KUANTAN: Polis Pahang meluluskan 627 permit penjualan bunga api dan mercun sempena musim perayaan Aidilfitri setakat ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata kelulusan itu selepas menerima 648 permohonan di seluruh negeri.
Daripada 648 permohonan itu, beliau berkata, sebanyak 19 permohonan permit tidak diluluskan manakala dua permohonan dalam proses.
"Setakat ini, empat tangkapan serta rampasan mercun dan bunga api dilakukan atas kesalahan melanggar peraturan iaituketiadaan permit," katanya.
Yahaya berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran PDRM Tanjung Putra 188 (PTP 188) Fun Run & Fun Ride 2026 anjuran Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini, hari ini.
Justeru, beliau berkata, pihaknya dari semasa ke semasa menjalankan operasi pemantauan dan pemeriksaan ke atas penjual bunga api dan mercun bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.
"Operasi pemantauan itu akan diteruskan sehingga tamat tempoh perayaan pada 26 Mac ini," katanya.
Mengulas kes kematian lima sekeluarga di kawasan perumahan Cerating Damai, di sini pada 17 Februari lalu, Yahaya berkata, pihaknya masih mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
Katanya, pihaknya masih menunggu beberapa laporan termasuk forensik untuk melengkapkan siasatan.
"Setakat ini lima keterangan saksi termasuk ahli keluarga serta kenalan mangsa bagi membantu siasatan," katanya. #BeritaHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan