SHAH ALAM: Pendakwah bebas, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung mendedahkan dirinya menjadi saksi individu yang didakwa memijak al-Quran sebelum ini mengucap kalimah syahadah.
Menurutnya, individu berkenaan, Ryan Vikneswaran atau Muhammad Zain mula menghubunginya pada 19 Jun 2024 sebelum sanggup datang dari Kuantan ke Bukit Bintang pada 15 September 2024 untuk berdialog.
Beliau berkata, pada 13 November 2024 lelaki itu memaklumkan bersedia memeluk Islam, namun ia tidak menjadi kenyataan ketika itu.
"Dia mesej saya sekali lagi pada 20 April 2025 meminta saya menyaksikan syahadahnya sekali lagi. Selepas syahadah, dia mahukan saya memanggilnya Zain dan bukannya Ryan.
"Kisahnya pengislamannya pernah saya kongsikan sebagaimana permintaannya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, Firdaus mendedahkan individu terbabit merupakan seorang mualaf yang sudah melafazkan syahadah pada tahun lalu.
Bagaimanapun, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengesahkan penuntut sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu tidak mempunyai rekod pendaftaran pengislaman di negeri berkenaan.
Mengulas lanjut, Firdaus memaklumkan, beliau tidak pasti sama ada individu itu mendaftarkan pengislamannya atau mengikuti kelas agama kerana pihaknya hanya menyediakan kelas percuma dan menasihati mualaf untuk mendaftar tanpa boleh memaksa.
"Siapa yang ingin memeluk Islam, kami jadi bantu. Tidak mempersoalkan keikhlasan mereka dan tujuan mereka. Itu hak mereka.
"Dari segi ratio mualaf yang memeluk Islam dan kemudian hadir kelas sangat rendah. Kalau yang lahir Islam kita nasihat untuk belajar agama, solat dan puasa pun belum tentu mereka akan ikut, bagaimana pula dengan muallaf kan," ujarnya lagi.
Tambah beliau, beribu individu telah memeluk Islam dengan Multiracial Reverted Muslims (MRM) namun kekangan kakitangan menyebabkan ‘follow up’ hanya dapat dilakukan setakat kemampuan dan sekiranya individu terbabit mahu dihubungi.
Tambah beliau, terdapat juga mualaf yang tidak menjawab panggilan, mesej tidak berbalas serta menukar nombor telefon tanpa dimaklumkan.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh dakwaan tular kononnya lelaki berkenaan mengaku Kristian.
Menurutnya, peguam individu tersebut ada berhubung dan memaklumkan anak guamnya mengaku berhubung dengannya tetapi tidak mengaku memeluk Islam.
"ALLAH SWT lebih mengetahui. Saya kurang pasti. Yang saya pasti adalah dia yang mesej saya dan mahu saya menyaksikan sekali lagi syahadahnya. Semua itu ada dalam perbualan WhatsApp antara kami," jelasnya.
Dalam pada itu, Firdaus turut mengakui terkejut dengan tindakan lelaki itu memijak al-Quran kerana sebelum ini dilihat begitu teruja apabila diberikan kitab suci tersebut dan berjanji akan menjaganya dengan baik.
Beliau bagaimanapun menegaskan, sama ada Muslim atau bukan Muslim bukan alasan untuk diringankan hukuman.
Tegas pendakwah bebas terbabit, sebagai Muslim prinsip keadilan harus diperjuangkan tanpa mengira agama, bangsa mahupun politik.
Firdaus turut menjelaskan beliau tidak tergopoh-gapah mengulas isu berkenaan kerana mahu memastikan setiap kenyataan dibuat berdasarkan fakta dan bukan persepsi semata-mata. #SinarHarian







Tiada ulasan:
Catat Ulasan