script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Yang di-Pertuan Agong Simpati Mangsa Banjir, Seru Pihak Berkuasa 'Terus' Hulurkan Bantuan

 

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan simpati kepada mangsa bencana banjir di beberapa negeri, khususnya di Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Perak dan Selangor.

Dalam kenyataan Istana Negara, Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan semua mangsa banjir tabah mengharungi dugaan dan musibah menimpa mereka.

Agong juga menyeru pihak berkuasa, khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), supaya terus menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri terjejas.

“Rakyat, khususnya di kawasan rendah, pula dinasihati untuk sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri, keluarga serta bersedia berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) segera jika diarahkan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Mengambil kira kenaikan mendadak kes positif COVID-19 harian di negara ini, Agong mengingatkan aspek norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) diamalkan semua petugas dan mangsa banjir serta menjadi keutamaan di semua PPS bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Sultan Abdullah mengadakan lawatan mengejut, bertemu mangsa banjir ditempatkan di empat PPS di Maran, Pahang (SMK Maran, surau Kampung Jara, SK Kuala Sentul dan Masjid As Syakirin).

Kenyataan itu menyebut Agong turut berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa banjir yang berada di PPS itu dan mengurniakan sumbangan kepada mereka bagi meringankan beban.

“Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada NADMA, kerajaan negeri dan pentadbiran daerah serta agensi penyelamat dan jabatan kerajaan seperti polis, bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertungkus lumus membantu rakyat setiap kali banjir,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Agong mengajak seluruh rakyat mendoakan bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan sehingga mengorbankan nyawa dan harta-benda.

Hujan lebat sejak Sabtu lepas menyebabkan banjir di enam negeri – Johor, Pahang, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Perak – dengan Johor dan Pahang terjejas teruk apabila ramai mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke PPS. #sumber

Share:

Agong "Pandu Kereta Sendiri" , Redah Banjir Dalam Lawatan Mengejut Baginda Ke Maran

 

MARAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memandu sendiri kenderaan meredah banjir di Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) hari ini ketika dalam perjalanan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Maran.

Yang di-Pertuan Agong yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan lawatan mengejut ke daerah Maran bagi mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di situ.

Yang turut berangkat sama, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Terdahulu dalam perjalanan ke Maran, Al-Sultan Abdullah yang berjiwa rakyat turut berhenti di Plaza Tol Karak dan bertanya khabar kepada pemandu-pemandu lori yang terkandas di situ.

Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong turut berkenaan menyampaikan sumbangan makanan kepada pemandu-pemandu lori berkenaan. #sumber

Share:

Khairy Sedia Melepaskan Jawatan Menteri, Jika 'Di Arahkan' Oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO !

 

PUTRAJAYA - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sedia melepaskan jawatannya dalam Kabinet, jika diarahkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Katanya, beliau terikat kepada sebarang keputusan MKT UMNO yang akan bermesyuarat esok untuk membincangkan kedudukan pemimpin UMNO memegang jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jika MKT membuat keputusan mengarahkan hli UMNO untuk menarik diri (daripada kabinet), saya, sebagai ahli UMNO, adalah terikat kepada keputusan itu,” kata beliau.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini enggan mengesahkan presiden parti Datuk Ahmad Zahid Hamidi memberikan arahan untuk melepaskan jawatan dalam kerajaan dan agensi berkaitan kerajaan (GLC) sebelum bulan depan, untuk mencetuskan pilihan raya umum.

UMNO adalah blok terbesar dalam kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin yang hanya mempunyai majoriti tiga kerusi di Dewan Rakyat.

Dua sumber mengesahkan Zahid mengeluarkan arahan sedemikian dalam perjumpaan dengan ketua bahagian UMNO di Kuala Lumpur, setelah akar umbi mendesak parti itu menamatkan kerjasamanya dengan PPBM.
Khairy akur kepelbagaian pandangan mengenai hubungan UMNO-PPBM di dalam parti itu, tetapi menegaskan “tindakan kita adalah bersandarkan keputusan MKT”.

Beliau turut menyokong keputusan ketua bahagian menolak kerjasama dengan DAP dan PKR.

Mengulas pengguguran Tan Sri  Annuar Musa sebagai setiausaha agung Barisan Nasional (BN) dan wakil Muafakat Nasional (MN) dalam seketariat MN, Khairy berkata keputusan itu dalam bidang kuasa penuh Zahid.

“Sudah tentu ia hak beliau (Zahid) untuk menukar setiausaha agung. Sama ada ia keputusan adil atau tidak akan dijawab dalam beberapa hari,” kata Khairy. #sumber

Share:

Pertikaikan Kerjasama: PAS Tak Berkecil Hati Dengan UMNO, Akan Terus Usaha Penyatuan !

 

KOTA BHARU -- PAS sama sekali tidak berkecil hati dan akan meneruskan perjuangan menyatukan umat Islam dan bukan Islam bersama UMNO.

Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya akan meneruskan hubungan dan menyerahkannya kepada kepimpinan atasan, termasuk menerima apa-apa arahan dari pihak tersebut.

“Sebenarnya kita bersyukur kerana selepas 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, dengan keadaan yang kita lihat memberi kesan yang amat besar kepada orang Melayu dan juga kedudukan Islam.

“Apabila dapat bertukar kerajaan, ia adalah satu rahmat kepada kita dan sekarang ini kita kena bina dan sedar matlamat kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baru Kepada Penjawat Awam di Kota Darulnaim di Kota Bharu di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Nazran Muhammad dan Speaker Dewan Negeri Kelantan Datuk Abdullah Ya'kub.

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan, melahirkan rasa syukur kerana dapat membentuk dan mengambil satu kerajaan yang boleh membela semula nasib rakyat.

“Usaha (membentuk kerajaan) itu penting. Kita akan terus berjuang sedaya upaya kita,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub memaklumkan, pihaknya menerima usul daripada bahagian-bahagian supaya membuat kajian semula kerjasama, berdasarkan sikap PAS yang tidak mengutamakan hubungan dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN). #sumber

Share:

Hamzah Zainuddin: Perikatan Nasional "Lantik" 14 Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN)

 


KUALA LUMPUR -- Seramai 14 Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN) hari ini dilantik, termasuklah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi BPN Johor.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan di Facebook miliknya berkata, kesemua lantikan dibuat oleh Pengerusi PN itu selepas bermesyuarat bersama Majlis Tertinggi PN.

“Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula dipilih mengetuai BPN Terengganu, manakala Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dilantik sebagai Pengerusi BPN Kelantan.

“Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi BPN Selangor dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi BPN Perak,” katanya.

Beliau berkata mereka yang lain adalah; Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor (Pengerusi BPN Kedah), Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor (Sabah), Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah (Pahang) dan Pengerusi Parti Bersatu Negeri Sembilan Datuk Eddin Syazlee Shith (Negeri Sembilan).

Selain itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Shabudin Yahaya (Pulau Pinang), Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli (Perlis), EXCO Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Melaka), Pengerusi Bersatu Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak) dan Setiausaha Kerja Bersatu Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya (Wilayah Persekutuan). #sumber

Share:

Ahmad Maslan Sahkan Ganti Annuar Musa, Di Lantik Sebagai Setiausaha Agung BN Hari Ini !

 


KUALA LUMPUR -- Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa, berkuat kuasa serta merta.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO, menjelaskan pelantikannya itu bukan bermakna Annuar dipecat sebaliknya digantikan.

