script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Syed Ibrahim: Tuduhan Mengatakan Islam Yang Diamalkan Di Pahang Bersifat 'Kosmetik' Adalah Tidak Berasas Sama Sekali

KUALA LUMPUR: Tuduhan pihak tertentu mengatakan Islam yang diamalkan di Pahang bersifat kosmetik adalah tidak berasas sama sekali, sebaliknya berdasarkan semangat dan kefahaman yang jelas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ia terbukti dengan pembentangan 16 Rang Undang-Undang (RUU) yang diluluskan untuk memperkasa dan mengembangkan syiar Islam di negeri itu.

Katanya, tunjang yang kukuh dan dipasak begitu kuat untuk menjaga Islam di Pahang dibuktikan dengan komitmen Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengilhamkan pelbagai program berkaitan agama.

"Ada orang kata kerajaan kita ini, Islam Pahang ni Islam kosmetik. Kosmetik ni dia macam mekap, kena air dia cair.

"Kalau duduk tengah matahari, tengah panas dia cair. Maknanya habis, mudah luntur. Tidak. Islam kita di Pahang Islam yang benar-benar hakiki. Kita binakan Islam ni dengan semangat kesefahaman," katanya ketika menyampaikan bantuan Tunas Makmur 2026 Peringkat DUN Kerdau hari ini.

Pada program itu, seramai 894 murid di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau menerima kit persekolahan dan baucar di bawah inisiatif Tunas Makmur.

Ia bagi meringankan beban ibu bapa krtika anak-anak memasuki penggal persekolahan bermula minggu lalu.

Syed Ibrahim berkata, selain baucar bernilai RM100, penerima juga menerima sumbangan RM50 daripada Yayasan KOSMA dan Pejabat Pembangunan Negeri berupa baucer bantuan kembali ke sekolah bernilai RM500 kepada 100 ketua isi rumah.

Beliau turut mengajak umat Islam untuk menghayati makna Islam sebenar dengan menjaga kesucian seperti yang dianjurkan agama.

"Kita ada juga bantuan kepada masjid-masjid tiap-tiap tahun RM10,000. Dah lima tahun kita beri ke masjid-masjid tiap-tiap tahun RM10,000.

​"Kemudian kita hantar orang ke Makkah kita bantu. Pendek kata alhamdulillah, kita syukur kita jagalah sama-sama," katanya.#HarianMetro

Share:

Pelajar Maut Tercampak Keluar Kereta, 10 Cedera Dalam Nahas Tiga Kenderaan Di KM 19.4 Lingkaran Tengah Utama (CSR)

BENTONG: Seorang pelajar maut selepas tercampak keluar dari sebuah kereta manakala 10 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 19.4 Lingkaran Tengah Utama (CSR) arah Raub pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.23 malam itu, mangsa, Puteri Nursyakirah Suzaimi, 19, yang merupakan penumpang kereta Toyota Yaris disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan itu melibatkan tiga kenderaan iaitu Toyota Yaris, Toyota Alphard dan Ford Ranger.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki mangsa yang datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Raub dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan lurus sebelum terbabas ke dalam longkang di bahu jalan dan berpusing ke arah bertentangan.

“Akibat kejadian itu, mangsa tercampak keluar dari kereta dan disahkan meninggal dunia manakala pemandunya, seorang lelaki warga asing berusia 20 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

"Kedua-dua mangsa adalah pelajar di sebuah pusat pengajian tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam kejadian sama, Zaiham berkata, sebuah Toyota Alphard yang datang dari arah sama dipercayai turut hilang kawalan sebelum melanggar besi penghadang jalan dan menggelongsor lalu menghempap Toyota Yaris tersebut.

Menurutnya, pemandu dan tiga penumpang Toyota Alphard termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun hingga warga emas berusia 74 tahun mengalami kecederaan ringan.

Jelasnya lagi, turut terlibat sebuah Ford Ranger yang melalui laluan sama, dipercayai hilang kawalan susulan kemalangan di hadapan sebelum terbabas ke dalam longkang konkrit kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

“Pemandu dan empat penumpang Ford Ranger termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia antara tiga hingga 23 tahun hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Zaiham turut memaklumkan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk pemeriksaan teknikal dan pengambilan sampel darah serta urin pemandu yang terlibat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama daripada orang awam yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan. #SinarHarian


Share:

Andansura: Cadangan UMNO Anjur Musyawarah Nasional, PAS Pahang Tunggu Perkembangan Dan Ketetapan PAS Pusat

KUANTAN: PAS Pahang menunggu perkembangan selanjutnya berhubung cadangan UMNO untuk menganjurkan Musyawarah Nasional bagi membicarakan agenda politik Melayu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Andansura Rabu berkata, sebarang keputusannya bergantung kepada ketetapan PAS Pusat.

Menurutnya, secara dasarnya, PAS Pahang menyokong sebarang cadangan atau usaha baik berkaitan penyatuan ummah ini.

"Justeru itu, kita tunggu dan lihat perkembangan ini selanjutnya selain menunggu ketetapan PAS pusat sama ada kita sertai atau sebaliknya.

