KUANTAN: Sri Pahang FC memulakan perlawanan pertama Liga Super dengan langkah kanan selepas menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh sebentar tadi.

Jaringan tunggal pemain import skuad Tok Gajah, Manuel Hidalgo pada babak kedua perlawanan memastikan Sri Pahang mengutip tiga mata di halaman sendiri.

Namun, pada babak pertama perlawanan, tuan rumah yang beralih ke Stadium Majlis Perbandaran Temerloh dari Stadium Darul Makmur, Kuantan sebagai gelanggang rasmi musim 2024/2025 terpaksa berusaha keras untuk membolosi gawang lawan.

Peluang terbaik dimiliki skuad Tok Gajah ialah daripada sentuhan Aleksandar Cvetkovic yang melakukan percubaan tetapi bola tendangan pemain pertahanan import itu sedikit tersasar seawal minit kelapan.

Pasukan pelawat juga berusaha untuk masuk ke kubu tuan rumah tetapi pertahanan yang diketuai kapten pasukan, Fadhli Shas mudah menghalangnya.

Bersambung babak kedua, gol pendahuluan yang dicari-cari akhirnya hadir menerusi Manuel Hidalgo apabila sepakan percuma yang dilakukan dari luar kotak penalti menerjah jaring lawan pada minit ke-63.

Menyedari kelebihan satu gol belum terjamin, tuan rumah menggandakan asakan ke kubu lawan ketika lawan berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan.

Namun, KDN FC akhirnya terpaksa akur apabila jaringan tunggal Hidalgo menyebabkan misi untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian. #sumber

Share:

Fandi Puas hati Sri Pahang FC Raih Tiga Mata Atasi Kelantan Darul Naim FC 1-0 Malam Tadi

KUANTAN: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad berterima kasih kerana anak buahnya memastikan iga mata buat skuad itu selepas menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, biarpun lambat panas terutama pada babak pertama, pemain Tok Gajah bangkit mempamerkan prestasi lebih baik pada babak kedua.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Sri Pahang memenangi perlawanan pertama Liga Super sebagai penyuntik semangat untuk beraksi dengan lebih baik pada perlawanan akan datang.

"Bagi saya pemain sudah memberikan yang terbaik dan apa yang penting ialah memastikan tiga mata menjadi milik Sri Pahang.

"Namun, keseluruhannya pemain perlu bekerja keras kerana pada babak pertama perlawanan mereka mengambil tempoh waktu yang lama sebelum bangkit dan menjaringkan gol pada babak kedua.

"Saya harap perlawanan akan datang pemain akan beraksi dengan lebih baik dan pada masa sama memastikan tahap kecergasan akan dipertingkatkan lagi," katanya.

Sementara itu, pengendali KDN FC, Pak Jaehong meluahkan kekecewaan kerana skuadnya gagal untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan pertama.

Katanya, biarpun beraksi baik tetapi penyudah yang tumpul menafikan skuad itu untuk menafikan kemenangan tuan rumah.

"Saya kecewa tetapi perlawanan akan datang saya mengharapkan pemain dapat beraksi lebih baik dan memastikan kutipan mata," kata jurulatih berasal dari Korea Selatan itu. #sumber

Share:

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu, Calon PH Menang Dengan Majoriti 3,869 Undi

HULU SELANGOR: Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) selepas calonnya Pang Sock Tao hari ini menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 3,869 undi.

Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memperoleh 14,000 undi, menewaskan pencabarnya calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut yang meraih 10,131 undi, calon Bebas Nyau Ke Xin (188 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin (152 undi).

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Yuhanas Auree Kamaruddin di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK KKB di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di Hulu Selangor malam ini.

Keputusan itu juga sekali gus menyaksikan Hafizah dan Nyau hilang deposit selepas gagal meraih undi kurang satu per lapan daripada jumlah keseluruhan pengundi yang mengundi bagi PRK berkenaan.

Yuhanas Auree turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat pada PRK KKB.

Seramai 40,226 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK tersebut termasuk 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Terdahulu, Pang, 31, yang memakai kemeja putih dan berseluar hitam hadir ke dewan itu pada 9.44 malam diiringi Pengerusi PH Selangor yang juga Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

PRK KKB diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas.

Dalam Pilihan Raya Negeri pada Ogos tahun lepas, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti 4,119 undi.

Kemenangan Pang yang mewakili Kerajaan Perpaduan membolehkan DUN KKB terus kekal sebagai kubu kuat PH sejak 2013.

Pang yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) diumumkan sebagai calon pada 24 April lepas, tiga hari sebelum hari penamaan calon PRK berkenaan.

PRK KKB merupakan PRK ketujuh diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022. #sumber

Share:

Kerajaan Pahang Memperuntukkan Kos Bernilai RM2.734 Juta Selaku Tuan Rumah MTHQK 2024

KUANTAN: Kerajaan Pahang memperuntukkan keseluruhan kos bernilai RM2.734 juta selaku tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2024M (MTHQK 2024) yang akan diadakan di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada 23 Mei hingga 28 Mei nanti.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan terbabit termasuk ‘duit poket’ RM1,000 kepada setiap peserta dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM110,000.