“Beliau (Annuar) tidak dipecat, beliau digantikan. Biasanya Setiausaha Agung UMNO ialah Setiausaha Agung BN. Saya kira itu antara sebabnya. Saya juga diberi tugas untuk menjadi Setiausaha Agung MN (Muafakat Nasional).

“Saya ingin tegaskan ia adalah menggantikan. Presiden ada sebut tadi, perkataannya adalah 'saya mengganti tugas beliau (Annuar) itu',” kata Ahmad ketika ditemui pemberita selepas perjumpaan khas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua UMNO Bahagian-Bahagian di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad enggan mengulas dakwaan bahawa perubahan jawatan berkenaan adalah disebabkan Annuar kononnya tidak menghormati presiden parti dan berpihak kepada Bersatu. #sumber

Share:

Tan Sri Annuar Musa Telah 'Di Pecat' Sebagai Setiausaha Agung BN Dan Muafakat Nasional

 

KHALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) memecat Tan Sri Annuar Musa sebagai setiausaha agung gabungan itu.

Beliau juga digugurkan sebagai wakil UMNO dalam sekretariat MN, kata sumber.

Sumber itu memberitahu Datuk Seri Ahmad Maslan akan menggantikan Annuar sebagai Setiausaha Agung BN. Ahmad adalah Setiausaha Agung UMNO ketika ini.

Semalam, Annuar berkata beliau sanggup dipecat dalam memperjuangkan kerjasama antara parti Melayu dan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Annuar membuat kenyataan itu selepas Ketua Pemuda UMNO Pasir Puteh Muhammad Saifullah Ali, mendesak pimpinan tertinggi UMNO memecat Annuar daripada parti itu.

Beliau juga mahukan UMNO meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggugurkan Annuar sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Saifullah dan beberapa pemimpin kanan UMNO menyifatkan Annuar lebih sebagai jurucakap PPBM dan bukan membela kepentingan UMNO.

Tuduhan itu dinafikan Annuar namun beliau sering merujuk UMNO sebagai parti yang tidak bertapak pada realiti selepas kalah pada pilihan raya umum lalu. Beliau berkata parti itu harus memperkukuhkan kerjasama dengan PPBM dan PAS.

Namun, ramai pemimpin dan akar umbi UMNO menolak kerjasama dengan PPBM dengan mendakwa parti itu memancing ahli UMNO dengan wang. #sumber

Share:

Covid-19: Sebanyak 1,741 Kes Positif Baharu Dengan Tujuh Kematian Di Rekodkan Hari Ini

 

PUTRAJAYA -- Malaysia merekodkan 1,741 kes harian baharu hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini 120,818 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes baharu itu juga menjadikan jumlah kes aktif kini adalah 22,089 kes.

Beliau berkata Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi 687 kes (39.5 peratus), diikuti Sabah sebanyak 303 kes (17.4 peratus) dan Johor sebanyak 295 kes (16.9 peratus).

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lapan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,733 kes.

“Sebanyak 541 kes pula (78.7 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan, manakala 32 kes (1.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di lokap, depoh tahanan imigresen, dan penjara,” katanya dalam sidang media berhubung perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sejumlah tujuh kematian direkodkan hari ini membabitkan rakyat tempatan berumur lingkungan 45 hingga 83 tahun, yang terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita.

Katanya, ketika ini terdapat 122 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 53 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 1,010 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 ialah sebanyak 98,228 kes. #sumber

Share:

Tanah Runtuh Di Bukit Fraser, Polis Benarkan Mangsa Terkandas Ambil Kereta Dan Pulang !

 

KUALA LUMPUR -- Kesemua mangsa terkandas ekoran kejadian tanah runtuh di Bukit Fraser, Pahang semalam dibenarkan mendapatkan kenderaan milik mereka untuk meneruskan perjalanan ke destinasi bermula pagi tadi.

Salah seorang mangsa, Mohd Ariff Amri, 37, berkata dia dibenarkan mengambil kenderaannya selepas arahan dikeluarkan untuk hanya pemandu sahaja dikehendaki berbuat demikian.

“Alhamdulillah, saya dibenarkan untuk mengeluarkan kereta di tempat kejadian pada 11.30 pagi tadi dengan bantuan pihak polis dan Majlis Daerah Raub.

“Saya dan keluarga kemudiannya meneruskan perjalanan pulang ke rumah di Shah Alam, Selangor dengan melalui Jalan Gap Naik yang diaplikasikan kaedah jam genap untuk turun dan jam ganjil untuk naik,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Bernama melaporkan Mohd Ariff bersama-sama empat keluarga adik-beradiknya merupakan antara 32 dewasa dan lapan kanak-kanak daripada semua 13 kenderaan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub Supt Kama Azural Mohamed ketika dihubungi berkata kesemua pemilik kenderaan terperangkap di laluan turun Bukit Fraser - GAP telah mengambil kenderaan mereka dan beredar melalui jalan Bukit Fraser - Kuala Kubu Bharu.

“Selain itu, Jalan Bukit Fraser-Raub masih ditutup untuk semua kenderaan. Dalam pada itu, seramai 10 individu dewasa dan lima kanak-kanak yang dibawa naik dari tapak perkemahan Air Terjun Jeriau masih belum mengambil kenderaan mmereka kerana jalan menuju ke sana masih dalam proses pembersihan,” katanya.

Beliau berkata pihak Roadcare Rawang dan Jabatan Kerja Raya di Kuala Kubu Bharu sedang membuat kerja pembersihan jalan di laluan ke Air Terjun Jeriau dan jalan turun Bukit Fraser - GAP di KM2.

Semalam, polis mengesahkan 13 kenderaan terkandas di antara dua timbunan tanah yang runtuh di Jalan Bukit Fraser-Raub, kira-kira 230 kilometer dari sini, sekitar pukul 1.30 tengah hari semalam.

Kesemua mereka dipercayai terkandas selepas tidak dapat turun ekoran laluan terputus di KM2 jalan itu, dan usaha untuk berpatah semula ke Bukit Fraser tidak berjaya kerana berlaku tanah runtuh di KM4 jalan sama. #sumber

Share:

Bot Karam Di Sungai Jelai Kampung Bertang Lipis, 'Dua Beranak' Di Khuatiri Mati Lemas !

 

KUANTAN -- Seorang wanita dan anak perempuannya dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam di Sungai Jelai, Kampung Bertang, Lipis, kira-kira 248 kilometer dari sini hari ini, akibat arus deras.

Ketua Zon Tiga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Shahrulnizam Nasir berkata mangsa Rozi Omar, 52, dan Zakirah Ahmad Husin, 19, difahamkan menaiki bot dikemudi suami Rozi, Ahmad Husin Mad Aris, 52, bersama-sama seorang lagi anak, Nur Aina, 23 tahun.

"Mangsa difahamkan menaiki bot itu untuk pulang melihat keadaan rumah mereka yang dinaiki air semasa kejadian berlaku sekitar 12 tengah hari tadi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Shahrulnizam berkata Ahmad Husin dan Nur Aina difahamkan berjaya menyelamatkan diri semasa kejadian manakala dua lagi mangsa dihanyutkan arus deras.

Pihak bomba dimaklumkan mengenai kejadian oleh wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Bertang dan buat masa ini, usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan. #sumber

Share:

Tanah Runtuh: Jalan Kuantan-Segamat Di Buka Semula Petang Ini, Hanya Satu Lorong Di Buka

 

KUANTAN -- Jalan Kuantan-Segamat di Pekan, dekat sini, yang ditutup sejak Jumaat lepas ekoran tanah runtuh di dua lokasi, dibuka semula petang ini, kata Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Razli Mohd Yusof.