"Kami akan ikut sebarang keputusannya nanti," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Pada ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Jumaat lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyebut bahawa UMNO akan menganjurkan Musyawarah Nasional bagi membicarakan agenda politik umat Melayu melibatkan semua pertubuhan, pakar-pakar, ahli akademik dan profesional Melayu.

Penganjuran musyawarah itu sebagai sebahagian daripada kerangka pemulihan di bawah tiga langkah pemugaran atau pembaharuan politik UMNO.#SinarHarian


Share:

Wakil Pemuda UMNO Pahang 'Merayu' Agong Perkenan Pengampunan Penuh Terhadap Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak


KUALA LUMPUR: Wakil Pemuda Pahang menyampaikan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk memperkenankan pembebasan penuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed, berkata rayuan disampaikan kepada baginda adalah suara daripada masyarakat Parlimen Pekan.

"Kami ingin memohon ehsan, simpati baginda, dapat baginda memberikan kebebasan sepenuhnya kepada pemimpin kami Datuk Seri Najib Razak.

"Ampun Tuanku Sultan Ibrahim, raja berwibawa, ampun tuanku hamba meminta agar dipertimbang pembebasan Datuk Seri Najib segera.

"Kami sudah habis cara. Saya pun tak tahu mahu buat apa lagi. Saya harap rayuan di akhir ucapan ini akan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika menyampaikan perbahasan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau juga meminta semua perwakilan dan ahli UMNO mengenang jasa bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, dengan memastikan legasi kepemimpinannya dipelihara.

"Semalam genap 50 tahun pemergian Allahyarham Tun Razak. Kita sama-sama perjuangkan legasi Tun Razak terutama dalam membela Najib selagi ada nyawa dan kudrat. Inilah saja cara kita membalas jasa Tun Razak buat UMNO dan negara," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Pemuda UMNO Johor, Fauzi Faizal juga menggesa ahli untuk terus berdoa supaya pembebasan penuh Najib dapat dilaksana kelak.

"Terlalu banyak jasa yang beliau berikan kepada negara, tidak tertanggung rasanya hati-hati kita melihat sosok tubuh yang banyak jasanya terkurung di dalam jeriji besi di penjara.

"Mana mungkin pemimpin yang besar jasanya boleh kita lenyapkan apa yang sudah dilaksanakan buat negara kita. Pemuda UMNO Johor turut berada di belakang keluarga 'Bosku' untuk terus berdoa," katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Tebrau.

Media semalam melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan mengumumkan langkah diambil UMNO ke atas Najib dalam ucapan dasarnya pagi esok. #BeritaHarian

Share:

Tindakan PN Pahang Umumkan Strategi Terlalu Awal Boleh 'Makan Diri', Usah Pandang Ringan Keupayaan Kerajaan Pertahankan Diri !


KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) usah terlalu ghairah untuk menakluki Pahang pada Piihan Raya Umum Ke-16 nanti, kerana bimbang 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'.

Demikian ditegaskan oleh aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli kepada Pahang Daily Online (PDO) haro ini.

Menurut Shukri, beliau tertarik dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya seperti yang disiarkan dalam portal Malaysiakini hari ini.

Tarmizi antara lain mendakwa PN Pahang menyasarkan sekurang-kurangnya lima lagi kerusi DUN yang dikenal pasti berpotensi dimenangi bagi membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri pada PRU-16 nanti.

Antara DUN yang dinamakan ialah Tioman, Padang Tengku, Sabai, Ketari dan Chini.

PN menyasarkan DUN tersebut atas alasan mereka hanya tewas dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi pada PRU-15 yang lalu.

"Kenyataan secara terbuka yang dibuat oleh PN ini boleh menjerat diri sebenarnya. Sepatutnya hasrat itu dilakukan dalam diam dan tidak dihebahkan kepada umum.

"Bila strategi ini didedahkan, sudah pastila ia memudahkan musuh untuk melakukan tindakan.

"Sudah pastilah kerajaan (BN/PH) akan melipatgandakan usaha untuk pertahankan kerusi terbabit." dakwa Shukri.

PN juga harus ingat, pada PRU lalu pertembungan berlaku tiga penjuru antara PN, BN dan PH.

Namun pada PRU-16 ini, situasi berbeza sebenarnya.

"Walau pun BN akan bergerak solo, tapi kerusi yang ditandingi BN sudah pasti PH tidak akan meletakkan calon. Makanya pengundi PH akan memberi undi kepada mana-mana calon BN.

"Jika ini berlaku, diatas kertas banyak kerusi yang PN menang semasa PRU-15 lalu, mungkin bakal jatuh ke tangan UMNO BN semula. Ia berdasarkan jumlah undi BN PH yang diperolehi dulu," dakwa Shukri.

Ujarnya lagi, adakah PN sedar senario yang akan berlaku ini?.

"Saya bimbang, akhirnya menang sorak kampung tergadai. Dalam masa yang sama rakyat Pahang melihat kewibawaan kerajaan dipimpin oleh Menteri Besar, Dato' Sri DiRaja Hj Wan Rosdy Wan Ismail semakin terserlah sekarang.

