script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Polis Kenal Pasti 36 Lokasi Kerap Kemalangan Dan Laluan Sesak Untuk Tumpuan Penugasan 'Ops Selamat' Di Negeri Pahang

KUANTAN:  Polis mengenal pasti 36 lokasi kerap berlaku kemalangan dan 25 lokasi laluan sesak di negeri ini untuk ditumpukan dalam penugasan Ops Selamat bermula hari ini hingga 24 Mac. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata operasi sempena sambutan Aidilfitri itu dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan kadar kemalangan dan kemalangan maut di negeri ini.

“Lebih 200 pegawai dan anggota trafik ditugaskan sepanjang Ops Selamat di negeri ini kali ini. Selain itu, penugasan seperti rondaan dan kawalan keselamatan turut dipertingkatkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pahang di sini hari ini. 

Pada majlis itu, Supt Tan Yong Wee dilantik sebagai  Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pahang yang baharu menggantikan Supt Azmi Awang Lah berkuat kuasa hari ini. 

Yahaya berkata operasi berkenaan turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata pihaknya menjangkakan lebih satu juta kenderaan akan menggunakan rangkaian jalan raya di Pahang termasuk lebuh raya, jalan Persekutuan dan jalan negeri sepanjang tempoh tersebut.

Yahaya turut mengingatkan orang ramai yang meninggalkan kediaman masing-masing supaya memaklumkan kepada pihak polis melalui balai berhampiran atau menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

“Maklumat yang diberikan membolehkan pihak polis meningkatkan rondaan di kawasan perumahan bagi memastikan keselamatan kediaman daripada sebarang aktiviti jenayah,” katanya. #Bernama

Share:

PAS Pahang Secara Terbuka Terima Penyertaan MIC Dalam Gabungan PN, PAS Bentong Sudah Bertemu Pengerusi MIC Negeri

KUANTAN: PAS Pahang menerima secara terbuka penyertaan MIC dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan telah berhubung dengan Pengerusi MIC Pahang, V. Arumugam.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Rosli Abd Jabar berkata, perkembangan itu menjadi kelebihan kepada PAS Pahang dan petunjuk baik memandangkan PN Pahang berpotensi memperoleh satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) secara percuma.

“PAS Bentong telah bertemu dengan MIC Pahang dan jumpa Cikgu Aru (V. Arumugam). Apa-apa pun katanya dia perlu ikut MIC Pusat.

“Tapi kalau betul dia akan jadi parti komponen, kita kena terima. Walaupun satu kerusi. Paling tidak pun dia (V.Arumugam) akan mengekalkan kerusi DUN Sabai,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan permohonan kemasukan MIC ke dalam PN sudah diluluskan menerusi mesyuarat Sabtu lalu menjadikan gabungan berkenaan kini dianggotai lima parti anggota.

Walau bagaimanapun, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M.Saravanan menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan parti itu belum membuat permohonan rasmi untuk menyertai PN.

Sementara itu, Rosli tidak menolak kemungkinan akan berlaku Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) menjelang awal tahun 2027.

PAS Pahang dan PN Pahang katanya sudah bersedia dengan pelbagai program kemasyarakat bertemakan ‘Teraju Pahang’ sejak PRU15 lagi dan telah bertemu secara berdepan dengan lebih 30 peratus pengundi.

Rosli berkata, konflik dalaman melibatkan komponen parti itu iaitu Bersatu di Pahang tidak menjejaskan kekukuhan PN Pahang dan tiada isu timbul mengenai pembahagian kerusi.

“Kebiasaannya budaya lama asasnya pengagihan kerusi mengikut status quo. Kalau ada pertukaran, kita bincang sama-sama. Jadi tiada isu berkenaan pembahagian kerusi,” katanya. #MalaysiaGazette

Share:

Menteri Besar Pahang Luangkan Masa Berbuka Puasa Bersama Rakan Media Di Hotel Grand Darul Makmur Kuantan Malam Tadi

KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail malam tadi meluangkan masa untuk berbuka puasa Bersama rakan-rakan media di Hotel Grand Darul Makmur di sini malam tadi.

Yang turut hadir ialah Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang,Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Ketua Penerangan UMNO Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Khairul Anwar Ahmad Nadzer.

Menurut Wan Rosdy, majlis itu menjadi ruang yang amat bermakna untuk mengeratkan silaturahim serta menghargai peranan penting pengamal media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berkesan kepada rakyat.

"Tokwan amat menghargai komitmen dan dedikasi para pengamal media yang sentiasa memainkan peranan besar dalam menyalurkan informasi, sekali gus membantu membina masyarakat yang lebih berpengetahuan dan sejahtera.

