script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Fandi Ahmad Hampa Kesilapan Minit Akhir Punca Sri Pahang FC Catat Seri 1-1 Dengan Selangor FC

TEMERLOH: Ketua Jurulatih Sri Pahang FC Fandi Ahmad hampa apabila skuad bimbingannya setakat mencatat keputusan seri 1-1 berdepan Selangor FC pada aksi pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh di sini malam tadi.

Beliau berkata para pemain telah mempamerkan aksi cemerlang untuk menguasai permainan selain sering melancarkan serangan bahaya ke gawang lawan.

"Pemain kita bermain sangat baik, bekerja keras dan mengikut setiap arahan diberi tetapi kesilapan pada minit-minit akhir menyebabkan kita seri," katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan.

Legenda Singapura itu berkata keputusan mungkin berbeza sekiranya mereka berjaya menterjemahkan peluang yang diperolehi di hadapan gawang lawan kepada jaringan.

Fandi turut mengakui anak buahnya berdepan tugas berat apabila berdepan Selangor FC dalam aksi timbal balik pada 1 Dis ini.

Sementara itu, pengendali Selangor FC Abdifitaah Mohamed Hassan berkata perancangannya kurang menjadi susulan keadaan padang becak yang memaksa pemain menggunakan hantaran lambung.

"Kami ada strategi permainan untuk menang tetapi keadaan padang menyebabkan ia sukar dilaksanakan berbanding pihak lawan. Namun kami berjaya mencipta begitu banyak peluang dan seharusnya kami mendapat lebih banyak gol," katanya.

Mengenai penyerang sensasi The Red Giants Faisal Abdul Halim yang disenaraikan dalam kesebelasan utama, beliau percaya pemain berkenaan semakin cergas.

"Saya memerhatikan Faisal semasa latihan dan dia dilihat kembali memiliki sentuhan hebatnya, diharap dia terus dapat membantu kami," katanya. #AstroAwani

Share:

Pahang Berjaya Peroleh Kutipan Hasil RM1.144 Bilion, Melebihi Sasaran Yang Ditetapkan RM1.137 Bilion

KUANTAN: Kerajaan Pahang berjaya mencatat kutipan hasil sebanyak RM1.144 bilion melebihi sasaran yang ditetapkan RM1.137 bilion untuk tahun ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Karnival Tanah Pahang - 'Syukuri Nikmat, Laksana Tanggungjawab, Jelaskan Cukai Tanah Anda' Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 di Dewan Titiwangsa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub, dekat sini hari ini.

"Sudah pastinya berita gembira ini merupakan hasil kerjasama semua penjawat awam di negeri ini yang telah berusaha untuk merealisasikan sasaran tersebut.

"Syabas, tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada semua," katanya menerusi catatan di Facebook.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Pahang mencipta hatrik jumlah kutipan hasil melebihi RM1 bilion selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022 sekali gus membuktikan prestasi kepimpinan kerajaan negeri ini sangat cemerlang untuk setanding dengan negeri maju lain seperti Selangor dan Johor.

Mengenai karnival berkenaan, beliau berkata ia secara langsung dapat mendidik rakyat negeri ini untuk melaksanakan tanggungjawab membayar cukai tanah sebelum 31 Mei setiap tahun.

"Saya percaya apa yang kerajaan negeri laksanakan ini akan menerima manfaat kepada negeri dan rakyat terutamanya dalam soal kebajikan yang sentiasa diberi keutamaan," katanya. #AstroAwani

Share:

Guru Penolong Kanan Dikhuatiri Lemas Selepas Terjatuh Ke Dalam Sungai Pahang Ketika Memancing

MARAN: Seorang Guru Penolong Kanan, Hal Ehwal Murid di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan, Chenor di sini, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang sewaktu memancing, petang tadi.

Perkara itu disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak.

Menurut orang kampung yang menyaksikan kejadian itu, mangsa yang mesra disapa 'Sir Dani' tergelincir ketika mengalihkan kerusi semasa berada di atas sebuah rumah rakit.

Mangsa dilihat tenggelam selepas terjatuh dan timbul sekejap sebelum terus hilang daripada pandangan.

Rakan mangsa yang dikenali sebagai Bari, dikatakan gagal menarik tangan Murdani kerana arus deras dan kejadian berlaku terlalu pantas.

Sementara itu, Ketua UMNO Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin memaklumkan, semua agensi berkaitan sudah pun memulakan misi mencari dan menyelamat.

“Di Mekah, mendengar perkhabaran duka berkenaan Sir Murdani Rahman. Dikenali ramai dan cukup mesra dengan orang kampung. Beliau terjatuh ke dalam Sungai Pahang sewaktu memancing petang tadi.

“Sama-sama kita doakan Sir Dani semoga beliau dijumpai. Khabarnya semua agensi serta penduduk kampung sudah pun berkumpul di tebing Chenor untuk memulakan misi pencarian dan menyelamat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam ini. #MalaysiaGazette

Share:

Polis Berkas Empat Lelaki Dipercayai Terlibat Aktiviti Jual Air Ketum Dalam Serbuan Di Tanjung Lumpur

KUANTAN: Empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran air ketum ditahan dalam satu serbuan di Tanjung Lumpur di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kesemua yang ditahan berusia 28 hingga 34 tahun dalam serbuan dan pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan Task Force Balai Polis Kuantan, jam 12.05 tengah malam, Jumaat.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi tersebut menemui pelbagai bahan dipercayai digunakan untuk memproses dan menjual air ketum.

"Kita menjumpai 51 liter cecair kehijauan disyaki air ketum yang disimpan dalam 68 bungkusan plastik lut sinar.

"Turut ditemui daun ketum seberat 29.8 kilogram (kg) termasuk yang direndam dalam periuk dan tujuh tong gas, dua dapur memasak, dua periuk besar, satu penimbang digital, dan bahan pembungkusan," katanya pada Ahad.

Beliau memberitahu, wang wang tunai berjumlah RM2,672 yang dipercayai hasil jualan air ketum turut dirampas.

Wan Mohd Zahari menambah, hasil soal siasat awal, dua suspek mengaku terlibat dalam aktiviti penjualan air ketum.

"Semua suspek telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kuantan bersama barang rampasan untuk tindakan lanjut.

"Ujian air kencing ke atas keempat-empat suspek menunjukkan keputusan negatif," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. #SinarHarian

Share:

Pahang Mencatatkan Kejayaan Yang Luar Biasa Dengan Jumlah Jualan AS$63.9 Juta Di MIHAS, Dubai

KUANTAN: Pahang mencatatkan kejayaan luar biasa melalui penyertaan di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai, baru-baru ini dengan jumlah jualan keseluruhan sebanyak AS$63.9 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah ini, AS$8.7 juta merupakan hasil jualan sebenar, manakala AS$55.2 juta pula adalah potensi jualan yang diunjurkan.

Menurutnya, kejayaan ini adalah hasil usaha enam peserta pameran dari Pahang, yang berjaya mengetengahkan produk halal berkualiti tinggi di peringkat antarabangsa.

"Prestasi ini jelas membuktikan bahawa produk halal dari Pahang mempunyai daya saing dan keupayaan untuk memenuhi permintaan pasaran global.

"Acara MIHAS@Dubai telah menjadi platform strategik untuk mempromosikan produk halal Pahang yang berkualiti tinggi, inovatif, dan berdaya saing," katanya dalam satu kenyataan pada malam Jumaat.

