script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Tengku Zulpuri Cadang Kerajaan Pahang Tubuh Jawatankuasa Khas, Lantik Pakar Tangani Isu Ceroboh Tanah Haram

KUANTAN: Kerajaan Pahang dicadang mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mencari jalan penyelesaian tuntas berhubung isu pencerobohan tanah haram di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, pencerobohan tanah haram memerlukan kajian mendalam bagi mengatasi dan mencegahnya daripada terus berulang.

"Dicadangkan suatu komuniti atau jawatankuasa khas dibentuk bagi meneliti masalah ini.

"Komuniti ini akan mencadangkan kaedah penyelesaian yang adil dan (secara) menang-menang, terutamanya bagi kes pencerobohan yang telah berlaku terlalu lama dan melibatkan rakyat tempatan mahupun dari luar Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Isnin.

Tengku Zulpuri berkata, jawatankuasa tersebut boleh dianggotainya, bekas pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG), pakar-pakar tanah dari institusi pengajian tinggi atau Institut Tanah Negara, ulamak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), peguam dan lain-lain pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan.

Katanya, jawatankuasa tersebut perlu diberikan tempoh selama tiga bulan untuk mengemukakan cadangan pelan tindakan kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan.

“Pencerobohan perlu dinoktahkan dan tanah-tanah yang telah diceroboh tidak boleh dibiarkan terlalu lama tanpa tindakan, akan berlaku kecurian terhadap tanaman yang boleh dituai dan dijual.

“Adalah mustahil untuk memusnahkan semua tanaman yang telah matang dan berhasil. Maka lebih baik ia dimanfaatkan. Antara tindakan awal yang boleh diambil ialah menerusi hak pungutan hasil tanaman," ujarnya.

Dalam pada itu, Tengku Zulpuri Shah berkata, tindakan kerajaan Pahang secara drastik dan konsisten memotong atau menebang pokok durian telah matang boleh memberi kesan kepada alam sekitar serta ekosistem.

"Apa cara yang dicadangkan, jika tidak dipersetujui atau disukai, itu tidak semestinya tidak baik dan yang dipersetujui atau disukai, tidak semestinya baik sebagaimana kata-kata orang bijak pandai,” katanya.

"Mungkin pihak kerajaan boleh memikirkan cara lain atau pendekatan lain bagi mengatasi masalah ini," katanya. #SinarHarian

Share:

Bekas Pemain Tok Gajah Di Final Piala Malaysia 2014 Minta Sri Pahang Buktikan Segalanya Tidak Mustahil

KUALA LUMPUR: Detik final Piala Malaysia 2014 masih belum dapat dilupakan bekas pemain Pahang, Faizol Hussain yang percaya kejayaan masih boleh dicapai selagi wisel penamat belum ditiupkan.

Pahang berjaya melangkah ke final buat kali kedua berturut-turut pada 2014 selaku juara bertahan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan kini selepas 11 tahun akhirnya kedua-dua pasukan ini kembali ke gelanggang final Piala Malaysia sekali lagi pada 26 April ini.

Namun, selaku bekas pemain yang pernah beraksi bersama skuad 'Tok Gajah', Faizol tidak menolak final 2014 sentiasa diingati menyaksikan skuad kendalian Datuk Zainal Abidin Hassan waktu itu mencipta kebangkitan dramatik yang akhirnya menang menerusi penentuan sepakan penalti.

Dia yang berada dalam kesebelasan utama ketika itu mengakui detik yang paling sukar adalah ketika ketinggalan 1-2 pada separuh masa pertama perlawanan selain Pahang terpaksa beraksi dengan 10 pemain di babak kedua selepas rakan sepasukan, Saifulnizam Miswan dilayangkan kad merah.

Namun, semangat juang yang dipamerkan oleh seluruh pasukan membuktikan segalanya tidak mustahil untuk dicapai selagi mereka bekerja keras untuk Pahang menyamakan kedudukan menerusi jaringan Dickson Nwakaeme sebelum menang dalam penentuan sepakan penalti.

"Waktu itu kalau kita tengok pemain Pahang ini biasa-biasa sahaja kalau hendak dibandingkan dengan pemain JDT yang ramai berkualiti.

"Tetapi, selepas habis separuh masa pertama, jurulatih (Zainal) tetap bagi semangat kepada kami dalam bilik persalinan untuk lawan habis-habisan di separuh masa kedua sehingga akhirnya ke penentuan sepakan penalti.

"Kalau bercakap mengenai sepakan penalti, memang kita harapkan kepada nasib sahajalah dan Alhamdulillah, akhirnya kita berjaya pertahankan trofi waktu itu.

"Sebenarnya pasukan Pahang pada waktu itu memang seperti satu keluarga, sama-sama kerja keras dan Nwakaeme antara yang banyak menceriakan pasukan kita dengan karakternya.

"Sekarang, semua itu sudah jadi kenangan dan saya tetap berbangga selepas 11 tahun, Pahang kembali ke final dan teruskan berjuang sehingga ke wisel penamat," katanya.

Faizol menyeru kepada semua penyokong Pahang untuk hadir membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai tanda sokongan atas usaha keras skuad bimbingan Fandi Ahmad pada musim ini untuk akhirnya ke pentas final Piala Malaysia selepas penantian 11 tahun. #BeritaHarian

Share:

Malaysia Corruption Watch (MCW) Gesa SPRM Buka Semula Kertas Siasatan Pencerobohan Hutan Simpan Di Raub

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) memerangi rasuah, Malaysia Corruption Watch (MCW) mendakwa elemen kelalaian sistematik, pengabaian tanggungjawab atau perlindungan terancang oleh individu tertentu dalam kalangan pihak berkuasa adalah faktor kepada pencerobohan hutan simpan secara besar-besaran di Pahang.

Presidennya, Jais Abdul Karim, berkata MCW menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula atau memperluas kertas siasatan terhadap pelbagai pihak termasuk pegawai kerajaan negeri, wakil rakyat, agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan yang disyaki bersekongkol, melindungi atau membenarkan penerokaan haram berlaku dalam tempoh panjang.

Katanya, MCW juga menggesa SPRM menyiasat aliran kewangan, termasuk kemungkinan berlakunya aktiviti rasuah politik di sebalik kelewatan penguatkuasaan.

"MCW melihat isu ini sebagai lebih daripada isu penguatkuasaan tanah iaitu ia adalah simptom penyakit sistemik yang sudah merosakkan integriti pentadbiran negeri selama puluhan tahun.

"Ini memandangkan pencerobohan ini berlaku selama lebih 40 tahun tanpa tindakan, membabitkan hasil bumi bernilai jutaan ringgit dan kebanyakan pelaku dipercayai beroperasi secara terbuka tanpa rasa takut kepada undang-undang," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Rabu lalu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan tanah di negeri ini tidak boleh diceroboh sewenang-wenangnya dan tindakan sewajarnya harus dikenakan kepada mereka yang terbabit.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya rakyat menjadi 'mata dan telinga' baginda dalam menyalurkan maklumat mengenai isu pencerobohan tanah di negeri ini.

Sebelum ini, operasi penguatkuasaan di kebun durian di Raub menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat apabila pekebun didakwa menunjukkan ketidakpuasan hati kerana tanaman mereka dimusnahkan.

Bagaimanapun kerajaan Pahang menafikan melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.

Jais berkata, MCW juga mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau sekurang-kurangnya Siasatan Bebas Peringkat Parlimen atau Negeri yang turut dianggotai wakil NGO dan masyarakat sivil.

"Ini bertujuan memetakan rangkaian perlindungan politik dan birokratik yang memungkinkan penerokaan haram ini berlaku, mendedahkan kelemahan institusi penguatkuasaan negeri dan mewujudkan pelan tindakan pemulihan terhadap kawasan terjejas.

"Sebelum ini, MCW sudah lama menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan sistem pemberian lesen pembalakan dan kelulusan pembangunan di kawasan hutan simpan bukan saja di Pahang, tetapi di seluruh negara.