Katanya, kerajaan negeri bermurah hati menghulurkan duit poket berkenaan bagi membantu perbelanjaan peserta sepanjang pertandingan berlangsung.

“Apabila peserta yang datang ke Pahang mereka ada duit poket, duit makan dan sebagainya sebagai tambahan perbelanjaan mereka ketika berada di sini.

“Dan yang paling pentingnya ia adalah sebagai tanda ingatan tulus ikhlas kerajaan negeri untuk kesemua peserta,” katanya dalam sidang media bersempena Majlis Pra Pelancaran MTHQK 2024 yang diadakan di Hotel SwissBel, di sini hari ini.

Wan Rosdy juga memberitahu, selain sumbangan kerajaan negeri, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) turut bermurah hati menyumbang jongkong emas seberat 5 gram kepada semua pemenang tilawah dan hafazan al-Quran dengan setiap jongkong emas terbabit dianggarkan bernilai sekitar RM2,000. #sumber

Share:

Sebanyak 337 Struktur Stesen Pemancar 5G Telah Siap Dan Beroperasi Setakat 30 April Lepas

KUANTAN: Sebanyak 337 struktur stesen pemancar 5G telah siap dan beroperasi setakat 30 April lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal.

Beliau berkata baki 24 struktur disasarkan untuk disiapkan menjelang penghujung suku kedua tahun ini sekali gus menepati sasaran liputan 5G di kawasan berpenduduk, seperti ditetapkan oleh Digital Nasional Berhad.

"Bagi pelaksanaan fasa berikutnya, ia dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini dengan menyasarkan lebih banyak lagi kawasan liputan 5G di lokasi baharu dengan tumpuan diberikan di kawasan Pahang Barat khususnya di Raub, Lipis, Bentong dan Cameron Highlands bagi mencapai sasaran liputan 5G di kawasan berpenduduk di peringkat nasional iaitu 80 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini semalam.

Beliau berkata sebanyak 143 menara telekomunikasi baharu dengan liputan 4G telah siap dan beroperasi setakat April lepas.

"Tumpuan sedang diberikan ketika ini bagi menyiapkan baki 127 menara lagi yang kini dalam pelbagai fasa pelaksanaan, dan akan siap beroperasi secara berperingkat menjelang penghujung tahun ini," katanya

Sementara itu, Fadzli berkata kerajaan negeri akan menghantar penyertaan kontinjen Pahang ke Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak pada Ogos depan, membabitkan 45 orang pengurus pasukan, 127 jurulatih, 327 atlet lelaki dan 276 atlet wanita.

Beliau turut memaklumkan rumput padang Stadium Darul Makmur ketika ini akan dinaik taraf daripada rumput Cow Grass kepada rumput Bermuda dengan kerajaan negeri bersetuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.2 juta. #sumber

Share:

Liga Super: Fandi Mahu Mula Langkah Kanan, Sri Pahang FC Buru Tiga Mata Di Temerloh Malam Ini

KUANTAN: Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad mahu memulakan saingan liga M.musim ni dengan langkah kanan berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada perlawanan pertama Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), malam ini.

Peluang beraksi di gelanggang sendiri dengan sokongan padu penyokong tuan rumah sudah pasti menaikkan motivas untuk mengutip tiga mata.

Justeru, persediaan bagi mengatasi kelemahan ketara di jentera serangan sudah pasti menjadi fokus utama sesi latihan terakhir menjelang pertemuan dengan skuad Kelantan.

Menurut Fandi, ketumpulan jentera serangan dalam empat daripada lima perlawanan pramusim lalu diharap tidak akan berulang malam ini.

“Saya harap jentera serangan akan mempamerkan prestasi lebih baik dengan kerjasama pemain tengah dalam usaha Sri Pahang mencatat kemenangan ke atas KDN FC pada perlawanan pertama.

“Semua pemain yang disenaraikan dalam kesebelasan utama diharap dapat memanfaatkan segala peluang yang ada.

“Dari segi persediaan, Sri Pahang sudah bersedia untuk menghadapi saingan Liga Super dan mengharapkan kemenangan pada aksi pembuka tirai,” katanya. #sumber

Share:

Tindakan Pemuda PAS Mencerca Menteri Besar Pahang Dengan Gelaran Yang Kasar Perlu Di Hakis

KUANTAN: Tindakan mencerca pemimpin Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dengan gelaran kasar perlu dihakis.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, perbuatan tersebut masih dilakukan dan terbaru berkaitan penyiaran siaran Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang secara langsung.

”Pemuda PAS ada mengeluarkan kenyataan provokasi berbunyi kalau MB  (Menteri Besar) Pahang anak jantan, buatlah siaran langsung dan ucapan tersebut dilihat  kasar.

”Ia bukanlah kali pertama dilakukan oleh Pemuda PAS Pahang, bukan juga kali kedua, tetapi sudah banyak kali oleh pemuda PAS Pahang,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri  (DUN) Pahang, di sini, hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong itu, siaran langsung persidangan DUN Pahang tidak dilaksanakan berikutan provokasi dan tekanan melampau daripada pembangkang.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, tiada siaran langsung persidangan DUN akan datang jika pembangkang menyerangnya. #sumber

Share:

ADUN Pembangkang Gesa Kerajaan Pahang Terus Terang Isu Hutang Kepada Kerajaan Persekutuan

KUANTAN: Kerajaan Pahang perlu berterus terang kepada rakyat berkaitan jumlah sebenar hutang yang sudah dibayar kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, sejak 2021 hingga tahun ini, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapannya sentiasa mengulangi pencapaian kerajaan pimpinannya berjaya mengurangkan hutang daripada RM3 bilion kepada RM900 juta.