Wan Rosdy berkata, penyertaan ini juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk menyokong usahawan tempatan dalam menembusi pasaran antarabangsa, selaras dengan aspirasi Pahang sebagai peneraju dalam industri halal.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam kejayaan ini.

"Tahniah juga kepada MATRADE yang dipengerusikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican atas kejayaan menganjurkan MIHAS@Dubai yang penuh bermakna ini," ujar beliau.

Sehubungan itu, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan kepada usahawan tempatan agar mereka dapat memanfaatkan peluang yang lebih luas di peringkat global.

Jelasnya, kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama Pahang, tetapi turut membuktikan potensi besar negeri ini sebagai pusat pengeluaran dan inovasi halal.

"Insya-ALLAH, pada tahun hadapan saya berharap agar lebih ramai pengusaha dan syarikat dari Pahang menyertai MIHAS untuk mengambil peluang menerokai industri halal di luar negara," katanya. #SinarHarian

Share:

KPDN Pahang Berjaya Membongkar Aktiviti Simpan Barang Kawalan Bersubsidi Di Bera Pagi Tadi

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang membongkar kegiatan menyimpan barang kawalan bersubsidi di Bera, pagi tadi.

Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata kejayaan itu dilakukan menerusi dua serbuan serentak oleh anggota penguat kuasa Kuantan dan Bera di sebuah rumah serta restoran pada jam 10 pagi.

Katanya, berdasarkan aduan, premis restoran terbabit menggunakan barang kawalan bersubsidi dalam menjalankan perniagaan selain turut menjadikan rumah sebagai stor simpanan barang kawalan bersubsidi.

"Hasil semakan yang dibuat mendapati terdapat bekalan gula bertapis kasar di premis restoran dan minyak masak peket bersubsidi di dalam rumah pemilik restoran iaitu melebihi had simpanan yang dibenarkan.

"Pemilik premis gagal mengemukakan sebarang dokumen yang berkaitan bagi pemilikan barang kawalan bersubsidi terbabit.

"Berikutan itu, sebanyak 205 kilogram minyak masak peket bersubsidi dan 20 kilogram gula putih bertapis kasar serta dokumen perniagaan lain yang berkaitan disita untuk tujuan siasatan.

"Dua kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan melebihi had yang disyaratkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan kes itu, Jezlily berkata pihaknya memberi amaran keras terhadap individu atau syarikat berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

"Pada masa sama, KDN mengalu-alukan maklumat daripada pengguna untuk bersama membantu menjadi mata dan telinga kementerian dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga melalui pelbagai medium penyaluran aduan disediakan," katanya. #BeritaHarian

Share:

Kemalangan: Dua Anggota Polis Cedera, Kenderaan Dinaiki Mereka bertembung Track Pikap Di Maran

MARAN: Dua anggota polis yang dalam perjalanan menyiasat satu kes kemalangan cedera selepas kenderaan jenis Honda City dinaiki mereka bertembung dengan sebuah trak pikap di Kilometer 74.5 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, kejadian kira-kira pukul 3.25 pagi itu berlaku ketika dua anggota polis yang berumur 38 dan 29 tahun berkenaan dalam perjalanan dari Balai Polis Trafik Maran ke Jengka 19 bagi menyiasat satu kes kemalangan.

“Apabila sampai di lokasi kejadian dipercayai tiba-tiba datang sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux daripada arah bertentangan yang hilang kawalan dan masuk ke laluan kenderaan jenis Honda City sebelum bertembung.

“Akibat kejadian pemandu kereta mengalami kecederaan parah pada tangan kiri dan penumpang hadapan kereta cedera di bahagian dada manakala pemandu trak pikap cedera pada bahagian dada,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk mendapatkan rawatan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan berselekoh dengan pemukaan jalan rata dan semasa kejadian cuaca baik.#Kosmo!

Share:

Wan Rosdy Lancar Pahang Rail Tourism 2024, Produk Pelancongan Baharu Melalui ‘Old Jungle Rail’

LIPIS: Negeri Pahang membangunkan satu produk pelancongan baharu yang unik dan berbeza iaitu Pahang Rail Tourism 2024 atau pun pelancongan kereta api.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program kerjasama Tourism Pahang, Tourism Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta Unit Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus itu menggunakan laluan kereta api yang terletak di sepanjang Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus melalui zon pelancongan semula jadi.

Tambahnya, tarikan utama laluan itu ialah melalui jajaran hutan yang panjang dan mendapat jolokan sebagai ‘Old Jungle Rail’.

“Kita mempromosikan lagi kepada semua pelancong terutamanya datang ke Lipis, Pahang yang memiliki banyak tempat menarik dengan menggunakan kereta api yang telah diubahsuai lebih selesa, menarik dan masanya tepat selain dapat menikmati pemandangan semula jadi.

“Usaha ini dapat meningkatkan pelancong ke Pahang dan itulah tujuan kita, kalau tidak berusaha sebegini kita bimbang negeri-negeri lain ada cara sendiri untuk promosi kehadiran pelancong yang memiliki banyak pilihan.

“Kalau kita kurang promosi dan kemudahan, mereka (pelancong) akan beralih ke tempat lain,” katanya sempena Majlis Pelancaran Pahang Rail Tourism 2024 di Stesen Keretapi Kuala Lipis di sini, hari ini.

Beliau berkata, keunikan produk pelancongan itu perlu diketengahkan untuk meningkatkan ‘visibility’ produk pelancongan serta memperkasa fungsi laluan keretapi.

“Program ini juga bukan sekadar untuk menarik pelancong luar, malah memberi manfaat kepada penduduk setempat melalui peningkatan ekonomi kawasan–kawasan yang terlibat.

“Antara lokasi menarik di sepanjang laluan kereta api ini ialah lokasi geo tapak iaitu Taman Negara Pahang Sungai Relau, Gua Sisik Naga, Gua Tahi Bintang, Bandar Kuala Lipis, Kuala Sungai Lipis dan Taman Eko Rimba Kenong yang turut dimasukkan sebagai salah satu pakej pelancongan yang wajib dikunjungi,”katanya.

Dalam pada itu Wan Rosdy berkata, Pahang terus mendapat kunjungan berterusan daripada pelancong yang mana berdasarkan statistik seramai 13.2 juta orang pelancong berkunjung ke negeri ini pada 2023. #Kosmo!

Share:

Kerajaan Pahang Tingkatkan Bantuan Prihatin Pahang Siswa Kepada RM14.18 Juta Berbanding RM8 Juta Tahun Lepas

LIPIS: Kerajaan Pahang meningkatkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Siswa kepada RM14.18 juta pada tahun ini berbanding RM8 juta tahun lepas bagi meringankan dan membantu menampung kos perbelanjaan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata peningkatan RM6.18 juta itu bagi membolehkan peruntukan berkenaan diagihkan kepada 19,525 mahasiswa daripada IPT Awam, Politeknik, kolej komuniti dan IPT Swasta milik kerajaan negeri. 

“(Dengan peningkatan itu) sumbangan kepada mahasiswa juga meningkat daripada RM300 kepada RM400 bagi setiap mahasiswa. Setakat November 2024, lebih 16,000 mahasiswa menerima BPP melalui agihan di universiti dan Dewan Negeri.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih kurang RM6 juta untuk sumbangan kepada mahasiswa sehingga bulan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian BPP Kluster Pertanian, Veterinar dan Perikanan serta Kluster Siswa Tahun 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata BPP yang merangkumi dua kluster iaitu Kluster Pertanian, Veterinar dan Perikanan serta Kluster Siswa adalah inisiatif kerajaan negeri yang diperkenalkan sejak 2020 dan diteruskan sehingga kini, telah memberi banyak manfaat kepada penduduk Pahang. 

