Pages

Eksklusif: Informasi Terkini Pilihanraya Kecil

Statisk Terkini PDO: Sokongan Pengundi Kepada Pakatan Rakyat Di Bukit Gantang (68.9%), Bukit Selambau (65%) Batang Ai (58%)

Dua Lelaki Ditahan Halang Pengundi Hantu

GURUN [2.44 pm] - Dua lelaki berusia 37 dan 54 tahun ditahan polis di Kampung Bukit Lembu dekat sini pada jam 9.40 pagi tadi kerana menahan bas dinaiki 32 petugas Barisan Nasional (BN). Petugas BN berkenaan yang semuanya lelaki berusia di antara 21 hingga 28 tahun, sedang dalam perjalanan ke tempat bertugas di sekitar DUN Bukit Selambau dari rumah sewa mereka di Bukit Lembu. Pegawai Perhubungan Media Polis Bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Superintenden Hamzan Darus, berkata kedua-dua lelaki terbabit yang menaiki Toyota Avanza memintas bas berkenaan. Katanya, mereka kemudian menaiki bas berkenaan dan menghalang pemandu daripada meneruskan perjalanan. "Ketua rombongan petugas BN itu sempat menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian berkenaan dan anggota yang dikejarkan ke sana menahan lelaki terbabit. "Mereka kini ditahan di Balai Polis Gurun untuk disiasat mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan kerana melakukan halangan," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

[Lucu benar melihat adengan ini. BN seolah-olah ingin memperbodohkan rakyat Malaysia. Tidak munasabah dan masuk dek akal langsung petugas BN yang berumur antara 21 hingga 28 tahun baru tiba untuk menjalankan tugas mereka. Inilah yang berlaku sebelum ini, petugas BN datang dari seluruh pelusuk negara pada malam dan pagi hari pengundian. Bukankah ini sungguh mencurigakan. Apa yang mahu ditugaskan oleh mereka agaknya?. Bukankah ini membuktikan yang tugas mereka ialah untuk pergi mengundi sebenarnya. Tahniah kepada dua lelaki terbabit].

50% Pengundi Telah Tunai Tanggung Jawab

TAIPING [2.30 pm] - Lebih 50 peratus telah keluar mengundi di kawasan Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau sehingga tengah hari ini. Sementara itu, di Batang Ai lebih 70 peratus telah mengundi.

BN Bakal Tumbang, Ayam Naik Hari Ini

KUALA LUMPUR [2.01 pm] - Harga ayam hidup naik daripada RM3.30 sekilogram kepada RM3.70 sekilogram, harga borong ayam hidup naik daripada RM4 sekilogram kepada RM4.40 sekilogram. Harga runcit ayam hidup naik daripada RM4.70 sekilogram kepada RM5.10 sekilogram. Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata harga borong ayam bersih naik kepada RM5.20 daripada RM4.70 sekilogram. Harga runcit ayam bersih (standard) dengan kaki, kepala, hati dan hempedal naik kepada RM6 sekilogram daripada RM5.55 sekilogram. Harga runcit ayam bersih (super) tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal berharga RM6.70 sekilogram. Menurut kenyataan itu harga runcit ayam bersih dengan sijil Tanda Kesihatan Veterinar (VHM) Super tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal berharga RM7.40 sekilogram. Harga terbaru ayam ini berasaskan pada faktor permintaan dan bekalan bukannya rintihan rakyat.

[Nampaknya Barisan Nasional bakal tumbang mudah bila tiba-tiba harga barangan iaitu ayam dinaikkan hari ini. Apakah ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak peka dengan suara rakyat dan pilihanraya kecil hari ini. Tindakan menaikkan harga ayam jelas sekali tidak bertujuan untuk membela rakyat. Kerajaan lebih akur kepada Perseketuan Persatuan Penternak Malaysia daripada rakyat jelata. Oleh itu pengundi di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai harus menafikan perkara ini menerusi kertas undi mereka hari ini].