"Semoga hubungan baik yang terjalin ini terus diperkukuh demi kemajuan Negeri Pahang dan kesejahteraan bersama. Insya-Allah," kata kenyataannya. #pahangdaily

Share:

Sultan Pahang Berkenan Menyempurnakan Serahan Bantuan Hari Raya Aidilfitri Asnaf Tanah Kesultanan, Penyerahan Rumah Di Pekan

PEKAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Serahan Bantuan Aidilfitri Asnaf Tanah Kesultanan dan Penyerahan Rumah yang berlangsung di Dewan Utama MUIP, di sini hari ini.

Dalam titah baginda, Al-Sultan Abdullah memperkenankan izin menduduki kepada enam kampung yang mendiami Tanah Kesultanan Pahang sebagai usaha memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

“Beta tidak mahu penghuni Tanah Kesultanan ini terlibat dengan najis dadah, sebaliknya hendaklah hidup dalam keadaan harmoni dan berdisiplin,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan kepentingan menjaga kebersihan kawasan kediaman termasuk memastikan halaman rumah sentiasa bersih dan teratur serta memelihara kebersihan tanah perkuburan sebagai tanda menghormati warisan dan nilai masyarakat.

Selain itu, baginda menyeru golongan muda agar memanfaatkan peluang yang ada dengan bekerja dan mengusahakan tanah yang disediakan.

“Beta mahu anak-anak muda di Tanah Kesultanan ini berusaha mencari rezeki dan boleh memohon untuk mengusahakan tanah bagi tanaman makanan demi menjamin kelangsungan hidup yang lebih baik,” titah baginda lagi.

Baginda kemudiannya berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada para asnaf Tanah Kesultanan sebelum berangkat ke Kampung Permatang Pauh bagi menyempurnakan penyerahan kunci rumah kepada penerima terpilih serta meluangkan masa melawat kediaman tersebut.

Program berkenaan mencerminkan keprihatinan berterusan institusi diraja dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri. #MalaysiaAktif

Share:

Anak Muda Sekolah Patriotik UMNO Tunjuk Kesungguhan Bina Jati Diri, Mereka Akan Jadi Pelapis Dan Pemimpin Masa Depan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Patriotik UMNO (SPU), Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, meluangkan masa menghadiri Program’ Up & Close Bersama Pelajar Patriot 4’ yang diadakan baru-baru ini.

Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi pengalaman serta perjalanan kehidupan dalam dunia kepimpinan dan perkhidmatan kepada rakyat.

Ujarnya, program ini memberi peluang kepada pelajar SPU untuk mendekati pemimpin dan memahami nilai kepimpinan secara lebih dekat.

“Saya amat berbangga dengan semangat dan kesungguhan anak-anak muda ini menimba ilmu serta membina jati diri melalui platform SPU. Insya-Allah, merekalah yang akan menjadi pelapis dan pemimpin masa depan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa program seperti ini bukan sahaja menyemai semangat perjuangan, tetapi juga membina keyakinan diri dan mempersiapkan generasi muda untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar pada masa hadapan.

Program Up & Close Bersama Pelajar Patriot ini merupakan salah satu inisiatif SPU untuk mendekatkan pelajar dengan pemimpin, seterusnya melahirkan individu yang berwawasan dan berkemahiran kepimpinan, sejajar dengan aspirasi UMNO untuk memupuk generasi muda yang berdedikasi kepada negara. #UMNOnline

Share:

Kerajaan Negeri Pahang Mensasarkan Mahu Tingkatkan Kutipan Hasil Melalui Pelaksanaan Penguatkuasaan Yang Lebih Ketat Dan Tegas

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang mensasarkan mahu meningkatkan kutipan hasil negeri melalui pelaksanaan penguatkuasaan yang lebih ketat, tegas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya tindakan tegas akan terus dipergiat menerusi pelbagai aktiviti termasuklah Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), yang bertanggungjawab memantau serta mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam sebarang aktiviti penerokaan sumber secara haram.

“Kita telah menubuhkan satu pasukan khas untuk memastikan tindakan serta-merta diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti tidak sah ini. 

Malah, kita tidak lagi sekadar mengenakan kompaun, sebaliknya pelaku akan diheret ke mahkamah.” katanya seperti dilapor RTM.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, langkah yang dikenakan berkenaan bukan mahu mengaibkan pihak-pihak tertentu sebaliknya sebagai pengajaran selain mahu menjaga hak negeri berkenaan.