"Rakyat semakin selesa dengan Tok Wan, banyak kemudahan dan kebajikan rakyat terbela sejak dari lahir lagi. Berbagai bantuan yang diberikan kepada rakyat tanpa membeza fahaman politik masing-masing.

"Pengundi muda mendapat banyak manfaat dibawah kepimpinan Tok Wan, sudah pasti mereka melihat masa depan lebih terjamin bersama kerajaan hari ini daripada cuba menukar dengan yang baharu," tambah Shukri lagi.

Justeru, beliau menggesa PN tidak mendedahkan strategi mereka lebih awal kerana ia boleh 'makan diri' akhirnya. #PahangDaily

Share:

Majoriti Rakyat Pahang Masih Yakin Terhadap Kepimpinan Kerajaan Hari Ini, Tidak Termakan Persepsi Dan Provokasi Pembangkang


KUANTAN: Majoriti rakyat Pahang dijangka akan terus memberikan kepercayaan kepada kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar, Dato' Sri Diraja Hj Wan Rosdy Wan Ismail pada pilihan raya umum akan datang.

Demikian ditegaskan oleh aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli, 54, ketika dihubungi Pahang Daily Online (PDO) hari ini.

Ini kerana katanya, rata-rata rakyat yang ditemui mendakwa kerajaan yang dipimpin oleh Wan Rosdy atau lebih mesra di panggil 'Tok Wan' ternyata telah membuktikan kejayaan demi kejayaan sejak tahun 2018, selepas PRU-14 lagi.

Malah, kejayaan kutipan hasil melebihi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut dilihat satu pencapaian cukup luar biasa dan bersejarah untuk negeri Pahang.

Maka itu, tiada alasan untuk rakyat Pahang memilih pihak yang belum tentu dapat melaksanakan apa yang telah sedia ada.

Mutakhir ini juga parti pembangkang begitu semangat untuk mengambil alih tampuk pimpinan negeri sekarang dengan slogan 'PN Teraju Pahang', 'PAS Teraju Pahang' dan 'Hogoh Pahang Hogoh'.

Namun, jika dilihat kepada senario politik semasa pada ini Pahang harus kekal ditadbir oleh kerjaan sedia ada yang diterajui oleh UMNO Barisan Nasional (BN).

"Apa yang berlaku di negeri Perlis ternyata membuktikan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal bersatu dan cuba menjatuhkan sesama sendiri hanya kerana berebut kuasa.

"Biar pun kini Menteri Besar Perlis, masih dari PN namun maruah PAS sudah tercalar akibat kegagalan mewujudkan ukhwah dan sillaturrahim sesama Islam di negeri itu,' dakwa Shukri.

Menurutnya lagi, selama ini PAS menuduh DAP punca perpecahan namun di Perlis langsung tidak ada DAP dalam pentadbiram kerajaan sebenarnya.

"Tanpa DAP mereka berbalah sesama sendiri, bayangkan apa akan berlaku jika rakyat Pahang memberi kuasa kepada PN pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya bimbang benda yang sama akan berlaku kerana, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah membayangkan parti itu akan memegang tampuk kuasa di Selangor, Perak dan termasuklah Pahang.

"Pengumuman Muhyiddin disanggah oleh Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri yang mendakwa biar memang dulu baru bincang soal siapa MB", dakwa Shukri lagi.

Bukankah ini bermakna, perebutan kuasa pasti akan berlaku di Pahang jika PN diberi peluang menang pada PRU-16 nanti.

"Rakyat akan jadi mangsa akhirnya. Justeru jalan terbaik ialah terus memberi kepercayaan kepada kerajaan sekarang yang telah terbukti dan berwibawa membawa pembangunan dan menjana ekonomi rakyat. 

"Buatlah pilihan yang tepat, usah perjudikan nasib dan terpedaya dengan emosi, persepsi dan provokasi semata-mata," ujarnya. #PahangDaily 

 

Share:

Hasrul Afizan Akui Cabaran Besar Merampas Semula Kerusi DUN Panching, Tapi UMNO Ada Strategi Untuk Dekati Pengundi Muda


KUANTAN: Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching yang baru dilantik, Hasrul Afizan Mohd Din, mengakui berdepan cabaran besar untuk merampas semula kerusi itu daripada PAS pada PRU-16, susulan majoriti lebih 7,000 undi yang dimenangi penyandang.

Beliau berkata, pendekatan turun padang secara berterusan serta penggunaan media sosial, khususnya TikTok, akan menjadi strategi utama bagi mendekati pengundi, terutama golongan muda.

"Saya fikir pendekatan utama adalah kena banyak turun padang menyantuni dan berjumpa secara terus dengan penduduk, seberapa ramai yang kita boleh kerana ia lebih memberi kesan secara langsung.

"Dalam masa yang sama, saya lihat kepentingan platform media sosial seperti TikTok," katanya.