Wan Rosdy berkata kerajaan negeri sehingga 2024 telah membelanjakan RM141.78 juta bagi pelaksanaan pelbagai program di bawah inisiatif BPP, dan jelas menunjukkan tahap kewangan kerajaan Pahang berada dalam keadaan kukuh apabila mampu meneruskan bantuan berkenaan. 

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan Orang Asli untuk mendapat hak pendidikan sepertimana kaum lain, bahkan mereka turut diberi peluang yang sama rata termasuk dalam bidang robotik untuk bersaing di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. 

Ini terbukti dengan sejarah yang dicipta dua tahun berturut-turut oleh pelajar Pahang yang mewakili Malaysia ke Pertandingan MakeX Malaysia Robotics Antarabangsa di China iaitu Sekolah Kebangsaan Permatang Keledang pada 2023 dan Sekolah Kebangsaan Padang Rumbia tahun ini.

Dalam pada itu, bengkel asas Kokurikulum Pendidikan Robotik bagi 33 Sekolah Murid Orang Asli (SMOA) negeri Pahang juga telah diadakan pada 2 hingga 4 Okt lepas di Sekolah Kebangsaan Sungai Koyan, Lipis,” katanya. #Bernama

Share:

MetMalaysia: Hujan Berterusan Tahap Buruk Di Negeri Terengganu, Pahang Dan Kelantan Hingga Sabtu

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk yang dijangka melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia sehingga Sabtu, 23 November ini.

Antara kawasan yang terlibat ialah seluruh Terengganu, manakala di Pahang, kawasan yang dijangka terkesan termasuk Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Sementara itu, amaran serupa turut dikeluarkan untuk Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan.

Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Kelantan, melibatkan kawasan Gua Musang, serta di Pahang untuk kawasan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera.

Di Johor juga menerima amaran serupa di Mersing dan Kota Tinggi sehingga 23 November ini.

Amaran waspada juga dijangka melibatkan beberapa kawasan di Sabah seperti Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat bermula 23 sehingga 25 November ini.

Amaran hujan berterusan (buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan atau ribut petir yang dijangka berlaku lebih enam jam dalam tempoh tertentu di sesuatu kawasan. #Kosmo

Share:

Haram Guna Dan Jual Vape, Dewan Pemuda PAS Pahang Zahir Sokongan Penuh Terhadap Titah Sultan

TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Pahang menyatakan sokongan penuh terhadap titah Tuanku Sultan Pahang yang mengharamkan 

Ketuanya, Mohd. Zarimi Abu Zih berkata, titah baginda merupakan langkah tepat dan wajar dalam memastikan kesejahteraan rakyat khususnya generasi muda.

“Kami Pemuda PAS Pahang dengan penuh keinsafan dan tanggungjawab menyatakan sokongan dan dukungan penuh terhadap titah Tuanku Sultan Pahang mengharamkan penggunaan dan penjualan vape secara keseluruhan di Negeri Pahang.

“Kami amat menghargai keprihatinan baginda Tuanku Sultan terhadap ancaman kesihatan yang berpunca daripada penggunaan Vape,” katanya melalui hantaran di laman Facebook Dewan Pemuda PAS Pahang, semalam.

Katanya, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 43 peratus remaja di Malaysia telah mencuba vape di mana 15.8 peratus pengguna aktif adalah bawah umur 18 tahun.

Tambahnya, statistik itu menunjukkan bahawa ancaman ini sedang merosakkan generasi muda, yang merupakan aset penting negara. 

Lebih membimbangkan lagi katanya, tindakan Kerajaan Persekutuan melalui Kerajaan Madani yang mengeluarkan nikotin cecair vape daripada Akta Racun telah membuka ruang kepada lebih ramai anak muda terjebak dalam gejala ini.

Justeru, katanya Pemuda PAS menyeru kerajaan negeri melalui Exco Kesihatan dan Exco Belia untuk melakukan tindakan segera dan beberapa langkah wajar dan perlu diambil.

“Antaranya, kempen kesedaran dan pendidikan kesihatan yang memberi maklumat menyeluruh mengenai bahaya vape kepada kesihatan fizikal dan mental.

“Seterusnya, penguatkuasaan undang-undang dengan memastikan pengharaman vape dilaksanakan dengan tegas melalui kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasa,” ujarnya. 

Tambah beliau, pihaknya mencadangkan kerajaan negeri menyediakan program pembangunan belia yang membentuk anak muda lebih berdaya saing tanpa terjebak dalam budaya hedonisme.

Katanya, menurut data yang ditunjukkan, peningkatan dalam kes ketagihan nikotin melalui vape menyebabkan risiko 40 peratus lebih tinggi untuk beralih kepada rokok tembakau dan ini akan menambah beban kos rawatan kesihatan negara.

Sebagai pemimpin jelasnya, generasi muda perlu diacu dengan acuan nilai yang kukuh, bukan membiarkan mereka terjerumus dalam gaya hidup yang memudaratkan. 

“Kami Pemuda PAS Pahang sekali lagi menegaskan sokongan kami terhadap titah Tuanku Sultan dan menyeru semua pihak untuk turut menjunjung titah ini.

“Bersama, kita memastikan Pahang menjadi negeri bebas vape dan menjadi contoh kepada seluruh negara,” katanya lagi. #Harakahdaily

Share:

Wanita Dilaporkan Hilang Junaida Abdul Rahim Sudah Ditemui Di Kuantan, Beri Keterangan Hari Ini

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan seorang wanita dikenali sebagai Junaida Abdul Rahim yang dilaporkan hilang sejak 15 November lalu kini berada di Kuantan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan oleh ahli keluarga wanita terbabit lewat malam tadi.

“Ya betul (mangsa telah ditemui) dan ahli keluarga maklumkan lewat malam tadi, dia berada di Kuantan.

“Hari ini dia (Junaida) akan balik ke Shah Alam untuk berjumpa pegawai penyiasat bagi diambil keterangan,” katanya secara ringkas ketika dihubungi.

Semalam, polis memaklumkan menerima tiga laporan berhubung wanita itu yang tidak dapat dihubungi selepas keluar ke tempat kerja pada Jumaat lalu.

Mohd Iqbal melaporkan, laporan kes Orang Hilang (OH), Junaida, dibuat kakak kandung mangsa awal pagi kelmarin.

Berdasarkan laporan diterima, wanita berusia 42 tahun dan masih bujang itu keluar dari rumah sewanya di Seksyen 17, Shah Alam kira-kira jam 11 pagi.

Wanita yang menaiki kenderaan jenis Mitsubishi Triton itu dipercayai menuju ke tempat kerja di Subang Jaya.

Tambah Mohd Iqbal, kenderaan yang dinaiki mangsa merupakan pemilik sebuah agensi takaful di Subang Jaya itu ditemukan di tepi jalan di Jalan Ampang, di sini. #MalaysiaGazette

Share:

Rizal Jamin: Penilaian BERSIH Terhadap Kerajaan Perpaduan Terlalu Sempit Dan Tidak Menyeluruh

KUALA LUMPUR: Penilaian Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun memerintah negara dilihat terlalu sempit dan tidak menyeluruh.

Pengerusi PKR Pahang, Rizal Jamin, berkata walaupun analisis BERSIH terhadap beberapa aspek seperti reformasi pilihan raya dan pemansuhan beberapa undang-undang tertentu wajar diberi perhatian dan terdapat banyak isu struktur negara yang lebih kritikal tidak dimasukkan dalam penilaian mereka.