ADUN Beserah itu mendakwa, pengurangan hutang yang diumumkan Wan Rosdy bukanlah membabitkan pembayaran hutang antara kerajaan Pahang dan kerajaan Persekutuan, tetapi hutang yang dihapus kira selepas Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Pahang.

“Perjanjian ini dimuktamadkan pada Disember 2020… ada majlis berkaitan majlis berkenaan diadakan di Kuantan.

“Melalui perjanjian itu, kerajaan Persekutuan bersetuju menghapus kira pinjaman kerajaan negeri Pahang berjumlah RM2.1 bilion.

“Maknanya, RM3 bilion ditolak dengan pinjaman dihapus kira itu dan baki hutang adalah kira-kira RM900 juta.

“Dari tahun 2021 hinggalah sekarang, jumlah hutang kerajaan Pahang kepada Kerajaan Persekutuan masih kekal RM900 juta lebih… adakah ini bermakna sebenarnya kerajaan Pahang belum membayar lagi hutang itu sejak tahun 2021,” katanya dalam sidang media di Kuantan, semalam.

Ketika sesi sidang DUN Pahang pada Disember lalu, perkara sama turut dibangkitkan Adun Cheka yang juga Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim yang pernah memegang jawatan Menteri Alam Sekitar dan Air mendakwa usaha menghapus kira hutang berkaitan air berjaya diselesaikan ketika dia menjadi menteri.

Namun, Wan Rosdy dilaporkan berkata usaha itu sudah dimulakan sejak tahun 2018 dan hanya ditandatangani ketika Tuan Ibrahim menjadi Menteri.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ADUN Kuala Sentul, Dato' Jasri Jamaludin dalam sidang media sama, mendakwa hampir 20 soalan tambahan dan soalan ditanya dalam Dewan ketika sidang DUN Disember lalu, masih belum dijawab wakil kerajaan.

“Semua soalan itu dikemukakan kepada wakil kerajaan dan ada yang berjanji untuk memberikan jawapan bertulis, namun selepas hampir lima bulan berlalu, saya belum terima (jawapan).

“Sedangkan kalua mengikut Sistem Soalan Dewan Negeri (SSDN), setiap soalan dikemukakan ahli Dewan melalui ‘Borang A’ dalam SSDN perlu dijawab dalam masa satu jam selepas ia didaftarkan.

“Perkara ini menimbulkan masalah kepada kami untuk menjawab apabila ditanya penduduk di kawasan yang kami wakili,” katanya.

Dia turut berkongsi kekecewaan dengan sikap kerajaan negeri mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pengurus Felda dalam kawasan Kuala Sentul yang menghadiri program anjuran pejabatnya sepanjang Ramadan lalu.

Katanya, kehadiran pengurus Felda itu adalah sebagai ketua dalam tanah rancangan dan mereka lebih memahami keperluan warga peneroka di situ.

“Saya cuma buat program pengagihan zakat yang disumbangkan oleh kenalan… program itu diadakan di perkarangan masjid dan disekalikan dengan majlis berbuka puasa.

“Semua sumbangan ini kami, ADUN pembangkang usahakan sendiri, kami cari dana untuk memastikan penduduk yang tidak berkemampuan dapat menerima sedikit sumbangan ketika Ramadan.

“Nak harapkan kerajaan negeri, mereka bagi RM5,000 setahun… itu pun ketika bulan puasa, peruntukan lain tidak disalurkan terus kepada ADUN pembangkang, sebaliknya diberikan melalui pejabat daerah,” ujarnya. #sumber

Share:

Pemilik Sri Pahang FC, Tengku Muda Tengku Abdul Rahman Tidak Sampai Hati Nak Tengok Faisal

SHAH ALAM: Kasih dan sayang pemilik Sri Pahang FC, Tengku Muda Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah kepada bintang bola sepak negara, Faisal Halim cukup tebal.

Ia dizahirkan menerusi titah Tengku Abdul Rahman kepada pengurusan Sri Pahang yang menghantar rombongan bagi menziarahi Faisal yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta, di sini, hari ini.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang, beliau hadir bersama dua lagi wakil termasuk Pengerusi kelab, Raja Datuk Seri Shaharuddin Shah Raja Jalil Shah dan pengurus pasukan Tok Gajah, Datuk Dollah Salleh.

"Mengenangkan Mickey atau saudara Faisal Halim yang kami bentuk dari waktu dia umur 17 tahun sehingga satu peringkat yang terbaik sebelum dia berhijrah ke Terengganu.

"Apatah lagi, Tengku Muda sangat menyayangi Mickey sebagai pemain Sri Pahang terdahulu dan menitahkan kami, saya bersama dengan pengurus Sri Pahang FC untuk ziarah sebagai tanda kasih sayang.