Empat Peti Undi Sudah Tiba Di Pusat Pengundian

LUBOK ANTU [1.54 pm] - Empat peti undi dari pusat mengundi di SK Ulu Engkari, Tadika Kemas Sempang, Dewan Salcra SPS Batang Air dan SK Ulu Lemanak tiba di pusat penjumlahan undi Kompleks Sukan Lubok Antu kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Harapan Cerah Pakatan Menang Di DUN Trong

BUKIT GANTANG [1.41 pm] - Laporan terkini dari Bukit Gantang, ternyata Pakatan Rakyat kini mendahului dari segi sokongan rakyat di sana. Pakatan Rakyat dilihat menguasai hampir kesemua pusat-pusat pengundian. Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang dilihat hadir di kawasan ini ialah Pesuruhjaya PAS selangor, Dr.Hassan Ali dan Speaker DUN Perak, V.Sivakumar. Kecenderungan pengundi pula dilihat secara terang-terang menyokong Pakatan rakyat di kawasan ini. Harapan untuk melihat DUN ini dimenangi Pakatan Rakyat semakin cerah.


Bas Pengundi Hantu Selangor Pula Di Tahan

BUKIT SELAMBAU [1.41 pm] - Kami mendapat maklumat terkini bahawa pihak FRU telah melepaskan air asis water canon kepada petugas dan penyokong Pakatan Rakyat di Air Kuning dan Bukit Selambau. Ini kerana tindakan mereka cuba menahan bas-bas yang membawa pengundi hantu. Berhampiran Sekolah Kebangsaan Batu Hampar baru kejap tadi Petugas-Petugas Pilihanraya Pakatan Rakyat berjaya menahan sebuah bas yang dipercayai membawa pengundi hantu dari Sungai Besar Selangor. Buat masa ini bas-bas itu sedang ditahan oleh petugas terbabit dan dipantau oleh pihak polis.

Ismail Yakin Menang Majoriti Lebih 1,000 Undi

BUKIT GANTANG [1.37 pm] - Calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian, yakin menang pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang hari ini dengan majoriti antara 1,000 hingga 3,000 undi. Beliau berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan maklum balas pengundi sepanjang kempen pilihan raya sejak hari penamaan calon serta perkembangan terakhir arah aliran sokongan yang diperoleh BN sehingga malam tadi. "Oleh itu, saya berharap semua penyokong parti dan petugas BN menguatkan semangat mereka dan berdoa supaya proses pengundian hari ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini," katanya kepada pemberita selepas beliau dan isteri, Poziah Noh mengundi di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Panglima Bukit Gantang di sini, pagi ini.

Proses Pengundian Tiga Pilihanraya Lancar

TAIPING [1.33 pm] - Proses pengundian dalam tiga pilihan raya kecil di tiga negeri yang dijalankan serentak hari ini, berjalan lancar dengan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air, Sarawak mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 70 peratus sehingga 11 pagi ini. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata sehingga waktu yang sama, 20 peratus pemilih sudah mengundi bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak manakala bagi kerusi DUN Bukit Selambau, Kedah, peratusannya masih di bawah 20 peratus. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan kenapa peratusan keluar mengundi yang begitu tinggi dicatatkan pada sebelah pagi di Batang Air. Sehingga 11 pagi tadi, enam daripada 25 pusat mengundi di Batang Air sudah pun ditutup. Abdul Aziz berkata, bahawa warga emas dan wanita paling ramai mengundi setakat ini manakala pengundi muda dijangka keluar mengundi pada waktu petang.