"Di Pahang khususnya, MCW mendapati wujudnya kekurangan ketelusan dalam proses tender dan pengeluaran lesen serta kegagalan mendedahkan dokumen awam seperti EIA (Environmental Impact Assessment) kepada pihak berkepentingan," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya setiap lesen pembalakan dan projek pembangunan di kawasan hutan simpan perlu diwartakan secara terbuka, dipantau oleh jawatankuasa bebas negeri dan NGO serta setiap keputusan diperincikan secara atas talian untuk tatapan umum.

"Isu pencerobohan hutan simpan di Raub, Pahang bukan sekadar isu pekebun haram, sebaliknya ia adalah ujian besar terhadap integriti tadbir urus negeri dan negara.

"Jika tiada tindakan tegas dan menyeluruh, Malaysia akan terus kehilangan warisan alam dan kedaulatan tanah kepada tangan-tangan yang tamak dan rasuah.

"MCW komited untuk terus menekan, meneliti dan menyuarakan isu ini sehingga kebenaran didedahkan sepenuhnya," katanya. #BeritaHarian

Share:

Kerajaan Pahang Perluas Sektor Penanaman Padi Bagi Menampung Permintaan Beras Putih Tempatan Di Negeri Ini

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang telah bekerjasama dengan tiga syarikat berkaitan kerajaan negeri untuk memperluas sektor penanaman padi bagi menampung permintaan beras putih tempatan (BPT) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu diambil bagi memenuhi keperluan penduduk Pahang, sekali gus mengurangkan kebergantungan untuk mengimport bekalan tersebut.

“Antara yang telah dilaksanakan iaitu penglibatan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) di Merchong (525 hektar), Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri (PKPP) di Rompin (1,214 hektar), dan terkini penglibatan Yayasan Pahang di Ganchong melibatkan kawasan 202 hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah jawapan Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang (PKR-Teruntum) terhadap soalan tambahan diajukan Datuk Andansura Rabu (Pas- Beserah) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Andansura mahu kerajaan negeri menyatakan inisiatif yang diambil untuk menyelesaikan isu kekurangan bekalan BPT memandangkan terdapat pengurangan peruntukan daripada Belanjawan Pahang 2025 bagi pertanian, industri dan asas tani iaitu RM36.78 juta berbanding RM58.93 juta pada tahun sebelumnya.

Menurut Wan Rosdy, pengeluaran BPT di seluruh negara adalah sebanyak 60 peratus.

“Sebab itu kita perlu import sebab memang tak cukup. Ini kerana antara negeri yang paling banyak sawah padi telah mengecil iaitu di negeri Kedah sebab terdapat projek perumahan.

“Disebabkan itu, penanaman padi semakin berkurang dan kita terpaksa import lebih banyak bekalan,” katanya.

Sementara itu, Chon Siang berkata, jumlah agihan yang diterima oleh negeri Pahang untuk bekalan BPT pada tahun lalu adalah sebanyak 206,388 kampit beras 10 kilogram (kg) di outlet pemasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) seperti Agrobazaar, pasar tani kekal dan pasar tani.

Selain agihan ke outlet pemasaran, FAMA dan LPP turut mengadakan jualan terus kepada pengguna melalui Jualan Agro Madani yang dianjurkan di lokasi terpilih seluruh Negeri Pahang.

Selain FAMA dan LPP, syarikat pemborong beras seperti Jasmine, OEL dan Serba Wangi PH turut mengagihkan BPT ke pasar raya terpilih tetapi agihan itu mengikut stok bekalan yang terhad dan tidak dapat memenuhi permintaan pengguna. #MalaysiaGazette

Share:

Kerajaan Pahang Mengesahkan 40 Ketua Isi Rumah (KIR) Di Negeri Ini Dikategorikan Sebagai Miskin Tegar

KUANTAN: Kerajaan Pahang mengesahkan 40 Ketua Isi Rumah (KIR) di Pahang dikategorikan sebagai miskin tegar berdasarkan statistik sehingga 18 April lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata jumlah tertinggi KIR miskin tegar ialah masing-masing empat KIR di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur, Beserah dan Padang Tengku.

Justeru, katanya, dalam usaha menoktahkan miskin tegar, pemantauan dan penyaluran bantuan dilaksanakan melalui platform Mesyuarat Jawatankuasa Focus Group Kesejahteraan Rakyat pada peringkat negeri serta daerah.

"Jawatankuasa ini akan mengenal pasti dan mengesahkan KIR yang tergolong dalam kategori miskin tegar.

"Melalui jawatankuasa ini, jabatan dan agensi pemberi bantuan pada peringkat daerah akan bekerjasama melaksanakan siasatan serta lawatan ke rumah secara berkala berdasarkan senarai dalam sistem e-Kasih bagi membuat semakan dan mengesyorkan bantuan yang layak untuk golongan ini," katanya menjawab soalan Su Keong Siong (DAP-Ketari) yang ingin tahu jumlah miskin dan miskin tegar di Pahang pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini

Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa (KKWD) berusaha membantu menoktahkan jumlah miskin tegar.

"Antara inisiatif adalah melalui Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) iaitu program pembasmian kemiskinan luar bandar dengan penyediaan bantuan bina baharu atau pembaikan rumah kepada golongan miskin dan miskin tegar untuk memiliki kediaman selamat dan selesa.

"Bagi kategori miskin pula, seramai 13,483 KIR direkodkan di Pahang," katanya. #BeritaHarian

Share:

Wan Rosdy: Bermula 2023 Penceroboh Tanah Haram Di Pahang Akan Diheret Ke Mahkamah, Tiada Lagi Kompaun

KUANTAN: Menteri Besar Pahang menegaskan kerajaan negeri itu telah menguatkuasakan undang-undang kepada penceroboh tanah haram sejak tahun 2019 lagi.

Menurutnya, dulu sesiapa yang menceroboh tanah negeri ini hanya dikenakan kompaun, tetapi kini tidak lagi.

“Kalau ada tohmahan, ada cerita yang mengatakan kerajaan negeri tidak mengambil tindakan, tuan-tuan boleh tengok rekod,” kata Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail video yang disiarkan oleh Pahang Media hari ini.

Tegasnya, bermula tahun 2023 tiada lagi kompaun.

Sebaliknya, pencerohoh akan diheret ke muka pengadilan untuk mendidik dan membuktikan Kerajaan Negeri Pahang tidak berkompromi dengan sesiapa sahaja yang menjalankan aktiviti tersebut.

Dua minggu lepas, katanya, dua individu yang meneroka tanah secara haram telah pun didenda sebanyak RM100,000 seorang.

Selain itu, antara kes terbaharu adalah pada tahun lalu iaitu melibatkan kawasan seluas 1,000 ekar (404.6 hektar) di Hutan Simpan Sungai Perdak, Bentong yang diceroboh untuk aktiviti penanaman pokok durian secara haram.

“Yang terkini ialah sebanyak 1,000 ekar di kawasan Bentong. Ketika itu (tahun lalu) saya saja meronda.. Kerajaan Negeri sewa helikopter.. Saya naik, saya ronda seluruh negeri Pahang.

“Tiba-tiba di Hutan Simpan Sungai Perdak, terdapat di tengah-tengah hutan, saya tengok daun hutannya lain daripada itu yang lain. Saya mintak juruterbang rendahkan helikopter dan saya dapati daun itu adalah daun pokok durian. Sebanyak 1,000 ekar telah ditanam secara haram.

“Dan (susulan itu) saya telah mengarahkan pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pegawai Daerah dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) supaya mengambil tindakan serta merta supaya tanah tersebut dapat dikembalikan kepada Kerajaan Negeri di Hutan Simpan Sungai Perdak. Itu yang terkini,” katanya lagi. #MalaysiaGazette

Share:

Pemilihan PKR: Dua Tokoh Politik DUN Semambu Tewas, Seorang Masih ADUN Seorang Lagi Bekas ADUN

KUANTAN: Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Sabtu menyaksikan dua nama hebat dari DUN Semambu telah mengalami kekalahan. 

Seorang daripadanya masih merupakan ADUN sekarang iaitu Chan Chun Kuang manakala seorang lagi bekas ADUN iaitu Lee Chean Chung.