Bagaimanapun, pembukaan itu hanya melibatkan satu lorong di kedua-dua lokasi kejadian iaitu Kilometer (KM) 63 serta KM73 dan orang ramai diminta mematuhi arahan petugas bagi memastikan kelancaran aliran trafik.

"Mereka juga dinasihatkan untuk berhati-hati sepanjang perjalanan memandangkan buat masa ini, jalan basah dan cuaca masih hujan di lokasi," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jalan Kuantan-Segamat ditutup mulai 10 pagi Jumaat lepas, selepas berlaku tanah runtuh di dua lokasi terlibat yang merupakan sebahagian daripada kawasan pembinaan projek menaik taraf Jalan Persekutuan dari Gambang, Kuantan hingga Segamat, Johor fasa satu.

Runtuhan dipercayai berlaku akibat hujan berterusan seharian yang mengakibatkan kewujudan lubang besar di bahu jalan KM63 manakala aliran air yang deras menyebabkan berlakunya mendapan merentangi kedua-dua lorong di KM73. #sumber

Share:

Banjir Di Pahang Ragut Dua Nyawa Pertama: Bapa Lemas, Anak Pula Hilang Di Bawa Arus

 

KUANTAN - Banjir di Pahang meragut nyawa pertama apabila seorang kakitangan Pejabat Hutan Daerah Jerantut lemas manakala seorang anaknya hilang dibawa arus semasa meredah banjir di Kampung Gintong, kira-kira 100 kilometer dari sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, mangsa Zulkarnain Hitam, 58, ditemukan lemas sekitar 10.30 malam, dipercayai akibat dihanyutkan arus deras semasa berjalan kaki pulang ke rumah bersama tiga anak lelakinya selepas memindahkan kereta ke kawasan tinggi.

Dalam kejadian itu, seorang daripada anak lelakinya, Ukai Iskandar, 23, yang merupakan penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang di sini, turut hilang dan sehingga pagi ini masih belum ditemukan.

"Kesemua mereka difahamkan berjalan kaki dari Kampung Gintong untuk pulang ke rumah di Taman Perdana yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi tempat Iskandar meletak kenderaan semasa kejadian berlaku," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Mazlan berkata, dua lagi anak mangsa yang berusia 15 dan 13 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Operasi mencari Ukai yang dimulakan sekitar 11 malam melibatkan 17 anggota pasukan mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan pada 3.30 pagi ekoran cuaca yang semakin buruk.

Mazlan juga menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan perkembangan banjir dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang musim banjir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. #sumber

Share:

Mangsa Banjir Terpaksa Memanjat Kayu Alang Bumbung, Selamatkan Diri Dari Banjir Di Raub

 


KUANTAN -- Berada di alang kayu bumbung rumah hampir 10 jam bagi menyelamatkan diri selepas rumah dinaiki air pastinya pengalaman seumur hidup yang tidak akan dilupakan Nur Aleeya Maisarah Mansor, 18, ketika berdepan banjir besar semalam.

Menceritakan pengalaman itu, pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan berkata beliau sama sekali tidak menjangkakan akan berhadapan dengan keadaan sedemikian kerana rumahnya pernah dilanda banjir sebelum ini.

“Kebiasaannya, walaupun kawasan ini banjir, tidak pernah air naik sehingga ke hadapan kawasan rumah, hanya naik di jalan tepi rumah. Kami langsung tidak menjangka banjir besar seperti ini akan berlaku, buat pertama kali air naik menghampiri bumbung rumah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut beliau, keadaan berlaku sekelip mata apabila rumah keluarganya di Kampung Ajai, Dong, Raub yang dalam proses pengubahsuaian mula dinaiki air pada jam 12 tengah hari secara mendadak sehingga memasuki rumah.

“Pada pukul 2 petang, air sudah melepasi paras pinggang, maka kami semua membuat keputusan untuk duduk di atas perancah yang digunakan untuk kerja pengubahsuaian rumah...kami panjat menggunakan tangga.

“Bagaimanapun, keadaan bertambah teruk pada pukul 5 petang, air sudah meningkat menenggelamkan 'staging', kami panjat lebih tinggi ke atas alang rumah.

“Dari pagi kami tidak sempat makan dan minum,  hanya makan gula-gula yang kebetulan ada di dalam beg saya,“ kata anak tunggal itu.

Susulan arus deras, Nur Aleeya Maisarah berkata dia bersama bapanya Mansor Omar, 50, dan ibunya Ayusyeila Zulaikha Subari, 44, hanya dipindahkan anggota penyelamat pada jam 2.56 pagi sebelum ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Pia.

“Pasukan keselamatan cuba masuk berkali-kali untuk menyelamatkan kami tetapi air sangat deras dan mereka khuatir bot akan terbalik. Namun, saya bersyukur kerana kami akhirnya berjaya diselamatkan dan terima kasih kepada semua pihak yang turut sama meminta bantuan bagi pihak kami,” katanya.

Banjir itu mengakibatkan mereka kini kehilangan barang berharga seperti kereta selain pakaian dan barangan elektrik.

“Tidak ada apa yang dapat diselamatkan termasuk buku dan pakaian sekolah...saya harap keadaan ini akan cepat pulih,” ujarnya.

Daerah Raub mencatatkan 1,616 mangsa banjir daripada 459 keluarga melibatkan 46 PPS beroperasi setakat 4 petang tadi. #sumber

Share:

Jumlah Mangsa Banjir Di Pahang Meningkat 10,739 Di 201 Pusat Pemindahan Sementara

KUANTAN - Jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat dengan 10,739 mangsa ditempatkan di 201 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sembilan daerah dengan Kuantan masih menjadi daerah paling teruk terjejas. 

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 1 tengah hari, Kuantan masih menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dengan 3,276 orang dipindahkan, diikuti Maran (1,895), Raub (1,493), Jerantut (1,259),  Lipis (1,119), Rompin (742), Temerloh (605) Bentong (215) dan Pekan (135).

Sementara itu, 10 sungai negeri itu masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Jelai di Jeram Bungor dan di Kuala Medang, Lipis; Sungai Tembeling di Kuala Tahan dan Sungai Pahang di Sungai Yap di Jerantut, serta tiga sungai di Kuantan iaitu Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Sungai Kuantan di Pintasan Kuantan serta Sungai Lepar di Jambatan Gelugor. 

Turut melebihi paras bahaya adalah Sungai Lipis di Batu Malim, Raub; Kuala Sungai Chini dan Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan.  #sumber

Share:

Banjir: Bas 'Terkandas' Di Raub, Penumpang Terpaksa Ikat Perut Tiada Bekalan Makanan

 

RAUB - Sebahagian besar penumpang sebuah bas ekspres dari Terminal Bersepadu Selatan menghala ke pantai timur terpaksa berdepan kesukaran apabila bas mereka terkandas di sini susulan situasi banjir di kawasan itu.

Menurut perkongsian salah seorang mangsa, Azliwati Jamaludin, mereka terperangkap di kawasan tersebut sejak jam 5 petang Ahad dan amat memerlukan bantuan makanan serta keperluan untuk ke tandas.

“Kita memang tak boleh bergerak disebabkan kawasan depan dan belakang dibanjiri air, jadi semua kenderaan berat memang terkandas.

“Kita risau sebab dalam bas ada warga emas, kanak-kanak dan kita tiada kawasan perhentian untuk dapatkan bekalan makanan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi pada Ahad malam.