“Langkah ini diambil bukan bertujuan mengaibkan mana-mana individu, tetapi sebagai pengajaran tegas bahawa hasil mahsul dan khazanah negeri tidak boleh diterokai secara haram,” katanya lagi.


Terdahulu beliau hadir menyempurnakan Program Baucar Raya ‘Moh Balik Negeri Pahang’ di Stadium Titiwangsa bersama hampir 10,000 anak Pahang di perantauan Program Baucar Raya ‘Moh Balik Negeri Pahang’ di Stadium Titiwangsa pada Ahad.

Inisiatif yang melibatkan  peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 juta itu disalurkan melalui aplikasi e-dompet PahangGo bagi memudahkan pembelian barangan keperluan.

Katanya penganjuran yang memasuki tahun ketiga merupakan usaha berterusan kerajaan negeri bagi meringankan beban serta membantu anak-anak Pahang di perantauan pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman. #MalaysiaMadani

Share:

Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Mega Aidilfitri Tarik 38,500 Pengunjung Di Pahang, Nilai Jualan Terkumpul RM4 Juta Setakat Ini

KUANTAN: Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Mega Aidilfitri di Pahang mencatat kehadiran lebih 38,500 pengunjung dengan nilai jualan terkumpul RM4 juta setakat ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata edisi Aidilfitri kali ini menambah beberapa Unit Simpanan Stok (SKU) bersubsidi untuk bahan membuat kuih raya termasuk serbuk koko, badam, cip coklat dan mentega.

Kemuncak jualan berlangsung hari dan esok di Perkarangan Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap Perdana dan kawasan berhadapan Pasar Nelayan Pantai Sepat.

Selain jualan, Majlis Serahan Sumbangan Zakat Wakalah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Sungai Isap turut diadakan melibatkan 100 penerima asnaf yang menerima sumbangan tunai RM200 dan bakul makanan bernilai RM100 seorang.

Di Pantai Sepat pula, Program Santuni Asnaf Mukim Penor memberi manfaat kepada 150 penerima melalui sumbangan tunai RM200 daripada Tenaga Nasional Berhad dan bakul makanan daripada Econsave Sdn. Bhd.

Datuk Dr. Fuziah turut menyumbang 150 pek beras serta 150 ekor ayam kepada penerima di kawasan berkenaan.

Program tersebut adalah sebahagian 178 siri PJRM sempena Ramadan dan Aidilfitri dengan 133 program telah dilaksanakan sehingga 16 Mac dan baki 45 dijadualkan sehingga 30 Mac. #BeritaRTM

Share:

Gading Kencana Sdn. Bhd (GKSB) Tawar Bangunkan Ladang Solar Di Bekas Tanah Tapak Perlombongan Bauksit Di Felda Bukit Goh

SHAH ALAM: Gading Kencana Sdn. Bhd. (GKSB) sebuah syarikat bumiputera peneraju dalam industri tenaga boleh baharu menawarkan kepakaran untuk membangunkan ladang solar di Felda Bukit Goh, Pahang.

Ia bagi membantu 671 peneroka dan generasi kedua di Felda berkenaan yang mengharapkan penyelesaian berhubung isu tanah seluas 2,428 hektar yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit di tanah rancangan berkenaan.

Pengarah Urusan GKSB, Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, selari dengan hasrat penduduk terbabit yang berharap kawasan itu boleh dibangunkan dengan projek ladang solar yang digabungkan dengan aktiviti pertanian moden.

Menurut Guntor, syarikatnya yang sudah hampir 30 tahun terlibat dalam industri tenaga boleh baharu dan kini mengendalikan empat ladang solar berskala besar di seluruh negara boleh membantu penduduk memanfaatkan kawasan tersebut yang kini tidak lagi sesuai untuk pertanian kesan daripada perlombongan bauksit.

“Berdasarkan kepada pengalaman kami membangunkan ladang solar, saya rasa ladang solar adalah projek yang paling sesuai bagi membantu kira-kira 671 peneroka di Felda Bukit Goh.

“Buat permulaan mungkin boleh dimulakan dengan kawasan seluas 500 hektar dahulu bagi mendapatkan aliran tunai sebelum dimajukan keseluruhan kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum itu, para peneroka Felda Bukit Goh berkata, sejak moratorium perlombongan bauksit pada 2016, kawasan seluas kira-kira 2,428 hektar di Felda Bukit Goh itu terbiar tanpa usaha pemulihan tanah.

Aktiviti perlombongan yang rancak sekitar 2014 hingga 2016 meninggalkan kesan mendalam terhadap struktur tanah dengan lubang sedalam antara satu ke enam meter.