"Tengku Muda tak sampai hati nak tengok Mickey, kalau tengok mungkin mencurah air mata. Jadi kami hadir sebagai tanda sokongan dan solidariti serta kekeluargaan sebagai satu keluarga bola sepak," katanya.

Ujarnya lagi, beliau gembira melihat perkembangan Faisal yang dilihat cukup bersemangat.

"Tapi kami akur kepada keputusan doktor, kita tak boleh bertemu dengan dia. Tapi Alhamdulillah berjumpa dengan isterinya, Wani...dan Wani menceritakan perkembangan Mickey semakin hari semakin baik.

"Itu cukup berita menggembirakan untuk kita dan kebetulan tadi kita ada buat 'video call' dengan Faisal dan dapat lihat bagaimana dia ada semangat yang kuat," katanya.

Kehadiran mereka disambut mesra pengurusan pasukan Selangor.

Difahamkan, kehadiran pengurusan Sri Pahang itu sebagai tanda kekeluargaan dan solidariti komuniti bola sepak tempatan.

Malah, Faisal dan Dollah memiliki hubungan erat apabila pemain kebangsaan itu sebelum pernah dibimbing bekas pemain Harimau Malaya itu.

Pastinya kehadiran rombongan itu menaikkan semangat Faisal yang kini dalam proses pemulihan. #sumber

Share:

Pahang Lulus Cadangan Projek Perintis Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) Seluas 220 Hektar Di Hulu Jelai

KUANTAN: Kerajaan Pahang meluluskan cadangan Projek Perintis Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di atas tanah seluas 220 hektar di Sungai Wang, Mukim Hulu Jelai, Lipis.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kelulusan cadangan berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) ke-13 pada 3 April lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri dalam peringkat pemurnian fasa akhir prosedur operasi standard (SOP) perlombongan NR-REE Pahang yang diterajui oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang (PTG), Pahang Mining Corporation (PMC) sebelum diangkat untuk pertimbangan serta keputusan pihak berkuasa negeri.

”Kita mengamalkan sikap terbuka kepada mana-mana pengusaha atau pelabur sektor perlombongan untuk menjalankan eksplorasi NR-REE di Pahang.

"(Malah) kita juga bersedia untuk menawarkan kerjasama bagi pembukaan kilang memproses NR-REE di Malaysia, khususnya di Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang, di sini pada Jumaat.

Tuan Ibrahim ingin tahu mengenai kesediaan kerajaan untuk perlombongan REE di Pahang sebagai sumber pendapatan negeri.

Wan Rosdy turut memaklumkan, beliau bersama delegasi kerajaan negeri mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Perintis NR-REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak, Negeri Perak pada 25 September 2023.

Jelasnya, lawatan tersebut bertujuan untuk melihat dan mempelajari teknik perlombongan NR-REE yang dilakukan tanpa menjejaskan alam sekitar.

Menjawab soalan tambahan Khaizulnizam Mohamad Zuldin (BN- Kemayan) mengenai teknik dan keadah perlombongan yang tidak menjejaskan alam sekitar, Wan Rosdy berkata, kaedah larut resap insitu (ISL) diyakini lebih selamat dan mesra alam tanpa perlu melakukan penebangan secara terbuka.

“Nak kata kosong (menjejaskan) itu tidaklah. Tetapi contohnya kalau kawasan tersebut 81 hektar, mungkin empat hektar sahaja yang terjejas kerana akan ada sedikit penebangan. Perlombongan ini sangat minimum, tidak dibuat sesuka hati dan ia terkawal serta dipantau setiap masa.

“Kaedah dipanggil ISL dilakukan dengan kesan minimum terhadap alam sekitar dan ia ternyata berbeza dengan kaedah perlombongan yang dilakukan secara terbuka melibatkan lebih banyak pokok ditebang,” jelasnya turut memaklumkan sekurang-kurangnya 1.4 juta tan NR-REE dikenal pasti di Lipis, Raub dan Bentong. #sumber

Share:

Siaran Langsung Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Di Jangka Pada Ogos Ini

KUANTAN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dijangka diadakan secara siaran langsung pada Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin ketika sesi perbahasan yang dibentangkan oleh Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) pada Rabu berhubung isu itu.

“Keputusan saya bukanlah disebabkan oleh provokasi tetapi kita telah berbincang dengan Menteri Besar dan kerajaan, saya mencadangkan (siaran langsung) dan mereka sudah bersetuju.

“Selepas ini (sidang DUN kali ini) pada Ogos ini akan ada siaran langsung. Jadi jangan ada yang ponteng,” katanya pada persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Sebelum itu, Tuan Ibrahim memaklumkan kewajaran untuk mengadakan siaran langsung kerana ia sudah menjadi kebiasaan pada hari ini, namun tidak dilakukan oleh Kerajaan Pahang.

"Hari ini, sebenarnya siaran langsung sudah menjadi normal, orang jala ikan pun buat siaran langsung. (Tapi) kita sidang dewan (DUN) tidak boleh buat siaran langsung," soalnya.

Sejurus itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bangun dan membalas persoalan yang dilontarkan Tuan Ibrahim pada persidangan terbabit.

Beliau memberitahu, sebelum ini, Kerajaan Pahang telah bersetuju untuk mengadakan siaran langsung terbabit, namun ditarik balik berikutan terdapatnya provokasi daripada pihak PN (Perikatan Nasional).

