KUANTAN: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menjalankan siasatan terhadap 87 syarikat pengendali umrah yang disyaki terbabit dalam kartel umrah.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata berdasarkan laporan, beberapa pengendali umrah dikatakan berpakat menetapkan harga.
Katanya, kesan daripada pakatan itu, pengguna tidak mendapat tawaran atau pilihan terbaik apabila berhasrat menunaikan umrah.
"Ini bahayanya kartel, sebab itu di bawah KPDN kita ada MyCC yang tujuannya untuk melawan kartel umrah ini. Setakat ini, sebanyak 87 syarikat pengendali umrah sedang disiasat," katanya.
Fuziah berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Jualan Rahmah Madani Mega Aidilfitri 2026 dan Agihan Wakalah Zakat Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di perkarangan Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap Perdana di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah KPDN Pahang Jezlily Jamaluddin dan Pengarah SSM, Kamarudin Mohd Daud.
Mengulas faktor keselamatan jemaah yang berhasrat menunaikan umrah berikutan peperangan di Asia Barat, Fuziah menasihati bakal jemaah menilainya terutama daripada segi kemampuan.
"Sebaiknya utamakan keselamatan diri dan keluarga terlebih dahulu sebelum berhasrat menunaikan umrah susulan daripada peperangan itu," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kementerian itu terus memperkukuh agenda Malaysia Madani melalui pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Mega Aidilfitri di Pahang.
Katanya, ia sebagai usaha membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup, khususnya dalam tempoh persediaan menyambut Aidilfitri yang lazimnya membabitkan peningkatan perbelanjaan isi rumah.
"Bagi memastikan manfaat program ini dapat dinikmati secara lebih meluas, KPDN Pahang merancang 178 siri PJRM bertemakan Ramadan dan Aidilfitri di pelbagai lokasi strategik di seluruh negeri.
"Sehingga semalam, sebanyak 133 program Berjaya dilaksanakan, manakala 45 lagi program dijadualkan berlangsung sehingga 30 Mac ini untuk memastikan lebih ramai rakyat berpeluang mendapatkan barangan keperluan pada harga yang lebih berpatutan menjelang sambutan Aidilfitri," katanya. #HarianMetro







Tiada ulasan:
Catat Ulasan