Menurut Azliwati, bas yang dinaiki pada jam 2.30 petang Ahad itu ingin menuju ke Kota Bharu sebelum kesemua mereka terkandas di kawasan terbabit.

“Masalah di sini kami terkandas di kawasan hutan dan tiada perkampungan untuk kami mohon bantuan dan kita ada cuba hubungi pihak berkenaan untuk dapatkan bantuan,” katanya lagi.

Jumlah mangsa banjir Pahang yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan, dilaporkan semakin meningkat setakat tengah hari Ahad.

Jumlah mangsa banjir terus meningkat sejak tengah hari tadi kepada 447 penduduk daripada 119 keluarga, berbanding 65 penduduk daripada 19 keluarga pagi Ahad. #sumber

Share:

Pengunjung Cemas 'Terperangkap' Antara Dua Tanah Runtuh Selama Dua Jam Di Bukit Fraser

 

KUANTAN - Percutian kali pertama Mohd Ariff Amri di Bukit Fraser, Raub, menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan apabila terkandas hampir dua jam dalam kenderaan akibat tanah runtuh di Jalan Bukit Fraser-Raub kira-kira 1.30 tengah hari tadi.

Ariff, 37, yang bekerja sendiri berkata, beliau bersama empat keluarga adik-beradiknya yang menaiki empat kenderaan sedang menuruni Bukit Fraser, sebelum bertembung beberapa kereta lain yang terperangkap akibat tanah runtuh.

“Ini adalah percutian paling menakutkan buat saya. Melihat tanah runtuh di depan mata dan terperangkap pula di tengah-tengah jalan berbukit. Nasib baik talian telefon masih ada untuk saya meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau menganggarkan lebih 20 kereta dan tiga motosikal terperangkap di laluan itu dan hasil perbincangan, mereka sepakat naik semula ke Bukit Fraser dan turun melalui arah Kuala Kubu Bharu, Selangor.

“Bagaimanapun, semasa menaiki jalan ke Bukit Fraser, berlaku satu lagi runtuhan menyebabkan kereta saya dan sembilan lagi terperangkap. Walaupun terkejut, saya bersyukur kerana runtuhan tidak berlaku semasa saya sedang melalui jalan itu atau akibatnya mungkin lebih teruk lagi.

“Kami cuba memeriksa laluan jika masih ada ruang untuk dilalui, namun tiada. Saya menghubungi banyak pihak untuk meminta pertolongan, termasuk polis dan Roadcare (M) Sdn Bhd untuk memaklumkan kami terperangkap.”

Katanya, pihak terlibat mendapatkan maklumat terperinci mengenai jumlah mereka yang terperangkap serta cuba menenangkan beliau sebelum memaklumkan bantuan akan mengambil masa, ekoran tanah runtuh di bahagian bawah Bukit Fraser yang menyebabkan laluan terputus.

Sekurang-kurangnya 40 mangsa terpaksa meninggalkan kenderaan masing-masing dan berjalan kaki selama 15 minit ke seberang kawasan tanah runtuh untuk kembali semula ke Bukit Fraser. (Gambar Bernama)
Beliau berkata, terdapat sekurang-kurangnya 32 orang dewasa dan lapan kanak-kanak daripada semua sembilan kenderaan yang terperangkap itu, dan beliau turut menggunakan media sosialnya untuk memaklumkan kejadian tersebut.

“Alhamdulillah, selepas hampir dua jam, saya dihubungi pihak Roadcare dan polis memaklumkan bantuan dalam perjalanan. Mereka beritahu polis dari Bukit Fraser sedang menghala ke arah kami.

“Bagaimanapun, kami terpaksa berjalan kaki selama 15 minit ke kenderaan yang menunggu di seberang kawasan tanah runtuh untuk kembali semula ke Bukit Fraser. Itu satu-satunya cara dan kami perlu meninggalkan kereta masing-masing.”

Ariff yang berada di destinasi pelancongan itu sejak Jumaat lalu berkata, beliau turut dihubungi Tourism Pahang yang prihatin dengan nasib mangsa terkandas.

Beliau berharap Tourism Pahang dapat membantu mereka mendapatkan tempat penginapan untuk malam ini kerana tidak membuat tempahan awal dan bimbang jika semua hotel di Bukit Fraser sudah penuh. #sumber

Share:

Covid-29: Sebanyak 1,704 Kes Positif Baharu Dengan Sebelas Kematian Di Rekod Hari Ini !

 


PUTRAJAYA: Sebanyak 1,704 kes positif baharu COVID-19, direkodkan setakat hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 119,077 kes.

Kementerian Kesihatan juga merekodkan sebanyak 2,726 kes kes sembuh daripada jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 97,218 kes atau 81.6 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ketika ini jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula 21,365 kes.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, ada lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula, sebanyak 1,699 kes.

"Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi, iaitu sebanyak 673 kes (39.5 peratus) dan daripada jumlah ini, sebanyak 509 kes (75.6 peratus) daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Sabah melaporkan peningkatan sebanyak 316 kes (18.5 peratus) dan Johor sebanyak 179 kes (10.5 peratus).

Beliau berkata, sebanyak 74 kes (4.3 peratus) yang dilaporkan pula berkaitan kluster-kluster di lokap, depoh tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (56 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (tujuhkes), Kluster Tembok Choh (lima kes), Kluster Tembok Gajah (tiga kes), Kluster Tembok (dua kes), dan Kluster Kolam Air (satu kes).

Katanya, setakat hari ini, sebanyak 124 kes positif COVID-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 51 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, katanya, ada 11 kes kematian baharu membabitkan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 494 kes atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sebanyak 10 kematian membabitkan warganegara, manakala satu kematian seorang lelaki bukan warganegara yang berusia 58 tahun dan menghidap penyakit asma dan jenazah mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

"Kematian ke-484 membabitkan seorang wanita yang berusia 71 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan asma, yang meninggal dunia ketika dirawat di Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

"Kementerian juga merekodkan kematian seorang lelaki berusia 53 tahun di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang yang mempunyai latar belakang penyakit asma, manakala seorang lelaki berusia 68 dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, enam kematian dilaporkan di Selangor, masing-masing tiga di Hospital Sungai Biloh, membabitkan dua lelaki berusia 72 dan 63 tahun dan seorang wanita berusia 69 tahun yang menghidap pelbagai penyakit kronik.

Katanya, dua kematian di Hospital Kajang membabitkan seorang lelaki berusia 60 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kronik dan seorang lelaki berusia 56 yang tidak mempunyai latar belakang penyakit dan satu kematian di Hospital Serdang membabitkan seorang wanita berusia 77 tahun dengan penyakit kronik.

Beliau berkata, satu kematian turut dilaporkan di Hospital Lahad Datu, Sabah, membabitkan seorang wanita berusia 72 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik. #sumber

Share:

Seramai 143 Ketua Bahagian UMNO Enggan Berkerjasama Dengan Bersatu Pada PRU-15

 

BAGAN DATUK – Seramai 143 daripada 191 Ketua UMNO Bahagian di seluruh negara enggan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia adalah hasil dapatan daripada tinjauan yang dilakukan menerusi kumpulan WhatsApp Ketua Bahagian UMNO.

“Sebagai Presiden UMNO, saya menghormati jika keputusan 143 ketua bahagian itu kemudian dijadikan usul secara rasmi di peringkat perwakilan bahagian, ertinya itu adalah usul yang harus dikaji dan diterima oleh UMNO pusat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, semua usul itu nanti akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertiinggi (MT) UMNO yang kemudian akan membuat ketetapan sama ada akan menerimanya atau tidak.