Chan Chun Kuang tewas kepada aktivis keadilan Zukri Aksah yang muncul kembali selepas sekian lama berada dibelakang tabir perjuangan parti itu. Zukri menang dengan majoriti 68 undi.

Beliau mendapat 518 undi, manakala Chan hanya mendapat 450 undi. Kekalahan ADUN Semambu itu mungkin membawa perubahan besar kepada calon PKR bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti.

Harus diingat, Zukri adalah merupakan bekas calon PKR bagi kerusi itu pada pilihanraya lalu. Ketika itu kerusi tersebut dinamakan DUN Indera Mahkota. Pada masa ini Zukri adalah merupakan Ketua Biro Polisi dan Dasar, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang.

Sementara itu, Lee Chean Chung yang beberapa penggal menjadi ADUN Semambu sebelum melepaskannya kepada Chan Chun Kuang pula tewas bagi jawatan Ketua Cabang Petaling Jaya. 

Berdasarkan keputusan pemilihan 2025 PKR yang dikeluarkan semalam, percubaan Chean Chung untuk memimpin cabang itu gagal, apabila tewas tipis dengan penyandangnya, Hee Loy Sian.

Chean Chung memperoleh 2,684 undi, di belakang Loy Sian yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang yang berjaya meraih 2,900 undi.

Paling mengejutkan Chean Chung juga adalah Pengarah Komunikasi PKR dan Ahli Parlimen Petaling Jaya yang menang PRU-15 lalu.

Dua keputusan ini menyaksikan legasi calon bukan Melayu bagi kerusi DUN Semambu pasti akan berubah. Tambahan pula DUN tersebut majoriti pengundinya adalah Melayu. #PahangDaily



Share:

Pemilihan PKR: Bekas Aktivis Belia Dan ADUN Benta Tewas Pertandingan Tiga Penjuru Di Cabang Bentong

KUANTAN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta dan aktivis belia, Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim, 66, yang muncul semula dalam arena politik selepas menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun lalu tewas pada pemilihan parti bagi jawatan Ketua Cabang Bentong pada Sabtu.

Suhaimi merupakan seorang aktivis belia terkenal sejak awal 1990-an dan merupakan  bekas Setiausaha Politik kepada dua orang menteri sebelum ini.

Beliau pernah dipilih sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia bermula pada 1994 hingga 1998. 

Pada pemilihan PKR baru-baru ini, Suhaimi tewas dalam pertandingan tiga penjuru. Beliau mendapat 239 undi berbanding pencabarnya, Jeffry Nizam mendapat 285 undi  untuk memenangi jawatan tersebut, manakala seorang lagi calon, Abdul Kadir Ali mendapat 238 undi.

Difahamkan Suhaimi juga telah dilantik sebagai Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Negeri sebelum ini. Dengan kekalahan ini, kemungkinan besar akan berlaku rombakan dan tempat beliau akan diambil alih oleh calon yang menang. #PahangDaily

Share:

Sri Pahang FC Meraih Tonik Terbaik Menjelang Final Piala Malaysia, Kalahkan Penang FC 3-2 Di Temerloh

KUANTAN: Sri Pahang meraih tonik terbaik menjelang final Piala Malaysia selepas melakar kemenangan keempat berturut-turut dengan menewaskan Penang FC 3-2 pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi.

Tanpa penyerang Kpah Sherman dan pemain tengah, Manuel Hidalgo, Tok Gajah turun dengan kesebelasan utama yang mungkin akan dipertaruhkan pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu depan.

Gol yang dicari akhirnya tiba pada minit ke-18 menerusi penyudah Mykola Ahapov.

Bersambung pada babak kedua, pemain muda Harimau Kumbang, Alif Ikmal Rizal berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-48.

Tersentak dengan gol tersebut, Syazwan Andik kembali memberi kelebihan buat tuan rumah pada minit ke-58 tetapi Penang FC menyamakan semula kedudukan apabila Stefano Brundo tertampan bola ke arah gol sendiri berselang enam minit kemudian.

Ahapov muncul wira Sri Pahang apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-87 untuk memastikan tiga mata penuh dapat dikutip pada aksi terakhir Liga Super musim ini. #KOSMO! 

Share:

Pengerusi PKR Negeri Gagal Pertahan Jawatan, Exco Kerajaan Pahang Pula Tewas Dalam Pemilihan PKR

KUANTAN: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Rizal Jamin gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Lipis apabila tewas pada pemilihan parti itu Sabtu lalu.

Berdasarkan keputusan yang disahkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Rizal yang juga Ketua Pakatan Harapan (PH) Pahang kalah kepada pencabarnya, Mohd Hasim Mansor.

Rizal, antara lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang mengangkat sumpah tahun lalu, hanya menerima 421 undi berbanding 516 undi diperoleh Mohd Hasim.

Nama besar lain di Pahang yang tewas pada pemilihan kali ini termasuk ADUN Teruntum, Sim Chon Siang.

Chon Siang yang juga Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri tewas kepada Fakhrul Anuar Zulkawi bagi jawatan Ketua Cabang PKR Kuantan.

Beliau memperoleh 575 undi manakala Fakhrul Anuar selaku pemenang mendapat 659 undi.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Cabang PKR Indera Mahkota.

Turut menang tanpa bertanding ialah Wan Fauzuldin Wan Samad (Paya Besar), Mohamad Yazid Che Mat (Pekan) dan Mohd Hafez Harun (Kuala Krau).

Di Bera, Ahli Dewan Negara, Manolan Mohamad mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR apabila menang dengan 225 undi, menewaskan pencabarnya, Mohamed Jidi Yaakob yang memperoleh 186 undi.

Pertembungan empat penjuru di Jerantut menyaksikan Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dipilih sebagai Ketua Cabang PKR kawasan itu selepas memperoleh 471 undi, menewaskan Nohd Hasnizam Md Daud (407 undi), Muhammad Khairul Asri Badrun (360 undi) dan Mohamad Rafly Mohd Satar (243 undi).

Sementara itu, jawatan Ketua Cabang PKR turut dimenangi oleh Sia Wei Lung (Maran), Mohd Amran Jalaluddin (Temerloh), Jeffry Nizam (Bentong), Abdul Rahim Sulaiman (Rompin), G Sivanandar (Raub) dan Ismail Mohd Hussin (Cameron Highlands). #SinarHarian

Share:

Tengku Ampuan Pahang Berkenan Menyempurnakan Program MILOMalaysia Breakfast Day 2025 Di Kuantan

KUANTAN: Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini berkenan menyempurnakan MILO Malaysia Breakfast Day 2025 yang disertai lebih 12,000 peserta pelbagai lapisan masyarakat di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 di sini.

Baginda menzahirkan ucapan tahniah dan menyokong peranan berterusan MILO dalam membentuk kehidupan harian dan kenangan manis rakyat Malaysia dari generasi ke generasi.

"MILO sudah bertapak di Malaysia selama 75 tahun dan saya sendiri menikmatinya sejak kecil dan sehingga hari ini masih minum secawan MILO setiap pagi. Saya berharap usaha anda di sekolah akan diteruskan terutama dengan kehadiran lori MILO, kerana itulah yang paling diingati kita semua mengenai MILO.

"Semasa zaman persekolahan dahulu, kami sentiasa menantikan hari sukan dan lori MILO, kami sanggup beratur untuk mendapatkannya. Minumlah MILO, ia baik untuk anda. Saya minum MILO tanpa susu dan gula," titah baginda menurut kenyataan yang diedarkan oleh Nestlé (Malaysia) Berhad.

Menerusi kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia Juan Aranols berkata sokongan dan keprihatinan Tengku Ampuan Pahang begitu bermakna buat syarikat berkenaan yang meraikan 75 tahun MILO membekalkan khasiat pemakanan sejak turun-temurun kepada rakyat Malaysia dan perjalanan 112 tahun Nestlé di Malaysia.

"Keberangkatan Tengku Ampuan Pahang menyerikan acara dan mendorong kami meneruskan komitmen menggalakkan gaya hidup lebih sihat serta membina masyarakat yang lebih kuat bertenaga bersama-sama," katanya.