“Saya telah mengarahkan untuk diadakan siaran langsung untuk sidang DUN kali ini tetapi disebabkan provokasi yang melampau daripada pihak PN. Jadi kami tarik balik.

“(Jika diadakan siaran langsung) pihak PN akan kata mendakwa merekalah yang desak adakan siaran langsung ini. Kita dah bersedia bila-bila masa tetapi disebabkan ada cabaran yang melampau itu kita tarik balik,” jelasnya. #sumber

Share:

Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) Kenal Pasti Potensi Pembangunan Sekitar Stesen ECRL

KUANTAN: Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) sedang mengenalpasti beberapa kawasan berpotensi boleh dibangunkan di sekitar stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, antara kawasan akan dibangunkan ialah Perindustrian Gebeng, Bentong dan Kompleks Makanan Halal Gambang di Paya Besar.

Menurutnya, dengan wujudnya pembangunan di sekitar stesen ECRL ini secara tidak langsung dapat menyumbang dalam pembangunan ekonomi Pahang.

"Bagi kawasan Perindustrian Gebeng, PKNP dalam perancangan membangunkan tapak IKS (Industri Kecil dan Serderhana) baru berkonsepkan 'Park Management' bagi memberi peluang kepada pelabur tempatan dan luar bersama merancakkan lagi pertumbuhan di kawasan Perindustrian Gebeng.

"PKNP juga kini sedang mengenalpasti kawasan industri baru terutamanya di Wilayah Pahang Barat dengan mengambil kira Projek Lingkaran Tengah Utama yang kini sedang dilaksanakan secara berperingkat di samping dapat mewujudkan keseimbangan pembangunan ekonomi di wilayah-wilayah Negeri Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Rodzuan Zaaba (BN-Jenderak) mengenai perancangan kerajaan Pahang dalam usaha untuk meningkatkan lagi sektor perindustrian di Pahang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini pada Rabu.

Mohamad Nizar berkata, selain itu, kerajaan Pahang komited dalam pembangunan industri aeroangkasa di negeri sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Khas Daerah Kecil Gebeng 2035 yang dilancarkan pada 13 September 2022.

Jelasnya, melalui cadangan pembangunan projek LapanganTerbang Antarabangsa dan Bandar Aeroangkasa yang akan dibangunkan di Seksyen 4, Kawasan Perindusrian Gebeng.

Tambah Mohamad Nizar, ia telah menarik minat ramai pelabur dari dalam dan luar negara kerana projek ini mempunyai potensi besar serta merupakan industri yang sedang berkembang.

"Menjadi salah satu pemangkin bagi pertumbuhan ekonomi Pahang dimana Kerajaan Negeri juga mensasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya satu peratus daripada pasaran Maintenance, Overhaul & Repair (MRO) Asia Pasifik yang dianggarkan bernilai RM15 trilion.

"Lanjutan daripada itu, Kerajaan Pahang juga mengadakan libat urus bersama pihak Malaysia Space Agency (MYSA) dalam usaha untuk menerokai peluang kerjasama dalam bidang space science.

"Kerjasama dalam bidang sains, teknologi terutamanya dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan pembangunan sumber manusia selaras dengan Dasar Angkasa Negara 2030 yang dilancarkan pada 24 Mei ini," katanya. #sumber

Share:

Pahang Pantau Ajaran Sesat 'Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya' Yang Tular Di Media Sosial

KUANTAN: Kerajaan Pahang menerusi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bekerjasama dengan jabatan agama Islam seluruh negara serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memantau ajaran 'The Ahmadi Religion Peace and Light' atau 'Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya' yang tular di media sosial baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata hasil pemantauan itu akan dibentangkan dalam Jawatankuasa Syariah bagi tindakan selanjutnya.

Beliau berkata fahaman ajaran itu dipercayai diketuai seorang individu mengaku dirinya sebagai Imam al-Mahdi dengan menggunakan gelaran Abdullah Hashem Aba al-Sadiq, manakala pendeta mereka di Malaysia dan Indonesia bernama Kashfullah Amaluddin.

"Ajaran ini menyeru orang ramai turut menjadi pengikut Imam al-Mahdi dan pemimpin Imam Mahdi yang didakwa muncul masa kini, mereka mempercayai penjelmaan semula, juga mempercayai utusan Tuhan itu terdiri daripada pelbagai manusia yang hebat daripada pelbagai agama seperti Nabi Ibrahim, Krishna, Zoroaster, Buddha, Zeus, Moses, Aristotle, Socrates, Pythagoras, Plato, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW," katanya menerusi catatannya di Facebook.

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat laman sesawang dan menurunkan lima kandungan media sosial berkaitan ajaran sesat itu selain turut menjalin kerjasama strategik bersama JAKIM, jabatan agama negeri-negeri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang ajaran itu daripada terus berleluasa. #sumber

Share:

Tengku Zulpuri: Sebanyak Lebih 160,000 Hektar Tanah Kerajaan Di Pahang Di Dakwa Telah Di Teroka

KUANTAN: Lebih 160,000 hektar tanah kerajaan didakwa diterokai di seluruh Pahang. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, data itu diperolehi berdasarkan pengetahuan dan semakan dilakukan oleh beliau.