Katanya, sebarang keputusan yang dibuat oleh MT nanti harus diterima dan dihormati oleh semua Ahli Parlimen UMNO sama ada yang menyandang jawatan dalam kerajaan atau tidak, sebagai keputusan parti.

Ditanya jika MT menerima usul tidak bekerjasama dengan Bersatu bermaksud semua Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), beliau menjawab, segala usul bahagian adalah usul rasmi yang akan diputuskan oleh MT untuk dibawa atau ditapis dalam Perhimpunan Agung UMNO nanti.

“Jadi, MT akan melihat berapa jumlah sebenar usul tidak mahu bekerjasama yang dibuat secara rasmi oleh bahagian parti seluruh negara,” katanya.

Mengenai dakwaan ada usaha daripada pihak parti Bersatu membeli ahli UMNO, Ahmad Zahid berkata, ia adalah kajian dan dapatan kajian yang dinyatakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Tentunya kenyataan beliau itu mempunyai asas dan fakta setelah beliau sendiri melakukan kajian itu,” katanya. #sumber

Share:

Jumlah Mangsa Banjir Di Pahang Meningkat, 3,273 Penduduk Kini Di Tempatkan Di PPS !

 

KUANTAN - Jumlah mangsa banjir menunjukkan peningkatan ketara petang ini dengan 3,273 penduduk daripada 902 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan berbanding tengah hari tadi hanya 447 penduduk melibatkan 119 keluarga.

Menurut portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 6 petang ini, sebanyak sembilan daerah di negeri itu terjejas susulan banjir akibat hujan berterusan sejak malam semalam.

Portal berkenaan memaklumkan Kuantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 1,027 orang, diikuti Maran (593 orang), Raub (456 orang), Jerantut (433 orang), Rompin (358 orang), Temerloh (273 orang),  Pekan (53 orang), Bentong (45 orang) dan Lipis (35 orang). #sumber

Share:

Dua Daerah Terjejas Akibat Banjir Di Pahang, 65 Mangsa Telah Di Tempatkan Di Dua PPS !

 

KUANTAN -- Seramai 65 penduduk daripada 19 keluarga dari dua daerah di Pahang kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.

Menurut portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 9.30 pagi ini, di daerah Maran, seramai 44 mangsa daripada 13 keluarga telah ditempatkan di PPS Balai Raya Jara, manakala 21 mangsa daripada enam keluarga dari daerah Rompin berlindung di PPS Balai Raya Bukit Lepas.

Portal berkenaan turut memaklumkan tiga sungai di Pahang melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Lepar @ Jambatan Gelugor, Sungai Lipis, Raub dan Sungai Lembing, di sini manakala Sungai Lipis di Lipis melepasi tahap waspada.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia menerusi laman Twitternya memaklumkan berlaku limpahan air di Kilometer 198 arah Timur dan Barat di laluan Gambang dan Sri Jaya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang Datuk Seri Norol Azali Sulaiman ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu dan menyatakan limpahan air menyebabkan jalan berkenaan ditutup pada pukul 8.40 pagi ini.

Sementara itu, pemegang konsesi LPT1, ANIH Berhad menerusi kenyataannya menasihatkan pengguna lebuh raya dari Pantai Timur yang ingin pulang ke Kuala Lumpur selepas tamat cuti hujung tahun hari ini, untuk menangguhkan perjalanan mereka kerana laluan itu dinaiki air setinggi dua meter sepanjang satu kilometer.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca bahaya dan buruk, dengan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di Pahang iaitu melibatkan daerah Pekan dan Rompin.

Selain itu, MetMalaysia turut meramalkan cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan melibatkan daerah Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Bera. #sumber

Share:

Warga Emas Maut, Terjatuh Motosikal Akibat Langgar Jalan Berlubang Di Jalan Syed Putra !

 

KUALA LUMPUR -- Seorang lelaki warga emas maut selepas terjatuh, apabila motosikal ditunggangnya dipercayai telah melanggar lubang di Jalan Tengah menghala ke Jalan Syed Putra di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata, mangsa dikenali sebagai Ho Yan Fee, 75, meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Polis menerima laporan pada pukul 7.30 pagi tadi. Siasatan awal mendapati mangsa dari arah Jalan Connaught menghala ke pusat beli-belah Midvalley, terbabas sendiri dan dipercayai telah melanggar jalan berlubang di lokasi lalu terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari inii.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk bedah siasat dan kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #sumber

Share:

Pengguna Lebuhraya Terpaksa Berpatah Balik, Tunda Perjalanan Akibat KM198 LPT Di Tutup !

 


KUANTAN  -- Pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT) terpaksa berpatah balik dan menunda perjalanan mereka susulan penutupan jalan di Kilometer (KM) 198.8, arah Timur dan Barat dekat  Gambang dan Sri Jaya sekitar 8.30 pagi tadi.

Pesara Mohamed Radhi Samat, 64, berkata beliau kini masih mencari laluan alternatif untuk pulang ke Shah Alam, Selangor selepas dimaklumkan mengenai penutupan laluan di LPT Fasa 1 (LPT1) dan jalan lama Kuantan-Kuala Lumpur akibat banjir.

Katanya, mereka yang terdiri daripada 15 orang melibatkan empat keluarga bertolak ke Kuala Terengganu,  pada Jumaat bagi mengikuti rombongan menghantar anak saudara mereka   melangsungkan perkahwinan di sana.

"Kami tak sangka terkandas...mulanya saya ingat ada kemalangan yang menyebabkan jalan sesak, tapi apabila memeriksa media sosial ramai yang berkongsi gambar mengenai banjir di LPT1.

Harapnya keadaan akan surut pada waktu petang atau malam kerana ada antara kami yang bekerja esok. Jika masih tiada pilihan, kami terpaksa berpatah balik dan berharap keadaan pulih awal pagi Isnin," katanya kepada Bernama.

Peniaga Hafizah Aina Halimi, 30,  yang berhasrat ke Kuala Lumpur berkata beliau terpaksa menunda perjalanannya selepas mendapat tahu jalan berkenaan ditutup kerana dinaiki air menerusi media sosial.

“Saya tengah bersiap-siap untuk ke Kuala Lumpur awal pagi tadi sebelum diberitahu adik berkenaan situasi tersebut dan saya terus buka Twitter LPT untuk semak perkara itu...mungkin kalau jalan dah dibuka semula saya akan ke ibu negara esok,” katanya kepada Bernama.

Pemilik akaun Instagram @farahlee atau nama sebenarnya Nurfarahin Romli, 32, melalui perkongsiannya memaklumkan, beliau yang dalam perjalanan dari Terengganu ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik susulan penutupan jalan di Gambang.

“Kita agak sedih sikit, bertolak keluar awal pagi dari Terengganu tetapi sebelum keluar dari Gambang jalan dah ditutup,” katanya menerusi laman sosial itu.

Sementara itu, pemegang konsesi LPT1, ANIH Berhad menerusi kenyataannya pagi tadi menasihatkan pengguna lebuh raya dari Pantai Timur yang ingin pulang ke Kuala Lumpur selepas tamat cuti hujung tahun hari ini, untuk menangguhkan perjalanan mereka kerana laluan itu dinaiki air setinggi dua meter sepanjang satu kilometer.

