KUANTAN: Sebanyak 1,211 saman dan notis pelbagai telah dikeluarkan ke atas pelbagai kenderaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang dalam tempoh empat hari pelaksanaan Op Khas sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, ia hasil pemeriksaan ke atas 3,340 buah kenderaan bermula 13 sehingga 17 Mac baru-baru ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 923 Notis Saman JPJ (P) 22 telah dikeluarkan dengan kesalahan tertinggi membabitkan Cukai Jalan tamat tempoh (202), tiada insurans (150) dan tiada lesen memandu CDL (146).
“Pihak JPJ juga ada membuat rondaan sepanjang masa sama ada rondaan tu dalam bentuk kenderaan berlogo ataupun yang tidak berlogo dan juga penyamaran di dalam pengangkutan awam iaitu bas ekspres,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 yang di adakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang hala Timur malam tadi.
Program turut disertai Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khairuanwar Alyahya Syed Abdul Rahman; Ketua Zon 1 JBPM Pahang, PgKB1 Muhammad Rasydan Ismail dan Pengurus Trafik AFA Group, Azman Ali.
Menurut Razali, hasil pemantauan JPJ ketika tempoh penyamaran juga telah mengesan keseluruhan 87 buah kenderaan iaitu 45 buah kereta dan 42 buah motosikal melakukan kesalahan seperti tidak mematuhi lampu isyarat (58 kenderaan), tidak memakai topi keledar (20 buah motosikal) dan memotong di sebelah kiri (9 kenderaan).
“Jadi, tujuan kita punya program advokasi seperti ini sangat penting terutama kita nak memberi penjelasan kepada semua pengguna-pengguna raya, terutama pemandu lah. Dan yang keduanya kita nak mendidik kepada semua pengguna jalan raya ni, pada orang ramai mengenai aspek keselamatan Jalan raya.
“Dijangkakan hari ini dan esok aliran kenderaan semakin meningkat lah. Dan apabila kenderaan meningkat ni, secara tak langsung risiko keselamatan jalan raya kepada pengguna tinggi sekiranya tidak mematuhi peraturan Dan mengamalkan pemanduan berhemah.
Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi JPJ Pahang menyasarkan pengurangan sebanyak 10 peratus kadar kemalangan jalan raya berbanding tahun lepas.
Sasaran itu dilihat mampu dicapai menerusi pelbagai pendekatan advokasi dan penguatkuasaan bersepadu melibatkan pelbagai agensi keselamatan.
“Contohnya, daripada tempoh daripada 1 Januari sehingga 17 Mac, sebanyak 14 program advokasi pihak JPJ telah laksanakan, jadi 14 program advokasi dan ceramah keselamatan jalan raya ini yang melibatkan pelbagai kompleks sasaran seperti pelajar sekolah, pemandu kenderaan awam, penjawat awam dan juga komuniti setempat.
“Dan lebih daripada 4,000 peserta yang menerima manfaat secara langsung dalam program-program advokasi Yang telah dilaksanakan,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan unjuran trafik, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dijangka mencatatkan kira-kira 934,000 kenderaan sepanjang tempoh tersebut, dengan kemuncak trafik dijangka berlaku pada 28 Mac mencecah sehingga 106,000 kenderaan sehari.#MalaysiaGazette








Tiada ulasan:
Catat Ulasan