Hasrul yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Paya Besar berkata pengunaan media sosial adalah untuk memperbetulkan persepsi orang ramai mengenai segala tuduhan dibuat pembangkang terhadap kerajaan Pahang.

“Saya percaya rakyat masih yakin dengan BN dan rakyat juga tahu, BN adalah parti yang paling terkedepan memberi bantuan setiap kali musibah melanda," jelasnya. #Malaysiakini

Share:

Mohd Tarmizi Yahaya: Perikatan Nasional (PN) Sasarkan Lima Lagi Kerusi DUN Untuk Tawan Pahang Pada Pilihan Raya Umum Ke-16 Nanti


KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang menyasarkan sekurang-kurangnya lima lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikenal pasti berpotensi dimenangi bagi membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-16.

Ketua Penerangan PN Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, ada antara kerusi berkenaan akan ditandingi Bersatu dan Gerakan dengan sasaran PN dapat memperoleh majoriti mudah.

"Kerusi tumpuan ini membabitkan DUN yang kita kalah dengan majoriti kurang daripada 1,000 semasa pilihan raya umum yang lalu," katanya ketika ditemui di pusat khidmat DUN Panching, di sini hari ini.

Difahamkan DUN berkenaan ialah DUN Tioman, DUN Padang Tengku, DUN Sabai, DUN Ketari dan DUN Chini.

Justeru kata Mohd Tarmizi, program PN Teraju Pahang (PTP) yang telah bermula di DUN Kuala Semantan akan diperhebatkan dan selepas ini akan diteruskan di DUN Chini.

"Bagi jelajah PTP ini, kita bergerak sebagai satu pasukan.

"Tahun lepas kita buat 'Hogoh Jelai' dan kerusi itu kalau dikira sebagai tempat Bersatu (bertanding), tapi semua parti komponen turun padang," jelasnya.

Menurutnya, sebagai langkah awal memperkukuh jentera, PN Pahang memberi tempoh sebulan untuk melengkapkan pelantikan ketua gabungan dan ahli jawatankuasa (AJK) di kesemua 14 Parlimen di negeri ini.

"Kita perlu selesaikan pelantikan ketua di setiap parlimen. Di Pahang ada 14 kawasan (parlimen) dan bersekali dengan AJK.

“Selepas selesai, kita fokus kepada pelbagai program yang sudah kita buat sebelum ini seperti menambah ahli baru,” katanya.

Mengulas isu kemelut dalaman Bersatu di peringkat nasional, Mohd Tarmizi menegaskan perkara itu tidak menjejaskan kerjasama PN di Pahang.

"Kita pun tidak pernah bincang dalam mesyuarat (PN) negeri, cuma untuk PN Pahang, hubungan kami tidak ada masalah," katanya yang merupakan ADUN Panching selama dua penggal.

Sementara itu, Mohd Tarmizi turut menyuarakan kekecewaan terhadap pelantikan penyelaras DUN oleh kerajaan negeri di kawasan yang dimenangi pembangkang, termasuk di DUN Panching, yang disifatkannya bercanggah dengan prinsip demokrasi.

"Kita (wakil rakyat) yang dipilih, dinafikan peruntukan dan mereka lantik penyelaras DUN untuk kawasan dimenangi pembangkang, ia seperti melanggar perlembagaan.

"Alasan kononnya wakil rakyat pembangkang tidak layak menerima peruntukan adalah tidak berasas kerana prinsip demokrasi menjamin hak setiap kawasan yang dipilih oleh rakyat, tanpa mengira parti politik," tambahnya. #Malaysiakini

Share:

Dua Pegawai, Lima Anggota Polis Terbabit Dengan Penyalahgunaan Dadah Di Mentakab Dan Temerloh Akan Digantung Kerja

KUANTAN: Dua pegawai dan lima anggota polis yang ditahan kerana disyaki terlibat penyalahgunaan dadah di Mentakab, Temerloh akan dikenakan tindakan gantung kerja sementara menunggu keputusan perundangan terhadap mereka.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata semua lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu telah didakwa di mahkamah pada minggu lepas.

"Sedang dalam proses dikenakan tindakan gantung kerja sementara kes mahkamah terhadap semua mereka selesai," katanya ketika dihubungi Bernama.

Yahaya turut meminta semua pihak menghentikan spekulasi mengenai kes berkenaan dan memaklumkan tindakan sewajarnya telah diambil kepada mereka yang dipercayai terlibat.

Sebelum ini, media melaporkan dua polis berpangkat Inspektor dan lima anggota berpangkat Koperal serta Lans Koperal ditahan dalam satu serbuan pada 2.15 pagi, 3 Januari lepas.

Hasil saringan awal air kencing turut mendapati seorang pegawai dan lima anggota positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama. #BeritaHarian

Share:

Farhan: Program 'Jom Ke Sekolah 2026' Telah Digerakkan Secara Menyeluruh Di Negeri Pahang Bermula Pada Sabtu Lalu

PETALING JAYA: Program Jom Ke Sekolah 2026 telah digerakkan secara menyeluruh di Pahang, bermula Sabtu lalu.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, berkata, program itu bertujuan membantu keluarga yang memerlukan bagi membuat persiapan persekolahan.