Menurut peneroka, kawasan itu sudah tidak sesuai untuk pertanian disebabkan lapisan atas tanah yang subur atau topsoil sudah digali, menyebabkan kelapa sawit atau getah sukar tumbuh semula.

Menurut Guntor, berdasarkan pengalaman mereka membangunkan ladang solar di Melaka, kawah tersebut boleh dipulihkan melalui kaedah potong dan isi di samping membina sistem perparitan yang sesuai diikuti dengan penanaman semula rumput.

“Bayang-bayang dari panel solar akan membolehkan beberapa mikrob hidup di atas tanah untuk mengoksidasikan lapisan bawah tanah. Ini akan mengembalikan kesuburan tanah selepas empat tahun.

“Pengalaman ini telah kami lakukan di ladang solar kami di Melaka,” jelasnya.

Selain itu katanya, mereka mengadaptasi teknologi dari China yang berjaya menjadikan padang pasir sebagai padang rumput untuk ternakan hasil kombinasi dengan ladang solar.

Sehubungan itu beliau berharap pihak yang terbabit terutama Felda sedia menimbangkan tawaran Gading Kencana ini kerana ia bukan sahaja dapat membantu generasi kedua Felda terbabit menjana pendapatan daripada tanah mereka, tetapi juga menyumbang kepada industri tenaga boleh baharu negara. #UtusanMalaysia

Share:

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) Sedang Siasat 87 Syarikat Pengendali Umrah Yang Disyaki Terbabit Dalam Kartel Umrah

KUANTAN: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menjalankan siasatan terhadap 87 syarikat pengendali umrah yang disyaki terbabit dalam kartel umrah.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata berdasarkan laporan, beberapa pengendali umrah dikatakan berpakat menetapkan harga.

Katanya, kesan daripada pakatan itu, pengguna tidak mendapat tawaran atau pilihan terbaik apabila berhasrat menunaikan umrah.

"Ini bahayanya kartel, sebab itu di bawah KPDN kita ada MyCC yang tujuannya untuk melawan kartel umrah ini. Setakat ini, sebanyak 87 syarikat pengendali umrah sedang disiasat," katanya.

Fuziah berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Jualan Rahmah Madani Mega Aidilfitri 2026 dan Agihan Wakalah Zakat Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di perkarangan Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap Perdana di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah KPDN Pahang Jezlily Jamaluddin dan Pengarah SSM, Kamarudin Mohd Daud.

Mengulas faktor keselamatan jemaah yang berhasrat menunaikan umrah berikutan peperangan di Asia Barat, Fuziah menasihati bakal jemaah menilainya terutama daripada segi kemampuan.

"Sebaiknya utamakan keselamatan diri dan keluarga terlebih dahulu sebelum berhasrat menunaikan umrah susulan daripada peperangan itu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian itu terus memperkukuh agenda Malaysia Madani melalui pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Mega Aidilfitri di Pahang.

Katanya, ia sebagai usaha membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup, khususnya dalam tempoh persediaan menyambut Aidilfitri yang lazimnya membabitkan peningkatan perbelanjaan isi rumah.

"Bagi memastikan manfaat program ini dapat dinikmati secara lebih meluas, KPDN Pahang merancang 178 siri PJRM bertemakan Ramadan dan Aidilfitri di pelbagai lokasi strategik di seluruh negeri.

"Sehingga semalam, sebanyak 133 program Berjaya dilaksanakan, manakala 45 lagi program dijadualkan berlangsung sehingga 30 Mac ini untuk memastikan lebih ramai rakyat berpeluang mendapatkan barangan keperluan pada harga yang lebih berpatutan menjelang sambutan Aidilfitri," katanya. #HarianMetro

Share:

Kerajaan Pahang Siasat Aduan Pekebun Sayur Cameron Highlands Yang Mendakwa Terpaksa Jual Hasil Tanaman Pada Harga Rendah

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang akan menyiasat aduan pekebun sayur di Cameron Highlands yang mendakwa terpaksa menjual hasil tanaman pada harga rendah, iaitu 20 hingga 30 sen sekilogram kepada pemborong.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Sim Chon Siang berkata pihaknya menerima aduan terus daripada pekebun berkaitan hal itu minggu lepas, dan mendakwa mereka kini berdepan tekanan kos operasi amat tinggi serta bebanan membayar hutang bank.

Beliau berkata situasi itu secara langsung menimbulkan persoalan mengenai rantaian bekalan serta penentuan harga yang menyebabkan jurang besar antara harga ladang dan harga pasaran.