Di Sungai Petani, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kedah, Zainal Abidin Zakaria, berkata proses mengundi terus berjalan lancar dan keadaan cuaca yang baik adalah antara faktor ramai yang keluar mengundi pada waktu pagi. Tinjauan mendapati keadaan di semua 22 pusat mengundi adalah terkawal. Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata polis membuat rondaan jalan raya dan kawalan di semua kawasan mengundi selain pemantauan udara dengan helikopter. "Setakat ini semuanya baik, tiada sebarang insiden yang berlaku kecuali perkara-perkara biasa seperti sorak menyorak di pondok-pondok parti," katanya. Di Lubok Antu, Pengarah SPR Sarawak, Takun Sunggah, berkata enam pusat mengundi yang sudah ditutup sehingga ini ialah di SK Ulu Engkari, SK Nanga Delok, SK nanga Aup, Tadika Kemas Sempang, Dewan Serbaguna Salcra dan Pejabat Pertanian Nanga Patoh

Peti Undi 17 Di Jalan Simpang Meriah

BUKIT GANTANG [11.52 am] - Suasana di peti undi 17 iaitu daerah mengundi Jalan Simpang antara yang paling meriah setakat ini. Pos BN yang dikendalikan oleh UMNO Bahagian Kampar lesu tak bermaya. Pengundi tidak segan silu menampilkan sokongan terang-terangan kepada calon Pakatan Rakyat. Pengundi kaum Cina dan India berjalan menuju pusat pengundian sambil mengibarkan bendera PAS dengan gaya bangga dan bersemangat. Pos PAS dipenuhi pengundi manakala petugas pos BN dilihat hanya berehat sambil menghisap rokok dan makan kuih.


Ceria, perayu undi muslimah PAS menanti pengundi sejak awal pagi

Pengundian Di Batang Ai Semakin Rancak

BATANG AI [11.52 am] - Dalam pada itu, pilihan raya kecil Batang Ai diadakan dengan 8,006 pengundi berdaftar menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Malcolm Mussen Lamoh dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang. Kerusi itu kosong berikutan kematian wakil rakyat BN Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Februari lalu. Pengundian di kawasan Batang Ai juga dimulakan pukul 8 pagi tetapi di beberapa kawasan pengundian akan ditutup selepas dua jam dibuka secara berperingkat-peringkat

Pengundian Di Simpang Lama Lancar

BUKIT GANTANG
[11.51 am] - Pengundian di pusat mengundi Simpang Lama berjalan lancar. Nampaknya pengundi mengambil kesempatan cuaca cerah pagi ini untuk menunaikan tanggungjawab. Kawasan sekitar bandar Taiping terkenal sebagai kawasan paling kerap dituruni hujan sepanjang tahun. Tinjauan krew Stesen Maya 1 mendapati kedua-dua pos Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional dipenuhi pengundi untuk memeriksa nama masing-masing di dalam buku daftar pemilih. Perayu undi menggunakan pelbagai kaedah untuk memikat hati pengundi di saat akhir.Apabila ditanya undi yang akan diberikan, 6 daripada 10 pengundi yang mengunjungi pos BN mengaku akan mengundi calon PAS-Pakatan Rakyat, Dato' Seri Ir. Hj. Mohammad Nizar Jamaluddin. Soalan yang sama tidak diajukan kepada pengunjung pos PAS-Pakatan Rakyat.

20% Pengundi Sudah Keluar Mengundi

SUNGAI PETANI
[11.50 am] - Kira-kira 20 peratus daripada 35,140 pemilih berdaftar pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau sudah keluar mengundi sehingga jam 10.30 pagi tadi. Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Kedah, Zainal Abidin Zakaria, berkata pengundian di 22 pusat mengundi membabitkan 64 saluran yang mula dibuka tepat jam 8 pagi tadi berjalan lancar. "Tiada kejadiaan tidak diingini dilaporkan sehingga kini," katanya .

Perkembangan Terkini Pilihanraya Bukit Gantang

BUKIT GANTANG [11.05 am] - Proses pengundian bermula jam 8 pagi tadi. Keadaan cuaca di Bukit Gantang adalah baik

1.00 petang: Keadaan trafik di jalan-jalan utama seperti Jalan Changkat Jering dan Jalan Simpang mengalami kesesakan teruk. Hujan mula lebat. Keadaan ini mungkin mengganggu kelancaran pengundian kerana dijangkakan ramai yang berhasrat untuk keluar mengundi di saat akhir terutamanya sewaktu rehat ketika ini.

