BENGALURU: Malaysia memperbaharui lesen operasi Lynas Rare Earths selama 10 tahun lagi bagi membolehkan syarikat perlombongan Australia itu mengimport bahan mentah mengandungi bahan radioaktif semula jadi dan memproses unsur nadir bumi.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Rare Earths Amanda Lacaze berkata Lynas menyambut baik tempoh lesen yang lebih panjang itu, memberikan kepastian pelaburan kepada Lynas serta rakan rantaian bekalan dan pelanggan nadir buminya.
“Bagi pihak semua pekerja Lynas, kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas perhatian mereka terhadap perkara ini serta sokongan terhadap industri nadir bumi di Malaysia,” katanya.
Syarikat itu memaklumkan Jabatan Tenaga Atom Malaysia dijangka mengeluarkan lesen rasmi tidak lama lagi dan ia akan berkuat kuasa mulai 3 Mac.
Susulan pengumuman itu, saham Lynas meningkat sehingga tujuh peratus kepada A$20.30 setakat 0131 GMT, paras tertinggi sejak 21 Oktober 2025, manakala penanda aras S&P/ASX 200 susut kira-kira 0.5 peratus.
Beberapa tahun lalu, Malaysia membangkitkan kebimbangan berhubung tahap radiasi daripada proses 'cracking' dan 'leaching', sekali gus mencetuskan persoalan sama ada lesen operasi Lynas akan diperbaharui.
Pada 2023, kerajaan meminda lesen berkenaan bagi membolehkan firma Australia itu beroperasi sehingga Mac 2026.
Lynas turut melabur dalam kemudahannya di Malaysia dengan perbelanjaan kira-kira A$180 juta (AS$127.91 juta) bagi membina fasiliti pengasingan baharu, sejajar peningkatan permintaan terhadap oksida nadir bumi berat yang diperoleh dari luar China. #BeritaHarian







Tiada ulasan:
Catat Ulasan