“Pekebun mendakwa mereka hanya menerima kira-kira 20 hingga 30 sen sekilogram bagi sayur tertentu, tetapi apabila sampai ke pasaran harga boleh mencecah RM3 atau RM4 sekilogram,” katanya pada sidang media selepas memantau harga sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata berikutan itu pihaknya akan turun ke Cameron Highlands pada 30 dan 31 Mac ini bagi bertemu sendiri pekebun untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai isu yang mereka hadapi.

Dalam pada itu, beliau turut meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang meneliti isu berkenaan bagi memahami punca sebenar perbezaan harga yang ketara pada peringkat ladang dan pasaran.

Berhubung SHMMP, KPDN Pahang akan turut meningkatkan kehadiran pegawai penguat kuasa di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi memastikan pematuhan terhadap skim berkenaan. #Malaysiakini

Share:

Lynas Menandatangani LOI Membekalkan Nadir Bumi Bernilai AS$96j Kepada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon)

KUALA LUMPUR: Lynas, penapis nadir bumi terbesar di luar China, telah menandatangani surat niat mengikat (LOI) dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) bagi memuktamadkan perjanjian pembekalan mineral nadir bumi kepada sektor pertahanan negara itu selama empat tahun.

"Melalui perjanjian ini, pangkalan industri pertahanan AS akan terus mempunyai akses kepada oksida nadir bumi ringan dan berat yang penting untuk pembuatan moden," kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Amanda Lacaze, dalam satu kenyataan syarikat itu hari ini.

Lynas berkata surat niat itu menetapkan rangka kerja bagi memuktamadkan perjanjian bekalan oksida nadir bumi ringan dan berat bagi menyokong objektif keselamatan nasional dan daya tahan rantaian bekalan AS.

Di bawah aturan ini, Jabatan Pertahanan akan memperuntukkan kira-kira AS$96 juta (RM377.62 juta) untuk membeli oksida nadir bumi daripada Lynas.

Lynas berkata perjanjian itu menyusuli keputusan bersama dengan Pentagon untuk meminda perjanjian terdahulu, disebabkan "ketidakpastian ketara" sama ada rancangan untuk membina kemudahan pemprosesan nadir bumi berat di Seadrift, Texas, akan diteruskan.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa oksida neodimium-praseodimium (NdPr) akan mempunyai harga lantai AS$110 bagi setiap kilogram di bawah aturan tersebut.

Sebagai perbandingan, harga penanda arasnya secara amnya berlegar sekitar AS$60 hingga AS$80 bagi setiap kilogram tahun lepas, walaupun ia mencecah setinggi AS$128 bagi setiap kilogram pada tahun ini.

Mineral tersebut merupakan bahan mentah penting untuk menghasilkan magnet berkuasa tinggi yang diperlukan bagi motor elektrik, penggerak, dan aplikasi lain.

Bloomberg Intelligence melaporkan pada 2 Mac bahawa China mendominasi 90 peratus daripada bekalan NdPr dunia, namun bekalan akan datang dari Australia dan AS berkemungkinan akan mengurangkan penguasaan pasaran China kepada 69 peratus menjelang 2030.

Lynas melombong mineral nadir bumi dari Mt Weld, Australia Barat, memprosesnya, dan kemudian menghantarnya untuk penulenan serta pengasingan kepada oksida nadir bumi di Kilang Bahan Termaju Lynas (LAMP) di Gebeng, Pahang.

Kemudahan di Gebeng itu bukan sahaja mampu menghasilkan unsur nadir bumi ringan, malah merupakan satu-satunya pengeluar penting unsur nadir bumi berat di luar China, dan justeru itu menjadi satu-satunya pengeluar yang tidak tertakluk kepada kawalan eksport China terhadap mineral kritikal.

Bagaimanapun, kemudahan itu berdepan tentangan hebat daripada aktivis alam sekitar, terutamanya berhubung isu pelupusan sisa radioaktif daripada proses penulenan larut lesap air (WLP).

Kerajaan Malaysia memberikan lanjutan lesen selama 10 tahun kepada kemudahan itu bermula 3 Mac lalu, tetapi dengan syarat ia mesti mengurangkan tahap radioaktiviti sisa WLP di bawah had kawal selia dengan mengekstrak unsur radioaktif torium daripada sisa tersebut.