"Adakah hanya isu-isu ini menjadi punca masalah struktur negara? Bagaimana pula dengan reformasi fiskal, reformasi perkhidmatan awam dan hubungan antarabangsa? Senarai ini sebenarnya jauh lebih panjang.

"Kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah membuat keputusan berani dengan memberi keutamaan kepada reformasi penting yang lebih besar impaknya terhadap negara, namun usaha itu tidak diambil kira dalam penilaian BERSIH," katanya dalam satu kenyataan.

Rizal berkata, rakyat diingatkan mengenai kesan kewangan besar yang diwarisi daripada skandal 1MDB serta kelembapan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

"Dengan hutang terkumpul negara mencecah lebih RM1.2 trilion dan defisit belanjawan tahunan sekitar lima peratus, kerajaan telah melaksanakan langkah reformasi fiskal yang menyeluruh untuk memulihkan kewangan negara.

"Inisiatif seperti memperluaskan sumber pendapatan kerajaan, menambah baik proses perolehan dan mengurangkan defisit belanjawan secara beransur-ansur telah berjaya mengembalikan keyakinan pasaran sehingga penarafan kredit negara dinaikkan kepada A- oleh S&P dan BBB+ oleh Fitch Ratings. Tetapi, mengapa kejayaan ini tidak diambil kira oleh BERSIH?", katanya.

Tambah beliau, kerajaan turut memberikan fokus kepada reformasi sosial untuk menangani ketidaksamarataan pendapatan membabitkan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah yang telah ditingkatkan secara signifikan sejak 2022.

"Inisiatif untuk menamatkan kemiskinan tegar menerusi bantuan tunai langsung, kenaikan gaji 15 peratus untuk penjawat awam serta subsidi bahan api bersasar adalah bukti komitmen kerajaan terhadap kebajikan rakyat. Tetapi, mengapa usaha ini juga tidak diambil kira.

"BERSIH digesa untuk memberikan penjelasan terhadap keutamaan reformasi yang diambil kira dalam kad laporan mereka.

"Adakah semua inisiatif reformasi yang saya sebutkan itu kurang penting berbanding yang diketengahkan BERSIH.

"Jika mereka perlu mengutamakan reformasi dalam tempoh masa tertentu, yang manakah akan BERSIH laksanakan dahulu? Jika reformasi itu dimasukkan, apakah markah Kerajaan Perpaduan masih kekal di tahap 'D'?" katanya.

Katanya, adalah penting untuk menilai prestasi kerajaan secara adil dan menyeluruh agar ia mencerminkan realiti sebenar usaha yang telah dilaksanakan.

Semalam, BERSIH memberi gred D iaitu 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara.

Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pemarkahan yang diberi menunjukkan wujud jurang signifikan dari aspek kemajuan, progres dan tindakan ke arah pelaksanaan reformasi.

Beliau berkata, BERSIH ingin menekankan bahawa manifesto pilihan raya tetap terikat walaupun parti lain menyertai gabungan dan ia sepatutnya memberikan kelebihan dalam memenuhi kesemua agenda reformasi. #BeritaHarian

Share:

Al-Sultan Abdullah Terima Menghadap Ahli Dewan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Pahang

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Ahli Dewan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Pahang di Istana Abdulaziz, di sini.

Delegasi diketuai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Patik mewakili ADUN PN Pahang merafak sembah dan menjunjung kasih di atas kesudian Ke bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah untuk menerima menghadap kesemua ADUN PN Pahang.

“Patik menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan Baginda Tuanku terhadap hal ehwal rakyat di seluruh negeri Pahang, termasuk kawasan-kawasan yang diwakili oleh kami, ADUN PN.

“Patik bersama-sama rakan komited untuk menjadi suara rakyat yang berintegriti dan berwibawa demi kesejahteraan serta kemakmuran negeri tercinta.

“Semoga Baginda Tuanku sentiasa berada di bawah lembayung rahmat dan kasih sayang Allah SWT,” katanya di platform media sosial Facebook hari ini.

Komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ialah BN dan PN masing-masing mempunyai 17 kerusi, manakala PH menang lapan kerusi. #Harakahdaily

Share:

Dua Kakitangan Sek Keb Limau Purut Lipis Maut Kemalangan, Kereta Bertembung Lori

LIPIS: Dua wanita yang merupakan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Purut maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Kilometer 15 Jalan Lipis-Jerantut berdekatan Kampung Jeram Bungor di sini kira-kira pukul 2.30 petang semalam. 

Dalam kejadian itu, mangsa, Nurshida Md. Najib, 38, bersama rakannya, Nurulfarhana Yahaya, 31, disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas perubatan.

Pemandu lori berusia 31 tahun dan kelindannya yang berusia 33 tahun mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Lipis untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, siasatan mendapati, kemalangan berlaku ketika lori jenis Daihatsu dipandu lelaki Melayu bersama kelindannya dalam perjalanan dari arah Gua Musang, Kelantan ke Kampung Gemuncur, Mela di sini untuk mengambil tayar.

“Dua wanita terbabit dalam perjalanan dari SK Limau Purut menuju ke Pejabat Pendidikan Lipis atas urusan kerja.

“Setiba di tempat kejadian, kedua-dua kenderaan itu bertembung secara bertentangan menyebabkan Nurshida yang memandu kereta Proton Saga seorang Pembantu Operasi dan penumpang hadapan, Nurulfarhana yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir sekolah itu disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.

Menurut Ismail, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #UtusanMalaysia

Share:

Aireroshairi Roslan Yakin Perikatan Nasional Mampu Rampas Pahang Pada PRU Yang Akan Datang

KUANTAN: Keyakinan Perikatan Nasional (PN) Pahang menawan Pahang bukan ‘angan-angan kosong’ tetapi berdasarkan kemampuan gabungan itu memberi tawaran lebih baik kepada rakyat, kata Ketua Penerangannya PN Aireroshairi Roslan.

Aireroshairi berkata pentadbiran Pahang ketika ini juga mempunyai banyak kelemahan walaupun Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mendakwa prestasi Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail sangat baik.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan ‘terbukti nasib rakyat susah terbela’ dibawah pentadbiran PH-BN Pahang kerana mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia 2022, kadar kemiskinan di negeri masih mencecah 4.4% berbanding 3.8% purata nasional.

“…ini bermakna lebih 74,000 rakyat Pahang masih hidup dalam kemiskinan di bawah pentadbiran ‘cemerlang’ ini.

“Soal saya di manakah pembelaan yang didakwa apabila projek perumahan rakyat seperti Rumah Mampu Milik Pahang masih tersekat-sekat dan tertunggak sekian lamanya,” katanya.

Aireroshairi mengulas kenyataan pemimpin PH dan BN Pahang bahawa kerajaan perpaduan di negeri itu sudah terbukti, dengan pelbagai bantuan disalurkan kepada rakyat sekali gus menoktahkan ‘angan-angan’ PN menawan negeri itu pada PRU16.

Aireroshairi turut mempersoalkan dakwaan ‘prestasi terbaik’ Wan Rosdy apabila kedudukan pelaburan negeri merosot ke tangga ke-8 berbanding negeri lain, isu pencemaran di Cameron Highlands yang masih berlarutan, pembalakan tidak terkawal.

“Inilah pentadbiran terbaik yang dimaksudkan?, soalnya.

Beliau yang juga ketua penerangan PAS Pahang juga menolak dakwaan Ketua Pemuda UMNO Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed bahawa PAS ‘semakin kurang menarik’ untuk ditawarkan kepada rakyat Pahang dan sering memainkan sentimen agama untuk mendapatkan sokongan politik.