Pelbagai acara menarik turut dianjurkan termasuk MILO Breakfast Run, senaman zumba dan MILO Goodness Truck yang interaktif selain acara lompat tali, timbang bola sepak serta perlumbaan lari dalam guni.

Penampilan khas sahabat MILO, pelakon Nadhir Nasar dan Erysha Emyra, sebagai tetamu istimewa telah memeriahkan lagi acara apabila mereka turut sama menyertai larian selain beramah mesra dengan peminat sekali gus dapat menggalakkan anak muda untuk mengamalkan kehidupan aktif serta sihat.

Sementara itu, peserta Atiqah Ameran, 33, berkata acara sedemikian dapat mengeratkan hubungan keluarga serta komuniti, justeru beliau hadir bersama anak dan ahli keluarganya yang lain.

"Seronok tengok suasananya di media sosial, jadi kami sekeluarga ambil peluang rasai sendiri. Anak-anak suka minum MILO setiap pagi sebelum ke sekolah, jadi mereka sangat teruja nak sertai," katanya yang menetap di Taman Cenderawasih di sini.

Bagi Nor Shahila Ramli, 37, dan Mohd Dzul Haimi, 39, mereka mengambil peluang menyertai program ini bersama tiga anak kerana berpandangan ia platform terbaik untuk merapatkan hubungan keluarga.

"Ini kali ketiga kami sertai sebab memang seronok, dapat bawa keluarga dan luang masa bersama. Sarapan pagi sangat penting untuk kesihatan dan anak-anak memang suka MILO, setiap pagi mesti ada MILO waktu sarapan," katanya yang turut menyertai acara larian bersama keluarga.

Susulan kejayaan program itu di Putrajaya, Johor, Pulau Pinang dan kini Kuantan, yang menyaksikan penyertaan hampir 60,000 orang, MILO Malaysia Breakfast Day 2025 akan diteruskan pada suku tahun akan datang di Kedah dan Terengganu. #BeritaHarian

Share:

Andansura: Kekalahan Tiga ADUN Pada Pemilihan PKR, Beri Kelebihan PN Bentuk Kerajaan Selepas PRU-16

KUANTAN: Keputusan pemilihan Parti eadilan Rakyat (PKR) Pahang semalam memberi keyakinan tambahan kepada Perikatan Nasional (PN) negeri itu untuk mencatatkan kejutan dalam pilihan raya umum ke-16 (PRU16).

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Andansura Rabu berkata, kekalahan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam pemilihan PKR membuka ruang kepada persaingan lebih terbuka dalam pilihan raya umum akan datang.

"Mereka menang atau kalah (dalam pemilihan), kita terus bergerak seperti biasa dan berdasarkan momentum dimiliki PN Pahang ketika ini, tidak mustahil kita dapat menambah kerusi dan seterusnya meneraju Pahang selepas PRU-16," katanya.

Andasura ketika ditemui Malaysiakini selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri PN Indera Mahkota di Bukit Setongkol, dekat sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah.

Dalam pemilihan semalam, ADUN Teruntum yang juga Exco Kerajaan Pahang, Sim Chon Siang kalah dalam pertandingan dua penjuru Ketua Cabang Kuantan.

Sim mendapat 575 undi manakala penyandang jawatan itu, Fakhrul Anuar Zulkawi mendapat 659 undi.

Keputusan itu disiarkan dalam laman sesawang rasmi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, lewat malam tadi.

Turut tewas ialah ADUN Semambu, Chan Chun Kuang yang bertanding Timbalan Ketua Cabang Indera Mahkota.

Dia yang mendapat 450 undi, tewas kepada Zukri Aksah yang memperoleh 518 undi.

Manakala ADUN Lantikan Pahang, Rizal Jamin yang juga Pengerusi PKR negeri kalah mengejut di Cabang Lipis.

Rizal memperoleh 421 undi, tewas kepada Mohd Hasim Mansor yang mendapat 516 undi.


Yakin jadi kerajaan

Andansura yang juga ADUN Beserah berharap semua jentera parti komponen dalam PN Pahang dapat meneruskan kerja di peringkat akar umbi sebagai persediaan berdepan PRU16.

"Kita melihat kepada peluang yang ada untuk PN Pahang dalam PRU16, soal keputusan pemilihan (PKR) hanya faktor penambah sahaja.

"Kita memang mempunyai keyakinan untuk menjadi kerajaan di Pahang selepas ini (PRU16), sekarang pun kita dah ada 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)," jelasnya.

Pada pilihan raya umum lalu, kerajaan Pahang hanya dapat dibentuk selepas ADUN daripada Barisan Nasional (BN) bergabung dengan Adun Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana tidak ada gabungan parti mendapat majoriti mudah 22 kerusi DUN selepas keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diumumkan.

BN mempunyai 17 kerusi, PH lapan dan PN Pahang juga memiliki 17 kerusi DUN. #Malaysiakini

Share:

Kerajaan Pahang Peruntuk RM1.66 Juta Untuk Bakal Jemaah Haji, Jemaah Terima Wang Saku RM750 Setiap Seorang

PEKAN: Seramai 1,725 bakal jemaah haji di Pahang pada tahun ini menerima sumbangan wang saku berjumlah RM750 setiap seorang.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu bermula pada 2023 yang sebelum ini menyaksikan setiap jemaah haji menerima RM500 dan jumlah berkenaan meningkat kepada RM750 pada tahun lepas.

"Menerusi program Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) kluster agama, antara inisiatif yang kita beri perhatian ialah program Barakah Haji Pahang dan kali ini melibatkan peruntukan RM1.66 juta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana Haji dan penyampaian IM Pahang di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al Haj di sini hari ini.

Selain wang saku, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang turut menyumbangkan pek makanan khas 'Juadah Makmur ' iaitu makanan dalam bentuk pek retort yang praktikal, mudah dibawa, tahan lama dan sesuai dijadikan bekalan untuk jemaah haji.

Seramai 1,725 bakal jemaah dari Pahang berusia antara 16 dan 83 tahun akan bersama-sama 31,600 jemaah Malaysia untuk menunaikan ibadah haji pada musim ini.

Wan Rosdy bersama keluarga juga dijadualkan bakal berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima itu pada 30 Mei. #HarianMetro

Share:

Warga Emas Hilang Lima Hari Ditemukan Mati Lemas Kira-Kira Empat Kilometer Dari Lokasi Beliau Terjatuh

RAUB: Misteri kehilangan lelaki warga emas sejak lima hari lalu terjawab apabila ditemukan lemas kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa terjatuh di Pusat Rekreasi Jeram Besu, di sini hari ini.

Mayat mangsa, Mat Salleh Junoh, 63, ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 10 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selama tiga hari berturut-turut.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, mayat mangsa ditemukan di tepi Sungai Kampung Batu Cincin, Benta kira-kira 20 meter dari sungai lokasi mangsa dihanyutkan air.

“Pada pukul 10.30 pagi, mayat mangsa dibawa keluar dan dihantar ke Hospital Raub,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan seorang warga emas dilaporkan hilang di kawasan Pusat Rekreasi Jeram Besu sejak Selasa lalu.

Mangsa yang berasal dari Perumahan Tat Sega disedari hilang oleh ahli keluarganya apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar pada pukul 7.20 pagi.

Anak mangsa yang keluar mencari menjumpai kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Avanza milik bapanya di tempat letak kereta pusat rekreasi tersebut. #KOSMO!

Share:

DAP Pahang Tawar Diri Sebagai Orang Tengah Bagi Menyelesaikan Kemelut Isu Kebun Durian Haram Raub

SHAH ALAM: DAP Pahang menawarkan diri sebagai pengantara bagi menyelesaikan kemelut kebun durian yang diusahakan secara haram di negeri itu, khususnya di Raub dan Bentong.

Dalam satu kenyataan, DAP Pahang berkata, pihaknya menjunjung titah Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah serta mengakui kewujudan pekebun yang telah mengusahakan tanah kerajaan di Raub tanpa kebenaran sejak beberapa dekad lalu.