Melangkah ke hadapan, Lynas juga dikehendaki menyelesaikan proses pengekstrakan torium di Australia sebelum menghantarnya untuk pemprosesan lanjut di Malaysia. #Malaysiakini

Share:

Kerajaan Negeri Pahang Peruntukkan RM1 Juta Inisiatif Untuk Bantu 10,000 Perantau Pulang Sambut Hari Raya Bersama Keluarga

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM1 juta sebagai inisiatif membantu 10,000 perantau negeri itu pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, nilai baucar dinaikkan kepada RM100 seorang, berbanding RM50 pada tahun 2025 dan 2024.

Menurut beliau, peningkatan itu dibuat susulan kedudukan kewangan negeri yang semakin kukuh.

"Insya-ALLAH kita akan tingkatkan dari semasa ke semasa, terima kasih atas doa anak-anak Pahang kepada kerajaan negeri yang membolehkan kita menguruskan kewangan dengan baik dan kembalikan kepada rakyat.

"Daripada jumlah keseluruhan penerima itu, seramai 2,000 anak Pahang menerima baucar, manakala baki 8,000 lagi akan diagihkan melalui pemimpin di kawasan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Baucar Raya 'Moh Balik Negeri Pahang' di Stadium Titiwangsa pada malam Ahad.

Beliau turut menasihatkan anak Pahang yang pulang ke kampung halaman agar merancang perjalanan dengan baik serta berhati-hati di jalan raya.

Sebelum ini, baucar petrol atau diesel diberikan dan kali ini pelaksanaan program dipertingkatkan dengan pembelian barangan menerusi aplikasi e-wallet PahangGo.

Program tersebut menerima sambutan luar biasa dengan 77,452 permohonan diterima dalam tempoh tujuh hari sahaja sejak permohonan dibuka.

Pemilihan penerima telah dilaksanakan secara teliti oleh Sekretariat Perantau Anak Pahang bagi memastikan pengagihan dibuat secara adil serta mengelakkan pertindihan penerima.

Sementara itu, penerima, Nur Amin Zakaria berkata, inisiatif kerajaan negeri itu membantu pergerakan anak-anak perantau pulang ke kampung halaman.

"Satu inisiatif yang bagus buat anak- anak perantau yang sedikit sebanyak meringankan beban kami.

"Semoga inisiatif ini diteruskan lagi di masa hadapan oleh pihak Kerajaan Negeri Pahang," katanya.

Bagi Hana Hijanah Mohd Diah, 45, dia melahirkan rasa syukur apabila sekali lagi terpilih menerima baucar untuk pulang beraya.

"Sebelum ini baucar bahan api dan kali ini melibatkan penggunaan aplikasi e-wallet PahangGo yang amat memudahkan.

"Saya amat berbangga dengan kerajaan negeri yang tidak pernah melupakan kami yang berada diperantauan," katanya yang berasal dari Bera.#SinarHarian

Share:

Sebanyak 12 Buah Kereta Di Luar Sebuah Bengkel Di Batu 3, Jalan Gambang Terbakar, Tujuh Daripadanya Musnah 100 Peratus

KUANTAN: Sebanyak 12 kereta dengan tujuh daripadanya musnah 100 peratus dalam kebakaran yang berlaku di luar sebuah bengkel di Batu 3, Jalan Gambang di sini hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 6.15 pagi.

Katanya, seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dan BBP Kuantan bersama dua kenderaan FRT bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman.

"Berdasarkan laporan, kebakaran membabitkan 12 kereta pelbagai jenis yang berada di luar bengkel. Daripada jumlah itu, tujuh kereta musnah 100 peratus manakala lima kereta lagi mengalami kemusnahan 20 peratus.

"Kejadian itu tidak membabitkan mangsa dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 6.43 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan termasuk jumlah kerugian. #HarianMetro

Share:

Jabatan Mufti Negeri Pahang Pandang Serius Penyebaran Satu Dokumen Tular Isu Penetapan Waktu Solat Aidilfitri Di Negeri Ini

KUANTAN: Jabatan Mufti Negeri Pahang memandang serius penyebaran satu dokumen tular di media sosial yang didakwa sebagai surat rasmi berkaitan penetapan waktu solat sunat Aidilfitri negeri itu.

Jabatan berkenaan memaklumkan bahawa untuk makluman orang ramai, dokumen tersebut adalah palsu dan bukan dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Pahang.

Sehubungan dengan itu, katanya ,orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta sentiasa merujuk kepada pengumuman rasmi daripada Jabatan Mufti Negeri Pahang atau pihak berkuasa agama negeri Pahang bagi mendapatkan maklumat yang tepat.

"Pihak Jabatan Mufti Negeri Pahang juga tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya penyebaran dokumen palsu ini berterusan.