Bagaimanapun, ANIH Berhad dalam kenyataan terbaharu memaklumkan laluan KM198 LPT1 Gambang-Sri Jaya dibuka semula kepada semua jenis kenderaan pada 3.30 petang ini dengan dua lorong ke arah Timur dibuka sepenuhnya, manakala bagi laluan ke Kuala Lumpur, hanya lorong laju dibenarkan dilalui kenderaan buat masa ini.  #sumber

Share:

Hujan Lebat: Beberapa Jalan Terpaksa Di Tutup Akibat Insiden Tanah Runtuh, Banjir Di Pahang

 

KUANTAN -- Hujan lebat berterusan sejak semalam, menyebabkan beberapa jalan di Pahang terpaksa ditutup akibat tanah runtuh atau dinaiki air.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Kama Azural Mohamed berkata Jalan Raub-Bukit Fraser ditutup kepada semua kenderaan pada tengah hari ini ekoran tanah runtuh di Km4 dan Km6 yang menyebabkan laluan di lokasi itu terhalang oleh longgokan tanah serta pokok tumbang.

"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian itu dan buat masa ini pihak berwajib sedang melakukan kerja pembersihan jalan, serta meletakkan papan tanda amaran bagi menghalang pengguna jalan raya memasuki laluan itu," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Di Bentong, Ketua Polis Daerah Supt Zaiham Mohd Kahar mengesahkan jalan lama Bentong-Raub juga ditutup kepada semua pengguna jalan raya ekoran tanah runtuh berhampiran Sang Lee sekitar pukul 11.50 pagi tadi, yang menyebabkan ia terputus dua.

Sementara itu, laluan Km198 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) antara Gambang dan Sri Jaya di Kuantan, yang dinaiki air pagi tadi, dibuka semula pada pukul 3.30 petang kepada semua kenderaan.

Pemegang konsesi LPT1, ANIH Berhad menerusi kenyataan media memaklumkan dua lorong ke arah Timur dibuka sepenuhnya manakala bagi laluan ke Kuala Lumpur, hanya lorong laju dibenarkan dilalui kenderaan buat masa ini.

"Pengguna lebuh raya diminta untuk patuh kepada arahan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran perjalanan dan dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan semasa di Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata 15 jalan di daerah Maran ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan akibat dinaiki air.

Antara terlibat ialah jalan di sekitar bandar Maran dan bandar Sri Jaya yang dinaiki air mulai pagi ini, selain jalan di sekitar Felda Jengka iaitu di Jengka 3, Jengka 5, Jengka 8, Jengka 13, Jengka 15 dan 16 serta di laluan ke Kolej Matrikulasi Jengka.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk peka dengan pengumuman dan amaran pihak berkuasa mengenai penutupan jalan ini kerana hujan yang masih berlaku berkemungkinan menyebabkan lebih banyak jalan terpaksa ditutup untuk keselamatan. 

"Kita berharap semua pengguna jalan raya dapat mematuhi arahan dan tidak mengambil risiko untuk menyeberangi jalan kerana dikhuatiri membawa kepada kejadian tidak diingini," katanya.

Norolazali berkata di Jerantut, empat Jalan Persekutuan yang ditutup ialah Jalan Jerantut-Maran, Jalan Padang Piol-Sungai Rentang, Jalan Kota Gelanggi dan Jalan Ulu Retang ke Merting.

Sementara itu Jalan Ulu Gali dan Jalan Ulu Jelu di Raub serta Jalan Pintasan Kampung Aur, Jalan Simpang Sepayang dan Jalan Paya Sepayang di Rompin turut ditutup kerana dinaiki air. #sumber

Share:

Pengguna LPT2 Di Saran "Rancang" Perjalanan Susulan Banjir Di KM198 LPT1 Dekat Gambang

 


KUALA TERENGGANU -- Pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) disaran merancang perjalanan mereka susulan banjir di kedua-dua arah di Kilometer 198 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) iaitu di antara Persimpangan Bertingkat Sri Jaya dan Gambang, Pahang ketika ini.

Pengurus Perniagaan LPT2 Sdn Bhd Roszi Ibrahim berkata semua laluan di lebuh raya itu di antara Kuala Terengganu dan Jabor masih boleh digunakan.

"Namun, oleh kerana LPT2 bersambung dengan LPT1, pelanggan yang telah memasuki LPT2 digesa supaya berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) yang disediakan dengan mematuhi semua SOP (prosedur operasi standard) norma baharu selaras dengan arahan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelbagai kemudahan disediakan di R&R LPT2 dan LPT1 seperti Perasing dan Paka untuk keselesaan pengguna lebuh raya termasuk gerai makan, tandas awam, surau serta kawasan meletak kenderaan sebelum mereka menyambung semula perjalanan selepas banjir di LPT1 surut.

Katanya orang ramai yang menuju ke Terengganu atau Kelantan dari Lembah Klang disaran berhenti seketika di R&R Temerloh sebelum menyambung perjalanan mereka.

Pada masa sama, mereka dinasihatkan agar mendapatkan maklumat keadaan trafik termasuk perkembangan banjir menerusi laman Facebook LPT2 atau menghubungi LPT2Line di talian 1800-88-0220 atau talian bantuan LPT di 1700-81-8700, twitter LPT Trafik atau laman Facebook Lebuhraya Pantai Timur. #sumber

Share:

Covid-19: Sebanyak 2,295 Kes Positif Baharu Dengan Sembilan Kematian Di Rekod Hari Ini

 

PUTRAJAYA – Kes baharu hari ini masih kekal pada angka 2,000 dengan 2,295 kes dicatatkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 117,373 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pada masa sama, angka sembuh merekodkan sebanyak 3,321 kes iaitu lebih tinggi daripada kes baharu dan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 94,492 kes.

“Selain itu, daripada jumlah kes positif hari ini sebanyak sembilan kes import mendapat jangkitan dari luar negara manakala, sebanyak 2,286 kes adalah penularan tempatan.

“Sembilan lagi kes kematian baharu dilaporkan menjadikan sebanyak 483 kes kematian Covid-19 di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Ujarnya, sebanyak 125 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 51 kes memerlukan bantuan pernafasan. #sumber

Share:

Tanah Runtuh: Kerja Baik Pulih Jalan Kuantan-Segamat Di Jangka Siap Selewatnya Isnin Ini !

 

KUANTAN -- Kerja baik pulih dua lokasi tanah runtuh di Kilometer (KM) 63 dan KM73 Jalan Kuantan-Segamat di Pekan dekat sini, yang berlaku Jumaat lepas, dijadualkan siap selewat-lewatnya  Isnin ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata kerja baik pulih segera di salah satu lokasi di KM73 dijangka dapat disiapkan esok sekiranya keadaan cuaca baik.

"Kerja baik pulih segera ini dilakukan oleh kontraktor pembinaan jalan itu memandangkan jalan tersebut dalam tanggungjawab mereka kerana masih dalam proses kerja akhir pembinaan.

"Pihak berkenaan telah memulakan kerja awalan baik pulih segera hari ini dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menilai semula cadangan pembaikan kekal berdasarkan kajian serta syor pihak perunding," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Norolazali berkata runtuhan tersebut terletak dalam kawasan pembinaan fasa satu projek menaik taraf Jalan Persekutuan dari Gambang, di sini ke Segamat, Johor.

Menurut Norolazali, kerja baik pulih runtuhan di KM63, yang menyaksikan lubang besar di kaki jalan, dilakukan dengan mengukuhkan cerucuk tebing dan hanya satu lorong dibuka buat masa ini.

"Manakala kerja pembersihan dan menimbus lubang dilakukan di lokasi runtuhan kedua di KM73 yang menyebabkan terdapat lubang merentangi kedua-dua lorong jalan berkenaan," katanya.