“Saya bersama pasukan Pusat Komuniti Madani Indera Mahkota telah menganjurkan Program Jom Ke Sekolah Parlimen Indera Mahkota 2026 bertempat di Dewan Atabara, Kuantan. 

Kerjasama strategik bersama Yayasan Bank Rakyat, Yayasan Taqwa-MAIWP serta Persatuan Alumni Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki itu menyediakan sebanyak 800 set kelengkapan sekolah bernilai RM160,000,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ahmad Farhan berkata, inisiatif tersebut telah memberi manfaat kepada 800 penerima melibatkan murid tahun 1 hingga tingkatan 5 daripada kalangan asnaf, fakir miskin dan keluarga berpendapatan rendah.

“Usaha ini diperluaskan ke seluruh Pahang dengan peruntukan 100 baucar set kelengkapan sekolah bagi setiap Parlimen menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM150,000 di peringkat negeri.

“Pendekatan menyeluruh ini mencerminkan hasrat untuk memastikan tiada anak Pahang yang tercicir daripada persekolahan hanya disebabkan kekangan kewangan,” ujarnya. #KOSMO!

Share:

Prihatin Terhadap Kebajikan Pendidikan Anak-Anak, AMK Pahang Anjur 'Program Jom Ke Sekolah' Untuk Agih Sumbangan

KUANTAN: Keprihatinan terhadap kebajikan pendidikan anak-anak dizahirkan apabila Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang menganjurkan Program Jom Ke Sekolah di Pasaraya Borong Sakan, Jalan Gambang baru baru ini, sekali gus membantu 120 murid yang bakal memulakan sesi persekolahan baharu.

Ketua AMK Kuantan, Hilmy Yakap memaklumkan, AMK cabang-cabang di seluruh Pahang turut melaksanakan program sama dengan melibatkan seramai 20 orang murid di setiap kawasan.

"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Pengerusi MPN Pahang, Datuk Farhan Fauzi atas sumbangan yang diberikan. 

"Semoga inisiatif ini dapat membantu adik-adik mendapatkan kelengkapan sekolah yang mencukupi menjelang sesi persekolahan baharu," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook. #SuaraKeadilan

Share:

Najib Dakwa Beliau Tidak Pernah Kawal SRC Dan Sangka Wang RM42 Juta Dimasukkan Ke Akaunnya Adalah Derma

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau tidak pernah mengawal SRC International Sdn Bhd atau bertindak sebagai pengarah bayangan syarikat pelaburan strategik itu.

Najib yang kembali ke Mahkamah Tinggi hari ini selepas disabitkan dengan tuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bulan lalu, berkata sebaliknya Lembaga Pengarah (BOD) dan pengurusan SRC bertanggungjawab sepenuhnya terhadap operasi serta penggunaan dana.

Beliau yang memberikan keterangan sebagai defendan bagi kes saman sivil difailkan SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd terhadapnya, berkata syarikat itu juga bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian dialami olehnya.

SRC ditubuhkan sebagai anak syarikat 1MDB pada 7 Januari 2011, namun pada Februari 2012, ia dipindahkan daripada 1MDB kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF Inc).

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan, berkata beliau tidak pernah menghadiri mesyuarat BOD SRC dan tidak menguruskan operasi syarikat, manakala sebarang kelulusan atau persetujuan olehnya dibuat semata-mata pada peringkat pemegang saham melalui MOF Inc.

"Saya tidak memegang jawatan sebagai pengarah, sama ada secara sah atau de facto. Saya juga tidak bertindak sebagai pengarah bayangan dan tidak menyebabkan BOD terbiasa bertindak mengikut arahan saya.

"Pembabitan saya terhad kepada tanggungjawab kepentingan awam sebagai Perdana Menteri dan fungsi pemegang saham yang terhad sebagaimana diperuntukkan undang-undang, tidak lebih daripada itu.

"Dari sudut perundangan, plaintif perlu membuktikan satu corak tingkah laku bahawa BOD SRC terbiasa bertindak mengikut arahan saya, namun tiada bukti sedemikian," katanya.

Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

SRC sebelum ini menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu termasuk Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Suboh Md Yassin dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dengan mengekalkan Najib sebagai satu-satunya defendan.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan permohonan Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka dan dinamakan sebagai defendan pihak ketiga.

Dalam tuntutan saman difailkan pada 2021 itu, SRC dan Gandingan Mentari memohon mahkamah mengisytiharkan Najib bertanggungjawab ke atas penerimaan dana RM42 juta syarikat itu.

Plaintif juga menuntut ganti rugi atas penerimaan dengan pengetahuan dana terbabit, bantuan tidak jujur dan tindakan penyalahgunaan kuasa.

Sementara itu, Najib turut menafikan pembabitan beliau dalam penubuhan SRC, penggubalan Memorandum dan Artikel Persatuan, pelantikan awal Nik Faisal Ariff Kamil dan Vincent Koh sebagai pengarah serta pemegang saham syarikat.