"Kerjasama semua pihak dalam mengekang penyebaran berita palsu amatlah dihargai," katanya menerusi kenyataan rasmi jabatan itu hari ini.

Terdahulu, tular penyebaran dokumen di media sosial yang didakwa sebagai surat rasmi berkaitan penetapan waktu solat sunat Aidilfitri negeri itu pada jam 8.45 pagi, 20 Mac ini. #BeritaHarian

Share:

Penjawat Awam Berhadapan Penjara 14 Tahun Dan Sebatan, Jika Didapati Bersalah Rompak Bersenjata Tiga Premis Di Temerloh


TEMERLOH: Seorang penjawat awam berhadapan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan jika didapati bersalah merompak tiga premis perniagaan di sekitar daerah ini dengan menggunakan senjata.

Tertuduh, Mohamad Syahrizan Nazar, 41 bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Temerloh di sini selepas tiga pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Hakim Jamaluddin Mat hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa merompak wang tunai berjumlah anggaran RM2,140 selain dua kotak rokok, tiga botol air minuman berperisa, satu paket snek berperisa dan satu beg membeli-belah bernilai RM50.70 di tiga buah premis berbeza menggunakan senjata maut iaitu sebilah pisau lipat dan sebilah pedang.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya pada 1 Mac 2026, 4 Mac 2026 dan 7 Mac 2026 di premis kedai serbaneka 24 jam di Jalan Sri Chengal dan Jalan Bendera Mahkota selain sebuah stesen minyak di Desa Murni Kerdau di sini.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zaffar dan Adriana Azrin yang mengendalikan kes tersebut memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh mengambil kira faktor tertuduh yang dipercayai berpotensi menjadi ancaman terutama kepada pengusaha premis perniagaan lain di sekitar daerah ini.

Tertuduh yang diwakili Peguam daripada Yayasan Bantua Guaman Kebangsaan (YBGK), Khairul Anuar Abu Hassan Ashaari bagaimanapun menjelaskan anak guamnya yang merupakan seorang penjawat awam, tidak berisiko melarikan diri selain dia hanya terbukti bersalah selepas diputuskan mahkamah kelak lalu memohon supaya wang ikat jamin dibenarkan oleh mahkamah.

Katanya, tertuduh yang bekerja sebagai seorang pemandu ambulan di sebuah klinik kesihatan di daerah ini hanya memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 sebulan dan perlu menanggung seorang isteri, tiga orang anak yang masih bersekolah serta seorang bapa yang menghidap sakit strok.

Justeru, hakim membenarkan wang ikat jamin keseluruhan RM9,000 dengan penjamin bercagar bagi semua pertuduhan dengan syarat tertuduh tidak boleh kacau ganggu saksi dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap sebulan.

Beliau turut menetapkan tarikh 22 April 2026 bagi sebutan semula, lantikan peguam dan serahan dokumen. #MalaysiaGazette

Share:

Seramai 3,000 Penerima Telah Diraikan Dalam Program Sinar Syawal MADANI Parlimen Indera Mahkota Dan Kuantan 2026


KUALA LUMPUR: Seramai 3,000 penerima diraikan dalam Program Sinar Syawal MADANI Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan 2026 yang diadakan di Jakel Kuantan, Pahang sebagai usaha membantu golongan memerlukan membuat persiapan menjelang Aidilfitri.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, program itu menyaksikan setiap penerima menerima sumbangan baucar kupon pakaian Hari Raya bernilai RM200.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan disalurkan bagi meringankan beban persiapan Aidilfitri, sekali gus membolehkan kegembiraan menyambut Syawal dirasai segenap lapisan keluarga.

“Mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya menyalurkan sumbangan berupa baucar kupon pakaian Hari Raya bernilai RM200 untuk setiap penerima sebagai langkah untuk meringankan beban persiapan raya agar sinar Aidilfitri dapat dirasai segenap lapisan keluarga,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya, antara penerima yang diraikan termasuk pelajar sekolah tingkatan lima dan enam daripada keluarga asnaf, pelajar sekolah rendah kategori asnaf, anak yatim, pelajar maahad tahfiz, golongan ibu tunggal serta golongan kurang berkemampuan di sekitar Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan.

Program itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Azaha Awang; Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Shaiful-Azizi Sukri Mohd Kassim; Pengarah Jakel Kuantan, Suhaimi Abdul Aziz; serta Mudir Pusat Pendidikan Ribath Al Musthofa Kuantan, Ustaz Uwais Al-Qarni Abdul Wahab.