"Saya tidak mahu mempertikai siapa betul, siapa salah, cuma ingin berkongsi pendapat dan pandangan bagi menyelesaikan masalah ini.

"Lebih-lebih lagi saya sebagai ADUN Tras serta sebahagian daripada kerajaan. Saya mengharapkan kerajaan negeri dapat mengutip hasil dan juga pekebun boleh mencari nafkah," katanya.

Beliau berkata demikian sesi perbahasan Menjujung Kasih Titah Diraja Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, pada Rabu.

Tengku Zulpuri turut mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya inisiatif baharu dapat dibuat agar kedua-dua pihak (Kerajaan dan peneroka) dapat duduk bersama berbincang tanpa melalui orang tengah atau pihak ketiga.

"Maksud saya, sekiranya tanah PSK ( Perbadanan Setiausaha Kerajaan), pihak PSK atau pihak kerajaan tidak perlu lantik atau membuat perjanjian dengan syarikat A (sebagai contoh).

"Kemudian syarikat A pula akan mengurus perbincangan dengan penerima peneroka- peneroka ini," katanya.

Sementara itu, beliau menyarankan agar institusi warga emas diwujudkan di Raub.

Ujarnya, setakat ini, belum ada institusi untuk golongan terbabit, berbanding institusi kanak-kanak seperti Rumah Tengku Ampuan Fatimah dan Rumah Sultan Kelsom.

"Kedua- dua institusi ini berada di Kuantan. Jadi, mohon pertimbangan juga rumah-rumah warga emas atau tua, di Sempalit dan Sungai Ruan, diambil alih kerajaan.

"Perkara ini wajar dipertimbangkan memandangkan bilangan orang tua sekitar 700 daripada 1,767 penerima bantuan daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) di seluruh Raub," katanya. #sumber

Share:

Mahkamah Sesyen: Lelaki Di Jatuhkan Hukuman Denda RM200,000 Ceroboh Tanah Kerajaan Di Raub

RAUB: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM200,000 terhadap seorang pengusaha tapak semaian anak benih durian atas  pertuduhan menceroboh tanah kerajaan di Kampung Teras, Mukim Teras, Raub.

Hakim Noor Aisah Mohamed memerintahkan Tong Man Fui, 32, menjalani hukuman penjara 12 bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa telah melakukan kesalahan mengusahakan kebun durian dan tapak semaian anak benih durian di lokasi tersebut kira-kira jam 11 pagi pada 6 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, pegawai penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah membuat pemantauan dan menyita satu unit generator, tiga unit pam air, enam unit mesin rumput dan empat unit pam racun berenjin yang terlibat bagi menjalankan perusahaan kebun durian dan tapak semaian anak benih durian di atas Tanah Kerajaan.

Pegawai Penyiasat telah membuat semakan dengan Pejabat Daerah dan Tanah Raub mengenai lokasi tapak semaian tersebut dan mendapati tiada sebarang kelulusan permit dikeluarkan di atas Tanah Kerajaan berkenaan menerusi surat yang dikeluarkan bertarikh 7 Mei 2024.

Tertuduh mengaku telah menjalankan aktiviti tapak semaian anak benih durian di lokasi terbabit selama hampir lima bulan sejak Disember 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi dan Hasmadi Mahyuddin. #sumber

Share:

Fandi Belum Ada Senarai Kesebelasan Utama, Beraksi Pada Pembuka Tirai Liga Super Sabtu Ini

KUANTAN: Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad belum memiliki kesebelasan utama yang akan beraksi pada aksi pembuka tirai Liga Super berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Sabtu ini.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, setakat ini persaingan dalam kalangan pemain skuad Tok Gajah terbuka luas untuk disenaraikan dalam skuad utama musim 2024/2025.

"Bagi saya perkara utama yang diberikan perhatian ialah kerjasama dan persefahaman dipersembahkan pemain, yang bukan sahaja pada aksi pramusim dan latihan.

"Tetapi ia lebih kepada pemain itu sendiri yang perlu mengubah mentaliti mereka kerana tidak seorang pun fikir kedudukan mereka terjamin untuk berada dalam kesebelasan utama.

"Sebaliknya, pemain yang rajin, bekerja keras dan bertanggungjawab serta mempunyai motivasi yang tinggi dan bermain untuk pasukan bukan untuk diri sendiri pasti terpilih.

"Oleh itu saya mengharapkan pemain yang terpilih dalam skuad utama memberikan yang terbaik dan pemain lain pula turut memberikan komitmen tinggi terhadap pasukan," katanya.

Fandi juga mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu yakin jika mahu meletakkan Sri Pahang pada tahap terbaik dan mencapai kejayaan membanggakan pada musim baharu ini.

Katanya, pengalaman yang dimiliki pemain diharap membantu terutama memastikan perlawanan pertama Liga Super berakhir dengan kemenangan sebagai motivasi.