Katanya, peruntukan dalam perlembagaan SRC yang memerlukan kelulusan Perdana Menteri bagi perkara tertentu hanya perlindungan standard pemegang saham seperti diamalkan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain, dan tidak memberikan kawalan mutlak atau kuasa sehala untuk melantik atau memecat pengarah.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa Nik Faisal bertindak sebagai perantara bagi arahannya, sambil menegaskan sebarang representasi bahawa keputusan dibuat atas arahannya adalah tidak sah dan bercanggah dengan tadbir urus korporat yang betul.

Berhubung dakwaan penyelewengan dana, Najib berkata, beliau tidak mengetahui dan tidak pernah mengarahkan wang SRC disalurkan kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd atau dipindahkan ke akaun peribadinya.

Beliau menegaskan wang dikreditkan ke dalam akaun peribadinya disangka sebagai derma, seperti pernah diterima sebelum ini dan beliau tidak mengurus akaun berkenaan secara peribadi serta tidak menerima penyata bank bulanan.

"Saya tidak menggunakan Nik Faisal atau mana-mana individu sebagai perantara untuk mengarah atau menentukan keputusan BOD SRC atau merancang kemasukan RM42 juta ke dalam akaun saya.

"Jika ada mana-mana pegawai yang menyatakan 'ini arahan Perdana Menteri', perkara itu tidak pernah diberi kebenaran oleh saya dan adalah bercanggah dengan tadbir urus korporat yang betul.

"Saya tidak tahu pada masa itu bahawa wang berkenaan didakwa berpunca daripada SRC International. Jika saya dimaklumkan, saya pasti akan menolak atau memulangkan wang berkenaan," katanya.

Perbicaraan bersambung esok. #BeritaHarian

Share:

Sebanyak RM14.8 Juta Diperuntukkan Bagi Program Tunas Makmur 2026, Untuk Manfaatkan 68,000 Pelajar Di Pahang

KUANTAN: Sebanyak RM14.8 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Tunas Makmur yang dijangka memanfaatkan 68,000 pelajar di Pahang tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata program berkenaan melibatkan semua murid Tahun 1 dan pelajar miskin tegar daripada Tahun 2 hingga Tingkatan 5. 

“Program yang bermula sejak 2022 ini menyediakan set bantuan peralatan pembelajaran bernilai RM100 yang lengkap dan berjenama, termasuk beg sekolah dan alat tulis selain kalkulator saintifik serta set geometri bagi pelajar sekolah menengah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sebagai penambahbaikan tahun ini, kerajaan negeri turut memperkenalkan baucar pakaian sekolah bernilai RM100, yang boleh ditebus di beberapa pasar raya ditetapkan.

Selain itu, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri dengan kerjasama MBS Bookstore turut menyediakan Kad Diskaun 30 peratus kepada semua pelajar, termasuk pelajar tadika dan institusi pengajian tinggi (IPT), serta guru dan pensyarah di seluruh Pahang. 

“Bantuan ini akan disampaikan secara serentak pada hari pertama persekolahan di semua sekolah seluruh Pahang. Kerajaan Pahang kekal komited memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak Pahang terus menjadi keutamaan,” katanya. 

Wan Rosdy hari ini turut menyerahkan set bantuan peralatan pembelajaran kepada 130 pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bentong. #Bernama

Share:

Hati-Hati Warga Kuantan, Ada Orang Pelik Gegar Dan Rosakkan Pagar Jam 4.30 Pagi Di Taman Indera Sempurna Kelmarin

KUANTAN: Tindakan seorang lelaki yang dipercayai cuba memasuki sebuah rumah dikatakan di Taman Indera Sempurna di sini kelmarin dengan merosakkan pagar rumah menimbulkan keresahan kepada orang ramai.

Berdasarkan video yang tular menunjukkan seorang lelaki berbaju hitam nekad cuba merosakkan pagar besi dengan menggegarkan pagar berkenaan sehingga menimbulkan bunyi bising.

Berdasarkan kenyataan dalam video berkenaan menyatakan kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi dan menasihatkan orang Kuantan agar berhati-hati.

Susulan penularan video berkenaan rata-rata netizen menyatakan kebimbangan dengan kejadian itu dan meminta pihak terbabit segera melaporkan kejadian kepada polis.

Orang ramai yang resah dengan kejadian itu juga meminta semua penduduk berhati-hati.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, setakat ini polis masih belum menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba menyiasat kejadian yang tular itu. #KOSMO!

Share:

KEADILAN Kuantan Anjurkan Program 'Back To School', 100 Pelajar Gunting Rambut Percuma Di Balai Raya Kuala Penor, DUN Inderapura

KUANTAN: Sebagai usaha membantu pelajar membuat persiapan kembali ke sekolah bagi sesi akademik 2026, KEADILAN Kuantan baru baru ini telah menganjurkan program Back To School – Gunting Rambut Percuma di Balairaya Kampung Kuala Penor, dalam DUN Inderapura, Parlimen Kuantan.