Kejadian runtuhan itu dipercayai berlaku kira-kira 10 pagi semalam, ekoran aliran air deras berterusan sejak 3 petang pada 31 Dis lepas, bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sehubungan itu, jalan tersebut ditutup kepada pengguna jalan raya dan mereka dari Kuantan yang hendak ke Segamat dilencongkan ke Paloh Hinai untuk ke bandar Pekan sebelum keluar di Leban Chondong dan Muadzam Shah di Rompin.

Pengguna jalan raya dari Segamat ke Kuantan pula boleh melalui laluan alternatif dari Leban Chondong dan Muadzam Shah untuk masuk ke laluan Rompin-Nenasi-Kuantan. #sumber

Share:

Wan Rosdy: PPBM 'Tidak Perlu Bertanding' Di Mana-Mana Kerusi DUN, Parlimen Di Pahang !

 

KUANTAN - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang merangkap Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan tiada keperluan untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bertanding di mana-mana kerusi DUN dan Parlimen Pahang pada PRU15 kelak.

Wan Rosdy turut menyatakan pendirian itu merupakan pendirian UMNO Pahang semasa ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Cameron Highlands hari ini.

Datuk Sri Wan Rosdy yang juga merupakan Ketua Bahagian UMNO Cameron Highlands turut menyampaikan amanat beliau kepada ketiga-tiga kepimpinan sayap UMNO Cameron Highlands. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan kepada perwakilan agar sentiasa bersiap-siaga menghadapi segala kemungkinan pada PRU15.

Beliau turut menyeru agar perwakilan membantu menambahkan bilangan penyertaan keahlian Umno dan mendaftar sebagai pengundi bagi menghadapi PRU15. #sumber

Share:

MetMalaysia: Amaran Cuaca Hujan Yang Amat Lebat Di Beberapa Kawasan Di Johor, Pahang !

 

KUALA LUMPUR -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca bahaya (merah) di beberapa kawasan di Johor dan Pahang.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan hujan sangat lebat dijangka berterusan hari ini di Johor iaitu di Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru, manakala hujan lebat dijangka berterusan di Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Pontian sehingga esok.

Hujan lebat juga dijangka berlaku di Pahang sehingga esok iaitu di Kuantan, Pekan dan Rompin.

Amaran cuaca waspada (kuning) dengan hujan lebat pula dikeluarkan bagi Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera di Pahang serta Kelantan dan Terengganu, manakala di Tangkak dan Muar, Johor sehingga Isnin.

“Amaran sama dikeluarkan di Sabah melibatkan Pantai Barat (Tuaran, Ranau, dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) serta Kudat hari ini,” kata kenyataan itu di sini, hari ini. #sumber

Share:

Seorang Penerjun 'Maut Terjatuh', Gagal Kawal Payung Terjunnya Ketika Latihan Di Putrajaya !

 

PUTRAJAYA - Seorang peserta terjun tapak maut selepas dipercayai terjatuh ketika melakukan latihan payung terjun dari bangunan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

Dalam kejadian 5.35 petang itu, Azuan Taharudin, 49, bersama tujuh penerjun dari pasukan Perbadanan Putrajaya (PPj) sedang menjalani latihan terjunan tapak sempena Hari Wilayah 2021.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Mohd Fadzil Ali berkata, ketika melakukan terjunan, mangsa gagal mengawal payung terjunnya dan jatuh di sisi bangunan itu.

“Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan dan kemudian disahkan meninggal dunia 6.10 petang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, latihan Terjun Tapak 2021 itu dikelolakan pegawai PPj dan melibatkan penerjun pelbagai agensi, termasuk agensi berkenaan.

“Bagaimanapun, penganjur tidak membuat sebarang pemakluman kepada pihak berkuasa, termasuk polis ketika latihan diadakan.” #sumber

Share:

Sembilan Mangsa Lemas, Pacuan Empat Roda Hilang Kawalan Sebelum Terjatuh Ke Sungai !

 

KUCHING - Pacuan empat roda yang terhumban ke Sungai Batang Lupar di Jeti Feri Triso, kira-kira 120km dari sini, dikatakan hilang kawalan sebelum terjatuh ke sungai dan mengorbankan sembilan penumpang dan pemandunya.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Bingkok John berkata, kenderaan jenis Ford Ranger yang dipandu Ronany Ting, 33, itu dalam perjalanan dari Kapit ke Kuching menggunakan Jalan Beladin-Meludam.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal pergerakan kenderaan menyebabkan ia terbabas dan menggelongsor ke dalam (Sungai) Batang Lupar,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, orang ramai di kawasan jeti itu sempat mengikat kenderaan terbabit dengan rantai besi dan menariknya bagi menghalang ia tenggelam sebelum mengeluarkan semua mangsa.

“Siasatan punca kejadian dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (Sri Aman). Semua mayat dibawa ke Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat.”

Selain Ting, tragedi kira-kira 3 petang itu turut mengorbankan lapan penumpang – Siti Aisha Abdullah, 36; tiga remaja dikenal pasti sebagai Nor Shuhada Mohamad, 16; Khairunnisa Muhamad, 14; Alvin Phang, 12, dan tiga kanak-kanak lelaki, iaitu Wallace Phang,7; Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7, dan Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5.

Tragedi itu turut meragut nyawa seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang dikenal pasti sebagai Mohd Ahmad Mohd Hamdan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar, Rohani Abdul Karim mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. #sumber

Share:

KKMM Akan Pergiat Pelan JENDELA Pada 2021 Untuk Kurangkan Jurang Digital Di Negara Ini !

 

KUALA LUMPUR - Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan dipergiatkan lagi pada tahun hadapan bagi mengurangkan jurang digital dan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi yang berkualiti serta inklusif, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata ia akan dilakukan terutama di tempat bercapaian paling lemah seperti kawasan pedalaman di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Katanya pandemik COVID-19 secara langsung mempercepatkan transformasi pendigitalan dengan penggunaan teknologi digital dan perkhidmatan Internet oleh semua lapisan masyarakat dalam semua aspek termasuk perniagaan, perkhidmatan, pendidikan, komunikasi serta hiburan.

“Kerajaan juga akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk merealisasikan polisi kerajaan mengiktiraf infrastruktur telekomunikasi sebagai utiliti awam seperti air dan elektrik,” menurutnya dalam perutusan tahun baharu beliau, ‘Tahun 2021 Mara Ke Hadapan’ hari ini.

Saifuddin berkata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan meneruskan inisiatif berpaksikan kemakmuran bersama untuk rakyat dan seterusnya mencapai cita-cita Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

Beliau berkata bagi merancakkan industri kreatif negara, KKMM akan mewujudkan Perbadanan Muzik serta pelan ‘Road to Oscar & Grammy Awards’ yang akan mengaktifkan bakat baharu dan penggiat seni tanah air untuk menghasilkan karya yang berdaya saing bertaraf antarabangsa.

Penganjuran Anugerah Nasyid Kebangsaan dan Antarabangsa yang bakal menjadikan Malaysia sebagai pusat tumpuan pembangunan karya nasyid akan turut direncanakan.

Selain itu, Saifuddin berkata KKMM akan meningkatkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan komuniti yang selama ini agak terpinggir seperti golongan kurang upaya (OKU) serta Orang Asli.

“Unit Komunikasi OKU yang diketuai oleh warga OKU akan diwujudkan mulai 2021. Kita juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam memastikan semua komunikasi kerajaan sampai ke setiap warga Orang Asli.