“Tuduhan ini adalah naratif lapuk yang sering digunakan untuk memburukkan perjuangan Islam. Di manakah sentimen agama apabila kita membangkitkan isu rasuah dan salah guna kuasa? #FreeMalaysiaToday

Share:

Tengku Ampuan Pahang Kembali Bergelar Mahasiswa Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

SHAH ALAM: Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkongsi berita gembira bahawa baginda kini kembali bergelar mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Perkongsian tersebut dibuat menerusi akaun rasmi TikTok baginda @cmspahang pada Ahad.

Menerusi hantaran itu, baginda memuat naik gambar memegang kad pelajar yang tertera International Institute of Islamic Thought and Civilization.

“Kembali ke sekolah, doakan saya” titah baginda di ruangan kapsyen.

Pengumuman berkenaan turut mendapat perhatian daripada warga maya di Tik Tok dan mengharapkan dapat berjumpa dengan baginda.

"Tuanku, selamat menjadi mahasiswa IIUM. Semoga kita dapat bersua muka di mana-mana kuliyah nanti, amin,' kata Dilla J.

"Jangan lewat buat tugasan Tuanku," seloroh famin.

Dalam pada itu, UIAM turut berkongsi hantaran Tunku Azizah mengenai berita tersebut di laman Facebook mereka.

Baginda sebelum ini dilapor dilantik semula sebagai Ketua Perlembagaan UIAM bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa mulai 31 Januari lalu.

Pelantikan semula Tunku Azizah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (pada ketika itu).

Ia merupakan penggal kedua baginda menjawat jawatan berkenaan selepas dilantik bagi penggal pertama pada 2019.

Baru-baru ini juga Tunku Azizah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Seni Kreatif dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) atas sumbangan dalam memperkasa serta memartabatkan seni warisan budaya pada peringkat antarabangsa.

Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-100 di Dewan Agung Tuanku Canselor, kampus induk UiTM, Shah Alam, Selangor pada Rabu.#SinarHarian

Share:

Bimbang Terhadap Penyalahgunaan Dadah, Sultan Pahang Titah Vape Perlu Diharamkan Secara Total

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan dadah di negeri ini dan berharap semua pihak khususnya ibu bapa mengawasi anak mereka.

Baginda bertitah menerusi maklumat yang diterima daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kira-kira 11,750 individu kini berada di bawah pengawasan agensi itu dan daripada jumlah berkenaan sebanyak 57 peratus melibatkan individu berusia lingkungan 15 hingga 30 tahun.

"Sedihnya ia (penyalahgunaan dadah) melibatkan anak-anak kita sendiri, sudah sampai masanya ibu bapa di Pahang tidak kira anak terlibat atau tidak terlibat, bangkit untuk bantu dengan berilah nasihat sewajarnya... angka berkenaan membimbangkan, saya bimbang jika tidak diawasi mungkin (bilangan penagih) bertambah.

"Ada beberapa daerah tertentu perlu diberi perhatian, antara sebab mereka terlibat antaranya bermula dengan rokok kemudian vape (rokok elektronik) yang rosakkan kesihatan... saya akan nyatakan kepada pihak kerajaan supaya alat vape ini perlu diharamkan secara total," titah baginda.

Bagi mengekang penyalahgunaan dadah, baginda bertitah semua pihak perlu berganding bahu memerangi masalah terbabit.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) 2024 di sini hari ini yang menyaksikan seramai 52 orang menerima anugerah masing-masing.

Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Panglima Raja Brig Jen Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agar kurikulum di semua madrasah dan pondok di negeri ini dapat diselaraskan supaya tiada pelajar ketinggalan dari segi pencapaian akademik.

Justeru, baginda menitahkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP), Yayasan Pahang, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dan Univerisiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) membantu madrasah dan pondok berkenaan.

Baginda turut menzahirkan perasaan kagum dan bangga selain mengucapkan tahniah kepada bekas pelajar MTNP dan guru atas pelbagai kejayaan yang dilakar antaranya muncul sekolah terbaik menerusi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023. #AstroAwani

Share:

Sultan Pahang, Tengku Ampuan Zahir Tahniah Kepada Siti Nurhaliza Terima Anugerah Biduan Negara 2024

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan tahniah kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin yang menerima Anugerah Biduan Negara 2024.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan harapan agar gelaran yang diterima anak jati Kuala Lipis itu dapat menyuntik semangat beliau untuk terus melakar lebih banyak lagi kejayaan pada masa akan datang.

"Baginda berdua juga berharap pencapaian diperolehnya mampu menjadi dorongan untuk individu lain mencapai kejayaan maksimum dengan usaha yang bersungguh-sungguh," menurut catatan di Facebook Kesultanan Pahang.

November lalu, meletakkannya sebagai penerima ketiga anugerah berprestij itu selepas penerima pertama, Allahyarham Puan Sri Saloma pada 1978, dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006.

Mula menceburi industri seni pada 1995, Siti Nurhaliza sepanjang pembabitannya telah memenangi lebih 300 anugerah dari dalam dan luar negara, termasuk 42 anugerah pada Anugerah Industri Muzik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (25), Anugerah Planet Muzik (28), MTV Asia Award (empat), selain pengiktirafan Malaysia Book Of Records sebanyak dua kali.

Selain itu, beliau juga telah merakamkan lebih 200 lagu menerusi 20 album, mengadakan lebih 60 konsert di dalam dan luar negara serta disenaraikan sebagai 500 Muslim Berpengaruh Dunia 10 tahun berturut-turut, di samping pernah mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall London pada 2005. #BeritaHarian

Share:

Kejayaan Kutipan Hasil Lepasi RM1 Bilion Tiga Tahun Berturut-Turut Bukti Tiada Sebab Tukar MB Pahang

KUANTAN: Kejayaan luar biasa Kerajaan Negeri Pahang mencatatkan kutipan hasil melepasi sasaran RM1 bilion  untuk tiga tahun berturut-turut membuktikan pentadbiran Menteri Besar, Dato' Sri Diraja Hj Wan Rosdy Wan Ismail bersama pasukannya ternyata cekap, profesional dan wajar dikekalkan.

Demikian ditegaskan oleh aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli, 53, ketika dihubungi hari ini. Beliau turut kagum kerana jumlah kutipan hasil  sudah mencecah RM1.06 bilion, biar pun tahun 2024 ada sebulan lagi untuk berakhir.

Ini sesuatu yang menakjubkan kata Shukri. Bukan mudah untuk mencapai sasaran seperti itu jika tiada sokongan padu dari pada semua pihak terutamanya daripada kakitangan kerajaan negeri.

Justeru beliau menempelak slogan 'PAS Teraju Pahang' yang dilaung-laungkan oleh parti pembangkang di negeri ini yang mahu rakyat menyokong mereka untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang.

"Untuk apa rakyat mahu tukar kerajaan yang sudah melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan terbukti berkesan?. Tukar kerajaan tidak boleh dijadikan bahan ujikaji buat rakyat. Tambahan pula ketika prestasi kerajaan untuk menunjukkan peningkatan yang terbaik.

"Saya tidak nampak atas alasan apa, pembangkang nak tukar kerajaan yang berwibawa seperti hari ini. Jika hanya kerana mahu mengambil alih kuasa politik, rakyat tidak boleh dijadikan alat untuk berbuat demikian. Lainlah jika rakyat langsung tidak mendapat nikmat atas pencapaian dan kejayaan tersebut." kata Shukri.