"Pada masa sama, sokongan padu daripada peminat Tok Gajah dialu-alukan kerana musim baharu ini menyaksikan Sri Pahang beraksi di Temerloh. #sumber

Share:

Seorang Chef Sebuah Hotel Maut, Motosikal Melanggar Kerbau Di Jalan Felda Sungai Panching Timur

KUANTAN: Seorang chef sebuah hotel di sini maut selepas motosikal ditunggang melanggar seekor kerbau di Jalan Felda Sungai Panching Timur di sini pada awal pagi Selasa.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa Muhammad Firdaus Mohamad, 28, beralamat di Sungai Panching Timur disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha YZR-R15 dalam perjalanan dari arah Felda Panching Timur menghala ke arah bandar Kuantan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengelak haiwan berkenaan yang berada di atas jalan lalu melanggarnya.

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. #sumber

Share:

Jadikan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) Institusi Pengajian Islam Terbaik

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu semua pihak berusaha menjadikan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) sebagai institusi pengajian Islam terbaik.

Baginda bertitah, pihak yang terlibat seperti Menteri Besar dan Canselor dan Naib  Canselor universiti tersebut perlu melunaskan amanat itu.

”Kita sama-sama naikan UniPSAS menjadi universiti yang disegani di rantau ini,” titah baginda ketika merasmikan majlis Penutup Persidangan Pendidikan Kontemporari Antarabangsa Dalam Dunia Islam (ICCEIW), di sini. hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UniPSAS, Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, pelbagai program bakal dianjurkan bagi terus mengangkat martabat UniPSAS.

Menurut beliau, pengajuran penganjuran ICCEIW itu turut  diiktiraf dengan penyertaan 22 negara Islam.

”Yang kedua pengitirafan universiti dari negara Islam terhadap Pahang pada amnya dan  kepada UniPSAS, di mana satu petanda kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan universiti lain dalam dan luar negara.

”Kalau kita meenliti titah tuanku, sudah satu gambaran yang hebat dan harapan tinggi dari tuanku supaya mahu semua pihak dari Istana, kerajaan negeri mahu menjadikan UniPSAS salah satu universiti terhebat yang diiktiraf peringkat dalam negeri dan antarabangsa,” katanya. #sumber

Share:

Sebanyak 103 Projek Pembangunan Bekalan Air Pahang Berjaya Di Siapkan, Kos RM121.2 Juta

KUANTAN:  Sebanyak 103 projek Pembangunan Bekalan Air Pahang berjaya disiapkan membabitkan kos sebanyak RM121.2 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga kini kerajaan Pahang dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) mempunyai 32 projek yang sedang dalam peringkat pelaksanaan.

Menurutnya, Surat Setuju Terima (SST) telah diserahkan kepada kontraktor yang dilantik dengan nilai keseluruhan berjumlah RM461 juta.

"Selain itu, projek masih belum dilaksanakan, namun ia di peringkat pra-pembinaan. Kerja-kerja ini termasuk merancang, juru perunding dan mendapatkan kelulusan pelbagai peringkat sama ada pengurusan perolehan atau kelulusan perancangan projek," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif, (BN-Inderapura) yang ingin tahu kedudukan semasa kewangan PAIP dalam menampung keperluan pembangunan dan naik taraf bekalan air pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menjelaskan sejumlah 82 projek sedang dalam peringkat pra pembinaan membabitkan komitmen kewangan berjumlah RM1.91 billion.

Katanya, ini sejajar dengan hasrat kerajaan Pahang merealisasikan pengurangan masalah bekalan air kepada 90 peratus pada tahun 2026.

"Kerajaan negeri dan PAIP akan sentiasa berusaha memastikan mutu perkhidmatan bekalan air terus ditingkatkan dari masa ke masa.

'Sebagai harapan untuk PAIP terus melaksana projek-projek pembangunan dan menambah baik keperluan operasi seterusnya disampaikan kepada pengguna. Berilah ruang dan masa kepada PAIP untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri," katanya.

Sebelum itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang sedaya upaya membantu PAIP agar ia menjadi sebuah syarikat yang mempunyai tadbir urus baik dan mempunyai kewangan kukuh sekali gus memberikan perkhidmatan bekalan air yang baik kepada pengguna.

"Kewangan PAIP menunjukkan satu peningkatan yang ketara. Buat pertama kali dalam sejarah pengkorporatan, PAIP telah berjaya mencatat keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir Disember 2023.

"Usaha ini bukan datang secara sekelip mata, ia sudah pasti hasil saban tahun menerusi tadbir urus yang baik dan penambahbaikan berterusan dari masa ke masa," jelasnya.

Beliau berkata, kedudukan aliran tunai yang lebih positif dan kukuh adalah lebih diutamakan bagi memastikan PAIP berdaya saing dalam menyediakan kerja-kerja perbelanjaan modal (CAPEX).

Jelasnya, kerja perbelanjaan modal ini akan menjadi fokus utama dalam memastikan PAIP mampu memberikan perkhidmatan yang baik kepada pengguna.

"Insya-ALLAH, kedudukan kewangan yang kukuh ini, dapat memberikan keyakinan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk memberi peruntukkan kewangan dalam usaha PAIP menggantikan paip-paip usang, menaik taraf loji dan tangki-tangki.