Ahmad Farhan berkata, beliau berharap program seumpama itu dapat menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Saya berharap program seperti ini dapat menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam masyarakat, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan membawa kegembiraan kepada para penerima dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba,” katanya. #BuletinTV3

Share:

Ketua Polis Daerah Lipis: Dua Lelaki Maut Dalam Dua Kemalangan Berasingan Yang Berlaku Di Daerah Itu Semalam

LIPIS: Dua lelaki maut dalam dua kemalangan berasingan yang berlaku di daerah ini, semalam. Kejadian pertama kira-kira jam 1.30 tengah hari di Kilometer 95, Jalan Lipis-Merapoh berhampiran Kampung Merapoh membabitkan seorang warga emas, Safein Ab Rahman, 66, yang maut selepas kereta Perodua Kancil dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man, berkata bas yang membawa 15 penumpang itu dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Klang, Selangor ketika kemalangan berlaku.

Beliau berkata, kereta dipandu mangsa dipercayai keluar secara tiba-tiba dari simpang sebelum dirempuh bas terbabit.

"Akibat rempuhan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya yang turut berada dalam kenderaan cedera dan dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan.

"Dalam kejadian kedua pada jam 2.28 petang di Kilometer 18, Jalan Lipis-Jerantut berhampiran Kampung Lentang, seorang pemandu treler, Shahfik Fanzi Rosli, 41, dari Bukit Katil, Melaka maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan.

"Treler dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh tajam sebelum terbalik dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori Isuzu.

"Sebuah kereta Honda Jazz yang berada di belakang lori itu cuba mengelak, namun turut terbabit kemalangan. Pemandu lori Isuzu cedera dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan, manakala pemandu Honda Jazz tidak cedera," katanya.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan. #BeritaHarian

Share:

'Mashallah, Sumpah Terkejut!', Seorang Wanita Teruja Tengku Ampuan Pahang Duduk Sebelah Masa Solat Terawih Di Masjid Damansara


Siapa sangka, pengalaman biasa-biasa boleh jadi once in a lifetime. Itu yang berlaku pada seorang wanita yang sedang menunaikan solat Terawih di Masjid Bukit Damansara baru-baru ini. 

Tanpa dijangka, duduk di sebelahnya Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Wanita itu terus rasa jantung berdegup kencang. Terkejut, teruja, dannervousserentak. Dalam keadaan gemuruh, dia sempat menulis di platformThreads:

“Mashallah sumpah terkejut tiba-tiba permaisuri Pahang, duduk sebelah kita ON A RANDOM MONDAY! It’s a once in a lifetime experience for me HAHAHAHAHAH.”

Menurutnya, permaisuri itu bukan sahaja cantik luar biasa, malah sangathumble. Mereka sempat berbual-bual sedikit, manakala anak-anak permaisuri juga menawan, membuatkan pengalaman itu semakin manis.

“KANNN HAHAHA, kita nervous tadi permaisuri duduk sebelah, tak tau nak cakap apa dah tadi,” tulis wanita itu lagi.

Rata-rata netizen yang membaca perkongsian ini juga turut kagum dengan sikap rendah hati Tengku Ampuan Pahang. Seorang pengguna Threads menulis:

“Tengku Ampuan Pahang menghadiri pengkebumian Arwah Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas, tu yang terus solat Terawih di masjid kawasan berdekatan kot.”

Seorang lagi netizen menambah:

“MasyaAllah, humble nye. Tak payah karpet kuning bagai. Rilex je satu saff dengan rakyat jelata. Dia faham diri dia sebagai hamba Allah. Untuk urusan rasmi, kita tak boleh nafikan. Tp yg ni, awwww sgt sweet dihati rakyat.”

Bagi ramai, pengalaman ini bukan sekadar bertemu seorang permaisuri, tetapi juga melihat sisi humanistik seseorang yang biasa mereka lihat hanya dalam upacara rasmi.

Duduk sebentar di saf yang sama, berbual ringan, dan tersenyum kepada rakyat menjadikan momen ini begitu istimewa.

Pengalaman ini menjadi bukti bahawa meskipun bergelar royalty,sikap rendah hati dan kesederhanaan masih terpancar, meninggalkan kenangan manis bagi mereka yang bertuah berada di sisi Tengku Ampuan Pahang. #Murai.My

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

Kerajaan Pahang Tidak Berkompromi Dengan Sindiket Pencerobohan Tanah Kerajaan Secara Haram, Termasuklah Di Cameron Highlands

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana sindiket yang terlibat dalam kegiatan pencerobohan tanah kerajaan se...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.