Beliau menambah, prestasi yang ditunjukkan oleh Kerajaan Pahang hari ini adalah satu sejarah yang tidak pernah terjadi selama ini. Justeru sudah semesti barisan kepimpinan yang ada hari ini dikekalkan. 

Wan Rosdy katanya seorang pemimpin yang cukup berwibawa dalam membawa perubahan besar atas kejayaan ini. Tidak ada sebab untuk rakyat memperjudikan nasib mereka dengan memilih pihak lain yang belum tentu boleh melakukan perkara yang sama.

Justeru tambah Shukri, rakyat Pahang usahlah terpedaya dengan dakyah politik murahan yang langsung tidak releven dengan senario hari ini. 

"Lainlah, kerajaan Pahang hari ini gagal meningkatkan ekonomi dan membantu rakyat menerusi berbagai sumbangan seperti Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang mencecah ratusan juta ringgit sejak ia dilaksanakan.

"Rakyat Pahang perlu berikan sokongan padu agar kepimpinan Kerajaan Pahang yang ada sekarang ini terus kekal releven menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti. Buat pilihan yang bijak, usah terpedaya dengan emosi politik semata-mata," tambah beliau lagi. #PahangDaily

Share:

Isu Jual Tanah Di Gebeng, Kerajaan Pahang Teliti Tindakan Undang-Undang Terhadap Andansura

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Andansura Rabu yang didakwa cuba menimbulkan persepsi mengenai perjanjian jual beli tanah yang dimeterai antara Pasdec Holdings Berhad (PASDEC) dengan Petroluxe Refinery (M) Sdn Bhd (PETROLUXE), 13 November lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Penasihat Undang-Undang Negeri telah diminta untuk meneliti perkara itu sekiranya terdapat sebarang unsur fitnah, menghasut serta menimbulkan sangkaan jahat terhadap kerajaan negeri.

Menurutnya, perjanjian jual beli yang dimeterai antara PASDEC dengan PETROLUXE untuk tanah seluas 23.96 hektar di Gebeng melibatkan tanah pajakan 99 tahun untuk kegunaan industri.

"Sebagai pemaju hartanah, PASDEC membangunkan bank tanah yang dimiliki sama ada secara sendiri, melalui usaha sama atau penjualan kepada pihak yang akan memajukan projek tertentu dan ianya merupakan urusniaga biasa bagi syarikat terbabit.

"PETROLUXE pula akan membangunkan sebuah kompleks bersepadu loji penapisan minyak dan petrokimia yang melibatkan pelaburan berjumlah kira-kira RM3 bilion di atas tanah tersebut.

"Sebagai pelabur, PETROLUXE semestinya memerlukan jaminan guna pakai tapak loji penapisan tersebut secara berterusan dengan membeli tanah tanpa perlu menyewa untuk jangka masa yang terhad," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Wan Rosdy berkata, menerusi perjanjian tersebut, PASDEC akan memperoleh kira-kira dua peratus ekuiti dalam syarikat usaha sama itu dan tidak munasabah sekiranya PASDEC mempermodalkan tanah tersebut," katanya melalui kenyataan pada Sabtu bagi menjelaskan berhubung kenyataan Andansura yang didakwa cuba menimbulkan persepsi mengenai perjanjian jual beli tanah tersebut.

Wan Rosdy berkata, melalui hasil jualan tanah tersebut, PASDEC boleh mempercepatkan pembinaan projek-projek perumahan dan komersial yang sudah dalam perancangan.

"Projek-projek itu akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Pahang memiliki kediaman selesa pada harga yang berpatutan," katanya.

Jelas beliau lagi, Petroluxe adalah syarikat tempatan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pemegang saham majoritinya, Unigrand Petroluxe Sdn Bhd justeru tidak wujud isu pemilikan syarikat asing secara terus seperti didakwa.

"Syarikat itu juga sudah memperoleh kelulusan secara dasar daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mendirikan sebuah loji penapisan.

"Pelaburan itu bakal memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi

Negeri Pahang termasuk mewujudkan peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan, limpahan peluang perniagaan dan percambahan ekonomi hiliran," ujarnya.

Sementara itu, dalam kenyataan tersebut, Wan Rosdy turut menjelaskan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah hanya untuk menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut.

"Saya berharap rakyat tidak terkeliru dengan permainan persepsi yang cuba ditimbulkan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang itu seolah-olah Pasdec sewenang-wenangnya menjual tanah kepada pihak luar tanpa ada perancangan jangka masa panjang," ujarnya. #SinarHarian

Share:

8,000 Penjawat Awam Di Pahang Bakal Terima 'Durian Runtuh' Menerusi Bantuan Khas Kewangan

KUANTAN: Bagi menghargai dan tanda terima kasih kerajaan Pahang pada kira-kira 8,000 penjawat awam di negeri berkenaan, mereka akan menerima 'durian runtuh' menerusi Bantuan Khas Kewangan (BKK).

Jumlahnya akan diumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, pada 29 November ini.

Tahun lalu penjawat awam yang menjadi tulang belakang kemajuan Pahang yang meraih hasil negeri mencapai sasaran RM1 bilion menerima BKK satu bulan setengah gaji atau dengan minimum RM2,000.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy ketika dihubungi, menegaskan kira-kira 8,000 penjawat awam pelbagai agensi di Pahang pasti menerima BBK yang disediakan kerajaan negeri setiap tahun.

"Tunggu pengumuman Belanjawan 2025 yang akan diumumkan tidak lama lagi, ketika itu saya akan umumkan BBK yang akan diberikan pada penjawat awam Pahang.

"Banyak mana (jumlah BBK) tidak pasti lagi, tetapi yang pasti tetap ada... insya-Allah," katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Tahun lalu jumlah keseluruhan peruntukan bagi bantuan berkenaan ialah berjumlah RM39.6 juta membabitkan kira-kira 8,000 penjawat awam Pahang. #HarianMetro

Share:

Majlis Bandaraya Kuantan Siap Sedia Hadapi Musim Tengkujuh, Anjur Program Kepada Sukarelawan

KUANTAN: Sebagai langkah siap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah menganjurkan Program Sedia! Sukarelawan: Taklimat Persediaan Banjir Kuantan 2024 yang menyaksikan lebih 100 sukarelawan terlibat.

Menurut satu kenyataan, sukarelawan yang mengambil bahagian dalam program yang diadakan di Bilik Seminar MBK itu terdiri daripada pimpinan komuniti, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan tinggi.

Kenyataan sama memaklumkan, program yang diadakan baru-baru ini, bertujuan memberikan pengetahuan kepada sukarelawan komuniti tentang peranan yang dimainkan agensi-agensi berwajib dalam mengendalikan pengurusan bencana dan bantuan khususnya menghadapi banjir pada musim tengkujuh pada Disember hingga Januari 2025. 

"Program ini juga memberi peluang kepada anggota komuniti dan organisasi bukan kerajaan untuk berkongsi bidang kepakaran masing-masing yang boleh disumbangkan bagi memastikan kita sebagai komuniti lebih bersedia untuk menghadapi MTL yang membawa risiko ribut dan banjir.

"Ia merupakan inisiatif bersama di bawah Program Kepimpinan Dan Kejiranan APPGM-SDG serta Ahli Majlis Bandaraya Kuantan dengan kerjasama beberapa organisasi utama dalam komuniti termasuk Wanita Inspirasi Kuantan (WINK), Kuantan Prihatin, Pertubuhan Komuniti HARAP Kuantan, Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO), Yayasan Madani, Yayasan Belia Malaysia dan Pertubuhan IKRAM Pahang," katanya.