“Kami bersedia memainkan peranan sebagai jambatan antara kerajaan negeri dan pekebun bagi membuka ruang rundingan konstruktif demi mencari penyelesaian baik secara harmoni.

“Kami bersedia memainkan peranan sebagai jambatan antara kerajaan negeri dan pekebun bagi membuka ruang rundingan konstruktif demi mencari penyelesaian baik secara harmoni.

“Ia bagi meningkatkan hasil kepada kerajaan negeri serta memastikan sektor pertanian di seluruh negeri dapat diurus secara tersusun dan mampan demi kesejahteraan semua pihak,” kata parti itu.

Sebelum ini, tular kekecohan yang berlaku semasa operasi penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah kerajaan di Sungai Klau, Raub, pada 8 April lalu melibatkan tanaman durian, sawit dan hasil bumi lain.

Susulan itu, Sultan Pahang menzahirkan ketegasan bahawa aktiviti pencerobohan tersebut merupakan satu bentuk 'rompakan terbuka' terhadap harta kerajaan dan perlu dihentikan serta-merta.

Baginda turut menegaskan bahawa tiada sebarang kelulusan baharu akan diberikan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terhadap mana-mana permohonan berkaitan tanah yang telah diceroboh secara haram.

Dalam pada itu, DAP Pahang berkata, industri durian Musang King di Raub telah berkembang menjadi satu jenama dikenali di peringkat antarabangsa.

Katanya, pekebun berhasrat memberi kerjasama kepada kerajaan negeri bagi membangunkan industri durian ke tahap lebih tinggi, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. #SinarHarian

Share:

Tuan Ibrahim: Perikatan Nasional (PN) Pahang Junjung Ketegasan Titah Sultan, Gesa Henti Pencerobohan Tanah

KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang menyambut baik ketegasan Sultan Pahang menitahkan agar tiada pihak mempertahankan mereka yang melanggar undang-undang, khususnya dalam kes pencerobohan hutan simpan.

Ketua Pembangkang Dewan Negeri (DUN) Pahang, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menyifatkan teguran tersebut sebagai mesej jelas agar isu berkenaan tidak berulang dan perlu ditangani secara menyeluruh.

“Ketegasan Tuanku memberi teguran agar jangan ada pihak mempertahankan golongan melanggar undang-undang dalam kes pencerobohan hutan simpan, merupakan teguran langsung agar perkara ini tidak berulang.

“Pencerobohan ini telah berlaku dalam tempoh yang lama, namun apa yang penting baginda bertegas agar menoktahkan pencerobohan dengan pelbagai tanaman seperti durian, sawit, getah dan sebagainya.

“Rompakan terbuka ini merugikan hasil negeri di samping merosakkan ekosistem dan alam sekitar,” katanya menjunjung titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka itu turut menyatakan bahawa Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan kebimbangan terhadap ketirisan hasil negeri seperti kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi, perlombongan haram unsur nadir bumi (REE) serta penyalahgunaan lesen.

“Kami melihat suatu amanat Tuanku kepada pentadbir tanah daerah sebagai perisai dan benteng akhir negeri daripada pencerobohan. Selain soal pencapaian negeri dalam sektor pelaburan, Tanah Rizab Melayu perlu dipertahan dan dibuat penambahan lagi,” katanya.

Beliau turut menyambut baik penekanan oleh Baginda Paduka Sultan Pahang terhadap usaha memperkukuh sistem perundangan Islam termasuk menaik taraf Mahkamah Syariah dengan penggunaan teknologi moden.

“Titah Tuanku juga menyentuh tentang keperluan mempergiat usaha dakwah untuk membendung penyebaran ajaran sesat yang kini mudah tersebar melalui media baharu,” katanya,” #HarakahDaily

Share:

Sultan Pahang Bertitah Agar Pentadbir Tanah Jangan Jadi Boneka, Undang-Undang Tidak Boleh Dipilih-Pilih

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan semua pentadbir tanah semua peringkat negeri ini tidak menjadi boneka yang diperalatkan sebaliknya menjadi benteng hadapan negeri.

Baginda sehubungan itu bertitah agar semua pentadbir tanah jangan sekali-kali berkompromi dalam hal yang melibatkan kedaulatan undang-undang negeri termasuk isu pencerobohan tanah

“Jangan terperdaya dengan naratif kononnya pencerobohan itu atas nama kebajikan atau perjuangan rakyat. Undang-undang tidak boleh dipilih-pilih, dikecualikan mengikut siapa yang bercakap paling lantang atau siapa yang berani menekan atau yang paling banyak menghulur.

“Pentadbir tanah sepatutnya menjadi perisai negeri ini daripada sebarang pencerobohan dan salah laku, bukan menjadi pelindung kepada perbuatan terlarang, yang dihalalkan dengan alasan retorik.

“Beta tidak akan sesekali berkompromi, jika ada yang mengkhianati amanah dengan menjadi agen pencerobohan, yang terang-terangan mencabar keluhuran undang-undang negeri ini. Amanah yang diberi, jangan sekali-kali dicemari dengan pengkhianatan,”titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, negeri ini sentiasa terbuka dan memberi laluan sepenuhnya kepada agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) untuk bertindak tegas tanpa pilih kasih.


Titah baginda tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang dan sesiapa sahaja yang didapati menyalahgunakan kuasa, bersekongkol dalam urusan yang menyalahi undang-undang khususnya melibatkan pencerobohan tanah, wajib dibawa ke muka pengadilan.

“Malah, beta tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang cuba mengganggu, menghalang atau mencabar kuasa penguatkuasa dan penjawat awam ketika menjalankan tugas,”tegas baginda.

Sultan Pahang turut menegaskan, undang-undang tidak boleh dipijak sesuka hati dan kedaulatan negeri ini tidak boleh dipersendakan.

“Beta sentiasa bersama kalian, yang berjuang mempertahankan tanah air ini daripada dijajah, diperkosa dan dinodai tanpa rasa berdosa.

“Janganlah pentadbiran kerajaan beta bersikap lesu dan longlai, jadilah mata dan telinga beta, bukan mulut yang hanya tahu menyedapkan telinga. Jadikan ‘episod hitam’ ini sebagai pengajaran dan ingatan untuk semua yang berkuasa,” titah baginda. #KOSMO!


Share:

Al-Sultan Abdullah Mahu Kemelut Pencerobohan Tanah Secara Haram Di Negeri Pahang Dinoktahi

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu kemelut pencerobohan tanah secara haram di negeri ini dinoktahi.

Al-Sultan Abdullah bertitah sebanyak 14,494.9 hektar tanah kerajaan telah diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.

Baginda bertitah seluas 5,997.09 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) juga telah diceroboh, kononnya atas nama pertanian, tetapi hakikatnya perompakan terbuka terhadap harta negeri.

"Masalah ini bukan baru bermula semalam, ia telah berakar sejak lebih empat dekad yang lepas, ia berlaku tanpa pengetahuan beta namun bukan niat beta untuk mengungkit kisah lama atau menambahkan kekusutan.

"Kita tidak mahu terus dibelenggu oleh bayang-bayang masa silam. Sebaliknya, kita berhasrat untuk menoktahi kemelut pencerobohan tanah secara haram ini. Biarlah kisah lalu itu menjadi pengajaran.

"Jika ada unsur rasuah, salah guna kuasa atau pengkhianatan terhadap amanah, biarlah Allah SWT yang Maha Adil menentukan dan menjatuhkan hukumnya," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah bertitah seiring dengan keputusan kerajaan negeri, baginda menegaskan tidak akan ada sebarang kelulusan baharu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mana-mana permohonan tanah yang telah diceroboh secara haram.

Titah baginda ia adalah prinsip yang tidak boleh dikompromi demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta menjaga amanah kepada negeri dan rakyat.

"Tambahan pula keadaan hari ini sangat membimbangkan, apabila ada yang sengaja meniupkan api sentimen demi meraih simpati, seolah-olah pencerobohan ini satu bentuk perjuangan.

"Beta ingin mengingatkan, perjuangan yang bersandarkan kezaliman terhadap tanah hak milik negeri, tidak akan pernah sesekali mendapat restu beta," titah baginda.