12.20 tgh: SPR umum sebanyak 40 peratus telah keluar mengundi.

11.15 pagi: Di Madrasah Al- Khairyah Addiniah, Kampung Larut Tin, Dun Changkat Jering, berlaku kekecohan waktu ketibaan Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ismail Sabri antara peyokong BN dan PAS. Polis mengambil tindakan menyuraikan keadaan. Keadaan kembali terkawal.

10.30 pagi: Kenderaan yang dinaiki calon PAS, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin telah dihalang oleh penyokong BN. Beberapa penyokong BN dilihat menyerbu dan menendang kenderaan tersebut di Pusat Pengundian SK Ayer Puteh. Tindakan tersebut telah menyebabkan kemarahan terhadap penyokong Pakatan Rakyat. FRU datang dan menenangkan suasana.

10.15 pagi: Di SMK Pengkalan Aor, Air Kuning (Dun Changkat Jering) berlaku kekecohan apabila penyokong BN menghalang petugas PAS berada berhampiran mereka. Berlaku ketegangan apabila ada kalangan petugas BN yang mencurah air ke atas penyokong PAS. Polis dan FRU menyuraikan keadaan. Di kawasan tersebut kelihatan ramai penyokong PAS yang menenggelamkan penyokong BN.

10.00 pagi: Hampir 20 peratus telah keluar mengundi di kawasan Bukit Gantang, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof

9.00 pagi: Kira-kira 10 peratus keluar mengundi di bahagian Parlimen Bukit Gantang. Calon BN, Ismail Saffian dan isteri mengundi di SK Panglima Bukit Gantang.

7.35 pagi: Calon Pas, Dato' Seri Ir. Mohd Nizar Jamaluddin serta penyokong berhimpun di Markas PAS, Jalan Air Kuning untuk melawat 34 pusat pengundian

1000 Perayu Undi Bersedia Seawal 7.30 Pagi

SUNGAI PETANI [11.20 am] - Suasana hari pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau mula dirasai apabila lebih daripada 1,000 perayu undi daripada Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula berkumpul di depan SMK Taman Ria Jaya bagi meraih undi untuk calon parti masing-masing. Mereka berada di situ seawal jam 7.30 pagi bagi meraih undi di saat akhir bagi memastikan kemenangan calon masing-masing dalam pilihan raya kecil yang turut disertai 13 calon Bebas. Bagaimanapun, keadaan adalah terkawal berikutan kawalan polis dan kedua-dua penyokong parti dipisahkan pada jarak kira-kira 200 meter antara satu sama lain.

[Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan-rakan yang memberi sumber maklumat dan membenarkan laporan ini dibuat secara lebih jelas lagi terutamanya perisik rakyat dan team Blogger Networks@Perak dan Blogger Networks@Malaysia].

4 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

Anonymous said...

Get the latest updates of the 3 by elections here http://nmjnh.wordpress.com/2009/04/07/3-by-elections-live-coverage/

Anonymous said...

kalau berita betul kita setuju.jangan buat "pakatan" dalam penyeberan berita2 yang tidak betul dah.

Anonymous said...

heran betul... ada tugas juga depa bagi kat pengikut depa dok halang bas yg lalu no... lagak cam komando la plak dok sibuk tahan org yg depa sndiri tak tau betul ke bas tu bawa pengundi hantu... mata depa ni tajam no nampak hantu2 berkeliaran atas bas tu... jauhkanlah diri tu dari hasad dengki dan prasangka kalaupun teringin nak menang. Ingatlah MASA tak menunggu kita...

Anonymous said...

heran betul... ada tugas juga depa bagi kat pengikut depa dok halang bas yg lalu no... lagak cam komando la plak dok sibuk tahan org yg depa sndiri tak tau betul ke bas tu bawa pengundi hantu... mata depa ni tajam no nampak hantu2 berkeliaran atas bas tu... jauhkanlah diri tu dari hasad dengki dan prasangka kalaupun teringin nak menang. Ingatlah MASA tak menunggu kita...

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]