“Selain itu, komunikasi komuniti luar bandar juga akan ditambah baik di setiap daerah dengan kerjasama pemimpin tempatan,” katanya.

Saifuddin turut menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas pengorbanan mereka melawan pandemik COVID-19.

“Marilah kita bersama-sama memulakan tahun 2021 untuk bangkit, berpadu tenaga dan berusaha mendepani cabaran masa hadapan bagi mencapai kejayaan membina kesejahteraan negara ke arah Malaysia Prihatin,” katanya. #sumber

Share:

KKMM Fokus Percepatkan Penyediaan Internet Kawasan "Last Mile" Atau Pedalaman Tahun Ini

 


KUALA LUMPUR -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memfokuskan usaha mempercepatkan penyediaan kemudahan capaian internet bagi kawasan ‘last mile’ atau pedalaman di beberapa kawasan Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, tahun ini.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata walaupun pelbagai inisiatif menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan namun usaha penyediaan infrastruktur capaian internet harus dipercepatkan.

Beliau berkata sasaran KKMM adalah untuk memastikan kira-kira empat peratus kawasan yang masih tiada capaian internet di Pantai Timur dan beberapa lokasi lain di Semenanjung serta pedalaman Sabah dan Sarawak, mendapat kemudahan komunikasi itu.

“Kemudahan internet yang perlu disediakan hendaklah praktikal, misalnya rumah panjang di Sarawak tidak sesuai untuk menggunakan gentian optik atau jalur lebar, tetapi sesuai dengan menggunakan satelit.

“(Di Sarawak) Saya beritahu MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), kita perlu segera cadangkan, tentukan dan sediakan jenis satelit apa yang sesuai, jangan tunggu cadangan itu datang sendiri,” katanya.


AM
KKMM fokus percepat penyediaan internet kawasan pedalaman tahun ini - Saifuddin


01/01/2021 12:26 PM
KUALA LUMPUR, 1 Jan -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memfokuskan usaha mempercepatkan penyediaan kemudahan capaian internet bagi kawasan ‘last mile’ atau pedalaman di beberapa kawasan Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, tahun ini.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata walaupun pelbagai inisiatif menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan namun usaha penyediaan infrastruktur capaian internet harus dipercepatkan.

Beliau berkata sasaran KKMM adalah untuk memastikan kira-kira empat peratus kawasan yang masih tiada capaian internet di Pantai Timur dan beberapa lokasi lain di Semenanjung serta pedalaman Sabah dan Sarawak, mendapat kemudahan komunikasi itu.

“Kemudahan internet yang perlu disediakan hendaklah praktikal, misalnya rumah panjang di Sarawak tidak sesuai untuk menggunakan gentian optik atau jalur lebar, tetapi sesuai dengan menggunakan satelit.

“(Di Sarawak) Saya beritahu MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), kita perlu segera cadangkan, tentukan dan sediakan jenis satelit apa yang sesuai, jangan tunggu cadangan itu datang sendiri,” katanya.

ADVERTISEMENT

Saifuddin berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan program bual bicara Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di RTM 1, pagi tadi.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata KKMM menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut menyasarkan usaha memperluaskan jumlah pekerjaan nilai tinggi dalam sektor ekonomi gig.

Jelasnya, ketika ini perkembangan pekerjaan nilai tinggi dalam sektor ini hanya pada paras 20 peratus dan kementerian itu menyasarkan peningkatan kepada sekurang-kurangnya 40 peratus pada tahun ini.

“Cabaran kita dan MDEC sekarang bukan untuk menarik jumlah pekerja ekonomi gig, kerana jumlah mereka memang ramai, sebaliknya kita mahu menambah peluang pekerjaan nilai tinggi sektor itu,” katanya. #sumber

Share:

JPJ Kaji Cadangan, Pinda Syarat Lesen Remaja Hanya Boleh Tunggang Motosikal Bawah 70cc

 

KUALA LUMPUR -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meneliti cadangan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia yang mahu syarat lesen memandu dipinda dengan memastikan pemilik berusia 16 hingga 20 tahun hanya dibenarkan menunggang motosikal kategori bawah 70cc menjelang 2025.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saranan itu dilakukan berikutan peningkatan kes kemalangan dan kadar kematian penunggang motosikal berkuasa besar melibatkan remaja berusia lingkungan 16 hingga 20 tahun,” katanya, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan PDRM bercadang mengkategorikan permohonan lesen baharu mensyaratkan remaja berusia 16 hingga 20 tahun hanya menunggang motosikal berkuasa bawah 70cc menjelang 2025.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata JPJ akan melancarkan sistem MyQ yang mampu mengurangkan kesesakan kepada pelanggan ketika berurusan di kaunter dan projek rintis akan dilaksana pada pertengahan bulan ini di cawangan JPJ terpilih.

Ini katanya antara usaha pendigitalan jabatan itu selari dengan amalan norma baharu dan prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). #sumber

Share:

Covid-19: Sebanyak 2,068 Kes Positif Baharu Dengan "Tiga Kematian" Di Rekodkan Hari Ini !

 


KUALA LUMUR  -- Jangkitan baharu harian COVID-19 di Malaysia kekal empat angka dengan 2,068 kes direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini mencecah 115,078.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 23,433 kes.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu itu, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 776 kes dengan 425 kes adalah daripada kluster dan saringan kontrak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ia diikuti dengan Kuala Lumpur yang merekodkan 457  kes manakala Sabah pula mencatatkan 254 kes.

“18 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan Imigresen dan penjara membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (13 kes), Kluster Tembok Gajah (4) dan Kluster Pagar Siput (1),” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham juga berkata tiga kematian direkodkan hari ini dengan kes pertama melibatkan seorang lelaki berumur 69 tahun dari Negeri Sembilan yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik dan dislipidemia.

"Kes kematian kedua melibatkan seorang lelaki berumur 94 tahun dari Selangor yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, demensia dan bronchiectasis.

"Kes kematian ketiga pula melibatkan seorang wanita berumur 58 tahun dari Kuala Lumpur yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan buah pinggang," katanya.

Beliau berkata bilangan pesakit yang pulih hari ini ialah 2,230 orang menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya setakat ini sebanyak 91,171.

Katanya sehingga kini, terdapat 126 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 54 memerlukan alat bantuan pernafasan. #sumber

Share:

Tanah Runtuh: Laluan Kuantan-Segamat Di KM 63 Dan 73 Di Tutup Kepada Semua Kenderaan!

 

PEKAN - Laluan Kuantan-Segamat di Kilometer 63 dan 73 di sini ditutup sementara ekoran kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat dan air bukit yang terlalu deras di lokasi berkenaan.

Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa ataupun kemalangan kenderaan di lokasi terbabit.

Penutupan itu dibuat kepada semua kenderaan bagi membolehkan kerja baik pulih dijalankan.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Razli Mohd. Yusof berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian tanah runtuh di laluan berkenaan pada pukul 10 pagi hari ini.

Katanya, orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif sementara jika hendak ke Segamat, Pekan dan Kuantan.

“Dari arah Segamat, pengguna jalan raya dilencongkan ke Jalan Leban Chondong (Muadzam Shah)-Rompin-Nenasi-Pekan-Kuantan.                                                

“Dari arah Gambang dan Kuantan, semua pengguna jalan dilencongkan ke Jalan Pekan- Paloh Hinai-(Bandar Pekan)-Leban Chondong (Rompin)-Muadzam Shah-Segamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. #sumber

Photo credit to Bazaie Tuan Muda Puceceh

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.