Baginda turut menzahirkan dukacita apabila terdapat segelintir pihak, termasuk individu yang seharusnya menjadi contoh dan pembela kepada undang-undang, sebaliknya memilih untuk menyokong perbuatan yang tidak bertamadun ini.

"Cukup memalukan, tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej institusi, bahkan boleh menjejaskan kedaulatan pentadbiran negeri. Janganlah kerana kepentingan politik sempit, hukum diketepikan, dan perbuatan yang salah dimuliakan," titah Al-Sultan Abdullah.

Baginda seterusnya menegaskan agar pentadbir tanah di semua peringkat wajib menjadi benteng hadapan, bukan 'boneka' yang diperalatkan dan jangan berkompromi dalam hal yang melibatkan kedaulatan undang-undang negeri.

Al-Sultan Abdullah bertitah mulai saat ini negeri sentiasa terbuka dan memberi laluan sepenuhnya kepada badan penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang untuk bertindak tegas tanpa pilih kasih.

"Beta sentiasa bersama kalian, yang berjuang mempertahankan tanah air ini daripada dijajah ... dan dinodai tanpa rasa berdosa. Janganlah pentadbiran kerajaan beta bersikap lesu dan longlai, jadilah mata dan telinga beta, bukan mulut yang hanya tahu menyedapkan telinga.

"Jadikan "episod hitam" ini sebagai satu pengajaran dan ingatan untuk semua yang berkuasa," tegas baginda.

Sementara itu, baginda bertitah Pahang bukan sahaja berdepan dengan kerakusan terhadap bumi hijau, malah turut bergelut dengan ketirisan hasil yang berlaku dalam pelbagai bentuk lain sekali gus kehilangan jutaan ringgit apabila hasil batuan, pasir, bijih, emas, bauksit dan nadir bumi (REE) dikeluarkan secara tidak sah sama ada secara terang-terangan serta bersembunyi di sebalik lesen yang disalah guna.

Justeru, baginda mahu pentadbiran negeri hari ini terus berusaha membasmi segala ketirisan hasil bumi kerana harta negeri adalah amanah yang perlu dijaga.

Al-Sultan Abdullah turut melahirkan rasa bangga apabila Tanah Rizab Melayu menunjukkan peningkatan membanggakan iaitu daripada 218,326 hektar pada 1955 kepada 444,074 hektar pada masa kini, iaitu merangkumi 12.34 peratus daripada keseluruhan keluasan Pahang yang berukuran 3.597 juta hektar. #AstroAwani

Share:

Tuan Ibrahim Harap Tanah Kebun Musang King Yang Diceroboh Diberikan Kepada Belia Di Kawasan Tersebut

TAPAH: Tanah yang telah dibersihkan oleh pihak berkuasa Pahang dalam operasi terhadap pekebun durian tanpa lesen sepatutnya diberikan kepada golongan belia di kawasan tersebut, kata Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim yang juga Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang berkata inisiatif sedemikian akan memastikan pembangunan tanah tersebut dapat diteruskan dan mengelakkannya daripada terbiar.

“Saya ucap tahniah kepada penguat kuasa yang ambil tindakan tetapi apa yang penting adalah apa langkah seterusnya. Selepas tebang, nak buat apa (di tanah tersebut)?

“Kita cadang supaya kerajaan negeri bangunkan kawasan itu sebagai Rancangan Tanah Pemuda (RTP)...yang diberi kepada keluarga-keluarga baru (dibina), orang muda yang baru ada keluarga diberi tanah untuk dibangunkan,” katanya kepada pemberita selepas berucap di ceramah Perikatan Nasional (PN) di Ayer Kuning, semalam.

Ahli Dewan Undnagan Negeri (DUN) Cheka itu berkata lagi, semua tindakan kerajaan negeri perlu diiringi dengan misi yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi di kawasan itu.

Pada 10 April lalu, berlaku pertembungan antara pekebun durian di Raub dengan anggota UPNP ketika pihak penguat kuasa sedang menebang pokok musang king di tanah yang menjadi pertikaian yang terletak berhampiran Sungai Klau.

Susulan itu, Penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA) Chow Yu Hui, yang juga ahli Parlimen Raub, dan Pengerusi Samka Wilson Chang ditahan semalam di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam.

Mengulas penangkapan itu, Tuan Ibrahim berkata polis hanya menjalankan tugas berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Bahkan sesiapa saja yang halang penjawat awam yang sedang ambil tindakan adalah satu kesalahan.

“Saya yakin polis akan bertindak dengan adil,” katanya lagi.

Sebelum ini, sekumpulan pekebun durian mendakwa kerajaan Pahang telah melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King.

Bagaimanapun, kerajaan Pahang menafikan pihaknya melanggar perintah mahkamah. Penasihat Undang-undang Pahang Saiful Edris Zainuddin berkata pokok-pokok tersebut berada di atas tanah yang diceroboh secara haram, dan justeru tidak dilindungi oleh perintah mahkamah.

Kerajaan Pahang sedang melaksanakan skim pengesahan pendudukan tanah untuk pekebun durian yang didakwa menceroboh tanah secara haram di negeri itu, dengan menawarkan pemajakan tanah tersebut kepada Royal Pahang Durian Resources-PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP).

Pada April tahun lalu, seramai 204 pekebun durian di Raub memohon semakan kehakiman terhadap skim pengesahan tersebut, namun Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan kebenaran mereka, menyebabkan mereka mengemukakan rayuan ke mahkamah rayuan.

Pada September tahun lalu, Samka menuduh pihak berkuasa membakar dan memusnahkan struktur yang digunakan untuk menempatkan pekerja ladang dan peralatan mereka.

Namun, setiausaha kerajaan negeri ketika itu, Zulkifli Yaacob menolak dakwaan tersebut sebagai tidak berasas. #Malaysiakini

Share:

Wan Rosdy: Kerajaan Negeri Pahang Peruntukkan RM2 Juta Bagi Melaksanakan Program Pahang Lead 2025


KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sekurang-kurang RM2 juta bagi melaksanakan program Pahang Lead 2025 dengan modul yang lebih segar dan berkesan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program kepimpinanan itu sudah digerakkan sejak tahun lalu dalam usaha melahirkan kepimpinan muda dalam pelbagai bidang.

Tambahnya, Pahang Lead 2025 mampu membantu pemimpin muda memiliki jati diri tinggi serta memahami aspirasi dan inisiatif yang kerajaan negeri laksanakan.

“Pada tahun ini seramai 251,279 pelajar sekolah akan didedahkan dengan modul Tier 1 Pahang Lead yang akan terus mempasakkan jatidiri dan semangat cintakan negeri Pahang, melalui proses saringan hingga ke Tier 4 bagi mencari 66 orang pemimpin muda yang berbakat dan kepimpinan pelajar yang berkualiti.

“Keutuhan jati diri dalam jiwa anak-anak kita perlu diperkukuhkan. Kita perlu menyedarkan mereka tentang perlunya disiplin diri yang tinggi dan berpegang teguh kepada nilai-nilai murni sepanjang masa. Sudah pasti ia bukan sesuatu yang mudah dan akan berlaku secara sendiri.

”Kerana itu kita menyokong program Pahang Lead dan program-program kepimpinan yang seumpamanya ini kerana ia mampu mengukuh dan menyerlahkan lagi potensi pemimpin muda,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis Perasmian Pahang Lead 2025 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang, di sini, hari ini.

Menurut Wan Rosdy, beliau  percaya ramai anak-anak muda berpotensi untuk menjadi pemimpin yang hebat.

Tambah beliau, Pahang dikenali sebagai gedung melahirkan pemimpin seperti Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Ghazali Shafie, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. #MalaysiaGazette

Share:

Polis Kuantan Dakwa 'Mati Mengejut', Waris Musykil Kerana Ada Kesan Kecederaan Pada Arwah Akauntan

PETALING JAYA: Tragedi melibatkan seorang akauntan yang dikategorikan sebagai mati mengejut oleh polis menimbulkan tanda tanya kepada warisnya ekoran penemuan kecederaan pada kepala mangsa.