Pengarah Program, Fakhrul Helmi Mohd Azhan berkata, penganjuran program ini bertujuan membantu Ranting KEADILAN Kampung Kuala Penor menggerakkan aktiviti kemasyarakatan, di samping meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah.

"Program ini bertujuan membantu Ranting KEADILAN Kg Kuala Penor menggerakkan program bersama masyarakat di kampung ini di samping membantu ibu bapa yang mempunyai anak-anak sekolah untuk menikmati perkhidmatan gunting rambut secara percuma," katanya.

Selain perkhidmatan gunting rambut, penduduk kampung turut menerima manfaat perkhidmatan cuci gigi (scaling) yang disediakan oleh Jabatan Pergigian Daerah Kuantan menerusi kerjasama Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi.



Sementara itu, Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar berkata kerjasama erat antara Cabang dan Ranting perlu diperkukuhkan bagi memastikan pelbagai inisiatif Kerajaan MADANI dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

"Kerjasama di antara Cabang dan Ranting perlu diperkukuhkan bagi memastikan pelbagai inisiatif dan bantuan Kerajaan Madani dapat dinikmati oleh rakyat," ujarnya.

Menurut beliau, Ranting KEADILAN Kampung Kuala Penor dipilih sebagai lokasi pertama program Back To School – Gunting Rambut Percuma sempena cuti sekolah akhir tahun, sebelum diperluaskan ke seluruh Parlimen Kuantan.

Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua 54 ranting dalam Cabang Kuantan akan digerakkan bagi memastikan penyertaan lebih meluas melibatkan anggota parti dan komuniti setempat.

Program tersebut turut dihadiri Ketua Wanita KEADILAN Kuantan, Sridayu Samsuri; Ketua Srikandi KEADILAN Kuantan, Siti Samihah; Ketua AMK Kuantan, Hilmy Yakap; Naib Ketua KEADILAN Kuantan, Jeff Lee serta Ketua Ranting KEADILAN Kg Kuala Penor, Farid Ishak.

Seramai lebih 100 orang pelajar berjaya menerima perkhidmatan gunting rambut percuma melalui program berkenaan. Selain itu, satu kaunter bergerak KEADILAN Kuantan turut dibuka oleh Pasukan Setiausaha Pengelola Cabang bagi menerima aduan penduduk serta permohonan keanggotaan baharu. #SuaraKeadilan

Share:

Ketua Bersatu Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah Dilantik Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Yang Baharu

KUANTAN: Ketua Bersatu Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang yang baru dalam barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa (AJK) PN Pahang bagi sesi 2025-2028.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat AJK yang di Pengerusikan oleh Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.

Jawatan itu sebelum ini disandang Timbalan Ketua Bersatu Pahang, Lt Kol (PA) Mohd Yazid Mohd Yunus.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Andansura Rabu pula dilantik sebagai Setiausaha PN Pahang yang baharu, dibantu Nurul Qamar Abdul Latib (Bersatu) yang merupakan Ketua Pemuda PN Pahang sebelum ini.

Ketua Penerangan Pas Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya, kekal sebagai Ketua Penerangan PN Pahang dibantu dua naib ketua iaitu Ketua Bersatu Bahagian Temerloh, Datuk Rofaie Hamdan dan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Chandra Balabedha.

Naib Ketua Muslimat Pas Malaysia, Salamiah Mohd Nor juga kekal menjawat jawatan sebagai Ketua Wanita PN Pahang, sementara Ketua Armada Bersatu Pahang, Muhammad Fareed Tarmizi dilantik sebagai Ketua Pemuda PN yang baharu.

Bagi penggal baru ini, seramai sembilan AJK PN Pahang yang dilantik iaitu Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor; Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari; Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib daripada Pas.

Selain itu, tiga wakil daripada Bersatu juga dipilih iaitu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (Dipilih), Datuk Seri Asmawi Harun; Timbalan Ketua Bersatu Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus dan Ketua Armada Bersatu Bahagian Raub, Datuk Mohd Fakhrunizam Ibrahim.

Tiga wakil daripada Gerakan yang dilantik sebagai AJK PN Pahang yang baharu pula ialah Setiausaha Gerakan negeri, Raymond Cham; Geoff Chan dan William Tan.

“Pelantikan ini melibatkan gabungan tokoh berpengalaman dan tenaga muda yang berwibawa bagi memastikan aspirasi rakyat Pahang terus diperjuangkan dengan lebih berkesan,” kata PN dalam kenyataannya hari ini. #MalaysiaGazette

Share:

Jawatankuasa Bersatu Bahagian Indera Mahkota Melahirkan Rasa Kesal Pemecatan Saifuddin Tanpa Perbicaraan Adil

KUANTAN: Jawatankuasa Bersatu Bahagian Indera Mahkota melahirkan rasa kesal terhadap keputusan Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memutuskan pemecatan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah tanpa melalui perbicaraan yang adil.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua merangkap Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Indera Mahkota, Mat Zahid Abu Hassan berharap Lembaga Rayuan Bersatu dapat mempertimbangkan rayuan yang bakal dikemukakan Saifuddin secara adil, telus dan berhemah demi keutuhan parti.