Program berkenaan dirasmikan Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi yang juga Penyelaras DUN (KEADILAN) Inderapura, Kuantan berharap inisiatif bersama itu dapat diperkukuhkan dan diperkemaskan bagi memastikan pengendalian bencana dapat diuruskan dengan lebih baik. 

"Tahniah saya ucapkan kepada sukarelawan yang hadir terutamanya kumpulan belia daripada pelbagai institusi pendidikan sekitar Kuantan yang menunjukkan semangat khidmat dan prihatin," kata Fakhrul.

Agensi yang telah hadir memberikan taklimat antaranya wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Norsuriani Khamarludin; wakil Penolong Pengarah Kanan Bahagian Komuniti, Agensi Pengurusan Bencana Nasional (NADMA); Nurfarahin Abd Aziz; Penolong Pengarah Kanan Seksyen Pembangunan Komuniti Dan Sosial Angkatan Pertahanan Awam (APM), Mejar (PA) Zahidi Zainudin serta Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuantan.

Program turut diisi dengan perkongsian pengalaman oleh Pengerusi Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) Prof Dr Dinsuhaimi Sidek. 

Program pemerkasaan kepimpinan belia akan diteruskan selepas ini di bawah Projek Ikatan Muda Prihatin Kuantan (IMPAK) di bawah tajaan APPGM-SDG. #SuaraKeadilan

Share:

MetMalaysia Keluarkan Amaran Hujan Berterusan Tahap Buruk Di Pahang, Johor Hingga 23 November

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di Pahang dan Johor hingga 23 Nov ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan keadaan cuaca itu dijangka melanda Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang, manakala Segamat, Kluang, Mersing serta Kota Tinggi di Johor.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada pada masa sama di seluruh Terengganu dan Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh serta Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera).

Ia turut memaklumkan amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Melaka, manakala Negeri Sembilan melibatkan kawasan seperti Kuala Pilah, Jempol dan Tampin serta Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru) hingga Rabu ini. #FreeMalaysiaToday

Share:

Wan Rosdy: Tanah Di Gebeng Yang Dijual Oleh PASDEC Untuk Pajakan 99 Tahun, Bukannya Hak Milik Kekal

KUANTAN: Kerajaan Pahang menjelaskan penjualan tanah perindustrian di Harbour Bay, dekat Gebeng kepada sebuah syarikat adalah dengan tempoh pajakan 99 tahun, bukannya menjadi hak milik kekal.

Menteri Besar, Datuk Seri Hj Wan Rosdy Wan Ismail berkata demikian ketika menjawab kenyataan  Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Andansura Rabu berkaitan perkara itu, yang menurutnya dibuat dengan niat menimbulkan persepsi tidak baik kepada kerajaan negeri.

Wan Rosdy berkata, penjualan tanah seluas 23.96 hektar kepada Petroluxe Refinery (M) Sdn Bhd (Petroluxe) adalah untuk kegunaan industri, dengan syarikat itu akan membangunkan kompleks bersepadu loji penapisan minyak dan petrokimia membabitkan pelaburan kira-kira RM3 billion. 

"Sebagai pelabur yang akan melaburkan sejumlah wang yang besar untuk mendirikan loji berkapasiti tinggi di atas tanah itu, Petroluxe memerlukan jaminan pihaknya boleh mengguna pakai tapak loji penapisan tersebut secara berterusan, iaitu dengan membeli tanah tanpa perlu menyewa untuk jangka masa terhad, " katanya dalam kenyataan.

Dia juga menegaskan Petroluxe adalah syarikat tempatan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dengan pemegang saham utama adalah Unigrand Petroluxe Sdn Bhd. 

Oleh itu, katanya lagi, tidak wujud isu pemilikan tanah oleh syarikat asing secara terus. 

Bagaimanapun, laporan Bernama pada 13 November lalu berkenaan penjualan tanah itu menyebutkan Petroluxe adalah syarikat milik pelabur dari China.

Semalam, Andansura meminta kerajaan negeri dan Pasdec Holdings Bhd (Pasdec) memberi penjelasan berhubung penjualan tanah itu kepada syarikatnya yang menurutnya dari China.

Adun Beserah itu berkata, ini kerana butiran lengkap berkaitan transaksi berkenaan tidak didedahkan.

"Adakah penjualan itu memberikan hak milik kekal kepada syarikat dari China atau hak milik sementara...Kalau hak milik sementara, berapa lama jangka waktu hak milik sementara itu," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata penjualan tanah kepada pelabur dari negara luar untuk membangunkan industri bukan perkara baru, malah sudah lama diamalkan kerajaan-kerajaan negeri di Malaysia.

"Saya juga telah meminta Penasihat Undang-Undang Negeri meneliti dan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya jika terdapat sebarang unsur fitnah, menghasut serta menimbulkan sangkaan jahat terhadap kerajaan Pahang," katanya lagi. #Malaysiakini


Share:

Lebih 1,000 Jemaah Imarahkan Program ‘Subuh Macam Raya’ Di Masjid Imam Ash-Shafie KotaSAS

KUANTAN: Lebih 1,000 penduduk dari 16 taman perumahan di Kotasas di sini memeriahkan dua program serentak iaitu ‘Subuh Macam Raya’ dan 5 Kilometer Rentas Kota With 1001 Neighbourhood’.

Program anjuran Masjid Imam Ash-Shafie dengan kerjasama Kotasas Badminton Club (KSBC) itu bermula dengan solat subuh yang melibatkan penduduk setempat termasuk ahli keluarga mereka.

Bermula daripada solat subuh, penduduk terbabit kemudian menyertai pula larian sejauh lima kilometer yang juga disertai kanak-kanak.

Program menjadi bertambah menarik serta meriah apabila lebih 125 hadiah cabutran bertuah berupa motosikal elektrik, sofa, televisyen, skuter elektrik, kasut sukan, peralatan perkhemahan dan beberapa peralatan elektrik lain.

Pengerusi Masjid Imam Ash-Shafie, Izudin Muhamad Amin memberitahu, selain bertujuan mengimarahkan masjid terutama pada solat subuh, program itu juga bagi mengeratkan lagi ukhwah.

Beliau berkata, program itu juga memberi kesempatan kepada penduduk untuk saling mengenali antara satu sama lain.

Jelasnya, kejayaan program itu membuktikan wujud kerjasama dalam kalangan penduduk dari 16 taman perumahan di Kotasas.

“Sebenarnya kami terpaksa mengehadkan penyertaan kira-kira 1,000 orang sahaja walaupun hingga saat akhir ada lagi kalangan penduduk dari pelbagai kaum yang hendak menyertainya.

“Namun mereka yang tidak menyertai larian tersebut kerana pendaftaran telah tutup masih turut menyertai program ini kerana terdapat kios-kios disediakan antaranya pemeriksaan mata dan sebagainya.

“Harapan kami, agar melalui program ini Masjid Imam Ash-Shafie dapat terus diimarahkan lagi terutama dalam program-program tazkirah dan sebagainya,” katanya.

Solat subuh macam raya itu dipimpin oleh Imam Shafiq Mohamed.

Pada program tersebut, hadiah-hadiah cabutan bertuah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang (Lantikan), Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari.

Turut hadir Pengerusi Kotasas Badminton Club (KSBC), Mohamad Sapari Shamsul Bahrin.

Penduduk dari 16 taman perumahan yang melibatkan lebih 1,000 orang menyertai larian 5 kilometer di Tasek, Kotasas, Kuantan, Pahang hari ini.