Zainal Abidin Ali mendekwa bedah siasat yang dijalankan ke atas adik iparnya, Nurul Aina Mohd Karim, menemukan beberapa kesan lebam termasuk pada lengan, belakang leher serta pahanya.

Selain itu, katanya, kesan kecederaan juga ditemukan pada bahagian belakang tengkorak wanita terbabit.

Nurul Aina, 37, ditemui meninggal dunia di kediamannya di Bandar D’Marina, Kuantan, Pahang pada 20 Mac lalu.

Kata Zainal Abidin, analisis bedah siasat memutuskan bahawa punca kematian Nurul Aina adalah disebabkan kecederaan kepala kesan daripada trauma daya objek tumpul.

“Saya dapat panggilan telefon sekitar jam 12.30 tengahari daripada suami Nurul Aina yang mengatakan bahawa Nurul Aina dah tiada dan kami pun bergegas dari Johor Bharu ke Kuantan.

“Semasa kami sampai polis pun dah ramai di rumah arwah dan sedang soal siasatan suami sebagai orang terakhir bersama dia semasa hidup, selain pembantunya bernama Andak," katanya pada sidang media anjuran NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan Bersama (Edict) di sini hari ini.

Tambah Zainal Abidin pada malam itu juga polis memaklumkan bahawa ada keretakan pada tengkorak Nurul Aina dari bahagian belakang ke depan, selain otaknya juga lebam.

Pada masa sama, kata Zainal Abidin, keluarga pula menyedari ada kesan lebam pada badan, paha kanan dan tangan kanan Nurul Aina.

"Maka memang kami syak ini sebenarnya adalah kes bunuh sebenar,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata dia dan keluarganya hairan apabila polis sehingga kini belum menahan suami Nurul Aina bagi membantu siasatan.

Boleh klasifikasikan kes semula

Isterinya dan yang juga kakak kepada Nurul Aina, Khairun Munirah Karim, 39, pula mendakwa polis juga masih belum merekodkan keterangan daripada ahli keluarga mangsa.

Kecewa dengan keputusan kes kematian adiknya itu, Khairun Munirah bersama-sama dengan beberapa ahli keluarga lain telah membuat lebih lima laporan polis berhubung kes berkenaan masing-masing pada 22, 23, 25, dan 26 Mac, serta 15 April lalu bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut.

Menurut Khairun Munirah, sebelum ini arwah adiknya itu pernah membuat laporan polis berhubung keganasan rumah tangga yang didakwa dilakukan suami mangsa pada 2018.

Untuk rekod, suami Nurul Aina merupakan seorang bekas anggota tentera. Hasil pernikahan mereka pasangan terbabit mempunyai dua orang anak, berumur lima dan sembilan tahun.

Difahamkan kedua-dua anak pasangan itu tidak berada di rumah semasa kejadian.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Edict, M Visvanathan, menggesa Bukit Aman mengambil alih siasatan kes berkenaan daripada polis Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu, yang dihubungi pula mengesahkan pihaknya menerima laporan kematian Nurul Aina pada hari kejadian.

Katanya polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu dan akan memanggil keluarga terbabit - termasuk suami Nurul Aina - untuk diambil keterangan.

"SDR (laporan kematian mengejut) tidak bermakna kes itu ditutup. Jika ada bukti lanjut, kami akan mengklasifikasikan semula kes itu," katanya.

Wan Mohd Zahari juga menafikan dakwaan bahawa polis tidak merekodkan kenyataan daripada keluarga mangsa. #Malaysiakini

Share:

Wan Rosdy: Tindakan PN Gunakan Poster Gambar Pemimpin UMNO Tidak Profesional, Kelirukan Rakyat !

TAPAH: Tindakan Perikatan Nasional (PN) menggunakan gambar pemimpin UMNO untuk meraih undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning adalah tidak profesional dan mengelirukan rakyat.

Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan bahawa beliau telah ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpang Tiga untuk membantu kempen calon Barisan Nasional (BN), Dr Ustaz Yusri Bakir.

“Alhamdulillah, saya bersama dengan rakan-rakan daripada Pahang, datang ke PDM Simpang Tiga untuk membantu calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir, calon nombor 1. Saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru semua pengundi di Ayer Kuning supaya memberi sokongan dan mengundi calon daripada BN supaya beliau dapat meneruskan apa yang telah diusahakan oleh allahyarham Ishsam Shahruddin.

“Beliau seorang yang berkelayakan, mempunyai pendidikan akademik yang tinggi dan suka mendampingi masyarakat. Saya yakin beliau boleh membantu masyarakat di sini setelah dipilih sebagai wakil rakyat untuk apa-apa keperluan, terutamanya kebajikan.

“Saya berpesan kepada beliau bahawa walaupun ini adalah kawasan BN, saya minta beliau teruskan usaha dengan yakin… jumpa seramai mungkin pengundi, boleh beritahu beliau diberi keyakinan, diberi percayaan… apakah yang akan beliau lakukan di kawasan ini. Bukan memberikan janji, tetapi pemikiran, pandangan dan idea. Sekiranya dipilih, beliau akan memudahkan masyarakat di sini juga, kerana sealiran dengan kerajaan Perak yang ada pada hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar tindakan PN dan menegaskan bahawa ia telah memberi gambaran kepada tahap pemikiran mereka yang jelas kehilangan modal untuk meraih undi daripada rakyat DUN Ayer Kuning.

“Saya melihat perkara ini tidak betul dan profesional. PN seolah-olah mereka ketandusan idea, pandangan dan fikiran untuk menceritakan kepada pengundi sehingga sanggup menggunakan gambar orang UMNO untuk buat poster raih undi. Kita boleh nilai bahawa mereka boleh sampai ke tahap itu.

“Saya harap khususnya pengundi di Ayer Kuning ini dapat menilai tahap pemikiran mereka. Bagaimana untuk menjadi seorang wakil rakyat? Sedangkan belum diberi kuasa dan dipilih lagi, sudah cuba mengelirukan rakyat menggunakan cara-cara yang jelas bertentangan dengan matlamat dan peraturan sedia ada.

“Ini kerana mereka tidak mendapat kebenaran. Kita semua tahu, untuk menggunakan nama atau gambar orang lain, kita mesti mendapatkan keizinan. Mereka telah melanggar etika dan tatacara pertandingan. Saya harap pengundi dapat melihat bahawa mereka ini kehilangan modal untuk berkempen,” katanya lagi.

Pada Ahad media melaporkan calon PN telah menggunakan gambar pemimpin UMNO/BN tempatan sebagai bahan kempen mereka tanpa sebarang kebenaran.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Temoh, isteri kepada pemimpin tersebut berkata suaminya memegang jawatan dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Temoh Stesen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti pada 26 April ini.

Ia membabitkan calon BN mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Ustaz Yusri Bakir yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, 54.

Beliau akan berdepan saingan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40. #UMNOnline

Share:

Ceroboh Tanah Kerajaan Tanpa Kebenaran Di Lipis, Ahli Perniagaan Dan Pemandu Jengkaut Didenda RM200,000

RAUB: Seorang ahli perniagaan dan pemandu jengkaut masing-masing didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Raub di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah membersihkan tanah kerajaan Pahang di Lipis tanpa kebenaran sah, November lalu.

Tertuduh, Bong Jau Chong, 79, dan Chong Teck Kong, 62, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Noor Aisah Mohamed selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Sebuah jentera jengkaut dirampas turut dilucuthakkan kepada kerajaan negeri.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa melakukan kesalahan membersihkan tanah milik kerajaan tanpa kebenaran yang sah di Kampung Seberang Jelai, Mukim Telang, Kuala Lipis kira-kira jam 3 petang pada 21 November tahun lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 425(1)(b) Kanun Tanah Negara (Pindaan 2020) [Akta 828] yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Taqiuddin Azizan dari Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Lim Zi Shin.

Dalam hujahan pembelaan, pihak pembelaan memaklumkan anak guamnya tidak melakukan kesalahan jenayah berat dan hanya membersihkan kawasan seluas 0.2 ekar bersebelahan tanah miliknya bagi menghalang kemasukan haiwan liar. Tertuduh juga membuat pengakuan bersalah yang menjimatkan masa mahkamah.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran serta melucut hak jentera disita kepada kerajaan negeri.