Beliau berkata, pendirian itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat jawatankuasa bahagian berkenaan yang diadakan semalam.

"(Jawatankuasa ini) menyatakan solidariti bersama Datuk Saifuddin Abdullah dan menyatakan sokongan berterusan kepada kepimpinan beliau," menurut kenyataan itu.

Pada Selasa lepas, Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid dilaporkan berkata Bersatu telah memecat Saifuddin, berkuat kuasa pada 6 Jan.

Harris Idaham dilaporkan berkata, Saifuddin telah melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti, namun tidak memperincikan kesalahan khusus yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota itu. #AstroAwani

Share:

MB Pahang Dakwa Lebih Mudah Untuk Bekerja Dengan Exco DAP Berbanding MCA Dalam Hal Ehwal Urusan Pentadbiran Negeri


KUANTAN: Menteri Besar Pahang , Dato' Sri DiRaja Hj Wan Rosdy Wan Ismail berkata kehadiran wakil DAP dalam pentadbiran beliau membantu memudahkan urusan kerajaan negeri.

Wan Rosdy berkata kadangkala lebih mudah berurusan dengan Exco DAP berbanding dengan MCA.

Sebagai contoh, kata beliau, DAP banyak menyokong inisiatif kerajaan negeri seperti pemberian bantuan kepada penjawat awam.

“Semasa tidak ada DAP pun dalam kerajaan Pahang, kita bayar (bantuan penjawat awam) sebulan setengah gaji saja.

“(bila) DAP ada dalam barisan exco, bila saya kata nak beri dua bulan gaji, satu ayat pun tak dengar mereka membangkang,” katanya yang dipetik Berita Harian sebagai berkata.

Wan Rosdy menjawab kritikan bahawa kerajaan perpaduan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Pahang bersifat sekular serta tidak menjaga kebajikan orang Melayu dan umat Islam.

Tambah beliau, DAP sering beri sokongan dan nasihat yang baik dalam pentadbiran.

“Kadang kala mereka berikan nasihat yang baik berkenaan ketirisan, jalan berlubang dan sebagainya,” katanya.

Wan Rosdy berkata, perbezaan ideologi politik antara UMNO dan DAP tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan untuk masyarakat Melayu berpecah.

Exco Pahang kini dianggotai seorang wakil DAP (ADUN Triang, Leong Yu Man) dan seorang wakil PKR (ADUN Teruntum Sim Chon Siang). #FreeMalaysiaToday

Share:

Kenyataan Wan Rosdy 'Kerja Dengan DAP Lebih Mudah' Perlulah Difahami Dalam Kontek Pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang

KUANTAN: Kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung kehadiran wakil DAP dalam pentadbiran Pahang yang dikatakan membantu memudahkan urusan kerajaan negeri perlu difahami dalam konteks pengalaman pentadbiran dan keperluan memastikan kelancaran urusan pentadbiran negeri.

Ketua Penerangan UMNO Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, kenyataan itu bukan satu penilaian terhadap nilai atau sumbangan mana-mana parti politik seperti yang ditanggapi segelintir pihak.

Menurutnya, sebagai Menteri Besar, Wan Rosdy yang juga Pengerusi UMNO Pahang memikul tanggungjawab besar memastikan setiap dasar dan keputusan kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan rakyat.

"Dalam proses tersebut, pengalaman bekerjasama dengan pelbagai pihak sudah tentu berbeza mengikut situasi, masa dan isu yang dihadapi," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Shahaniza berkata, UMNO Pahang berdiri teguh menyokong kepimpinan Menteri Besar dalam menerajui kerajaan negeri, khususnya dalam usaha mengekalkan kestabilan politik, keharmonian antara kaum dan keberkesanan pentadbiran.

Tambahnya, UMNO Pahang juga pada masa sama menghormati peranan semua rakan politik yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri.

"Perbezaan pandangan dan pengalaman tidak seharusnya ditafsir sebagai menafikan jasa atau kedudukan mana-mana pihak," ujarnya.

Wan Rosdy sebelum ini dilaporkan berkata, kehadiran Exco daripada DAP dalam barisan kepemimpinan tertinggi kerajaan negeri itu lebih memudahkan urusan pentadbiran berbanding ketika bersama rakan parti komponen MCA sebelum ini.

Kenyataan beliau semasa berucap merasmikan Penutupan Bengkel Anjakan Paradigma Pendidikan Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang (SMAN) di Putrajaya pada Khamis dipercayai bagi menjawab tohmahan pembangkang yang mendakwa kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Pahang bersifat sekular serta tidak menjaga kebajikan orang Melayu dan umat Islam.

Bagaimanapun, kenyataan itu telah dipersoalkan oleh MCA Pahang, di mana pengerusinya, Datuk Chong Sin Woon menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu perbandingan yang sengaja memberi tanggapan negatif terhadap kredibiliti parti itu, sambil menuntut Wan Rosdy memperincikan aspek yang dimaksudkan.#SinarHarian

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.