Sementara itu, pengarah bersama program tersebut, Mohd. Izhar Izaidin Yahya memberitahu, perancangan program tersebut telah diatur sejak dua bulan lepas yang melibatkan wakil-wakil penduduk.

“Kami mendapat kerjasama semua pihak termasuk pengurusan Kotasas sendiri. Dari program ini diharap apa jua perancangan untuk penduduk pada masa hadapan dapat jadikan realiti,” katanya.

Pemenang hadiah utama cabutan bertuah, Khairul Anwar Mohamed bersama motosikal yang dimenanginya. Turut kelihatan Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari (berdiri, dua dari kanan) dan Izudin Muhamad Amin (berdiri, kiri).

Seorang lagi pengarah bersama program berkenaan, Jalaluddin Puteh pula memberitahu, menjadi harapan pihaknya agar setiap aktiviti penduduk termasuk acara sukan dapat dilakukan melalui Masjid Imam Ash-Shafie.

“Pihak pengurusan masjid akan sentiasa memberi kerjasama dan sokongan kepada program-program penduduk di Kotasas,” katanya. #MalaysiaGazette

Share:

Isu 'Punggah' Bauksit Di Kuantan, Kerajaan Pahang Sedia Berikan Kerjasama Penuh Kepada SPRM


KUANTAN: Kerajaan Pahang akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan membabitkan kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar daerah ini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata beliau memandang serius kes terbabit kerana kegiatan itu menyebabkan kerugian daripada segi hasil kerajaan negeri.

"Saya mengalu-alukan tindakan SPRM untuk menjalankan siasatan kerana ia membabitkan hasil kerajaan negeri.

"Apabila berlakunya kecurian mineral bauksit, kerajaan negeri akan kehilangan hasil dan apapun kita tunggu keputusan mahkamah sebab masih lagi dalam peringkat siasatan.

"Malah, mereka yang melakukan kesalahan mencuri, apapun aktiviti haram bukan sahaja dikompaun, mereka akan terus ke mahkamah, itu menunjukkan betapa serius kita.

"Dengan adanya SPRM, lagi baiklah untuk kita meminimakan atau menghapuskan langsung ketirisan hasil kerajaan negeri sebab ini membabitkan hasil.

"Apabila berlakunya kecurian sebegini, kerajaan negeri akan kehilangan hasil dan yang ruginya rakyat," katanya ketika diminta mengulas penahan tiga individu berkaitan kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah.

Wan Rosdy ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) daerah Kuantan di Dewan Atabara di sini, hari ini. #HarianMetro

Share:

Azam Baki: 'Datuk Seri' Disyaki Dalang Aktiviti Punggah Bauksit Tanpa Ikuti Prosedur Sekitar Kuantan

KAJANG:  Seorang individu bergelar Datuk Seri disyaki menjadi dalang kegiatan memunggah hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar Kuantan, Pahang.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kes itu dalam peringkat untuk sitaan bauksit yang dibawa ke Terengganu.

"Seorang bergelar Datuk Seri yang dikatakan sebagai 'main players' dalam membawa bauksit dari Pahang ke Terengganu.

"Kita dapati ada unsur penyelewengan sebab difahamkan permit tidak dikeluarkan kepada syarikat berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Program Menembak SPRM Bersama Media 2024 di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di sini pada Sabtu.

Tambahnya, SPRM mendapati pihak polis juga telah mengambil tindakan berkaitan kes itu sebelum ini.

Jelas Azam, di pihaknya tindakan diambil di bawah Akta SPRM termasuk sitaan akaun syarikat terbabit.

Mengulas mengenai pembabitan pegawai agensi berkaitan, kata Azam, pihaknya memerlukan masa untuk menyemak akaun berkaitan.

"Sama ada terlibat atau tidak, saya akan maklum kemudian," ujarnya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan, SPRM menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar Kuantan, Pahang yang disyaki turut dilindungi oleh pegawai sebuah agensi di bawah kerajaan negeri sejak tahun 2022.

Dalam serbuan pada Khamis oleh Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh, tiga individu ditahan membabitkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi terbabit kerana dipercayai terlibat rasuah bagi melindungi kegiatan berkenaan.

SPRM turut menyita wang tunai lebih RM26,000 dan tiga unit telefon bimbit daripada suspek dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Tiga individu berusia 30 hingga 50-an telah direman selama enam hari sehingga 19 November bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. #SinarHarian

Share:

Genting Malaysia Berhad Terima Anugerah Halal Champion Negeri Pahang Bagi Tahun 2024

SHAH ALAM:  Syarikat terkemuka dalam bidang rekreasi dan hospitaliti, Genting Malaysia Berhad mendapat pengiktirafan sebagai Halal Champion Negeri Pahang di majlis pelancaran Halal on Track Pahang 2024.

Penyerahan anugerah yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan itu dihadiri oleh Pengerusi Halal Dalaman Resorts World Genting, Rajis Othman.

Genting Malaysia Berhad dalam satu kenyataan berkata, pengiktirafan itu diberi selepas penyerahan status halal dan penilaian menyeluruh oleh Majlis Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) terhadap operasi harian dan latihan selain dokumentasi Jom Makan SkyAvenue serta Jom Makan Street Food yang dimiliki dan diuruskan Resorts World Genting.

Menurutnya, Genting Malaysia berjaya menduduki tempat 10 teratas daripada 1,500 pencalonan status halal.

"Jom Makan SkyAvenue dan Jom Makan Street Food merupakan restoran gaya medan selera berskala besar di Resorts World Genting sertamematuhi standard halal yang ditetapkan.

"Restoran ini menawarkan pelbagai makanan jalanan Malaysia yang asli. Kedua-duanya popular dalam kalangan ribuan pengunjung harian ke resort yang terletak di puncak gunung Malaysia.

"Ini kerana perkhidmatan cepat, pilihan makanan banyak dan harga berpatutan. Chef di sini menyediakan hidangan mengikut resipi tradisional yang tepat, beberapa daripadanya telah berada dalam arkib makanan resort selama lebih 60 tahun," katanya pada Jumaat.

Turut hadir ke anugerah tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhainee dan Pengarah Hal Ehwal Islam dan Hubungan Kerajaan, Ahmad Syukry Ibrahim.

Tambah kenyataan tersebut, Jom Makan Street Food terkenal dengan Nasi Briyani, Nasi Goreng Kampong, Naan dengan Set Tandoori dan Char Kway Teow manakala Jom Makan SkyAvenue menawarkan antara kepakaran yang lebih popular seperti Nasi Kandar Kari Kambing, Nasi Lemak Bungkus, Mi Kari dan Lotus Curry Bun.

Genting Malaysia Berhad turut berpendapat bahawa Halal on Track Pahang adalah bukti komitmen kerajaan persekutuan dan negeri menerusi kerjasama antara JAKIM serta JAIP dalam memperkukuhkan pensijilan halal Malaysia.

"Program itu bertujuan untuk melaksanakan pendekatan mesra industri yang memberikan sokongan yang diperlukan kepada usahawan untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap pematuhan produk makanan mereka kepada undang-undang pemakanan Islam," ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, Spencer Lee berkata, pihaknya sangat gembira apabila diiktiraf sebagai Halal Champion Negeri Pahang.

"Anugerah ini menunjukkan dedikasi Genting Malaysia terhadap amalan halal dalam F&B sambil menumpukan kepada keterangkuman, kualiti dan kemudahan.

"Ini adalah satu pencapaian penting yang memberi kami asas kukuh untuk mengembangkan lagi tawaran halal kami di Resorts World Genting," katanya. #SinarHarian

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.