"Keadaan operasi juga akan dipertingkatkan dengan pengukuhan kewangan ini. Walau bagaimanapun, proses ini memerlukan masa untuk melihat hasilnya secara keseluruhan," katanya. #sumber

Share:

Sultan Pahang Mengingatkan Umat Islam Agar Tolak Keganasan, Rapatkan Saf Pertahan Agama

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayauddin Al Mustafa Billah Shah mengingatkan umat Islam agar tidak menyokong sebarang bentuk keganasan yang berlaku sebaliknya terus bersuara menyuarakan pandangan, prinsip dan perjuangan bantah keganasan berlebihan.

Baginda bertitah, sebarang bentuk keganasan termasuk dilakukan orang Islam sendiri perlu ditolak begitu juga yang berlaku di Palestin.

"Kita tidak boleh sokong, harus bersuara menyuarakan pandangan, prinsip dan perjuangan bantah keganasan berlebihan ini.

"Perjuangan kumpulan-kumpulan seperti ISIS dan Daesh yang lebih kepada kekerasan suatu ketika dahulu telah merosakkan imej Islam di mata penganut agama lain selain menakutkan mereka serta umat Islam sendiri," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam titah ucapan sempena Majlis Perasmian Penutupan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Kontemporari dalam Dunia Islam (ICCEIW) di sini pada Selasa.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayauddin Al Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Ismail dan Rektor Universiti Al-Azhar, Prof Dr Salamah Daud.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agar masyarakat Islam di seluruh dunia perlu merapatkan saf dalam mempertahankan Islam.

Negara-negara Islam perlu bersatu untuk mempertahankan Islam daripada terus ditekan.

"Dalam suasana yang mana Islam sentiasa terasa tertekan di seluruh dunia, kita semua harus mempunyai iltizam dan hasrat untuk merapatkan saf atau gandingan kita sebagai umat Islam.

"Walaupun negara Malaysia mempunyai satu populasi rakyat Islam yang begitu kecil jika dibandingkan dengan negara-negara Islam lain, namun kita tidak harus berada dalam satu persimpangan jalan yang boleh memecahbelahkan," titah baginda lagi.

Baginda bertitah, hasrat perjuangan untuk menegakkan syariat Islam perlu kepada satu hati, satu jiwa, satu buah fikiran dan cara melaksanakannya.

Baginda turut tegaskan, antara perkara yang boleh memberi tekanan kepada umat Islam seluruh dunia adalah Islamfobia yang mana telah memberi satu pesepsi yang cukup tidak benar.

"Persidangan ICCEIW ini antara usaha bagi mendapatkan rujukan dan panduan untuk bangkit memperjuangkan Islam dengan cara sebenar," titah baginda lagi.

Persidangan ICCEIW yang disertai 300 peserta dari 22 negara bermula Ahad lalu melabuhkan tirainya pada Selasa.

Persidangan itu dianjurkan bertujuan menyediakan satu dimensi baharu perbincangan ilmu dalam bidang ilmu terutama bidang pendidikan dengan pelbagai tema bersifat holistik dan integratif.

Pelbagai perkara dibincangkan dalam persidangan itu dengan harapan ia memberi kesan positif kepada usaha pembangunan Islam dan akademik ummah.

Persidangan itu julung kali diadakan Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Yayasan Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Kesatuan Universiti-universiti Islam Sedunia. #sumber

Share:

Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pahang Rampas Rokok Seludup Lebih RM700,000 Di Johor

KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas hampir 920,000 batang rokok seludup dianggarkan bernilai hampir RM730,000 dalam dua serbuan berasingan di Kahang dan Paloh, dalam daerah Kluang, Johor.

Serbuan itu dilakukan pada 18 dan 19 April lalu hasil maklumat awam dan risikan kira-kira seminggu di lokasi berkenaan.

Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JKDM, Ribuan Abdullah, berkata serbuan pada 18 April dilakukan di sebuah rumah teres dekat Kluang.

Dalam operasi tersebut, katanya, JKDM Pahang merampas 663,800 batang rokok pelbagai jenis bernilai RM528,127.

"Serbuan ini dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari hasil maklumat daripada orang awam.

"Pegawai dan anggota kami melakukan pemantauan di lokasi antara tiga hingga empat hari.

"Selepas mendapati tidak ada pergerakan keluar masuk di premis itu, baru kita melakukan serbuan," katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Dalam serbuan pada 19 April pula, Ribuan berkata, pihaknya memecah masuk sebuah rumah kampung di Paloh selepas melakukan pemantauan hampir seminggu.

"Untuk serbuan kedua yang dilakukan sekitar jam 5 pagi, kami menemui sejumlah rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM199,997.

"JKDM percaya rokok yang dirampas ini dibawa dari negeri jiran menggunakan laluan laut.

"Ketika kedua-dua serbuan itu, tidak ada tangkapan dilakukan dan JKDM Malaysia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengenalpasti pemilik kediaman terbabit," katanya lagi.

Dia berkata kes itu disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Semua rokok yang dirampas diklasifikasikan sebagai barang larangan bersyarat mengikut Butiran Satu, Bahagian Dua, Jadual Ketiga dan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

"Perbuatan memiliki rokok tanpa lesen import sah adalah kesalahan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

"JKDM tidak menolak kemungkinan rampasan ini membabitkan sindiket berasingan, berdasarkan jenis dan jenama rokok dirampas adalah berbeza," ujarnya. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.