Hakim Noor Aisah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM100,000 kepada setiap tertuduh dan menetapkan hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Berdasarkan fakta kes, ketika serbuan dilakukan di lokasi kejadian, pihak penguat kuasa mendapati kawasan tersebut dibersihkan seorang individu menggunakan jengkaut.

Tiada sebarang kelulusan diberikan untuk pembersihan kawasan tanah itu. Pihak berkuasa kemudiannya menyita jentera tersebut dan menahan dua individu iaitu pemandu jengkaut dan individu yang memberikan arahan bagi pembersihan kawasan tersebut.

Kedua-dua individu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis dan notis perampasan jentera diserahkan kepada pemandu jengkaut mengikut peruntukan Seksyen 426A(5) Kanun Tanah Negara (Akta 828).

Hasil siasatan mendapati, pemandu jengkaut merupakan tertuduh kedua menerima arahan daripada tertuduh pertama untuk membersihkan kawasan tanah terletak bersebelahan Lot 864, milik tertuduh pertama.

Pegawai penyiasat turut membuat semakan dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk pengesahan kedudukan koordinat ditanda pegawai serbuan.

Melalui surat bertarikh 24 Disember 2024, pihak JUPEM mengesahkan kedudukan koordinat tersebut tidak berada dalam mana-mana lot tanah diukur halus.

Selain itu, semakan Pejabat Daerah dan Tanah Lipis melalui surat bertarikh 9 Januari 2025 juga mengesahkan lokasi serbuan terletak di tanah kerajaan. #SinarHarian

Share:

Mufti ahang: Pencerobohan Tanah Termasuk Kategori Rampas Hak Orang Lain Secara Zalim Diharamkan Syarak

KUANTAN: Pencerobohan tanah termasuk dalam kategori merampas hak orang lain secara zalim yang diharamkan oleh syarak, kata Mufti Pahang Prof Datuk Asmadi Mohamed Naim.

Beliau berkata tindakan itu turut mencabuli prinsip penjagaan harta atau Hifz al-Mal dalam Maqasid al-Syariah selain mencabar peranan pemerintah dalam memelihara keadilan dan kemaslahatan ummah.

"Pencerobohan tanah sama ada melalui perlombongan haram, penerokaan tanah atau pembinaan infrastruktur tanpa kebenaran bukan sahaja satu pelanggaran undang-undang, bahkan satu bentuk kemungkaran, pengkhianatan amanah dan jenayah syarie membawa kepada kerosakan bumi serta penindasan terhadap rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Asmadi berkata pencerobohan tanah itu tidak boleh menggunakan konsep lhya' Al Mawat kerana ia akan memberi mudarat kehilangan tanah yang besar kepada kerajaan untuk melaksanakan projek bermanfaat kepada seluruh rakyat.

Beliau berkata konsep Ihya' Al-Mawat hanya dapat dilaksanakan jika ia menjadi dasar kerajaan, namun rakyat pada masa kini wajib mendapatkan kelulusan permit oleh kerajaan kerana semua rakyat tertakluk kepada undang-undang melalui Akta Kanun Tanah Negara 1965.

Asmadi berkata Jabatan Mufti Negeri Pahang menjunjung titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu pencerobohan tanah secara haram.

"Titah baginda agar rakyat menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa adalah satu amanah besar demi menjaga kelestarian negeri serta kedaulatan undang-undang dan syarak," katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Mufti Negeri Pahang menyeru pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan agar melaksanakan penguatkuasaan secara tegas dan berintergriti yang berpaksikan prinsip hisbah dan amar maruf nahi mungkar.

Asmadi juga mengingatkan rakyat di negeri itu untuk mematuhi titah Sultan Pahang dengan bekerjasama menyalurkan maklumat berkenaan sebarang pencerobohan yang berlaku.

"Jabatan Mufti Negeri Pahang menyokong penuh segala usaha pihak kerajaan negeri dan agensi penguat kuasa dalam menangani isu ini, demi memastikan bumi Pahang terus diberkati dan dilindungi daripada segala bentuk kemudaratan duniawi dan ukhrawi," katanya. #AstroAwani

Share:

Sultan Pahang Berkenan Merasmikan Pusat Gerakan Bencana Banjir Terapung Yang Pertama Di Malaysia

JERANTUT: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan Pusat Gerakan Bencana Banjir Terapung (FLOODCOM) yang pertama di Malaysia.

FLOODCOM yang dibangunkan hasil kerjasama antara Agensi Nuklear Malaysia (ANM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang di Kampung Bantal, Hulu Tembeling, bertujuan menyelaras operasi dan logistik khususnya semasa berlakunya bencana banjir.

Dalam majlis sama, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan berupa modal dan peralatan bot pelancong bagi Program Pembangunan Ekonomi Asnaf serta bantuan Bina Baru Rumah oleh Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) kepada beberapa penduduk di mukim Hulu Tembeling.

Turut mengiringi baginda ialah Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Dalam pada itu, baginda menzahirkan harapan agar semua inisiatif itu dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat dan berhasrat untuk memperluaskan program tersebut ke kawasan lain.

"Penerima bantuan peralatan tadi, saya harap dapat membuktikan kejayaan projek ini. Jangan bekerja sambil lewa, beri tumpuan sepenuhnya. Jika berjaya, kita akan tambah lagi bantuan dalam skala yang lebih besar," titah baginda pada Majlis Pengurniaan Bantuan Program Pembangunan Ekonomi Asnaf dan Bantuan Bina Baru Rumah MUIP serta Perasmian FLOODCOM di Kampung Bantal, di sini.

Selain itu, baginda turut menitahkan agar MUIP menubuhkan satu badan khas bagi memperkasa sektor ekonomi, khususnya pelancongan, di kawasan Hulu Tembeling dan Pulau Tioman.

Baginda juga menyatakan hasrat untuk menjalankan kajian terperinci bagi membangunkan sektor pertanian mikro menggunakan teknologi moden di kawasan pedalaman.

"Saya juga akan membuat kajian terperinci untuk melaksanakan projek pertanian berskala kecil tanpa perlu meneroka kawasan tanah baharu. Kita akan manfaatkan teknologi canggih supaya hasil pertanian dapat digunakan untuk keperluan domestik atau dijual ke luar," titah baginda. #AstroAwani

Share:

Tular Video Paparkan Aksi Seorang Individu Memukul Anjing Di Sebuah Taman Berhampiran Mentakab

TEMERLOH: Tular di laman sosial Facebook memaparkan aksi seorang individu yang dilihat memukul anjing di sebuah taman berhampiran Mentakab di sini.

Dua klip video dimuat naik oleh seorang pengguna menggunakan profil 'Mizta Mac' pada Ahad lalu, yang dirakam melalui tingkap rumah. Dalam perkongsian tersebut, individu terbabit mendakwa lebih 15 ekor anjing jalanan telah dibunuh.

Perkongsian itu mengundang kemarahan netizen yang menggesa tindakan kejam tersebut segera dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Beberapa pengguna Facebook juga mempertikaikan mengapa tindakan itu tidak dihalang ketika kejadian berlaku. Namun, pengguna yang memuat naik video tersebut mendakwa ada individu yang cuba menegur pelaku, namun teguran itu diabaikan dan dimarahi.

Selain itu, perkongsian itu turut memaparkan beberapa tangkap layar perbualan yang dipercayai melibatkan penduduk taman terbabit dengan ada individu yang mengaku membunuh haiwan tersebut.

Individu yang memuat naik klip video tersebut kemudiannya memberitahu akan membuat laporan polis mengenai insiden terbabit. Beberapa individu lain turut menyatakan telah membuat laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengenai kejadian itu.

Difahamkan, insiden itu berlaku setelah salah seorang penduduk diserang dan digigit oleh seekor anjing.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, pihaknya setakat ini telah menerima laporan polis mengenai insiden penduduk diserang dan digigit anjing.

Namun, beliau menegaskan pihak polis belum menerima laporan mengenai klip video tular tersebut. #AstroAwani

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.